Saturday, January 8, 2011

Pemimpin UMNO, PAS Hadir Pada Anugerah KAWAT - Exxon Mobil Malaysia

Khairul menerima anugerah berupa wang tunai RM750 dan sijil penyertaan dari Exco Negeri Terengganu Yahya Khatib Ali, yang turut disertai oleh Fatimah Merican, Pengarah Urusan Perniagaan Subsidiari Exxon-Mobil Malaysia)

Oleh: Ruslan Abdul Rahman (teganukita)
Tajuk Asal - PEMIMPIN UMNO DAN PAS HADIR DI MAJLIS KAWAT

“Malam yang penuh gemilang - ceria, `suspen' dan menghiburkan. Begitulah yang dapat digambarkan Malam Anugerah Kewartawanan Kawat - ExxonMobil 2010 yang diadakan di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu pada 5 Januari 2011 lalu”.

Kata-kata di atas dipetik dari blog yang dimiliki oleh Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT).

Tetamu istimewa yang dijemput merasmikan malam anugerah penuh gemilang KAWAT itu ialah YB Yahya Khatib Mohamad, Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri yang baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT), berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Pada 1 Januari 2011 juga, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said dilantik sebagai Pengerusi BPUNT.

Kehadiran YB Yahya Khatib sebagai tetamu khas KAWAT dan merasmikan Malam Anugerah itu amatlah memeriahkan malam itu, di samping turut Exco Kanan Kerajaan Negeri, Ahmad Razif, Khazan Che Mat dan Ramli Noh.

Tambah hebat lagi pemimpin pembangkang juga hadir di malam itu sebagai tetamu KAWAT, ADUN Pas Ladang, Tengku Hassan Omar dan Setiausaha PAS Terengganu, Yahya Ali.

Blog KAWAT itu menyebut, malam itu diserikan pula dengan persembahan tarian dan nyayian, dicuitkan dengan ucapan perasmian yang lucu tapi bermakna, menjadikan malam itu penuh dengan nostalgia pada mereka yang hadir.

Menurut blog berkenaan, ketika berucap pada majlis itu, Presiden KAWAT, Ayob Mamat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak ExxonMobil yang terus menyokong penganjuran anugerah bermula dengan nilai penajaan sebanyak RM70,000 dan jumlah itu adalah sangat bererti Terengganu kerana menampakkan sentiasa dihargai oleh ExxonMobil.

Pada malam itu, lapan kategori dipertandingkan iaitu kategori Penulisan Berita Terbaik, Berita Ekonomi Terbaik, Berita Sukan Terbaik, Rencana Terbaik, Foto Terbaik, Berita TV Terbaik, Anugerah Khas Radio dan Anugerah Khas Presiden.

Bagi penulisan Berita Terbaik, tempat pertama dimenangi oleh Manirah Othman (Utusan Malaysia), kedua Hazlan Hassan (Harian Metro) dan ketiga Khairul Azlam Mohamad(Harakah).

Wartawan Teganukita, Aida Abdul Rahman turut memenangi tempat pertama bagi katogeri berita sukan terbaik, kedua Zainuddin Mohamad dari NST dan Ibrahim Abu Bakar dari Bernama.

Wartawan Berita Harian, Haneeyzah Baharuddin mendapat tempat pertama, kedua Ahmad Rabiul Zulkifli (Harian Metro) dan ketiga Irman Hashim (Utusan Malaysia).

Kategori Rencana Terbaik dimenangi oleh Manirah Othman (Utusan Malaysia), Mohd Lazim Endut (Sinar Harian) dan ketiga Aida Rahman (Teganukita)

Jurufoto Berita Harian, Rozainah Zakaria menggondol tempat pertama bagi kategori Foto Terbaik, kedua Azlan Baharom (Utusan Malaysia) dan ketiga Aswadi Alias (Berita Harian).

Bagi kategori Berita TV Terbaik dimenangi oleh Aziz Abdullah (TV3), kedua Khalid Abdullah (RTM) dan ketiga Nur Fazlizai Ali (TV Bernama).

Juruhebah Terengganu FM, Azrul Faizal Jusoh menerima Anugerah Khas Radio manakala Jurufoto Utusan Malaysia Kuala Lumpur yang juga pendaki solo negara, Mohd Noor Amindianugerahkan Anugerah Khas Presiden.

Tulisan atau berita Khairul Azlam Mohamad dari Harakah bertajuk 'Warisan Sejarah 100 Tahun Bakal DiMusnahkan' dipilih sebagai pemenang anugerah KAWAT-Exxon- Mobil dalam katogeri penulisan berita terbaik.
Menurut sebuah blog pembangkang,tulisan Khairul bertajuk 'Warisan Sejarah 100 Tahun Bakal DiMusnahkan' dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.

Blog itu menyatakan, rencana yang mengisahkan tentang sederetan rumah kedai di kampung Cina Kuala Terengganu kini telah dimusnahkan oleh kerajaan UMNO/BN pada tahun 2009.

Diucapkan tahniah kepada KAWAT kerana dapat meneruskan Anugerah ini bagi kesekian kalinya.

AdukaTaruna ‘kena’ Langgar di Rusila?

Pada hari Jumaat (7Jan 2010) semalam, Awang sempat singgah sekejap untuk solat Jumaat di Masjid Rusila, Marang.

Sebenarnya, selepas Jumaat itu Awang ada rancangan hendak ke TESDEC ambil adik perempuan yang telah habis belajar, janji sebelum pukul 3.00 petang.

Sebaik sahaja selepas solat sekitar jam 2.15 petang lebih kurangnya, tiba-tiba Awang dengar berlaku ‘kecoh-kecoh’ di luar masjid Rusila dan Awang turut bergegas untuk melihat apa yang berlaku.

Maka, Awang dengarlah cakap-cakap orang yang ramai itu antaranya… “Budak ini memang jahat, dia (suspek) kata dalam blognya hendak ‘langgar’ Tok Guru (Hadi)” ujar seorang warga emas.

Setelah Awang tiba dekat orang ramai itu rupa-rupanya seorang Blogger yang ‘gila glamor’ yang Awang kenal sangatlah namanya “ADUKA TARUNA”.

Seingat-ingat Awanglah, budak (aduka taruna) ini mula terkenal namanya selepas kesnya ditangkap Polis kerana menghina Raja-raja dan Sultan. Dia pernah labelkan Sultan Johor yang mangkat itu sebagai ‘mampus’ jika tidak silap Awanglah.

Sebenarnya, Aduka Taruna ini ramai orang kata dia memang seorang blogger yang ‘BIADAP, KURANG AJAR, KURANG SIHAT’ sikit malah ada yang kata dia ini ‘GILA’.

Sebab apa orang kata dia ‘gila’…bukan sahaja para alim ulama’ yang dia caci, kutuk dan maki hamun. Hatta, kepada isteri Nabi kita junjungan besar Nabi Muhamad SAW, Siti Aisyah Ummu Mukminin pun disumpah-seranahnya.

Ada orang beritahu Awang, tujuan Aduka Taruna ini datang ke Rusila, Marang pada hari Jumaat (7 Januari) semalam adalah untuk mencapai hasrat dan cita-citanya yang dibuat dua tahun lalu hendak ‘LANGGAR HADI’ dalam misinya.

Aduka Taruna ini memang seorang yang biadap pun sebab Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang terkenal dan diiktiraf oleh dunia sebagai seorang ulama’ pun digelarnya ‘Ulama Pukimak’ dan macam-macam lagi gelaran diberinya.

Jadi kedatangan dia (Aduka Taruna) ke Rusila, sememangnya mencari nahas dan bala. Dan mungkin budak ini dilahirkan untuk selalu dikenakan ‘penampar’ oleh orang ramai. Sebab, budak ini juga pernah kena penampar semasa kes hina Sultan dibicarakan di mahkamah suatu ketika dahulu.

Awang diberitahu, sebaik selepas solat Jumaat…budak ‘tolol’ ini meluru dan bersalam dengan Tok Guru dan memaklumkan hendak ‘berjumpa’ bagi memenuhi misinya ‘berdebat’ dengan Tok Guru.

‘Ayah Chik’ (Tok Guru) menjawab dengan baik yang dia ada program selepas ini dan perlu segera beredar kerana masa tidak mengizinkannya.

Budak ‘benggong’ ini terus mengasak hendak jumpa juga walau pun 5 minit sambil ditangannya ‘merakam’ aksi tersebut dengan menggunakan kamera video handphone miliknya sendiri. Kemungkinan rakaman tersebut akan digunakan untuk ‘menghentam’ Tok Guru dalam blognya selepas itu.

Orang tua-tua kata, nasib ‘MALANG TIDAK BERBAU’..lalu dia (aduka) ditahan oleh orang ramai dan handphone miliknya itu ‘dirampas’. Siapa rampas handphone dia tidak ada orang mengaku, sebab orang ramai.

Lalu, dia dibawa ke hadapan pintu masuk masjid dan ‘disoal-siasat’ oleh orang ramai yang sangat marah dengannya. Apatah lagi, barangkali ada yang mengenalinya sebagai budak ‘jahat’ yang bernama ADUKA TARUNA.

Nasibnya, agak baik kerana telah diselamatkan oleh Jawatankuasa Masjid Rusila membawanya naik ke tingkat 1 Masjid di bilik pejabat Ma’ahad Darul Quran (MDQ) untuk menggelakkan dari menjadi mangsa orang ramai yang ingin melepas geram.

Suasana ketika itu, Awang dapat lihat sendiri dan rakam suasana dengan kamera ditangan Awang. Jika pihak Jawatankuasa Masjid tidak berbuat demikian nescara boleh ‘sakitlah’ budak yang bernama Aduka.

Silap-silap nama Aduka Taruna boleh jadi ‘ADUHKA tak da TERUNA’ lagi. Sebab, yang sempat Awang tengok budak ini kena ‘PENAMPAR TAWAR’ sekali entah dari siapa punya angkara dan kena ‘TONYOH’ sekali juga oleh entah siapa punya angkara.

Sebab, bila orang sudah ramai sekeliling…apa-apa pun boleh berlaku dan sukar hendak kenal pasti siapa pelakunya.

Kebetulan pada hari itu Awang bawa bersama tiga orang anak lelaki untuk sama-sama bersolat Jumaat di Rusila dan sempat melihat peristiwa yang memalukan diri sendiri batang tubuh yang bernama Aduka Taruna.

Apabila kami balik ke rumah, dengan segera anak-anak Awang memberitahu ibunya apa yang berlaku di Masjid Rusila selepas solat Jumaat tadi. Kata salah seorang anak Awang, “Ummi, tadi di Rusila ada orang hendak ‘LANGGAR’ Tok Guru…dia kena tangkap dan ramai orang marah kat dia”.

Isteri Awang pula tertanya-tanya, kenapa dan siapa yang hendak ‘LANGGAR’ Tok Guru. Kenapa, kereta dia dok dang break ke? atau Tok Guru lintas jalan raya ke? Laju sangat ke orang tu bawa motor???

Awang hanya tersenyum dan terfikir. Inilah, agaknya ‘persepsi’ orang ramai yang tidak belajar bahasa penulisan. Dan mungkin orang ramai yang mengepung budak ‘kepala masuk air’ itu di Rusila beranggapan budak itu berniat jahat.

Tujuan Aduka Taruna itu datang ke Rusila untuk ‘LANGGAR’ Tok Guru yang disayangi rakyat. Aduka telah membuat ancaman untuk ‘LANGGAR’ Tok Guru sejak dua tahun lalu. Pengikut Tok Guru pula barang kali telah bersiap sedia jika ada ancaman seperti itu.

Di rumah, Awang mengambil masa hampir lebih setengah jam untuk mengeksas internet dan mencari apa yang ditulis oleh Aduka taruna dalam blognya. Awang malas hendak baca semua tetapi sempat jumpa satu dua tulisannya.

Awang paparkan di sini untuk penilaian rakan-rakan pembaca. Namun, bagi ‘kaki-kaki’ internet sudah sedia maklum perihal tulisan-tulisan Aduka Taruna ini. Tapi, kepada orang bukan kaki internet persepsi mereka mungkin berbeza.

Langgar Hadi 7 Jan: (tulisan Aduka Taruna diBlognya)….
Alhamdulillah. Ada 2 peminjam handycam yang akan bertemu gua petang ni. Harap2 tak lewat. Sebab gua ingin bertolak ke Rusila awal. Petang ni gua ada sekitar KB. Sesiapa nak joint, atau bermurah hati nak beri pinjam handycam, gua alu2kan.
Kalau boleh siap tuannya as jurugambar skali, gua nak pinjam. Ini kerana akibat kesuntukan masa yang diuruskan Batu Api (7 Jan), gua hanya mampu pergi berdua asalnya. Satu pegang kamera, satu lagi tukang jumpa. So, kita boleh konvoi ke Rusila bersama2. Solat Jumaat belakang TGHA dan berjumpa dengan TGHA selepas itu. Songkok Putih telah mengesahkan pertemuan kita ini dalam perancangan pihak Rusila.
Jika ada apa2 provokasi, jangan layan. Just rakam jer. Jika Allah menunjukkan kita silap melalui asbab hujah TGHA, kita perlu akur dan terima dan sebarkan supaya semuanya beroleh manfaat. Dan gua janji kepada lu orang semua, gua akan berbahasa dengan baik, dan mengawal tingkah laku di depan pihak Rusila.
Apa pun, terima kasih atas sokongan. Dan jangan lupa doakan kami. Semoga pertemuan kita ke Rusila termasuk dalam kumpulan lelaki yang bertemu dan berpisah kerana Allah. Amin.

Tulisan 2:

Saya telah dihubungi oleh banyak pihak untuk mengesahkan perkara ini. Saya telah mengambil keputusan untuk memaklumkan di laman Tranung Kite Online (TKO) ini bagi pihak saya dan TKO sendiri dalam hal ini.
Sebelum ini saya telah dihubungi oleh batu-api2 (nick) bertanyakan persediaan saya dalam hal ini seperti yang dihebohkan beberapa tahun lalu. Saya telah memberikan komitmen masih dengan apa yang pernah saya janjikan dalam tulisan yang lalu.
Saya telah menghubungi pihak Rusila dalam hal ini dan saya difahamkan mereka telah bersedia dengan pertemuan ini.
Soal jadi atau tak jadi bergantung kepada pihak yang mewar-warkan, tetapi pihak Rusila dan unitnya telah bersedia.
Saya dimaklumkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS ada pada hari berkenaan malah difaham bersedia untuk ditemui oleh si penama Aduka Taruna.
Kami TKO tidak terbabit dalam penganjuran ini, tetapi kami bersedia seperti yang dijanjikan.
Insya-ALlah saya akan masukkan wang selepas Aduka Taruna datang dan Program Langgar Hadi yang di war-warkan itu terjadi melalui akaun tertera di blog Aduka Taruna.
Saya tak akan hadir seperti saya tulis dahulu di atas sebab yang pernah saya nyatakan dalam penulisan saya yang lalu.
Pertanyaan mengenai betul atau tak, itu kenalah tanya mereka yang membuat polimik ini Aduka Taruna dan Batu Api @ Firestone.
Saudara Songkok Putih, berapa jumlah bantuan yang lu nak beri kepada gua? Kot2 cukup untuk gua tambah beli handycam paling minimum. RM900. JVC. Esok last day nih.
Difikir oleh AdukaTaruna pada 1/06/2011 12:32:00 AM.


Kesimpulannya; Ada pihak yang cukup tidak puas hati apabila tindakan Aduka Taruna ini mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak ‘WebMaster’ Tranung Kite Online (TKO) sendiri yang dimiliki oleh Pemuda PAS Dungun.

Sebab, dari kejadian malang yang menimpa budak Aduka itu bukan sahaja harap jadi pengajaran kepada dia kerana kebiadapannya. Tetapi, budak tolol ini akan menjadi isu ini isu yang panas dan hangat di pentas blogger.

Percayalah, selepas ini isu ini ada dipergunakan oleh budak ‘kurang sihat’ ini untuk terus-menerus ‘menyerang’ dan ‘menghentam’ kepimpinan Tok Guru Haji Hadi sebagai Presiden PAS.

Pelbagai persepsi akan dilabelkan kepada Tok Guru Presiden PAS bagi menjatuhkan imejnya dipersada dunia politik. Imej ‘Ayah Chik’ akan dilanyak dengan selanyak-lanyaknya oleh budak ‘banggang’ itu.

'TKO’ sememangnya ‘bermasalah’…kata orang kepada Awang. Ini kerana, TKO telah mempergunakan ‘kebebasan bersuara’ yang tidak kena pada tempatnya. Apakah boleh atau ada mana-mana parti di dunia ini yang menggunakan platform sendiri untuk ‘musuh’ kita menghentam diri kita sendiri.

Dilaporkan orang kepada Awang, laman sesawang TKO juga membiarkan mana-mana pihak termasuk di kalangan penulis upahan Umno-BN dan penulis yang tidak ‘sehaluan’ dengan pimpinan PAS menggunakan laman TKO yang agak tersohor ini.

TKO tidak ada penulis atau wartawannya sendiri dan semua artikel dan tulisan dalam TKO adalah diambil dan dicedok dan dihantar oleh orang lain yang entah apa pun fikrahnya.

Jadi, bukanlah Awang hendak mengutuk laman web TKO yang dikendalikan oleh rakan-rakan Awang itu tetapi minta lebih berhati-hati dan bertanggungjawab kepada parti dan kepimpinannya.

Perihal budak Aduka taruna itu, Awang pun tidak boleh kata apa, simpati pun ada kerana tersalah ‘line’. Sepatutnya, sebagai seorang penulis blog…kita kena tulis ikut fakta dan ada kebenaran. Bukan ikut sedap ‘otak’ sahaja hendak tulis.
Kita bukan tidak boleh kritik atau tegur ulama’ tetapi bukan dengan cari memaki-hamun. Siapa kita hendak kutuk ulama’? Sembahyang subuh pun bangun pukul 9.00 pagi, mata pun jika tengok orang pompuan terbeliak…hendak kutuk orang alim. Itu tidak kenalah.

Jadi MISI budak ADUKA TARUNA yang datang hendak ‘LANGGAR HADI’ pada 7 Januari 2011 menjadi sebaliknya. Rupa-rupanya ADUKA TARUNA pula yang ‘KENA LANGGAR’ orang para jemaah Jumaat di Rusila, Marang.

Akhir kata: “TERLAJAK KERETA BOLEH UNDUR, TERLAJAK KATA KENA PENAMPAR”

http://apaorangkata.blogspot.com

Persekutuan Lumba Basikal Antarabangsa Lulus Pendaftaran TCT

Pasukan lumba basikal profesional Terengganu, Terengganu Pro-Asia Cycling (TCT) yang akan menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan ini, menerima berita gembira apabila pendaftarannya diluluskan Persekutuan Lumba Basikal Antarabangsa (UCI).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat berkata ini bermakna TCT dibenarkan menyertai semua kejohanan di peringkat benua.

"Saya berasa sangat gembira kerana pendaftaran TCT sudah diluluskan UCI dua hari lepas," katanya hari ini.

Beliau berkata TCT merupakan idea Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bagi mempopularkan Terengganu menerusi sukan basikal ke seluruh dunia.

Katanya, TCT juga merancang menyertai semua kejohanan lumba basikal seperti di Thailand, Indonesia, Iran, Korea dan Jepun.

Rozi berkata TCT telah menamakan sembilan pelumba untuk mewakilinya dalam kejohanan LTdL yang bermula 23 Jan hingga 1 Feb ini.

Mereka ialah Anuar Manan, Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Mohammad Saufi Mat Senan, Yusrizal Usoff, Mohd Shobry Abdullah, Shinichi Fuikushima, Phuchong Udomsin dan Motoi Nara.

Beliau berkata bagi memantapkan kayuhan pelumba, pengurusan TCT bersetuju menghantar empat pelumba tempatan berlatih di Chiang Rai yang terletak di sempadan Thailand-Kemboja.

Mereka ialah Anuar, Mohd Harrif, Mohd Shahrul serta Mohammad Saufi dan mereka bertolak semalam bagi menyertai pelumba import yang sudah berada di sana.

Pelumba skuad TCT yang lain iaitu Yusrizal, Mohd Shobry, Mohamad Faiz Sharifuddin Abd Kadir, Mohd Nor Umardi Rosdi serta Nur Amirull Fakhruddin Mazuki pula diletakkan di bawah bimbingan jurulatih Syed Hussein Syed Mazlan dan mereka akan menjalani latihan di Kuala Terengganu.

Pengusaha Keropok Rugi RM40,000 Selepas Kedai Dihempap Pokok Ru

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Datuk Che Mat Jusoh berkata pihaknya akan mengkaji bentuk bantuan kepada pemilik rumah dan kedai keropok yang dihempap pokok rhu pagi tadi.

"Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu MBKT diharap dapat mengambil tindakan segera untuk mencantas dahan pokok ru berhampiran premis penduduk yang ada antaranya setinggi 15 meter.

"Ketinggian itu berbahaya, lebih-lebih lagi ketika angin kencang di musim tengkujuh," katanya ketika melawat tempat kejadian.

Pegawai Kesihatan Persekitaran MBKT Razali Mohd pula berkata sejak semalam, banyak aduan berkaitan pokok tumbang diterima.

Pagi ini, seorang pengusaha keropok kerugian kira-kira RM40,000 selepas kedainya di Kuala Ibai di Kuala Terengganu dihempap sebatang pokok ru dalam kejadian pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan itu kira-kira 5.30 pagi tadi.

Pemilik kedai berkenaan, Anna Izawati Hamzah, 41, berkata kejadian disedari pada 6 pagi oleh seorang pekerjanya yang datang untuk membuka kedai.

Beliau bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh pekerjanya dan terkejut melihat kedai yang diusahakan bersama suami, Wan Yusoff Wan Ngah, 47, sejak enam tahun lalu, hampir ranap.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kejadian berlaku semasa tiada sesiapa di kedai termasuk pekerja," katanya hari ini.

Turut rosak akibat pokok tumbang di kawasan sama ialah lima buah rumah dan sebuah lagi kedai keropok.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Che Mat Jusoh berkata Bilik Gerakan Bencana pada musim tengkujuh telah dibuka dan orang ramai boleh menghubungi talian 09-6203179 atau 09-6203180 bagi memaklumkan sebarang kejadian agar tindakan segera dapat diambil.

Kawasan DiLanda Banjir di Terengganu Semakin Pulih

Keadaan banjir di Kampung Nyatoh, Setiu, Terengganu di mana mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Surau Kampung Permaisuri, semalam.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu kini berkurangan apabila kawasan- kawasan dilanda banjir beransur baik.
Menurut seorang jurucakap, semalam, seramai 774 orang mangsa berada di pusat pemindahan berbanding 1,093 petang semalam.

Katanya, di Hulu Terengganu terdapat seramai 367 orang mangsa yang masih berada di pusat pemindahan, Setiu (345 orang), Dungun (tujuh), Marang (lapan) dan Kemaman (47 orang).

Beliau berkata sehingga malam ini, sebanyak 22 daripada 49 buah pusat pemindahan yang dibuka tiga hari lepas, telahpun ditutup.

Katanya, semua jalan utama yang menghubungkan Terengganu-Kelantan Terengganu-Pahang masih boleh dilalui.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu memberi jaminan bekalan makanan untuk mangsa-mangsa banjir di negeri itu mencukupi.

Jurucakap jabatan itu berkata semua barangan keperluan mangsa-mangsa banjir telah dihantar ke pengkalan hadapan sejak sebulan lalu, katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong, Rozi Mamat ketika melawat mangsa banjir berkata, beliau berpuashati dengan pengurusan dan pengagihan keperluan kepada mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan.

Pada tengah hari semalam, keadaan banjir yang melanda Terengganu sejak dua hari lepas dilaporkan bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,638 orang berbanding 692 petang kelmarin.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara negeri berkata sehingga 9 pagi ini, 935 orang daripada 283 keluarga di Hulu Terengganu dipindahkan berbanding 414 petang semalam manakala di Setiu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 403 orang berbanding 259 petang semalam.

Daerah Kemaman yang mula dilanda banjir petang semalam, semakin teruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 265 orang berbanding 19 petang semalam.

Di Dungun orang orang daripada dua keluarga dari Kampung Telaga Mas, Paka, dipindah ke Bangunan Umno Kuala Paka manakala di Marang, dua orang dipindahkan ke dewan orang ramai Kampung Temala semalam.

Jurucakap itu berkata semua jalan utama yang menghubungkan Kuala Terengganu-Kelantan dan Pahang tidak terjejas dan masih boleh dilalui pagi ini.

Beliau berkata hampir semua sungai utama di Terengganu pagi ini mencatatkan paras air di tahap bahaya.

Sungai Besut di Jambatan Kruak kini setinggi 35 meter berbanding tahap bahaya 33 meter, di Kampung La setinggi 19.20 meter (bahaya 17.20 meter) dan Jambatan Jertih 8.90 meter (bahaya 7.30 meter).

Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja 37.50 meter (bahaya 35 meter), Kuala Jengai 19.80 meter (bahaya 18.30 meter), Jambatan Jerangau 12.50 meter (bahaya 10.90 meter).

Sungai Kemaman di Jambatan Tebak 21 meter (bahaya 19 meter), di Jambatan Ban Ho 19 meter (bahaya 17 meter), Jambatan Air Putih 15 meter (bahaya 13 meter).

Sungai Terengganu di Kampung Menerong 26 meter (bahaya 24.50 meter) dan di Kampung Dura 16.80 meter (bahaya 15.30 meter) dan Sungai Setiu di Kampung Besut 18.40 meter (bahaya 16.40 meter), Jambatan Chalok 10 meter (9 meter) dan Ibu Bekalan 8.10 meter (bahaya 7.30 meter).

Razif Janji Bantu Masalah Hakisan Pantai Rhu

Seorang pengunjung berdiri di hadapan pondok nelayan yang hampir runtuh akibat hakisan ombak di Pantai Rhu, Kampung Kubang Badak kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung kejadian kawasan Pantai Rhu dihakis ombak.

Pantai Rhu di Kampung Kubang Badak dan Kampung Tok Jembal dekat Kuala Terengganu sebelum ini menjadi tarikan pengunjung untuk bersantai sambil menikmati keindahan semula jadi Laut China Selatan.

Apatah lagi pantai berkenaan turut menjadi tumpuan para nelayan setempat yang lokasinya bukan saja dijadikan laluan keluar masuk ke laut malah bagi menjalankan aktiviti menjual ikan segar yang didaratkan setiap petang.

Bagaimanapun, senario itu beransur berubah dengan kemeriahan serta riuh rendah para pengunjung kian lenyap, sebaliknya sekadar menjadi nostalgia yang semakin suram.

Ini kerana, kawasan pesisiran Pantai Rhu sejauh kira-kira 200 meter dilanda hakisan teruk akibat ombak kuat sejak lebih seminggu lalu menyebabkan banyak pokok rhu dan pokok kelapa tumbang.

"Kita sedang tunggu laporan JPS sebelum langkah sewajarnya diambil tapi kita bersedia membantu menangani masalah hakisan di kawasan itu demi kepentingan orang ramai khususnya nelayan, " katanya.

Razif menjelaskan, kerajaan sedar kawasan ini merupakan tempat tumpuan golongan nelayan setempat yang bergantung hidup kepada hasil laut, jadi kerajaan akan cuba bantu mereka.

Menurut laporan Utusan Malaysia, beberapa bangsal yang sekian lama didirikan bagi kegunaan harian nelayan serta wakaf konkrit untuk dijadikan sudut istirehat turut musnah dan roboh dirobek ombak besar.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, apa yang tinggal hanya sisa beberapa batang pokok rhu yang sejak berlaku hakisan di kawasan itu dua tahun lalu sehingga sekarang, sudah lebih 50 batang pokok rhu tumbang.

Sedangkan kewujudan pokok-pokok rhu itu merupakan tarikan istimewa sehingga kawasan itu popular dengan nama Pantai Rhu, sekali gus menggamit ramai pengunjung untuk bersantai.

Hakisan itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan kira-kira 30 nelayan di kampung berkenaan malah dikhuatiri mengancam keselamatan mereka serta para pengunjung.

Seorang nelayan, Mohd. Nazri Ali, 42, ketika ditemui berkata, ombak besar setiap kali musim tengkujuh menyebabkan berlaku hakisan teruk dengan kejadian terbaru pada seminggu yang lalu.

Menurutnya, kejadian hakisan itu menyukarkannya serta rakan nelayan lain untuk ke laut terutama untuk membawa naik bot nelayan ke daratan yang jaraknya semakin jauh.

"Kali ini kejadian ombak besar kedua berlaku selepas yang pertama pada November lalu dan kejadian terbaru ini yang berlaku kira-kira lebih seminggu lalu menyebabkan pantai terhakis teruk.

"Kejadian ombak besar bermula sejak 2009 lagi iaitu pada musim tengkujuh dan seterusnya berlaku berulang kali sehingga sekarang," katanya yang menjadi nelayan sejak 1986.

Justeru, bapa kepada tiga orang anak itu berharap pihak yang berkenaan berusaha mencari jalan untuk menangani masalah tersebut demi keperluan dan keselesaan nelayan serta pengunjung.

Seorang lagi nelayan, Ibrahim Osman, 72, berkata, kawasan itu yang dilanda hakisan teruk perlu ditambak bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Dia bimbang sekiranya usaha membaik pulih hakisan serta menambak pantai tidak dilakukan, ia akan menyebabkan kawasan pesisiran pantai itu menjadi semakin teruk selain mengancam keselamatan orang ramai.

Kanak- Kanak Mangsa Asid Jalani Pembedahan Hari Ini

Kanak-kanak mangsa simbahan asid oleh bapanya sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan dijadual menjalani pembedahan di bahagian muka hari inik.

Nurul Dahyatul Fazlinda, 9, murid Sekolah Kebangsaan Padang Setar, Kuala Berang, akan menjalani pembedahan itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Nordiyanah Hassan berkata pembedahan melibatkan kanak-kanak itu akan diketuai Pakar Perunding Pembedahan Plastik Dr Najiha Syarida Zakaria.

"Pihak hospital tidak mempunyai masalah untuk menjalankan pembedahan di bahagian muka kanak-kanak itu.

"Kami memang mempunyai kemudahan peralatan serta kepakaran yang lengkap bagi masalah seperti ini," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Pada 15 Ogos lepas, Nurul Dahyatul Fazlinda terkena simbahan asid ekoran pertelingkahan keluarga yang turut mencederakan ibunya Che Ku Zaimah, 29, adiknya Muhammad Irfan Firdaus, 3, dan neneknya, Minah Omar, 56.

Menteri Besar ketika melawat Nurul ketika kejadian, Ogos lalu.

Akibat kejadian itu Nurul Dahyatul mengalami kecederaan parah di bahagian muka, manakala ibunya mengalami kecederaan di tangan dan belakang badan. Nenek dan adiknya pula terkena percikan asid dan hanya mengalami kecederaan kecil di bahagian muka dan badan.

Hospital, Jabatan Kesihatan Terengganu Bantu Pesakit SLE

Penderitaan Faridah Mamat, pesakit Sistem Lupus Eritematisus Kronik (SLE) yang terlantar koma, mendapat perhatian banyak pihak.

Makin ramai yang tampil memberi bantuan sejak penderitaan wanita dari Kuala Ibai, dekat sini dan kesukaran keluarga menjaganya akibat kekangan kewangan, dilapor media.

Terbaru, pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Jabatan Kesihatan Terengganu bersetuju memberikan bantuan berbentuk lampin dan susu yang merupakan keperluan utama Faridah, 23 tahun.

Timbalan Menteri kesihatan Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid Shirlin (gambar kiri) berkata bantuan yang diberikan itu diharap dapat meringankan beban kewangan ditanggung keluarga Faridah yang menjaganya secara sepenuh masa sejak wanita itu terlantar empat bulan lalu.

"Pihak kami bersetuju memberikan bantuan kepada pesakit ini memandangkan pesakit ini mempunyai masalah kekal dan bergantung kepada bantuan keluarga sepenuhnya," katanya ketika melawat Faridah di kediamannya, di sini Jumaat.

Beliau berkata bantuan itu merupakan usaha bersama yang dilakukan kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Faridah koma ketika mengandung bayi kembar berusia tiga bulan dan kandungannya terpaksa digugurkan berikutan penyakit yang ditanggung.

Sejak terlantar, Faridah yang memerlukan penjagaan sepenuh masa, dijaga suami dan keluarganya secara bergilir-gilir.

Sementara itu suami Faridah, Mohd Hanafi Abd Razak,24, berterima kasih kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan.

"Dengan bantuan yang diberikan ini ia sedikit sebanyak dapat meringankan masalah kewangan memandangkan pendapatan saya yang mengambil upah memasang dan menampal poster hanyalah sekitar RM20 sehari," katanya.

Katanya kos rawatan isterinya itu mencecah RM3,000 sebulan bagi membiayai susu, lampin dan tiub pakai buang, selain memerlukan tilam khas.

Berdasarkan laporan kesihatan yang dikeluarkan pihak hospital, penyakit Faridah tidak boleh diubati kerana sistem saraf otaknya rosak teruk akibat jangkitan kuman.

T'Team Hormat Bekas Juara Piala Malaysia, Kelantan Dalam Piala FA

T'Team yang dianggap pasukan baru dalam kejohanan bola sepak Liga Malaysia, tetap menghormati pasukan Kelantan, bekas juara Piala Malaysia 2010 apabila mereka bertemu dalam pertandingan Piala FA di Kuala Terengganu Feb ini.

Pengurusnya Rozi Mamat berkata sebagai juara sudah tentu pasukan Kelantan mempunyai pengalaman dan ramuan tertentu berbanding pasukan T'Team.

"Tambahan pula, mereka mempunyai jurulatih yang berwibawa dan disegani. Ini yang membuatkan T'Team menghormati pasukan tersebut," katanya ketika diminta mengulas perlawanan pertama T'Team menentang Kelantan, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini 19 Feb ini.

Sebelum itu, Rozi yang juga Pengerusi Belia dan Sukan Negeri (MSN) menghadiri majlis pertukaran penolong pengurus T'Team, yang juga Pengarah Majlis Sukan (MSN) negeri, Rosdi Awang ke Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) 1 Jan lalu.

Rozi berkata bagaimanapun T'Team telah bersedia dalam semua aspek untuk menghadapi Kelantan apabila kedua-dua pasukan itu bertemu nanti.

Katanya, T'Team yang bakal dibarisi bekas-bekas pemain kebangsaan seperti Nor Farhan Mohamad, Indra Putra Mahayuddin dan Rosdi Talib akan cuba memberikan persembahan terbaik.

Dalam usaha memantapkan lagi pasukan, beliau berkata T'Team akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan negeri di utara mulai 10 Jan ini.

'Kontroversi' melibatkan tiga bekas pemain Kelantan iaitu Nor Farhan Mohamad, Indra Putra dan Azizi Mohd Rose yang berhijrah ke T'Team tahun ini juga telah selesai, katanya tanpa mengulas lanjut.

MBKT Lancar Sistem OSC Online

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Datuk Adzlan Mohd Dagang merasmikan majlis pelancaran sistem Unit Pusat Setempat (OSC) online pada petang kelmarin (4 Januari) bertempat di Bilik Sidang Video Telekom Malaysia, Kompleks Medan Jaya, Marang.

MBKT merupakan antara 10 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dipilih bagi majlis pelancaran tersebut yang dijalankan serentak di seluruh negara oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia Datuk Wira Chor Chee Heung secara sidang video langsung dari Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Sistem OSC Online diharap akan dapat memendekkan tempoh masa menunggu bagi permohonan yang diproses serta dapat mengurangkan masa yang diambil untuk membuat sesuatu perancangan”, ulas Datuk Bandar ketika merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Sistem OSC Online dibangunkan oleh perunding yang dilantik oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan merupakan sistem permohonan di mana pemohon yang berdaftar dengan MBKT boleh menghantar permohonan pelan cadangan pembangunan secara dalam talian terus kepada MBKT.

MBKT telah menerima 3200 permohonan sejak tahun 2007 dengan purata permohonan antara 800 hingga 900 setahun dan 80 hingga 90 permohonan sebulan. MBKT menduduki tempat ketiga dalam menerima permohonan tertinggi antara PBT di Malaysia selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan 100 peratus permohonan berjaya diselesaikan.

Sistem ini akan beroperasi sepenuhnya pada Februari ini selepas melalui tempoh percubaan selama sebulan selepas majlis pelancaran dan sebulan selepas tempoh itu. Pemohon yang ingin mengunakan Sistem OSC Online perlu mendaftar dengan MBKT dan mengisi permohonan melalui laman web MBKT (http://online.mbkt.gov.my).

Dua pilihan diberikan kepada pemohon untuk menghantar permohonan samada melalui secara manual dengan menghantar terus ke kaunter OSC, Tingkat 7 ataupun melalui Sistem OSC Online mengikut keselesaan dan kemampuan pemohon tersebut.

Datuk Bandar MBKT meluahkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri terutama kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kerana banyak memberi sumbangan serta bantuan dalam setiap aspek dalam memastikan MBKT mengorak langkah seiring dengan PBT lain.

“Pihak MBKT mengalukan sebarang cadangan atau pandangan daripada pelbagai pihak terhadap kekurangan atau kelemahan dalam memberi khidmat kepada rakyat bandaraya dan perkara ini dianggap kredit kepada kami dalam memastikan perkhidmatan yang lebih baik dari masa ke semasa”,katanya lagi.
teganukita

Thursday, January 6, 2011

Mangsa Banjir di Terengganu Meningkat

Keadaan banjir di Terengganu malam ini bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 692 orang daripada 65 keluarga berbanding 144 orang petang tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata, sehingga pukul 8 malam ini seramai 414 orang daripada 210 keluarga di Hulu Terengganu dipindahkan berbanding 52 orang petang tadi.

Mukim-mukim yang terlibat dengan banjir di Hulu Terengganu ialah Hulu Telemong, Hulu Berang dan Bukit Diman, katanya ketika dihubungi di sini.

Di Setiu pula, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 259 orang membabitkan 65 keluarga berbanding 92 orang daripada 28 keluarga sebelum ini.

Jurucakap itu berkata, di Kemaman 19 orang daripada lima keluarga di Padang Kubu dipindahkan ke pusat pemindahan petang ini.

Sebanyak 14 pusat pemindahan dibuka sehingga pukul 8 malam ini iaitu sembilan di Hulu Terengganu, satu di Kemaman dan empat di Setiu, katanya.

Sejak jam 9 pagi ini, bacaan air di dua tempat sukatan banjir di daerah Besut sudah melepasi paras berjaga-jaga dengan paras air di Sungai La ialah 17.55 meter (melepasi paras berjaga-jaga 17.20 meter) dan di Jambatan Jerteh ialah 7.75 meter (melepasi paras berjaga-jaga 7.30 meter).

Pagi ini, jalan di sekitar daerah Besut masih boleh dilalui walaupun di sesetengah tempat antara Seberang Jerteh dan Kuala Besut air telah melimpah ke jalan.

Hujan turun sepanjang hari ini dan sehingga jam 5.30 petang ini di beberapa daerah, hujan turun tidak henti-henti.

Tiga daerah di Terengganu mula dilanda banjir musim tengkujuh yang menyaksikan ratusan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir mulai semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata sehingga pukul 9 pagi ini, lima pusat pemindahan telah dibuka iaitu empat di Hulu Terengganu dan satu di Setiu.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir di Ibupejabat Polis Daerah Besut berkata penduduk terlibat mula dipindahkan ke Masjid Kampung La mulai pukul 8 malam tadi.

Menurutnya, mangsa yang terlibat terdiri daripada 20 orang dewasa dan 17 kanak-kanak.

Bagaimanapun, katanya, mereka dijangka akan pulang ke rumahnya sekiranya air terus surut dalam masa yang terdekat.

Banjir: Murid Dari Dua Buah Sekolah Di Besut Diarah Pulang

Kira-kira 1,000 orang murid dari dua buah Sekolah Rendah di daerah Besut diarah pulang pagi ini apabila kawasan sekolah mereka dinaiki air antara 0.2 hingga 0.6 meter.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri dan Sekolah Kebangsaan Tok Raja di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Jerteh.

Beberapa sekolah lain pula yang turut dinaiki air di daerah ini telah menempatkan pelajar mereka di bangunan yang lebih selamat.

Sekolah yang mengambil langkah sedemikian ialah Sekolah Kebangsaan Alor Peroi dekat Kuala Besut dan Sekolah Kebangsaan Gong Bayor di kawasan Kota Putera.

Sementara itu, seramai 37 orang daripada sembilan keluarga di Kampung La, Hulu Besut dipindahkan ke pusat pemindahan banjir setelah kediaman mereka dinaiki air malam Rabu.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir di Ibupejabat Polis Daerah Besut berkata penduduk terlibat mula dipindahkan ke Masjid Kampung La mulai pukul 8 malam semalam.

Menurutnya mangsa terdiri daripada 20 orang dewasa dan 17 kanak-kanak.

Bagaimanapun mereka dijangka pulang ke rumah sekiranya air surut dalam masa yang terdekat berikutan hujan yang berterusan sejak kelmarin mulai berhenti.

Sementara itu bacaan air di dua tempat sukatan banjir di daerah ini telah melepasi paras berjaga-jaga dengan paras air di Sungai La sehingga pukul 9 pagi tadi ialah 17.55 meter (melepasi paras berjaga-jaga pada 17.20 meter) dan di Jambatan Jerteh 7.75 meter (melepasi paras berjaga-jaga 7.30 meter).

Jalan di sekitar daerah Besut masih boleh dilalui walaupun di sesetengah tempat antara Seberang Jerteh dan Kuala Besut air telah melimpah ke atas jalan.

Ganjaran Kerajaan Pusat Selepas Terengganu, Kelantan & Perak

Pasukan bola sepak negara yang menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta baru-baru ini, akan meraikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis makan tengah hari pada Rabu depan, di Seri Perdana di Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata semalam. pada majlis itu juga Najib dijangka mengumumkan ganjaran yang bakal diterima kesemua pemain yang telah beraksi pada kejohanan melibatkan negara-negara Asia Tenggara tersebut.

Terengganu mengumumkannya habuan lebih awal untuk pemain berasal dari negeri itu apabila pada 1 Januari lalu, sekembalinya dari bercuti diu luar negara, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengatakan enam pemain negeri yang terbabit dengan Piala Suzuki itu akan menerima ‘durian runtuh’.

Semalam, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Ahmad Said berkata enam pemain negeri yang membantu skuad negara memenangi Piala Suzuki AFF baru-baru ini, akan menerima insentif tanah kediaman dan wang, seperti yang dijanjikan pada Isnin ini.

Pemain tersebut ialah Mohd. Ashaari Shamsuddin dan Mohd. Sharbinee Alawee, yang kini mewakili skuad Terengganu serta Norshahrul Idlan Talaha (gambar kanan) dari skuad Kelantan. Tiga lagi pemain skuad Harimau Muda A iaitu Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Faizal Muhammad dan Izzaq Faris Ramlan.

Ahmad Said berkata, majlis tersebut akan diadakan di Kuala Terengganu, serentak dengan majlis menandatangani perjanjian para pemain skuad Terengganu dan T-Team.

Beliau memberitahu, pada majlis tersebut, pemain terbabit akan menerima imbuhan RM5,000 seorang dan diberi borang bagi urusan pemberian sebidang tanah untuk kediaman.

Menurut Menteri Besar, pemberian insentif itu menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan Terengganu cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk pelajaran.

Pada 29 Disember lalu, skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih K. Rajagobal menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir kedua di Jakarta dengan agregat 4-2.

Semalam juga Kerajaan negeri Perak berkata ia akan memberi imbuhan sebanyak RM10,000 kepada penyerang pasukan kebangsaan Mohd Safee Mohd Sali (gambar kiri) kerana membantu negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010 serta muncul sebagai penjaring terbanyak pada kejohanan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang mengumumkan ganjaran itu, berkata Mohd Safee akan menerima RM5,000 kerana membantu negara memenangi piala berprestij itu manakala RM5,000 lagi kerana muncul penjaring terbanyak dengan lima gol.

Turut menerima ganjaran RM5,000 ialah dua lagi pemain anak Perak yang mewakili pasukan negara pada kejohanan itu iaitu Mohd Sabre Mat Abu dan Mohamad Fadli Mohd Shas.

"Adalah wajar kita memberikan sumbangan kepada tiga anak Perak yang menyumbangkan tenaga untuk negara...Saya cukup terharu dan bangga dengan kejayaan kita menjuarai Piala Suzuki AFF selepas menanti selama 14 tahun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini Rabu.

Mohd Safee merupakan anak kelahiran Behrang dan kini keluarganya menetap di Tapah. Beliau pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat sebelum bepindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Manakala Mohd Sabre pula adalah anak kelahiran Parit Buntar dan Mohamad Fadli pula adalah anak anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang lahir di Lumut.

Kesemua mereka akan menerima imbuhan masing-masing dalam satu majlis ringkas yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sebelum ini Kelantan turut memberikan anugerah kepada salah seorang pemain pasukan kebangsaan iaitu penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat (gambar kiri)yang mengharumkan nama negara.

Dilaporkan, Kerajaan Kelantan sedang berbincang untuk mencari rumah serta lokasinya yang sesuai untuk dihadiahkan kepada

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunaan Insan, Belia Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri juga belum menetapkan nilai rumah yang akan dihadiahkan kepada pemain remaja itu.

Dua hari lalu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan hadiah tersebut. Khairul Fahmi turut mengharumkan nama negeri Kelantan.

Dengan semangat ‘membalas jasa’ dan menjadikan contoh bagaimana mereka yang mengharumkan nama Malaysia akan diberikan habuan sewajarnya sperti pasukan kebangsaan yang turut dikenali sebagai skuad Harimau Malaysia.

Kejayaan itu menamatkan penantian 14 tahun negara untuk membawa pulang piala AFF Suzuki selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Disember lalu, bukan sahaja kerajaan negeri tetapi Kerajaan Pusat juga amat menghari sumbangan mereka.

Berikutan kemenangan itu Perdana Menteri mengumumkan Jumaat berikutnya iaitu 31 Disember lepas sebagai cuti umum.

Selain ganjaran daripada kerajaan, pemain akan turut menerima wang tunai daripada Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Tabung yang ditubuhkan bagi mengumpul sumbangan kepada skuad bola sepak kebangsaan jika mereka memenangi piala tersebut, setakat ini menerima ikrar sumbangan lebih RM80,000.

Rasanya jumlah itu adalah masih kecil dan penyumbang masih boleh menghulurkan sumbangan mereka agar menjelang Rabu dengan, ia menjadi jumlah yang lebih besar.

Jika Indonesia menjanjikan RM1 juta untuk dibahagikan sekiranya pemain mereka menjadi johan, Malaysia yang terkenal dengan rakyatnya yang pemurah, mampu menyaingi jumlah tersebut.

Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi ia adalah perangsang untuk anak muda yang akan melihat bahawa sukan juga mampu mendatangkan rezeki yang baik jika pencapaian mereka baik di persada antarabangsa.

8,551 Dapat Sagu Hati Sempena Tahun Baru Cina

Menteri Besar mengumumkan sagu hati pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman petang semalam.

Khabar gembira buat 8,551 rakyat berketurunan Cina di negeri ini apabila kerajaan negeri akan menghulurkan 'duit raya' sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 3 Feb depan.

Sejumlah RM2.4 juta diperuntukkan bagi tujuan itu bagi mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah dengan setiap seorang bakal menerima RM300.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengesahkan perkara itu berkata, agihan bermula di daerah Kemaman pada Ahad ini yang melibatkan peruntukan RM532,300.

"Bagi daerah-daerah lain, wang saguhati tersebut akan diagihkan pada 15 Januari ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Mazlan Ngah.

Ahmad Said Kena Buat Pilihan Tepat

Oleh Zamzuri Damanhuri (Rabu, 5 Jan 2011)
(Tajuk asal - UMNO Terengganu : MB Kena Buat Pilihan Tepat)

Apabila sah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilantik menjadi Pegerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, ramai yang mengharapkan beliau akan melakukan sesuatu kepada jentera parti itu di negeri itu, bagi menghadapi PRU 13.

Tugas besar yang perlu dilakukan ialah menyusun tenaga untuk memperkuatkan jentera. Ramai yang memerhatikan, siapakah pilihan beliau untuk menduduki kerusi Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan.

Jika tersalah buat pilihan, Umno Terengganu akan menjadi Umno yang lembap, kaku dan lesu.

Sekarang, jawatan Setiausaha disangdang Datuk Tengku Putera Tengku Awang. Beliau adalah Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Ketua Penerangan, tidak usahlah kekalkan Datuk Ahmad Shabery Chik kerana tugas beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan sudah terlalu banyak bebanan kerja.

Berilah peluang kepada ketua bahagian lain yang dikira mampu membantu untuk menyegarkan Umno Terengganu. Misalannya, Datuk Md Jidin Shafie atau Datuk Nasir Ibrahim.

Ini sekadar contoh. Bukan bermakna Datuk Wan Farid, Datuk Tengku Putera, Datuk Rosli Mat Hassan dan Datuk Idris Jusoh tidak layak tetapi, kewajaran memberi peluang kepada Md Jidin atau Nasir dilihat lebih baik.

Apa yang penting, Ketua Penerangan itu mestilah seorang yang tahu apa peranan yang patut mereka mainkan kerana Umno Terengganu adalah Umno negeri yang baru sahaja dilanda kemelut angkara perbuatan segelintir mereka yang berniat mahu menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar.

Menteri Besar juga seharusnya menukarkan bendahari kepada orang lain, kerana bendahari sekarang tidak kelihatan begitu sesuai dengan kedudukannya sebagai timbalan ketua bahagian.

Ambillah dari kalangan ketua bahagian kerana ia tidak akan menjadikan ketua bahagian terasa terpinggir dengan jawatan di peringkat negeri.

Seluruh ketua-ketua bahagian di Terengganu kenalah bersabar untuk menunggu Datuk Seri Ahmad Said mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi mendapatkan restu dan amanat sebelum membuat apa-apa pengumuman rombakan kepimpinan Umno Terengganu itu.

Dan belajarlah menerima hakikat dengan menyokong apa juga keputusan yang beliau ambil terutamanya jika beliau mahu mendapatkan khidmat seorang setiausaha perhubungan yang baru, menggantikan Tengku Putera.

Umno Terengganu perlu berinovasi dan bermotivasi dengan perubahan yang bakal dibuat.

Agihan E-Book & Bantuan Pakaian Sekolah

Kerajaan negeri juga bersetuju untuk meneruskan pengagihan e-Book dan pakaian sekolah kepada pelajar sekolah menengah dan rendah di negeri ini tahun ini.

Bagi e-Book, jelas beliau, seramai 23,120 murid tahun lima dari 349 buah sekolah rendah di seluruh Terengganu akan mula menerima peralatan tersebut pada 16 Januari ini.

"Agihan e-Book ini akan kita mula agihkan pada 16 Januari ini dan seramai 23,120 murid tahun lima dari 349 buah sekolah rendah di negeri ini akan menerima kemudahan itu," katanya.

Selain itu, kata Ahmad Said, seramai 106,506 pelajar miskin dari sekolah rendah dan menengah di Terengganu akan menerima bantuan pakaian sekolah yang membabitkan peruntukan kira-kira RM12 juta.

Tambah beliau, kesemua pelajar miskin berkenaan merupakan dari kalangan keluarga yang berpendapatan bawah RM1,200.

"Kita agihkan kepada keluarga mereka berpendapatan di bawah RM1,200 sebulan dan (penerima) tahun ini sama ramai seperti tahun lepas.

Kalau ada pun lebih sedikit saja," katanya.

Terengganu Antara Dikesan Wabak FMD

Wabak penyakit kuku dan mulut (FMD) yang menyerang ternakan lembu tenusu, telah dikesan di lima negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin ketika mengesahkan perkara itu berkata, bagaimanapun, wabak itu dalam keadaan terkawal.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi membantu penternak yang terjejas akibat wabak berkenaan, termasuk pemberian wang tunai, lembu tenusu serta perubatan.

Dr Abdul Aziz turut menafikan laporan bahawa lebih 20 pusat ternakan terjejas akibat wabak FMD di Negeri Sembilan.

Bercakap kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai lembu tenusu di Putrajaya semalam katanya, hanya empat pusat di negeri itu terjejas akibat penyakit yang boleh menjangkiti semua ternakan seperti lembu, kerbau, kambing dan babi, tetapi tidak berjangkit kepada manusia.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menyasarkan 2016 bagi mencapai status bebas FMD.

Sehubungan itu, Dr Abdul Aziz berkata Pusat Kuarantin Antarabangsa (IQC) perlu dibina bagi membendung penularan wabak seperti FMD dan penyakit lain yang menyerang ternakan kerana ia mampu menjejaskan ekonomi negara.

Beliau berkata IQC akan dijadikan penempatan sementara ternakan dari luar negara bagi membina imunisasi haiwan tersebut, selain memantau kehadiran wabak penyakit.

"Ternakan akan ditempatkan di IQC sekurang-kurangnya dua bulan, sebelum dibawa ke pusat ternakan," katanya.

Beliau berkata kos pembinaan IQC dianggarkan kira-kira RM10 juta dan ia perlu dibina di lokasi terpencil seperti pulau, dengan keluasan 8.0937 hektar.

MB Minta JKR Ganti Lampu Limpah SSINS Untuk Pertandingan Liga Malaysia

Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan supaya menggantikan lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) bagi membolehkan pertandingan bola sepak Liga Malaysia diadakan di situ.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata ini kerana kecerahan lampu limpah di stadium berkenaan tidak mencapai standard yang disyaratkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya telah dimaklum, dan saya telah arahkan JKR ganti lampu yang baru kerana tidak cukup cahaya untuk pertandingan tersebut," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu.

Ahmad berkata kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana SSINS satu-satunya stadium yang ada di Terengganu untuk pertandingan bola sepak.

Beliau berkata kerajaan negeri pada mulanya merancang untuk merobohkan stadium yang berusia lebih 40 tahun itu tetapi terpaksa dibatalkan kerana Stadium Sultan Mizan roboh pada Jun 2009.

"Oleh kerana Stadium Sultan Mizan akan dibaiki dan akan memakan masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan, maka SSINS terpaksa digunakan buat sementara waktu," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata masalah kecerahan cahaya lampu limpah itu juga menyebabkan pasukan Terengganu terpaksa berlatih di tempat lain.

PBSNT telah memohon kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu agar mengatasi masalah tersebut dan difahamkan mereka akan berbuat demikian dalam masa terdekat, katanya.

Polis Nasihat Pengguna Berhati-hati Lalu Jalan Gua Musang-Kuala Berang

Polis mengingatkan pengguna Jalan Gua Musang- Kuala Berang, Terengganu supaya lebih berhati-hati berikutan terdapat banyak kerosakan teruk termasuk lubang besar di laluan berkenaan yang terdedah kepada bahaya kemalangan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata kawasan yang paling teruk berlaku kerosakan adalah di Kilometer 47 dari Kuala Berang ke Gua Musang.

"Kerosakan juga turut berlaku di jalan kawasan Rancangan Tanah Felda Aring yang memerlukan pengguna lebih berwaspada terutama waktu malam.

"Musim tengkujuh sekarang antara faktor berlaku kerosakan jalan dan kita telah meninjau di sepanjang jalan itu dengan mengenalpasti lokasi bahaya," katanya selepas membuat tinjauan ke laluan itu semalam.

Sementara itu, beliau berkata kadar kemalangan jalan raya membabitkan jalan utama di Hulu Kelantan sudah menurun sepanjang tahun lalu berikutan sikap pengguna yang lebih berhati-hati.

SKM Terengganu Tumpu Koperasi Pelancongan Dan Pemborongan

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu akan menumpukan usaha untuk memperbanyakkan lagi Koperasi Pemborongan dan Koperasi Pelancongan pada tahun ini.

Pengarahnya Umar Sarim Saidin berkata ini kerana kedua-dua bidang tersebut kurang diceburi oleh koperasi di negeri itu sedangkan kedua-dua aktiviti itu banyak terdapat di negeri itu.

"Terlalu sedikit ada koperasi pemborongan dan koperasi pelancongan di negeri Terengganu jika dibanding dengan peluang yang ada," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Sebagai contoh, beliau berkata pada masa kini hanya terdapat tiga koperasi pemborongan di Terengganu iaitu Koperasi Perwaja Berhad, Koperasi PMINT dan Koperasi Ladang Rakyat Terengganu Berhad.

Beliau berkata tiga koperasi itu diberikan lesen barangan terkawal seperti tepung, minyak masak dan diesel.

Bagaimanapun, katanya koperasi pelancongan agak berkembang iaitu daripada empat buah pada tahun 2009 meningkat kepada 10 pada tahun lepas.

Umar Sarim berkata sebagai langkah galakan, SKM telah mengundang koperasi pelancongan berjaya di Sabah iaitu Koperasi Mukim Batu Putih, Kinabatangan Berhad untuk berkongsi pengalaman mereka di sini November lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata SKM telah berjaya menubuhkan sebanyak 450 buah koperasi dalam pelbagai bidang sehingga akhir tahun lalu dan untuk tahun ini SKM mensasar untuk menubuhkan 50 buah koperasi baru di negeri ini.

Hujan Lebat Di Pantai Timur Semenanjung Dan Sabah Berlanjutan Sehingga Sabtu

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat Jingga di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu yang dijangka berterusan sehingga lusa Sabtu).

Hujan berterusan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah berdekatan sungai.

Antara kawasan yang terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai manakala di Terengganu pula ialah Besut dan Dungun.

Amaran peringkat kuning iaitu hujan sekejap-sekejap pula dikeluarkan untuk Kuantan, Pahang dan beberapa kawasan lain di Terengganu termasuk Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Kemamam.

Keadaan itu dijangka berterusan sehingga Sabtu dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran tebing sungai.

Keadaan sama juga akan berterusan sehingga malam Jumaat di Kudat, Pitas, Kota Marudu, Ranau, Kota Belud, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan di Sabah.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di perairan Condore Rabu ini dengan kelajuan angin 60km sejam dan ombak setinggi 5.5 meter.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Angin kencang sehingga mencapai kelajuan 50-60km sejam dengan keadaan ombak setinggi 4.5 meter pula dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Reef North, Layang-Layang dan Palawan.

Angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan kelajuan 40-50km sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berterusan sehingga Rabu di perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri), Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat, Pedalaman, Kudat dan Sandakan), Tioman, Bunguran, Reef South dan Sulu dan keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Wednesday, January 5, 2011

Kerajaan Terengganu Mahu PBT Berdikari

Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Setiu mengangkat sumpah pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Terengganu Tahun 2011-2012 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said semalam memulakan tugas rasmi Tahun 2011 dengan menghadiri majlis pengakuan menerima jawatan Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan negeri Terengganu tahun 2011-2012.

Pada majlis itu dengan tegas Amad Said menyatakan agar PBT mampu berdikari dan kerajaan negeri tidak boleh selama-lamanya ‘membiayai dan menanggung kos perkhidmatan’ PBT di Terengganu.

Dengan kata lain, kerajaan negeri berharap PBT di negeri ini mampu berdikari menyediakan peruntukan kewangan mereka kerana kerajaan negeri tidak berhasrat untuk selamanya membantu agensi itu.

Ini kerana saban tahun kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan peruntukan besar lebih daripada RM300 juta setiap tahun dan wang itu boleh disalurkan untuk tujuan pembangunan jika PBT tidak lagi bergantung kepada kerajaan.

"Kita harap PBT boleh berdikari dan duit sebanyak RM300 juta boleh dibelanjakan untuk projek lain," katanya.

Beliau mengulangi soal pembiayaan ini kepada pemberita selepas majlis pengakuan menerima jawatan Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan negeri Terengganu tahun 2011-2012, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Majlis itu melibatkan seramai 250 ahli PBT daerah Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM366 juta untuk membantu PBT di negeri ini bagi membolehkan perancangan bandar dan daerah dilaksanakan.

Katanya, setakat ini hanya dua PBT iaitu Majlis Daerah Besut dan Majlis Daerah Hulu Terengganu dilihat berpotensi untuk berdikari seperti yang berjaya dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kemaman.

Justeru itu jelasnya, dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan PBT yang lain, kerajaan negeri telah mengarahkan kesemua PBT untuk memohon tanah bagi membolehkan ia dimajukan sekali gus menjana pendapatan kepada mereka.

"Apabila PBT mampu berdikari sendiri, lebih banyak kepentingan rakyat dapat dilaksanakan tanpa perlu bergantung dengan keputusan kerajaan negeri.

"PBT perlu bijak untuk menggunakan peluang yang ada untuk membangunkan daerah mereka. Jika tidak mampu, mereka boleh buat kerjasama dengan pihak swasta," ujarnya.

Kerajaan negeri juga akan mengkaji kemungkinan menaikkan kadar cukai pintu bandar raya ini dalam usaha meningkatkan prasarana dan perkhidmatan kepada warganya.

Menteri Besar berkata, kadar cukai pintu sedia ada dalam zon pentadbirannya tidak pernah dinaikkan sejak 30 tahun lalu walaupun telah dua kali melaksanakan kajian terhadap cadangan itu.

Katanya, jika kenaikan tersebut dapat dilaksanakan, kerajaan negeri yakin dapat mengurangkan beban kerajaan sebanyak RM50 juta setahun untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

"Adalah wajar kerajaan negeri menaikkan cukai pintu seperti yang dilakukan di negeri-negeri lain, namun kita masih perlu memikirkan tentang kepentingan rakyat.

"Jadi buat masa ini, kerajaan terpaksa mengambil langkah dengan mencari sumber lain untuk membolehkan MBKT memperoleh pendapatannya sendiri," katanya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta beberapa Exco Kerajaan Negeri.

Harga Petrol, Minyak Tanah Naik 10 Sen

Asnaliza, 34, (kanan) menunjukkan isyarat tangan tiada bekalan minyak masak sambil rakannya, Syuhaidah Husin, 20, memegang kertas bertulis 'minyak masak habis' di pasaraya di Jalan Datok Kramat, Pulau Pinang, semalam.
Harga petrol RON97 dan minyak tanah masing-masing akan naik sebanyak 10 sen seliter mulai tengah malam ini, kata Presiden Persatuan Penjual Petrol Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman.

Beliau berkata, dengan kenaikan itu, harga petrol RON97 akan naik kepada RM2.40 seliter (sebelum ini RM2.30 seliter) sementara minyak tanah kepada RM2.50 seliter.

Hashim yang dihubungi berkata, beliau dimaklumkan mengenai kenaikan harga kedua-dua minyak tersebut oleh pihak berkuasa malam ini.Kali terakhir harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Dis lalu, menjadikan RM2.30 seliter.

Kenaikan esok tidak akan menjejaskan harga petrol RON95 yang kekal RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter dan LPG RM1.90 sekilogram.

Menurut laporan hari ini, minyak yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (Opec) meningkat kepada US$89.79 mulai minggu ini.

Beruntungnya Warga Emas Apabila 2 Wanita Sedia Mengahwininya

Warga emas berusia 110 tahun, Ahmad Md. Isa mempunyai lebih pilihan dalam mencari teman hidup untuk mengubat kesepian apabila seorang lagi wanita menawarkan diri untuk menjadi isterinya.

Wanita berkenaan, Zainab Salleh, 70, (gambar kanan) lebih muda 12 tahun daripada Sanah Ahmad, 82, dari Kuala Lumpur yang mula-mula menawarkan diri untuk menjadi isteri Ahmad selepas membaca kisahnya mencari teman hidup di akhbar baru-baru ini.

Zainab dari Kampung Telaga Papan, Kerteh dekat sini yang tersentuh dengan kisah Ahmad menyatakan kesediaan untuk menjadi isterinya agar usia tua tidak lagi dilalui secara bersendirian.

“Sunyi itu sakit. Jika dia terima, saya sedia tinggal bersamanya di Kedah,” ujar Zainab yang kematian suami 15 tahun lalu.

Ibu kepada lapan orang anak berusia 30 hingga 53 tahun itu berkata, dia memahami mengapa dalam usia yang begitu lanjut Ahmad masih memerlukan teman.

Zainab kini tinggal berseorangan selepas anak perempuan yang menemaninya selama ini berkahwin beberapa bulan lalu dan berpindah mengikut suaminya.

Sebelum ini kata Zainab, dia pernah berkenalan dengan seorang lelaki dari Pasir Puteh, Kelantan dan merancang untuk berkahwin, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana lelaki itu tidak serius.

“Anak-anak belum tahu mengenai hasrat ini dan saya harap mereka dapat menerimanya. Kalau boleh saya mahu seorang peneman hidup, sekurang-kurangnya dapat berbual dan berkongsi rasa,” katanya ketika ditemui semalam.

Sebelum ini Utusan Malaysia menyiarkan tentang keinginan Ahmad untuk berkahwin lagi bagi mengubat kesunyian.

Tahap kesihatan Ahmad yang menetap di Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, Kedah bagaimanapun dilaporkan agak menurun kebelakangan ini.

Ditanya mengenai hajat Sanah yang turut menyuarakan hasrat menjadi isteri Ahmad, Zainab menyerahkan perkara itu kepada takdir.

”Saya maklum ada seorang lagi wanita yang ingin menjadi isteri Ahmad dan saya tidak kisah kerana percaya kepada ketentuan jodoh,” katanya.

Zainab yang kelihatan masih bertenaga berkata, tahap kesihatan Ahmad tidak menjadi soal kerana dalam usia emas tiada seorang pun yang sihat berpanjangan.

Terengganu Sedia RM5 Juta Untuk Kejar Juara Liga Musim Ini

Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah memperuntukan bajet RM5 juta dalam usaha memburu kejuaraan dalam kancah Liga Malaysia yang akan bermula pertengahan bulan ini.

Pengurus pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, berkata peruntukan tahun ini adalah tambahan RM1 juta berbanding RM4 juta yang dibelanjakan untuk mempersiapkan pasukan menghadapi Liga Super.

Katanya Terengganu telah menyasarkan untuk meraih Piala Malaysia dan Piala Liga Super musim ini.

"Kita yakin dapat mencapai matlamat itu memandangkan semangat dan prestasi pemain yang begitu memuncak," katanya semalam..

Che Mat, yang juga presiden PBSNT, berkata Terengganu juga akan mendapat khidmat beberapa pemain berwibawa yang diyakini dapat mengukuhkan lagi pasukan.

Antara pemain itu termasuklah penyerang dari Kelantan Md Ailim Fahmi Kamaruddin, pemain tengah daripada Perak, Shafuan Adli Shaari dan Reeshafiq Alwi dari KL Plus FC.

Che Mat berkata pemain telah menunjukkan prestasi yang membersangkan dalam semua posisi dalam beberapa siri ujian yang telah diadakan bagi memilih pemain menyarung jersi Terengganu musim ini.

Selain sesi latihan, katanya, pemain juga mendapatkan suntikan daripada pakar motivasi bagi menguatkan mental dalam menghadapi pertandingan liga musim ini.

Dalam empat perlawanan persahabatan dengan Negeri Sembilan, Felda United, Pos Malaysia dan Kuala Lumpur tanpa khidmat dua pemain kebangsaan itu, pemain semakin menunjukkan keserasian dan peningkatan sekalipun mencatat satu kemenangan dan tiga seri.

“Kalau 10 tahun lalu Terengganu menjulang Piala Malaysia buat pertama kali, tahun ini kita akan cuba mengulanginya,” kata Che Mat.

Terengganu menaruh kepercayaan dengan mengekalkan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim yang mengakui tidak berdepan banyak masalah membentuk pasukan mantap musim ini hasil gandingan pemain berpengalaman dan muka baru.

Skuad Terengganu kini giat menjalani latihan pada setiap petang di padang Pusat Latihan Telekom di Rusila, Marang berikutan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sedang menjalani proses pembaikan.

Drapac Sedia Gegar LTdL 2011

Pasukan benua, Drapac Professional Cycling, dari Australia akan bergantung kepada pelumba Belanda Floris Goesinnen untuk menggalas cabaran dalam pendakian di Genting Highlands dan Cameron Highlands pada perlumbaan Le Tour De Langkawi (LTdL) 2011.

Bagaimanapun, pasukan itu turun untuk memberi saingan tanpa pelumba bintang, Peter McDonald, yang juga Raja Bukit LTdL 2010.

"Geosinnen pakar dalam mencari peluang untuk berpecah dari peloton di awal perlumbaan," kata pengurus pasukan Agostino Giramondo seperti dipetik dalam kenyataan jabatan media LTdL di sini hari Selasa.

Menurut kenyataan itu, Drapac, yang sebelum ini dikenali sebagai Drapac-Porsche, menyandarkan harapan kepada Geoesinnen yang muncul sebagai Raja Bukit pada perlumbaan Driedaagse de Panne, naib juara Denmark Runhfahrt dan tempat keempat pada Grand Prix Temse tahun lepas.

Pasukan dari Melbourne itu telah mencapai beberapa pencapaian sepanjang tahun lepas pada LTdL 2010, Piala Jepun, Jelajah Okinawa, Melbourne-Warnabool dan Jelajah Bright.

Menurut kenyataan itu, pasukan itu berhasrat memperbaiki tempat keenam keseluruhan pada LTdL 2010 pada edisi kali ini yang bermula 23 Jan ini.

Selain Geosinnen, pasukan itu akan membariskan lima pelumba lain iaitu David Pell, Rhys Pollock, Tom Palmers dan Stuart Shaw, kesemua pelumba Australia dan pelumba Malaysia berasal dari Terengganu, Muhamad Adiq Husainnie Othman.

Muhamad Adiq Hussainie muncul sebagai pelumba negara terbaik pada edisi lepas dengan menduduki tangga ke-35 keseluruhan.

Bagaimanapun, seorang lagi pelumba negara, Amir Mustafa Rusli, 23, yang menjadi pelumba kedua negara menyertai pasukan itu, tidak disenaraikan pada LTdL 2011.

Amir Mustafa, pelumba Terengganu, menyertai pasukan kebangsaan dan muncul pelumba tempatan kedua terbaik pada edisi lepas.

TTI Tawar Pakej Makan Dagang Atas Bot

Seorang pengunjung menikmati Nasi Dagang 'River Cruise'

Teganukita (Isnin, 2 Jan 2011)

Menyusuri sungai sambil bersantai menikmati hidangan makanan tradisional khususnya nasi dagang menjadi tarikan terbaru kepada pengunjung yang melawat destinasi popular negara, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

TTI menawarkan `Pakej Makan Nasi Dagang’ sebagai transformasi tarikan pelancongan yang mampu memberi kepuasan dan kelainan kepada setiap pengunjung.

Pakej makan atas bot yang turut disediakan kuih-muih dapat menambahkan lagi keseronokan semasa menikmati keindahan pemandangan di sekitar Bandar menyusuri sungai itu dengan mengenakan bayaran RM25 seorang bagi setiap perjalanan.

“Pakej Makan Nasi Dagang atas bot memang memberi kepuasan, selain makanan yang sedap, saya juga dapat mengenal tempat-tempat yang menarik di sekitar sungai Terengganu sepanjang perjalanan yang di lalui” kata Aminah bt Ibrahim, 47 salah seorang pemenang Program Kuiz Santai TTI-Tfm yang di temui ketika belayar bersama media, kelmarin (1 Januari).

Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran TTI, Puan Nor Sabihah Fidri, perkhidmatan “River Cruise”, TTI menyediakan beberapa jenis bot seperti Sri Wan Man, Seri Kristal dan Seri Warisan yang mampu memuatkan 45 penumpang setiap perjalanan dengan kadar bayaran RM10 seorang termasuk perlindungan insuran.

Katanya, bukan sahaja keseronokan belayar, pelancong juga boleh menikmati keindahan TTI dengan melawat 21 monumen masjid dan tempat-tempat bersejarah Islam.

“Bagi menambah lagi tarikan pengunjung, TTI sedang membina sebuah lagi replika masjid bersejarah iaitu Masjid Sultan Singapura dan sebuah kincir air sebagai tarikan baru di pusat pelancongan ini,” katanya.

PBSNT Bangga Pemain Terengganu Cukup Berdisiplin

Mohd Ashaari menjaringkan gol pada perlawanan Piala Suzuki baru-baru ini.

Lima pemain Harimau Malaya kelahiran Terengganu bersama keluarga masing-masing diraikan dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Kuala Terengganu, kelmarin sebagai tanda menghargai jasa dan sumbangan mereka membantu menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

Mereka adalah Mohamad Ashaari Samsuddin, Mohd Sarbinee Allawee, Mohamad Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd Faizal Muhamad turut menerima sebuah jam tangan sebagai tanda penghormatan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Sebelum ini, semua pemain berkenaan menerima ganjaran RM5,000 dan lot tanah untuk tapak rumah daripada kerajaan negeri yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

PBSNT turut memberi hadiah kepada Manaf Mamat di atas kejayaan skuad bola sepak B-23 negara meraih pingat emas dalam Sukan SEA 2009 lalu.

Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh melahirkan rasa gembira kerana ramai anak Terengganu bermain dalam skuad bergelar ‘Harimau Malaya’ dan membantu mencipta kejayaan paling berharga selepas menundukkan Indonesia dalam final timbal balas.

“Saya diberitahu oleh (jurulatih) K Rajagobal bahawa semua pemain Terengganu cukup berdisiplin dan tidak menimbulkan sebarang masalah ketika menjalani latihan serta ketika bermain dalam final itu,” katanya selepas majlis berkenaan.

Terengganu, katanya, melahirkan ramai pemain bola sepak berbakat sejak dulu hingga berjaya diserapkan dalam skuad kebangsaan seperti Harun Jusoh dan Yahya Jusoh.

Hujan di Pantai Timur hingga Sabtu

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok sehingga Sabtu.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, kawasan yang terbabit di Kelantan ialah daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai, manakala di Terengganu pula ialah daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dan di Pahang ialah daerah Kuantan. Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederahana yang kini berlaku di Sabah dijangka berlarutan hingga Jummat. Kawasan terbabit ialah di Kudat, Pitas, Kota Murudu, Ranau, Kota Belud, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan. "Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing sungai," menurut kenyataan itu.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 50 kilometer hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang kini berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 kilometer hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga tiga dan lima meter yang kini berlaku di perairan Pahang, timur Johor, Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri), Tioman, Bunguran, Reef South dan Sulu juga dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu merbahaya kepada semua aktiviti perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, penangkapan ikan, perkhidmatan feri, bot kecil, aktiviti pantai, rekreasi dan sukan laut.