Thursday, November 26, 2009

Intel Malaysia Laksana Transformasi Di Bawah Pelan Hala Tuju Baharu 2010

Intel Malaysia menjangkakan perubahan menyeluruh syarikat dalam tempoh 12 bulan akan datang di bawah pelan hala tuju 2010 dengan instrumen dan keupayaan baharu.


"Kami membuat penyusunan semula bagi pertumbuhan dan anda akan menyaksikan bahawa kami benar-benar berubah," kata Pengurus Negaranya Ryaz Patel.

Patel berkata Intel dengan kerjasama bersama kerajaan negeri Terengganu dan IT Industries Sdn Bhd melancarkan projek buku elektronik yang menyediakan 25,000 komputer peribadi berkuasa Intel kepada murid darjah lima yang belajar di sekolah-sekolah di negeri itu.

Intel, katanya, ketika ini sedang berunding dengan kerajaan negeri lain berkenaan inisiatif yang sama.

Intel, kata Patel, telah menunjukkan bahawa ia komited dalam melaksanakan semua yang dirancang di bawah Pelan Hala Tuju 2009 meskipun kegawatan ekonomi global.

"Tahap pelaburan, perbelanjaan modal serta penyelidikan dan pembangunan telah dilakukan," katanya pada taklimat media di sini, pada Rabu.

Selain instrumen baharu, Pelan Hala Tuju 2010 juga akan memperlihatkan keupayaan baharu dan penyepaduan banyak teknologi, yang akan berasaskan kepada prestasi.

Antaranya ialah platform Pine Trail, yang merupakan versi seterusnya Atom line syarikat yang mengurangkan bilangan cip dalam set cip Atom daripada tiga kepada dua, kata Patel.

Beliau berkata Intel akan memulakan pengeluaran teknologi proses 32-nanometernya di bawah Pelan Hala Tuju 2010, dengan pemproses Westmere 32-nanometer yang direka untuk menyediakan prestasi kecekapan tenaga dan integrasi yang tinggi.

Mengenai tanggungjawab sosial korporatnya, Intel melepasi pencapaian melatih enam juta guru di seluruh dunia menerusi program Intel Teach, kata Patel.

Beliau berkata di Malaysia sahaja, program itu telah melatih hampir 60,000 guru sejak 2000.

Di Malaysia, Intel bekerjasama dengan Packet One Networks yang membawa kepada kejayaan pelancaran rangkaian 802.16e WiMAX pertama di seluruh negara, katanya.

Intel dan Packet One kini menyasarkan penembusan jalur lebar 50 peratus pada tahun depan, katanya.

Irfan Bakti Sasar Satu Piala Buat Terengganu

Jurulatih pasukan bolasepak Terengganu yang baru, Irfan Bakti Abu Samah meletakkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala buat pasukan itu dalam kempen saingan Liga Malaysia 2010.


Irfan Bakti yang pernah membimbing pasukan Negeri Sembilan dan Telekom Melaka berkata, beliau cukup gembira apabila ditawarkan untuk melatih pasukan Terengganu.

"Saya tidak akan sia-siakan amanah persatuan, tambahan pula sebahagian besar daripada pemain-pemain Terengganu saya kenal dan pernah saya bimbing, jadi, tidak ada masalah untuk saya membimbing pasukan ini," katanya.

Irfan Bakti yang sebelum ini membimbing pasukan Perlis, berkata kesediaannya melatih pasukan Terengganu musim depan kerana mendapati pasukan itu mempunyai potensi dan barisan pemain berkualiti.

"Jadi itu sasaran saya. Kalau tidak tercapai sasaran itu, bermakna saya gagal," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau menggantikan Ken Worden yang tidak disambung kontraknya oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) tahun depan.

Beliau juga yakin kedudukan kewangan yang PBSNT yang kukuh memudahkan laluan Terengganu untuk muncul sebagai salah sebuah pasukan terbaik tahun depan.

PBSNT menyediakan bajet sebanyak RM3 juta untuk menghadapi Liga Malaysia tahun depan, berbanding RM2 juta tahun ini.

Petronas Penapisan Menangi Trofi Rebutan

Denso Malaysia Sdn Bhd dikurniai anugerah tertinggi kerana prestasi alam sekitar luar biasa, dengan meraih Trofi Rebutan pada Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri 2008/2009.


Dua lagi pemenang Anugerah Pencapaian Luar Biasa ialah Petronas Penapisan (Terengganu) Sdn Bhd dan Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan anugerah itu pada satu upacara di Kuala Lumpur malam semalam. Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Denso adalah antara 31 syarikat dari sektor swasta yang menerima Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri, iaitu anugerah yang mengiktiraf pencapaian dan kepimpinan di bidang alam sekitar.

Sejumlah 28 daripada 31 syarikat menerima Anugerah Pencapaian Gemilang.

Anugerah dua tahunan itu dianjurkan bersama oleh organisasi sektor swasta tidak bermatlamatkan keuntungan yang prihatin terhadap isu-isu alam sekitar, iaitu Majlis Perniagaan bagi Pembangunan Mampan Malaysia, Persatuan Pengurusan dan Penyelidikan Malaysia, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia.

Wednesday, November 25, 2009

Terengganu cakna soal pendidikan

Kerajaan negeri sentiasa mengambil cakna soal pendidikan bagi memastikan mereka berjaya dan berkeinginan untuk terus maju dan pada masa sama ibu bapa perlu memberi lebih perhatian dan tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada guru.


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha`ari Idris, berkata ibu bapa perlu memainkan peranan bersungguh-sungguh untuk mendidik dan membina akhlak dan jati diri anak.

Katanya, cabaran global dan tahap pendidikan yang semakin meningkat kini, menuntut guru dan ibu bapa sama-sama berganding bahu memainkan peranan ke arah kejayaan dan kecemerlangan anak.
"Sebenarnya, pencapaian sesebuah sekolah bukan hanya diukur pada kemegahan dan keselesaan prasarana dan kecemerlangan akademik dan ko-kurikulumnya tetapi apa lebih penting kejayaan ibu bapa mendidik anak menjadi modal insan berwibawa dan berdaya saing," katanya berucap merasmikan Majlis Graduasi Murid Tahun Enam dan Anugerah Kualiti 2009 Sekolah Kebangsaan Kampung Rahmat (SKKR) kelmarin.

Hadir sama, Guru Besar SKKR, Ady Mat; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru-Guru (PIBG) Azmi Maarof dan Pengurus Felda Kampung Rahmat, Ab Hamid Harun.

Pada majlis itu, 77 murid Tahun Enam SKKR menerima skrol tamat persekolahan daripada Asha`ari, manakala tujuh murid menerima Anugerah Khas Guru Besar yang mana setiap murid mendapat wang tunai RM50 sumbangan Asha`ari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Langkap.
Pada ucapannya, Ady menjelaskan bahawa majlis bertujuan memberi penghargaan kepada murid yang akan meninggalkan sekolah dan meneruskan pengajian mereka ke sekolah menengah pada tahun depan.

Majlis itu juga bertujuan meraikan kejayaan murid cemerlang dalam pelajaran dan pada masa dengan adanya majlis graduasi itu akan memberi pengalaman baru kepada mereka untuk terus berjaya.

"Sejarah telah tercatat untuk sekolah ini kerana sejak dibuka pada awal tahun 1960an, inilah julung kali majlis seumpama ini diadakan dan kami warga pendidik bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak terutama ibu bapa yang terus memberi perhatian dan sokongan kepada anak mereka, " katanya.

Beliau berkata, majlis graduasi itu akan menjadi platform untuk murid membalas jasa guru dan pengorbanan ibu bapa dalam mendidik mereka dari Tahun Satu hingga Tahun 
Enam dan segala kenangan yang diperoleh di sekolah akan diingati dan hubungan rapat dengan guru terus kukuh walaupun mereka meninggalkan sekolah ini.

KDN cadang JPAM, Rela diberi peranan lebih penting

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan peranan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dikaji semula bagi menarik minat dan penglibatan lebih ramai golongan
muda.


Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peranan lebih penting dan spesifik perlu diberi kepada dua jabatan berkenaan yang dilihat berkebolehan dalam memikul tanggungjawab masing-masing, terutama dalam hal berkaitan bencana dan permasalahan sosial.

"Kita nak menyusun semula kedudukan pasukan itu selaras dengan keperluan dan tuntutan semasa,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Kampung Bukit Tadok di Hulu Terengganu semalam.

Hishammuddin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, berkata, anggota pasukan keselamatan akan ditambah mengikut keperluan bagi membantu mangsa banjir sekiranya keadaan banjir di negeri itu bertambah buruk. - Bernama

Pemimpin Umno Terengganu Semakin Erat

Kedudukan Umno dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu semakin baik sejak kebelakangan ini apabila beberapa wakil rakyat yang dulunya dilihat tidak 'sehaluan' di antara satu sama lain, hadir bersama pada program-program yang diadakan dari semasa ke semasa.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kehadiran mereka untuk berkhidmat kepada rakyat melebihi kepentingan peribadi.

"Kita dapat lihat sendiri semasa membuat tinjauan keadaan banjir di Hulu Terengganu hari ini, mereka hadir bersama-sama membantu rakyat.

"Dalam keadaan banjir begini, pemimpin turut bersama masyarakat membantu mangsa banjir.
Apa guna kita bertelagah sesama sendiri, sedangkan rakyat memerlukan pertolongan dan khidmat daripada kita (pemimpin)," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Terengganu SAC 1 Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, polis Terengganu akan dibekalkan dengan kenderaan pacuan empat roda bagi melicinkan tugas mereka mulai awal tahun depan.

Bagaimanapun katanya beliau tidak dapat memberi jumlah kenderaan dan peruntukan yang diperlukan itu kerana ia bergantung kepada maklumat yang akan diperolehi daripada polis Terengganu terlebih dahulu.

Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora Kategori Kedua

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur), Condore dan Bunguran.


Jabatan itu dalam kenyataannya berkata angin kencang dengan kelajuan sehingga 60 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berterusan sehingga 28 November ini.

Selain itu, kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia (Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur) terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan keadaan itu dijangka berterusan hingga hari kedua sambutan hari raya Aidil Adha.

Keadaan ini adalah berbahaya kepada kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri, kata kenyataan itu.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di perairan Sarawak, Reef North, Layang-Layang, Palawan, Labuan dan Sabah (Pantai Barat dan Kudat) juga dijangka berterusan sehingga tarikh yang sama.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sementara itu, kejadian ribut petir dijangka berterusan hingga tarikh yang sama di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak Barat, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-layang.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 40 kmsj dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian 2.5 meter, sekaligus berbahaya kepada bot-bot kecil.

Banjir Tidak Halang Kastam Lancar Operasi

Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu tidak menjadikan banjir yang melanda negeri itu sebagai halangan untuk membanteras kegiatan penyeludupan, malah meningkatkan usaha menanganinya menerusi operasi di lautan dan juga di darat.


Pengarah Kastam Negeri Datuk Azis Yacub berkata kegiatan penyeludupan barang-barang yang belum diluluskan jabatan itu, sama ada melalui laut atau darat sangat serius di Terengganu.

"Ini terbukti menerusi operasi 'Ops Lada' yang kita jalankan selama 10 hari bermula 14 Nov lalu, seramai 28 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan, telah ditahan," katanya semalam.
Menurut beliau, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya telah merampas barangan seludup seperti rokok dan beras bernilai RM9,573, manakala anggaran cukainya sebanyak RM38,209.

Beliau berkata sepanjang Op Lada dijalankan, sebanyak 39 kapal dan bot, 13 kenderaan dan 130 premis di negeri itu telah diperiksa.

Beliau berkata 28 kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam iaitu kesalahan memiliki barang belum lulus Kastam, dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda lima kali ganda dari harga barang.

Operasi itu melibatkan 40 anggota Kastam dari negeri Perak, Pulau Pinang, Johor dan Terengganu, katanya.

Azis berkata sasaran operasi ialah bot-bot dan kenderaan penyeludup, tempat pendaratan barang seludup dan tempat menyimpan atau menjual barang seludup.

9,000 nelayan diminta patuhi arahan

Kira-kira 9, 000 nelayan di negeri ini diminta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sebelum keluar menangkap ikan ke laut bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini terutama pada musim tengkujuh ketika ini.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Jelani Hashim berkata, arahan itu perlu dipatuhi setiap masa bagi memastikan keselamatan serta peralatan tangkapan ikan lebih terjamin.

Beliau berkata, ini kerana, buat masa ini, keadaan cuaca tidak mengizinkan selain ombak besar yang dikhuatiri mengancam keselamatan golongan nelayan.

Menurutnya, golongan nelayan perlu mematuhi arahan tersebut sehingga keadaan cuaca kembali pulih seperti sedia kala yang membolehkan mereka melakukan pelbagai aktiviti tangkapan ikan di laut seperti biasa.
Jelani seterusnya menasihati golongan itu supaya memastikan cuaca dalam keadaan baik terlebih dahulu sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan.

''Biasanya musim tengkujuh yang melanda di Pantai Timur berlaku dalam masa dua atau tiga bulan dan dalam tempoh itu, biasanya keadaan cuaca tidak menentu dan berbahaya.

''Jadi, saya minta para nelayan agar sentiasa berhati-hati terutama semasa mereka keluar ke laut agar bot mereka tidak tersangkut di muara yang mengakibatkan mereka mengalami kerugian," katanya di Kuala Terengganu.

Jelani berkata, sejak awal tahun ini sehingga Oktober lalu, pihaknya mengeluarkan bantuan bencana alam seperti kerosakan bot dan perkakas tangkapan ikan berjumlah RM182,600 kepada 56 orang nelayan di seluruh negeri ini.

Daripada jumlah itu, katanya, ia melibatkan dua orang nelayan di Besut membabitkan bantuan RM3,500 diikuti 20 nelayan di Setiu (RM80,000), 15 nelayan Kuala Terengganu Utara (RM47,800), enam nelayan di Marang (RM5,700) dan lima orang di Dungun (RM11,000).

Turut mendapat manfaat daripada bantuan bencana alam itu ialah seorang nelayan di Paka (RM2,000) serta tujuh nelayan di Kemaman dengan jumlah bantuan RM32,500.

Tuesday, November 24, 2009

Empangan Padu antara Transformasi Ketara Sektor Pertanian

Sektor pertanian memerlukan satu transformasi ketara berikutan keupayaan sektor itu menjana ekonomi negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan yakin sektor itu berupaya dimantapkan dan diperkukuhkan untuk memainkan peranan lebih besar dalam menjana ekonomi negara, seterusnya memainkan peranan sebagai paksi ketiga pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan sedar akan kepentingan sektor pertanian, kerajaan melalui Bajet 2010 telah memperuntukan sejumlah RM6 bilion untuk digunakan bagi memajukan sektor tersebut.

Katanya antara lain peruntukan itu akan digunakan untuk menaik taraf dan membaik pulih sistem pengairan dan saliran di dalam dan luar jelapang yang bakal dinikmati lebih 180,000 petani dengan peruntukan sebanyak RM137 juta dan untuk melaksanakan projek Empangan Paya Pedu di Terengganu untuk Skim Pengairan Besut yang memberi kemudahan kepada ramai pesawah dengan peruntukan sebanyak RM70 juta.

"Sektor pertanian merupakan antara sektor yang menjadi sumber penting pendapatan rakyat luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu satu transformasi ketara perlu dilaksanakan dan tranformasi itu perlu bermula dari peringkat tanaman sehingga ke pemasaran hasil pertanian.

"Dengan sokongan peladang, penternak dan nelayan serta komitmen kerajaan yang ada sekarang, tidak mustahil transformasi sektor pertanian ini boleh dilaksanakan dengan jayanya," katanya dalam ucapannya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-36 Persatuan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di sini, Isnin malam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Najib berkata beliau yakin tranformasi itu boleh dilaksanakan dengan adanya Dasar Agro Makanan Baru yang digubal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang bertujuan memajukan lagi sektor agro makanan supaya boleh mencapai Imbangan Dagangan Makanan yang positif menjelang 2020.

Selain itu, Najib berkata bajet yang dibentangkan baru-baru ini juga turut memberi perhatian terhadap keluh kesah dan rintihan golongan seperti petani nelayan dengan persetujuan kerajaan untuk menubuhkan Skim Persaraan 1Malaysia.

"Skim ini akan diurus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di mana mereka yang layak boleh mencarum secara sukarela mengikut kemampuan dan bagi setiap RM100 caruman, kerajaan akan memberi sumbangan lima peratus tertakluk kepada jumlah RM60 setahun.

"Ini bermakna sekiranya seorang petani berumur 35 tahun membuat caruman sebanyak RM100 sebulan selama 20 tahun, petani berkenaan akan mempunyai simpanan terkumpul sebanyak RM40,000 pada umur 55 tahun," katanya.

Najib berkata selain berusaha membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan peladang, penternak dan nelayan, kerajaan juga prihatin terhadap kesukaran rakyat terutamanya kos sara hidup yang kian meningkat.

Justeru itu, komited untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar pada tahun 2010, kerajaan, kata Najib, akan menyediakan peluang latihan kemahiran dan program penjanaan pendapatan bagi menangani kemiskinan tegar.

Katanya langkah utama ke arah matlamat itu ialah mengagihkan bantuan kebajikan Persekutuan pada hari pertama setiap bulan serta meneruskan Skim Program Lonjakan Mega yang dijangka dapat mengeluarkan 5,600 keluarga daripada kemiskinan tegar.

Najib berkata kerajaan juga akan mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini kepada 2.8 peratus pada tahun 2010 berbanding 3.6 peratus tahun lepas.

"Bagi mengurangkan kadar kemiskinan ini, kerajaan akan menyediakan latihan kemahiran dan kemudahan makro kredit supaya golongan ini dapat menjana pendapatan yang berterusan untuk lebih berdikari," katanya.

Banjir - Keadaan di Terengganu semakin reda

Keadaan banjir di Terengganu semakin reda apabila mangsa banjir menurun kepada 6,899 orang berbanding

7,739 petang semalam.

Bagaimanapun, jika sebelum ini Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Setiu dilanda banjir sejak Isnin lepas, banjir kini turut melanda daerah Kuala Terengganu.

Seramai 496 penduduk dari beberapa kampung dan taman perumahan di Kuala Terengganu iaitu Kampung Pusu Tiga, taman perumahan Seri Embun, Taman Darul Iman, Kampung Banggol Peradong, Kampung Temiang dan Kampung Titian Baru terpaksa dipindahkan sejak 3 petang semalam berikutan hujan lebat sekali-sekala.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata sehingga pagi ini, sebanyak enam pusat pemindahan dibuka di daerah Kuala Terengganu dengan 92 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong, Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (301), Sekolah Kebangsaan Tok Jiring (50), Sekolah Kebangsaan Atas Tol (30) dan Sekolah Kebagsaan Banggol Peradong (23).

Mangsa banjir di Setiu ialah seramai 91 orang, Kemaman (1,060), Dungun (3,099), Besut (318), Marang (1,529) dan Hulu Terengganu (494).

Sementara itu, kira-kira 1,000 nelayan di beberapa kampung di daerah Setiu tidak dapat turun ke laut menangkap ikan kerana ombak besar serta angin kencang di perairan Laut China Selatan sejak seminggu lalu.
Nelayan terbabit adalah dari Kampung Fikri, Saujana, Gong Batu, Mangkok, Rhu Sepuluh, Penarik, Telaga Papan dan Merang.

Kebanyakan mereka bimbang keadaan cuaca yang tidak menentu boleh menjejaskan keselamatan mereka semasa berada di laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Setiu, Baharudin Ibrahim berkata, berikutan keadaan cuaca berkenaan, pihaknya meminta para nelayan di kawasan itu supaya tidak turun menangkap ikan walaupun pendapatan mereka terjejas.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang keselamatan nyawa dan bot nelayan perlu diutamakan.
''Keadaan cuaca sekarang amat membimbangkan dengan angin kencang serta ombak besar. Dalam keadaan ini nelayan tidak perlu memikirkan tentang pekerjaan mereka di laut.

''Sebaliknya mereka boleh melakukan pelbagai kerja lain seperti menjahit pukat dan membaiki bot masing-masing," katanya di sini semalam.

Jabatan Meteorologi semalam melaporkan kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir di Pantai Timur akibat hujan peringkat merah menyebabkan ombak sehingga 2.5 meter tinggi.

Baharudin berkata, jika keadaan cuaca mengizinkan tidak lama lagi, pihaknya tetap menasihatkan nelayan supaya berhati-hati semasa turun ke laut terutama ketika bot nelayan keluar dan masuk di muara Sungai Setiu.
Ini kerana katanya, keadaan muara yang menjadi laluan utama bot-bot nelayan di kawasan itu kini semakin cetek dan boleh menjejaskan keselamatan mereka.

''Awal tahun ini empat buah bot nelayan di sini mengalami kerosakan serta kerugian akibat dipukul ombak besar selepas terkandas di muara itu," katanya.

Harung banjir usung jenazah


Penduduk kampung terpaksa mengusung jenazah bekas Ketua Cawangan Umno Santong, Paka, Dungun, Allahyarham Nasir Idris, 66, mengharungi banjir sejauh 500 meter untuk ke tanah perkuburan berikutan banjir yang semakin buruk. Allahyarham Nasir yang meninggal dunia jam 4 petang kelmarin akibat sakit buah pinggang sejak lima tahun lalu dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Santong, Paka, Dungun, semalam. Foto Berita Harian

Empat Dari Lima Nelayan Dijangka Pulang Minggu Ini

Empat daripada lima nelayan Terengganu yang ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 12 Nov lepas, dijangka akan dibebaskan dan dapat pulang tidak lama lagi bagi menyambut hari raya Aidiladha bersama keluarga pada Jumaat ini.

Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri yang berkunjung ke Pontianak, Indonesia bersama beberapa orang anggota Pergerakan Puteri Umno berkata, kelima-lima nelayan berkenaan berada di dalam keadaan selamat di Pusat Tahanan Laut, Pontianak.

"Berdasarkan perbincangan antara pihak keselamatan Indonesia dan juga Konsul Malaysia di sana, kita yakin mereka dapat balik ke Terengganu dalam minggu ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Keempat-empat nelayan berkenaan ialah awak-awak Musa Mohamad, 33; Akhmadi Daud, 28; Mohd Ariff Rosli, 20; dan Ahmad Faizul Sulung, 23 tahun.

Mohd Nasir berkata, beliau difahamkan daripada perbincangan kedua-dua pihak, nelayan berkenaan telah tersilap memasuki kawasan Perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) yang dijaga Indonesia.

Beliau bersama Pergerakan Puteri Umno Kuala Nerus telah pergi ke Pontianak empat hari lalu bagi meninjau dan mengetahui keadaan sebenar lima nelayan dari Seberang Takir itu.

"Saya difahamkan (seorang lagi nelayan) Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, yang juga tekong bagi bot nelayan terbabit perlu menjalani proses undang-undang terlebih dahulu sebelum dibebaskan.

"Saya berharap keluarga beliau tidak terlalu bimbang kerana kecederaan yang dialami akibat terkena tembakan di lengan sebelah kirinya sudah beransur pulih," katanya.

Lima nelayan itu ditahan pihak berkuasa Indonesia ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan berhampiran pelantar Minyak Berlumut, kira-kira 150 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Monday, November 23, 2009

KEADAAN BANJIR SEMAKIN BURUK

Keadaan banjir di pantai timur terutamanya di Kelantan dan Terengganu semakin buruk apabila semakin ramai mangsa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sejak awal pagi ini berbanding semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Oparasi Banjir (PKOB) Negeri di Kota Darulnaim berkata, sehingga pukul 6 pagi tadi, seramai 3,019 orang dipindahkan di seluruh negeri berbanding 2,327 orang malam tadi.
Seramai 1,488 adalah dari jajahan Pasir Mas, Kuala Krai (812), Tanah Merah (401), Jeli (247), Pasir Puteh (36) dan Machang (35), katanya hari ini.

Jurucakap PKOB berkata, mangsa perlu dipindahkan kerana keadaan air di kebanyakan tempat menyukat banjir di negeri ini semakin meningkat dan berada di atas paras bahaya menyebabkan air melimpahi tebing.
Sehingga 9 pagi ini, paras air di Tangga meningkat kepada 26.91 meter iaitu 1.91 meter di atas paras bahaya (25 meter).

Lebih 1,000 orang di Terengganu dipindahkan ke pusat pemindahan. Mangsa banjir meningkat kepada 5,641 berbanding 4,627 orang petang tadi, kata Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu malam semalam.

Sehingga kini paras air di beberapa sungai utama di Terengganu juga masih berada pada paras bahaya.

Jumlah mangsa yang paling ramai dipindahkan ialah di Hulu Terengganu melibatkan 1,413 orang, Kemaman (1,329), Setiu (1,059), Besut (1,008), Dungun (555) dan 277 lagi dari Marang.

Sebanyak 106 pusat pemindahan dibuka setakat ini iaitu 26 di Hulu Terengganu, Besut (24), Setiu (20), Kemaman (18), Dungun (11)dan Marang (tujuh)

Jalan persekutuan yang dinaiki air dan ditutup kepada semua kenderan ialah Jalan Sungai Tong ke Kuala Berang, manakala jalan pantai Kuala Terengganu ke Kota Baharu turut ditutup kepada kenderaan ringan.

Jalan yang paling banyak ditutup ialah di Hulu Terengganu (10), Marang (tujuh), Setiu (enam), Dungun (dua) dan Besut (tiga).

Hujan lebat yang berterusan sejak Rabu lepas turut menyebabkan tebing runtuh di Jalan Jerangau ke Jabor iaitu di Bukit Diman, Ajil menyebabkan sebelah jalan berkenaan ditutup.

Paras air Sungai Besut di Kampung La meningkat kepada 20.72 meter, Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (9.28 meter), Sungai Nerus di Kampung Langkap (22.26 meter) dan bacaan sungai itu di Kampung Bukit (17.25 meter).

Di Sungai Berang, paras air di Pengkalan Ajal merekodkan bacaan 17.14 meter bahaya 16 meter), Sungai Kemaman di Jambatan Jerangau 12.71 meter (bahaya 12.5 meter) dan Sungai Marang di Pengkalan Berangan 14.16 meter (bahaya 13.7 meter).



Juara keseluruhan Karnival Sukan Sekolah Sukan Negeri Kali Ke 4, Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas, di Universiti Kebangsaan malaysia, Bangi, semalam. – Gambar Utusan Malaysia

PENDUDUK DUYONG KELUAR BERAMAI-RAMAI PASTIKAN KEMENANGAN PASUKAN TEMPATAN

Penduduk Pulau Duyong yang gemar bersantai kini menemui sesuatu untuk dinikmati - kejohanan kapal layar dikenali sebagai Malaysian Match Racing Championship (MMRC) yang bermula esok.


Mereka akan keluar beramai-ramai untuk memberi sokongan padu kepada pasukan tempatan yang pertama, Duyong Heritage Sailing Team (DHST).

Diketuai oleh skipper Mohd Rais Hashim and anggota pasukannya terdiri daripada Mohd Azhar (bowman), Saiful Bahari (trimmer), Amran Abdul Rahman (grinder) dan Mohd Noor Abdullah (mainsail), pasukan itu amat menyedari hakikat bahawa mereka perlu bekerja lebih keras daripada yang lain memandangkan mereka masih kurang pengalaman atau tajaan besar dari segi dana.

"Kerana itu kami perlu menunjukkan persembahan hebat dan barangkali mendapatkan kemenangan sebagai membalas budi penaja kami yang memberikan sumbangan," kata Mohd Rais dalam satu kenyataan pada hari Ahad.

Pertama kali menyertai kejohanan ini, DHST terpaksa bergantung pada tajaan untuk sekali sebanyak RM3,000 dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri, serta bantuan kewangan daripada pihak lain seperti Pusat Pembangunan bagi kawasan Dewan Negeri Bukit Tunggal dan beberapa individu.

"Tajaan ini banyak membantu kami oleh kerana ia menolong menampung kos latihan harian kami seperti membayar sewa bot RM200 sehari untuk latihan dua jam," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pasukan itu cukup bersemangat dan kerana itu yakin dapat mengejutkan 13 pasukan lain untuk merebut penyertaan secara 'wild card' di kejohanan Monsoon Cup iaitu peringkat akhir World Match Racing Tour.

"Kami akan lakukan dengan terbaik. Mungkin kami kurang pengalaman tetapi pengetahuan kami tentang sirkit ini mengimbangi hal itu," kata beliau.

Pada April, DHST muncul johan semasa pertandingan di Terengganu Closed Match Racing Championship.

MMRC diperkenalkan sebagai kejohanan kelayakan bagi Monsoon Cup demi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai perlumbaan kapal layar di peringkat tertinggi.

Satu lagi kejohanan kelayakan ialah Asian Match Racing Challenge (AMRC).

Kejohanan Monsoon Cup akan berlangsung dari 1 hingga 6 Dis di venue yang sama.

Kursus berkonsepkan ‘Satu Terengganu’ perlu disertai semua

Kerajaan Negeri diharap dapat mengambil langkah proaktif memperluaskan penyertaan dalam Kursus Kecemerlangan Keterampilan dan Kewujudan Diri dalam Pengurusan Pentadbiran kepada rakyat negeri ini

termasuk pekerja di sektor swasta dan tidak lagi terhad kepada kakitangan kerajaan kumpulan C sahaja seperti sebelum ini.

Pengarah Urusan Naw K Adis Heritage, Wan Ahmad Ismail berkata, kursus berkenaan yang dianjurkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan dikendalikan pihaknya perlu diperluaskan kepada semua dalam usaha memupuk rasa cinta rakyat terhadap kepimpinan negeri.

“Kursus ini perlu diperluaskan seiring dengan usaha kita memperkenalkan konsep ‘Satu Terengganu’ dalam modul kursus ini yang mana konsep ini baru diperkenalkan bermula tahun ini.

“Konsep ‘Satu Terengganu’ membawa maksud satu kerajaan, satu pentadbiran, satu kepimpinan, pelanggan didahulukan dan perkhidmatan diutamakan,” katanya.

Menurutnya, usaha memperluaskan kursus berkenaan bakal memberi manfaat kepada semua pihak dan tidak terhad kepada kakitangan kerajaan kumpulan C sahaja.

“Agensi swasta juga perlu menyertai kursus ini yang mampu memberi input yang baik kepada mereka dan kepimpinan negeri,” katanya.

Produk keropok masih selamat dimakan

Semua produk keropok termasuk keropok lekor yang dipasarkan di negeri ini masih selamat untuk dimakan, namun pengguna perlu memastikan ia dimasak sepe-nuhnya terlebih dahulu dan dimakan semasa masih panas.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Nordiyanah Hassan berkata, pengguna tidak digalakkan memakan keropok yang sudah sejuk walaupun telah digoreng atau direbus di kedai sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan penyakit taun.

“Keropok lekor dan keropok keping di negeri ini masih selamat untuk dimakan, tetapi bagi keropok lekor yang dibeli bungkus, sebaik-nya apabila pulang ke rumah, ia hendaklah dimasak semula dan dimakan semasa ia masih panas.

“Ini sebab kita bimbang semasa proses pembungkusan ia juga terdedah dengan pencemaran terutama jangkitan kuman yang menyebabkan taun,” katanya di Kuala Terengganu.
Kata Dr Nordiyanah, pihaknya juga tidak menge-luarkan sebarang arahan melarang atau menarik balik bahan makanan kegemaran ramai itu yang telah diedarkan di pasar kerana ia bukan tidak boleh dimakan, cuma perlu dimasak semula de-ngan sempurna.

Beliau diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak untuk makan keropok terutamanya keropok lekor setelah produk itu dikenal pasti sebagai salah satu punca penularan wabak taun di negeri ini sekarang.

Persatuan Pengguna Terengganu juga dilaporkan menyarankan orang ramai tidak membeli keropok lekor atau keropok berasaskan ikan buat sementara waktu bagi mengelak jangkitan taun.