Saturday, February 4, 2012

Ahmad Said Teruskan Tradisi Kecemerlangan Terengganu

Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail (Bernama, 2 Feb 2012)

Tanggal 22 Mac ini, genap empat tahun Datuk Seri Ahmad Said menerajui tampuk kepimpinan negeri Terenganu sebagai Menteri Besar, dan sepanjang tempoh itu, Terengganu telah melalui fasa transformasi pesat dalam pelbagai bidang terutama yang berkaitan dengan pembangunan sumber manusia.

Bidang pendidikan dan sukan serta pembangunan infrastruktur menjadi fokus utama beliau.

Ketika ditemui Bernama dan dua wakil media arus perdana dalam temubual eksklusif baru-baru ini, Ahmad melahirkan rasa syukur khidmatnya sebagai Menteri Besar Terengganu bakal menginjak ke empat tahun di bawah slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Katanya tempoh tiga tahun pertama digunakan untuk pembangunan modal insan yang dilihat bakal merubah secara drastik masa depan Terengganu satu masa nanti.

Menurutnya tempoh tiga tahun pertama digunakan beliau untuk memperkasakan pendidikan dan modal insan, memenuhi keperluan asas rakyat terutamanya golongan miskin dengan menyediakan kediaman yang selesa.

"Saya buat kajian, masalah utama rakyat di sini ialah rumah. Sepanjang tempoh 35 tahun, hanya 7,000 rumah dibina untuk rakyat miskin di Terengganu.

"Sebab itu saya buat dasar dalam tempoh lima tahun bermula daripada saya ambil alih pentadbiran kerajaan negeri, saya nak bina 10,000 rumah dan lima tahun akan datang, sebanyak 10,000 lagi rumah akan dibina," katanya.

Beliau mengaitkan bantuan atap bercat 'biru' yang diagih kepada rakyat memerlukan sejak awal memegang jawatan Menteri Besar sebagai simbol payung untuk melindungi rakyat daripada panas dan hujan.

"Ia sebagai simbol sebab walaupun pendapatan cukup-cukup untuk makan, jika rumah tidak selesa, macam mana anak-anak nak belajar. "Saya pernah jumpa khemah dipasang dalam rumah pada musim hujan. Sebab itu saya kata kalau ada rumah di Terengganu ini yang tiangnya bulat, atap nipah, beritahu saya, kita akan beri bantuan serta-merta sebab kita tak nak lihat lagi ia ada di Terengganu," katanya.

Dalam soal pendidikan dan sukan pula, beliau berjaya meneruskan tradisi kecemerlangan yang ditinggalkan Menteri Besar sebelum ini, Datuk Seri Idris Jusoh, selain melaksanakan perancangan baru bersesuaian dengan masa.

"Setiap tahun, kita salurkan RM200 juta untuk Yayasan Terengganu. Dana itu disalur sebagai biasiswa dan pinjaman kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di luar negara seperti dalam jurusan perubatan, kejuruteraan, juruterbang dan sebagainya.

"Kita juga yang pertama memulakan kelas maya, pengagihan komputer riba e-book kepada pelajar, bantuan pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat sijil, diploma dan ijazah, bantuan one-off pakaian dan mencetak soalan peperiksaan yang semuanya menelan puluhan juta ringgit setahun," katanya.

Dalam bidang sukan pula, kecemerlangan Terengganu tidak dapat dinafikan adalah hasil dorong beliau sehingga berjaya menjuarai Sukma kali ketiga berturut-turut, menubuhkan dua pasukan bola sepak, Terengganu dan kelab T-Team, menubuhkan pasukan lumba basikal profesional, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) dan menghantar wakil paling ramai dalam Sukan SEA yang lalu selain mempunyai wakil untuk Sukan Olimpik di London 2012.

Dalam masa yang sama, penyediaan infrastruktur dan keperluan asas juga dilaksanakan secara berperingkat seperti jajaran jalan dan pembinaan jambatan baru dalam usaha mengelak kesesakan lalulintas terutamanya di pusat bandar raya.

"Kita juga tidak mengabaikan aspek kesejahteraan rakyat, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk Tabung Pesakit Kronik yang diserahkan kepada pihak hospital untuk lampin pakai buang, penyediaan kaki palsu, tangan palsu dan lain-lain.

"Dalam Islam tak elok hebahkan benda-benda baik yang kita buat namun ada juga orang di luar sana yang buat cerita, kata Menteri Besar membazir, saya nak tanya adakah ini sesuatu yang membazir," katanya.

Namun, setelah apa yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini, Ahmad berkata beliau sedikit terkilan kerana masih ada kelompok yang "miskin minda" dalam kalangan rakyat.

"Kita bukan utopia, banyak lagi yang perlu dilaksanakan, kalau miskin kerajaan akan bantu, contohnya nelayan, kita bantu beri enjin bot pukat, sampai harga berbelas ribu seorang.

"Namun ada yang bermasalah miskin minda, kita beri bot, dia jual bot, kita beri pukat, enjin bot, dia jual, bila pendapatan masuk lebih sedikit, tak tahu simpan. Petani pula kita beri tanah, tak usahakan tanaman walaupun pelbagai bantuan disediakan. Ini yang menyukarkan kerajaan menghapuskan miskin dan miskin tegar di negeri ini.

"Satu perkara yang boleh saya katakan kepada mereka ini, saya kata kalau ada anak, pastikan anak belajar rajin-rajin, beri semangat dengan harapan anak itu akan berjaya satu hari nanti dan merubah hidup keluarga," katanya.

Menyedari kerajaan negeri tidak harus selamanya bergantung kepada hasil minyak dan gas yang mungkin akan habis atau mengalami penurunan harga, beliau berkata beberapa sektor baru diberi penekanan, terutama pelancongan dan pertanian.

Katanya mulai tahun ini, fokus diberikan kepada pembukaan ladang rakyat untuk penanaman kelapa sawit dan mini estet padi bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Ahmad berkata sektor pelancongan akan dijadikan ekonomi teras, bermula dengan membangunkan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai memandangkan tasik terbesar buatan manusian itu mempunyai potensi yang belum digunakan sepenuhnya.

Terengganu juga menerima limpahan pelabur asing terutama dalam industri berat di Kemaman yang menerima pelaburan berbilion ringgit untuk industri keluli dan besi.

Beralih kepada politik, Ahmad berkata pertelagahan dalaman yang berlaku dalam BN dan Umno negeri pasca pilihan raya umum 2008 kian reda.

Katanya apa yang berlaku tidak seteruk yang digambarkan oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan, terutamanya pembangkang yang menang di Terenganu pada 1999 dan berhasrat merampas semula negeri itu setelah kalah kepada BN pada 2004.

"Kita telah berjaya menangkis apa yang berlaku sebelum ini. Memang mereka cuba gembar-gemburkan apa yang berlaku itu dengan harapan rakyat akan bosan dan memilih mereka, namun saya tahu rakyat lebih bijak menilai kerajaan mana yang mampu memerintah dengan baik, BN atau PAS," kata Ahmad.

Katanya kedudukan BN juga semakin kuat dan berdasarkan situasi semasa, BN mampu menang besar pada pilihan raya umum.

"Kita yakin dapat menang 29 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan mengekalkan penguasaan di enam daripada lapan kerusi Parlimen," katanya.

BN kini menguasai 24 kerusi negeri dan enam kerusi Parlimen.

Mengulas kedudukan beliau selepas pilihan raya umum ke-13 nanti, Ahmad berkata beliau berserah kepada takdir, dan tidak akan terkilan jika sekalipun tidak dipilih menjadi Menteri Besar untuk penggal kedua.

"Apa yang penting ialah BN terus diberi mandat untuk meneruskan pembangunan modal insan dan negeri secara keseluruhannya dalam memastikan Terengganu terus berada di kelas tersendiri," katanya.

Rakyat Terengganu Syukur Dapat Bantuan Kerajaan

Rakyat Terengganu melahirkan rasa syukur di atas pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan untuk mereka seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan enjin bot, bantuan anak sekolah dan bantuan kepada pelajar pusat pengajian tinggi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dalam Program Turun Padang beliau ke daerah Marang, telah menyampaikan bantuan, sempena kawatan kerja sehari beliau ke Terengganu.

Seorang penerima bantuan enjin bot Zakirai Kadir, 58, ketika ditemui berkata, hasrat beliau untuk mendapatkan sebuah bot enjin sangkut termakbul hari ini.

Zakirai, yang bekerja sebagai nelayan sejak 40 tahun lalu, sebelum ini hanya menggunakan perahu kecil untuk menangkap ikan di pesisir pantai daerah itu kerana tidak mampu membeli enjin bot yang bernilai RM8,000.

"Saya syukur atas kedatangan Datuk Seri Najib yang memberi bantuan enjin bot kepada saya dan empat rakan yang lain," katanya ketika ditemui di majlis penyampaian baucar BR1M di Rhu Rendang, semalam.

Zakirai yang mempunyai sembilan orang anak dan tinggal di Kampung Baru Marang berkata, dengan adanya bot sendiri, beliau akan dapat bekerja dengan lebih gigih lagi.

"Saya juga bersyukur kerana selain bantuan enjin bot, saya juga menerima BR1M sebanyak RM500 dan saya akan berbelanja duit itu dengan berhemah," katanya.

Rakannya Mohamad Ismail, 48, berkata, hasratnya yang telah lama terpendam untuk memiliki bot sendiri kini tercapai.

"Sebelum ini saya hanya menumpang bot rakan untuk bekerja sebagai nelayan. Dengan adanya bot sendiri, senanglah saya mencari rezeki," katanya yang mempunyai enam orang anak.

Warga emas Zaiton Ngah, 67, dari Kampung Surau Panjang, Bukit Payong, melahirkan rasa syukur di atas pemberian bantuan kerajaan sebanyak RM500 itu.

"Saya berharap bantuan sebegini diteruskan setiap tahun bagi membantu rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah," katanya.

Perdana Menteri pada majlis itu berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan dasar dan program yang terbukti mampu membela kebajikan rakyat termasuk BR1M yang memberi manfaat kepada 80 peratus isi rumah di seluruh negara, di mana ia tidak dilaksanakan mana-mana kerajaan lain di seluruh dunia.

Menurutnya, bantuan itu diberikan kepada seluruh rakyat negara ini yang layak tanpa `memilih bulu’ dan parti.

“Kita tidak memilih bulu..orang yang tidak sokong kita pun dapat juga. Walaupun mukanya barangkali tebal agaknya. Yang duk kutuk, duk maki hamun kita, apabila nampak duit (BR1M) lima keping, dia yang pertama sekali berbaris.

“Hak puak-puak kita dalam panas, dalam hujan berjuang untuk menegakkan kerajaan. Tetapi saya kita tidak mengapa, jika kita tidak mendapat undi, di akhirat nanti insya-Allah kita akan menerima ganjaran daripada Allah s.wt,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika berucap dalam Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, semalam.

Dalam tempoh tiga tahun peralihan kuasa di tangan beliau, pelbagai bantuan sudah dilaksanakan kerajaan BN dan jika diberi masa lima tahun lagi pastinya lebih banyak yang boleh dilakukan demi kepentingan rakyat.

Rakyat Mesti Yakin Dengan Kemampuan Kerajaan BN - PM

Najib menyampaikan bantuan kerusi roda kepada penerima Dun Batu Buruk, Kuala Terengganu pada majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Batu Burok di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Budiman, Kuala Terengganu petang ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat mesti yakin dengan kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus membela kebajikan mereka dan membangunkan negara ini sehingga mencapai status negara maju lapan tahun lagi pada 2020.

Beliau berkata kerajaan sudah mempunyai agenda besar untuk memajukan rakyat dan negara, yang bukan suatu agenda yang direka mengikut sesuka hati tetapi agenda itu dibuat dengan perancangan yang begitu tersusun.

"Impian teragung kita, biarlah dalam lapan tahun lagi negara Malaysia akan dimartabatkan sebagai negara maju berpendapatan tinggi. Kita akan menjadi negara Islam pertama di dunia boleh mencapai negara maju," katanya.

Perdana Menteri berkata rakyat perlu terus memberi mandat kepada BN untuk memerintah negara ini, supaya usaha membawa tranformasi yang lebih besar kepada landskap negara mencapai kejayaan.

Najib yang juga Presiden Umno turut membidas PAS yang hanya pandai menabur janji untuk meraih sokongan rakyat padahal pemimpin parti itu hanya menipu rakyat.

Beliau mempersoalkan apakah yang dilakukan oleh PAS ketika berpeluang memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004, kerana tidak kelihatan perubahan yang mereka lakukan.

Menurutnya, BN berjuang di atas landaran benar dan apa yang dilakukan kerajaan selama ini adalah lebih Islamik daripada Pas yang menggunakan slogan membangun bersama Islam.

Perdana Menteri berkata BN memberi tumpuan lebih kepada rakyat, sedangkan Pas hanya menumpukan kepada ceramah yang mengelirukan rakyat.

”Pas ni memang kuat lebong (tipu), mereka bawa matlamat politik yang menghalalkan cara dan sekarang untuk raih undi orang bukan Islam mereka tukar pula kepada negara berkebajikan,” katanya di depan kira-kira 10,000 rakyat di majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Batu Burok di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Budiman, Kuala Terengganu petang semalam.

Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu, turut menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi DUN Batu Burok berjumlah RM3.6 juta, DUN Ladang (RM1.4 juta), DUN Wakaf Mempelam (RM2.7 juta) dan DUN Bandar (RM2 juta).

Perdana Menteri berkata, contoh terbaru, Pas telah buang ahlinya, Datuk Dr. Hasan Ali semata-mata kerana berjuang menyelamatkan akidah umat Islam, tapi kerana tak sebulu dengan pemimpinnya dia diketepikan.

“BN sentiasa sentiasa mendahulukan rakyat, tolong mereka yang susah malah buat apa yang digalakkan dalam Islam membantu golongan yang tidak bernasib baik,” katanya.

Perdana Menteri berharap rakyat Terengganu tidak akan membiarkan peristiwa buruk (ketika PAS perintah Terengganu) kembali berulang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Najib berharap DUN Batu Burok yang dikuasai PAS sejak 26 tahun lalu, dan juga DUN lain yang kini dikuasai pembangkang, akan dirampas kembali oleh BN pada PRU-13.

Perdana Menteri pada majlis itu turut menyampaikan bantuan kepada 50 orang penerima Yayasan Tekun berjumlah RM503,000 dan sembilan kerusi roda serta 20 orang menerima bantuan kebajikan masyarakat.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Batu Burok Berubah Wajah Jika Pilih BN?

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok akan berubah wajah jika Barisan Nasional berjaya memenangi kawasan tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, ketika mengumumkan perkara itu, berkata kerajaan negeri akan membina 1,000 unit rumah untuk rakyat di DUN Batu Burok jika BN menang kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Batu Burok di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Budiman, Kuala Terengganu petang ini.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah mengenal pasti kawasan berpaya bagi pembinaan rumah berkenaan dengan kos pengambilan balik tanah menelan belanja berjuta ringgit.

“Kerajaan BN tidak pernah berbohong dan kita akan kotakan segala janji,” katanya.

Katanya, tahun ini kerajaan tambah peruntukkan bagi bantuan baiki rumah atap biru kepada RM1 juta bagi setiap DUN berbanding tahun sebelumnya RM60,000 setiap DUN.

“Apa lagi yang kerajaan tidak bantu rakyat, semuanya telah beri malah penduduk di sini (Batu Burok) lebih ramai yang terima bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) iaitu 7,311 orang berbanding DUN lain dalam Parlimen Kuala Terengganu,” katanya.

Tambahnya, rakyat perlu bersyukur apa yang diterima dan terima kasih kepada yang memberi dan pilihlah BN agar masyarakat terus terbela.

Kehadiran 10,000 Penduduk Tanda Terima Kasih

Lebih 10,000 penduduk menyambut kehadiran Perdana Menteri ke Marang, Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kehadiran lebih 10,000 penduduk setempat menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak bersama Isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor pada Program Lawatan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Padang Astaka Majlis Daerah Marang (MDM) hari ini, menandakan rakyat boleh menerima angin perubahan yang dilaksanakan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Rata-rata mereka mula sedar apa yang dilaksanakan kerajaan selama ini seperti bantuan kepada rakyat, subsidi pelbagai barangan keperluan dan makanan serta bantuan tabung pendidikan adalah untuk kebaikan bersama walaupun berlainan parti.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Bukit Payong, berkata Datuk Dr Abdul Latif Awang (gambar kiri), kedatangan mereka adalah sebagai tanda terima kasih dengan apa yang diperoleh daripada kerajaan.

“Saya juga terharu kerana tidak menduga program yang dilaksana ini mendapat sambutan begitu menggalakkan walaupun berada di kawasan kubu kuat Pas.

“Kedatangan mereka mampu menguatkan lagi semangat dan iltizam barisnan kepimpinan BN untuk terus berbakti kepada rakyat terutama berkaitan kebajikan dan pendidikan,” katanya

Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Roshali Taha (gambar kanan), berkata kehadiran begitu ramai penduduk Marang yang sudi menyambut pemimpin utama BN bagaikan sudah memberi isyarat, bahawa DUN Rhu Rendang bakal menjadi milik BN.

Katanya, rata-rata mereka sudah menerima apa yang dilaksanakan kerajaan, termasuk yang terbaru iaitu Bantuan Rakyat 1 Malaysia kepada isirumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Mereka mula sedar apa yang dilaksanakan kerajaan bukan hanya cakap atau tabur janji semata-mata malah bertindak dengan apa yang sudah dijanjikan itu walaupun lambat,” katanya.

Rata-rata penduduk tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib dan Datin Paduka Seri Rosmah sebaik beliau tiba di lokasi program dengan menaiki bas khas milik Majlis Perbandaran Kemaman.

Turut bersama-sama menaiki bas, Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To' Puan Seri Norliza MahmudMenteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek;; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; semua barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat BN.

Sebelum itu, kira-kira 1,000 ahli Kelab Bermotosikal Pemuda Umno bahagian Marang berkonvoi mengiringi bas yang dinaiki barisan pimpinan BN itu sambil melaungkan perkataan `Biru Nelang’.

Seorang peserta, Muhammad Faris Sulaiman 21, berkata dia teruja kerana dapat bersama-sama rakan lain menyertai konvoi bagi menyambut kedatangan Perdana Menteri di kawasan Parlimen Marang.

Katanya, melihat sambutan yang menggalakkan ini, dia dapat merasai penduduk terutama golongan belia di Rhu Rendang ingin perubahan.

“Semua pihak menyedari, selama dibawah takluk pimpinan Pas, tiada sebarang perubahan yang dilaksanakan melainkan hanya pandai menabur janji,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas Program Lawatan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Padang Astaka Majlis Daerah Marang (MDM) hari ini.

Nor Ainsha Ajid, 25 dari Paka, Dungun berkata, dia datang dari jauh semata-mata mahu melihat Perdana Menteri secara dekat di mana sebelum ini tidak pernah berpeluang berbuat demikian melainkan menatap wajahnya di kaca teleyisven.

Katanya, pada pandangannya, Dato’ Sri Mohd Najib cukup peramah, mudah mesra dan semestinya mempunyai ciri pemimpin berkaliber.

“Terima kasih di atas segala budi yang ditaburkan walaupun terdapat sesetengah pihak sering memburuk-burukkan apa yang dilaksanakan itu,” katanya.

Teganukita

Undang-undang Malaysia Tangani Keganasan Selari Amalan Antarabangsa - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan mempunyai undang-undang dalam menangani kegiatan keganasan yang selari dengan amalan terbaik antarabangsa.

Perdana Menteri berkata setakat ini, tindakan proaktif dan preemptif (pencegahan awal) yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani hal berkaitan keganasan merupakan kunci kejayaan negara sehingga tiada insiden serius yang berlaku.

"Tindakan proaktif dan preemptif yang dilaksanakan ini merupakan satu daripada kejayaan kita, tapi kita jangan salah guna kuasa ini, kuasa ini ialah kuasa untuk mencegah kegiatan keganasan sebelum ia berlaku," katanya kepada pemberita di Marang, semalam.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dalam rangka kerja sehari ke Terengganu.

Beliau sebelum itu menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di sini. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kerajaan memperkenalkan undang-undang lebih ketat dalam menangani ancaman militan dan pengganas di negara ini.

Ini berikutan kejayaan tentera Filipina membunuh rakyat Malaysia, Zulkifli bin Hir yang juga dikenali sebagai Marwan, yang merupakan seorang pemimpin pertubuhan Jemaah Islamiah (JI).

Zulkifli dianggap pemimpin kanan dalam JI dan kerajaan Amerika Syarikat telah menawarkan hadiah berjumlah US$5 juta (RM15.5 juta) untuk membunuh atau menangkapnya.

Najib berkata kerajaan sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman keganasan kerana ia boleh berlaku bila-bila masa, termasuk ketika keadaan negara tenang dan aman.

"Saya lihat bahawa salah satu sebab mereka aktif di luar Malaysia ialah kerana kawalan kita ketat di sini, jadi kebanyakan yang ada fahaman militan lari ke negara lain kerana mereka lihat di sana tapak yang lebih subur daripada mereka nak bergerak di Malaysia," katanya.

Katanya kerajaan berusaha mengekang insiden tidak diingini melibatkan keganasan yang boleh menyebabkan nyawa terkorban dan harta benda rosak.

"Kalau sudah berlaku, kesannya cukup buruk bukan saja kepada mereka yang terkorban tetapi perasaan dan imej rakyat Malaysia pada pandangan dunia luar nanti.

"Sebab itulah, macam manapun, dalam soal fahaman militan dan keganasan ini, kita mesti lakukan segala yang termampu untuk mencegahnya sebelum ia berlaku," katanya

Andrea Guardini Sah Sertai Ltdl Bagi Mempertahankan Jersi Pecut

Pertarungan bagi merebut gelaran raja pecut (jersi biru) pada perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi-17 dijangka sengit apabila Andrea Guardini (gambar atas) dari Itali, pemenang jersi biru edisi lepas, mengesahkan penyertaannya semalam.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2012 Emir Abdul Jalal berkata selain Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli, pelumba pasukan pro-tour seperti Garmin-Cervelo dari Amerika Syarikat dan Pro Team Astana dari Kazakhstan dilihat sebagai pencabar bagi pelumba tempatan untuk menyarung jersi raja pecut jelajah itu nanti.

"Pada edisi kali ini, pelumba berpengalaman, Robert Foster dari pasukan United Healthcare yang pernah memenangi beberapa peringkat semasa Le Tour de France, dijangka kembali bukan sahaja untuk memenangi sesetengah peringkat tetapi mungkin keseluruhan LTdL kali ini.

"Namun, jangan terlalu fokuskan pelumba luar untuk memenangi jersi biru pada tahun ini, pelumba negara seperti Anuar Manan dan Mohd Harris Salleh juga berpeluang menyarung jersi biru.

"Kita patut berbangga kerana Malaysia mempunyai Anuar Manan yang muncul sebagai pelumba pertama dari Asia yang pernah memenangi jersi pecut pada 2010," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan tajaan LTdl 2012 di Subang Jaya semalam.

Mengenai kelewatan penyertaan Guardini, Emir berkata ia disebabkan pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli mengenakan yuran penampilan sebanyak AS$12,000 (RM47,460.50) sebelum pihak penganjur LTdl berbincang dan bersetuju untuk membayar sebanyak AS$10,000 (RM30,235).

Pada majlis sama, Proton Holdings Berhad menyerahkan penajaan rasmi berupa 150 buah pelbagai model kereta keluarannya sebagai kereta rasmi LTdl 2012, yang akan digunakan oleh pasukan-pasukan dan kakitangan penganjur sepanjang 10 peringkat jelajah itu nanti.

Edisi jelajah LTdl kali ini melibatkan 120 pelumba mewakili 22 pasukan termasuk tiga pasukan tempatan, LeTua, Terengganu Cycling dan pasukan kebangsaan dalam mengharungi 10 peringkat sejauh 1414.8Km.

Najib Lancar Kelab Berbasikal Terengganu

Kesibukan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sehari ke Terengganu, tidak menghalang beliau meluangkan sedikit masa untuk melancarkan Kelab Berbasikal Terengganu di Kuala Terengganu, petang semalam.

Selepas pelancaran itu, Najib diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berbasikal sejauh satu kilometer bermula di Jalan Sultan Zainal Abidin ke Dataran Shahbandar bersama kira-kira 1,000 anggota kelab itu serta orang perseorangan.

Semasa di Dataran Shahbandar, Najib turut beramah mesra dengan penjual pasar malam di situ.

Perdana Menteri juga sempat berbelanja di warung-warung yang ada di pasar malam berkenaan serta bersalaman dengan penjual dan orang ramai di situ hampir setengah jam.


Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, pelancaran kelab itu oleh Perdana Menteri sudah tentu akan menjadi inspirasi kepada rakyat Terengganu untuk lebih melibatkan diri dalam sukan itu.

Sambutan meriah diberikan peniaga dan pengunjung pasar minggu di Shahbandar, Kuala Terengganu kepada Najib yang berkunjung ke kawasan itu.
sebentar tadi.

Tinjauan mesra kira-kira setengah jam itu bagi mendekati lebih 200 peniaga dan penjaja sempena program turun padang oleh Perdana Menteri ke Terengganu hari ini.

Lebih menarik, rombongan santai Perdana Menteri disertai lebih 500 pengayuh basikal yang turut serta berkayuh bersama Dato’ Seri Mohd Najib hampir satu kilometer ke pasar berkenaan.

"Kenapa Buat Anak Saya Macam Ini, Apa Salah Dia?" - Bapa

Bapa kepada seorang pembantu kedai yang maut ditikam malam tadi kebingungan ingin tahu apa salah-silap anaknya sehingga anaknya menjadi sasaran tikaman seorang lelaki.

"Kenapa buat anak saya macam ini, apa salah dia?" demikian rintihan Wan Mansor Wan Muda, 50.

Katanya anak sulungnya itu, Wan Manisah, 27, seorang yang baik dan anaknya tidak bermusuh dengan sesiapa.

Wan Mansor yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) jelas sugul dan terkejut dengan kejadian yang menimpa kakak kepada 12 beradik itu sehingga mengasingkan diri daripada anggota keluarga yang lain.

Ibu mangsa, Noorainie Yusof, 45, berkata kali terakhir dia bercakap dengan anaknya yang lebih mesra dengan paggilan Kak Long itu kira-kira pukul 5 petang semalam semasa mangsa menghubunginya untuk memberitahu tidak dapat pulang hari ini tanpa memberikan sebarang alasan.

"Semalam Kak Long menelefon dan memaklumkan tidak jadi balik ke kampung di Durian Mas, Dungun dan memberitahu tidak perlu menjemputnya namun dia tak beritahu kenapa dia tak dapat balik," katanya.

Noorainie tidak menyangka itu adalah perbualan terakhir dan petanda Wan Manisah akan meninggalkan mereka semua buat selama-lamanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Wan Manisah ditikam seorang lelaki tidak dikenali yang dipercayai kurang siuman ketika sedang berbual bersama tiga rakannya di kedai kain yang terletak di Jalan Kampung Daik di Kuala Terengganu.

Mangsa dikatakan menegah lelaki itu yang meluru masuk untuk ke tingkat kedai menyebabkan lelaki itu berang lalu bertindak memeluk mangsa dari belakang sebelum memukul dan menikam belakang Wan Manisah.

Lelaki itu turut menyeret mangsa kira-kira lima meter ke bahagian dalam namun mangsa berjaya melarikan diri ke belakang kedai sebelum pengsan.

Mangsa disahkan meninggal dunia pukul 2.05 pagi Khamis ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ.

Sementara itu polis yakin dapat menyelesaikan satu kes pembunuhan melibatkan seorang pembantu kedai kain yang mati ditikam sebanyak enam kali di bangunan Paya Keladi, Jalan Kampung Daik di sini kelmarin ekoran penahanan seorang lelaki kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, suspek berusia 28 tahun itu ditahan pukul 4.30 petang di Pasar Besar Kedai Payang di sini kira-kira 250 meter dari tempat kejadian.

“Kita masih mencari senjata yang digunakan untuk menikam mangsa. Kes itu dianggap selesai dengan penahanan suspek,” katanya.

Manoharan berkata demikian ketika mengulas mengenai Wan Manisah Wan Mansur (gambar kecil), 27, yang disahkan meninggal dunia pada pukul 2.05 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) iaitu kira-kira enam jam selepas kejadian dia diserang dan ditikam seorang lelaki kurang siuman.

Bedah siasat mendapati terdapat enam tikaman pada bahagian kiri badan mangsa iaitu tiga di lengan dan tiga di belakang.

Friday, February 3, 2012

Rakyat Terengganu Perlu Pertahankan Terengganu Kekal Bawah BN - Najib Razak

Najib diserbu rakyat selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, tengahari tadi. - gambar UKOM

Perdana Menteri menyeru rakyat Terengganu mempertahankan Terengganu supaya terus kekal dalam pemerintahan kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau juga mengharapkan kawasan DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang dapat dirampas kembali oleh Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan kerajaan melaksanakan program pembangunan yang selama ini gagal dilaksanakan oleh PAS.

Menurutnya parti PAS kini berada dalam keadaan terumbang ambing dan semakin tidak jelas dalam memperjuangkan dasar politik mereka sejak berada dalam pakatan pembangkang.

"Pemimpin macam (bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dr) Hasan Ali dibuang, orang yang benar-benar berjuang, bercakap tentang Islam dan mempertahankan akidah dipecat sebab mereka takut kepada DAP.
"Yang peliknya dalam sehari dua ini muncul pula pejuang Yahudi yang sanggup mempertahankan keselamatan Zionis sedangkan kita sepatutnya membela nasib orang Palestin yang tidak berdosa," katanya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilaporkan menyokong usaha menjaga keselamatan Israel ketika beliau ditemuramah akhbar The Wall Street Journal.

Najib berkata kerajaan BN berjaya mentadbir urus kekayaan negara dengan baik sehingga dapat melaksanakan pelbagai program kebajikan yang membela rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata semua program itu dilaksanakan tanpa perlu meminjam daripada institusi kewangan luar seperti Bank Dunia mahupun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) seperti yang didakwa oleh pembangkang.

"Ini semua kita mampu buat sebab tadbir negara dengan baik sehingga membolehkan kekayaan dapat dipindahkan kepada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di Padang Astaka Majlis Daerah Marang di Rhud Rendang hari ini.

Najib berkata, sejak mengambil alih pucuk pemerintahan negara tiga tahun lepas, beliau sering mengingatkan wakil-wakil rakyat supaya sentiasa merasai denyut nadi rakyat dengan mengutamakan kebajikan rakyat dalam dasar program membela rakyat tanpa memilih bulu dan fahaman politik.

"Kita beri rakyat Bantuan Rakyat 1Malaysia, cuba bayangkan mana ada kerajaan lain di dunia ini yang 80 peratus isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dapat bantuan RM500 kecuali kerajaan kita (BN).

"Kita tidak pilih bulu, orang yang tidak sokong kita pun dapat juga. Dia kutuk dan maki hamun kita, tetapi bila nampak duit, dia yang pertama sekali yang datang beratur, sedangkan orang kita yang berhujan dan berpanas dalam menegakkan kerajaan," katanya.

Dalam tempoh tiga tahun ini, selain BR1M, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk rakyat termasuk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan menurut Perdana Menteri jika diberi mandat untuk terus memerintah negara dalam pilihan raya umum akan datang, lebih banyak lagi program kebajikan seumpamanya untuk rakyat akan dilaksanakan.

"Apabila menyebut soal kepimpinan, ia berkait dengan soal kemampuan. BR1M kita mampu laksanakan...kita buat projek besar di Kuala Lumpur sebab hendak rangsang ekonomi dan dengan pertambahan hasil lima hingga enam peratus setahun kita bahagi pula kepada rakyat.

"Cukai pendapatan kita 2010- 2011 bertambah RM26 bilion setahun dan daripada jumlah itu kita beri RM2.6 bilion untuk bantuan persekolahan RM100 (setiap pelajar), baucar belian buku kepada pelajar STPM dan pelajar institusi pengajian tinggi sebanyak RM200," katanya.

Najib berkata, sejak kebelakangan ini soal kenaikan kos sara hidup merupakan cabaran utama kepada kerajaan untuk memikirkan cara yang terbaik untuk membantu rakyat dan untuk itu sebanyak RM22 billion diperuntukkan setiap tahun untuk subsidi pelbagai jenis barangan keperluan rakyat.

PM Hadir Solat Jumaat, Jamuan Rakyat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menghadiri majlis jamuan makan tengah hari bersama rakyat, sejurus selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Beliau yang tiba di perkarangan masjid pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari terus memasuki barisan hadapan ruang solat, selepas bersalaman dengan ramai para jemaah yang menyambut ketibaannya.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid Wan Salleh dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Wan Hisham Wan Salleh serta pemimpin negeri yang lain.



Penyu Mati Tersangkut Pukat Ditemui Di Pantai Kelulut

Seekor penyu agar atau nama saintifiknya ‘Chelonia mydas’ seberat lebih 100 kilogram dipercayai mati tersangkut pada pukat nelayan sebelum ditemui mati terdampar oleh orang ramai dan kaki pancing di Pantai Kelulut di Marang, kelmarin.

Seorang penduduk ditemui di tempat kejadian, Awang Muda Mohamad, 46, berkata, penyu yang ditemui itu dipercayai mati lebih dua hari lalu sebelum hanyut ke pantai berdasarkan keadaan bangkai yang sudah mulai reput dan berbau.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kepala haiwan hampir pupus itu juga tercedera.

“Ada kemungkinan penyu ini mati tersangkut pada pukat nelayan berdasarkan kecederaan pada kepalanya. Penyu jenis ini biasanya mati tersangkut pada pukat tunda atau jaring pukat pari sebelum dibuang ke laut lalu dihanyutkan ombak ke pantai,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Perikanan Terengganu ketika dihubungi Sinar Harian juga tidak menolak kemungkinan bangkai penyu agar dewasa yang ditemui terdampar di Pantai Kelulut itu mati apabila haiwan itu tersangkut pukat nelayan.

Pengarahnya, Zakaria Ismail, berkata berdasarkan siasatan awal, penyu yang dipercayai spesies penyu agar itu mungkin tersangkut pada pukat nelayan iaitu pukat pari dan mati di tengah laut, sebelum bangkainya dibuang dan hanyut ke pantai berkenaan.

Zakaria berkata, pukat pari mempunyai ukuran mata melebihi 25.4 sentimeter yang digunakan khas untuk menangkap ikan pari berbahaya kepada penyu kerana ia turut boleh memerangkap haiwan itu sekali gus menyebabkan kematiannya.

Menurutnya, sepanjang Januari tahun ini sebanyak tiga ekor penyu agar ditemui mati terdampar di pantai negeri itu dipercayai berpunca daripada penggunaan peralatan dilarang termasuk pukat pari seperti yang berlaku dalam kes di Pantai Kelulut di sini.

“Sepanjang bulan ini Jabatan Perikanan Terengganu sudah mengesan tiga penyu agar mati terdampar iaitu seekor di Kuala Merchang, Marang, seekor lagi di Pantai Kuala Abang, Dungun dan yang terakhir ialah di Pantai Kelulut di sini, seperti yang telah dilaporkan.

“Manakala sebanyak 134 pukat pari telah disita di sekitar perairan negeri sejak April hingga September tahun lalu dalam operasi mengesan pukat pari yang kegunaannya adalah salah mengikut Enakmen Penyu Negeri Terengganu dan Akta Perikanan,” katanya.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, nelayan yang tertangkap penyu dengan tidak sengaja semasa menjaring ikan hendaklah segera melepaskannya manakala jika penyu itu didapati mati mereka perlu melaporkan kepada pegawai perikanan bagi tindakan pelupusan.

Suspek Kes Bunuh Pembantu Kedai kain Ditahan

Polis menahan suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian bunuh seorang pembantu kedai kain di sini malam tadi.

Suspek yang berusia 28 tahun ditahan kira-kira 4.30 petang semalam di Pasar Besar Kedai Payang dekat Kuala Terengganu.

"Kita percaya dengan tertangkapnya suspek, kita dapat menyelesaikan kes pembunuhan yang melibatkan pembantu kedai berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Suspek dipercayai berasal dari Sarawak. Dalam kejadian kira-kira 8 malam di sebuah kedai kain di Jalan Kampung Daik, mangsa Wan Manisah Wan Mansor, 27, di dapati ditikam sebanyak enam kali.

Mangsa kemudiannya meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah kira-kira 2.05 pagi tadi.

Bomba Dan Penyelamat Terengganu Selamatkan RM135.5 Juta Tahun Lalu

Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu berjaya menyelamatkan harta benda orang awam bernilai kira-kira RM135.5 juta daripada musnah dalam kebakaran di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Md Salleh Sarbini berkata, sebanyak RM25.73 juta pula harta benda musnah manakala dua kehilangan nyawa dalam kejadian kebakaran sepanjang tahun lalu.

"Sepanjang tahun lalu, pihak kami menerima 2,400 panggilan di mana 815 adakah panggilan kebakaran manakala 1,544 panggilan penyelamat dan 41 panggilan khas.

"Kes kebakaran tahun lepas meningkat sebanyak 24 peratus berbanding tahun 2010 dan 67 peratus daripada punca kebakaran disebabkan litar pintas," katanya selepas majlis perhimpunan bulanan jabatan itu di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata pihaknya juga menggalakkan penubuhan pasukan keselamatan kebakaran di premis-premis bagi bantuan awal jika kejadian berlaku.

Md Salleh berkata ketika ini terdapat 611 pasukan penyelamat kebakaran di premis seluruh negeri ini bagi memberi bantuan awal kebakaran sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan membina dua buah balai bomba dan penyelamat baru di negeri ini iaitu di kawasan perindustrian Kijal, Kemaman, Gong Badak di Kuala Nerus.

Katanya, memandangkan Kijal merupakan sebuah kawasan perindustrian, maka sebuah balai bomba baru perlu diwujudkan segera di situ manakala di Gong Badak, ia merupakan kawasan penempatan yang pesat membangun serta mempunyai pusat-pusat pengajian tinggi yang kini menerima perkhidmatan bomba dari Kuala Terengganu yang jaraknya lebih setengah jam perjalanan.

"Kawasan itu juga difahamkan akan menjadi daerah baru, maka dengan itu perlu diwujudkan sebuah balai bomba dan penyelamat yang baru di kawasan berkenaan, katanya.

Katanya kedua-dua tapak yang masing-masing dianggarkan bernilai antara RM10 juta dan RM15 juta itu telah dikenalpasti oleh kerajaan negeri.

"Kita telah maklum perkara ini kepada ibupejabat supaya pembinaannya dapat disegerakan," katanya.

Penganjur Kecewa Pengguna Cemuh Kempen Keselamatan Jalan Raya

Penganjur satu kempen keselamatan jalan raya di sini kecewa dengan perbuatan segelintir pemandu yang mencemuh usaha itu yang dikatakan menjadi punca jalan raya sesak.

Bagaimanapun, cemuhan itu tidak mematahkan usaha penganjur yang termasuk Kelab Kebudayaan dan Sukan Kuala Terengganu (Kesun) meneruskan kempen berkenaan setiap tahun di seluruh Terengganu terutama pada musim perayaan Tahun Baru Cina dan Chap Goh Meh.

Pengerusi kelab itu Datuk Alex Ong Yeok Ling berkata sepatutnya pengguna faham mengenai aktiviti positif bagi membantu pihak berkuasa dan agensi kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan bukannya memberi komen sedemikian.

Katanya apa yang dilakukan pihaknya untuk mengedar risalah adalah penting bagi tujuan menyedarkan semua pihak mengenai keselamatan di jalan raya.

"Sesetengah pengguna samseng, mereka marahkan kita menjadi penyebab jalan raya sesak teruk," katanya kepada pemberita sempena pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Chap Goh Meh 2012 diKuala Terengganu, semalam.

Turut bekerjasama dalam program itu adalah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Majlis Keselamatan Jalan Raya dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

Ong berkata program itu menjadi aktiviti tahunan Kesun bagi menyedarkan orang ramai mengenai keselamatan nyawa ketika pemanduan.

Beliau berkata usaha positif dan sihat itu juga mampu membantu pihak berkuasa dalam menjayakan matlamat mengurangkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya khususnya pada musim perayaan.

Sejak sebulan lepas, 50,000 risalah mengenai kempen berkenaan diedarkan kepada pemandu dan penunggang motosikal di setiap daerah di negeri itu.

LPP Lengkap Jentera Bagi Tingkatkan Perkhidmatan Kepada Petani

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri Terengganu akan melengkapkan peralatan di pusat kejenteraan ladang LPP di Kuala Terengganu dan Besut bagi meningkatkan perkhidmatan kepada petani.

Pengarahnya Shamsuddin Mat Rani projek ini akan melibatkan kos lebih RM200,000.

Bercakap di Kuala Terengganu, tumpuan utama LPP pada tahun ini adalah untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada beras import.

Beliau berkata di Terengganu terdapat kira-kira 12,000 hektar kawasan padi yang diusahakan.

Selain itu, Shamsuddin berkata LPP juga akan membelanjakan kira-kira RM350,000 untuk menyediakan pusat pembelian padi di Pertubuhan Peladang Kawasan Palagat, Besut tahun ini untuk memudahkan penanam di kawasan sekitarnya.

Shamsuddin berkata LPP juga akan membantu projek pembangunan akuakultur PPK Setiu, projek tanaman tembikai PPK Marang, masing-masing RM100,000 dan RM70,000.

Beliau berkata RM400,000 lagi diperuntukkan untuk pembangunan usahawan peladang negeri Terengganu.

Katanya peruntukan itu bertujuan meningkatkan pendapatan usahawan ke arah mencapai sasaran pendapatan RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Shamsuddih berkata LPP menyediakan peruntukan lebih RM1.1 juta untuk melaksanakan program-program itu tahun ini.

Jalankan Tugas, Tambahkan Keyakinan Rakyat Kepada BN

Aksi Najib Tun selepas menerima cenderahati selepas majlis Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak meminta semua pihak terutama pemimpin dan wakil rakyat menjalankan tugas sebagai pemimpin dengan sebaik mungkin bagi menambah keyakinan rakyat terhadap parti Barisan Nasional (BN).

“Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa seperti mana kita tahu. Asalkan tidak lewat daripada bulan April 2013. Pada masa sekarang saya sedang turun padang berjumpa dengan rakyat.

“Yang penting sekarang kita jalankan tugas dan tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Ini melibatkan semua pemimpin supaya rakyat bertambah keyakinan kepada Barisan Nasional,” kata beliau ketika sidang akhbar sejurus Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Hadir sama, Ketua Bahagian Marang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad serta Pegawai Penyelaras Dun Rhu Rendang, Encik Nik Dir Nik Wan Ku.

Perdana Menteri berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum memutuskan masa yang sesuai untuk menjalankan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.


Perdana Menteri dan isteri dalam rangka lawatan sehari ke Terengganu, tiba di tapak program kira-kira jam 10 pagi dengan menaiki bas dua tingkat.

Dalam program itu, beliau turut menyampaikan replika cek Bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada empat Dun dalam Parlimen Marang yang diwakili Adun serta PP Dun masing-masing, kerusi roda kepada 10 penerima, lima unit bot enjin sangkut dan bantuan kebajikan masyarakat.

Sejurus majlis itu, beliau dijadualkan menunaikan solat jumaat di Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu dan menghadiri jamuan rakyat di perkarangan masjid sebaik selesai solat Jumaat yang dijangka dihadiri lebih 3,000 orang.

Pada sebelah petang pula, Perdana Menteri bakal menemui lebih 5,000 masyarakat dalam Dun Batu Buruk di majlis yang bertempat di Sekolah Menengah Seri Budiman, disusuli aktiviti berbasikal dari Hotel Grand Continental ke pasar minggu di Taman Syahbandar bersama pemimpin parti dan Pemuda Umno.

Manakala malamnya, satu perjumpaan tertutup dengan pemimpin kanan parti BN serta Umno Perhubungan Terengganu yang melibatkan empat peringkat (Wanita, Pemuda, Puteri) dijadualkan di Hotel Primula Beach Resort.

Jangan Tutup Trefound Educare-YT - Syed Anuar

Kerajaan negeri diminta campur tangan bagi memastikan Yayasan Terengganu tidak menghentikan operasi Institut Kemahiran TREFound Educare (TE) di Kuala Terengganu.

Setiausaha Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, penutupan TE yang merupakan sebuah pusat bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia adalah langkah kebelakang dan tidak selari dengan pendekatan kerajaan negeri dan Pusat.

Katanya, TE yang menawarkan kursus berkaitan sistem maklumat dan komputer telah sedekad beroperasi dan menjadi wadah dalam menyediakan peluang kedua kepada pelajar yang meminati bidang kemahiran.

‘‘Apatah lagi Kementerian Sumber Manusia dalam proses untuk mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam supaya Diploma Kemahiran Malaysia diiktiraf setaraf dengan aliran akademik.

‘‘Komitmen kerajaan terhadap bidang kemahiran ini juga diserlahkan dengan langkah menaik taraf sebahagian sekolah teknik sebagai kolej vokasional mulai tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Semalam sebahagian daripada 117 pelajar TE cuba mendapatkan penjelasan daripada Yayasan Terengganu berhubung kelulusan pinjaman mereka yang akan dibayar dalam bentuk elaun sebanyak RM250 sebulan.

Mereka juga mempersoalkan mengapa 45 pelajar tahap 4 belum menerima komputer riba percuma seperti dijanjikan dalam terma dan syarat kemasukan.

Utusan Malaysia difahamkan pada akhir 2010 Yayasan Terengganu memutuskan untuk menghentikan operasi apabila semua pelajar di institusi tersebut menamatkan pengajian masing-masing.

Bagaimanapun ia tidak dimaklumkan secara rasmi kepada pengurusan TE sehingga menyebabkan institut latihan tersebut membuat pengambilan baru bagi sesi Februari, April dan Julai tahun lalu.

Yayasan Terengganu juga dilaporkan masih belum memberi jawapan kepada permohonan pinjaman 132 pelajar yang kini berada pada tahap 2 dan 3.

Syed Anuar berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia menjejaskan operasi TE yang masih berfungsi melatih pelajar.

‘‘Sebarang masalah antara pihak yayasan dan TE seharusnya diselesaikan dan jangan menjadikan pelajar sebagai mangsa serta mencemarkan imej kerajaan,” ujarnya.

Tindakan Tegas Penuntut Salah Guna Baucer Buku BR1M

Penuntut yang ditangkap kerana menyalahgunakan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) akan dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang universiti.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bagi mengawasi sebarang penyalahgunaan polis berpakaian preman akan ditempatkan di kedai buku.

“Mana-mana penuntut yang menyalahgunakan BB1M ini sekiranya ditangkap akan dibuang dari universiti,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pengurusan Kolej Universiti Tati (Tatiuc) berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan BB1M yang diadakan di Dewan Fakulti Teknologi Elektrik dan Automasi, di Teluk Kalong, di Kemaman, semalam.

Hadir sama Rektor Tatiuc, Dr Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim.

Bagi memastikan penuntut Tatiuc tidak menyalahgunakan baucar terbabit, beliau sendiri akan memeriksa setiap buku yang dikunjungi penuntut.

Seramai 470 dari 1,427 penuntut Tatiuc menerima baucar tersebut untuk sesi penyerahan pertama itu dan selebihnya akan menerimanya pada majlis penyerahan seterusnya.

Sementara itu, penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Teknologi Mekatronik, Khalil Afif Md Zaini, 24, berkata, BB1M itu akan digunakan untuk membeli buku rujukan bagi projek tahun akhirnya nanti termasuk buku elektronik.

“Saya tidak akan sia-siakan pemberian bantuan seperti ini kerana ia amat bermakna buat penuntut apatah lagi bagi yang kurang berkemampuan,” katanya yang berasal dari Kerteh.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Teknologi Mekatronik, Mohd Fahmi Mustaqim Jaafar, 23, pemberian BB1M dapat meringankan beban penuntut untuk membeli buku rujukan kerana jika mahu diharapkan duit pinjaman tentunya tidak mencukupi.

“Saya perlukan banyak wang untuk membeli buku rujukan dan bersyukur dengan bantuan ini saya tidak pelru lagi bergantung kepada pinjaman semata-mata,” katanya.

Sinar Harian

Najib Tiba Di Terengganu Untuk Lawatan Sehari

Datuk Seri Najib Razak tiba pagi ini untuk lawatan kerja sehari ke Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengetuai lebih 1,000 orang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud menyambut ketibaan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada 9.15 pagi.

Najib memulakan lawatan dengan menyampaikan bantuan kebajikan masyarakat, bantuan 1Malaysia dan bantuan bot kepada nelayan di Rhu Rendang, Marang.

Pada tengah hari, beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini dan menghadiri jamuan rakyat di situ selain menyampaikan bantuan kepada nelayan di Batu Buruk.

Pada petangnya, Perdana Menteri akan menyertai aktiviti berbasikal dari Hotel Primula ke pasar minggu di Syahbandar sebelum menghadiri majlis perjumpaan tertutup dengan anggota Barisan Nasional (BN) semua peringkat.

Beliau dijadual pulang ke ibu negara selepas majlis itu.

Pemecatan Pemain Perkara Biasa - Ahmad Said

Simukonda (dua dari kanan) tidak lagi bersama T-Team.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan pemecatan pemain ataupun jurulatih bola sepak dalam sesebuah pasukan adalah perkara biasa dalam arena bola sepak.

Beliau berkata pemecatan pemain import Zacharia Simukonda daripada pasukan T-Team adalah mengikut peraturan sebagaimana tercatat dalam kontrak pemain berkenaan.

"Tidak timbul sama sekali soal wajar atau tidak wajar, bila dia main tidak bagus kita kena pecatlah," katanya.

Ahmad berkata setiap pasukan, termasuk T-Team apabila mengambil pemain import mengharapkan yang terbaik untuk mencari kemenangan dan ia bukan satu eksperimen.

Sebelum ini, beliau telah memberitahu pihak pengurusan T-Team supaya mencari pemain import terbaik dan tidak terlalu bergantung dan mengharapkan ejen.

"Atau kita bergantung kepada video, sedangkan video itu tahun bila kita tidak tahu," katanya.

Ahmad berkata lebih malang kalau pihak pengurusan mengambil pemain import yang mengalami kecederaan atau tidak cergas, menyebabkan prestasi pasukan merosot.

Pada Rabu, jurulatih T-Team Yunus Alif mengesahkan kontrak Simukonda bakal ditamatkan dalam masa terdekat prestasi hambar dan kecederaan yang dialami pemain Zambia itu.

Ekoran daripada itu, T-Team akan menguji beberapa pemain import baru daripada beberapa buah negara dalam masa terdekat bagi menggantikan Simukonda.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuka pendaftaran pemain import sehingga 13 Feb ini.

Isteri Pemimpin Penting Untuk Tunjuk Sokongan

Isteri pemimpin di pelbagai peringkat perlu berperanan dengan melibatkan diri menyambut kehadiran kepimpinan tertinggi ke sesuatu lokasi, kerana ia mampu menggambarkan sokongan kepada kerajaan, sekali gus berupaya menarik pengundi ‘atas pagar’.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, walaupun peranan sedemikian dilihat kecil, namun sebenarnya ia memberi impak begitu besar apatah lagi kebiasaannya, senario pengundi atas pagar hanya akan memilih parti yang kuat.

“Walaupun tidak terlibat secara langsung, tetapi apabila isteri barisan pemimpin termasuk jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) turun padang menemani suami mereka, ia memperlihatkan sokongan kuat bukan sahaja kepada individu diraikan itu tetapi juga kepada kerajaan.

“Sokongan sebeginilah menjadi titik penting yang mampu menarik perhatian serta sokongan pengundi atas pagar untuk memilih kerajaan sewaktu membuang undi pada pilihan raya kerana golongan ini hanya akan menyokong parti yang kuat serta kukuh sahaja,” katanya.

Menurutnya, memandangkan pilihanraya umum akan datang bakal diadakan tidak lama lagi, diharapkan golongan isteri dapat segera memainkan peranan mereka dalam memberi sokongan.

“Malah, ia juga sebenarnya diperhatikan dan dijadikan contoh oleh masyarakat kampung.

“Kalau dilihat, ada program libatkan kehadiran kepimpinan tertinggi, hanya suami iaitu barisan JKKK hadir sebagai sambutan keraian, sedangkan isteri hanya duduk di rumah. Keadaan ini diharap dapat diubah sebaliknya biarlah isteri bersama-sama suami memeriahkan majlis sambutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis perasmian Bengkel ‘Ibu Kampung’- Kemahiran Pendampingan Masyarakat kepada Isteri-isteri JKKK Parlimen Kuala Nerus, di Tok Jembal, semalam anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang disertai 95 isteri barisan JKKK daripada Parlimen Kuala Nerus.

Bengkel sehari itu dilaksanakan YPKT bagi memberi pendedahan kepada peserta berkaitan kemahiran dan teknik pendampingan berkesan serta tingkatkan keupayaan untuk bergandingan dengan suami sebagai pemimpin setempat.

Menurutnya, isteri juga berupaya menentukan jatuh bangun suami bergelar pemimpin dan lantaran itulah mereka perlu memainkan peranan, termasuk menghargai serta melayani sebaik mungkin rakyat yang bertandang ke rumah, kerana ia memberikan persepsi tersendiri bagi diri penduduk terlibat.

Sinar Harian

Pelumba Negara Mampu Bersaing - Abu Samah

Skuad basikal lebuh raya negara berhajat untuk mencipta kejutan pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Kuala Lumpur pada 14 hingga 18 Februari ini.

Meskipun sedar saingan kali ini lebih hebat, presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab bagaimanapun tetap optimis pelumba negara mampu memenangi satu pingat tanpa mengira warna dalam acara lebuh raya.

Abu Samah menjelaskan, saingan ACC 2012 kali ini bakal menampilkan pelumba-pelumba handalan dunia daripada 27 negara seperti Iran, Jepun, Hong Kong dan juga Kazakhstan yang menurunkan barisan pelumba pasukan Astana.

"Pada ACC kali ini, kita hanya meletakkan sasaran satu pingat tidak kira sebarang warna," kata Abu Samah selepas Mesyuarat Pemilihan Pelumba Ke ACC 2012 dan LTdL 2012 di Bukit Jalil semalam.

"Jurulatih (Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan) telah memberitahu bahawa semua pelumba kita berada dalam prestasi yang baik ketika latihan.

"Oleh itu, saya berharap pelumba-pelumba kita mampu mencipta kejutan dan sekurang-kurangnya memberi saingan kepada pelumba-pelumba lain," tambahnya lagi.

Cabaran skuad negara pada ACC 2012 ini akan digalas pelumba sensasi, Anuar Manan, Muhd. Akmal Amrun (gambar atas), Amir Mustafa Rusli dan Mohd. Zamri Salleh manakala Mohd. Hariff Salleh dan Mohd. Nor Rizuan Zainal sebagai pelumba simpanan.

Abu Samah menjelaskan dua pelumba yang diharapkan untuk mencipta kejutan dalam acara lebuh raya nanti ialah Anuar dan Akmal.

"Sudah tentu kita letakkan harapan yang besar terhadap Anuar kerana dia masih lagi seorang pelumba pecut yang baik, begitu juga dengan seorang lagi pelumba pecut kita iaitu Akmal.

"Saya juga harap agar Anuar dapat mempamer prestasi sebenarnya dalam acara ini kerana laluan yang kita pilih semuanya laluan rata dan mendatar, jadi ia satu kelebihan kepada Anuar dan juga Akmal," ujar Abu Samah lagi.

Sementara itu, dalam acara ujian masa individu pula, Malaysia mempertaruhkan Muhd. Fauzan Ahmad Lutfi dan Ng Yong Li.

Acara lebuh raya bagi kategori bawah 23 tahun pula akan diketahui oleh pelumba yang meningkat naik, Muhd. Adiq Husainie Othman, Nik Mohd. Azwan Zulkifle, Mohd. Zulhilmie Afif Ahmad Zamri, Ahmad Fakhrullah Alias dan dua pelumba simpanan - Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri dan Mohd. Al Ghazali Abd. Hamid.

Skuad wanita pula akan digalas Mardiana Mohd. Radzi, Masziyaton Mohd. Radzi, Suryani Mohamad, Muslihah Salim manakala Nurul Norlizawati Mohd. Sharif dan Zahraa Anuawar sebagai pelumba simpanan.

Kosmo!

Thursday, February 2, 2012

BN Terengganu Sasar 29 Kerusi Pada PRU13

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin akan memperoleh kemenangan lebih besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan menyasarkan 29 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pada masa sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yakin kesemua kerusi Parlimen dapat dikuasai BN bagi mengukuhkan kerajaan di peringkat Pusat.

Beliau menegaskan, sasaran itu bukan sekadar untuk menyebut angka tetapi berasaskan perkembangan semasa yang cukup menyakinkan.

Ahmad merujuk kepada perpaduan dalaman UMNO yang kian mantap, sikap yang ditunjukkan rakyat tanda sokongan dengan pelbagai peluang dan kemudahan untuk memajukan diri.

"Pembangkang juga tidak mempunyai banyak modal untuk memburuk- burukkan kerajaan dan pimpinan selain janji- janji mereka tidak berasas," katanya kepada wakil media dalam pertemuan di pejabatnya di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, kelmarin.

UMNO dan BN kini menguasai 24 daripada 32 dan tujuh daripada lapan kerusi Parlimen manakala selebihnya dikuasai Pas.

Ahmad Said menegaskan, Pas kini cuba melakukan perang saraf dengan memberi gambaran kononnya perpaduan dalam UMNO cukup teruk.

''Tujuan mereka berbuat demikian untuk menaburkan kebimbangan dalam kalangan rakyat,' katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu berkata, program pemukiman parti itu yang diadakan baru-baru ini, menampakkan kesepakatan cukup jelas bagi memastikan UMNO kekal berkuasa dengan kedudukan cukup kuat.

''Kami sepakat untuk mempertahankan Terengganu dan kita cukup positif mampu merampas semula sekurang-kurangnya lima daripada lapan kerusi yang dimenangi Pas," ujarnya.

Malah, kata beliau, Pas sendiri yang awalnya menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya 19 kerusi, tiba-tiba muncul dengan kenyataan sekadar boleh menang 16 atau 17 kerusi sahaja.

Selari dengan transformasi politik yang digerakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, calon yang boleh diterima rakyat dan mampu memenangkan parti akan dikemukakan.

Katanya, sebarang ketentuan kedudukannya sebagai Menteri Besar kelak akan diterima dengan reda.

''Ia akan bergantung kepada laporan penilaian oleh pelbagai pihak. Namun, kita belum ada senarai nama lagi," katanya.