Thursday, June 21, 2012

Syarikat Biokimia AS Labur RM1.65 Bilion di Terengganu



Syarikat biokimia berpangkalan di Amerika Syarikat, Gevo Inc, akan melabur RM1.65 bilion untuk membina kilang pembuatan bioisobutanol daripada biojisim pertama di dunia.

Pelaburan itu akan dilakukan di Taman BioPolimer Kertih di Terengganu.

Dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada 2015, kilang dengan kapasiti menghasilkan 60,000 tahn bioisobutanol itu akan dibina secara berperingkat di tapak seluas 40 hektar.

Ia dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) terkumpul kira-kira RM5 bilion menjelang 2020 dan menyediakan 200 peluang pekerjaan.

Rancangan pelaburan oleh Gevo itu diumumkan pada majlis pertukaran dokumen kelmarin sempena dengan Konvensyen Antarabangsa BIO 2012 di Boston, yang disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili.

Terengganu diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Usaha Terengganu Tarik Pelabur Swasta, Asing Menampakkan Kejayaan

Kerajaan Terengganu berusaha terus menarik pelabur asing dan swasta datang ke negeri ini bagi merancakkan ekonomi dan paling penting menyediakan peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

Usaha ini bukan mudah kerana persaingan begitu kuat khususnya daripada negeri Pantai Barat terutamanya Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Selain itu Sabah dan Sarawak juga membuktikan mereka negeri yang bersedia menerima pelabur asing dan swasta dengan infrastruktur yang lebih hebat daripada Terengganu.

Bagaimanapun, ternyata usaha menarik pelaburan swasta dan asing termasuk melalui lawatan kerja Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ke luar negara mendatangkan hasil yang memuaskan.

Kejayaan Terengganu dalam konteks menarik pelaburan swasta dan asing ini menampakkan kejayaan apabila Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir pada 13 Jun lalu berkata Terengganu antara negeri menerima pelaburan swasta tertinggi pada suku pertama tahun ini.

Walaupun tidak dapat mengatasi Sabah yang mampu menarik pelaburan swasta sebanyak RM10 bilion atau Johor dengan RM2.6 bilion dan Sarawak pula sebanyak RM2.3 bilion, keupayaan Terengganu menarik pelaburan swasta sebanyak RM1.4 bilion adalah permulaan yang membanggakan.

Dengan kedudukan itu, Terengganu membuktikan bahawa ia kini mampu bersaing dengan negeri-negeri yang terlebih dahulu menjadi tumpuan pelabur swasta dan asing di negara ini.

Malah kejayaan Terengganu, Sabah, Johor dan Sarawak membuktikan bahawa negeri dalam pentadbiran Barisan Nasional juga mempunyai prestasi tinggi dalam menarik pelaburan.

Mukhriz ketika menjawab soalan tambahan ADUN Gombak dari pembangkang iaitu Azmin Ali pada persidangan Dewan Rakyat Rabu lalu, berkata adalah tidak menghairankan sekiranya Pinang dan Selangor menjadi antara negeri memperoleh pelaburan terbanyak di Malaysia.


Ini kerana kedua-dua negeri itu memiliki infrastruktur yang lengkap dan dibangunkan kerajaan Barisan Nasional di kedua-dua negeri itu sebelum jatuh ke tangan pembangkang.



Berbanding dengan negeri lain, khususnya Terengganu, kedua-dua negeri itu menjadi destinasi pelaburan sejak lama kerana infrastruktur sempurna seperti pelabuhan, jalan raya, universiti dan utiliti yang diusahakan kerjaan Barisan Nasional sebelum ini.

Di sebalik angka RM1.4 bilion yang disebut oleh Mukhriz sebagai jumlah tarikan pelaburan swasta oleh Terengganu itu, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sebelum ini mengumumkan kejayaan kerajaan Terengganu meraih nilai pelaburan asing tertinggi pada awal Mac lalu melalui projek akuakultur sebanyak RM1 bilion yang mampu menyumbang kepada nilai projek berimpak tinggi.

Projek yang dilaburkan oleh syarikat dari China di daerah Marang itu dijangka akan membantu mempercepatkan lagi usaha kerajaan negeri menjadi negeri maju.

Usaha kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat swasta iaitu Ocean Aquatic Marine (M) Sdn Bhd dan syarikat negara China, Zhanjiang Guolian Aquatic Products Co Ltd, dimuktamadkan dalam mesyuarat ECER yang disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Dattk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 1 Mac lalu.

Bagi projek yang akan diusahakan di Marang itu, pelaburan di kawasan berkeluasan 1,000 hektar itu akan membuka peluang pekerjaan kepada 1,000 penduduk tempatan apabila mula beroperasi kelak.

Projek industri akuakultur ternakan udang berkenaan adalah yang kedua seumpamanya di Terengganu selepas Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSHARP) Setiu melibatkan peruntukan kira-kira RM200 juta.

Dengan komitmen syarikat dari China dan syarikat swasta tempatan untuk kadang ternakan udang itu bermakna pada suku pertama tahun ini sahaja, kerajaan Terengganu berjaya menambah lagi RM1 bilion untuk nilai pelaburan asing ke negeri ini.

Sebelum ini Kerajaan Pusat mengumumkan sehingga akhir Oktober tahun lalu, Terengganu mendapat pelaburan langsung asing sebanyak RM1.4 bilion dan menduduki tempat ketujuh berbanding Kelantan yang hanya menerima RM129 juta sahaja.

Ternyata Terengganu kini pilihan syarikat luar negara untuk mengembangkan pelaburan mereka, kerana sebelum ini, persetujuan dicapai bagi pembinaan kilang keluli Eastern Steel Sdn Bhd (Eastern Steel) dari Cina di Taman Perindustrian Berat Kemaman di Teluk Kalong, dengan kos keseluruhan RM3.8 bilion.

Menerusi usahasama itu, dianggarkan 2,000 peluang pekerjaan baru akan diwujudkan dengan 60 peratus daripadanya terdiri daripada anak tempatan Terengganu.

Sebelum itu Polimer Park Kerteh menarik pelaburan Korea dan Perancis dengan nilai pelaburan RM2 bilion mulai tahun depan di Kawasan Perindustrian Berat Kemaman yang dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Apa yang diharapkan, selain menjana ekonomi Terengganu dan mewujudkan peluang pekerjaan, melalui pelaburan asing dan swasta berkenaan akan wujud industri hiliran dan yang bekaitan diusahakan penduduk setempat bertujuan menyokong industri berat di kawasan mereka.

Jika ini berlaku, akan semakin berkembanglah kawasan sekitar dan akan memacukan lagi ekonomi setempat yang pastinya akan menepis dan menjawab segala kritikan dan tuduhan pembangkang bahawa kerajaan negeri tidak berupaya menarik pelabur swasta dan asing ke negeri ini.

Nota: Sebahagian besar bahan ini sudah disiarkan melalui Bicara Terengganukita, Trg FM 19 Jun 2012, 1.30 Tengahari

Kerajaan Sedia Tapak Rumah Untuk Generasi Kedua Felda

Kerajaan negeri meluluskan tiga kawasan rancangan tanah berkelompok untuk dijadikan penempatan bagi generasi kedua Felda dan Felcra di negeri ini.

Tanah berkenaan yang dipecahkan kepada 444 lot tapak rumah akan diagihkan kepada peserta yang layak secara berperingkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah berkenaan, 130 lot tapak rumah akan diagihkan kepada anak-anak peneroka di Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu.

Terengganu Optimis Raih Emas Pertama Pada Sukma Di Pahang Bulan Depan

Terengganu yang menggunakan khidmat jurulatih dari China, Yan Gang optimis untuk meraih pingat emas pertama mereka dalam acara gimnastik pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang bulan depan.

Pengurus pasukan gimnastik Terengganu, Ahmad Zaidi Mustaffa berkata sejak Yan berkhidmat di negeri ini dua tahun lepas, beliau telah membimbing anak buahnya melakar keputusan yang baik pada temasya lepas dengan meraih pingat perak dan gangsa.

"Kami yakin dengan kemampuan jurulatih berpengalaman dari negara Tembok Besar itu dan berharap Sukma kali ini akan menghadiahkan emas pertama untuk Terengganu," katanya di Kuala Terengganui, semalam.

HSNZ Sedia Perkhidmatan Urut Lepas Bersalin Dalam Masa Terdekat

Bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pesakitnya, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akan mengadakan perkhidmatan urutan tradisional khususnya kepada para ibu lepas bersalin tidak lama lagi.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Anwa Sulaiman berkata perkhidmatan tersebut ditubuhkan di bawah Unit Perubatan Tradisional dan Sokongan di mana pihak HSNZ sebelum ini telah mempunyai beberapa pakar urut bagi pesakit yang mengalami masalah dalaman atau terseliuh serta perkhidmatan akupunktur.

"Menyedari keperluan perkhidmatan urutan selepas bersalin, inilah yang mendorong kami untuk menyediakan perkhidmatan tersebut khususnya bagi para ibu lepas bersalin mendapatkan rawatan urutan tradisional.

Kurang Fokus Punca Penyu Dihukum Saat-Saat Akhir

Kurang fokus dan gagal memanfaatkan peluang antara faktor skuad Terengganu dimalukan 0-1 oleh pendahulu liga, Lions XII dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu, malam semalam.

Jaringan pada masa kecederaan itu nyata mengejutkan dan tidak disenangi oleh ketua jurulatih Terengganu Peter James Butler di mana anak buahnya sebelum itu berjaya mengawal permainan namun menerima padah setelah leka hingga gagal memungut satu mata (jika seri) sehingga tamat permainan.

Katanya, barisan pertahanan sedikit longgar pada masa kecederaan empat minit yang diperoleh dan kealpaan itulah memberi ruang buat pasukan lawan mencuri peluang pada penghujung permainan.

Daftar Sebelum Akhir Jun Layak Mengundi Jika PRU Selepas Ogos

Kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih, masih berpeluang mengundi sekiranya mendaftar sebelum 30 Jun ini, andai pilihan raya umum (PRU) ke-13 diadakan selepas Ogos.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Jun adalah detik paling sesuai untuk mereka mendaftar sebelum senarai pemilih diwartakan pada Ogos depan.

"Bulan ini adalah bulan terakhir suku tahun 2/2012 dan selepas itu nama-nama tersebut akan dipamerkan pada bulan berikutnya iaitu Julai selama dua minggu.

Hariff Tidak Puas Hati Alasan MNCF Tidak Pilihnya Ke Olimpik


Kegagalan terpilih beraksi dalam Sukan Olimpik, bulan depan jelas sesuatu yang sukar diterima pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh.

Apa lagi, dengan alasan jawatankuasa pemilihan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) yang memberitahu laluan panjang dan berbukit menjadi faktor utama pemilihan walaupun dia sudah membuktikan keupayaan dengan menduduki ranking kelima Asia dan mencatat keputusan membanggakan dalam siri jelajah tahun ini.

Terengganu Bina Pusat Saind dan Kreativiti

Pembinaan sebuah Pusat Sains dan Kreativiti di negeri ini mampu memberi kemudahan dalam pembangunan sains apabila kompleks yang sedang di bina itu siap sepenuhnaya pada akhir 2014.

Pengerusi Pusat Sains dan Kreativiti Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata pusat berharga RM43.8 juta yang terletak di kawasan seluas 25 hektar di Cendering,Kuala Terengganu kini sudah 76 peratus kemajuan pembinaannya.


T-Team Beri Amaran Akan Singkir Pemain Kurang Cemerlang

 
Pasukan kelab T-Team melaungkan amaran akan menyingkirkan mana-mana pemain yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang bagi memastikan pasukan itu tidak terus merudum dalam baki tujuh perlawanan Liga Super musim ini.

Jurulatih Yunus Alif berkata pihaknya tidak teragak-agak berbuat demikian memandangkan saingan liga sudah hampir sampai ke penghujungnya musim ini.

"Kita akan buat perubahan drastik dan mana-mana pemain yang tidak cemerlang kita akan keluarkan dari skuad utama," katanya  ketika mengulas kekalahan 0-5 T-Team kepada Selangor malam kelmarin.

Menteri Besar Luang Masa Lawat Keluarga Pesakit Leukemia

Ismaliana Ismail, 20, yang menderita penyakit leukemia sejak hampir setahun lalu semalam mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang berkunjung ke rumah keluarga itu di Kampung Pulau Musang, Kuala Terengganu.

Menteri Besar berkata, remaja perempuan itu akan dibantu melalui peruntukan Tabung Penyakit Kronik yang diwujudkan kerajaan negeri.

“Kita akan dapatkan laporan kesihatan pesakit itu untuk menentukan bentuk bantuan yang akan kita hulurkan dalam masa terdekat,” katanya.



Berbasikal Sejauh 1,900 KM Untuk Promosi Hijau Dan Amal

Seramai tujuh sukarelawan akan berbasikal sejauh 1,900 kilometer menjelajahi Semenanjung Malaysia menerusi program amal "Cyclothon Malaysia 2012", yang bertemakan "Menerokai Malaysia Melalui Jalan Hijau", dari 22 Jun hingga 4 Julai.

Pengerusi penganjur program itu P. Rajendran berkata program itu akan diketuai penunggang basikal berpengalaman Mark Adams bersama-sama Pengerusi Kelab Rotary Titiwangsa Loke Siang Siang serta beberapa pelajar dari ELC International School

"Tujuan kami untuk mempromosikan aktiviti hijau yang baik untuk alam sekitar kerana ia acara tanpa elektrik dan petrol" katanya di Kuala Lumpur.

Sasaran Baru Terengganu 47 Emas Pada Sukma Pahang

 

Terengganu mengumumkan sasaran baru iaitu 47 pingat emas bagi pungutan pingat dalam Sukan Malaysia Ke-15 (Sukma) yang akan berlangsung di Pahang pada bulan depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, sasaran sebelum ini ialah 58 pingat emas daripada 377 pingat yang dipertandingkan.

"Kita kehilangan sembilan pingat emas kerana atlet Sukma yang layak telah pergi ke Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelantikan Rasmi Ketua Kontijen Terengganu Sukma XV Pahang 2012 di Wisma Darul Iman semalam.


Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperuntukkan RM100 juta bagi menggerakkan pelbagai inisiatif membangunkan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Peruntukan itu bagi meningkatkan pembabitan syarikat PKS Bumiputera di Pahang, Terengganu dan Kelantan dalam sektor makanan meningkatkan pendapatan seterusnya membantu menjana ekonomi negara.


Malaysia Akan Umum Inisiatif Bioteknologi Tidak Lama Lagi - Ongkili

Mazlan...kini di Boston
Inisiatif Bioekonomi Malaysia, yang menggariskan pelan menyeluruh bagi menggalakkan pengkomersilan dalam industri bioteknologi, dijangka diumumkan pada Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia (ICM) akan datang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadual berlangsung sama ada Julai atau Ogos.

Selain inisiatif ini, sekurang-kurangnya enam projek baru (EPP) mengenai bioteknologi dijangka diumumkan pada mesyuarat itu.


Kembara Alam Pedal X Besut-Cameron-Titiwangsa Bermula


Sekumpulan 30 pelajar dan empat guru memulakan program berbasikal Kembara Alam Pedal X Besut-Cameron-Titiwangsa anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi kelmarin.

Program selama enam hari melibatkan kayuhan lebih 900 kilometer itu dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof yang turut dihadiri oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Ab. Halim Hassan di pekarangan Bangunan Persekutuan Besut, Kampung Raja.

Taman Panorama Bukit Pak Apil Beroperasi Bulan Depan

Taman Panorama yang terletak di Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu bakal memulakan operasinya pada pertengahan bulan depan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata, pihaknya sedang dalam proses menentukan tender kepada operator yang bakal menguruskan operasi di taman itu.

Tuesday, June 19, 2012

Anak Kelahiran Terengganu, Rakyat Malaysia Pertama Felo University Cambridge

Azree Shahrel Ahmad Nazri
  “Seingat saya tiada pelajar Cambridge berbuat demikian. Saya amat terkejut dengan kebolehannya yang boleh menggabungkan ilmu statistik dengan bioinformatik untuk menyelesaikan persoalan biologikal yang rumit..."
 - Pensyarah kanan Universiti Cambridge Universiti Cambridge, Dr Pietro Lio’

Tutor Universiti Putra Malaysia (UPM), Azree Shahrel Ahmad Nazri menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai felo penyelidik bidang matematik gunaan di Universiti Cambridge, United Kingdom.

Pelantikan di Trinity College itu adalah hasil pencapaian beliau yang menakjubkan sepanjang sesi pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang matematik di universiti terkemuka dunia berkenaan sejak 2008.

Anak muda kelahiran Terengganu berusia 32 tahun itu adalah tutor Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM.

Pensyarah kanan Universiti Cambridge Universiti Cambridge, Dr Pietro Lio’ dalam surat sokongannya kepada UPM menyifatkan Azree sebagai pelajar berbakat.

 Beliau menyifatkan kebolehan Azree yang menjalani latihan berkembar di makmal biologi dan molekular serta sistem biologi statistik sebagai jarang berlaku di Universiti Cambridge.

“Seingat saya tiada pelajar Cambridge berbuat demikian. Saya amat terkejut dengan kebolehannya yang boleh menggabungkan ilmu statistik dengan bioinformatik untuk menyelesaikan persoalan biologikal yang rumit,” katanya.

Beliau juga berkata, jawatan itu hanya ditawarkan kepada penyelidik yang berkebolehan serta bijak dan sebagai penyelidik, Azree boleh menumpukan penyelidikan dalam bidang matematik gunaan tanpa beban mengajar, seterusnya memulakan kariernya ke peringkat lebih tinggi.

Azree ketika dihubungi di London bersyukur dengan pelantikan selama tiga tahun yang akan bermula Ogos depan.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada ibu, Junaidah Embong dan ayah, Nazri Ahmad serta isteri Azwanis Abdosamad kerana sanggup berkorban. Saya akan membuat penyelidikan sepenuh masa di sini,” katanya menerusi SMS

 Menyifatkannya sebagai tugasan berat, Azree berkata tawaran itu adalah titik permulaan baginya untuk menyokong hasrat negara mencapai Wawasan 2020.

“Cabaran ini amat berat kerana saya terpaksa bersaing dengan penyelidik antarabangsa lain.

Saya juga yakin di luar sana ramai lagi penyelidik yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa, cuma mereka mungkin tiada peluang seperti saya,” katanya yang baru menamatkan PhD dalam bidang matematik.

Berita Harian

Kadar Kemiskinan Di Terengganu Turun 29 Peratus - Yahya Khatib

Ibu Tunggal Yang Hadir Pada Majlis Karisma Selendang Biru Semarak Kasih...
Pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan Terengganu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan sehingga 29 peratus daripada lebih 42,000 rakyat yang dikategorikan miskin.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Datuk Yahya Khatib Mohamad berkata seramai 12,000 rakyat negeri Terengganu berjaya keluar daripada garis kemiskinan hasil bantuan pelbagai program kerajaan, khasnya program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA).

“Berdasarkan rekod Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YKPT) pada 2008, lebih 42,000 rakyat dikategori sebagai miskin dan mudah miskin.

SUKMA Pahang XV - Terengganu Sandarkan Kepada Basikal, Olahraga

Wan Nawawi...Ketua Kontinjen
Juara  Sukan Malaysia (SUKMA) tiga kali berturut-turut, Terengganu mengimpikan untuk terus mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada SUKMA 2012 yang dijadual berlangsung di Pahang, 7 hingga 15 Julai ini.

Terengganu yang membawa pulang 30 emas pada edisi tahun lalu di Kuala Lumpur, menyandarkan harapan kepada sukan berbasikal yang dijangka mampu menggondol lebih banyak pingat selain olahraga, pencak silat, angkat berat dan taekwondo.

“Kami turun sebagai juara bertahan dan akan berusaha mempertahankan gelaran juara keseluruhan, itu sudah pasti,” kata Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu mengenai misi pasukannya  dihubungi, semalam.


Hariff Pertikai Keputusan PKBM Tidak Senarainya Ke Olimpik 2012

Pelumba lebuh raya negara, Mohd. Hariff Salleh mempertikaikan keputusan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang tidak menyenaraikannya ke Sukan Olimpik 2012 di London bulan depan.

Sebaliknya, PKBM memilih Amir Mustafa Rusli untuk menggalas tugas tersebut. Hariff yang sebelum ini disebut-sebut sebagai pelumba berpotensi untuk mengiringi Muhamad Adiq Husainie Othman ke London mendakwa PKBM tidak menepati janji.

Hariff berkata, PKBM pernah menjanjikan satu slot untuk diisi pelumba yang berjaya menunjukkan aksi cemerlang pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), kejohanan lumba basikal Grand Prix Kebangsaan dan Jelajah Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.

Terengganu Tanpa Forkey Doe Hadapi Lions XII

Manaf  (paling kanan) dijulang selepas menjaringkan gol pada satu perlwanan Liga Super sebelum ini...
Walaupun tanpa penyerang berbisanya Francis Forkey Doe, TereKuala Terengganu, malam ini.

"Kita masih ada ramai lagi pemain tempatan yang baik dan mampu memberikan cabaran kepada pasukan dari seberang Tambak Johor itu," kata Penolong Pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Syeikh Yusof.

Beliau berkata Terengganu tetap yakin untuk menang kerana pernah mengalahkan Lions XII 1-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura dalam pusingan pertama Liga Super pada 28 Januari lalu.

Pegawai Agama Ditempatkan Di Klinik Kesihatan Seluruh Terengganu

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan menempatkan pegawai agama di klinik kesihatan di seluruh negeri ini bagi memberi bimbingan dan khidmat nasihat daripada aspek keagamaan kepada ibu hamil dan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Khazan Che Mat berkata, program dinamakan Booth Skuad Khidmat Nasihat Ibu Hamil dan Khidmat Nasihat Awam itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.


YPK Perkasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Melalui 43 Taska


Terengganu mampu menjadi negeri contoh kerana kejayaannya menggerakkan program perkembangan awal kanak-kanak yang meliputi perkhidmatan pengasuhan, pendidikan serta penjagaan bayi dan kanak-kanak melalui 43 buah Taska di seluruh negeri.

 Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti, aktiviti Taska dirancang bagi memenuhi perkembangan secara menyeluruh merangkumi fizikal, bahasa, kognitif serta sosio emosi.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Mohd. Safaruddin Mustaffa berkata, konsep bermain sambil belajar yang diterapkan dalam aktiviti Taska membolehkan kanak-kanak meneroka pengalaman baru mengikut kebolehan, minat dan kesediaan mereka.

PMINT Tawar Rumah Dengan Harga Berpatutan

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) terus berusaha membangunkan kemudahan perumahan dengan harga berpatutan di Pulau Duyung, Kuala Terengganu yang lebih selesa dan kondusif.

Harga yang ditawarkan bagi setiap unit bergantung kepada jenis rumah iaitu rumah kos rendah ditawarkan pada harga RM42,000 dan rumah mampu milik pula RM62,000.

Pengurus Besar PMINT, Datuk Osman Muda berkata, permohanan terhadap projek perumahan yang dibina secara berperingkat-peringkat di Pulau Duyong itu sangat menggalakkan tetapi terpaksa ditapis dengan mengutamakan penduduk setempat.


MBKT Sedia 2,500 Petak Bazaar Ramadan DiTawar Sejak Khamis Lalu

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan lebih 2,500 tapak niaga di Bazar Ramadan bagi membolehkan peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa. Permit mula ditawarkan kepada orang ramai sejak Khamis lalu.

Ia  bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan di 20 lokasi tumpuan yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBKT, Ghani Idris berkata, bayaran bagi setiap petak niaga antara RM70 hingga RM140 bergantung kepada lokasi dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi.


Prestasi Pengusaha Inap Desa Terengganu Dinilai Semula


Prestasi dan kesungguhan pengusaha program inap desa di Terengganu akan dinilai semula berikutan terdapat beberapa kes terpencil membabitkan pengusaha yang enggan menerima pelancong ke rumah mereka.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu Mohd Sabri Zakaria berkata pihaknya menerima aduan yang mendakwa terdapat segelintir pengusaha program itu tidak lagi mahu terlibat dengan serius dalam program inap desa.



Lokasi Air Terjun Dipasti Bebas Penyakit Kencing Tikus

Kerajaan negeri Terengganu mengambil langkah sewajarnya mengelak jangkitan penyakit berbahaya seperti kencing tikus di lokasi kunjungan pelancong seperti kawasan air terjun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, ini kerana semua lokasi berkenaan akan dilengkapi peralatan penapis air yang mengandungi bahan yang membunuh virus penyakit berkenaan.

Taman Awam Lagun Kuala Ibai Akan Berwajah Baru


Kerja-kerja membaik pulih dan menyiapkan Taman Awam Lagun Kuala Ibai yang terbengkalai sejak 2008 dijangka dapat dilaksanakan tidak lama lagi.

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Samiun Salleh berkata, tender baru bagi menggerakkan projek tersebut telah dikeluarkan dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin setelah mendapat kelulusan.



Sunday, June 17, 2012

Kompleks Biopenapisan Di Kerteh Jana RM20.4b Menjelang 2020, 2,500 Pekerjaan

"...apabila siap kelak, kompleks itu mampu menarik kemasukan lebih banyak teknologi produk bio ke negeri ini sekali gus memberi manfaat kepada penduduk tempatan dari segi ekonomi....Keseluruhan projek tersebut dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) kumulatif sebanyak RM20.4 bilion menjelang 2020 di samping mencipta 2,500 pekerjaan 'hijau' di Malaysia."
 - Datuk Seri Ahmad Said

Bagi kebanyakan rakyat Terengganu, mereka biasa mendengar dan mengenali pokok Petai Belalang dan Akasia.

Namun kedua jenis pokok itu ketika ini mungkin terbiar atau dibiarkan begitu sahaja. Namun dalam tempoh beberapa tahun akan datang pokok Petai Belalang atau nama saintifiknya Leucaena leucocephala dan Akasia atau Acacia Mangium akan menjadi tanaman penting bertaraf komersil di Terengganu.

Ini kerana kedua-duanya akan digunakan sebagai bahan mentah yang diperlukan di Kompleks Biopenapisan yang bakal dibangunkan di Taman Polimer, Kertih yang dijangka mampu menjana perolehan sebanyak RM1 trilion.

Ini bukan ‘mimpi Pak Belalang’ tetapi realiti yang jangan sembarangan diperlecehkan kerana kompleks biopenapisan terbesar Asia menjelang 2014 akan dibangunkan di negeri ini. Ia berkat kerjasama strategik antara kerajaan negeri Terengganu, Malaysian Biotechnology Corp Sdn Bhd (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Majlis menandatangani dokumen kerjasama bagi pembangunan Kompleks Biopenapisan antara kerajaan negeri Terengganu dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) di Kuala Terengganu berlangsung Rabu (13 Jun 2012) lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan kerajaan negeri akan menanam pokok berkenaan bulan depan sebagai percubaan untuk melihat keberhasilannya.

Sebagai persediaaan, sejumlah 30,000 hektar tanah telah disediakan untuk pembangunan ladang pokok Petai Belalang yang akan menghasilkan 1.5 juta tan metrik cip kayu setiap tahun daripada pokok berkenaan.
 
Dan sekiranya projek itu berjaya dan menguntungkan, Kerajaan Negeri akan sarankan petani di negeri ini menanam pokok berkenaan dengan menyediakan tanah untuk mereka antara tiga hingga lima hektar seorang.

Kerajaan Negeri akan mengalakkan petani di negeri ini menanam pokok-pokok berkenaan kerana Kompleks Biopenapisan terbesar di Asia ini memerlukan bahan mentah berkenaan yang banyak untuk menghasilkan produk-produk terbitan bio (bioderivatif) seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan aktif.


Kerajaan Terengganu tidak mahu tunggu lama untuk merealisasikan kompleks biopenapisan terbesar di Asia itu di kawasan seluas 1,000 hektar itu apabila pembinaannya akan mula dibina bulan depan dan dijangka siap dan beroperasi pada 2014.

Dibangunkan oleh ECERDC, kos prasarana kompleks tersebut yang terletak di Taman Biopolimer Kertih dianggarkan RM170 juta. Taman Biopolimer Kertih ini merupakan antara projek utama Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ) yang menawarkan peluang pelaburan dan sinergi yang meluas kepada peserta industri bioteknologi.

Kejayaan Kerajaan Negeri menempatkan projek ini yang menjadi projek mercu tanda utama dan yang pertama di Malaysia menggunakan bahan mentah cellulosic untuk menghasilkan bioderivatif seperti karbohidrat, biokimia, biomaterial, biobaja dan ramuan makanan haiwan yang aktif pastinya akan merancakkan lagi industri bioteknologi di negara ini.

Kedudukannya yang berhampiran dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih milik Petronas membolehkan pembekalan produk secara bersilang antara kedua-dua kompleks yang pada masa sama menawarkan ekonomi yang menguntungkan bagi pembekalan utiliti dan logistik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BiotechCorp Datuk Mohd Nazlee Kamal menjangkakan projek itu menjana pendapatan negara kasar terkumpul RM20.4 bilion menjelang 2020 dengan pengeluaran 800,000 tan metrik bioderivatif setahun.

Bagi Kerajaan Negeri, projek ini bukan sahaja semakin melengkapkan Terengganu sebagai salah sebuah negeri maju menjelang 2020 tetapi ia turut menyediakan 2,500 peluang pekerjaan baharu bagi negeri ini.

Dengan jangkaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) berjumlah RM6.8 bilion, kompleks yang terletak di kawasan seluas 1,000 hektar di taman itu dijangka akan diduduki oleh lapan penggiat industri bioteknologi perindustrian menjelang 2015.

Bagi Menteri Besar, keyakinan pelabur terhadap keupayaan Terengganu sebagai destinasi pelaburan unggul, dinamik dan kompetitif membuktikan negeri ini mampu bersaing di peringkat global.

Ini kerana Taman Biopolimer kini berjaya menarik kedatangan pelabur besar seperti Hi-Essence Cable Sdn Bhd, MIE Copper Sdn Bhd dan CJ Arkema, masing-masing dengan pelaburan berjumlah melebihi RM2 bilion.

Projek ini pastinya akan menguntungkan semua pihak dan lebih membanggakan, terdapat beberapa syarikat lagi, termasuk dari Eropah dan Amerika Syarikat turut menyatakan minat untuk melabur di lokasi sama.

Bagi Ahmad Said, perkembangan positif itu mampu menjadikan Taman Biopolimer sebagai hab industri bioteknologi di peringkat antarabangsa serta menaikkan imej Terengganu di mata dunia.

Penubuhan kompleks ini tentunya sesuatu yang ideal bagi menarik kemasukan lebih banyak teknologi produk bio ke negeri ini dan secara tidak langsung mampu memberi manfaat dan menjana pendapatan.

Yang paling penting ia akan menyediakan peluang pekerajaan dan penghasilan pertanian yang besar untuk rakyat Terengganu.

Nota - sebahagian besar bahan disiarkan melalui Bicara Terengganukita, Trg FM  14 Jun 2012.

RM20 Juta Untuk Ibu Tunggal Dalam Bajet 2013 - Ahmad Said



"Kekangan peruntukan sebelum ini menyebabkan program latihan kemahiran kepada ibu tunggal yang berminat menceburi perniagaan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh...peruntukan RM20 juta bertujuan melatih lebih 21,000 ibu tunggal di negeri ini supaya dapat berdikari  tanpa mengharapkan bantuan kebajikan bulanan daripada kerajaan semata-mata." 
-Datuk Seri Ahmad Said

Kerajaan negeri berhasrat memperuntukkan RM20 juta menerusi Bajet 2013 khusus bagi merangka pelbagai program kemahiran perniagaan untuk ibu tunggal seluruh Terengganu supaya golongan itu mampu mengubah taraf kehidupan dan keluar dari paras kemiskinan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata peruntukan di bawah portfolio Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri itu bertujuan melatih lebih 21,000 ibu tunggal di negeri ini supaya dapat berdikari  tanpa mengharapkan bantuan kebajikan bulanan daripada kerajaan semata-mata.

Abdul Manaf, Hadi Sumbang Gol Tewaskan T-Team 3-0


Terengganu mungkin selesa dengan kemenangan 3-0 ke atas T-Team.

Penyerangnya Abdul Manaf Mamat (gambar atas) yang kembali cergas setelah direhatkan sementara selepas menjalani pembedahan di bahagian buku lali awal bulan lalu terbukti berbaloi.

Pemain yang berusia 25 tahun yang bertekad mahu memberikan aksi terbaik jika ketua jurulatih pasukan itu Peter Butler memberi peluang beraksi menentang pasukan T-Team, dikotakan dengan dua golnya.

Satu gol lagi dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahya.


Namun, di sebalik kemenangan itu, misteri kehilangan penyerang berbisa mereka Francis Forkey Doe menjadi tanda tanya kepada semua pihak, termasuk penyokong Terengganu, apalagi kepada jurulatih Terengganu, Peter Butler.

Tebu Mountain Challenge DiNaik Taraf Sempena TMT 2013


Kerajaan negeri bercadang menaik taraf program Tebu Mountan Challenge menjadikannya sebagai acara peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Terengganu pada 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,Kebudayaan,Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Haji Abdul Rahim Mohd Said, berkata program itu perlu ditingkatkan ke peringkat antara bangsa supaya lebih berprestij dan disertai peserta luar negara.


SEATRU Minta Kerajaan Terengganu Wartakan Santuari Penyu

Kerajaan negeri Terengganu diminta mewartakan semua pantai dan pulau di negeri ini sebagai kawasan santuari penyu bagi mengelak telur penyu dikutip oleh orang ramai.

Ketua Projek SEATRU Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Juanita Joseph berkata dalam masa yang sama juga, kerajaan perlu mengadakan undang-undang bagi memastikan telur penyu tidak dimakan.


Hariff Diketepikan ke Olimpik London 2012, Adiq Husssaine, Amir Mustafa Berjaya

Amir Mustafa Rusli...banyak pengalaman di luar negara
Jawatankuasa Pemilihan Berbasikal Lebuh Raya ke Sukan Olimpik Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan Mohd Adiq Hussainie Othman (kiri) dan Amir Mustafa Rusli akan menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik London, bulan depan.

Nama kedua-dua pelumba itu diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamad di Menara KBS di kelmarin.
 
"Jawatankuasa ini memutuskan untuk turut menyenaraikan seorang lagi sebagai pelumba simpanan. Pelumba yang dipilih itu ialah Mohd Zamri Salleh.