Friday, January 31, 2014

Kaum Cina Di Terengganu Tidak Berharap Lagi Kepada Barisan Nasional & UMNO?

"Apakah kerana tidak adanya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam negeri maka ucapan 'Gong Xi Fa Cai’ secara rasmi oleh pemimpin UMNO lain dan Kerajaan Negeri tidak dapat diucapkan?Apakah rakyat Cina di Terengganu tidak layak menerima ucpan Selamat Tahun Baru kali ini? Kenapa pada tahun lepas dan tahun sebelumnya masyarakat Cina diraikan bagaikan ‘menatang minyak yang penuh’?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat menyatakan kesal dan kecewa dengan tindakan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menaikkan bayaran lesen perniagaan sehingga 120 peratus.

Dakwanya, MPK sepatutnya lebih prihatin tidak menekan peniaga kecil-kecilan dan menumpukan usaha untuk meningkatkan pendapatan dari hasil cukai industri. Hanafiah yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata demikian ketika ditemui selepas majlis jamuan bersama masyarakat Cina sempena sambutan Tahun Baru Cina disini pada Isnin malam 27 Januari.


Kita tidak tahu sejauh mana benarnya dakwaan bahawa kira-kira 40 penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merampas peralatan persiapan Tahun Baru Cina yang dianjurkan Pusat Khidmat DUN Bandar, Terengganu.

“Mereka menyerbu dan merampas peralatan persiapan kami untuk sambutan Tahun Baru Cina kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam). Program yang kami anjur telah mendapat permit dari polis Terengganu. Kenapa MBKT rampas?”, soal Adun Bandar Azan Ismail kepada Keadilandaily.

Azan memaklumkan, program Tahun Baru Cina DUN Bandar sepatutnya diadakan malam semalam di Kampung Cina, Kuala Terengganu.

 “Ribuan ringgit dibelanjakan. Bukannya guna duit kerajaan negeri. Tapi hasil sumbangan orang ramai dan inisiatif KEADILAN Terengganu,” kata Azan sambil mengatakan satu laporan polis dijangka dibuat.

Kita tahu benar bahawa pembangkang timbulkan isu ini sempena Tahun Baru Cina yang menunjukkan mereka prihatin kepada maasalah masyarakat Tionhua.

Tetapi apa yang dibuat Barisan Nasional (BN) atau UMNO?

Mereka langsung seperti tidak mempedulikan masyarakat Cina apabila secara rasmi atau tidak rasmi, tiada ucapaan Selamat Tahun Baru dibuat kepada masyarakat Cina di Terengganu.

Tidak ada sebarang ucapan dibuat mahupun oleh kepimpinan negeri – pentadbiran mahupun parti.

Apa sudah jadi dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu. Kenapa sikap sebegini berlaku?

Apakah rakyat Cina di Terengganu tidak layak menerima ucpan Selamat Tahun Baru kali ini? Kenapa pada tahun lepas dan tahun sebelumnya masyarakat Cina diraikan bagaikan ‘menatang minyak yang penuh’? Apakah orang Cina Terengganu tidak ada perasan?

Apakah kerana tidak adanya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam negeri maka ucapan “Gong Xi Fa Cai’ secara rasmi oleh pemimpin UMNO lain dan Kerajaan Negeri tidak dapat diucapkan?

Kita merasakaan suatu keadaan yang amat berbeza pada perayaan Tahun Baru Cina kali ini apabila pemimin pembangkang mengambil alih peranan pemimpin kerajaan, khususnya daripada UMNO.

Dalam perutusan Tahun Baharu Cina, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Cina Malaysia, selain menyatakan penghargaannya terhadap peranan yang dimainkan mereka dalam membina negara sejak zaman merdeka lagi

Beliau menyeru rakyat Malaysia supaya menolak sebarang bentuk ugutan, keganasan atau tindakan ekstrem yang boleh menggugat keharmonian yang dikongsi dan dinikmati pelbagai kaum di negara ini.

Perdana Menteri berkata ketika rakyat bergembira menyambut ketibaan tahun kuda, mereka juga haruslah mendukung perpaduan dan keharmonian antara kaum yang telah dinikmati sejak sekian lama. “Saya pasti kita sepatutnya percaya kepada suara kebenaran.

Tergalas di bahu kita untuk bertindak dengan wajar dan sentiasa mendengar pandangan satu sama lain.

"Dalam rumpun kebudayaan Malaysia, kita mestilah menjunjung kedaulatan undang-undang dan sentiasa menghormati sensitiviti anutan lain,” katanya dalam blog www.1Malaysia.com.my.


Sedangkan kembali kepada suasana di Terengganu, kenapakah tiada sepatah ayat pun daripada pemimpin UMNO Terenganu seperti yang dibuat oleh Perdana Menteri itu.

Menurut laporan media, MCA dan Gerakan menganjurkan majlis rumah terbuka masing-masing sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini. MCA menganjurkan majlis rumah terbuka di Wisma MCA, iaitu ibu pejabat parti di Jalan Ampang, di sini bermula 9 pagi sehingga 12 tengah hari ini.

Gerakan pula menganjurkan rumah terbukanya di ibu pejabat parti di Menara PGRM Cheras di sini bermula 9 pagi.

Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng berkata kira-kira 4,000 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat dijangka menghadiri majlis itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri-menteri Kabinet, pemimpin parti komponen Barisan Nasional dan pemimpin persatuan-persatuan Cina juga dijangka memeriahkan lagi majlis tahunan khususnya di rumah terbuka Tahun Baru Cina itu.

Kita tidak faham sikap pemimpin kerajaan, termasuk pentadbiran, yang seperti sengaja tidak memberikan tumpuan kepada perayaan Tahun Baru Cina ini.



Dalam masyarakat berbilang kaum seperti Terengganu, orang Cina kebanyakannya tinggal di bandar. Bandaraya Kuala Terengganu, Sura, Chukai serta Jerteh paling ramai didiami masyarakat Cina dan tidak wajar walau sedikit ucapan tidak disuarakan kepada mereka.

Sikap tidak megambil peduli khususnya dalam soal menyambut Tahun Baru Cina ini partinya akan memberikan kesan buruk kepada kerajaan.

Sewajarnya pemimpin BN dan UMNO memikirkan sedalam-dalamnya pendapat mengatakan masyarakat Cina yang membuat perubahan pada Pilihanraya Umum Kali Ke-13 (PRU-13) Mei tahun lalu masih dalam ‘mood’ yang sama.

Mereka akaan meneruskan sokongan, memilih PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang.


Bagi BN dan UMNO Terengganu, jangan marah ataau terasa hati sekiranya pembangkang memanipulasi sambutan ini untuk sokongan mereka.

Dan jangan terasa hati kalau selepas ini orang Cina terus berpura-pura menyokong pemimpin BN dan UMNO di hadapan mereka sebaliknya merasakan ‘pembangkanglah sebenarnya tempat mereka wajar bergantung harap’.

YDSM Pelawa Individu Berminat Sertai Program Seni Kraf Warisan

Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) mempelawa warga Malaysia yang berminat dalam bidang seni kraftangan untuk menyertai bidang latihan di bawah Program Seni Kraf Warisan di Terengganu.

YDSM dalam kenyataan media hari ini memaklumkan program itu merupakan program latihan seni kemahiran melibatkan pengusaha kraf terpilih Terengganu dengan konsep 'Mentor-Mentee' dan akan mengambil masa selama 18 bulan.

Bidang latihan meliputi seni pertukangan kayu, seni pembuatan batik terap dan batik lukis, seni pembuatan tembaga, seni pembuatan barangan perak, seni pembuatan replika kapal tradisional, seni pembuatan senjata tradisional dan seni pembuatan barangan kulit.

Penyertaan dibuka kepada warga Malaysia dengan keutamaan diberikan kepada anak jati Terengganu, berusia antara 18 dan 40 tahun serta mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) atau Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan meminati bidang pertukangan dan keusahawanan.

Borang permohonan boleh didapati di YDSM, Perkarangan Istana Badariah, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu atau hubungi Penyelaras Projek YDSM, Rose Hasyimah Taha di talian 09-6231131 atau 09-6261131.

Tarikh tutup permohonan ialah pada pukul 4 petang, 6 Feb ini. Program Seni Kraf Warisan YDSM diperkenalkan sejak 2008 dan bertujuan mengekalkan kesinambungan warisan tradisi produk kraf warisan di kalangan generasi muda di samping membantu mereka mendapatkan pekerjaan atau usahawan dalam bidang itu.

20 Pembantu Guru BI Dari Amerika Syarikat Bertugas Di Terengganu


Seramai 20 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat tiba di sini untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Tingkatan Tiga dan Empat di negeri ini.

Guru ETA ini merupakan kumpulan kesembilan yang menyertai program tahunan itu yang bertujuan meningkatkan pertukaran Malaysia dan Amerika dalam bidang pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Terengganu Ghazali Taib berkata kumpulan itu akan ditempatkan di tujuh daerah di negeri ini sehingga Oktober ini.

Sertai Persatuan Tingkat Daya Kreativiti - Isteri MB


Penjawat awam wanita diminta mengambil peluang dengan menyertai persatuan atau badan-badan amal untuk meningkatkan daya kreativiti dan inovasi di dalam diri masing-masing.

Isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, melalui persatuan perkongsian idea dan pandangan serta saling bertukar kemahiran dapat diwujudkan antara satu sama lain.

"Kita hendaklah meneroka bakat-bakat dan kualiti yang terpendam melalui aktiviti seperti kelas masakan, jahitan, sulaman dan sebagainya," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Cawangan Terengganu Kali Ke-30, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Thursday, January 30, 2014

Dr Mahathir Nafi Di Belakang Usaha Jatuhkan Najib


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau di belakang usaha menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, seperti didakwa Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, tindakan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Kajang bagi mengekang kemaraan BN di Selangor jika perdana menteri sekarang dijatuhkan oleh kuasa dalaman Umno.

Dakwa Rafizi, gerakan menjatuhkan Najib sudah menjadi rahsia umum, yang digerakkan "kem Mahathir" dalam Umno.

"Itu tafsiran dia (Rafizi). Sebenarnya usaha nak jatuhkan kerajaan sedia ada bermula daripada masa saya jadi PM pun. "Memanglah parti lawan tugas lain tak ada melainkan jatuhkan pemerintah, untuk jadi pemerintah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual menerusi program "Dalam Radar Khas" terbitan Bernama Radio24, di ibu negara petang`semalam.

Mengenai Anwar bertanding pilihan raya kecil Kajang untuk menunjukkan kebolehan, seterusnya meyakinkan rakyat yang beliau boleh menjadi perdana menteri, kata bekas perdana menteri: "Yalah dia memang hendak jadi ketua kerajaan.

"Tak boleh yang besar, yang kecil sedikit pun bolehlah untuk menunjukkan kebolehan dengan harapan rakyat akan menghargai dan akan memberi kejayaan untuk cita-citanya menjadi perdana menteri.

"Cita-cita yang terbesar bagi Anwar ialah menjadi perdana menteri. "Soal apa yang jadi lepas jadi perdana menteri tak penting, (yang penting) jadi perdana menteri," kata Dr Mahathir ketika ditemubual menerusi program "Dalam Radar Khas" terbitan Bernama Radio24.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media kemudiannya, Dr Mahathir berkata beliau yakin Anwar tetap mahu menjadi perdana menteri.

Menurut Dr Mahahir, jawatan menyeri besar Selangor yang diintai Anwar seperti diperkatakan banyak pihak bukanlah matlamat sebenar Anwar jika beliau memenangi pilihan raya kecil di Kajang nanti. "Satu langkah (dia) nak naik ke ataslah. Itu (jadi menteri besar) bukan matlamat dia," katanya.

Ditanya tentang perasaannya terhadap gerakan politik terbaru bekas timbalannya itu, Mahathir berkata beliau "tidak seronok" tetapi Anwar berhak berbuat demikian.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandang, Lee Chin Chen dari PKR meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat bagi memberi laluan kepada Anwar bagi bertanding di kerusi tersebut.

Anwar semalam disahkan akan bertanding kerusi itu sebagai "langkah taktikal" menguasai Putrajaya.

100 Usahawan Berprestasi Tinggi Terengganu Dijangka Tingkatkan Jualan Sehingga 30 Peratus

KUALA TERENGGANU (30 Januari 2014) - Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 30 peratus dalam kalangan 100 usahawan berprestasi tinggi yang dikenal pasti di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Che Razali Adis berkata 100 usahawan dalam pelbagai bidang, terutama industri kecil dan sederhana (IKS) akan sentiasa dipantau oleh 18 agensi yang terlibat bagi meningkatkan mutu pelaksanaan aktiviti keusahawanan di Terengganu.

"Majlis sekretariat yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri Roslee Daud itu juga bertujuan menjadikan sekretariat berkenaan sebagai platform perundingan yang lebih efektif dalam menyelaraskan hala tuju usahawan di negeri itu.

"Antara lain penubuhan sekretariat ini ialah memastikan tiada pertindihan pemberian geran atau pinjaman kepada usahawan agar kemudahan yang disediakan kerajaan dapat dinikmati secara saksama oleh usahawan," katanya kepada pemberita dalam program Jejak Usahawan YPU di Kuala Terengganu, semalam.

Antara anggota jawatankuasa sekretariat itu ialah SME Corp, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kraftangan Malaysia serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Che Razali berkata sekretariat juga akan mengadakan mesyuarat empat kali setahun bagi menilai pencapaian program agensi dari semasa ke semasa.

"Namun, jika ada isu yang timbul, sekretariat akan bersidang serta-merta dan dengan memanfaatkan penglibatan agensi-agensi ini, YPU tidak bersendirian dalam membangunkan usahawan," katanya.

Pemilihan usahawan berprestasi tinggi itu adalah berdasarkan perkembangan syarikat dan pengurusan perniagaan yang efektif kerana mereka adalah antara kumpulan yang diberi tumpuan untuk menembusi pasaran global.

Tujuh Gajah Mula Ditempatkan Di Elephant Village Untuk Pelancongan


Sekumpulan tujuh ekor gajah mula ditempatkan di Kenyir Elephant Village (KEV), projek yang dibangunkan kerajaan negeri Terengganu di kawasan pelancongan Tasik Kenyir melibatkan kawasan seluas 256 hektar.

Pengurus Bahagian Pembangunan Tasik Kenyir di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri Tengku Mohd Ariffin Tengku Abdul Rahman berkata projek fasa pertama daripada dua fasa yang dimulakan pembinaannya sejak 2012 akan menempatkan 30 ekor gajah apabila siap sepenuhnya kelak.

Katanya selain itu KEV juga menyediakan lima buah menara, jambatan gantung sepanjang 500 meter, tempat pertunjukan gajah dan segala kemudahan lain melibatkan peruntukan kira-kira RM11.65 juta.

Fasa pertama KEV melibatkan 12 hektar dijangka siap sepenuhnya dan akan dibuka kepada orang ramai pada pertengahan tahun ini.

"Kita berharap projek ini menjadi pemangkin industri pelancongan di negeri itu kerana mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu khususnya Tasik Kenyir," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan tujuh ekor gajah oleh Pengarah Bahagian Eko-Pelancongan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Mohd Taufik Abdul Rahman di KEV semalam.

Sementara itu Mohd Taufik berkata gajah-gajah separuh jinak terdiri daripada empat jantan dan tiga betina itu telah dilatih di Sungai Dekar oleh pelatih-pelatih Perhilitan dan dibantu pakar gajah dari Kelantan dan Thailand.

Katanya gajah-gajah itu yang berumur antara setahun dan 25 tahun dilatih di pusat gajah Sungai Dekar antara empat bulan dan setahun.

"Gajah-gajah liar yang mengancam tanaman penduduk, ditangkap kemudian dihantar ke Sungai Dekar, kemudiannya kita latih untuk menjinakkannya," katanya.

Bekas Penyanyi Didakwa Tipu Sembilan Individu Lebih RM200,000

Bekas penyanyi Kumpulan Tiga mengaku bersalah terhadap tujuh daripada sembilan pertuduhan menipu membabitkan sembilan individu berjumlah RM235,400 tahun lepas.

Mohd. Qhairol Iqhssan Yusof, 28, yang ketika kejadian merupakan pegawai bank, mengaku bersalah terhadap empat dakwaan menipu Afiq Adham Mustamin, 28, Nur Hidayah Mohd. Yusof, 30, Mohammad Faizal Ahmad, 33, dan Mohd. Afendy Izani Arizal, 35, yang mendorong mereka menyerahkan wang RM139,700 sebagai bayaran pendahuluan pinjaman perumahan.

Tertuduh dari Sandakan, Sabah turut mengaku bersalah terhadap dua tuduhan menipu Nazim Mustapah, 28, dan Rosli Ahmad, 41, dengan memperdayakan mereka mempercayai bahawa dia adalah wakil AmBank yang mengurus dan meluluskan permohonan pinjaman perumahan mereka sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM47,950 kepada tertuduh.

Mohd. Qhairul yang pernah menyanyikan single pertama berjudul 'Pengakuan' juga mengaku bersalah terhadap tuduhan menipu Mohd. Firdaus Satir@Satar, 29, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM8,750 sebagai bayaran yuran guaman kepadanya.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dua dakwaan menipu Maya Haryanto, 21, yang juga anggota Kumpulan Tiga dan Hairul Faizal Mohd Siraj, 32, sehingga mendorong kedua-dua mangsa menyerahkan masing-masing RM26,500 dan RM12,500 kepadanya.

Wednesday, January 29, 2014

Khalid - Anwar Sah Tanding Kerusi Kajang


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi DUN Kajang yang kosong apabila penyandangnya, Lee Chin Chen dari PKR meletakkan jawatan semalam, umum Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat setuju meletakkan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding (di) Kajang," kata Khalid dalam sidang media di ibu pejabat PKR pagi ini. Antara pemimpin yang hadir dalam sidang media itu,

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan mewakili DAP dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Anwar - yang duduk di sisi Khalid - berkata keputusan bersama pimpinan Pakatan Rakyat itu dibuat bagi memastikan "Selangor terus menjadi asas kukuh buat Pakatan Rakyat bagi mengambil alih Putrajaya".

Pengumuman itu menguatkan lagi desas-desus Anwar akan mengambil alih jawatan menteri besar daripada Khalid bagi menyelesaikan pertelingkahan antara Khalid dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di negeri itu.

Ditanya tentang perkara tersebut, Anwar berkata "ia hanya spekulasi" dan beliau mahu menumpukan perhatian kepada pilihan raya kecil akan datang.

"Kita minta Tan Sri Khalid teruskan kerja-kerja dia sementara kita tunggu pilihan raya kecil Kajang," katanya.

Anwar turut ditanya tentang kemungkinan pilihan raya kecil ini mewujudkan persepsi yang beban untuk menyelesaikan masalah dalaman PKR kini diletakkan kepada pengundi Kajang. Gesa BN tak tanding

Jelasnya, persepsi itu tidak berbangkit sebaliknya pilihan raya kecil nanti merupakan peluang untuk Pakatan Rakyat meningkatkan khidmatnya kepada rakyat.

"Dia tak berbangkit isu itu kerana kita nak guna (pilihan raya ini) untuk lonjakkan prestasi khidmat kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Anwar juga menggesa BN agar tidak meletakkan calon memandangkan kerusi itu disandang PKR dan bagi mengelakkan pengundi keluar mengundi dua kali.

"Kalau boleh, kawasan (ini sudah) dimenangi oleh PKR, Pakatan, (jadi) bagi laluan, tak payah ada pertandingan," kata Anwar ketika ditanya kemungkinan ia membebankan pengundi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Salahuddin berkata PAS akan memberi sepenuh sokongan kepada calon yang diketengahkan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pakatan rakyat. Mohamad Azmin Ali yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon menteri besar yang baru ketika ditemui selepas itu hanya memberi reaksi ringkas berhubung pemilihan Anwar sebagai calon.

"Keputusan dah dibuat...saya hanya akan buat kenyataan selepas mesyuarat dengan pimpinan PKR negeri ini," katanya.

Malaysiakini

Fosil Tumbuhan Kuno Luar Biasa Ditemui

Fosil tumbuhan kuno luar biasa ditemui Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Datuk Yunus Abd Razak (dua, kiri) bersama Pakar Fosil dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Shafeea Leman (tengah) dan Pengarah JMG Terengganu, Mohd Zukree Abd Ghani (kiri) melihat antara kutipan fosil tumbuhan kuno yang berusia antara 270 hingga 340 juta tahun di kawasan penemuan berhampiran pembinaan Ampangan Paya Peda, Hulu Besut ketika melawat kawasan berkenaan di Hulu Besut semalam.

Fosil tumbuhan kuno luar biasa yang dianggarkan berusia antara 270 hingga 350 juta tahun ditemui sekumpulan pengkaji bumi di satu kawasan bukit berhampiran projek pembinaan Ampangan Paya Peda, Hulu Besut.

Penemuan serpihan fosil tumbuhan kuno yang direkodkan setakat ini ialah daripada tujuh genus membabitkan bahagian daun, bunga, akar, buah dan batang yang terawet di bumi Paya Peda sedalam kira-kira 150 meter sebelum ditemui baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Datuk Yunus Abd Razak yang menganggapnya sebagai kejayaan istimewa berkata penemuan itu merupakan satu sejarah baharu yang amat penting kerana ia dapat menentukan usia negara ini di samping kaitannya dengan kewujudan negara-negara di Asia sebelumnya.


Katanya penemuan yang begitu penting kepada ahli geologi di Malaysia ini menunjukkan bukti kukuh bahawa sebahagian timur Semenanjung Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Selatan China dahulunya merupakan satu benua dinamakan Cathaysian.

Jelasnya fosil tumbuhan kuno itu mula ditemui oleh seorang pembantu jurutera kaji tanah sebuah syarikat perunding yang melakukan kerja tanah di tapak Ampangan Paya Peda pada awal tahun 2012 sebelum beliau melaporkannya kepada JMG.

“Pegawai JMG yang membuat siasatan mengesahkan penemuan fosil tumbuhan berkenaan sebagai genus tumbuhan purba yang kini telah pun pupus dari permukaan bumi negara sekarang”, katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke lokasi penemuan bersama pegawai dan juga anggota media di Besut, semalam.

Turut sama dalam lawatan itu termasuk pakar kaji bumi dan juga pakar fosil, Profesor Shafeea Leman dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Pengarah JMG Terengganu Mohd Zukree Abd Ghani serta pegawai kanan dari JMG Terengganu dan Kelantan.


Antara genus yang ditemui setakat ini ialah dari jenis dedaun yang dikenali dengan nama saintifiknya Pecopteris, Tinggia, Lepidodendron, Sigillaria, Sphenophyllum, Neurotepris dan Cordaites selain bahagian bunga atau organ pembiakan dikenali sebagai Lepidostrobos, bahagian akar (Stigmaria) dan batang (Artisia horizontallis).

Yunus percaya ada lebih banyak lagi jenis tumbuhan yang bakal ditemui apabila pihaknya menjalankan kerja-kerja menggali dengan lebih giat di tapak berkenaan dan kawasan sekitarnya kelak.

Dengan penemuan itu JMG akan mengambil langkah awal mewartakan kawasan itu di samping memagar kawasan terbabit bagi mengelakkan ia dirosakkan.

Katanya JMG akan bekerja dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi memastikan setiap kerja berkaitan penerokaan fosil tumbuhan kuno ini dapat diteruskan dan tidak tergendala.

Yunus berkata sehingga kini Terengganu merekodkan 23 lokasi sebagai sumber warisan geologi di mana dua daripadanya diberikan penataran luar biasa iaitu di Bukit Keluang dan Bukit Bewah tetapi penemuan di Paya Peda lebih istemewa kerana wujudnya kepelbagaian genus fosil tumbuhannya.

Berbanding dengan beberapa kawasan lain yang pernah ditemui fosil tumbuhan kuno sebelum ini seperti di Gunung Panti, Johor, Gunung Gagau, di sempadan Kelantan, Terengganu dan Pahang, fosil yang terdapat di Paya Peda dianggap yang asli kerana ia tumbuh dan berasal dari kawasan itu dan bukan dipindahkan dari tempat lain.

Katanya kajian pihaknya mendapati kawasan Paya Peda pada satu ketika dahulu merupakan kawasan paya rendah yang akhirnya menjadi berlapis-lapis dengan keadaan tanah yang tinggi dan rendah ekoran proses pemampatan.

Beliau berharap kawasan itu terpelihara dan boleh dijadikan sebagai kawasan kajian oleh pengkaji bumi dari seluruh dunia dan untuk dilawati kanak-kanak sekolah dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) .

Anak Derhaka Maki, Ugut Tikam Ibu

Sudahlah mengambil telefon bimbit milik ibunya tanpa pengetahuan, seorang anak tanpa perikemanusiaan memaki hamun ibu malang itu selepas mangsa bertanyakan perihal telefon berkenaan.

Lebih melampau, dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kubang Ikan, Chendering, di Kuala Terengganu, Ahad lalu, anak derhaka berusia 32 tahun itu bertindak gila apabila tergamak mengugut mahu menikam mangsa, 67.

Bukan itu sahaja, dia yang layak digelar si tanggang turut bertindak agresif apabila merosakkan barangan yang ada di dalam rumah mereka semata-mata ingin menunjukkan perasaan tidak puas hati terhadap warga emas itu.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila mangsa yang berada di rumahnya mengajukan soalan kepada suspek berhubung kehilangan telefon bimbitnya dan dipercayai telah diambil oleh suspek sejak dua hari sebelum itu.

“Namun, mangsa tidak menyangka pertanyaannya itu telah menimbulkan kemarahan suspek yang secara tiba-tiba mengamuk seperti orang kurang siuman sebelum bertindak merosakkan barang yang ada di dalam rumah mereka.

“Tidak cukup dengan itu, suspek yang kononnya hendak menakut-nakutkan warga emas itu telah mencapai sebilah parang sebelum mengarahkan ibunya diam dan mengugut akan menikamnya sekiranya berdegil,” katanya.

Sumber berkata, ibu malang itu yang bimbang diapa-apakan hanya mengikut arahan dengan mendiamkan diri bagi mengelak suspek bertindak lebih agresif.

“Ini sebab, suspek sebelum ini kerap mengamuk terutamanya apabila permintaannya untuk mendapatkan wang gagal dipenuhi mangsa,” katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa yang sudah tidak tahan melayan karenah suspek serta dalam masa sama bimbang keselamatannya mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chendering untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Muhammad Firdaus Abdul Rahim membenarkan suspek direman sehingga Khamis ini untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Pelantikan Menteri Besar Selangor Di Bawah Kuasa Sultan


Disebalik spekulasi berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dikatakan akan meletak jawatan ekoran tekanan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun hakikatnya pelantikan jawatan itu adalah di bawah bidang kuasa Sultan Selangor.

Menurut pakar undang-undang di Selangor Datuk Salehuddin Saidin, pelantikan seorang Menteri Besar di Selangor terletak di bawah kuasa Sultan sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Katanya menurut Perkara 53 (2) (a) undang-undang itu, baginda boleh melantik seorang anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pandangan baginda yang mendapat keyakinan majoriti anggota DUN, selaku Menteri Besar. Di bawah Perkara 55 (2) (a) pula, dinyatakan baginda boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan seorang Menteri Besar, katanya.

Pada masa sama, seseorang Menteri Besar juga haruslah berbangsa Melayu dan beragama Islam sepertimana yang telah termaktub dalam undang-undang berkenaan, katanya.

Salehuddin berkata pemilihan seseorang individu untuk menjadi Menteri Besar adalah dibuat oleh sesebuah parti yang mendapat sokongan majoriti daripada rakyat dalam pilihan raya.

"Parti yang memenangi pilihan raya itu boleh mengemukakan calon-calon Menteri Besar untuk pertimbangan Sultan Selangor. Sultan Selangor akan memilih seorang Menteri Besar yang difikirkan layak oleh baginda," katanya.

Semalam Abdul Khalid dilaporkan menafikan spekulasi bahawa beliau akan meletakkan jawatannya dan memberikan laluan kepada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dinamakan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, sekiranya ada pertandingan, untuk mengambil alih tempatnya.

Penyandang DUN Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerusi itu semalam. Abdul Khalid dilaporkan berkata beliau akan berundur daripada jawatannya sebagai Menteri Besar dengan syarat ia mendapat persetujuan daripada semua komponen parti dalam pakatan pembangkang selain mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.

Tuesday, January 28, 2014

Seleweng Dana - SPRM Tahan Seorang Datuk & Pengarah Yayasan

Datuk Mustafar Ali - penyelewengan itu melibatkan tiga buah yayasan.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan seorang bekas setiausaha politik bergelar Datuk dan seorang pengarah yayasan berhubung penyelewengan dana lebih RM1.1 juta.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata, penyelewengan itu melibatkan tiga buah yayasan dan kedua-duanya dijangka didakwa hari ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

"Bekas setiausaha politik dan pengarah itu masing-masing ditahan pagi dan petang ini. Bagaimanapun, kedua-dua mereka dibebaskan dengan wang jaminan RM50,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam lawan sesawang suruhanjaya itu.

Dua individu berkenaan, masing-masing berusia pertengahan 30-an dan awal 50-an didakwa terbabit pecah amanah wang melebihi RM1.1 juta dan penipuan melibatkan dana RM1 juta, katanya.

Mustafar berkata, tiga yayasan terbabit ditubuhkan antara 1980-an dan tiga tahun lalu, tidak didaftarkan sebagai badan kebajikan atau pertubuhan, sebaliknya bergerak sebagai sebuah syarikat dengan tanggungan berhad.

Kedua-dua individu berkenaan memegang jawatan sebagai pengarah dan pemegang amanah yayasan-yayasan terbabit.

Difahamkan wang telah dikeluarkan bertentangan dengan objektif penubuhan yayasan, katanya.

'Saya Bukan Pemilik Blog Papa Gomo' - Wan Muhammad Azri


Ketua Pegawai Eksekutif dan Editor KL Pos Media & Production Sdn Bhd Wan Muhammad Azri Wan Deris pada Isnin menafikan bahawa beliau adalah pemilik blog 'Papa Gomo'.

Beliau membuat penafian itu di Mahkamah Tinggi pada pendengaran kes saman Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya berhubung paparan video seks ketua pembangkang berkenaan dengan seorang lelaki.

Wan Muhammad Azri, 31, juga menafikan beliau adalah penulis, penerbit dan penyebar artikel atau imej berunsur fitnah terhadap Anwar dalam blog www.papagomo.com.

"Saya tiada pengetahuan mengenai artikel-artikel itu dan imej-imej tersebut. Blog saya adalah Malayrights.blogspot.com dan bukannya 'Papa Gomo'," katanya ketika disoal peguam N.Surendran, yang mewakili Anwar.

Bekas anggota polis itu turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau pernah ditangkap, ditahan reman dan disoal siasat berhubung laporan polis terhadap blog 'Papa Gomo' sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. 

Terdahulu, Anwar memaklumkan mahkamah bahawa perkataan yang dikeluarkan Wan Muhammad Azri dalam artikel berkenaan adalah fitnah dan penyiaran imej serta artikel dalam blog itu memberi kesan buruk terhadapnya sebagai seorang pemimpin politik.

"Ia memberi kesan buruk terhadap persepsi rakyat Malaysia, terutama orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini, terhadap saya dan perkara seperti ini dipandang hina oleh masyarakat di negara ini, terutama masyarakat Melayu," katanya.

Beliau berkata meskipun penyebaran artikel berkenaan menyaksikan majoriti undi kepadanya bertambah pada pilihan raya umum lepas, ia tetap memberi kesan negatif. Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013

 Selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosilah Yop bersambung hari ini.

Tiga Penjawat Awam DiTangkap Kerana Rasuah Di Terenggganu


Lima penjawat awam, tiga orang awam dan tiga warga asing antara 11 tangkapan rasuah yang dibuat tahun lepas.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Terengganu (SPRM), Tuan Zainal Adam berkata, pada tahun lepas, 21  kertas siasatan kes dibuka dan daripadaanya, 11 tangkapan dibuat.

Beliau berkata, SPRM amat memerlukan sokongan semua pihak bagi memberi kesedaran atau mendidik masyarakat tentang perlunya menjauhi perbuatan tersebut.


Sehubungan itu, di samping peranan media pihaknya juga telah membuka kaunter informasi di Pejabat Derah Besut dan Hulu Terengganu setiap hari Isnin dan Selasa, secara berselang seli.

Untuk berhubung dengan pegawai di pusat Informasi SPRM Besut disediakan talian 013 3837100 manakala Hulu Terengganu (019 3137400).

Tuan Zainal berkata dengan wujudnya kaunter informasi itu semua bahagian di negeri ini mempunyai kemudahan tersebut, di Selatan SPRM mempunyai cawangan di Kemaman, di Kuala Terengganu boleh terus ke ibu pejabat, manakala kini pula di buka kaunter di utara dan tengah (Hulu Terengganu).

Seramai kira-kira 30 wartawan dan pengamal media massa dan media baru hadir sama dalam perjumpaan mesra media dengan SPRM di Hotel Permai Inn hari ini (27 Januari).

Teganukita

Monday, January 27, 2014

Anwar Patut Belajar Daripada Pelakon Porno Jepun Maria Ozawa


Mingguan Malaysia semalam membandingkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bintang porno Jepun Maria Ozawa yang pernah dihalang masuk ke Indonesia suatu ketika dahulu kerana bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Menurut kolumnis Awang Selamat, Ozawa lebih berjiwa besar apabila tidak menyalahkan pemerintah Indonesia kerana dihalang masuk ke negara tersebut berbanding Anwar yang menyalahkan kerajaan Jepun dan Wisma Putra.

Pada tahun 2009 Ozawa atau dikenali sebagai Miyabi dihalang masuk ke negara Islam terbesar itu selepas menerima bantahan daripada NGO Islam republik tersebut.

"Dia sedikit pun tidak menyalahkan pihak Indonesia mahupun promoternya. Miyabi sedar bahawa dia yang menjadi punca permasalahan.

"Awang tertarik dengan sikap terbuka Miyabi walaupun dia dilabel sebagai tidak bermoral kerana kariernya itu, pelakon lucah lebih tahu menerima hakikat," kata Awang Selamat dalam edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia semalam.

Anwar mendakwa ada pihak yang menjadi dalang bagi kegagalannya memasuki Jepun bulan lepas.

Anwar mendakwa ada pihak yang menjadi dalang bagi kegagalannya memasuki Jepun bulan lepas.

Dalam pada itu, Awang Selamat juga mengecam Anwar kerana mengambil sikap menunding jari kepada kerajaan tanpa menyiasat terlebih dahulu.

"Penyakit beliau yang suka menyalahkan pihak lain atas kesalahan dan masalah diri sendiri, nampaknya belum pulih. "Anwar perlu menjadi warga global yang bertanggungjawab.

Mahu masuk ke negara lain, patuhilah peraturan termasuk untuk bekas banduan seperti dikuatkuasakan di Jepun," katanya lagi.

Pada 19 Januari baru-baru ini, Anwar dihalang memasuki Jepun oleh pihak imigresen negara tersebut. Anwar yang dikatakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 6.45 pagi bukan sahaja gagal melepasi pemeriksaan imigresen bahkan diarah pulang menaiki penerbangan pertama dari Tokyo. 

Ketua Pembangkang yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh itu kemudiaan mendesak Kementerian Luar memberi penjelasan tentang tindakan tersebut dan mempersoalkan peranan Wisma Putra dalam episod penuh skandal ini membabitkan "laporan terbaru" yang menyebabkan beliau dihalang masuk.

Putrajaya menafikan sebarang penglibatan dalam halangan tersebut dan menyifatkan dakwaan oleh Anwar sebagai tidak berasas.

Dalam pada itu juga, Kedutaan Jepun juga mengesahkan Ketua Umum PKR itu memerlukan kebenaran khas bagi mengunjungi negara matahari terbit itu kerana beliau pernah dipenjarakan di Malaysia.

Jurucakap kedutaan Tomoko Nagai berkata, Anwar sebelum ini memasuki Jepun pada 2011 dan 2012 melalui kebenaran khas dan kedatangannya baru-baru ini tidak melalui proses tersebut.

The Malaysian Insider

Jambatan Bukit Kuang Siap Ogos Depan - Menteri


Pembinaan jambatan Bukit Kuang di sini siap 84.8 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Ogos ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.

Beliau yang berpuas hati dengan kemajuan projek berkenaan berkata jambatan itu akan menjadi mercu tanda baharu di Terengganu khususnya di Kemaman.

"Sebelum ini kesesakan lalu lintas dari Chukai ke Kawasan Perindustrian Teluk Kalong sangat kritikal terutama pada waktu puncak apabila pengguna jalan raya terpaksa mengambil masa sehingga 45 minit untuk menyeberangi jambatan, namun apabila siap kelak perjalanan hanya mengambil masa lima minit.

"Ini adalah satu lagi kemudahan infrastruktur baharu untuk rakyat terutama bagi sektor pengangkutan di pantai timur yang akan membawa pelbagai manfaat untuk limpahan ekonomi, pelancongan dan pelbagai bidang lain," katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan jambatan itu semalam.

Beliau turut mendengar taklimat yang disampaikan Pengurus Besar Kanan Pembinaan, Pasukan Projek Wilayah Pembangunan Pantai Timur, Jabatan Kerja Raya Datuk Noor Azeman Yusoff.

Projek yang bernilai RM225.725 juta itu akan turut dilengkapi laluan bertingkat dari Teluk Kalong ke Chukai serta dibina 18 meter dari aras sungai untuk menyediakan laluan kapal di bawahnya.

Ia merupakan projek menaik taraf jalan sedia ada kepada laluan empat lorong dua hala selebar 3.07 meter termasuk jambatan sepanjang 970 meter dengan kos asal projek bernilai RM190.725 juta.

Peningkatan kos sebanyak RM35 juta adalah bagi menampung pembinaan skop tambahan laluan terus Chukai ke Teluk Kalong.

Jambatan bahagian barat iaitu dari Chukai ke Kuala Terengganu mula dibuka pada 31 Julai tahun lalu manakala jambatan bahagian timur dibuka kepada laluan mulai 13 Nov tahun lalu.

Buaya Tembaga Mati Tersangkut Pukat Di Sungai Bari

Bangkai buaya yang mati selepas terperangkap di pukat seorang nelayan di Pangkalan Kampung Beris Tok Ku, Setiu, Terengganu kelmarin.
Seorang nelayan dari Kampung Beris Tok Ku terkejut apabila pukat yang dipasang di Sungai Bari dekat sini tersangkut seekor buaya betina spesies tembaga berukuran kira-kira 4.8 meter dengan berat kira-kira 500 kilogram di Setiu kelmarin.

Reptilia berusia kira-kira lebih 30 tahun itu dikatakan kekenyangan selepas makan seekor babi sebelum tersangkut di pukat yang dipasang oleh nelayan berkenaan.

Seorang penduduk, Hussin Mamat, 57, memberitahu, kejadian itu disedari oleh nelayan terbabit yang juga rakannya semasa dia pergi ke Sungai Bari untuk melihat pukatnya pada kira-kira pukul 9 pagi.

Kosmo!

RM56.9 Juta Baiki Jalan, Cerun Rosak Akibat Banjir Di Tiga Negeri


Sebanyak RM56.9 juta diperlukan untuk membaiki jalan dan cerun yang rosak akibat banjir di Terengganu, Pahang dan Johor baru-baru ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak RM41.5 juta diperlukan Pahang, Terengganu memerlukan RM10.3 juta manakala RM5.1 juta untuk Johor.

"Kementerian telah mengenal pasti lokasi jalan raya dan cerun rosak melalui pemeriksaan teknikal dan akan memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan secepat mungkin.

"Namun, bagi kerosakan kritikal yang perlu disegerakan, kementerian akan menggunakan peruntukan dalaman sedia ada," katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan jambatan Bukit Kuang di Kemaman, semalam.

Beliau berkata kementerian masih memperincikan jumlah keseluruhan untuk membaik pulih jalan, jambatan dan cerun yang rosak itu. Fadillah dalam lawatan kerja dua hari ke Terengganu untuk meninjau perkembangan projek pembinaan di bawah Kementerian Kerja Raya.

Sunday, January 26, 2014

Liga Super: JDT, Terengganu, Pahang, Selangor Tumbang, T-Team Tewaskan JDT

Pemain T-Team, Azlan Ismail (kiri) cuba menghalang pemain Johor Darul Takzim, Safiq Rahim dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam semalam.
Saingan bola sepak Liga Super malam semalam menyaksikan beberapa kejutan besar di mana pasukan berstatus bintang, Johor Darul Ta’zim (JDT) tumbang 1-0 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Turut melakar kejutan pasukan berstatus kelab, Sime Darby yang menumpaskan juara Piala Malaysia dan Sumbangsih, Pahang 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Selangor pula gagal membawa pulang tiga mata daripada kunjungan ke Stadium Jalan Besar, Singapura apabila tewas 2-1 kepada penyandang juara liga, LionsXII.

Di Stadium Negeri, Kuching, tuan rumah, Sarawak gagal memanfaatkan aksi di tempat sendiri apabila tunduk 0-1 kepada Kelantan.

Perak pula mencatat kemenangan pertama musim ini dengan menumpaskan Terengganu 1-0 di Stadium Perak, Ipoh.

Kelmarin, wakil kelab Lembah Klang, Selangor PKNS FC bangkit mencatatkan kemenangan selepas menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 pada aksi tunggal Liga Super Jumaat malam yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu yang kalah 1-2 kepada Terengganu, Sabtu lepas berjaya mengutip tiga mata hasil jaringan tunggal Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-84.

Pemain PKNS, Mohd Aminudin (kanan) diasak oleh ketua pasukan ATM, Rezal Zambery dalam perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan PKNS 1 - 0 ATM dalam saingan Liga Super di Stadium Selayang pada Jumaat. 
Dalam pada itu, Kedah membuka saingan Liga Perdana 2014 dengan langkah kanan selepas mencatatkan kemenangan selesa 4-1 ke atas jiran mereka, Perlis di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Mereka bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal Mohd Farizal Rozali pada minit ke-21 sebelum bangkit dengan menjaringkan empat gol masing-masing menerusi Baddrol Bakhtiar pada minit ke-32, Billy Mehmet (36'(penalti) dan 80') dan Mohd Syazwan Zainon (43').

Pendatang baharu, Pulau Pinang yang muncul juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia, musim lepas turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Sabah 3-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Bekas penyerang Harimau Muda A, Md Rozaimi Abd Rahman mengejutkan pasukan tuan rumah dengan gol seawal minit ke-10 sebelum Pulau Pinang bangkit dengan tiga gol menerusi Mohamad Zharif Hasna (minit ke-44 dan 63) serta Hilton Mauro Moreira (60').

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan mengalahkan DRB-Hicom FC dengan kemenangan tipis 2-1. Josef Kaplan muncul wira skuad Rusa selepas meledak dua jaringan masing-masing pada minit ke-32 dan 52' sebelum pasukan lawan mengurangkan defisit jaringan menerusi Ogunboye Iyanul Ezekial pada minit ke-56.

Felda United FC pula berkongsi satu mata dengan wakil kelab Pulau Pinang, PBAPP FC selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Nasib berbeza dialami SPA Putrajaya FC dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) selepas kalah kepada lawan masing-masing di halaman sendiri. SPA Putrajaya tewas 0-1 kepada UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Melaka hasil jaringan tunggal Obi Ikechukwu pada minit ke-69. JDT II pula kalah mengejut 1-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sentuhan penyudah penyerang import dari Sepanyol, Braulio Nobrega Rodriguez pada minit ke-23.

Mereka bagaimanapun beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-36 selepas penjaga gol mereka, K. Sasikumar dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan kerana mengasari pemain lawan, Bobby Gonzalez di luar kotak penalti.

Kesempatan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya pasukan lawan kendalian Dollah Salleh yang berjaya menjaringkan tiga gol masing-masing menerusi Mohd Afif Amiruddin pada minit ke-50, Bobby (59') dan Mohd Fadhil Mohd Hashim (62').

Peningkatan Mendadak Kes Denggi Membimbangkan

Terdapat peningkatan membimbangkan dalam kes demam denggi di negara ini apabila bilangan kes dicatatkan lebih tiga kali ganda dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sehingga Rabu lalu, sebanyak 6,155 kes telah dilaporkan, peningkatan sebanyak 243 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun 2013.

Bilangan kematian juga telah meningkat dua kali ganda, dengan 10 kematian dilaporkan setakat ini berbanding hanya lima pada Januari tahun lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata Selangor mempunyai paling banyak kes denggi dengan 3,168 kes, membentuk 51 peratus daripada jumlah kes.

"Dua daripada 10 kematian adalah di daerah Hulu Langat," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan 'panas' denggi di Hulu Langat semalam.

Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing mencatatkan 666 dan 502 kes. Terdapat 333 kes di Negeri Sembilan, Melaka 241 kes, Kelantan 173 kes, Pulau Pinang 166 kes, Sabah 110 kes, Terengganu 100 kes, Sarawak 85 kes, Kedah 66 kes, Pahang 53 kes dan Perlis 20 kes.

Beliau berkata kenaikan mendadak kes ini amat membimbangkan dan menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memastikan rumah dan persekitaran tidak menjadi tempat pembiakan bagi nyamuk Aedes.

"Secara umumnya, masyarakat amat sedar mengenai bahaya denggi tetapi mereka masih cenderung untuk mengabaikan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan Aedes," katanya.

Angka-angka terkini peningkatan jangkitan denggi mungkin menunjukkan ia akan menjadi lebih teruk pada tahun ini, jika usaha-usaha untuk memusnahkan nyamuk Aedes tidak dipergiatkan.

Sebanyak 43,346 kes telah dicatatkan tahun lepas, dengan 92 kematian.

"Selangor mempunyai bilangan kes paling tinggi iaitu 23,852 atau 55 peratus dengan 25 kematian," kata Dr Subramaniam, sambil menambah daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak dikategorikan sebagai kawasan panas denggi.

Lebih empat juta premis diperiksa di seluruh negara dan kira-kira 15,000 kompaun telah dikeluarkan berjumlah RM7.7 juta.

"Kementerian akan meningkatkan usaha, terutamanya di kawasan panas denggi melalui usaha berterusan Ops Gempur Aedes bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk," kata Dr Subramaniam.

"Dari 1 hingga 22 Januari, kira-kira 168,000 premis telah diperiksa di seluruh negara dan 411 kompaun telah dikeluarkan dengan denda berjumlah RM205,500," katanya.

Langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi ancaman denggi termasuk kawalan biologi menggunakan semburan Bacillus thuringiensis israelensis (sejenis bakteria) untuk membunuh larva nyamuk.

"Kami akan menggunakan lebih semburan temephos ( racun perosak ) untuk membunuh larva dan nyamuk dewasa serta perangkap autocidal (satu kaedah baru untuk memerangkap dan membunuh larva dan nyamuk)," katanya.

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Dr Rose Nani Mudin memberitahu 'The Star' bahawa peningkatan dalam kes denggi adalah disebabkan pelbagai faktor.

"Sejak kebelakangan ini, terdapat lebih banyak kes di peringkat global dan penyakit ini disebarkan lebih cepat kerana pergerakan manusia.

Faktor lain adalah cuaca. Air hujan yang terkumpul dalam tong sampah, walaupun sedikit seperti satu sudu teh, cukup untuk nyamuk Aedes untuk membiak," katanya.

Dr Rose berkata kira-kira 70 peratus daripada kawasan pembiakan Aedes adalah di kawasan perumahan kerana nyamuk tertarik kepada kawasan berpenduduk padat.