Friday, June 6, 2014

Projek Mini Estet Padi Di Setiu Akan Dimulakan Mac Tahun Depan

Gambar fail...bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika melawat jelapang padi di Sri Cempaka, Kampung Jelapang, Setiu pada 2011.
Projek Mini Estet Padi dekat Kampung Jelapang di Mukim Chalok di Setiu, yang bermula Mac tahun depan, dijangka dapat mengeluarkan 1,200 tan metrik padi untuk setiap musim.

Ini sekali gus mengurangkan kebergantungan beras import dari luar negara.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Setiu, Mohamad Saipudin Abas berkata apabila berjaya kelak, projek perintis seluas 400 hektar itu akan mengeluarkan hasil pertama selang tiga bulan kemudiannya dan juga akan dijadikan contoh kepada lebih banyak mini estet yang lain di Terengganu.

"Buat permulaan, mini estet secara komersial ini akan menggunakan teknologi pertanian yang lebih moden dengan seliaan 10 pekerja agar pengeluarannya lebih banyak dan cepat.

"Satu hektar sawah dapat mengeluarkan tiga tan metrik padi setiap kali dituai dan ia akan mengeluarkan hasil sebanyak dua kali dalam setahun," katanya semalam.

Seramai 75 pesawah sekitar Setiu hadir ke taklimat Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) yang dianjurkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pemajuan PPK, Mohd Yusof Hassan berkata taklimat itu diadakan untuk memberi penerangan kepada pesawah mengenai manfaat yang bakal mereka terima daripada pelaksanaan skim SIPP itu.

"Masih ramai yang tidak faham mengenai pelaksanaan oleh kerajaan ini termasuk pemberian baja, racun, dan kapur untuk tujuan penanaman yang lebih efisyen.

"Sebab itu, kita turun padang untuk memastikan mereka faham dan kerjasama erat ini akan membolehkan matlamat SIPP untuk memastikan pengusaha pertanian memperolehi pendapatan setimpal serta menjamin pengeluaran bahan makanan tidak menurun akan tercapai," katanya.

Pekebun Kecil Getah Terima Dana RM130j

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad (kanan) pada sidang media di Putrajaya semalam bagi mengumumkan seramai 260,000 orang pekebun kecil getah di seluruh negara akan menerima RM500 di bawah bantuan khas kejatuhan harga getah mulai pertengahan Jun ini. 
Seramai 260,000 pekebun kecil getah di seluruh negara akan menerima bantuan khas RM500 mulai pertengahan bulan ini berikutan kejatuhan harga komoditi berkenaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sebanyak RM130 juta diperuntukkan kerajaan untuk pengagihan bantuan khas berkenaan secara sekali bayaran (one-off ) kepada pekebun kecil yang layak.

"Ia adalah langkah segera bagi meringankan beban kos sara hidup pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah SMR yang mencatatkan paras terendah tahun ini, RM5.44 per kilogram.

“Kerajaan memandang berat isu kejatuhan harga getah di pasaran dunia yang antara lain dipengaruhi faktor cuaca tidak menentu sehingga memberi kesan secara langsung kepada pendapatan pekebun kecil,” katanya pada sidang media di Putrajaya  semalam.

Mohd Shafie berkata, bantuan akan disalurkan oleh RISDA secara berperingkat kepada semua penerima yang layak.

Penuntut IPT Akui Buang Bayi Dalam Mangkuk Tandas

Seorang penuntut di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan cubaan menyembunyikan kelahiran seorang bayi.

Suzain Aharin, 21, yang beralamat di Kampung Cinta Mata, Kundasang, Ranau, Sabah mengaku bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Muhammad Firdaus Abdul Rahin, kelmarin.

Tertuduh yang hadir di mahkamah dengan berbaju kurung dan bertudung kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya dan dia ditemani seorang lelaki serta seorang wanita yang merupakan keluarganya. 

Mahkamah menetapkan tarikh 10 Jun ini sebagai sebutan semula kes dan jatuh hukum serta menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 kepada tertuduh.

Pembinaan Bangunan Hospital KTS Baharu Di Batu Buruk Memasuki 61 Peratus Siap

Pembinaan hospital baharu, Kuala Terengganu Specialist (KTS) milik Kumpulan Terengganu Development Management (TDM) Berhad di Batu Buruk di Kuala Terengganu, kini sudah siap 61 peratus.

Pengerusi TDM Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar berkata projek pembinaan hospital pakar swasta kedua di negeri itu, yang dimulakan pada November 2012, di kawasan tumpuan pelancong dan tidak jauh dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dijadual siap pada suku keempat tahun ini.

"Dalam tempoh empat hingga lima bulan lagi atau November ini, hospital tersebut dijadual siap dan mula beroperasi pada awal 2015.

"Justeru itu, saya telah minta pihak pengurusan memberi perhatian khusus bagi memastikan KTS beroperasi seberapa cepat yang boleh," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-49 TDM Berhad di Kuala Terengganu.

Peserta Terengganu De Everest 2015 Ke Tanzania


Lapan peserta Terengganu De Everest 2015 begitu bersemangat ketika mereka bergambar kenangan sebelum berangkat ke Tanzania selama 10 hari untuk mendaki Gunung Kilomanjaro, di MSN Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

Pemergian lapan peserta termasuk seorang wanita serta dua jurulatih Kembara Negara ke Tanzania adalah sessi latihan ke dua sebelum mereka menyahut pendakian sebenar Everest pada 2015 nanti.

Turut hadir pada pelepasan di KLIA jam lapan semalam ialah oleh Datuk Khalid Yunus.


Lapan peserta itu ialah Mohd Izzat Ilman Zahari, Mohd Redzaudin, Ahmad Saharuddin Abdullah, Fauzi Jaafar, Mashelmie Sidik, Mohamad Hanif Mat Rasat, Mohd Anuar Mohd dan Nor Asma Fadzila Mansor.- Aminudin.

Teganukita

19 Kontinjen IPTS Sertai Karnival Sukan Masiswa Zon Timur 2014

Sebanyak 19 kontinjen Pusat Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) akan menyertai Karnival Sukan Masiswa Zon Pantai Timur 2014 di Kolej Universiti Bestari, Bandar Permaisuri, Setiu, bermula 19 Jun ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) kolej tersebut, Prof Madya Ahmad Suhaily Mohd Salleh berkata sebanyak lapan acara sukan akan dipertandingkan pada karnival tiga hari itu.

Acara sukan tersebut ialah bola sepak, futsal, badminton, ping pong, bola jaring, petanque, bola tampar dan sepak takraw.

Tiga Nelayan Hilang Ditemui Berhampiran Perairan Vietnam

Tiga nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan sejak 11 hari lalu di Perairan Pulau Tenggol ditemui selamat awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacob berkata mereka yang ditemui nelayan tempatan kira-kira pukul 10 pagi semalam kemudiannya ditunda balik dan tiba di jeti Seberang Takir, Kuala Terengganu kira-kira pukul 4.30 pagi.

"Bot mereka dipercayai mengalami kerosakan enjin sebelum hanyut dibawa arus sehingga sempadan Vietnam.

Monday, June 2, 2014

Keputusan Cukai Pintu Belum Dibuat, Demonstrasi PAS Berniat Tidak Baik


"Menteri Besarmenegaskan dengan jaminan bahawa keputusan mengenai cukai pintu ini yang akan dibuat kelak, meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan...Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengkaji semula perjalanan cadangan pihak berkuasa tempatan itu melalui prosedur yang melibatkan dasar dan akta berdasarkan kepentingan rakyat."

Oleh Hambali Abdul Latiff

Kerajaan Negeri belum membuat keputusan mengenai penaksiran semula cukai pintu yang dicadangkan pelaksanaannya oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Menghairankan kenapakah Badan Perhubungan PAS negeri melalui Jawatankuasa Bertindak Membantah Cukai Pintu beria-ia merancang untuk mengadakan ‘demonstrasi rakyat' secara aman pada hari Rabu ini?

Melalui demonstrasi itu, PAS merancang untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar pada hari tersebut.

Kita tertanya-tanya, apakah demonstrasi dan tindakan oleh PAS itu sebagai perjuangan rakyat atau untuk kepentingan politik?

Pengerusi penganjur perhimpunan , Encik Yahaya Ali, berpendapat dengan pendapatan kerajaan negeri yang besar setiap tahun, sepatutnya ia mampu untuk tidak mengutip tambahan cukai daripada rakyat jika dilakukan pengurusan kewangan yang sempurna bagi menampung keperluan.

Mungkini inilah asas kepada penentangan kenaikan cukai pintu dalam kawasan MBKT.

Isu cukai pintu berbangkit apabila MBKT bercadang untuk menaikkan kadar yang tidak pernah dilakukan sejak 1981.

Cadangan itu ekoran kadar nilai hartanah terus melonjak, kadar sedia ada sudah menjadi terlalu kecil apabila bersandarkan kadar nilaian semasa kini.

Namun, MBKT memberikan peluang untuk membantah dan tempoh bantahan yang dikeluarkan oleh MBKT berakhir semalam.

Datuk Bandar, Datuk Adzlan Dagang sebelum ini turut mengatakan bahawa kenaikan cukai pintu itu belum dimuktamadkan.

Hanya selepas tamat tempoh bantahan, baharulah MBKT membuat rumusan untuk dibawa kepada pihak perunding, seterusnya ke peringkat jawatankuasa mesyuarat Ahli Majlis MBKT.

Bagaimanapun ketetapan kadar cukai sebenar akan dibuat mengikut kesesuaian melalui kata putus berasaskan bantahan rakyat dan perundingan.

Namun, sekiranya terlalu banyak bantahan dan setelah dirumuskan bahawa perlu diturunkan kepada kadar baharu, MBKT akan membawa cadangan itu kepada kerajaan negeri untuk membuat sebarang keputusan. Ini bermakna ia melalui beberapa proses dan keputusan mengenainya akan mengambil masa bukan dalam tempoh yang segera.

Di pihak kerajaan negeri, melalui kepemimpinan Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, beliau sudah membuktikan bahawa kerajaan negeri benar-benar prihatin dengan keresahan penduduk dalam daerah Kuala Terengganu mengenai isu berkenaan.

Menteri Besar sudah memaklumkan bahawa kerajaan negeri membuat keputusan menangguhkan penaksiran semua cukai pintu yang dikatakan akan menyebabkan kenaikan yang dicadangkan pelaksanaannya oleh MBKT itu.

Dengan penagguhan itu bermakna isu kenaikan cukai pintu itu tidak lagi berbangkit.


Ia juga tidak wajar diperbesar-besarkan. Jika perkara ini berkenaan terus mahu dijadikan isu, ia boleh diterjemahkan sebagai suatu bentuk kepentingan politik bertujuan dijadikan modal bagi memberikan persepsi buruk terhadap kerajaan negeri.

PAS tidak wajar terus menjadikan isu ini untuk kepentingan politik mereka apa lagi mengajak rakyat untuk berdemonstrasi.

Jika inilah pilihan mereka, ternyata parti pembangkang itu berniat serong sedangkan kerajaan negeri bertindak mengikut prosedur dan mendahulukan rakyat. Benar seperti ditegaskan Datuk Ahmad Razif bahawa isu ini tidak harus dijaja untuk mempengaruhi rakyat bagi mendapatkan pengaruh politik.

Menteri Besar sudah beberapa kali menegaskan dengan jaminan bahawa keputusan mengenai cukai pintu ini yang akan dibuat kelak, meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Menteri Besar menegaskan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengkaji semula perjalanan cadangan pihak berkuasa tempatan itu melalui prosedur yang melibatkan dasar dan akta berdasarkan kepentingan rakyat dan mahu agar semua pihak berpuas hati

 Memanglah isu kenaikan cukai pintu ini menjadi perbualan hangat penduduk dalam kawasan MBKT sejak awal tahun ini, namun keputusan yang akan ditentukan kelak akan mendahulukan rakyat.


Bukan pemimpin PAS sahaja yang bimbang mengenai kemungkinan kenaikan cukai pintu, malah Kerajaan Negeri sendiri turut sudah menerima memorandum UMNO Bahagian Kuala Terengganu mengenai perkara tersebut.

Ketua UMNO bahagian berkenaan Datuk Mohd. Sabri Alwi dilaporkan menyerahkan memorandum berhubung rungutan penduduk terhadap kenaikan yang dicadangkan itu, di pejabat Menteri Besar di Kuala Terengganu, semalam.

Berikutan itu, benar seperti persoalan dikemukakan Menteri Besar, kenapakah PAS perlu berusaha mengadakan perhimpunan besar-besaran hanya untuk menyerahkan memorandum?

Selain itu, dengan kedudukan kerajaan belum memutuskan apa-apa keputusan berhubung cadangan itu, sebilangan rakyat negeri ini tidak wajar diheret turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi.

Sepatutnya apa-apa bantahan hanya boleh apabila keputusan mengenainya sudah dimuktamadkan.

Pada ketika itu, jika tidak berpuas hati juga, sekiranya tetap mahu buat bantahan, barulah ada asas melakukannya.

Sebaliknya, jika diadakan juga demonstrasi itu ketika ini, ia tidak lain dan tidak bukan menonjolkan bahawa pemimpin PAS hanya untuk wujudkan persepsi yang buruk terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional negeri semata-mata.

Nota - Sebahagian besar bahan ini sudah disiarkan dalam Bicara Terengganukita, Trg FM, 2 Jun 2014, jam 1.30 tgahri.

Kerajaan Terengganu Tubuh Putra Untuk Memberikan Impak Berkesan Dalam Dasar Kerajaan


Kerajaan Terengganu menubuhkan Pusat Trasformasi Rakyat Terengganu (Putra) bagi menilai prestasi dan impak program dasar kerajaan negeri yang sedang dilaksanakan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata Putra yang ditubuhkan ini akan diketuai oleh seorang Ketua Eksekutif dan akan ditempatkan di Pejabat Menteri Besar selain itu ia juga akan mempunyai seorang pegawai penyelidik utama sepenuh masa yang bertaraf profesor.

Katanya inisiatif yang dilakukan ini bagi mewujudkan satu transformasi baru dalam pembangunan selain dapat menambah nilai keberkesanan dasar kerajaan yang sedang dan bakal dilaksanakan.

"Putra ini akan bertindak sebagai pusat penilaian maklum balas dalam membantu Menteri Besar melakukan keputusan berimpak tinggi kepada rakyat dalam semua perkhidmatan, gagasan dan dasar negeri disamping mencetuskan inovasi dalam pengurusan serta pembangunan kerajaan.

Bagi menggerakkannya, kita telah melantik Dr Wan Shaari Wan Ismail yang merupakan bekas Ketua Penolong Pengarah Yayasan Terengganu untuk menyandang jawatan Ketua Eksekutif bergandingan dengan Prof Dr Ibrahim Mamat sebagai penyelidik," katanya.

Beliau mengumumkan penubuhan Putra selepas memulakan tugasnya secara rasmi di pejabat rasmi Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, semalam yang disusuli dengan solat hajat dan bacaan yassin.

Selain itu pihaknya juga akan mengenalpasti keperluan segera rakyat dan mencadangkan mekanisme atau tindakan segera untuk menanganinya.

Menurutnya untuk melaksanakan fungsi ini, satu Majlis Perundingan Daerah (MPD) yang akan diketuai oleh Pegawai Daerah dan dianggotai oleh pemimpin semua peringkat dimana mereka akan diberi tempoh tiga bulan menyediakan pelan aspirasi rakyat itu dan hasilnya akan dilaporkan kepada Putra secara berkala. 

Menurutnya Putra juga akan bekerjasama dan mendapat khidmat pakar dari Institusi Pengajian Tinggi tempatan dan pihak swasta bagi membangunkan lagi negeri ini.

Katanya khidmat kepakaran akan memberikan fokus kepada lima kluster pembangunan iaitu Pendidikan, Ekonomi yang merangkumi sektor pelancongan, industri dan pelaburan, Pembangunan Belia dan Sukan, Sosial (Agama dan Kualiti Hidup) serta Pembangunan Politik.

Jelasnya setiap kluster akan dianggotai oleh beberapa pakar dan bertanggungjawab menyumbang kepakaran masing-masing bagi tujuan penambahbaikan dan pengujudan program baharu untuk dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Selain itu mereka juga akan membantu barisan exco yang terlibat bagi memberi idea untuk memajukan kluster masing-masing.

SUKMA 2014 - Wilayah Persekutuan Pintas Terengganu Di Persada Carta


Impian Terengganu untuk memburu gelaran kelima juara keseluruhan semakin suram selepas dipintas oleh Wilayah Persekutuan pada hari kesembilan temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17.

Selepas ketinggalan dua pingat emas dengan pendahulu Terengganu semalam, Wilayah Persekutuan menamatkan saingan hari ini dengan menambah 15 pingat emas manakala Terengganu hanya mengutip lima emas.

Acara gimrama menjadi lubuk emas Wilayah Persekutuan apabila meraih enam emas, untuk membantu memiliki kelebihan lapan pingat emas di persada carta pungutan pingat.

Wilayah Persekutuan kini mengumpul sejumlah 47 emas, 29 perak dan 42 gangsa sementara Terengganu di tangga kedua dengan 39 emas, 39 perak dan 20 pingat gangsa.

Sunday, June 1, 2014

Najib Bersyukur Atas Kemenangan BN Di Teluk Intan, Presiden Gerakan Jadi Menteri


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam semalam melahirkan rasa syukur atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Najib, selaku Pengerusi BN, berkata berita tersebut merupakan sesuatu yang manis pada malam terakhir program lawatan enam hari beliau ke China.

"Saya amat bersyukur sekali kepada Allah s.w.t...saya rasa gembira yang amat sangat apabila mendapat tahu BN menang.

Walaupun majoritinya nipis tetapi dalam sistem demokrasi, satu undi pun dikira menang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatannya ke China sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu.

Berita kemenangan BN itu diterima Najib semasa menghadiri majlis Makan Malam Persahabatan Malaysia-China di sebuah hotel di Beijing.

Sebaik sahaja menerima khabar itu, beliau terus menelefon Mah untuk mengucapkan tahniah.

Najib juga mengucapkan tahniah kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassan yang mengetuai kempen PRK itu dan seluruh jentera BN yang telah berkerja keras untuk merampas semula kerusi itu daripada DAP.
Dalam pertandingan satu lawan satu, Mah, yang juga Presiden Gerakan, mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.

Najib berkata kemenangan itu juga bermakna kerana BN tewas dengan majoriti lebih 7,000 pada pilihan raya umum 2013 dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di Teluk Intan yang memilih parti kerajaan BN kali ini.

"Ini bererti faktor peralihan sokongan yang besar sekali pada BN. Kita akan kaji punca-punca positif yang menyebabkan faktor peralihan sokongan kepada BN...terlalu awal untuk buat kesimpulan," katanya.

Ditanya sama ada Mah akan diberi jawatan dalam Kabinet seperti yang diumumkan beliau di Beijing dua hari lepas, Najib berkata ia akan ditunaikan kerana BN memegang pada slogan 'Janji Ditepati'.

Apabila seorang wartawan menyatakan akan ada tambahan dua presiden parti komponen lagi dalam Kabinet nanti sambil merujuk kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai,

Najib secara berseloroh berkata: "Mereka tidak boleh melupakan presiden MCA."

"Tidak boleh lupa Presiden MCA...beliau juga menyumbang atas kemenangan ini. Sekiranya BN bersatu padu dan melakukan kerja secara bersatu di peringkat akar umbi, anda boleh melihat kesan dan hasil yang lebih kukuh bagi calon BN," kata Najib.

Muhyiddin, ketika mengulas perkara yang sama berkata kejayaan merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan merupakan satu petanda penting bahawa keyakinan dan sokongan rakyat terhadap BN semakin kukuh.

Beliau yang juga timbalan pengerusi BN berkata beliau percaya pengundi Teluk Intan telah membuat keputusan yang matang dengan menilai prestasi baik dan pengalaman calon BN, Mah, yang pernah berkhidmat sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar dan Anggota Parlimen Teluk Intan sebelum ini.

"Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana pengundi di Teluk Intan telah memilih Mah untuk menjadi wakil rakyat mereka kembali.

"Kita bersyukur kerana kemenangan ini membuktikan BN terus mendapat sokongan masyarakat pelbagai kaum di negara kita," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur. Beliau berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada pengundi Teluk Intan kerana membuat pilihan yang bijak dan tepat serta menolak politik jahat, tipu helah dan kebencian.

Muhyiddin yang mengucapkan tahniah kepada Mah dan seluruh jentera BN berkata walaupun majoriti kecil dan memerlukan lebih banyak kerja dan usaha berterusan, beliau percaya ia adalah detik kebangkitan parti Gerakan.

"Saya percaya Mah akan bekerja kuat dan mengambil berat terhadap kebajikan penduduk Teluk Intan. Selain daripada berpengalaman, berdedikasi dan komited, beliau juga merupakan seorang penduduk Teluk Intan yang menjalinkan hubungan erat dengan masyarakat tempatan," katanya.

Muhyiddin berkata BN akan menunaikan semua janji yang telah dibuat dan Mah akan membawa arus pembangunan, kemajuan dan kemakmuran kepada negeri Perak dan Teluk Intan.

Jabatan Perikanan Sasar 30 Lagi Nelayan Di Terengganu Guna TED

Jabatan Perikanan Malaysia menyasarkan 30 lagi nelayan di Terengganu menggunakan alat peranti penyisih penyu (TED) pada pukat tunda sehingga hujung tahun ini, bagi memastikan kelangsungan habitat haiwan itu di negara ini.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Ahmad Sabki Mahmood berkata penggunaan alat itu amat perlu bagi mengurangkan kadar kematian penyu akibat terperangkap dalam pukat nelayan.

"Kalau penyu terperangkap dalam pukat nelayan, ia akan dapat melepaskan diri dengan cepat jika nelayan menggunakan TED.

"Sekarang sudah ada 12 nelayan di Terengganu, khususnya di Kemaman, yang menggunakan TED dan kita akan perluaskan lagi sehingga hujung tahun ini, dan segala kos ditanggung pihak jabatan dengan kerjasama pihak swasta iaitu kira-kira RM700 untuk satu alat," katanya kepada pemberita bersempena Program Konservasi Penyu Bersama Belia di Pusat Santuari Penyu Ma' Daerah di Kemaman.

Atlet Terengganu Raja Pecut Lelaki, Pingat Emas 400 Meter Lelaki & Wanita

Atlet Terengganu, Harith Ammar Mohd Sobri (kiri) dan atlet Pulau Pinang, Zaidatul Husniah Zulkifli mempertahankan gelaran raja dan ratu pecut pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 di trek balapan Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar.

Selain pingat emas 100 meter, atlet Mohd Arif Zulhilmi Alet dan Siti Nur Afiqah Abdul Razak dari Terengganu juga masing-masing meraih pingat emas dalam acara 400m lelaki dan 400m wanita

Dalam pada itu,  Mohd Arif membuat catatan 47.42s untuk menewaskan Mohd Fairol Nazim Mohd Noor dari Terengganu di tempat kedua dengan masa 47.89s manakala pingat gangsa diraih oleh atlet Sabah, Ancois Aron dengan 48.10s.

Siti Nur Afiqah pula melakukan catatan terpantas iaitu 54.46s menewaskan atlet Sabah, Fatin Faqihah Mohd Yusof dengan masa 57.58s, di tempat kedua.

BNM Keluar Duit Syiling Peringatan 40 Tahun Hubungan Malaysia-China

Sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China, Sabtu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan yang akan mula dijual kepada orang ramai pada 27 Jun ini

Ia merangkumi duit syiling peringatan pruf emas dan pruf perak berwarna, serta emas nordic, demikian menurut kenyataan BNM, semalam.

Nilai muka duit syiling emas itu ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping dengan 500 keping sahaja ditempa.

Nilai muka duit syiling perak berwarna pula ialah RM10 dan harga jualannya RM200 sekeping. Sebanyak 2,000 keping ditempa.