Friday, April 25, 2014

Felcra Bayar Dividen Ketiga Berjumlah RM106 Juta Ahad Ini


Felcra akan mengagihkan bayaran dividen ketiga untuk 2013, berjumlah RM106 juta pada Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad Datuk Ramlee Bakar berkata dengan pembayaran ketiga itu, dividen Felcra yang sudah dikeluarkan bagi 2013 berjumlah RM348 juta.

Pembayaran dividen 2013 kurang sedikit berbanding 2012 yang mencatatkan RM600 juta dan RM900 juta bagi 2011, melibatkan 74,000 peserta, katanya dalam sidang media, semalam.

"Kekurangan jumlah dividen itu berikutan harga komoditi yang menjunam. Kita harap tahun ini dan seterusnya harganya terus stabil untuk kita terus keluarkan dividen kepada peserta," katanya.

Mengulas isu lain, Ramlee berkata untuk tahun ini Felcra akan melaksanakan sembilan projek penyatuan dan pemulihan kawasan membabitkan keluasan 4,900 hektar di seluruh negara.

Empat projek itu akan dilaksana di Sarawak melibatkan kawasan seluas 3,000 hektar manakala baki di Semenanjung, katanya.

Beliau berkata untuk projek tanaman semula pula membabitkan tanaman getah dan kelapa sawit, Felcra menyasarkan kawasan seluas 50,000 hektar bagi tempoh dua tahun ini.

Katanya 25,000 hektar dilaksana tahun ini dengan 12,000 hektar sudah diluluskan bagi peringkat permulaan.

Lebih 500 Nelayan Dungun Terima Bantuan Sara Hidup

Sebanyak 579 orang nelayan di kawasan Parlimen Dungun Khamis menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 seorang daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengerusi Majlis Partanian Parlimen Dungun (MPPP) Datuk Din Adam berkata bantuan tersebut melibatkan peruntukan melebihi RM115,000.

"Kita harap bantuan ini akan digunakan nelayan terbabit untuk persiapan menghadapi bulan puasa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaan bantuan tersebut dan pelancaran Pasar Peladang Dungun.

Din yang juga anggota lembaga pengarah LKIM berkata bantuan tersebut menggambarkan kerajaan begitu prihatin terhadap nasib para nelayan.

TNB Peruntuk RM33.3 Juta Sedia Infrastruktur Bantu Terengganu Tarik Pelabur

Bagi membantu kerajaan Terengganu mempertingkat dan memperkukuhkan pelaburan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah RM33.3 juta tahun ini untuk menyediakan infrastruktur dan rangkaian kabel yang lengkap.

 Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd berkata, peruntukan itu juga melibatkan infrastruktur pada pencawang-pencawang TNB bagi memastikan bekalan elektrik di negeri ini sentiasa berada pada tahap daya harap yang tinggi.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk memperkukuhkan sistem bekalan elektrik di daerah Kuala Terengganu.

"TNB sentiasa mengambil kira rancangan pembangunan kerajaan dan akan terus meningkatkan prestasi bekalan elektrik agar berdaya saing untuk menarik pelabur-pelabur sama ada dalam atau luar negara ke Terengganu," katanya.

Airasia, Airasia X Akan Mulakan Operasi Di Klia2 Pada 9 Mei


Kumpulan AirAsia akan memindahkan semua operasinya ke lapangan terbang baharu klia2 pada Jumaat, 9 Mei.

Semua pelepasan yang dijadualkan dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah(LCCT) pada 8 Mei, akan beroperasi seperti biasa, kata AirAsia dalam satu kenyataan.

Penumpang dengan tempahan berlepas dari Kuala Lumpur pada hari berkenaan dinasihatkan untuk pergi ke LCCT untuk menaiki penerbangan mereka.

Semua penerbangan AirAsia X (D7) masih terus berlepas dari dan tiba di LCCT pada 8 Mei, termasuk penerbangan berlepas pada 9 Mei ke Perth, Osaka, Busan dan Jeddah masing-masing pada 12.05 tengah malam, 1.00 pagi, 1.15 pagi dan 2.35 pagi.

Rumah Kedai Terbakar, Dua Keluarga Nyaris Maut

Dua keluarga nyaris maut selepas rumah kedai empat pintu milik mereka di Jalan Nibong di sini hangus dalam kebakaran awal semalam.

Kejadian kira-kira pukul tiga pagi itu turut memusnahkan masing-masing dua pintu kedai menjual alat ganti kenderaan serta sebuah kedai makan.

Pemilik kedai makan, Raja Kamariah Wan Jusoh, 55, berkata, ketika kejadian dia bersama dua anaknya berusia 23 dan 26 tahun sedang tidur di dalam sebuah bilik berasingan yang terletak di bahagian belakang kedai makannya itu.

"Saya kemudiannya berlari keluar dan membuka pintu hadapan kedai untuk menyelamatkan barangan namun terkejut setelah melihat api sudah marak membakar dan merebak ke kedai bersebelahan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Thursday, April 24, 2014

Nawi - Tak Perlu Tukar MB Terengganu Yang Berwibawa

Mohd Johari (kanan)...Pemuda UMNO Negeri Terengganu ikrar sokong Ahmad Said.
Seorang anggota Exco Terengganu Nawi Mohamad tampil menangkis spekulasi bahawa Datuk Seri Ahmad Said akan digantikan dengan menteri besar baru.

Nawi...MB Berwibawa
Beliau yang menyokong kewibawaan Ahmad Said untuk terus mengetuai pentadbiran negeri tersebut berkata, pertukaran berkenaan tidak perlu dilakukan buat masa ini.

Nawi yang merupakan antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal pengganti Ahmad Said juga cuba menggambarkan bahawa suasana politik dalam Umno di negeri itu kini harmoni.

Beliau yang turut ditanya sekiranya isu pertukaran MB itu timbul disebabkan prestasi BN bawah pentadbiran Ahmad Said dalam pilihan raya umum lalu berkata, ia hanya satu isu yang sengaja ditimbulkan oleh parti lawan.

"Terengganu tidak perlu ada pertukaran MB... Berita hanya spekulasi politik pembangkang dan berita dari orang yang tidak suka dengan politik di Terengganu yang harmoni sekarang," katanya melalui pesanan SMS kepada Malaysiakini.
Ahmad Razif

Spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menggantikan dua menteri besar dari parti tersebut pada awalnya dibangkitkan dalam satu tulisan dalam lidah parti itu, hujung minggu lalu.

Spekulasi itu semakin berkembang dan perhatian kini tertumpu kepada Terengganu.

Seorang lagi anggota Exco Rozi Mamat semalam menafikan bahawa beliau disebut-sebut sebagai pengganti Ahmad.

Nama Nawi pula disebut dalam satu laporan akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily, yang turut membangkitkan dua lagi nama ADUN, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir) dan Datuk Mohd Jidin Shafee (Permaisuri).
Mohd Jidin

Akhbar harian itu, yang memetik sumber tidak dinamakan, mendakwa Ahmad Said tidak lagi menjadi pilihan untuk meneruskan khidmat sebagai MB selepas pilihan raya umum Mei 2013.

Namun, sumber tesebut juga bimbang sekiranya Ahmad Said akan menyokong parti pembangkang jika menteri besar tersebut disingkirkan dari jawatan tersebut, lapor Sin Chew.

Kebimbangan tersebut memandangkan BN Terengganu berjaya membentuk pentadbiran di negeri itu dengan hanya kelebihan dua kerusi, berbanding 15 kerusi PAS.

Dalam pilihan raya tersebut, prestasi Umno bawah pentadbiran Ahmad itu jauh merosot berbanding 24 kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya umum ke-12.

Sementara itu, sokongan ke atas pentadbiran Ahmad turut disuarakan Ketua Pemuda Umno negeri, Mohd Johari Abu Bakar yang berharap ia dapat membantu parti itu mengekalkan pengaruh dalam pilihan raya umum akan datang.

"Sekarang kami mahu bekerja keras dan mengikut apa saja yang diarahkan oleh ketua kami.

"Kami Pemuda Umno Terenganu berdiri teguh di belakang Datuk Seri walau apapun terjadi kerana kami ingin memastikan Umno/BN Terengganu cemerlang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Mohd Johari berkata pada PRU-14 nanti terdapat kira-kira lima juta pengundi baharu di seluruh negara yang akan keluar mengundi.

Malaysiakini

Spekulasi Pertukaran MB: Istana Jadi Kata Pemutus, mStar Sahkan Ada Perjanjian....


"Menerusi gentleman aggrement itu, beberapa orang MB telah diberi peluang untuk meneruskan tanggungjawab mereka seperti biasa selepas memenangi PRU lalu, dengan syarat mereka perlu berundur selepas tempoh tertentu dan inilah yang akan berlaku sekarang."


Keputusan pihak istana yang bakal menentukan sama ada akan berlaku pertukaran Menteri Besar (MB) di beberapa buah negeri menjadi kenyataan sebagaimana yang disebut-sebut sekarang.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhak membuat perubahan ke atas kerusi tersebut tetapi kata putus istana tetap memainkan peranan dan tidak dapat diketepikan begitu sahaja.

Beberapa sumber yang dihubungi mStar Online memaklumkan, suka atau tidak, kata putus istana dalam soal kerusi MB harus diterima sebagai salah satu pra-syarat pelantikan mana-mana MB yang baharu. "Lambat atau cepat proses pertukaran (MB) itu bergantung kepada kata putus pihak istana," katanya lagi.

Sumber mStar Online turut mendedahkan bahawa isu mengenai pertukaran MB di beberapa buah negeri ini timbul kerana wujudnya perjanjian bersama antara MB terbabit, Barisan Nasional (BN) dan istana negeri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 yang lalu.

"Menerusi gentleman aggrement itu, beberapa orang MB telah diberi peluang untuk meneruskan tanggungjawab mereka seperti biasa selepas memenangi PRU lalu, dengan syarat mereka perlu berundur selepas tempoh tertentu dan inilah yang akan berlaku sekarang," kata sumber berkenaan.

Bilakah perubahan ini akan berlaku hanya perdana menteri sahaja yang ada jawapannya.

Dua buah negeri yang disebut-sebut terikat dengan persefahaman ini ialah Terengganu dan Pahang.

Malah ada yang membuat spekulasi kononnya, Perak dan Kedah juga akan turut terlibat walaupun secara logiknya tidak ada sebab kedua-dua negeri ini memerlukan pertukaran pucuk pimpinan.

Namun di mana-mana sekarang, terutamanya di peringkat Umno Bahagian, ramai yang sedang memperkatakan tentang spekulasi pertukaran MB di negeri-negeri berkenaan.

Malah jika diimbau sejak selepas PRU lalu lagi, sudah timbul khabar angin bahawa Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Adnan Yaakob tidak akan lagi menduduki kerusi MB.

Bagaimanapun ia tidak berlaku dan kedua-duanya mengekalkan jawatan mereka.

Berdasarkan keputusan PRU tahun lalu, situasi di Terengganu agak kritikal kerana majoriti BN hanya berkelebihan dua kerusi sahaja berbanding Pakatan Rakyat (PR).

Bagi Pahang pula, Adnan sendiri pernah menyatakan hasrat untuk berundur dan enggan meneruskan khidmat sebagai MB selepas PRU lalu, bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan apabila tetap dilantik untuk menerajui pentadbiran negeri berkenaan.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee ketika diminta mengulas mengenai khabar angin itu berpendapat adalah menjadi hak perdana menteri untuk menukar kepemimpinan tertinggi negeri, jika ia bertujuan untuk melancarkan urus tadbir negeri, termasuk mengukuhkan kedudukan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Pemimpin silih berganti, ia bukan masalah, yang penting akan menjamin keberkesanan khidmat kita kepada rakyat untuk kelangsungan Umno dan BN," katanya lagi.

Felcra-Epic Jalin Kerjasama Jadikan Pelabuhan Kemaman Hab Baja Dan Produk Pertanian


Felcra Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (Epic) bagi menjalin kerjasama menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai hab utama baja dan produk agrikultur dari dalam dan luar negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, MoU itu memberikan satu nilai tambah baharu kepada pelabuhan Kemaman.

“Pelabuhan Kemaman berkemampuan menampung keperluan pelabur untuk membawa masuk kapal yang bersaiz besar dan mempunyai peralatan mencukupi bagi tujuan tersebut.

“Dengan adanya MoU ini, segala kemudahan yang terdapat di pelabuhan Kemaman dapat digunakan Felcra bagi membawa masuk barang berasaskan baja dan produk-produk untuk pertanian terutamanya dari negara luar terutama Rusia dan negara-negara lain,” ujarnya.

Terengganu Naikkan Biasiswa Pelajar Sekolah Menengah Agama Mulai Mei


Kerajaan Negeri Terengganu akan menaikkan kadar biasiswa pelajar sekolah menengah agama milik kerajaan negeri mulai Mei ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata menerusi keputusan yang dicapai dalam mesyuarat mingguan Exco hari ini, pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima akan menerima RM840 setahun manakala Tingkatan Enam Rendah dan Atas mendapat RM1,080 setahun.

"Kalau dulu kita membelanjakan lebih RM1 juta iaitu RM50 sebulan bagi setiap penerima (Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima) sekarang kita naikkan kepada RM70 (sebulan).

"Bagi kelas Enam Atas dan Enam Bawah, kita naikkan daripada RM70 kepada RM90," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara anak syarikat kerajaan negeri Eastern Pacific Industrial Corp (EPIC) Berhad dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) di Kuala Terengganu, semalam.

Yayasan Pembangunan Pondok Akan Wujudkan Profil Sekolah Pondok

Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) akan membuat kajian dan mewujudkan profil-profil sekolah pondok di negara ini secara digital bagi membantu usaha pembangunan institusi pondok.

Pengerusi Eksekutif YPPM Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata dengan adanya profil digital itu, ia akan membantu kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk mengenal pasti sekolah-sekolah pondok yang boleh dibantu dan diarusperdanakan.

Katanya terdapat hampir 100 sekolah pondok di negara ini dengan negeri paling banyak sekolah pondok ialah Kelantan, Kedah dan Terengganu, dan profil secara digital itu akan memudahkan akses untuk bantuan diberikan.

"Hala tuju dan cabaran sekolah pondok sekarang adalah bagaimana nak arus perdanakan sekolah pondok supaya bersama dengan suara tranformasi yang dilakukan kerajaan.

Pulau Bidong - Terengganu Tunggu Butiran Kementerian Pertanian

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan Terengganu menunggu cadangan kerajaan Pusat mengenai hasrat mewartakan Pulau Bidong sebagai pusat pembiakan terumbu karang secara komersial.

Katanya, kerajaan negeri sedang menunggu butiran terperinci daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung cadangan itu.

"Kementerian terbabit perlu kemukakan usul kepada kerajaan negeri dahulu kerana kita masih tidak jelas tentang manfaat yang bakal dinikmati nelayan menerusi pembiakan terumbu karang itu.

"Keputusan lanjut akan dibuat berasaskan laporan daripada Jabatan Perikanan dan sekiranya mereka kata boleh dilaksanakan barulah kita setuju kerana kerajaan negeri tidak mahu masalah lain timbul terutama isu pencemaran dan sebagainya," katanya.

Kompleks Usahawan Terengganu Bakal Dirasmikan 1 Jun Depan

Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) dekat Kubang Jela di Kuala Terengganu,  akan dirasmikan pada 1 Jun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri Terengganu, Roslee Daud.

Katanya, tarikh itu dipilih dengan andaian semua ruang niaga dan ruang pejabat di kompleks itu dapat dipenuhkan dalam tempoh dua bulan lagi.

"Perasmian itu juga serentak dengan pelancaran Karnival dan Ekspo Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mulai 29 Mei hingga 14 Jun depan.

"Karnival ini akan disertai usahawan IKS dari dalam dan luar Terengganu, agensi keusahawanan negeri dan pusat serta badan korporat dari seluruh negara," katanya semalam.

Wednesday, April 23, 2014

Penerbangan Terus Dijangka Tambah Pelancong Singapura Ke T'ganu - Mohd Jidin


Perkhidmatan penerbangan terus Singapura-Kuala Terengganu diyakini akan menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong asing ke negeri itu terutama warga Singapura sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata perkhidmatan tiga kali seminggu yang disediakan oleh syarikat tambang murah AirAsia itu mengambil masa kira-kira sejam, sekali gus berupaya menarik minat pelawat untuk ke bandar raya ini yang juga pintu masuk ke pulau-pulau peranginan seperti Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah.

"Untuk permulaan hari ini (semalam) , 60 peratus penumpang dari Singapura memenuhi tempat duduk dan dalam pertemuan saya dengan mereka rata-rata mengalu-alukan penerbangan terus ini," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu.

Beliau sebelum itu menyambut ketibaan penerbangan sulung Singapura-Kuala Terengganu AirAsia di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Selasa. Hadir sama Ketua Komersial AirAsia Berhad Spencer Lee.

Menurut Mohd Jidin, warga Singapura paling ramai mengunjungi Terengganu diikuti China dan Eropah.

Mereka lazimnya datang dengan pengangkutan darat atau penerbangan transit dari Kuala Lumpur terus ke pulau-pulau peranginan, katanya. Beliau juga berkata Terengganu masih berunding dengan syarikat penerbangan dari Indonesia dan China bagi menyediakan perkhidmatan serupa ke Terengganu.

"Malah kita dalam cadangan untuk meminta perkhidmatan AirAsia iaitu selain membuat satu transit ke sini (Kuala Terengganu) dan kemudiannya terus ke Pulau Redang," katanya.

Sementara itu, Lee berkata syarikat penerbangan tersebut komited bekerjasama dengan kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia terutama pada tahun ini yang juga Tahun Melawat Malaysia.

"Sasaran kita hanya untuk memenuhkan seberapa banyak kerusi dalam penerbangan tiga kali seminggu (Singapura-Kuala Terengganu) ini iaitu Selasa, Khamis dan Sabtu," katanya.

Tukar MB – Ahmad Said Tidak Mahu Komen

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak mahu ‘mengambil pusing’ dan melayani sebarang khabar angin serta dakwaan yang hangat diperkatakan mengenai peralihan kuasa pucuk pimpinan negeri Terengganu.

“Saya tidak mahu komen. Itu tulisan di blog. Macam-macam berlaku. Saya pun tidak tahu. Tiada komen. Itu sahaja yang boleh saya kata. Nak kata macam mana.

“Kita kan 17-15, kita kena tumpukan persiapan untuk pilihan raya akan datang dan bukan bercakap soal-soal itu,” katanya di sidang media sempena Majlis Ucaptama Halatuju dan Pelan Tindakan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu Tarik Pelaburan Asing RM16.3 Bilion Sejak 2007

Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Idris Jala menyempurnakan gimik pelancaran Majlis Ucaptama Negeri dan Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu berjaya menarik pelaburan asing berjumlah RM16.3 bilion sejak 2007 sehingga suku pertama tahun ini, ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Melalui pelaburan itu katanya, lebih 20,000 peluang kerja diwujudkan dalam pelbagai sektor termasuk perindustrian, pembuatan, pelancongan, minyak dan gas.

Beliau berkata, pelaburan itu termasuklah syarikat CJ dan Arkema yang bakal beroperasi di Taman Polimer Kertih pada pertengahan tahun ini dengan jumlah pelaburan RM2.24 billion sekali gus telah meletakkan Terengganu sebagai destinasi pelaburan menarik bagi industri bioteknologi.

Katanya, langkah itu mampu menyediakan pelbagai peluang komersial kepada syarikat-syarikat bioteknologi terutama penggiat bioteknologi global ke negeri ini dalam tempoh terdekat.

Tuesday, April 22, 2014

Penuntut IPTS Buang Bayi Dalam Mangkuk Tandas

Seorang penuntut sebuah pusat pengajian tinggi swasta di bandar raya Kuala Terengganu membuang bayi lelaki yang baru dilahirkannya dalam mangkuk tandas di rumah sewanya di Padang Hiliran di Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner K.Manoharan berkata kejadian itu disedari rakan serumah penuntut itu pada kira-kira pukul 2.30 pagi selepas melihat rakannya itu terbaring di depan pintu tandas dengan keadaan yang lemah.

"Terkejut melihat keadaan rakannya itu pelajar terbabit menghampiri tandas berkenaan sebelum melihat tompokan darah dan seorang bayi di dalam mangkuk tandas.

Pulau Bidong Akan Diwarta Pusat Pembiakan Terumbu Karang - Ismail Sabri

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Terengganu untuk mewartakan Pulau Bidong sebagai pusat pembiakan terumbu karang secara komersil.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini berikutan kajian dilakukan pelbagai pihak termasuk universiti mendapati Pulau Bidong sesuai dan antara lokasi terbaik untuk projek itu.

Projek Ladang Terumbu Karang Bidong itu kelak boleh menjana sumber pendapatan sampingan kepada nelayan dan golongan belia yang berminat untuk menceburi bidang itu, katanya.

"Projek ini hanya mengambil masa tiga bulan sahaja (sebelum mendapat hasil) dan modal yang digunakan juga agak kecil dan ia tidak memerlukan penjagaan yang khusus seperti projek ternakan lain.

Polis Mulakan Siasatan Insiden Pengurus JDT II Tumbuk Pengadil


Polis sudah mengambil keterangan On Jabbar, Pengurus Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) II berhubung insiden kekasaran terhadap pengadil selepas tamat perlawanan saingan Liga Perdana antara pasukan itu dan UiTM FC, Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata pihaknya memulakan siasatan menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan selepas menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu.

"Kita juga akan panggil beberapa saksi bagi membantu siasatan. Ada saksi dari negeri lain jadi kita akan bekerjasama dengan polis di Kedah dan Terengganu," katanya yang ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Usahawan PPK Disaran Buka Perniagaan Di Aceh

Usahawan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Terengganu disaran supaya melebarkan sayap perusahaan mereka ke luar negara seperti membuka rangkaian perniagaan di Aceh, Indonesia.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu Shamsuddin Mat Rani berkata banyak peluang perniagaan yang boleh diteroka oleh usahawan PPK di negara berkenaan yang mempunyai bilangan penduduk ramai.

"Kita syorkan usahawan PPK di negeri ini membuka kilang membuat keropok kerana harga ikan dan bahan mentah lain di sana agak murah.

Berhenti Dari Terus Menyebar Fitnah- Rozi Mamat

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Rozi Mamat menempelak pihak yang tidak bertanggung jawab menyebar fitnah berhubung dakwaan mengaitkan namanya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Sebaliknya, Adun Telemong itu tampil menafikan dakwaan yang hangat diperkatakan di laman sosial dan blog, kononnya beliau bakal menggantikan Datuk Seri Ahmad Said menerajui pucuk pimpinan pentadbiran negeri.

Beliau mengulas perkara itu menerusi akhbar Sinar Harian hari ini, dakwaan itu sebenarnya adalah spekulasi politik yang berlaku di Terengganu dan tidak pernah berhenti dari dulu hingga sekarang.

Monday, April 21, 2014

Terengganu Sedia RM13 Juta Subsidi Perumahan Di Kemasik


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menyediakan subsidi sebanyak RM13 juta untuk pembinaan 466 unit rumah kos rendah di Taman Gong Chengal, Kemasik.

Pengumuman dibuat dalam majlis penyerahan kunci kepada 45 pemilik rumah fasa pertama Jumaat. "Harga jualan sebelum ini ialah RM82,738.20 dan kerajaan negeri bersetuju memberi subsidi sebanyak RM29,738.20 untuk setiap unit rumah.

"Ini bermaksud pembeli hanya membayar RM53,000 untuk rumah ini dan berharap dapat meringankan beban kewangan dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah yang terlibat," katanya.

Helipad Akan Dibina Di Kawasan Pedalaman Kemaman - Shabery Cheek

Beberapa kawasan pendaratan helikopter (helipad) akan dibina di pedalaman Kemaman yang sering dilanda banjir bagi memudahkan penyaluran bantuan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata sejumlah peruntukan sudah diterima bagi tujuan itu.

Kita sudah melihat beberapa lokasi strategik untuk tujuan itu," katanya  selepas menyampaikan bantuan berbentuk televisyen, peti sejuk, dapur dan tilam serta bantal bernilai RM5,000 kepada 331 mangsa banjir Kampung Geliga Permai.

Menurut Ahmad Shabery antara kawasan yang dipertimbang untuk pembinaan helipad itu ialah Air Putih, Pasir Gajah dan Seberang Tayor yang teruk terjejas ketika bah awal Disember tahun lepas.

Terengganu Dijangka Raih Pendapatan Pelancongan RM2.5 Bilion

Terengganu dijangka meraih kira-kira RM2.5 bilion berdasarkan kedatangan lima juta pelancong yang diunjur melawat negeri ini hingga penghujung tahun ini.

Untuk mencapai sasaran itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan melabur kira-kira RM100 juta menganjurkan lebih banyak acara bertaraf antarabangsa sebagai tarikan kedatangan pelancong.

Katanya, acara berkenaan termasuk Festival Kenyir, Swimathon Antarabangsa dan Larian Jambatan Sultan Mahmud 2014.

Tahun lepas, kerajaan negeri menjana pendapatan RM2 bilion melalui sektor pelancongan hasil kemasukan 4.5 juta pelancong.

Rahmat Bagi Rahman Cari Penawar Pulih Semangat Pemain Terengganu

Tempoh rehat Liga Super selama dua minggu bagaikan rahmat bagi ketua jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim untuk mencari penawar sebelum saingan liga bersambung awal bulan depan.

Gusar dengan masalah kurang ketahanan mental anak buahnya, pengendali pasukan itu mahu menggunakan tempoh rehat tersebut untuk memperbaiki segala kelemahan bagi memulihkan semangat dan keyakinan pasukan untuk menang.

Selepas gagal memungut mata penuh dalam tiga perlawanan, beliau berkata 'penyakit lama' iaitu kehilangan daya saing dan prestasi tidak konsisten di peringkat tinggi mula kembali semula.