Saturday, June 25, 2011

Video Seks - Pakar Amerika Syarikat 99.9 Peratus Yakini Anwar Pelakonnya

Sebahagian daripada kira-kira 200 orang ramai yang hadir memberikan sokongan kepada Trio Datuk T yang menghadapi tuduhan menyiarkan video lucah membabitkan seorang pemimpin pembangkang kepada umum, di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Lelaki dalam video seks adalah “99.99 peratus” Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa peguam yang mewakili bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata, pakar video Amerika yang dirujuk polis Malaysia, telah membandingkan imej lelaki dalam video itu dengan sekeping gambar Anwar dan mengesahkan yang kedua-dua adalah seiras.

“Ini bererti A and B adalah orang yang serupa,” katanya kepada wartawan ketika mahkamah berehat.

Menurutnya, mengikut laporan 4 Jun profesor Hany Farid and Lorenzo Torresani dari Dartmouth College di Hanover, New Hampshire, Amerika Syarikat, terdapat keirasan 99.99 peratus lelaki dalam klip video itu, dengan bagi foto Anwar berdasarkan analisis pengenalpastian wajah.

Shafie menunjukkan salinan laporan tersebut kepada wartawan tetapi enggan membenarkan salinan dokumen itu dibuat.

Walaupun Shafie mendakwa pakar-pakar tersebut melaporkan bahawa mereka 99 peratus pasti, tetapi Malaysiakini tidak nampak maklumat tersebut pada dokumen berkenaan.

Dalam fakta kes yang dibaca di mahkamah, mahkamah juga mendengar bahawa pakar tersebut mengesahkan bahawa video itu tulen tanpa pengubahsuaian dan ianya dirakamkan dengan perakam DVR milik ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah (gambar atas paling kanan).

Eskay adalah antara Datuk T - tiga individu di sebalik tayangan video seks lelaki mirip ketua pembangkang kepada wartawan tiga bulan lalu - yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Dua lagi ialah bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Eskay dan Shuib dituduh mengikut Seksyen 292(a) Kanun Kesiksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang berbunyi:

“Bahawa kamu dengan niat bersama, tayang tempat terbuka video lucah, hubungan seks seorang lelaki dan perempuan antara 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari pada 21 Mac lalu.”

Sementara itu, tuduhan ke atas Rahim pula berbunyi: “Bahawa kamu telah bersuhabat dengan Eskay dan Shuib untuk menayangkan secara terbuka hubung seks seorang lelaki dan perempuan, kamu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292(a), dan Seksyen 109 Kanun Kesiksaan.”

Ketika-tiga mereka didakwa elakukan kesalahan itu di bilik Seri Makmur Hotel Carcosa Seri Negara di Kuala Lumpur antara 10 pagi dan 12 tengah hari pada 21 Mac lepas.

Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah. Eskay didenda RM3,000 atas kesalahan itu, Shuib RM1,500 dan Rahim sebanyak RM1,000 - menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,500.

Dalam fakta kes itu lagi, pakar berkenaan mendapati, rakaman berkenaan berasal daripada satu alat perakam video yang dirampas daripada Shazryl Eskay.

Pakar berkenaan seterusnya menjalankan analisis pengenalpastian wajah terhadap pelaku seks lelaki berkenaan dan hasilnya didapati menyerupai Anwar.

Anwar juga didapati hadir di sebuah pangsapuri di Ampang, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi rakaman video seks tersebut.

Polis telah mendapati kehadiran Anwar bersama salah seorang tertuduh -- Datuk Shazryl Eskay Abdullah - di apartmen berkenaan pada 21 Februari lalu.

Perkara itu adalah berdasarkan rakaman litar tertutup yang diperolehi polis di apartmen berkenaan.

Berikut adalah fakta kes pendakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur:

1. Dato' Shazryl Eskay bin Abdullah,
2. Tan Sri A Rahim Tamby Chik
3. Dato' Shuaib Lazim.


Fakta kes:

1. Pada akhir bulan Februari 2011, Dato' Shazryl Eskay bin Abdullah (selepas dirujuk sebagai “Dato' Eskay”) telah pergi berjumpa dengan Dato' Shuaib bin Lazim (selepas ini dirujuk sebagai “Dato' Shuaib”) di Taman Sri Ukay, Ampang, Selangor berkenaan satu peranti storan media USB (pendrive) yang mengandungi rakaman hubungan seks di antara seorang lelaki yang dipercayai Dato' Seri Anwar bin Ibrahim (selepas ini dirujuk sebagai “Dato' Seri Anwar”) dengan seorang perempuan warganegara China.

2. Dato' Shazryl dan Dato' Shuaib telah berbincang sesama sendiri dan telah bersetuju untuk berjumpa dengan Tan Sri A Rahim bin Tamby Chik (selepas ini dirujuk sebagai “Tan Sri A Rahim”) berkenaan kandungan peranti tersebut memandangkan ianya sensitif dan melibatkan kepentingan negara.


3. Dato' Shazryl dan Dato' Shuaib telah berjumpa dengan Tan Sri A Rahim di Wisma UOA, Jalan Pinang, Kuala Lumpur berkenaan kandungan peranti tersebut. Setelah berbincang, mereka bertiga membuat keputusan untuk menayangkan rakaman video yang terkandung dalam peranti tersebut dan memutuskan untuk memanggil wartawan bagi menyaksikan rakaman video tersebut.

4. Dalam perbincangan tersebut, Tan Sri A Rahim mencadangkan tayangan rakaman video berkenaan dibuat di Hotel Carcosa Seri Negara dan menjemput beberapa wartawan untuk menyaksikannya. Perkara ini dipersetujui oleh Dato' Shazryl dan Dato' Shuaib.


5. Pada 19 Mac 20011, Tan Sri A Rahim telah menghubungi seorang bernama Haji Kamarulail bin Sulaiman dan meminta beliau menempah sebuah bilik di Hotel Carcosa Seri Negara.

6. Pada 20 Mac 2011, Haji Kamarulail telah pergi ke Hotel Carcosa Seri Negara di Jalan Mahameru, Kuala Lumpur dan telah menempah bilik Seri Makmur di atas nama Tan Sri A Rahim bermula daripada hari tersebut sehingga 21 Mac 2011 (Isnin).


7. Pada 20 Mac 2011, Dato' Shazryl telah meminta ketua wartawan The Star, Sirajinisa bt Habibu Mohd untuk menyebarkan kepada wartawan media supaya hadir di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac 2011 mengenai satu cerita yang besar demi kepentingan negara.

8. Sirajinisa telah menyebarkan jemputan ini kepada beberapa wartawan dan wartawan-wartawan tersebut pula turut membuat sebaran yang sama pada wartawan-wartawan lain.

9. Pada 21 Mac 2011, ramai penyunting akhbar dan wartawan telah tiba di Hotel Carcosa Seri Negara seawal jam 9.00 pagi. Dato' Shazryl telah meminta Dato' Shuaib supaya menapis wartawan-wartawan yang hadir sebelum dibenarkan masuk Bilik Seri Makmur, Hotel Carcosa Seri Negara bagi menyaksikan tayangan video tersebut.

10. Pada jam 10.00 pagi, penayangan rakaman video yang mengandungi adegan aksi lucah ini kemundiannya dilakukan oleh Dato' Shazryl menggunakan sebuah LCD CPU jenama Lenovo kepunyaan Dato' Shazryl. Semasa tayangan rakaman video dijalankan, Dato' Shazryl juga telah memberi penerangan mengenai rakaman video tersebut. Dato' Shazryl juga telah menerangkan bahawa gambar beliau turut terakam sebelum rakaman hubungan seks di antara seorang lelaki yang dipercayai Dato' Seri Anwar bin Ibrahim dengan seorang perempuan warganegara China. Dato' Shuaib juga hadir pada sepanjang masa penayangan di bilik Seri Makmur Hotel Carcosa Seri Negara. Penayangan video tersebut dilakukan secara berulang dan pada setiap tayangan hanya beberapa orang wartawan sahaja yang dibenarkan untuk menontonnya.

11. Tayangan ini mengambil masa di antara 20 hingga 25 minit. Secara keseluruhannya, seramai 13 wartawan telah menyaksikan tayangan rakaman video tersebut dan tayangan terakhir tamat lebih kurang jam 12.00 tengahari.

12. Pada 22 Mac 2011, Dato Seri Anwar telah membuat laporan polis berhubung penayangan tersebut vide Tun SHL Report 9703/11.

13. Pada 23 Mac 2011 jam 4.00 petang, satu sidang media telah dilakukan oleh Dato' Shazryl dan Tan Sri A Rahim di Hotel Impiana KLCC Kuala Lumpur. Dalam sidang media tersebut, Dato' Shazryl dan Tan Sri A Rahim mengaku mereka bersama Dato Shuaib bertanggungjawab menayangkan rakaman video tersebut kepada wartawan terpilih di Hotel Carcosa Negara pada 21 Mac 2011.

14. Pada 24 Mac 2011 jam 5.00 petang, Dato Shazryl dan Tan Sri A Rahim telah datang ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk menyerah diri dan memberi kerjasama dalam siasatan yang dijalankan. Dato' Shazryl telah menyerahkan peranti yang mengandungi rakaman hubungan seks di antara seorang lelaki yang dipercayai sebagai Dato' Seri Anwar bin Ibrahim dengan seorang perempuan warganegara China.

15. Pada 25 Mac 2011, Dato' Shuaib telah datang ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk menyerah diri dan memberi kerjasama dalam siasatan yang dijalankan.

16. Keterangan mendapat rakaman tersebut diambil dalam sebuah bilik apartment di .... [dipadam] Ampang .... [dipadam] Kuala Lumpur.

17. Pihak polis telah mendapatkan rakaman CCTV di apartment tersebut dan telah mendapati kehadiran Dato' Seri Anwar bersama Dato' Shazryl di lobi apartment tersebut pada 21 Februari 2011.

18. Keterangan menunjukkan rakaman video tersebut mengandungi adegan aksi lucah iaitu perbuatan menghisap kemaluan lelaki oleh seorang wanita dan persetubuhan di antara lelaki dan seorang wanita dalam keadaan kedua-duanya bogel.

19. Hasil analisa oleh pakar dari Dartmouth College, Handover, New Hampshire, Amerika Syarikat telah mengesahkan rakaman video tersebut adalah tulen iaitu tidak dilakukan sebarang tampering dan superimpose serta berasal daripada satu alat perakan DVR yang dirampas dari Dato' Shazryl.


20. Pakar dari Dartmouth College, Handover, New Hampshire, Amerika juga telah menjalankan facial recognition analysis terhadap pelaku seks (lelaki) di dalam rakaman video dan hasilnya mendapati .... [dipadam] adalah menyerupai Dato' Seri Anwar.

Barang kes:

1. Tun HSL Report 9703/11
2. Alat perakan DVR
3. Satu peranti storan media USB (pendrive) LCD CPU jenama Lenovo
4. Laporan pakar Dartmouth College, Handover, New Hampshire, Amerika Syarikat.

Malaysiakini

Bandar Putra Kemaman Dibangun Jadi Hab Komersil Baru

Bandar Putra Kemaman yang akan dibangunkan di atas tapak seluas 946 hektar di Jalan Mak Lagam, disasarkan menjadi hab komersial baru daerah Kemaman, sekali gus memenuhi peningkatan permintaan unit hartanah kediaman dan komersial kesan ledakan pesat industri petroleum di kawasan itu sejak tiga dekad lalu.

Konsep pembangunan bersepadu di atas tanah milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) yang disasarkan meraih jualan keseluruhan RM202 juta itu merangkumi 116 unit kedai pejabat dua tingkat, 68 unit kedai pejabat tiga tingkat, 52 unit banglo setingkat, 118 unit rumah berkembar setingkat, 213 unit rumah teres setingkat dan 242 unit rumah teres mampu milik.

Perbandaran baru yang akan mengubah kawasan barat Kemaman dan terletak kira-kira 3.7 kilometer dari bandar ini, dimajukan bersama syarikat Luas Nyaman Sdn Bhd, Cabaran Iklim Sdn Bhd dan Jubimas Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Luas Nyaman, Mohd Zubir Wahid, berkata sejajar dengan kedudukannya sebagai perbandaran baru pada kedudukan yang strategik, pembangunan unit kedai pejabat disusun menghadap laluan Jalan Mak Lagam yang menghubungkan Kemaman ke Bandar Cheneh Baru.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 798 unit pelbagai jenis rumah dua dan tiga tingkat akan dibangunkan di Bandar Putra Kemaman dan penduduk akan mendapat manfaat besar daripada kedudukan strategik jalan perhubungan ke Cherating, Kuantan dan persimpangan bertingkat Lebuh Raya Pantai Timur Fasa II yang akan siap tidak lama lagi.

"Bandar Putra Kemaman juga akan menjadi antara projek pembangunan paling menonjol di Kemaman kerana berada di persekitaran pelbagai prasarana sedia ada seperti Institut Kemahiran Mara, Sekolah Bestari Tesmal, Sekolah Menengah Mak Lagam (Elit), Kawasan Perindustrian Geliga dan Kampung Mak Lagam.

"Kedudukan istimewanya akan membuka ruang kepada golongan profesional, pendidik dan pelajar memiliki pelbagai jenis rumah dan bangunan komersial," katanya ditemui semalam, selepas majlis pecah tanah di tapak projek yang disempurnakan YTM Tengku Besar Terengganu, Datuk Seri Sharifah Nong Assegaf.

Sementara itu, Pengarah Urusan Cabaran Ultima Group, Ghee Peng Lam, berkata Bandar Putra Kemaman akan menjadi ikon sebuah pembangunan perbandaran yang tersusun dan kemas sekali gus mengubah penampilan Kemaman sebagai sebuah bandar paling maju di Selatan Terengganu.

Katanya, projek itu disasarkan memenuhi keperluan penduduk Kemaman untuk memiliki unit kediaman dan komersial dalam sebuah perbandaran lengkap dan terancang dengan penampilan seni bina inovatif serta mengketengahkan rekaan terkini dalam aspek landskap dan prasarana kemudahan awam.

"Bandar Putra Kemaman dirancang dan direka dengan mengambil kira kemudahan dan komuniti yang berkembang pesat yang mana sebanyak 500 tempat letak kereta disediakan di kawasan komersial yang akan merangkumi kedai pejabat, sebuah hotel dan pasar raya bagi memberi kemudahan kepada pengunjung," katanya.

Unit teres setingkat mampu milik ditawarkan pada harga dari RM68,000 hingga RM172,000; rumah teres setingkat (RM146,800-RM286,800); rumah berkembar setingkat (RM262,800-RM406,800); banglo setingkat (RM399,800-RM518,000); kedai pejabat tiga tingkat (RM580,800-RM850,800) dan kedai pejabat dua tingkat (RM445,000-RM598,800).

Agong Bimbang Umat Islam Hadapi Krisis Perpecahan

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, melahirkan kebimbangan melihat umat Islam menghadapi krisis perpecahan yang begitu ketara ketika ini.

Seri Paduka bertitah, keadaan ini tidak wajar dibiarkan berterusan.
"Usaha perlu dibuat dan dipertingkatkan bagi mengembalikan semula perpaduan sesama Islam supaya tiada pihak berpeluang menangguk di air keruh dan menghancurkan perpaduan umat Islam," titah Tuanku Mizan pada majlis perasmian Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor Al-Islami di Pulau Pinang, semalam.

Seri Paduka bertitah umat Islam perlu menghindari perbuatan yang boleh mencetuskan perpecahan dengan mengamalkan budaya mazmumah.

Tuanku Mizan menyeru umat Islam untuk hidup bersatu padu di bawah satu aqidah dan agama dengan tidak mengutamakan kepentingan diri atau kelompok sendiri.

"Umat Islam perlu mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku di negara Islam lain yang bertelagah sesama sendiri sehingga mengakibatkan rakyatnya menderita, negara tidak stabil kerana pertelingkahan yang berpanjangan.

"Kita perlu mengambil pengajaran supaya perkara yang sama dapat dibendung daripada berlaku di negara ini," titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan menitahkan supaya semua institusi masjid dan pendidikan terus dipelihara dan diperkukuhkan sebagai satu pusat dakwah dan tempat membina perpaduan bagi menghadapi cabaran semasa yang melanda umat Islam.

Seri Paduka turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan kerajaan negeri kerana berjaya membina Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor Al-Islami yang dapat melahirkan generasi penyambung perjuangan generasi silam yang berjaya meletakkan umat Islam ke tahap yang ada pada hari ini.

"Semangat kerjasama, muafakat dan toleransi sebeginilah yang mesti diamalkan oleh kita semua dalam usaha memajukan umat Islam," titah Seri Paduka.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Sharif dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Gua Bewah Bakal Jadi Tarikan Pelancong ke Kenyir

Ahmad Said melihat rangka manusia di Gua Bewah ketika meninjau kawasan berkenaan tahun lalu. - Gambar UKOM.

Kerajaan negeri yakin Gua Bewah yang menjadi lokasi penemuan rangka manusia berusia 16,000 tahun bakal menjadi daya tarikan pelancong ke Tasik Kenyir selepas ia dibuka kepada orang ramai, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata gua tersebut ditutup tahun lalu selepas penemuan rangka berkenaan bagi membolehkan kerja-kerja menggali artifak dilakukan di kawasan berkenaan.

“Pada masa ini kerja-kerja meningkatkan kemudahan untuk para pelancong di kawasan sekitar gua tersebut sedang dilakukan.

“Kita juga sedang menyediakan bekas penutup kaca di kawasan rangka manusia yang tertua di negara ini ditemui, bagi tujuan keselamatan terhadap artifak yang sangat bernilai itu,” katanya pada sidang media di Sri Pentas, Bandar Utama selepas menyempurnkan acara pelepasan peserta program Boat On The Road, semalam

Beliau berkata, artifak berkenaan tidak dialih dari tempat asal ia ditemui, sebaliknya ia akan dilitupi dengan penutup kaca bagi membolehkan pelancong dan pelawat melihatnya di situ.

“Gua Bewah akan dibuka kepada pelawat selepas semua kerja-kerja menaiktaraf kemudahan untuk pelawat disediakan,” katanya.

Menteri Besar berkata, selain Gua Bewah terdapat banyak lagi tarikan baru ke Tasik Kenyir yang disediakan kerajaan negeri, termasuk Taman Burung, Taman Orkid, Taman Herba dan Taman Rama-Rama.

“Manakala kerja-kerja berkaitan cadangan menjajdikan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai sedang giat dilaksanakan pihak berkenaan,” tambahnya.

Beliau yakin dengan segala kemudahan dan promosi yang dilaksanakan kerajaan negeri ini, Tasik Kenyir bakal menjadi destinasi pelancongan utama bukan saja di negara ini, tetapi juga rantau Asia.

Unit Komunikasi Negeri

Program ETA Jadi Program Nasional Tahun Depan

Program English Teaching Asisten (ETA) yang mula diperkenalkan kerajaan negeri bertujuan membantu meningkatkan penguasaan Bahasa English (BI) di kalangan pelajar di negeri ini akan menjadi program nasional mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Kerajaan Pusat akan jadikan modul kerajaan negeri untuk dilaksanakan di sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Ini satu pengiktirafan yang sangat besar apabila program yang dirintis oleh kerajaan kita menjadi ikutan orang lain,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Pameran Schoolwide Enrichment Model (SEM) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Hashim Mohd Zain; Ketua Sektor Akademik JPNT, Mohd Zubir Embong dan Pengerusi Persatuan Pendidikan Bestari Negeri Terengganu (T’Confra), Mazlan Che Wil.

Katanya, mulai tahun depan seramai 500 guru ETA akan berkhidmat di sekolah-sekolah di seluruh negara di bawah pembiayaan pusat.

Sehubungan itu katanya, Terengganu akan menerima 17 guru BI di bawah program ETA Pusat dan 17 guru sedia ada di bawah program ETA kerajaan negeri.

“Kejayaan yang dicapai pelajar-pelajar kita adalah hasil kerja keras guru, ibu bapa dan masyarakat di samping kesediaan kerajaan yang melabur puluhan jutaan demi meningkatkan kecemerlangan pelajar,” katanya.

Mengenai pameran SEM, apa yang dihasilkan pelajar mendapat sambutan sangat baik dan ada pengunjung melahirkan rasa kagum terhadap kreativiti yang dihasilkan serta berminat membelinya,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pameran SEM yang dimulakan sejak 2007 dan diadakan dua tahun sekali akan menjadi program tahunan mulai tahun depan, membuka peluang kepada pelajar mengembangkan idea, minat dan bakat dengan menghasilkan ciptaan masing-masing untuk diketengahkan.

“Kalau tahun ini hanya 24 buah sekolah elit, premier dan Imtiaz diberi peluang menyertai pameran, harap tahun depan dapat penyertaan lebih banyak termasuk sekolah-sekolah biasa,” katanya.

Peserta Boat On The Road Berlepas Ke Tasik Kenyir Pagi Semalam

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama Datuk Ahmad A Talib melepaskan peserta BOTR di Sri Pentas di Bandar Utama ke Tasik Kenyir. - Foto: Zulkipli Putra.

Kira-kira 800 peserta yang menaiki 200 kenderaan pacuan empat roda menyertai program kembara dan memancing “Boat On The Road” berlepas dari Sri Pentas di Bandar Utama ke Tasik Kenyir, pagi semalam.

Acara pelepasan program yang bertujuan mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan itu, disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Majlis tersebut disiarkan secara langsung oleh TV3 melalui slot Malaysia Hari Ini (MHI).

Bagi program itu, juara kategori kumpulan akan menerima hadiah lumayan berupa wang tunai RM30,000 manakala naib johan RM15,000 dan tempat ketiga RM10,000.

Manakala bagi kategori individu (House Boat) pula juara akan membawa pulang wang tunai RM12,000 manakala tempat kedua RM8,000 dan ketiga RM5,000.

Menteri Besar berkata, pihak penganjur menyediakan wang tunai berjumlah RM116,000 sebagai hadiah kepada peserta yang menyertai program kali kedua diadakan ditasik berkenaan.

“Pada tahun ini kita akan mengadakan beberapa acara sampingan di Tasik Kenyir sempena program Boat On The Road ini bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Antara acara yang bakal menarik tumpuan pengunjung ialah pertunjukan ‘power boat ’ yang bakal menyaksikan bekas juara dunia dari Australia dalam acara tersebut, akan beraksi di Tasik Kenyir.

“Pertunjukan power boat akan diadakan selama dua hari iaitu pada hari Sabtu (hari ini) dan Ahad bagi membolehkan penduduk tempatan menyaksikan kehebatan peserta beraksi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menganjurkan pertandingan power boat peringkat antarabangsa pada tahun depan, sebagai acara tambahan bagi mempromosikan Tasik Kenyir di peringkat dunia.

Unit Komunikasi Negeri

Ubah Kaedah Pertanian Untuk Hasil Lebih Baik, Kata Johari

Terdapat pelbagai projek pertanian sedang dilaksanakan di Terengganu terutama di daerah Dungun tetapi ada antaranya harus diperbaiki kaedah penanamannya untuk menjamin hasil lebih baik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum berkata, umpamanya projek tanaman pisang berkelompok seluas 32 hektar di Kampung Padang Pulut di Dungun, yang memerlukan satu perubahan dari segi penjagaan.

"Saya lihat tanah di situ sangat baik dan sesuai untuk tanaman pisang, tetapi penjagaannya tidak mengikut kaedah yang betul dan sesuai.

"Untuk mendapat hasil, petani perlu mengubah cara mereka mengurus ladang pisang berkenaan kerana sekarang ia tidak diuruskan dengan teratur dan penjagaan tidak baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penanaman pisang di Kampung Padang Pulut dan melawat Ladang Lembu Fidlot Kembar Teguh, Pusat Latihan Veterinar, Jerangau dekat semalam.

Beliau berkata, terdapat pokok pisang di ladang itu tidak dijaga dengan baik dan dibiarkan tumbuh begitu sahaja tanpa panjagaan.

"Saya minta Jabatan Pertanian melihat perkara ini supaya petani yang mengusahakan ladang berkenaan diberi pendedahan bagaimana cara penanaman yang betul bagi mendapatkan hasil yang baik," katanya.

Beliau juga mahu Jabatan Pertanian memilih beberapa orang yang berminat mengusahakan ladang pisang dan mencari tapak yang sesuai untuk mewujudkan projek perintis sebagai contoh kepada yang lain.

Mengenai ladang lembu fidlot Syarikat Kembar Teguh yang diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu, beliau berkata tanah di sini sangat sesuai dan ia boleh berjaya kerana pengusaha mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan.

Syarikat Kembar Teguh seluas kira-kira 40 hektar terletak di Pusat Latihan Veterinar, Cermin Kiri Jerangau, diusahakan oleh Marahza Abdul Majid dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Ia bukan sahaja menternak lembu dan kambing, tetapi turut memproses tinja (najis) ternakan untuk menghasilkan baja organik pelbagai guna di bawah jenama KT Multi Bio untuk pasaran dalam dan luar Terengganu.

Selain bidang ternakan, Syarikat Kembar Teguh juga mempunyai ladang jagung untuk menghasilkan bahan mentah sebagai makanan ternakan.

Tanaman jagung juga dapat menarik burung walit membina sarang di rumah burung yang telah disediakan.

Terengganu Pentas Akhir LTdL 2012 Untuk Julung Kali

Terengganu buat julung kali bakal menjadi pentas pusingan akhir kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 yang akan disaksikan di seluruh dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, mesyuarat majlis lumba basikal dan LTdL baru-baru ini memutuskan pusingan terakhir kejohanan berprestij itu dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Terengganu pada LTdL edisi akan datang.

Dengan perubahan lokasi pusingan akhir itu, lokasi perlumbaan akan turut membabitkan Pekan, Pahang ke Kemaman, Terengganu sebelum keesokannya lokasi perlumbaan bermula di Kemasik, Kemaman ke Kuala Terengganu.

“Pada pusingan akhir nanti, peserta akan mengelilingi Bandaraya Kuala Terengganu sebanyak 20 pusingan.

“Perlumbaan ini akan dapat disaksikan di seluruh dunia (melalui siaran langsung) sekali gus kita yakin ia mampu memperkenalkan Terengganu ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika hadir merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kemaman Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di Kemaman, kelmarin.

Sebagai kuasa baru sukan negara juga, penganjuran kejohanan LTdL edisi akan datang di bumi penyu bertelur ini mampu melonjakkan nama Terengganu di mata dunia pula.

Sebelum ini, Terengganu turut menawarkan diri untuk menjadi lokasi penganjuran pusingan akhir kejohanan LTdL berkenaan dan menawarkan tajaan RM1 juta termasuk kos hadiah kepada pemenang dan akhirnya kini hajat berkenaan termakbul.

Sehubungan itu, Ahmad berharap rakyat negeri ini dapat menjaga kebersihan agar keindahan negeri ini yang terkenal dengan gelaran Negeri Cantik Budaya Menarik terpelihara dan tidak memalukan negeri apabila kejohanan berprestij itu berlangsung.

Sinar Harian

Denggi - Peningkatan Kes di 7 Negeri Termasuk Terengganuah Minggu Lepas

Sebanyak 375 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 12 Jun hingga 18 Jun lepas.

Tujuh negeri menunjukkan peningkatan berbanding minggu lepas iaitu Selangor meningkat 14 kes, Kedah (7), Negeri Sembilan (6), Perak (5), Kuala Lumpur/Putrajaya (5), Terengganu (2) dan Kelantan (1).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata seorang surirumah di Sabah berusia 25 tahun yang sedang hamil anak pertama, meninggal dunia bersama dengan anak yang dikandungnya, berikutan komplikasi jangkitan denggi.

"Aktiviti kawalan iaitu semburan kabus telah dijalankan di tempat tinggal mangsa bagi memastikan tiada lagi kes denggi berlaku," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Hasan berkata jumlah kes meningkat sebanyak 16 berbanding 359 pada minggu sebelumnya

Pertandingan Tawar Ribuan Untuk Pengunjung BOTR

Penduduk Pantai Timur Semenanjung khususnya sekitar Kuala Berang, Terengganu berpeluang memeriahkan karnival memancing sambil santai Boat on The Road (BOTR) edisi kedua di Tasik Kenyir yang bermula semalam hingga petang esok.

Mereka yang berkunjung ke tasik itu boleh menyertai pelbagai program menarik anjuran penganjur dan penaja seperti pertandingan memancing, mencuba payung terjun ditarik dengan bot, menaiki Banana Boat dan mengunjungi gerai jualan.

Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah, berkata satu pertandingan memancing tebing di persisiran Pangkalan Gawi akan diadakan esok dengan menawarkan hadiah wang tunai RM3,000.

“Juara yang berjaya menaikkan ikan terberat bakal membawa balik wang tunai RM700, kedua (RM500), ketiga (RM300) serta RM50 untuk 10 pemenang. Pertandingan bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan yuran pertandingan RM10 untuk satu joran.

“Pengunjung atau penduduk setempat dijemput memeriahkan pertandingan ini bagi merebut hadiah wang tunai di samping menyaksikan demonstrasi aktiviti sukan air khusus untuk mereka,” katanya.

Mizal menambah, peserta yang menyertai BOTR berpeluang membawa wang tunai RM20,000 sekiranya berjaya menaikkan Arapaima Gigas (ikan naga) atau hadiah misteri bagi tangkapan ikan Kenyir iaitu ikan asal tasik ini.

“Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ada mengumumkan baru-baru ini peserta yang berjaya menaikkan kedua-dua ikan terbabit bakal menerima habuan seperti yang dijanjikan,” katanya sambil meminta pengunjung tidak melepaskan peluang terbuka itu.

Sementara itu, rakan penaja Boat Explorer melalui kenyataan medianya berkata, pihaknya mengadakan jualan khas iaitu memberi potongan 10 peratus untuk barangan terpilih seperti bot gentian kaca GT Topper berharga antara RM1,450 hingga RM2,300.

Pengunjung yang berminat boleh melawat pameran di gerai di Pangkalan Gawi atau mengunjungi Boat Explore di cawangan terdekat.

Tempoh promosi sehingga 18 Julai depan dan maklumat lanjut boleh kunjungi Boatexplorer.com.my.

Pelatih Bomba Wanita Kecewa Kepala Dibotakkan

Kecewa ... Seorang bekas pelatih bomba wanita, Hizyaty Othman, 28, menunjukkan gambar kepalanya yang dibotakkan ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di Taman Berjaya, Jalan Pegawai di Alor Setar, hari ini. Beliau dibotakkan bersama 18 pelatih wanita lain ketika mendaftarkan diri di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Marang, Terengganu 2 Mei lalu.

Seorang bekas pelatih bomba wanita kecewa dengan tindakan Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Marang, Terengganu, yang membotakkan kepala beliau serta 18 pelatih perempuan lain ketika mereka mendaftar diri menjalani latihan di kem itu, 2 Mei lalu.

Hizyaty Othman, 28, dari Taman Berjaya, Jalan Pegawai di sini, berkata dia amat terkejut dengan tindakan membotakkan rambut pelatih perempuan, tidak seperti apa yang dinyatakan dalam peraturan kursus yang diterima mereka sebelum melaporkan diri di akademi itu.

"Peraturan dalam surat yang diterima saya hanya menyatakan rambut perlu digunting dengan ukuran enam milimeter sahaja dari rambut asal semasa hari pertama melaporkan diri dan perlu digunting kemas selepas dua bulan hingga tamat latihan.

"Saya terkejut melihat pelatih wanita dibotakkan seperti pelatih lelaki dalam sebuah bilik gunting rambut dan saya terus lari mengadu kepada kakak saya, Hazliza, yang berada di tempat pelawat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kuala Terengganu, semalam.

Hizyati berkata bahawa pada mulanya dia dan pelatih lain enggan berbuat demikian tetapi memandangkan ingin mendapatkan pekerjaan dan faktor umur yang semakin meningkat, beliau terpaksa berbuat demikian.

Bapanya, Othman Long, 63, berkata beliau hanya menyedari mengenai perkara itu setelah sampai di pekan Baling setelah diberitahu isterinya Hizan Abu Bakar, 56, dan anak keduanya, Hazliza, 30.

"Saya amat terkejut dengan kejadian itu. Sepanjang saya bertugas dalam badan beruniform, pelatih perempuan hanya digunting rambut hingga pendek dan bukannya sampai botak," kata pesara Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu.
Othman, yang kecewa dengan tindakan pihak terbabit, bertindak mengeluarkan anaknya daripada akademi itu keesokan hari.

Beliau juga membuat di Balai Polis Kuala Perlis supaya pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap pegawai di akademi itu.

Pengerusi Yayasan Prihatin Kebajikan, Pendidikan dan Kemiskinan Kedah, Zuraidi Rahim, yang mengunjungi Hizyaty, berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung.

"Saya difahamkan beliau telah mengambil tindakan dengan mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menyediakan jawapan secara lisan dan bertulis kepada ibu bapa Hizyati.

"Saya harap Datuk Chor akan tampil bertemu keluarga terbabit untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci dan sekaligus menyelesaikan kes ini secepat mungkin," katanya.

Niat Mencuri, Empunya Diri Yang Kena Belasah

Malang berganda! Seorang buruh bukan sahaja terpaksa berputih mata apabila niatnya untuk mencuri wayar di dalam Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak tidak kesampaian, malah dia turut mengalami kecederaan yang agak serius setelah dibelasah oleh 21 pengawal keselamatan yang bertugas.

Lebih malang, tertuduh, Che Ismady Azmi Che Wahab, 37, dari Jalan Kubur Kampung Padang Nenas, Kuala Terengganu, berdepan dengan hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda sebanyak RM1,000 selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Hukuman itu dijatuhkan oleh hakim Nor Azizah Yusof selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 21 Jun lalu, kira-kira jam 12.30 tengah malam bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak didapati telah menceroboh masuk ke dalam kawasan stadium dengan niat melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang, tempat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri tanpa kebenarannya.

Namun, perbuatannya disedari salah seorang pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu dan mengerahkan rakan-rakannya yang bertugas pada syif malam tersebut iaitu seramai 21 orang mengepung kawasan stadium terbabit.

Pada jam 2.30 pagi, tertuduh yang cuba keluar dari stadium dapat ditangkap selepas berlakunya pergelutan semasa usaha menangkap tertuduh.

Akibat pergelutan itu, tertuduh cedera iaitu bengkak pada mata kiri, dan luka pada muka serta siku.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi manakala tertuduh diwakili peguam belanya Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Terdahulu, tertuduh melalui peguam belanya merayu agar mahkamah meringankan hukumannya kerana pendapatan bulanannya hanya mencecah RM500 dan mendakwa telah insaf dengan perbuatannya itu.

Friday, June 24, 2011

Kerajaan Negeri Penuhi Keperluan Rakyat

Kerajaan Negeri sehingga ini berusaha memenuhi semua keperluan rakyat terutama dari kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah sudah disediakan sama ada oleh kerajaan negeri mahu pun Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Kerajaan Terengganu memberi bantuan bermula dari keperluan sekolah anak-anak berupa biasiswa, bantuan uniform dan bantuan awal kemasukan ke asrama penuh hinggalah ke universiti.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said mencabar pemimpin parti pembangkang supaya menamakan perkara-perkara yang masih belum dilakukan Kerajaan Terengganu bagi menjaga kebajikan penduduk negeri ini, khususnya di kalangan umat Islam.

“Manakala bantuan lain turut disediakan kerajaan di segi bantuan untuk ibu tunggal, fakir miskin dan memulakan perniagaan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesuarat Agung Persatuan Masjid Daerah Kemaman di Dewan Sri Geliga Majlis Perbandaran Kemaman.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Daerah Kemaman, Haji Kamil Othman, imam dan bilal seluruh daerah Kemaman.

Menteri Besar berkata, penduduk negeri ini tidak perlu keliru dengan hasrat pemimpin Pas kononnya parti itu dan rakan-rakan mereka dalam pakatan pembangkang mahu menubuhkan Negara kebajikan jika diberi peluang memerintah negara ini.

“Dulu Pas mendakwa mereka berjuang untuk Islam tetapi kini merea tukar kepada negara kebajikan pula. Apa yang saya nampak pemimpin Pas menggunakan Islam semata-mata untuk kepentingan politik mereka saja,” katanya.

Beliau berkata, Pas tidak perlu mencanangkan kepada rakyat bahawa mereka mahu menjaga kebajikan mereka kerana perkara itu sudah lama dilakukan Kerajaan Barisan Nasional.

Kematangan Barisan Pemain Skuad Olimpik Negara Dipuji

Pemain negara, Mohamad Fadhli Mohd Shah (kiri) diasak dua pemain Lubnan pada saingan kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam.

Tahniah skuad bolasepak Olimpik negara.

Kejayaan skuad negara menumpaskan Lubnan 2-1 pada perlawanan kedua pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 London di Stadium Nasional Bukit Jalil, membuktikan Malaysia bukanlah calang-calang pasukan apabila tersenarai sebagai 12 terbaik peringkat Asia untuk layak ke temasya berprestij itu.

Jurulatih skuad Olimpik negara Ong Kim Swee berkata pemainan pasukan itu semakin matang dan mempunyai komitmen tinggi apabila mampu menahan asakan lawan, walaupun terpaksa bermain dengan hanya sepuluh orang pada awal babak kedua perlawanan.

"Saya berpuas hati dengan mutu persembahan yang telah dibuktikan oleh setiap pemain dalam mengekang asakan lawan berbaki 40 minit perlawanan.

"Sebagai jurulatih, saya kagum dengan peningkatan corak pemain muda dan ia adalah petunjuk bahawa kita telah bersedia untuk mara ke saingan peringkat ketiga nanti, iaitu pada September," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Pada perlawanan semalam, skuad bimbingan Ong berjaya mara ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012, dengan kelebihan agregat 2-1.

Pada perlawanan Ahad lepas di Stadium Sport City, Beirut, skuad negara terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan kepada pasukan tuan rumah.

Undian pusingan ketiga dijadualkan pada bulan depan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Ong berkata kunci utama kejayaan malam ini adalah disiplin semua pemain yang begitu bersemangat dan berkeyakinan, sehingga dapat memanipulasi perlawanan malam ini.

"Walaupun Gary Steven Robbat diarah keluar padang pada awal babak kedua, namun ia tidak menjejaskan corak permainan.

"Saya harap Gary akan mendapat pengajaran bermain dalam perlawanan antarabangsa, dan keseluruhan pemain perlu mengambil iktibar dan lebih berhati-hati pada perlawanan pusingan ketiga nanti," katanya.

Skuad negara terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah Gary diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua gara-gara mengasari pemain lawan selang enam minit babak kedua bermula.

Sementara itu, jurulatih Lubnan Samir Saad berkata beliau kecewa kerana pasukannya gagal mara ke pusingan ketiga.

"Saya kecewa tidak memenangi perlawanan ini, kami gembira bermain di depan penonton Malaysia.

"Mereka lebih kuat menyokong berbanding penonton di negara kami, dan ini mungkin punca kejayaan Malaysia.

Terengganu Hantar 110 Guru Ke Australia Dan Korea Selatan

Kerajaan negeri Terengganu akan menghantar 110 orang guru ke Australia dan Korea Selatan selama seminggu untuk lawatan sambil belajar selepas hari raya nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abd Rahman berkata seramai 60 orang daripada mereka akan dihantar ke Australia sementara selebihnya ke Korea Selatan.

"Ini sebagai hadiah kerajaan negeri di atas usaha kehebatan guru membantu pendidikan Terengganu," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Guru peringkat daerah Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata 50 orang guru dihantar untuk lawatan sambil belajar ke Melbourne, Australia tahun lalu.

Ahmad Razif juga berkata kerajaan negeri akan membelanjakan kira-kira RM4 juta untuk memberi insentif dalam bentuk komputer riba kepada guru-guru tahun ini.

Beliau berkata guru-guru akan menerimanya bulan depan sebagai tanda terima kasih kerajaan negeri kepada mereka yang telah mengharumkan nama Terengganu dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mewujudkan lapan buah lagi kelas maya di 32 buah sekolah rendah dan lapan sekolah menengah tahun depan yang melibatkan kos hampir RM5 juta.

Ahmad Razif berkata tahun ini sebanyak 42 kelas maya di sekolah rendah dan menengah telah diwujudkan bagi memperkasakan sektor pendidikan di Terengganu.

Terengganu Perkenal Pengawal Keselamatan Pantai

Kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan menempatkan pengawal keselamatan pantai di tempat-tempat peranginan seperti di pulau-pulau dan tempat penginapan berhampiran pantai di negeri ini.

Ia bertujuan untuk mempertingkatkan keselamatan dan keselesaan pelancong yang berkunjung ke pusat-pusat peranginan berkenaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

"Untuk peringkat awal seramai lapan pengawal pantai ditempatkan di Pantai Bukit Keluang, Kuala Besut dan Pulau Redang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran pengawal pantai di Pulau Redang semalam. Turut hadir Pengarah Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.

Katanya, untuk pusat-pusat pelancongan yang ingin menempatkan pengawal pantai di tempat peranginan mereka, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak hotel, bersedia memberikan peruntukan sebanyak lima peratus daripada penyediaan alat keselamatan serta kos melatih pengawal keselamatan itu.

MB minta penjawat beri perkhidmatan terbaik

Penjawat awam di Terengganu diminta memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat bertujuan mengelak pandangan serong dan tohmahan terhadap mutu sektor berkenaan.

Memperkenalkan slogan `Merakyatkan Pentadbiran & Pembangunan’ dan mengamalkan sistem Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal (5S) antara pendekatan yang dilaksanakan bertujuan memberi kebajikan dan keselesaan kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk SeriAhmad Said menyarankan pejawat awam supaya tidak lupa mengamalkan etika mesra, jujur dan bertanggungjawab ketika menjalankan tugas.

“Pendekatan itu cukup penting berikutan mampu menaikkan imej jabatan di kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Sukan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (Sudata) Terengganu 2011 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Nawawi Wan Ismail dan enam pegawai daerah lain.

Seramai 800 atlit mewakili tujuh Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Terengganu menyertai 14 acara pada kejohanan kali ketujuh itu.

Ahmad Said memberitahu penganjuran sukan seumpama ini mampu meningkatkan tahap kesihatan, mewujudkan semangat tolenrasi dan kerjasama antara penjawat awam.

Katanya, kerajaan negeri akan berusaha mengekalkan kecemerlangan ini selain berazam untuk terus mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang lain.

Sementara itu perarakan masuk kontijen- kontijen sempena Sudata Terengganu 2011 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu memukau kehadiran ratusan penonton.

Rata-rata mereka mengakui ia seolah-olah mini penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) berikutan turut mempamerkan tarian kebudayaan dan tembakan bunga api.

Seramai 800 atlit mewakili tujuh Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Terengganu menyertai 14 acara pada kejohanan kali ketujuh itu.

Haji Nawawi berkata, penganjuran acara sukan sebegini secara tidak langsung mampu memupuk nilai yang baik dari segi perhubungan dan persepakatan antara pegawai dan kakitangan di semua peringkat jabatan.

“Antara acara baru yang diperkenalkan dalam karnival kali ini ialah tenpin boling, boling padang, futsal, karom, congkak, paintball dan nyanyian.

“Tujuan penambahan acara kali ini bagi memperkenalkan sukan baru di kalangan atlet di samping mengekalkan permainan tradisional yang hampir ditelan zaman,” katanya.

Tempoh Pinjaman Peruncit Program 'Tukar' Dipanjangkan Sehingga 15 Tahun

Peruncit tradisional yang terlibat dalam program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) kini diberi bantuan pinjaman sehingga 15 tahun, berkuat kuasa semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program itu, yang diadakan dengan kerjasama Bank Rakyat, masih menawarkan pinjaman sebanyak RM60,000 namun tempoh bayaran balik dilanjutkan sehingga 15 tahun berbanding tujuh sebelum ini.

"Selain bertujuan untuk meringankan beban peruncit dan memberi masa agar peruncit dapat mengukuhkan kewangan mereka, kita harap lebih ramai peruncit berminat untuk menyertai projek TUKAR ini," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Mohd Zain Mohd Dom dan empat pengendali pasar raya di sini pada Khamis.

Mereka akan bertindak sebagai konsultan membantu kerajaan melatih peruncit mengamalkan pengurusan perniagaan yang moden dan cekap bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Empat syarikat itu ialah Aeon Co (M) Bhd, Econsave Cash and Carry Sdn Bhd, Sunshine Wholesale Mart Sdn Bhd dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.

Ismail Sabri berkata sehingga kini sebanyak 62 kedai runcit tradisional berjaya ditransformasikan dengan bantuan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Carrefour Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang bertindak sebagai konsultan.

"Semua kedai runcit yang dimodenkan telah mengalami peningkatan jualan yang amat memberangsangkan dengan purata jualan meningkat sehingga 30 peratus bagi setiap kedai," katanya.

Selain itu, beliau berkata projek TUKAR dijangka mampu menyumbang sebanyak RM5.56 bilion kepada Pengeluaran Kadar Negara dan mewujudkan 51,540 peluang pekerjaan melalui penglibatan 5,000 kedai runcit moden menjelang 2020.

Azizulhasni Mahu Elak Trauma di Shenzen

Enam bulan selepas terlibat dalam kemalangan ngeri yang menyaksikan serpihan kayu tertusuk di betis kirinya, jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang berdoa, kepulangan semula ke trek buat kali pertama, Ogos ini tidak akan mencetus perasaan trauma.

Pelumba muda yang sinonim dengan jolokan The Pocketrocketman itu bakal menjejakkan kaki ke trek lumba buat kali pertama sejak mengalami kemalangan pada Piala Dunia Klasik di Manchester, Februari lalu dengan bertanding pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzen, China dari 12- 23 Ogos ini.

Azizulhasni, 23, menjelaskan, dia tidak pernah terfikir tentang perasaan trauma hendak berlumba kerana semangatnya untuk kembali beraksi terlalu berkobar-kobar selepas lebih enam bulan berehat, namun pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengakui, keadaan mungkin berbeza apabila dia benar-benar menjejakkan kaki ke trek.

"Saya tidak pernah terfikir tentang trauma atau takut hendak kembali berlumba kerana yang bermain di fikiran saya sekarang cuma perasaan tidak sabar dan berkobar-kobar mahu beraksi, sudah terlalu lama saya tidak berlumba.

"Bagaimanapun saya tidak tahu apakah yang akan saya rasai apabila kembali ke trek buat kali pertama nanti, selepas kemalangan di Manchester, saya tidak pernah langsung turun ke trek. Harap, saya tidak akan trauma,'' ujar Azizulhasni ketika ditemui pada sidang akhbar sempena pelantikannya sebagai duta produk suplemen, Herbalife semalam.

Menurut Azizulhasni, biarpun sudah kembali berkayuh sejak kemalangan di Manchester, namun dia hanya berlatih bersama pelumba lebuh raya negara di bawah bimbingan jurulatih, Graham Seers dan tidak pernah berkayuh di atas trek, apatah lagi dalam perlumbaan.

Katanya lagi, dia juga masih menjalani rawatan pemulihan dan fisioterapi di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN), malah belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, namun dia sudah tidak merasa sakit dan sedia untuk membawa cabaran pada temasya Universiade.

Selepas mendapat lampu hijau untuk kembali berlumba, sasarannya di China bukan pingat atau rekod tetapi sekadar mengukur sejauh mana tahap prestasi selepas enam bulan berehat, sebelum menyiapkan diri untuk menghadapi cabaran lebih besar dengan kelayakan Sukan Olimpik 2012 akan memulakan kempen, Oktober ini.

"Saya akan beraksi dalam empat Piala Dunia Klasik, Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Dunia sebelum Sukan Olimpik. Saya tidak menetapkan sebarang sasaran di Universiade kerana ia hanya medan untuk mengukur keupayaan saya dan kembali mendapat rentak kayuhan,'' katanya lagi, yang juga belum pasti apakah acara yang akan disertai di China nanti.

Azizulhasni akan kembali ke Melbourne, bulan depan untuk kembali berlatih bersama jurulatih, John Beasley dan rakan-rakan berbasikal trek yang lain.

Industri Getah Disasar Sumbang RM52.9 bilion Pada 2020

Industri getah disasarkan menyumbang sebanyak RM52.9 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) Malaysia pada tahun 2020 berbanding RM19 bilion pada 2010.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainudin berkata daripada jumlah tersebut, RM30 bilion akan disumbangkan oleh industri sarung tangan getah negara, dengan pengeluaran getah asli domestik khususnya lateks, perlu dipertingkatkan.

"Bagi mencapai sasaran tersebut, keluasan kawasan tanaman getah akan diperluas daripada 1.02 juta hektar kepada 1.2 juta hektar pada 2020.

"Pengeluaran getah asli dijangka mencapai dua juta tan pada 2020 sejajar peluasan kawasan tanaman getah dan peningkatan produktiviti daripada 1.5 tan sehektar kepada dua tan sehektar pada 2020," katanya ketika menjawab soalan Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah (PAS-Kota Bharu) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Wan Abd Rahman bertanyakan rancangan kerajaan untuk mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar getah asli utama dunia.

Pelepasan Konvoi BOTR di Sri Pentas Pagi Ini

Konvoi program kembara dan memancing sambil santai ‘Boat On The Road’ (BOTR) 2011 berlepas dari perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama ke Tasik Kenyir pagi ini untuk merebut hadiah keseluruhan RM116,000 yang ditawarkan penganjur.

Juara Kategori kumpulan membawa pulang wang tunai RM30,000, naib juara RM15,000 dan RM10,000 (ketiga), manakala juara Kategori Individu (Boat House) RM12,000; kedua RM8,000 dan ketiga (RM5,000).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melakukan upacara pelepasan itu di perkarangan Sri Pentas, Kuala Lumpur.

Selaku tuan rumah, beliau meletakkan harapan peserta BOTR dapat mengutip pengalaman baru dan menikmati keindahan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, sekali gus memburu kejuaraan disediakan.

Katanya, kerajaan negeri berbesar hati kerana Tasik Kenyir sekali lagi akan gamat dengan kemeriahan peserta BOTR dan yakin, peserta akan memperoleh pengalaman dan kegembiraan sepanjang program itu.

Sementara itu, penganjur bersetuju melanjutkan tempoh memancing pada hari terakhir kepada jam 1 tengah hari daripada jam 10 pagi.

Tahun ini, kerajaan negeri menawarkan nilai hadiah sekali ganda iaitu RM20,000 kepada pemancing yang berjaya membawa naik spesies Arapaima Gigas dalam pertandingan memancing Boat On The Road (BOTR 2011) di Tasik Kenyir selama tiga hari itu.

Spesies ini (Arapaima Gigas) menjadi tarikan utama pada acara berkenaan di samping sembilan ikan lain yang ditetapkan pihak kerajaan negeri selaku penganjur iaitu sebarau, siakap, kelah, kaloi, temoleh, baung, toman, belida dan patin.

Pada acara sama tahun lalu hadiah yang ditawarkan adalah RM10,000, namun 200 pemancing yang mengambil bahagian gagal menemui spesies yang menghuni dasar Tasik Kenyir itu.

BOTR 2011 tahun ini diadakan lebih besar dengan penyertaan 800 orang yang menaiki 200 kenderaan 4X4 dan berlepas dari tiga penjuru iaitu Sri Pentas di Damansara, Lenggong di Perak dan Kemaman, Terengganu.

Acara tahunan ini dijangka menarik kaki pancing dari seluruh negara menggunakan bot pancing yang diangkut sendiri menggunakan kenderaan 4X4 serta kenderaan biasa yang membawa bot serta bergerak secara konvoi dari tiga lokasi pelepasan.

Selain memancing, turut diadakan acara sampingan lain termasuk sukan air dan demonstrasi perlumbaan bot F1 yang diketuai seorang bekas pelumba wanita F1 dunia, Kay Marshall.

Bekal diesel Tanpa kebenaran, Pemandu Lori Didenda RM8,000

Seorang pemandu lori didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan, semalam selepas mengaku bersalah di atas dua tuduhan membekalkan minyak diesel tanpa kebenaran dan tidak membayar caj kenderaan pada 12 Jun lalu.

Hukuman ke atas Samsudin Mat Hassan, 55, dari Kampung Paya Balai Besar, Dungun Terengganu dijatuhkan oleh Hakim Fathiyah Idris.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang memandu lori memasuki Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini didakwa membekalkan bahan api sebanyak 13,650 liter minyak diesel kepada bot nelayan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah LKIM kira-kira pukul 4 petang, 12 Jun lalu.

Tertuduh yang ditangkap pada 13 Jun lalu disabitkan di bawah Seksyen 17(1) Akta LKIM 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum, RM15,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Samsudin didakwa tidak membayar caj kenderaan menggunakan ruang di kompleks tersebut pada tarikh dan masa sama.

Tertuduh didakwa tidak mematuhi Kaedah 10 Bahagian 1 Jadual Kedua (a)(ii) Kaedah-Kaedah LKIM (Kompleks Perikanan, Labuhan Perikanan dan Jeti Pendaratan Ikan) 2010.

Pegawai Pendakwa LKIM, Zulkifli Ismail memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan Fathiyah mengenakan denda RM5,000 bagi pertuduhan pertama atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, Fathiyah menetapkan denda sebanyak RM3,000 atau penjara empat bulan jika tidak membayar denda itu.

Azizulhasni elak trauma di Shenzen

Khoo Chai Lin (kiri), Low Wee Wern, Mohd. Zaquan Adha dan Azizulhasni Awang pada majlis pelantikan mereka sebagai duta produk kesihatan, Herbalife di Kuala Lumpur, semalam.

Pelumba basikal negara Aziziulhasni Awang antara lima atlet kebangsaan yang dilantik menjadi duta Herbalife bersama bintang bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak, ratu renang, Khoo Cai Lin serta bintang muda skuasy, Low Wee Wern.

Mereka diperkenalkan secara rasmi oleh Naib Presiden dan Pengarah Urusan Herbalife Malaysia, Singapura dan Brunei, Datuk Ronie Tan di ibu negara semalam.

Kata Azizulhasni, menyedari betapa pentingnya pengambilan suplemen untuk atlet, dia tidak teragak-agak menyambar peluang sebaik ditawarkan oleh Herbalife menjadi duta produk mereka.

Pandangan yang sama turut diberikan oleh Zaquan, Cai Lin Dan Wee Wern, yang berharap pengambilan suplemen berkualiti Herbalife mampu membantu mereka meningkatkan prestasi dan bersaing di lapangan yang kompetitif.

"Buat masa ini kami mempunya lima atlet sebagai duta Herbalife tetapi dalam masa terdekat, kami mensasarkan sekurang-kurangnya melantik lapan hingga 10 atlet. Kami masih dalam proses rundingan dengan penyerang bola sepak kebangsaan Safee Sali.

"Selain membantu atlet kebangsaan yang sudah mempunyai nama, kami juga bekerjasama dengan persatuan sukan, terutama di peringkat negeri dengan menaja suplemen untuk atlet muda dari umur 12 hingga 16 tahun,'' jelas Ronie.

Tiga Remaja Lelaki Cedera Dipanah Petir Di Hulu Besut

Tiga remaja lelaki cedera dan pengsan selepas disambar petir ketika sedang berteduh daripada hujan bersama sembilan yang lain di sebuah wakaf di Kampung Durian Telur, Pasir Akar, Hulu Besut, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang ketika kesemua mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun berteduh di pondok berkenaan sementara menunggu hujan reda.

Mohd Sahadam Nik Mar, 17, Muhamad Fariz Ismail,15, dan Mohd Zailani Keria, 23, yang kesemuanya berasal dari Kampung Durian Telur di Hulu Besut, dikejarkan ke Hospital Daerah Besut oleh penduduk kampung kira-kira 6.15 petang.

Keadaan ketiga-tiga mereka yang masih dirawat di hospital itu dilaporkan stabil.

Menurut rakan mangsa, Saiful Bahari Ramli, 15, yang turut berteduh di wakaf itu ketika kejadian, secara tiba-tiba kilat dan petir memanah ke arah sebatang pokok berhampiran wakaf tersebut menyebabkan mereka bertiga rebah dan tidak sedarkan diri.

Selepas melihat keadaan ketiga-tiga mereka terjatuh, kesemua yang lain melarikan diri kerana panik, katanya ketika ditemui di hospital itu semalam.

"Sebaik hujan reda penduduk yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian datang menyelamatkan mangsa dengan menghantar mereka ke hospital," katanya.

Katanya ketika kejadian, ada di antara mereka menggunakan telefon bimbit untuk berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS).

Thursday, June 23, 2011

Bekas Pelajar Kolej Swasta Ditahan Kerana Hina Gambar Agong

Keratan berita yang disiarkan oleh blog teganuku mengenai laporan polis 16 Jun lalu.

Polis Terengganu menahan seorang bekas pelajar kolej swasta di Kota Bharu kerana dipercayai terbabit dengan kes menghina gambar Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang dikeluarkan dalam satu laman sosial baru-baru ini.

Lelaki berusia 24 tahun yang juga seorang penganggur, menyerah diri di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada jam 8 malam kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata polis turut merampas komputer riba yang dibawa lelaki itu yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan.

"Siasatan awal polis mendapati dua individu yang disyaki terbabit dan kita masih mencari seorang lagi untuk membantu siasatan kes ini," katanya.

Pada 13 Jun lalu, Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu FC membuat laporan polis berhubung kes penghinaan terhadap gambar Yang di-Pertuan Agong dalam sebuah laman sosial dengan mengubahsuai muka Seri Paduka Baginda.

Terengganu Hantar 12 Lagi Guru Ke Amerika Syarikat

Ahmad Said - Seramai 72 orang guru dan pegawai pendidikan dari negeri ini sudah dihantar ke Amerika Syarikat. - Gambar Harith Fadzillah

Kerajaan Terengganu akan menghantar seramai 12 orang lagi pegawai pendidikan, guru dan pengetua sekolah berasrama penuh ke Amerika Syarikat untuk menjalani kursus dalam usaha meningkatkan prestasi pelajar anak Terengganu dalam menghadapi peperiksaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata mereka ini merupakan kumpulan keempat untuk menjalani kursus di Connecticut University of America selama enam hari mulai 10 Julai bagi mendalami teknik pembelajaran terbaik untuk pelajar.

Setakat ini seramai 72 orang guru dan pegawai pendidikan dari negeri ini dihantar untuk mengikuti kursus di Amerika Syarikat dan apabila mereka tamat kursus, mereka akan menjadi pelatih kepada guru-guru lain pula, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Mingguan Exco di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata, program penghantaran guru dan pegawai pendidikan ke negara itu merupakan usaha penambahbaikan kerajaan negeri ke arah mencapai wawasan kerajaan Terengganu untuk menjadikan negeri ini anjung ilmu.

Ahmad Said turut melahirkan rasa syukur kerana dalam ujian percubaan peringkat kedua Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), menunjukkan sedikit peningkatan pencapaian berbanding tahun lepas.

"Kita harap semasa ujian percubaan di peringkat ketiga UPSR nanti, ia menunjukkan peningkatan yang membolehkan pelajar Terengganu mencapai sasaran untuk memperoleh keputusan tempat pertama peringkat kebangsaan setiap tahun," katanya.

Konvoi BOTR Berlepas Esok

Jam 8 pagi esok, konvoi program kembara dan memancing sambil santai ‘Boat On The Road’ (BOTR) 2011 akan berlepas dari perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama ke Tasik Kenyir untuk merebut hadiah keseluruhan RM116,000 yang ditawarkan penganjur.

Serentak itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, selaku tuan rumah meletakkan harapan peserta BOTR dapat mengutip pengalaman baru dan menikmati keindahan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, sekali gus memburu kejuaraan disediakan.

Beliau berkata yang ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Kuala Terengganu semalam, kerajaan negeri berbesar hati kerana Tasik Kenyir sekali lagi akan gamat dengan kemeriahan peserta BOTR dan yakin, peserta akan memperoleh pengalaman dan kegembiraan sepanjang program itu.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Wan Ahamad Wan Muda yang mempengerusikan Mesyuarat Pelarasan Akhir BOTR 2011 dengan pelbagai agensi kerajaan di Wisma Darul Iman semalam berkata penganjur bersetuju melanjutkan tempoh memancing pada hari terakhir kepada jam 1 tengah hari daripada jam 10 pagi.

Selain memancing, peserta BOTR akan diraikan dengan persembahan hiburan dan santai sementara menunggu majlis penutup dan penyampaian hadiah yang akan disempurnakan Menteri Besar pada jam 4 petang, Ahad ini.

Juara Kategori kumpulan membawa pulang wang tunai RM30,000, naib juara RM15,000 dan RM10,000 (ketiga), manakala juara Kategori Individu (Boat House) RM12,000; kedua RM8,000 dan ketiga (RM5,000).

TDM Agih Dividen, Keuntungan RM28.81 juta Kepada Kerajaan Negeri

Ahmad Said (empat dari kanan) menerima replika cek pembayaran dividen dan keuntungan usahasama daripada Mohd. Roslan Awang Chik (tiga dari kanan) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu semalam.

Syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri, TDM Berhad membayar RM28.81 juta dalam bentuk dividen dan keuntungan usaha sama bagi tahun 2010 kepada kerajaan negeri dan agensi lain.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Badrul Hisham Mahari berkata, daripada jumlah itu, dividen RM20.4 juta dibayar kepada Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. dan RM5.41 juta kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Permint).

Menurutnya, agensi kerajaan negeri, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) masing-masing menerima keuntungan usaha sama berjumlah RM2.86 juta dan RM136,553.

"Pembayaran dividen kali ini adalah yang terbesar pernah dibuat selaras dengan komitmen TDM untuk memberi ganjaran yang lumayan kepada pemegang saham jangka panjangnya.

"Dengan pembayaran ini, TDM setakat ini telah membayar sejumlah RM81.8 juta dalam bentuk dividen dan keuntungan usaha sama kepada kerajaan negeri sejak bayaran pertamanya pada 2007," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek oleh Pengerusi TDM Berhad, Datuk Mohd. Roslan Awang Chik kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman.

Tambah Badrul, pembayaran berkenaan adalah selari dengan prestasi memuaskan yang dicapai TDM pada tahun lalu terutamanya dalam sektor perladangan dan penjagaan kesihatan.

"Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-46 baru-baru ini, TDM telah mengisytiharkan bayaran dividen lebih tinggi sebanyak 13.5 sen bagi setiap syer biasa di akhir tahun kewangan 31 Disember 2010, berbanding 12 sen pada tahun 2009," katanya.

Sementara itu, Badrul memaklumkan, TDM bakal menikmati hasil peringkat pertama projek penanaman sawit melibatkan kawasan seluas 4,000 hektar di Kalimantan Barat, Indonesia pada pertengahan tahun depan.

Katanya, projek yang bermula pada akhir tahun 2009 itu melibatkan kawasan keseluruhan seluas 20,000 hektar dan fasa seterusnya akan bermula tidak lama lagi.

"Kita jangkakan pada tahun 2016, baki tanah yang belum dibangunkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Kerajaan Negeri Pastikan Mangsa Ribut DiBantu

Sebuah kanopi diterbangkan ribut dan menghempap Pusat Khidmat Masyarakat, Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, kerajaan negeri akan memantau kesan kejadian ribut di negeri ini dari semasa ke semasa ekoran cuaca yang tidak menentu.

Selain itu kerajaan negeri akan memastikan mangsa yang terlibat mendapat pembelaan sewajarnya.

Justeru katanya, pihak yang terlibat sama ada rumah persendirian, masjid, surau, pusat komuniti atau balai raya dinasihatkan membuat laporan kepada wakil rakyat atau pegawai pembangunan DUN di kawasan masing-masing.

Ia agar maklumat itu dapat direkodkan, katanya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sejauh ini menerima lebih 1,000 permohonan untuk membaiki rumah dan struktur binaan yang musnah akibat dipukul ribut yang melanda beberapa daerah pada malam Sabtu lalu.

Pengarahnya, Zuhaimi Omar berkata, pihaknya sedang meneliti permohonan itu dan daerah ini mencatatkan bilangan terbanyak kerana ia merupakan daerah paling teruk terjejas.

Menurutnya, JKM akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), Pejabat Pegawai Pembangunan DUN serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi tujuan itu.

“Bagaimanapun, pemimpin setempat terutamanya wakil-wakil rakyat di kawasan terlibat telah mengambil inisiatif awal untuk mengagihkan bantuan seperti wang tunai, atap dan simen kepada mangsa terlibat,” katanya di Kuala Terengganu ,semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati antara kawasan terlibat di daerah Kuala Terengganu ialah Gong Badak, Tepuh, Manir, Seberang Takir, Batu Buruk, Wakaf Mempelam dan Losong.

Tambah Zuhaimi, selepas kejadian itu, beberapa laluan utama di daerah Kuala Terengganu seperti di Jalan Buluh Gading, Jalan Pulau Bahagia dan sekitar Batu Buruk ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan.

“Kita juga menerima laporan bencana alam itu turut memusnahkan kebun penduduk seperti tanaman pisang dan tebu serta ternakan ayam menyebabkan ada antara mereka mengalami kerugian besar,” ujarnya.