Friday, January 3, 2014

Terengganu Berazam Untuk Muncul Negeri Maju Pada 2020

KEMAMAN (3 Januari 2014) - Sempena tahun baharu, kerajaan negeri Terengganu berazam untuk melaksanakan pelbagai pembangunan termasuk menarik lebih banyak pelaburan untuk mencapai matlamat muncul sebagai negeri maju menjelang tahun 2020.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata Terengganu perlu bergerak lebih pantas kerana sudah terlalu jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

"Ini kerana kita (Barisan Nasional) telah kalah kepada pembangkang dalam pilihan raya umum seperti 1999-2004, di mana tiada pembangunan di negeri ini.

"Ini merugikan kita apabila perbelanjaan semakin besar untuk mengejar pembangunan itu sendiri," katanya kepada pemberita pada majlis pengagihan Dana Khas Remaja peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Kemaman, semalam.

Ahmad Said berkata kedatangan pelaburan yang banyak akan membangkitkan semangat untuk bekerja dengan lebih keras lagi kerana ia akan memberi peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat.

Mengenai pengagihan Dana Khas Remaja, Menteri Besar berkata walaupun kadang kala kerajaan menerima tentangan daripada kalangan belia, namun dana itu tetap diagihkan untuk membantu mereka.

"Dengan adanya kerajaan Barisan Nasional, mereka semua akan merasai nikmat. Kita bukan bagi dana untuk remaja saja, malah pelbagai dana dan bantuan lain kita hulurkan kepada rakyat, tetapi kalau orang lain berkuasa, ini semua belum tentu dapat," katanya.

Menteri Besar sedih melihat anak-anak muda yang berdemonstrasi di jalanan kerana ia memburukkan imej negara kerana memberi gambaran seolah-olah negara ini tidak stabil dari segi politik.

"Ini akan menyebabkan pelabur asing tertanya-tanya adakah mereka akan selamat jika melabur di negara ini...pelabur tak datang, orang lain tidak kisah sebab mereka dah kaya, kita orang Melayu yang rugi," katanya.

Pada majlis itu seramai 500 belia di DUN Kijal menerima dana berkenaan sebanyak RM200 seorang.

Menteri Besar Bantu Mangsa Kemalangan Di Kemaman


KEMAMAN (3 Januari 2013) - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semalam sempat membantu mangsa kemalangan di Kemaman, selain membenarkan kenderannya digunakan untuk menghantar mangsa. 

Kejadian kira-kira 3.15 petang itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis pemberian dana bakti remaja di Dewan Sivik, Seri Bandi.

Menteri Besar turut membantu orang ramai mengeluarkan mangsa kemalangan yang tersepit di dalam kemalangan berkenaan.



Thursday, January 2, 2014

Sambutan Tahun Baru - UMNO Kuala Terengganu Anjur Majlis Tahli, Solat Hajat


"Umno Bahagian Kuala Terengganu bercadang meneruskan penganjuran majlis tahlil, solat hajat sebagai agenda tahunan sempena sambutan tahun baharu setiap kali menjelang tahun baru Masihi selepas ini."
 -  Datuk Mohd Sabri Alwi 

KUALA TERENGGANU (2 Jan 2014) - Di jalan raya, lebih 100 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atas pelbagai kesalahan dengan sebahagian besar membabitkan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Kejadian saman itu dilakukan dalam Ops Khas Motosikal dan tahun baharu di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Pengarah, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, dalam operasi lima jam bermula 8 malam itu, JPJ memeriksa 700 kenderaan dengan 181 dikenakan tindakan.

Di Bangunan Umno Bahagian Kuala Terengganu pula, Umno Bahagian berkenaan menganjurkan majlis tahlil dan solat hajat sebagai agenda tahunan sempena sambutan tahun baharu.


Sambutan itu adalah kali pertama dianjurkan dan selain menbarapkan berkat, ia juga mampu merapatkan hubungan sesama ahli Umno khususnya di Kuala Terengganu.

Malah, Umno Bahagian Kuala Terengganu bercadang meneruskan penganjuran majlis seperti itu sebagai agenda tahunan sempena sambutan tahun baharu setiap kali menjelang tahun baru Masihi selepas ini.

Ketua Umno bahagian, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, berbanding sambutan berbentuk hiburan, kaedah Islamik akan diberi peranan dan penekanan di bawah pimpinannya setelah dua bulan lebih menerajui kepimpinan bahagian itu.

“Insya ALLAH ia menjadi program tahunan dan sebagaimana kita kata tadi, kita akan buat transformasi habis-habisan. Hari ini kita buat dengan berubahnya Umno bahagian, berubahnya cara kerja dan hari ini kita bermula dari awal, tidak bermula saat-saat akhir.

“Program ini kali pertama dan alhamdulillah, sebelum ini kita buat program menggunting rambut percuma kepada 300 – 400 kanak-kanak sekolah sebelum menjelang hari persekolahan,” katanya pada Majlis Solat Hajat dan Tahlil sempena tahun baru 2014 anjuran Umno Bahagian Kuala Terengganu di Dewan Abu Bakar Bin Daud, malam kelmarin.

Dari sudut politik, pendekatan sederhana itu juga merupakan kaedah gerakan dari awal untuk memastikan Umno kembali mendapat sokongan rakyat di Parlimen tersebut pada PRU14 akan datang.

Mohd Sabri menegaskan, penerapan nilai Islam akan diberi perhatian memandangkan ramai pihak melihat Umno dan Islam mempunyai jurang tertentu sehingga ia dilihat terlalu jauh.

Mengambil kira pandangan itu, Mohd Sabri menganggap ia tidak seharusnya dilepaskan dan perlu dilakukan perubahan sebaik mungkin.

“Sebab itu pertamanya perubahan yang saya buat untuk Umno bahagian itu sendiri sudah ada iaitu meletakkan kalimah ALLAH dan Muhammad (di pintu masuk bangunan), tazkirah setiap Khamis pada jam 10 pagi hingga 11 pagi di bangunan Umno supaya kita jangan jadikan bangunan untuk kita bersuka ria sahaja dan insya ALLAH akan datang, kita buat program fardu ain kepada anak-anak orang susah dan program mengaji al-Quran,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang turut menyokong usaha tersebut memberitahu ia mampu sambutan sedemikian mampu menarik pelbagai golongan, selain menepis persepsi segelintir pihak bahawa orang Umno jauh dengan majlis-majlis agama.

Baginya, pendekatan islamik yang boleh dikembangkan dengan pelbagai kaedah itu juga mampu membawa keseimbangan dalam kepimpinan sedia ada di peringkat bahagian.

“Di peringkat Pemuda Umno bahagian, penerapan islamik ini juga turut dibuat melalui pelantikan ahli agama iaitu kita melantik Imam Masjid Batu Burok, Ustaz Ahmad Irham Mohd sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) dan di peringkat Umno bahagian, Imam Masjid Sultan Ismail Chendering, Ustaz Ahmad Roslin Jaafar juga dilantik sebagai AJK,” katanya.

Amat nyata tanpa sambutan bunga api, konsert atau acara-acara besar, sambutan tahun baharu secara bersederhana dan Islamik tetap meriah selain mengelak pembaziran.

Tanpa memerlukan kos penganjuran yang besar, program di masjid-masjid juga mampu melibatkan pelbagai pihak selain mengajar anak muda mengenai semangat tahun baru yang sebenarnya.


Sumber - SH Online & Bernama

Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora Di Pantai Timur Hingga Esok

Angin kencang dan laut bergelora yang kini melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dijangka berterusan sehingga esok.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia pada Rabu, keadaan angin dengan kelajuan 60km sejam dan ombak melebihi 5.5 meter itu boleh menyebabkan kenaikan paras air laut, serta berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pelantar minyak.

Kenyataan itu juga menyebut keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori kedua melanda perairan Sabah meliputi kawasan pedalaman, pantai barat dan Kudat serta Labuan dan Sarawak.

Keadaan angin kencang yang bertiup antara 50 dan 60 km/jam serta ombak setinggi 4.5 meter itu dijangka berterusan sehingga esok,  kata kenyataan tersebut.

Keadaan ini juga berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan.

Wednesday, January 1, 2014

Semua Sekolah Terjejas Banjir Di Terengganu Dibuka Hari Ini

Ahmad Shabery menyampaikan bantuan di Kemaman, kelmarin.
KUALA TERENGGANU (1 Jan 2014) - Hari ini bermulalah hari persekolahan di Terengganu untuk sesi 2014 apabila kesemua 19 sekolah di Terengganu yang terjejas oleh banjir awal bulan ini turut dibuka mengikut jadual persekolahan.

Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu Hashim Mohd Zin berkata kesemua sekolah tersebut sudah dibersihkan dan buku teks serta perabot yang rosak sudah diganti.

Sebanyak 33 sekolah yang dijadikan pusat pemindahan juga telah dibersihkan dan perabotnya disusun atur untuk memulakan sesi persekolahan hari ini.

Bagi asrama yang terjejas seperti di Sekolah Menengah Mak Lagam di Kemaman, tilam-tilam dan perabot juga telah digantikan," katanya semalam.

Sementara itu sejumlah 875 mangsa banjir di Hulu Terengganu menerima bantuan persekolahan daripada empat agensi semalam.

Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari (kanan), yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata sumbangan berupa beg sekolah serta keperluan peralatan itu adalah daripada Pemuda Umno Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) serta KUB Malaysia Berhad.

"Alhamdulillah, ini adalah sedikit sebanyak sumbangan yang diberikan oleh organisasi-organisasi tersebut bagi meringankan beban mangsa banjir yang terdiri daripada tiga kawasan dalam daerah ini iaitu Telemong, Ajil dan Kuala Berang.

Sumbangan ini dapat meringankan bebanan ibu bapa yang terpaksa ditanggung yang terpaksa membeli keperluan anak-anak bagi sesi persekolahan yang akan bermula esok (hari ini)," katanya. Beliau menyatakan demikian sempena majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Kilat TNB di Hulu Terengganu.

Turut hadir Pengerusi KUB Malaysia Berhad Datuk Seri Abdul Halim Samad, Ketua Pemuda Umno negeri Mohd Johari Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas khas Ghazali Taib.

Kelmarin (30 Dis 2013), Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM187,000 kepada 201 mangsa banjir terdiri daripada asnaf dan fakir miskin di Kemaman.

Pengarah Jabatan Baitulmal Maidam Mohd Noor Mohamad berkata kesemua penerima terbabit diberi bantuan pasca banjir setelah rumah mereka mengalami kerosakan teruk akibat ditenggelami banjir hingga paras bumbung.

"Hari ini, isi rumah yang terdiri dari dua anggota keluarga menerima RM500 manakala isi rumah lebih dari tiga orang pula menerima RM1,000.

"Maidam juga memberi bantuan tunai RM100 kepada setiap orang anak mangsa banjir yang masih bersekolah sama ada sekolah menengah atau sekolah rendah," katanya.

Beliau menyatakannya selepas majlis penyampaian sumbangan bantuan itu oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia selaku Anggota Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Kemaman, Isnin.

Pada majlis itu juga, Maidam turut memberi sumbangan berjumlah RM500,000 kepada enam buah masjid dan 21 buah surau yang terjejas banjir di Kemaman melalui peruntukan yang disalurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Ketika banjir melanda Kemaman awal bulan ini, Maidam juga menyalurkan bantuan barangan keperluan dan makanan bernilai RM50,000 kepada mangsa banjir di dua pusat pemindahan iaitu SK Banggol dan SK Pusat di Chukai.

Monday, December 30, 2013

Hentikan Pesta Maksiat Tahun Baharu - Harussani


Pada zaman Tunku Abdul Rahman (Al Haj), beliau meminta supaya setiap kali malam sambutan tahun baharu, penganut agama masing-masing berdoa untuk kesejahteraan dan keamanan negara daripada malapetaka dan bencana alam."
 - Tan Sri Harussani Zakaria 

Pesta yang menjuruskan ke arah kemaksiatan patut dihentikan ketika sambutan tahun baharu dan perlu digantikan dengan acara keagamaan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, adalah lebih baik kerajaan menyarankan semua penganut agama seluruh negara mengadakan upacara keagamaan di rumah ibadat masing-masing seperti yang dilaksanakan oleh perdana menteri pertama.

“Pada zaman Tunku Abdul Rahman (Al Haj), beliau meminta supaya setiap kali malam sambutan tahun baharu, penganut agama masing-masing berdoa untuk kesejahteraan dan keamanan negara daripada malapetaka dan bencana alam

“Tapi sekarang, pesta maksiat yang diadakan bagi sambutan tahun baharu, ini yang menyedihkan. Sekiranya dapat dilaksanakan perkara tersebut, mungkin kegiatan maksiat dapat dielakkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata beliau, walaupun sebelum ini kerajaan pernah mengadakan program ceramah agama pada setiap kali malam tahun baharu, namun malangnya tidak mendapat sambutan.

“Ini masanya kita pupuk kembali apa yang telah kita tinggalkan supaya dapat mengembalikan suasana sambutan tahun baharu yang lebih keagamaan.

“Ajar rakyat supaya mereka lebih mendekatkan diri dengan keagamaan supaya mereka tidak terlalu terdedah dengan aktiviti maksiat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan supaya bertemu dengan ketua semua agama dan mengarahkan mereka mengadakan program keagamaan di rumah ibadat masing-masing.

“Sekiranya kerajaan serius rasanya boleh berbincang perkara ini dengan ketua agama masing-masing. Kita juga menunggu berita yang menggembirakan supaya tiada lagi pesta maksiat.

“Kalau mahu pun untuk menyambut tahun baharu, mungkin tidak perlu sambutan yang melalaikan kerana akan mendekatkan dengan perkara yang tidak baik,” kata beliau.

Himpunan Jalanan Hanya Buang Masa & Tenaga - Ahmad Shabery

BANTAH... Pemandu teksi, Halim Abdul Rahman yang juga ahli Gabungan Persatuan dan Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GABUNGAN), menunjukkan poster 'Demonstrasi Guling Kerajaan Politikus Desprado' bagi membantah rancangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan dan demontrasi menggulingkan kerajaan yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam Selasa. Ahli GABUNGAN membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wang, Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata rancangan untuk menghimpun rakyat untuk berarak di jalanan pada malam 31 Disember ini adalah satu perbuatan yang sia-sia serta membuang masa dan tenaga.

Beliau berkata negara mempunyai sistem iaitu Parlimen untuk menyatakan ketidakpuasan kepada kerajaan selain melalui media massa kerana kerajaan bersedia mendengar dan memberi penjelasan sebenar kepada rakyat.

"Saya rasa yang pergi itu (sertai perhimpunan) akan membuang tenaga...kita ada sistem Parlimen, mereka boleh bersuara dalam Parlimen, dalam media massa dan sebagainya, kerajaan sedia mendengar, kita akan sesuaikan (keperluan orang ramai)...kita jelaskan," katanya kepada pemberita selepas program bantuan sekolah kepada mangsa banjir di Kemaman hari ini.

Beliau berkata adalah lebih baik masa dan tenaga itu digunakan untuk membantu mangsa banjir di beberapa negeri baru-baru ini kerana ia lebih berfaedah daripada membuat bantahan di jalanan.

Menurutnya, kerajaan kasihan kepada sesetengah rakyat yang telah ditipu pembangkang sehingga sanggup berhimpun di jalanan dan kali ini sekali lagi rakyat cuba ditipu semata-mata untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Himpunan guling kerajaan itu dirancang diadakan pada Selasa malam di Dataran Merdeka di ibu negara oleh badan bukan kerajaan, disebarkan melalui laman sosial Facebook dan Twitter.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata kementeriannya akan berusaha untuk memberi setiap keluarga mangsa banjir seunit televisyen dan barangan lain seperti peti sejuk yang kini merupakan antara barang keperluan dan bukan lagi lambang kemewahan.

"Dalam sistem telekomunikasi, televisyen bukan sesuatu yang mewah tetapi keperluan untuk orang dapatkan maklumat dan sebagainya.

Dulu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) beri komputer 1Malaysia, dalam konteks sekarang kita bagi televisyen," katanya.

Beliau berkata pihak SKMM akan cuba mengagihkan set televisyen tersebut secepat mungkin dengan anggaran keseluruhan ialah kira-kira 30,000 unit untuk mangsa banjir di Terengganu dan Pahang.

"Satu keluarga satu, cuba dalam masa sebulan, stok yang ada kualiti, munasabah untuk 30,000 keluarga," katanya.

Pada majlis hari ini (Isnin), Yayasan Al-Bukhary dan beberapa NGO termasuk Kelab Putera 1Malaysia dan Puteri Umno menyampaikan bantuan pakaian dan beg sekolah kepada 3,839 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, DUN Kijal dan DUN Chukai manakala esok (Selasa) pula kepada 4,733 penerima di DUN Air Putih.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata pemberian insurans kepada penjawat awam yang terjejas banjir boleh membantu meringankan beban mereka yang telah banyak kerugian harta benda.

Perubahan Kecil Portfolio Babitkan Lima Exco Terengganu


Kerajaan negeri Rabu dua minggu lalu (18 November) membuat sedikit perubahan ke atas portfolio lima Exco, termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Menteri Besar kini Pengerusi Jawatankuasa Perancang Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Alam Sekitar.

Ahmad Razif
Sebelum ini Alam Sekitar diletakkan di bawah Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir) yang kini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air.

Difahamkan Menteri Besar memaklumkan perkara ini pada Mesyuarat Exco pada 18 November lalu.

Ahmad Razif ketika dihubungi mengatakan beliau tidak tahu mengenai perubahan ini kerana tidak hadir pada mesyuarat Exco dua minggu lalu kerana bercuti.
A Latiff dapat tambahan tugas
Sementara A.Latiff Awang (Pengkalan Berangan), mendapat tambahan tugas apabila Komunikasi kini diletakkan di bawah beliau. Portfolio barunya Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Jidin hanya Pelancongan dan Kebudayaan
Komunikasi sebelum ini diletakkan di bawah Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri), yang kini Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan.

Sementara Ghazali Taib (Ajil), kini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-Tugas Khas apabila Inovasi digugurkan.

Pada istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Exco dibuat di depan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah pada 11 Mei lalu, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang mengetuai majlis mengangkat sumpah barisan exco berkenaan.

Adun Kuala Berang itu dilantik Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan.

Tasik Kenyir Sedia Sambut Ketibaan Tetamu Tahun Melawat Malaysia 2014

Tasik Kenyir, yang merupakan satu daripada destinasi pelancongan utama Terengganu, bersedia menyambut ketibaan pelancong dari dalam dan luar negara bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Pengarah Pembangunan Tasik Kenyir Mokhtar Che Ali berkata menjelang TMM 2014, pihaknya yakin jumlah pengunjung ke tasik peranginan itu akan mencecah 500,000 orang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengiringi Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari melawat sekitar Tasik Kenyir semalam.

Program Tahfiz Masjid Kristal Kian Dapat Tempat

Program tahfiz kian dapat tempat Ghazali (dua, kiri) dan Wan Adnan (kiri) bersalaman dengan peserta Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal Modul 11 di Pusat Konvensyen TTI.
Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal kendalian Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengendalikan hampir 800 pelajar, sejak mula diperkenalkan pada 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, jumlah itu sangat memberangsangkan dan menunjukkan kesedaran ibu bapa mengenai pendidikan agama dan Al-Quran.

Tiga Menara Telekomunikasi Di Tasik Kenyir Operasi Suku Pertama

Kerajaan Pusat membangunkan tiga menara telekomunikasi di Pulau Bayas, Pulau Camal dan Sungai Petang, Tasik Kenyir bagi melancarkan kemudahan komunikasi di pulau peranginan itu pada masa akan datang.

Kemudahan yang dijangka dapat beroperasi pada suku pertama tahun depan dapat memenuhi keperluan pelancong sejajar dengan usaha kerajaan negeri menjadikan Tasik Kenyir sebagai Pulau Bebas Cukai.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari, berkata kos bagi sebuah menara bernilai lebih RM1 juta kerana menggunakan pengangkutan air berbanding pembinaan menara di tanah lapang, selain masa menyiapkannya juga lebih lama sehingga lebih setahun.

PRNT Dedah Pemain Muda Pada Kejohanan Ragbi Di Perlis


Terengganu akan turut mengambil bahagian dalam kejohanan rabgi bawah 19 tahun kebangsaan yang akan diadakan di Perlis selama dua hari mulai 25 Januari ini.

Setiausaha Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) Wan Mohd Tarmizi Jusoh berkata kejohanan itu penting bagi menguji prestasi bakat-bakat baru dalam kejohanan tersebut.

"Kita telah memilih pemain di kalangan pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menganggotai pasukan Terengganu," katanya semalam.

Penyelia TMC Mesra Mall Maut Digilis Lori

Seorang penyelia di pasar raya TMC Mesra Mall, Kemaman maut selepas digilis sebuah lori yang mem bawa muatan bahan kimia berhampiran persimpangan lampu isyarat di Kilometer 122.5 Jalan Kuala Terengganu-Kemaman malam tadi.

Mangsa, Nurul Hazwani Abd. Rahman, 20, berasal dari Kampung Gong Chengal, Kemasik yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 11 malam sewaktu mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan ke Chukai.

Penjawat Awam Yang Menjadi Mangsa Banjir Boleh Membuat Tuntutan Insurans - Najib


Penjawat awam yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan dan merupakan mangsa banjir baru-baru ini, boleh membuat tuntutan insurans, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Penjawat awam yang menjadi mangsa banjir boleh hubungi @MOFmalaysia untuk mendapatkan maklumat tentang tuntutan insurans," kata perdana menteri. Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian dalam akaun Twitternya semalam bagi mengulas pautan twitter Bernama bertajuk 'Banjir: Penjawat Awam Digesa Kemuka Tuntutan Insurans Bencana Alam'.

Peniaga Cedera Ditembak Perompak Di Kuala Besut

Seorang peniaga nyaris maut akibat ditembak dua lelaki yang merompak sebuah kedai menjual telefon bimbit di Kampung Seberang Kastam, Kuala Besut semalam.

Mangsa hanya luka di perut dan keadaannya dilapor tidak membimbangkan. Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 2.55 petang apabila suspek yang menaiki motosikal menyerbu premis tersebut.

Mereka mengacukan pistol ke arah tiga pembantu kedai dan mengarahkanketiga-tiga wanita berkenaan memasukkan telefon yang dipamer di premis itu kedalam beg plastik yang dibawa para perompak, katanya. 

Beliau berkata kejadian itu disedari seorang peniaga kedai makan yang terletak besebelahan kedai telefon itu yang cuba membantu, tetapi telah diacukan pistol oleh para perompak.

400 Penduduk Wilayah Ketengah Sertai Sukan Air

Seramai 400 penduduk di Wilayah Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menyertai program Sukan Air Wilayah Ketengah 2013 anjuran Ketengah bertempat di Tasik Puteri Bukit Besi di Hulu Terengganu.

Pengerusi program Che Amran Yaacob yang juga merangkap Pengurus Pembangunan Insan dan Pendidikan Ketengah berkata program yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk di wilayah Ketengah itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan berbanding tahun-tahun lalu.

Sunday, December 29, 2013

Polis Pandang Serius e-mel Rancangan Letupan Tahun Baharu

Polis memandang serius penyebaran e-mel yang didakwa dihantar oleh rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Rahim Ghouse, kepada Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli, berhubung rancangan letupan di beberapa kawasan strategik sempena sambutan tahun baharu Selasa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata Rafizi, yang juga anggota Parlimen Pandan, telah dipanggil bagi membantu siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati keamanan dan ketenteraman di negara ini di samping menyambut kedatangan tahun baharu," katanya dalam laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia.

Polis Beri Amaran Terhadap Penganjur Perhimpunan Haram Di Dataran Merdeka

Ketua Pemuda Umno Bahagian Pendang, Mohamad Fadzil Zolkipli (depan, dua, kiri) dan Ketua Puteri Umno bahagian, Amal Izzah Shamsuddin (tiga, kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat bagi membantah penganjuran perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, Kedah pada Jumaat. 
Polis memberi amaran kepada penganjur yang merancang untuk mengadakan perhimpunan haram di Dataran Merdeka menjelang sambutan ambang Tahun Baharu, Selasa ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berkata anggota polis akan ditempatkan di kawasan tersebut untuk memantau keadaan pada hari itu.

Dataran Merdeka turut menjadi venue untuk sambutan ambang Tahun Baharu anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di mana kira-kira 20,000 pengunjung hadir memeriahkan acara itu.

Muhammad Ali Kembalikan Tiga Darjah Kebesaran Johor


Tokoh korporat Tan Sri Muhammad Ali Hashim memaklumkan beliau telahpun mengembalikan kesemua tiga darjah kebesaran negeri Johor pada Jumaat kepada Jumaah Majlis Diraja Johor.

Tindakan itu diambil berikutan kenyataan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli pada 5 Dis lepas berhubung artikel tulisan beliau dalam sebuah akhbar tempatan yang disiar pada 2 Dis lepas, kata Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Darjah kebesaran yang dikembalikan ialah Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang diterima pada 8 April 1996 dan Darjah Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang diterima pada 8 April 1984, kedua-duanya membawa gelaran 'Datuk', serta Darjah Setia Mahkota Johor (SMJ).

Sumbang Al-Quran, Yasin Baharu Ke Seluruh Kemaman

Khairul Azwan (kanan) menyusun beras dan bekalan makanan ke dalam pacuan empat roda untuk diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar Mak Lagam. 

Pemuda Umno akan menggantikan naskhah Al-Quran dan Yasin baharu untuk masjid dan surau di daerah ini yang terjejas teruk akibat banjir terutama bagi kawasan Dun Air Putih dan Dun Chukai.
Naib ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat mengenai
bilangan masjid dan surau yang terjejas teruk terutama di dua kawasan terbabit. Menurutnya, sumbangan itu akan disalurkan segera setelah semua urusan selesai.

“Kita juga akan menyampaikan bantuan pakaian sekolah kepada mangsa banjir khususnya yang mengalami kerugian besar dan kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bergotong-royong membersihkan Kompleks Rakan Muda Kemaman di Mak Lagam yang rosak teruk ditenggelami banjir.

Angin Kencang, Laut Bergelora Kategori Ketiga Dijangka Berterusan Sehingga Selasa

Angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga (paling bahaya) di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dijangka berterusan sehingga Selasa ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, angin kencang timur laut dengan kelajuan melebihi 60 kilometer sejam itu boleh menyebabkan ombak mencapai ketinggian melebihi 5.5 meter.

Selain itu, kawasan pantai di negeri berkenaan turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut. 

Penganjuran Himpunan Guling Kerajaan Terus Dikecam



50 pemuda daripada beberapa pertubuhan dan persatuan Daerah Setiu membuat tiga lamporan polis di IPD Setiu semalam.
Pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan politik terus mengecam usaha pihak tertentu menganjurkan perhimpunan mengguling kerajaan minggu depan.

Dari Perlis ke Johor hinggalah ke Sabah dan Sarawak, mereka memberi mesej jelas menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pihak di sebalik usaha mencetuskan huru-hara itu di samping mengingatkan rakyat agar tidak terjebak dengan dakyah yang disebarkan.

Di KUALA TERENGGANU, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Daerah Kuala Terengganu menegaskan cubaan mengheret rakyat ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan adalah tindakan yang sangat biadab kerana kerajaan sedia ada telah dipilih mengikut undang-undang dan perlembagaan negara.

"Kita juga khuatir perhimpunan itu bakal merosakkan belia negara, dan Pekida menyokong tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa kelak," kata Pengerusinya, Ahmad Syukri Abdullah kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Denggi Ragut 88 Nyawa Tahun Ini Berbanding 35 Tahun Lepas

Sebanyak 88 kematian akibat denggi dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 21 Dis tahun ini, meningkat 151 peratus berbanding 35 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor mencatat angka tertinggi dengan 24 kematian, diikuti Johor (21), Melaka (9), Kuala Lumpur dan Putrajaya (masing-masing lapan) serta Pulau Pinang tujuh kes.

Perak, Sarawak dan Sabah pula masing-masing empat; Kelantan dan Pahang (2 kes); manakala satu kematian dilaporkan di Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan, katanya dalam sidang media, semalam.

Menurutnya sepanjang tempoh itu juga sebanyak 41,226 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara, meningkat 92 peratus atau 19,782 kes, berbanding 21,444 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Banjir: Penjawat Awam Digesa Kemuka Tuntutan Insurans Bencana Alam


Mangsa banjir di Terengganu, Pahang dan Johor terdiri daripada penjawat awam yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan, dinasihat mengemukakan tuntutan insurans bencana alam daripada panel insurans masing-masing.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam,  berkata tuntutan insurans itu boleh meliputi kerosakan struktur bangunan seperti dinding, lantai, atap, siling dan sebagainya selain kejadian pecah rumah dengan tujuan mencuri semasa kejadian banjir.

Ia turut merangkumi tangki air pecah, kecederaan orang awam atau pihak ketiga akibat kemalangan di dalam rumah, serta perbelanjaan hotel atau rumah sewa dalam tempoh baik pulih kediaman.