Saturday, March 15, 2014

Pesawat MH370 Terbang Di Ruang Udara Poland, Ke Mana Gerangan Destinasinya?


"Mengejutkan juga hari ini, kenapa tiba-tiba polis menyiasat rumah juruterbang pesawat MH370 ekoran pengesahan perdana menteri bahawa pesawat itu secara sengaja ditukar haluannya. Anggota polis dilaporkan sampai ke rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, sebaik sahaja Perdana Menteri menamatkan sidang medianya."

SEPANG (15 Mac 2014) - Satu gambar disiarkan agensi berita Reuters (gambar atas) yang diambil pada 5 Februari 2014 menunjukkan bahawa Boeing 777-200ER milik Malaysian Airlines (MAS) terbang di ruang angkasa Poland.

Malah, menurut pegawai Amerika Syarikat, teori rampasan pesawat itu turut dikaitkan dengan kemungkinan pesawat itu mungkin akan digunakan bagi tujuan tertentu yang bersifat 'tidak baik atau jenayah' ( nefarious purposes) selepas ini. (Nefarious simply means that which is wicked. This word can be used to describe activities and actions that are considered to be criminal. Nefarious is a synonym to villainous, infamous, mean and evil.) 

Penyiasat mengatakan mereka tidak boleh menolak kemungkinan pesawat itu dirampas dan sedang menyelidik sama ada salah seorang juruterbang atau anak kapal turut terbabit.
 

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang medianya, tidak mengesahkan laporan media berhubung pesawat MH370 kemungkinan dirampas.

"Walaupun ada laporan media yang mengatakan pesawat ini dirampas, saya ingin jelaskan kami masih menyiasat semua kemungkinan yang menyebabkan MH370 menyimpang dari laluan asalnya," katanya.

Katanya, data baru daripada satelit itu mempunyai kesan besar ke atas bentuk dan bidang operasi pencarian.

"Kami menghentikan pencarian di Laut China Selatan dan menilai semula penempatan aset kita," katanya.

Mengejutkan juga hari ini, kenapa tiba-tiba polis menyiasat rumah juruterbang pesawat MH370 ekoran pengesahan perdana menteri bahawa pesawat itu secara sengaja ditukar haluannya.

Anggota polis dilaporkan sampai ke rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, sebaik sahaja Perdana Menteri menamatkan sidang medianya.

Kumpulan penyiasat mengesahkan pesawat yang dikesan melalui radar tentera adalah pesawat MH370 yang hilang sejak seminggu lalu selepas sistem perhubungannya dimatikan sebelum melalui pantai timur Malaysia minggu lalu, kata Najib.

Malah menurut satu laporan, pesawat MAS itum mungkin sengaja dialihkan ke arah Lautan Hindi oleh seseorang yang ada kemahiran tentang penerbangan dan kedudukan radar, kata seorang pegawai kanan tentera Malaysia.

Komen tersebut menguatkan lagi dakwaan mengenai misteri kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang itu mungkin dirampas.

"Individu itu boleh jadi juruterbang yang profesional dan cekap," kata pegawai tersebut yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

Beliau berkata, teori itu berdasarkan data dari radar militari yang masih lagi tidak diketahui. Radar tersebut terus mengesan laluan pesawat selama beberapa jam selepas ia hilang dari radar pusat kawalan trafik udara dan radar awam, katanya.

Pesawat itu dipercayai diterbangkan ke Lautan Hindi, beratus-ratus kilometer dari laluan sebenar penerbangan pesawat itu.

"Dia tahu cara untuk mengelak dikesan radar awam. Dia dilihat sudah mengkaji cara untuk mengelak daripada dikesan," katanya.

Berikutan itu, penyiasat antrabangsa mengatakan mereka tidak menolak kemungkinan pesawat itu masih utuh dan diterbangkan ke satu destinasi yang belum dikenal pasti.

Berikutan itu, kini senarai penumpang dan anak kapal pesawat MH370 menjadi fokus baru siasatan kerajaan Malaysia selepas penemuan beberapa data baru yang disahkan oleh beberapa penguatkuasa penerbangan.
 
"Berdasarkan perkembangan baru ini, pihak berkuasa Malaysia memfokuskan semula siasatan mereka kepada kru dan penumpang di dalam pesawat," kata Najib pada sidang media di KLIA petang ini.

Perdana Menteri mendedahkan bahawa pesawat MH370 telah sengaja diterbangkan dalam arah yang berbeza.

Katanya, ia diperolehi berdasarkan kerja forensik yang dibuat oleh FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia yang bekerja secara berasingan ke atas data yang sama.

"Berdasarkan data baru itu, kali terkahir komunikasi disahkan antara pesawat dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu Malaysia hari Sabtu, 8 Mac," katanya.

Katanya, berdasarkan jenis data satelit yang ada, ia bagaimanapun tidak boleh mengesahkan tempat pesawat itu membuat hubungan terakhir dengan satelit.


Najib berkata pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan, sebab kenapa penerbangan MH370 itu menyimpang daripada laluan asalnya menuju ke Beijing, selepas disahkan bahawa pesawat yang dilihat dalam data radar utama ialah MH370.

"Sepanjang tujuh hari lepas kami telah menjejaki setiap penunjuk dan meneliti setiap kemungkinan. Kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang terlibat, kami harap maklumat baharu ini akan membawa kita lebih hampir kepada penemuan pesawat itu," katanya.

Berdasarkan data daripada radar yang dikesan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kerajaan mengesahkan pesawat yang ditunjukkan dalam data asal adalah MH370.

Beliau berkata, pasukan penyiasat kemudian membuat pengiraan yang akan menentukan sejauh mana pesawat itu boleh terbang selepas perhubungan terakhir itu dan ia akan membantu negara membuat pencarian.


"Kita sedang bekerjasama dengan negara-negara yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelaamaat untuk mendapatkan semua maklumat yang relevan dengan usaha mencari, termasuk data radar,”.

Menurut Najib, pencarian pesawat ini sedang memasuki fasa baru ke arah dua koridor baru di utara Malaysia dan satu lagi di selatan negara ini.

Koridor utara adalah menuju ke Turkmenistan, Kazakhstan serta utara Thailand manakala koridor selatan ialah di Indonesia dan selatan Lautan Hindi.

Najib memberi jaminan, Malaysia akan terus meningkatkan usaha mencari dan berharap maklumat baru yang diperolehi akan membawa kepada satu langkah mendekati penemuan pesawat itu.

Setakat ini, 15 negara menyertai misi mencari dan menyelamat pesawat berkenaan sejak seminggu lalu di kawasan Laut China Selatan, Selat Melaka dan kini diperluas di kawasan Laut Andaman dan Lautan Hindi.

Antara negara terlibat dalam misi berkenaan termasuk Amerika Syarikat, Vietnam, Australia, China, India dan Singapura.

Najib juga mengarahkan pihak berkuasa Malaysia supaya berkongsi semua maklumat yang berkaitan secara bebas dan telus dengan pasukan penyiasatan yang lebih besar, negara-negara jiran dan rakan antarabangsa yang menyertai operasi bersama itu.

Beliau menambah kata Malaysia Airlines telah memberitahu kaum keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu tentang perkembangan baharu ini pagi tadi.

"Kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang terlibat, kami berharap maklumat baharu ini akan membawa kita lebih hampir kepada penemuan pesawat itu. Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan keperitan yang mereka lalui kini. Ingatan dan doa kita bersama mereka," katanya.

Thursday, March 13, 2014

Hisham - Kerajaan Tidak Sembunyikan Maklumat Kehilangan Pesawat MH370

  "Terdapat banyak spekulasi yang perlu dijawab dalam beberapa hari lepas...Kita pastikan segala isu yang menjadi bahan spekulasi disiasat. Kami konsisten dan telus kepada media dan orang awam. Yang lebih penting adalah kepada keluarga-keluarga." 
- Hishammuddin Hussein

SEPANG (12 Mac 2014)  - Kerajaan Malaysia tidak menyembunyikan maklumat pesawat MAS  MH370 yang hilang sebaliknya menyelaras operasi itu dengan pelbagai negara.

Berikutan itu ia bukanlah suatu yang mudah, jelas Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Terlalu banyak kapal dan pesawat, terlalu banyak negara untuk kami selaraskan selain daripada kawasan yang luas untuk dicari, tetapi kami tidak akan berputus asa," katanya.

"Ya, kami berhutang kepada anggota keluarga (penumpang) dan semakin lama masa diambil untuk mencari pesawat itu, saya merasa lebih banyak berhutang kepada mereka," katanya.

Hishammuddin juga menjamin kerajaan akan terus berusaha untuk mencari pesawat yang hilang itu.

Pesawat MH370 yang menuju ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada awal pagi 8 Mac lepas.


Menjawab kritikan hanya sedikit kemajuan dicapai dalam usaha mencari dan menyelamat itu, Hishammuddin berkata terdapat banyak spekulasi yang perlu dijawab dalam beberapa hari lepas.

"Kita pastikan segala isu yang menjadi bahan spekulasi disiasat. Kami konsisten dan telus kepada media dan orang awam. Yang lebih penting adalah kepada keluarga-keluarga," katanya.

Hishammuddin berkata operasi pelbagai negara itu adalah satu peringkat kerjasama yang berbeza.  

Semalam masuk hari kelima misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang diperluaskan kepada dua kawasan, meliputi kawasan seluas kira-kira 27,000 batu nautika persegi, kata


Operasi mencari di Selat Melaka meliputi 12,425 batu nautika persegi sementara pencarian di Laut China Selatan melibatkan kawasan seluas 14,440 batu nautika persegi.

"Empat puluh dua kapal dan 39 pesawat telah digerakkan bagi mencari MH370," katanya dalam satu sidang media di sini semalam.

Beliau berkata 12 negara menyertai pencarian itu dengan India, Jepun dan Brunei adalah negara terbaharu menyertai usaha itu.

"Ini adalah operasi antarabangsa. Kami berterima kasih dengan kerjasama rakan-rakan dan jiran kami, dan kami mengalu-alukan bantuan kesemua pakar," katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa juga membawa masuk lebih ramai pakar untuk menganalisis kedua-dua data awam dan ketenteraan.

Kepada soalan mengenai laporan bahawa Vietnam mengurangkan operasi mencari pesawat MAS itu di kawasan laut, Hishammuddin menafikan perkara itu malah berkata usaha mencari masih berterusan seperti biasa oleh pasukan di negara itu.

"Kerjasama kita dengan Vietnam membuat pemantauan usaha mencari dan menyelamat sebenarnya sudah sampai tahap di mana mungkin kita dibenarkan untuk masuk ke perairan atau kawasan di luar tanggungjawab Vietnam.

Nampaknya mereka tidak ada halangan memandangkan semalam satu 'nota diplomatik' telah dihantar kepada pihak Vietnam," katanya.

Di Dewan Rakyat, suasana kecoh seketika apabila beberapa anggota pembangkang mendakwa kerajaan gagal mengendalikan insiden kehilangan pesawat MAS Sabtu lepas selain memberi kenyataan bercanggah.

Mohamad Imran Abd Hamid (PKR-Lumut) mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak datang ke dewan esok bagi memberi penjelasan tentang apa sebenarnya yang berlaku di sebalik kejadian itu.

"Selepas lima hari, apa yang berlaku..kemungkinan kapal terbang itu berada di dasar laut. Beri penjelasan, kalau boleh perdana menteri dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein datang ke dewan esok," katanya.

Beliau menyatakannya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Khalid Samad (PAS-Shah Alam) ketika mencelah perbahasan itu berkata kerajaan perlu bertanggungjawab dan menerima teguran pelbagai pihak di atas kelemahan dan kekurangan ketika mengendalikan kes kehilangan pesawat itu.

Beliau turut mendakwa kerajaan dan pihak berkuasa lambat bertindak sebaik sahaja menerima laporan kehilangan pesawat itu menyebabkan masyarakat antarabangsa mengkritik kemampuan negara.

Tuduhan dan dakwaan bertubi-tubi itu menyebabkan berlaku pertikaman lidah di antara pembangkang dan penyokong kerajaan yang meminta semua anggota Parlimen khususnya pembangkang agar tidak menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata adalah lebih baik semua pihak tanpa mengira perbezaan latar belakang politik untuk bersama-sama memikirkan penyelesaian terbaik dalam mencari pesawat yang hilang itu.

"Ini masalah negara, masalah bersama, sepatutnya perkara seumpama ini tanpa kita kira latar belakang politik kita mesti selesaikan secara bersama dan tidak ada masa untuk kita tuding menuding dan salah menyalah

 "Ini mana boleh sebut kemungkinan (pesawat) jatuh, kemungkinan itu, kemungkinan ini, kerana ia soal krisis jadi mana boleh kita buat andaian, mesti ada bukti yang sahih baru boleh buat pengumuman," katanya.

Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) pula mengingatkan semua wakil rakyat pembangkang supaya berhenti mempersoalkan cara kerajaan bertindak dalam insiden itu sebaliknya bersama-sama bermuhasabah diri dan berdoa untuk kebaikan semua pihak.

PRK Kajang: BN Bertanding Untuk Bantu Rakyat - Muhyiddin

Calon BN bagi PRK DUN Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun (kiri) mengedarkan manifesto kepada peniaga kuih, Rafiah Taib (kanan) ketika membuat tinjauan mesra di sekitar Kajang.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau yakin pengundi di Kajang tahu tujuan Barisan Nasional (BN) bertanding pada pilihan raya kecil itu adalah untuk membantu rakyat, walaupun tanpa manifesto khusus untuk menyatakan janji itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat tidak perlu bimbang untuk memilih calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun pada 23 Mac ini kerana kemenangan beliau akan menjadi penghubung antara penduduk di Kajang dengan kerajaan persekutuan.


"Sama ada (BN) akan lancar manifesto baharu atau guna manifesto lama pada Pilihan Raya Umum lepas, rakyat tidak perlu bimbang untuk memberi sokongan kepada calon BN.

"Namun, kita akan fikirkan juga sama ada nak perkenal (manifesto) atau tidak tetapi saya yakin rakyat tahu tujuan kita bertanding adalah untuk membantu mereka," katanya.

Polis Terengganu Beri Amaran Kepada Penyokong Terengganu, JDT



Polis Terengganu memberi amaran kepada penyokong agar tidak menimbulkan provokasi melampau sepanjang perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu,  Sabtu ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustapa berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba mencetuskan kekecohan pada perlawanan tersebut.

"Saya juga mengingatkan penyokong agar tidak membawa barang larangan seperti mercun, suar, senjata tajam ke dalam stadium.

"Kami akan melakukan pemeriksaan rapi pada badan dan beg setiap penonton di pintu masuk stadium," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Sekolah Boleh Batal Atau Lewatkan Sesi Jika IPU Tidak Sihat - Jabatan Pendidikan T'ganu


Pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit dan Sekolah Kebangsaan Pagar Besi boleh melewatkan atau membatalkan sesi persekolahan jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu mencatatkan bacaan tidak sihat.

Pengarah Pendidikan Terengganu Zakaria Hussin berkata selagi IPU mencatatkan bacaan tidak sihat kedua-dua sekolah berkuasa membuat keputusan.

"Paling utama ialah kesihatan pelajar. Jika asap masih tebal dan dirasakan boleh menjejaskan kesihatan pelajar, mereka boleh fikirkan keputusan yang terbaik," katanya semalam.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu Azahar Abu Bakar berkata kedua-dua sekolah berkenaan masih melewatkan sesi persekolahan semalam kepada 9 pagi.

MH370: Nelayan Dungun Turut Cari Pesawat Hilang Guna Sonar

Bot-bot nelayan di Dungun turut mencari pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Daerah Dungun Mohd Abdul Ghani berkata lokasi yang menjadi tumpuan ialah kawasan sekitar perairan Terengganu.

"Kita menggunakan peralatan sonar untuk mengesan kapal terbang jika ia jatuh di laut," katanya semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) berkata banyak bot nelayan Dungun sekarang ini menangkap ikan di kawasan berkenaan.

KWLTB Sedia Bot Untuk Disewakan Kepada Pelancong Candat Sotong

Koperasi Wawasan Losong Terengganu Berhad (KWLTB) menyediakan kira-kira 15 bot nelayan untuk disewakan kepada pelancong-pelancong yang hendak mencuba pengalaman mencandat sotong.

Pengerusinya Hasan Ismail berkata kadar sewaan bot tersebut adalah antara RM700 hingga RM750 bagi satu malam. "Ini adalah salah satu usaha KWLTB membantu kerajaan negeri untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014," katanyakelmarin.

Menurut Hasan musim mencandat sotong bermula dari bulan Mac hingga Jun setiap tahun di negeri Terengganu.

Azizulhasni Mungkin Jadi 'Kambing Hitam' Untuk Tutup Kelemahan Tertentu - Zolkples


Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata jaguh pecut negara Azizulhasni Awang mungkin menjadi 'kambing hitam' bagi menutup kelemahan mutu pengadilan pihak tertentu.

Beliau berkata pembatalan penyertaan Azizulhasni dalam siri Piala Dunia mencetuskan persoalan terhadap mutu pengadilan apabila rakaman video jelas membuktikan beliau tidak bersalah dalam Kejohanan Berbasikal Dunia di Cali, Colombia, bulan lepas.

"Ini bukan pertama kali berlaku. Azizulhasni pernah dibatalkan kemenangan di Sukan Komanwel di New Delhi, India, empat tahun lalu.

Namun kita bernasib baik tidak terlepas pingat emas kerana Josiah Ng berada di tempat kedua, dan pingat emas kekal milik Malaysia.

Maidam Wujud Pusat Hemodialisis Tahun Ini

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan mewujudkan pusat hemodialisis di Jertih, Besut tahun ini bagi membantu pesakit buah pinggang khususnya golongan berpendapatan rendah.

Pesuruhjaya Maidam Datuk Rozali Salleh berkata Maidam memperuntukkan hampir RM1 juta bagi pembinaan pusat hemodialisis itu yang dijangka beroperasi hujung tahun ini.

"Pusat tersebut akan ditempatkan di satu bangunan di kawasan masjid Balik Bukit di Jertih di mana pengurusan dan kakitangan Hospital Besut akan menguruskan sepenuhnya pusat tersebut nanti," katanya kelmarin.

Wednesday, March 12, 2014

Polis Terengganu Terima Laporan Bunyi Dentuman di Marang


KUALA TERENGGANU (12 Mac 2014) - Polis Terengganu mengesahkan menerima hanya satu laporan polis berhubung dakwaan penduduk kampung yang mendengar bunyi dentuman kuat pada pagi Sabtu lalu kemungkinan ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata pihaknya telah menyalurkan laporan berkenaan kepada ibu pejabat Polis Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

"Kita telah serahkan laporan yang diterima kepada Bukit Aman semalam dan sehingga kini...hanya menunggu arahan yang selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Pemimpin pelajar di Kuala Terengganu, hari ini.

Semalam lapan penduduk di Kampung Pantai Seberang Marang membuat satu laporan berhubung bunyi misteri yang didengari mereka dari timur laut Pulau Kapas pada kira-kira pukul 1.20 pagi.

Ketika kejadian lapan sahabat berkenaan sedang bersantai duduk di bangku kira-kira 400 meter dari pantai Marang dan secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seperti kipas kapal terbang. Laporan polis dibuat di ibu pejabat polis Daerah Marang kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

Jamshah berkata orang ramai perlu lebih peka dan mendapatkan bukti yang sahih kerana mereka hanya mendengar bunyi letupan namun tidak menemui sebarang objek.

"Saya harap orang ramai tidak mengambil peluang ini untuk menarik perhatian ramai atau mengelirukan pihak berkuasa dengan sesuatu yang tidak tahu kesahihannya," katanya.

Pesawat MAS Penerbangan MH370 itu membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu.

Tuesday, March 11, 2014

Lapan Penduduk Marang Dengar Bunyi Dentuman Buat Laporan Polis


MARANG (11 Mac 2014) - Lapan penduduk di Kampung Pantai Seberang Marang di Marang mendakwa mendengar bunyi dentuman yang kuat pada pagi Sabtu lalu datang dari timur laut Pulau Kapas, kemungkinan ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang.

Berikutan itu mereka telah membuat laporan di ibu pejabat polis Daerah Marang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Salah seorang penduduk terbabit, Alias Salleh, 36, berkata pada pukul 1.20 pagi berkenaan ketika beliau bersama tujuh lagi rakannya sedang bersantai duduk di bangku kira-kira 400 meter dari pantai Marang, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seperti kipas kapal terbang.

"Bunyi yang kuat dan menakutkan itu dipercayai datang dari timur laut Pulau Kapas sebelum kami bergegas ke arah tersebut untuk mengesan punca bunyi itu.

"Kami mencari di sekitar Pantai Rhu Muda namun tidak menemui apa-apa yang mencurigakan," kata Alias, seorang pemandu lori.

Ditanya mengapa beliau membuat laporan selepas empat hari kejadian itu berlaku, bapa kepada tiga orang anak itu berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaporkan maklumat kepada pihak berkuasa bila pesawat masih tidak ditemui hari ini selepas empat hari berlalu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Yusri Mohd Yusof, 34, berkata bunyi yang kuat dan agak pelik itu pada awalnya disangkakan fenomena tsunami.

"Bunyi bising yang kedengaran seperti kipas kapal terbang itu dapat saya dan rakan-rakan dengar selama dua minit dan bunyi itu berdesing.

"Saya mengambil keputusan ini (membuat laporan) selepas berasa curiga dengan bunyi itu dan ditambah lagi dengan laporan media berkaitan kes kehilangan pesawat," kata beliau.

Mohd Yusri turut mendakwa beberapa kawannya termasuk pemancing dan nelayan turut mendengar bunyi aneh berkenaan dari arah pantai.

Pesawat MAS Penerbangan MH370 itu membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu.

Grafik dari Berita Harian.
Sementara itu, seorang peniaga di Kelantan mendakwa turut melihat sebuah pesawat terbang rendah di Kampung Kadok, Ketereh, dekat Kota Bharu, seperti dua nelayan yang dipercayai menyaksikannya berhampiran Kuala Besar, Kota Bharu.

Alif Fathi Abdul Hadi, 29, mendakwa melihat cahaya putih lampu dipercayai milik pesawat yang kelihatan menjunam ke Laut China Selatan berdekatan Bachok, jam 1.45 pagi Sabtu lalu.

Berikutan itu, beliau tampil membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, di sini, jam 11.30 pagi semalam.

“Ketika berada di pekarangan rumah di Kampung Kadok, saya nampak cahaya putih dipercayai lampu pesawat dalam kira-kira lima minit.

Sinaran lampu itu kelihatan pelik kerana biasanya saya nampak pesawat di rumah dari arah lain tetapi kali ini dari arah bertentangan.

“Walaupun pelik, saya tidak berfikir apa-apa dan terus masuk tidur,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di pejabat APMM Tok Bali, di Pasir Puteh.

Kelmarin, dua nelayan membuat laporan polis selepas mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah, kira-kira lapan batu nautika dari Pantai Kuala Besar, Kota Bharu, jam 1.30 pagi Sabtu lalu.

Jarak antara Kuala Besar dan Ketereh ialah kira-kira 30 kilometer.

Alif Fathi mengakui terkejut mendengar berita kehilangan pesawat MH370 selepas bangun tidur sebelum mengandaikan apa yang dilihat sebelumnya ada kaitan.

Awalnya beliau  membuat laporan polis.

Dua Guna Pasport Palsu Berkulit Hitam, Bukan 'Berciri Asia' - KP DCA


SEPANG (11 Mac 2014) - Tak pasal-pasal Mario Balotelli, pemain kelab gergasi AC Milan dan negara Itali yang pernah bermain untuk Inter Milan dan Manchester City mendapat nama.

Mungkin kalau dia berada di Malaysia ketika ini, dia akan bertanya lagi “Why always Me?”

Nama itu disebut pada sidang media oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman malam semalam merujuk kepada kewarganegaraan sebenar dua pembawa pasport curi dalam pesawat MH370.

Perkara itu kini menjadi persoalan ekoran dakwaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa mereka “berciri Asia”.


Azharuddin sebaliknya menolak andaian bahawa kedua-dua individu itu tidak kelihatan seperti orang Asia. “Kamu tahu pemain bola (bernama) Balotelli?"

“Dia orang Itali, tapi kamu tahu wajahnya macam mana,” katanya ketika diasak menggambarkan rupanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang semalam.


Diasak lagi sama ada kedua-dua mereka berkulit hitam, Azharuddin menjawab: “Ya”.

Azharuddin turut menyebut, penyiasat yang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dua individu yang menaiki pesawat MH370 menggunakan pasport palsu, tidak mempunyai ciri-ciri 'wajah Asia'.

Katanya, pihak berkuasa telah mengkaji rakaman CCTV itu dan mengesahkan dua suspek itu bukan orang Asia.

"Siasatan juga menunjukkan dua suspek itu mungkin terlibat dalam sindiket curi pasport. Kami tidak dapat mendedahkan kewarganegaraan mereka kerana ia mungkin mengganggu siasatan," katanya pada sidang media malam semalam.


Beliau berkata, CCTV tersebut yang merakamkan pergerakan dua suspek itu di KLIA, mendapati pihak berkuasa telah mematuhi protokol keselamatan yang ketat.

Azharuddin turut mengumumkan bahawa kawasan misi mencari pesawat MH370 diperluas ke 100 batu nautika dari lokasi terakhir pesawat tersebut dilaporkan hilang.

Bernama melaporkan pada malam Ahad bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Satu siasatan dalaman dijalankan terhadap Jabatan Imigresen berikutan laporan dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat tersebut

 "Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya Ahmad Zahid.

Sementara itu turut dilaporkan, urusan perjalanan dua penumpang dengan identiti palsu dalam pesawat MH370 Malaysian Airlines yang hilang ketika menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur dibuat di Pattaya, Thailand dan dibayar secara tunai, menurut akhbar British, Financial Times.

Akhbar berkenaan memetik kenyataan agen pelancongan Thailand yang membuat tempahan tiket itu sebagai berkata, beliau diminta membuat urusan perjalanan itu oleh seorang kenalan warganegara Iran.

Benjaporn Krutnait, pemilik agensi pelancongan Grand Horizon di Pattaya dipetik berkata, warganegara Iran berkenaan iaitu kenalan perniagaannya yang dikenali sebagai Ali meminta beliau menempah tiket tambang murah ke Eropah untuk dua lelaki berkenaan pada 1 Mac.

Akhbar itu berkata, pada awalnya, Benjaporn menempah tiket penerbangan Qatar Airways dan Etihad, masing-masing untuk dua lelaki berkenaan, tetapi, tiket itu tamat tempoh apabila tiada khabar daripada Ali.

Ali kemudian menghubunginya sekali lagi pada Khamis menyebabkan Benjaporn sekali lagi menempah tiket dan kali ini menempah Malaysian Airlines menerusi Beijing kerana ia adalah tiket paling murah yang ada pada ketika itu.

Financial Times turut melaporkan, seorang rakan Ali membayar Benjaporn secara tunai untuk dua tiket berkenaan dan tiada bukti mengaitkan Ali tahu kedua-dua lelaki itu mengembara menggunakan pasport curi.

Benjaporn dipetik sebagai berkata, beliau tidak percaya Ali mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan kerana dia tidak meminta secara terperinci untuk menempah tiket bagi perjalanan Kuala Lumpur – Beijing, tetapi meminta laluan paling murah ke Eropah, kata Financial Times.

Dalam laporan akhbar itu, Benjaporn dipetik sebagai berkata, beliau bercakap mengenai kes itu kerana bimbang dengan spekulasi mengenai serangan pengganas dikaitkan dengan kehilangan MH370 dan mahu fakta sebenar diketahui.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali semalam,  bertemu dengan keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kini ditempatkan di The Everly Hotel di Putrajaya.

ertemuan kira-kira sejam itu turut disertai Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan isteri Datin Seri Norzieta Zakaria.

Ketika ditemui pemberita, Dr Mahathir berkata beliau berharap tiada yang menunding jari kepada pihak yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

"Perkara itu tidak akan menyelesaikan masalah," kata beliau dan enggan mengulas lanjut.

Dr Mahathir dan anaknya yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (duduk, dua kiri) menziarahi ahli keluarga penumpang pesawat MAS MH370 yang hilang di hotel penginapan di Putrajaya pada Isnin. 
Turut sama ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Jabatan Perikanan T'ganu, Persatuan Nelayan Besut Sedia Bantu Pihak Berkuasa Salur Maklumat


Jabatan Perikanan Terengganu meminta para nelayan di negeri ini agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa seandainya mempunyai sebarang maklumat atau petunjuk bagi membantu pihak berkuasa mengesan pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 yang hilang Sabtu lalu.

Pengarahnya Abdul Khalil Abdul Karim berkata pihaknya menyarankan mana-mana nelayan yang turun ke laut supaya membantu pihak berkuasa menyampaikan maklumat jika menjumpai sesuatu yang mencurigakan semasa berada di laut.

"Saya harap nelayan yang keluar untuk menangkap ikan jika terjumpa sesuatu yang mencurigakan agar segera melaporkan perkara itu kepada kami dan kita akan panjangkan kepada pihak berkuasa.

Media Tempatan Mula Berkumpul Di Pangkalan APMM Tok Bali



Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 10 Tok Bali di Pasir Puteh menjadi tumpan media tempatan apabila ia dijadikan satu daripada pusat mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang Sabtu lepas.

Petugas media mula berkumpul di situ sejak 10 pagi untuk mendapatkan laporan terkini perkembangan operasi SAR.

Beberapa aset milik APMM bersiap sedia untuk digerakkan dalam operasi SAR dan pada pukul 1.30 tengah hari kelihatan sebuah kapal peronda milik APMM bergerak ke arah Laut China Selatan dipercayai untuk operasi SAR.

Pengurusan Masjid Digalak Adakan Solat Hajat Mohon Pesawat MH370 Ditemui

Beberapa kakitangan MAS sebak ketika mengaminkan doa selepas menunaikan solat sunat hajat memohon keselamatan rakan tugas mereka seramai 12 orang termasuk dua juruterbang yang terbabit dengan insiden pesawat MH370 yang hilang selepas solat Isyak di Masjid KLIA, malam tadi.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) memohon agar semua masjid di negeri itu mengadakan solat hajat untuk tujuan yang sama.

Pesuruhjaya JHEAT Datuk Mohd Rozali Saleh berkata pihaknya memohon agar 500 masjid di negeri itu mengadakan solat hajat.

"Itulah yang kita mampu lakukan dengan memohon masjid-masjid yang ada di negeri ini supaya mengadakan solat hajat agar pesawat itu serta penumpangnya ditemui dalam keadaan selamat," katanya kelmarin.

Monday, March 10, 2014

Nelayan Diminta Lapor Jika Ternampak Objek Pelik Di Laut

Nelayan terutama di kawasan utara dan timur laut perairan negara diminta supaya membuat laporan jika ternampak sebarang objek 'pelik' yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bilangan nelayan yang dianggarkan berjumlah antara 17,000 hingga 20,000 orang di Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang dan Perak, boleh digembleng untuk membantu pihak berkuasa dan badan profesional dalam misi pencarian pesawat itu.

"Nelayan berupaya membantu secara sukarela sebab inilah tempat mereka mencari makan dan kita percaya mereka lebih kenal laut. Jadi kita berharap mereka dapat maklumkan kepada kita dengan segera jika menemui objek pelik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya, hari ini selepas bertemu keluarga Khairul Amri Selamat, seorang daripada penumpang pesawat MH370, yang berasal dari Bera, Pahang.

Semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bagi menambah operasi mencari dan menyelamat, pihaknya turut berbincang dengan Ismail Sabri sekiranya terdapat keperluan untuk mendapatkan bantuan Persatuan Nelayan Kebangsaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menghubungi rakan sejawatnya di Indonesia semalam bagi memohon bantuan daripada nelayan di bahagian Medan dan Acheh yang berada di sepanjang Selat Melaka.

"Indonesia telah memberi jaminan untuk membantu dan kita juga akan menyampaikan mesej yang sama kepada pihak di Thailand dan Vietnam secepat mungkin sama ada hari ini atau esok," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata beliau turut menerima mesej daripada juruterbang-juruterbang kapal kecil tempatan seperti Twin Otter yang juga menawarkan bantuan untuk mencari pesawat berkenaan.

"Saya akan menyampaikan mesej ini kepada Datuk Seri Hishammuddin kerana mereka juga boleh terbang di sepanjang pesisiran pantai kawasan tumpuan jika dibenarkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA)," katanya.

Chong Wei Kalahkan Chen Long, Rampas Gelaran Juara All England 2014

Chog Wei menjulang trofi kemenangan setelah berjaya menumpaskan lawannya dari China, dalam masa 19 minit.

Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei merampas gelaran juara All England 2014 selepas membenam musuh tradisinya Chen Long dari China pada final di National Indoor Arena, Birmingham, England, awal pagi ini  waktu tempatan.

Pemain nombor satu dunia itu bermula garang dengan menewaskan Chen Long pada set pertama dengan 21-13.

Pada set kedua Chen Long menunjukkan aksi agresif dengan memberikan tentangan sengit menerusi turutan mata yang hampir sama.

Namun ketenangan Chong Wei mengawal emosi di gelanggang serta mempelbagaikan teknik permainan membawa kejayaan dengan menyingkirkan Chen Long, 21-18 pada set kedua itu dalam masa 59 minit. Chong Wei pernah meraih kejuaraan itu pada tahun 2010 dan 2011.

Kemudian Lin Dan dari China meraih kejuaraan tersebut pada tahun 2012 dan Chen Long pada tahun 2013.

Kemenangan kali ketiga Chong Wei dalam All England itu dimeriahkan dengan sokongan padu penonton Malaysia yang berada di sana.

Perlawanan itu turut bersiaran langsung di televisyen satelit.

Sementara itu, juara All England bagi beregu lelaki dimenangi gandingan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia selepas menewaskan Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dengan 21-19 dan 21-19.

Acara perseorangan wanita pula dimenangi Wang Shixian dari China yang mengenepikan rakan sepasukannya Li Xuerui dengan straight set 21-19 dan 21-18.

China turut mendominasi acara beregu wanita menerusi Wang Xiaoli-Yu Yang selepas menewaskan beregu sepasukan mereka Ma Jin-Tang Yuanting, 21-17, 18-21 dan 23-21 dalam masa sejam 21 minit.