Saturday, March 29, 2014

'Lisa Sudah Tidak Tahan' - Luahan Seorang Isteri VIP

Lisa merujuk kesnya kepada Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz yang turut disertai Mohd Adly, kelmarin.
Menjadi isteri orang kenamaan atau VIP tidak menjanjikan kebahagiaan

Itu dihadapi seorang wanita di sini apabila kini berdepan trauma selepas didera secara mental oleh lelaki yang dikahwini sejak 14 tahun lalu.

Malah, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lisa, 37, turut memberitahu, dia sering dimaki hamun oleh suaminya yang berstatus Datuk berusia 63 tahun itu.

Menurutnya, keadaan itu sudah berlarutan hampir 10 tahun dan merasakan hubungan mereka sudah tiada lagi persefahaman, sekali gus menuntut agar suami menceraikannya secara baik menerusi proses mahkamah.

Lisa berkata, suaminya sering melontarkan kata-kata kesat terhadapnya serta sanggup mengatakan dirinya sebagai 'perempuan sial', 'bodoh' dan pernah mengugut untuk menghantarnya ke hospital mental gara-gara dirinya cuba membunuh diri.

“Saya tidak tahan lagi dan pernah suatu hari dia menggunting rambut saya secara paksa hanya kerana marah saya berkawan dengan orang luar kerana kebetulan saya memang aktif berpuisi di radio.

“Dia juga turut menyekat saya untuk berhubung dengan keluarga termasuk ibu bapa saya sendiri, malah pernah menghalau saya dari rumah.

"Paling tidak tahan, dia pernah mencabul pembantu rumah saya,” katanya yang mengadukan masalah itu di Pejabat Pembela BN Melaka, kelmarin.

Lisa berkata, hasil perkahwinan, mereka dikurniakan lima anak berusia dari 14 hingga tujuh tahun.

“Saya kesal berkahwin dengannya sebab dia tidak meletakkan kedudukan seorang isteri di tempat yang betul dan sekarang saya serta anak-anak sudah enam bulan tidak tinggal bersamanya.

“Setakat ini sudah 29 kali saya menuntut cerai dengannya dan masuk kali ini barulah saya memfailkan tuntutan fasakh,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Guaman Pembela BN, Mohd Adly Ithnin berkata, di dalam kes terbabit, masing-masing tidak lagi boleh meneruskan perkahwinan dan membuatkan penangguhan tuntutan berkaitan seperti tuntutan harta serta nafkah anak-anak.

“Kes ini boleh diselesaikan secara baik sekiranya si suami bersetuju perkara berkaitan harta diselesaikan dengan mahkamah yang lain, bukannya di dalam bab fasakh.

“Isu menjadi rumit sebab pihak suami cuba memasukkan semua perkara ke dalam satu,” katanya.

Sinar Harian

Bas Amfibia Bakal Jadi Tarikan Baru Di Tasik Kenyir


Industri pelancongan di Tasik Kenyir bakal mempunyai satu lagi daya tarikan terbaharu apabila kerajaan negeri akan menyediakan kenderaan amphicoach (bas amfibia) di tasik buatan manusia itu yang dianggarkan bernilai RM3 juta sebuah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kenderaan buatan Malta itu nanti bukan sahaja untuk pengangkutan pelancongan, tetapi berfungsi sebagai serampang dua mata kerana ia boleh digunakan bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Kerajaan negeri bersetuju membeli dua amphicoach yang dapat digunakan di darat dan di air. Kenderaan berbentuk seperti bas ini pada satu-satu masa mampu memuatkan 50 penumpang dengan kelajuan mencecah lapan knot di dalam air.

Awas Terengganu - Kelantan Mahu Bangkit Selepas Tewas Tiga Kali

Tiga pemain baru pasukan Kelantan (dari kiri) Brendan Gan, Wan Zack Haikal dan Mohd Fitri Omar

Berhati-hati Terengganu!

Kelantan mahu bangkit pada perlawanan menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, hari ini, setelah tewas tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini, kata pengurus pasukan Azman Ibrahim.

"Kami perlu dapatkan kembali momentum selepas tewas tiga kali berturut-turut, kami tidak mahu kekalahan yang berterusan ini menjejaskan keyakinan pemain," katanya semalam.

The Red Warriors (TRW) tewas 3-2 kepada kelab Vietnam, XM Vissai Ninh Binh (VNB) pada 18 Mac bagi perlawanan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kemudian bagi Liga Super pasukan itu tewas 1-0 kepada Selangor pada 22 Mac dan yang terakhir tewas 2-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu pada Selasa lepas.

Beliau berkata pihaknya akan mempertaruhkan dua muka baharu iaitu Brendan Gan dan Fitri Omar setelah dua tonggak utama iaitu Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Ali tidak dapat beraksi.

"Ahmad Fakri Saarani digantung satu perlawanan kerana menerima kad kuning ketiga manakala Shakir terpaksa diketepikan setelah mengalami kecederaan ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Selasa lalu.

"Kita harap Brendan dapat bermain kerana dia telah mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC), manakala Fitri pula telah pamerkan aksi yang menyakinkan Selasa lalu," katanya.

Azman berkata pihaknya turut menyenaraikan dua pemain import Mohammad Ghaddar dan Mohd Shawky Aly pada perlawanan menentang pendahulu liga super itu.

"Mereka akan ke Terengganu tetapi kami akan tengok dahulu perkembangannya sama ada mereka boleh bermain atau tidak," katanya.

Kelantan kini berada di kedudukan keenam liga selepas sembilan perlawanan dengan 13 mata, tiga mata di belakang pendahulu liga iaitu Terengganu yang bermain kurang satu perlawanan..

Sementara itu, beliau berkata perlawanan menentang pendahulu liga iaitu Terengganu merupakan satu tugas yang sukar kerana pasukan tersebut bermain dengan baik pada musim ini.

 "Kami harap dapat beri saingan dan mengutip sekurang- kurangnya satu mata. Mereka mempunyai barisan pemain yang berkualiti selain mempunyai penyokong yang ramai dan ia satu tugas yang sukar," katanya.

Banjir Kilat Diramal Sepanjang Peralihan Monsun 28 Mac 2014

Banjir kilat dan pokok tumbang mungkin berlaku sepanjang tempoh peralihan monsun yang dijangka bermula esok sehingga awal Mei depan.

Pengarah Khidmat Korporat dan Komersial Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata perubahan angin monsun akan menyebabkan hujan lebat, angin kencang dan ribut petir sekitar negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, pedalaman Kelantan, Terengganu serta Pahang.

Kuantiti hujan sepanjang peralihan monsun ialah sebanyak 150 hingga 250milimeter sebulan, bergantung kepada jumlah yang diterima di satu-satu tempat, katanya.

Pencuri Wang Tabung Masjid Terima Balasan


Mohd Kasyful Azim dipenjara 24 bulan selepas mengaku salah mencuri wang tabung Masjid Kampung Kubang Ikan, Chendering.

Pencuri wang tabung Masjid Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini, yang ditangkap penduduk Rabu lalu, menerima balasan apabila dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh mahkamah majistret,kelmarin.

Keputusan dibuat selepas Mohd Kasyful Azim Harun, 31, mengaku salah mencuri RM61 di dalam tabung masjid itu pada 19 Mac lalu, kira-kira jam 3.50 petang.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, imam masjid berkenaan, Alias Ngah, 61, bersama beberapa penduduk yang berada di dalam masjid, ternampak Mohd Kasyful Azim sedang mengambil duit daripada tabung.

Modul BI di semua tadika YIT

Modul pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) bagi peringkat prasekolah dijangka diperkenalkan di Terengganu pertengahan tahun ini melibatkan kerjasama antara Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, sebagai permulaan, semua tadika di bawah YIT akan dijadikan perintis menggunakan modul itu.

Menurutnya, YIT kini sedang dalam rangka menyiapkan modul itu sebagai persediaan awal kepada anak negeri ini bagi menghadapi pembelajaran BI di peringkat sekolah rendah, menengah hingga ke institusi pengajian tinggi.

Shalwati-Azizul Dihukum Penjara Dera Anak Di Sweden


Pasangan Malaysia yang dituduh mendera anak-anak mereka di Sweden didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Daerah Solna pada Jumaat.

Mahkamah juga menetapkan bahawa pasangan itu perlu membayar ganti rugi terhadap anak-anak mereka.

Ibu kepada empat orang anak, Shalwati Norshal dijatuhi hukuman penjara selama 14 bulan kerana perlakuan kasar terhadap anak perempuannya dan anak lelaki sulungnya serta atas kesalahan menyakiti dua lagi anak lelakinya.

Sementara itu bapa mereka, Azizul Raheem Awalluddin dikenakan hukuman penjara 10 bulan kerana dia didapati bersalah mengasari tiga anak anaknya.

Azizul bagaimanapun dibebaskan daripada apa-apa kesalahan terhadap anak bongsunya.

Empat Pengedar Ditahan Bersama Dadah, Pistol Dan Pedang

Empat lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan polis bersama barang terlarang bernilai RM75,000 itu di sebuah chalet di Kampung Cherating Lama dekat Cherating di Kuantan Rabu lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata polis turut merampas sepucuk pistol tiruan, sebilah pedang, sebilah pisau dan wang tunai RM400 dalam serbuan itu.

Katanya serbuan jam 6 petang oleh sekumpulan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK negeri itu, diketuai ASP Wan Zulkifly Sahabaludin.

"Hasil pemeriksaan di dalam chalet itu polis menemui lima botol dadah jenis heroin seberat 20.7 gram, dadah jenis ganja seberat 248.6 gram, 2,000 biji pil kuda dan 119 biji pil ecstasy dengan jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM75,000," katanya kepada pemberita di Kuantan , semalam.

Friday, March 28, 2014

Petronas Lancar Pusat Latihan Minyak & Gas Canggih Di Batu Rakit


KUALA TERENGGANU (28 Mac 2014) - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) semalam melancarkan kemudahan latihan bersepadu terbaharunya di kawasan Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dekat Batu Rakit di Kuala Terengganu.

Dikenali sebagai Pusat Latihan Minyak dan Gas Bersepadu Instep (IIOGTC), ia terdiri daripada loji latihan huluan dan hiliran sektor minyak dan gas yang dibina dengan bentuk dan fungsi yang sama dengan loji sebenar melibatkan kos pembinaan sebanyak RM250 juta.

Naib Presiden Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Petronas Raiha Azni Abdul Rahman berkata selain itu, IIOGTC turut dilengkapi pelantar gerudi, simulator penggerudian dan bengkel kejuruteraan.

"Ini adalah satu-satunya pusat latihan minyak dan gas yang canggih yang menempatkan semua teknologi yang diperlukan untuk pembelajaran akademik dan praktikal untuk pelatih di Instep bagi memenuhi keperluan industri.

 "IIOGTC dibangunkan untuk melengkapkan pelatih Instep dan pegawai Petronas dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam persekitaran yang lebih sesuai dan selamat," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian IIOGTC yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Sebelum ini, pelatih di INSTEP menjalani latihan amali di pelantar minyak di tengah laut bagi melihat sendiri proses di loji, namun kini mereka hanya perlu menjalani latihan di IIOGTC sahaja.

Raiha Azni berkata selain itu, kemudahan ini akan turut dibuka kepada penggiat industri minyak dan gas, sama ada dari dalam atau luar negara, yang mahu meningkatkan kemahiran jurutera dan juruteknik syarikat mereka.

"INSTEP yang ditubuhkan sejak 33 tahun lepas, kini telah melatih lebih 10,000 tenaga kerja teknikal yang mahir bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas di seluruh dunia.

"Malah, INSTEP juga menerima pelajar dari luar negara seperti Sudan, Papua New Guinea, Iraq dan Myanmar yang mengikuti pelbagai kursus teknikal di sini. Syarikat minyak dan gas seperti Talisman, Shell dan Exxon umpamanya juga menghantar pekerjanya menjalani latihan bagi meningkatkan kemahiran di sini," katanya.

Sementara itu, Shamsul Azhar dalam ucapannya berkata pelancaran IIOGTC ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi INSTEP  sejak ditubuhkan pada tahun 1981.


"Ini adalah antara pelaburan penting Petronas dalam bidang pembangunan modal insan yang bertujuan melahirkan pekerja berkemahiran tinggi untuk menyokong perkembangan pesat industri minyak dan gas di Malaysia," katanya.

Antara program teknologi petroleum yang ditawarkan di Instep ialah Makmal Analitis, Proses Pengeluaran, Elektrikal, Instrumentasi dan Mekanikal.

Terletak kira-kira 30 minit dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Instep juga menyediakan kemudahan asrama untuk 1,600 pelatih pada satu-satu masa, kompleks sukan, kafeteria, masjid, dewan kuliah dan loji latihan yang sama seperti operasi sebenar Petronas di lautan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia masih kekurangan tenaga mahir dalam sektor tertentu, terutama industri minyak dan gas, menyebabkan syarikat bersaing mendapatkan pekerja mahir yang terhad jumlahnya bagi menyempurnakan projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Katanya, kekurangan tenaga mahir menyebabkan kerajaan tidak dapat memacukan sektor-sektor tertentu yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi, terutama aspek teknikal dan vokasional.


 "Sebab itulah kerajaan, terutama RMK-11 yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), banyak menekankan aspek vokasional dan teknikal.

"Sekiranya kita tidak dapat memenuhi lompong yang ada (bidang pekerja mahir), kita akan menghadapi masalah untuk membangunkan industri dan sektor yang telah dikenal pasti sebagai sektor penting untuk Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran INSTEP  semalam.

Khairy berkata kerajaan komited mewujudkan sasaran peluang pekerjaan sebanyak 3.3 juta di negara ini dengan kebanyakan pekerjaan baharu dalam bidang yang bersifat kompetitif dan teknikal menjelang 2020.

"Kalau kita tidak sediakan bekalan (tenaga mahir), maka kita akan terpaksa membawa masuk tenaga mahir dari luar dan ini akan merugikan kita.

"Ini kerana tahun depan akan bermulanya Komuniti Ekonomi Asean yang membuka peluang untuk pekerja mahir berpindah dari satu negara ke negara lain di Asean.

Oleh itu, kita perlulah rebut peluang ini dan menyediakan anak muda kita dalam bidang industri tersebut," katanya.


Sementara itu, Ahmad Said yang tertarik dengan cara pengendalian latihan INSTEP berkata kerajaan negeri akan menaja dan menghantar anak Terengganu menjalani latihan dalam bidang industri minyak dan gas yang dilihat berpotensi besar dalam industri.

"Kita akan tengok keperluan dan kemampuan, dan akan berbincang mengenai kos yang terlibat. Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) akan berbincang dengan INSTEP.

"Kerajaan Terengganu bersedia membiayai kos supaya lebih ramai golongan muda diberi latihan dalam bidang minyak dan gas," katanya.

Kerajaan negeri komited membangunkan bidang pendidikan di negeri ini dengan setiap tahun kira-kira RM300 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.

Berdamai Dengan MILF - Kerajaan Filipina Berterima Kasih Kepada Najib


Presiden Filipina Benigno Aquino III berkata rakyat Filipina akan terhutang budi selama-lamanya kepada Malaysia dan kehadiran Malaysia memberi sinar kepada setiap peringkat perjanjian damai antara Kerajaan Filipina (GPH) dengan  Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) semalam.

Ketika menzahirkan penghargaannya kepada semua negara yang terlibat menjadikan perjanjian damai itu suatu kenyataan, beliau berkata sesungguhnya, Malaysia, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, telah memainkan peranan penting.

"Kita sama-sama menunjukkan suatu contoh kepada seluruh dunia. Perjanjian ini menjadi bukti bahawa kepercayaan dan kesungguhan mampu menggerakkan sifat kemanusiaan ke tahap lebih jauh.

"Ia menunjukkan betapa kejujuran, perasaan muhibbah merupakan alat paling berkesan untuk menamatkan konflik, ia membuktikan bahawa usaha mencari kesepakatan pasti membawa hasil yang tidak terhitung banyaknya," kata beliau.

Semalam GPH dan MNLF membuka lembaran baharu bagi hubungan mereka sebelum ini yang ditandai dengan permusuhan dan sikap saling tidak mempercayai apabila mereka duduk semeja untuk menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) bagi membuka jalan ke arah mencari penyelesaian politik di Mindanao.




KBS Akan Bina Sebuah Velodrom RM6 Juta Di Terengganu


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan akan membina sebuah velodrom di Terengganu sebagai menghargai komitmen besar negeri ini dalam bidang pembangunan sukan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata KBS tidak boleh menolak dan menafikan sumbangan kerajaan Terengganu untuk membangunkan sukan, seperti dalam Sukan Malaysia (Sukma) umpamanya, negeri ini sentiasa mendapat kedudukan yang cemerlang.

"Baru-baru ini, saya dapat sokongan yang begitu padu dari Terengganu bagi penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) yang merupakan perlumbaan basikal paling berprestij di Asia Tenggara.

"Atas segala sumbangan negeri ini dan perancangan yang terdahulunya saya difahamkan tidak dapat disempurnakan, maka saya telah maklumkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) bahawa KBS akan meneruskan projek untuk membina sebuah velodrom di negeri ini," katanya.

Petronas Harap Medan Gas Marginal Akan Hasilkan Antara 30,000-50,000 Tong


Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berharap medan gas marginalnya akan menghasilkan antara 30,000 hingga 50,000 tong sehari untuk tiga tahun akan datang.

Ia bersamaan dengan medan marginal kontrak servis risiko semasa (RSC) kumpulan berkenaan.

Presiden Petronas Carigali, cabang eksplorasi dan pengeluaran Petronas, Datuk Anuar Taib, berkata sasaran pengeluaran mungkin ditingkatkan kepada antara 100,000 hingga 200,000 tong sehari, berikutan hasil yang baik di kelompok Kapal, Banang dan Meranti (KBM), di samping Berantai dan Balai.

Program perlesenan RSC pertama dilancarkan pada 2011 melibatkan penyerahan kelompok Berantai di luar pantai Terengganu kepada SapuraKencana Petroleum Bhd serta syarikat berpangkalan di United kingdom, Petrofac Limited (gambar atas).

Tempoh Peralihan Monsun Dijangka Bermula 29 Mac

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara ini akan melalui tempoh peralihan monsun bermula 29 Mac sehingga awal Mei depan.

Menurut kenyataan MetMalaysia, fenomena ribut petir dan hujan lebat diramal lebih kerap berlaku dalam tempoh peralihan itu terutama di kawasan sekitar negeri pantai barat Semenanjung Malaysia dan pedalaman Kelantan, Terengganu serta Pahang.

Fenomena seumpama ini biasanya berlaku pada sebelah petang dan awal senja.

Thursday, March 27, 2014

MB Terengganu Kecewa Kelewatan Pembinaan Rumah Pangsa Di Pulau Perhentian


 "Peringkat awal sebelum ini kerajaan dapat menerima alasan kontraktor kerana menghadapi masalah tapak yang banyak bongkahan batu tetapi setelah diselesaikan, pembinaannya masih lagi lewat."  
- Datuk Seri Ahmad Said

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kecewa dengan kemajuan kerja pembinaan rumah pangsa mampu milik oleh kontraktor di sini yang didapati terlalu perlahan dan tidak mematuhi jadual asal pembinaannya.

Menurutnya, sepatutnya pembinaan 200 unit rumah pangsa lima tingkat itu disiapkan pada akhir tahun ini namun sekarang pembinaan rumah tersebut hanya baru bermula dengan anggaran kemajuannya hanya beberapa peratus sahaja.

"Peringkat awal sebelum ini kerajaan dapat menerima alasan kontraktor kerana menghadapi masalah tapak yang banyak bongkahan batu tetapi setelah diselesaikan pembinaannya masih lagi lewat," katanya kepada pemberita semalam.


Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek pembinaan rumah pangsa tersebut dan masjid Pulau Perhentian sempena Mesyuarat Exco Kerajaan negeri yang berlangsung di pulau destinasi pelancongan itu semalam.

Bagi mengatasi masalah itu daripada berulang, kerajaan negeri akan membuat pemantauan bagi memastikan janji dikotakan pihak kontraktor untuk menyiapkan projek itu menjelang tahun hadapan.


Terdahulu Ahmad melawat kemajuan pembinaan masjid di pulau itu yang sebahagian bangunannya berada di atas air dan sebahagian lagi di darat, telah siap sebanyak 80 peratus dan akan mampu menampung kira-kira 350 jemaah pada satu-satu masa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menjalankan kerja menyambung bekalan elektrik 24 jam ke Pulau Perhentian membabitkan kos sebanyak RM32 juta menjelang Mei ini.

"Kos pembinaan ini ditanggung separuh oleh kerajaan negeri manakala separuh lagi oleh TNB dan kemudahan itu akan dinikmati oleh penduduk pulau dan resort serta chalet membabitkan kedua-dua buah pulau berkenaan," katanya.

Malindo Air: Ada Bunyi Letupan Sebelum Enjin Terbakar - Saksi



Seorang penumpang pesawat Malindo Air yang sebuah enjinnya terbakar ketika dalam penerbangan dari Subang ke Kuala Terengganu, semalam, berkata beliau terdengar bunyi letupan sebelum melihat api di bahagian itu.

"Saya hanya mampu berdoa agar tiada perkara buruk menimpa kami," kata Mohd Faiz Subri, pemain tengah pasukan bola sepak Terengganu, iaitu antara 53 penumpang penerbangan itu.

Beliau yang ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, berkata kejadian berlaku ketika pesawat baru sahaja berlepas dari Lapangan Terbang Subang.

Puspakom Perluas Khidmat Pemeriksaan Bergerak Primer, Termasuk Ke Terengganu

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan memperluas Perkhidmatan Pemeriksaan Bergerak Primer (PMI) di Kedah, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan mulai 1 April ini.

Ia  bagi memudahkan pelanggannya mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail berkata perkhidmatan itu bertujuan menjimatkan masa serta memudahkan pemilik kenderaan berurusan bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan tanpa perlu mengunjungi cawangan Puspakom.

Kilang Ais Kiub di Pulau Perhentian Bertambah Maju


Kilang Ais Kuib milik Koperasi Bersatu Jaya (KPJ), di Pulau Perhentian, Besut kini bertambah maju apabila mampu meraih pendapatan bulanan sehingga RM40,000 berbanding hanya RM15,000 sebulan sebelum ini.

Pertambahan pendapatan itu didorong hasil permintaan menggalakkan daripada pelanggan, terutama pengusaha restoran, pemilik chalet, resort, kedai runcit dan warung kopi di pulau itu dan Pulau Redang.

Perkembangan positif itu mendorong Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan geran bantuan kira-kira RM200,000 kepada koperasi itu awal tahun lalu, bagi membina kilang baru dan membeli mesin.

Sebelum ini, kilang lama milik koperasi itu hanya mampu menghasikan ais kiub sehingga 3,000 kilo sebulan atau anggaran pendapatan kira-kira RM15,000.

Pengarah, SKM Terengganu, Mahmud Kadar berkata, pihaknya bangga dengan kemajuan koperasi itu di mana ahlinya tidak berputus asa memajukan perniagaan walaupun menyedari pelanggan yang ada agak terhad.


Tuesday, March 25, 2014

Masih Ada Keyakinan Bahawa Penumpang, Anak Kapal MH370 Masih Selamat…



KUALA LUMPUR (25 Mac 2014) - Pegawai kerajaan malam ini bermesyuarat dengan wakil United States Pacific Command (USPACOM), sebuah badan ketenteraan bertanggungjawab bagi kawasan Lautan Pasifik.

Tujuannya ialah memastikan sama ada serpihan yang dikesan dari pesawat MH370 hasil imej satelit yang dikeluarkan dari Australia, China dan Peranci.

Selepas disahkan, barulah usaha mencari kotak hitam dijalankan. “ Itu cara kita, bekerjasama, sahkan petunjuk dan maklumat setiap yang ada," demikian ditegaskan oleh pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.

Apakah ini menggambarkan ada sedikit harapan bahawa pesawat MH370 sebenarnya ‘masih selamat’ dan imej yang dikatakan daripada serpihan pesawat itu sebenarnya bukan imej serpihan pesawat MAS?

Pada ketika Penerbangan Malaysia (MAS) membuat kesimpulan bahawa kesemua 239 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat MH370 terkorban, masih ada yang menaruh keyakinan bahawa pesawat MAS itu sebenarnya berada di suatu lokasi yang tidak diketahui.

MAS  ‘percaya 100 peratus’ apabila menerima maklumat yang diberikan kepada mereka oleh Kerajaan mengenai nahas itu.

Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Md Yusof berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Isnin iaitu hari ke-17 pesawat itu hilang yang membawa kepada kesimpulan itu.

"Beliau (Najib ) telah memberikan petunjuk yang boleh dipercayai yang menunjukkan di mana pesawat itu berakhir... kedudukan yang sangat jauh, sangat jauh... dan selepas 17 hari, kami hanya boleh membawa kepada kesimpulan yang pasti ini," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Sebaliknya, masih ramai yang menaruh harapan bahawa selagi bukti nyata, termasuk kotak hitam dan serpihan tidak ditemui, selagi itu mereka meletakkan harapan tinggi bahawa pesawat itu sebenarnya tidak terjunam atau meletup di Lautan Hindi.

China misalnya menuntut Malaysia menyerahkan data satelit yang ada selepas Najib membuat pengumuman bahawa pesawat MH370 telah mengakhiri penerbangan di Lautan Hindi berdasarkan data dari satelit.


Dalam mesyuarat pada lewat malam Isnin, Timbalan Menteri Luar China, Xie Hangsheng telah memberitahu Kedutaan Malaysia di China untuk menyediakan bukti terperinci mengenai 'kesimpulan' yang dibuat, kata Kementerian Hal Ehwal Luar China.

"Kami telah meminta pihak Malaysia untuk menyatakan bukti terperinci mengenai pengumuman yang telah dibuat dengan menyediakan kesemua maklumat satelit data yang diperolehi.

Kerja mencari dan menyelamat tidak boleh dihentikan sekarang, kami meminta Malaysia meneruskan segala usaha menyelamat yang telah dimulakan," kata Xie pada Selasa.

Pada masa sama, agensi berita di China melaporkan negara tersebut kini telah menghantar lebih banyak kapal ke Lautan Hindi untuk mengesan serpihan pesawat tersebut. Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 itu yang berakhir di selatan Lautan Hindi mendapat reaksi berbeza daripada keluarga serta waris mereka.

Rata-rata mereka sukar menerima berita sedih itu dan percaya selagi tiada bukti kukuh ditemui seperti serpihan pesawat, anggota keluarga pesawat malang itu masih menaruh harapan agar orang yang mereka sayangi selamat.


Namun begitu sebahagian lagi tetap reda dan menerima kesudahan pencarian selama 17 hari, sejak pesawat itu dilaporkan hilang pada 8 Mac sebagai ketentuan Ilahi.

Ramai keluarga penumpang sama ada di China, mahu pun Malaysia, belum dapat menerima ketentuan yang diumumkan Perdana Menteri, sebaliknya tetap mempunyai harapan mereka yang tersayanh itu akan pulang.

Tan Tuan Lay, 53, ibu kepada seorang penumpang dari Alor Setar, iaitu Chew Kar Mooi, 31, berkata dia sekeluarga terkejut selepas mendengar pengumuman itu.

Ibu kepada pegawai Maybank di Kuala Lumpur itu berkata selagi tidak menemui sebarang bukti yang sahih beliau sekeluarga masih menaruh harapan anaknya akan pulang ke sisi keluarga.

"Tak ada penemuan objek yang berkaitan dengan pesawat. Ia daripada imej satelit sahaja. Kami masih menaruh harapan untuk jumpa dia (Chew) dengan selamat," katanya.

Abang kepada seorang lagi penumpang, Andrew Jee, 42, berkata di Jitra, keluarganya tidak akan ke Kuala Lumpur dan akan menunggu di rumah mereka di Taman Rasa Sayang, Jitra sehingga maklumat tepat diterima.

Andrew berkata jika anggota keluarganya diminta ke Australia, hanya ibunya Tan Giat Gua, 68, yang diiringi seorang bapa saudaranya ke negara itu.

Ibu mentua kepada Ketua Pramugari MH370, Goh Sock Lay menganggap menantunya itu masih hidup dan akan pulang dengan selamat selagi bangkai pesawat itu belum ditemui.

Pong Sai Mooi, 73, berkata berharap berita yang diumumkan Perdana Menteri malam tadi tiada kaitan dengan pesawat terbabit.

"Selagi tak jumpa bangkai kapal terbang itu saya anggap dia (Goh) masih hidup. Saya sentiasa berdoa pada Tuhan dia akan pulang dengan selamat," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui pemberita di Ipoh.


Ibu kepada pengurus pengeluaran Syarikat Freescale Semiconductor di Petaling Jaya, Muzi Yusop, hanya mampu mengungkapkan perkataan 'reda' berhubung tragedi itu.

Biarpun tiada lagi air mata yang mampu dititiskan, namun Semah Sidik, 70, menerima berita semalam dengan tenang dan menganggap ia sudah ditentukan Ilahi.

"Kita reda aja lah. Walaupun malam tadi masa nak dengar pengumuman itu, saya dan suami berdebar-debar namun apa yang mampu kami lakukan, hanya reda dan terima ketentuan-Nya," kata warga emas itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jenjarom, Kuala Langat  hari ini.

Muzi, 50, adalah antara 227 penumpang penerbangan MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas dan beliau ke negara itu untuk mengikuti kursus selama sebulan.

Sementara itu, bapa seorang lagi penumpang pesawat itu, G Subramaniam, 60, berkata beliau tidak akan ke Australia sekiranya ada cadangan dari mana-mana pihak untuk berbuat demikian melainkan dapat melihat anaknya di sana.

Normah Jaafar, ibu kepada seorang daripada penumpang pesawat itu, Khairul Amri Selamat masih terngiang-ngiang kata-kata anaknya: "Mama, adik nak pegi dulu," sebelum menaiki pesawat malang itu. "Kak Nor masih ralat dengan kata-kata adik itu, biasanya kami berborak lama, sekurang-kurangnya satu jam sebelum dia pergi ke mana-mana tetapi hari itu (8 Mac) lain sangat.

Khairul Amri, 29, jurutera penerbangan, menaiki pesawat itu ke Beijing untuk menjalankan tugas membaiki sebuah pesawat syarikat penerbangan di sana.

Normah juga sudah bersedia sekiranya diarahkan oleh pihak MAS ke lokasi pesawat terhempas.

"Kak Nor berharap sangat dapat pergi ke lokasi kapal terbang terhempas, Kak Nor sedang menunggu panggilan daripada MAS selepas semua proses mengesan oleh pihak berkuasa selesai," katanya di Bera, Pahang.

Di sebalik semua harapan itu, MAS begitu pasti kesemua penumpang dan anak kapal MH370 tiada yang selamat sambil menafikan hawa syarikat penerbangan itu menangguhkan maklumat untuk dikeluarkan kepada umum.

Beliau menambah ia terpulang kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan tersebut. Pada sidang media harian berkaitan MH370 di Kuala Lumpur hari ini


Hishamuddin berkata sejak MH370 hilang selepas terputus komunikasi dengan menara kawalan, program ping automatik kepada satelit Inmarsat menjadi satu-satunya petunjuk kepada kedudukan terakhirnya.

Hasil daripada data itu, pihak berkuasa mendedahkan bahawa pesawat itu akhirnya menjalankan “log keluar” daripada jaringan satelit pada 9.15 pagi – konsisten dengan had minyak pesawat.

“Tiada maklum balas diterima daripada pesawat pada 0115 (9.15 pagi), apabila stesen bumi menghantar mesej log masuk/log keluar. Ini menandakan pesawat itu tidak lagi log pada jaringan.

“Justeru itu, pada suatu masa antara 0011 UTC (8.11 pagi) dan 0115 UTC (9.15 pagi), pesawat itu tidak lagi mampu berkomunikasi dengan stesen bumi. Perkara itu konsisten dengan masa penerbangan maksimum pesawat,” katanya.

Hishammuddin kemudian mengulangi pendirian kerajaan bahawa tumpuan pasukan mencari adalah mengenal pasti serpihan dan menemui pesawat yang hilang itu.

Mengenai operasi mencari, Hishammuddin berkata beliau optimis ia akan diteruskan walaupun berdepan cabaran seperti gangguan cuaca selain teknikal, diplomatik dan logistik dalam menjayakannya.

"Walaupun lokasi jauh dari daratan dan mencabar, saya optimis, selagi ada harapan, saya masih berharap terhadap semua harapan manakala operasi pencarian dan pemulihan akan diteruskan," katanya.

Karpal Singh Fail Notis Rayuan Berhubung Kes Hasutan


Pengerusi DAP Karpal Singh memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman denda RM4,000 bagi pertuduhan menghasut kerana mempersoal tindakan Sultan Perak menggugurkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar pada 2009.

Peguam Zaleha Al-Hayat, yang mewakili Karpal Singh, ketika dihubungi berkata, notis itu difail di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, semalam.

"Salinan sudah diserah kepada Peguam Negara dan Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan," katanya.

Beliau memaklumkan sepucuk surat berkaitan dakwaan salah laku Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin pada 11 Mac lepas turut diserah kepada Tan Sri Abdul Gani Patail.

Katanya, salinan surat itu turut diserah kepada Noorin pada kira-kira 5 petang. Karpal Singh, 73, didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah melakukan perbuatan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama pada 6 Februari 2009.

Dia didakwa mengeluarkan perkataan berbaur hasutan bahawa pengguguran Mohammad Nizar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baharu boleh dipersoal di mahkamah.

Manaf Mamat Bermain Untuk T-Team?


Sekurang-kurangnya tiga tonggak utama skuad Terengganu dijangka bermain untuk T-Team apabila pintu perpindahan pemain dibuka mulai hari ini  selama sebulan.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman berkata pemain pertahanan Nik Zul Aziz Nik Nawawi merupakan nama awal yang diluluskan perpindahan itu, namun bergantung kepada keputusan muktamad PBSNT kelak.

Satu lagi nama yang mungkin terlibat ialah pemain penyerang Abdul Manaf Mamat.

"Sebenarnya T-Team mohon tiga pemain untuk memperkuatkan barisan mereka, tetapi setakat ini Terengganu hanya meluluskan perpindahan seorang sahaja, manakala dua lagi masih dalam pertimbangan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu Tubuh Jawatankuasa Kaji Punca Penurunan Calon Lulus SPM

Kerajaan Negeri Terengganu akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menjalankan post mortem mengenai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata jawatankuasa itu juga akan mengkaji punca penurunan bilangan calon yang layak mendapat sijil SPM di negeri ini. 

Jawatankuasa itu juga akan mengkaji sama ada keperluan bagi pelajar sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Sejarah yang menjadi mata pelajaran wajib lulus selain Bahasa Melayu sebagai punca penurunanan itu.

Monday, March 24, 2014

PRK Kajang: PKR Menang, Majoriti Susut


Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mengekalkan penguasaannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dengan majoriti 5,379 undi.

Calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berjaya memperoleh sebanyak 16,741 undi.

Dengan keputusan itu, Wan Azizah berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun yang mendapat 11,362 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kajang, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman kira-kira pukul 9.05 malam, semalam.

Turut hadir di pusat penjumlahan undi di Komplek Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Ketengah Properties Yakin Siapkan Projek Perumahan Pada Suku Kedua 2016

Ketengah Properties Bhd, unit di bawah Ketengah Holding Sdn Bhd, yakin dapat menyiapkan 500 unit projek perumahannya di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Bukit Besi pada suku kedua 2016. 

Ketengah Holding merupakan anak syarikat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud (gambar kanan), berkata projek perumahan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM50 juta itu menawarkan dua jenis rumah iaitu rumah mampu milik dan sederhana.

"Di Wilayah Ketengah ada beberapa institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara Kampus Bukit Besi, Kolej Ketengah dan Pusat Giat Mara Ketengah di mana kita melihat pembangunan sudah ada di sana. 

Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora Sehingga Khamis

Angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Bintulu, Mukah dan Rejang di Sarawak diramal berterusan sehingga Khamis ini (27 Mac).

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan semala  berkata, keadaan angin dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Menurut kenyataan itu, angin kencang dan laut bergelora turut diramalkan di kawasan perairan Tioman, Reef South dan Samui.

Kerajaan Terengganu Sediakan Dua Kabin Untuk Pasukan Keselamatan Di Pulau Redang


Kerajaan Terengganu akan menyediakan dua kabin untuk pasukan polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di Pulau Redang bagi memantapkan kawalan keselamatan di pulau peranginan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kabin tersebut akan ditempatkan di lokasi strategik sebagai pos kawalan pasukan keselamatan.

"Walaupun pulau ini sudah mempunyai sebuah balai polis, kita sedia bekalkan kabin tersebut untuk dijadikan pos kawalan mereka," katanya ketika melawat pulau tersebut baru-baru ini.

Kanak-Kanak Lemas Ketika Mandi Di Sungai Terengganu

Kegembiraan tiga rakan menghabiskan cuti persekolahan dengan bermandi-manda di Sungai Terengganu dekat Manir, di Kuala Terengganu  berakhir dengan tragedi selepas seorang daripada mereka lemas, petang kelmarin.

Dalam kejadian pada 5.20 petang itu, mangsa yang lemas dikenali sebagai Mohd Izzat Haikal Razali, 10, manakala dua lagi rakannya berjaya diselamatkan penduduk kampung yang menyedari insiden itu.

Seorang saksi Kamal Salleh, 32, berkata ketika itu beliau baru selesai mendirikan solat Asar di surau berhampiran sebelum dikejutkan dengan jeritan meminta tolong.