Saturday, March 26, 2011

Pelajar SPM Terbaik Diiktiraf, Wajar Mendapat Bantuan Kewangan - PM

17 pelajar yang telah mengharumkan nama negeri dengan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2010. - Foto : Haris Fadzillah.

Kerajaan mengiktiraf bahawa semua pelajar yang mencapai keputusan terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajar mendapat bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inilah sebabnya mengapa semakin banyak agensi kerajaan dan sektor swasta tampil menyediakan biasiswa dan geran.

"Tahun lepas saya mengumumkan kerajaan akan menyediakan biasiswa kepada semua pelajar yang mendapat 9A+ atau lebih, tidak kira etnik atau kepercayaan mereka.

"Pada masa sama pelajar lain sewajarnya, yang keadaan sosio-ekonomi mereka mungkin menjejas keputusan SPM akan juga diberi bantuan.

"Saya sendiri telah menyerahkan geran kewangan kepada lebih 300 pelajar cemerlang SPM dan STPM 2009, disediakan oleh 1MDB, agar mereka dapat mencapai masa depan yang lebih cerah," kata beliau dalam blognya 1Malaysia.

Perdana Menteri menjawab komen daripada seorang daripada pengikutnya di Facebook, Keith Ng mengenai apa yang dapat disediakan kerajaan untuk pelajar cemerlang.

Bagaimanapun, Najib menarik perhatian bahawa ketika negara menunju kepada status negara maju, corak ekonomi makin pelbagai dan meningkat, dengan itu memerlukan modal insan yang memiliki kemahiran dan pengetahuan yang pelbagai.

Beliau berkata, ini bererti agensi dan sektor swasta yang mengeluarkan biasiswa perlu mengambil ingatan untuk melakukan pelaburan akademik yang akan menghasilkan faedah menjangkau lebih dari sepuluh tahun akan datang.

Najib juga mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang mendapat keputusan baik dalam SPM lepas, dan berkata tahun ini adalah keputusan terbaik yang dicapai dalam tempoh empat tahun lalu, dengan 9,239 pelajar mencapai A seluruhnya.

Bukan Awang Selamat Sahaja Yang Terkejut...


Pastinya berita mengatakan ramai wanita Terengganu mengambil syabu untuk kuruskan badan memang menggemparkan.


Isu ini dijangka akan menjadi perbualan di kalangan wanita, pemimpin tempatan dan juga pakar perubatan mengenai kesannya.

Tidak terkecuali yang terkejut ialah Awang Selamat. Baca ulasannya hari ini di Utusan Malaysia!

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

TERKEJUT Awang membaca berita ramai wanita di Terengganu menagih dadah jenis syabu semata-mata untuk menguruskan badan.

Mengikut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Supritendan Roslan Abdul Wahid, dadah itu dijadikan pil menguruskan badan dan menjadi popular di kalangan wanita pelbagai peringkat umur kerana dapat mengurangkan berat badan dengan cepat.

Justeru tidak hairanlah Awang apabila mengetahui mengapa sebahagian daripada kira-kira 100,000 penagih dadah yang ditahan di negeri tersebut tahun lepas terdiri daripada wanita.

Oleh kerana hendak kuruskan badan dengan pantas, ada yang sanggup berbelanja RM1,000 untuk membeli satu gram syabu manakala yang kurang mampu dikatakan membeli pil kuda pada harga RM25 hingga RM30 sebiji.

Awang yakin, gejala yang tidak ramai menyangkanya, turut melibatkan ramai lagi wanita di negeri-negeri lain.

Dalam keghairahan mengejar impian untuk kelihatan langsing itu, tidakkah golongan wanita menyedari betapa bahayanya dadah? Yang pasti, ia bukan kaedah terbaik.

Banyak lagi kaedah mengurangkan berat badan atau mengekalkan kerampingan badan tanpa perlu memperjudikan kesihatan diri.

Kaedah-kaedah tradisional dan yang lazim dipraktikkan sudah cukup memadai sekalipun ia tidak mungkin berlaku dalam sekelip mata. Pilihlah kaedah terbaik.

Awang – Suka berjoging.

Projek Perumahan Bernilai RM30 Juta Bakal Dibina Di Bukit Tunggal

Sebuah taman perumahan bernilai RM30 juta akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal tahun ini bagi menampung keperluan kediaman mampu milik penduduk di kawasan berkenaan.

Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, projek yang melibatkan 300 unit rumah pangsa setinggi empat tingkat itu dijangka siap akhir tahun depan.

"Peruntukan untuknya sudah ada dan kini sebuah tapak seluas kira-kira dua hektar bagi membangunkan projek berkenaan sedang dicari," katanya selepas merasmikan balai raya Kampung Seberang Tuan Chik di Kuala Terengganu, semalam.

"Apabila siap kelak projek itu akan dilengkapi dengan kemudahan prasarana seperti surau, dewan orang ramai, taman permainan dan lain-lain untuk penduduk di situ," tambahnya.

Mohd Nasir berkata projek berkenaan dilihat mampu menangani masalah kekurangan tempat tinggal terutama bagi golongan muda yang sudah berkeluarga di kawasan berkenaan.

Katanya projek berkenaan perlu memandangkan kawasan Kuala Nerus khasnya Bukit Tunggal begitu pesat membangun sekaligus membawa ketibaan ramai penduduk yang memerlukan taman-taman perumahan baru diwujudkan.

Wanita Terengganu Menagih Syabu Untuk Kuruskan Badan?

Benarkah ini? Apakah ini cara berkesan dan terbaik?

Kebanyakan wanita di Terengganu yang menagih dadah jenis syabu menggunakan dadah jenis itu untuk menguruskan badan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Supt Roslan Abdul Wahid.

Roslan berkata golongan wanita dikesan menggunakan dadah jenis syabu sebagai pil menguruskan badan paling cepat dan berkesan untuk mengurangkan berat badan.

"Ia bukan sahaja diambil oleh wanita yang berkerjaya malah pelbagai peringkat umur dikesan mengambil bahan larangan itu sebagai jalan mudah untuk menguruskan badan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Polis ke-204 peringkat Terengganu semaslam.

Roslan berkata sebahagian daripada kira-kira 10,000 penagih dadah yang ditahan pada tahun lalu terdiri daripada golongan wanita.

"Ada yang sanggup berbelanja RM1,000 untuk membeli satu gram syabu manakala bagi yang kurang berkemampuan, mereka menggunakan pil kuda berharga antara RM25 hingga RM30 sebiji," katanya.

Fatehah Pungut Mata Kelayakan Olimpik

Pelumba negara, Fatehah Mustapa berjaya mencuri mata kelayakan Olimpik 2012 apabila menduduki tempat ke-10 dalam acara 500m ujian masa pada Kejohanan Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda kelmarin.

Kejutan yang diharapkan pada Kejohanan Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda belum menjadi, malah pelumba negara yang menyertai acara pecut berpasukan, 500 meter ujian masa wanita dan perlumbaan scratch sekadar melengkapkan jadual kelmarin.

Trio negara, Josiah Ng, Edrus Yunos dan Rizal Tisin terlebih membuka tirai perlumbaan untuk kem Malaysia, namun mereka sekadar menduduki tempat ke-15 daripada 18 pasukan dalam saingan akhir dengan melakukan catatan 46.470 saat.

Pelumba tunggal wanita, Fatehah Mustapa pula mempamerkan persembahan sedikit membanggakan apabila memungut mata kelayakan Sukan Olimpik dalam acara 500m ujian masa selepas menduduki tempat ke-10 (36.458s).

Malang buat pelumba remaja negara, Muhd. Arfy Qhairant Amran kerana gagal menghabiskan perlumbaan scratch dalam penampilan pertamanya pada Kejohanan Trek Dunia.

Pengurus pasukan, Datuk Naim Mohamad tetap berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan Fatehah kerana menepati sasaran yang ditetapkan, walaupun sedikit mendukacitakan apabila skuad pecut berpasukan sekadar menduduki tempat ke-15 daripada 18 pasukan dalam saingan akhir.

"Bagi memperoleh mata kelayakan Sukan Olimpik mereka perlu menduduki tempat 10 terbaik namun kita gagal dalam pecut berpasukan, cuma Fatehah sahaja yang memperoleh mata tersebut selepas meraih tempat ke-10," katanya kelmarin.

Jelasnya, walaupun Fatehah berjaya meraih mata tetapi kayuhannya tidak berapa mantap kerana pelumba kelahiran Terengganu itu pernah melakukan masa yang lebih baik dengan kayuhan 50 kilometer sejam berbanding 49km sejam, kelmarin.

"Pasukan pecut boleh saya klasifikasi sebagai kurang bernasib baik kerana basikal milik pelumba veteran, Josiah mengalami sedikit masalah, seterusnya menghalang mereka untuk mencatat masa yang baik walaupun Rizal dan Edrus sudah memberikan kayuhan mantap.

"Saya juga berasa tidak terkejut dengan prestasi Arfy kerana dia masih kurang pengalaman berbanding pelumba lain yang sudah masuk peringkat senior, sekurang-kurangnya dia belajar daripada kesilapan kali ini," katanya.

Sementara itu, Edrus berkata, dia telah mencuba sebaik mungkin bagaimanapun hanya itu yang mampu diberikannya walaupun tidak berdepan dengan sebarang masalah dalam perlumbaan pecut berpasukan itu.

"Mungkin saya belum mencapai persefahaman yang mantap dengan Josiah dan Rizal, namun saya yakin masih ada ruang buat kami untuk memperkemaskan rentak kayuhan dan mencapai sasaran untuk melakukan kayuhan bawah 46 saat," katanya.

Bagi Fatehah pula, dia mengakui sudah mencuba yang terbaik tetapi tetap berpuas hati dengan prestasi kayuhannya dan bersedia untuk memberi tumpuan bagi acara lain pula.

"Fokus saya sekarang ini adalah untuk perlumbaan scratch dan keirin, sudah tentu saya mahu melakukan yang terbaik berbanding semalam, terutama sekali dalam acara kegemaran saya, keirin," kata pelumba yang disenaraikan dalam Program Road To London 2012 itu.

Saingan pelumba negara akan diteruskan awal pagi ini apabila Edrus turun dalam acara pecut 200m bersama dengan pelumba muda Arfy.

Anak Jamin Ayah Yang Dituduh Merogol

Kasih seorang anak!

Walaupun masih bergelar penuntut, namun disebabkan tidak sanggup melihat bapa kandung meringkuk di penjara atas tuduhan merogol, seorang anak sanggup menjadi penjamin dengan membayar wang jaminan sejumlah RM10,000 setelah dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, kelmarin.

Sebelum ini, pada 17 Mac lalu, tertuduh, Mohd Fauzi Anang, 59, dari kampung Wakaf Tengah tidak dibenarkan diikat jamin selepas ahli keluarganya gagal menghadirkan diri semasa pertuduhan dijalankan.

Namun, Hakim Tuan Mohd Azman Mustapha semalam membenarkan anak kepada ‘tok bomoh’ yang dituduh merogol seorang guru tadika berumur 29 tahun pada 7 Mac lalu selepas mengambil kira pengakuan tidak bersalah atas tuduhan itu.

Selain itu, Tuan Mohd Azman turut mempertimbangkan permohonan peguam bela tertuduh, Datuk Mohd Hakimi Abdul Kadir yang memohon agar tertuduh dibenarkan diikat jamin selepas mengambil kira faktor usia dan juga kesihatan tertuduh semakin uzur.

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Chooi Ooi Goik dan hakim menetapkan 18 April sebagai tarikh perbicaraan.

Mengikut pertuduhan sebelum ini, pada 7 Mac lalu jam 12 tengah malam di kampung Seberang Tepoh, tertuduh dituduh merogol seorang guru tadika di dalam sebuah bilik di kediaman ‘tok bomoh’ berkenaan ketika sedang merawat mangsa selepas mendakwa terkena buatan orang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

PDRM Azam Tingkat Imej, Tambah Pegawai Dan Anggota

Sebahagian anggota polis melakukan perbarisan pada majlis sambutan peringatan Hari Polis ke-204 di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC Datuk Hamzah Jamil berkata menerusi Ops Payung di semua daerah seluruh negeri pada 28 Mac ini, Polis Terengganu akan menempatkan anggota di kawasan seperti pasar tani, pusat membeli-belah dan berhampiran kawasan sekolah di 35 lokasi terpilih.

"Kita akan menempatkan anggota di tempat tertentu bertujuan memudahkan orang ramai yang ada persoalan atau masalah berinteraksi dengan warga PDRM secara tidak formal, " katanya ketika berucap sempena Hari Polis ke-204 di Marang.

Di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berazam meningkatkan imej polis ke suatu tahap lebih tinggi menerusi transformasi yang dilakukan termasuk menambah pegawai dan anggotanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata integriti adalah kunci utama kepada perubahan ini kerana dengan kepercayaan dan keyakinan daripada rakyat sahajalah PDRM dapat meneruskan usaha untuk membuat perubahan.

"Pasukan polis yang sedang dibentuk menerusi pengambilan baru ketika ini juga perlu melalui proses perubahan. Saban tahun kita dapati begitu ramai tampil dengan hasrat untuk menyertai pasukan polis," di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumoru semalam,

Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Panglima Tentera Darat Datuk Seri Zulkfeli Mohd Zin.

Hishammuddin yakin jika proses pengambilan ditingkatkan dengan memberi keutamaan terhadap ciri-ciri baru yang memenuhi kriteria digariskan bagi memastikan pasukan yang bakal dibentuk muncul sebagai sebuah pasukan lebih disegani dan dihormati.

"Pucuk kepimpinan PDRM perlu melihat lebih dalam terhadap usaha untuk mencari dan mengenal pasti anak-anak muda daripada pelbagai latar belakang dan kaum yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan.

"Kita tidak boleh hanya menunggu mereka datang kepada kita tetapi kita perlu ke depan dan mengenal pasti mereka yang berpotensi sejak dari peringkat lebih awal," katanya.

Hishammuddin menegaskan bahawa PDRM amat positif dan komited dalam menjayakan agenda transformasi khususnya melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dengan mengurangkan kadar jenayah indeks sebanyak lima peratus dan menurunkan kadar jenayah jalanan 20 peratus sehingga penghujung tahun lepas.

"Dengan berkat kesungguhan warga PDRM, sasaran itu berjaya dicapai melebihi daripada angka asal yang disasarkan, dengan jenayah indeks berjaya dikurangkan sehingga 15 peratus manakala jenayah jalanan berjaya dikurangkan sehingga 35 peratus dalam tempoh itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata KDN sedang berusaha memperkukuhkan skim perkhidmatan PDRM melibatkan Pegawai Kanan PDRM, perubahan gaji matriks dan elaun di kalangan pegawai rendah polis dan konstabel.

"Skim perkhidmatan baru yang akan diperkenalkan ini bertujuan menambah baik dalam perkara berkaitan dengan kelayakan masuk, penggredan semula struktur pangkat, struktur gaji matriks dan imbuhan tetap.

"Ia sejajar dengan saranan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM bagi memastikan skim perkhidmatan polis sentiasa relevan dan berdaya saing berbanding skim perkhidmatan lain," katanya.

Terdahulu, Hishammuddin memeriksa barisan kawalan kehormat 95 anggota PDRM dan menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada 12 anggota PDRM.

Majlis itu diserikan dengan beberapa persembahan antaranya persembahan "Gayung Perang" oleh 69 anggota komando dan pancaragam polis.

Remaja Bawah Umur 'Demam Panas' Mahu Bersalin

Disangkakan demam panas, rupa-rupanya sakit mahu bersalin.

Itulah hakikat pahit yang terpaksa ditelan seorang bapa yang hanya mengetahui anak gadisnya sarat mengandung dan cuma menunggu saat untuk melahirkan bayi ketika menghantar anaknya itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana suhu badannya panas.

Hati bapa mana yang tidak hancur apabila mengetahui berita berkenaan daripada doktor, apatah lagi si anak gadis masih di bawah umur.

Bagaimanapun, demi maruah, bapa berkenaan nekad membuat laporan polis di Balai Polis Chukai, di Kemaman, Selasa lalu.

Meskipun sudah sarat mengandung, namun ‘perut membusung’ gadis itu yang dikatakan tidak kelihatan menyebabkan bapa terbabit dan ahli keluarga lain tidak menyedari anaknya itu mengandung luar nikah.

Sinar Harian difahamkan, pada hari sama bapa berkenaan membuat laporan polis, anak gadisnya yang ditahan di wad juga telah selamat bersalin di Hospital Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes itu berkata, suspek bagi kes berkenaan adalah teman lelaki mangsa sendiri.

“Suspek berumur 19 tahun dan berasal dari Bukit Kelulut, Marang. Sekarang kita sedang mengesan suspek.

“Berdasarkan soal siasat awal juga, mangsa yang sudah tidak bersekolah turut mengakui telah melakukan hubungan seks lebih daripada 25 kali bersama teman lelakinya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawal pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlalu bebas seterusnya mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku.

324 Mangsa Banjir Sekitar Gong Badak, Tok Jembal Dipindah

Sebahagian mangsa banjir kilat berada di pusat pemindahan sementara di SK Tok Jembal, Kuala Terengganu, semalam.
Seramai 324 orang daripada 74 keluarga di sekitar Gong Badak dan Tok Jembal dekat sini berpindah ke tiga pusat pemindahan setelah rumah mereka dilanda banjir kilat malam tadi.

Menurut Majlis Keselamatan Negeri (MKN), 263 mangsa daripada 60 keluarga dari Taman Uda Murni dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal.

Sementara itu, jurucakapnya memberitahu, 52 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Pak Tuyu pula ke SK Tanjung Gelam serta sembilan mangsa daripada dua keluarga dari Taman Jati dipindahkan ke Dewan Sivik Gong Badak.

Katanya, hujan lebat sejak pukul 8 malam hingga pukul 4 pagi tadi menyebabkan kawasan perumahan di kampung berkenaan dinaiki air antara 0.5 meter sehingga 1 meter.

Bagaimanapun, katanya, tiada laluan ditutup dan kenderaan masih boleh menggunakan jalan terbabit.

"Kebanyakan mangsa mula berpindah bermula 12 malam hingga 2 pagi tadi ekoran bimbang rumah ditenggelami air, namun jika keadaan kembali pulih mereka dibenarkan pulang ke rumah pada bila-bila masa sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Jabatan Meteorologi negeri, taburan hujan luar biasa iaitu 260 mililiter dalam tempoh lapan jam menyebabkan kawasan berkenaan dilanda banjir kilat.

Jurucakapnya memaklumkan, taburan hujan berkenaan adalah sangat luar biasa.

"Kita menjangkakan taburan hujan 260 mililiter untuk tempoh sebulan bagaimanapun ia berlaku dalam tempoh lapan jam sahaja," katanya.
Utusan Malaysia

Premis Niaga Dipenuhi Selut...

Hujan lebat yang turun selama lapan jam bermula 8 malam kelmarin menyebabkan beberapa buah kedai di hadapan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dekat Kuala Terengganu ditenggelami air sedalam 0.5 meter.

Difahamkan, banjir kilat itu berlaku ekoran masalah sistem saliran dan perparitan yang tidak diselenggara.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit mendapati, pekerja beberapa buah premis sedang giat membersihkan kedai mereka yang dipenuhi selut dan sampah-sarap.

Menurut seorang pemilik kedai gambar, Eyong Hang, 26, masalah tersebut berlarutan sejak hampir 20 tahun lalu.

Katanya, walaupun perkara itu beberapa kali diadukan kepada pihak berkuasa tempatan namun ia masih tidak dapat diatasi.

"Setiap kali hujan lebat berterusan selama satu jam, kami terpaksa bersiap sedia untuk berniaga dalam air kerana setiap kali itulah kedai ini akan ditenggelami air," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, dia dan beberapa lagi peniaga sekitar kawasan itu tidak menafikan punca utama banjir kilat di situ disebabkan oleh longkang yang sempit dan tidak berfungsi dengan baik.

Katanya, banjir kilat berkenaan turut menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya yang teruk selain dipenuhi sampah selepas air surut sehingga mengakibatkan bau busuk dan mencemarkan pemandangan.

Katanya, walaupun kejadian itu hanya menyebabkan sedikit sahaja kerugian namun ia menjejaskan operasi perniagaan.

"Kami bersedia dari awal dengan mengalihkan barangan dan peralatan elektronik ke tempat lebih tinggi, namun jika perkara ini sering berlaku akan menjejaskan imej kedai kami dan pastinya bandar raya ini," katanya.

Friday, March 25, 2011

41 Pencarum Berusia 75 Tahun Ke Atas di Terengganu Tidak Tuntut Caruman KWSP

Seramai 41 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 75 tahun ke atas dari Terengganu dikenal pasti tidak menuntut caruman mereka sehingga Disember tahun lepas.

Jumlah di Terengganu itu adalah antara 1,960 pencarum yang dikenal pasti mengikut negeri daripada 188,733 keseluruhan yang tidak menuntut caruman mereka.

Keseluruhannya sebanyak RM377.8 juta caruman masih belum dituntut, persidangan Dewan Rakyat diberitahu kelmarin.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata berdasarkan rekod KWSP, hampir keseluruhan maklumat tentang pencarum terbabit adalah tidak lengkap memandangkan rekod pencarum yang terdahulu tidak mempunyai maklumat negeri.

Selain Terengganu seramai 41 orang, yang lain ialah Johor 124 kes, Kedah (101), Kelantan (26), Melaka (33), Negeri Sembilan (43), Pahang (76), Perak (141), Pulau Pinang (148), Sabah (236), Sarawak (371), Selangor (340), Terengganu (41) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (280).

"Jumlah keseluruhan caruman bagi negeri-negeri yang dikenal pasti itu berjumlah RM195.9 Juta, manakala selebihnya yang berjumlah RM358.2 juta adalah jumlah caruman daripada 186,773 kes yang tiada maklumat negeri," katanya menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan).

Awang Adek berkata caruman yang tidak dituntut itu akan disimpan dalam akaun KWSP sehingga ahli berumur 80 tahun iaitu lima tahun selepas ahli tidak mencarum dengan KWSP.

Katanya selepas pencarum mencapai umur 80 tahun, caruman tersebut akan dipindahkan kepada bahagian pendaftar wang tidak dituntut iaitu selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

"Bagaimanapun, sekiranya pencarum atau waris ingin membuat tuntutan caruman selepas caruman itu dipindahkan, KWSP akan membantu dengan mengeluarkan dokumen dan maklumat sebagaimana prosedur tuntutan ditetapkan," katanya.

Mengikut undang-undang, wang yang tidak dituntut oleh pemunya akan dipindahkan daripada Akaun Amanah Disatukan kepada Akaun Hasil Disatukan selepas 15 tahun dari tarikh penerimaan oleh Pendaftar Wang Tak Dituntut.

1,513 Jawatan Kosong Bomba Masih Dibuka

Sebanyak 1,513 jawatan kosong dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) masih dibuka kepada mereka yang berkelayakan sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah itu, 191 keperluan adalah di Bahagian Pengurusan dan Profesional, 370(Bahagian Sokongan 1) dan 952 lagi di Bahagian Sokongan 2.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, kekosongan terbanyak adalah bagi jawatan Pegawai Bomba, Gred KB17 (Bahagian Sokongan 2) iaitu sebanyak 759.

“Justeru, saya berharap agar anak-anak muda termasuk yang bukan bumiputera tidak melepaskan peluang untuk menyertai perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Majlis Tamat Latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai di Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.

Dalam pada itu, Lajim berkata, kementeriannya akan memastikan lapan buah balai bomba yang masih dalam pembinaan akan disiapkan selewat-lewatnya tahun depan.

“Pembinaan ini merupakan kesinambungan daripada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Lajim memberitahu, JBPM bersedia untuk dihantar menyertai misi menyelamat di Jepun ekoran kejadian tsunami dan gempa bumi yang melanda negara itu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan Jepun setakat ini masih enggan menerima bantuan skuad penyelamat dari negara luar kerana bimbang masalah lain seperti ancaman radiasi akan menular kepada pihak tersebut.

“Kita hormati prinsip Jepun dan kita yakin negara itu dapat bangun semula sebagaimana mereka bangun selepas kejadian yang menimpa Hiroshima dahulu,” katanya.

Wednesday, March 23, 2011

Kerajaan Guna Segala Kudrat Tunai Janji: Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kanan) menunjukkan buku Perkhidmatan Awam selepas majlis pelancarannya sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-12 (MAPPA XII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya semalam.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata apabila kerajaan mengaku untuk melaksanakan sesuatu, ia akan menunaikannya dengan menggunakan segala ikhtiar dan kudrat yang ada.

Malah, kata Perdana Menteri, sebelum berjanji lagi, kerajaan akan memastikan apa yang dinyatakan itu bersifat realistik, dalam kemampuan kerajaan yang wajar, bertanggungjawab dan mengambil kira semua aspek kesejahteraan rakyat serta kepentingan jangka panjang.

"Segala-galanya berlandaskan falsafah induk Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib berkata perbezaan antara parti yang bertanggungjawab dan yang tidak bertanggungjawab boleh dilihat melalui janji yang dibuat kepada rakyat setiap kali menjelang pilihan raya. Beliau berkata parti yang bertanggungjawab tidak akan semberono mengaku untuk berbuat apa-apapun yang tampak hanya bermanfaat dalam jangka pendek tetapi akan mendatangkan bencana kepada negara serta kesengsaraan kepada rakyat bukan sahaja dalam jangka panjang malah dalam masa terdekat pun boleh dirasa kesan buruknya.

"Pucuk pangkalnya, parti yang bertanggungjawab lebih rela tidak popular untuk jangka pendek daripada membangkrapkan negara dalam jangka panjang.

"Pastinya lagi, parti yang bertanggungjawab tidak sekali-kali akan membenarkan maruah negara dikompromi atau dipertaruhkan. Pendek kata, kerajaan ini tidak sanggup menyaksikan apa yang telah dibina dengan bertatih dan jerih payah selama ini lebur musnah begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata dokumen-dokumen janji pelbagai corak "sama ada biru laut, hijau gelap, putih dan terkini jingga yang disogokkan oleh pedagang-pedagang impian" semuanya itu tampaknya dihasil dan dikarang bersandar kepada keseronokan sementara sehingga kadang-kalanya membuatkan segelintir terpegun dan terpedaya kononnya "ada tempayan emas di kaki pelangi".

Najib berkata kerajaan tidak mahu melihat negara terpaksa bergantung kepada ehsan institusi kewangan antarabangsa seperti nasib yang menimpa sesetengah negara menadah tangan meminta-minta pada satu masa nanti, hanya kerana ingin menjadi parti populis untuk seketika.

"Oleh itu, kita tidak akan membiarkan suatu hari kelak, Malaysia berubah status dari negara industri moden berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah 'failed state' atau gagal akibat daripada ketidakbertanggungjawaban fiskal dan ketidaktelitian kewangan," katanya.

Sebab itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan antara lainnya melaksanakan dasar untuk merasionalisasikan subsidi kerana secara prinsipnya, kerajaan percaya subsidi penting bagi golongan dan sektor yang memerlukan.

"Namun, kita mesti faham bahawa sumber kerajaan adalah terhad manakala permintaan pula, sifatnya tidak berkesudahan.

"Justeru, untuk menjadi sesuatu faktor yang positif, subsidi mesti dioptimumkan dengan memberikannya kepada kumpulan dan sektor sasar yang benar-benar memanfaatkan rakyat dan negara.

"Maksudnya di sini, adalah tidak adil kepada mereka yang memerlukan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan, seandainya subsidi diberikan secara pukul rata tanpa mengira kemampuan," katanya.

Najib berkata bagi memastikan disiplin fiskal terlaksana dengan berhemah, bukan sahaja perbelanjaan wajar dikawal malah sumber hasil juga harus ditingkatkan.

Beliau berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi mana-mana pihak untuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang bersifat populis tanpa menjelaskan kepada rakyat apakah kos sebenar serta apakah pula pelan dan rencana untuk membiayainya.

Katanya dengan hanya menyatakan bahawa ia akan dibiayai semata-mata daripada hasil penjimatan ketirisan bukanlah satu penjelasan yang telus dan sepatutnya kerana ia tidak menceritakan kedudukan sebenar dan tidak menjelaskan secara terang kepada rakyat tentang keperluan sebuah kerajaan yang baik untuk menambah hasil dan mengelak daripada dilanda sindrom "ketagihan" sumber asli.

Oleh itu, Najib berkata dalam membuat pilihan, berwaspada serta berhati-hati dan jangan mempertaruhkan masa depan anak-anak kepada "tangan mereka yang tidak bertanggungjawab".

"Begitulah dalam kehidupan bernegara, kita berada pada satu titik di garisan yang amat penting. Di antara masa depan yang lebih cerah dengan kemakmuran atau masa depan yang kelam dan kekurangan.

"Ini bukanlah masa untuk mencuba-cuba, ini bukanlah masa untuk bereksperimen sebaliknya ini adalah masa untuk terus berpegang dan berpaut kuat dengan apa yang telah sedia terbukti dan teruji sejak sekian lama," katanya.

Pakatan pembangkang telah memperkenalkan apa yang dipanggil sebagai "buku jingga" yang menjanjikan antara lainnya imbuhan bulanan RM500 kepada guru, menghapuskan tol dan menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

Terengganu Disaran Tubuh Majlis Pembangunan Pelancongan

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) menyaran agar kerajaan negeri menubuhkan Majlis Pembangunan Pelancongan Negeri Terengganu (MPPNT) bagi memantap dan menyelaraskan industri pelancongan di negeri ini.

Pengerusi PPNT Wan Supian Wan Ishak berkata dengan adanya MPPNT, ia mampu memberi tumpuan yang lebih menyeluruh dalam pembangunan industri pelancongan.

"Dengan adanya MPPNT, semua aktiviti berkaitan dengan pelancongan akan dapat diselaraskan di bawah satu bumbung," katanya selepas majlis perasmian Forum Pelancongan Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya walaupun kini ada Lembaga Penggalak Pelancong Malaysia (Malaysia Tourism) atau Pejabat Kementerian Pelancongan di Terengganu, tetapi peranannya tidak begitu menyeluruh.

"Apabila MPPNT ditubuhkan, kita boleh menjemput wakil-wakil dari Sabah atau Johor bagi membantu kita merancakan lagi industri itu di sini kerana mereka sudah mempunyai majlis berkenaan," katanya.

Sementara itu Wan Abdul Hakim berkata, kerja-kerja awal pembangunan kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir berjalan lancar dan kini sudah di peringkat terakhir.

Katanya, semua perancangan akan siap mengikut jadual seperti yang ditetapkan siap pada Ogos 2012.

Wan Abdul Hakim berkata, kerajaan juga akan menambahkan tempat-tempat penginapan seperti di Petang Island Resort (PIR) di tasik itu daripada 26 bilik yang ada sekarang menjadi 50 bilik.

"Kita tambah bilik dan kemudahan lain di tasik itu secara berperingkat-peringkat bergantung kepada peruntukan yang diluluskan kerajaan," katanya.

MB Ziarah Makam Bonda Yang di-Pertuan Agong

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa kira-kira setengah jam pagi semalam selepas tiba dari luar negara, menziarahi makam bonda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Makam Diraja Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang.

Beliau yang baru tiba dari lawatan kerja di Republik Chech dan Ireland, menghadiahkan al-Fatihah dan bacaan Yassin serta tahlil yang diketuai Imam Masjid Buluh Gading, Ustaz Mastura Mohamad, kepada roh Almarhum Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisahmuddin Alam Shah.

Suasana suram menyelubungi makam tersebut ketika hadirin khusyuk membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Makam Almarhum Tengku Ampuan Bariah yang terletak bersebelahan makam suaminya, Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafibillah Shah masih basah disiram air mawar serta dipenuhi bunga-bungaan.

Turut hadir melawat makam itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda, Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Rozali Salleh, kakitangan awam serta pihak media.

Almarhum Tengku Ampuan Bariah, 78, mangkat di Hospital Seri Kota, Klang dan jenazahnya tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 kira-kira jam 11.45 pagi semalam.

Kerajaan Terengganu Isytihar Berkabung 40 Hari

Semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri/persekutuan dan badan-badan berkanun di Terengganu diminta mengikuti peraturan perkabungan sebagai tanda berdukacita atas kemangkatan bonda Yang di-Pertuan Agong Tengku Ampuan Bariah Sultan Hishamuddin Alam Shah.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata dalam tempoh perkabungan 40 hari bermula 21 Mac hingga 29 April itu, pegawai dan kakitangan lelaki Melayu diminta memakai songkok berlilit kain putih berukuran satu inci bagi menghormati perkabungan itu.

"Manakala peraturan pemakaian bagi kakitangan wanita Melayu pula berselindang atau berkain tudung berwarna putih," katanya pada sidang media di kediamannya petang semalam yang turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Datuk Wan Ahamad Wan Muda.

Ahmad Said berkata bagi pegawai dan kakitangan bangsa lain, mereka dikehendaki bertali leher hitam atau lilitan lengan hitam di sebelah kanan (bagi lelaki) dan lilitan lengan hitam bagi wanita.

Katanya polis dan tentera pula dikehendaki menurut cara pemakaian yang telah ditetapkan oleh peraturan pakaian jabatan masing-masing.

"Kita juga harap orang ramai di Terengganu turut sama berkabung dengan memakai songkok berlilit kain putih bagi lelaki Melayu dan lilitan lengan hitam bagi bukan Melayu," katanya.

Ahmad berkata segala perhimpunan ramai dan majlis-majlis atau acara-acara anjuran kerajaan dan bukan kerajaan yang berunsurkan hiburan adalah dilarang diadakan di seluruh negeri Terengganu dalam tempoh itu.

Bagaimanapun, katanya majlis atau acara yang berunsurkan keagamaan, pendidikan, riadah dan ilmiah adalah dibenarkan.

Katanya bendera juga hendaklah dikibarkan separuh tiang di semua bangunan kerajaan atau separuh kerajaan, bangunan perniagaan dan kediaman di negeri itu.

Semua masjid dan surau di Terengganu juga diarahkan mengadakan majlis tahlil selama tujuh hari, katanya.

Insentif RM230,000 Tingkat Hasil Nanas

Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) membelanjakan sebanyak RM230,000 bagi tujuan insentif kepada peserta ladang kontrak di negeri ini tahun lalu.

Ketua Pengarah LPNM, Sahdan Salim berkata, insentif yang disalurkan itu meliputi infrastruktur ladang, peralatan, pemasaran dan latihan dalam meningkatkan pengeluaran hasil nanas.

“Insentif ini disediakan kerana Terengganu negeri ketiga terbesar dalam pengeluaran nanas selain Sabah dan Johor.

“Pembabitan seramai 125 peserta seluruh negeri ini dalam insentif penanaman baru 2010 menunjukkan komitmen yang baik terutama dalam memastikan pengeluaran nanas mencapai sasaran LPNM,” katanya.

:Menurutnya, LPNM mengutamakan program ladang kontrak bertujuan menjamin pasaran nanas selain meningkatkan pendapatan pekebun dalam industri ini serta memastikan pemasaran buah secara lebih sistematik.

“Kita juga akan memberi keutamaan terhadap pengeluaran hasil berkualiti dan mapan serta menepati kehendak pasaran melalui Amalan Pertanian Baik (GAP),” katanya.

Sementara itu, Sahdan berkata, Pusat Pembangunan Teknologi Tanaman Nanas (PPTTN) di Sungai Tong akan bertindak sebagai pusat rujukan kepada pekebun, pemain industri, agensi swasta dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah di sini.

“Kita jangkakan dengan adanya PPTTN ini akan menjadi medium pengantara antara LPNM dengan kumpulan sasar ke arah menjadikan bidang penanaman nanas sebagai bidang pilihan sebelum dikomersialkan secara meluas.

“Berikutan faktor jarak PPTTN di Sungai Tong, Setiu dan agak jauh dari daerah lain, insya-Allah kita akan berusaha mewujudkan pejabat cawangan sekiranya terdapat keperluan sama seperti jabatan serta agensi lain,” katanya.

Tuesday, March 22, 2011

Kerajaan Belanja Hampir RM28 Juta Bantu Mangsa Banjir

Gambar Fail - Pelajar Membersihkan Bilik Darjah Selepas Dilanda Banjir di Terengganu.

Kerajaan membelanjakan RM27,938,057 bagi membantu mangsa banjir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata bantuan berupa kelengkapan harian, makanan, selimut dan tikar diagihkan kepada mangsa menerusi Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

"Kerajaan juga memperuntukkan wang ehsan sebanyak RM500 kepada anggota keluarga yang terjejas akibat banjir pada tahun lepas dan awal tahun ini," katanya.

Beliau menyatakannya menjawab pertanyaan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

Mohamed mahu tahu jumlah peruntukan oleh kerajaan kepada mangsa banjir di Johor, Melaka Negeri Sembilan dan Pahang pada Februari lepas.

Ketika menjawab soalan tambahan Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang ingin tahu jumlah peruntukan di negeri-negeri lain, Mohamed Nazri berkata sebanyak RM15.5 juta dibelanjakan bagi membantu 30,948 keluarga Kedah, RM8.3 juta di Perlis bagi membantu 16,457 keluarga dan RM70,100 di Terengganu untuk diagihkan kepada 402 keluarga.

Selain itu, kerajaan membelanjakan RM70,500 di Kelantan untuk diagihkan kepada 141 keluarga, RM15,000 bagi membantu 21 keluarga di Melaka, RM52,000 untuk membantu 104 keluarga di Johor dan RM23,500 bagi membantu 493 keluarga di Pahang.

Dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) Mohamed Nazri berkata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa kajian menyeluruh bagi program pencegahan banjir di seluruh negara sudah siap.

"Bagaimanapun, rancangan itu perlu dibuat secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan disebabkan pelaburan bagi tujuan itu adalah tinggi," katanya.

Lim mahu tahu kajian yang dibuat oleh kerajaan bagi mengatasi masalah banjir daripada terus melanda negeri-negeri yang terlibat.

'Second Honeymoon' Bawa Kesan Positif

Program terapi pengukuhan institusi kekeluargaan yang dikenali sebagai `second honeymoon’ memberi kesan positif apabila sebahagian peserta yang dipilih kerana mengalami masalah rumah tangga, kini mampu meneruskan kehidupan berumah tangga dengan baik selepas mengikuti program tiga hari dua malam itu.

Kerajaan Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) merintis program itu sejak tahun lalu dengan melaksanakan lima siri melibatkan 20 pasangan suami isteri setiap siri.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad, berkata kerajaan membelanjakan RM17,000 setiap siri bagi memastikan peserta mendapat manfaat sekaligus mempraktikkan apa yang sudah mereka pelajari menerusi program itu.

Katanya, sebahagian peserta diperolehi daripada senarai pasangan yang berdaftar di bawah khidmat kaunseling di Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT).

“Sebahagian daripada pasangan mereka yang ada masalah rumah tangga dan sedang mendapatkan kaunseling bagi mencapai kata sepakat dan membina kehidupan yang lebih baik. Manakala selebihnya adalah di kalangan pasangan yang dipilih oleh pihak penganjur dan tidak semestinya mereka ada masalah rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pasangan adalah mereka yang masih di fasa baru berumah tangga dan usia perkahwinan tidak lebih daripada lima tahun.

Katanya, ada juga peserta yang sudah berkahwin lebih daripada lima tahun namun lazimnya mereka berusia tidak lebih daripada 40 tahun dan berminat selain mampu memberi komitmen bagi menjalani program itu.

Yahya berkata, melihat keberkesanan program itu, kerajaan negeri akan meneruskan lagi pada tahun ini dengan mengekalkan lima siri yang dijalankan secara berperingkat-peringkat di pusat peranginan dalam negeri.

“Kita memilih pulau bagi melaksanakan program ini kerana suasananya yang damai, tenang dan sesuai untuk memulihkan keadaan pasangan supaya mampu berfikir dengan baik tanpa gangguan pihak luar. Pada masa yang sama, kita menyediakan beberapa aktiviti dan slot berguna kepada mereka dengan diawasi urusetia bertugas,” katanya.

Beliau berkata, selain second honeymoon, program lainnya adalah Keluarga Syurgaku, Ibu Sejati dan Parenting@Work yang menekankan nilai-nilai kecemerlangan kepada pasangan muda supaya kehidupan generasi akan datang lebih terarah serta mengikut acuan sebenar.

Untuk rekod, statistik perkahwinan di Terengganu bagi tahun 2004 sehingga pertengahan 2008 menunjukkan sejumlah 33,533 pasangan berkahwin telah didaftarkan. Daripada jumlah itu, seramai 5,365 jumlah pasangan telah bercerai.

Katanya, walaupun dilihat berlaku pertambahan dari segi kesedaran pasangan untuk berkahwin, peratusan penceraian juga dikenalpasti bertambah dari tahun ke tahun.

Situasi ini mewujudkan satu keadaan yang kurang baik di mana kesan pertambahan kadar penceraian telah menimbulkan banyak permasalahan sosial di kalangan masyarakat seperti isu kemiskinan, pendidikan, gejala sosial dan emosi anak-anak.

SPM –Terengganu Cipta Rekod Lagi?

Berbaloi Kerajaan Terengganu menyediakan pelbagai kemudahan dan peruntukan untuk menjamin pelajarnya cemerlang dalam peperiksaan.

Sebelum ini Terengganu juara peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Esok Rabu 23 Mac 2011, Terengganu dijangka mampu mengekalkan kedudukan sebagai negeri terbaik bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang akan diumumkan pada hari berkenaan.

Sumber-sumber Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan pelajar di seluruh negeri yang menduduki peperiksaan tersebut tahun lalu.

Jika keputusan itu yang bakal diumumkan di seluruh negara mulai jam 10 pagi Rabu ini memihak kepada Terengganu, bermakna negeri ini sekali lagi unggul menjuarai semua peperiksaan awam tahun 2010.

Terengganu mengekalkan kedudukan sebagai juara peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2010 yang sudah diumumkan sebelum ini.

Pada bulan lalu, Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, mengumumkan ekoran kejayaan Terengganu mengekalkan kedudukan terbaik STPM bagi seluruh negara kali ketiga berturut-turut, 30 pengetua sekolah menengah yang ada pelajar menduduki peperiksaanitu akan dihantar ke luar negara, sebagai insentif kejayaan.

Beliau berkata, 50 guru besar dan penolong kanan dari sekolah yang mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan UPSR tahun lepas juga akan dihantar ke luar negara kerana kejayaan Terengganu kekal sebagai juara 10 tahun berturut-turut.

Setakat ini kerajaan negeri memutuskan untuk menghantar 110 guru besar atau penolong kanan ke luar negara kerana kecemerlangan pelajaran dan bilangan itu akan bertambah kepada 140 orang jika Terengganu sekali lagi muncul juara SPM.

Terengganu muncul juara bagi peperiksaan buat kali pertama bagi peperiksaan SPM 2009 apabila keputusannya diumumkan Mac tahun lalu.

Sebelum ini kerajaan negeri menghantar guru besar dan pengetua dari sekolah yang mencatat keputusan terbaik dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM bagi menghargai jasa-jasa mereka membantu meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu.

Sekolah Khas Tingkatan Enam Tidak Perlu - Razali

Jabatan Pelajaran negeri tidak bercadang mengasingkan atau memindahkan pelajar tingkatan enam ke sebuah sekolah khas seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak.

Pengarahnya, Razali Daud berkata, jika ia dilakukan maka peranan kumpulan itu sebagai contoh kepada pelajar lain di 54 sekolah menengah di negeri ini tidak akan tercapai.

Menurutnya, pihak jabatan menyedari bahawa ketika di Tingkatan Enam, pelajar berupaya mengembangkan potensi diri dengan bantuan minimum guru dan sikap itu diharap dapat dicontohi oleh pelajar lain.

"Kita sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap sistem pembelajaran di tingkatan enam supaya lebih bercirikan sistem di universiti termasuk memperkenalkan pembelajaran bercorak kuliah dan tutorial.

"Di sekolah, jika pelajar menengah rendah mahu melihat ciri-ciri pembelajaran di institusi pengajian tinggi, mereka akan memerhatikan pelajar tingkatan enam," katanya ketika berucap menutup Seminar Pelajar Melayu dan Cabarannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah, dekat Kuala Terengganu, semalam.

Seminar anjuran bersama pihak jabatan, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) dan Biro Tata Negara (BTN) turut dihadiri Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad.

Sebelum ini, beberapa pihak mencadangkan sekolah khas diwujudkan bagi pelajar tingkatan enam bagi membolehkan tumpuan khusus diberikan bagi mempersiapkan mereka sebelum melangkah ke universiti.

Menurut Razali, pelajar tingkatan enam mula disediakan dengan suasana kendiri sebelum ke menara gading dan perubahan serta pendekatan itu menyebabkan permohonan kemasukan pelajar ke tingkatan enam meningkat saban tahun.

"Calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu turut didedahkan kepada pembelajaran bercorak penyelidikan ringkas serta penemuan sendiri dan tidak lagi terlalu terikat atau bergantung kepada teks tertentu sahaja," katanya.

Sementara itu, Syed Anuar memberitahu, seminar yang disertai oleh 350 pelajar tingkatan enam dari daerah ini bertujuan memberi gambaran jelas berhubung kedudukan dan peranan pelajar Melayu dalam era yang makin mencabar ini.

Dalam seminar itu, Pengarah BTN negeri, Khailani Ismail menyampaikan ceramah bertajuk 'Pelajar Melayu dan Cabarannya' manakala Penolong Pengarah Bimbingan dan Kaunseling Jabatan Pelajaran negeri, Tahar Sali menyampaikan ceramah bertajuk 'Peluang ke Universiti dan Kerjaya'.

Utusan Malaysia

Kongsi Teknologi, Elemen Tekstil Cari Pendekatan Baru

Pengunjung memerhatikan kehalusan tekstil batik yang dipamerkan pada Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ketiga di Kuala Terengganu semalam.

Benang selembar tidak akan wujudnya kain - perlu dipintal, dijalin dan dihias yang akhirnya mencorak warna tradisi dan menjadi pengenalan suatu masyarakat, bangsa atau negara.

Kewujudan tekstil tradisi di rantau ini yang menjadi kebanggaan setiap negara mempunyai banyak ciri persamaan terutama melalui songket dan batik, di samping kelainan dengan keunikan tersendiri.

Seperti tekstil, hubungan di kalangan pengusahanya dan masyarakat ASEAN umumnya perlu terus dijalin bagi memperkukuhkan lagi perkongsian budaya dalam menghadapi cabaran masa depan.

Usaha ke arah ini dipancarkan melalui Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ketiga yang bermula hari ini, lanjutan daripada program perintis di Jakarta pada 2005 dan Manila 2009.

Terengganu diberikan penghormatan menjadi tuan rumah dan simposium kali ini yang bertemakan Meraikan Perkongsian Warisan Serumpun dianjurkan bersama oleh kerajaan negeri dengan kerjasama ASEAN Foundation.

Ia juga menjadi satu testimoni tentang kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha mengekalkan legasi warisannya dan meluaskan potensi dengan mengetengahkan di persada dunia, disesuaikan cita rasa generasi sezaman.

Presiden ASEAN Traditional Textiles Art Community (ASEANTTAC), Prof. Sulaiman Abdul Ghani berkata, simposium itu bukan sekadar untuk mewujudkan kesedaran betapa pentingnya seni warisan.

"Tetapi juga mewujudkan jambatan penyambung di antara generasi serta jambatan budaya di kalangan negara ASEAN," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Institute of Design Excellence (TIDE) berkata, simposium selama dua hari yang berlangsung di Taman Tamadun Islam di sini antara lain bagi menilai dan mengesahkan langkah-langkah yang diputuskan di Manila.

Katanya, ini termasuklah untuk membentuk paradigma bagi pengekalan dan pemuliharaan tekstil tradisi agar ia terus subur dengan penggunaan dan pemakaian yang meluas, sekali gus dapat mengekalkan industri berkaitan.

"Juga untuk mengetengah dan menggalakkan penggunaan teknik dan bahan asal oleh pandai kraf dan tenunan dalam pengeluaran, di samping penekanan soal tanggungjawab etika di kalangan pengusaha dan peniaga dalam dari segi mutu pengeluaran dan pemasaran.

"Lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara terdiri daripada pengusaha, pemilik syarikat, pereka tekstil dan fesyen, penyelidik, pencinta seni tekstil hadir," katanya.

Selain peserta dari rantau ini, wakil negara sokongan ASEAN seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea dan Australia di samping Perancis dan Hong Kong turut hadir.

Antara aktiviti sempena simposium adalah pembentangan kertas kerja berkaitan sejarah, perkembangan dan penemuan-penemuan baru di dalam tekstil tradisi oleh wakil negara ASEAN dan dari luar rantau ini.

Juga diadakan pameran, demonstrasi, lawatan ke beberapa pusat penyelidikan dan penghasilan tekstil tradisi serta penampilan fesyen batik dan tenun daripada pereka tempatan juga dari negara ASEAN.

Menurut Prof. Sulaiman, perkongsian teknologi dan elemen tekstil dari sudut seni berkaitan cara penghasilan akan dapat dilakukan lebih meluas, di samping mencari pendekatan baru agar bahan yang menjadi identiti ASEAN akan terus ditunjangi oleh generasi muda rantau ini.

Katanya, simposium itu juga menerokai jalan dalam menyemarakkan penghargaan dan kecintaan terhadap tekstil tradisi, di samping kesedaran betapa pentingnya ia dipelihara sebagai warisan bangsa dan negara.

"Melalui tekstil tradisi, mereka usahakan dengan sepenuh jiwa. Hubungan sesama insan terjalin, kepakaran meningkat, sayang dan hormat semakin menebal dan rasa tanggungjawab semakin mendalam.

"Kita belajar menghargai pengorbanan ini. Ini satu pusaka, satu amanah, satu tanggungjawab yang perlu diteruskan bersama.

"Semoga rupa, jiwa dan gaya tekstil setiap negara ASEAN khususnya, terus mekar segar menghiasi persada dunia. Tekstil tradisi merupakan simbol pada pertemuan dan perkongsian seni yang tiada sempadan," katanya.

Utusan Malaysia

Semua Aktiviti Berbentuk Hiburan Di Terengganu Dibatalkan

Kerajaan Terengganu semalam mengisytiharkan tempoh berkabung selama 40 hari sebagai menghormati kemangkatan almarhum bonda Yang di-Pertuan Agong Tengku Ampuan Bariah Sultan Hishamuddin Alam Shah.

Sehubungan dengan itu semua jabatan dan agensi kerajaan serta swasta di negeri ini diarah mengibarkan bendera negeri Terengganu separuh tiang sebagai tanda berkabung dalam tempoh berkenaan.

Program rasmi kerajaan, berunsur hiburan dan keceriaan di negeri ini juga ditangguhkan sementara.Butiran lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan hari ini.

Almarhum Tengku Ampuan Bariah, 78, mangkat kira-kira 1.22 pagi Isnin di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor.

Jenazah almarhum kemudian diterbangkan dari Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Subang dengan pesawat C130 TUDM kira-kira 10.45 pagi ini dengan turut diiringi oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta tiga orang anakanda baginda.

Jenazah almarhum selamat disemadikan di Makam Diraja perkarangan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, bersebelahan dengan makam suaminya almarhum Sultan Mahmud Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail selepas solat semalam.

KPDNKK Serbu Karnival Jualan Telefon Tiruan

Gambar fail - contoh telefon tiruan yang dirampas.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu berjaya merampas pelbagai jenama telefon bimbit tiruan bernilai lebih RM26,000 hasil serbuan ke tapak karnival jualan di Ketengah Jaya, Dungun petang kelmarin.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri Abdul Ghani Harun berkata kesemua telefon bimbit itu dirampas dari sembilan gerai di karnival tersebut dan serbuan dilakukan setelah menerima maklumat daripada orang awam.

" Kita banyak menerima aduan daripada pembeli yang mengatakan telefon yang mereka beli di karnival itu dengan harga antara RM350 hingga RM450 seunit tidak tahan lama.

"Ia merupakan satu kes yang serius kerana ini merupakan kali keempat kita mengambil tindakan yang sama ke atas sindiket, namun mereka tidak pernah serik," katanya kepada di pejabatnya di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, seramai 20 anggota KPDNKK dari daerah Dungun dan Kuala Terengganu terlibat dalam operasi yang bermula pukul 6 petang dan berakhir pukul 2 pagi itu.

Seramai 14 orang anggota sindiket itu telah diambil keterangan dan disiasat mengikut Akta Perdagangan 1972 yang boleh membawa hukuman sehingga RM250,000 seorang.

Katanya, penganjur karnival berkenaan telah memilih kawasan pedalaman untuk menjalankan penipuan mereka bagi mengelak kegiatannya dikesan.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat akan bekerjasama dan melaporkan kepada KPDNKK sekiranya terdapat karnival seumpama itu ditempat mereka untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Ghani berkata KPDNKK menjalankan program membantu rakyat seperti penyaluran barang keperluan kepada penjual di kawasan Pulau Perhentian.

Beliau berkata langkah itu bertujuan untuk memastikan harga barang di Pulau Redang seperti gas, beras, gula dan lain-lain serupa dengan harga di tanah besar.

Abdul Ghani berkata program yang serupa akan diperluaskan ke kawasan-kawasan pedalaman yang lain di Terengganu dari masa ke semasa.

Kelebihan Terengganu jadi pilihan himpun tekstil negara Asean

Terengganu menjadi negeri paling layak mewakili Malaysia sebagai tuan rumah yang mengetengahkan kesenian tekstil negara-negara Asean di bawah satu bumbung kerana negeri ini menjadi lokasi menghimpunkan pencinta dan pencipta tekstil tradisi terutama batik serta songket yang tersohor di rantau ini.

Presiden Asean Traditional Textiles Art Community (Aseanttac), Prof Sulaiman Abdul Ghani, berkata pemilihan Terengganu tepat dan memang wajar kerana negeri ini terkenal sebagai negeri pengeluar batik dan songket, selain berhasrat menjadi pusat pembangunan tradisi tekstil di Asia.

“Kita berharap dengan berkumpulnya pencinta dan pejuang tekstil dari seluruh negara Asean dan juga rakan negara Asean seperti Jepun, Korea, Kanada, Hong Kong dan Australia menjadi suatu pengiktirafan dan memberi penghormatan kepada kerajaan Terengganu sebagai wilayah tekstil di pesisir Malaysia.

“Harapan kita juga supaya penganjuran ini dapat menarik penglibatan lebih ramai generasi muda kerana tekstil tradisi ini banyak diperjuangkan oleh generasi lama dan keseniaan ini harus diperturunkan supaya erus hidup dan bernafas daripada satu generasi ke satu generasi,” katanya dalam sidang media sempena Simposium Tekstil Negara Asean ke-3, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terenggganu, semalam (21 Mac).

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera. Turut hadir, Pengarah Eksekutif Asean Foundation, Dr Makarim Wibisono.

Sebanyak 15 negara berkampung sempena dua hari bermula hari ini yang menghimpunkan 330 peserta negara Asean seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand, Myanmar, Laos dan Vietnam, selain negara sokongan Asean seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea, Hong Kong dan Australia.

Malaysia terpilih sebagai tuan rumah selepas simposium pertama kali diadakan di Jakarta, Indonesia pada 2005 dan di Manila, Filipina pada 2009.

Prof Sulaiman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Institute of Design Excellence (TiDE) berkata,jika dahulu kain corak tradisi hanya terhad kepada pemakaian sebagai sarung dan baju sahaja.

Bagaimanapun, katanya perubahan masa dan inovasi hari ini menuntut supaya generasi muda melihat tekstil tradisi bukan hanya untuk generasi terdahulu, sebaliknya perlu mengolah menggunakan kreativiti mereka bagi menghasilkan busana dalam gaya kontemporari, selain mereka cipta sebagai cenderahati dan juga produk hiasan dalaman.

Menurut Prof Madya Sulaiman, objektif simposium itu antara lain untuk berkongsi teknologi dan elemen tekstil dari sudut seni berkaitan cara penghasilan serta pengekalan tekstil di rantau Asean.

“Semua penampilan tekstil yang ditonjolkan setiap negara mempunyai keunikan tersendiri dan batik Malaysia juga ada kelasnya yang tersendiri. Malah kebanyakan negara Asean seperti Filipina, Thailand dan Indonesia kaya dengan tenunan masing-masing tetapi songket di Terengganu juga hebat kerana tidak terdapat di tempat lain.

“Hasil perhimpunan ini juga mampu menukar pengalaman dan pendapat di kalangan peserta, sekaligus mampu meningkatkan inovasi terhadap penghasilan songket Terengganu serta tenunan dari seluruh negara Asean dari semasa ke semasa,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Hutan Taman Negara Dan Merapoh Diwarta Sebagai Kawasan Kajian Harimau

Kawasan hutan Taman Negara dan hutan sekitar Merapoh, Lipis telah diwartakan sebagai kawasan kajian habitat harimau di Pahang.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Khairiah Mohd Sharif berkata mengikut kajian Perhilitan, terdapat kira-kira 500 ekor harimau di kawasan hutan di Semenanjung Malaysia.

"Harimau suka di kawasan sejuk tanah lembab seperti di kawasan hutan Taman Negara dan kawasan Banjaran Titiwangsa yang mempunyai sumber makanan cukup. Haiwan itu dilindungi sepenuhnya," katanya di Temerloh semalam.

Beliau berkata selain di Taman Negara, Pahang dan Banjaran Titiwangsa, haiwan itu juga terdapat di beberapa kawasan hutan di Perak, Terengganu dan Johor.

Katanya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, mereka yang memburu atau memiliki haiwan berkenaan akan dikenakan hukuman lebih berat.

Mereka yang membunuh, menyimpan daging, kuku, kulit atau bahagian lain haiwan tersebut boleh didakwa mengikut Seksyen 68, akta berkenaan yang jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM500,000 dan penjara sehingga lima tahun.

Bonda Yang Di-pertuan Agong Selamat Dimakamkan

Tuanku Mizan Zainal Abidin menyirami pusara bonda baginda, Tengku Ampuan Bariah Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah yang dimakamkan di Makam Diraja, Perkarangan Masjid Al-Muktafibillah Shah.

Bonda Yang di-Pertuan Agong, Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah yang mangkat pagi semalam selamat dimakamkan di Makam Diraja di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah Shah, Ladang, di Kuala Terengganu, petang semalam.

Almarhum, 78, yang pernah dilantik Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu 1979 selamat dimakamkan kira-kira 5 petang bersebelahan dengan makam almarhum suaminya Sultan Mahmud Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail.

Tengku Ampuan Bariah yang merupakan bonda Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin mangkat kira-kira pukul 1.22 pagi semalam di Hospital Pakar Seri Kota, Klang, Selangor.

Jenazah almarhum diterbangkan dari Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Subang dengan pesawat C130 TUDM kira-kira 10.45 pagi ini dengan turut diiringi oleh Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta tiga orang anakanda baginda.

Jenazah yang tiba kira-kira pukul 11.50 pagi kemudiannya dibawa dengan kenderaan jenazah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diiringi kerabat diraja serta pembesar negeri dari lapangan terbang itu ke Istana Maziah.

Jenazah almarhum diletakkan di Balai Istiadat di Istana Maziah bagi memberi peluang kepada kerabat diraja, pembesar negeri, para tetamu dan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir hampir sejam dari 2.05 petang, dengan didahului oleh Tuanku Mizan dan kerabat baginda.

Raja Perempuan Perlis Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Tengku Puan Pahang Tengku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan kerabat-kerabat diraja Selangor, Johor, Kedah dan Negeri Sembilan antara kerabat yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada almarhum.

Solat jenazah kemudian dilangsungkan di Istana Maziah sebelum jenazah almarhum dibawa menaiki tandu khas untuk dibawa ke Makam Diraja di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah Shah.

Tandu khas itu melalui Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman dengan diiringi pembawa payung dan tombak yang terdiri daripada lima pegawai serta 64 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Ke-18 Askar Melayu Diraja sejauh empat kilometer sebelum tiba ke tempat pemakaman.

Tuanku Mizan dan anakanda baginda Tengku Muhammad Mua'az, kerabat-kerabat diraja serta pembesar negeri turut berjalan kaki mengiringi jenazah almarhum.

Istiadat pemakaman itu disaksikan Tuanku Mizan, Tuanku Nur Zahirah, kerabat-kerabat diraja serta rakyat jelata.

Buruh Maut Tersepit Penyodok Jentolak

Seorang buruh kuari di Hulu Jabor dekat Kampung Jabor Perasing Jaya di Cukai, maut selepas tersepit penyodok jentolak yang digunakan untuk menolak keluar sebuah lori yang terkandas dalam lumpur, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Abdul Latif Mat Said, 46, dikatakan enggan keluar walaupun sudah diarahkan dengan alasan sudah biasa berada dalam penyodok jentolak ketika jentera itu sedang bekerja.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata sebelum kejadian, mangsa dari Kuantan, Pahang tiba di tempat kejadian jam 5.15 petang dan masuk dalam penyodok untuk mengambil minyak diesel yang diletakkan di atas sebuah para yang agak tinggi di kawasan kuari itu.

Beliau berkata, selepas selesai menurunkan minyak diesel, pemandu jentolak terbabit mahu membantu menolak sebuah lori mengangkut batu yang terkandas dalam lopak air berhampiran tapak kuari itu dan meminta mangsa turun daripada penyodok jentolak itu tetapi dia tetap enggan.

“Ketika jentolak berkenaan menolak lori itu, mangsa yang berada dalam penyodok tergelincir dan tersepit antara mata jentolak dan belakang lori itu,” katanya.
Abdullah Sani berkata, pemandu jentolak dan pemandu lori serta beberapa pekerja yang berada di situ segera membantu mangsa yang parah di kepala.

Katanya, polis menahan pemandu jentolak berusia 46 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda.

Monday, March 21, 2011

Bonda DYMM Yang di-Pertuan Agong mangkat

Bonda Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah mangkat jam 1.07 pagi tadi di Pusat Rawatan Seri Kota, Klang, Selangor.

Jenazah Almarhumah akan diterbangkan kembali ke Kuala Terengganu menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja (TUDM) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, jam 10.45 pagi ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, berkata masa ziarah bagi seluruh rakyat jelata di Istana Maziah bermula jam 1 petang hingga 2.30 petang.

Beliau berkata, jenazah Almarhumah akan dimakamkan di Makam Masjid al-Muktafi Billah Shah, Ladang, pada jam 3.00 petang ini.

Unit Komunikasi Negeri

Adiq Hussainie Juarai Sirkit 2 GP Kebangsaan

Selepas dinobatkan Raja Bukit Jelajah Malaysia 2011, Adiq Hussainie Othman meneruskan kecemerlangan dengan menjuarai siri kedua Kejohanan Berbasikal Grand Prix Kebangsaan Sirkit 2 di Kuala Lumpur, semalam.

Pelumba negara itu mencuri tumpuan apabila muncul juara kategori lelaki terbuka pada kejohanan itu.

Adiq Hussainie, yang mewakili pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG), mencatatkan masa tiga jam 16 minit 14 saat pada perlumbaan 10 pusingan melibatkan jarak 135km.

Katanya perlumbaan itu, yang bermula dan berakhir di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kuala Lumpur, amat mencabar kerana faktor angin kuat di samping membantunya mempersiapakan diri bagi menghadapi Kejohanan Jelajah Thailand (1-6 April) dan Jelajah Korea dari 15 hingga 24 April ini.

Sementara itu, bagi kategori wanita terbuka, pelumba Selangor, Nurul Ahmar Badeuzamani, muncul juara dengan mencatatkan masa 1'37.24s, mengetepikan dua pelumba Kedah Mardiana Mohd Radzi dan Masziyaton Mohd Radzi yang menduduki tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa yang sama.

Perlumbaan bagi kategori Terbuka Wanita melibatkan jarak 54 km iaitu empat pusingan.

Kejohanan itu melibatkan lima kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Lelaki Bawah 18 Tahun (54km), Wanita Bawah 18 tahun (27km) serta Lelaki Veteran (27km).

Lumba Basikal GP Kebangsaan, anjuran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), membabitkan perlumbaaan tujuh siri dengan siri pertama di Kelantan diikuti Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan siri terakhir di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, presiden PKBM, Abu Samah Wahab berkata perlumbaan sirkit kebangsaan itu adalah medan bagi pelumba tempatan mengumpul mata sepanjang tahun untuk meuncul sebagai pelumba terbaik negara.

Katanya sirkit kebangsaan itu boleh menjadi acara 'pemanas badan' bagi pelumba negara sebelum menyertai Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

KEPUTUSAN:

Lelaki Terbuka (135km)

1. Mohd Adiq Hussainie Othman (Terengganu) 3'16.14s

2. Mohd Shahrul Nizam Che Samsudin (ATM) 3'16.44s

3. W. Mohammed Najmee W. Mohamed (Kuala Lumpur) 3'16.44s

Wanita Terbuka (54km)

1. Nurul Ahmar Badeuzamani (Selangor) 1'37.24s

2. Mardiana Mohd Radzi (Kedah) 1'37.24s

3. Masziyaton Mohd Radzi (Kedah) 1'37.24s

Lelaki Bawah 18 tahun (54km)

1. Sofian Nabil Omar (MSN) 1'35.29s

2. Muhamad Afiq Huznie Othman (Terengganu) 1'35.29s

3. Muhamad Asyraf Misnan (SSBP) 1'35.29s

Wanita Bawah 18 tahun (27km)

1. Jupha a/p Somnet (MSN) 46:07s

2. Nurul Nadia Mohd Fauzi (MSN) 46:07s

3. Nur Farah Ain Imran (Selangor) 46:07s

Lelaki Veteran (27km)

1. Tony Harvey 45:21s

2. Nor Effandi Rosli 45:21s

3. Adli Dahalan 45:21s

Inap Desa Teluk Ketapang Tambah Rumah Penginapan

Gambar Fail - Pelajar di Inap Desa Teluk Ketapang

Pengusaha Inap Desa Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir di Kuala Terengganu akan menambah bilangan rumah penginapannya sebanyak 35 buah lagi menjadikan kesemuanya 66 buah.

Pengerusinya Mohd Azmi Abdul Aziz berkata, penambahan itu amat perlu memandangkan Inap Desa Teluk Ketapang mendapat sambutan baik daripada pelancong dan menjadi antara inap desa yang terbaik di negara ini.

"Kini 35 buah inap desa kita masih menunggu lesen yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan untuk memulakan operasi. Sekarang kita sudah ada 31 buah rumah melibatkan 31 pengusaha yang terdiri daripada pelbagai golongan seperti nelayan hinggalah kepada pegawai tinggi kerajaan," katanya.

Ketika ini Terengganu mempunyai enam kampung yang dijadikan inap desa iaitu Teluk Ketapang, Pulau Duyong, Felda Selasih (Besut), Rhu Sepuluh (Setiu), Pasir Raja (Dungun) dan Kampung Buluh (Hulu Terengganu) dengan 104 buah rumah dan 106 bilik penginapan.

Inap desa Seberang Pintasan, di Dungun dengan 10 buah rumah penginapan masih menunggu kelulusan untuk beroperasi.

Beliau berkata demikian ketika menyambut rombongan 18 deligasi Kementerian Pelajaran Brunei yang diketuai Halim Abdullah melawat Terengganu di Kuala Terengganu, semalam yang turut dihadiri oleh Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan negeri Terengganu Ahmad Fathil Ghani.

Azmi berkata, sejak inap desa itu ditubuhkan pada 2007, pelancong dari kira-kira 30 negara asing telah melawat dan menginap di inap desa berkenaan.

"Kita terima ramai pelancong dari negara-negara Eropah antaranya Itali, Sepanyol, Jerman, Belgium, Denmark, England manakala sebelah Asia pula dari Jepun, China, Korea Selatan, Taiwan selain negara Asean," katanya.

Sementara itu Halim berkata, kedatangan rombongannya ke Terengganu adalah bagi menimba pengalaman terutama dalam bidang pendidikan dan juga inap desa.

"Kami kagum dengan kewujudan Inap Desa Teluk Ketapang yang muncul sebagai inap desa terbaik di Terengganu dan kami ingin mempelajarinya," katanya.

Sepanjang berada di Terengganu selama empat hari tiga malam, peserta akan dijadikan anak angkat dan tinggal di inap desa berkenaan serta dibawa melawat tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Terengganu seperti Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam dan Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu.

Hadi: Tak mustahil berlaku perubahan di Sarawak

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin dengan peluang pakatan pembangkang dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10 akan datang.

"Tak mustahil pengundi di sana akan buat perubahan kali ini," katanya.

Ini berdasarkan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Mei tahun lepas yang dimenangi DAP,

Beliau menyatakan perkara itu selepas menyampaikan ceramah di kawasan berhampiran Sungai Jerteh semalam.

Turut serta dalam ceramah itu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Dr Tan Seng Giaw.

Semalam Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan esok.

Sementara itu, Azmin ketika ditanya mengenai adiknya Ummi Hafilda yang mengadakan ceramah di Jerteh semalam yang antara lain mendakwa abangnya itu telah hilang pedoman dan tenggelam dengan janji-janji manis ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata:

"Pembangkang fokus dalam perjuangan dan terpulang kepada parti lawan yang menggunakan cara berkenaan".

Mahasiswa Perlu Jauhi Hedonisme - Nasir Fikri

Golongan mahasiswa perlu menjauhi budaya hedonisme kerana ia dikhuatiri akan membantut hasrat negara melahirkan barisan kepimpinan yang hebat dan terbilang.

Naib Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, hedonisme yang mencerminkan amalan untuk menikmati keseronokan melampau tanpa mengambil kira larangan agama wajar dikikis sama sekali.

Beliau turut melahirkan rasa bimbang memandangkan pada masa kini terdapat kalangan penuntut universiti yang mengamalkan budaya seumpama itu sehingga memberi kesan negatif terhadap masa depan mereka.

"Kita dapati ada siswa dan siswi hari ini yang mengamalkan budaya hedonisme atau hidup untuk seronok melampau walaupun ia ditegah agama Islam.

"Mereka ini bukan sahaja gagal menjadi pemimpin hebat dan cemerlang, malah turut dipandang serong oleh masyarakat," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Kepimpinan Mahasiswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad dan penceramah jemputan dari Majlis Tindakan Pemikir (Mantap), Kamarazzaman Yunus yang membentangkan kertas kerja bertajuk Ketuanan Melayu vs Ketuanan Islam.

Program yang dianjurkan oleh Yayasan Pelajaran Mara dengan kerjasama Gagasan dan Bahagian Hal Ehwal dan Alumni UniSZA itu disertai oleh para penuntut Universiti Malaysia Terengganu, Politeknik Kota Kuala Terengganu dan UniSZA.

Mohd. Nasir yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, mahasiswa perlu sentiasa menggilap bakat kepimpinan semasa di kampus, selain menimba sebanyak mana ilmu dalam usaha mengisi serta mewarnai kepimpinan negara.

Menurutnya, mahasiswa yang mempunyai nilai karismatik, berintelektual serta sarat dengan idea-idea baru yang luar biasa, mampu meyakinkan masyarakat untuk bergelar seorang pemimpin yang dihormati pada masa akan datang.

"Tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, selain mengamalkan budaya 'pak turut' dan suka mengampu, ia akan memberi impak besar kepada mereka sekali gus merosakkan masyarakat dan masa depan negara," ujarnya.