Saturday, December 17, 2011

11 Masjid di Terengganu Masih Amalkan Solat Dua Imam - JHEAT

Sultan Mizan Zainal Abidin menandatangani plag simbolik merasmikan Masjid Raja Cendering yang ditukar nama kepada Masjid Sultan Ismail di Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir Tengku Muhammad Ismail (dua dari kanan), Tengku Muhammad Mua'az (dua dari kiri) dan Ahmad Said.

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan 11 buah masjid yang tidak diiktiraf kerajaan beroperasi di negeri ini sehingga mendorong berlaku kejadian solat berasingan dalam satu kariah.

Pesuruhjaya JHEAT, Mohd. Rozali Salleh berkata, kebanyakan masjid tersebut terletak di Besut dan Marang.

Bagaimanapun katanya, jumlah masjid tidak diiktiraf kerajaan menurun berbanding 23 buah sebelum ini.

''JHEAT telah membuat pemantauan dan akan menyerahkan laporan lengkap kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk tindakan lanjut.

''Sebuah jawatankuasa kecil akan ditubuhkan bagi memperhalusi perkara itu sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,'' katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu.

Semalam, Sultan Mizan melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Mengulas lanjut, Mohd. Rozali berkata, senario itu dikesan berlaku sejak sekian lama berikutan wujud pihak tertentu cuba menghalang pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan.

"Ada juga segelintir penduduk bertindak luar jangkaan dengan tidur di bawah jengkaut bagi menghalang tindakan kita," katanya.

Beliau juga berharap supaya tiada mana-mana pihak yang mencampuri urusan pentadbiran di masjid-masjid di negeri ini dengan politik atau kepartian.

Utusan Malaysia

Sultan Mizan Dukacita Kejadian Solat Dua Jumaat Masih Berlaku

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita kerana kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah tanpa kebenaran masih berlaku di beberapa daerah di negeri itu.

Baginda bertitah kejadian itu berlaku disebabkan tidak wujud persefahaman dalam mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah yang dihadapi.

"Semua ini menyebabkan agama Islam tercemar, maruah bangsa Melayu Islam ternoda, umat Islam dihina dan dipermainkan.

"Keadaan ini amat menyedihkan Beta selaku ketua agama dan pemimpin umat Islam di negeri ini," titah baginda ketika merasmikan Masjid Sultan Ismail di Chendering di Kuala Terengganu, semalam.

Turut berangkat Yang DiPertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az. Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Sultan Mizan menyeru umat Islam di negeri itu supaya bersama-sama mencari jalan ke arah kedamaian dan kemurnian hubungan antara dua pihak yang bertelagah supaya masyarakat dapat hidup dengan aman dan sejahtera.

Baginda turut menyeru umat Islam supaya sama-sama mengimarahkan masjid kerana tidak guna mendapat masjid yang cantik dan tersergam indah jika tidak digunakan dengan sebaiknya.
Sultan Mizan yang baru sahaja menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 13 dan dua anakanda baginda selepas itu bersama-sama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di situ.

Masjid Sultan Ismail yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Raja di kalangan pendududuk tempatan, mula dibina dengan bangunan baru sejak tahun 2008 dengan peruntukan sebanyak RM7.5 juta.

Ia mengekalkan reka bentuk kubah tradisional Terengganu sebagaimana yang terdapat di Masjid Abidin dan Masjid Simpang Tok Ku di daerah ini.
Masjid itu menempatkan ruang solat tertutup yang mampu memuatkan jemaah seramai 1,000 manakala di ruang solat terbuka pula seramai 1,500 orang.

Selepas bertitah dan menandatangani plak perasmian, Sultan Mizan kemudian menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan bersama rakyat jelata.

Sesudah solat, baginda berkenan bersalaman dengan rakyat jelata yang berpusu-pusu beratur mengambil kesempatan menatap wajah raja yang disanjung tinggi itu.
Masjid ia mampu memuatkan 2,000 jemaah dalam sesuatu masa.

Kerajaan Negeri Terengganu, Menteri Besar Fail Saman Terhadap Adun Batu Buruk

Kerajaan Negeri Terengganu dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada Khamis(15 Disember) memfailkan saman fitnah terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk dari Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain atas dakwaan memfitnah berkaitan bantuan sekolah berjumlah RM30 juta.

Dalam saman itu, selain kerajaan negeri dan Ahmad, turut dinamakan sebagai plaintif ialah dua peniaga iaitu Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin yang diberikan kontrak membekalkan pakaian dan peralatan sekolah.

Mereka menfailkan saman itu melalui Tetuan Hisham, Sobri dan Kadir di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam saman itu, selain Syed Azman, turut dinamakan sebagai defendan ialah pemegang permit akhbar Harakah, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang akhbar Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan syarikat pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd.

Dalam pernyataan tuntutan, mereka mendakwa Syed Azman telah mengarang satu artikel berbaur fitnah bertajuk 'Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah?' yang disiarkan di akhbar Harakah pada 11 hingga 13 Nov lepas.

Mereka mendakwa defendan berniat jahat mencetak dan menerbitkan artikel fitnah itu yang mengaitkan dan mendakwa kenyataan itu adalah difahami merujuk kepada mereka.

Mereka juga mendakwa artikel itu membawa maksud atau difahami bahawa kerajaan negeri dan menteri besar tidak telus dalam pemberian kontrak membekalkan pakaian dan alatan sekolah di bawah program bantuan pakaian dan alatan sekolah itu.

Program itu adalah bagi membantu pelajar miskin di negeri itu untuk meringankan beban kewangan keluarga miskin dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Dalam pernyataan tuntutan itu, mereka memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, melampau, teladan, dan kos dan juga satu perintah injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan artikel fitnah itu.

T-Team Puas Hati Dengan Prestasi Pemain Import

Pasukan kelab T- Team yakin kehadiran dua pemain import mampu menggalas cabaran untuk membawa pasukan itu lebih jauh dalam saingan Liga Super musim depan.

Jurulatih Yunus Alif berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pemain penyerang Zacharia Simokonda dari Zambila dan pemain tengah kelahiran Bosnia, Bojan Petric dalam menyarung jersi pasukan kelab untuk musim depan.

"Saya yakin dua pemain import itu tidak mempunyai masalah untuk membawa pasukan T-Team pergi lebih jauh dalam kejohanan Liga Malaysia untuk musim depan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam rangka memantapkan lagi pasukan, T-Team telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Kelab Felda FC, Kelab Sime Darby, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan.

Menurut Yunus selain menguji posisi sebenar, kedua-dua pemain import itu juga telah diuji di posisi-posisi yang lain bagi mengukur prestasi mereka sebelum menghadapi kejohanan sebenar.

Hasil daripada perlawanan persahabatan itu, Yunus mendapati Simokonda, yang pernah bermain untuk pasuka Perlis 2007-2008, sesuai digandingkan dengan bekas pemain Pahang Fadly Sa'ari di barisan serangan.

Bagaimanapun, dua pemain import itu perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan pemain tempatan kerana keadaan cuaca dan persekitaran, katanya.

Yunus berkata pada keseluruhannya beliau telah mendapat rangka dan gambaran kesebelasan utama T-Team yang bakal membawa cabaran di kejohanan berprestij itu nanti.

Beliau juga berharap pemain akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat tempat kesebelasan utama kerana persaingan antara pemain begitu.

Terengganu Contoh Program Permata Negara - Rosmah Mansor

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor mahu negeri lain mencontohi usaha dan kejayaan Terengganu dalam pelaksanaan Program Permata Negara.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri yang memberi perhatian khusus kepada program pembangunan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan Terengganu boleh dijadikan contoh dalam pelaksanaan Program Permata Negara,” katanya.

Beliau menyatakannya sempena Majlis Penyampaian Sijil Program Hafazan Muqaddam (23 Surah lazim) Kanak-kanak Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), di Stadium Negeri, kelmarin (15 Disember)

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib dan Pengarah YPKT,Mohd Safaruddin Mustaffa.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata,sebagai contoh, di Terengganu terdapat 32 Taska permata yang dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri, selain 34 Taska Keluarga yang dinaiktaraf sebagai Taska Permata keluarga.

Selain itu juga, 15 Taska Permata Kemas, dua Taska Permata perpaduan, empat Taska Permata Komuniti dan dua Pusat Anak Permata Negara.Ini bermakna, jumlah keseluruhan Taska Permata di Terengganu berjumlah 89 buah,katanya.

Beliau juga berharap program hafazan muqaddam dijadikan permulaan kepada pembelajaran kitab suci al-Quran.

“Seharusnya ia juga perlu dilengkapkan dengan kefahaman mengenai aplikasi al-Quran sebagai sumber ilmu dalam pelbagai bidang sama ada yang berkaitan dengan ilmu sains, biologi, biotani, fizik, matematik atau sains kemanusiaan.

Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran adalah kalam Allah dan mengandungi ciri-ciri keajaiban yang membuktikan bahawa ianya adalah wahyu kudus dari Allah S.W.T,” katanya.

Menteri Besar pula berkata, kerajaan negeri komited dalam usaha membangunkan modal insan termasuk mewujudkan Taska Permata di seluruh Terengganu yang memerlukan kos pengurusan yang tinggi tanpa membebankan ibu bapa dengan kadar yuran yang tidak munasabah.

“Untuk itu, kita telah `menelan’ sebahagian besar daripada kos itu dan hari ini ibu bapa hanya perlu membayar RM180 bagi setiap anak berusia empat tahun ke bawah, manakala RM200 bagi setiap bayi berusia setahun ke bawah yang dihantar ke Taska Permata kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

“Jika dilihat dari segi kemudahan prasarana, kemudahan dan juga tenaga pengajar yang terlatih, kos itu jauh lebih murah berbanding taska-taska lain,” kata Menteri Besar.

Menteri Besar berkata, bukan hasrat kerajaan negeri bersaing dengan taska lain tetapi usaha itu sebagai agenda kerajaan bagi membangunkan modal insan di kalangan rakyat Terengganu, selain membuka peluang kepada rakyat berpendapatan rendah menghantar anak mereka ke taska yang bermutu tinggi.

Menurutnya, YPKT juga meninggalkan satu penanda aras yang agak tinggi untuk diteladani dan diikuti oleh semua taska kerajaan serta swasta yang lain.

Katanya, aspek tenaga pengajar menjadi suatu penanda aras yang sangat penting di Taska Permata YPKT dan terbukti dengan adanya lima orang pendidik yang memiliki kelulusan Ijazah dan Diploma, manakala lima orang pendidik berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

“Kerajaan komited membelanjakan sejumlah wang yang besar demi memastikan kita dapat menghasilkan para cendikiawan dan pelapis kepimpinan negara yang bermutu tinggi.

“Sekalung terima kasih kepada Datin Paduka Seri Rosmah sebagai pelopor kepada program Permata Negara dan juga memberikan peruntukan RM20.4 juta bagi membina 32 Taska Permata di seluruh Terengganu,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 1,012 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari Taska Permata YPKT seluruh Terengganu berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.

Majlis turut disusuli dengan acara penyampaian sijil hafaz muqaddam dan cenderahati, penyerahan surat perlantikan ibu angkat Taska kepada isteri Ahli Dewan Undangan Negeri serta penyerahan sumbangan kenderaan oleh TOP IT Industries dan Kumpulan Ladang Rakyat Terengganu kepada YPKT.

Teganukita

Bersedia Hadapi Banjir Gelombang Kedua Akhir Bulan Ini

Seorang mangsa banjir Mariam Awang, 80, dari Kampung Tasek, Mahligai Bachok gembira menerima sumbangan RM500 dari Kerajaan Pusat, kelmarin.

Kerajaan tidak berniat untuk memancing undi melalui pelbagai jenis bantuan yang disalurkan kepada orang ramai termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedang dilaksanakan sekarang, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata bantuan yang diberikan itu semata-mata bagi menjalankan tanggungjawab kerajaan membantu golongan yang susah di samping menghargai mereka yang sentiasa menolong kerajaan dan memenuhi janji bahawa rakyat sentiasa didahulukan dalam pentadbiran kerajaan pada masa ini.

"Inilah antara jenis kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat yang telah dilaksanakan sejak 50 tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk di Kampung Pengkalan Atap di Kuala Besut kelmarin.

Kampung itu dilanda ombak besar Ahad lepas.

Nazri berharap rakyat tidak mudah terpedaya dengan polemik, ucapan maupun ungkapan pembangkang yang cuba meniru pendekatan kerajaan dalam membantu mereka dengan menjanjikan slogan "negara kebajikan" sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau melahirkan rasa kecewa dengan sikap pemimpin pembangkang yang menyuruh penyokong mereka menerima setiap bantuan daripada kerajaan tetapi tidak mengajar mereka supaya bersyukur dengan pemberian, apatah lagi untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.

"Kita beri tidak kira parti tetapi mereka suruh ambik apa yang Umno (kerajaan) beri tetapi bila tiba pilihan raya, undi mereka (pembangkang)," katanya.

Mengenai permintaan Pas supaya dua wakil kerajaan persekutuan menyertai Jawatankuasa Kajian Hukum Hudud, beliau berkata permintaan itu tidak perlu dilayan.

"Kalau benar perlembagaan Pas itu Al-Quran, kenapa pula nak salahkan Perlembagaan Malaysia kerana mereka sepatutnya boleh melakukannya di negeri-negeri yang mereka kuasai seperti di Kelantan dan Kedah.

"Kalau tidak mampu melakukannya, janganlah salahkan orang lain," katanya.

Nazri, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, berkata Majlis Keselamatan Negara sedang membuat penilaian tentang kerosakan yang dialami beberapa negeri ekoran banjir yang berlaku pada bulan lepas dan yang sedang berlaku sekarang.

Mengenai 41 keluarga di Kampung Pengkalan Atap, yang dilanda air pasang dan ombak besar itu, beliau berkata pertimbangan sedang dibuat bagi memastikan mereka mendapat bantuan manakala benteng ombak di situ yang runtuh akibat kejadian itu akan dibaik pulih.

Di Rantau Panjang, Kelantan, Nazri berkata bantuan bencana banjir sebanyak RM500 bagi setiap keluarga yang kini diterima rakyat Kelantan dan Terengganu tidak bersangkut paut dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia.

"Ini kena perjelaskan kepada mereka kerana kita tidak mahu mereka membuat andaian yang tidak betul mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Bencana Banjir Bagi Jajahan Pasir Mas di Sekolah Kebangsaan Seri Rantau 2 hari ini.

Lebih 700 mangsa banjir gelombang pertama di jajahan itu menerima bantuan yang kesemuanya berjumlah lebih RM300,000 itu. Sehingga kini kerajaan Pusat telah mengeluarkan peruntukan lebih RM800,000 termasuk kepada mangsa banjir di Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Nazri berkata kerajaan Kelantan telah memohon sebanyak RM10 juta kepada kerajaan Pusat bagi membina pembetungan bagi mengatasi masalah banjir di Tumpat.

Katanya beliau akan membawa perkara itu ke peringkat yang lebih tinggi agar permohonan sebanyak RM10 juta itu dapat diluluskan segera.

Sementara itu, penduduk Pantai Timur terutama di Kelantan dan Terengganu perlu bersedia menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka melanda negeri berkenaan pertengahan bulan ini.

Nazri berkata banjir gelombang kedua dijangka berlaku antara 25 hingga 28 Disember.

Katanya, mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, dalam tempoh berkenaan, dijangka berlaku air pasang berserta hujan lebat yang menyebabkan banjir di beberapa kawasan.

"Kerajaan mengingatkan orang ramai, terutama yang tinggal di kawasan mudah dilanda banjir bersiap sedia berhadapan gelombang kedua ini. Ibu bapa diharap mengawasi keselamatan anak mereka kerana Kelantan saja mencatatkan enam kematian ketika banjir dari 22 hingga 30 November lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bantuan bencana banjir 2011 untuk jajahan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, semalam.

Seramai 127 keluarga mangsa banjir menerima wang ihsan banjir yang keseluruhannya bernilai RM63,500 dengan setiap keluarga menerima RM500.

Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, bagi mengelak keciciran menerima bantuan banjir, kerajaan mulai tahun ini hanya memberikan kepada mereka yang berpindah dan berdaftar dengan pusat pemindahan di kawasan masing-masing.

Katanya, dulu berlaku keciciran disebabkan ada mangsa tidak berpindah, menyebabkan sukar untuk membuat tafsiran sama ada mereka memang mangsa banjir atau tidak.

Beliau juga berkata, mangsa banjir gelombang kedua nanti tidak akan diberikan wang ihsan, namun kerajaan memberi jaminan kemudahan bantuan biasa tetap diberikan setiap kali banjir melanda.

Tidak Ada Minyak Masak Kitar Semula Di Pasaran - Liow Tiong Lai

Pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan belum menemui minyak masak yang dikitar semula di pasaran seperti mana yang dihebohkan oleh sesetengah pihak, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata sejak menerima laporan, pegawai kementerian itu telah memeriksa dan memantau di enam buah negeri, namun masih tidak menjumpai bekalan itu.

Justeru, beliau meminta mana-mana pihak yang mendapati bekalan itu dijual di pasaran supaya terus menghubungi kementerian itu untuk tindakan segera.

"Kita tidak akan bertolak ansur dari segi keselamatan makanan. Pemantauan telah dijalankan di Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Sabah, Terengganu, Selangor dan Sarawak yang melibatkan 40 sampel minyak masak.

Hasil kajian menunjukkan semua sampel tersebut merupakan minyak sawit tulen dan tiada kesan campuran dengan minyak masak tempatan.

"Kerajaan tidak membenarkan minyak masak kitar semula dijual di pasaran. Kalau orang ramai mendapati ada pihak yang menjual minyak itu, sila lapor kepada kementerian, katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog bersama wakil industri pengeluar makanan, di Putrajaya semalam.

Liow berkata, pihak yang disabit kesalahan mengikut Akta Makanan 1983 (Seksyen 13 B) boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau juga menasihatkan orang ramai atau mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak membuat pengumuman atau mengambil tindakan sendiri sekiranya terdapat pihak yang menjual bekalan minyak masak tersebut.

Katanya ujian sampel yang telah dijalankan ke atas minyak masak menunjukkan bahawa ia menepati mutu dan piawaian yang ditetapkan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia, Ratna Devi berkata, ujian yang dijalankan ke atas 19 jenama minyak masak murah di seluruh negara mendapati minyak masak yang telah digunakan dan didedahkan pada haba panas berulang kali tidak selamat untuk kesihatan pengguna.

Menurut beliau sampel yang dihantar NGO untuk diuji di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati semua 19 jenama tidak menepati piawaian antarabangsa dengan 13 sampel menunjukkan bahan campuran berada antara 28.4 hingga 70.8 peratus

Friday, December 16, 2011

Peningkatan Kes Demam Denggi di Terengganu

Melaka, Johor dan Terengganu telah menunjukkan peningkatan kes demam denggi sejak empat minggu lepas, dan trend kenaikan kes denggi ini adalah membimbangkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata sejak bulan Oktober, terdapat trend peningkatan berterusan kes denggi di seluruh negara. Negeri-negeri yang menunjukkan peningkatan kes denggi yang ketara adalah Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Dr Hasan berkata orang ramai perlu memberi perhatian dalam usaha membanteras tempat pembiakan nyamuk Aedes ini.

Beliau berkata pada minggu ini tiga lokaliti 'panas' dikenal pasti yang melibatkan 44 kes demam denggi iaitu Flat Taman Gembira dan Vista Angkasa, masing-masing di Klang Lama dan PPR Taman Mulia di Cheras.

Sementara itu, seorang pensyarah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Selangor merupakan mangsa terbaru demam denggi.

Dengan kematian pensyarah yang berumur 42 tahun itu, jumlah kematian akibat demam denggi sehingga Ahad lepas ialah sebanyak 34 orang.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan di sekitar kawasan kediaman pensyarah itu mendapati 20 tempat pembiakan Aedes, yang terdiri daripada bekas polisterin, pasu bunga, tong plastik dan lopak-lopak air di atas simen.

"Pengerusi Jawatankuasa Majlis Bersama (JMB) kediaman berkenaan telah dikenakan dua kompaun yang setiap satunya bernilai RM500," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Dr Hasan berkata 486 kes demam denggi dilaporkan sepanjang minggu lepas, meningkat 128 kes berbanding 358 kes minggu sebelum itu dan jumlah kes minggu lepas merupakan jumlah kes mingguan yang tertinggi dilaporkan sejak Februari tahun ini.

Belanja RM43.5 juta, Bantu Golongan Kurang Berkemampuan

Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membelanjakan kira-kira RM43.5 juta bagi menaiktaraf kehidupan 19,427 golongan kurang berkemampuan di Terengganu, sepanjang Januari hingga November tahun ini.

Daripada peruntukan itu, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM13.3 juta membabitkan 6,612 penerima, diikuti Marang (RM7.2 juta, 2,997 penerima) dan Besut mencatatkan peruntukan berjumlah RM7 juta dengan bilangan 3,121 penerima.

Manakala bagi Dungun pula sebanyak RM5.7 membabitkan 2,460 penerima; Hulu Terengganu (RM3.9 juta, 1,502 penerima); Kemaman (RM3.8 juta, 1,454 penerima) dan Setiu pula mencatatkan jumlah RM2.8 juta membabitkan seramai 1,381 penerima bantuan.

Mereka yang dikategorikan orang miskin, ibu tunggal, bapa tunggal, anak yatim, anak yatim piatu, orang kurang upaya, orang sakit dan warga emas, layak menerima bantuan itu secara bulanan dengan kadar yang ditetapkan JKM.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad, berkata kerajaan negeri melaksanakan pelbagai strategi dan kaedah semata- mata ingin melihat rakyat terutama mereka yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah merasai kehidupan lebih selesa.

“Penerima sewajarnya memanfaatkan atau membelanjakan wang bantuan yang diterima itu kepada perkara yang berfaedah supaya mampu keluar daripada dibelenggu kemiskinan,” katanya baru-baru ini.

Teganukita

RM1.2J Disalurkan Kepada Mangsa Banjir di Kelantan, Terengganu

Kira-kira RM1.2 juta wang ehsan disalurkan kepada 2,544 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu yang terjejas akibat bencana itu baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata daripada jumlah itu, RM553,000 diberikan kepada 1,106 mangsa banjir di Kelantan manakala RM719,000 pula disalurkan kepada 1,438 keluarga di Terengganu.

"Pada masa ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sedang memberikan sendiri wang ehsan itu kepada mangsa banjir di kedua-dua negeri tersebut," katanya ketika menjawab soalan Senator Boon Som Inong mengenai kos yang dibelanjakan kerajaan bagi membantu mangsa banjir di negara ini.

Liew berkata, pemberian wang ehsan menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) kepada mangsa bencana bertujuan meringankan beban mangsa dan bukannya sebagai bayaran ganti rugi atau pampasan.

Katanya, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap masalah dan kesulitan yang dihadapi rakyat akibat bencana.

"Bantuan yang diberikan adalah telus tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik mangsa yang terbabit," kata Liew.

Bagi memastikan KWABBN ditadbir dengan baik, Majlis Keselamatan Negara mewujudkan garis panduan bantuan ehsan kepada mangsa-mangsa bencana dengan menetapkan kadar bantuan yang seragam, prosedur pemprosesan permohonan dan tanggungjawab agensi terbabit supaya bantuan dapat disalurkan dengan cepat.

"Bantuan ini tidak termasuk bantuan barangan daripada agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang turut disalurkan kepada mangsa banjir," katanya.

Thursday, December 15, 2011

Polis Lumpuh Sindiket Edar Pil Kuda Terbesar Di Terengganu

Polis percaya berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran pil kuda terbesar di Terengganu dalam tempoh lima tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata ia ekoran daripada penahanan empat lelaki yang juga merupakan anggota sindiket itu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Perumahan Al-Amin, Bukit Payung, di Kuala Terenggaanu, Isnin lalu.

Keempat-empat lelaki yang berumur antara 23 hingga 27 tahun ditahan kira-kira pukul 1 pagi dan salah seorang daripada mereka memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).

"Kita telah menerima maklumat kegiatan pengedaran dadah dalam kuantiti yang banyak yang didalangi sindiket ini sejak awal bulan lalu dan sindiket ini aktif menjalankan pengedaran ini sejak dua tahun lalu," katanya dalam satu sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya polis turut merampas 23,650 biji pil kuda yang bernilai RM567,600 yang disorokkan dalam sebuah beg di rumah tersebut dan menyita sebuah kereta Proton Wira, wang tunai RM2,818 dan masih mengesan harta-harta bernilai milik anggota sindiket itu.

Roslan berkata sindiket itu menggunakan modus operandi sistem perbankan untuk membuat bayaran kepada penjual dadah.

"Dadah itu dibawa masuk menerusi negara jiran dan jika dilihat kepada transaksi akaunnya, suspek aktif dalam urusan jual beli dadah ini sehingga mencecah ratusan ribu ringgit setiap kali transaksi dalam masa sebulan.

"Sindiket ini menggunakan sistem penghantaran secara bersemuka, bagaimanapun bayaran dadah dibuat dengan memasukkan wang ke dalam akaun," katanya.

Menurut Roslan kesemua suspek yang berasal dari Terengganu dan salah seorang yang mempunyai kad OKU yang bekerja sebagai mekanik mempunyai rekod berkaitan dadah dan pernah dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.Manakala ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kesemua suspek kini direman sehingga 19 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Roslan berkata pihak polis kini sedang memburu 15 lagi anggota sindiket itu yang dipercayai bergerak aktif untuk pasaran di Terengganu, Kuala Lumpur dan Pahang.

Pikat Belia Ceburi Pertanian

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yakin golongan belia mampu melibatkan diri dalam bidang pertanian jika mereka diberi pendedahan serta melihat keuntungan yang bakal diperoleh.

Pengarah Fama Wilayah Timur 1, Mohd Ariffin Awang berkata, apabila pendedahan dibuat kepada golongan berkenaan, soal untuk menarik minat mereka tidak mustahil dicapai walaupun hanya sejumlah kecil.

“Sebab itu kerajaan atau Fama cuba sedaya mungkin melakukan perkara yang mereka suka kerana keuntungan yang terbukti itu memberi semangat untuk golongan ini melibatkan diri dalam bidang pertanian yang pastinya memberi pulangan lumayan.

“Perkara untung dan rugi menjadi pilihan kerana mereka lebih suka mengambil risiko yang positif daripada rugi,” katanya.

Menurutnya, jika mereka terlibat dalam bidang pertanian dengan komitmen tinggi, pendapatan mampu diperoleh kira-kira RM2,000 sebulan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak MOA Incorporation di balai raya di Langgar, Hulu Terengganu semalam.

Turut hadir selaku perasmi, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman, Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail, Pengarah Fama Negeri, Hasan Jusoh dan ketua-ketua jabatan serta peserta Ladang Kontrak di daerah Hulu Terengganu dan Marang.

Menurutnya, belia perlu dibimbing dan peranan semua pihak perlu dalam usaha itu antaranya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, penghulu, jabatan-jabatan berkenaan dan sebagainya.

“Sebab itu sekarang Fama memperbanyakkan program bersama institut pengajian tinggi awam dan swasta dalam usaha menarik golongan itu terlibat dalam bidang ini selepas tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata, buat masa sekarang, penglibatan belia dalam Ladang Kontrak ada walaupun jumlah itu kecil, tetapi pertambahan mungkin berlaku jika pendedahan mengenai keuntungan yang diperoleh dihebahkan kepada mereka.

Seramai 42 peserta terlibat dalam perjanjian berkenaan membabitkan tanaman pisang berangan, labu mas, cili merah, labu manis dan jagung manis serta secara keseluruhannya keluasan tanaman ialah 14.22 hektar.

Sinar Harian

Tugas Cemerlang Pacu Pembangunan Negara- MB

Kerajaan negeri kagum dengan kejayaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan begitu cemerlang dalam memacu pembangunan negara yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat jelata.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata di bawah pemerintahan baginda negara mengalami pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang begitu memberangsangkan walaupun dalam situasi keruncingan ekonomi global dunia yang tidak menentu di mana terdapat negara seperti Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol menghadapi krisis kewangan begitu teruk yang boleh membawa kepada kebangkrapan negara.

“Syukur negara kita sepanjang di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku melalui Program Transformasi Ekonomi, kesan permasalahan ekonomi global dan krisis kewangan antarabangsa dapat ditangani dengan jayanya. bermanfaat dan bermakna dalam tempoh memerintah negara.

“Patik-patik sekalian percaya dan yakin dengan pengalaman yang penuh bermanfaat dan bermakna dalam tempoh memerintah negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat membawa balik mutiara pengalaman pemerintahan negara bagi kesinambungan pemerintahan baginda ke Terengganu Darul Iman,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap sempena Istiadat Penghadapan Setelah Menyempurnakan Kewajipan Sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Maziah, Kuala Terengganu, pagi semalam.

Berkenan berangkat, Sultanah Terengganu, Tuanku Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, kerabat-kerabat raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menteri Besar berkata, dengan mutiara pengalaman berharga tersebut sudah pasti akan dapat membantu meligatkan putaran kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri bagi membolehkan Terengganu tampil menjadi sebagai negeri maju menjelang 2020.

Beliau juga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dalam keadaan keruncingan krisis ekonomi global, rakyat masih lagi dapat bertahan dengan menjalani hidup dalam suasana aman damai, tenteram dan harmoni.

Walaupun menghadapi persekitaran luar yang begitu mencabar ekonomi negeri masih dapat mencatat pertumbuhan pada kadar 4.3% pada 2010 dan pada tahun ini pula ekonomi negeri dijangka berkembang pada kadar 4.5%.

Dari segi kemasukan pelabur pula, pada 2010 jumlah pelaburan yang telah diluluskan di Terengganu sebanyak RM2.33 billion. Manakala bagi tempoh Januari hingga Julai 2011 sebanyak RM1.68 billion diluluskan dengan mewujudkan 3,464 peluang pekerjaan.

Katanya, dijangka pada tahun ini Terengganu akan menerima pelaburan berjumlah sebanyak RM3.5 billion.

“Kerajaan negeri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mempunyai wawasan menjadikan Negeri Terengganu sebuah negeri maju menjelang tahun 2020. Bagi merealisasikan matlamat tersebut Kerajaan Negeri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah merangka perancangan Strategik Pembangunan Lima Tahun Negeri Terengganu yang dikenali sebagai ‘Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013’.

“Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu memberi penekanan kepada peningkatan ekonomi dan rantaian nilai lebih tinggi, memupuk keupayaan pengetahuan dan inovasi, menangani isu sosioekonomi secara berterusan, meningkatkan kualiti hidup dan mengukuhkan ‘delivery system’ kerajaan,”katanya.

Beliau berkata, bagi melaksanakan projek-projek dan program-program yang dikenalpasti di bawah hala tuju tersebut peruntukan sebanyak RM14.4 billion adalah diperlukan.
Teganukita

Takbir Iringi Keputusan Kes Rogol

Laungan takbir bergema diselangi tangisan kegembiraan kedengaran di kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen di sini, semalam sejurus hakim Azman Mustapha membebaskan dan melepaskan seorang buruh daripada dua pertuduhan merogol dan meliwat anak angkatnya.

Lebih menyentuh hati, tertuduh yang tidak dapat menahan perasaan terus menerkam ibunya yang ketika itu sedang menangis di galeri awam mahkamah sebelum ditenangkan oleh isteri serta sanak saudara yang hadir.

Tertuduh, 31, dari Kampung Seberang Takir, di Kuala Terengganu, dibebaskan dan dilepaskan selepas hakim mengambil kira faktor keterangan yang diberikan mangsa secara tidak bersumpah serta keterangan yang diberikan saksi pendakwaan banyak bercanggah.

Dia sebelum ini berhadapan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan seks di luar tabii.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada Februari hingga September tahun lalu di Blok Gamelan Kondo Rakyat Kuala Ibai didakwa telah merogol mangsa berusia sembilan tahun.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, pada waktu serta lokasi sama, tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap mangsa.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku di rumah sewa tertuduh semasa mangsa yang juga rakan baik kepada anak tertuduh tumpang bermalam di rumah sewaktu musim cuti sekolah hanya membuat laporan polis kira-kira sebulan selepas kejadian.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naslyza Muhamad Nazri manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hayyatuddin Muhammad.

Sinar Harian

Sultan Mizan Seru Semua Pihak Hormati Kedudukan Islam Sebagai Agama Rasmi

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru semua pihak agar terus menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini untuk mengekalkan keharmonian di kalangan rakyat jelata.

Baginda bertitah tindakan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab yang masih berusaha untuk menimbulkan soal itu menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam di negara ini.

"Sejarah telah membuktikan bahawa pemerintahan berasaskan ajaran Islam tidak pernah menafikan keadilan kepada mana-mana golongan atau puak, walaupun berlainan agama dan keturunan.

"Sebagai contoh Terengganu adalah negeri yang terawal menerima Islam di Semenanjung Tanah Melayu dengan bukti penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang.

"Sejak itu Islam telah menjadi agama anutan majoriti rakyat Terengganu, namun dalam masa yang sama penganut agama lain masih bebas mengamalkan pegangan hidup mereka selagi tidak menjejaskan keamaman di negeri ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam majlis Istiadat Penghadapan di Istana Maziah semalam. Turut berangkat sama Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Turut sama di majlis berkenaan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta kerabat-kerabat.

Sehubungan itu, Sultan Mizan yang baru sahaja menamatkan tugas baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 bertitah, perpaduan di kalangan umat Islam akan menjamin kedaulatan dan membina benteng kukuh agar agama Islam tidak dipersenda-sendakan.

Selain itu, baginda turut meminta semua pihak agar melihat dan mengkaji keadaan sekeliling untuk membina kekuatan bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang.

Baginda bertitah pergerakan dunia tanpa sempadan pada masa kini menuntut kerajaan proaktif untuk menangani isu-isu tempatan berikutan penyebaran informasi bebas melalui internet, dasar liberalisasi yang menjadi tuntutan pelabur asing, imigrasi secara sah dan haram yang terus meningkat serta penularan kebudayaan pada peringkat antarabangsa dan implikasinya.

Baginda juga meminta kerajaan negeri agar sentiasa sensitif dan responsif dengan keperluan rakyat dan setiasa bersedia dengan formula yang baik untuk menghadapi kesan serta implikasi daripada perubahan yang berlaku di persekitaran.

Rakyat pula diminta meningkatkan ilmu fardu kifayah dengan ilmu dan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti perubatan, pertanian, ekonomi dan ilmu-ilmu semasa.

Baginda turut bersyukur dengan pembangunan dan kemajuan yang dikecapi oleh Terengganu dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang pendidikan, sukan dan ekonomi sepanjang peninggalan baginda semasa menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, kemajuan yang dicapai itu adalah hasil kerjasama erat di antara tiga serangkai iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, ahli-ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja dan Dewan Pangkuan Diraja Terengganu yang menyokong pemerintahan anakanda baginda Tengku Muhammad Ismail.

Dalam istiadat berkenaan, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Pingat Darjah Kerabat Diraja Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Yang Pertama (DKR) kepada anakanda baginda Tengku Muhammad Ismail.

Kayuhan Jejak Perpaduan 1Malaysia Singgah Di Parlimen Kuala Nerus

Rombongan kayuhan Jejak Perpaduan 1Malaysia peringkat Zon Timur singgah di Parlimen Kuala Nerus dengan lebih 100 belia dan pemimpin masyarakat berbasikal dengan membawa mesej perpaduan 1Malaysia.

Program anjuran bersama Biro Tata Negara (BTN), Pertubuhan Penyokong Integrasi Perpaduan dan Prihatin Nasional Malaysia (Pemimpin) dan Kelab 'Ngayuh' Kuala Nerus itu bermula di pekarangan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Jurucakap program itu, Apli Yusoff berkata, peserta singgah di Pasar Batu Enam sebelum ke Pasar Bukit Tunggal untuk bersama masyarakat peniaga sambil mengedarkan poster mesej 1Malaysia dan kalendar 2012.

"Sejurus selepas itu, mereka ke Pulau Duyong untuk menyertai aktiviti khidmat masyarakat dan sebahagian daripada peserta akan bermalam di inap desa di situ," katanya ketika ditemui di Pasar Batu Enam hari ini.

Program yang membawa 15 pengayuh tetap itu berlangsung selama tujuh hari yang bermula di Besut semalam setelah menamatkan misi kayuhan di Kelantan sebelum meneruskan perjalanan ke Pahang.

Sejurus selepas program sehari di Kuala Nerus katanya, kayuhan diteruskan ke Pantai Batu Buruk di Parlimen Kuala Terengganu, Kampung Surau Haji Yaacob (Marang), Pulau Serai (Dungun) dan berakhir di Kampung Geliga (Kemaman).

"Di setiap persinggahan, jelajah berkenaan akan bersama dengan masyarakat setempat untuk pelbagai aktiviti dan setiap Parlimen akan disertai belia berbasikal," katanya yang juga Pengerusi Kelab 'Ngayuh' Kuala Nerus.

Sementara itu, BTN dalam satu kenyataan berkata, Zon Utara adalah zon pertama memulakan program itu sebelum diikuti kayuhan oleh 15 peserta dari Zon Timur yang bermula di Rantau Panjang, Kelantan pada 6 Disember lalu.

Menurut kenyataan itu, seterusnya 14 peserta daripada Zon Selatan bermula di Johor Bharu, Johor pada 12 Disember lalu dan 10 peserta Zon Sabah dan Sarawak bermula di Kota Kinabalu dan Kuching pada 20 Disember ini.

Keseluruhan pengayuh tetap adalah 54 orang mengambil sempena 54 tahun negara mencapai kemerdekaan dan sama-sama mengayuh basikal mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 29 dan 30 Disember ini.

Pada 31 Disember ini, para peserta terbabit akan berbasikal ke majlis sambutan tahun baru 2012 di Shah Alam dan seorang wakil mereka akan menyerahkan Buku Jejak Perpaduan bagi program itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Persiapan Perkahwinan Musnah Dalam Kebakaran

Hasrat sepasang suami isteri untuk melangsungkan perkahwinan anak perempuan mereka hujung bulan ini musnah apabila semua persiapan yang telah dibuat hangus dalam kebakaran tengah hari semalam.

Rumah pasangan Asli Baring, 48, dan isteri, Zainab Salleh, 47 di Kampung Bukit Tunggal, terbakar pada 12.15 tengah hari melibatkan kerugian dianggarkan RM150,000.

Ketika kejadian, Zainab sedang menyiapkan makanan tengah hari manakala seorang anaknya, Nor Adlin Qayyum, berada di ruang tamu rumah.

Menurut Zainab, semasa memasak dia terhidu bau asap dan menyangka ada orang membakar sampah.

Bagaimanapun anaknya yang masuk ke dalam bilik menjerit memberitahunya sebuah bilik tidur rumah pusaka itu terbakar dan api semakin marak.

"Saya dan anak saya cuba memadamkan api itu sebelum dibantu jiran yang kemudian menghubungi bomba. Nasib baik ketika kejadian, tujuh lagi anak saya tidak berada dalam rumah manakala suami pula sedang bekerja," katanya.

Zainab berkata hanya kad jemputan perkahwinan anaknya, Nurul Azma, 24, sahaja yang sempat diselamatkan manakala barangan lain semuanya terbakar.

Nurul Azma yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 31 Dis ini menetap di Kuala Lumpur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamed Kassim ketika 20 anggota bomba sampai di tempat kejadian, api sedang marak dan membakar hampir 100 peratus rumah berkenaan yang sebahagian besarnya diperbuat daripada kayu.

"Kita mengambil masa kira-kira 18 minit bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran. Kami masih menyiasat punca kebakaran," katanya.

Kejadian itu turut mengakibatkan dua buah rumah berhampiran rosak.

Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Nasir Ibrahim Fikri yang turut melawat mangsa memberikan bantuan awal RM1,000.

Wednesday, December 14, 2011

PENDUDUK LADANG, TANAH ORANG MELAYU DILINDUNGI...

Daripada http://hambali1.blogspot.com/

Siapalah saya untuk memperbetulkan fakta salah dalam penulisan Mohd Sayuti Oma (MSO) dalam postingnya “Kenapa Projek Kondo di Ledang K Terengganu Tidak Dibantah?” bertarikh 14 Disember 2011 (hari ini).

Silap-silap kena bantai tidak layak menerima Hadiah Kajai walaupun hadiah itu saya terima pada 1984 yang ketika itu MSO sendiri pun tidak terkenal mana.

Walaupun saya tidak setaraf beliau sebagai blogger terkenal, setaraf Papagomo, namun yang salah perlu diperbetulkan.

Kalau Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang banyak beliau pertikai dan kritik dalam penulisannya itu, silap-silap kena saman lagi MSO ini. Malah jelas sekali melalui Bajet 2012, kerajaan Terengganu berusaha membantu rakyat memiliki rumah.

Melalui dana perumahan yang ditubuhkan Kerajaan Negeri, rakyat Terenggau akan mendapat manfaat daripadanya.

Sudahlah disaman Datuk Zaid Ibrahim, MSO rasanya tidak mampu untuk memikul beban saman berterusan kerana sebagai penulis, daripada bayar saman baik tunai haji atau umrah.

Walaupun ramai rakan blogger berkata MSO kini kaya dan tidak heran untuk bayar saman, saya mengenali MSO ketika beliau sama-sama tidak kaya seperti saya dan saya bersimpati jika dibebankan dengan saman.

Pendekkan cerita, pertamanya Ledang tidak ada di Terengganu, mungkin MSO terlalu ingatkan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang memang orang Ledang.

Yang ada hanyalah Ladang. Kawasan Ladang di tengah bandar Kuala Terengganu!

Kedua, MSO menulis berdasarkan ‘fakta hearsay’ dari sumber yang salah pulak tu. (Nota - Hearsay is information gathered by one person from another person concerning some event, condition, or thing of which the first person had no direct experience. When submitted as evidence, such statements are called hearsay evidence. As a legal term, "hearsay" can also have the narrower meaning of the use of such information as evidence to prove the truth of what is asserted. Such use of "hearsay evidence" in court is generally not allowed. This prohibition is called the hearsay rule.)

Malah, kalau kita menemubual orang yang tidak suka atau memang tahu kritik sahaja, kita tidak akan tahu kebaikan sebenar di sebalik projek ini.

Berkaitan isu penempatan di Ladang ini, atau kawasan Ladang Gemilang, banyak sudah diperkata dan banyak juga penjelasan dibuat.

Pertikaian lidah pada siding Dewan Undangan Negeri antara Ahmad Said dan wakil Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pernah berlaku mengenai isu ini. Dr Syed Azman (PAS-Batu Buruk) meminta Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ditangguh bagi membincangkan soal pengambilalihan tanah rakyat di Ladang yang didakwa menzalimi penduduk di kawasan itu. Usul itu bagaimananapun ditolak.

Gara-gara memperkatakan isu ini melalui satu program di TV1, seorang wartawan di Bilik Berita RTM khabarnya digantung tugas beberapa minggu.

Namun dalam konteks MSO ini, siapa nak gantung tugasnya. Melainlah kalau beliau mengakui kesilapan fakta.

Fakta mengenai pengambilalihan tanah di kawasan Ladang oleh kerajaan negeri Terengganu

1. Ia dibuat bagi memastikan pemilikan orang Melayu di kawasan bandar kekal dan menyusun semula pembangunan di kawasan bandar raya Kuala Terengganu kerana perkampungan itu sebelum ini kurang tersusun. Jadi tidak timbul soal kerajaan menganiaya rakyat dengan mengambil tanah di kawasan itu dan membuat pembangunan sehingga mengabaikan kebajikan penduduk seperti yang digembar-gemburkan pembangkang.

Soalan untuk MSO – tahukah MSO berapa banyak sudah tanah orang Melayu yang sudah jatuh ke tangan orang lain? Jika kerajaan negeri diberitahu pemilik mahu menjualnya, kerajaan negeri sedia berunding untuk membelinya!

2. Kerajaan Terengganu sedar tanah-tanah di kawasan Ladang yang dulunya milik orang Melayu kini sudah banyak dibeli oleh orang lain. Kerana itulah kerajaan negeri melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan membeli semula tanah ini dan susun semula penempatan dan pembangunan di bandar raya ini.

Soalan untuk MSO – kenapa MSO tidak pertikaikan tanah milik orang Melayu di Bandar Kota Bharu banyak jatuh ke tangan orang bukan Melayu hasil kerja licik pemimpin PAS Kelantan?

3. Lembaga Tabung Amanah Warisan beli untuk dirikan bangunan untuk disewa dan pastikan 50 peratus sewa dan 30 peratus dibeli oleh orang Melayu bagi memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus pemilikan kekal hak Melayu.

Soalan untuk MSO – kenapa MSO tidak bertanya mengenai harga pembinaan kondo dan apartmen itu dan berapa pula harga yang ditawarkan kepada pemilik yang dipindahkan? Tahukah MSO, subsidi kerajaan negeri kepada setiap pemilik itu mampu untuk membeli sebuah kereta Proton setaraf Waja baru?

4. Kerajaan negeri tidak pernah menzalimi rakyat, malah sentiasa mengambil berat tentang kebajikan mereka apabila pangsapuri perumahan rakyat di Ladang Gemilang yang dijual secara sewa beli kepada penduduk yang layak, dijual dengan harga RM150,000 iaitu 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Soalan untuk MSO – Tahukah anda bahawa jika diberikan peluang secara terbuka membeli apartmen dan kondo ini, ramai rakyat Terengganu yang mahu memilikinya. Namun kerajaan negeri tidak membenarnya kerana ia milik ekslusif pemilik tanah dan mereka yang berasal dari penempatan yang diambil alih sahaja layak memilikinya. Syaratnya ketat dan dikawal rapi oleh kerajaan negeri supaya penduduk asal Ladang tidak merempat atau berpindah ke tempat lain.

5. Nilai sewa RM126 sebulan. Jumlah itu hanya kepada penerima bantuan sewa rumah dalam bandar. Ini juga formula sebagaimana pernah disebut bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Kalau mahu diungkitkan, ketika kerajaan PAS sendiri memerintahTerengganu antara 1999 - 2004, ia pernah menyerahkan tanah yang sepatutnya dijadikan taman rekreasi untuk penduduk di kawasan Kuala Terengganu kepada sebuah sebuah syarikat kroni parti itu untuk dimajukan menjadi kawasan perumahan.

Tanah seluas lebih 21 hektar di kawasan Tok Adis dibangunkan dengan projek pembangunan perumahan awam menyebabkan golongan belia tidak mempunyai kawasan untuk beriadah.

Sebaliknya dalam konteks orang kampung di kawasan itu, sebenarnya mereka lagi gembira kerajaan ambil alih tanah mereka, kerana bukan sahaja rumah, tetapi telaga dan reban ayam juga turut dihitung dalam soal pemberian pampasan kepada mereka, malah rumah juga diberi murah. Mereka yang selama ini tinggal secara haram di tanah kerajaan di kawasan Ladang juga diberi pampasan RM5,000 hingga RM6,000 walaupun sebenarnya mereka boleh dikenakan denda sebayak RM10,000 atau enam bulan penjara kerana menduduki tanah kerajaan secara haram.

Jadi mana zalimnya? Kenapa MSO tidak menemuramah mereka yang mendapat keuntungan seperti ini?

MSO nampaknya mempunyai agenda tersendiri dalam memperkatakan isu ini walaupun memperkatakan mengenai kondo yang dibina oleh kerajaan Kelantan.

Untuk pengetahuan penjenguk dan pelayar, juga MSO, syarat dan cara menjual kondo dan apartment antara kerajaan Kelantan dan Terengganu bagai langit dengan bumi.

Kerajaan Kelantan menjualnya secara pasaran bebas tetapi kerajaan Terengganu mengutamanya penduduk asal dan pemilik tanah di kawasan Ladang Gemilang berkena

Laluan Berliku Untuk Pasukan Bolasepak Terengganu?

Dua Naib Presiden FAM, Datuk Subahan Kamal (kanan) dan Datuk Hamidin Mohd. Amin mencabut kertas undian Liga Malaysia musim 2012 di Shah Alam, semalam.

Juara bertahan, Terengganu hanya mendapat undian yang agak mudah pada pusingan pertama tetapi bakal berdepan laluan lebih berliku sekiranya memasuki pusingan kedua mahupun suku akhir saingan kalah mati Piala FA 2012.

Semalam, anak buah Mat Zan Mat Aris itu diundi bertemu pasukan Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia pada sepak mula 18 Februari ini sebelum melayani pemenang antara bekas juara Piala FA, Perak dengan barisan bintang glamor musim 2012, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pusingan kedua.

Malah, Sang Penyu berkemungkinan besar menghadapi Lions XII pada suku akhir Piala FA secara timbal balik, 24 dan 27 Mac ini jika muka baru yang menggabungkan pemain belia dan senior Singapura itu melepasi cabaran UiTM (pusingan pertama) dan Betaria atau Melaka (pusingan kedua).

Tuah tampak menyebelahi naib juara 2011, Kelantan yang berdepan muka baru Liga Super, Sarawak dalam pusingan pertama sebelum dijangka mudah melepasi Kuala Lumpur atau MP Muar (pusingan kedua) mahupun Harimau Muda B atau Pulau Pinang dan SPA atau MBJB pada suku akhir.

Majlis undian di Hotel Grand Bluewave itu turut menyaksikan bekas juara, Selangor yang disekat Kelantan dalam separuh akhir 2011, cuma berdepan Shahzan Muda yang diturunkan ke Liga FAM 2012 pada pusingan pertama sebelum bakal ditentang Johor FC yang kini diterajui bekas jurulatihnya, K. Devan atau Negeri Sembilan dalam pusingan kedua.

Sebuah lagi pasukan separuh akhir musim lalu, Pahang yang sudah diturunkan ke Liga Perdana 2012 bagaimanapun terpaksa bekerja keras untuk melepasi kelab Kuala Lumpur berbakat besar, Felda United dalam pusingan pertama malah nasibnya bakal bertambah sukar apabila Johor atau T-Team yang menantinya pada pusingan kedua.

Jurulatih Lions XII, V. Sundramoorthy berkata, sebagai muka baru Liga Malaysia sejak ditinggalkan republik itu selepas 1994, sukar untuk meramalkan peluang mereka dalam persaingan kalah mati Piala FA apatah lagi kurang mengenali siapa lawan yang diundi dengan mereka sama ada kelab mahupun pasukan negeri.

“Kami sedar harapan peminat bola sepak di Singapura turut tinggi tetapi kami menjanjikan aksi terbaik dalam Piala FA atau Liga Super (bermula 10 Januari ini) sambil berharapkan kelebihan bermain di padang rumput tiruan Stadium Jalan Besar kami,” kata bekas penyerang Singapura, Kedah, Pahang dan Kelantan pada era 80-an hingga 90-an ini.

Lions XII menurutnya, cuma mempertaruhkan seorang pemain asing yang sudah lama diberikan kerakyatan Singapura, Agu Casmir bagi menghadapi Liga M selain diperkuatkan tonggak senior kebangsaan seperti Izwan Mahbud, Shahril Ishak, Hariss Harun dan Khairul Amri.

Utusan Malaysia

TSG Suntik Idea Baru Buat Pasukan Berbasikal Lebuh Raya Negara

Skuad lebuh raya Malaysia yang bakal mengerah kudrat pada Sukan Olimpik London 2012 kembali menjalani latihan pusat secara intensif di Kuala Terengganu, bermula lusa.

Turut menyertai latihan ialah pasukan benua, Terengganu Cycling Team (TSG) yang akan mengambil bahagian Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC 2012) di Kuala Lumpur Februari ini.

Paling menarik, pasukan kebangsaan akan menerima sentuhan jurulatih negara, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan sambil beberapa bekas pelumba terkemuka termasuk M. Kumaresan, Nor Effandy Rosli, Mohd Mahadzir Hamad dan Musairi Musa diminta berkongsi kepakaran khususnya tentang taktikal perlumbaan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Abu Samah Abd Wahab menjelaskan, skuad lebuh raya negara akan berlatih selama sebulan di Terengganu sebelum meneruskan latihan di Putrajaya bagi menyesuaikan dir.

"Beberapa tonggak TSG seperti Mohd. Harrif Salleh, Mohamad Saufi Mat Senan dan Mohd. Shahrul Mat Amin akan turut berlatih bersama pasukan kebangsaan. Setakat ini, saya dimaklumkan 16 pelumba dikenal pasti untuk berlatih secara intensif di Kuala Terengganu.

"Saya telah berbincang perkara ini dengan Syed Mohd. Hussaini dan beberapa bekas pelumba. Mungkin buat permulaan, kita akan minta M Kumaresan bekerjasama menyalurkan kepakarannya bersama Syed Hussaini.

''Keputusan ini diputuskan dalam mesyuarat Exco MNCF semalam," katanya dalam satu kenyataan.

Menyentuh tentang kegagalan skuad lebuh raya negara pada Sukan SEA XXVI Indonesia 2011, Abu Samah yang menyambut ulang tahun kelahirannya, kelmarin menegaskan, perkara tersebut telah dibincang panjang lebar dalam mesyuarat Exco MNCF kelmarin.

"Barisan Exco mendengar semua rumusan, pandangan dan teguran. Kita akui bahawa kita gagal di Sukan SEA 2011. Bagaimanapun, kita harus segera lupakan kegagalan itu. Justeru, saya arahkan mereka segera berlatih menjelang Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012). Kejayaan di ACC 2012 adalah sangat penting.

"Kami berharap menerusi ACC 2012 kami boleh mengenal pasti dua pelumba untuk dihantar menyertai Sukan Olimpik 2012. Di sini juga (ACC 2012) kami boleh tahu keupayaan sebenar pelumba Malaysia kerana mereka akan berlumba bersama pelumba Jepun, Uzbekistan, Kazakhstan, Korea Selatan, China dan Iran," katanya.

Penyamun Parah Dibelasah, Cubaan Samun Kedai Emas Gagal

Jeritan seorang pemilik sebuah kedai emas di Pekan Batu Enam di Kuala Terengganu, semalam berjaya menyelamatkan kedainya daripada disamun oleh seorang lelaki.

Tindakannya itu bukan sahaja dapat menyelamatkan kembali barang yang disamun malah perompak berkenaan turut ditangkap dan dipukul oleh orang ramai yang menyedari kejadian itu.

Pemilik kedai berkenaan Syarifah Ayub, 32, berkata semasa kejadian dia bersama seorang lagi pekerja berada di dalam kedai sebelum didatangi seorang lelaki yang berusia 30-an ingin membeli barangan kemas, kira-kira pukul 2 petang semalam.

Katanya lelaki itu menunjukkan rantai emas yang ingin dibelinya dan pekerjanya mengeluarkan barangan tersebut daripada ruang pameran.

Bagaimanapun apabila rantai yang berharga RM6,000 dikeluarkan lelaki terbabit terus melarikan diri bersama rantai dan masuk ke dalam kereta yang diletakkan tidak jauh dari kedai itu tetapi cubaannya menghidupkan enjin kereta itu gagal.

"Panik dengan kejadian itu saya terus menjerit dan jeritan saya didengari oleh orang ramai yang berada berhampiran kedai sebelum bertindak mengejar perompak tersebut.

"Selepas gagal menghidupkan enjin kereta, dia kemudiannya mencampakkan rantai emas itu sebelum melarikan diri ke arah pasar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Perompak berkenaan berjaya ditahan oleh orang ramai selepas berlari sejauh kira-kira 500 meter.

Akibat kejadian itu suspek yang berasal dari Kelantan itu dilaporkan cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan dan suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

Katanya kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Perodua Tawar Bantuan Kepada Mangsa Banjir

Perodua menawarkan bantuan kepada semua pemilik kereta Perodua yang terjejas akibat banjir di Selangor, Terengganu dan Kelantan baru-baru ini.

Ini termasuk perkhidmatan menunda kereta, diskaun ke atas alat ganti terpilih serta pemeriksaan percuma bagi menentukan jumlah kerosakan ke atas kenderaan masing-masing.

Dalam satu kenyataan semalam, Pengarah Urusan Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata syarikat itu menawarkan perkhidmatan menunda percuma sehingga maksimum RM100 ke pusat servis terdekat Perodua.

Perodua mempunyai 171 pusat servis di seluruh negara.

Selain itu, Perodua menawarkan 20 peratus diskaun ke atas alat ganti terpilih kepada pemilik Perodua yang kenderaan mereka rosak akibat banjir.

Alat ganti terbabit termasuk semua barangan elektronik, karpet, tempat duduk kenderaan serta baik pulih gasket enjin.

Pelanggan Perodua yang kenderaan mereka rosak semasa banjir baru-baru ini digalakkan memanggil talian pelanggan bebas tol Perodua di 1800-88-6600 untuk bantuan.

Noor Arfa Holding Raih Anugerah Korporat Mara

Pengusaha songket dan batik tersohor di Terengganu, Noor Arfa Holding Sdn Bhd, memenangi Anugerah Usahawan Mara 2011 bagi kategori korporat.

Timbalan Pengarah Mara Negeri, Mohd Tahir Mat Yusof berkata anugerah berkenaan yang memberi pengiktirafan kepada usahawan yang cemerlang, akan menggalakkan usahawan meningkatkan usaha.

"Ini sebagai suntikan semangat kepada usahawan-usahawan Bumiputera bagi meningkatkan usaha supaya mereka terus maju pada masa akan datang," katanya di Kuala Lumpur.

Beliau berkata Noor Arfa Holding yang mempunyai kilang di Terenggnu dan Melaka telah dicalonkan oleh Mara Terengganu pada 2010 untuk kategori yang sama tetapi tidak berjaya.

Mohd Tahir berkata syarikat itu diterajui Wan Mohd Ariffin Wang Long, 55, bekas pembantu makmal Pusat Kraftangan Terengganu, dibantu isterinya Noor Hijerah Hanafiah, 54 tahun.

Noor Arfa Holding merupakan syarikat yang berjaya di Terengganu dan menerima banyak kemudahan Mara yang menjadi antara kriteria memenangi anugerah itu.

Sementara itu, Mohd Tahir berkata sehingga akhir 2011, Mara berjaya melahirkan kira-kira 3,000 usahawan Bumiputera di negeri itu dan jumlah itu dijangka meningkat tahun depan.

Mara turut membantu kontraktor kelas F, E dan D dengan memperkenalkan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE), di mana Mara boleh membiaya sehingga 75 peratus daripada nilai atau harga kontrak kerja kontraktor-kontraktor berkenaan.

Tempoh kelulusan dan pengeluaran wang adalah tiga hari dari tarikh permohonan lengkap diterima oleh Mara.

Mohd Tahir berkata Mara mengeluarkan keseluruhan jumlah pembiayaan perniagaan melebihi RM27.558 juta kepada usahawan dan untuk SPiKE, Mara mengeluarkan pembiayaan RM18.317 juta di Terengganu.

Mohd Tahir berkata pada ketika ini, Mara masih mengekalkan kemudahan sedia ada seperti kemudahan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (3P) serta kemudahan dalam urusan latihan keusahawaan.

Mohd Tahir berkata program terbaharu Mara ialah Program UK Dinamik selain Skim Pembiayaan SPiKE bagi meningkatkan pendapatan kumpulan usahawan kecil dari kalangan penjaja dan peniaga kecil.

"Ini selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi pada masa akan datang," katanya.

Program UK Dinamik itu menawarkan Skim "Al-Ghardul Hassan" pembiayaan Islam berkonsepkan kebajikan tanpa caj keuntungan di samping pakej bimbingan, perundingan dan pemasaran.

Pembiayaan maksimum adalah sehingga RM10,000 tanpa keuntungan, contohnya sekiranya usahawan meminjam RM5,000 maka usahawan berkenaan hanya membayar sebanyak RM5,000 sahaja.

FAM Guna Format Terbuka Untuk Liga Malaysia Musim Depan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menggunakan format liga secara terbuka bagi musim Liga Malaysia 2012 bermula 10 Jan depan berbanding pertandingan secara berkumpulan sebelum ini.

Menurut kenyataan FAM, setiap pasukan yang bertanding akan bermain secara timbal balik dan pasukan yang mengumpul mata tertinggi sama ada Liga Super dan Liga Perdana akan meraih kejuaraan.

Sebanyak 14 pasukan akan bertanding dalam Liga Super yang bermula 10 Jan ini manakala 12 pasukan akan bertanding dalam Liga Perdana yang bermula pada 13 Jan.

Pada undian Liga Super semalam , juara Liga Super musim ini, Kelantan diundi di kedudukan ketiga manakala naib juara, Terengganu yang juga naib juara Piala Malaysia musim ini diundi pada kedudukan ke-13.

Pertandingan Liga Perdana turut menyaksikan kemasukan beberapa pasukan kelab seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) FC dan juara Liga FAM musim ini, Betaria FC dari Negeri Sembilan.

Keputusan perlawanan Piala Sumbangsih antara Kelantan bertemu dengan juara Piala Malaysia musim ini, Negeri Sembilan, di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV pada 7 Jan depan tidak akan dikira mata untuk Liga Super berbanding sebelum ini.

Sementara itu dalam undian Piala FA, juara sebanyak dua kali Perak berdepan laluan getir apabila dijadualkan bertemu pasukan yang diperkuatkan dengan beberapa bintang dari Liga Super iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pusingan pertama 18 Feb ini.

Juara Piala FA sebanyak dua kali, Negeri Sembilan turut berdepan laluan sukar selepas diundi bertemu dengan Johor FC yang kini dibimbing bekas jurulatih Selangor, K. Devan.

Bagaimanapun juara bertahan Terengganu mempunyai laluan selesa untuk melangkah ke pusingan kedua pada 10 Mac depan setelah diundi bertemu dengan pasukan kelab dari Liga Perdana iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perlawanan suku akhir Piala FA akan diadakan pada 24 dan 27 Mac, separuh akhir pada 21 April dan 1 Mei manakala perlawanan akhir akan diadakan pada 19 Mei di venue yang belum ditetapkan.

Hujan Di Pahang, Johor Berlarutan Hingga Hari Ini

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dan lebat, yang berlaku di beberapa daerah di Pahang dan Johor, berterusan sehingga hari ini.

Menurut kenyataan jabatan itu Selasa, keadaan tersebut boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah.

Antara daerah yang terlibat di Pahang ialah Kuantan, Pekan serta Rompin manakala di Johor, Mersing dan Kota Tinggi.

Sementara itu, angin kencang timur laut berkelajuan 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 5.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Samui, Tioman, Bunguran, Condore, North dan South Reef, Layang-layang dan Palawan, dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Kenyataan itu juga menyebut kawasan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga esok.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan, termasuk pekerja di pelantar minyak.

PPDNKK Nafi Terengganu Menghadapi Masalah Minyak Masak


Bahagian Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) hari ini menafikan Terengganu mengalami kekurangan bekalan minyak masak.

Timbalan Pengarah PPDNKK negeri Ab Ghani Harun berkata hal ini dapat dilihat apabila minyak masak terdapat di semua kedai terutamanya pusat membeli-belah di negeri ini.

"Dakwaan mengatakan minyak masak tidak ada di Terengganu adalah tidak benar," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan di pusat membeli-belah di Kuala Terengganu semalam.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang mengatakan minyak masak tidak dijual di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu.

Abd Ghani berkata laporan akhbar berkenaan boleh menimbulkan masalah kepada pengguna di negeri ini kerana ia akan menyebabkan pengguna panik.

Menurut beliau Terengganu mendapat bekalan minyak sebanyak 1,700 tan metrik setiap bulan dan bekalan itu mencukupi keperluan pengguna di negeri ini.

Beliau berkata di Terengganu terdapat 11 pembungkus minyak masak iaitu enam di sini, Marang (satu) dan dua masing-masing di Besut dan Kemaman.

"Tidak ada ketirisan minyak masak di sini kerana kita jauh dari sempadan," katanya.

Sehubungan itu, Ab Ghani berharap akhbar membuat laporan yang betul kerana isu minyak merupakan isu yang sensitif. Jika pengguna membuat pembelian panik, ia akan menyebabkan masalah kekurangan minyak masak, katanya.

196 Mangsa Ombak Besar di Kuala Besut Kembali Ke rumah

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Nazri Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara, dijangka melakukan lawatan kerja untuk menemui penduduk Kampung Pengkalan Atap di Kuala Besut hari ini.

Menurut laporan, seramai 169 mangsa daripada 41 keluarga dibenarkan pulang kira-kira jam 10 pagi semalam selepas pihak berkuasa berpuas hati dengan keadaan cuaca yang sudah pulih dan dalam keadaan biasa.

Walaupun peristiwa ombak besar yang memecah benteng dan air pasang memasuki rumah penduduk di penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut, malam kelmarin masih menghatui fikiran mereka, penghuni terbabit dibenarkan pulang semalam selepas dua malam berada di pusat pemindahan

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung terbabit, Abdul Aziz Mahmood berkata, penduduk yang mengambil keputusan untuk pulang hari ini menghabiskan waktu dengan menjalankan kerja membersih rumah yang dipenuhi lumpur dan sampah sarap akibat kejadian air pasang malam kelmarin.

Malah, nasib malang penduduk terbabit turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk keadaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat,kakitangan Pejabat Daerah Besut, Sukarelawan Jabatan Kemajikan Masyarakat, Sukarelawan Jabatan Belia dan Sukan serta penduduk setempat bergotong royong membersih kawasan penempatan berkenaan.

Kira-kira 100 peserta menyertai gotong royong anjuran JKKK Kampung itu dengan kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Kuala Besut.

Penduduk yang kembali semula ke rumah masing-masing meskipun gembira namun mereka masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang kejadian sama akan berulang semula dalam tempoh terdekat.

Teganukita

Anggota Polis Dan Buruh Berdepan Hukuman Mati Rompak Kedai Emas

Seorang anggota polis dan seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Marang semalam atas tuduhan merompak sebuah kedai emas di Wakaf Tapai dengan menggunakan sepucuk revolver pada 28 Nov lepas.

Anggota polis berkenaan Lans Koperal Azizan Shaari, 28 yang bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu dituduh bersama-sama Jeffridin Manan, 31 melakukan rompakan tersebut di Kedai Emas Swee Heng, Wakaf Tapai 11.30 pagi hari berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Azizan 48, didakwa melepas tembakan dengan menggunakan senjata api jenis revolver dengan niat untuk menyebabkan kematian atau kecederaan pemilik kedai emas tersebut Fong Swee Heng, 48.

Dia dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) (Akta 37) dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama akta tersebut yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Rakannya Jeffridin dituduh bersama-sama dengan Azizan melakukan rompakan tersebut dengan mempunyai pengetahuan bahawa Azizan mempunyai sepucuk revolver dalam milikannya dan telah melepaskan tembakan menggunakan senjata api tersebut dengan niat untuk menyebabkan kematian atau kecederaan ke atas pemilik kedai emas tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat ) 1971 (Akta 37) yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati .

Kedua-dua tertuduh yang didakwa berasingan mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh Majistret Nor Azizah Yusof. Bagaimanapun tiada pengakuan bersalah direkodkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Feb tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi sementara menunggu laporan balistik.

Tiada jaminan ditawarkan, manakala pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud dan Nazlyza Mohd Nazri.