Saturday, August 7, 2010

Sikap Biadap Kerajaan Selangor Terhadap Permaisuri Agong

Raja Permaisuri Agong bukan ‘milik’ rakyat Terengganu semata-mata. Tuanku adalah milik rakyat Malaysia seluruhnya.

Dan apabila Tuanku Nur Zahirah dihina dengan tindakan Kerajaan Selangor yang tidak memperdulikan keberangkatan Raja Permaisuri Agong itu ke satu majlis di negeri itu pada bulan lalu, apakah kita wajar berdiam diri?

Wajarkah kita membenar dan membiarkan sikap biadab kerajaan Selangor itu yang tidak menghormati institusi diraja.

Kegagalan kerajaan negeri memohon maaf sehingga hari ini juga tidak wajar dan seolah-olah terlalu mengikut telunjuk sekutunya, DAP.

PAS yang bersekongkol dengan DAP yang cenderung tidak menghormati kaum Melayu dan institusi diraja turut membisu mengenai insiden itu.

Walaupun ada pihak cuba melindungi pemimpin Melayu dalam kerajaan Selangor dengan mengatakan perkara ini timbul bukannya salah kerajaan negeri, tetapi budaya yang dibawa oleh DAP sudah meresap di kalangan pemimpin pakatan pembangkang itu di Selangor.

Siapa DAP? Parti dan pemimpin ini kini sedang menyemarakkan budaya yang tak hormati orang Melayu, institusi Diraja, apa lagi Islam.

Kerajaan kerajaan Selangor seolah-olah tidak membuat persediaan sewajarnya semasa menyambut keberangkatan Raja Permaisuri Agong ke Festival Lagu-Lagu Islam Antarabangsa di Stadium Tertutup Melawati, Shah Alam pada 4 Julai lalu, walaupun ada mesyuarat mengenainya sebelum berlangsungnya majlis itu.

Apapun, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sepatutnya lebih arif tentang protokol dalam majlis yang dihadiri orang-orang kenamaan.

Amat wajar sekali jika ada yang marah dan geram dengan kejadian itu. Blog http://teganukini.blogspot.com/ wajar menyuarakan kemarahannya.

Ikuti apa yang diperkatakan oleh blog berkenaan.

RAJA PERMAISURI AGONG DIHINA PUN TIDAK APA?

Daripada http://teganukini.blogspot.com/ (Friday, 6 August 2010)

The chronology on the 'royal snub' issue

JULY 4 (2010): Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah showed up at the Selangor Tourism's Islamic song festival, but Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, State executive councillors, other elected representatives and senior civil servants were apparently “out of town”.

JULY 4: State executive councillor for Tourism, Consumer Affairs and Environment Elizabeth Wong, who was in Shanghai, China, on the same day for to an exhibition, is
sued showcause letters to Tourism Selangor and the event's promoter, Out of This World Sdn Bhd (O2TW), holding them responsible for the fiasco and to arrange to meet the Sultan of Selangor and the Queen to seek forgiveness.

AUG 2: Tourism Selangor general manager Noorul Ashikin Mohd Din said the State government was awaiting a date to explain the fiasco to the Queen.

AUG 3: The State government claimed the Queen attended the event in her personal capacity. Said State political secretary to the Selangor Menteri Besar, Faekah Husin: “Suddenly, the Queen felt like coming. We, at State-level, did what we could and arranged the necessary protocol for her." Selangor Tourism and O2TW confirmed getting showcause letters from Wong. Meanwhile, State executive councillor for Women Affairs, Science, Technology and Innovations Rodziah Ismail said Khalid had apologised to the Sultan of Selangor over the incident.

AUG 5: Khalid said there was no need to apologise as the Queen came to the event in her private capacity on the invitation of the organiser.

Sebagai anak Terengganu, saya malu dan marah apabila kerajaan Selangor menghina Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada majlis Islamic Song Festival di Shah Alam 4 Julai lalu.

Saya tidak faham kenapa pemimpin kita – UMNO dan Melayu – dari bawah hinggalah ke Perdana Menteri boleh buat tidak tahu dengan insiden itu.

Mana pemimpin UMNO yang sering mempertahankan institusi Raja yang sering melaung dan memekik-mekik kononnya Raja mereka tidak boleh disentuh?

Mana Pemuda UMNO yang kononnya menjadi banteng hadapan mempertahankan institusi Raja yang tidak sanggup melihat Raja mereka dihina?

Paling celaka, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengatakan keberangkatan Raja Permaisuri Agong ke majlis itu atas kapasiti peribadi.

Pada Isnin 2 Ogos lalu, akhbar The Malay Mail telah mengeluarkan laporan bertajuk "Being Frank: Selangor's Royal Snub, Date with the Queen" dan satu lagi artikel "It was not a royal snub" keluaran Selasa, yang telah mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah.

Laporan "It was not a royal snub" menyatakan bahawa kerajaan Selangor mendakwa Tuanku Nur Zahirah menghadiri majlis anjuran Pelancongan Selangor itu atas kapasiti peribadi di mana beberapa pemimpin penting kerajaan negeri itu tidak hadir.

Laporan itu juga menyebut ketidakcekapan kerajaan negeri menganjurkan acara itu telah memalukan Tuanku Nur Zahriah kerana tidak kehadiran pentadbir utama negeri termasuk Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyambut ketibaan Baginda.

Majlis itu hanya dihadiri oleh kurang darpada 200 orang dalam Stadium Tertutup Malawati di Shah Alam yang mempunyai kapasiti 5,000 penonton dan kegagalan kerajaan negeri memaklumkan kepada Sultan Selangor mengenai kehadiran Baginda pada majlis itu.

Istana Negara menafikan bahawa keberangkatan Istana Negara dalam kenyataan, lewat petang semalam berkata keberangkatan Tuanku Nur Zahirah ke majlis itu merupakan acara rasmi baginda.

"Pentadbiran Istana Negara ingin menasihati pihak yang terlibat dalam perkara ini supaya tidak mengulangi perkara seperti itu dan sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang mungkin boleh disalahtafsirkan oleh rakyat," kata kenyataan itu di Kuala Lumpur.

Istana Negara mendapati mesyuarat persediaan menyambut keberangkatan Baginda ke majlis itu diadakan melibatkan pihak Istana Negara, penganjur serta jabatan dan agensi kerajaan negeri yang terdiri daripada Pejabat Menteri Besar Selangor, Bahagian Khidmat Pengurusan SUK, Bahagian Protokol SUK dan Tourism Selangor dan dipengerusikan oleh Pengurus Besar Tourism Selangor.

"Istana negara juga menolak laporan yang menyatakan Baginda meninggalkan majlis lebih awal daripada yang dijadualkan, pada hal sebenarnya pihak penganjur telah dimaklumkan terlebih dahulu bahawa Baginda tidak akan menyertai majlis santapan selepas konsert tersebut," kata kenyataan itu.

Sebagai rakyat Terengganu yang berasa geram, malu dan sakit hati dengan tindakan itu berharap pemimpin negeri tampil ke hadapan membuat kenyataan dan biarlah pemimpin UMNO di Kuala Lumpur, Putrajaya atau juga Selangor hanya berdiam diri.

Mungkin mereka sibuk dengan tugas masing-masing dann tidak sedar kerajaan Pakatan Pembangkang yang diterajui oleh Tan Sri Khalid Ibrahim itu sanggup memalukan Istana Negara.

Lebih memalukan, seperti laporan http://www.lawi-ayam.blogspot.com/ yang memetik Parpukari dan MyKMU.net melaporkan Kerajaan Negeri Selangor akan menghadap Tuanku Nur Zahirah bagi memohon maaf terhadap insiden memalukan yang berlaku ketika baginda hadir merasmikan acara Festival Lagu-Lagu Islamik Antarabangsa 4 Julai lalu.

Menurut http://parpukari.blogspot.com/ laporan akhbar The Malay Mail 2 Ogos 2010, antara insiden memalukan itu termasuk kegagalan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menjemput ketibaan Seri Paduka pada acara tersebut.

Selain itu, hanya kira-kira 200 pengunjung hadir pada festival yang diadakan di Stadium Tertutup Melawati yang mampu memuatkan 5,000 orang penonton itu.

Lebih memburukkan keadaan apabila kerajaan negeri turut gagal memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kehadiran Raja Permaisuri Agong ke acara tersebut.

Pengurus Besar Pelancongan Selangor, Noorul Ashikin Mohd. Din berkata, kerajaan negeri sedang menunggu pihak istana bagi memaklumkan tarikh untuk pihaknya menghadap Seri Paduka bagi menjelaskan perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya yang diketuai Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong akan menghadap Tuanku Nur Zahirah nanti.

Noorul Ashikin berkata, pihaknya tidak dapat bertemu dengan baginda lebih awal memandangkan jadual ketat Raja Permaisuri Agong sebelum ini.

Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, Abdul Khalid sebelum ini telah mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor ekoran insiden tersebut.

Katanya, kerajaan negeri telah membincangkan perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Lawi-ayam yang memetik MyKMU.Net dengan tajuk “LAYAKKAH RATU BOGEL MENGADAP TUANKU PERMAISURI? ‘ mempersoalkan, apakah “Barang kangkang macam ni diarah jumpa Permaisuri Agong...nak mohon maaf atau nak hina Permaisuri negara ini?”

Entri pada blog itu menyebut: “Sikap kurang ajar terhadap institusi beraja yang ditunjukkan Kerajaan Negeri Selangor berhubung penganjuran majlis yang melibatkan kebawah DYMM Raja Permaisuri Agong baru-baru ini merupakan satu kesalahan yang asalnya disangka sebagai kesilapan pihak-pihak tertentu.

Bagaimana pun cadangan Khalid Gagap menghantar Ratu Bugilnyanya menghadap kebawah DYMM Raja Permaisuri untuk meminta maaf, mendedahkan maksud sebenar bahawa kejadian memalukan tersebut adalah sebenarnya dirancang secara halus bagi memalukan institusi beraja di Negara ini.

Keberadaan Khalid Gagap di kerusi MB hari ini adalah kerana sokongan DAP walaupun yang lebih layak adalah Azmin sebagai PesuruhJaya PKR Selangor. Tanpa jawatan politik yang meletakkannya di kerusi sekarang dahulu, sudah tentu penggal ini lebih merupakan penggal terakhir Khalid Gagap sebagai MB - jika ditakdirkan pembangkang menang lagi di Selangor dalam PRU 13.

Tetapi dengan sokongan DAP, sudah tentu hasrat dan niat Khalid untuk kekal memerintah akan terlaksana. Secara halus Khalid melaksanakan agenda jahat DAP ke atas institusi beraja di Malaysia dengan tindakan-tindakan yang disengajakan ini.

Takkanlah bahagian protocol istana gagal untuk memaklumkan kerajaan negeri dan pihak Istana Selangor mengenai kehadiran DYMM Raja Permaisuri Agong?

Sudah tentu ini tidak akan berlaku melainkan atas sebab-sebab yang disengajakan di pihak kerajaan negeri sebab belum pernah kita mendengar kegagalan sedemikian di negeri-negeri lain.

Peserta Terengganu Juara Akademi Al-Quran

AHMAD Tirmizi (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Johan selepas menjuarai AQ4, sambil diperhatikan Jamil Khir, di Putrajaya, malam tadi.

Peserta Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali, 25, mengubat kekecewaan dua abangnya apabila diumumkan juara musim keempat Akademi Al-Quran (AQ4) pada peringkat akhir yang berlangsung, di sini malam tadi.

Dua abangnya, Mohd Muslim dan Mohd Hafaz, masing-masing sebelum ini hanya berpuas hati di tempat kedua dan ketiga AQ musim kedua.

Pada saingan malam tadi, Graduan Sarjana Muda Qiraat dari sebuah universiti di Mesir itu mengenepikan tiga pesaing, termasuk adiknya sendiri, Yahya, 23.
Dua peserta lain ialah Muhammad Ahmad Zahid, 15, dan Husni Ali Hassan, 25. Dengan kemenangan itu, Ahmad Tirmizi, Pengurus Masjid Al Hidayah, Kelana Jaya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, pakej umrah, sebuah al-Quran digital berserta trofi.

Gelaran naib johan diraih Muhammad Ahmad yang menerima wang tunai RM15,000, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing milik Yahya dan Husni. Yahya membawa pulang RM10,000 dan Husni menerima RM2,000.

AQ4 disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menerusi saluran TV9. Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar.

Bacaan peserta malam tadi dinilai dari sudut taranum (lagu), tajwid, fasohah dan qiraat serta diadili juri, Zamri Mohd Zainuddin, Nazri Abdullah dan Radzi Kamarul Hailan sepenuhnya.

Agong Berkenan Terima Kunjungan 10 Pemandu Formula Future

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin (kanan) ketika menerima kunjungan pasukan pemandu Formula Future yang bakal menyertai Kejohanan Formula Future Dunia Carc Mill Dam 2010 di Istana Negara di Kuala Lumpur, semalam. Foto BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam berkenan menerima kunjungan sekumpulan pemandu Formula Future yang bakal menyertai Kejohanan Formula Future Dunia Carc Mill Dam 2010, di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Seri Paduka, yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, juga memberi titah nasihat serta mendoakan kejayaan 10 pemandu muda itu yang enam daripada mereka adalah dari Terengganu, pada kejohanan dua hari di St Helens (Merseyside) England mulai 13 Ogos ini.

Mereka ialah Akef Hilmie Mohd Zamry, 9, Dzafran Mohd Noor, 9, Hadi Irfan Mohd Rahaizah, 10, Muhammad Zhafree Ammar Mohd Zamry, 11, Muhammad Azwar Yahaya, 12, Muhammad Hanif Ramli, 13, Nik Daniel Affifudin Nik Kamaruzaman, 14, Tengku Mohd Kamal Hishamuddin Tengku Mohd Zainal Abidin Petra, 15, Muhammad Faidzullah Ramli, 17 dan Muhammad Faqih Noor Hamzah, 18.

Akef Hilmie, Dzafran Mohd Noor, Muhammad Zhafree Ammar, Nik Daniel Affifudin, Tengku Mohd Kamal Hishamuddin dan Muhammad Faidzullah Ramli adalah dari Terengganu.

Turut menyertai kunjungan itu ialah Pengarah Urusan H20 Sports Datuk Yahya A.Jalil dan Presiden Persatuan Sukan Air Bermotor Malaysia (PESUAM) Datuk Syed Ali Alhabshee.

Yahya berkata kesediaan Seri Paduka meluangkan masa berjumpa para pemandu itu menjadi pencetus semangat kepada mereka untuk berjuang di kejohanan itu nanti.

"Saya berasa terharu di atas titah dan doa Tuanku, di mana Tuanku mengucapkan rasa bangga terhadap seluruh 10 pemandu Formula Future yang berjuang mengharumkan nama negara," katanya.

Beliau berkata Seri Paduka berharap semua pemandu muda negara itu dapat berusaha gigih untuk mengulangi kemenangan cemerlang mereka bagi menjuarainya buat kali kelima.

Sementara itu, Syed Ali berkata kesemua pemandu sudah cukup bersedia untuk merampas kembali kejuaraan selepas tidak menyertainya di Russia tahun lepas berikutan wabak Influenza A (H1N1) ketika itu.

"Mereka dilatih secara berpusat selama 10 hari selepas kejohanan Formula Future Kebangsaan di Taman Botani, Putrajaya dari 22 hingga 25 Julai yang lepas, dan saya rasa mereka semua sudah cukup bersedia dan bersemangat," katanya.

Kesemua pemandu itu akan berlepas ke England pada Isnin ini dan diharapkan meraih sekurang-kurangnya tiga emas dalam lima kelas yang ditandingi, katanya.

Sebelum ini pasukan itu menerima ‘suntikan’ semangat daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang memberikan peruntukan tambahan RM50,000 bagi kegunaan mereka di sana.

Ahmad Shabery berkata, peruntukan itu adalah untuk menampung kos perbelanjaan pasukan 10 peserta itu dan disifatkan wajar kerana sukan berkenaan pernah menjulang nama Malaysia sebelum ini. “Peruntukan ini perlu memandangkan pasukan Malaysia pernah mencipta beberapa kejayaan dalam pertandingan terbabit sebelum ini.

“Ini adalah sukan yang Malaysia sudah berada di tempat yang dihormati dan kita sudah maju berbanding negara lain termasuk Eropah,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Pasukan Formula Future Malaysia, di Putrajaya kelmarin.

Pasukan negara pernah muncul juara dunia pada 2004, 2005, 2007 dan 2008 manakala naib juara pada 2006.

UMNO Bantu Belia,Pelajar Di Rhu Rendang

Siapa bantu belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang?

Siapa yang membahagi-bahagikan eBook untuk pelajar di sekolah dalam DUN Marang?

Siapa bertanya khabar dan mendekati belia di kawasan berkenaan?

Wakil Rakyat di DUN berkenaan buat apa? Ceramah sahajakah atau sibuk dengan program ‘merampas Putrajaya’?

Apakah membantu belia cukup setakat ceramah di Masjid Rusila?

Sedangkan hakikatnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM500,000 bagi agihan Dana Bakti Remaja kepada belia yang layak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang tahun ini.

Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku berkata, tahun ini sahaja seramai 2,338 belia menerima bantuan tersebut dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM467,600.

Menurutnya, ia tidak termasuk 377 belia yang mengikuti kursus tiga hari diadakan April lalu, yang dikendalikan oleh Biro Tata Negara (BTN), dan Pergerakan Pemuda serta Puteri UMNO Bahagian Marang.

“Secara keseluruhannya, jumlah penerima dana tahun ini bertambah berbanding tahun sebelumnya kerana kerajaan ingin membantu belia di negeri ini khususnya yang kurang berkemampuan.

“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa peka dengan keperluan belia di negeri ini dan tidak meminggirkan mereka kerana faham, tidak semua yang bernasib baik dan masih ada yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau menyatakannya pada Majlis Penyampaian Dana Bakti Remaja 2010 peringkat DUN Rhu Rendang di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Bandar Marang kelmarin.

Hadir sama, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Lokman Nor Adam dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Dir berkata, pihaknya akan mengadakan majlis khusus bagi belia yang layak menerima bantuan tersebut tetapi tidak dapat hadir kerana bekerja atau belajar di luar negeri ini.

“Kita mahu melihat sendiri dan berjumpa mereka kerana kita harap dengan bersemuka secara terus, ia memberi peluang mereka menilai sendiri apa yang kerajaan lakukan untuk membantu mereka,” katanya.

MAHA 2010 Terengganu tarik ramai pengunjung

Orang ramai mengunjungi khemah-khemah pameran dan jualan di MAHA 2010 di Dataran Shahbandar, semalam.

Penduduk Kuala Terengganu mula membanjiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 Terengganu di Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu yang bermula semalam.

Mereka juga mengunjungi pelbagai hasil pertanian, hortikultur dan agro pelancongan yang sinonim dengan Terengganu di pameran mini yang berlangsung sehingga 9 Ogos ini.

Selain itu, kira-kira 100 gerai pameran yang disertai wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan serta pelbagai usahawan turut mengambil tempat pada MAHA 2010 Trengganu ini.

Seorang pelajar dari sebuah institusi pengajian tinggi di sini, Wan Shahayah Wan Ahmad, 20, berkata, gerai pameran yang terdapat di sini amat menarik dan berlainan daripada pameran atau karnival lain.

"Saya amat tertarik dengan pelbagai minuman buah-buahan yang dapat membantu kesihatan selain produk minuman daripada sarang burung," katanya ketika ditemui.

Seorang surirumah, Tengku Khatijah Tengku Long, 40, berkata, tiga anaknya berusia tujuh hingga sembilan tahun amat tertarik dengan pameran pertanian di situ.

"Kami pada mulanya datang ke Dataran Shahbandar bawa anak- anak berjalan-jalan dan tidak sangka pameran ini diadakan.

"Sebelum ini, mereka tidak pernah lihat lembu besar dan kambing jamnapari kerana biasanya mereka hanya lihat lembu dan kambing biasa di kampung," katanya yang tinggal di Batu Burok di sini.

Seorang lagi pelajar, Rubiah Omar, 20, berkata, dia masih belum melawat semua pameran tetapi mendapati banyak maklumat terbaru mengenai bidang pertanian.

"Saya hendak mengikuti bidang pertanian nanti dan pameran ini memberikan saya maklumat berhubung bidang ini," katanya.

Utusan Online

Graduan UiTM Berpeluang Lanjut Pelajaran Ke Oxford, Harvard

Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mencatat kelulusan kelas pertama Ijazah Sarjana Muda bakal ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di universiti ternama dunia.

Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Ir Prof Sahol Hamid Abu Bakar berkata seramai 25 pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dengan nilai gred mata (GPA) 3.75 ke atas setiap tahun bakal menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) menerusi program 'Meletak Melayu dalam Peta Dunia'.

"Kumpulan graduan pertama yang terpilih untuk mengikuti pengajian di unversiti ternama dunia seperti Oxford, Harvard, Cambridge, Yale dan yang terkemuka di beberapa negara lagi akan diumumkan November ini," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya UiTM telah berbincang dengan universiti-universiti berkenaan berhubung penempatan graduan dari 25 jurusan yang ditawarkan universiti itu.

Menurut beliau, graduan terpilih akan disyaratkan bekerja dengan universiti itu selama tujuh tahun sebaik menghabiskan pengajian.

"Biasiswa untuk projek khas ini dibiayai pihak universiti. UiTM akan pilih kursus dan tempat pengajian yang sesuai untuk graduan yang terpilih ini," katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan Seminar Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa 2010 di Kuala Terengganu, yang disertai pensyarah dan graduan Sarjana dan PhD dari pelbagai negara.

Seminar anjuran UiTM itu antara lain membincangkan berhubung sistem kewangan Islam yang terkenal di negara ini yang menarik minat negara bukan Islam untuk turut mendalaminya.

Azizul Galas Cabaran Ketuai Pemburuan Emas Sukan Komanwel

Pelumba sensasi basikal negara, Azizulhasni Awang mengetuai 11 pelumba negara yang akan menggalas misi memburu pingat emas pada Sukan Komanwel di New Delhi, Oktober ini.

Selain Azizul, mereka yang turut tersenarai ialah Mohd. Rizal Tisin, Josiah Ng, Idrus Md Yunus dan Akmal Amrun dalam acara trek.

Selebihnya acara lebuh raya yang membariskan Sharul Mat Amin, Mohd. Adiq Husainie Othman, Annuar Manan, Amir Mustafa, Yusrizal Yusof serta Mohd. Arif Salleh.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab berkata, senarai pelumba ke New Delhi telah ada dan kini persiapan untuk menjulang kejuaraan sedang giat dilakukan.

"Kami telah mengenal pasti pelumba yang akan beraksi dan senarai ini adalah tetap dan tidak boleh diubah.

"Ketika ini, kebanyakan daripada mereka sedang menjalani latihan dekat Melbourne di bawah bimbingan John Beasley dan mereka akan terus ke New Delhi dari sana," katanya di kelamrin.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Le Tour de Langkawi (LTdL), Mohamed Salleh.

Menyentuh perkembangan latihan skuad negara di Melbourne, Abu Samah menjelaskan, setakat ini terdapat lima pelumba berlatih di sana manakala Annuar Manan pula berada di Eropah dan akan menyertai yang lain pada September ini.

"Cuaca di sana begitu sejuk, namun itu tidak menganggu persiapan latihan para pelumba malah kita turut mengambil bahagian dalam satu perlumbaan di sana.

"Hasilnya begitu memuaskan terutama sekali Adiq," jelas Abu Samah.

Selain itu, Abu Samah memberitahu, Kementerian Belia dan Sukan telah memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta bagi projek pembangunan sukan lebuh raya.

Peruntukan ini berikutan kejayaan siri LTdL yang mana Malaysia bukan sahaja unggul mempamerkan bakat tempatan, malah hebat dari segi penganjuran.

Katanya, dana itu bakal digunakan untuk persiapan dan latihan untuk memburu pelbagai kejayaan.

"Daripada jumlah itu, kita gunakan sebanyak 300 ribu untuk mengadakan Grand Prix lima peringkat iaitu di Kedah, Johor, Terengganu, Sarawak dan Selangor.

"Kita akan bagi mata serta RM7,000 kepada setiap pelumba yang menang ," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed berkata, LTdL tahun depan bakal menjadi satu lagi penganjuran terbaik buat negara.

"Kecemerlangan penganjuran lalu telah terbukti apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) memuji kita penganjur terbaik.

"Oleh itu, kita mahu tahun hadapan, penganjuran yang dilakukan lebih baik agar mampu menarik beberapa pasukan yang lebih profesional menyertainya," jelasnya.

Utusan Online

Zakat Hari Raya Diagih Ikut DUN - Kuala Terengganu Paling Ramai

Seramai 30,846 penerima layak menerima bantuan zakat hari raya yang diagih Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) bermula 2 hingga 10 Ogos ini mengikut lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam pengagihan ini, daerah Kuala Terengganu mencatatkan bilangan penerima tertinggi iaitu seramai 9,369 diikuti Besut 5,400 orang, Marang (5,256), Kemaman (3,661), Dungun (3,435), Hulu Terengganu (2,735) dan Setiu 990 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata, mulai tahun ini juga kadar bayaran bagi setiap penerima dinaikkan dari RM250 pada tahun lalu kepada RM300 melibatkan peruntukan sebanyak RM 10.5 juta.

“Pengagihan ini akan dibuat secara telus bagi mengelakkan orang yang tidak sepatutnya dapat, turut disenaraikan,” katanya.

Menurutnya, pemilihan penerima tahun ini juga sepatutnya lebih kemas dan tepat disebabkan pemilihan mereka diputuskan bersama oleh mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), jawatankuasa masjid dan amil di kawasan berkenaan.

Wan Harujan berkata, berpandukan kepada senarai yang dikeluarkan jawatankuasa khas Maidam, terdapat kekurangan pengagihan kepada penerima yang layak tahun ini.

“Pengurangan ini adalah seramai 9,272 orang kerana angka keseluruhan penerima 2009 adalah seramai 39,118 orang,” katanya

Beliau berkata di pejabat Maidam, Kuala Terengganu.

Sementara itu,Pegawai Maidam Daerah Marang, Md Maheran Yusoff mengakui agihan di daerah itu tahun ini berkurangan dan akan dilakukan secara berperingkat, melibatkan 5,218 orang terdiri daripada fakir miskin dan penerima bantuan bulanan Maidam.

Jumlah penerima pada tahun ini menurun berbanding tahun sebelumnya, iaitu 5,845 penerima.

“Jumlah agihan zakat yang diberikan kepada setiap penerima bagaimanapun meningkat iaitu sebanyak RM350, berbanding RM250 pada tahun lalu.

"Agihan wang zakat ini dibahagikan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana kita sudah mulakan dari 2 Ogos dan dijangka berakhir pada 10 Ogos," katanya.

Menurutnya, pengagihan wang zakat kali ini dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik kerana pihaknya bekerjasama dengan Pejabat DUN bagi membolehkan ia diagihkan secara cepat dan terus kepada golongan sasar.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Agihan Wang Zakat sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat DUN Alor Limbat di Masjid Tebakang kelmarin.

Majlis tersebut dirasmikan ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah. Seramai 1,133 penduduk di DUN Alor Limbat layak menerima bantuan zakat pada tahun ini, melibatkan peruntukan sebanyak RM396,550.

Md Maheran berkata, seramai 1,731 penduduk di DUN Pengkalan Berangan juga menerima bantuan sama, melibatkan peruntukan sebanyak RM605,850 manakala 1,357 penduduk di DUN Rhu Rendang juga mendapat bantuan zakat yang berjumlah RM474,950.

Bagi DUN Bukit Payong pula, seramai 997 orang menerima bantuan zakat pada tahun ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM348,950.

Parti Gerakan Buka 170 Cawangan Baru

Parti Gerakan kini semakin mendapat sokongan rakyat setelah mengalami kekalahan teruk sehingga kehilangan negeri yang pernah dikuasai pada pilihan raya umum Mac 2008

Presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata konsep perjuangan Gerakan masih menarik minat yang lain dan sepanjang lebih dua tahun selepas pilihan raya umum berlalu, parti itu kini kembali pulih.

"Sejak pilihan raya umum lepas, sudah ada 170 cawangan untuk ahli baru dibuka di seluruh negara. Kesemua cawangan ini telah dan sedang didaftarkan.

"Sebanyak 60 cawangan dibuka di Sabah, 20 di Pahang dan selebihnya di tempat-tempat lain seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan parti itu di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata anggota baru itu terdiri daripada pelbagai kaum terutama Sino-Kadazan dan Bumiputera di Sabah, empat cawangan di Raub, Pahang pula dibuka anggota berbangsa India.

Menurut beliau, Gerakan juga mendapat suntikan semangat dengan kemasukan dua wakil rakyat Bebas menganggotai parti itu.

Kedua-dua mereka ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Yip Kap yang bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya umum lalu dan bekas Timbalan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang meletakkan jawatan setelah SAPP menarik diri daripada komponen Barisan Nasional (BN) turut menyertai Gerakan.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata selain giat menambah anggota baru, parti itu juga ada inisiatif untuk menggerakkan kembali anggota yang tidak aktif.

Beliau berkata parti itu yang kini mempunyai 250,000 anggota, akan bangkit kembali pada pilihan raya umum akan datang, terutama di negeri-negeri yang pernah dikuasai seperti Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata parti itu menyokong dan akan terus memperjuangkan gagasan 1Malaysia.

Katanya, gagasan 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan dalam kepelbagaian selaras dengan prinsip perjuangan Gerakan yang ditubuhkan sejak 42 tahun lalu.

"Walaupun terdapat beberapa suara terutama daripada pembangkang yang mempersoalkan 1Malaysia, kita pasti konsep ini sesuai dengan rakyat negara ini dan kita dalam Gerakan sedia bekerjasama dalam perjuangan ini," katanya.

Friday, August 6, 2010

Dokumentari Syahadah Musim Keenam Lebih Istimewa

Menteri Besar Menyerahkan replika penajaan SYAHADAH kepada Datuk Ibrahim Yahya. - Gambar Suhaimi Ahmad

Dokumentari Syahadah bakal disiarkan sepanjang bulan Ramadan akan bermula 11 Ogos ini bersamaan 1 Ramadan mulai 6.30 petang di saluran TV1. Siaran ulangan pula setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 5.30 pagi hingga 5.50 pagi di saluran yang sama.

Pelbagai paparan menarik mengenai realiti kehidupan komuniti Muslim di serata dunia akan dipaparkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi dokumentari Syahadah siri keenam yang bakal disiarkan Ramadan ini.

Gimik pelancaran oleh Menteri Besar

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, musim kali ini lebih istimewa kerana selain memaparkan dua episod melibatkan negeri Terengganu, ia juga akan memaparkan komuniti Muslim di negara-negara Balkan dan Eropah serta negara bekas jajahan Soviet Union di Asia Tengah.

"Kita berbangga kerana dua segmen melibatkan Terengganu dengan memaparkan sejarah penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang yang akan dihayati dan juga akan menunjukkan kemajuan Islam yang telah dicapai kerajaan negeri dalam meninggikan syiar Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Dokumentasi Syahadah Musim ke-6 tajaan Yayasan Islam Terengganu (YIT) di Taman Tamadun Islam (TTI) diKuala Terengganu, petang kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Ibrahim Yahaya dan Pengarah Penyiaran Kawasan Timur Dr Nawiyah Che Lah.

Ahmad Said berkata kerajaan negeri menerusi YIT juga akan menaja Dokumentari Syahadah musim depan.

Sementara itu Ibrahim yang mewakili Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berkata sambutan terhadap program itu yang disiarkan sejak 2005 amat memberangsangkan dan siri lalu ditonton hampir sejuta penonton.

"Syahadah musim baru ini akan membawa penonton menjelajah negara Korea, Kemboja, Cina dan sekitarnya bagi menjejak latar belakang dan cara hidup saudara Muslim di sana," katanya.

Dokumentari Syahadah bakal disiarkan sepanjang bulan Ramadan akan bermula pada 11 Ogos ini bersamaan 1 Ramadan mulai 6.30 petang di saluran TV1.

Manakala siaran ulangan pula pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 5.30 pagi hingga 5.50 pagi di saluran yang sama.

Tidak ketinggalan juga dokumentari Syahadah dalam Bahasa Inggeris yang akan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis mulai 11 Ogos pukul 10 hingga 10.30 pagi di saluran TV2.

Antara pengisian program itu termasuklah pengenalan dan sejarah lokasi, warisan sejarah Islam berkaitan, perkara melibatkan Islam masa kini dan hal berkaitan sosial, politik, ekonomi, budaya di kawasan dilawati.

Tuduhan Felda Bankrap Hanya Untuk Pancing Undi Peneroka

Tuduhan kononnya Felda bankrap ditimbulkan oleh pihak yang tidak bermoral bertujuan semata-mata ingin memancing undi masyarakat peneroka, kata pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Menurut beliau, tuduhan tidak bertanggungjawab itu turut memberi masalah kepada Felda sehingga terpaksa menjelaskan perkara sebenar kepada rakan niaga dari negara luar.

"Rakan niaga kita di luar negara dari India, Pakistan, China, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, bila dengar perkara demikian mereka rasa pelik, mereka bertanya. Jadi kita terpaksa jelaskan apa yang berlaku," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata dakwaan kononnya Felda bankrap tidak benar sama sekali malah Felda kini antara agensi yang terbaik berbanding dengan organisasi lain.

"Pihak pengurusan tidak lihat penguncupan dalam pendapatan Felda. Pendapatan purata Felda untuk perniagaan teras kita iaitu sektor perladangan dan perniagaan lain yang memberi pendapatan tambahan yang dijalankan, terus mantap.

"Ingin saya jelaskan, Felda tak terjejas, malah kita semakin kuat dan kukuh daripada segi perniagaan dan juga reputasi," katanya.

Mohd Yusof berkata bukti terbaru Felda masih mantap ialah pembukaan sebuah lagi Felda Residence iaitu di Tanjung Leman, Johor, yang berharga RM32 juta, pada Disember ini.

"Ia dilengkapi 100 bilik yang boleh memuatkan 320 pengunjung. Kita tak buat saja-saja, ia beri peluang pekerjaan kepada warga Felda. Kalau kita tak ada duit, macam mana kita boleh buat semua ini," katanya.

Mohd Yusof berkata tuduhan sedemikian amat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan rakan niaga Felda dari negara luar hilang kepercayaan terhadap organisasi itu.

"Jika rakan kita di luar sudah hilang keyakinan pada kita, kesan buruknya kena pada peneroka Felda juga. Kalau rakan niaga kita lari, mereka ini yang perlu bertanggungjawab," katanya.

Beliau sebelum itu melancarkan Pakej Felda D'Saji dan Bufet Ramadan 1431 Hijrah, dan Pakej Perkahwinan d'Muara Sungai Kuala Terengganu, bertempat di Felda Residence di sini.

Promosi Bufet Ramadan yang menawarkan lebih 88 jenis juadah bermula 11 Ogos ini dan tamat 7 Sept manakala D'Muara menawarkan pakej perkahwinan dan akad nikah serta pakej pertunangan, ulang tahun kelahiran dan ulang tahun perkahwinan.

163 Maut Dalam Kemalangan Di Terengganu Jan - Jun 2010

Seramai 183 orang maut dalam kemalangan jalan raya di negeri ini dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Berdasarkan statistik itu, secara purata setiap hari berlaku satu kematian akibat kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata angka itu menggambarkan satu keadaan yang membimbangkan.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, semalam, beliau berkata pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terutama pada musim perayaan ini.

Mengenai jenayah indeks di Terengganu, Mohd Shukri berkata sebanyak 2,486 kes jenayah dilapor dalam tempoh Januari hingga Julai lepas berbanding 3,361 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah kes yang dilapor itu menunjukkan penurunan sebanyak 26.03 peratus dan daripada jumlah kes yang dilapor itu, sebanyak 1,287 kes berjaya diselesaikan, katanya.

Thursday, August 5, 2010

Ahmad Said Terima S.S.M.Z. bergelar Datuk Seri

Ahmad Said disematkan pingat oleh Tengku Muhammad Ismail

Tujuh penerima hari ini dianugerahkan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-48 Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin pada istiadat yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Tengku Seri Temenggong Raja juga bergelar Datuk Seri

Pada istiadat itu, Tengku Seri Temenggong Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud yang merupakan adinda Tuanku Mizan menerima Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (S.S.M.T.) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said menerima Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z.) yang juga membawa gelaran Datuk Seri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah pula dianugerahkan Darjah Dato' Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (D.S.M.Z.) yang membawa gelaran Datuk.

Empat orang dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka adalah Mufti Terengganu Dr Alias Abdullah, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu Osman Muda, pegawai pejabat Sultan Terengganu Mohd Yasin Awang dan peguam Zamani Mohamad.

Gambar oleh Suhaimi Ahmad

Pengurusan Felda Turun Padang Jelas Isu Bankrap

Pengurusan Felda mengambil inisiatif turun padang untuk menjelaskan keadaan sebenar berhubung dakwaan sesetengah pihak bahawa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bankrap, kata Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Abidin Abdul Rahman.

"Kita ingin menjelaskan kepada peneroka tentang perkara yang ditimbulkan itu, mungkin ada yang masih samar-samar, kita mahu semua 1.5 juta warga Felda seluruh negara jelas mengenainya," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra 1Felda Wilayah Terengganu di Felda Kerteh 5, di Kemaman, hari ini, beliau berkata warga Felda sebenarnya marah dengan tohmahan itu kerana mereka sendiri maklum mengenai kedudukan kewangan Felda yang masih mantap.

Katanya ini terbukti melalui pembayaran cukai sebanyak RM1.3 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh lima tahun sejak 2004, pemberian dividen sebanyak 14 peratus, malahan hasil daripada aktiviti di 300,000 hektar ladang memberi pulangan lebih RM1 bilion setahun.

"Ini samalah macam anak dara, masa tak pandai pakai bedak, tak pandai bergincu, orang tak pandang. Bila dah bersolek, ramailah yang berkenan," katanya.

Abidin berkata, tohmahan seperti itu amat tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan masyarakat Felda sendiri.

"Mungkin juga mereka yang membuat tuduhan ini berfikir cara lama, mereka nak tengok duit yang banyak, sedangkan Felda berbelanja untuk dapatkan pulangan yang akan dikembalikan juga kepada peneroka.

"Memang jumlah duit kita kurang tetapi bandingkan pula dengan aset kita yang bertambah, aset yang boleh berikan kita pulangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Felda telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta setahun untuk pendidikan generasi muda warga Felda menerusi Jabatan Inovasi dan Pembangunan Generasi Baru.

Pengarah jabatan itu, Faizoull Ahmad berkata jabatan berkenaan ditubuhkan Januari lalu memberikan tumpuan dari peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi.

Jertih Souq Dijangka Memasuki Fasa B Tahun Depan

Menteri Besar meninjau tapak pembinaan Jertih Souq kelmarin.

Datuk Ahmad Said sudah mengarahkan supaya Fasa B projek berkenaan diteliti dan dimulakan segera sebaik Fasa A selesai. Pakej B dijangka melibatkan pembinaan terminal bas dan teksi serta ruang niaga di tingkat atas, dan berkemungkinan dapat dimulakan tahun depan.

Tidak timbul Kerajaan Negeri ‘pulaukan’ pembinaan Jerteh Souq (kompleks bazaar dan kemudahan awam). Dakwaan liar itu sengaja diada-adakan untuk memburukkan kepimpinan negeri.

Ternyata cakap-cakap berkenaan sengaja dilakukan sedangkan sikap kerajaan negeri tidak sedemikian.

Projek bersepadu Jerteh Souq yang meliputi pembinaan infrastruktur membabitkan kawasan sepanjang 700 meter dari Kampung Balik Bukit melalui pesisir Sungai Jerteh sehingga ke Masjid Hadhari di bandar berkenaan, tetap diteruskan.

Malah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sudah mengarahkan supaya Fasa B projek berkenaan diteliti dan dimulakan segera sebaik Fasa A selesai.

Pakej B dijangka melibatkan pembinaan terminal bas dan teksi serta ruang niaga di tingkat atas, dan berkemungkinan dapat dimulakan tahun depan.

Difahamkan, bagi Fasa B akan mambabitkan peruntukan kerajaan Pusat di bawah Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam yang pada dasarnya telah dipersetujui untuk kelulusan dan kemungkinan dimeterai penghujung tahun ini.

Mengenai Fasa C, sehingga ini belum dapat dijangkakan bila projek membabitkan pembinaan pasar basah akan menjadi kenyataan.

Bagi Fasa A, kerja-kerja yang terbengkalai pada peringkat 80 peratus itu telah disambung semula dua bulan lalu oleh kontraktor yang sama dan kerajaan negeri mahukan ia disiapkan secepat mungkin.

Walaupun tidak termasuk dalam acara lawatannya ke Jerteh, Ahmad Said mencuri masa untuk melihat dan meninjau sendiri kemajuan pembinaan kompleks pasar Fasa A bernilai RM22 juta itu.

Sebaik makan tengah hari selepas merasmikan Medan Selera Jertih, beliau bergegas ke kawasan pembinaan Jerteh Souq dengan ditemani wakil kontraktor projek berkenaan.

Pakej A projek pembinaan Jertih Souq itu bernilai RM22 juta yang terhenti sejak kira-kira setahun lalu dan menimbulkan persoalan umum kini diteruskan.

Projek yang dimulakan pada 2007 itu merupakan bazar bagi menempatkan beratus peniaga kecil dan dijadualkan siap pada penghujung tahun lalu.

Jertih Souq dibahagikan kepada tiga fasa termasuk terminal bas dan teksi, ruang-ruang niaga dan pejabat serba moden di samping pasar basah yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM70 juta.

Selain menjana ekonomi penduduk setempat, ia dirancang bagi mengubah wajah bandar itu yang masih dianggap sebagai sebuah pekan lama.

''Projek ini tiada masalah dari segi kerajaan tetapi ia berdepan dengan masalah teknikal di pihak kontraktor," ujarnya.

Ahmad Said berkata menjadi lumrah kalangan kontraktor yang memberi jaminan mampu melakukan kerja dengan baik malah dapat menyiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan.
Berikutan itu, ia tidak akan melibatkan peruntukan tambahan oleh kerajaan negeri.

Perkataan 'Souq' diambil daripada perkataan Parsi yang membawa maksud deretan kedai-kedai kecil, bersesuaian dengan konsep pembinaannya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Wan Mustafa Wan Hasan memberitahu Utusan Malaysia, masalah teknikal yang merencatkan pembinaan fasa pertama itu disebabkan ia tidak mengikut spesifikasi asal.

''Sehubungan itu juga, Institut Kerja Raya Malaysia(Ikram) telah diminta membuat kajian mengenai bahagian-bahagian binaan yang diragui," ujarnya.

TATiUC, MIE tandatangan MoU

Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti TATi (TATiUC) dengan MIE Universiti Jepun ditandatangani pada 2 Ogos lalu untuk pembangunan program akademik antara kedua belah pihak.

MoU terbabit ditandatangani Profesor Hideo Kobayashi mewakili MIE Universiti Japan dan Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim.

Dr Mohd Rozailan berkata, melalui MoU itu, TATiUC dan MIE Universiti akan bertukar tenaga pengajar dan penuntut serta menyediakan tempat pengajian di peringkat Master dan PhD di TATiUC.

“Hal ini sekali gus memberi ruang kepada kedua belah pihak bertukar maklumat akademik selain memperkukuhkan bidang penyelidikan dan kajian (R&D) untuk manfaat bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian sejurus selesai sesi menandatangani MoU terbabit yang diadakan di Kampus utama TATiUC di Teluk Kalong, Kijal.'

Menurutnya, bidang kejuruteraan dapat dikembangkan dengan lebih baik selain memberi ruang kepada mahasiswa TATiUC untuk melanjutkan pengajian di Universiti MIE, Jepun.

“Dalam konteks ini, Universiti MIE menawarkan kemudahan asas seperti elaun bulanan, kemudahan tempat tinggal dan penyelia untuk membuat penyelidikan bersama.

"Ini satu kelebihan buat TATiUC memandangkan MIE antara universiti terbaik di Jepun dan mampu memberi komitmen tinggi terhadap MoU ini,” katanya.

Menurutnya, kedua belah pihak juga bersetuju untuk berkongsi hasil penyelidikan demi memastikan TATiUC mampu melonjakkan namanya dalam bidang Kejuruteraan Kimia, Pembuatan Robotik dan Komputer.

“Melalui konsep budaya kerja dan pandang ke timur, Universiti MIE bersetuju melakukan pertukaran pelajar dalam memperkenalkan budaya dan sara hidup di Jepun. Universiti ini telah mengadakan kerjasama dengan 36 buah Institusi terbaik di rantau Asia,” katanya.

Menurutnya, pengalaman Universiti MIE amat penting bagi TATiUC dalam mencapai visi dan misi yang ditetapkan selain memperkukuhkan nama TATiUC di negara luar.

Dua Beradik dari INSPI Kemaman Berentap Pada Final AQ4

Dari kiri - Husni Ali, Yahya, Ahmad Tirmizi dan Mohd Ahmad akan bersaing merebut gelaran juara AQ4 di TV9. Empat anak muda berentap dalam final AQ4.

Tanpa banyak publisiti tetapi program realiti Akademi al-Quran musim ke empat (AQ4), malam esok (6 Ogos depan), kira-kira empat hari sebelum umat Islam meraikan Ramadan.

Sungguhpun tidak banyak publisiti dimainkan media, namun program yang diperkenalkan TV9 itu tetap mempunyai pengikut setianya.

Penerbitnya, Shukri Ibrahim mengakui, AQ4 kering publisiti tetapi jumlah penonton yang menyaksikan program itu meningkat saban tahun.

Tahun ini saja, AQ4 pernah mencecah jumlah tontonan sebanyak 600,000 orang, satu angka yang memberangsangkan katanya. “Kami di TV9 turut giat menyiarkan promo AQ4. Bagaimanapun, sebagai sebuah stesen televisyen percuma, kami tidak mampu menyiarkan program ini berulang kali seperti mana dilakukan stesen berbayar kerana kami mempunyai banyak lagi program yang menanti siaran.

“AQ4 juga sebenarnya mendapat sambutan yang menggalakkan di luar negara terutamanya di Timur Tengah. Malah menurut peserta kami, ada program seperti AQ yang berjudul Mizman Zahabi atau bermaksud seruling emas diterbitkan di sana, selepas mereka menyaksikan AQ.

“Selain itu, ketika kami menjalankan sesi uji bakat di sebuah kolej di Kedah iaitu Kolej Insaniah, kehadiran kami mendapat perhatian pelajar dari Beijing, China yang mahu mencuba nasib tetapi kami tidak dapat mengambil mereka kerana bukan orang tempatan. Atas sambutan menggalakkan, program ini akan diteruskan untuk musim kelima,” kata Shukri ketika majlis pengumuman nombor giliran peserta peringkat akhir AQ4 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada pertandingan akhir yang bakal berlangsung jam 9 malam esok (Jumaat 6 Ogos 2010) , empat peserta iaitu Husni Ali Hassan, 25; Ahmad Tirmizi Ali, 25; Yahya Ali, 23 dan peserta termuda Muhammad Ahmad Zahid, 15, bakal bertarung bagi merebut gelaran juara yang sekali gus melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai bernilai RM30,000.

Muhammad Ahmad, dari Ampang, Selangor akan memberi saingan sengit biarpun dia peserta paling muda pada peringkat ini.

Pelajar Sekolah Integrasi Darul Hikmah, Ampang Utama yang pernah mengharumkan nama negara apabila bergelar Johan kategori bacaan terbaik pada Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai ke-12, dua tahun lalu, amat bersyukur apabila berjaya menempah tiket ke peringkat akhir.

Dia yang akan muncul peserta pertama pada pertandingan akhir itu, tidak menganggap kemenangannya di peringkat antarabangsa sebagai satu kelebihan untuk muncul juara. Sebaliknya ada beberapa perkara yang perlu diberikan tumpuan antaranya kawalan pernafasan.

“Perasaan gementar ada sikit-sikit. Apa pun saya gembira kerana muncul sebagai peserta pertama pada peringkat akhir ini nanti. Sebagai peserta pertama sekurang-kurangnya tiada tekanan kerana saya belum melihat peserta yang lain membuat bacaan mereka.

“Sebagai persediaan, saya akan kurangkan makan dan banyak berjoging kerana pernafasan saya pendek. Selain itu, tiada lagi perubahan ketara lain yang akan saya lakukan,” katanya yang pernah menerima Anugerah Saidina Ali sempena Maulidur Rasul peringkat Selangor 2009.

BAGI adik beradik, Ahmad Tirmizi Ali dan Yahya Ali, mereka umpama meneruskan legasi tiga abang yang juga pernah mencuba nasib di dalam AQ1 dan AQ2.

Tiga abang mereka ialah Mohd Syukri Ali pada musim pertama, Mohd Muslim Ali dan Mohd Hafaz Ali musim kedua. Hafaz dan Muslim masing-masing muncul pemenang tempat kedua dan ketiga pada AQ2.

Penyertaan ketiga-tiga abang mereka di dalam program itu menarik minat Tirmizi dan Yahya untuk mencuba nasib.

Bagaimanapun, ketika AQ diperkenalkan, Tirmizi masih menuntut di Mesir dalam bidang Sarjana Muda Qiraat. Manakala minat Yahya pula masih belum bercambah ketika itu, minatnya hanya mula berputik setelah menyaksikan abang-abangnya bersaing di peringkat akhir di PICC.

“Saya tak jangka dapat ke final, tetapi abang saya Tirmizi, memang saya jangka dia melangkah ke akhir. Saya menyertai pertandingan ini kerana mahu mencari keredaan Allah, pengalaman dan mahu menimba ilmu.

“Mempunyai abang yang pernah mempunyai pengalaman menyertai program ini memang memberi kelebihan kepada kami. Ketika pulang ke kampung, saya banyak berlatih dengan abang. Dan bila pulang semula ke sini, saya bermuzakarah bersama rakan-rakan,” kata Yahya, penuntut Institut Pengajian Islam (INSPI) di Kemaman, Terengganu.

Bagi Tirmizi, dia berminat menyertai AQ sejak musim pertama tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana berada di Mesir. Dia yang juga rakan sekelas Husni ketika di Mesir mendapat perangsang menyertai program ini atas galakan juara AQ musim pertama, Abdullah Fahmi.

Pemuda yang kini bertugas sebagai Pengurus Masjid Al Hidayah, Kelana Jaya berkata, dia juga tidak menyangka dapat melangkah ke peringkat akhir. Walaupun sering menjadi pilihan pelajar terbaik, tetapi Tirmizi berkata apa saja boleh terjadi pada peringkat akhir nanti.

“Semuanya bergantung kepada bacaan, ini program realiti, bagi saya sesiapa pun boleh menang. Asalkan tidak membuat kesilapan bacaan pada peringkat akhir nanti. Bagi memantapkan lagi mutu bacaan, selain banyak berlatih, saya juga akan melakukan senaman bagi meningkatkan lagi stamina,” katanya.

Berdepan cabaran yang sengit menyebabkan peserta berasal dari Serkam, Melaka, Husni Ali merancang melakukan pelbagai strategi untuk memantapkan bacaannya.
Kata Husni yang kini bertugas sebagai pendakwah bebas, dia akan membuat persiapan bagi memastikan kesihatan tidak terganggu pada hari itu.

“Bila berbadan besar, pernafasan memerlukan latihan. Kalau boleh memanglah nak menang tetapi cabaran dari rakan-rakan semuanya hebat belaka,” kata Husni yang pernah beberapa kali memenangi Tilawah Peringkat Negeri Melaka di tempat ketiga dan juga akan muncul sebagai peserta ketiga.
Berita Harian

Pegawai JPJ diarah bawa RM50 elak rasuah

Semua pegawai dan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri diarah mengisytiharkan wang dan barangan dimiliki setiap hari sebelum keluar menjalankan tugas, dan hanya dibenarkan membawa wang tunai tidak lebih RM50 sehari.

Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata ketua unit akan melakukan pemeriksaan termasuk memastikan semua pegawai dan anggota mengisytiharkan pemilikan mereka sebelum dan selepas keluar bertugas.

“Perisytiharan harta setiap hari ini untuk memastikan mereka bersih daripada gejala rasuah. “Setakat ini tiada kes rasuah atau menerima duit belanja kopi berlaku di kalangan pegawai serta anggota JPJ,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengetuai operasi bersepadu di Jalan Sultan Muhammad, di sini, semalam.

Mahligai Ekspress Tambah Empat Buah Bas Bertingkat

Menteri Besar melancarkan bas baru Mahligai di Jertih semalam. - Gambar Zulkifli Putra

Syarikat pengangkutan bas Mahligai Ekspress Sendirian Berhad menambah empat buah bas bertingkat lagi dalam operasinya bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Pengarah Urusannya, Zawawi Jusoh berkata empat buah bas yang ditempah dengan kos RM3.2 juta itu akan beroperasi September ini dan dilengkapi dengan 45 tempat duduk berkembar setiap satu bagi memberikan keselesaan kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan syarikat tersebut.

Katanya, setakat ini syarikat yang telah beroperasi selama enam tahun itu telah memiliki 32 buah bas termasuk 10 daripadanya bas dua tingkat.

Syarikat tersebut telahpun mendapat kelulusan laluan baharu untuk bas-bas baru tersebut, katanya kepada Bernama ketika ditemui di Jerteh sempena pelancaran bas syarikatnya yang ke-36, di sini.

Destinasi tersebut membabitkan perjalanan dari Kuala Besut-Kuala Terengganu-Kuala Lumpur-Putrajaya-Bukit Beruntong dan berakhir di Tanjung Malim pergi dan balik.

"Semua perjalanan bas baru ini akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri ini dengan tambang yang dikenakan sebanyak RM58 sahaja," katanya.

Zawawi berkata dengan laluan baharu itu bas Mahligai akan beroperasi di 30 buah destinasi di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Mengenai musim perayaan tidak lama lagi, beliau memberi jaminan syarikatnya akan membuat penambahan perjalanan sekali ganda bermula seminggu sebelum perayaan.

15 Negara Dijangka Sertai Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan

Peserta dari 15 negara dijangka mengambil bahagian pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu dari 5hingga 7 November depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata negara yang dijangka mengambil bahagian termasuk Perancis, Australia, Chile, Amerika Syarikat, Uruguay, Thailand, Indonesia dan New Zealand.

"Taklimat mengenai kejohanan tersebut baru diberikan oleh pihak penganjur," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad berkata kerajaan negeri dan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) sebagai penganjur kejohanan itu, sedang menunggu jawapan daripada negara terbabit.

Beliau berkata hanya satu kategori dipertandingkan kali ini iaitu 120 kilometer dan lebih 80 peserta dijangka memeriahkan kejohanan yang diadakan buat kali keenam itu.

Sementara itu, jurucakap RTES ketika dihubungi berkata setakat ini, tujuh negara telah mengesahkan penyertaan mereka iaitu Perancis (dua peserta), Australia (dua), Chile (satu), Amerika Syarikat (dua), Uruguay (satu), Thailand (lima) dan Indonesia (satu).

Beliau berkata seperti biasa, ramai peserta Malaysia dijangka mengambil bahagian pada kejohanan tersebut.

Katanya, kejohanan itu adalah satu daripada usaha mempromosi Terengganu di luar negara.

Nahas Klip Video Lucah Dalam Telefon Bimbit

Seorang pemuda tidak menyangka perbuatannya menyimpan klip video lucah di dalam telefon bimbit mengundang padah apabila ditahan dalam operasi trafik di Jalan Sultan Mohamad di Kuala Terengganu, semalam.

Operasi selama empat jam itu dijalankan Bahagian Kawalan, Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Cawangan Terengganu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.

Timbalan Ketua Cawangan Bahagian Kawalan, Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN, Zaki Mohamed berkata, lelaki berusia 20-an tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Penapisan Filem 2002.

“Jika sabit kesalahan dia boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mengulas lanjut, Zaki berkata, operasi itu bukan semata-mata untuk mengesan pesalah jalan raya tetapi turut melibatkan kesalahan memiliki video lucah.

Zabidi – Saya Bukannya Nakal

Saya bukannya nakal apabila mencadangkan dua nama yang paling layak menjadi Calon Barisan Nasional (BN) di DUN Batu Buruk sama ada Dr. Bazlan bin Datuk Shafie atau Shafarudin Mustafa.

Saya buat cadangan ini berasaskan kehendak orang ramai yang mahu calon baru ditonjolkan di situ pada pilihan raya umum akan datang.

Tidak semestinya Pegawai Pembangunan DUN (PPD) yang jadi calon. Datuk Che Mat Jusoh pernah jadi calon pada pilihan raya umum 2004 tetapi tewas.

Oleh itu beliau tidak payahlah berangan untuk menjadi calon lagi. Wajarlah beliau beri laluan kepada orang muda untuk jadi calon. Kita perlu calon yang muda supaya dapat berkhidmat kepada rakyat tidak kira siang atau malam.

Kalau berdasarkan jawatan PPD layak jadi calon, Shafarudin yang patut jadi calon Batu Buruk pada tahun 2004 kerana ketika itu beliau adalah PPD Batu Buruk tetapi parti memilih Che Mat Jusoh.

Oleh itu untuk pilih calon pada masa akan datang, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubugan UMNO kena tanya akar umbi.

Jangan tanya ketua cawangan sahaja. Jangan tanya Pengerusi JKKK sahaja. Tanya semua lapisan masyarakat siapa yang rakyat mahu calon yang wakili mereka.

Terlanjur bercakap tentang calon Batu Buruk, apa salahnya saya tulis siapa yang layak bertanding di tiga DUN lagi di Bahagian Kuala Terengganu berdasarkan kehendak rakyat.

Di DUN Wakaf Mempelam, yang layak ialah Wan Mahyudin Ngah, 45 tahun. Di DUN Ladang, Datuk Wan Farid Wan Salleh selaku Ketua Bahagian mampu merampas kembali kerusi DUN Ladang daripada tangan PAS.

Di DUN Bandar, calon UMNO yang patut bertanding dan bukannya MCA. Kalau UMNO bertanding, Alias Mustapha yang layak diketengahkan di situ. Berilah calon MCA jadi Senator.

Bagi Parlimen Kuala Terengganu, bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar,42 tahun boleh ditonjolkan sebagai calon.

Beliau adalah anak saudara bekas ahli parlimen Kuala Terengganu, arwah Datuk Razali Ismail. Beliau banyak membantu Datuk Razali ketika beliau bertanding pada tahun 2004 buat kali pertama.

Ketika itu Datuk Razali bekas pengarah pelajaran ditarik sebagai calon disabotaj oleh parti tetapi oleh kerana Fakrul pernah jadi AJK Pemuda Kuala Terengganu maka beliau bekerja di belakang tabir membantu Datuk Razali.

Ketika itu Datuk Razali mahu ambil bekas guru sebagai pencadang dan penyokong beliau dalam borang penamaan calon tetapi dinasihati oleh Fakrul supaya ambil orang parti.

Pengalaman beliau dalam parti pembangkang digunakan sepenuhnya untuk memenangkan Datuk Razali.

Sebab itu pada tahun 2008, tiga kerusi PAS menang di tiga DUN dalam parlimen Kuala terengganu tetapi Datuk Razali menang kerusi parlimen. Pendekatan yang digunakan oleh Fakhrul ternyata bejaya.

Seorang lagi yang boleh diketengahkan sebagai calon parlimen Kuala Terengganu ialah seorang peguam Hasmadi Awang, 44 tahun.

Oleh itu jika BN mahu menang, calon-calon yang disebut ini perlu turun padang dari sekarang mendekati rakyat tanpa mengira waktu.

Daripada catatanzabidi

Pemangku Sultan Jayakan Sukaneka Rakyat Kijal

Melastik...antara acara disertai Tengku Muhammad Ismail yang mencemar duli menjayakan sukaneka rakyat DUN Kijal Sabtu lalu - Gambar Zulkifli Putra.

Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli untuk bersama rakyat menjayakan sukaneka rakyat peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang diadakan di Pantai Teluk Kalong, Kijal.

Tengku Muhammad Ismail berangkat tiba di Pantai Teluk Kalong pada jam 2.30 petang Sabtu lalu (31 Julai 2010) diiringi dua adindanya, Tengku Muhammad Muaz dan Tengku Fatimatuzahra.

Hadir ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menyatakan bangga atas kesudian Tengku Muhammad Ismail menyertai sukaneka bersama rakyat jelata.

Tengku Muhammad Ismail turut diperkenalkan kepada ketua kontinjen yang mewakili mukim di daerah Kemaman dan menyaksikan demonstrasi permainan panjat tiang licin dan pukul bantal sejurus selesai menerima hadiah daripada ketua kontinjen di setiap mukim.

Baginda kemudian menyaksikan cara membuat kuih tradisional serta demonstrasi permainan tradisi selain menjayakan beberapa permainan pada program itu.

Rakyat jelata turut teruja apabila menyaksikan Tengku Muhammad Ismail menyertai permainan golek tayar serta melepaskan acara terompah gergasi melibatkan kanak-kanak di kawasan DUN Kijal.

Tengku Muhammad Ismail turut menunjukkan bakat menumbuk emping padi dan memancing ikan hingga berjaya membawa naik beberapa ekor ikan keli di kolam ikan disediakan.

Sejurus kemudian, baginda berangkat pula melepaskan acara tarik tali dan mengurniakan hadiah kepada pemenang acara sukan rakyat.

Hadir meraikan acara itu ialah Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Kamil Othman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, A Rahman Yahya serta Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan, Rohani Abdullah.

Disambut rakyat jelata yang ingin melihat lebih dekat Tengku Muhammad Ismail serta dua adindanya. - Gambar Zulkifli Putra.