Friday, May 9, 2014

Penjara 20 Bulan Untuk Bekas Polis Pukul Ibu

Wan Mohamad Shukor menutup muka dengan kemeja T sebaik dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, kelmarin.

Seorang bekas anggota polis dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan dan denda RM1,500 setelah mengaku bersalah memukul ibunya sehingga cedera parah dan mencuri wang tunai serta barangan milik mangsa.

Tertuduh, Wan Mohamad Shukor Wan Yahya, 31, mengaku melakukan kesalahan itu di hadapan Majistret Rozianti Mohd Hanaphi sebaik pertuduhan dibacakan ke atasnya, semalam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.

Bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan dari tarikh tangkap dan denda RM1,000 sementara pertuduhan kedua, dipenjara 15 bulan dan denda RM500.

ESERI UniSZA Anjur Program Saintis Muda Alam Sekitar Mulai Hari Ini

Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)akan menganjurkan program Saintis Muda Alam Sekitar di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal di Kuala Terengganu, hari ini.

Program dua hari itu dianjurkan bagi meningkatkan kefahaman dan memupuk minat pelajar terhadap bidang sains penyelidikan dan alam sekitar.

Pengarah ESERI Prof Madya Dr Hafizan Juahir berkata program yang merupakan julung kali diadakan di sekolah berkenaan merupakan kesinambungan beberapa program sama yang telah dianjurkan di beberapa sekolah menengah di negeri ini sejak tahun 2011.

Masjid Taman Ilmu Dibuka Esok Setelah 7 Tahun Dibangunkan

Masjid Taman Ilmu di Kampung Tembila yang asalnya dibina untuk kemudahan warga Taman Ilmu, akan dibuka semalam bagi kemudahan penduduk sekitar termasuk pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berhampiran.

Masjid yang dibina dengan kos mencecah RM46.8 juta itu merupakan satu-satunya masjid mukim paling besar di negeri ini yang mampu menampung kira-kira 10,000 jemaah di kawasan seluas 12.4 hektar.

Majlis penyerahan masjid itu dilakukan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Shafie Mohamad kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang diwakili Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah, Pengurusan Masjid dan Pendidikan Maidam, Datuk Shamsiah Awang di Tembila, semalam.

Maut Ketika Cuba Ambil Mempelam

Seorang pekerja kilang papan warga Bangladesh maut selepas terjatuh dari bumbung kilang ketika cuba mengambil buah mempelam di Kampung Wakaf Tapai tengah malam semalaam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner K. Manoharan berkata mangsa ditemui penyelia kilang tempat dia bekerja dalam keadaan terbaring di atas simen dengan berlumuran darah kira-kira 12.10 tengah malam.

"Penyelianya pada mulanya dimaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah sewanya. Penyelia itu lalu mencari mangsa di sekitar kawasan kilang dan menemuinya terbaring berhampiran kawasan kilang itu," katanya.

Mangsa dipercayai memanjat bumbung kilang setinggi enam meter untuk mengambil buah sebelum dia terjatuh dan cedera parah di kepala serta badan.

JPJ gantung lesen 17 pemandu bas ekspres gagal ujian dadah

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung lesen 17 pemandu bas ekspres yang gagal ujian saringan dadah dalam operasi yang dijalankan jabatan itu bagi tempoh 22 April hingga 5 Mei lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, mereka antara lebih 2,000 pemandu bas ekspres yang diperiksa di 22 terminal bas ekspres di seluruh negara.

Dalam tempoh sama JPJ mengeluarkan 39 saman terhadap pemandu bas ekspres yang didapati melakukan kesalahan ketika memandu, katanya, kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Komunikasi Berintegriti Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, kelmarin.

Katanya, kesalahan itu dikesan oleh pegawai JPJ yang menyamar sebagai penumpang. "Antara kesalahan yang dikesan ialah melanggar peraturan lalu lintas, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta merokok," katanya.

10 Pegawai Kanan Polis Bertukar, Naik Pangkat

Suruhanjaya Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Rabu mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat 10 pegawai kanan polis, berkuat kuasa semalam.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Abdul Samah Mat dilantik sebagai Ketua Polis Selangor, memangku pangkat Senior DCP.

Jawatan Abdul Samah diganti SAC Datuk Abd Manan Mohd Hassan, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan dengan memangku pangkat DCP. Sementara, SAC Datuk Hamzah Md Jamil, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Terengganu dilantik menggantikan jawatan Abdul Manan.

Wednesday, May 7, 2014

Dua ADUN Terengganu Siap Sedia Dilantik MB?


Detik perubahan di Terengganu harus dilakukan apabila Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said telah menandatangani satu surat persetujuan bahawa beliau akan kekal selama setahun selepas Barisan Nasional menang tipis di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Putrajaya telah meminta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk bersedia menghadapi rombakan yang dipercayai akan berlaku dalam pucuk pimpinan tertinggi di negeri itu.

Sumber berkata, proses pelantikan Menteri Besar baharu di Terengganu sedang dilakukan dan akan berlaku pada bila-bila masa antara 15 dan 18 Mei ini.

Difahamkan dua individu tersebut iaitu Adun Seberang Takir, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman, 49, dan Adun Air Putih, Wan Hakim Wan Ahmad, 45 akan dilantik sebagai exco kerajaan negeri.

Detik perubahan di Terengganu harus dilakukan apabila Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said telah menandatangani satu surat persetujuan bahawa beliau akan kekal selama setahun selepas Barisan Nasional menang tipis di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi tempoh selama setahun selepas PRU-13 kerana beliau mahu pemimpin tertinggi di negeri itu berundur secara baik.

Terengganu nyaris tewas pada PRU-13 yang lalu dengan BN hanya memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Pakatan yang memperoleh 15 kerusi.

BN berjaya memenangi separuh daripada lapan kerusi Parlimen di negeri itu

Sumber dari Putrajaya berkata, Ahmad Said menandatangani surat persetujuan itu kira-kira dua minggu selepas PRU-13, 5 Mei lalu

 Surat sepanjang dua perenggan itu menyatakan Ahmad akan meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri selepas setahun dan pada tarikh yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri.

Difahamkan nama Abdul Razif dan Wan Hakim telah dikemukakan kepada Istana.

mStar

Kadar Baharu Cukai Pintu MBKT Belum Muktamad - Datuk Bandar


Kadar baharu cukai pintu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) belum muktamad dan penduduk mempunyai tempoh sehingga 2 Jun ini untuk membuat bantahan.

Datuk Bandar Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata jika pihaknya menerima banyak bantahan mengenai cadangan itu, MBKT akan mengusulkan kepada kerajaan negeri agar kadar yang dicadang dikurangkan.

"Memang kelihatan cukai pintu ini dinaikkan mendadak sehingga 600 peratus tapi kalau ikut nilaian pada 1986 nilai ini relevan dengan nilai semasa.

"Contohnya, kalau satu lot tanah di Cendering dulu (28 tahun lalu) nilainya cuma RM30,000, sekarang mencecah RM400,000.

Begitu juga tanah di sekitar Ladang, 30 tahun lalu nilainya mungkin RM300,000 sedangkan nilai sekarang mencecah RM8 juta," katanya semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan 40 badan bukan kerajaan yang menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Isu Cukai Pintu Terengganu menghantar bantahan bertulis berhubung cadangan menaikkan cukai pintu kepada MBKT semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Adzlan berkata proses penilaian semula kadar cukai pintu itu dilaksana menurut Seksyen 142 Akta Kerajaan Tempatan setelah mendapat persetujuan kerajaan negeri pada 2007.

Sepatutnya kadar baharu dilaksana pada 2010 namun kerajaan negeri memutuskan pelaksanaan ditangguh sebelum notis baharu dikeluarkan pada Mac lepas dan akan dikuat kuasa tahun depan, katanya.

Anak Syarikat Kerajaan Negeri Yang Rugi Dan Tidak Berpotensi Mungkin Ditutup


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata mana-mana anak syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri yang mengalami kerugian dan tidak berpotensi untuk dimajukan mungkin akan ditutup.

"Ada beberapa buah anak syarikat yang alami kerugian jadi kita akan tengok semula sama ada syarikat tersebut ada potensi untuk dibaik pulih (prestasinya) atau pun tidak, kalau tidak berpotensi untuk dibaik pulih, mungkin kita akan tutup anak syarikat berkenaan," katanya.

Beliau menyatakannya selepas menyampaikan ucap tama sempena Taklimat 'Kepimpinan dan Integriti Pengarah Korporat' anjuran kerajaan negeri bersama Institut Kajian Integriti dan Strategik Terengganu (T-ISSI) di Resorts World Kijal di Kemman, semalam.

Ahmad berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kerugian yang dialami beberapa buah anak syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri Terengganu.

Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan anak syarikat yang mengalami kerugian tersebut.


Cukai Pintu: 40 NGO Kemuka Bantahan Bertulis Kepada MBKT


Jawatankuasa Bertindak Isu Kenaikan Cukai Pintu Terengganu yang dianggotai 40 badan bukan kerajaan (NGO) Selasa mengemukakan bantahan bertulis kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berhubung kadar baharu cukai pintu yang akan berkuat kuasa 1 Jan 2015.

Pengerusinya Ahmad Amzad Hashim berkata bantahan itu dikemukakan kerana kadar cukai pintu yang ditaksirkan dalam notis semakan senarai nilaian MBKT itu terlalu tinggi.

"Sebahagian daripada premis kediaman ada yang mengalami kenaikan 100 peratus, 200 peratus dan 600 peratus, malah ada kenaikan sehingga 1,000 peratus di mana sebelum ini nilai cukai pintu hanya RM120 dan dinaikkan sehingga RM1,200.

Promosi Kraf Malaysia Peringkat Terengganu Catat Jualan RM471,692

Promosi Kraf Malaysia peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung selama tujuh hari di Mesra Mall Kemaman sejak 28 April lepas mencatat jualan bernilai RM471,962.

Penolong Pengarah Unit Teknikal dan Promosi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu, Mohd Suhaimi Zakaria berkata produk tekstil iaitu batik dan songket mencatat jualan tertinggi RM249,667.

"Ini diikuti produk berasaskan hasil tanah seperti pasu dan labu sayung yang diperbuat daripada seramik (RM69,110), produk berasaskan logam seperti tembaga iaitu RM64,916, hasil rimba (RM59,971) dan aneka kraf (RM28,028)," katanya semalam.

Mohd Suhaimi berkata nilai jualan itu menunjukkan perkembangan positif dalam mencapai sasaran RM1.5 juta sepanjang tahun ini.

Pelbagai Langkah Perkasa Usahawan Di Terengganu

Kerajaan negeri Terengganu akan memperkasakan usahawan negeri itu terutama dalam industri kecil dan sederhana (IKS) untuk melahirkan usahawan yang berdaya saing.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud berkata antara langkah yang dilakukan ialah mewujudkan 34 mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di negeri itu bagi membantu usahawan memasarkan produk mereka.

"Saya berharap dengan wujudnya mini RTC itu, ia menjadi pemangkin kepada usahawan IKS untuk bergerak ke hadapan dalam memajukan perusahaan mereka," katanya.

Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Terengganu memberi beberapa penekanan seperti mewujudkan 50 mini RTC di seluruh negeri itu.

Terengganu Guna Khidmat Jurulatih Kanu Dari Hungary

Terengganu menggunakan khidmat jurulatih kanu dari Hungary bagi memantapkan pasukan itu dalam menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis pada 24 Mei ini.

Pengurus skuad kanu Sukma 2014 Suryani Mohamad berkata Majlis Sukan Negeri (MSN) berusaha membawa Viraq Tibor ke negeri ini pada Mac lepas untuk membimbing atlet skuad itu.

Atlet kanu Terengganu menunjukkan kemajuan walaupun hanya mendapat tunjuk ajar Viraq dalam tempoh dua minggu, katanya semalam.

Menurutnya Terengganu menghantar 20 atlet untuk acara kanu iaitu 10 atlet lelaki dan 10 atlet wanita dengan sasaran memenangi lapan pingat emas pada Sukma Perlis.

Monday, May 5, 2014

Tasik Kenyir Bakal Pusat Pelancongan Paling Unik


Kerajaan Terengganu akan menjadikan Tasik Kenyir lebih menarik dan unik sekali gus menambat hati pengunjung terutama pelancong asing yang bakal dijadikan kawasan bebas cukai pertama di dunia menjelang September tahun depan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata antara perkara menarik yang bakal diwujudkan di Tasik Kenyir tempat khas untuk kemudahan pelancong kaum wanita sahaja.

"Di dalam tasik itu mempunyai banyak air terjun, dan satu daripadanya kita akan khaskan untuk kaum wanita sahaja iaitu semua urusan seperti pemandu bot, bahagian keselamatan dan sebagainya akan dikendalikan petugas wanita.

"Kita buat ini setelah menerima permintaan daripada pelancong asing terutama dari Asia Barat yang mahukan satu kawasan khas untuk kemudahan wanita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir 2014 yang berlangsung sebulan sehingga 29 Mei di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir semalam.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Zubir Embong dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Wan Mat Amin Wan Daud. Ahmad berkata, sehingga kini kerajaan membelanjakan RM300 juta bagi membangunkan tasik itu sebagai kawasan pelancongan dan tasik bebas cukai.


Katanya antara kerja-kerja yang siap seperti membekalkan elektrik ke Pulau Bayas tapak kawasan bebas cukai dengan menarik kabel sejauh 22 kilometer melibatkan perbelanjaan RM33 juta.

Beberapa buah pulau yang dimajukan di dalam tasik itu sebahagiannya telah siap dan kini kerja-kerja membina jeti utama di Pulau Bayas sedang berjalan melibatkan peruntukan RM70 juta.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan rangkaian perkedaian, kemudahan untuk Indah Water dan menyediakan tangki air serta kompleks kastam sedang berjalan yang kini siap 75 peratus.

Katanya dalam masa terdekat pembinaan jambatan baharu empat lorong yang merupakan kemudahan utama menghubungkan Pangkalan Gawi ke Pulau Poh Besar akan berjalan.

Ahmad Said berkata, pulau yang mempunyai keluasan kira-kira 40 hektar itu juga akan dibina dua jeti iaitu untuk penumpang dan jeti untuk kargo.

"Di pulau itu kita akan bina hotel, taman permainan air selain 1,000 tempat letak kereta kerana di Pangkalan Gawi tidak mempunyai kawasan yang luas untuk tempat letak kenderaan," katanya.

Mengenai Kenyir Elephant Village Ahmad Said berkata perkampungan gajah itu yang diuruskan pihak swasta, akan mula dibuka pada Jumaat ini (9 Mei).

"Ketika ini taman itu sudah mempunyai sembilan ekor gajah jinak dan 14 ekor gajah liar yang berada di sekitar kawasan itu serta akan menambah 21 ekor gajah lagi di situ," katanya

Menteri Besar berkata, yang menarik dan uniknya kawasan Kenyir Elephant Village ia akan wujudkan beberapa chalet di atas pokok selain jambatan gantung dan kawasan tinjau yang mengelilinginya.

Kerajaan Terengganu melalui Ketengah menyasarkan kehadiran 500,000 pelancong ke tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dengan mempunyai 340 pulau buatan, selepas menarik 400,000 pelancong tahun lepas.

Kerajaan Negeri Luluskan Pembinaan Litar Lumba di Gong Badak

Ahmad Said menyampaikan hadiah kepada pemenang di majlis perasmian penutup Karnival Permotoran Terengganu 2014 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, kelmarin.


Kerajaan negeri bersetuju membina sebuah litar lumba berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak Kuala Terengganu sebagai usaha menangani kegiatan lumba
haram dalam kalangan mat rempit di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerja-kerja tapak akan dimulakan tahun ini dan beliau yakin dengan kewujudan litar lumba tersebut dapat mengurangkan masalah mat rempit yang sering mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, pembinaan litar itu juga sebagai medan mencungkil lebih ramai bakat baru dalam sukan permotoran, sekali gus melahirkan pelumba profesional dalam kalangan anak Terengganu yang mampu menaikkan nama negeri dan negara ke peringkat lebih tinggi.

KPN: Laporan Daily Mirror Mengarut



Mengarut. Demikian reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditanya mengenai laporan Daily Mirror yang mendakwa anggota militan yang ditahan di Kedah dan Selangor baru-baru ini disoal siasat berhubung kehilangan pesawat MH370.

Menurut media United Kingdom (UK) itu ,11 anggota militan yang ditahan mempunyai kaitan dengan Al Qaeda telah disoal siasat Jumaat lalu sama ada mereka pihak yang bertanggungjawab atas kehilangan MH370.

“Ini laporan mengarut. (Penangkapan) tiada kaitan dengan MH370,” katanya dipetik The Star.

Sebelum ini, media melaporkan PDRM turut mengenal pasti Syria dan Filipina sebagai antara negara yang mempunyai rangkaian militan.

Amaran Tarik Balik Tajaan & Pinjaman Jika Terlibat Bantahan GST


Kerajaan negeri akan menarik balik tajaan dan pinjaman pendidikan mana-mana pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang mengambil bahagian dalam perhimpunan membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka, Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, tindakan pelajar menyertai mana-mana perhimpunan, jelas melanggar perjanjian pinjaman dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka tanpa sebarang kompromi.

Setakat ini katanya, beliau tidak mendapat maklumat jelas mengenai perkara itu, namun siasatan sedang dijalankan.

Bakal Pengantin Maut Nahas Di Setiu

Hasrat dua bakal pengantin untuk menziarahi kematian anggota keluarga di Kuala Krai, Kelantan tidak kesampaian selepas kereta yang mereka naiki bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 46 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Balai Polis Sungai Tong semalam.

Dalam insiden kira-kira 1.30 petang itu, Mohd Hafizan Jusoh @ Ab Ghafar, 35, dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu dan tunangnya, Rosnazira Mahmud, 33, dari Kuala Krai, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Abd Rahman Raja Mohamad berkata kereta mangsa jenis Proton Iswara dipercayai bertembung sebuah Toyota Fortuner yang dipandu seorang lelaki.

Masjid Geliga Tubuh Koperasi Bagi Menjana Pendapatan

Barisan panel penilai (berbaju coklat) menyemak sistem dokumentasi Masjid Geliga sambil diberi penerangan oleh Mohd Hisham (kanan), Mustafar (kiri) dan jawatankuasa masjid yang lain. 
Jawatankuasa Masjid Geliga mewujudkan koperasi sendiri yang dinamakan Koperasi Kariah Masjid Geliga sebagai usaha untuk menjana pendapatan bulanan kepada masjid.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Geliga, Mohd Hisham Zubir berkata, penubuhan koperasi itu baru sahaja diluluskan beberapa bulan lalu dan telah pun memiliki aset berupa tiga premis perniagaan berdekatan masjid.

Menurutnya, tiga premis atau gerai itu disumbangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid Geliga sendiri merangkap Yang Dipertua (YDP), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Mustafar Khalid dengan ketiga-tiga gerai itu disewakan kepada kariah masjid yang minat dalam perniagaan.

“Kita percaya pendapatan daripada koperasi ini akan dapat membiayai perbelanjaan aktiviti dan pengurusan masjid pada masa akan datang serta tidak bergantung sepenuhnya pada kutipan sumbangan daripada mana-mana pihak sahaja.

“Selain itu, kita turut jana pendapatan masjid daripada sewaan sebuah rumah tumpangan (homestay) di dalam kawasan masjid dan kini kita juga sedang ubahsuai sebuah lagi rumah yang bersebelahan homestay sedia ada. Sekiranya ia siap kita ada dua homestay,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menerima kunjungan daripada barisan panel penilai Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2014, kelmarin. Masjid Geliga mengharumkan nama Kemaman kerana telah terpilih untuk mewakili Terengganu dalam Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2014 bagi kategori masjid kerajaan selepas muncul johan dalam pertandingan sama peringkat negeri baru-baru ini.

Daripada keseluruhan 6,000 masjid di negara ini, hanya lebih 40 masjid termasuk Masjid Geliga terpilih untuk mara ke peringkat kebangsaan.

SinarOnline