Saturday, February 22, 2014

Ehhh...Ehhh, Daripada 4 Jadi 6 Rasuah Besar…SPRM Terengganu Dihina?

Syed Azman menyerahkan dokumen kepada Penolong Pegawai Siasatan SPRM Terengganu pada Mac 2013.
 “Pertemuan itu diadakan ekoran belum ada sebarang tindakan diambil ke atas laporan berkaitan kes rasuah membabitkan kerajaan BN Terengganu yang dibuat kepada SPRM negeri itu sebelum ini. Apakah SPRM Terengganu tidak tahu buat kerja atau tidak ambil tindakan hasil laporan mereka?”

Apakah pmbangkang Terengganu sudah cukup bahan bukti untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan yang dikategorikan sebagai ‘salah guna kuasa dan rasuah besar’ di Terengganu?

Ada rasuah besar dan ada rasuah kecil?

Teruknya kerajaan Barisan Nasional di Terengganu ini, jika mengikut andaian pemimpin pembangkang Terengganu.

Tindakan menyerahkan kepada SPRM Malaysia selepas sudah menyerahkannya kpada SPRM Terengganu menimbulkan banyak persoalan. Apakah SPRM Terengganu tidak berfungsi atau bagai ‘kayu mati’?

  

Turut aneh ialah daripada mulanya empat kes kini sudah jadi enam semuanya. Berapa lori bahan bukti itu diserahkan oleh pembangkang Terengganu.

Cuma yang menjadi persoalan ialah menurut laporan berita: “…kita akan menyerahkan kembali dokumen-dokumen laporan berkaitan rasuah kerajaan Terengganu dalam pertemuan petang ini selain perbincangan lanjut mengenainya.

Menyerahkan kembali bermakna tiada apa-apa yang barulah.

Maknanya mengulangi ‘tuduhan dan butiran-butiran lama’ yang mungkin pernah diserahkan pada 5 Januari 2012 kepada SPRM Terengganu sebelum ini? Atau butiran pada laporan Mac 2013 (gambar paling atas)?


Apakah pemimpin pembangkang khusunya PAS tidak yakin dengan SPRM negeri Terengganu sehingga mahu menyerahkan pula kepada SPRM Ibu Pejabat?

Kata laporan, pemimpin pembangkang Terengganu menyerahkan dokumen berkaitan salah laku rasuah dan penyelewengan yang berlaku di negeri itu kepada SPRM Malaysia (SPRM) untuk dikenalpasti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad yang mengetuai kumpulan itu berkata, beberapa pemimpin pembangkang di Terengganu telah mengumpul maklumat dan bahan bukti mengenai penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran negeri.

"Kita akan serah dokumen petang ini yang berkaitan walaupun kita telah serahkannya kepada SPRM di Terengganu sebelum ini, “ katanya.

Laporan media jelas menyebut bahawa pertemuan itu diadakan ekoran belum ada sebarang tindakan diambil ke atas laporan berkaitan kes rasuah membabitkan kerajaan BN Terengganu yang dibuat kepada SPRM negeri itu sebelum ini.

Apakah bagi Dr Syed Azman, SPRM Terengganu tidak tahu buat kerja atau dianggap tidak mengambil tindakan hasil laporan mereka?

Jika demikian sangat buruk tuduhan itu yang membawa erti bahawa pembangkang Terengganu tidak yakin dan memperlekehkan SPRM negeri mereka sendiri.


Menurut Syed Azman, sekurang-kurangnya enam kes besar termasuk isu pembalakan dan stadium runtuh dibawa kepada Ketua SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, semalam.

Apapun, kepada siapakah pembangkang Terengganu tujukan aduan – secara pukal, iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang atau pemimpin kerajaan, khususnya Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said?

Nampak gayanya, beberapa pemimpin pembangkang yang baru menang PRU-13 masih mahu bermain dengan isu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan serta kos yang tinggi untuk membaikinya, serta projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).


Sebelum ini pada 17 Februari lalu, Syed Azman hanya menyebut empat isu penyelewengan di Terengganu yang bakal disentuh adalah pembalakan, perlombongan, Tasik Kenyir dan pembinaan Pasar Payang.

Pada pertemuan semalam ia turut disertai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad, Adun Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Adun Bandar, Azan Ismail dan penaung NGO R Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Menurut Dr Syed Azman Syed Ahmad, pertemuan "Pertemuan ini adalah bagi membincangkan perkembangan serta isu-isu yang melibatkan rasuah dan salahguna kuasa khususnya di negeri Terengganu Darul Iman dengan Ketua Pengarah SPRM.

"Mereka telah bagi temu janji dengan Ketua Pengarah SPRM, kita mengucapkan terima kasih kerana SPRM telah bagi kita ruang. Pada kami untuk bincang isu penyelewengan dan rasuah di negeri itu,” katanya.

"Setiap tahun kerajaan telah memperuntukan RM2.2 bilion kepada kerajaan Terengganu, tapi rakyat masih berada dalam kesempitan (hidup)," kata Syed Azman pada sidang media sempena pertemuan Ahli-ahli Politik Terengganu dengan Abu Kassim.

Beliau menyatakannya kepada pemberita di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur.


Dalam pada itu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, jumlah RM2.2 bilion yang difokuskan kepada pejabat Menteri Besar Terengganu adalah trend yang aneh.

"Sifat aneh, sebahagian besar RM2 bilion lebih itu hanya ditumpukan kepada pejabat menteri besar, trend ini sangat aneh,” katanya.

"Jumlah diperuntukkan besar tapi hasil daripada nilai peruntukan itu tidak nampak apa-apa kesan atau hasil. Kita bawa dokumen berkaitan ke SPRM untuk dikenalpasti apa sebenarnya berlaku terhadap dana peruntukan itu," katanya.

Harapan pemimpin pembangkang Terengganu dengan Abu Kasim petang semalam sangat tinggi iaitu  menyelesaikan perkara-perkara yang menjadi tanda tanya sebelum ini.

Tanda tanya sahaja belum pasti ada berlaku penyelewengan atau rasuah.


Kita tunggu sajalah apa pula kata SPRM mengenai perkara ini atau Syed Azman dan rakan-rakan bertongkat dagu bilakah SPRM Malaysia akan melayani laporan mereka.

Sebabnya?

Jika SPRM Terengganu yang lebih rapat dan mengetahui perkembangan semasa dan kerenah pemimpin pembangkang terutamanya Dr Syed Azman ini, sudah tidak mahu TIDAK LAYAN, keraana `tiada bukti yang konkrit', apa lagi SPRM Ibu Pejabat.

Apakah dengan menepis dan melangkah SPRM Terengganu itu pemimpin pembangkang rasa mereka melakukan sesuatu yang penting dan drastik?

Amalan pentadbiran negara ialah selalunya cadangan atau pandangan jabatan di negeri-negeri diambil kira. Ini kerana jika semua perkara boleh diadukan ke peringkat pusat, buat apa ada jabatan atau agensi di peringkat negeri?

Friday, February 21, 2014

Chew Mei Fun Dari MCA Bakal Lawan Anwar Pada PRK Kajang


KUALA LUMPUR (21 Februari 2014) - (Terkini) Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun bakal diumumkan sebagai calon Barisan Nasional untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Pengumuman mengenai perkara itu dibuat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman itu pada sidang media di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Mei Fun optimis tentang peluangnya untuk menang dalam pilihan raya pada 23 Mac ini.

"Kemungkinan untuk kita menang adalah tak begitu menggalakkan tetapi kita akan bekerja keras. "Kalau saya kata saya yakin akan menang saya bohong, tapi keadaannya akan berubah kerana kita ada tempoh sebulan lagi," katanya dalam reaksi segera selepas diumumkan sebagai calon dan ditemui di perkarangan ibu pejabat Umno sebentar tadi.


Ditanya tentang kelebihannya berbanding calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan Pakatan Rakyat sebagai calon mereka, Chew Mei Fun menjawab seperti berikut: "Saya akan berkhidmat dengan sepenuh hati.

"Pada pandangan saya, orang Kajang perlukan seseorang yang bukan sahaja boleh menyuarakan isi hati mereka, tetapi juga sentiasa dilihat berada di sana (Kajang), boleh dihubungi dan wakil rakyatnya sentiasa ada di sana," katanya.

Selain Anwar dan Mei Fun, Datuk Zaid Ibrahim dan Senator Nallakaruppan juga telah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas di situ. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetap tarikh penamaan calon pada 11 Mac manakala pengundian akan diadakan pada 23 Mac.

Mei Fun dikatakan mendapat persetujuan daripada MCA dan parti komponen BN yang lain sebagai calon di kerusi tersebut.

Beliau  membuat kemunculan semula selepas berehat selama tiga tahun apabila memenangi salah satu daripada empat kerusi Naib Presiden pada pemilihan parti itu 21 Disember tahun lalu.

Mei Fun, 50, adalah bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utama, Senator, Ketua Wanita MCA dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kosong berikutan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan (Adun) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chin Cheh bagi membuka jalan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam PRK itu.

Sebelum ini, ahli politik veteran Datuk Ibrahim Ali berpendapat, Mei Fun calon terbaik BN bagi menentang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya keci; Kajang.

 “Calon BN siapa pula? Kalau tanya saya, Chew Mei Fun, naib presiden MCA. Dulu (beliau) letak jawatan timbalan menteri kewangan atas isu malu video seks presiden MCA ketika itu.

“Hebat moralnya kalau nak dibanding dengan Anwar,” kata Ibrahim (kiri). Chew pada 2010 meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri dan ketua wanita MCA selepas Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menang jawatan presiden parti.

Dalam kenyataannyakelmarin,  Ibrahim melihat kelebihan Chew itu dapat digunakan bagi menarik sokongan terhadap BN berbanding Anwar yang berdepan rayuan terhadap pembebasannya dalam kes Liwat II. “Jika ini calon (BN untuk) pilihan raya kecil DUN Kajang, sama-sama kita lihat apakah sikap majoriti rakyat pengundi Kajang?” kata bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu.

“Moga-moga Tuhan menunjukkan kebenaran dalam pilihan raya kecil Kajang.” Dalam kenyataannya, Ibrahim turut membidas tindakan bekas wakil rakyat Kajang, Lee Chin Cheh yang meletak jawatan. 

Menurutnya, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sepatutnya mengosongkan kerusi Bukit Antarabangsa buat Anwar dan bukan "mengorbankan kaum Cina sebagai alat".

 "Azmin juga ADR (anggota Dewan Rakyat). Hilang ADUN, masih ADR. Azmin pula orang kuat Anwar. "Mana dia nilai pengorbanan? Pengorbanan lain boleh," kata Ibrahim yang turut menyifatkan pilihan raya kecil Kajang sebagai "membuang duit rakyat".

Penyaluran Terus Ke Akaun Bank Untuk Memudahkan Penerima BR1M

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank mulai 22 Februari ini bertujuan memudahkan urusan pemindahan wang kepada penerima bantuan kerajaan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan mengambil perhatian terhadap semua maklum balas oleh penerima BR1M dan pengalaman menguruskan penyampaian BR1M sebelum ini.

"Sebelum ini, penerima BR1M perlu menunggu lama dan beratur panjang untuk menerima wang BR1M sehingga menyebabkan keadaan tidak selesa, sehubungan itu, kabinet telah sebulat suara meluluskan pemberian BR1M 3.0 kali ini disalurkan terus kepada penerima menerusi akaun bank tanpa melalui pelbagai prosedur yang menyusahkan,” katanya.

Terengganu Tambah Tanaman Kelapa Matag Di Kawasan 80 Hektar

Jabatan Pertanian Terengganu akan membelanjakan lebih RM1.45 juta tahun ini bagi meningkatkan penanaman kelapa hibrid Matag di kawasan seluas 80 hektar dalam usaha meningkatkan pendapatan petani.

Pengarahnya Md Yusof Maidin berkata jabatan itu merancang menanam 10,680 kelapa Matag, yang nama saintifiknya Cocos Nucifera 'Matag', di kawasan seluas 60 hektar di Kubang Puyu Calok, Setiu.

Selain itu, kelapa Matag juga akan ditanam di kawasan seluas 10 hektar masing-masing di Kampung Kelulut dan Kampung Batu Putih di Marang dengan anggaran 1,780 batang poko," katanya kepada Bernama di sini, kelmarin.

Beliau berkata tahun lepas, kira-kira 25 hektar kawasan di negeri ini ditanam dengan kelapa Matag, iaitu kacukan kelapa Filipina dan Malaysia dengan kos RM750,000.

Pantai Batu Burok Akan Diwarta Kawasan Bebas Rokok


Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju dengan cadangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk mewartakan kawasan Pantai Batu Burok sebagai kawasan bebas asap rokok yang pertama di negeri ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said berkata pada dasarnya, kerajaan negeri bersetuju menjadikan kawasan peranginan dan rekreasi itu sebagai kawasan bebas merokok berikutan tempat itu juga berdekatan dengan hospital.

"Kita akan berbincang dalam mesyuarat kerajaan negeri minggu hadapan dan kita akan meluluskan perkara ini," katanya dalam sidang media pada majlis Penyerahan Dana kepada JKNT di Kuala Terengganu, kelmarin.

Wednesday, February 19, 2014

Ahmad Said Akan Berpeluh Dengan Dakwaan Dr Syed Azman Mengenai 4 Penyelewengan?


Benarkah Datuk Seri Ahmad Said akan berpeluh atau ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad yang akan berpeluh dan tergagap-gagap bagai orang hilang punca apabila disebut sebagai ‘PEMBOHONG BERSIRI’ sekali lagi oleh Ahmad Said?

Empat penyelewengan oleh Menteri Besar Terengganu itu yang dikatakan akan didedahkan oleh Dr Syed Azman Jumaat ini membabitkan pembalakan, perlombongan, Tasik Kenyir dan pembinaan Pasar Payang.

Beliau mendakwa akan mendedahkan empat penyelewengan terbesar di Terengganu dalam pertemuan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Jumaat ini.

Katanya beliau sudah menerima surat balasan yang menyatakan persetujuan daripada SPRM yang bertarikh 10 Februari lalu. SPRM dikatakan bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan temu janji dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.


Selain beliau, antara pemimpin yang akan hadir pada pertemuan dengan Pesuruhjaya SPRM itu adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PAS), Adun Bandar, Azan Ismail (PKR) dan juga tokoh tempatan Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Ia berpremiskan Terengganu negeri yang cukup kaya tapi rakyat miskin disebabkan banyaknya penyelewengan.

Bajet Terengganu tertinggi di Semenanjung iaitu RM 2.3 bilion tapi rakyat hidup daif, itulah ‘slogan’ Syed Azman yang juga AJK Pas Pusat selama ini.

Persoalannya, apakah ada perkara baru yang akan didedahkan Dr Syed Azman? Sebelum ini beliau menyatakan empat perkara ini dalam konteks berikut:

1. Balak: Menurut kajian PKR dan PAS menunjukkan modus operandi pengutipan wang rasuah bersabit balak di Terengganu adalah seperti berikut:


Syarikat yang ditawarkan kawasan pembalakan dikehendaki memeterai satu perjanjian pembelian saham (Share Sale Agreement) dengan seorang penama/proksi untuk membeli saham sebuah syarikat. Syarikat yang dipunyai penama/proksi yang dijual ini selalunya hanyalah berharga RM2 sahaja. Syarikat ini dijual pada harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat tersebut yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan Secara kebetulan, syarikat-syarikat yang terpaksa membeli saham syarikat dormant pada harga yang tinggi ini dianugerahkan hak membalak di kawasan-kawasan yang ditentukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Wang dari jualan tersebut disyaki disalurkan kembali kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh untuk menentukan hak membalak. Pada 17 Julai 2012, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di Hutan Simpan Hulu Setiu. Keputusan itu diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan yang dipercayai dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Ahmad Said.

PKR dan PAS berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terbabit di dalam satu urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement). Satu perjanjian telah ditandatangani pada 28 Disember 2011 (iaitu 6 bulan sebelum kelulusan membalak dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu) agar syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat dormant bernama Berkat Seribumi Sdn Bhd, yang hanya mempunyai saham berbayar RM2 sahaja. (lihat sini, dan sini).


Dalam isu rasuah balak ini, Ahmad Said sudah bersumpah beliau tidak terpalit langsung dengan tuduhan yang dibuat. Beliau menafikannya dan bersumpah tidak melakukan perbuatan itu dalam satu Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu dengan SPRM. “Bismillahirrahmanirrahim, Wallahi, Watallahi, Wabillahi…Saya tidak terlibat melakukan rasuah dalam pemberian (skandal) balak,” ujarnya pada Majlis Menandatangani Ikrar Intergriti Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, pada Isnin 22 April 2013.

2. Perlombongan: Kes ini tidak jelas sama ada dari segi pengeluaran lessen, pembahagian kawasan atau pembinaan kilang.


3. Tasik Kenyir: Berasaskan kenyataan terbaru pada 15 Februari lalu, Raja Bahrin menimbulkan perkara berikut: Menurutnya projek bebas cukai di Tasik Kenyir dilaksanakan bertentangan dengan konsep memelihara alam sekitar. Pulau Bayas yang menjadi tapak kompleks itu telah di’botakkan’ akibat penebangan pokok secara berleluasa. Pusat (kompleks) bebas cukai disambung elektrik daripada tanah besar ke pulau itu, dia terpaksa tebang begitu banyak pokok, Untuk membawa kabel elektrik sepanjang sekurang-kurangnya 30 kilometer ke pulau Bayas dari tanah besar berharga RM30 juta.  Apakah PAS akan mendakwa ada penyelewengan dari segi pemberian kontrak membabitkan kontrak kabel elektrik, penebangan hutan di Tasik Kenyir serta isu-isu lain seperti membekalkan pokok, orkid, ikan atau sebagainya?


4. Pasar Payang: Cakap-cakap PAS ialah kenapakah pembinaan Pasar Payang bernilai RM400 juta itu diberikan kepada syarikat yang dimiliki taukeh Syarikat Perwaja Steel Sdn. Bhd yang dikatakan sedang menghadapi masalah yang teruk ketika ini mengakibatkan pemberhentikan kerja dan menanggung hutang begitu banyak. Perwaja dikatakan rugi sehingga RM 3.2 bilion dan hampir enam bulan tidak beroperasi bahkan pengerusinya telah bertukar sehingga menyebabkan berlakunya kelewatan pembayaran gaji kepada pekerja di kilang tersebut. Isu Perwaja ini turut dipersendakan pemimpin PAS Kemaman.

Jika berdasarkan kepada empat isu ini rasanya Ahmad Said tidak berpeluh pun, malah boleh tidur dengan nyenyak kerana semuanya sudah dijawab dengan jelas sebelum ini.

Apapun, kita tunggu perkara baru yang mahu disampaikan oleh Syed Azmin yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat dan teamnya kerana dia berjanji kepada wartawan sebelum bertemu SPRM, beliau akan memberitahu wartawan secara detail empat perkara yang akan dibangkitkan itu.

Kita menunggu isi kandungan yang menjadi agenda utama perbincangan itu nanti dan sebaik-baiknya Syed Azman benar-benar menyediakan bukti baru.

Jangan sampai dia dilabelkan sekali lagi oleh Ahmad Said sebagai PEMBOHONG BERSIRI., sudahlah...

Jangan Simpan, Edar Laporan Laman Sosial, SMS & Whatsapp Kematian ADO...

Noorul Shazrina bersama dua anaknya Wan Nor Sofia (kanan) dan Wan Iman (kiri). 
Hasil laporan bedah siasat yang dijalankan berhubung kematian Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu, Wan Hariff Rafany Wan Muda didapati tidak menunjukkan unsur jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan meminta orang ramai yang menerima laporan berhubung kes ini melalui laman sosial, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan whatsapp agar tidak menyimpan dan mengedarkannya.

Noorul Shazrina, isteri, Penolong Kanan Pentadbir Tanah, Kuala Terengganu, Allahyarham Wan Hariff Rafany Wan Muda,35, yang ditemui mati lemas di Sungai Tajin, Hulu Terengganu, turut sedih dengan sesetengah pihak yang membuat andaian sendiri terhadap kematian arwah suami sedangkan perkara itu masih dalam siasatan polis.

Katanya, dia rasa tertekan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang membuat pelbagai andaian terhadap kes kematian arwah suami yang tersebar luas menerusi media sosial.

LTdL 2014: TSG Sandar Harapan Kepada Enam Pelumba Berpengalaman


Pasukan profesional Terengganu Cycling Team (TSG) menyandar harapan kepada enam pelumba berpengalaman dalam menghadapi cabaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 yang bermula Khamis ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Rozali Salleh berkata enam pelumba tempatan itu diketuai pelumba sensasi Anuar Manan.

Pelumba lain terdiri daripada Muhammad Adiq Hussaini Othman, Mohd Harris Salleh, Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Mohammad Saudi Mat Senan yang masing-masing mempunyai kelebihan sama ada dalam mendaki bukit, memecut dan di jalan landai.

Engku Emran Cerai Erra, Dapat Hak Penjagaan Anak

Gambar menunjukkan Erra (dua dari kiri) ditemani rakan artis iaitu Erma Fatima (dari kanan), Datuk Paduka Khiruddin dan isterinya Datin Umie Aida.
Kehadiran Erra dengan topeng menutup mukanya. 
Desas-desus mengenai keretakan rumah tangga pelakon dan pengacara program Primadona, Erra Fazira dan suaminya Engku Emran Engku Zainal Abdin terjawab apabila pasangan berkenaan bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam, Selasa.

Lafaz cerai dilakukan Engku Emran di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain kira-kira pukul 12.50 tengah hari. Penceraian tersebut dilakukan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 (Negeri Selangor).

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 40, kelihatan tenang manakala Engku Emran, 39, sebak ketika melakukan lafaz tersebut.

Pasangan itu terdahulu tiba di mahkamah secara berasingan kira-kira pukul 11.45 pagi. Erra ditemani pelakon Erma Fatima dan Datin Umie Aida ketika tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

JDT, Pahang, Kelantan & FELDA United Mara Ke Separuh Akhir Piala FA

Patrick Ronaldhino (kiri) berebut bola di udara dengan pemain Kelantan, Obina Nwaneri (dua dari kiri) dan Ahmad Fakri Shaarani (empat dari kiri) pada aksi suku akhir kedua Piala FA, di Stadium Selayang, malam tadi. 
Johor Darul Takzim (JDT) menempah tiket ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Kedah dengan 2-0 dan 5-1 secara agregat di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam semalam.

Kedua-dua gol JDT dijaringkan oleh Nor Shahrul Idlan Talaha pada minit 62 sebelum Safee Sali melengkapkan kemenangan Harimau Selatan pada minit ke 85.

Sementara itu, pasukan Tok Gajah turut melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan PDRM dengan keputusan 2-1 dan 3-2 secara agregat di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Juara bertahan, Kelantan pula terpaksa berhempas pulas menentang PKNS di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebelum Mohammed Ghaddar mengikat kedudukan 3-3 pada minit ke-73 sekali gus menjadikan kedudukan agregat 6-5.

FELDA United turut mara ke separuh akhir Piala FA menerusi jaringan gol di tempat lawan selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Sarawak di Stadium Petra Jaya, sebentar tadi.

Tuesday, February 18, 2014

Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu Banyak Beribadat Sebelum Lemas...

Allahyarham Wan Hariff Rafany... 
Wan Hariff Rafany Wan Muda, Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Tajin, Kuala Berang di Hulu Terengganu semalam,  dikatakan banyak beribadat sejak kebelakangan ini.

Isterinya Norull Shazrina Shafie, 33, berkata suaminya yang beliau panggil 'Abi' didapati sering bersembahyang hajat, mengaji al-Quran dan berzikir.

"Saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi menganggapkan perbuatannya itu sebagai perubahan yang positif demi kebaikannya dan untuk kita sekeluarga," katanya di rumah bapa mentuanya di Kampung Limbongan, Besut hari ini.


Menurutnya, sebelum kejadian suaminya tidak meninggalkan sebarang pesanan dan hanya berbual perkara biasa dengan beliau dan dua anak mereka yang berumur empat dan enam tahun.

Mayat Wan Hariff Rafany ditemui terapung di Sungai Tajin, Kuala Berang di Hulu Terengganu pada Isnin ketika dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Wan Hariff Rafany, 35, dilaporkan hilang pada Sabtu lepas sebelum mayatnya di temui tiga pemancing di sungai itu.

Norull Shazrina, guru di sebuah sekolah menengah di Marang berharap orang ramai tidak mempunyai tanggapan negatif terhadap kematian suaminya dan menyerah kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Mayat Allahyarham dibawa balik dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu ke rumah bapanya pada pukul 8 malam Isnin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja selepas sembahyang Isyak.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh, Muhammad Pehimi Yusoff, Adun Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, Adun Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh dan ketua-ketua jabatan.

Sementara itu, hasil laporan bedah siasat yang dijalankan berhubung kematian Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu, Wan Hariff Rafany didapati tidak menunjukkan unsur jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata setakat ini mangsa dipercayai mati akibat lemas, namun pihaknya masih menunggu laporan toksikologi bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Beliau berkata laporan bedah siasat yang selesai diadakan pada pukul 6 petang semalam tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada badan mangsa.

"Siasat awal yang dijalankan ke atas mangsa lebih menjurus ke arah mati lemas dan kita juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada mangsa," katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu.

Menurut beliau, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi melakukan siasatan menyeluruh berhubung kematian mangsa.


Mangsa yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui masih lengkap berpakaian kemeja T berwarna oren serta berseluar trek yang pihak polis turut menemui kunci kereta di dalam poket seluar mangsa.

Manoharan berkata pihaknya juga telah merakam percakapan anggota keluarga, rakan sekerja serta individu yang mengetahui pergerakan mangsa bagi membantu siasatan. Beliau berkata setakat ini pihak polis mengklasifikasi kes sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Siasatan menyeluruh dari semua aspek sedang giat dijalankan dan sebaik siasatan selesai, kita akan merujuk kes ini kepada timbalan pendakwa raya," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang menerima laporan berhubung kes berkenaan melalui laman sosial, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan whatsapp agar tidak menyimpan dan mengedarkannya.


Kes Cerai Secara Baik - Nurul Izzah Anwar Masih Berusaha Cari Penyelesaian...


KUALA LUMPUR (18 Februari 2014) -  (Terkini)Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini menangguhkan tuntutan perceraian secara baik yang difailkan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar) pada 11 Mac depan.

Nurul Izzah sebelum ini memfailkan tuntutan perceraian dengan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim di bawah Seksyen 47 (cerai secara baik) Undang-Undang Keluarga Islam 1984.

Dilaporkan, Nurul Izzahmasih berusaha mencari penyelesaian secara baik kes cerai yang difailkan terhadap suaminya, di Mahkamah Syariah Kuala Lumpuri, bulan lepas

 Perkara itu diberitahu peguam Normawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah ketika ditemui pihak media di luar mahkamah selepas kes disebut di dalam kamar Hakim Syarie Ab Malek Awang. 

"Pihak-pihak masih dalam perbincangan bagi mencari penyelesaian untuk selesaikannya secara baik," kata peguam itu.

Ketika ditanya sama ada akan bercerai atau sebaliknya, peguam itu masih menjawab perkara sama.

Mahkamah kemudian menetapkan kes itu untuk sebutan semula pada 11 Mac depan

Nurul Izzah, 34, anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Raja Ahmad Shahrir Iskandar, 35, hadir ke mahkamah ditemani peguamnya Muhamad Nakhaei Ishak.

Bagaimanapun, Nurul Izzah tidak hadir ke mahkamah. Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.

Raja Ahmad Shahrir tiba berseorangan dengan berpakaian kot kemas kira-kira jam 10.30 pagi dan terus memasuki kamar Mahkamah Rendah Syariah 1. Peguam Nurul Izzah, Normawaddah Ramli hadir sebagai wakil pihak plaintif.

Kira-kira 15 minit kemudiaan, Raja Ahmad Shahrir bersama peguamnya, Muhamad Nakhaie Ishak keluar daripada kamar selepas mengadakan perbincangan dengan peguam plaintif

Normawaddah juga membetulkan laporan sebelum ini mengatakan anak guamnya membuat tuntutan perceraian secara fasakh, sebaliknya tuntutan tersebut dibuat secara baik di bawah Seksyen 47.

"Fasakh adalah perceraian dengan memberikan alasan tertentu, tapi ini adalah cerai secara baik," terang peguamnya lagi membetulkan laporan sebelum ini. Raja Ahmad Shahrir sejurus itu bergegas ke keretanya dan tidak memberikan sebarang komen.

Hari ini adalah sebutan semula kes tuntutan cerai secara baik yang dibuat oleh Nurul Izzah, 34 ke atas suaminya Raja Ahmad Shahrir, 35 di hadapan Hakim Syarie, Ab Malek Awang selepas sebutan kali pertama pada 22 Januari lalu.

Anak perempuan sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan perceraian di bawah Fasakh (untuk membatalkan perkahwinan itu) pada akhir Disember melalui petisyen di Mahkamah Syariah. 

Suaminya, Raja Ahmad Shahrir yang dipercayai sudah menerima petisyen itu pada 16 Jan, meminta penangguhan dua minggu sebelum ini berhubung perkara itu bagi menyediakan kesnya. Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir, berkahwin pada 9 Mei 2003.

Upacara perkahwinan mereka diadakan di kediaman bapa Nurul Izzah, di Bukit Damansara. Mereka dikurniakan dua cahaya mata seorang puteri berumur 7 tahun dan putera 4 tahun.

Anak perempuan sulung  Anwar  memfailkan perceraian di bawah Fasakh (untuk membatalkan perkahwinan itu) pada akhir Disember melalui petisyen di Mahkamah Syariah.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 52 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1984. Laporan itu mendakwa, suaminya, Raja Ahmad Shahrir dipercayai sudah menerima petisyen itu pada 16 Januari lalu, meminta penangguhan dua minggu berhubung perkara itu bagi menyediakan kesnya.

Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir berkahwin pada 9 Mei 2003. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, seorang puteri berumur tujuh tahun dan putera empat tahun.

The Malaysian Insider

Monday, February 17, 2014

Polis Tolak Unsur Jenayah Dalam Kes Kehilangan ADO Kuala Terengganu

HULU TERENGGANU (17 Februari 2014) - Siasatan polis terhadap kes Penolong Pegawai Daerah (ADO) Pejabat Tanah Kuala Terengganu, Wan Hariff Rafany Wan Muda, 35, yang dilaporkan hilang sejak malam hari Jumaat (14 Feb) tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Md Jamil berkata malah penemuan kereta Audi milik mangsa berhampiran Pejabat Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang pagi semalam juga mendapati tiada sebarang kesan mencurigakan.

Justeru, katanya pihak polis juga menafikan kes Wan Hariff Rafany berkait dengan penculikan. "Polis menerima laporan berkaitan kehilangan individu ini...berkemungkinan dia tidak pulang ke rumah kerana mempunyai urusan di luar.

Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi," katanya kepada pemberita di Hulu Teregganu, semalam (Ahad).

Menurutnya, mangsa sebelum ini pernah bertugas di Pejabat Tanah Hulu Terengganu.

Terdahulu, Hamzah menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu antara DSP Mohd Ismail Muslim dengan DSP Hussin Deraman Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu yang baru di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu, di Kuala Berang.

Sani United Bhd Sasar Kumpul Aset RM1b


Sani United Bhd, menyasar mengumpul aset keseluruhan kumpulan bernilai RM1 bilion dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Sani Salleh, berkata syarikat yang kini memiliki aset keseluruhan bernilai RM300 juta optimis mencapai sasaran itu bersandarkan keupayaan syarikat mempelbagaikan cabang perniagaan termasuk yang terbaru iaitu perkhidmatan perkapalan.

Beliau berkata, langkah syarikat memperluaskan portfolio perniagaan, selain turut mengembangkan operasinya sebagai syarikat Bumiputera jelas menunjukkan ia serius untuk menambah pendapatan.

Katanya, antara yang bakal menyokong sasaran syarikat, termasuk peluasan perkhidmatan sektor perhotelan menerusi rancangan mewujudkan tiga rangkaian hotel Sani masing-masing di Kelantan, Terengganu dan Melaka dalam tempoh lima tahun akan datang.

Warga Asing Guna Pasport Palsu Jadi Nelayan

Warga asing dikesan menggunakan pasport palsu untuk bekerja sebagai nelayan di Terengganu, kata Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Kuala Terengganu, Kepten Maritim Xavier Thevadas Gnanapragasam.

Beliau berkata, helah itu dikesan dilakukan terutama warga Myanmar sejak penghujung tahun lepas dan setakat tahun ini, 10 nelayan asing ditahan kerana memiliki pasport palsu.

"Dua hari lepas kita mengesan lima lagi nelayan Myanmar yang sedang menangkap ikan berhampiran Pulau Kapas," katanya.

Pihaknya percaya kegiatan pemalsuan pasport itu didalangi warga tempatan.

Kalahkan Pahang, Pengendali Terengganu Masih Merendah Diri


Ketua jurulatih skuad Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim berkata kemenangan 2-0 mereka Sabtu malam ke atas juara Piala Malaysia musim lalu Pahang, kerana pemainnya bermain bermati-matian dan mematuhi arahan.

Beliau berpuas hati kerana pemainnya telah memberi persembahan terbaik.

"Pada umumnya saya cukup berpuas hati dengan prestasi pasukan Terengganu yang semakin meningkat dari semasa ke semasa dan ini perlu dikekalkan," kata Abdul Rahman.

Mengenai perlawanan tersebut, beliau berkata kedua-dua pasukan bermain dengan baik, tetapi nasib mungkin menyebelahi Terengganu.

Terengganu kini berada di tangga teratas Liga Super hasil daripada tiga kemenangan daripada lima perlawanan. Perlawanan Terengganu seterusnya ialah menentang Selangor pada 8 Mac.

Rujuk Peguam Negara Siasatan Kes Profil Tinggi Di Laman Sosial - Jailani

Agensi yang menyiasat kes berprofil tinggi seperti menghina agama Islam dan institusi raja di laman sosial dicadang berbincang dengan Peguam Negara (AG) bagi memastikan kes itu kukuh dan tindakan dapat diambil dengan cepat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata cadangan tersebut dibuat kerana setiap agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai akta khusus daripada segi proses penyiasatan.

"Biasanya agensi-agensi terbabit akan melakukan siasatan berdasarkan akta-akta sedia ada dan seterusnya memajukan kepada pihak pendakwa raya, bergantunglah kepada pihak pendakwa raya sama ada mereka hendak ambil (tindakan mengikut) akta SKMM, akta jenayah dan akta hasutan dan sebagainya.

Sunday, February 16, 2014

Terengganu Melonjak Tangga Teratas Liga Super

Pemain Terengganu, Marcio Sauza terjatuh ketika diasak pertahanan Pahang, MOhd Shahrizan pada aksi Liga Super di Kuala Terengganu malam tadi.
KUALA TERENGGANU (16 Februari 2014) - Untuk kali pertama sejak beberapa musim Liga Malaysia Malaysia kebelakangan ini, Terengganu melonjak ke tangga teratas Liga Super selepas mengalahkan Pahang 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam semalam.

Kemenangan tersebut hasil jaringan Mario Karlovic pada minit ke-20 dan Ismail Faruqi (69') membolehkan skuad Penyu mengumpul 10 mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Selepas sekadar terikat tanpa jaringan ketika menentang Lions XII pada Sabtu lalu, skuad Penyu yang merampas gelaran pendahulu liga daripada Selangor yang tewas 1-4 kepada Johor Darul Takzim (Johor DT), kini mengutip 10 selepas mengharungi lima perlawanan.

Beraksi di depan 10,000 penyokong fanatik, pasukan tuan rumah bermula garang menerusi pemain import, Marcio Souza dan Pemain Terbaik Kebangsaan 2013, Mohd. Nor Farhan Mohamad sebaik aksi separuh masa pertama bermula.

Begitupun, skuad Penyu memastikan kelebihan menjadi milik skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu apabila memperoleh gol pembukaan menerusi Mario Karlovic pada minit ke-20.

Jaringan itu hadir apabila perancang kelahiran Australia itu berjaya memanfaatkan sepakan percuma yang berjaya mengelirukan penjaga gol muda skuad Tok Gajah, Khairul Azhan Khalid.

Bersambung di babak kedua, Terengganu terus menguasai permainan dengan melancarkan serangan bertali arus tetapi benteng pertahanan pasukan pelawat yang diketuai Zeshan Rehman dan Mohd. Shahrizan Salleh berjaya mematahkan setiap serangan dari skuad Penyu.

Bagaimanapun, kapten Terengganu, Ismail Faruqi memastikan tiga mata menjadi milik skuad Penyu dengan meledak gol kedua pada minit ke-69.

Skuad pelawat yang terdesak untuk mencari jaringan, akhirnya terpaksa akur apabila keputusan 0-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Selepas aksi menentang Pahang,

Terengganu bakal menentang Selangor untuk aksi keenam Liga Super, 8 Mac depan.

Johor Darul Ta'zim (JDT) pula mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas pendahulu liga sebelum ini Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Skuad Harimau Selatan selesa mendahului Selangor pada separuh masa pertama hasil jaringan kapten pasukan Baihakki Khaizan pada minit ke-12 sebelum Hariss Harun menggandakan kedudukan pada minit ke-33.

JDT terus bernafsu untuk menambah jaringan dan berjaya meraih dua lagi gol menerusi penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-52 dan Mohamad Fadhli Mohd Shas (59'). Selangor merapatkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Paulo Rangel pada minit ke-68 selepas beliau dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Baihakki.

Kelantan juga meraih tiga mata selepas menewaskan wakil kelab dari Terengganu T-Team 3-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu hasil jaringan Mohamed Shawky pada minit ke-32, Mohd Badhri Radzi (45') dan Mohamed Ghaddar (84').

Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak menang tipis 1-0 ke atas Perak hasil jaringan Milorad Janjus seawal minit ketujuh. Terdahulu pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-70 selepas Junior Eldstal menerima kad kuning kedua daripada pengadil perlawanan Sukri Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri selepas kalah 1-2 kepada Lions XII dari Singapura pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Amiridzwan Taj Tajudin terlebih dahulu meletakkan skuad The Gladiators di hadapan menerusi tandukan seawal minit keempat hasil sepakan percuma yang diambil Bruno Sebastian Martelotto.

Pasukan pelawat bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya meraih dua gol masing-masing menerusi Khairul Amri pada minit ke-47 sebelum Muhammad Afiq Yunos mengesahkan kemenangan mutlak pasukan pelawat pada minit ke-91.

Liga Malaysia akan berehat sementara bagi memberikan laluan kepada persiapan skuad bola sepak kebangsaan menghadapi aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada 5 Mac ini.

Ahmad Said: Terengganu Tiada Masalah Air

Ahmad Said melawat orang tua ketika turun padang dalam DUN Kijal, kelmarin.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata negeri itu tidak mengalami masalah bekalan air sekalipun musim kemarau sekarang. Ini kerana katanya Terengganu mempunyai beberapa batang sungai yang membekalkan air mentah ke loji rawatan seperti Loji Air Kepong di Kuala Terengganu dan Bukit Putera di Setiu.

"Untuk kawasan perindustrian di Bukit Kalong di Kemaman, kita mendapat bekalan yang disalurkan oleh Petronas dengan kos RM50 juta," katanya kepada pemberita, di Kemaman, semalam.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan Terengganu mengalami masalah bekalan air yang dilapor berlaku di beberapa kawasan di negeri lain, susulan musim kemarau yang melanda negara sekarang.

PRK Dun Kajang: Masa Tepat Tuntut janji PR

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim menyarankan penduduk Kajang menjadikan pilihan raya kecil kawasan itu sebagai platform mendapatkan penjelasan daripada pembangkang mengenai janji mereka pada PRU13.

Katanya, mereka juga boleh bertanya mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR untuk menyelesaikan pelbagai isu termasuk masalah denggi dan bekalan air.

"Sekarang apa yang dilakukan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah menuding jari kepada kerajaan pusat, seolah-olah PKR dan sekutunya pihak pembangkang di Selangor bukan pemerintah," katanya dalam sidang media selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Muar, di Muar malam semalam.

Dua Juta Terima BR1M Secara Beperingkat Dalam Tempoh 20 Hari - Ahmad Husni

Kira-kira dua juta penerima bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2014) yang tidak mempunyai akaun bank, akan menerima baucar secara berperingkat dalam tempoh tidak melebihi 20 hari, bermula 23 Feb ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata agihan kepada penerima yang tidak mempunyai akaun itu akan dilakukan para pemimpin di kawasan parlimen masing-masing.

"Walaupun agihan kepada penerima tanpa akaun bank akan ambil masa kerana ia melibatkan jumlah yang besar, kerajaan ingin melaksanakan pemberian baucar itu dalam tempoh tidak melebihi 20 hari.

Tiga lelaki Cuba Edar Bible Kepada Pelajar

Seorang guru menangkap tiga lelaki yang cuba mengedar beberapa Bible berbahasa Melayu kepada pelajar di sebuah sekolah di Pulau Pinang.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Haji Zainal Abidin, Nor Amin Ahmad berkata, kejadian berkenaan berlaku di sekolah berkenaan yang jaraknya tidak jauh dari sekolah itu. 

Pihaknya kesal kerana Bible dalam bahasa Melayu itu juga tertulis perkataan ALLAH yang dibimbangi boleh mengelirukan pelajar sekolah.

“Tajuk kitab itu ialah Kenalilah Al Kitab dan di bahagian bawahnya mereka cuba menarik pembaca dengan menulis ‘Sebuah panorama Firman ALLAH dalam 366 bacaan dan renungan harian'.