Saturday, September 14, 2013

Maklumat Akaun Bank - Tindakan AMK Lapor Polis Sekat JMM Ekori Anwar


Angkatan Muda Keadilan membuat laporan polis terhadap Jaringan Melayu Malaysia (JMM) ekoran hasrat mereka mahu mengunjungi rumah Datuk Seri Anwar bagi mendesak beliau membenarkan Bank Negara mendedahkan maklumat akaun banknya

NGO yang diketuai Azwanddin Hamzah itu dilapor mahu mengekori Anwar di setiap lokasi yang dihadiri ketua pembangkang sekiranya gagal mendapatkan tandatangannya berhubung maklumat akaun bank beliau itu.

Maklumat bank itu adalah berhubung dakwaan oleh bekas calon BN Permatang Pauh, Mazlan Ismail bahawa pengerusi DAP Karpal Singh menerima bayaran guaman RM50 juta dari Anwar untuk merasuah hakim.

Kelmarin,  Pengerusi JMM,  Azwanddin Hamzah berkata NGO itu akan mengunjungi rumah Datuk Seri Anwar untuk mendesak agar ketua umum PKR itu membenarkan Bank Negara mendedahkan maklumat akaun bank ketua pembangkang itu.

Azwanddin dalam satu laporan Utusan Malaysia berkata NGO berkenaan akan mengunjungi rumah Anwar esok bagi mendapatkan tandatangan Anwar berhubung maklumat akaun bank Anwar itu.

Maklumat bank tersebut adalah berhubung dakwaan oleh bekas calon BN untuk kawasan parlimen Permatang Pauh, Mazlan Ismail bahawa pengerusi DAP Karpal Singh menerima bayaran guaman RM50 juta dari Anwar untuk merasuah hakim.

Azwanddin berkata, usaha tersebut akan terus dilakukan di setiap lokasi yang dihadiri ketua pembangkang itu sekiranya gagal mendapatkan tandatangan Anwar esok (semalam).

"Kami akan ke mana sahaja yang dihadiri Anwar termasuk di Parlimen, ceramah-ceramah, di rumah malah sehingga Amerika Syarikat sekalipun sehingga beliau sanggup menandatangani surat itu. "Saya bersedia menjadi despatch (budak penghantar surat) kepada Anwar kerana dangan cara ini sahaja dapat memastikan beliau menandatangani surat kebenaran itu selepas banyak desakan sebelum ini tidak menampakkan hasil," katanya seperti dilapor dalam akhbar itu.


Anwar pada awal bulan lalu membuat laporan polis terhadap dakwaan Mazlan bahawa beliau merasuah hakim dan timbalan pendakwaraya.

Turut membuat laporan, pengerusi DAP Karpal Singh – yang turut dituduh menerima bayaran guaman RM50 juta daripada Anwar, seperti didakwa Mazlan.

Laporan Utusan kelmarin menyebut, JMM telah menyediakan surat rasmi kepada gabenor BNM Tan Sri Zeti Akhtar Aziz untuk membenarkan maklumat akaun itu didedahkan kepada media yang kini hanya memerlukan tandatangan Anwar.

Dalam laporan polisnya Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip menyifatkan tindakan NGO itu "mengganggu ketenteraman dan satu bentuk ugutan keselamatan dan keselesaan" kepada Anwar dan keluarganya. "... serta telah menimbulkan kecurigaan orang awam terutama jiran tetangga kawasan perumahan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di Bukit Segambut terhadap motif sebenar pihak NGO berkenaan yang mahu mengikut gerak geri DSAI," laporan polis itu dipetik. Sehubungan itu, Rozan berharap polis dapat "menyiasat, memantau, menasihati atau mengambil tindakan" berdasarkan undang-undang bagi menghalang tindakan NGO terbabit atau mana-mana pihak yang dilihat tidak menghormati hak privasi beliau dan keluarganya.

"Ini apatah lagi dalam mengambil kira status DSAI sebagi seorang ahli parlimen dan ketua pembangkang parlimen Malaysia," katanya dalam laporan polis itu yang dibuat pada 12.58 tengah malam tadi di Balai Polis Jinjang.

Sementara itu, dalam kenyataan medianya semalam Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pula menyifatkan tindakan JMM itu sebagai "desperado, kacau ganggu dan tidak produktif".

"Tatkala negara hangat membincangkan ekonomi meruncing, harga minyak dan barangan yang meningkat, dan rasuah yang kronik, pihak-pihak sebegini sibuk dengan sandiwara yang sebenarnya bertujuan mempromosikan diri sendiri di ambang pemilihan Umno," katanya.

Bantah Pelantikan MB Perak - 13 Individu Dihukum Dipenjara

Seramai 13 individu, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Kangsar setelah didapati bersalah menyertai perhimpunan haram di kawasan Jalan Istana, Bukit Chandan di Kuala Kangsar, empat tahun lepas.

Hakim Norsalha Hamzah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka setelah meneliti serta menimbang kesemua keterangan termasuk hujahan kedua-dua pihak.

Bad Latif Mansor, 47, Suhana Abdullah, 49, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 38; Mohd Faiz Mohd Arshad, 26; Zulhaizam Zulkifli, 29 ; Isha Riduan Ishak, 59; Adi Hilmee Mohd Nasir, 44; Yusoff Jaafar, 48; Idris Mohd Thaib, 48; Mohamad Nazeer Hameed, 48; Khairul Azmi Hassan Basri,48; Mohd Hasri Ismail, 48; dan Mohamed Ismail S.M Abdul Kadir, 47, didapati bersalah menyertai perhimpunan haram itu pada pukul 3.30 petang, 6 Feb 2009 semasa istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan menteri besar Perak.


Kerajaan Negeri Sedia Bantu Anak Tempatan Cipta Nama - MB


Kerajaan negeri sedia memberi pelbagai bantuan kepada anak Terengganu yang mahu mencipta nama dalam pelbagai bidang mencapai impian mereka, bagi mengharumkan nama negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kesediaan kerajaan negeri berbuat demikian dan memberi peluang yang luas kepada mereka untuk bergiat cergas di bidang sukan membolehkan Terengganu muncul sebagai kuasa sukan di negara ini.

“Saya harap lebih ramai lagi selepas ini rakyat Terengganu yang mejejak langkah Mohd Noor Mat  (gambar kanan) yang mahu mencipta nama berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya bagi mencipta nama dan menaikkan nama Terengganu,” katanya kepada sidang media selepas pelancaran misi “Walk For Malaysia” (Walk4Malaysia) di Putrajaya semalam.

Parti Gerakan Sokong Pelan Pendidikan Negara


Parti Gerakan bersetuju dan memberi sokongan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini.

Pemangku Presiden Parti Gerakan Datuk Chang Ko Youn (gambar atas) berkata pelan pembangunan pendidikan yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diharap akan membawa kepada sistem pendidikan negara maju ke hadapan.

Beliau menyifatkan tindakan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mempertikaikan pelan berkenaan sebagai tidak betul.

Media Perlu Main Peranan Untuk Pengukuhan Negara Bangsa - Najib


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu peranan yang dimainkan media membawa kepada pengukuhan sebuah negara bangsa. Beliau berkata peranan media, khususnya Utusan Melayu, penting dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat tentang segala dasar, agenda dan prakarsa yang dilaksanakan untuk masyarakat negara ini.

"Kini, sudah 75 tahun Utusan Melayu melaksanakan visi pengasas-pengasasnya, memegang amanah dalam membela nasib dan bangsa Melayu dan Malaysia melalui pelbagai naskhah terbitannya.

Piala Merdeka 2013 - Azrif Tekad Buktikan Kemampuan, Rozaimi Belum Puas

Md Rozaimi meledak dua gol ketika membantu skuad Harimau Muda
 membelasah Thailand 3-0 .
Penyerang  Harimau Muda, Md. Rozaimi Ab. Rahman masih belum berpuas hati dengan prestasinya setakat ini dan kini bertekad untuk mencapai tahap tertinggi dalam kariernya.

Sementera, pemain sayap negara, Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mahu membuktikan kemampuan diri sekiranya diturunkan pada aksi final Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 menentang Myanmar di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Bekas pemain kelab Selangor PKNS FC itu, yang menyertai pasukan Harimau Muda A itu awal tahun ini berkata, beliau bertekad untuk memberi persembahan terbaik serta membantu skuad negara merangkul kejuaraan itu.

Md Rozaimi, penyerang kelahiran Sabah itu telah meledak dua gol ketika membantu skuad Harimau Muda membelasah Thailand 3-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang malam kelmarin.


Walk 4 Malaysia Bukti Semangat Juang Rakyat Mempromosi Keamanan


Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan program Walk 4 Malaysia iaitu cabaran berjalan kaki sejauh 600 kilometer dari Kuala Besut, Terengganu ke Putrajaya, sebagai cerminan semangat juang rakyat negara ini dalam mempromosi keamanan dan kedamaian.

Perdana Menteri juga melahirkan rasa kagum terhadap peserta, Mohd Noor Mat, yang mahu membuktikan kepada semua bahawa tiada cabaran yang dapat menghalangnya merealisasikan impian itu.

"Kita berasa kagum dengan hasrat dan dedikasi yang ditunjukkan beliau yang mahu membuktikan kepada semua bahawa tiada halangan mahupun cabaran, namun yang wujud hanyalah peluang," katanya ketika melancarkan Walk 4 Malaysia, di Putrajaya, semalam.

Rusuhan - Penoreh Cederakan Konstabel, Wartawan Dipenjara 16 Bulan, Denda RM5,500

Seorang penoreh getah semalam dijatuhi hukuman penjara setahun empat bulan dan denda RM5,500 setelah didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk mencederakan konstabel polis dan wartawan pada perhimpunan haram di ibu negara tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Mahmud Abdullah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Mohd Safuan Mamat@Nordin, 26, di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, penoreh getah dari Terengganu itu hanya perlu menjalani hukuman penjara setahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai Jumaat, dan tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Kursus ICT Percuma Untuk Rakyat


Bagi memberi pendedahan lebih meluas tentang penggunaan dan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sebanyak 47 buah Pusat Komuniti Bestari (Bestari.Com) di seluruh negeri ini menyediakan kursus ICT secara percuma kepada masyarakat.

Pegawai Teknologi Maklumat Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu (UPMN), Zulkifli Abdul Kadir berkata, kursus ICT yang terbuka kepada semua golongan dan peringkat umur itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri agar rakyat tidak ketinggalan.

"Hanya perlu ada tiga orang dan maksimum 13 orang pada satu-satu masa bagi membolehkan kursus sehari diadakan di Bestari.Com berhampiran. Kita berharap lebih ramai masyarakat memanfaatkan kemudahan yang disediakan secara berterusan ini.

Jabatan Kerajaan Perlu Berani Laksana Transformasi - KP Perkhidmatan Awam


Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu berani membuat keputusan ketika melaksanakan transformasi masing-masing tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata ini kerana semua agensi terbabit sudah mempunyai kuasa untuk berbuat demikian dan tidak memerlukan 'lampu hijau' daripada JPA. 

"Sepatutnya ketua-ketua jabatan boleh mengambil tindakan, tetapi mereka tidak mahu membuat keputusan. Kalau boleh benda-benda yang boleh buat keputusan di peringkat kementerian dan jabatan, ia perlu dilaksanakan. Kita di JPA buat polisi sahaja," katanya.

Banjiri Stadium Darul Makmur Untuk Beri Sokongan Padu Kepada Skuad Malaysia


Peminat bola sepak tempatan diminta membanjiri Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini  bagi memberi sokongan padu kepada skuad negara yang akan menentang Myanmar dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berharap penurunan harga tiket, menjadi faktor menarik lebih ramai penyokong ke stadium untuk perlawanan akhir itu salain prestasi baik skuad negara yang menang kesemua tiga perlawanan pusingan awal.

Harga tiket untuk final ialah RM20 untuk tempat duduk bebas dan RM50 untuk grandstand.

Ekonomi Bumiputera Diperkasa, Limpahan Faedah Dinikmati Semua


Ekonomi 67 peratus penduduk negara ini yang terdiri daripada Bumiputera, perlu terus diperkasakan memandangkan pengukuhan golongan itu akan mewujudkan limpahan manfaat yang boleh menguntungkan semua.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengumumkan dasar-dasar bagi memperkasa ekonomi Bumiputera seiring usaha merealisasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dalam tempoh kurang tujuh tahun, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan, dijangka menyentuh aspek pembangunan modal insan, pemilikan ekuiti dan hartanah oleh Bumiputera.

Siapapun Boleh Bertanding Jawatan Ketua Wanita - Shahrizat

Raihan...untuk menjadikan pergerakan Wanita Umno mantap.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata beliau tidak mempunyai halangan bagi sesiapapun yang ingin mencabarnya pada pemilihan Umno bulan depan.

Beliau berkata menerusi perlembagaan parti yang sudah dipinda, pemilihan terbuka kepada mana-mana anggota Umno yang ingin bertanding.

"Terpulanglah sesiapapun hendak bertanding. Mengikut perlembagaan kita tidak ada halangan siapapun nak bertanding," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perasmian bangunan baharu Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di Kuala Lumpur, semalam.

ATM Labur RM800,000 Setahun Untuk Atlet Tentera

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperuntukkan sebanyak RM800,000 setahun untuk program latihan serta penyertaan atletnya dalam kejohanan peringkat serantau dan dunia.

Panglima Divisyen Kedua Infantri, Mej.Jen. Datuk Mohd Shukri Ahmad berkata ATM kini sedang menambahbaik mutu atletnya dalam usaha mengetengahkan atlet dalam mewakili negara ke Sukan Olimpik, Asia mahupun Sukan SEA dalam mana-mana acara sukan terpilih.

"Kita bukan sahaja mahu melahirkan atlet yang dapat mewakili negara ke peringkat Sukan SEA dan Asia, tetapi juga kita turut mensasarkan atlet untuk menyertai acara sukan di peringkat dunia.

Jualan Tiket Final Pestabola Merdeka 2013 Laris

Jualan tiket untuk aksi final Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Darul Makmur, malam ini mendapat sambutan hangat.

Tinjauan Bernama di stadium berkenaan semalam mendapati orang ramai mula berpusu-pusu ke kaunter jualan tiket sekitar pukul 5 petang untuk mendapatkan tiket dengan sebahagian daripada mereka membeli secara pukal.

Bagi Khalid Sadikin, 50 beliau teruja untuk melihat aksi skuad Harimau Muda A di hadapan mata sendiri selepas sekadar menonton di kaca televisyen pada tiga perlawanan terdahulu disebabkan kesibukan bekerja.

Friday, September 13, 2013

Identiti Papagomo Disahkan, Berdepan Hina Mahkamah?


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris memang penulis blog pro-Umno, Papagomo.

Dia dikatakan berdepan dengan prosiding menghina mahkamah berhubung tulisannya.

Selain diperintah membayar RM500,000 dalam satu kes fitnah, Wan Muhammad Azri turut berdepan dengan prosiding menghina mahkamah berhubung tulisannya yang mengaitkan hakim yang mendengar kes dan dianggap memudaratkan badan kehakiman.

Wan Muhammad Azri (kanan) sebelum ini menafikan bahawa beliau adalah penulis blog kontroversi itu. 

Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera berkata Wan Mohammad Azri berbohong kerana walaupun membuat penafian tersebut ketika memberi keterangan, tetapi penulis blog berusia 30 tahun itu, dalam pernyataan pembelaannya, mengaku dia adalah Papagomo dan membela diri atas alasan membuat komen yang adil.

Beliau memutuskan bahawa penulis blog itu tidak menyesal dengan tindakannya seperti yang dipaparkannya dalam perbicaraan kes fitnah itu.

Di samping itu, semasa perbicaraan, seorang penulis blog, yang memberi keterangan sebagai saksi, mengaku mengenali Wan Muhammad Azri sebagai Papagomo apabila mereka bertemu dalam satu sidang penulis blog pada tahun 2009.

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM500,000 kepada ahli perniagaan Abdul Razak Mohd Noor berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah dalam blognya.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam membuat keputusan itu selepas mendapati Abdul Razak berjaya membuktikan perkataan-perkataan fitnah dalam artikel yang ditulis oleh Wan Muhammad Azri itu merujuk kepadanya, dan sebenarnya memfitnah beliau.

Vazeer Alam memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar gantirugi am sebanyak RM200,000 dan gantirugi teladan RM300,000 kepada Abdul Razak, serta menetapkan kos guaman sebanyak RM50,000, selain membenarkan permohonan injunksi supaya Wan Muhammad Azri dihalang daripada terus menyiarkan kata-kata fitnah itu.

Dalam penghakimannya, Vazeer Alam berkata Abdul Razak selaku plaintif berjaya membuktikan Wan Muhammad Azri yang menerbitkan artikel itu, meskipun defendan dalam keterangannya menafikan beliau adalah pemilik blog yang dikenali sebagai 'Papa Gomo'.

Beliau berkata dalam kes ini, plaintif telah memanggil saksi pertamanya iaitu Mohd Fauzi Mohd Azmi yang mempunyai blog dikenali sebagai 'Perisik Rakyat' dan dalam keterangan saksi itu menyatakan beliau dapat mengecam defendan setelah defendan sendiri memperkenalkan dirinya sebagai 'Papa Gomo' ketika menghadiri satu persidangan bloggers di Lake View Garden, Subang Jaya pada 16 Mei 2009.

"Saksi itu, yang turut diperkenalkan kepada seorang blogger lain yang dikenali sebagai 'Parpukari' semasa persidangan itu berkata beliau telah mengambil gambar defendan dan 'Parpukari' dan gambar itu dikemukakan sebagai bahan bukti dalam kes ini," katanya.

Vazeer Alam berkata mahkamah percaya gambar yang diambil adalah gambar mereka walaupun muka mereka tidak dapat dilihat dengan jelas kerana mereka cuba melindung separuh daripada wajah mereka dengan tangan.

"Apabila mahkamah membandingkan ciri-ciri wajah muka dalam gambar itu dengan ciri-ciri defendan semasa hadir di mahkamah, saya dapati ianya sama dan jelas menunjukkan bahawa defendan yang dipaparkan dalam gambar itu," katanya.

Beliau berkata walaupun defendan menafikan beliau merupakan orang di dalam gambar itu, mahkamah mendapati penafian defendan adalah satu pembohongan kerana keterangan Mohd Fauzi bahawa beliau telah berjumpa dengan defendan dan 'Parpukari' di persidangan itu tidak dicabar oleh peguam yang mewakili defendan.

Vazeer Alam berkata keterangan Mohd Fauzi bahawa terdapat nama, gambar serta nombor telefon defendan yang dimuatkan dalam blog isterinya adalah sama dengan nombor telefon yang digunakan saksi itu untuk menghubungi blogger yang dikenalinya sebagai 'Papa Gomo' dan keterangan itu juga tidak dicabar oleh peguam.

Katanya, mahkamah juga mendapati kata-kata yang diterbitkan defendan dalam artikelnya bukan komen sebaliknya merupakan kata-kata fakta yang tidak berasas. "Dalam kes ini plaintif adalah seorang ahli perniagaan yang dikenali ramai dan kata-kata defendan bahawa plaintif seorang penipu yang telah keuntungan berjuta-juta ringgit semasa Sukan Komanwel berkecenderungan merendahkan plaintif dalam pandangan mata umum," katanya.

Vazeer Alam berkata mahkamah mendapati perkara memuatkan artikel yang berunsur fitnah dalam sesawang internet telah berleluasa dan ada beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab seperti defendan y bersembunyi di belakang tirai nama samaran atau 'anonymity' untuk menulis apa sahaja yang mereka mahu tanpa mempedulikan kesan akibat penulisan mereka.

Katanya, mahkamah mengambil serius terhadap gejala negatif ini yang telah menular tanpa batasan sejak akhir-akhir ini dan sekiranya tidak dibendung dan dibanteras akan merosakkan 'social fabric' masyarakat yang berpotensi menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Dengan ini, saya mahu penghakiman yang diberikan diambil sebagai satu teladan kepada defendan dan juga semua pengguna internet supaya mereka tidak menyalahgunakan kemudahan ini. "Sekiranya disalahgunakan, mahkamah akan mengambil pandangan yang amat serius, seperti pepatah "sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga" dan sepandai-pandainya defendan menyembunyikan diri dengan nama samaran, akhirnya telah didedahkan melalui 'footprint' yang beliau tinggalkan di alam siber," tegasnya. 

Sementara itu, Abdul Razak ketika ditemui pemberita berkata berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah. "Ini bukan untuk kebaikan diri saya sahaja. Saya telah difitnah oleh blogger," katanya.

Pada 26 Jan, 2012, Abdul Razak, 59, memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri, 30, berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah dalam blog 'Papa Gomo' pada 11 Disember 2011.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Abdul Razak mendakwa Wan Muhammad Azri telah mengeluarkan kenyataan fitnah bahawa beliau merupakan seorang penipu yang telah mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit setelah mendapat kontrak semasa Sukan Komanwel yang berlangsung di negara ini yang menyebabkan reputasinya terjejas.

Abdul Razak diwakili peguam Reuben Netto dan Malik Imtiaz Sarwar manakala Wan Muhammad Azri diwakili Prosiding hina mahkamah 21 Oktober

Sementara itu, Reuben ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan penghakiman mahkamah hari ini dan berkata hakim itu telah menolak pembelaan Wan Muhammad Azri atas alasan membuat komen yang adil . 

"Perkara yang paling besar adalah mahkamah mengakui bahawa Wan Muhammad Azri adalah Papagomo," katanya.

Selain itu, Ruben berkata, mahkamah membenarkan permohonan mereka untuk prosiding menghina terhadap Wan Muhammad Azri berhubung tulisannya yang lain dalam blognya.

Katanya, prosiding menghina prosiding terhadap Wan Muhammad Azri akan berlangsung pada 21 Oktober. Selain Abdul Razak,

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli turut memfailkan saman fitnah terhadap penulis blog tersebut.

Turut memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri termasuk Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Penulis blog tersebut adalah seorang bekas anggota polis yang telah menjalani hukuman lapan bulan penjara selepas disabitkan dengan kesalahan rasuah.

Menjelang pilihan raya umum ke-13, juga dilaporkan Wan Muhammad Azri sebagai pengundi hantu yang didaftarkan secara berasingan dengan IC polis dan IC awam.

Malaysiakini

Dr M: Kenapa Anwar Tak Hentikan 'Projek IC' di Sabah?


"Anwar pastinya telah menghentikan usaha tersebut sekiranya 'Projek IC' benar-benar berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri...Dia pernah berada dalam kerajaan, dia tahu dasar kerajaan. Jika itu menjadi dasar kerajaan, kenapa dia tidak hentikan?,"
 - Tun Dr Mahathir Mohamad

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, golongan yang mempersoalkan mengenai 'Projek IC' sepatutnya bertanya mengenai tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdiam diri mengenai isu berkenaan itu ketika berada dalam kerajaan.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menangkis dakwaan bahawa beliau berbohong ketika memberi keterangan di persidangan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) apabila menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai 'Projek IC'.

'Saya Sayang Isteri, Jangan Robohkan Masjid' - Pegawai Veterinar


Pegawai veterinar yang berdepan tuduhan membelasah isterinya di dalam lif pada bulan lalu, menyatakan dia masih menyayangi wanita tersebut dan mahu keluarganya hidup bahagia.

''Saya sayang isteri dan keluarga mentua janganlah robohkan masjid yang sudah dibina,'' kata Muhammad Affandi Ismail, 36, dari dalam keretanya kepada pemberita selepas selesai prosiding kes itu di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, semalam.

Majistret Nur Zafirah Mohamed Ali sebelum itu menetapkan 22 Oktober ini sebutan semula kes terhadap tertuduh yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 36 tahun dalam lif di Hospital KPJ, Bandar Perda di pada pukul 4 petang, 12 Ogos lalu.

CUEPACS Yakin 1.4 Juta Penjawat Awam Dapat Faedah Belanjawan 2014


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yakin 1.4 juta penjawat awam akan mendapat faedah daripada Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan, Oktober depan. 

Presidennya Datuk Omar Osman berkata CUEPACS mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan iaitu berkaitan pinjaman perumahan, Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Imbuhan Tahunan dan Elaun Sara Hidup (COLA).

"Kita penuh yakin kerajaan akan mempertimbangkan berasaskan ekonomi negara masih kukuh," katanya kepada pemberita selepas majlis sesi dialog dengan staf Universiti Terknologi Mara (UiTM) Kelantan di Machang, semalam.

8 Pemimpin Disebut-Sebut Mahu Rebut Jawatan Naib Presiden PAS

Nik Zawawi
Salahudin
Pemilihan PAS semakin rancak apabila lapan pemimpin parti itu disebut-sebut sedang mengintai peluang mencuba nasib merebut jawatan naib presiden pada pemilihan parti itu November ini.

Mahfuz
Sekalipun mesyuarat kawasan masih berlangsung sehingga 30 September ini dan pencalonan mereka masih belum jelas, namun cakap-cakap mengenai kecenderungan hasrat mereka kini sudahpun tersebar luas.

Tiga penyandang Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa dijangka mempertahankan jawatan mereka, sementara Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Amar Abdullah dikatakan turut tersenarai merebut jawatan naib presiden.

Sumber-sumber PAS memberitahu Malaysiakini, ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Mujahid Yusof, ahli parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan setiausaha Majlis Syura Ulama Datuk Nik Zawawi Salleh bakal turut bersaing bagi jawatan itu.

Kerajaan Cadang Tabung Bencana Untuk Peladang - Ismail Sabri

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menimbang cadangan mewujudkan tabung bencana bagi membantu 820,000 anggota Pertubuhan Peladang Kebangsaan seluruh negara mendapatkan pampasan, sekiranya mengalami kerugian akibat bencana.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian kini sedang meneliti cadangan itu sebelum membentangkannya kepada kabinet untuk kelulusan.

"Pertubuhan mahu kementerian wujudkan satu skim insurans bagi memberi perlindungan dan membantu peladang yang menghadapi kerugian sekiranya tanaman mereka rosak akibat bencana.

Raihan Putuskan Untuk Cabar Shahrizat


Ahli Umno seumur hidup, Raihan Suleiman akan mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Wanita selepas dia memutuskan untuk membawa perubahan dari dalam parti itu sendiri.

"Untuk membawa perubahan kepada parti, saya perlu memimpin. Saya perlu membawa perubahan daripada dalam parti itu sendiri.

"Saya tidak mahu hanya bercakap. Saya perlu tunjukkan kepada masyarakat saya mampu melakukannya," katanya kepada The Star Online.

BPUNT Buka Lapan Kaunter Pada Hari Penamaan Calon - Razali Bidin

Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) akan membuka lapan kaunter pada hari penamaan calon bagi pemilihan semua jawatan dalam parti pada 21 September ini mulai jam 8 pagi hingga 5 petang bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak.

Setiausaha Kerja BPUNT, Razali Bidin berkata, kaunter berkenaan akan mewakili lapan bahagian iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. 

"Borang penamaan calon akan disediakan secukupnya untuk memberi peluang semua ahli yang ingin bertanding semua jawatan dalam Umno Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri ,” katanya kepada Teganukita semalam.

'Puteri Untuk Umno Dan Puteri Harapan Umno' Slogan Mas Ermieyati


'Puteri Untuk Umno dan Puteri Harapan Umno' menjadi slogan Mas Ermieyati Samsudin dalam pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Ketua Puteri Umno Melaka itu yang telah menawarkan diri bertanding jawatan itu berkata slogan itu diharap dapat menjadi pendorong kepada anggota Puteri di seluruh negara supaya bersama-sama memperjuangkan agenda parti demi rakyat.

"Pemilihan parti bulan depan akan ditentukan 100,000 ahli Puteri di seluruh negara dan saya lihat Puteri perlu balik semula pada perkara asas dengan menyebut tentang keahlian dan semangat perjuangan parti," katanya kepada pemberita selepas tayangan filem 'Tanda Putera' anjuran Puteri Umno Melaka di Melaka, semalam.

Lelaki Pukul Wajah Pemimpin Dengan Selipar Ditahan

Polis semalam menahan seorang lelaki berusia 55 tahun kerana bertindak memukul poster wajah pemimpin negara dengan selipar di hadapan pintu masuk Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki itu ditangkap oleh sepasukan anggota yang ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat daripada pusat kawalan pada kira-kira 11.25 pagi.

Katanya, ketika ditangkap lelaki itu sedang memegang gambar seorang pemimpin negara dan memukulnya dengan selipar.

Peruntukan RM8j Bangunkan Pusat Penyelidikan Tasik Kenyir


Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM8 juta untuk membangunkan pusat penyelidikan Tasik Kenyir yang bertindak sebagai pusat pengumpulan data saintifik mengenai ekosistem akuatik dan kawasan persekitaran tasik seluas 38,000 hektar itu.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menggerakkan projek itu bagi memastikan kepelbagaian sumber alam dan ekosistem tidak ternilai di tasik berkenaan diuruskan secara mampan supaya memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.

Ahli Lembaga Pengarah UMT, Professor Emeritus Dattuk Dr Abdul Latiff Mohamad, berkata pusat penyelidikan yang akan menempatkan kemudahan prasarana, makmal, asrama dan peralatan penyelidikan dilaksanakan tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti, UMT, minggu lalu.

RAM Ratings Unjur Harga Baharu Bahan Api Jana Penjimatan 0.3 Peratus KDNK

RAM Ratings berpendapat langkah rasionalisasi subsidi terkawal dan beransur-ansur boleh memberi manfaat kepada kewangan negara Malaysia, menjana penjimatan fiskal yang bersamaan dengan 0.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2014.

Memandangkan keadaan semasa permintaan domestik Malaysia yang berdaya tahan dan kenaikan harga minyak global, masa kenaikan harga bahan api negara adalah baik, demikian menurut RAM Ratings dalam satu kenyataan semalam.

Jumlah subsidi bahan api Malaysia adalah besar, mewakili sehingga 2.3 peratus daripada KDNK atau 11.1 peratus daripada jumlah perbelanjaan fiskal pada tahun 2011.

Malaysia Berada Di Barisan Hadapan Dalam Menguruskan Tenaga Boleh Diperbaharui

Malaysia menjadi negara barisan hadapan di Asia Tenggara dalam menguruskan tenaga boleh diperbaharui kerana mempunyai mekanisme yang mantap dan kukuh, kata Ketua Pegawai Operasi Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia Ir Dr Ali Askar Sher Mohamad.

Beliau berkata kerajaan komited menggalakkan orang ramai menyumbang tenaga boleh diperbaharui dengan menubuhkan SEDA dan penggubalan Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 yang sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara contoh.

"Selepas kita lancarkan 'feed-in tariff' pada 1 Dis 2011, baru Filipina dan Indonesia lancar projek yang sama. Kita telahpun mempunyai keyakinan terutamanya dalam solar fotovoltan (PV).

Keputusan Rayuan ke IPTA Boleh Disemak Hari Ini

Keputusan rayuan permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf (Ijazah Pertama) boleh disemak mulai pukul 12 tengah hari hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Morshidi Sirat berkata, calon boleh membuat semakan keputusan di http://upu.mohe.gov.my, http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my dan http://jpt.ums.edu.my.

Beliau berkata, mereka juga boleh menyemak keputusan rayuan ke IPTA dengan menghubungi Hotline 03-8870 6767, Helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau menerusi khidmat pesanan ringkas dengan menaip UPU RESULT [Nombor kad pengenalan] dan hantar ke 15888.

Kawasan 1,350 Hektar Bangunkan Setiu Wetlands Sebagai Taman Negeri


Kerajaan negeri bersetuju membangunkan tanah lembap (Setiu Wetlands) seluas 1,350 hektar di Setiu sebagai taman negeri bagi memulihara ekosistem dan biodiversiti alam semula jadi di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains  & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman,berkata  taman negeri yang pertama seumpama itu di Terengganu dibangunkan mengikut fasa berdasarkan keperluan dan permohonan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT).

“Keluasan keseluruhan melibatkan kira-kira 20,000 hektar, bagaimanapun untuk peringkat permulaan kita majukan kawasan seluas 1,350 hektar terlebih dahulu.

Penyokong Bimbang, Desak KAFA Ambil Tindakan Elak Pemain 'Dicuri'


Penyokong tegar The Red Warriors mahu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil tindakan segera berhubung dakwaan yang mengatakan beberapa tonggak utama Kelantan sedang dipancing oleh beberapa pasukan luar untuk saingan musim hadapan.

Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRW KB) berharap langkah segera perlu diambil bagi mengelakkan insiden 'mencuri pemain' kembali menghantui juara Piala FA sebagaimana berlaku pada tahun 2011 lalu.

Presidennya, Mohd. Zainy Mohd. Zain berkata, situasi tersebut telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong tegar The Warriors yang mahukan KAFA bertindak segera dalam isu ini.

Sektor Awam Disaran Hasil Inovasi Yang Dapat Jimat Perbelanjaan Kerajaan - KSN

Kementerian dan agensi kerajaan disaran menghasilkan inovasi yang berimpak tinggi yang dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata terdapat sesetengah inovasi dan pendekatan yang kreatif yang dihasilkan secara dalaman tanpa sebarang kos telah berjaya memudahkan urusan di samping menyelesaikan sesuatu masalah.

"Kita mengalu-alukan inovasi seperti ini yang dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan terutama ketika kita semua perlu menjimatkan belanjawan kementerian atau agensi dan elak perbelanjaan secara keterlaluan," katanya.

Pendaki Gunung Tebu Terkandas Selamat Dibawa Turun


Lima belas pekerja kilang elektronik dari Pulau Pinang serta seorang jurupandu arah tempatan yang terkandas hampir 19 jam di Gunung Tebu, di Jabi,  selamat dibawa turun oleh pasukan penyelamat semalam.

Kesemua mangsa yang berusia lingkungan 19 hingga 31 tahun itu berjaya dibawa turun kira-kira pukul 2.35 petang semalam  oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerteh, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Renjer Hutan.

Ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, kesemua mangsa yang terdiri daripada tujuh lelaki warganegara Malaysia dan lapan wanita warganegara asing itu selamat namun dalam keadaan letih dan lapar.

Tanam Labu Di Kampung Por, Kuala Berang Dapat RM15K


Berbudi pada tanah pasti ada hasilnya. Itulah dibuktikan peserta Projek Pertanian Kelompok Sayur Kampung Kuala Por di Kuala Berang yang mengusahakan pelbagai tanaman sejak 20 tahun lalu sebagai sumber pendapatan.

Terbaru, peserta terbabit sekali lagi memperoleh habuan apabila tanaman labu diusahakan mereka awal Jun lalu, mengeluarkan hasil kira-kira 24 tan dengan pendapatan kasar dianggarkan sekitar RM15,000.

Ketua peserta, Jaafar Abdullah, 59, berkata, tanaman labu kira-kira 3.2 hektar itu diusahakan 16 peserta dan enam daripada mereka di bawah Projek Organisasi Komuniti sekali gus menerima bantuan bulanan daripada JKM.

PTPTN: 40 Peratus Ingkar Lunas Pinjaman

Seramai 454,036 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih gagal membuat sebarang bayaran balik pinjaman wang pendidikan tersebut, kata pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut Shamsul, walaupun kerajaan telah mengambil langkah bagi menggalakkan peminjam membayar balik termasuk pemberian diskaun yang menarik sejak Ogos 2012, namun masih ada segelintir peminjam degil dan enggan berbuat demikian.

“Hanya 57,210 yang mengambil peluang ini... saya berharap angka ini akan bertambah menjelang 30 September ini,” katanya ketika diwawancara Sinar Harian Online di pejabatnya, semalam.

Hadiah Lumayan Pada Larian Jambatan Sultan Mahmud 2013


Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2013 yang dijadualkan berlangsung pada 28 September ini menawarkan hadiah lumayan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM329,700 bagi 18 kategori yang dipertandingkan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat (gambar) berkata, pertandingan bertaraf antarabangsa yang dianjurkan kerajaan negeri itu mendapat sambutan yang menggalakkan apabila berjaya menarik 8011 peserta sehingga tarikh akhir pendaftaran pada 28 Ogos lalu.

“Daripada jumlah tersebut 7, 869 adalah peserta dari seluruh Malaysia dan 142 daripada luar negara termasuk Thailand, Perancis, Kenya dan beberapa negara lain lagi.

Lapor Jika Kesan Penyebaran Fahaman Syiah Di Media Sosial - Jailani

Pelayar internet diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa relevan sekiranya mengesan sebarang aktiviti atau kegiatan yang menjurus kepada penyebaran fahaman Syiah di media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata media sosial termasuk Facebook kini dilihat menjadi antara medium popular untuk gerakan tertentu menyebarkan fahaman Syiah yang dilarang di negara ini.

"Kita lihat penularan ajaran Syiah agak membimbangkan kerana dulunya dikeluarkan melalui penerbitan seperti makalah dan sebagainya, namun sejak kebelakangan ini ianya lebih menjurus kepada media sosial. 

Thursday, September 12, 2013

Kes SK Seri Pritana - Untuk Apa Guru Besar Nak 'Minta Maaf'?

Ini bilik mandi...bukan tandas. Isu ini diperbesarkan untuk kepentingan siapa?
Rakaman audio pertemuan antara guru besar SK Seri Pristana dan ibu bapa murid, mendedahkan bahawa tiada permohonan maaf dibuat, kata seorang kakitangan sekolah tersebut.

Semua akhbar silap, kata kakitangan tersebut yang tidak mahu namanya disiarkan. "Rakaman itu boleh membuktikan bahawa guru besar tidak meminta maaf."

Perkara yang sama turut dinyatakan oleh pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Hussein Mohd Ariff, yang turut hadir dalam pertemuan pada hari Isnin itu

"Setakat yang saya ingat, guru besar tidak meminta maaf... mungkin ibu bapa salah faham," kata Hussein kepada Malaysiakini.

Semalam, Setiausaha Malaysian Tamilan Today, K Gunasekaran mendakwa beliau telah diberitahu oleh ibu bapa bahwa guru besar, Mohd Nasir Mohd Nooh, telah meminta maaf kepada mereka kerana murid makan dalam bilik persalinan semasa waktu rehat pada bulan Ramadan.

Sekolah rendah di Sungai Buloh itu mendapat perhatian selepas gambar murid bukan Islam makan di bilik persalinan muncul di Facebook.

Apabila perkara itu mendapat bantahan awam, ibu bapa yang mendedahkan kejadian itu mengadu bahawa anak-anak mereka telah menjadi sasaran para guru.

Khalwat: Dua Pemain Bola Pahang Ditahan JAIP

Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menahan dua pemain bola sepak Pahang kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Kuantan, kelmarin.

Menurut sumber, dua pemain skuad Tok Gajah berusia 20-an itu ditahan bersama pasangan masing-masing di bilik berasingan kira-kira pukul 4.30 pagi.

Serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasa Jaip hasil maklumat orang awam yang mengesyaki mereka mendaftar masuk bersama pasangan bukan muhrim.

Harimau Muda Melangkah Bergaya Ke Final Piala Merdeka

Rozaimi (tengah) menjaringkan gol kedua Harimau Muda ketika menentang Thailand pada Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Skuad  Harimau Muda melangkah penuh bergaya ke final Pestabola Merdeka 2013 Sabtu ini. Dalam aksi terakhir kumpulan malam tadi, skuad kendalian Ong Kim Swee itu membelasah Thailand 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut yang diraih Harimau Muda selepas kejayaan membenam Singapura 1-0 dan Myanmar 2-1.

Pada aksi final, Harimau Muda akan menentang Myanmar yang meraih kemenangan 2-0 ke atas Singapura di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Biarpun berkongsi empat mata dengan Thailand, Myanmar lebih layak ke final berdasarkan kelebihan jaringan.