Saturday, December 11, 2010

PAS PERLU AKUI KECUAIAN & MOHON MAAF KEPADA RAKYAT TERENGGANU

Apakah wang rakyat sebanyak RM1 Bilion terpaksa digunakan untuk membayar saman ini gara-gara kecuaian PAS? Bergantunglah kepada keputusan rayuan oleh kerajaan Barisan Nasional nanti tetapi yang nyata, PAS sudah melakukan kesilapan dan sewajarnya PAS berdepan dengan rakyat Terengganu dan MEMOHON MAAF atau MENGAKUI KESILAPANNYA secara terbuka!

Harakahdaily Online semalam melaporkan kenyataan tidak senang Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada laporan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Abdul Rahim Muda yang membuat keputusan memihak kepada syarikat pembalakan, Riyapadu Sdn Bhd dalam penghakiman 27 Oktober lalu.

Menurut Mustafa, laporan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia semalam kononnya Kerajaan PAS Terengganu cuai sehingga disaman RM1 bilion dianggap menyalahi etika.

Menurut Mustafa, kes tersebut masih dalam proses perundangan dan pihak kerajaan negeri sedang dalam proses rayuan.

“Adalah tidak beretika untuk meletakkan kesalahan itu kepada parti,” ujarnya yang juga bekas Exco kerajaan negeri kepada Harakahdaily.

Apabila Utusan Malaysia melaporkan kes berkenaan berdasarkan kenyataan pihak yang membuat kenyataan akhbar, Utusan Malaysia sebenarnya memetik kata-kata individu dan sesiapa juga yang hadir pada majlis itu.

Persoalannya, jika akhbar Harakah atau portal berita PAS, Harakahdaily mengulas, mencerca dan membuat ramalan yang ternyata tidak benar, PAS tidak pernah mahu meminta maaf.

Persoalannya, kenapa Mustafa tidak senang dengan laporan berkenaan? Apakah ia ada kaitan rapat atau beliau antara orang yang dikatakan terbabit dalam kes berkenaan?

Apakah Mustafa ibarat "seorang lembu yang membawa lumpur, semua yang lain ikut terpalit"?

Ada cakap-cakap - sama ada benar atau tidak - mengatakan dalam isu konsesi balak ini Mustafa adalah ‘orang penting’ di belakang kes ini.

Utusan Malaysia semalam menyebut, akibat kecuaian dan mungkir janji kerajaan Terengganu pimpinan Pas pada tahun 2003, kerajaan negeri (Barisan Nasional) perlu membayar tuntutan saman RM1 bilion kepada sebuah syarikat pembalakan, Riyapadu Sdn. Bhd. (Riyapadu).

Keputusan yang memihak kepada syarikat berkenaan dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Abdul Rahim Muda dalam penghakiman 27 Oktober lalu.

Pengarah Riyapadu, Ally Azwin Datuk Abdul Hamid berkata, keputusan penghakiman berkenaan telah membuktikan ‘kezaliman’ yang dilakukan kerajaan Terengganu pimpinan Pas pada tahun 2003.

“Alhamdulillah Allah telah berikan keadilan pada hari ini, kami bersyukur,” katanya pada sidang akhbar, di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Ally Azwin, berdasarkan penghakiman itu, pihaknya yakin berjaya memperoleh bayaran RM1 bilion seperti mana yang dituntut berhubung kecuaian dan mungkir janji kerajaan negeri ketika itu berkaitan konsesi pembalakan di Empangan Kedua Hulu Terengganu.

Ally Azwain berkata, mahkamah dalam keputusannya memerintahkan defendan (kerajaan Terengganu) mengembalikan wang RM25 juta yang telah dijelaskan oleh plaintif (Riyapadu) pada 2003 bagi bayaran premium konsesi balak di kawasan seluas 16,587 hektar.

Katanya, mahkamah juga memerintahkan bayaran faedah RM7.55 juta pada kadar faedah empat peratus setahun manakala baki deposit bagi bayaran lesen dan cukai balak pula sebanyak RM166,432.86 yang dibayar kepada plaintif.

“Hakim juga putuskan plaintif berhak dapat bayaran keuntungan hasil kawasan balak seluas 1,200 ekar (486 hektar) yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan konsesi yang diserahkan kepada Riyapadu,” katanya.

Pada Disember 2007 lalu, Riyapadu memfailkan saman RM1 bilion terhadap kerajaan negeri berikutan tindakan menamatkan perjanjian konsesi balak dengan syarikat itu.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu selepas syarikat tersebut mendakwa perjanjian konsesi mengambil hasil hutan pada 2003 itu ditamatkan secara tidak sah.

Ia membabitkan perjanjian antara syarikat tersebut dengan kerajaan negeri untuk mengambil hasil hutan di kawasan kira-kira seluas 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Mengulas lanjut, Ally Azwin berkata, keputusan mahkamah tersebut juga mendedahkan kecuaian kerajaan Pas Terengganu ketika itu yang bertindak menamatkan kontrak selain menarik balik lesen sesudah perjanjian dibuat.

Mustafa mungkin marah kerana akhbar lain yang turut melaporkan kenyataan Ally Azwin tidak memetik bahagian yang ‘sensitif’ dengan Mustafa.

Kosmo umpamanya membawa tajuk ’Syarikat menang saman RM1 bilion’ sementara Sinar Harian pula melaporkan ‘Tuntut 1 Bilion’.

Tidak faham kenapa Mustafa tidak marah kepada dua akhbar ini sedangkan turut disebut ia akibat kecuaian dan mungkir janji kerajaan PAS sebelum ini.

Sinar Harian menjadikan berita kenyataan Ally Azwin itu sebagai lead story muka 1 dan sepatutnya Mustafa juga tegur akhbar berkenaan.

Namun kita faham kenapa Mustafa marahkan Utusan Malaysia.

Jika Mustafa boleh menuduh Utusan Malaysia kononnya menyalahi etika, Mustafa juga sebenarnya bersikap memilih atau terlalu prejudis terhadap Utusan Malaysia yang dlihatnya proUMNO.

Itu sahaja!

Apapun, kita tunggu rayuan kerajaan negeri seperti ditegaskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengenai sebanyak mana kerajaan BN perlu menanggung kos yang diakibatkan oleh kecuaian kerajaan PAS Terengganu.

Apakah wang rakyat sebanyak RM1 terpaksa digunakan untuk membayar saman ini gara-gara kecuaian PAS atau apakah tuntutan dapat dikurangkan?

Bergantunglah kepada keputusan rayuan kerajaan Barisan Nasional nanti tetapi yang nyata, PAS sudah melakukan kesilapan dan sewajarnya PAS berdepan dengan rakyat Terengganu dan MEMOHON MAAF atau MENGAKUI KESILAPANNYA secara terbuka!

Jika berdiam diri atau menyalahkan orang lain, ternyata PAS yang namanya parti Islam tetapi tidak berani mengakui kesilapan sendiri.

Jika demikian, biarlah rakyat Terengganu menilainya.

Pasukan Hazmat Diperluas Ke Seluruh Negara Mulai Tahun Depan

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) akan diperluas ke seluruh negara bermula tahun depan, berikutan peningkatan kes kemalangan membabitkan bahan berbahaya setiap tahun.

Pada masa ini negeri yang mempunyai pasukan Hazmat ialah Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor dan Terengganu serta sebuah di Akademi Bomba dan Penyelamat yang digunakan untuk tujuan latihan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata langkah itu dilihat perlu bagi memastikan situasi kemalangan seumpama dapat dikawal dengan pantas.

"Jumlah kemalangan termasuk kebocoran gas di kilang, kini mencecah angka 500 kes berbanding sebelum ini iaitu antara 100 ke 200 kes saja," katanya a selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, di Seremban kelmarin.

Beliau berkata anggota Hazmat sedia ada di negeri-negeri berkenaan juga akan ditambah jika didapati mereka memerlukannya.

"Saya melihat penambahan Hazmat ini adalah satu keperluan kerana baru-baru ini terjadi lagi kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka yang membabitkan treler membawa tong berisi asid nitrik," katanya.

Merujuk kemalangan itu, beliau turut menasihatkan pemandu yang membawa bahan berbahaya agar menggunakan lebuh raya pada waktu kurang sesak bagi mengurangkan impak kepada pengguna lain.

Saman RM1b - Laporan Utusan Malaysia Salah Etika?

Laporan akhbar Utusan Malaysia semalam kononnya Kerajaan PAS Terengganu cuai sehingga disaman RM1 bilion dianggap menyalahi etika.

Hal ini dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika diminta mengulas laporan akhbar tersebut.

Kerajaan Terengganu disaman oleh syarikat pembalakan, Riyapadu Sdn Bhd dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Abdul Rahim Muda telah membuat keputusan memihak kepada syarikat berkenaan dalam penghakiman 27 Oktober lalu.

Menurut Mustafa, kes tersebut masih dalam proses perundangan dan pihak kerajaan negeri sedang dalam proses rayuan.

“Adalah tidak beretika untuk meletakkan kesalahan itu kepada parti,” ujarnya yang juga bekas Exco kerajaan negeri kepada Harakahdaily.

Hal ini, katanya kerana mana-mana pihak yang mengambilalih kuasa, tidak kira PAS atau Umno akan bertanggungjawab atas segala perkara termasuk hal saman tersebut.

“Ketika kes ini berlangsung di mahkamah, PAS tidak lagi memerintah. Malah sepanjang kes ini berlangsung tiada seorang pun pimpinan PAS yang pernah menjadi kerajaan dirujuk,” katanya.

Kerajaan PAS sendiri, jelasnya pernah menerima tanggungjawab disaman ketika dalam kes Yee Seng Sdn Bhd lawan kerajaan Terengganu.

Pada ketika itu, katanya PAS memerintah Terengganu dan kes tersebut telah pun bermula pada zaman pemerintahan Umno.

Sebagai kerajaan negeri, jelasnya PAS bertanggungjawab penuh dalam kes tersebut.

“Walaupun kalah PAS tidak pula meletakkan kesalahan itu kepada Umno,” jelasnya lagi.

Dalam hal ini, Mustafa menyifatkan laporan akhbar tersebut telah diperbesar dan lebih bermotifkan politik.

Kerajaan Negeri Rayu Saman RM1b - Ahmad Said

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang memihak kepada sebuah syarikat dalam isu konsesi balak membabitkan RM1 bilion pada 2003.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Riyapadu, Ally Azwin Datuk Abdul Hamid kelmarin bahawa kerajaan negeri perlu membayar tuntutan saman RM1 bilion kepada sebuah syarikat pembalakan, Riyapadu Sdn. Bhd. (Riyapadu).

Difahamkan, kerajaan negeri terpaksa menanggung beban berkenaan apabila Barisan Nasional mengambil alih kerajaan negeri daripada PAS pada 2004.

Laporan Utusan Malaysia semalam menyebut, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membuat keputusan itu akibat kecuaian dan mungkir janji kerajaan Terengganu pimpinan PAS pada tahun 2003 terhadap syarikat berkenaan.

Keputusan yang memihak kepada syarikat berkenaan dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Abdul Rahim Muda dalam penghakiman 27 Oktober lalu.

Menurut Ally Azwin, keputusan penghakiman berkenaan telah membuktikan ‘kezaliman’ yang dilakukan kerajaan Terengganu pimpinan PAS pada tahun 2003.

“Alhamdulillah Allah telah berikan keadilan pada hari ini, kami bersyukur,” katanya pada sidang akhbar, di sebuah resort terkenal di Kuala Terengganu kelmarin.

Menurut Ally Azwin, berdasarkan penghakiman itu, pihaknya yakin berjaya memperoleh bayaran RM1 bilion seperti mana yang dituntut berhubung kecuaian dan mungkir janji kerajaan negeri ketika itu berkaitan konsesi pembalakan di Empangan Kedua Hulu Terengganu.

Ally Azwain berkata, mahkamah dalam keputusannya memerintahkan defendan (kerajaan Terengganu) mengembalikan wang RM25 juta yang telah dijelaskan oleh plaintif (Riyapadu) pada 2003 bagi bayaran premium konsesi balak di kawasan seluas 16,587 hektar.

Katanya, mahkamah juga memerintahkan bayaran faedah RM7.55 juta pada kadar faedah empat peratus setahun manakala baki deposit bagi bayaran lesen dan cukai balak pula sebanyak RM166,432.86 yang dibayar kepada plaintif.

“Hakim juga putuskan plaintif berhak dapat bayaran keuntungan hasil kawasan balak seluas 1,200 ekar (486 hektar) yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan konsesi yang diserahkan kepada Riyapadu,” katanya.

Pada Disember 2007 lalu, Riyapadu memfailkan saman RM1 bilion terhadap kerajaan negeri berikutan tindakan menamatkan perjanjian konsesi balak dengan syarikat itu.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini selepas syarikat tersebut mendakwa perjanjian konsesi mengambil hasil hutan pada 2003 itu ditamatkan secara tidak sah.

Ia membabitkan perjanjian antara syarikat tersebut dengan kerajaan negeri untuk mengambil hasil hutan di kawasan kira-kira seluas 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Mengulas lanjut, Ally Azwin berkata, keputusan mahkamah tersebut juga mendedahkan kecuaian kerajaan PAS Terengganu ketika itu yang bertindak menamatkan kontrak selain menarik balik lesen sesudah perjanjian dibuat.

“Kerajaan PAS ketika itu bukan saja mungkir janji malah telah melakukan pembohongan dan penyelewengan fakta terhadap sebuah syarikat bumiputera,’’ katanya.

Dua Lemas, Seorang Kritikal Dan Tiga Hilang Di Pantai Pandak

Dua anggota bomba dan penyelamat melihat keadaan ombak yang kuat dan sukar untuk mencari mangsa yang lemas dalam kejadian di Pantai Pandak, Cendering, Kuala Terengganu, semalam. - Gambar Utusan.

Keriangan enam bersaudara mandi manda di Pantai Pandak, Chendering Kuala Terennganu kelmarin bertukar tragedi apabila dua daripadanya lemas, seorang kritikal manakala tiga lagi masih hilang.

Mangsa yang mati lemas dikenali sebagai S Kumuda, 28 dan adiknya Roshini, 16 tahun.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Bahagian Operasi dan Balai Kuala Terengganu, Zakaria Mohamed berkata, seorang lagi mangsa yang kritikal, G Mathevii, 19, ditemui berpaut pada batu di gigi air dalam keadaan separuh sedar dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Katanya anggota bomba dan penyelamat yang berkejar ke pantai itu sebaik sahaja mendapat laporan, menemui mayat kedua-dua beradik itu kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian. Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat

Kesemua mangsa yang berasal dari Kampung Jawa, Klang, Selangor tiba di sini kira-kira pukul 2 petang.

Zakaria berkata pihaknya kini menumpukan usaha mencari tiga lagi mangsa yang masih hilang yang hanya dikenali sebagai Ramond, 26, Mogan, 21 dan Vijay Kumar, 18 tahun.

Katanya usaha mencari mangsa yang turut dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia agak sukar memandangkan ombak besar dan angin kencang di kawasan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Abdul Halim Ishak berkata kesemua mangsa sebelum itu melawat keluarga di Batu Rakit, dekat sini sebelum mengambil keputusan berkelah di pantai itu.

Sementara itu, saudara kepada mangsa, R. Ragesh, 23 berkata kejadian berlaku dengan cepat ketika mandi, ada yang lemas dan menjerit minta tolong, kami cuba selamatkan satu sama lain, tak sangka semua lemas, tak sangka sudah jadi macam ni."

Beliau berkata saudara-saudaranya begitu gembira dapat bercuti bersama-sama dan berkelah di Pantai Pandak berkenaan.

Namun kegembiraan tersebut mengorbankan dua daripada mereka, manakala tiga yang lain masih hilang.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Bahagian Operasi dan Balai Kuala Terengganu, Zakaria Mohamed berkata usaha mencari mangsa yang masih hilang dalam kejadian pukul 2 petang itu dihentikan pada pukul 7 malam berikutan cuaca gelap dan ombak besar.

Seorang penduduk di situ, Mohd Yusof Mamat, 57, yang ditemui berkata kejadian berlaku ketika penduduk kampung ke masjid untuk solat Jumaat.

"Ombak kuat sejak beberapa hari lalu, memang dah lama kami tak bagi budak-budak di sini mandi di pantai ni. Saya kesal kerana mereka (mangsa) mandi ketika kami tak ada, kalau kami nampak mereka mandi memang kami larang," katanya.

Kementerian Pelajaran Lancar Tabung Ehsan Bantu Pelajar Mangsa Asid

Nurul Dahyatul serta ibu pada pelancaran tabung kelmarin.
Kementerian Pelajaran Khamis melancarkan penubuhan Tabung Ehsan Kembali ke Sekolah, bagi membantu persekolahan Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 8, kanak-kanak mangsa simbahan asid bapanya.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata penubuhan tabung itu bagi membantu Nurul Dahyatul Fazlinda dan keluarganya yang miskin membuat persiapan persekolahan Januari depan serta menampung keperluan seharian.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan RM10,000 kepada kanak-kanak itu di Kuala Terengganu . Turut hadir ialah ibu kanak-kanak berkenaan, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28.

Mohd Puad berkata dengan penubuhan tabung itu, beliau berharap orang ramai dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga berkenaan dengan menghubungi Pejabat Pelajaran Negeri Terengganu.

Mengenai rawatan untuk memulihkan kembali wajah kanak-kanak itu yang cedera dan mengalami parut kekal, beliau berkata rawatan itu boleh dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini yang turut mempunyai kepakaran dalam bidang pembedahan plastik.

"Apabila dia menjalani rawatan (bedah plastik) di hospital kerajaan, ia tidak melibatkan perbelanjaan. Bagaimanapun jika kena bayar, kerajaan negeri akan membiayainya," katanya.

Mohd Puad juga meminta pihak sekolah memberi motivasi dan kaunseling kepada Nurul Dahyatul Fazlinda serta keluarganya bagi mengembalikan semangat mereka.

Nurul Dahyatul Fazlinda mengalami cedera parah di muka dan badan dalam kejadian akibat perbuatan bapanya sendiri pada 15 Ogos lepas. Turut cedera ibu dan adik lelakinya Irfan Firdaus, 2.

Sementara itu, Che Ku Zaimah melahirkan rasa syukur kerana keluarganya diberi perhatian dan dibantu kerajaan.
"Saya harap anak-anak saya pulih seperti sedia kala setelah menjalani rawatan nanti. Sekarang anak saya (Nurul Dahyatul Fazlinda) menerima rawatan susulan sebulan sekali di HSNZ," katanya.

UMT Hasil 58 Terbitan Bentuk Buku, Jurnal

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya menerbitkan sebanyak 58 buku, jurnal dan akhbar dalam usaha menjadikan universiti tersebut terkenal dengan penerbitan ilmiah.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Aziz Deraman berkata, pihak universiti sentiasa menggalakkan warga pendidik universiti itu untuk menulis dan menerbitkan buku.

”Dalam usaha kita menuju ke arah universiti penyelidikan, aktiviti penerbitan turut menjadi fokus utama universiti. Penerbitan sesebuah universiti sangat penting selain aspek modal insan, paten dan hak cipta intelek,” katanya.

Beliau menyatakannya pada Majlis Pelancaran Buku Terbitan Penerbit UMT 2010 di Ri-Yaz Heritage di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Ketua Penerbit UMT, Prof. Madya Dr. Noraien Mansor.

Aziz berkata, pihaknya menyasarkan setiap fakulti pengajian di universiti akan menghasilkan kira-kira dua buku setahun bagi mencapai hasrat tersebut.

Dalam pada itu, Noraien berkata, Penerbit UMT berjaya membawa pendapatan hasil jualan buku pada tahun ini sebanyak RM106,508.85 sehingga Oktober lalu.

”Sehingga kini, Penerbit UMT berjaya menerbitkan 58 penerbitan termasuk majalah INFOKUS dan akhbar Samudera mengikut tempoh yang ditetapkan.

”Laman web Penerbit UMT juga telah dinaik taraf yang menyediakan kemudahan membeli buku penerbitan kami dengan menggunakan kad kredit,” ujarnya.

10 Awak-awak Vietnam Nyaris Maut Apabila Bot Pecah

Sepuluh nelayan rakyat Vietnam yang bekerja dengan sebuah bot pukat tunda tempatan nyaris maut apabila bot mereka dipukul ombak besar dan pecah di Pulau Gemia, berhampiran Pulau Kapas, Marang malam kelmarin (Rabu).

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kuala Terengganu Lt Muda Syed Ahmad Mohd Roseli Syed Abu Bakar berkata bot berkenaan telah melanggar batu sebelum terkandas di Pulau Gemia, kira-kira pukul 10.30 malam.

"Semua nelayan itu ditempatkan sementara di resort di Pulau Gemia," katanya ketika ditemui pemberita di Pelabuhan Perikanan Cendering, di kelmarin.

Beliau berkata kapal Kilat 27 dan kapal Pelindung I yang diarah untuk mengambil mereka pagi ini tidak dapat keluar ke muka kuala Sungai Terengganu kerana ombak besar dan cuaca buruk.

Syed Ahmad Mohd Roseli berkata ini adalah kejadian kedua bot nelayan karam dipukul ombak besar dalam tempoh tiga hari. Selasa lepas sebuah bot nelayan terbalik berhampiran Pulau Tenggol dan 10 awak-awak bot selamat.

Sementara itu, pemilik bot terbabit Datuk Mohd Zakaria Nawang, 45, berkata bot itu bersama 10 awak-awak keluar dari Pelabuhan Perikanan Cendering untuk operasi laut dalam pada pukul 9 malam tadi.

Lebih kurang sejam setengah perjalanan ke Pulau Tenggol, bot itu dipukul ombak besar dan tidak dapat dikawal lalu melanggar batu berhampiran Pulau Gemia dan pecah, katanya.

Beliau berkata kesemua awak-awak dalam bot tercampak ke laut dan mereka berenang ke Pulau Gemia dan diselamatkan serta diberi pelindungan oleh pekerja resort di pulau itu.

Mohd Zakaria yang juga pengerusi Konsortium Bot-bot Laut Dalam Cendering berkata sebuah bot laju dari Marang telah mengambil nelayan-nelayan itu di Pulau Gemia untuk dibawa balik ke Cendering, petang ini.

Beliau berkata kesemua nelayan yang berumur antara 20 dan 40 tahun itu mempunyai pas nelayan menangkap ikan di perairan Malaysia.

Sudan, negara Afrika Minat Dengan eBook


Daripada UKOM

Inisiatif Kerajaan Terengganu yang merintis penggunaan papan digital elektronik, e-Book kian mendapat perhatian dunia dan menjadi model negara asing untuk turut sama melaksanakan sistem itu di negara mereka.

Terbaru, perkembangan yang menjadi kebanggaan Terengganu khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berikutan kertas projek e-Book dijadikan agenda utama dan menarik perhatian peserta di kalangan menteri dalam Persidangan Antarabangsa ICT Sudan 2010 pada 28 dan 29 November lalu.

Pengarah Eksekutif Top IT, Mohd Isa Nik bertindak membentangkan kertas bertajuk, ` Generation Creation in ICT-eBook’ di depan para menteri dan perwakilan dari beberapa negara termasuk Arab Saudi, Mesir Iraq dan negara Afrika yang lain.

Antara ahli panel yang terlibat Dr Amir Khalaf Hussain (Iraq) yang membentangkan kertas bertajuk `Digital Signature and Democracy’, Dr Salem Alzoubi (Eqipt) (ESCWA Experince’ Dr Nasreen Bashir (Syria) (Evalution of Quality in use of M-Government Systems’ dan Prof Hideki Igarashi (Jepun) dengan pembentangan `data Centre Solution’.

Hasil pembentangan Mohd Isa menarik minat kerajaan Sudan dan negara Afrika yang lain untuk melihat lebih dekat inisiatif kerajaan negeri mengaplikasikan penggunaan IT yang banyak mempengaruhi kemajuan pendidikan di Terengganu.

Malah, Menteri ICT Sudan, Dr Yahia Abdallah, pengarah ICT Sudan, Drt Izzeldin Amin dan Ketua NCCD Sudan, Prof Mustaffa O Nawari menemui Mohd Isa untuk mengetahui projek e-Book dan konsep peperiksaan t-Score di Terengganu.

Menteri ICT Sudan berjanji untuk menghantar e-mail secara peribadi kepada Top IT bagi merintis jalan ke arah pelaksanaan program serupa di Sudan, selain wakil Sudan, Prof Mustaffa bakal berkunjung ke Terengganu bagi melihat sendiri kejayaan sistem itu pada Januari ini.

Sudan yang terletak di Afrika mempunyai penduduk 60 juta penduduk begitu komited bagi menjadikan negara mereka sebagai negara maju dalam bidang IT di peringkat dunia.

Komitmen mereka terhadap sektor itu dapat dilihat menerusi keseluruhan struktur organiosasi kementerian ICT negara itu yang didukungi pakar akademik yang memiliki PhD dalam bidang berkenaan.

125 Kampung Wifi Di Terengganu Tahun Depan

Tarian Mak Yong yang dipersembahkan di Temasya Pantai Timur sempena pelancaran Karnival Jalur Lebar 1Malaysia di Taman Budaya, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, kelmarin.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kelmarin, sebanyak 125 kampung di Terengganu akan dibekalkan perkhidmatan melayari Internet tanpa wayar secara percuma melalui program 'Kampung Wifi' bermula tahun depan.

Selain Terengganu, sebanyak 115 kampung di Pahang dan 110 di Kelantan akan mendapat kemudahan sama.

"Kementerian kini mengadakan perbincangan dengan negeri-negeri terlibat kerana program ini memerlukan kos yang banyak. Setakat ini, lapan buah Kampung Wifi diwujudkan di seluruh negara," katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau sebelum itu secara bersama dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said merasmikan Temasya Pantai Timur yang melibatkan tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang di Taman Budaya Kuala Ibai.

Kedua-dua pemimpin itu turut melancarkan Karnival Jalur Lebar 1Malaysia yang berlangsung di Pulau Warisan, dekat Kuala Terengganu.

Turut hadir, pengarah dan ketua-ketua jabatan serta agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Terengganu.

Rais berkata kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 3,100 Kampung Wifi di seluruh negara menjelang 2014.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kadar penembusan jalur lebar isi rumah seluruh negara kini sebanyak 54.5 peratus, manakala di Terengganu jumlahnya mencecah 49 peratus.

"Ia satu perkembangan yang menggalakkan dan progresif memandangkan penggunaannya jalur lebar kini tidak terhad di kawasan bandar sahaja," katanya.

Karnival Jalur Lebar 1Malaysia merupakan satu daripada aktiviti utama di bawah Program Kesedaran dan Promosi Jalur Lebar Kebangsaan anjuran kementerian berkenaan.

Karnival itu berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini.

Pelbagai acara interaktif dan informatif bertujuan mendidik, memberi maklumat dan mempromosi penggunaan jalur lebar dan dunia ICT disediakan sepanjang karnival berlangsung.

Syarikat-syarikat telekomunikasi seperti TM, Maxis, Celcom dan DiGi, penyedia perkhidmatan internet serta jabatan kerajaan yang berkaitan akan menyertai karnival tersebut.

Penganjur menyasarkan lebih 10,000 pengunjung yang akan memeriahkan karnival itu.

Sementara itu, Temasya Pantai Timur mencatat sejarah tersendiri apabila persembahan gendang tradisional sempena majlis perasmiannya hari ini direkodkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai persembahan gendang teramai yang pernah diadakan.

Pada persembahan tersebut, seramai 780 pemain gendang yang melibatkan tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang menunjukkan persembahan mantap dengan menggabungkan gendang pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, dan India.

Persembahan itu dijayakan di bawah pimpinan ahli muzik terkenal, Rosli Selasih.

Difahamkan, persembahan tersebut telah berjaya mengatasi rekod persembahan gendang tradisional sebelum ini yang melibatkan seramai 400 peserta.

Pada acara tersebut, ketiga-tiga buah negeri mempamerkan persembahan mewakili negeri masing-masing dengan Terengganu mempersembahkan permainan gendang Melayu, Cina, Orang Asli, India dan Siam.

Pahang pula mempersembahkan gendang 24 musim yang mewakili masyarakat Cina serta gendang Orang Asli.

Kelantan pula menampilkan persembahan rebana ubi, kertuk, kercing, gendang silat, dikir barat, wayang kulit dan mak yong.

Pada temasya tersebut, pelbagai pertunjukan kebudayaan dipersembahkan dengan tarian dan nyanyian tradisional negeri masing-masing yang diberi sentuhan moden sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Dua Beranak Pengusaha Dobi ganu Rentung Dalam Kebakaran

Anggota bomba dan penyelamat menurunkan salah satu mayat daripada dua mangsa yang rentung dalam satu kebakaran melibatkan deretan rumah kedai di Kampung Batu 6, Manir, Kuala Terengganu, 10 Dis.

Seorang ibu dan anak perempuannya yang sedang nyenyak tidur maut apabila rumah kedai sewa mereka di Kampung Batu Enam, Manir, terbakar malam kelmarin.

Mayat Nor Laila Yaacob, 41 dan anaknya Nor Hidayu Kauzi, 19, dari Kubang Kerian, Kelantan, ditemui dalam keadaan rentung dalam kebakaran pada 11.30 malam tadi.

Kebakaran di sebelah sebuah stesen minyak itu memusnahkan kedai dobi milik Nor Laila selain turut memusnahkan dua lagi premis perniagaan iaitu kedai menjual perisian komputer dan kedai kosmetik.

Nor Laila dan anaknya dipercayai terperangkap dalam bilik tidur dan kedua-dua mayat ditemui berdekatan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Mohd Fauzi Muda berkata pihaknya mendapat panggilan pada 11.32 malam tetapi ketika anggota bomba tiba di tempat kejadian, api sudahpun memusnahkan sebahagian rumah kedai berkenaan.

"Punca kebakaran masih disiasat," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat.

Anak sulung Nor Laila, Mohd Badrul Kauzi, 23 ketika ditemui, berkata beliau berada di Kota Baharu, Kelantan ketika dimaklumkan pihak polis mengenai kejadian.

Mohd Badrul berkata kali terakhir beliau menemui ibunya ialah seminggu yang lalu.

Menurutnya jenazah ibu dan adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Demit, Kubang Kerian, sebaik bedah siasat selesai.

Thursday, December 9, 2010

SPRM Wajar Siasat Penyelewengan Konsesi Balak PAS Terengganu

Tidakkah boleh SPRM melihat kes ini dan pihak terbabit – sama ada syarikat atau kerajaan negeri – wajar melaporkan kepada SPRM mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab ini. Ia sudah keputusan Mahkamah Tinggi. Persoalannya - ke mana wang yang dikutip dan dirampas itu digunakan? Siapa yang bertanggungjawab?




Segala-galanya kerana angkara kerajaan PAS Terengganu pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memerintah antara 1999-2004. Walaupun tempoh sepenggal sahaja menjadi kerajaan namun kesannya bukan sahaja kepada rakyat tetapi kerajaan negeri apabila disaman RM1 bilion oleh syarikat Bumiputera kira-kira setahun sebelum kerajaan negeri itu lingkup.

Angkara apa?

Ia berkaitan konsesi balak yang tidak sah pada 2003. Malah, berikutan ‘tindakan zalim dan tidak profesional’ kerajaan PAS, syarikat berkenaan turut dibebani hutang lebih RM8 juta dengan kontraktor dan pembeli balak selain kerugian bayaran premium dilakukan.

Menariknya syarikat Bumiputera berkenaan - Riyapadu Sdn Bhd (Riyapadu) – menang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 12 November 2010 lalu dan gara-gara perbuatan kerajaan PAS Terengganu, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Ahmad Said pula terpaksa menanggung beban sebanyak RM1 bilion berkenaan.


Satu sidang media khas dijangka akan diadakan petang ini di Kuala Terengganu oleh pihak syarikat untuk mendedahkan penyelewengan ini. Pihak yang dikatakan ditipu dan menyerah wang kepada pihak tertentu dalam PAS Terengganu dijangka hadir.

Tunggu laporan mengenainya nanti.

Tetapi sebelum itu, apakah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengenai kes ini:

1. Kerajaan Negeri perlu memulangkan premium yang sudah dilunaskan oleh syarikat berkenaan dengan faedah 4 peratus setahun, mulai 2003;
2. Desposit perlu dikembalikan kepada syarikat (tiada jumlah dicatatkan); dan
3. Hasil hutan yang boleh diniagakan bagi Blok 3 ditolak dengan hasil jualan balak yang sudah diterima daripada Riyapadu sehingga 12 November 2009.

Menurut laporan Harian Metro 13 Disember 2007, writ saman berhubung penamatan konsesi balak secara tidak sah pada 2003 itu difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Terengganu melalui peguam, Sukhdev Singh Randhawa dan salinan writ itu diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Datuk Mokhtar Nong.

Sukhdev berkata, syarikat itu pada 3 April 2003 menandatangani perjanjian konsesi melalui tender terbuka mengambil hasil hutan di kawasan seluas 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Menurutnya, melalui perjanjian dengan kerajaan negeri yang ketika itu diperintah PAS, Riyapadu diberi kebenaran mengambil kayu balak dan hasil hutan di kawasan itu dan bersetuju membayar kerajaan negeri RM265 juta.

Katanya, kerajaan negeri pimpinan PAS menjelaskan penebangan balak dan hasil hutan itu perlu dilakukan sebelum kawasan konsesi itu ditenggelami air bagi membina Empangan Kedua oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Pada 3 Julai 2003, Riyapadu dikejutkan dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Pengerusi TNB ketika itu, Datuk Dr Awang Adek Husin menafikan kawasan itu dibina empangan kedua.

“Berikutan kenyataan itu yang menafikan kenyataan kerajaan negeri pimpinan PAS bahawa empangan kedua akan dibina di kawasan itu mendedahkan Riyapadu kepada risiko berdepan masalah dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Selepas penafian itu, kerajaan negeri pimpinan PAS yang tidak memberi peluang kepada Riyapadu untuk mengadakan rundingan dan perbincangan membatalkan perjanjian konsesi itu serta-merta,” katanya ditemui selepas memfailkan writ saman itu.

Riyapadu ketika itu sudah membayar premium RM25 juta selain mengutus lebih 20 surat rasmi memohon perbincangan, namun Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan berbuat demikian, sebaliknya membatalkan konsesi itu.

Riyapadu membuat pembayaran premium kepada kerajaan negeri pimpinan PAS sebanyak RM20 juta pada 9 April 2003 dan RM5 juta lagi pada 5 Julai tahun sama. Riyapadu juga bersedia membayar baki premium melalui pembiayaan bank, namun apabila bank memohon pengesahan bertulis kawasan konsesi terletak dalam kawasan Empangan Kedua, kerajaan negeri enggan memberi kerjasama.

Lebih malang, menurut Harian Metro, selePAS menamatkan konsesi itu, kerajaan negeri pimpinan PAS bertindak merampas kayu balak yang sudah ditebang dan dilelong kepada pihak lain tanpa persetujuan syarikat.

Menurut Sukhdev: “Tindakan melelong itu membolehkan kerajaan negeri pimpinan PAS memperoleh hasil hampir RM10 juta selain bayaran premium dibayar syarikat sebanyak RM25 juta sebelum itu. Selain itu, kerajaan negeri turut merampas dan melelong kawasan konsesi lain di mana infrastruktur jalannya diusahakan Riyapadu walaupun deposit lesen sudah dibayar. Melalui tindakan itu, kerajaan negeri pimpinan PAS mendapat hasil hampir RM20 juta lagi melalui lelongan berkenaan.”

Amat jelas bahawa kerajaan PAS pimpinan Abdul Hadi meninggalkan ‘beban’ kepada kerajaan Ahmad Said yang terpaksa menggunakan wang rakyat bagi memenuhi tuntutan mahkamah itu.
Tidak pasal-pasal kerana kerajaan PAS yang tidak cekap mendatangkan pula ‘masalah besar’ kepada kerajaan negeri dan rakyat sewajarnya sedar tindakan PAS yang tidak bertanggungjawab ini.

Apakah tindakan PAS ini sebagai sesuatu yang wajar dipandang remeh?

Hakikatnya ‘tahi’ yang ditinggalkan PAS ini perlu dibersihkan oleh kerajaan BN dan mereka ini wajar diheret ke mahkamah kerana melakukan perbuatan yang jelas mempunyai ‘niat tidak baik’ terhadap syarikat berkenaan.

Tidakkah boleh SPRM melihat kes ini dan pihak terbabit – sama ada syarikat atau kerajaan negeri – wajar melaporkan kepada SPRM mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab ini?

Kemana wang yang dikutip dan dirampas itu digunakan? Siapa yang bertanggungjawab?


Yang nyata pemerintahan PAS Terengganu yang tidak cekap dan tidak telus menggambarkan betapa pemimpin yang mendakwa ‘Islam’ pun boleh gelap mata apabila berdepan dengan duit.

Rakyat Terengganu sewajarnya menilai dengan cermat dan penuh kesedaran bahawa perbuatan salah laku, penyelewengan dan sebagainya yang selama ini dituding kepada pemimpin UMNO dan BN sebenarnya boleh juga berlaku kepada mereka yang berjudah, bersarban dan sering takbir atau melaungkan ‘Allahu Akbar’

Tasik Kenyir Bebas Daripada Pencemaran – Pakar

Abdul Rahin(belakang) melihat sistem tandas yang diubah suai di rumah bot Pangkalan Gawi, Kuala Berang, kelmarin.

Pengarah Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT),Profesor Dr Faizah Shaharom berkata, tidak ada sebarang pencemaran air berlaku di Tasik Kenyir.

Malah tasik terbesar buatan manusia itu selamat digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk beriadah.

Dr Faizah berkata kualiti air tasik itu juga tidak berbahaya atau membimbangkan seperti yang dilaporkan beberapa media tempatan semalam.

Kajian kualiti air tasik yang dijalankan sekumpulan saintis universiti itu dengan mengambil sampel air Sungai Comor di tasik itu, mendapati hanya suhu air mengalami kepanasan sehingga 31 darjah Celsius yang menyebabkan ikan mati.

"Kalau ada pun bakteria e-coli di situ, ia tidaklah ditahap yang berbahaya seperti yang dilaporkan akhbar berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui ketika menghadiri pelepasan peserta pertandingan memancing Piala Kenyir yang melibatkan kira-kira 80 warga negara China di Tasik Kenyir, semalam yang disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Beberapa akhbar tempatan telah melaporkan air Tasik Kenyir dikhuatiri dicemari bakteria e-coli berpunca daripada sisa kumbahan daripada beberapa rumah bot yang beroperasi di dalam tasik itu, menyebabkan air tasik itu tidak selamat.

Pengerusi Persatuan Bot Pelancong Tasik Kenyir Bakar Mamat ketika ditemui melahirkan rasa kesal terhadap laporan media massa.

"Media tidak seharusnya menyebarkan berita-berita yang tidak benar sehingga boleh membantutkan kedatangan pelancong ke sini dan menjejaskan mata pencarian kami," katanya.

Dr Faizah berkata, berdasarkan kajian itu, kepanasan berlaku kemungkinan disebabkan oleh 'thermal bar' iaitu lapisan air yang panas yang sering berlaku di dalam tasik-tasik yang mempunyai kedalaman sehingga 100 meter.

Katanya, sehingga ini ada dua tasik di dunia iaitu di Amerika Syarikat dan Afrika Selatan yang mengalami masalah seperti itu iaitu lapisan air yang panas yang boleh menyebabkan hidupan air seperti ikan mati.

Bagaimanapun ia tidak memberi mudarat kepada manusia.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata kajian yang dibuat itu mendapati suhu air di tasik berkenaan mencapai kepanasan sehingga 31 darjah Celsius walaupun ketika hujan ataupun pada waktu malam.

"Jadi, sekiranya air di kawasan Sungai Comor itu panas berterusan, kita sarankan pengusaha ikan sangkar yang ada di situ supaya memindahkannya ke kawasan air yang lebih sejuk," katanya.

Kelmarin Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu turut diarah menyiasat kandungan air Tasik Kenyir yang didakwa dicemari bakteria e-coli.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan siasatan itu dijangka diketahui dalam masa terdekat.

"Bakteria e-coli memang biasa terdapat di tasik-tasik, namun pada tahap tertentu yang tidak membahayakan kesihatan orang ramai.

"Kita dah arahkan pegawai kita untuk ambil sampel air itu dan lihat sejauh mana tingginya e-coli dalam air Tasik Kenyir," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan media bahawa jumlah bakteria e-coli di Tasik Kenyir berada pada tahap membimbangkan berdasarkan kajian oleh Universiti Malaysia Terengganu.

Liow berkata kementerian akan memastikan kebersihan di Tasik Kenyir itu dijaga termasuk dengan memastikan sistem kumbahan dari tandas-tandas awam dan longkang diuruskan dengan baik.

"Kita takut saluran air dari tandas masuk ke tasik kenyir tapi kita akan cari juga punca dan sebab peningkatan e-coli di Tasik Kenyir," katanya.

6 Perunding Kaji Struktur Stadium Sultan Mizan

Enam syarikat perunding dikenal pasti untuk dilantik membuat kajian terperinci terhadap struktur bangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berharga RM292 juta di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, sama ada ia terjejas teruk akibat kesan runtuhan bumbung stadium berkenaan tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata ini berikutan kerja pembersihan sisa runtuhan bumbung stadium itu sudah selesai dijalankan syarikat kontraktor, Azimat Berkat Sdn Bhd dan dijangka membuat penyerahan secara rasmi kepada Jabatan Kerja Raya pada 14 Disember ini.

“Pelantikan enam perunding itu dijangka bulan depan selepas mengemukakan senarai perunding terbabit kepada kerajaan negeri baru-baru ini.

“Perunding terbabit akan bertanggungjawab menjalankan kajian secara terperinci berkaitan kekuatan struktur bangunan stadium itu yang sedia ada dan kajian dijangka selesai selewat-lewatnya Mei tahun depan,” katanya.

Beliau menyatakannya selepas mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu semalam.

Mazlan berkata, semua perunding terbabit akan menjalankan kajian mengikut skop kerja masing-masing yang ditetapkan JKR sebelum mengemukakan keputusan kajian kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, jika kajian mendapati bahagian struktur bangunan stadium itu tidak selamat, kerajaan negeri akan meneliti alternatif lain sama ada membina baru dengan mengekalkan identiti asal atau menggunakan reka bentuk lain yang difikirkan munasabah oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu bergantung kepada kajian perunding yang juga diminta mengemukakan pelan reka bentuk baru stadium itu.

“Semuanya bergantung kepada kajian membabitkan kajian teknikal (struktur bumbung) dan kos kewangan. Setakat ini, kita tidak tahu kosnya kerana semua bergantung kepada kajian perunding terbabit yang dikhususkan kepada bahagian struktur stadium dulu,” katanya.

Jumlah Pelancong Ke Pulau Redang Meningkat 47.3 Peratus


Jumlah kedatangan pelancong ke Pulau Redang, dekat sini dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas meningkat sebanyak 47.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Seramai 110,840 pelancong dicatat ke pulau peranginan itu dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas berbanding 75,238 orang pada tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Rahin Mohd Said.

Bercakap kepada Bernama di Kuala Terengganu, semalam beliau berkata selain Pulau Redang, turut mencatat peningkatan jumlah pelancong ialah Pulau Perhentian di Besut dengan kehadiran 81,596 pelancong dalam tempoh yang sama berbanding 76,424 orang pada tahun lepas.

Rahin berkata kerajaan negeri akan mengadakan promosi lebih giat tahun depan untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau-pulau peranginan di negeri ini.

Beliau bekata pada masa ini semua aktiviti pelancongan ke pulau-pulau di Terengganu dihentikan sejak bulan lepas berikutan ombak besar musim tengkujuh.

Ratusan Ikan Tasik Kenyir Mati Akibat Suhu Tinggi?

Selepas gempar dengan berita berhubung air Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli, Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) mendedahkan sejak lebih sebulan lalu, sekurang-kurangnya ratusan ikan di tasik berkenaan mati akibat peningkatan suhu air tasik berkenaan.

Pengarah AKUATROP Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Faizah Shahrom, berkata lonjakan suhu air di tasik itu yang sangat jarang berlaku selain di tasik beberapa negara seperti Afrika, Amerika Selatan dan Rusia, dipercayai membunuh ratusan spesies ikan di situ.

Beliau berkata, peningkatan kadar suhu air Tasik Kenyir yang tidak seimbang menyebabkan keadaan tidak selesa untuk ikan hidup.

"Kita mendapati suhu air di beberapa bahagian tasik ini tidak berubah sepanjang hari. Contohnya, jika suhunya setinggi 31 darjah selsius pada jam 6 pagi, suhu sama dicatatkan pada jam 10 pagi.

"Ini menyebabkan ikan tidak selesa hidup dan akhirnya mati kerana kadar suhu air yang tinggi, tetapi ia tidak memberi kesan kepada manusia," katanya selepas pelancaran pertandingan memancing Kenyir Cup di Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di Kenyir, kelmarin.

Pelancaran pertandingan tangkap dan lepas yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dilakukan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Awang dan menerima penyertaan kira-kira 80 peserta dari China dan Hong Kong.

Dr Faizah berkata, disebabkan peningkatan suhu air di tasik berkenaan termasuk di Sungai Comor, pengusaha ikan sangkar disaran memindahkan lokasi ternakan ke kawasan suhu airnya lebih sejuk bagi mengelak kejadian ikan mati.

Sementara itu, beliau berkata, kajian dilakukan AKUATROP di Tasik Kenyir menjurus kepada kualiti air tasik berkenaan dengan mengambil sampel air daripada Sungai Comor dan mendapati banyak ikan di situ mati kerana suhu air panas sehingga mencecah 31 darjah Selsius.

Anuar Mahu Balas Jasa TCT

Memilih untuk berkhidmat bersama pasukan negeri kelahirannya, Anuar Manan yang mencipta sejarah sebagai pelumba pertama negara menakluki satu peringkat perlumbaan dan dinobat gelaran Raja Pecut pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, berharap dapat mengekalkan gelaran itu pada LTdL 2011, 23 Januari hingga 1 Februari depan.

Pada LTdL 2010, Anuar yang ketika itu mewakili Guemsan-Ginseng Asia dari Korea Selatan menjuarai peringkat kelima dari Muar ke Port Dickson, kini giat menjalani latihan selepas berakhir Sukan Asia Guangzhou, bulan lalu.

“Tidak ada negeri seperti Terengganu yang berani menubuhkan skuad lebuh raya profesional sendiri. Saya hormati Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said yang sanggup berkorban dan kalau dia boleh berkorban, kenapa tidak saya?

“Tidak salah rasanya kalau saya mencurahkan bakti untuk menaikkan nama negeri kelahiran pada LTdL kali ini kerana tiada pasukan negeri yang seberani ini sebelum ini,” kata pelumba kelahiran Kuala Ibai itu.

Selepas hanya menduduki tempat keenam pada Sirkit kelima Grand Prix Kebangsaan di Kuala Selangor Ahad lalu, Anuar meneruskan latihan di bawah jurulatih Terengganu Cycling Team (TCT), Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan sebelum dijangka menandatangani kontrak setahun bersama TCT, pertengahan bulan ini.

Pelumba 24 tahun itu berkata, antara faktor lain yang mendorongnya untuk menyertai TCT ialah kerana mendapati pihak pengurusan yang teratur selain dimaklumkan bakal dibarisi rakan sepasukannya yang mampu membentuk sebuah pasukan mantap.

Sebelum ini, Syed Mohd Hussaini pernah memberi bayangan untuk membariskan lapan pelumba kelahiran negeri itu dengan beberapa nama disenarai pendek adalah Mohd Harrif Salleh, Mohammad Saufi Mat Senan, Yusrizal Yusuf, Mohd Faiz Sharifudin Abdul Kadir, Mohd Sobri Abdullah, Ahmad Haidar Anuawar, Nur Rizuan Zainal, Ahmad Fallanie Ali dan Amir Mustafa Rusli.

Karnival Jalur Lebar Di Terengganu Tingkatkan Kadar Penembusan Jalur Lebar

Karnival Jalur Lebar 1Malaysia, yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Kuala Terengganu, dijangka meningkatkan penembusan Jalur Lebar di kawasan Pantai Timur.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dijadual merasmikan karnival itu pada petang ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor berkata jumlah pelanggan luar bandar terutamanya di kawasan Pantai Timur masih sedikit walaupun ada pelbagai perkhidmatan jalur lebar ditawarkan.

"Menerusi karnival ini kita harap jumlah pelanggan di kawasan luar bandar dan pedalaman akan meningkat. Setakat ini kadar penembusan jalur lebar isi rumah di seluruh negara pada 1 Dis lalu telah mencapai 54.9 peratus.

"Ia melebihi sasaran yang diletakkan iaitu sebanyak 50 peratus atau 3.2 juta penembusan Jalur Lebar isi rumah menjelang penghujung 2010," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam yang turut dihadiri personaliti Skuad BB (Broadband) Jehan Miskin dan Nurul Wahab.

Karnival Jalur Lebar 1Malaysia merupakan satu daripada aktiviti utama di bawah Program Kesedaran dan Promosi Jalur Lebar Kebangsaan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Karnival itu yang akan berlangsung di Pulau Warisan, di Kuala Terengganu, bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Hari ini karnival ini akan diadakan dari 2 petang hingga 6 petang manakala Jumaat dan Sabtu dari 10 pagi hingga 6 petang.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata pelbagai acara interaktif dan informatif bertujuan mendidik, memberi maklumat dan mempromosi penggunaan jalur lebar dan dunia ICT disediakan pada sepanjang karnival itu.

"Syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia (TM), Maxis, Celcom dan DiGi, penyedia perkhidmatan internet serta jabatan kerajaan yang berkaitan akan menyertai karnival itu," katanya.

Penganjur mensasarkan lebih 10,000 pengunjung yang akan memeriahkan karnival tersebut.

Wednesday, December 8, 2010

BERSYUKURLAH DENGAN KEPERIHATINAN MENTERI BESAR

Dalam apa juga isu di Terengganu, jika sering menuding jari kepada Menteri Besar, hanya telunjuk sahaja menghala kepada Ahmad Said – sedangkan empat jari lagi sebenarnya sedang menuding ke arah mereka. Mungkin kerana bimbang, takut dan risau tidak terpilih semula sebagai calon – salah sendiri kerana tidak berkhidmat untuk rakyat – segelintir ADUN ini asyik menyalahkan Menteri Besar.

Sambungan Entri Sesetengah ADUN BN Terengganu Tamak, Tidak Tahu Berterima Kasih? (Monday, December 6, 2010)



Melihat kepada apa yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Teganuku yakin mereka adalah kumpulan ADUN paling bertuah di negara ini.

Pertanyaan dan penyelidikan yang dibuat oleh Teganuku terhadap ADUN di negeri lain, termasuk di beberapa negeri yang disifatkan maju, mereka menerima antara RM400,000 hingga RM600,000 sahaja setahun.

Itupun peruntukan untuk Bantuan Am dan Bantuan Pembangunan. Sesetengahnya ia membabitkan peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat.

Bagi Pegawai Pembangunan DUN pula, mereka sewajarnya bekerja keras memenangkan kawasan mereka kerana mereka bergaji RM5,000 sebulan.

Jika dilihat kepada gaji berkenaan, tangga gaji asas ADUN rendah sedikit dan pastinya mereka juga wajar bersyukur.

Pada umumnya, perbelanjaan peruntukan untuk ADUN dan PPD di Terengganu sudah pasti bertambah dari tahun ke tahun kerana kenaikan jumlah dan jenis peruntukan yang disediakan.

Lihat Rajah di atas bagaimana perbezaan peruntukan perbelanjaan yang ketara sejak tiga tahun lepas membabitkan RM33.3 juta berbanding RM20.8 tahun lepas (2009) dan RM15.5 juta tahun 2008.

Selain itu pada pada entri lepas saya tidak menyebut mengenai peruntukan baru iaitu peruntukan untuk Jawatankuasa Kemajuan Agama Peringkat Daerah yang membabitkan RM50,000 bagi setiap DUN yang mula diperkenalkan tahun ini.

Keseluruhan peruntukan untuk tujuan ini membabitkan RM1.6 juta tahun ini.
Jadi, secara keseluruhannya bagi setiap ADUN dan PPD 2010, mereka menerima peruntukan berikut:

Keseluruhan Bantuan kepada ADUN untuk tahun ini jumlahnya ialah RM868,000. Jumlah ini tidak termasuk pelbagai bantuan segera, peruntukan pembangunan di luar jangkaan serta projek-projek tertentu yang diluluskan segera oleh Menteri Besar.

Banyak juga projek-projek tertentu yang diluluskan oleh Ahmad Said ketika melawat DUN berkenaan, selain peruntukan daripada kerajaan Pusat.

Selain itu, keperihatinan Ahmad Said terhadap Ahli Parlimen juga berbaloi untuk mereka apabila mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM200,000 setahun. Bagi Parlimen Kuala Terengganu, Pegawai Pembangunan Parlimen menerima RM400,000.

Exco juga mendapat peruntukan tambahan tahunan dalam bentuk Bantuan AM sebanyak RM400,000 setahun.

Persoalannya, apakah negeri lain menyediakan peruntukan seperti ini? Jawapnya tidak.
Tidakkah mereka bersyukur mempunyai Menteri Besar yang ‘bermurah hati’ dan ‘prihatin’ seperti ini?

Maka jika tidak juga ada projek atau pembangunan di kawasan DUN, ia bukan salah Menteri Besar.

Persoalan yang timbul kenapa peruntukan tidak dibelanjakan atau ke mana perbelanjaan itu dihalakan?

Hanya ADUN-ADUN yang boleh menjawab persoalan ini. Atau apabila tiba pilihan raya, rakyat yang akan menjawab bagi pihak ADUN berkenaan.

Itupun jika mereka terpilih lagi menjadi calon!

Mungkin dengan penjelasan Menteri Besar kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, tindakan segelintir ADUN yang membuat onar akan dapat dihentikan.

Soal penting ialah dalam apa juga isu di Terengganu, jika sering menuding jari kepada Menteri Besar, hanya telunjuk sahaja menghala kepada Ahmad Said – sedangkan empat jari lagi sebenarnya sedang menuding ke arah mereka.

Mungkin kerana bimbang, takut dan risau tidak terpilih – salah sendiri kerana tidak berkhidmat untuk rakyat – segelintir ADUN ini asyik menyalahkan Menteri Besar.

Mereka berbuat begitu untuk menutup kelemahan sendiri sedangkan hakikatnya mereka patut menilai diri sendiri sama ada sudah menunaikan amanah rakyat dan apakah mereka wajar dipilih semula sebagai calon.

Kerajaan Negeri Nafi Air Tasik Kenyir Dicemari Bakteria e-coli

Kerajaan negeri Terengganu menafikan laporan beberapa media tempatan hari ini yang menyebut air Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Rahin Mohd Said berkata laporan tersebut yang memetik beliau itu mengelirukan dan tidak tepat.

"Apa yang ditulis itu tidak betul dan saya tidak pernah kata begitu," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu.

Rahin dilaporkan berkata demikian dalam sidang media sempena pertandingan memancing Kenyir Cup 2010 di Pengkalan Gawi kelmarin.

Menurutnya, keadaan itu berlaku akibat pembuangan sisa kumbahan dan air buangan oleh pengusaha rumah bot atau rumah tumpangan terapung yang menjadikan tasik buatan itu sebagai lokasi mencari rezeki.

Rahin berkata laporan begitu boleh menjejas industri pelancongan negeri.

Laporan sebuah akhbar kelmarin menyebut, kerajaan negeri mengesahkan air Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli dan berada pada tahap membimbangkan berikutan pembuangan sisa kumbahan daripada rumah bot.

Abdul Rahin(belakang) melihat sistem tandas yang diubah suai di rumah bot Pangkalan Gawi, Kuala Berang, kelmarin.

Abdul Rahin kelmarin dipetik sebagai berkata kajian dilakukan saintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapati berlaku peningkatan mendadak bakteria e-coli dalam air tasik itu. Katanya, jika tiada usaha dilakukan bagi mengawal keadaan itu, ia akan menjejaskan mutu air dan hidupan di tasik itu

Beliau semalam menjelaskan, bakteria e-coli biasanya berada dalam kawasan yang sempit dan kualiti airnya sedikit serta tercemar dengan najis.

Sedangkan Tasik Kenyir luas dan airnya bermutu tinggi dan menjadi sumber air mineral dan dibekalkan kepada orang ramai, katanya.

Tuesday, December 7, 2010

Enam Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Negeri

Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Datuk Shaikh Ismail Muhamad dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri Terengganu tahun ini.

Ketokohan beliau yang banyak memberi sumbangan dan khidmat kepada pembangunan dakwah Islam di negara ini adalah antara sebab beliau dipilih menerima anugerah itu.
Dengan anugerah itu, Shaikh Ismail menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala serta sijil penghargaan.

Manakala Muhamad Abu Bakar, 70, menerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali negeri Terengganu.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Khazan Che Mat dan semua hadiah telah disampaikan oleh Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam.

Yunus Berazam Bawa T'Team Ke Kemuncak

Kehadiran bekas pemain tunggak pasukan Kelantan, Indra Putra Mahyuddin (gambar kiri), Nor Farhan Muhamad dan Azizi Mat Rose akan memudahkan tugas jurulatih baru pasukan Terengganu, T'Team, Yunus Alif membentuk pasukan mantap bagi menghadapi saingan Liga Super tahun depan.

Yunus berkata, beliau yakin pemain-pemain berpengalaman dan terkenal itu akan menjadikan tugas beliau untuk mencapai sasaran pasukan itu lebih mudah lagi.

"Saya akan gunakan segala pengalaman dan buah fikiran saya untuk memastikan pasukan T'Team mucul pasukan terbaik tahun depan," katanya hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang Indra, Farhan (gambar kanan) , Azizi telah mengesahkan menyertai T'Team pada musim akan datang.

Yunus yang pernah menjulang kasut emas pada 1984 ketika bersama Pahang memulakan tugas semalam, selepas empat hari mengikuti kursus kejurulatihan di Port Dickson sejak 30 Nov lepas.

Bagi mengukur sejauh mana kehebatan pasukan T'Team, Yunus telah mengatur beberapa perlawanan persahabatan sepanjang bulan ini.

Katanya perlawanan pertama ialah menentang Selangor di Shah Alam pada 14 Dis, diikuti Felda United di Selangor (16 Dis), Pahang di Kuantan (18 Dis) dan Pos Malaysia di sini (20 Dis).

Pertandingan Liga Super akan bermula 15 Jan tahun depan, katanya.

Agensi Kerajaan Disaran Lantik Pegawai Perhubungan Raya Yang Benar-benar Mahir

Agensi-agensi kerajaan disaran melantik pegawai yang benar-benar mahir dan terlatih dalam bidang perhubungan raya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing.

Menyarankan demikian, Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan berkata, pada masa ini banyak agensi kerajaan menghadapi masalah kerana melantik pegawai yang tidak mahir dan terlatih dalam bidang tersebut.

Katanya, sehingga ini hanya 50 peratus pengamal Perhubungan Raya yang terlatih berkhidmat di jabatan-jabatan kerajaan berbanding swasta.

"Saya berpendapat pihak swasta kebanyakannya mengambil pegawai Perhubungan Raya yang terlatih dan mahir bagi meningkatkan organisasi tempat mereka bertugas.

"Ini kerana kepakaran pegawai Perhubungan Raya itu penting untuk mengelak organisasi mengalami kerugian," katanya kepada pemberita selepas program "Luncheon Talk: Akta Perhubungan Raya" anjuran Jabatan Penerangan di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Hamdan berkata, pengamal Perhubungan Raya penting memandangkan profesion ini telah meningkat dari segi amalan dan ilmunya.

Beliau berkata, sebanyak 12 univerisiti di negara ini telah menawarkan kursus di bidang Perhubungan Raya.

"Kita juga berharap Kolej Komuniti juga menawarkan Sijil atau Diploma Profesional Perhubungan Raya kerana semua bidang pekerjaan memerlukan Perhubungan Raya," katanya.

Terengganu Gagal Ke Pusingan Akhir Piala Emas Raja-raja

Hasrat Trengganu untuk memburu kejuaraan Piala Emas Raja-Raja berkecai apabila tumpas 1-0 di tangan Kelantan, dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nassiruddin Shah di Kuala Terengganu malam semalam.

Dalam perlawanan peringkat separuh akhir pertama di Kota Baharu sebelum ini Terengganu kecundang 3-0.

Kelantan yang memerlukan seri, memperolehi gol tunggal pada minit ke-17 di separuh masa pertama selepas rembatan Ramzul Zahini Adenan gagal ditepis Mohd Shahril Saari.

Ramzul yang mendapat umpanan dari tengah, terus melarikan bola di sebelah kanan gol Terengganu sebelum merembat kencang melepas jengkauan Shahril.

Terengganu boleh dikatakan mengusai permainan, terutamanya pada babak kedua, tetapi gagal menembusi gawang Kelantan.

Perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja akan berlangsung di Kota Baharu pada 15 Disember ini.

Bot Karam - 10 Nelayan Terselamat

Sekumpulan 10 nelayan laut dalam warga asing yang bekerja dengan pengusaha tempatan terapung empat jam di laut apabila bot mereka karam selepas dipukul ombak besar satu batu nautika dari pantai Pulau Tenggol, Dungun, semalam.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz, berkata dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, sembilan warga Thailand dan tekong warga Vietnam itu terpaksa terjun ke laut apabila mendapati bot tenggelam.

Ketika kejadian, laut bergelora dengan ombak setinggi tiga meter dan angin kencang. Kami menghantar tiga bot penyelamat selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, semalam. Katanya, empat nelayan berkenaan berenang ke pantai Pulau Tenggol, manakala yang lain diselamatkan bot nelayan yang melalui kawasan itu.

"Semua mangsa berumur antara 23 hingga 41 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah, selamat walaupun ada yang terapung di laut selama empat jam sebelum diselamatkan.

"Mereka kemudian dibawa ke jeti APMM Kuala Terengganu oleh sebuah bot penyelamat untuk diberi rawatan dan tindakan susulan," katanya.

Sehubungan itu, Adam berkata, pihaknya meminta semua bot nelayan mematuhi amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Kaji Cuaca sepanjang musim tengkujuh ini bagi mengelak insiden tidak diingini.

Pencemaran e-coli Tasik Kenyir Serius?

Abdul Rahin(belakang) dan Hamzah menunjukkan sistem tandas yang diubah suai di rumah bot Pangkalan Gawi, Kuala Berang, semalam.
Kerajaan negeri mengesahkan air Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli dan berada pada tahap membimbangkan berikutan pembuangan sisa kumbahan daripada rumah bot.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata kajian dilakukan saintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapati berlaku peningkatan mendadak bakteria e-coli dalam air tasik itu. Katanya, jika tiada usaha dilakukan bagi mengawal keadaan itu, ia akan menjejaskan mutu air dan hidupan di tasik itu.

“Kerajaan negeri mengambil kira cadangan dan rumusan dibuat UMT, termasuk menyediakan sistem buangan sisa lebih sistematik terutama di rumah bot yang beroperasi di tasik itu.

“Sebagai permulaan kita membekalkan sistem buangan sisa dan kumbahan moden dan mesra alam kepada 37 rumah bot sedia ada, manakala rumah bot baru diwajibkan mempunyai sistem pelupusan sisa kumbahan baru yang mesra alam,” katanya pada sidang media menjelang penganjuran pertandingan memancing Kenyir Cup 2010 di Pangkalan Gawi, semalam.

Pertandingan yang membabitkan 60 peserta dari China dan 20 peserta tempatan, diadakan selama tiga hari mulai esok dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Hamzah Ngah dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zaini Sulaiman.

Abdul Rahin berkata, bagi memastikan kualiti air di Tasik Kenyir pulih, kerajaan negeri mengambil langkah drastik dengan meluluskan pe-runtukan berjumlah RM103,000 untuk pemasangan tandas dan sistem pelepasan sisa kumbahan lebih moden dan mesra alam di rumah bot.

Katanya, kebanyakan rumah bot dilengkapi tandas jenis cangkung menggunakan sistem ‘flushing domestic’ dengan sisa kumbahan tandas dan air buangan daripada sinki dapur yang mengandungi minyak masak dan sisa makanan dibuang terus ke dalam tasik.

Bagi mengelak air tasik terus tercemar, kerajaan negeri menukar sistem tandas dan kumbahan di 18 rumah bot yang digunakan dalam pertandingan Kenyir Cup.

“Pemasangan tandas itu membolehkan air kumbahan dan sisa makanan disalurkan ke tangki takungan berkapasiti 200 liter,” katanya.

Abdul Rahim berkata, isu pembuangan sisa kumbahan daripada rumah bot terus ke dalam tasik seluas 209,199 hektar itu dibentangkan pada mesyuarat Majlis Pelancongan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1 Jun lalu.

“Kerajaan negeri mempunyai pelan besar terhadap Tasik Kenyir yang mempunyai 340 pulau, terutama usaha menjadikannya destinasi pelancongan utama negeri ini.

“Justeru, bagi memastikan flora dan fauna serta hidupan air kekal, sistem pengurusan sisa kumbahan perlu wujud di sini supaya bakteria e-coli umpamanya tidak merosakkan ekosistem di sini,” katanya.

Jeremy Cari Penaja Untuk Belayar Sepenuh Masa

Koo Racing Team-Evernew yang dijurumudikan Jeremy Koo gagal menyaingi juragan handalan dunia.

Skipper tunggal negara di Piala Monsun, Jeremy Koo (Koo Racing Team-Evernew) memiliki perancangan besar untuk berlayar sepenuh masa dalam Jelajah Match Racing Dunia (WMRT), musim depan tetapi perlu mencari penajaan sekitar AS$100,000 (RM310,000) untuk berbuat demikian.

Sungguh pun memenangi Kejohanan Match Racing Malaysia (MMRC), Jeremy mendapati dirinya ‘lemas’ berdepan saingan juragan lebih terkemuka dalam Piala Monsun, apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dalam pusingan round robin 11 perlumbaan itu.

Jurumudi berusia 29 tahun itu menyedari match racing bukan sukan popular dalam negara ini, meskipun ia kian mendapat pendedahan dan berdepan masalah mencari penaja besar.
“Sudah tentu, saya mahu berlumba sepenuh masa dalam WMRT tetapi untuk berbuat demikian, saya memerlukan minimum AS$100,000 untuk mendapat peluang layak bagi setiap perlumbaan. Saya juga perlu bersaing dalam acara lebih kecil untuk menimba pengalaman,” kata Jeremy, yang tewas semua 11 perlawanannya di Piala Monsun.

“Ia mungkin sukar untuk mencari jumlah sebanyak itu tetapi saya berpuas hati dengan jumlah lebih kecil dan acara lebih kecil. Perkara utama adalah untuk menimba lebih pengalaman.

“Seperti yang saya nyatakan, jurang antara pelayar sepenuh masa dan sambilan seperti saya, Phil Robertson (New Zealand) WAKA Racing dan Keith Swinton (Australia) Black Swan Racing adalah besar. Itulah sebab mengapa kami menamatkan semua saingan dalam tempat ketiga tercorot.”

Piala Monsun yang berakhir kelmarin, menyaksikan Ben Ainslie, 33 dari TEAMORIGIN dinobatkan sebagai juara dunia WMRT selepas muncul juara di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Monday, December 6, 2010

Sesetengah ADUN BN Terengganu Tamak, Tidak Tahu Berterima Kasih?

Semalam Teganuku memperkatakan ‘Setengah ADUN Terengganu Tidak Reti Bersyukur? ‘ sebagai entri awal memperkatakan mengenai tindakan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu yang mendakwa peruntukan untuk mereka tidak memadai bagi melaksanakan program untuk rakyat.

Beberapa ADUN BN dikatakan membuat laporan kepada pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kononnya peruntukan tidak sampai ke kawasan mereka untuk melaksanakan projek bagi kemudahan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan terkejut apabila mendapat maklumat mengenai tindakan segelintir ADUN berkenaan.

Pertanyaan kini berlegar mengenai siapakah ADUN berkenaan dan benarkah mereka tidak mendapat peruntukan sedemikian?

Difahamkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu sudah menyediakan laporan penuh bagi dikemukakan kepada Menteri Besar mengenai peruntukan tahunan untuk ADUN sejak 2008 hingga akhir tahun ini.

Teganuku bertanyakan beberapa ADUN mengenai peruntukan selain menyelidik beberapa kenyataan Ahmad Said mengenai perkara itu sama ada melalui kenyataan akhbar, ucapan Bajet tahunan juga kenyataan beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri.

Seperti dilaporkan semalam, peruntukan yang diberikan sebenarnya cukup, malah kadangkalanya Menteri Besar bermurah hati untuk menambah peruntukan untuk musim perayaan dan sebagainya.

Perkara ini diakui oleh beberapa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang ditemui.

Memang benar peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Menteri Besar untuk ADUN bertambah 100 peratus dalam tempoh dua tahun – 2008 dan 2010.

Bantuan Am untuk setiap ADUN pada 2008 ialah RM200,000 kini menjadi RM400,000 setiap DUN sementara Bantuan Pembangunan pula juga bertambah pada jumlah yang sama.

Ini bermakna setiap DUN di bawah BN mendapat RM800,000 setahun pada 2010, iaitu pertambahan sekali ganda berbanding RM400,000 pada 2008.

Pada dasarnya peruntukan untuk ADUN dan Pegarah Pembangunan DUN ( di kawasan yang dimenangi pembangkang, peruntukan adalah seperti berikut:

Bantuan Am:
i) Tahun 2008 - RM200,000.00 setiap DUN
ii) Tahun 2009 - RM250,000.00 setiap DUN
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap DUN

Bantuan Pembangunan:
i) Tahun 2008 - RM200,000.00 setiap DUN
ii) Tahun 2009 - RM300,000.00 setiap DUN
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap DUN

Selain bantuan ini, mulai tahun 2010 setiap Ahli Parlimen / Pegawai Pembangunan Parlimen diberi peruntukan Bantuan Am sejumlah RM200,000.00 kecuali Parlimen Kuala Terengganu yang menerima RM400,000.00.

Exco juga dikatakan menerima tambahan peruntukan Bantuan Am sebagaimana berikut:

i) Tahun 2008 - RM250,000.00 setiap EXCO
ii) Tahun 2009 - RM300,000.00 setiap EXCO
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap EXCO

Apa yang menarik di Terengganu, setiap ADUN dan PPD turut menerima bantuan seperti Peruntukan Jawatankuasa Kemajuan Agama Peringkat Daerah mulai 2010 sebanyak RM50,000 bagi setiap DUN.

Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan Ihya Ramadhan (untuk Exco & ADUN) mulai tahun ini (2010) iaitu RM10,000.00 setiap Exco dan RM 8,000.00 bagi setiap ADUN.

Malah Menteri Besar turut bersetuju menaikkan Peruntukan Sambutan Hari Raya Aidilfitri (Exco & ADUN) seperti berikut:

i) Tahun 2008 - RM10,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
(kecuali YB. Toh Chin Yaw RM5,000.00)
Tahun 2008 - RM 6,000.00 setiap ADUN

ii) Tahun 2009 - RM10,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
Tahun 2009 - RM 6,000.00 setiap ADUN

iii) Tahun 2010 - RM15,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
Tahun 2010 - RM10,000.00 setiap ADUN

Apakah peruntukan seperti ini belum mencukupi untuk ADUN Terengganu?

Berapakah lagi jumlah yang perlu mereka dapati untuk menjamin mampu berkhidmat kepada rakyat?

Atau apakah sesetengah ADUN ini jenis tamak. tidak tahu berterima kasih?

Ikuti Bahagian Kedua esok