Saturday, November 21, 2009

MB Terengganu kini di Tanah Suci


Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dijangka akan memulakan tugas rasmi pada pertengahan Disember kerana ketika ini beliau menunaikan ibadah haji

Beliau dan isteri Toh Puan Nurliza Mahmud berada di Tanah Suci selepas berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu.

Rombongan beliau turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman serta isteri Halina Zakaria selain beberapa pegawai kerajaan yang lain.

Ahmad dan isteri yang pertama kali menunaikan fardu haji dijangka pulang ke tanah air pada 9 Disember depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang, pegawai-pegawai kanan serta kakitangan kerajaan, pemimpin politik adalah antara mereka yang berada di Lapangan Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu bagi mengucapkan selamat jalan kepada beliau.

Terengganu Juara Sembilan Tahun Berturut-turut

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menitiskan air mata ketika mengumumkan Terengganu juara Sembilan tahun berturut-turut tertinggi semua A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Mungkin Ahmad Said sebak kerana anaknya juga mencapai keputusan 5A dan ia dimaklumkan oleh seorang pegawai Jabatan Pelajaran Terengganu.

Ia berlaku ketika beliau mengucapkan ‘selamat tinggal’ untuk menunaikan fardu haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Khamis lalu.

Ternyata usaha kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran Terengganu membuahkan hasil memberangsangkan.



CATAT SEJARAH LAGI...calon UPSR dari SK Sultan Sulaiman II Kuala Terengganu gembira dengan keputusan masing-masing.

Menurut laporan UKOM, Terengganu mengulangi dan mempertahankan sejarah dalam pendidikan negara apabila muncul negeri terbaik buat kali kesembilan berturut-turut dalam keputusan Ujian pencapaian Sekolah Rendah 2009.

Daripada 23,944 calon yang menduduki UPSR di 381 pusat peperiksaan, 3,664 mendapat semua A atau 15.3 peratus iaitu peningkatan satu peratus berbanding 2008. Pengarah JPNT, Haji Ariffin Embong, berkata keputusan UPSR kali ini juga meningkat dalam pencapaian minimum C kepada 68.8 peratus.

Katanya, nilai gred purata negeri (GPN) juga meningkat kepada 2.22, nilai ini mengatasi pencapaian tahun lalu (2.24), selain mengatasi GPN peringkat nasional yang mencatat 2.33.

Beliau berkata, daripada keseluruhan mata pelajaran, Matematik dan Sains menunjukkan peningkatan baik apabila pada tahun ini, sebanyak 34.6 peratus mendapat A subjek Matematik berbanding 30.6 peratus pada 2008. Manakala Sains meningkat 7.8 peratus berbanding 21.8 peratus pada tahun lalu.




Seorang pelajar SK Sultan Sulaiman II Kuala Terengganu diberi ucapan tahniah oleh nenek dan datuknya.

“Walaupun sasaran kita 20 peratus A tidak tercapai, keputusan 15.3 peratus mendapat semua A merupakan yang terbaik berbanding pencapaian negeri lain setakat yang dimaklumkan

“Kejayaan ini adalah hasil usaha, kerjasama dan perancangan rapi semua pihak terutama guru, murid, pentadbir sekolah, ibu bapa, komuniti masyarakat dan juga pegawai-pegawai jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Pejabat Pelajaran Daerah,” katanya ketika sidang akhbar Pengumuman Keputusan UPSR 2009, di JPNT, hari ini.

Sementara sekolah yang berprestasi tinggi berdasarkan GPN sekolah seperti Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud apabila 47.02 peratus daripada 168 calonnya memperolehi semua A.

Manakala 39.6 peratus daripada 101 calon dari SK Tengku Mahmud II memperolehi semua A.

Dalam pada itu, SK Sultan Sulaiman II muncul sekolah terbaik di Kuala Terengganu apabila 51 calonnya memperolehi semua A berbanding 42 calon pada tahun lalu.

Menurut Guru Besar SKSS II, Haji Ahmad Muda, jumlah calon yang mendapat A meningkat 5 peratus pada tahun ini berbanding 2008 lalu , selain melebihi sasaran 50 murid mendapat 5A .

Katanya, kejayaan cemerlang itu terhasil menerusi pelan strategik bermula awal tahun, selain penekanan akademik murid sejak tahap satu melalui kelas tambahan yang bersistem.

Guru Besar SK Sultan Sulaiman II dan juga guru-guru meraikan kejayaan pelajarnya yang mendapat 5A.

Hujan lebat di Terengganu, paras air di sungai utama naik

Paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu sedang meningkat dan sesetengahnya sudah melepasi paras amaran pagi ini.

Keadaan cuaca di Terengganu mendung dan hujan lebat sekali sekala sejak petang semalam.
Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berkata Sungai Telemong di Kampung Ping, Hulu Terengganu, paras air naik kepada 19.7 meter, melepasi paras amaran 19.5 meter.

Sungai Marang, di Pengkalan Berangan dan Sungai Besut di Kampung La, masing-masing sedang menghampiri paras amaran pada pukul 8 pagi ini.

Paras air sungai di Pengkalan Berangan sekarang 13.05 meter berbanding paras amaran 13.2 meter dan di Kampung La, paras air meningkat kepada 18.16 meter (amaran 18.2 meter).

Sungai Setiu juga dilaporkan sedang meningkat kepada 16.69 meter dan kini melepasi paras waspada 18.6 meter.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan ditingkatkan ke peringkat Jingga hari ini di semua daerah di Terengganu dan Kelantan dengan hujan monsun sederhana dijangka berterusan sehingga minggu depan.

Sementara itu, Jurucakap Bilik Gerakan Polis Daerah Hulu Terengganu berkata lebih 81 mangsa daripada 14 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah Hulu Terengganu selepas air mula naik akibat hujan lebat sejak petang semalam.

Seramai 61 orang daripada 10 keluarga dari Kampung Ceting berpindah ke Masjid Kampung Ceting pukul 4.30 petang sementara 20 orang daripada empat keluarga dari Kampung Peris berpindah ke Balai Raya Kampung Peris 6 petang semalam, katanya.

Lima jalan negeri yang dinaiki air juga ditutup kepada semua kenderaan sejak petang semalam.
Jalan-jalan terbabit ialah Jalan Kuala Kejil-Jalan Kampung Jak yang dinaiki air sedalam 1.5 meter, jalan Kampung Lubok Periok-Felda Tersat ditenggalami sedalam 1 meter, Jalan Pengkalan Ajal-Felda Tersat dan jalan Pengkalan Ajal-Kampung Matang masing-masing ditenggelami air sedalam 0.7 meter dan jalan Kampung Matang-Kampung Nibong 0.5 meter.

Bernama dimaklumkan bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan negari Terengganu akan dibuka apabila dua daerah di negeri itu dilanda banjir.

Thursday, November 19, 2009

Kerajaan Ambil Alih 1MDB

Kerajaan mengambil alih 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bertujuan untuk memastikan strategi penubuhannya bagi memacu pembangunan ekonomi negara yang mapan melalui perkongsian strategik

tercapai.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengambil alihan syarikat Sovereign Wealth Fund itu yang dahulunya dikenali sebagai Terengganu Investment Authority Berhad juga bagi menggalakkan aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FDA).

"Oleh itu, kekayaan negara hasil daripada pelaburan strategik ini dapat diagihkan secara sama rata tanpa mengira kaum dan etnik tetapi untuk 1Malaysia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.
Najib berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur semalam.

Nurul Izzah ingin tahu rasional Terengganu Investment Authority Berhad yang asalnya dibentuk khas untuk mengelakkan dasar campur tangan anggota politik kini diubah menjadi satu entiti kerajaan persekutuan bernama 1MDB yang melapor terus kepada Menteri Kewangan.

CAKNA RAKYAT…

Cakna Rakyat


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said cakna terhadap masalah kanak-kanak berusia tiga tahun, Mohd Khaidil Sharifudin, yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Kanak-kanak ini bakal dibedah di Pusat Rawatan Prince Court, Kuala Lumpur.
Kos rawatannya akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pertandingan 1Malaysia 1Budaya tawar RM20,000

Penganjur Piala Monsun akan mengadakan pertandingan tarian kebudayaan 1Malaysia 1Budaya bagi memupuk kesedaran dan mempromosikan pelbagai tarian tradisional di Malaysia kepada kalangan pengunjung tempatan dan asing sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Pertandingan itu terbuka kepada individu dan kumpulan dari seluruh negara yang mana pemenang akan meraih hadiah wang tunai dan pakej percutian bernilai lebih RM20,000.

Acara ini adalah yang pertama diperkenalkan sejak Piala Monsun diperkenalkan lima tahun lalu dan bertujuan menghibur dan memberi pendedahan kepada pelancong asing dan rakyat tempatan yang dijangka melawat bandar raya ini sempena pertandingan sukan layar itu pada awal bulan depan.
Penasihat Perlumbaan Piala Monsun, Datuk Peter Gilmour, berkata pertandingan tarian kebudayaan itu adalah cara terbaik untuk mempamerkan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan ia amat bersesuaian dengan Karnival Monsun yang diadakan bersempena Piala Monsun tahun ini.

“1Malaysia 1Budaya akan memberikan peluang kepada lebih ramai golongan belia untuk berkecimpung dan menyerlahkan bakat mereka di arena yang lebih besar. Selain itu, pertandingan ini juga dianjurkan untuk menarik kumpulan tarian untuk memberikan persembahan yang terbaik untuk pengunjung Karnival Monsun,” katanya.

Gilmour berkata, sehingga kini pertandingan tarian itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai kumpulan tarian yang mewakili segmen tradisional Melayu, India dan Cina.
“Kami berharap menjadikan acara ini sebagai acara tahunan,” jelasnya.

Pertandingan tarian kebudayaan 1Malaysia 1Budaya akan diadakan secara berperingkat yang mana pusingan awal akan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur, manakala peringkat separuh akhir akan diadakan dari 3 hingga 5 Disember, manakala peringkat akhir akan berlangsung seiring dengan pusingan akhir Piala Monsun pada 6 Disember, 2009.

Kedua-dua acara itu akan diadakan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu ketika berlangsungnya Piala Monsun.

Penginapan peserta selama tempoh pertandingan itu di Terengganu akan ditaja oleh pengelola Piala Monsun.
Pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia dari semua peringkat umur dan tidak mengira profesional atau amatur. Sehingga kini, 15 kumpulan sudah mendaftar untuk mempersembahkan tarian Melayu, bharata natyam (tarian klasik India), tarian rakyat kampung -India, bhangra (tarian tradisional Sikh) dan tarian singa (Cina).

Setiap persembahan akan berlangsung 15 minit, dan kriteria bagi pemilihan akan berdasarkan kreativiti, persembahan dan kostum.

Pemenang hadiah pertama pertandingan tarian 1Malaysia 1Budaya akan memenangi wang tunai dan hadiah bernilai RM7,000 termasuk pakej percutian.

Kanak-Kanak Jantung Berlubang Bakal Dibedah

Penderitaan kanak-kanak berusia tiga tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang, bakal berakhir tidak lama lagi, apabila kerajaan Terengganu bersetuju membiayai pembedahannya di Pusat Rawatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Jaminan untuk rawatan tersebut disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, yang melawat Adik Mohd Khaidill Sharifudin, di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Lesong, Kemaman, pagi 14 November lalu.

Isteri Menteri Besar, To' Puan Norliza Mahmud turut melawat kanak-kanak jantung berlubang di Kampung Lubuk Lesung, Kemaman.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bersetuju membiayai sepenuhnya rawatan Mohd Khaidill di hospital itu di mana sebelum ini seorang kanak-kanak yang mengalami nasib sama, Mohd Ayub Mansor, turut dirawat di situ.

“Urusan berkenaan akan dilakukan segera dan pesakit akan dibedah oleh doktor pakar yang sama iaitu Dr David Khoo Sin Keat,” katanya yang turut diiring isteri, To’ Puan Norliza Mahmud.

Bapa pesakit, Sharifudin Yaacob, 36, berkata anak keempatnya itu menghidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan dan sering berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menerima rawatan.

“Saya dan keluarga bersyukur di atas kesudian kerajaan negeri menanggung kos pembedahan Mohd Khaidill. Kami harap dia akan menjalani kehidupan seperti rakan-rakan sebaya selepas menjalani pembedahan,” katanya dengan nada yang terharu.

Dato’ Ahmad berkata, pihaknya sedia menimbangkan bantuan perubatan yang sama kepada kanak-kanak lain yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Pilih kontraktor bersikap telus

Oleh : SURIATI BINTI ALI (Ukom)

Kontraktor dilantik untuk menyiapkan projek kerajaan negeri perlu bersikap telus dan patuh setiap syarat ditetapkan bertujuan mengelak sebarang kemungkinan berlaku.
Setiap arahan perlu dilaksanakan sebaik mungkin termasuk memenuhi syarat 60 peratus adalah pekerja tempatan dan bukannya warga asing.














Ahmad Said mengendalikan jentolak melakukan majlis pecah tanah di Kampung Batin, Seberang Takir.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan memandang remeh berkaitan perkara ini kerana ia melibatkan pelbagai pihak sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Hanya mereka mempunyai rekod bersih termasuk tiada masalah mengenai kewangan dan mampu

menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan sahaja akan dipilih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah, di Kampung Batin, Kuala Terengganu, kelmarin.

Lokasi itu bakal dibangunkan rumah pangsa mampu milik bernilai hampir RM102 juta di mana melibatkan 722 unit rumah.


Menteri Besar menyerahkan borang rumah pangsa mampu milik kepada wakil JKKK untuk diagihkan kepada penduduk berkelayakan.

 Ahmad Said turut memberitahu pembinaan rumah pangsa yang dapat membantu penduduk memiliki rumah sendiri itu bakal dibina di kawasan seluas 17 ekar.

“Projek dijangka siap akhir 2011 itu kini dalam proses menambun tanah oleh kontraktor dilantik,” katanya.

Model rumah pangsa mampu milik yang bakal dimiliki penduduk sekitar Kampung Seberang Takir selepas Menteri Besar melakukan majlis pecah tanah. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Orang Ramai Dinasihat Masak Hasil Laut Dengan Sempurna

Orang ramai atau pengguna di Terengganu yang membeli makanan laut terutama ikan, dinasihatkan supaya memasaknya dengan sempurna bagi mengelak terkena penyakit taun.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Nordiyanah Hassan berkata, pihaknya mengesyaki makanan hasil laut yang tidak bersih dan dimasak dengan tidak sempurna menjadi salah satu punca penyakit taun merebak di Terengganu.

"Orang ramai hendaklah membersih ikan yang hendak dimasak dengan baik dan masak dengan sempurna bagi mengelak terkena penyakit taun," katanya semalam.

Beliau juga menasihatkan kilang-kilang air batu yang membekalkan bahan berkenaan untuk kegunaan nelayan supaya tidak menyalahguna dengan menjual kepada orang ramai untuk dijadikan minuman biasa.

"Air batu berkenaan untuk kegunaan nelayan sahaja untuk menahan hasil laut daripada cepat rosak. Ia tidak boleh sekali-kali dibuat minuman," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya mendapat kerjasama yang baik daripada kilang air batu, iaitu hanya dua di negeri ini, di Pulau Kambing dan Pelabuhan Perikanan Cendering, untuk memberi bekalan kepada nelayan.

Penyakit taun yang mula dikesan minggu lepas itu, kini turut dikesan di daerah Marang, Setiu, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Setakat ini penyakit itu belum dikesan di daerah Besut, tambah Dr Nordiyanah.

Terengganu Laksana Kelas Maya tahun depan

Selepas pelaksanaan e-Book kepada murid Tahun Lima, Kerajaan Negeri mengorak langkah melaksanakan Program Virtual Class (Kelas Maya), tahun depan.

Melalui program itu, guru yang sedang mengajar akan dapat mengakses secara langsung e-Book yang dibekalkan kepada murid dan memantau mereka bagi proses pembelajaran di dalam kelas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya sudah mula mempersiapkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir sebagai perintis program berkenaan.

Menurutnya, program di bawah tajaan Intel itu kini dalam proses penyesuaian dengan siri penerangan dan pemasangan peralatan selengkapnya giat dilakukan untuk melaksanakan program itu.

“Kerajaan Negeri kini melihat perkembangannya dan sekiranya memuaskan serta mengikut kehendak dimaklumkan kepada negeri dan Menteri Besar, kami akan laksanakan serta meluaskannya di seluruh negeri tahun depan.

“Setakat ini kami tidak mempunyai sebarang masalah, kini kami tunggu dan lihat perkembangannya sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan e-Book Sekolah-sekolah Rendah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong dan Alor Limbat di Dataran Futsal Bukit Payong kelmarin.
Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Zaidi Muda.

Pada majlis itu, seramai 1,519 murid menerima e-Book masing-masing iaitu 806 murid dari DUN Alor Limbat dan 713 murid dari DUN Bukit Payong.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, pada Disember nanti, Intel bersama Top IT akan mengadakan kursus untuk semua guru terutama mereka yang akan mengajar murid Tahun Enam iaitu yang mengajar murid Tahun Lima tahun ini.

“Kursus berkenaan bagi membolehkan guru terbabit lebih bersedia mengajar menggunakan kaedah Kelas Maya.

“Jika usaha ini berjaya, kita adalah yang pertama di dunia melaksanakan program sebegini,” katanya.

Adun, kakitangan kerajaan perlu berganding bahu

Oleh Suriati Ali (UKOM)

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan kakitangan kerajaan diminta berganding bahu dan memberi komitmen sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah rakyat yang inginkan keselesaan hidup.

Mereka tidak sewajarnya menunding jari kepada mana-mana pihak sekiranya berlaku kejadian diingini sebaliknya selesaikan masalah itu secara bijaksana.























Ahmad Said melihat pameran Jubli Emas Dewan Undangan Negeri Terengganu di Muzium Negeri sambil ditemani Speaker DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; YB Ramli Nuh dan Pengarah Muzium Negeri, Encik Yusof Abdullah.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, sikap negatif yang ditunjukkan pihak berkaitan hanya memburukkan keadaan dan bukannya boleh menyelesaikan aduan.

“Perkara seperti ini secara tidak langsung mengambarkan imej kurang baik selain timbulnya rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

“Imej positif perlu dipamerkan kerana sebagai pihak bertanggungjawab, kita perlu menghidupkan slogan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin (16 November ).

Pameran anjuran muzium dibuka kepada orang ramai selama 45 hari dan berakhir 31 Disember, mempersembahkan pelbagai aktiviti dan sejarah.

Program penuh bermanfaat itu, mampu menjadi sumber rujukan kepada pengunjung terutama pelajar selain memberi kesedaran betapa pentingnya peranan Dewan Undagan Negeri (DUN) di setiap negeri .

Ahmad Said berkata, orang ramai perlu merebut peluang berkunjung ke pameran yang dianjurkan ini kerana mampu mengenali pemimpin terdahulu dan mengetahui sejarahnya

T'ganu perkenal peperiksaan dalam talian

Mulai pertengahan tahun depan, murid-murid Tahun Enam di seluruh Terengganu akan menduduki peperiksaan mereka secara dalam talian (online) selepas kesemua murid di negeri itu memperolehi e-Book yang dibekalkan oleh kerajaan negeri.


Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, murid-murid terlibat akan menduduki peperiksaan bulanan, peperiksaan penggal selain latihan tubi secara dalam talian bagi meningkatkan kecemerlangan mereka dalam pelajaran.

"Guru-guru akan menyediakan soalan untuk mereka sebagai latihan melalui e-Book yang diberikan kepada kira-kira 23,000 murid darjah lima tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM23 juta," katanya selepas menyampaikan e-Book kepada sekolah-sekolah di kawasan DUN Wakaf Mempelam di Kuala Terengganu semalam.

Seramai 503 pelajar termasuk 22 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Pendengaran) turut menerima e-Book berkenaan.

Ahmad berkata, 10 pelajar yang berjaya mendapat keputusan ujian bulanan terbaik secara dalam talian di setiap sekolah akan diberikan hadiah sebagai galakan.

Sementara itu Ahmad berkata pelajar Terengganu, yang akan menduduki peperiksaan SPM esok, tidak perlu bimbang jika banjir
melanda di negeri itu kerana kerajaan telah membuat persiapan sejak awal lagi.

"Banjir berlaku setiap tahun di Terengganu dan bagi pelajar yang menduduki SPM, kita memang dah sedia pusat-pusat peperiksaan yang baru untuk mereka jika banjir," katanya.

Sebanyak 197 buah pusat peperiksaaan SPM disediakan di seluruh Terengganu dan 90 buah pusat penempatan pelajar diwujudkan jika berlaku banjir. BERNAMA

Celcom Kuasai 54 Peratus Pasaran Di Pantai Timur

Syarikat penyedia talian telefon mudah alih, Celcom, terus mendahului syarikat pesaingnya yang lain apabila mendominasi lebih 54 peratus pengguna talian mudah alih di Terengganu, Kelantan, dan Pahang.

Naib Presiden Celcom Wilayah Timur, Datuk Sulaiman Ahmad berkata ia merupakan tahun keempat syarikat berkenaan menduduki tangga teratas di wilayah Pantai Timur dengan jumlah pelanggan prabayar dan pascabayar mencecah sehingga 2.2 orang setakat ini.

"Pakej-pakej menarik yang disediakan oleh Celcom menjadi antara punca utama kita terus kekal sebagai syarikat nombor satu penyedia talian mudah alih di Pantai Timur," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis Program Ordinary Dealer Tradel Pantai Timur semalam.

Selain itu, katanya peranan rakan niaga seramai 1,500 di kawasan berkenaan turut membantu pencapaian Celcom Wilayah Timur itu.

"Kita menyasarkan akan memperoleh seramai 2.3 juta pelanggan sehingga penghujung tahun ini dengan menawarkan pelbagai kemudahan, termasuk tawaran telefon pintar Blackberry pada harga serendah RM488," katanya.

Beliau berkata setakat ini perkhidmatan syarikat berkenaan meliputi hampir 95 peratus liputan di Pantai Timur, dan menjelang 2010, disasarkan sebanyak 100 lagi kawasan liputan baharu akan disediakan dengan perkhidmatan syarikat itu.

Mengulas mengenai gangguan talian perkhidmatan syarikat itu sejak kebelakangan ini, terutama di Terengganu, beliau berkata ia disebabkan kerja-kerja menaik taraf sistem pembekal talian tersebut di Dungun.

"Kita menaik taraf sistem yang ada untuk memastikan lebih banyak kapasiti talian dapat digunakan, dan Celcom memberi jaminan pada hujung bulan ni, talian kita akan kembali pulih seperti biasa tanpa sebarang gangguan," katanya.

158 Kes Taun, Satu Kematian Dicatatkan Sehingga Kini

Kes taun kini melibatkan sejumlah 158 kes dengan satu kematian sejak penularan wabak itu di Terengganu pada 11 Nov lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata sejumlah 112 kes dikesan daripada 402 kes cirit-birit yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kesihatan, dan 42 kes cirit-birit yang pulih telah dibenarkan pulang.

Katanya 46 kes lagi adalah daripada 1,072 kontak terdekat daripada kes-kes taun yang dilaporkan.

"Kesemua kes yang disahkan taun termasuk kes daripada kontak dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Mereka hanya dibenarkan pulang setelah ujian najis mengesahkan mereka bebas daripada kuman taun selama tiga hari berturut-turut.

"Dua kes taun sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kematian kekal satu dan tiada kematian baru dilaporkan," katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Mohd Ismail berkata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengambil langkah pencegahan dan kawalan untuk memastikan tiada penularan wabak itu ke kawasan lain.

Katanya sebanyak 60 premis telah diperiksa, 11 premis telah ditutup termasuk lima kilang ais berikutan tahap kebersihan yang tidak baik dan 71 sampel air dan 50 sampel makanan diambil untuk ujian kuman.

"Keputusan makmal bagi 35 sampel air dan makanan adalah negatif kepada V.Cholerae manakala 86 sampel masih lagi menunggu keputusan," kata beliau.

Beliau berkata sebanyak 36 telaga diklorin, 304 tandas dan 135 tempat pembuangan sampah telah didisinfeksi.

Katanya hebahan awam mengenai langkah kawalan dan pencegahan turut dijalankan dan meminta orang ramai untuk memberi kerjasama kepada aktiviti itu terutamanya kepada nasihat mendapatkan rawatan segera dan mengelak diri daripada makan atau minum di premis makanan yang kotor termasuk penjaja bergerak.

Sehingga Selasa , sebanyak 1,341 sesi pendidikan kesihatan telah diadakan di kawasan yang terlibat dengan wabak taun, 238 hebahan awam telah dilakukan dan 6,776 risalah dan poster diedarkan.

Bahasa Inggeris Bukan Penghalang Pelajar Terengganu

Mata pelajaran bahasa Inggeris tidak lagi menjadi halangan utama kepada pelajar di Terengganu untuk memperolehi kelulusan cemerlang setaraf dengan pelajar di negeri-negeri lain Pantai Barat, kata Pengarah pelajaran Negeri Terengganu, Ariffin Embong.


Beliau berkata Bahasa Inggeris kini bukan sahaja dikuasai oleh majoriti pelajar berkenaan, malah semakin diminati dan turut dituturkan dalam komunikasi harian.

Katanya pencapaian itu adalah hasil daripada usaha pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri serta syarikat-syarikat korporat yang sentiasa membantu dalam bentuk kewangan mahupun penyediaan kemudahan pembelajaran di Terengganu sejak beberapa tahun kebelakangan.

"Selain daripada ExxonMobil yang sentiasa menaja program-program bahasa Inggeris setiap tahun, kerajaan negeri juga berusaha membawa tenaga pengajar dan menghantar guru-guru ke luar negeri setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Program A Moment In English anjuran Jabatan Pelajaran Negeri yang ditaja ExxonMobil di Taman Budaya, Kuala Ibai kelmarin.

Turut hadir di majlis itu ialah Pegawai Hal Ehwal ExxonMobil Mohamad Kassim dan Pengurus Teknikal Permukaan ExxonMobil Wayne B Warwick yang menyampaikan sumbangan berjumlah RM80,000 dari ExxonMobil bagi menjayakan program itu.

Seramai 380 pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh negeri menyertai program tahunan yang diadakan bagi memperlihatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris melalui acara pentas selama dua jam itu.

MARA Berjaya Kutip Lebih RM1 Juta Daripada Peminjam


Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya mengutip balik pinjaman lebih RM1 juta daripada peminjam pendidikan dan perniagaan sejak menawaran diskaun 30 peratus bagi mereka yang membayar balik pinjaman sekali gus untuk tempoh empat bulan mulai September lepas.

Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata penawaran diskaun itu bertujuan memudahkan serta mengalakkan peminjam, khususnya peminjam tegar untuk membuat bayaran balik secara sekali gus, selain dapat memperbaiki aliran tunai Mara untuk membiayai aktiviti yang lain.

Pahang dan Terengganu mencatat jumlah kutipan yang terbesar sehingga kini dengan mencatat RM500,000 kutipan bagi setiap negeri, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis graduasi dan penyampaian sijil Kelas Anggerik Taska Mara 2009 di Ibu Pejabat Mara, di Kuala Lumpur, kelmarin.

"Selama ini kutipan pinjaman dilakukan secara konservatif iaitu melalui potongan tetap gaji bulanan seperti RM100 sebulan, walhal ramai di antara peminjam yang mampu untuk membayar sekali gus pinjaman mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata Mara akan mempertingkatkan prasarana anggota kerja Taskanya termasuk memberi imbuhan tahunan pakaian uniform, menyediakan kemudahan klinik panel dan peningkatan kadar cuti tahunan.

Katanya mereka juga akan di hantar mengikuti kursus bersijil iaitu Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak yang diwajibkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mara juga berharap dapat menambah bilangan anak-anak kakitangan di bawah usia empat tahun memasuki taska kepada lebih 400 orang apabila bangunan, Persada Putra yang terletak bersebelahan ibu pejabat Mara siap kelak," katanya.

Dua Pegawai Polis Bebas Tuduhan Kemuka Tuntutan Palsu

Dua pegawai polis pada Rabu dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pada

2003.

Hakim M Bakri Abdul Majid membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

"Pihak pendakwa gagal membuktikan butiran matan palsu seperti yang didakwa dan sehubungan itu mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan itu," katanya.

DSP Ahmad Saad, 48, yang kini bertugas di Sarawak dituduh mengemukakan tuntutan palsu terhadap nilai bekalan makanan dan minuman serta lain-lain tuntutan sebanyak RM46,050 berkaitan dengan program pencegahan jenayah Jabatan Siasatan Jenayah IPK pada Disember 2003 sedangkan jumlah yang sebenar ialah RM2,500 saja.

ASP Mohd Fadzir Mahmud, 52, yang kini bertugas di Kedah pula dituduh bersubahat dengan Ahmad melakukan kesalahan itu di tempat dan pada tarikh yang sama. Ketika itu Ahmad berpangkat Cif Inspektor.

Ahmad diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed manakala Mohd Fadzir diwakili peguam Mazlan Md Zin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Nazrul Nizam Mohamad Zamri.

Sunday, November 15, 2009

Kabinet Arah Kontraktor Asal Baiki Semula Bumbung Stadium Runtuh


Kerajaan memutuskan pihak kontraktor bertanggungjawab membaiki semula dan membaik-pulih struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA) di Gong Badak yang runtuh Jun lalu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata semua kos untuk kerja-kerja baik pulih itu dipertanggungjawabkan kepada kontraktor asal kerana stadium berkenaan masih dalam tempoh jaminan mereka.

"Kertas siasatan mengenai kejadian itu termasuk puncanya telah dibentang dalam
mesyuarat pasca-kabinet 6 November lalu dan Kabinet mengarahkan pihak kontraktor membaiki semula stadium berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Halatuju dan Wawasan Gerakan Belia 4B(M) negeri Terengganu semalam.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas butiran mengenai kos, tempoh yang ditetapkan untuk kerja-kerja baik pulih tersebut atau bentuk bumbung sama ada menyamai rekaan asal atau sebaliknya, kerana ia terletak di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Biarlah pihak JKR yang jelaskan mengenai perkara itu, tetapi kita berharap ia dapat dimulakan secepat mungkin dan stadium itu dapat digunakan kembali dalam masa terdekat demi kepentingan perkembangan sukan di negeri ini," katanya.

Stadium berkenaan yang menelan kos hampir RM300 juta siap dibina pada Mei tahun lepas untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-12, runtuh di bahagian bumbung utama sebelah timur yang menempatkan tempat duduk awam dan tetamu diraja pada 2 Jun lalu.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

Ahmad Shabery sebelum itu menghadiri Program Larian 1Malaysia sejauh tiga kilometer di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu yang turut disertai lebih 5,000 peserta.

Cabaran Perhentian Kecil dapat sambutan peserta dalam, luar negara

Sumber: Utusan Malaysia


Penyertaan atlet marathon warga Kenya di dalam Cabaran Pulau Perhentian (PIC) tahun ini ternyata memberi saingan sengit kepada peserta tempatan dalam memburu gelaran juara.

Ketiga-tiga mereka berjaya menamatkan perlumbaan setengah jam lebih awal daripada jangkaan sekaligus mendahului kira-kira 400 peserta lain.

Namun pencapaian atlet tempatan di dalam semua empat kategori yang dipertandingkan (lelaki dan wanita untuk novis dan elit) tidak kurang hebatnya setelah mengikut rapat langkah-langkah panjang pelumba dari benua Afrika itu.

Cabaran lumba lasak anjuran PIC Adventures Sdn. Bhd. yang diadakan di Pulau Perhentian Kecil, Terengganu pada awal bulan lalu padat dengan cabaran yang menguji kecekalan peserta.

Cabaran yang dilalui dalam kategori elit termasuk larian denai sejauh 11 kilometer (km), ujian minda, berenang sejauh 600 meter, memanjat 500 anak tangga dan memikul beg pasir.

Ketika menyahut cabaran itu ada yang tersungkur di tangga konkrit, kekejangan otot dan salah seorang peserta hampir lemas akibat masalah jantung ketika berenang. Dalam disiplin renang, peserta diberi pilihan sama ada untuk memakai jaket keselamatan ataupun tidak.

Dalam kategori elit, atlet triatlon negara, Shahrom Abdullah, 30, memenangi tempat kedua selepas ketinggalan kira-kira empat minit di belakang Hillary Kipchumba Kimutai.

Di dalam kategori novis lelaki, penyertaan kali pertama pelajar tahun akhir Jurusan Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) terus membuahkan hasil.

Sebastian Libah, 23, menjadi peserta tempatan pertama yang tiba di garisan penamat dengan perbezaan masa kira-kira dua minit di belakang Nicholas Merica (pertama) dan Daniel Kipkemei (kedua).

Sementara itu, Jessica Tang Mei Lee, 25, yang menjuarai novis wanita berkata, kelebihan memecut semasa di laluan mendaki memberikan beliau pecutan untuk meninggalkan peserta lain.

Beliau yang biasa dengan larian 10 km dan separa marathon (21 km hingga 42 km) bagaimanapun 'membazirkan' kira-kira 20 minit kerana sesat di lokasi ujian minda yang pertama.

Majlis penyampaian hadiah wang tunai bernilai RM40,000 kepada peserta disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib di perkampungan nelayan, Kampung Pasir Hantu.

Majlis penutup dimeriahkan dengan laungan para peserta yang menantikan nombor-nombor penyertaan mereka dipilih sebagai pemenang hadiah cabutan bertuah untuk merebut pelbagai hadiah dari penaja.

Mengulas mengenai PIC, Za'abar berharap acara sukan lumba lasak itu dapat membantu mempelbagaikan produk pelancongan yang terdapat di pulau itu selain keindahan dasar lautnya.

Cuma ujarnya, acara yang diadakan akan lebih menarik sekiranya 'dirakyatkan' melalui aktiviti yang lebih berorientasikan kebudayaan.

"Sukan pelancongan akan lebih meriah sekiranya menyelitkan nilai-nilai budaya dan penglibatan penduduk setempat," katanya yang mahu melihat PIC menjadi ikon sukan pelancongan bertaraf antarabangsa.

PIC dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri Terengganu, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu dengan penajaan Bubu Long Beach dan Rip Curl. Penaja bersama termasuk Spritzer, 100 Plus, UFL, Colemen, Suunto, Deuter, PowerBar dan Brooks.

Acara yang semakin mendapat tempatan di peringkat antarabangsa itu disertai peserta termasuk dari Singapura, Brunei, Filipina, Australia, Ghana, Amerika Syarikat dan New Zealand. Angka terbesar sejak acara pertama pada 2004.