(Teganuku mulai hari ini mengupas isu Lebuh Raya Pantai Timur 2 atau LPT2, khususnya kesan dikenakan tol mulai tengah malam 15 Julai ini. Banyak isu sebelum dan selepas tol ini diperkenalkan kerana rakyat Terengganu turut 'melabur secara izin dalam paksa ' dalam pembinaan LPT2 ini)
Bahagian Pertama
Kita faham mana-mana lebuh raya memerlukan kos membiayai penyenggaraan
dan operasi termasuk penyediaan kemudahan seperti perkhidmatan peronda, kawasan
rehat dan rawat serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan dan keselamatan
pengguna lebuh raya.
Selain keselesaan, diharapkan usaha ini akan mengurangkan
kes kemalangan kerana berlakunya kira-kira 2,000 kes kemalangan serta telah mengorbankan
kira-kira 100 orang mangsa itu pada tahun 2015 sahaja.
Kos itu sama ada dibiayai oleh kerajaan atau melalui
kutipan tol bergantung kepada kebijaksanaan pihak pengurusan lebuh raya
berkenaan.
Dan begitulah juga dengan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)
yang dibuka kepada trafik sepenuhnya mulai 31 Jan 2015.
Kerajaan melantik Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT 2
Sdn Bhd), sebuah syarikat milik penuh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS
Berhad), untuk melaksanakan operasi,
penyenggaraan dan kutipan tol di lebuh raya tersebut.
Kelmarin (11 Julai 2016), Ketua Pengarah Lembaga
Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh mengumumkan bahawa cara
mendapatkan peruntukan menyelenggarakan LPT2 ialah melalui tol di lebuh saya
berkenaan berkuat kuasa bermula 15 Julai 2016, 12.01 tengah malam.
Keputusan kerajaan melaksanakan kutipan tol di LPT2 diumumkan
selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, dibuat setelah mengambil kira
kepentingan rakyat.
LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor di Pahang
hingga ke Kampung Gemuroh di Terengganu, merupakan lebuh raya empat lorong dua
hala, dilengkapi dengan kemudahan 10 persimpangan bertingkat, tiga kawasan
rehat dan rawat serta dua hentian sebelah.
Ada empat atau lima perkara yang masih diperkatakan mengenai LPT2,
selain pengenalan tol selepas digunakan secara percuma sebelum ini.
Ia membabitkan kos awal dan kos tambahan, desakan bekas
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, ‘keberanian’ Menteri Besar,Ahmad Razif
berdepan Perdana Menteri untuk menuntut hak, apa untungnya kepada rakyat
Terengganu serta apa terjadi kepada dakwaan penyelewengan?
1.
Isu kos pembinaan LPT2.
Ada mengatakan LPT2 bernilai RM3
bilion dari sempadan Pahang hingga ke Kampung Gemuruh.
Sehingga ini, kos sebenar LPT2
masih menjadi perbahasan apabila bekas Menteri Besar Terengganu mengatakan beliau
sendiri tidak mengetahui berapakah kos sebenar pembinaan LPT2 itu kerana beliau
dimaklumkan LPT2 bernilai RM4 billion.
Perkara ini timbulkan pada
persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), bukan di kedai kopi di Kijal atau di
Kuala Terengganu.
Pada Mac 2012, ketika itu Datuk
Seri Anwar Ibrahim masih menjadi Ketua Pembangkang mendedahkan di Parlimen bahawa kerugian
terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan dalam pembinaan projek Lebuhraya Pantai
Timur (LPT Fasa Ke 2) yang menelan kos RM3.7 billion.
“Ia masih tidak dapat digunakan
sepenuhnya akibat berlakunya kelewatan yang ketara dari tarikh jangka siap
iaitu pada akhir tahun 2010. Kerugian tersebut berlaku disebabkan terdapat
beberapa kontraktor yang sepatutnya disenarai hitamkan dari mendapat tender
telah di’anugerahkan’ tender semula oleh kerajaan.”
Menurut Ahmad Said, Jumlah keseluruhan kos pembinaan
pada asalnya ialah sebanyak RM1.8 billion dan 50 peratus daripada jumlah itu,
diambil daripada dana khas kerajaan negeri Terengganu.
Jumlah ini bertentangan dengan
apa yang disebut oleh Menteri Besar sekarang, Ahmad Razif Abdul Rahman yang
mengatakan ‘wang rakyat Terengganu’ yang digunakan bagi pembinaan itu kini
sebenarnya RM1.85 bilion.
Ini adalah pertambahan sekali
ganda daripada yang disebut oleh Ahmad Said.
Berikutan itu Ahmad Razif berharap
Kerajaan Persekutuan menyegerakan bayaran kos pembinaan LPT2 itu sebanyak RM1.85 bilion. Jumlah tersebut
merupakan pendahuluan yang diberi oleh kerajaan negeri dan sepatutnya dibayar
semula mengikut kaedah tertentu.
2. Antara punca
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ‘marah’ Ahmad Said?
Walaupun dikatakan separuh daripada
perbelanjaan asal RM1.8 bilion digunakan, pertanyaan tetap wujud, berapa jumlah sebenar
Dana Khas kerajaan negeri yang telah digunakan dalam pembinaan LPT2.
Ini kerana menurut Ahmad Said, ketika
beliau mula menduduki kerusi Menteri Besar, beliau tidak mengizinkan wang
tambahan tersebut diambil bagi pembinaan LPT2 itu, hanya sekadar apa yang telah
dibelanjakan sahaja.
Ini kerana permintaan menambah
perbelanjaan bagi pembinaan LPT2 dan menggunakan duit Dana Khas Terengganu itu
adalah tidak adil kerana di negeri-negeri lain, kosnya ditanggung oleh kerajaan
pusat atau swasta.
Ahmad Said beberapa kali
menimbulkan isu ini dan Putrajaya tetap membisu.
Apakah ini antara faktor kenapa
Perdana Menteri berang dengan Ahmad Said sedangkan pada era Menteri Besar
sebelumnya, Perdana Menteri ketika itu senang-senang sahaja membuat keputusan
membelanjakan duit rakyat Terengganu untuk pelaburan dalam LPT2?
3. Rakyat Terengganu
Tanggung 50 Peratus Kos.
Ini Bermakna setidak-tidaknya
ada pelaburan rakyat Terengganu sebanyak kira-kira RM900 juta di lebuh raya
itu!
Bagaimana dengan pelaburan itu?
Apakah ia menguntungkan atau merugikan?
Bagaimana wang pelaburan rakyat
Terengganu akan dapat kembali? Isu ini diperkatakan acap kali oleh Ahmad
Said, sama ada ketika beliau masih menjadi Menteri Besar atau juga selepas.
Walaupun didesak supaya
Putrajaya memberikan 'jawapan hitam putih’ mengenai perkara ini, nampaknya
jawapan yang dinantikan tidak juga tiba. Sedangkan jelas wang rakyat Terengganu
digunakan sewenang-wenangnya oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Kita faham ia untuk kemudahan
rakyat tetapi apabila mengenakan tol nanti, apakah ada bahgian untuk rakyat
Terengganu yang sudah melabur dalam lebuh raya berkenaan? Atau LLM akan
menggunakan alasan, kutipan tol untuk urusan penyelenggaran dan pengurusan LPT2
semata-mata?
Seperti disebut Ahmad Said pada
persidangan DUN lalu, oleh kerana dilaporkan tol akan diperkenalkan pada September ini (perlaksaan
pada Julai adalah lebih awal daripada jangkaan bekas Menteri Besar itu) PLUS
akan mula mengutip tol di LPT2, beliau mahu mengetahui berapakah pulangan yang
akan dikembalikan kepada kerajaan negeri atas penggunaan Dana Khas itu.
Persoalannya kini selepas turut menanggung
kos pembinaan, apakah wajar rakyat Terengganu turut dikenakan pula tol? Berapa
lama mereka akan tanggung beban itu?
(Pengurusan LPT2 akan melaksanakan
kutipan tol secara sistem tol tertutup di mana akan ada 10 plaza tol dan kadar tol permulaan bagi LPT2 adalah 12 sen/km
bagi kenderaan Kelas 1 (kereta). Sebagai contoh, pengguna yang membuat
perjalanan dari Plaza Tol Kuala Terengganu ke Plaza Tol Cheneh dan sebaliknya,
akan dikenakan bayaran tol sebanyak RM19.70).
Bersambung esok...
No comments:
Post a Comment