Saturday, August 20, 2011

Suspek Ketiga Kes Culik Gadis di Kuala Besut Ditahan

Imbas Kembali - Beberapa orang ahli keluarga mangsa menunjukkan tempat gadis 15 tahu dilarikan di Kuala Besut, Terengganu 12 Ogos lalu.

Seorang pemuda 23 tahun yang merupakan suspek ketiga kes culik gadis berumur 15 tahun di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut pada 12 Ogos lalu berjaya ditangkap pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Zakaria, berkata suspek ditangkap ketika sedang tidur di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok, Semerak di Kelantan oleh polis pada kira-kira 10.30 pagi.

Katanya, suspek cuba melawan dengan menggunakan sebilah parang yang diletakkan di bawah bantal tetapi kecekapan anggota polis dapat memberkasnya selepas berlaku pergelutan.

"Suspek direman selama seminggu bermula hari ini," katanya pada sidang
media di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja hari ini.

Siasatan mendapati suspek adalah positif dadah dan pernah ditahan kerana
terbabit dengan kes jenayah seksual, katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam, 12 Ogos lalu, suspek bersama dua individu lain melarikan gadis berkenaan di depan sebuah kedai runcit di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut dengan sebuah kereta Perodua Kancil.

Tindakan pantas bapa gadis berkenaan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis menemukan gadis berkenaan yang disembunyikan di sebuah rumah tidak
bernombor di Kampung Gong Manok, Pasir Putih, Kelantan.

Dua lelaki berumur 25 dan 17 tahun berjaya diberkas tetapi suspek ketiga telah melarikan diri terlebih dahulu sebelum polis sampai.

2,500 Tamu Hadir Majlis Berbuka Puasa Bersama MB

Kira-kira 2,500 tetamu menghadiri majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Kemaman petang semalam.

Majlis yang diadakan di rumah beliau, Kampung Teluk Kalong, Kemaman diisi dengan majlis sumbangan zakat perniagaan kepada 100 orang anak yatim dan warga fakir miskin yang disampaikan Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Sumbangan yang penuh bermakna itu disumbangkan oleh Telekom Malaysia (TM) dan syarikat pelaburan milik kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC).

Ahmad Said berkata, beliau amat berbesar hati dan berterima kasih kepada TM dan EPIC kerana sudi memberi sumbangan berkenaan yang sedikit sebanyak mampu meringankan beban golongan yang menerima menjelang Aidilfitri nanti.

Turut hadir, Pengurus Besar TM Terengganu, Badrul Hisham Bahari dan Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ramli Shahul Hameed.

Disamping itu, pihak TM turut membuat penyerahan cek sumbangan sebanyak RM 10,000 kepada Kelab Golf Diraja Terengganu bagi penganjuran Kejohanan Golf Klasik Terengganu 2011.

Unit Komunikasi Negeri

Pelajar Maut, Ibu Adik Parah Nahas

Seorang pelajar Tahun Satu maut manakala ibu dan adiknya cedera parah akibat dirempuh lori yang terbabas di kilometer 27 Jalan Jerteh-Keruak, dekat persimpangan Felda Tenang, Hulu Besut di sini kira-kira 7.15 pagi ini.

Nik Nur Madhiah Sakeri, 7, pelajar Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, Pasir Putih, Kelantan meninggal dunia setelah empat jam dirawat di Hospital Daerah Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata ibu dan adik lelaki pelajar itu, Raja Juriah Raja Saamun, 38, dan Nik Mohd Amar Zulkarnain, 2, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan.

Katanya pemandu lori itu dikatakan terlelap menyebabkan lori yang dipandunya terbabas dan melanggar van yang dinaiki mangsa yang ketika itu berhenti di bahu jalan.

"Disebabkan kemalangan itu, ketiga-tiga beranak yang baru hendak keluar daripada van dipercayai untuk membeli barangan di kedai berhampiran, tercampak beberapa meter dari tempat kejadian,” katanya kepada pemberita.

Katanya dengan bantuan orang ramai, ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke Hospital Daerah Besut tetapi Nur Madhiah meninggal dunia empat jam kemudian ketika sedang diberikan rawatan.

Kamaruddin berkata pemandu lori berkenaan, Affendi Mohammad, 24, yang berasal dari Kampung Padang Bual, Hulu Besut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya punca sebenar kemalangan sedang disiasat.

140 Pesakit Hospital Kemaman Terima Kunjungan Menteri Besar

Kedukaan dan kesakitan yang dialami oleh 140 pesakit di Hospital Kemaman, Chukai, mungkin sedikit terubat apabila menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, semalam.

Selain bertanya khabar, kunjungan sempena Program Ehsan Ramadan anjuran Pergerakan Puteri UMNO negeri itu, turut menyampaikan hamper raya kepada pesakit hospital berkenaan.

Ketua Puteri UMNO negeri, Asfalinda Anuar berkata, program itu antara lain bagi mendekatkan pemimpin dengan rakyat terutama mereka yang sedang menerima rawatan di hospital.

Katanya, kunjungan yang turut disertai isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud itu merupakan sebahagian daripada Program Puteri Prihatin (3P) untuk mendekati pelbagai golongan khususnya wanita muda.

"Hasrat Pergerakan Puteri, mahu penglibatan seberamai ramai ahli di peringkat bahagian atau cawangan dalam program-program kemasyarakatan agar kepimpinan puteri dekat dengan msyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program itu, semalam. Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abd. Hamid, Ketua Pemuda UMNO Kemaman, Mohd. Hisham Zubir.

Tidak ketinggalan, Skuad Sayang Wanita UMNO Kemaman bersama Ketuanya, Rohani Abdullah.

Tambah Asfalinda, program bersama pesakit di semua hospital daerah di Terengganu itu akan diteruskan ke Hospital Daerah Hulu Terengganu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.


Unit Komunikasi Negeri

6,000 Pesara Tentera di Terengganu Belum Berdaftr

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM cawangan Kelantan dan Terengganu menggesa kira-kira 6,000 pesara tentera di negeri ini yang belum berdaftar sebagai ahli persatuan itu supaya segera berbuat demikian.

Bekas Pengarahnya, Lt. Kolonel Musa Ali berkata, ia perlu bagi membolehkan hal ehwal kebajikan pesara berkenaan dan ahli keluarga mereka terjamin.

Katanya, ketika ini, jumlah pesara tentera yang berdaftar di kedua-dua negeri ini hanya sekitar 4,000 orang sahaja.

"Sehubungan itu, saya berharap agar veteran tentera ini segera mendaftarkan diri mereka dengan JHEV.

"Kalau bukan dengan JHEV pun, mereka masih boleh mendaftarkan diri dengan PBTM (Persatuan Bekas Tentera Malaysia) untuk masa depan mereka dan keluarga," katanya selepas majlis penyerahan bantuan hari raya sumbangan Yayasan Veteran ATM kepada anggota veteran ATM Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama Penolong Pengarah 1 Bahagian Kerjaya & Sosioekonomi JHEV, Kementerian Pertahanan (Kementah) Komander Jumali Jabon dan Pengarah JHEV cawangan Kelantan dan Terengganu yang baru dilantik, Mejar Abu Bakar Siddiq Sulaiman.

Pada majlis itu, seramai 64 penerima yang terdiri daripada veteran ATM berusia 72 tahun dan ke atas, balu serta anak-anak yatim menerima bantuan hari raya berjumlah RM500 setiap seorang.

Friday, August 19, 2011

Diskaun Tol Aidilfitri Di 24 Lebuh Raya, Termasuk LPT 30-31 Ogos

Sebahagian LPT Pakej 2 akan dibeberapa beberapa hari lagi bagi mengurangkan kesesakan laluan ke Pantai Timur.

Sebanyak 24 lebuh raya bertol di seluruh negara akan memberi diskaun antara lima dan 37.5 peratus pada 30 dan 31 Ogos ini sempena Aidilfitri tahun ini.

Lebuh raya yang terlibat ialah Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura(Linkedua), Lebuh Raya Kulim-Butterworth (KLBK), Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Lebuh Raya Sistem Penyuaraian Trafik KL-Barat (Sprint), Lebuh Raya KL-Karak (KLK).

Lebuh Raya Pantai Timur, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Koridor Guthrie (Guthrie), Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas).

Lebuh Raya Duta Ulu Kelang (Duke), Lebuh Raya Cheras Kajang (Grand Saga), Lebuh Raya Smart, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuh Raya KL-Putrajaya (KLP), Lebuh Raya Lingkaran Kajang (Silk) dan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor berkata Lebuh Raya Latar yang baru dibuka juga telah bersetuju untuk memanjangkan tempoh laluan percuma tanpa tol sehingga 31 Ogos.

"Pengguna Lebuh Raya LDP pula tidak akan dikenakan apa-apa bayaran pada Hari Kemerdekaan bermula 12 tengah malam sehingga 11.59 tengah hari," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan aidilfitri peringkat Kementerian Kerja Raya di Plaza Tol Lagong Lebuhraya Guthrie di sini Khamis.

Beliau berkata pemberian diskaun itu adalah sejajar dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara yang baru yang diumumkan bulan lepas iaitu bagi memerangi kos kehidupan yang kian meningkat.

Terdapat beberapa lebuh raya terutamanya yang di luar Kuala Lumpur yang menawarkan diskaun lebih awal bermula pada 28 Ogos ini sehingga dua hari selepas hari raya.

Walaupun lazimnya bilangan kenderaan di jalan raya meningkat dua kali ganda pada musim perayaan, Shaziman berkata beliau yakin keadaan trafik pulang ke kampung pada kali ini akan lebih terkawal memandangkan tempoh cuti yang agak panjang membolehkan jadual perjalanan lebih teratur.

Beliau berkata bagi mengelak kesesakan jalan raya di Pantai Timur, dalam masa empat hari lagi sebahagian jajaran Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Dua akan dibuka.

Tiga laluan akan dibuka iaitu bermula dari Persimpangan Bertingkat Bukit Besi ke Persimpangan Bertingkat Ajil sepanjang 42.4 kilometer, laluan baru yang dikenali sebagai Bukit Payung Spur Road sepanjang 16.3 km dan Persimpangan Bertingkat Telemong ke Persimpangan Bertingkat Kuala Terengganu sepanjang 9.2km.

Shaziman juga berkata bagi keselamatan pengguna jalan raya yang semakin meningkat, Kementerian Kerja Raya telah melakukan beberapa inisiatif termasuk kerja pembaikan di 37 lokasi tertentu di jalan-jalan persekutuan dan di 10 lokasi di lebuh raya pada tahun lepas.

Bantuan Aidilfitri - MB Minta Rakyat Bersyukur

Rakyat negeri Terengganu perlu bersyukur dengan pelbagai sumbangan yang kerajaan negeri berikan terutama kepada golongan yang tidak bernasib baik seperti anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin dan sebagainya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, selain sumbangan subsidi kerajaan negeri, rakyat dinegeri ini juga turut menikmati kemudahan subsidi kerajaan pusat seperti petrol, gula, dan gandum.

“Bagaimanapun, apa yang saya kesalkan apabila subsidi barangan dikurangkan ada antara peniaga sewenang-wenangnya mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan terutama harga makanan dan minuman, ” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Besar menyeru peniaga Malaysia perlu mencontohi peniaga di Thailand walaupun tidak menikmati subsidi untuk barangan keperluan tetapi mereka masih mengekalkan harga murah yang tidak membebankan pengguna.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai yang diadakan dipekarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Chukai, Kemaman, kelmarin.

Seramai 96 orang anak yatim dan 73 orang miskin diraikan dalam majlis berkenaan.

Bela Burung Tempua, Simpan Sarangnya Satu Kesalahan - Perhilitan

Penduduk di Terengganu diingatkan bahawa perbuatan membela burung tempua atau menyimpan sarangnya merupakan kesalahan yang membawa hukuman berat termasuk penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Terengganu Yusoff Shariff berkata membela burung itu termasuk di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Tahun 2010 (Akta 716) yang menggantikan Akta Perlindungan Hidupan Liar Tahun 1972 (Akta 76) yang berkuat kuasa sejak Disember 2010.

Dalam satu kenyataan di Besut hari ini, Yusoff berkata menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang memelihara hidupan liar seperti burung tempua atau menyimpan sarangnya yang dilindungi sepenuhnya oleh Perhilitan.

"Selain burung tempua dan sarangnya, orang ramai juga dilarang sama sekali memburu atau memasang jerat binatang lain yang turut dilindungi seperti tuntung, burung tiong jambul mas, puyuh hutan, burung pacat bukit dan barau-barau," katanya.

Turut dilindungi ialah gecko-gecko, katak demam, serangga riang-riang dan pipit pinang.

APMM Gerak Dua Kapal, Tiga Bot Kilat Kawal Perairan Negara Musim Perayaan

Dua buah kapal dan tiga bot kilat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan digerakkan untuk mengawal perairan negara daripada pencerobohan sepanjang Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Timur Kapten Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata dua buah kapal itu akan ditempatkan di kawasan zon eksklusif manakala tiga buah bot kilat di kawasan perairan wilayah.

"Kita tahu biasanya nelayan-nelayan asing terutamanya mengambil peluang menangkap ikan di perairan negara kerana mereka beranggapan perairan tidak dikawal pada musim perayaan," katanya kepada Bernama semalam.

Syed Mohd Fuzi berkata anggota APMM akan bekerja seperti biasa dan bergilir-gilir menjalankan tugas mengawal perairan negara sepanjang musim perayaan nanti.

Katanya tumpuan utama operasi musim perayaan ini akan terarah di kawasan-kawasan pelantar minyak di Kelantan dan Terengganu yang sering menjadi perhatian nelayan-nelayan asing sebelum ini.

Selain itu, dua buah kapal akan ditempatkan di kawasan Pulau Tioman iaitu di sempadan Malaysia-Indonesia bagi mencegah kejadian seperti rompakan dan pencerobohan.

Selain itu, beliau berkata APMM juga bersiap sedia menjalankan tugas mencari dan menyelamat sekiranya berlaku kemalangan di laut.

Syed Mohd Fuzi berkata dalam bulan Ramadan tahun ini, dua buah bot nelayan asing yang mencerobohi perairan negara telah ditahan oleh APMM iaitu di Pahang dan Kelantan pada minggu ini.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan pencerobohan bot nelayan asing itu dalam bulan puasa ini berkurangan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Ini mungkin kerana pengawalan yang ketat oleh APMM," katanya.

Penerima Terharu Terima Duit Raya Daripada YDSM

“Maizatul akan guna duit yang diterima daripada Tuanku Mizan ini sebaik mungkin untuk membeli pakaian serta kasut raya dan selebihnya akan di simpan dalam bank.

“Pemberian ini cukup berharga kerana mampu meringankan beban tok dan tokki yang menjaga Maizatul sejak berumur lima tahun , “ kata pelajar Sekolah Kebangsaan Paloh, Mazaitul Farisha Zainudin, 7 yang sudah kematian ibu dan bapa.

Maizatul (gambar kiri) antara 390 individu yang menerima bantuan di Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam (17 Ogos).

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan hadir di Majlis anjuran Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM).

Hadir sama Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sri Laksamana Raja bersama isteri To’ Puan Hajjah Rahimah Awang dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bersama Isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud.

Tetamu kehormat lain, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Mazlan Ngah; semua barisan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan beberapa wakil rakyat.

Sebanyak RM120,000 diagihkan kepada 390 penerima di mana warga emas memperoleh wang tunai berjumlah RM250 seorang, baju melayu atau baju kurung; songkok atau tudung; kain pelikat atau kain batik manakala pelajar pula menerima sumbangan RM150 seorang.

Warga emas, Abdullah Othman, 72, berkata pemberian duit raya RM250 ini cukup bermakna bagi dirinya kerana dapat membeli serba sedikit barang keperluan dapur dan menyimpannya untuk digunakan ketika susah atau sakit.

“Raya tahun ini paling bermakna kerana bukan saja dapat duit raya malah turut menerima sepasang baju Melayu, songkok dan selipar,” katanya yang tinggal di Jalan Air Putih, Kemaman.

Seorang lagi penerima, Timah Salleh, 83 dari Batu 7, Dungun, berkata dia terharu dengan sumbangan itu kerana dapat membeli biskut dan barang kelengkapan raya lain.

“Pemberian yang diterima ini cukup bernilai bagi makcik yang tiada pendapatan tetap melainkan menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM300.

“Hendak bergantung kepada pendapatan anak-anak pun, mereka juga orang susah dan mempunyai anak ramai,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Majlis Berbuka Puasa DUN Chukai bersama Menteri Besar

Majlis Berbuka Puasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Chukai bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said diadakan di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat, Kemaman, kelmarin..

Seramai 96 orang anak yatim dan 73 orang miskin diraikan dalam majlis berbuka puasa DUN itu.

Riak wajah gembira jelas terpancar diwajah anak yatim yang menerima sumbangan duit raya disampaikan sendiri oleh Menteri Besar bersama isteri beliau dan diiringi ADUN Chukai Datuk Mohamed Awang Tera bersama isteri.

Orang miskin turut menerima sumbangan keperluan harian dan duit raya daripada Menteri Besar.





Usahawan Air Batu Beri Sumbangan Kepada 100 Fakir Miskin

Wan Arif menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin di Masjid Alur Lintah, Jertih, semalam.

Seorang usahawan Bumiputera yang menjalankan industri pengeluaran air batu terkemuka di daerah Besut, bermurah hati menyumbangkan pakej pakaian dan makanan kepada golongan miskin membabitkan tujuh kampung di Kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, semalam.

Seramai 100 penerima dari Kampung Gong Matsom, Gong Badang, Kubang Bemban, Lapang Kotak, Kampung Telok,Pak Demalik dan Alur Lintah menerima sumbangan sempena majlis berbuaka puasa yang diadakan di Masjid Alur Lintah.

Wan Mohd Ariff Risauddin Wan Yusof, yang juga Ketua Penerangan Umno DUN Jertih, berkata pemberian sumbangan itu dilakukan setiap tahun oleh beliau kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, pemberian tahun ini lebih meriah kerana ia diadakan secara berkelompok berbanding tahun sebelumnya beliau mengadakan aktiviti seumpama itu dari rumah ke rumah.

“Sumbangan ini sebahagian daripada niat murni saya untuk membantu golongan miskin yang memerlukan bantuan terutama bagi menyambut persiapan Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata, ia juga sebahagian daripada khidmat komuniti yang dilaksanakan oleh syarikat Hasraff Ice yang menjadi pengeluar air batu tiub terunggul di daerah Besut.

Wan Ariff yang aktif dalam politik sebelum ini banyak membantu penduduk kampung mendapatkan sumbangan air batu percuma ketika mereka mengadakan majlis kenduri kahwin sekitar daerah berkenaan.

Unit Komunikasi Negeri

Pertandingan Pelita Raya Diteruskan Bagi Kekalkan Tradisi

Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan terus menganjurkan Pertandingan Pelita Raya melibatkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, sebagai usaha mengekal dan mengembangkan tradisi itu.

Penduduk Kampung (Kg) yang terlibat iaitu dari Padang Hangus, Kg Pagar Ubi, Kg Raja, Kg Baru dan Kg Tokeng bagaikan tidak sabar-sabar menanti hari pertandingan yang dijangka berlangsung selama dua hari iaitu bermula pada 24 hingga 26 Ogos.

Kira-kira 200 rumah akan mengambil bahagian dalam pertandingan yang bakal
berlangsung selama dua hari iaitu bermula 24 hingga 26 Ogos itu.

Manakala lebih 10,000 pelita akan dinyalakan dengan mengikut kreativiti dan ciptaan tersendiri termasuk bentuk bangunan Kuala Lumpur City Center (KLCC), Menara Kuala Lumpur, kapal terbang dan sebagainya.

Hadiah keseluruhan yang bakal diterima pemenang berjumlah hampir RM30,000 di mana johan bagi kategori kampung berjumlah RM3,750 beserta piala pusingan dan individu pula memperoleh RM1,000.

Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah berkata, pihaknya berasa bangga kerana mampu menganjurkan program yang mampu menghidupkan kembali tradisi lama ini sejak 2009 lagi.

Di samping itu, ia juga dapat menceriakan suasana kampung, memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan pemimpin setempat.

“Pertandingan ini akan diteruskan kerana bukan saja mampu menyemarakkan kembali tradisi nenek moyang malah dapat mengasah bakat penduduk berkaitan mereka cipta pelita raya.

“Apa yang membanggakan, pelita yang dipasang itu bukan hanya dibeli dari kedai malah diperbuat daripada pelbagai jenis barangan terbuang seperti tin makanan, tempurung kelapa, botol plastik dan buluh,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Bermain Mercun: Kerajaan Diminta Kaji Tambah Hukuman

Dua kanak-kanak Syahir Saifullah Jefri (kanan) dan Ahmad Zakiyuddin Mohd. Nasaruddin dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, kerana cedera bermain mercun, kelmarin.

Saban tahun terdapat kisah sedih sepanjang Ramadan mengenai kanak-kanak yang cedera akibat bermain mercun dan bunga api.

Malah kematian dan kecederaan kekal yang menyebabkan kecacatan seperti buta dan hilang jari sudah banyak dilaporkan, namun bagi segelintir masyarakat ia belum cukup memberi pengajaran.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman mahu kerajaan menambah berat hukuman yang dikenakan kepada pesalah yang memiliki dan mengedar mercun supaya ia menjadi teladan dan menimbulkan keinsafan.

"Jika tidak, negara akan kehilangan potensi sumber manusianya selain kerajaan terpaksa menanggung bebanan kos rawatan dan pemulihan dan bantuan sara hidup bagi yang cacat kekal,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, musim perayaan yang sepatutnya disambut dengan meriah dan ceria bertukar menjadi duka bagi keluarga yang berkenaan.

Tahun ini, Kelantan mencatatkan jumlah mangsa kecederaan akibat mercun yang tertinggi iaitu tujuh orang diikuti masing-masing seorang di Kedah dan Terengganu.

FAMA Wajar Perkenalkan Program Jimat Belanja Dapur di Terengganu

Kenaikan harga barang yang mendadak mendorong FAMA menganjurkan program Jimat Belanja Dapur yang mampu memberi penjimatan kepada pengguna khususnya pada musim perayaan ini. – Gambar hiasan

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)Tereggganu mungkin boleh memperkenalkan Program Jimat Belanja Dapur di Terengganu bagi membantu suri rumah berjimat dan perbelanjaan keluarga dapat dikurangkan.

Ini kerana program anjuranFAMA itu mampu memberikan penjimatan apabila pengguna membeli produk makanan yang harganya kurang lima hingga 20 peratus daripada harga pasaran semasa.

Di Selangor, program g diadakan selama tiga bulan bermula Ogos sehingga akhir Oktober depan akan melibatkan jualan produk makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam dan ikan air tawar secara terus dari ladang kepada pengguna di 41 buah pasar tani utama di seluruh negara.

Pengarah FAMA Negeri Selangor, Mansor Othman berkata, program tersebut ditumpukan di kawasan bandar yang mana penduduknya terbeban dengan kenaikan harga makanan yang mendadak.

“Tanpa menggunakan perkhidmatan orang tengah dan pemborong, kami mampu menawarkan harga yang lebih menjimatkan.

“Para pengguna dapat menjimatkan belanja dapur sebanyak 15 peratus atau kira-kira RM70 sebulan, selain memberi faedah secara langsung kepada pengedar,” katanya ketika baru-baru ini.

Guru Wanita Rugi RM6,000 Disamun Di Rumah Sendiri

Seorang guru wanita kerugian kira-kira RM6,000 selepas menjadi mangsa samun dua lelaki yang bersenjatakan pisau pemotong daging di rumahnya di Kampung Pengkalan Sentol dekat Jerteh .

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang Selasa itu, guru berumur 39 tahun itu didatangi dua pemuda tidak dikenali yang bertanyakan tentang suaminya yang ketika itu tiada di rumah.

Katanya, apabila mangsa memberitahu yang suaminya keluar, kedua-dua pemuda berkenaan tiba-tiba menyerbu masuk ke dalam rumah sambil menghunuskan sebilah pisau pemotong daging ke arah wanita itu.

Suspek kemudiannya telah meragut rantai leher dan gelang tangan emas dan mengambil beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai RM2,000, sebuah telefon bimbit, kad ATM dan kad kredit serta dokmen pengenalan diri termasuk lesen memandu,” katanya kepada pemberita di Jerteh,kelmarin.

Bagaimanapun, guru berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan di Balai Polis Jerteh.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai terutamanya kaum wanita yang tinggal berseorangan di rumah supaya berwaspada apabila didatangi orang tidak dikenali.

Katanya berdasarkan beberapa kes yang dilaporkan kepada polis, didapati penjenayah menjadikan penghuni rumah di kampung-kampung terpencil sebagai sasaran.

Bakteria Berbahaya - 11 Peniaga Bazar Ramadan Diarah Henti Perniagaan

Dr A Rahman mencuba kebolehannya memasak murtabak ketika melawat bazar Ramadan di Pekan Kuala Besut di Besut Terengganu.

Sebelas peniaga di Bazar Ramadan di negeri ini diarah menghentikan perniagaan selepas didapati menjual makanan dicemari bakteria berbahaya yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata sampel makanan tercemar itu diambil Jabatan Kesihatan yang membuat pemeriksaan di semua bazar seluruh negeri sejak awal Ramadan.

Beliau berkata, 11 daripada 178 sampel makanan dan minuman dari bazar Ramadan yang diambil sejak beberapa hari lalu didapati mengandungi bakteria berbahaya yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

“Sampel makanan yang tercemar itu dikesan di tujuh gerai di Kemaman, Kuala Terengganu (tiga) dan satu di Marang," katanya selepas meninjau bazar Ramadan di pekan Kuala Besut dekat Kuala Besut, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nordiyanah Hassan dan pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Daerah Besut dan Majlis Daerah Besut.

Dr A Rahman berkata, sehingga 15 Ogos, semua 51 kawasan bazar Ramadan membabitkan 5,114 pengendali makanan sudah diperiksa yang mana 278 dibuat pemeriksaan ulangan bagi membolehkan teguran dan nasihat yang diberi ketika pemeriksaan pertama dipatuhi.

Daripada 2,075 gerai yang sudah diperiksa, 1,642 gerai mencapai markah penilaian lebih 80 peratus.

Sebanyak 608 gerai pula diberi markah penilaian 60 hingga 79 peratus, manakala tiada gerai mendapat markah di bawah 60 peratus.

"Pencapaian itu adalah lebih baik berbanding tahun lalu dan keadaan itu sebahagian besarnya disebabkan pemantauan berterusan dijalankan oleh Jabatan Kesihatan, Pejabat Kesihatan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Dari segi pemeriksaan kesihatan dan suntikan pelalian, daripada 5114 pengendali makanan berdaftar, seramai 4,367 orang telah diberikan suntikan,” katanya.

Sepanjang Ramadan tahun ini, sebanyak 2,033 sesi pendidikan kesihatan menerusi pendekatan ceramah berkumpulan dan bersemuka semasa pemeriksaan premis telah diadakan membabitkan 3,859 pengendali makanan.

Pembekal Sorok Mercun Dalam Reban Ayam Elak Ditahan

Taktik seorang pembekal mercun menyorokkan bahan larangan itu di dalam reban ayam berhampian rumahnya terbongkar selepas polis menyerbu kediamannya di Kampung Rhu Rendang, di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata pembekal yang berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam selepas polis menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api yang bernilai kira-kira RM7,000 di dalam reban ayam dan rumah berkenaan.

Bercakap kepada pemberita dalam satu persidangan akhbar di sini hari ini beliau berkata lelaki itu dipercayai seorang pembekal mercun kecil-kecilan untuk pasaran di sekitar daerah ini.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, dua lagi pembekal mercun kecil-kecilan ditahan.

Ahmad Mazlan berkata dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kampung Alor Wan Syed, Pengkalan Berangan, di sini Isnin lepas pada kira-kira pukul 3.30 pagi dan merampas pelbagai jenis mercun serta bunga api bernilai kira-kira RM500.

Susulan serbuan itu polis menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Safiah Murni, Bukit Payong dan merampas mercun serta bunga api yang benilai kira-kira RM300.

TMESA Salur Bantuan Bentuk Pelajar 'Jadi Manusia'A Student

Sebahagian pelajar yang menerima bantuan di bawah program Sponsor A Student anjuran TMESA di Besut, Terengganu, baru-baru ini.

Kepayahan hidup yang terpaksa dilalui merupakan suatu lumrah ketika meniti kedewasaan bagi kebanyakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud di sini pada masa silam.

Hampir kebanyakan mereka adalah senasib kerana latar kehidupan keluarga yang miskin tetapi sebilangan mereka yang telah berjaya dalam kehidupan sentiasa mengenang dan mengingati dari mana mereka bermula.

Di sekolah itu, mereka berjaya mengejar kecemerlangan dalam pelajaran dan menggapai cita-cita yang mana sebilangannya memegang jawatan tinggi dan terhormat di sektor kerajaan dan swasta di samping usahawan atau ahli perniagaan yang berjaya.

Masa lalu akan sentiasa mengingatkan mereka tentang sekolah dan sahabat dan melalui Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud (TMESA), ia lebih menyatukan mereka.

TMESA merupakan salah sebuah persatuan bekas pelajar di negeri ini yang paling banyak menyumbang untuk warga sekolahnya melalui pelbagai program dan pendekatan.

Baru-baru ini TMESA menyalurkan bantuan kepada pelajar dari golongan keluarga miskin menerusi program Sponsor A Student (SAS).

Penyampaian disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud.

Seramai 140 pelajar miskin yang dipilih dari 14 buah sekolah menengah menerima sumbangan TMESA bagi tahun keenam dan ketujuh itu berupa wang tunai sebanyak RM200 setiap orang.

Presiden TMESA, Datuk Ir. Che Mohamad Che Jusoh berkata, selain wang tunai, pelajar tersebut akan dibawa mengikuti lawatan yang ditaja TMESA ke ibu negara bagi membuka minda dan menambah pengetahuan.

"Semua perbelanjaan ditanggung oleh TMESA hasil keprihatinan dan sumbangan ahli yang mahu berbakti bagi menyemarakkan semangat para pelajar.

"Sumbangan ini dibuat dengan penuh kesedaran dan keinsafan dengan harapan dapat membantu anak bangsa yang kurang bernasib baik supaya mereka juga mempunyai peluang yang sama untuk mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran," tambahnya.

Che Mohamad berkata, TMESA yang ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu kini mempunyai lebih daripada 500 ahli yang terdiri daripada bekas pelajar sekolah rendah dan menengah Tengku Mahmud.

Katanya, dalam tempoh itu TMESA telah mengeluarkan sumbangan berjumlah RM522,000 kepada 460 pelajar hasil derma ikhlas yang diperolehi daripada ahli, orang perseorangan dan syarikat-syarikat korporat.

Pelajar yang dipilih bukan hanya terdiri daripada pelajar sekolah menengah di daerah Besut sahaja sebaliknya TMESA melangkaui sumbangan dan keprithatinannya kepada pelajar di daerah lain.

"Sebagai orang yang telah berjaya, ahli-ahli TMESA mahu menjadi model untuk dicontohi oleh semua pihak termasuk guru-guru dan anggota masyarakat dalam memikul tanggung jawab untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Kami tidak mahu menjadi 'kacang lupakan kulit' tetapi mahu menyumbangkan sebahagian daripada kesenangan yang diperolehi hasil pendidikan yang kami terima ini bagi membantu pelajar yang memerlukan, "katanya.

Selain itu menurutnya, usaha yang dilakukan oleh TMESA itu bertujuan membalas jasa dan khidmat guru-guru yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu sehingga mereka berjaya menjadi 'manusia'.

Katanya, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), TMESA ingin menggerakkan kesedaran masyarakat untuk bersama-sama menyumbang bagi membantu golongan pelajar miskin itu.

Pada masa sama tambahnya, bimbingan, galakan yang berterusan serta menanam sikap disiplin dan mementingkan nilai-nilai murni perlu juga diberikan kepada golongan pelajar tersebut.

Menurut Che Mohamad, di pihak pelajar yang menerima bantuan pula perlu sedar bahawa sumbangan yang diberikan bukan sekadar membantu meringankan beban kewangan keluarga mereka tetapi sebenarnya untuk menyuntik semangat mereka.

"Kita tidak mahu disebabkan oleh faktor kemiskinan keluarga ramai yang tercicir dan tidak dapat meneruskan pelajaran mereka sedangkan pelajaran merupakan satu perkara penting untuk mencorakkan hidup pada masa depan.

"Perkara ini perlu ditekankan kerana merekalah yang akan menjadi pelapis sama ada dalam bidang politik, korporat dan juga kerajaan dan semestinya generasi mereka perlu kuat, maju dan berdaya tahan serta berdisiplin, "katanya.

Menurut beliau, pelajar perlu sedar dan insaf bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab penting dan memikul harapan besar kedua ibu bapa dan keluarga yang telah banyak berkorban demi mereka.

Akhirnya tambah beliau, pelajar berkenaan akan menjadi generasi yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran, inovatif dan memilik jati diri yang akan sentiasa berasa terpanggil untuk memberi khidmat kepada masyarakat dan negara.

Utusan Malaysia

24 Permit Bas Tambahan Hari Raya Dikeluarkan Untuk Terengganu

Orang ramai tidak perlu bimbang untuk mendapatkan tiket pulang ke kampung kerana permit bas tambahan kini ditambah sempena sambutan Aidilfitri.

Orang ramai yang menggunakan bas awam untuk pulang ke kampung tidak perlu risau kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bakal mengeluarkan 1,300 Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi permit bas tambahan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Kamal berkata, LPS yang dikeluarkan SPAD kali ini adalah bagi kegunaan bas tambahan yang mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Sebelum ini, SPAD menetapkan tempoh permohonan LPS berakhir pada 15 Ogos tetapi dilanjutkan sehingga 23 Ogos ekoran permintaan tinggi dalam kalangan pengusaha bas.

“LPS hanya dikeluarkan kepada pemohon daripada pengusaha bas yang menggunakan bas ekspres, bas sekolah, bas pekerja, bas catar, bas henti-henti dan bas persiaran untuk kegunaan bas tambahan,” katanya.

Tambahnya, sehingga 16 Ogos lalu, sebanyak 1,209 permit telah dikeluarkan iaitu Ibu Pejabat Putrajaya sebanyak 724 permit, pejabat di Wilayah Selatan (183), Utara (278) dan Timur (24).

Nenek di Losong Lebai Salleh Perlukan Bantuan Segera

Kudrat yang dianugerah Ilahi lebih 10 tahun lalu untuk menjaga lapan orang cucu ditarik dalam sekelip mata, membawa keperitan buat ibu beranak empat ini.

Rahmah Abu Bakar, 70 yang hanya mampu terlantar di rumahnya kini bagaimanapun pasrah dengan dugaan Allah s.w.t. apabil terpaksa mengharapkan cucunya pula untuk menjaga makan dan minumnya.

“Kalau cucu pergi sekolah, anak makcik, Mohd Lazim Abdul Rahman, 50 yang tinggal di Kampung Bukit Diman, Kuala Berang datang setiap hari untuk menguruskan mak cik.

“Anak ada empat tetapi tiga daripadanya sudah meninggal dunia, sebab itu saya terpaksa bergantung pada anak lelaki yang seorang ini serta lapan orang cucu hasil perkahwinan dua orang anak perempuan saya.

“Tetapi semua cucu yang makcik bela ada tinggal di sini, dapatlah mereka menjaga mak cik kalau Lazim tidak ada kerana dia pun ada kerja lain juga yang harus dibuat,” katanya.

Katanya, segala urusan perbelanjaan diuruskan Lazim, walaupun Rahmah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya cukup untuk perbelanjaannya sebulan.

Sementara itu, dalam waktu sama, Kasut You turut menghulurkan derma kepada Rahmah sebagai persiapan menyambut Aidilfitri yang datang sendiri melihat keadaannya.

Sinar Harian

101 Rumah Dibaik Pulih di Kemaman - Ahmad Shabery

Sebanyak 101 rumah penduduk miskin yang uzur di Parlimen ini dikenal pasti untuk dibaik pulih di bawah Program Mesra Rakyat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilancarkan di seluruh negara beberapa bulan lalu.

Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, melalui program itu, pihaknya turun padang mengenal pasti rumah rakyat miskin yang perlu dibaik pulih dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan memperuntukkan RM3,000 dan RM5,000 untuk setiap pemilik rumah bagi tujuan membaik pulih bahagian tertentu yang uzur serta rosak.

“Walaupun peruntu-kan bantuan yang diberikan ini agak kecil, tetapi junlah itu cukup untuk membaik pulih kerosakan tertentu pada rumah mereka termasuk lantai atau dinding yang sudah reput mahupun bumbung bocor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kawasan perumahan penduduk di Kampung Tengah, Kemaman,Ahad lalu.

Dalam lawatan yang turut disertai Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Zubir dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, Amran Baba itu, sebanyak 11 rumah dikenal pasti layak untuk dibaik pulih.

Ahmad Shabery berkata, program itu akan berterusan dan jumlah rumah yang mengalami kerosakan mungkin akan bertambah, justeru JKKK akan diberikan peranan melakukan pemantauan.

Sementara itu, menurutnya, selain program mesra rakyat membaiki rumah orang kampung, satu lagi program diusahakan iaitu Titik Sentuhan.

Katanya, menerusi program itu, pihaknya mengenal pasti keperluan mereka yang uzur atau mengalami sakit kronik untuk dibantu mengikut keperluan.

“Jika seseorang lumpuh dan perlukan kerusi roda, kita akan dapatkan kerusi roda untuk mereka agar beban ditanggung dikongsi bersama,” katanya.

JPJ Tumpu Tiga Lokasi Kerap Nahas di Dungun, Marang, Setiu

Abdul Rahman Emang Anyie menyampaikan sumbangan bungkusan kepada pengguna jalan raya di Kuala Terengganu, semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan memberi tumpuan terhadap tiga lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan jalan raya iaitu di Dungun, Marang dan Setiu.

Penguatkuasaan sempena Operasi Hari Raya Aidilfitri 2011 itu meliputi laluan di Kilometer 58 Jerangau-Jabor (Dungun), Kilometer 61 Marang-Dungun (Marang) dan Kilometer 54 Sungai Tong-Setiu (Setiu).

Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie menjelaskan, tumpuan di tiga lokasi itu berikutan kawasan tersebut mencatatkan kekerapan kemalangan maut.

Selain itu, beliau berkata, tumpuan juga dibuat setelah berlaku perubahan infrastruktur dan penyelenggaraan jalan-jalan tersebut serta masalah pemandu yang baru mendapat lesen.

"Selain baru dapat lesen memandu, ada juga pemandu yang tak biasa dengan laluan tersebut dan faktor ini mendorong JPJ menjalankan rondaan di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada para pengguna jalan raya sempena Operasi Hari Raya Aidilfitri 2011 selama sebulan bermula 14 Ogos hingga 14 September ini, di Kuala Terengganu semalam.

Abdul Rahman berkata, pada operasi tahun ini, seramai 138 anggota JPJ dikerah bagi menjayakan operasi bersepadu yang turut disertai anggota polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Menurut beliau, operasi kali ini agak berbeza dengan tahun lalu termasuk dari segi tempoh masa penguatkuasaan serta rondaan selain perjumpaan dengan semua pemandu bas ekspres.

"Tahun lalu, anggota kita lakukan rondaan 24 jam di sepanjang jalan tapi kali ini kita hanya beri tumpuan pada kilometer tertentu saja dan begitu juga tumpuan anggota penguat kuasa di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu," jelasnya.

Di samping itu katanya, penguatkuasaan secara penyamaran sebagai pemandu bas juga dilakukan serta larangan kenderaan barangan di laluan utama pada dua hari sebelum dan dua hari selepas Hari Raya Aidilfitri.

Utusan Malaysia

Tiga Beranak Maut Dalam Nahas Selepas Beli Baju Raya

Keadaan kereta Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan tiga beranak maut di persimpangan Awana Kijal, Kemaman kelmarin.

Sepasang suami isteri dan anak tunggal mereka terbunuh dalam satu kemalangan malam Rabu di km 127 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan Resort Awana Kijal di Kemaman selepas membeli baju raya di Kuantan.

Mereka yang terbunuh dikenali Nik Herna Mokhtar, 28, suaminya Mohd Aswari Ariffin, 36 dan anak tunggal mereka, Muhammad Airell Zulfairy, 4 tahun.

Nik Nor Syafiqah, 10, adik Nik Herna dan pemandu sebuah lagi kereta, Ahmad Tajuddin Mohd Ariffin, 30-an, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Abdullah Sani Salat berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dipandu Mohd Aswari terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu Ahmad Tajuddin.

"Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuantan ke rumah mereka di Kampung Gong Cengal, Kemasik. Kereta mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum berpusing dan bertembung dengan sebuah kereta lain," katanya.

Menurut seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Naim, dia terkejut apabila ternampak sebuah kereta terbalik namun tiada suara meminta tolong didengari.

"Selepas diperiksa saya nampak seorang wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak terhimpit di bahagian depan kereta dan sudah meninggal dunia. Seorang lagi kanak-kanak yang duduk di bahagian belakang masih bernyawa tapi lemah.

Bapa Nik Herna, Mokhtar Said, 52, berkata bahawa keadaan Nik Nor Syafiqah yang merupakan anak bongsunya adalah kritikal.

"Waktu sahur kelmarin Nik Herna dan Nik Nor Syafiqah bawa air sejuk untuk saya sebab saya memang tidak bersahur. Mereka tidak pernah berbuat demikian tetapi ketika itu saya tidak berasa apa-apa yang pelik," katanya ketika ditemui di Hospital Kemaman.

Thursday, August 18, 2011

Pemain bola T-Team Putus Jari Digilis Mesin pengisar Tebu


Seorang pemain bola sepak Piala Presiden pasukan T-Team tidak menyangka hasratnya mencari pendapatan sampingan bulan Ramadan ini, berakhir dengan tragedi apabila lima jari tangan kanannya putus akibat digilis mesin pengisar tebu.

Kejadian berlaku di Bazar Ramadan Marang, 7 Ogos lalu, ketika mangsa, Zuhairi Ahmad, 21, yang bermain di posisi pertahanan pasukan itu, bekerja seorang diri memasukkan ruas-ruas tebu ke dalam mesin itu, pukul 5.30 petang.

Namun tanpa disangka sangka, tangan kanannya tersangkut dan termasuk ke dalam mesin itu lalu digilis.

Menurut Zuhairi, dia yang menjerit kesakitan dan panik melihat tangannya berlumuran darah cuba mematikan suis mesin itu namun tidak berjaya kerana kedudukannya agak jauh.

"Saya menjerit dan meminta tolong tetapi tidak didengari oleh peniaga lain. Saya masih tidak perasan lima jari saya putus sehinggalah saya dapat tarik keluar tangan kanan," katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, semalam.

Zuhairi berkata, dia berniaga di bazar Ramadan itu untuk mencari pendapatan sampingan dan ibunya, Maimun Salim, 52, mengeluarkan wang simpanan untuk membeli mesin tebu yang berharga RM1,300.

"Namun tak sangka pula baru pertama kali nak berniaga perkara ini pula berlaku. Apa yang saya risau masa depan saya dalam bola sepak kerana sukar saya kembali bermain dalam keadaan seperti ini," ujarnya.

Sementara itu, Maimun berharap agar pihak pengurusan T-Team yang juga majikan anaknya sedia membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

"Ada orang kata, kalau hanya dua jari tangan yang putus, dia ((Zuhairi) masih boleh bermain bola lagi tetapi kalau kesemua lima jari di tangan kanannya putus, tidak tahulah apa nasibnya," ujarnya.

Sementara itu, Jurulatih Piala Presiden T-Team, Yusuf Ali, ketika dihubungi hari ini berkata, pihak pengurusan berusaha membantu Zuhairi dan memaklumkan perkara itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.

"Kita juga akan panjangkan perkara itu kepada Yang Berhormat Menteri Besar untuk menentukan status Zuhairi," katanya.

Utusan Malaysia/Kosmo!

Jelapang Padi Setiu Mampu Hasilkan Beras Untuk Keperluan Terengganu

Jelapang padi di Sri Cempaka, Kampung Jelapang, di Setiu yang mempunyai keluasan 735 hektar (1,816 ekar) sawah yang baru dibangunkan, mampu menampung keperluan beras di Terengganu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata sehubungan itu, beliau mahu agensi pertanian yang terlibat menjalankan kajian memastikan tanaman padi di kawasan itu mencapai sasaran pengeluaran sembilan hingga 10 tan metrik sehektar.

"Penanaman padi di kawasan itu berhadapan dengan beberapa masalah, antaranya serangan penyakit padi dan tanah gambutnya yang tidak sesuai kerana kawasan itu baru dibangunkan.

"Ini menyebabkan hasil tanaman daripada projek perintis yang diusahakan 19 petani dengan keluasan 32 hektar hanya mencapai 1.73 metrik tan sehektar," katanya kepada pemberita selepas melawat jelapang padi itu di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Asha'ari Idris; Pengarah Pertanian Negeri, Yusof Maidin; dan Pengarah Jabatan Saliran dan Pengairan Negeri, Mat Hussin Ghani.

Ahmad Said berkata beliau telah meminta kajian dibuat oleh Jabatan Pertanian dan Mardi untuk mencari kesesuaian dari segi teknik dan benih padi yang sesuai ditanam di Jelapang Padi Setiu agar mencapai sasaran pengeluaran.

Malaysia Catat Pertumbuhan 4.0 Peratus Pada Suku Kedua

Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.0 peratus pada suku kedua tahun ini daripada pertumbuhan yang disemak semula iaitu 4.9 peratus pada suku pertama berikutan keadaan luaran yang lemah dan perbelanjaan sektor awam yang rendah, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata gangguan dalam rantaian bekalan pembuatan global yang tercetus hasil daripada bencana di Jepun dan kelemahan secara keseluruhan dalam permintaan di negara-negara maju yang menyebabkan kelembapan dalam pembuatan, yang hanya meningkat 2.1 peratus.

Bergerak ke hadapan, beliau berkata yang ekonomi mampu mengekalkan unjurannya iaitu 5-6 peratus tahun ini, disokong oleh asas-asas kukuh ekonomi serta projek-projek daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Sumber utama pertumbuhan dalam suku kedua terus dirangsang oleh pengembangan mampan permintaan domestik swasta/persendirian dan perdagangan intra serantau yang disokong oleh eksport komoditi dan produk berasaskan sumber ke rantau ini," kata beliau dalam persidangan akhbar di sini untuk mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2011.

"Sehubungan itu, permintaan domestiklah yang menyokong pertumbuhan kita dalam suku kedua tahun ini," kata beliau.

KDNK dalam suku kedua mengembang sebanyak 8.9 peratus sementara ia meningkat 4.4 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ditanya sama ada unjuran pertumbuhan 5-6 peratus akan dikekalkan, beliau berkata, "Buat masa sekarang, penilaian kita tidak mungkin ekoran prestasi separuh pertama dan pertumbuhan tahun sepenuhnya akan hampir kepada 5.0 peratus."

"Justeru itu, tiada semakan semula pada peringkat ini tetapi kita akan membuat penilaian yang teliti apabila Bajet 2012 dibentangkan Oktober ini dan jika terdapat sebarang semakan perlu dibuat, ia akan dilakukan ketika itu.

"Bagaimanapun, jika kita mempunyai situasi di mana Amerika Syarikat dan Eropah tergelincir memasuki kemelesetan atau apa-apa sahaja faktor pencetus yang menjurus kepada kebinasaan dalam pasaran kewangan antarabangsa, maka, kita perlulah membuat penilaian semula."

"Tetapi sekiranya itu tidak berlaku, penilaian kita ialah kita boleh mencapai sekurang-kurangnya 5.0 peratus pertumbuhan kerana ekonomi kita masih kekal dengan pertumbuhan kukuh dan pelaburan sektor persendirian swasta yang menggalakkan.

"Kita tahu dalam separuh kedua tahun ini, banyak lagi pelaksanaan agresif Rancangan Malaysia Kesepuluh dan projek-projek ETP," katanya.

Jabatan Perangkaan dalam mengumumkan butir terperinci mengenai KDNK berkata sektor perkhidmatan kekal stabil, meningkat 6.3 peratus dengan sektor perdagangan borong & runcit terus menjadi pemangkin utama dengan mengembang 7.3 peratus.

Sektor pertumbuhan tumbuh sederhana sebanyak 2.1 peratus dengan prestasi lemah subsektor produk peralatan elektrik & elektronik dan kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain telah memperlahankan pertumbuhan sektor ini.

Sektor pertanian kembali kukuh kepada 6.9 peratus daripada negatif marginal 0.2 peratus pada suku sebelumnya, dipacu oleh lonjakan dua digit subsektor kelapa sawit iaitu sebanyak 22.3 peratus.

Sektor pembinaan menyusut kepada pertumbuhan marginal 0.6 peratus, disokong oleh prestasi yang lebih baik dalam dalam sub-sektor kediaman dan pertukangan khas tetapi pertumbuhan negatif dalam subsektor kejuruteraan awam telah menjejaskan pertumbuhan dalam pembinaan.

Untuk sektor perlombonan dan kuari, ia terus menunjukkan aliran menurun dengan merosot kepada 9.2 peratus dalam suku semasa berikutan penurunan dalam pengeluaran minyak mentah sebanyak 21.0 peratus.

Dalam suku ini, pertumbuhan positif dalam pengeluaran gas asli sebanyak 2.7 peratus tidak boleh mengimbangi pertumbuhan negatif dalam sektor ini, kata jabatan itu.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai prestasi kukuh ringgit, gabenor berkata pasaran tukaran asing kekal teratur yang membolehkan urus niaga dua hala dan pelaburan asing langsung dilaksanakan dengan berkesan.

"Pengukuhan itu telah diserap oleh ekonomi Malaysia yang anjal dalam menguruskan transaksi tukaran asing," tambah beliau.

Ditanya sama ada akan terdapatnya kawalan modal jika ringgit terus meningkat, Zeti Akhtar berkata sistem kewangan kini dapat menguruskan aliran modal dengan lebih baik berbanding sebelumnya dan ini disebabkan oleh institusi kewangan yang lebih mantap dan pasaran kewangan yang lebih maju.

Beliau menambah yang Malaysia kini mempunyai rizab yang tinggi jadi "kita mempunyai kapasiti untuk menguruskan pergerakan yang ketara dalam mata wang, sama ada ia naik atau turun."

Ditanya sama ada terdapatnya semakan semula untuk angka-angka inflasi, Zeti berkata yang ia bergantung kepada perkembangan antarabangsa dan harga komoditi global.

Beliau berkata buat masa ini, bank pusat akan terus kekal dengan unjuran awalnya iaitu 2.5 peratus hingga 3.5 peratus.

Mercun Bola Meletup - Tiga Jari Hampir Putus


Mohd. Syafiq yang melecur dan hampir putus tiga jari kanannya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu semalam.

Hari Raya Aidilfitri tahun ini menjadi pengajaran kepada seorang pelajar tingkatan satu di sini apabila tiga jarinya hampir putus manakala leher dan dadanya melecur selepas mercun bola yang dicucuh meletup di Kampung Seberang Takir dekat sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 9 malam itu berlaku ketika Mohd. Syafiq Zuhairi Zainuddin sedang bermain mercun bersama beberapa rakannya sebelum pergi ke surau untuk solat tarawih.

Mohd. Syafiq berkata, kejadian malang itu berpunca daripada kesilapannya sendiri kerana terlalu berani mengutip mercun bola yang telah dicucuh.

"Pada mulanya saya baling mercun bola itu tetapi tidak meletup. Selepas itu saya pergi kutip (mercun) semula, tiba-tiba ia meletup," kata ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, semalam.

Ekoran letupan itu, tiga jari kanan Mohd. Syafiq cedera teruk dan hampir putus manakala leher dan dadanya pula melecur.

Sementara itu, ibu mangsa Norayati Ismail, 34, memberitahu, sebelum kejadian, anak sulung daripada tiga beradik itu meminta kebenarannya untuk menunaikan tarawih di surau yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

"Tidak sampai sejam kemudian, seorang kawan Mohd. Syafiq menghubungi saya dan memaklumkan anak saya cedera terkena mercun," katanya.

Wanita yang bekerja sebagai tukang jahit itu berkata, anaknya kini dilaporkan stabil dan akan menjalani pembedahan kecil dalam masa terdekat bagi mengetahui sama ada jari tengah Mohd. Syafiq perlu dipotong ataupun tidak.

Kosmo

20 Barangan Terkawal Melalui SKIM Kawalan Harga Musim Perayaan

Kerajaan semalam menetapkan harga terkawal bagi 20 jenis barangan untuk dikuatkuasakan mulai 23 Ogos hingga 6 September ini di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2010.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, dua barang telah ditambah ke dalam senarai pada tahun ini iaitu bawang merah kecil (India) dan bawang putih (China).

"Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ini dibuat berdasarkan kepada maklumat hasil pemantauan di semua daerah, pandangan agensi kerajaan berkaitan dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong barangan terlibat," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Ismail Sabri berkata, peniaga diwajibkan menjual harga barang terkawal mengikut harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan tersebut.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.

Menurutnya, individu yang menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.

Katanya, syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikenakan kompaun sehingga RM250,000.

"Mereka yang gagal meletak tanda harga merah jambu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat yang gagal melakukannya boleh didenda RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000," jelasnya.

Ismail Sabri berkata, kira-kira 2,000 pegawai penguat kuasa KPDNKK bersama 1,000 pegawai pemantauan harga akan memantau penjualan barang terkawal bagi memastikan peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai peniaga yang enggan mematuhi peraturan itu diminta menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my.