Saturday, February 25, 2012

Himpun Di Terengganu Dihadiri 6,000 Orang

Himpunan Sejuta Umat (Himpun) bertema 'Selamatkan Akidah' siri jelajah negeri Terengganu yang diadakan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu hari ini berjaya menghimpunkan 6,000 orang.

Setiausaha Agung Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata himpunan anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam ini mengetengahkan isu gejala murtad di kalangan akidah umat Islam yang kian meruncing di negara ini.

"Kita mahu menyangkal dakwaan segelintir pihak yang beranggapan isu murtad ini bukanlah serius di negara ini.

"Malah semasa ceramah tadi, kita turut memaparkan rakaman video pengakuan bekas murtad dan mahu memberi kesedaran kepada semua umat Islam mengenai isu murtad yang semakin berleluasa kini," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas tamat perhimpunan itu.

Aminuddin berkata kini terdapat 868 kes permohonan menukar agama oleh individu beragama Islam di seluruh negara sejak lima tahun lalu yang perlu ditangani kerajaan bersama NGO Islam daripada terus menular.

Dalam perhimpunan itu, bekas Pesuruhjaya PAS dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali menjadi ahli panel dan memberi ceramah selama satu jam mengenai isu-isu memurtadkan umat Islam di negara ini.

Hasan bagaimanapun enggan ditemu bual pemberita.

Himpun ini merupakan siri yang kelima sebelum Kepala Batas (Pulau Pinang), Paroi (Negeri Sembilan), Kuala Kangsar (Perak) dan Shah Alam (Selangor).

Aminuddin berkata Himpun mengetengahkan 10 tuntutan resolusi yang akan dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mewujudkan undang-undang berkaitan.

Tujuan tuntutan 10 resolusi itu antaranya memastikan undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama akta yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri

Mahkamah Dengar Saman Kerajaan Terengganu Terhadap Harakah 23 Julai

IMBAS KEMBALI...Ahmad Said menunjukkan kepada wartawan tulisan Syed Azman dalam kolumnya yang disiarkan akhbar Harakah.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam menetapkan tiga hari bermula 23 Julai ini untuk mendengar saman fitnah yang difailkan oleh kerajaan Terengganu terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain berhubung artikel berkaitan bekalan pakaian seragam sekolah dan alat tulis.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh itu selepas bertemu kedua-dua pihak dalam kamar apabila kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes.

Peguam Edynoor Hiefnee Razali mewakili plaintif manakala Azhana Mohd Khairudin pula bagi pihak defendan.

Kerajaan Terengganu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin, yang diberi kontrak untuk membekalkan pakaian seragam sekolah dan alat tulis, memfailkan saman itu pada 15 Dis tahun lepas berhubung artikel yang disiarkan oleh Harakah, lidah rasmi PAS.

Mereka menamakan Dr Syed Azman, pemilik permit Harakah, Datuk Mustafa Ali, ketua editor Ahmad Lutfi Othman dan pencetak, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif menyatakan bahawa Syed Azman telah memfitnah mereka menerusi artikel bertajuk "Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah?' yang disiarkan dalam Harakah keluaran 11 hingga 13 Nov,2011.

Semua Projek Bina Masjid Dan Surau Perlu Dapat Kebenaran Maidam - Titah Sultan Mizan

Setiap projek pembinaan masjid atau surau di negeri ini perlu mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu bagi tujuan penyeragaman dalam pengimarahan, selain mengelak pertindihan kuasa dalam menguruskan pentadbiran sesebuah masjid.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, pada masa sama, pelantikan imam, bilal serta jawatankuasa masjid juga sewajarnya mendapat kelulusan MAIDAM.

Selain itu, titah baginda, bagi tujuan pembinaan institusi masjid dan surau, ia juga perlu membuat pengisytiharan pewakafan tapak bangunan itu kepada pihak berkuasa agama tersebut.

“MAIDAM diberi kuasa untuk menyelaras dan mengelola segala urusan pentadbiran masjid di Terengganu mengikut peraturan di bawah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu 2001, begitu juga dengan pelantikan imam, bilal serta jawatankuasa masjid,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Ulul Albab Seberang Jerteh, semalam.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, pembesar serta kenamaan negeri.

Masjid kayu itu yang siap sepenuhnya pada Julai tahun lalu dengan menelan kos kira-kira RM12 juta mampu menampung kira-kira 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Sultan Mizan turut berharap pihak mengurus tadbir masjid lebih bertanggungjawab seterusnya mengelak melakukan pecah amanah sehingga menjejaskan kesucian institusi berkenaan.

Sebelum itu, Sultan Mizan yang diiringi Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat melawat serta mendengar taklimat di Desa Ukiran Kayu di Kampung Raja, Jerteh.

Baginda berdua juga berangkat ke majlis Jamuan Teh di Sekolah Menengah Permaisuri Nur Zahirah di Kampung Limbungan di sini.

Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah dijadual berkenan mendengar Taklimat Pembangunan Daerah Besut di Pejabat di sini pagi esok sebelum mengakhiri lawatan dua hari ke daerah ini.

TSG Bermula Dengan Kayuhan Sederhana Di Putrajaya

Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) bermula sederhana pada peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, semalam.

Bagaimanapun pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu tetap yakin mereka mampu bangkit pada peringkat seterusnya, sambil menjadikan alasan angin kencang mengganggu rentak kayuhan dalam ujian masa, semalam.

Salah seorang pelumba TSG, Mohd. Shahrul Mat Amin mengakui aksinya pasukan tidak menjadi.

Shahrul mencatat 29 minit, 04.23 saat untuk menduduki tempat ke-108 keseluruhan manakala Mohd. Zamri Salleh muncul pelumba terbaik TSG yang menduduki tempat ke-63 (27:49.06s) diikuti adiknya, Mohd. Harrif ke-71 (28:00.38s).

Sementara itu, pelumba import TSG, Shinichi Fukushimi menduduki tempat ke-76 dengan catatan 28:11.75s, dikuti Mohd. Saufi Mat Senan ke-90 28:31.16s manakala Jang Chan Jae ke-115 (29:31.98s).

TSG sekarang ini menduduki tempat ke-19 keseluruhan manakala pada kedudukan Asia mereka adalah pasukan keenam terbaik daripada 10 pasukan.

Sultan Terengganu Melawat Desa Ukiran Kayu (DUK) Besut

Kehalusan seni ukiran yang ada di Desa Ukiran Kayu (DUK) Kampung Raja, menarik minat baginda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang memilih tempat itu sebagai detinasi pertama sempena keberangkatan lawatan ke daerah Besut hari ini.

Baginda ditemani Permaisuri Nur Zahirah menghabiskan masa kira-kira sejam berada di pusat itu sambil melawat aktiviti mengukir yang dijalankan oleh peserta di pusat latihan berkenaan.

Turut serta Menteri Besar,Datuk Seri Haji Ahmad Said, Ahli Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Wakil Rakyat Daerah Besut serta isteri masing-masing.

Desa Ukiran Kayu (DUK) ditubuhkan pada 12 Ogos 1999 yang pertama di Malaysia melatih golongan remaja yang berminat dalam seni ukiran kayu dan Berjaya melahirkan ramai pengukir muda berbakat.

DUK yang menawarkan kursus kepada belia tempatan yang berminat juga membayar elaun latihan RM450 sebulan selain menyediakan asrama untuk kemudahan pelatih yang tinggal jauh dari pusat itu.

Lawatan Baginda ke DUK mencatat sejarah kerana ia pertama kali dilakukan Sultan Mizan selepas pusat itu beroperasi melahirkan ramai pengukir terkenal di negara ini.

Pembinaan DUK juga satu pengiktirafan kepada pengukir mahir yang tersohor yang kebanyakkannya berada di daerah Besut dan hasi seni mereka banyak terdapat di istana-istana di negara ini dan luar Negara.

Teganukita

Zabrieskie RaihJjersi Kuning, Gruzdev Jersi Putih

Pelumba pasukan Garmin Barracuda, David Zabrieskie (tengah) yang menjuarai ujian masa individu diapit pemenang tempat kedua dan ketiga daripada pasukan Drapac Cycling, Adam Phelan (kiri) dan Darren Lapthorne pada perlumbaan LTDL 2012 di Putrajaya semalam.

Tiada pelumba dari Malaysia berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 20 pelumba terbaik pada perlumbaan hari pertama semalam dengan hanya pelumba Champion System, Muhd. Adiq Hussainie Othman muncul pelumba terbaik dengan menduduki tempat ke-41 di belakang Vinokurov.

Perlumbaan peringkat kedua LTdL 2012 bersambung hari ini bermula di laluan lebuh raya dari Putrajaya ke Melaka sejauh 151km melibatkan tiga zon pecutan (Salak Tinggi, Port Dickson, Linggi) dan dua zon pendakian (Bukit Pelandok dan Masjid Tanah) dengan jarak perlumbaan sejauh 151 kilometer.

Semalam, juara enam kali ujian masa individu kebangsaan Amerika Syarikat, David Zabrieskie menepati ramalan apabila menjuarai peringkat pertama dan meraih jersi kuning selaku pendahulu.

Pakar ujian masa individu yang mewakili pasukan Pro Tour, Garmin Barracuda itu menguasai acara yang mengelilingi Putrajaya sejauh 20.3 kilometer dengan melakukan catatan 24 minit 34.18 saat.

Tempat kedua milik pelumba Drapac Cycling, Adam Phelan yang ketinggalan 1:00.30s manakala rakan sepasukannya, Darren Lapthorne tempat ketiga dengan perbezaan 1:10.67s.

Pelumba yang terkenal dengan gelaran The Green Hornet itu berkata, dia amat teruja dengan laluan di Putrajaya yang disifatkannya lebar dan cantik.

"Saya rasa laluan ini sangat sesuai dengan saya tetapi saya tidak pasti berapa masa yang saya catatkan sehinggalah tiba di garisan penamat," kata Zabrieskie, 33, pelumba kelahiran Salt Lake City, Utah.

Sementara itu, pelumba Astana, Dmitriy Gruzdev menyarung jersi putih selaku pelumba terbaik Asia selepas mencatat 26:07.73s manakala Mohamad Adiq Hussainie Othman yang mewakili pasukan Champion System muncul sebagai pelumba terbaik tempatan apabila menduduki tempat ke-41 dengan catatan 27:17.18s.

Perlumbaan tahun ini membuka tirainya semalam dengan peringkat pertama melibatkan saingan ujian masa individu di Putrajaya.

Meskipun saingan hari pertama itu hanya melibatkan perlumbaan di sekitar Putrajaya, namun semua mata peminat basikal tempatan mulanya tertumpu kepada pemenang empat peringkat perlumbaan Jelajah Perancis, Alexandre Vinokourov.

Pelumba Kazakhstan dari pasukan Astana itu akan turun buat kali kedua dalam LTdL dan sudah pastinya mahu membuktikan reputasi sebenarnya dalam kalangan pelumba-pelumba lain di hadapan peminat tempatan.

Begitupun, Vinokurov, 39, sedar cuaca panas di Malaysia mungkin menjadi penghalang buatnya, sekali gus menjejaskan misinya meskipun mengakui pasukannya menurunkan barisan terkuat pada LTdL 2012 ini.

“Perasaan saya gembira sekali apabila dapat kembali semula untuk berlumba di Malaysia,” kata Vinokurov.

“Ini kali kedua saya datang ke sini selepas LTdL 1997, jadi sudah tentu saya mahu mencatat pencapaian yang lebih baik pada edisi ke-17 ini.

“Begitupun, cuaca panas di Malaysia akan menambahkan lagi cabaran pada perlumbaan ini.


“Ia juga akan menyukarkan lagi misi saya untuk mencatat keputusan yang baik iaitu sekurang-kurangnya memenangi satu pering- kat perlumbaan di sini,” katanya.

Vinokourov akan dibantu oleh lima lagi pelumba dalam pasukan Astana iaitu Alexandre Dyachenko (No. 9 dalam Kejuaraan Dunia 2011), Assan Bazayev, Dimitriy Gruzdev, Valentin Iglinskiy (juara Jelajah Hainan 2010 dan 2011) serta Andrey Zeits naib juara Jelajah Turki tahun lepas.

LTdL tahun ini juga mencatat sejarah baharu apabila enam bekas juara bertahan kembali bersaing dalam satu perlumbaan yang sama dengan misi memburu gelaran kedua.
Mereka terdiri daripada juara edisi 2003, Tom Daniel- son, Freddy Gonzalez (2004), Anthony Charteau (2007), Jose Serpa (2009), Jose Rujano (2010) dan Yonnatta Monsalve yang sudah pasti ingin mempertahankan kejuaraannya tahun lepas.

Untuk rekod, hanya Paolo Lanfranchi sahaja yang berjaya memenangi kejuaraan keseluruhan LTdL sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1999 dan 2001.

Cabaran Malaysia pada kejuaraan kali ini akan digalas 13 pelumba tempatan yang akan beraksi dalam empat pasukan berbeza iaitu skuad kebangsaan Malaysia, Terengganu Pro Asia (TSG) serta pasukan Champion System dan OCBC Singapura.

Utusan Malaysia & Kosmo

Masjid Kayu Seberang Jertih Kini Dikenali Masjid Ulul Albab

Teka teki untuk nama sesuai bagi Masjid Kayu Seberang Jertih kini terjawab apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semalam berkenan mengistiharkan nama baru masjid itu sebagai Masjid Ulul Albab.

Pengistiharan nama Masjid Ulul Albab dibuat ketika Sultan Mizan merasmikan masjid berkenaan sebelum menyertai solat Jumaat bersama masyarakat Islam sekitar Kampung Seberang Jertih.

Turut serta ialah Menteri Besar,Datuk Seri Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Mazlan Ngah,Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazam Che Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Sempena keberakatan Baginda juga turut menyampaikan watikah perlantikan imam dan bilal serta jurunikah kepada penjawat berkenaan dari daerah Besut.

Selepas soat Jumaat Baginda bersama pemimpin kerajaan negeri menyartai majis makan tengahari bersama lebih 1,000 jemaah yang hadir mengerjakan solat di masjid berkenaan.

Masjid Ulul Albab berharga RM12 juta dibina pada 2009 dan mampu menampung 1,500 jemaah mula digunakan pada 4 Julai 2011.

Masjid berkenaan dianggap unik kerana pembinaanya menggunakan kayu cengal dan mempunyai reka bentuk menarik berasaskan seni bina ketukanan Melayu yang diadun dengan cirri-ciri Islam kelasik.

Terletak dikawasan strategik antara laluan utama Jertih Kota Bharu dan Kuala Terengganu ia kini menjadi mercu tanda baru kepada perkembangan syiar Islam di daerah Besut.

Teganukita

PM Dijangka Umum Keputusan SBPA 12 Mac Depan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyerahkan borang kepada seorang daripada penerima pangsapuri pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pangsapuri Rakyat, Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka hari ini. Seramai 336 diberi surat tawaran untuk membeli unit kediaman berkenaan pada harga RM35,000. Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kiri).

Datuk SerPerdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan keputusan kerajaan berhubung isu skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada perhimpunan yang dianjurkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada 12 Mac depan.

"Tunggulah masa, kalau saya umum hari ini tak jadi (tidak seronok), tak ada surprise (kejutan).

"Mungkin tunggulah bila kita ada majlis, CUEPACS setuju untuk mengatur satu perhimpunan besar-besaran di mana dalam perhimpunan itu nanti saya akan menyampaikan keputusan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di bandar Melaka semalam.

Sementara itu, Najib berkata mesyuarat yang diadakan dengan CUEPACS semalam berlangsung dalam suasana baik dan mereka (CUEPACS) bersikap positif dalam isu penyelesaian SBPA.

Pada Khamis, Najib mengadakan pertemuan dengan Cuepacs selama 45 minit dengan sembilan pemimpin tertinggi CUEPACS yang turut disertai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan di Pejabat Perdana Menteri.

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman pada pertemuan itu dilaporkan berkata pihaknya akan mengadakan perhimpunan besar-besaran yang mengumpul 15,000 penjawat awam di Bukit Jalil pada 12 Mac depan yang dijangka dihadiri Perdana Menteri.

Tindakan EXCO Kedah Pelantikan Semula Tanda Keretakan

Tindakan sekurang-sekurangnya dua EXCO kerajaan negeri Kedah menolak pelantikan semula menunjukkan tanda-tanda keretakan dalam pimpinan kerajaan negeri Kedah yang diterajui PAS.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata beliau yakin akan berlaku perpecahan dalam pimpinan kerajaan Kedah rentetan kontroversi beberapa EXCO kerajaan negeri yang dikatakan menolak jawatan.

"Dah mula retak, lama-lama relai (pecah). Ini sesuatu yang serius. Tak pernah berlaku dalam sejarah exco tolak jawatan. Kita tunggu kejutan 28 Februari ini (majlis pelantikan SXCO bagi 2012)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 bagi Parlimen Sungai Petani di Tikam Batu dekat Sungai Petani semalam.

Beliau mengulas khabar angin bahawa dua EXCO Kedah menulis surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu yang dijadualkan diumumkan Selasa ini.

Dua EXCO yang disebut-sebut berbuat demikian adalah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Dr Ismail Salleh, yang dipercayai kerana kecewa dengan sikap dan kepemimpinan Azizan, yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini.

Kedua-duanya tidak mengesahkan atau menafikan khabar angin itu dan hanya menyerahkan perkara itu kepada Azizan.

Ahmad Bashah berkata, rakyat negeri ini sudah mula nampak akan masalah dalaman yang berlaku kepada kepimpinan PAS negeri ini khususnya wujud perebutan kuasa sesama sendiri.

"Sepanjang tempoh dekat empat tahun PAS memerintah negeri ini tidak ada sebarang pembangunan yang berlaku sebab yang ada kita lihat sekarang perebutan kuasa dalaman dan rakyat pun dah nampak perbalahan tersebut," katanya.

Di YAN, Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata desas-desus bahawa dua EXCO kerajaan negeri Kedah akan digugurkan selain menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu, adalah satu kecelaruan dan kekalutan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, oleh kerana ini adalah barisan yang menerajui negeri Kedah, ia bukan hanya dalam konteks politik semata-mata tetapi seluruh rakyat Kedah seharusnya merasa bimbang dengan situsi ini.

"Kita rasa bimbang perkembangan ini akan memberikan keadaan yang tidak meyakinkan daripada teraju pimpinan menteri besar sampai ahli EXCO. Jadi kalau barisan EXCO kali ini tak menentu...

"Dah ada yang mengatakan tak nak komen langsung hari nak angkat sumpah dan sebagainya, jadi saya merasakan satu keadaan yang membimbangkan pentadbiran negeri Kedah dan yang akan rugi nanti rakyat negeri Kedah itu sendiri," katanya pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Dulang Kecil.

Jamil Khir berkata, keadaan ini harus ditangani segera agar pentadbiran kerajaan negeri Kedah tidak dalam keadaan berteka-teki.

Majlis pelantikan ahli EXCO kerajaan negeri Kedah bagi 2012 akan diadakan pada Selasa ini di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Johor FC Gantung Enam Pemain Skuad Piala Presiden

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff mengesahkan pihaknya menerima satu laporan mengenai kes mengatur perlawanan di Johor dan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor untuk mengambil tindakan.

"Polis menyerahkan kes berkenaan kepada SPRM Johor untuk tindakan susulan dan pada masa sama polis sedang mengenal pasti dalang yang terlibat dalam kegiatan itu. Kita akan cekup mereka secepat mungkin," katanya.

Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani turut mengesahkan menerima laporan itu dan pihaknya akan menyiasat mengikut Akta SPRM 2009 untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur rasuah atau tidak.

Semalam, enam pemain skuad Piala Presiden Johor FC digantung serta-merta selepas kelab itu mendapati terdapat unsur mengatur perlawanan pada pertemuan menentang Perlis di Stadium Pasir Gudang Khamis lalu.

Perlawanan tersebut menyaksikan pasukan itu berjaya membenam Perlis 3-0, satu-satunya kemenangan selepas tewas kepada Perak (0-2), Angkatan Tentera Malaysia (0-1) dan Majlis Perbandaran Muar (0-1).

Skuad Piala Presiden itu kemudiannya tewas sekali lagi menentang Terengganu 1-3 selepas mencatat kemenangan ke atas Perlis.

Setiausaha Johor FC, Tahir Hamdan berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan bagi menunjukkan ketegasan itu, kesemua pemain terbabit kini digantung tanpa gaji sehingga siasatan polis selesai.

"Perkara ini memang serius dan disebabkan itu kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih drastik terhadap pemain berkenaan jika didapati melanggar undang-undang," katanya diJohor Bahru, semalam.

Johor FC menjadi satu-satunya pasukan berstatus kelab yang pernah muncul juara Piala Presiden pada 2009.

Difahamkan, pihak pengurusan skuad Piala Presiden bertindak merampas telefon bimbit pemain selepas perlawanan menentang Perlis dan mendapati terdapat unsur mengatur perlawanan serta satu laporan polis dibuat selepas itu.

Anuar Ketuai Cabaran Anak Tempatan ke LTdL 2012

Pelumba yang membawa cabaran untuk pasukan Malaysia.

Melihat kepada senarai pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, sebanyak 14 daripada 132 pelumba adalah anak tempatan yang bakal membawa cabaran baik untuk pasukan kebangsaan mahupun profesional.

Mengetuai senarai pelumba tempatan, ialah bekas Raja Pecut LTdL 2010, Anuar Manan bersama pasukan pro benua, Champion System dan pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu bercita-cita untuk merampas semula jersi biru yang dimenangi oleh Andrea Guardini (Farnese Vini).

"Saya akan menyasarkan perlumbaan di laluan landai terutama sekali apabila perlumbaan ini memasuki Terengganu pada tiga peringkat terakhir nanti. Saya mahu menggunakan peluang yang ada sebagai anak kelahiran Terengganu sekali gus menghadiahkan kemenangan di hadapan rakyat Terengganu," katanya.

Turut bersama Anuar dalam pasukan Champion System ialah seorang lagi pelumba kelahiran Terengganu, Mohamad Adiq Husainie Othman yang juga pemenang pingat perak bagi acara lebuh raya bawah 23 tahun Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 minggu lepas.

Seorang lagi pelumba negara, Ng Yong Li bakal membantu pasukannya Azad University Cross Team dalam perlumbaan edisi ke-17 ini, manakala Loh Sea Keong pula bakal membuat kemunculan sulung bersama pasukan OCBC Singapura.

Tumpuan juga terarah kepada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) yang hadir pada tahun kedua berturut-turut dengan menyenaraikan empat pelumba kelahiran negeri tersebut Mohd. Harrif Salleh, Zamri Salleh, Mohd. Shahrul Mat Amin dan Mohammad Saufi Mat Senan.

TSG dilihat serius untuk memenangi jersi biru, selepas Harrif yang bertindak sebagai pembantu kepada Anuar tahun lalu, dinaikkan pangkat menjadi pelumba pecut utama dan bakal dibantu pelumba berpengalaman dari Jepun, Shinichi Fukushima.

Tidak diletakkan harapan tinggi, namun semangat pasukan kebangsaan tidak boleh diperkecilkan begitu sahaja, kehadiran pelumba berpengalaman seperti Suhardi Hassan, Ahmad Fallanie Ali, Amir Mustafa Rusli, Mohd. Nur Rizuan Zainal, Muhammad Rauf Nur Misbah dan Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi bakal memberi cabaran sengit kepada pelumba lain.

Kecuali Ahmad Fallanie dan Mohd. Fauzan, pelumba lain adalah muka lama dan menjadi taruhan jurulatih, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan yang menganggap persiapan anak buahnya semakin mantap dari masa ke semasa.

"Kita cuba untuk memperbaiki kedudukan tahun lepas, dengan mengharapkan Suhardi dan Rizuan mampu menyerlah di zon pecutan manakala Fauzan akan cuba untuk menyerlah di zon pendakian manakala pelumba lain bertindak sebagai pelumba domestik," katanya di ACC baru-baru ini.

Saya Tetap Cinta Walau Dia Jahat

“Biarpun dia jadi buruan polis dan seorang pe­nge­dar dadah, saya tetap menyintainya malah sanggup jadi isteri jika dia sudi terima saya.”

Demikian luah seorang penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA), di sini ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Lebih mengejutkan apabila penuntut tahun pertama jurusan teknologi maklumat itu sanggup kahwin lari sekiranya ibu bapanya menghalang.

“Buat masa ini ibu bapa saya tidak mengetahui mengenai hubungan kami, namun saya akan maklumkan kepada mereka apabila tiba masanya kelak,” katanya.

Kata penuntut yang hanya mahu dikenal sebagai Dila ini, dia tidak kesal menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki terbabit biarpun tahu jenayah yang dilakukan.

Gadis berasal dari Temerloh, Pahang itu juga mengakui, sebelum ini dia tidak tahu bahawa teman lelakinya seorang kaki dadah sehinggalah dihubungi polis kerana komputer riba miliknya berada dalam simpanan lelaki berkenaan.

Dila memberitahu, dia dihubungi polis setelah teman lelakinya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan di sebuah rumah dekat Jalan Bunga Raya.

“Saya kenal dia dua bulan lalu, kami berkenalan di sebuah kedai makan dan mula bertukar nombor telefon.

“Sejak itu kami makin rapat dan sering bertemu,” katanya yang hadir di balai polis untuk menuntut komputer riba miliknya,

Dila berkata, biarpun tahu teman lelaki itu bakal dihadapkan ke mahkamah, cintanya tetap tidak berubah.

“Biarpun baru tahu jenayah yang dilakukan tetapi saya tetap tidak dapat melupakannya,” katanya.

Demi cinta, dia sanggup menunggup teman lelakinya itu menjalani hukuman asalkan dapat menjadi suri dalam hidup suspek.

Buat masa ini, kata Dila, dia merahsiakan hubungan mereka kerana dia masih belum habis belajar manakala teman lelakinya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Suspek, 21, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik setelah mendapati remaja yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu disyaki menjadi dalang utama membekalkan dadah jenis pil kuda kepada penagih tempatan.

Penemuan 10 biji pil kemerahan disyaki dadah jenis methamphethamine dalam poket seluar suspek menguatkan dakwaan dia terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut selain turut menasihati golongan remaja agar lebih berhati-hati jika ada hubungan cinta dengan lelaki tidak dikenali untuk mengelakkan diri terbabit dengan perkara menyalahi undang-undang.

Mangsa Cam Kereta Peragut

Kelicikan dua lelaki yang menjadi buruan polis kerana aktif menjalankan kegiatan ragut menggunakan kereta sewa berakhir apabila mereka ditahan dalam dua tangkapan berasingan di bandar Cukai, kelmarin.

Kedua-dua penjenayah berusia 24 tahun itu ditahan selepas mangsa ragut dua lelaki terbabit mengecam nombor pendaftaran dan kenderaan suspek dalam kejadian di Jalan Enjin Gergaji, Chukai, Selasa lalu.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 7.15 petang itu, mangsa seorang wanita berusia 25 tahun dan bekerja sebagai pembantu jualan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Mak Cili, di sini, dengan menunggang motosikal.

Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dihimpit Perodua Viva berwarna hijau sebelum seorang suspek meragut beg tangan mangsa di dalam raga motosikal.

Dedah Kes Rasuah Bola Sepak : Menteri

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, mahu lebih banyak kes berkaitan rasuah dan mengatur perlawanan bola sepak didedahkan bagi membendung kegiatan itu.

"Ini (rasuah) boleh menghancurkan industri bola sepak itu sendiri. Saya harap lebih banyak pendedahan dibuat dan apa yang penting keyakinan orang ramai terhadap bola sepak negara tidak luntur," katanya selepas merasmikan majlis prapelancaran Ekspo Industri Sukan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai penggantungan enam pemain skuad Pila Presiden Johor FC yang disyaki terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Ahmad Shabery yang mengakui terkejut dengan laporan itu, turut memuji tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat kes berkenaan selain bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Enam pemain Johor FC digantung serta merta semalam selepas kelab itu mendapati terdapat unsur mengatur perlawanan pada pertemuan mereka menentang Perlis di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru Khamis lalu.

Perlawanan itu menyaksikan Johor FC menewaskan Perlis 3-0, satu-satunya kemenangan selepas mereka tewas kepada Perak 0-2, Angkatan Tentera Malaysia 0-1 dan Majlis Perbandaran Muar 0-1.

Skuad itu tewas sekali lagi ketika menentang Terengganu 1-3 selepas mencatat kemenangan ke atas Perlis.

Friday, February 24, 2012

12 Mac Berita Gembira Untuk Penjawat Awam?

Penjawat awam di Terengganu juga tidak terkecuali akan menikmati SBPA yang dijangka akan diumumkan Perdana Menteri tidak lama lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan 45 minit dengan Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

"Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam," katanya kepada pemberita tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.

Omar berkata Cuepacs sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan mendengar cadangan demi kebaikan penjawat awam.

"Pertemuan hari ini (semalam) menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA," katanya.

Omar berkata Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac depan

TatiUC Mahu Lahir Tenaga Mahir Ganti Amah Warga Asing

Kolej Universiti Tati (TATiUC) sedang menyediakan modul khas untuk melatih tenaga mahir dalam bidang pengurusan rumahtangga bagi mengurangkan kebergantungan rakyat Malaysia terhadap khidmat pembantu rumah dari negara asing.

Rektor TATiUC, Dr. Mohamad Rozailan Mamat berkata, modul khas itu dirangka setelah mendapat permintaan daripada Kementerian Sumber Manusia yang memberi fokus terhadap aspek teknikal dan keselamatan dalam rumah kepada pelajar.

"TATiUC bertanggungjawab untuk melatih dan membekalkan tenaga mahir anak tempatan untuk menjadi Pengurus Rumah yang dijangka menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dalam membantu mereka melakukan rutin harian seperti menggosok dan membasuh pakaian serta mengemas rumah.

"Sehingga kini, kita menerima permohonan yang sangat menggalakkan, terutama dari sekitar Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian sijil kepada 170 pelajar TATIUC bagi sesi 2009-2011 di Kemaman semalam.

Dengan wujudnya skim latihan itu, Malaysia akan mempunyai tenaga mahir yang terlatih dalam bidang pengurusan rumahtangga, sekaligus mengurangkan pengambilan pekerja asing.

Anuar Sasar Jersi Hijau Dan Menang Podium Di Terengganu

Pelumba negara Anuar Manan berazam mahu merebut gelaran Raja Pecut (Jersi Hijau) serta memenangi salah satu daripada 10 peringkat perlumbaan pada saingan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, yang membuka tirainya hari ini.

Pada edisi ke-17 LtdL tahun ini, pelumba berusia 25 tahun dari Kuala Ibai, Terengganu itu, akan mewakili pasukan Champion System yang berpangkalan di Hong Kong.

Selain Anuar, turut sama dalam pasukan itu ialah pemenang pingat perak kategori bawah 23 tahun Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 di sini minggu lepas, Adiq Hussainie Othman.

"Buat masa sekarang, saya berada dalam tahap kecergasan yang tinggi. Saya mempunyai pasukan yang bagus dan saya akan gunakan peluang ini untuk mencipta kejayaan.

"Saya sasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu peringkat perlumbaan dan kalau boleh saya mahu meraih Jersi Hijau (Raja Pecut)," katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan pasukan yang bertanding pada LTdL ke-17 di Dataran Merdeka, di Kuala Lumpur, semalam.

Thursday, February 23, 2012

Gas Malaysia Meterai Perjanjian Bekalan Gas Baharu Dengan Petronas

Gas Malaysia Bhd memeterai Perjanjian Bekalan Gas baharu dengan Petroliam Nasionl Bhd (Petronas) hari ini bagi bekalan sehingga 534,143 Gigajoules (bersamaan dengan 492 juta kaki padu standard sehari (MMScfd)) gas asli.

Gas Malaysia dalam satu kenyataan berkata tenur perjanjian itu adalah bagi tempoh 10 tahun dari 1 Jan, 2013 hingga 31 Dis, 2022, dengan pilihan lanjutan lima tahun lagi, tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Perjanjian itu dimeterai oleh naib presiden Prasarana dan Utiliti Petronas Pramod Kumar Karunakaran dan pengerusi Gas Malaysia Datuk Hamzah Bakar.

Perjanjian bekalan gas baharu akan menggantikan perjanjian sedia ada yang berakhir pada 31 Dis, 2012 bagi jumlah bekalan gas 382 MMScfd, kata Gas Malaysia.

Kontrak itu bertujuan menyediakan jaminan bekalan jangka panjang gas asli kepada pelanggan sedia ada Gas Malaysia, manakala tambahan 110 MMScfd akan membolehkan ia mengembangkan bekalan kepada pelanggan baharu.

Ia dijangka memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan Gas Malaysia di masa hadapan.

Buku Wadah Penting Bentuk Kebebasan Berfikir

Masyarakat hari ini mempunyai banyak altenatif untuk perolehan maklumat dan ilmu pengetahuan termasuk menerusi buku elektronik dan artikel jurnal antarabangsa yang boleh dicapai melalui internet.

Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata tidak dinafikan dengan hanya melayari internet pelbagai maklumat yang dikehendaki boleh didapati tapi dalam masa sama buku masih memainkan peranan penting dalam kehidupan ketika ini.

Menteri Besar berkata demikian di majlis perasmian Pesta Buku Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Buku, Dattuk Wan Ahamad Wan Muda dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.

Katanya, senario ini jelas menunjukkan corak pembacaan masyarakat tidak lagi tertumpu kepada buku semata-mata namun dengan membaca juga ilmu dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan membentuk generasi berketrampilan.

Tambahnya, sejak lebih dua dekad, peranan buku diangkat sebagai wadah penting membentuk kebebasan manusia berfikir dan telah menjadi senjata yang ampuh dalam mengangkat martabat manusia ke tahap lebih tinggi.

“Buku umpama senjata rahsia yang membantu kita sukses dalam semua urusan sama ada dalam meningkatkan perniagaan, kejayaan politik, mempengaruhi organisasi, membina keluarga bahagia serta mencipta kejayaan dan mengenali keupayaan diri,” katanya.

Sehubungan itu, amalan membaca dapat mengasah fikiran supaya bercambah serta mempunyai imaginasi tinggi berdasarkan buku yang dibaca manakala orang yang kurang membaca akan ketinggalan dalam segala bidang.

Beliau mengharapkan, pesta buku dengan tema ‘Temanku Buku’ yang berlangsung selama seminggu bermula hari ini dapat memupuk budaya membaca dan membina masyarakat yang cintakan ilmu.

Bekas Banduan Rogol Adik Kandung Dipenjara 12 Tahun, Lima Sebatan

Seorang bekas banduan menggeletar ketika membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan merogol dan mengugut adik kandungnya dengan pedang, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Wan Fadilah Nor Wan Idris di Kuala Terengganu, semalam.

Tertuduh yang melakukan kesalahan sumbang mahram itu selepas dua hari dibebaskan daripada penjara akibat kesalahan dadah, kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan bagi kedua-dua kesalahan itu.

Dia dihukum penjara 11 tahun dan lima sebatan bagi kesalahan merogol dan penjara setahun bagi kesalahan mengugut tetapi perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan selepas Hakim Wan Fadilah Nor memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berturutan.

Terdahulu, tertuduh yang berumur 37 tahun hanya tunduk dan mengangguk faham ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadilah Nor. Dalam keadaan menggeletar, dia kemudiannya mengaku salah.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazlyza Mohd Nazri

Denggi: Satu Lagi Kematian Dilapor Bagi Tempoh 12 Hingga 18 Feb

Lapan negeri menunjukkan kadar pembiakan Aedes melebihi satu peratus iaitu Terengganu, Perlis, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Johor.

Sementara itu, satu lagi kematian akibat demam denggi dilapor di Selangor bagi tempoh 12 hingga 18 Feb, membabitkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan pada Khamis berkata hasil pemeriksaan di kediaman pesakit mendapati kadar pembiakan Aedes adalah tinggi iaitu 5.8 peratus.

Dalam tempoh itu juga sejumlah 585 kes dicatat dengan peningkatan sebanyak 72 kes berbanding minggu sebelumnya.

Sembilan negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya dengan Selangor mencatat kes paling tinggi iaitu 44 kes, diikuti Kelantan 41 kes, Sarawak (12 kes), Pahang (enam), Johor (empat), Melaka (tiga), Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing dua kes dan Pulau Pinang mencatat satu kes.

Jumlah lokaliti juga meningkat iaitu daripada 116 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 126 lokaliti, dua lokaliti 'panas' dikenalpasti di Kuala Lumpur iaitu di Taman Miharja (Miharja Kondo Fasa 3) dan Flat Sri Melaka B (Blok 24-40) di Bandar Tun Razak, Cheras.

Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 78,570 premis telah diperiksa dengan 1,083 premis didapati mempunyai pembiakan Aedes.

Cuepacs Tuntut Kenaikan Gaji RM700-RM2500 Untuk Gred 1 Hingga Gred 54

Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Beliau berkata tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).

"Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA semalam.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred.

"Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar tunggakan sebanyak RM500," katanya.

Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.

"Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji. "Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji, sia-sia sahajalah usaha mereka," katanya.

Omar berkata tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA.

"Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan," katanya.

Beliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan disalurkan kepada gred bawahan.

"Jika tidak boleh juga...apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru," katanya.

Sultan Mizan Lawat Besut Lusa & Sabtu

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin akan berangkat merasmikan Desa Ukiran Kayu (DKU) di Kampung Raja, Jumaat ini dalam rangka lawatan baginda selama dua hari ke daerah ini.

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dalam satu kenyataan memberitahu, baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah akan berangkat ke majlis perasmian pada pagi hari itu.

DKU yang ditubuhkan oleh YPU dan diselia oleh Terengganu International Design Excellence Sdn. Bhd. (TIDE) merupakan institusi yang menawarkan pengajian berteraskan pendidikan vokasional dan keusahawanan ukiran kayu.

Penubuhannya di daerah yang terkenal dengan pengukir ternama bertujuan menyuburkan seni ukiran kayu dengan kemunculan lebih ramai anak tempatan mewarisi kemahiran dan mampu diketengahkan sebagai usahawan.

Selepas upacara tersebut, baginda akan berangkat menunaikan solat Jumaat dan merasmikan Masjid Kayu Seberang Jerteh iaitu salah satu masjid seni bina Melayu yang terindah di negara ini.

Pada pukul 3.45 petang hari sama, baginda berdua akan menghadiri majlis jamuan teh bersama rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah di Limbongan.

Pada hari Sabtu, baginda akan berangkat ke majlis taklimat mengenai pembangunan daerah di Pejabat Daerah Besut.

UMT Perlu RM100 Juta Bangunkan Kampus Di Bukit Kor

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memerlukan dana RM100 juta untuk membangunkan kampus cawangan UMT di Bukit Kor, Marang.

Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Aziz Deraman berkata kerajaan negeri Terengganu meluluskan kawasan seluas 240 hektar kepada UMT untuk membina kampus cawangan di situ.

Beliau berkata kampus di Bukit Kor itu khusus untuk kajian berbentuk pertanian dan sekaligus dijangka akan menarik perhatian industri untuk menjalankan penyelidikan di situ.

Aziz berkata UMT akan menyesuaikan bentuk kurikulum supaya pelajar-pelajar agroteknologi dapat menjalani latihan praktikal, memulakan projek dan sebagainya yang ada kaitan langsung dengan industri.

Beliau berkata oleh kerana pelajar-pelajar UMT sekarang ini tinggal di asrama UMT Gong Badak, besar kemungkinan asrama pelajar akan dibina di kampus Bukit Kor untuk kemudahan pelajar-pelajar.

YPU Sedia Skim Pinjaman Galak Usahawan Baru

Bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) terutama dalam aspek penyediaan skim pembiayaan dan pinjaman mampu menggalakkan penglibatan Bumiputera dalam bidang keusahawanan.

Sehingga kini, RM11.11 juta sudah dibelanjakan bagi melaksanakan skim berkenaan yang memberi manfaat kepada 1,915 usahawan seluruh Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik, berkata skim pembiayaan yang disediakan YPU merangkumi Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF), Skim Pinjaman Kecil (SPK), Skim Sahabat Penjaja Melayu (SSPM) dan Skim Khusus yang melibatkan Skim Pinjaman Flagship serta Skim Pinjaman Bas Henti-Henti.

Katanya, SPTF mula dilaksanakan sejak Mac 2000 menyediakan pembiayaan berasaskan dua prinsip utama, iaitu Al-Murabahah dan Al-Ijarah yang berjumlah RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga 48 bulan.

Manakala SPK merupakan salah satu kemudahan untuk membantu usahawan tempatan memperkembangkan lagi perniagaannya dengan pembiayaan sehingga RM 5,000 berasaskan prinsip Al-Qardh Al-Hasan.

“Skim Sahabat Penjaja Melayu pula menyalurkan pinjaman modal tambahan kepada penjaja dan peniaga kecil Melayu di Terengganu sehingga RM2,000 yang juga menggunakan prinsip Al-Qardh Al-Hasan serta mengambil tempoh bayaran balik 15 bulan,” katanya.

Selain itu, Skim Bantuan Pembangunan Produk juga disediakan bagi membantu usahawan tempatan untuk meningkatkan kualiti serta pasaran usahawan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan supaya lebih berdaya saing dan setanding di pasaran tempatan mahupun di pasaran global.

Malah, SBPP juga boleh membantu dari aspek meringankan kos penyediaan dan peningkatan kualiti produk.

Dalam pada itu, bukan hanya kerajaan negeri,Kerajaan Pusat turut menyediakan peluang itu kepada usahawan yang baru mahu berjinak dalam perniagaan.

Sebagai alternatif, mereka juga digalakkan mendapat bantuan daripada Skim Dana Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana patuh syariah yang diwujudkan pada tahun ini serta dikendalikan bank-bank Islam terpilih seperti yang diumumkan dalam Bajet Negara 2012 baru-baru ini.

Petugas Media Boleh Mohon Jadi Pengundi Pos

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bersetuju menimbang permohonan para petugas media yang berhasrat untuk mengundi secara pos pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil media cetak dan elektronik sebagai susulan kepada cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambaikan Proses Pilihan Raya (PSC), mengenai undi pos buat kumpulan wartawan.

Beliau berkata, sebagai kesimpulannya, SPR bersetuju bahawa kumpulan petugas media memerlukan kemudahan sebagai pengundi pos, untuk memberi peluang kepada mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Yang disyorkan oleh jawatankuasa itu ialah kumpulan wartawan, tapi istilah wartawan itu dirasakan terlalu sempit, petugas media lebih tepat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil media untuk berbincang mengenai perkara itu di pejabat SPR di Putrajaya.

"SPR bersetuju, petugas media ini, di bawah Peraturan 3(1)(f)(pengundian pos) 2003, boleh memohon kepada pegawai pengurus pilihan raya di mana dia mendaftar sebagai pengundi (untuk mengundi secara pos), pegawai inilah yang akan menimbang dan mengurus permohonan mereka nanti,” tambahnya.

Suntikan HPV Kawal Kanser Pangkal Rahim

Seramai 10,981 atau 99.3 peratus remaja perempuan daripada jumlah keseluruhan 11,063 orang telah menerima suntikan pelalian Human Papillomavirus (HPV) di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Manakala tahun sebelumnya (2010) seramai 11,077 remaja atau 98.7 peratus telah menerima suntikan setelah diberi kebenaran oleh ibu bapa masing-masing daripada jumlah sebenar 11,222 orang.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman berkata, program imunisasi Kementerian Kesihatan ini mula diperkenalkan pada 2010 bertujuan mencegah penyakit kanser serviks dan pangkal rahim dalam kalangan wanita.

“Pelalian ini diberikan sebanyak tiga kali iaitu kali pertama, diikuti suntikan kedua sebulan selepas itu dan ketiag dalam tempoh enam bulan selepas dos pertama,” katanya di majlis sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri di Dewan Sekolah Menengah Tengku Ibrahim Setiu, semalam.

Sehubungan itu beliau meminta ibu bapa atau penjaga remaja perempuan yang belum menerima suntikan supaya membawa anak masing-masing ke klinik kesihatan seluruh negeri.

Katanya, pelalian di peringkat awal dapat mencegah penyakit kanser serviks dan pangkal rahim yang banyak menyerang golongan wanita.

Menurut Dr. Anwa, sebanyak 16 kes dikesan mengidap penyakit itu pada 2010 berbanding 24 orang pada 2009.

Beliau menasihatkan mana-mana wanita yang mempunyai tanda-tanda awal mengenai penyakit kanser pangkal rahim segera mendapatkan rawatan di hospital kerana penyakit dapat dikawal jika berada peringkal awal.

Proton, Yes Tawar Akses Internet 4G Dalam Kereta Pertama Malaysia

Model Jessy Ong menunjukkan modem internet 4G Yes yang dipasang di dalam kereta keluaran terbaru Proton P3-21A.

Proton Holdings dan Yes, penyedia rangkaian 4G di bawah YTL Communications Sdn Bhd, hari ini mengumumkan kerjasama untuk menawarkan akses internet 4G dalam kereta yang pertama di Malaysia dalam kereta-kereta mewah dan sedan baharu P3-21A Proton yang akan dilancarkan bulan depan.

Dalam kerjasama itu, para pengguna Proton akan menikmati saling hubung 4G sebagai ciri standard tambah nilai yang baharu. Ia akan memanfaatkan rangkaian internet mudah alih 4G Yes yang pada masa ini meliputi lebih 65 peratus daripada kawasan berpenduduk negara.

Pengarah urusan kumpulan Proton, Datuk Seri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata inovasi ini, usaha pertama dalam langkah penjenamaan semula Proton, membuka kemungkinan spektrum baharu dan menawarkan para pengguna dengan kelajuan, keselesaan dan produktiviti yang lebih hebat ketika berada di jalan raya.

"Kami bekerjasama dengan YTL selama setahun dan menandatangani perjanjian tahun lalu. Hari ini, ia cuma satu langkah kecil. Selepas ini, kami akan bekerjasama untuk mengintegrasikan lebih banyak ciri untuk diletakkan di dalam kereta," kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran majlis itu di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata inisiatif ini akan menjadikan jenama Proton lebih menarik dan menambah pendapatan kepada syarikat. Kos yang terlibat dalam kereta internet 4G Proton baharu adalah amat minimal kepada para pengguna kerana tujuan utama ialah menyediakan mereka kereta yang berkualiti dan mampu milik, kata Syed Zainal sambil menyatakan Proton berunding mendapatkan pakej yang baik dengan YTL.

Yes merupakan satu-satu pengendali rangkaian tanpa wayar di Malaysia yang menawarkan saling hubung 4G tanpa sempadan sepanjang 960km Lebuh Raya Utara-Selatan dan sebahagian besar Lebuh Raya Pantai Timur.

Sebanyak lima peranti mudah alih boleh dihubungkan ke rangkaian tanpa wayar mikro kereta pada masa yang sama.

Dana Khas RM50 Juta Untuk Usahawan Kecil Dinamik

Kerajaan menyediakan dana khas berjumlah RM50 juta bagi melaksanakan program usahawan kecil (UK) dinamik yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 usahawan dan penjaja kecil di seluruh negara.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penyaluran dana khas tersebut diyakini dapat melahirkan usahawan dan penjaja kecil berwibawa dan berjaya.

"UK Dinamik merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penjaja dan peniaga kecil,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar UK Dinamik Mara Terengganu semalam.

Turut hadir Pengarah Mara negeri Abdullah Mohamad.

Idris berkata, program UK Dinamik juga adalah salah satu mekanisme Mara untuk mencipta kekayaan Bumiputera dan golongan usahawan kecil perlu mempunyai iltizam untuk memajukan perniagaan mereka sendiri.

Wednesday, February 22, 2012

Polis Tubuh Pasukan Khas Banteras Bookie Bola Sepak

Polis menubuhkan pasukan khas di setiap negeri dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membanteras aktiviti 'bookie' bola sepak yang semakin berleluasa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata kerjasama dengan badan induk bola sepak negara itu perlu kerana FAM lebih memahami tindak tanduk serta prestasi pemain bola sepak.

"Malahan FAM mampu memantau dengan lebih telus sekiranya terdapat pemain yang mempunyai cara hidup lebih mewah daripada sepatutnya," katanya ketika ditemui pemberita, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai gejala rasuah dalam bola sepak negara apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beberapa pemain bola sepak Liga Perdana Perlis untuk membantu siasatan berhubung dakwaan tawaran rasuah membabitkan pasukan itu yang kalah 2-7 di tangan MP Muar pada 9 Januari lalu.

Abdul Jalil berkata, FAM yang juga panel Jawatankuasa Rasuah dan Disiplin SPRM, dapat memberikan polis lebih maklumat terperinci mengenai kegiatan bookie daripada terus menjadi penyakit dalam industri sukan negara.

Polis Terengganu Buru 4 Penyamun Bersenjata

Polis Terengganu masih menyiasat identiti sekumpulan penyamun bersenjata yang menyebabkan seorang peniaga kerugian kira-kira RM80,000 di sebuah rumah kedai di Kampung Gemuruh, Tepoh, Kuala Terengganu Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, pihaknya telah memperolehi beberapa petunjuk awal berhubung penyamun itu.

Katanya, pihak polis juga sedang giat memburu kesemua suspek yang dipercayai warga Indonesia berdasarkan dialek percakapan sebagaimana menurut laporan polis oleh mangsa.

"Kita masih lagi mencari dan menyiasat identiti kesemua suspek.

"Kita percaya kes ini pasti akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat setelah semua bukti berjaya dikumpul,” katanya kepada pemberita di Setiu.

Kes Denggi di Terengganu Menurun 14.8 Peratus

Bebanan penyakit semasa berkaitan denggi berlaku penurunan sebanyak 14.8 peratus pada lima minggu pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A.Rahman Mokhtar berkata, pada minggu pertama awal tahun ia meningkat sehingga 46 kes berbanding sasaran yang ditetapkan tidak melebih 16 kes seminggu.

“Namun ia berjaya dikurangkan melalui langkah pencegahan termasuk mengadakan pemeriksaan lebih kerap terhadap premis perniagaan terutama di pusat bandar,” katanya.

Menurutnya, daripada 16,954 premis yang diperiksa sebanyak 132 didapati positif (08 peratus) dan daripada jumlah berkenaan 31 kompaun telah dikeluarkan.

Selain itu katanya, pelbagai usaha dilakukan oleh Jabatan Kesihatan negeri termasuk meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan kawalan serta pencegahan bagi memastikan masalah ini dapat ditangani.

Beliau menasihatkan orang ramai dan pemilik kedai makan memberi keutamaan terhadap kebersihan dan elak memasuki premis yang tidak mengamalkan kebersihan.

Dalam perkembangan lain katanya, negeri ini tidak ketinggalan jauh dari segi kualiti perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang ditawarkan dari negeri lain yang lebih maju.

“Kita telah ada pakar perubatan yang mencukupi bagi memberi rawatan yang optimum kepada pesakit, malah peralatan canggih yang ada di hospital termasuk sumbangan kerajaan negeri mampu memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Nahas 'Superman' Bakar Diri Sendiri

Jenazah Ramli dibawa ke HSNZ untuk bedah siasat, malam kelmarin.

Tindakan seorang lelaki membakar diri gara-gara meniru aksi siri kartun Superman kira-kira 28 tahun lalu menjadi kenangan sukar dilupakan keluarga mangsa kemalangan maut di Kampung Kelulut, di Marang, malam kelmarin.

“Kejadian itu berlaku ketika arwah berusia 12 tahun dan terlalu meminati kartun Superman hingga terikut-ikut aksi superhero itu tanpa memikirkan kesan akibat perbuatan itu.

“Bermula tragedi itu, arwah yang melecur hampir keseluruhan badan enggan bersekolah kerana malu diejek rakan berikutan wajahnya yang melecur menyebabkan arwah menghadapi tekanan perasaan dan disahkan doktor sebagai pesakit jiwa,” kata Ismail Othman, 56, bapa kepada Ramli Ismail, 40, yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam.

Ismail berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya pada Januari lalu selepas arwah pulang ke rumahnya di Kampung Durian Burong, Kuala Terengganu.

Menurutnya, dia percaya arwah ketika itu melalui kawasan berkenaan dan singgah di rumahnya untuk meminta makanan sebelum keluar semula selepas selesai makan.

Pelajar Mohon PTPTN Perlu Buka Akaun SSPN Melalui Maybank, Bank Islam

Pelajar yang berhasrat memohon pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membiayai pengajian mereka di Politeknik, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta tahun ini perlu membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Maybank dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PTPTN hari ini, pembukaan akaun SSPN melalui bank lain hanya dibenarkan bagi mereka yang berhasrat memohon pembiayaan pendidikan itu selepas tahun 2012.

Kenyataan itu berkata bagi mereka yang telah mempunyai akaun SSPN, penambahan deposit boleh dibuat melalui semua saluran sedia ada seperti Maybank, Bank Simpanan Nasional, Agrobank, CIMB Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan kaunter PTPTN.

Bermula 1 Jan lepas PTPTN mewajibkan pembukaan akaun SSPN sebagai syarat kelayakan bagi individu yang ingin memohon pembiayaan pendidikan PTPTN.

Sebelum ini, bank terlibat yang menjadi agen PTPTN telah diminta menaiktaraf sistem pembukaan akaun SSPN bagi memastikan kelancaran proses pembukaan akaun itu.

Kenyataan itu berkata sehingga 31 Jan lepas hanya Maybank dan Bank Islam Malaysia Berhad berjaya menaik taraf sistem mereka.

Pekerja Syarikat Cari Gali Ditahan Edar Dadah

Polis berjaya mematahkan cubaan pengedaran dan penagihan dadah yang berselindung di sebalik bengkel membaiki kereta di Kampung Batu 24, di sini awal pagi tadi.

Serbuan kira-kira pukul 2 pagi tadi membawa penahanan kepada empat sahabat yang berumur antara 23 hingga 33 tahun yang bekerja di syarikat cari gali dan mekanik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, ASP Mohd. Rosli Mohd. Amir berkata, hasil serbuan polis menemui kira-kira 70 biji pil kemerahan dipercayai pil kuda dalam kotak rokok salah seorang suspek berkenaan.

"Semasa pemeriksaan dibuat suspek yang bekerja di sebuah syarikat cari gali ini bertindak menggenggam pil berkenaan yang diletakkan di dalam kotak rokok, katanya dalam satu sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd. Rosli berkata, pihaknya juga menemui 25 biji pil kuda yang bertaburan di atas lantai dan yang disembunyikan di dalam beberapa kotak rokok yang dicampak ke lantai

Bekas Banduan Rogol Adik Kandung Dipenjara 12 Tahun

Seorang bekas banduan menggeletar ketika membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan merogol dan mengugut adik kandungnya dengan pedang, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Wan Fadilah Nor Wan Idris di Kuala Terengganu, hari ini.

Tertuduh yang melakukan kesalahan sumbang mahram itu selepas dua hari dibebaskan daripada penjara akibat kesalahan dadah, kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan bagi kedua-dua kesalahan itu.

Dia dihukum penjara 11 tahun dan lima sebatan bagi kesalahan merogol dan penjara setahun bagi kesalahan mengugut tetapi perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan selepas Hakim Wan Fadilah Nor memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berturutan.

Terdahulu, tertuduh yang berumur 37 tahun hanya tunduk dan mengangguk faham ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadilah Nor. Dalam keadaan menggeletar, dia kemudiannya mengaku salah.

Dia didakwa telah secara paksa merogol adik perempuannya yang berumur 24 tahun di belakang sebuah rumah di Kuala Besut pada 10.30 malam, 10 Feb lalu mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 puluh tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah mengugut mangsa dengan sebilah pedang dengan tujuan menakutkan mangsa supaya tidak membuat laporan polis bersabit kejadian itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazlyza Mohd Nazri

Tak Perlu Bai'ah, Manusia Hanya Tunduk Kepada Allah - Dr M

Tun Dr. Mahathir melambai-lambaikan tangan kepada pelajar-pelajar UiTM yang mengucapkan selamat jalan kepadanya selepas program Syarahan Perdana Transformasi Minda Penyelidik Muda di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM.

Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan langkah Pas yang mahu mewajibkan calonnya, yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13, mengambil sumpah bai'ah atas alasan ia seolah-olah menunjukkan ahli-ahlinya tunduk kepada pemimpin mereka.

Bekas Perdana Menteri berkata, manusia sepatutnya hanya tunduk kepada ALLAH dan bukan kepada sesama manusia.

Beliau yang juga bekas Presiden Umno memberitahu bahawa pemimpin-pemimpin Pas juga merupakan manusia biasa, bukannya Nabi atau raja.

"Dia orang (pemimpin Pas) hanya manusia biasa. Bukan Nabi, bukan raja. Tak perlu bai'ah ini," katanya pada sidang media selepas memberi syarahan perdana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam hari ini.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, setiap calon yang bertanding dalam pilihan raya wajib berbai'ah sebagai satu bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat daripada bersumpah.

Katanya, tujuan bai'ah dilakukan bagi menentukan calon tidak menyeleweng dari dasar Islam, cara dan matlamatnya.

Abdul Hadi berkata lagi, sesiapa yang melanggar bai'ah yang dibuat "maka akan celaka dunia dan akhirat."

Selain itu, Mahathir berkata, bai'ah yang dibuat oleh Pas bertujuan untuk mengongkong pemikiran ahlinya agar tidak menerima pendapat yang berlainan daripada matlamat parti itu.

"Bai'ah ialah kita bersumpah setia pada pemimpin. Mereka manusia dan buat salah. Malah banyak pemimpin Pas yang buat salah dari segi agama," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dasar Pas yang dilihat menyeleweng daripada matlamat asal untuk menubuhkan Negara Islam, Mahathir berkata, parti itu sanggup membuat apa sahaja sehingga sanggup bekerjasama dengan DAP.

Katanya, Pas lebih rela bekerjasama dengan DAP berbanding Umno.

"Dulu kita dah pernah buat (bergabung) dengan masukkan Pas dalam (Barisan Nasional) BN. Tapi dia (Pas) bukan perjuangkan BN tetapi cuma kembangkan pengaruh dia sahaja. Jadi tidak ada keikhlasan mereka untuk bekerjasama. Sebab itu kita berpisah.

"Sehingga kini mereka tak nak bekerjasama dengan Umno tetapi lebih suka dengan DAP sehingga gugurkan (konsep) Negara Islam, Itulah Pas," katanya lagi.

Sultan Selangor pengerusikan Mesyuarat ke-228 Majlis Raja-Raja

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V (tiga dari kiri) meneliti dokumen sewaktu berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-228 di Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini. Turut berangkat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (paling kiri).

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mempengerusikan Mesyuarat ke-228 Majlis Raja-Raja di Istana Negara di sini, hari ini.

Mesyuarat hari pertama itu dihadiri semua Raja Melayu kecuali Kedah diwakili Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Utama Tunku Annuar Sultan Badlishah dan Pahang oleh Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Raja-raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi Ketua Menteri masing-masing kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu.

Turut serta ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Mesyuarat itu, antara lain membincangkan perkara berkaitan agama, pertahanan, keselamatan, pelantikan, ekonomi serta perkembangan industri.

Majlis santapan malam sempena Mesyuarat ke-228 Majlis Raja-Raja akan diadakan di Istana Negara malam ini.