Saturday, October 1, 2011

Kumpulan Pertama Berlepas ke Mekah Semalam

Sebanyak tujuh penerbangan membawa jemaah haji ke tanah suci Mekah mula beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, ia melibatkan seramai 3,129 jemaah haji dari zon timur merangkumi tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Katanya, penerbangan kedua dari LTSM ialah pada 1 Oktober dan diikuti pada 5 dan 6 Oktober serta 16, 17 dan 18 Oktober.

"Setiap penerbangan yang membawa 447 jemaah itu menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia dengan penerbangan terus ke Madinah atau Jeddah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis meraikan keberangkatan 447 jemaah haji pertama dari Kuala Terengganu ke Arab Saudi di LTSM, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar.

Tambah Khazan, kira-kira 300 kakitangan dari 18 agensi kerajaan termasuk Polis, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta Jabatan Kastam dan Imigresen membantu melancarkan operasi penerbangan haji di LTSM.

"Urusan penerbangan jemaah haji yang masuk tahun keempat itu sehingga kini berjalan dengan lancar dan sempurna," ujarnya.

Sementara itu, seorang jemaah haji, Mohd. Salleh Mohd. Noor, 71, dari Gong Badak, dekat sini semasa ditemui berkata, dia yang berkerusi roda bersyukur kerana akhirnya dapat menunaikan ibadah haji selepas lebih 30 tahun menyimpan hajat.

"Sudah lama pakcik tunggu. Masa anak pakcik masih bersekolah, pakcik dah baca buku-buku tentang ibadat haji," kata warga emas itu yang ke Mekah bersama anaknya, Ahmad Noor Rashidi, 36, seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Kelantan.

Bagi Nurul Huda Che Deraman, 26, pula, dia yang berasal dari Kesom, Manir dekat sini berasa bertuah kerana berpeluang mengerjakan ibadat itu dalam usia muda.

"Memang ini hajat saya dari sekolah menengah lagi. Selepas dapat kerja, impian saya untuk tunaikan haji sebelum berkahwin dan membeli kereta," kata kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu.

Utusan & Teganukita

Tuanku Nur Zahirah Lancar Kapal RV Discovery di Pulau Duyong

Krew dan pelatih UMT melambai dari atas kapal RV Discovery selepas perasmian oleh Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tuanku Nur Zahirah di Pulau Duyong Jumaat lalu.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah merangkap Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkenan menyempurnakan majlis pelancaran kapal latihan dan penyelidikan, Research Vessel Discovery (RV Discovery) milik universiti itu di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa Pulau Duyong, Kuala Terengganu, Jumaat (30 Sep 2011).

Kapal ini akan membuat pelayaran pertamanya ke Langkawi, Kedah bulan ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat pada majlis bersejarah itu.

Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri disambut oleh Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Aziz Deraman; Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman dan isteri, Puan Sri Suslita Abdul Majid serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan isteri, Toh Puan Halijah Ali.

Seri Paduka berdua kemudiannya turut meluangkan masa selama 30 minit untuk melawat kapal penyelidik bernilai lebih RM15 juta itu sambil diiringi oleh Aziz.

Dalam ucapan alu-aluan, Aziz berkata, pelancaran yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong itu akan dapat merangsang semangat warga kerja UMT untuk bekerja lebih keras dalam menjalankan pelbagai kajian penyelidikan melibatkan oseanografi.

Katanya, pemilikan kapal penyelidikan pertama UMT ini meletakkan UMT sebagai universiti pertama di Malaysia memiliki sebuah kapal yang serba canggih untuk penyelidikan samudera.

Kapal ini akan menjadi kebanggaan dan ikon UMT dalam usahanya menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam penerokaan, penjanaan dan penyebaran ilmu yang berkaitan samudera.

"Kita berharap melalui kewujudan kapal yang dilengkapi dengan kemudahan penyelidikan ini akan memberi kita ruang dan peluang yang lebih luas untuk meneroka khazanah laut.

"Kita juga bersedia untuk berkongsi kepakaran dan kemudahan yang kita ada dengan masyarakat luar agar hasil kajian yang diperoleh dapat dimanfaatkan bersama kelak," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan kelmarin.

RV Discovery khusus dibina bagi penyelidikan oseanografi dengan kelengkapan terkini setanding dengan kapal penyelidikan luar negara dan berkeupayaan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika serta boleh berada selama dua minggu di lautan.

Kapal sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan itu dibina pada September 2008 oleh syarikat tempatan, Kay Marine Sdn. Bhd. dan berkemampuan menampung 12 krew kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa. Kemudahan seperti kabin, ruang makan serta ruang rehat yang selesa turut disediakan.

Ia juga dilengkapi dengan pelbagai peralatan penyelidikan termasuklah peta elektronik, alat bantuan perjalanan, pengukur kedalaman air, pengukur kemasinan air, pengesan haba dan suhu air di samping alat dengar yang mampu berfungsi walaupun sejauh 30,000 meter di dasar laut.

Dalam aspek keselamatan, kapal itu dilengkapi sistem pemadam kebakaran pyrogen, juga kemudahan rawatan air masin untuk bekalan minuman selain makmal kering dan basah serta bilik memproses segala data terkumpul.

Utusan Malaysia & Teganukita

Disebabkan Penyu, Penduduk Tempatan Tampar Pelancong


Oleh Mohd. Hazli Hassan

Mungkin ada pembaca yang bosan dengan tulisan saya mengenai penyu sepanjang masa. Malah mungkin ada juga rakyat negeri Terengganu turut marah dan menyimpan dendam kepada saya kerana ‘attack’ negeri mereka jika timbul hal penyu.

Bagi saya, bukan apa, spesies ini ialah satu spesies yang unik yang pada hemat saya ia perlu dilindungi tidak kira dengan apa cara sekalipun.

Kenapa Terengganu? Sebagaimana yang saya tulis beberapa minggu lalu, saya menganggap kebanyakan penyu di negara ini lahir di Terengganu dan di situ jugalah pernah direkodkan pendaratan paling banyak penyu di negara ini.

Jadi saya amat berharap pembaca faham kenapa isu ini sering diutarakan lebih-lebih lagi data menunjukkan ada beberapa spesies semakin kurang mendarat di pantai-pantai Malaysia untuk bertelur.

Jika ada pun, mungkin tidak semua telur-telur penyu itu berjaya menetas disebabkan beberapa situasi termasuk gangguan alam semula jadi dan juga manusia.

Pada saya jika Terengganu berjaya mewujudkan satu akta atau undang-undang berkaitan pemakanan telur penyu, ia sebenarnya akan mewakili seluruh negeri di Malaysia.

Jika Terengganu berjaya untuk memulihara dan menjaga penyu, ia merupakan satu kejayaan besar.

Kali ini saya ingin membawa perhatian pembaca kepada satu insiden yang sebelum ini tersebar luas di laman sosial Facebook.

Kejadian pada 12 Ogos lepas ini berlaku kepada pelancong yang menjadikan Pulau Perhentian sebagai destinasi percutian setiap kali ke Malaysia, dan itu di Terengganu.

Pelancong itu ditampar, saya ulang, ditampar oleh seorang penduduk tempatan ketika cuba merakamkan gambar sewaktu ramai penduduk tempatan ‘sibuk’ mengambil telur penyu yang baru naik ke pantai untuk bertelur.

Adakah ini insiden yang mahu kita jadikan pengalaman berharga kepada pelancong itu?

Bayangkan dengan kemudahan komunikasi dan Internet yang ada sekarang apa akan jadi kepada Terengganu dan juga Malaysia jika perkara ini tersebar luas?

Saya amat berharap Jabatan Taman Laut, Jabatan Perikanan dan juga agensi kerajaan negeri yang berkaitan supaya menyiasat perkara ini dan tidak lagi membiarkan perkara ini terus berlaku dan juga menyiasat kenapa orang ramai berebut mengambil telur penyu berkenaan.

Utusan Malaysia

PAS Lihat Jabi, Batu Rakit Potensi Besar Untuk Mereka?

Barisan Nasional dan UMNO jangan pandang sebelah mata dengan keyakinan PAS di kerusi Dun Batu Rakit dan Jabi.

Kedua-duanya dianggap antara dua kawasan berpotensi besar dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kedua-dua kawasan itu selain dilihat boleh memecahkan undi majoriti yang dimenangi Barisan Nasional pada pilihan raya umum lepas, Dun Batu Rakit khususnya mempunyai jentera terbaik di kalangan Pemuda Pas negeri.

Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, potensi untuk menang dilihat berdasar program dalaman yang dilaksanakan Pemuda Pas negeri ketika ini dalam memantapkan parti di peringkat sayap itu.

“Melalui program ini, kita boleh melihat kekuatan dan kekurangan, selain strategi untuk memenangi pilihan raya akan datang,” katanya.

Pas kalah di semua kerusi di Setiu termasuk Jabi dengan majoriti 804 undi dan tewas di Batu Rakit dengan majoriti 1,486 undi.

Muhammad Zaidan berkata, program dalaman yang sedang dilaksanakan ketika ini melibatkan kepimpinan Pemuda Pas di peringkat negeri untuk mengenal pasti kelebihan dan kelemahan di kawasan tertentu.

Beliau berkata, ia juga sebagai persiapan untuk memastikan gerak kerja dipertingkatkan sebelum pilihan raya akan datang.

Menurutnya, program pertama yang dimulakan di Setiu menghasilkan keputusan positif dan menjelaskan pihaknya bersedia memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

Beliau berkata, program sama akan diteruskan di Dun Hulu Terengganu pada 30 September ini, manakala di Besut pada Oktober ini.

“Program dalaman ini bermula di Setiu pada 23 September lalu dan dijangka berakhir sebelum Jubli Emas DPPNT pada 1 hingga 3 Disember yang akan diadakan di Dungun,” katanya.

Sementara itu, pihaknya turut memfokuskan kepada program Pas Ganti Umno (PGU) yang akan diadakan di Kampung Tanjung pada 14 dan 15 Oktober ini.

Sinar Harian

Boleh Ugut Timbalan Pendakwa Raya Untuk 'Suka-Suka'?

Polis berjaya menyelesaikan kes seorang Timbalan Pendakwa Raya wanita yang diacu dengan pistol dalam kejadian Ahad lalu ekoran tertangkapnya seorang lelaki tidak siuman di Kuala Ibai di Kuala Terengganu, kelmarin.

Lelaki berusia 48 tahun dan merupakan bekas guru itu ditangkap di rumahnya kira-kira pukul 5 petang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa berkata, polis turut merampas sepucuk pistol mainan, cermin mata dan sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian itu.

Beliau memberitahu, suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan pihaknya menyiapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Jamshah berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 36 Akta Senjata Api.

"Dengan tertangkap lelaki itu, kita berjaya selesaikan kes tersebut. Berdasarkan rekod perubatan selain disahkan oleh keluarganya, suspek menghadapi masalah jiwa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, suspek disahkan terbabit dalam kejadian itu berdasarkan pengakuannya sendiri selain pengesahan mangsa.

Berdasarkan siasatan polis, jelas beliau, suspek tidak mempunyai sebarang motif ketika melakukan kejadian itu dan ia bertindak secara spontan.

"Hasil soal siasat mendapati suspek telah membeli pistol mainan tersebut pada hari kejadian dan dia melakukan perbuatan itu hanya untuk suka-suka, tiada niat lain," ujarnya.

Jamshah turut memuji sikap dan kesedaran masyarakat memberi maklumat kepada polis sehingga membawa kepada penangkapan suspek.

Ahad lalu, seorang Timbalan Pendakwa Raya wanita berusia 39 tahun cemas apabila diacukan pistol oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika mangsa berada di dalam kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail di Kuala Terengganu.

Kejadian berlaku pukul 11 pagi sewaktu mangsa bersama anak perempuannya yang berusia 14 tahun dalam perjalanan ke sebuah farmasi sebelum dihampiri suspek yang menunggang motosikal.

Utusan Malaysia

Agong Dan Raja Permaisuri Hadiri Majlis Santapan UMT

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan berangkat menghadiri majlis santapan sempena majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali kesembilan, di Kuala Terengganu, malam Jumaat.

Tuanku Nur Zahirah ialah Canselor UMT.

Ketibaan baginda berdua diiringi Pro Canselor UMT Tan Sri Samsudin Osman dan Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah serta Naib Canselor Prof Datuk Dr Aziz Deraman.

Turut hadir pada majlis itu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir adalah penerima Ijazah Kehormat Doktor Sains sempena Konvokesyen UMT yang melibatkan 1,763 graduan yang akan disempurnakan Tuanku Nur Zahirah pada keesokannya.

Pada majlis itu Tuanku Nur Zahirah berkenan melancarkan sebuah buku iaitu 'Buku Terbitan Khas Tuanku Canselor UMT Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah'.

Buku yang diilhamkan Aziz dan Prof Madya Dr Noraien Mansor itu sebagai tanda menjunjung kasih di atas kepimpinan baginda selaku Canselor UMT.

Kerajaan Bangunkan Pulau Lebah di Tasik Kenyir

Keindahan alam semulajadi di Tasik Kenyir, menjadikan tasik berkenaan satu destinasi pelancongan yang sangat menarik dan mempesonakan untuk dilawati.

Kerajaan negeri akan membangunkan sebuah pulau di Tasik Kenyir sebagai Pulau Lebah dalam usaha merangsang perkembangan industri madu lebah negara.

Kewujudan pulau tersebut sekali gus meletakkan Terengganu sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai pulau khusus untuk lebah dan bakal menjadi salah satu tarikan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris berkata, buat permulaan, sejumlah RM1.6 juta diperuntukkan kerajaan negeri manakala pulau yang sesuai sedang dikenal pasti.

Menurutnya, pulau madu lebah itu lebih menumpukan kepada kerja penyelidikan selain menyediakan pelbagai maklumat mengenai madu lebah untuk pengetahuan orang ramai dan pemasaran produk.

"Ia juga akan menempatkan pusat interpretasi lebah yang mengandungi pelbagai maklumat yang bukan saja untuk peminat dan pengusaha madu lebah malah, pelancong.

"Kita sedang kenal pasti pulau yang sesuai untuk dibangunkan dan kita juga akan pilih pulau yang mempunyai pokok tualang yang mampu menghasilkan madu lebah tualang bermutu tinggi," katanya.

Ashaari menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Lebah Peringkat Kebangsaan dan ApiExpo 2011 di Permai Hotel di Kuala Terengganu,kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Lebah Asia, Datuk Prof. Dr. Makhdir Mardan.
Seramai 100 orang peserta dari kalangan pengusaha serta penyelidik dari seluruh negeri menyertai seminar dua hari itu.

Beliau berkata, dengan adanya pulau sedemikian, ia turut membantu pencari dan pengusaha madu lebah dalam aspek keselamatan, kawalan mutu dan sebagainya.

Menurutnya, kini kerja-kerja mengenal pasti pulau yang sesuai sedang dilakukan memandangkan di Tasik Kenyir mempunyai banyak pulau dan perlu memastikan lokasinya memenuhi kriteria diperlukan.

“Usaha ini juga adalah persediaan sebagai tuan rumah bagi Seminar Industri Lebah peringkat antarabangsa yang diadakan dua tahun sekali dan bakal jadualkan berlangsung di negeri ini pada September tahun depan,” katanya.

Terdahulu katanya, sebuah Koperasi Pemungut Madu Lebah Terengganu Berhad (Kopemat) berjaya ditubuhkan dengan kerjasama Yayasan DiRaja Sultan (YDSM) dan sehingga kini lebih 40 pengusaha madu lebah telah menjadi ahli.

Menurutnya, peranan Kopemat adalah menyelaras kegiatan dan aktiviti pemungut madu lebah yang berdaftar dalam usaha menyumbang ke arah usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka selain meningkatkan aspek keselamatan ketika melakukan kerja-kerja mengutip madu lebah.

Difahamkan pengusaha madu lebah di negeri ini mampu mengeluarkan 20 tan madu lebah setahun dengan harga purata RM40 ke RM50 sekilogram yang menjadi antara madu lebah terbaik dunia terutamanya madu lebah tualang.

Malah madu lebah paling berkualiti dikesan datangnya dari hutan Simpan Merchang, Marang.

Mengenai seminar antarabangsa lebah, Ashaari berkata, Malaysia buat julung kali diberi penghormatan menjadi tuan rumah Seminar Lebah Asia yang bakal diadakan di Terengganu pada penghujung September tahun depan.

"Seminar seumpama itu diadakan dua tahun sekali dan tahun depan, Malaysia buat pertama kalinya akan jadi tuan rumah yang akan diadakan di Terengganu," katanya.

15,0000 Ekor Ikan DiLepaskan di Sungai Leban, Tasik Kenyir

Jabatan Perikanan Negeri melepaskan sebanyak 15,000 ekor ikan di Sungai Leban, di Tasik Kenyir, kelmarin sebagai salah satu usaha dalam memastikan populasi spesis ikan air tawar tidak pupus sekali gus sebagai tujuan pemuliharaan serta pemeliharaan.

Pengarah Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, Zakaria Ismail berkata, spesis ikan dilepaskan itu merangkumi empat spesis ikan asli utama iaitu Kelah, Lampam, Kerai serta Tenggalan dan pihaknya juga sentiasa optimis dalam menjalankan usaha atau langkah pengurusan sumber perikanan darat secara berterusan.

“Program ini diharapkan dapat meningkatkan dan mengekalkan populasi semula jadi ikan di perairan tempatan khususnya Tasik Kenyir yang sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan. Malah, ia juga bagi mengelakkan spesies ikan air tawar asli tempatan diancam kepupusan.

“Menyentuh konteks ini, kecaknaan dan sikap prihatin orang awam juga merupakan elemen utama kerana kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan sumber ikan darat membantu spesies ikan air tawar asli ini tidak terancam atau pupus,” katanya.

Menurutnya, antara pendekatan digunakan dalam mewujudkan kesedaran orang ramai ialah dengan membawa jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung untuk turut sama menyertai program sebagaimana diadakan itu, bagi memberi pendedahan kepada mereka termasuklah mengenai kaedah pengurusan sumber perikanan darat dengan lebih sempurna.

“Ilmu dan kemahiran ditimba barisan kepimpinan di peringkat kampung ini diharapkan dapat ‘dipanjangkan’ kepada penduduk kampung masing-masing, hingga akhirnya semua lapisan masyarakat mempunyai kesedaran kepentingan pemeliharaan sumber ikan darat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Program Pelepasan Umum melibatkan pelepasan ikan dan benih ikan di Sungai Leban, di sini, kelmarin yang turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan serta swasta iaitu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Pejabat Daerah Hulu Terengganu dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, serentak dengan itu juga pihaknya turut membawa peserta rombongan ke Santuari Kelah di Sungai Petang bagi membolehkan semua yang terlibat belajar dan mengetahui kaedah betul menjaga kawasan yang menjadi habitat semula jadi serta lokasi pembiakan ikan.

Pegawai Khidmat Pelanggan di Balai Polis Terpilih

Sidang media selepas majlis Ramah Mesra Aidilfitri MCPF turut dihadiri Razif sebagai Pengerusi MCPF Terengganu.

Pegawai Khidmat Pelanggan akan ditempatkan di beberapa balai polis terpilih di Terengganu mulai awal tahun depan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, selain itu, balai polis berkenaan juga akan dilengkapi dengan sistem nombor elektronik bagi memudahkan segala urusan dilayan mengikut giliran.

Katanya, langkah itu diambil sejajar dengan perkembangan semasa selain untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan memberikan keselesaan kepada orang ramai yang berurusan dengan pihak polis.

"Kami akan cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik walau dalam apa jua bentuk laporan yang dibuat oleh orang ramai,'' katanya selepas majlis Ramah Mesra Aidilfitri Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Terengganu di Balai Polis Gong Badak di Kuala Terengganu Sabtu lalu.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri yang juga Pengerusi MCPF Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman.

Jamshah berkata, orang ramai boleh membuat laporan di mana-mana balai polis dan tindakan susulan akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Mengenai dakwaan ada sesetengah balai polis tidak mahu menerima laporan yang dibuat oleh orang ramai ia mungkin berlaku sedikit salah faham dan merupakan kes terpencil,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerjasama orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.

Katanya, pada masa ini kes-kes jenayah yang berkaitan curi motosikal, ragut serta rogol di negeri ini menurun dari semasa ke semasa dan diharapkan ia turun kepada angka sifar.

Friday, September 30, 2011

Bangsa Melayu Tidak Boleh Berselindung Di Sebalik Kerajaan - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu bangsa Melayu abad ke-21 tidak berlindung di sebalik perlindungan kerajaan untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang.

Sebaliknya, beliau berkata bangsa Melayu abad ini perlu mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk mencapai hasrat tersebut.

"Kalau kita hendak menjadi bangsa yang bermaruah dan terhormat kita tidak boleh berselindung dengan kerajaan tetapi mesti ada keberanian dan keyakinan diri untuk berjaya.

"Ciri-ciri Melayu abad ke-21 yang berjaya bukan dilindungi tetapi kerana ada kelebihan ilmu, kemahiran berfikir dan minda yang tajam. Inilah perubahan yang mesti ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) di Kuala Lumpur, malam semalam.

MTEM merupakan platform untuk badan-badan bukan kerajaan (NGOs) ekonomi Melayu bersatu supaya lebih efektif dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang lestari di kalangan komuniti Melayu dan negara.

Najib berkata cabaran pada abad ke-21 amat hebat, justeru bangsa Melayu perlu bersedia menghadapi segala perubahan dan persiapan yang secukupnya.

Beliau berkata bangsa Melayu perlu menjalin kerjasama dengan kerajaan kerana masa depan mereka juga berkait rapat dengan untung nasib kerajaan sedia ada.

"Dalam kita memastikan kejayaan orang Melayu, kita tidak boleh mengambil hak orang lain tetapi orang Melayu perlu menggunakan kuasa politik daripada kerajaan sedia ada.

"Sebagai contoh apabila kita melaksanakan projek MRT, kita memutuskan 43 peratus daripada projek ini diberikan kepada usahawan dan syarikat bumiputera. Jadi kita tidak ambil hak orang lain," katanya.

Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya NGO Melayu bertindak bersungguh-sungguh dan berkesan supaya tuntutan bangsa Melayu dapat diketengahkan dengan lebih jelas.

"Kita tidak boleh menyerahkan kepada kerajaan semata-mata tetapi perlu memperkasakan individu dan NGO yang akan bertindak sebagai barisan hadapan dalam menuntut apa yang perlu bangsa Melayu miliki," katanya.

Penjual Ikan Tidak Mampu Tanggung Kos Pembedahan Pisahkan Bayi

Bayi kembar siam yang dilahirkan pada 22 September lalu kini ditempatkan di HSNZ.

Biarpun gembira dikurniakan sepasang bayi kembar siam yang bercantum di dada, kegelisahan tetap membelenggu seorang penjual ikan, Zulkifli Ngah, 41, berikutan bayi dilahirkan pada jam 11 pagi pada 22 September lalu perlu menjalani pembedahan.

Zulkifli berkata, dia dan isterinya, Noraini Mohamad, 31, mengetahui bakal memiliki anak kembar selepas menjalani imbasan di Hospital Kemaman enam bulan lalu, sebelum mengikuti proses sama di HSNZ dan Hospital Kuala Lumpur selepas itu.

“Ketika doktor memberitahu bayi yang akan dilahirkan nanti kembar siam, kami berserah dan reda dengan ketentuan Ilahi sehinggalah bayi itu dilahirkan bercantum dada,” katanya.

Zulkifli yang menjual ikan di Kemaman berkata, walaupun doktor di HSNZ belum membuat sebarang diagnosis penuh terhadap keadaan kembar siam itu, dia sedar bayinya perlu menjalani pembedahan pada masa depan, bagi membolehkannya menjalani hidup seperti kanak-kanak normal lain.

“Seperti ibu bapa lain, saya ingin melihat kembar ini menjalani kehidupan yang sihat. Namun, saya tidak fikir mampu membayar bil perubatan dan pembedahan mereka dengan pendapatan sebagai penjual ikan,” katanya.

Beliau berkata, dugaan sebegini tidak pernah berlaku kepadanya sebelum ini apabila anak ketiga dan keempat lahir bercantum tidak normal seperti anak pertama dan keduanya yang kini berusia enam dan tujuh tahun.

“Saya terima dugaan ini sebagai takdir, tetapi saya tetap memerlukan bantuan kewangan untuk keperluan mereka pada masa depan kerana pendapatan saya sebagai penjual ikan hanya cukup bagi kehidupan sederhana kami sekeluarga,” katanya sambil berharap dapat bertukar kerja baru di bandar raya ini bagi memudahkannya berulang-alik menjaga bayi yang masih mendapat rawatan di HSNZ.

Katanya, sejak seminggu lalu dia tidak berkerja dan berdepan risiko kehabisan wang apabila sehingga kini tidak menerima sebarang bantuan untuk menyara kehidupan mereka ketika ini.

“Walaupun isteri saya hanya menjalani proses pembedahan selama sejam ketika melahirkan bayi kembar siam itu, namun saya tetap bimbang ada komplikasi lain selepas ini.

“Jadi saya benar-benar berharap ada pihak sudi membantu menghulurkan bantuan untuk masa depan bayi kembar selepas ini dan saya menyerahkan kepada kebijaksanaan doktor untuk menentukan bila masa sesuai bayi ini akan dibedah,” katanya.

Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melawat bayi terbabit di HSNZ.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan individu dan syarikat boleh menghubunginya di talian 012-9551435.

SDSI Sedia Skop Pasaran Lebih Luas - Awang Tera

Golongan usahawan khususnya dari luar bandar perlu bijak mengambil kesempatan terhadap penganjuran Ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI) kerana ia menyediakan skop pasaran lebih luas untuk mereka memasarkan produk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, SDSI menghimpunkan pelbagai bentuk dan pasaran perniagaan yang berpotensi untuk disertai oleh usahawan sekali gus membantu mereka memasuki pasaran lebih luas

Menurutnya, melalui SDSI, usahawan mampu mengubah potensi perniagaan mereka ke tahap global dan tidak semata-mata berpuas hati dengan pasaran tempatan.

"SDSI kali ini dianggap program industri yang hebat kerana ia menghimpunkan usahawan dari tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan dan masing-masing memperkenalkan produk hasil keluaran anak tempatan.

"Namun pada masa sama, SDSI membantu membuka minda usahawan untuk menguasai skop pasaran yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Ekspo SDSI Peringkat Zon Timur di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Azmi Razik.

Program tiga hari itu mengumpul 70 usahawan yang mula dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Turut diadakan Seminar Keusahawanan, demontrasi permainan tradisional, demontrasi masakan produk dan persembahan kanak-kanak.

Kata Mohamed, penganjuran SDSI mampu mengubah pemikiran usahawan tempatan agar lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk mereka dan tidak semata-mata mengeluarkan barangan yang sedia ada terdapat di pasaran.

Melalui program itu katanya, para usahawan berpeluang berkongsi kepakaran dan kaedah pemasaran perniagaan dengan usahawan lain terutama mereka yang telah berjaya menembusi pasaran luar negara.

Teganukita

Kerajaan Bantu Penjaja Dengan 'Pantas' Melalui Program Usahawan Kecil Dinamik

Kerajaan yakin dapat membantu lebih ramai penjaja dan usahawan kecil dengan 'trek pantas' melalui Program Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, program tersebut merupakan strategi baru kerajaan membantu usahawan kecil yang mempunyai tekanan modal untuk menjalankan perniagaan.

"Bukan mudah untuk mereka mendapatkan pinjaman pantas dan kita akan membantu mereka mempermudahkan proses ini," katanya selepas melancarkan Program UK Dinamik di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Mohd Shafie, peruntukan awal sebanyak RM50 juta telah diberikan kerajaan untuk program yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) ini.

"Mereka yang layak akan menerima antara RM5,000 hingga RM10,000," katanya lagi.

Pada majlis itu, seramai 56 penjaja dan usahawan kecil dari Wilayah Persekutuan telah menerima cek pinjaman masing-masing.

"Mereka terdiri daripada usahawan kecil yang terlibat dalam perniagaan makanan, aksesori wanita, aksesori telekomunikasi, bazar malam, gerai dan bidang-bidang lain," katanya.

Mohd Shafie berkata, pemohon yang memohon akan dipilih oleh Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) manakala Mara dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membantu dari segi modal, bimbingan, penempatan dan perlesenan.

"Sebab itu kita bergabung dengan persatuan dan PBT.

"Mereka ada senarai keahlian dan data yang dapat membantu mempercepatkan proses," katanya.

Tambah beliau, dengan peruntukan yang ada pihaknya mensasarkan dapat membantu kira-kira 10,000 penjaja dan usahawan kecil yang lain dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bagi memudahkan permohonan, mereka hanya perlu mematuhi syarat-syarat tertentu.

"Borang permohonan yang perlu dilengkapkan hanyalah sekeping.

"Jika semuanya dibuat mengikut prosedur, mereka akan memperolehi pinjaman dalam tempoh dua hingga lima hari sahaja," ujar beliau.

Walaupun setakat ini bantuan diberikan kepada penjaja sekitar Wilayah Persekutuan namun kerajaan akan memperluaskan bantuan kepada penjaja di Selangor dan negeri-negeri lain dalam masa terdekat.

Mengulas bentuk pembayaran balik pinjaman, Mohd Shafie berkata, tempoh bayaran balik yang ditetapkan ialah dua tahun.

"Pinjaman ini bertujuan untuk membantu. Tiada faedah dikenakan untuk tidak membebankan peminjam," katanya.

Bekas Graduan Rebah Dan Kaku Bila Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati

Seorang bekas graduan dari sebuah universiti tempatan rebah dan kaku di kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, semalam apabila hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana memiliki dan mengedar kanabis seberat 1,317.7 gram.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustapha (gambar kiri) mendapati Mohammad Abdul Rahman, 29, bersalah melakukan perbuatan itu pada 3 Okt lepas di sebuah rumah di Lot 420, Kampung Tok Jamal, Wakaf Mempelam, di Kuala Terengganu.

Mohammad didakwa di bawah seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh juga didapati positif dadah jenis kanabis dalam ujian air kencing.

Mohammad yang tidak dapat menahan perasaannya kelihatan sebak dan hanya mampu melafazkan 'Allahuakbar' sebelum dibawa keluar dari mahkamah.

Pada prosiding sebelah petang tadi, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Jazamuddi Ahmad Nawawi berjaya membuktikan kesalahan yang dilakukan tertuduh tanpa sebarang keraguan munasabah.

Pihak pendakwa turut mengetepikan rayuan peguam tertuduh Mohd Ramlan Taib agar hukuman ke atas anak guamnya dikurangkan.

Beberapa orang anggota keluarga dan sahabat Mohamad yang berada di galeri awam menitiskan air mata ketika keputusan dibacakan.

Pantai di Terengganu Diminati Keluarga Pelancong Arab

Malaysia sering dirujuk sebagai destinasi percutian keluarga oleh pelancong Arab Saudi kerana persekitarannya yang dilihat amat sesuai dan menarik untuk percutian bagi sebuah keluarga Muslim.

Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Datuk Prof Syed Omar Syed Al-Saggaf berkata tahun lepas Malaysia dikunjungi 90,000 pelancong dari Arab Saudi, dan tahun ini jumlahnya disasar menjangkau 100,000.

Beliau berkata jika satu ketika dahulu pelancong dari Arab Saudi hanya berminat untuk melancong ke luar negara di musim panas, kini dengan promosi agresif oleh Malaysia, faktor iklim tidak lagi diambil kira.

"Promosi Malaysia di sini juga saya lihat bertambah hebat, jika dulu banyak yang diperkatakan pelancong di sini mengenai kawasan-kawasan di pantai barat sahaja, kini mereka juga bercakap mengenai pantai timur, mengenai pantai-pantai di Terengganu dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sebuah hotel di Madinah selepas menyambut ketibaan jemaah haji pertama dari Malaysia.

Merujuk kepada aspek perniagaan, Prof Syed Omar berkata ketika ini banyak syarikat besar dari Arab Saudi berminat untuk melabur di Malaysia, antaranya disebabkan oleh hubungan diplomatik yang baik antara kerajaan kedua-dua negara.

Banyak projek besar di Madinah turut membabitkan kepakaran dari Malaysia, seperti projek monorel di Mekah, projek pembangunan di Universiti Al-Malik Faisal dan projek perumahan.

Polis Terengganu Buru Tiga Suspek Membabitkan Kes Kematian

Polis Terengganu sedang memburu tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan melibatkan satu kes kematian di Kampung Batangan, Marang pada 16 Sept lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K Manoharan berkata polis ingin menghubungi tiga lelaki berumur 25 hingga 39 tahun untuk membantu siasatan kes tersebut.

Ketiga-tiga mereka, Muhammad Shahrin Roslan, Saiful Azizul Che Ali, dan Amzul Jusoh, yang berasal dari Marang dipercayai masih berada di sekitar Kuala Terengganu dan Marang, katanya.

Manoharan berkata dalam kejadian itu, mangsa Hassan Harun, 37, bersama dua orang rakannya telah pergi ke Kilang Bata, Kampung Batangan di Marang untuk bertemu dengan rakannya, Muhammad Shahrin untuk berbincang berkaitan hutang.

Bagaimanapun, apabila mangsa tiba di tempat kejadian bersama rakannya, mereka memasuki ke sebuah pondok pengawal kilang tersebut dan di sana berlaku pergaduhan dengan empat orang rakan suspek yang turut berada dalam pondok tersebut, katanya.

"Apabila mangsa berada di luar pondok pengawal, beliau telah diserang dan dipukul oleh suspek di bahagian kepala dengan sebatang besi mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah," katanya.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu oleh rakannya yang kemudian menghubungi anggota keluarga mangsa bagaimanapun rakannya terus menghilangkan diri selepas itu, katanya.

Manoharan berkata bedah siasat mendapati kematian mangsa akibat pukulan dengan benda tumpul di kepala.

Kes ini di siasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mengenali suspek tersebut agar menghubungi bilik gerakan IPD Marang di talian 09-6182222 atau pegawai penyisat kes ASP Mohd Adli Mat Daud di talian 013-4398633.

Bantulah Warga Emas Ini Sebaik Mungkin...

Seorang warga emas merayu untuk mendapatkan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebagai tempat berteduh buat salah seorang daripada dua anaknya yang tidak mampu mendirikan rumah kerana miskin.

Arifin Othman, 67, berkata, dia juga tidak mampu bekerja sejak tiga tahun lalu selepas menjalani pembedahan membuang batu karang manakala dua anaknya itu bergantung kepada pendapatan tidak menentu sebagai penoreh getah.

Menurutnya yang mempunyai 11 anak, anaknya itu hanya bekerja dan hidup ‘kais pagi makan pagi’ serta terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan yang agak tidak sempurna.

“Anak sulung saya kini menumpang di rumah saya manakala anak kelima pula terpaksa membina rumah sendiri, tetapi tidak mampu untuk menyiapkan rumah itu kerana tiada wang,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Belor.

Arifin berkata, keluarga itu juga tidak menerima apa-apa bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk anak sulungnya, Jamilah Arifin, 45, seorang ibu tunggal dua anak yang mula tinggal bersamanya sejak beberapa tahun lalu.

“Saya merayu pihak berkaitan meluluskan permohonan kami untuk mendiami rumah PPRT walaupun maklum balas yang diterima sebelum ini, tiada kekosongan buat. Namun kami akan terus mengharap.

“Lagipun, ada penduduk kampung ini yang ada anak kerja makan gaji dan masih sihat pun boleh terima bantuan kerajaan. Macam mana orang susah seperti kami tak dapat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pengkalan Berangan, Aminah Awang Yak berkata, pihaknya telah menyemak senarai permohonan namun memaklumkan, tidak pernah menerima permohonan Arifin.

“Malah, keluarga terbabit juga tidak memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan untuk mendapat bantuan rumah PPRT jika mereka membuat permohonan sekalipun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian kelmarin.

Polis Hidu Gerakan Curi Motosikal di Masjid, Surau

Taktik kotor dua lelaki termasuk seorang remaja bawah umur yang menjadikan masjid dan surau di sekitar daerah ini sebagai ‘port’ mencari rezeki sambilan dengan mencuri motosikal terbongkar setelah kedua-dua mereka ditahan pada 13 Ogos lalu.

Bukan itu sahaja, kedua-dua sahabat itu yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan tidak bermoral ini sejak Ogos tahun lalu turut menerima pembalasan apabila mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, kelmarin atas tiga pertuduhan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Tertuduh, Aiman Alias, 22, dari Kampung Pengkalan Arang, Kuala Terengganu dan rakannya, seorang remaja bawah umur, iaitu 17 tahun, dari Kampung Gong Pauh, Jalan Kuala Berang, memilih untuk mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Akibat pengakuan bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Aiman dijatuhkan hukuman penjara selama 30 bulan manakala rakannya yang masih di bawah umur itu diperintah menjalani pemulihan di Sekolah Tunas Bakti, Jerantut, Pahang selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh pada 21 April lalu kira-kira jam 8.30 malam hingga 9 malam bertempat di tempat letak motosikal Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu telah mencuri sebuah motosikal Honda milik Wan Mohd Rifdi Wan Talib, 22.

Manakala bagi pertuduhan kedua, kedua-dua mereka didakwa telah mencuri sebuah motosikal Honda milik Wan Abd Halim Wan Long @ Wan Abdullah, 42, di tempat letak motosikal di Surau Haji Yahya, Kampung Kubang Badak, Kuala Terengganu antara jam 8.30 malam hingga 9.30 malam, pada 31 Ogos tahun lalu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka didapati telah mencuri sebuah motosikal Honda milik Ahmad Hilmy Hashim, 42, di tempat letak motosikal Masjid Padang Nenas, Kuala Terengganu antara jam 8.30 malam hingga 8.50 malam pada 6 Oktober tahun lalu.

Sinar Harian

Karnival di 7 Daerah Sempena Piala Monsun

Piala Monsun telah sentiasa menjadi lebih daripada sekadar acara pelayaran. Ia adalah satu cara untuk mencapai rakyat Terengganu, membantu dalam kewangan mereka dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa masuk lebih banyak perniagaan terutamanya semasa musim tengkujuh dan mendedahkan warisan kebudayaan negeri kepada pelancong tempatan dan asing.

Begitulah visi asal di sebalik Karnival Monsoon. Ia juga tentang kegembiraan bersukan dan membawa rakyat bersama-sama. Itulah sebab di sebalik kejayaan Karnival Monsoon tahun lepas.

Karnival Monsoon tahun ini akan bermula pada September-30 - 1 Oktober 2011, dengan pelbagai akitiviti menarik setiap hujung minggu bagi seluruh keluarga. Antara aktiviti-aktiviti yang adalah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, pertandingan kuiz, permainan tradisional dan pertandingan karaoke 'Monsun Fest Idol 2011'.

Aktiviti baru tahun ini adalah sesi dan klinik pelayaran, termasuk demonstrasi kayak. Orang ramai juga boleh mencuba cuba akitiviti pelayaran ini di bawah pengawasan profesional terlatih.

"Di samping pertandingan kayak adan perahu panjang peringkat kebangsaan, di antara aktiviti tambahan pada edisi terakhir kempen promosi ini yang akan berlangsung semasa Piala Monsun 2011, akan menonjolkon aktiviti 'sukan' untuk seluruh keluarga seperti bola sepak pantai 3 sebelah, bola jaring pantai 3 sebelah, dan bahkan juga Muay Thai yang akan dipertandingkan" ujar Abdul Aziz Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu.

Karnival Monsoon akan bermula di Kemaman pada hujung minggu ini dari 30 Sept-1 Okt, diikuti dengan Pantai Teluk lipat di Dungun (Oct 14-15), Muara Sungai Marang (Oct 21-22), Pantai Bukit Keluang di Besut (Oct 28-29) , Rhu 10 Pantai di Setiu (Nov 4-5), Kuala Berang Waterfront di Hulu Terengganu (Nov 11-12) dan akhirnya Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Kuala Terengganu (22-27 Nov) sempena Piala Monsun.

"Sebab di sebalik kempen ini 7 daerah adalah untuk memastikan tiada siapa yang merasakan ketinggalan dari perayaan. Tahun ini juga, terdapat tumpuan yang lebih besar ke atas aktiviti berasaskan air seperti demonstrasi pelayaran, pameran dan klinik kayak, selaras dengan rancangan pembangunan Kementerian untuk pelayaran" mengulas Aziz.

Beliau juga menambah, "Kami sedang bekerjasama dengan Pegawai Daerah dan jabatan yang berkenaan untuk memastikan semuanya berjalan lancar semasa Karnival Monsoon"

JTK Periksa Syarikat Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Mulai Oktober

Jabatan Tenaga Kerja akan menjalankan pemeriksaan intensif ke atas semua Syarikat Perkhidmatan Kawalan Keselamatan mulai Oktober depan bagi memastikan mereka membayar gaji minimum selaras dengan Perintah Majlis Penetapan Gaji.

Ketua Pengarah Tenaga Kerja Datuk Sh Yahya Sh Mohamed berkata syarikat yang telah berdaftar di bawah Akta Agensi Persendirian 1971 membayar gaji minimum selaras dengan Perintah Majlis Penetapan Gaji (Perintah Peraturan Gaji)(Saraan Minimum Berkanun Bagi Pengawal Keselamatan Swasta di Semenanjung Malaysia 2011).

"Kita menerima banyak aduan mengenai majikan yang enggan mematuhi perintah yang telah ditetapkan...Setakat ini sebanyak 25 majikan telah diambil tindakan pendakwaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, majikan yang melanggar perintah berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap kesalahan.

Sh Yahya berkata perlaksanaan perintah majlis itu mengikut tiga kawasan iaitu A, B dan C.

Katanya, kawasan A meliputi Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Johor Selatan (Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai Jaya dan Pontian) dengan saraan minimum berkanun bernilai RM550 sebulan bagi gaji pokok dan RM150 sebulan bagi Elaun Insentif Keselamatan.

Bagi kawasan B, gaji pokok adalah RM500 sebulan dan RM100 sebulan bagi Elaun Insentif Keselamatan melibatkan Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu dan Johot Utara (Kluang, Batu Pahat, Mersing, Muar, Ledang, dan Segamat).

Manakala saraan gaji minimum bagi Kedah, Kelantan dan Perlis yang berada dalam kawasan C adalah RM450 sebulan untuk gaji pokok dan RM50 untuk Elaun Insentif Keselamatan.

MCPF Laksana Program Ke Arah Jenayah Sifar

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pihak sekolah dan anggota masyarakat diminta supaya berganding bahu membantu mengatasi masalah sosial serta mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerjasama semua pihak penting agar gejala tidak sihat ini dapat dibendung.

“Kita memang serius untuk memerangi jenayah serta gejala sosial kalangan masyarakat hari ini hingga ke angka sifar,” katanya kepada pemberita di majlis Ramah Mesra Aidilfitri MCPF bersama masyarakat setempat, di Balai Polis Gong Badak hari ini.

“Masalah jenayah dan sosial bukan tanggungjawab pasukan polis dan kerajaan sahaja sebaliknya perlu ditangani bersama anggota masyarakat,” katanya.

Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, merangkap Timbalan Pengerusi MCPF Terengganu, SAC Datuk Jamshah Mustafa.

Ahmad Razif berkata, MCPF menggalakkan penglibatan pelajar sekolah dan sehingga ini lebih 100 buah sekolah menengah dan rendah telah menubuhkan Kelab MCPF masing-masing.

“Sehingga ini lebih 15 program dilaksanakan MCPF dengan kerjasama polis dalam usaha mendekatkan orang ramai dengan aktiviti ke arah mengekang gejala sosial,” katanya.

Teganukita

Elaun Sara Hidup RM98 Juta Telah Disalurkan Kepada Nelayan – LKIM

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membelanjakan kira-kira RM98 juta kepada nelayan sebagai elaun sara hidup di seluruh negara bagi tempoh bulan Januari hingga Ogos tahun ini.

Pengerusinya Datuk Mohd Jidin Shafee berkata selain menikmati elaun sara hidup, para nelayan bakal mendapat kemudahan perlindungan insurans selepas mendapat kelulusan dari kerajaan kelak.

Katanya kemudahan itu disediakan bagi meringankan beban anggota keluarga nelayan sekiranya berlaku kemalangan terhadap nelayan berkenaan ketika berada di laut, katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah LKIM Datuk Mohad Khazin Hamzah.

Dalam pada itu Mohd Jidin berharap golongan belia akan menceburi kegiatan industri kecil dan sederhana Kor Tani iaitu bidang pertanian untuk menambah pendapatan keluarga mereka.

Thursday, September 29, 2011

Rumah Rosak Akibat Ribut Akan Dibaiki Segera - Ahmad Said

Beberapa orang pekerja memotong dahan pokok yang menimpa sebuah kenderaan di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said semalam mengarahkan semua rumah yang rosak akibat kejadian ribut Selasa malam dibaiki segera.

Katanya arahan itu telah dikeluarkan kepada semua wakil rakyat di kawasan terbabit.
Berikutan itu wakil rakyat di negeri ini di minta memberi bantuan segera kepada mana-mana penduduk yang mengalami kerugian harta benda dan kerosakan rumah akibat di landa ribut dan angin kencang malam kelmarin.

"Saya mendapat laporan bahawa di Kampung Seberang Takir di sini, kira-kira 100 buah rumah rosak teruk selepas bumbung-bumbung rumah berkenaan diterbangkan ribut," katanya selepas mesyuarat Exco, di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Said berkata antara daerah yang teruk terjejas akibat kejadian ribut yang melanda kira-kira 8.45 malam itu ialah Kuala Terengganu, Besut dan Dungun.

"Jumlah kerugian belum diketahui dan kerajaan negeri masih menunggu laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Katanya, pihaknya belum menerima maklumat tepat mengenai jumlah rumah yang rosak serta kerugian harta benda awam akibat bencana yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di negeri ini, termasuk Seberang Takir dan Kuala Terengganu.

Katanya, bantuan segera amat diperlukan mereka bagi membaiki pelbagai kerosakan seperti bumbung, dinding dan pelbagai kelengkapan lain.

“Kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku malam tadi agak luar biasa berbanding apa yang pernah di alami sebelum ini di mana banyak kemudahan awam seperti tiang lampu, pondok rehat dan papan iklan rosak,” katanya.

Tinjauan Teganukita mendapati, pihak berkaitan iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia mula membersihkan kawasan yang dilanda ribut dengan mengalihkan dahan pokok dan membetulkan papan tanda, kabel elektrik serta telefon.

Sementara itu, Kosmo! Melaporkan, beratus-ratus rumah di sekitar Kuala Terengganu rosak teruk akibat dipukul ribut dan angin kencang dalam kejadian malam kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu menyebabkan bumbung-bumbung rumah rosak teruk sementara lebih sepuluh kereta milik penonton yang diletakkan di luar stadium rosak dihempap pokok.

Selain itu, puluhan papan iklan turut diterbangkan angin manakala beberapa keping zink di kawasan stadium tercabut.

Laporan awal mengesahkan beratus-ratus rumah telah rosak selain beberapa pokok besar di tengah bandar tumbang.

RV Discovery Peneroka Laut Luas

Kapal latihan dan penyelidikan Reseach Vessel (RV Discovery) yang dimiliki oleh Universiti Malaysia Terengganu berlabuh di Pulau Duyong, Kuala Terengganu semalam.

Kapal latihan dan penyelidikan Research Vessel Discovery (RV Discovery) milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang merupakan kapal pertama seumpamanya di negara ini bakal dilancarkan esok (Jumaat).

Upacara bersejarah yang mengukuhkan peranan institusi itu akan disempurnakan oleh Canselor UMT, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa Pulau Duyong dekat Kuala Terengganu

Kapal bernilai lebih RM15 juta khusus dibina bagi penyelidikan oseanografi dengan kelengkapan terkini setanding dengan kapal penyelidikan luar negara dengan keupayaan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika dan boleh berada selama dua minggu di lautan.

Kapal sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan itu dibina pada September 2008 oleh syarikat tempatan, Kay Marine Sdn. Bhd. dan berkemampuan menampung 12 krew kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa dengan menyediakan kabin, ruang makan serta ruang rehat yang selesa.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili, RV Discovery direka bagi memenuhi keperluan universiti itu dalam meneroka bidang utamanya iaitu oseanografi.

Katanya, ia dilengkapi dengan pelbagai peralatan penyelidikan termasuklah peta elektronik, alat bantuan perjalanan, pengukur kedalaman air, pengukur kemasinan air, pengesan haba dan suhu air di samping alat dengar yang mampu berfungsi walaupun sejauh 30,000 meter di dasar laut.

Tambahnya, ia turut dibekalkan dengan alat beban yang mampu mengangkat dan menurunkan beban seberat lima tan pada satu-satu masa.

‘‘Dalam aspek keselamatan, ia dilengkapi sistem pemadam kebakaran pyrogen, juga kemudahan rawatan air masin untuk bekalan minuman selain makmal kering dan basah serta bilik memproses segala data terkumpul.

“Sebelum ini kita hanya menjalankan kerjasama dengan sebuah universiti di Jepun iaitu Universiti Kargoshima untuk melakukan penyelidikan dasar laut dan ia sememangnya melibatkan kos yang tinggi.

“Dengan adanya kapal penyelidikan ini lebih mudah para penyelidik UMT untuk meneroka kajian-kajian baru di dasar laut,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Noor Azhar memberitahu, kewujudan RV Discovery juga dapat memberi pendedahan dan latihan, khususnya kepada pelajar-pelajar jurusan Sains Samudera, Biologi Marin, Sains Nautika, Pengangkutan Maritim serta Teknologi Maritim.

‘‘Ia membantu para pelajar dan penyelidik untuk melakukan penyelidikan mereka dengan lebih mudah, tepat, cepat dan dalam keadaan semula jadi tanpa perlu pulang ke daratan untuk menggunakan peralatan simulasi di makmal.

‘‘Untuk memahirkan penggunaan peralatan berkenaan, UMT mengadakan kerjasama dengan Keel University, Jerman dalam melatih kakitangannya agar kemudahan tersebut dapat digunakan dengan tepat,” ujarnya.

Selain itu tambahnya, UMT berharap RV Discovery dapat juga dimanfaatkan oleh pihak lain dalam melakukan pelbagai bentuk penyelidikan. Selain itu, hasil penyelidikan yang diperoleh dapat menjadi sumber rujukan terutamanya berhubung langkah-langkah pemuliharaan, pendidikan, penjanaan ekonomi dan lain-lain.

Menurut beliau lagi, selepas pelancaran itu disempurnakan, pihaknya merancang untuk membuat pelayaran sebanyak dua kali setahun terutamanya untuk tujuan oseanografi termasuk ke perairan Sabah dan Sarawak.

“Kita akan turun ke laut untuk membolehkan para penyelidik menjalankan kajian mereka dalam bidang oseanografi secara lebih luas dan tanpa sempadan, sesuai dengan slogan UMT Teroka Seluas Lautan.

“Walaupun bidang penyelidikan oseanografi masih baru di negara kita, namun sebagai sebuah universiti yang memainkan peranan berasaskan marin dan akuakultur, kita berharap RV Discovery boleh dianggap satu titik permulaan kepada UMT untuk meletakkan ia sebagai institusi terulung di negara ini dalam bidang itu,” jelasnya.

Justeru, beliau juga berharap agensi-agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Geosains dan Agensi Nuklear Malaysia dapat turut serta berkongsi manfaat kewujudan RV Discovery.

“Kami sangat mengalu-alukan jabatan lain yang berminat untuk menggunakan kapal RV Discovery agar ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” jelasnya.

Utusan Malaysia

Ribut Cemaskan Penyokong Terengganu


Suasana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin kelam kabut apabila ribut serta hujan lebat, menyebabkan kira-kira 10,000 penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Malaysia bertempiaran mencari tempat berlindung.

Turut berada di stadium malam kelmarin ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Berikutan itu, perlawanan antara tuan rumah, Terengganu dengan Negeri Sembilan terpaksa dihentikan hampir sejam dan disambung sebaik sahaja keadaan reda.

Ribut petir dan hujan lebat bermula pukul 9 malam, iaitu kira-kira 10 minit perlawanan selepas sepak mula.

Akibat ribut, papan iklan di tepi trek stadium terbang angin, mengakibatkan keadaan semakin kelam kabut, yang memaksa pengadil menghentikan perlawanan.

Beberapa buah kenderaan milik penonton yang diletakkan di kawasan berdekatan stadium iaitu di Jalan Pejabat (gambar atas), turut rosak teruk akibat dihempap pokok.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Perlawanan yang bersambung menyaksikan Terengganu dan Negeri Sembilan berakhir pada pukul 11.30 malam, seri tanpa jaringan.

Kedua-dua pasukan telah pun melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Malaysia dengan masing-masing memungut 13 mata dari Kumpulan B.

Utusan Malaysia

BN Sudah Mula Kenal Pasti Calon Pilihan Raya Umum - Muhyiddin

Barisan Nasional (BN) sudah mula mengenal pasti calon bagi pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata langkah awal itu bukan bermakna pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat tetapi bagi memastikan calon yang dipilih nanti berkeupayaan dalam semua aspek, termasuk dalam menjayakan pembangunan negara ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Muhyiddin berkata BN akan menggunakan pendekatan baru dalam memilih calon dengan kriteria utamanya ialah bakal calon akan dinilai secara individu dan menyeluruh oleh pucuk pimpinan, selain sumber rasmi dan tidak rasmi.

"BN perlu ubah cara pemilihan calon berdasarkan perubahan landskap politik semasa...tidak boleh secara semberono," katanya kepada wartawan Malaysia di Paris, semalam.

Muhyiddin yang diiringi isteri beliau Puan Sri Norainee Abdul Rahman kini berada di ibu negara Perancis ini untuk lawatan kerja dua hari bagi menghadiri mesyuarat lembaga eksekutif Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco), yang berakhir hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata antara kriteria pemilihan bakal calon ialah kebolehan, kewibawaan, latar belakang, status pendidikan, kemahiran tertentu yang selari dengan tuntutan semasa, selain prihatin dan faham kehendak rakyat.

Beliau menarik perhatian bahawa untuk menjadi seorang wakil rakyat pada masa ini adalah amat mencabar dan memerlukan kebijaksanaan berikutan pengundi sekarang sudah matang dan membuat penilaian berdasarkan kewibawaan seseorang.

Sehubungan itu, beliau berkata pemilihan bakal calon terdiri daripada golongan muda dan berkelulusan tinggi akan diberikan pertimbangan sewajarnya, namun pengalaman turut diberikan perhatian bagi mewujudkan keseimbangan antara jumlah pemimpin muda dan berpengalaman.

Keutamaan juga diberikan kepada calon pilihan rakyat, katanya.

Muhyiddin berkata "calon yang boleh menang" yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini bukan bermaksud semata-mata yang boleh menang tetapi turut memenuhi semua aspek yang dikatakan itu.

"Ini bermakna walaupun seseorang wakil rakyat itu pernah menang tanpa bertanding, tidak semestinya dicalonkan semula. Semuanya bergantung kepada tuntutan semasa," katanya.

Bertemu Kelantan - Irfan Sengaja Tempah Maut?

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti seperti sengaja 'menempah maut' dalam misi mencatat sejarah untuk membawa pasukannya menjulang Piala Malaysia musim ini.

Kelmarin, skuad kendaliannya itu sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan untuk menghuni kedudukan kedua dalam Kumpulan B.

Keputusan itu sekali gus meletakkan Terengganu dalam situasi sukar apabila mereka dijadualkan menentang Kelantan pada aksi suku akhir.

Apa yang pasti, pertembungan pada 10 dan 14 Oktober itu diibaratkan sebagai ulangan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil, Jun lalu yang menyaksikan Terengganu muncul juara.

Namun bagi Irfan sendiri, dia enggan terlalu bermegah dengan rekod Piala FA itu, sebaliknya tetap menghormati reputasi lawan sebagai pasukan No. 1 negara masa kini.
"Kami akan menentang Kelantan di suku akhir dan kami tidak boleh lari daripada hakikat ini.

"Kami perlu berdepan mereka dengan kekuatan yang kami ada dan saya tidak perlu tertekan dengan perlawanan ini," katanya semalam.

Irfan menambah, sasaran awal pasukannya adalah untuk melayakkan diri ke suku akhir tidak kira atas tiket juara ataupun naib juara kumpulan.
Malah katanya, kejayaan berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik adalah sesuatu yang membanggakan.

"Pemain-pemain telah membuktikan mereka berhak berada di suku akhir dan kami akan teruskan rentak ini.

"Apa yang saya harapkan penyokong Terengganu akan terus berada di belakang kami terutamanya ketika berdepan Kelantan di Kuala Terengganu pada 10 Oktober depan," ujarnya.

Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Irfan mengakui hujan lebat sehingga memaksa pengadil menangguhkan perlawanan kira-kira sejam sedikit menganggu fokus anak-anak buahnya.

"Pemain terpaksa bermain di padang becak dan memang sukar jika mereka beraksi mengikut corak permainan biasa.

"Saya juga akui ada beberapa pemain yang gagal memberikan aksi terbaik pada perlawanan malam kelmarin," tambahnya.

Kosmo!

80 Guru Terengganu ke Korea Selatan, Australia - Ahmad Razif

Kerajaan negeri menghantar 80 orang guru sekolah rendah dan menengah ke luar negara selama seminggu bagi mendalami ilmu berkaitan pengurusan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, seramai 50 guru ke Korea Selatan bermula semalam dan selebihnya ke Australia pada hujung Oktober ini.

Menurutnya, lawatan ke Korea Selatan diketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Zawawi Ismail bagi mendedahkan warga pendidik berkaitan pentadbiran sekolah cemerlang di negara berkenaan.

“Rombongan yang terdiri daripada pengetua, guru besar dan guru cemerlang itu akan melawat dua buah sekolah berprestasi tinggi serta meninjau pembangunan kelas maya di negara berkenaan.

“Mereka turut berpeluang mendapatkan maklumat terperinci berkaitan aplikasi kelas maya apabila dibawa melawat ke beberapa buah syarikat berkaitan industri itu di Sejong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil dan diploma pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), semalam. Turut hadir, Pengarah PSMZA, Zolkarnain Jobshi.

Tambah Ahmad Razif, sempena lawatan ke Korea Selatan itu, kerajaan negeri turut menjalinkan beberapa bentuk kerjasama dengan syarikat berkaitan teknologi maklumat bagi membangunkan kelas maya di sekolah-sekolah Terengganu.

“Kerjasama itu turut melibatkan pembangunan pendidikan kelas maya untuk pendidikan pra-sekolah seperti pengenalan silibus baru serta penambahbaikan dalam aplikasi ‘TV-Kids’ kepada kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Lawatan ke Australia akan diketuai Ahmad Razif sendiri dengan melawat beberapa buah sekolah berprestasi tinggi dan ia merupakan insentif kerajaan negeri kepada warga pendidik di negeri ini yang sentiasa berkerja keras untuk meningkatkan prestasi pembelajaran murid.

“Program penghantaran guru ke negara itu merupakan usaha penambahbaikan kerajaan negeri dalam menjayakan program 'Terengganu Anjung Ilmu',” ujarnya.

Individu Yang Didapati Hina Agong Di Laman Web Menetap Di Sweden

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong di laman web sosial melibatkan seorang individu yang dikatakan tinggal di Sweden.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata SKMM telah berhubung dengan pengendali Facebook dan Twitter untuk memadamkan paparan yang dibuat oleh individu yang menggunakan nama samaran 'Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara'.

Namun, Twitter tidak dapat memenuhi permintaan itu, kata Rais kepada pemberita di sini, Rabu.

"Maklumat mengenai keluarganya sudah diperolehi dan telah dikemukakan kepada pihak Peguam Negara Isnin lalu," katanya, sambil menambah identiti individu berkenaan dikenal pasti dengan bantuan pihak berkuasa.

Menteri itu berkata, oleh kerana kes itu melibatkan individu yang tinggal di Sweden, dia tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana 'berada dalam perlindungan perjalanan antarabangsa'.

Bagaimanapun, Rais berkata SKMM telah berhubung dengan pihak Interpol yang memberi isyarat sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia berhubung kes itu.
Menurutnya individu terbabit berdepan dengan tindakan undang-undang jika dia pulang ke tanah air.

Rais menegaskan tindakan menghasut, memperkecilkan agama atau menghina raja adalah kesalahan besar.

Menteri itu berkata, beliau telah memaklumkan perkembangan kes itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Seri Paduka telah menzahirkan pandangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah menteri.

Kerajaan Terengganu Sumbang RM1.1j Kepada Persatuan Nelayan

Kerajaan negeri memberi sumbangan RM1.1 juta kepada semua 11 persatuan nelayan di Terengganu untuk tujuan modal pembangunan projek kecil di kawasan masing-masing.

Sumbangan RM100,000 setiap persatuan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada majlis perjuampaan beliau bersama warga nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Marang, semalam.

Ia termasuklah kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Marang, PNK Besut, PNK Kuala Terengganu Utara, PNK Dungun, PNK Paka, PNK Kemasik, PNK Kijal, PNK Kemaman dan Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu).

Turut mendapat perhatian, tujuh peserta yang mendapat bantuan peralatan pemprosesan daripada Jabatan Perikanan bernilai RM47,000.

Selain itu, Ahmad Said turut menyampaikan lesen sampan kepada 28 orang nelayan kawasan Parlimen Marang.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, pemberian pelbagai bantuan kepada golongan nelayan itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menjaga kebajikan setiap nelayan.

Beliau turut mencadangkan agar jeti tidak harus dijadikan sebagai tempat pendaratan ikan semata-mata tetapi juga sebagai pusat kegiatan agro-pelancongan seperti memancing, menjual ikan bakar dan sebagainya.

“Seharusnya mereka berusaha mempelbagaikan punca pendapatan dan ini akan membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan pendapatan nelayan sekali ganda menjelang tahun 2020," katanya.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, dengan pemberian lessen sampan itu maka setiap mereka layak menerima elaun sara diri sebanyak RM200 sebulan selain subsidi petrol dan dibayar 10 sen bagi setiap satu kilogram tangkapan.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Mohd. Jidin Shafee dan Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.