Saturday, September 21, 2013

Najib, Muhyiddin, MB, Ketua Menteri Serah Borang Pencalonan Pertahan Jawatan

Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Muhammad Khairun Aseh (kiri) bersama Setiausaha Politik Kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang menunjukkan borang calon Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno pada proses penamaan calon pemilihan Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra  pagi ini.
Borang pencalonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun mempertahan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini, diserahkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, pukul 8 pagi ini.

Borang itu diserahkan Setiausaha Politik beliau Datuk Khairun Aseh yang hadir mewakili Najib di Bilik Labuan, tingkat 5, PWTC semasa proses penamaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pencadang kepada Perdana Menteri bagi jawatan itu manakala penyokongnya ialah Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 

Sementara itu, Muhyiddin turut mengemukakan kertas pencalonannya untuk mempertahan jawatan Timbalan Presiden Umno pada pukul 8 pagi.

Kertas pencalonan Muhyiddin diserahkan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Mohd Nardin Awang. Najib ialah pencadang kepada pencalonan Muhyiddin manakala penyokong ialah Tengku Adnan.

Ahmad Said pertahan Ketua UMNO Bahagian Kemaman
Setakat pukul 1.30 tengah hari ini, beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri Sabah telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing bagi pemilihan Umno 2013 yang akan berlangsung bulan depan.

Antara yang menarik perhatian ialah Menteri Besar Perlis Azlan Man, yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kangar dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Jerlun.

Mereka yang mempertahan jawatan ketua bahagian ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (Libaran), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan (Rembau), Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said (Kemaman), Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Lumut.

Di PERLIS, Azlan akan berhadapan dengan Anggota Parlimen Kangar Ir Shaharuddin Ismail dan bekas timbalan ketua Umno bahagian itu Datuk Hashim Suboh.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Arau. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Perlis, Datuk Abdul Azib Saad berkata 453 borang telah diserahkan di Dewan Residensi setakat ini.

Di Kuala Lumpur, Najib yang memenangi kerusi presiden tanpa bertanding pada 26 Mac 2009 dan beliau cuba mempertahankannya bagi penggal kedua kali ini.

Najib dan Muhyiddin menghadiri perarakan rapat raksasa sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-80 tahun di Dataran Merdeka, pagi ini.

Dua hari lepas, Najib mengumumkan akan mempertahan jawatan itu berdasarkan sokongan dan kepercayaan yang disuarakan anggota parti di peringkat akar umbi.

Muhyiddin memenangi kerusi timbalan presiden parti apabila mengalahkan pencabar tunggalnya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib pada pemilihan Umno 2009.

 Beliau cuba untuk mempertahan jawatan itu bagi penggal kedua kali ini.

Friday, September 20, 2013

Sertai Politik Bukan Untuk Wujudkan Dinasti Dr Mahathir - Mukhriz

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (tengah) disambut oleh ketua-ketua UMNO bahagian Negeri Kedah selepas berucap dan mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding ke peringkat pusat pada majlis mempekenalkan calon-calon pemimpin UMNO Kedah ke Peringkat Pusat di Mentalon, Alor Setar, Kedah, semalam.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kehadiran beliau dalam politik negara bukan bertujuan untuk mewujudkan dinasti bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tetapi kerana minat beliau sendiri.

Katanya malah beliau pernah disekat daripada melibatkan diri dalam politik oleh bapanya ketika Dr Mahathir memegang tampuk kepimpinan negara dan Umno.

"Kalau benar beliau hendak wujudkan dinasti, awal-awal lagi semasa zaman beliau presiden parti dan perdana menteri (keempat) selama 22 tahun, beliau boleh menarik abang saya, (Datuk) Mokhzani dan saya untuk didedahkan kepada politik dan pentadbiran kerajaan.

"Saya akui "bin" saya memang menarik perhatian. Ia juga menaikkan saya ke satu imej tertentu kerana beliau (Tun Dr Mahathir) menjadi pemimpin untuk tempoh yang lama dan beliau masih ada sokongan yang tinggi. Saya seronok dapat meneruskan apa yang beliau perjuangkan tetapi saya ada idea-idea saya sendiri," katanya pada sidang media selepas mengumumkan hasratnya bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Beliau mengumumkan hasratnya itu pada majlis memperkenalkan calon-calon dari Kedah bagi pemilihan Umno di peringkat pusat di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon di Alor Setar semalam.


Pelan Pelaksanaan Daerah Baru Kuala Nerus Diancar


Kedudukan geografinya yang seimbang dalam konteks sempadan pentadbiran daerah baru dan tidak melibatkan perpindahan penduduk serta pembangunan boleh dilaksanakan dengan segera antara sebab utama pemilihan kawasan Kuala Nerus sebagai daerah baru.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, perletakannya dalam radius lima kilometer sahaja daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan juga Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sekitar.


“Pemilihan kawasan ini bertujuan untuk membangunkan kawasan Terengganu Utara daerah Kuala Terengganu yang semakin pesat membangun,” katanya di majlis Perasmian Pelancaran Publisiti Draf Rancangan Kawasan Khas Pusat Pentadbiran daerah Kuala Nerus di Dewan Sivik Padang Nanas, Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains Teknologi, Alam Sekitar, Teknoloji Hijau dan Air negeri, Dattk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

Kerajaan Tidak Abaikan Kaum Lain, Kata Najib


Kerajaan tidak pernah mengabaikan kaum lain dalam pembangunan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata kerajaan yakin terhadap peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi, bidang di mana kaum lain, terutama Cina, lebih kukuh.

"Dasar-dasar kerajaan yang menggalakkan dan meningkatkan peranan sektor swasta pastinya akan memberi manfaat kepada masyarakat Cina, khususnya," katanya.

Najib berkata pemberian beberapa kontrak kepada syarikat Bumiputera adalah kerana mereka lemah dari segi keseluruhan rantaian bekalan.

Bapa Lapan Anak Tidak Mengaku Rogol Anak


Seorang bapa lapan anak mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan merogol anak kandungnya di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, kelmarin.

 Tertuduh berusia 43 tahun yang bekerja sendiri, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram terhadap anaknya yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Mengikut pertuduhan pertama, dia dituduh melakukan sumbang mahram terhadap anaknya yang ketika itu berusia 12 tahun di ladang getah, Jertih, Besut kira-kira jam 10 hingga 11 malam pada Ogos 2007.

Tuntutan Perjalanan Penyelia Kafa Naik RM200 Mulai Bulan Ini

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengumumkan kenaikan had tuntutan perjalanan bagi penyelia program Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) sebanyak RM200 sebulan.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata kenaikan itu adalah daripada RM300 kepada RM500 bagi negeri di Semenanjung dan daripada RM500 kepada RM700 bagi Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata kenaikan jumlah tuntutan ini berkuat kuasa mulai tuntutan bulan September dan melibatkan penambahan peruntukan tahunan sebanyak RM1.8 juta.

Malaysia Kekal Destinasi Pelaburan Pilihan, Kata Najib

Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan berdasarkan kewujudan beberapa faktor yang kondusif untuk melabur di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata faktor-faktor itu ialah wujudnya syarikat berkualiti, rangka kerja kawal aturan pasaran modal yang baik, perundangan kukuh bagi melindungi pelabur dan kerajaan yang komited terhadap pertumbuhan.

"Semua faktor ini meletakkan kita dalam kedudukan yang baik, bukan sahaja menarik pelaburan masa hadapan, malah menyediakan objektif yang lebih baik untuk menjadi negara maju menjelang 2020," katanya pada pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) Westports Holdings Bhd semalam.

Terengganu Akan Struktur Semula Kawasan Industri

Kerajaan negeri merancang menstrukturkan semula kawasan industri di negeri ini bagi memastikan pembangunan tidak tertumpu di ibu negeri sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri Tengku Putera Tengku Awang berkata penstrukturan itu meliputi usaha mengenal pasti jenis pembangunan yang boleh dilakukan di daerah lain supaya ia tidak tertumpu di bandar Kuala Terengganu sahaja.

Beliau berkata kira-kira 95 peratus kawasan industri di negeri ini sudah dipohon oleh pelabur tempatan dan asing setakat ini.

Pencalonan Batal Jika Maklumat Palsu

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh semalam mengingatkan semua individu yang berhasrat bertanding pada pemilihan Umno kali ini tidak mengemukakan maklumat palsu dalam borang pencalonan. 

Beliau berkata ini bagi mengelak pencalonan mereka terbatal secara automatik jika dikesan menipu khususnya dari segi kelayakan.

Katanya sebarang penipuan oleh mana-mana individu akan dapat dikesan melalui pangkalan data parti yang mempunyai butiran maklumat lengkap anggota.

MB Lancar Walk4Malaysia Ahad ini


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, akan menyempurnakan acara pelepasan Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) di Dataran Kuala Besut, pada 22 September (Ahad) ini.

Pelbagai acara seperti senamrobik, silat dan dikir barat akan diadakan bagi memeriahkan acara tersebut yang membawa misi keamanan dan sokongan rakyat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Seorang penduduk tempatan yang bernazar untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya jika BN menang pada Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, 24 Julai lalu, akan menunaikan nazarnya melalui Program Walk4Malaysia yang dirancang Kerajaan Terengganu.

Muhyiddin Akan Pertahan Jawatan Timbalan Presiden Umno

Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini.

Muhyiddin mengumumkan perkara tersebut dalam satu sidang media khas di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, di Seri Satria, Putrajaya, Khamis.

"Saya percaya saya telah memberikan khidmat yang terbaik atas kapasiti saya sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri.

Senarai Rasmi Calon Layak Bertanding Diumum Selasa Ini

Senarai rasmi calon yang layak bertanding bagi pemilihan Umno Oktober ini akan diumumkan Selasa ini, setelah penamaan calon ditutup pada 5 petang Sabtu ini.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata tempoh bertenang selama tiga hari itu bertujuan memberi ruang kepada Jawatankuasa Pemilihan membuat saringan bagi menentukan kelayakan bakal calon untuk bertanding.

Bercakap kepada Bernama selepas sesi simulasi pencalonan di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, semalam, Abdul Rauf berkata tempoh itu juga bagi membolehkan mereka yang telah menghantar borang pencalonan untuk menarik diri daripada bertanding.

Khairy Usaha Dapatkan Semula Status Pusat Doping USM

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan menghadiri persidangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di Afrika Selatan, November ini, bagi mendapatkan kembali akreditasi Pusat Kawalan Doping (DCC) Universiti Sains Malaysia (USM).

Khairy berkata jika usaha mengembalikan status DCC sebagai makmal antidoping antarabangsa yang membolehkan ujian doping dijalankan di Malaysia itu berjaya, negara dapat mengurangkan kos penghantaran sampel urin ke luar negara.

"Pada masa sekarang, kita tidak mempunyai hak akreditasi daripada WADA dan terpaksa hantar sampel ujian doping ke Thailand. Ini melibatkan kos yang tinggi, jadi untuk memudahkan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), kita akan cuba sedaya upaya dapatkan hak tersebut.

Shahrizat Tidak Dipanggil Bantu Siasatan Isu Dana 1Azam

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil mengesahkan yang beliau tidak dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes penyelewengan dana Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam).

Shahrizat yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau mengalu-alukan siasatan SPRM berhubung perkara berkenaan.

"Saya alu-alukan siasatan SPRM, kita mesti biar SPRM jalankan siasatan mengikut lunas undang-undang. "Biar mereka ambil tindakan yang sewajarnya...eloklah macam itu," katanya lagi.

T-Team Ditagih Pamer Aksi Terbaik Jumpa Felda United

Walaupun peluang untuk mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia sudah mustahil, pemain T-Team ditagih mempamer aksi terbaik pada pertemuan dengan Felda United Sabtu ini.

Penolong Pengurus pasukan Mohamad Sekanther Hamid berkata pasukan itu harus memastikan tiga mata penuh milik mereka kerana perlawanan terakhir itu berlangsung di laman sendiri.

"Kita juga tidak mahu ketinggalan jauh dari segi mata dengan dua pasukan teratas," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu.

Naib Ketua Puteri Akan Bertanding Exco Wanita

Naib Ketua Puteri Umno Shahanim Mohd Yusof akan bertanding jawatan Exco Wanita Umno dalam pemilihan pergerakan itu, sekali gus menamatkan spekulasi beliau akan bertanding jawatan Ketua Puteri. 

Shahanim yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Sungai Petani berkata beliau membuat keputusan itu memandangkan pergerakan Wanita memerlukan lebih ramai pelapis.

"Saya fikir ini masa terbaik saya untuk bersama-sama dalam Wanita dan membantu untuk menambah lebih ramai ahli sebagai persediaan pada pilihan raya umum akan datang," katanyaketika ditemui pada Majlis Memperkenalkan Calon Umno Kedah yang akan bertanding di peringkat pusat pada pemilihan Oktober ini di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon di Alor Setar semalam.

Peugeot Bakal Lancar Lima Cawangan Lagi Tahun Ini

Nasim Sdn Bhd, syarikat pengedar kenderaan Peugeot yang sah, dan wakil-wakil jualannya, telah melabur sejumlah RM17 juta untuk membuka lima cawangan bilik pameran baharu tahun ini sebagai sebahagian daripada rancangan peluasan rangkaian seluruh negaranya yang sedang dilaksanakan.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Samson Anand George, berkata syarikat itu telah melancarkan lima cawangan di Butterworth, Georgetown, Alor Setar, Kuala Terengganu dan Batu Pahat sebelum ini.

"Setakat ini tahun ini, kami telah melancarkan lima cawangan baharu dan dalam bulan-bulan yang akan datang, kami akan lancarkan lima lagi, menjadikan kesemua cawangan Peugeot di negara ini berjumlah 30," kata Samson dalam satu kenyataan.

Muzium Terengganu Anjur Festival Gamelan 2013

Gambar hiasan...permainan Gamelan Melayu.
Bagi memartabat dan memelihara seni gamelan, kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan menganjurkan Festival Gamelan Sedunia 2013 selama tiga hari bermula 25 Oktober ini.

Pengarah LMNT Mohd Yusof Abdullah berkata, festival kali ketiga ini merupakan usaha berterusan selepas Festival dan Simposium Gamelan yang diadakan pada 2008 dan 2010.

Menurutnya, festival yang akan diadakan di Dataran Shahbandar ini akan turut disertai beberapa buah kumpulan dari luar negara, termasuk kumpulan Gamelan Bali, Jepun, Jawa, Kumpulan Gamelan Melayu United Kingdom dan China.

Iris, Felda Meterai MoU Pelaksanaan Projek Sentuhan Kasih

IRIS Corporation Bhd (ICB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FELDA bagi menjayakan projek Sentuhan Kasih di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, ia berkata menerusi MoU itu, IRIS bersetuju melaksanakan projek Sentuhan Kasih untuk Felda di S.K. Tenggaroh 3, Johor; S.K. Chini, Pahang; S.K. Besut, Terengganu; S.K. Palong, Negeri Sembilan; S.K. Alor Setar, Kedah; S.K. Gua Musang, Kelantan dan S.K. Felda Jaya, Negeri Sembilan.

"IRIS akan melakukan yang terbaik dalam menyediakan kepakaran dan kemahiran bagi menjayakan projek itu yang dilaksanakan menerusi dua bahagian - projek pembinaan dan infrastruktur dan khidmat perundingan kepada FELDA untuk memberikan nasihat pakar," katanya

276 Borang Pencalonan UMNO Pusat Dikeluarkan Setakat Ini

Ibu pejabat UMNO mengeluarkan sejumlah 276 borang pencalonan bagi jawatan-jawatan di peringkat pusat setakat jam 5 petang semalam.

Jurucakap Sekretariat UMNO berkata, sejumlah 86 borang pencalonan bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) sudah dikeluarkan termasuk 16 borang hari ini. Bagi jawatan Exco Wanita pula, sebanyak 53 borang dikeluarkan manakala Pemuda (102) dan Puteri (35).

"Sehingga jam 5 petang ini, borang pencalonan yang dikeluarkan bagi Wanita ialah 10, Pemuda (16) dan Puteri (6)," katanya dalam kenyataan kepada Bernama semalam.

Thursday, September 19, 2013

Mukhriz Mahathir Umum Bertanding Naib Presiden UMNO

"Maka bagi mewakili zon utara di negara tercinta ini, khususnya Kedah yang telah kembali ke pangkuan UMNO, Kedah yang melahirkan Bapa Kemerdekaan, Kedah yang juga melahirkan Bapa Pemodenan Malaysia; "Kedah yang DYMM Tuanku Sultannya menaiki takhta menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, bagi pemilihan kali ini saya dengan penuh rendah diri ingin menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden UMNO."
 - Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir 

Daripada asalbersamaumno

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini (Khamis 19 September 2013) mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Mukhriz berkata beliau membuat keputusan itu setelah menerima banyak nasihat daripada setiap lapisan kepimpinan dan setelah memikirkan jawatan yang sesuai untuk beliau dipertanggungjawabkan.

"Saya telah tanyakan diri saya, apakah saya bersedia. Saya telah menimbangkan perkara ini dari setiap sudut.

"Maka bagi mewakili zon utara di negara tercinta ini, khususnya Kedah yang telah kembali ke pangkuan UMNO, Kedah yang melahirkan Bapa Kemerdekaan, Kedah yang juga melahirkan Bapa Pemodenan Malaysia; "Kedah yang DYMM Tuanku Sultannya menaiki takhta menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, bagi pemilihan kali ini saya dengan penuh rendah diri ingin menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden UMNO," katanya.

Beliau mengumumkan hasratnya itu pada majlis memperkenalkan calon-calon dari Kedah bagi pemilihan UMNO peringkat pusat, di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon di Alor Setar.

Jawatan naib presiden UMNO kini disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan).

Ketiga-tiga mereka telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Selain Mukhriz, dua lagi pemimpin yang telah mengumumkan akan bertanding ialah Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata sebagai pemimpin negeri, beliau tidak dapat tidak perlu mendengar nasihat dan menerima desakan daripada pengikut.

"Antara nasihat yang banyak saya terima ialah untuk memastikan saya terus memberi khidmat, jika boleh, ke peringkat yang lebih tinggi. Nasihat-nasihat ini, semakin menjadi satu harapan.

"Sebagai pemimpin, saya semestinya tidak boleh lari daripada perkara ini, yang juga merupakan tanggungjawab," katanya.

Dalam ucapannya, Mukhriz juga menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.

Kilang Bioteknologi Di Kertih Kini Siap 80 Peratus, Bakal Beroperasi Mei Tahun Depan

Perdana Menteri melancarkan projek bio-metionina di Kerteh, Oktober tahun lalu.
Pembinaan kilang bioteknologi pertama di dunia bagi penghasilan bio-metionina di Kerteh, Terengganu kini sudah siap 80 peratus dan dijangka memulakan operasinya pada Mei tahun depan.

Bio-metionina ialah belerang asid amino yang banyak digunakan untuk makanan haiwan di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata kerajaan negeri berbangga dengan kelancaran pembangunan loji biotek bertaraf dunia itu yang berjalan mengikut jadual. 

"Kilang dengan nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion ini adalah antara pelaburan penting di Malaysia. 

"Pemilihan Malaysia (Terengganu) berbanding Thailand atau negara-negara lain di rantau ini disebabkan insentif yang kompetitif yang ditawarkan oleh negara dan pengkhususan Pembangunan Koridor Wilayah Timur untuk petrokimia dan bahan kimia tulen yang berjaya menarik perhatian pelabur asing," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu di Kemaman, semalam.

Rombongan Terengganu Inc itu diketuai Wan Ahamad, disertai pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Beliau turut berharap bekalan bahan tumbuhan untuk diproses seperti pokok petai belalang, akasia dan cip kayu lain, mencukupi untuk menampung operasi kilang biotek itu serta membuka bidang baharu penanaman dan pembekalan bahan perladangan untuk kegunaan loji biotek itu.

Dengan permulaan operasi di Taman Biopolimer Kerteh itu, bermakna langkah menjadikan Terengganu sebagai pelopor loji bio-metionina pertama seumpamanya di dunia menjadi kenyataan.

Kilang itu adalah pelaburan bersama Arkema, sebuah syarikat kimia terkenal dari Perancis dengan CheilJedang (CJ) dari Korea.

CJ CheilJedang ialah peneraju pengeluar produk berasaskan penapaian seperti asid amina makanan, monosodium glutamat dan nukleotida dengan mempunyai operasi pengeluaran dan perniagaan global di enam benua. Arkema pula ialah syarikat kimia global dan peneraju pengeluar kimia Perancis yang kini menjalankan operasi di lebih 40 negara seluruh dunia.

Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) ialah pencadang utama projek itu.

Jangkaan operasi kira-kira 11 bulan lagi disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSE Resources Corporation Sdn Bhd, Azhar Anuar dalam taklimat kepada kepada rombongan Terengganu Inc itu. NSE Corporation ialah syarikat pembekal kepada CJ dan Akema dalam pembangunan kilang dan loji berkenaan. Azhar berkata dandang wap (Biomass) yang dibina itu boleh menampung 180 tan sejam dan ia adalah yang terbesar setakat ini berbanding dandang di Copenhagen dan New York yang hanya mempunyai kapasiti 144 tan sahaja sejam.

Di samping itu kemudahan bangunan pentadbiran, makmal, bengkel penyelenggaraan, kawasan penyimpanan cip kayu, menara pendingin dan jambatan timbang, kini masih dalam penyiapan pembinaan.

Kerjasama strategik antara CJ dan Arkema itu dijangka menjana pendapatan negara kasar (PNI) sebanyak RM11.1 bilion menjelang 2020 dan RM20 bilion nilai jualan, selain menyediakan 500 peluang pekerjaan, kebanyakannya untuk penduduk tempatan. Kompleks seluas 1,000 hektar itu dijangka diduduki lapan pengusaha bioteknologi global menjelang 2015.

Shahrizat Dijangka Ulas Isu Seleweng Dana 1Azam Petang Ini

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dijangka akan mengulas mengenai kes penyelewengan dana Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) menerusi sidang media khas pada petang Khamis.

Shahrizat yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dipercayai akan menjawab pelbagai persoalan mengenai penyelewengan dana tersebut.

Sebelum ini media melaporkan bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri, Datuk Suhaimi Ibrahim mengakui beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama enam yang lain untuk membantu siasatan mengenai kes penyelewengan dana 1Azam.

Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora Ekoran Taufan Usagi

Jabatan Meteorologi Malaysia pada Khamis mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora berikutan Taufan Usagi dikesan kira-kira 839 km ke Timur Laut Manila, Filipina pagi ini.

Berikutan taufan itu yang dikesan pada 11 pagi, keadaan angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter, dijangka berlaku di perairan Sarawak (Miri), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Pantai Barat dan Kudat) berterusan sehingga Isnin depan.

Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut, menurut kenyataan jabatan itu. Taufan Usagi kini berada kira-kira 1,675 km ke Timur Laut Sandakan, Sabah.

Suhaimi Nafi Laporan Sejumlah Kereta Mewah Dirampas SPRM

Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kabinet Datuk Suhaimi Ibrahim menafikan laporan akhbar pada Rabu bahawa sejumlah kereta mewah yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah milik beliau.

Suhaimi merupakan setiausaha politik kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sewaktu Shahrizat menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat.

"Tidak satu pun kereta saya ditahan oleh SPRM," katanya di Petaling Jaya, semalam.

Suhaimi juga mendakwa bukan beliau seorang sahaja yang dipanggil oleh SPRM berhubung siasatan berkaitan satu projek kerajaan, tetapi juga beberapa individu lain.

1,000 Rakyat Malaysia Nikah di Thailand Sebulan


Secara purata 1,000 rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan mereka yang berumur 30-an melangsungkan perkahwinan di selatan Thailand pada setiap bulan.

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Faizal Razali berkata, angka tersebut tidak termasuk pernikahan membabitkan rakyat negara ini melalui orang tengah atau sindiket.

“Jumlah yang direkod membabitkan mereka yang melangsungkan pernikahan melalui saluran sah dan mengikut garis panduan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah berkenaan dan mendapat pengesahan pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla.

Mahkamah Rayuan Benar Shafee Ketuai Pihak Pendakwaan Dalam Rayuan Pembebasan Anwar


Muhammad Shafee Abdullah mempertahankan pelantikannya sebagai pendakwa raya atas alasan perbicaraan kes itu sudah selesai.

"Di peringkat rayuan, kami berhujah berdasarkan rekod rayuan-rayuan dan tiada keterangan lain akan dikemukakan," katanya dan menurutnya kehadiran beliau di rumah Najib tidak wajar dipersoalkan kerana beliau tidak pernah berjumpa Mohd Saiful. Muhammad.

Shafee berkata Peguam Negara diberikan bidang kuasa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah untuk melantik individu yang sesuai untuk bertindak sebagai pendakwa raya.

Harrif Mula Temui Rentak Pada Jelajah China

Selepas tiga hari mengerah tenaga, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh, yang mewakili pasukan Malaysia, akhirnya mampu menarik nafas lega apabila menduduki tempat ke-14 pada perlumbaan peringkat ketiga Jelajah China 2013 di Chengdu Phengzhou.

Dalam perlumbaan sejauh 151 km itu, pakar pecut TSG berbadan tegap kelahiran Kuala Terengganu itu mencatat masa 3 jam 30 minit 10 saat untuk berada dalam kelompok 15 terbaik buat kali pertama sejak tampil pada jelajah berkenaan.

Tonggak ASC Dukla Praha, Alois Kankovsky muncul pemenang perlumbaan itu manakala Daniel Biedermann dari pasukan Team Vorarlberg menduduki tempat kedua sementara pelumba Team Novo Nordisk, Andrea Peron di tangga ketiga, dengan masing-masing mencatat masa sama (3:30:10s).

Kem gajah di Tasik Kenyir - Produk Pelancongan Baru Terengganu


Terengganu terus memperhebatkan produk pelancongan sedia ada dengan mewujudkan kem gajah yang dibangunkan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dijangka siap akhir tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata konsep itu diperkenalkan di Terengganu dengan mengambil contoh beberapa pusat penempatan dan pelancongan terkenal seperti di Chiang Mai,,Thailand dan Kuala Gandah (Pahang).

“Kita akan mewujudkan tiga komponen, satu (kawasan) gajah jinak yang boleh melukis, bermain bola dan mandi bersama gajah.

Naib Presiden - MB Kedah Umum Keputusan Bertanding Atau Serbaliknya Hari Ini


Menteri Besar Kedah Datuk Paduka Mukhriz Mahathir telah menerima sokongan sebulat suara daripada pemimpin-pemimpin Umno bahagian di peringkat negeri untuk bertanding jawatan naib presiden.

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin bahagian malam Selasa.

Jika Mukhriz memutuskan untuk bertanding, beliau akan menukar persaingan menjadi persaingan sengit enam penjuru di kalangan calon 'heavyweight' bagi merebut tiga jawatan naib presiden. "Insya Allah saya akan membuat pengumuman pada hari Khamis," kata Mukhriz.

SKMM Diminta Siasat Segara Facebook MB Terengganu Digodam

Jailani Johari (depan) bersama peserta mengayuh basikal semasa menyertai Program Kayuhan Sihat Merdeka di Dataran Kuala Berang, Hulu Terengganu,kelmarin.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah menyiasat segera perbuatan menggodam laman Facebook Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dua hari lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata sejak kebelakangan ini pihaknya mendapat banyak laporan berhubung aktiviti menggodam Faceboook berlaku dan perkara ini perlu dibendung.

"Saya telah mendapat permohonan pejabat Menteri Besar (supaya kes ini disiasat) dan telah memajukan perkara itu kepada SKMM," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Kayuhan Sihat Merdeka' anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Hulu Terengganu, kelmarin.

Proton Diberi 'Lampu Hijau' Ganti Kereta Rasmi Kerajaan

Kerajaan Persekutuan telah memilih Model Penggantian Perdana (PRM), mengubah rancangan awal untuk menggantikan Proton Perdana Eksekutif dengan Honda Accord.

Menurut sumber, Proton telah diberikan lampu hijau untuk meneruskan rancangan pembinaan model PRM, yang dijangka diumumkan pada Disember.

Difahamkan PRM akan dibina berdasarkan casis Honda Accord dan Proton akan melakukan beberapa perubahan dari segi kemasan dan spesifikasi, sama dengan perubahan sebelumnya yang dilakukan kepada Proton Inspira yang pada dasarnya adalah Mitsubishi Lancer.

Bagaimanapun, sumber-sumber berkata Proton mempunyai rancangan lain dengan Fasa 2 yang melibatkan perubahan yang berlainan terhadap penampilan dan enjin yang akan dilancarkan pada tahun 2015.

Idris Haron Umum Pertahan Jawatan MT Umno

Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron mengumumkan akan mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkata beliau membuat keputusan itu demi kelangsungan dan kesinambungan perjuangan mengekal dan memperkukuhkan kedudukan Melayu dan Islam di bawah parti Umno.

"Saya menyerahkan sepenuh harapan agar menerima sokongan dan dukungan tanpa belah bahagi daripada kira-kira 146,000 perwakilan supaya menjadi sumber kekuatan pemikiran, hati dan emosi saya untuk meneruskan usaha dan perjuangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Melaka.

Projek Hidro Elektrik Hulu Terengganu Beroperasi 2015

Projek Hidro elektrik Tenaga Nasional (TNB) Hulu Terengganu dijangka akan memulakan operasi sepenuhnya pada Oktober 2015. Pengurus Besar TNB Terengganu, Ir Md Yuslan Mohd Yusof berkata, projek berkenaan berjalan lancar dan kini siap 50 peratus.

“Setakat ini kerja penyimpanan sungai sudah siap tanpa menghadapi sebarang masalah dan yakin ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan selepas pelaksanaannya dimulakan pada 2010,” katanya.

Tiga Resolusi Dicapai Dalam Seminar Ilmu Mantik Anjuran Unisza, UPM Dan Persama

 Tiga resolusi dicapai dalam Seminar Ilmu Mantik di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang berakhir Rabu. Ketua Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA, Prof Madya Dr Baharrudin Zainal berkata resolusi pertama ialah ilmu mantik perlu dipelajari dan sistem pembelajarannya diperteguhkan di peringkat sekolah mahupun universiti.

"Ini penting kerana jika generasi muda kita berjaya menguasainya, ia akan membantu dan memantapkan pemahaman pelajar tentang konsep asas ilmu, sekaligus menghasilkan maklumat yang tepat dan memelihara kesilapan dalam proses mereka berfikir.

"Ia juga mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan umat Islam untuk menolak serangan pemikiran yang cuba mengelirukan akidah terutama berkaitan isu akidah kontemporari termasuk ajaran sesat selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya semalam.

30,000 Pengunjung Dijangkakan Di Pameran Hari Malaysia Di Kuala Terengganu

Kira-kira 30,000 pelawat dijangka mengunjungi pameran khas sempena sambutan Jubli Emas Hari Malaysia dari 16 Sept hingga 16 Okt depan di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT) di Kuala Terengganu.

Pameran anjuran kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama PPAT itu bertujuan meningkatkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Terengganu dan mendidik mereka agar menghargai keamanan yang dikecapi selama ini.

Pengerusi Jawantankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Negeri Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata pameran itu memaparkan pelbagai kisah menarik dan suka duka perjuangan para wira negara.

Pemain NS Diingatkan Bermain Habis-habisan Kalahkan Terengganu Ke Suku Akhir

Jurulatih Negeri Sembilan Ridzuan Abu Shah mengingatkan pemainnya agar bermain habis-habisan ketika menentang Terengganu pada perlawanan akhir kumpulan C Piala Malaysia di Seremban  Sabtu ini bagi mencerahkan peluang ke peringkat suku akhir.

Katanya Negeri Sembilan tiada pilihan lain, selain perlu menang bagi mengesahkan tempat ke suku akhir. 

"Saya tidak ada strategi tertentu pada perlawanan Sabtu ini tetapi mengarahkan pemain saya untuk mengamalkan corak permainan menyerang mencari gol kemenangan," katanya semalam.

Anwar Mohon Keluarkan Satu Perenggan Dalam Penghakiman Mahkamah Persekutuan

Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mengeluarkan satu perenggan dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat pertama dihadapinya yang menyatakan beliau mempunyai kecenderungan homoseksual. 

Anwar telah memfailkan permohonan itu pada Mei tahun ini, sembilan tahun selepas beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan atas dakwaan meliwat pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar. Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan semakannya itu pada 13 November, dalam usaha untuk memadamkan perenggan itu.

Wednesday, September 18, 2013

SPRM Siasat Bekas ADUN Kes Dana 1Azam


Seorang bekas setiausaha politik kepada seorang ahli politik terkemuka Umno ditahan Jumaat lalu untuk disiasat berhubung tuduhan menyalahguna dana kerajaan menerusi program 1Azam (Akhiri Zaman Miskin). 

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan tersebut, dan turut mengakui bahawa individu berkenaan juga adalah bekas ADUN dan bekas pemimpin pelajar.

"SPRM mengesahkan penahanan individu tersebut untuk tujuan membantu siasatan. Beliau dibebaskan pagi ini selepas keterangannya dirakam," kata pegawai yang enggan dinamakan itu.

Menurut sumber SPRM, penahanan itu dibuat susulan maklumat orang ramai.

Dipercayai beberapa kenderaan mewah milik individu tersebut turut dirampas SPRM.

Program 1Azam adalah program perintis yang merupakan sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diusahakan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Dana diuruskan kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Progam 1Azam yang mensasarkan golongan miskinn tegar direka untuk menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran.

Kerjasama Politik - Hadi Perlekeh Saranan Dewan Ulama


Pas tetap akan meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat walaupun Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib mencadangkan agar parti itu mengkaji semula tahaaluf siyaasi (kerjasama politik) khususnya dengan PKR.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hubungan dalam Pakatan Rakyat perlu diteruskan sebagai sistem dua parti dan mengukuhkan lagi kedudukan parti itu di mata rakyat.

"Sehingga kini, kita teruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat sebagai sistem dua parti yang lebih kukuh, lebih baik berbanding pakatan BN.

Peniaga Warung Makan Sebak Jumpa YB

Ahmad Fauzi (kiri) tidak dapat menahan sebak apabila dikunjungi Wan Hapandi di rumahnya di Teluk Lipat, kelmarin. 
Seorang peniaga warung makan yang kini menderita sakit tidak dapat menahan sebak apabila dikunjungi wakil rakyat di kediamannya, dekat sini, petang kelmarin.

Tiada kata-kata dapat diucapkan Ahmad Fauzi, 52, selain menitiskan air mata tanda rasa terharunya sebaik melihat kelibat Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik.

Menurut isteri Ahmad, Aniza Busun, 41, kejadian menimpa suaminya berlaku beberapa minggu lalu selepas dia menunaikan solat Subuh.

Pusat Sains Chendering Kakal Beroperasi 2015

Kerja-kerja pembinaan bangunan baru Pusat Sains Kuala Terengganu (PSKT) yang terletak di Kampung Bukit, Mukim Chendering hanya tinggal 30 peratus yang belum selesai dan dijangka bakal beroperasi sepenuhnya pada 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Tenaga dan Air negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, disebabkan beberapa masalah teknikal, pembinaan pusat sains yang bermula 2006 berkenaan terpaksa ditangguhkan, sehingga kerajaan negeri kini memutuskan meneruskan kembali projek tersebut.

“Sekarang ini, PSKT di Chendering telah siap 70 peratus dan 30 peratus lagi sedang ditender. Untuk tender baru dijangka kosnya dalam RM43 juta.

Khairul Anuar Lakar Sejarah Layak Ke Kejohanan Memanah Piala Dunia


Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, anak kelahiran Kemaman, melakar sejarah apabila muncul atlet pertama Malaysia layak beraksi di pusingan akhir kejohanan memanah Piala Dunia di Paris pada 21-22 Sept ini.

Beliau mengesahkan tempat untuk beraksi dalam acara 'recurve' apabila mengumpul 25 mata menerusi tiga kejohanan Siri Dunia tahun ini, berada pada kedudukan ketujuh daripada lapan pemanah yang layak menyertai kejohanan berprestij itu.

Juga layak menyertai acara itu ialah dua pemanah Korea Selatan, Oh Jin Hyek dan Lee Seungyun; Dai Xiaoxiang dan Zhang Jianping (China); Nespoli Mauro (Itali) dan Brady Ellison (Amerika Syarikat).