Saturday, September 10, 2011

Terengganu Dijangka Terima Pelaburan Lebih RM4 Bilion Tahun Ini

Menteri Besar mendengar taklimat mengenai kilang besi waja di Kemaman baru-baru ini. Kilang berkenaan dianggap antara projek besar Terengganu.

Terengganu dijangka menerima pelaburan lebih RM4 bilion tahun ini dari syarikat-syarikat luar negara, yang melebihi sasaran RM3.5 juta yang tetapkan sebelum ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pelaburan itu datang dari syarikat luar negara seperti dari Perancis, China dan Abu Dhabi yang terlibat dalam bidang ternakan air seperti udang, ikan dan keli di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan projek besi waja di Kemaman.

"Kita sasar pelaburan di Terengganu pada tahun ini hanya RM3.5 juta tetapi setakat ini kita terima lebih daripada itu," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata pelaburan itu akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Ahmad Said berkata, dalam tempoh terdekat, kerajaan akan meluluskan projek ternakan udang di Tasik Kenyir bernilai RM1 bilion oleh sebuah syarikat dari China.

Katanya, ia akan diikuti dengan pelaburan dua buah lagi syarikat dari Perancis yang akan membuat pelaburan RM800 juta dan syarikat dari Abu Dhabi (RM200 juta) dalam bidang ternakan ikan dan udang.

Beliau berkata, selain itu terdapat juga beberapa syarikat yang akan membuat pelaburan dalam bidang hartanah dan besi waja di Kemaman yang melibatkan pelaburan hampir RM3.5 bilion.

T-Team, Terengganu Yakin Menang Perlawanan Kedua Malam Ini

Irfan (kiri) mengingatkan para pemainnya agar jangan leka berdepan dengan Selangor PKNS malam ini.

Pada ketika Terengganu tidak memandang rendah Selangor PKNS, T’Team melihat kejayaan menewaskan pasukan gergasi Selangor 1-0 dalam aksi pembukaan Selasa lalu menyuntik semangat kepada pemain pasukan itu untuk beraksi lebih cemerlang malam ini.

Penyerang T’Team, Nor Farhan Mohamad yakin pasukannya mampu melangkah lebih jauh dalam saingan merebut Piala Malaysia musim ini dan melayakkan diri ke peringkat akhir kempen tersebut.

T’Team diundi dalam kumpulan D bersama-sama Selangor, Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Melihat pada persiapan yang dibuat oleh pasukan T’Team bagi menghadapi saingan Piala Malaysia ini, saya yakin kami menunjukkan semangat yang tinggi serta moral semakin meningkat pada ketika ini.

"Ia dapat dilihat apabila pasukan kami berjaya menewaskan Selangor yang merupakan pasukan yang kuat dalam Kumpulan D," katanya.

Apapun, Farhan berkata, selain Selangor, Kuala Lumpur juga merupakan antara pencabar utama bagi T’Team bagi mengharungi saingan dalam Kumpulan D.

Bagi Terengganu, kelebihan selaku tuan rumah masih belum mampu memberi kelegaan kepada pengendalinya, Irfan Bakti apabila menanti kunjungan Selangor PKNS pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia malam ini.

Sebaliknya Irfan mengakui, pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu pasti menjanjikan kesukaran berdasarkan reputasi lawan selaku juara Liga Perdana.

Apapun, Irfan yang memburu kejuaraan sulungnya di pentas Piala Malaysia turut mengharapkan sokongan padu daripada penyokong Peteh dalam misi merealisasikan hajat persatuan memburu gelaran kedua musim ini.

"Kami berjaya menduduki tempat kedua dalam Liga Super, muncul juara Piala FA dan kini, kami bersaing untuk mencari tempat ke pusingan kedua Piala Malaysia.

"Besar impian saya untuk melihat Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok (malam ini) dipenuhi penyokong-penyokong Terengganu," ujarnya lagi.

Bagi Irfan, pengalaman PKNS mendominasi saingan Liga Perdana tidak boleh diperlekehkan, sekalipun skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan pada aksi pertama Selasa lalu.

"Kami tidak boleh leka dengan PKNS kerana mereka hadir sebagai juara Liga Premier. Lagipun, pasukan ini baru sahaja mengalami kekalahan dan saya menjangkakan, mereka pasti bangkit di Kuala Terengganu," jelas Irfan kepada Kosmo! semalam.

Tambah jurulatih kelahiran Kelantan ini, kekuatan PKNS sudah pasti terletak di bahagian tengahnya terutama posisi sayap seperti yang dibuktikan ketika menentang Negeri Sembilan sebelum ini.

Justeru katanya, kombinasi dan keserasian Joseph Kalang, Resha- fiq Alwi dan Ashaari Shamsuddin di bahagian tengah begitu ditagih dalam misi juara Piala FA itu mengutip tiga mata di hadapan penyokong sendiri.

"Satu-satunya berita baik yang kami peroleh ialah kehadiran semula Ismail Faruqi selepas tidak disenaraikan pada pertemuan menentang Sime Darby tempoh hari.
"Dengan kehadiran Ismail, ia akan memberi lebih banyak pelu- ang kepada saya untuk menyusun strategi bagi membolehkan gandingan Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi menjaringkan gol," katanya.

Pada perlawanan pembukaan Kumpulan B lalu, Terengganu menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila menang mudah 3-0 ke atas pendatang baharu, Sime Darby.

Sumber - Utusan, Kosmo, Berita Harian

Jika Masih Dalam Polis, Saya SudahTangkap Dia - Hanif Omar

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap seorang komunis seperti Mat Indera sebagai wira merupakan satu kenyataan yang bersifat hasutan.

Beliau berkata, Mohamad atau Mat Sabu perlu disiasat kerana menghasut berikutan kenyataannya yang boleh membawa implikasi besar dan menghuru-harakan negara.

"Kalau (sejarah negara) yang telah berlaku begitu lama ini dianggap tidak sah, (maka) kerajaan ini dan juga Perlembagaan juga tidak sah... ini merupakan satu hasutan. Besar implikasinya," katanya kepada pemberita selepas menjadi ahli panel dalam Wacana Merdeka bertajuk "Peristiwa Bukit Kepong: Siapa Wira Sebenar" di Ipoh, semalam.

Turut menjadi anggota panel pada wacana itu ialah bekas Ketua Polis Perak, Tan Sri Yuen Yuet Leng, pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim dan Profesor Datuk Dr Ramlah Adam dari Universiti Teknologi Mara.

Hanif berkata, Mat Sabu perlu berani membuktikan dakwaan bahawa anggota pasukan keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong itu bekerja untuk British.

"Dia ingin menterbalikkan sejarah... buktikanlah... misalnya (dakwaan) kami ini polis British," katanya.
Beliau berkata, Mat Sabu sepatutnya dipanggil untuk memberi keterangan dan disiasat mengapa kenyataan itu dikeluarkan olehnya.

"Adakah kerana pengetahuan dia mengenai sejarah terlalu cetek ataupun adakah dia buta sejarah. Jika inilah alasannya, dia harus diajar (tentang sejarah). Tetapi setelah diajar, dia masih bercakap perkara sama, jika saya masih berada di sana (dalam polis), saya sudah tangkap dia," katanya.

Sementara itu, Yuen, yang banyak menghabiskan masanya mempertahankan negara daripada serangan komunis dan penjenayah sepanjang perkhidmatan beliau dalam pasukan polis, turut mengesa supaya siasatan segera dilakukan terhadap Mat Sabu.

"Apabila dia sudah mula membuat kenyataan menyokong komunis, polis mesti siasat," katanya.

Beliau berkata, Cawangan Khas mempunyai maklumat lengkap mengenai pergerakan dan latar belakang Ahmad Indera atau Mat Indera, Abdullah CD dan Ahmad Boestaman berhubung kegiatan serta perancangan mereka untuk melakukan serangan senjata.

"Pada saya, sudah sampai masanya Cawangan Khas mendedahkan segala maklumat mengenai mereka supaya masyarakat tahu siapa mereka ini," katanya lagi.

Terengganu Lulus 5,167 Lot Tanah Melalui 64 skim RTB - Ahmad Said

Kerajaan negeri telah meluluskan 64 skim permohonan tanah melalui Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) sejak 2008 sehingga Julai lalu kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu 13 skim permohonan telah diluluskan pada 2008, 22 skim pada tahun 2009, 21 skim pada tahun 2010 dan lapan permohonan sehingga Julai lalu.

Katanya, ia melibatkan 5,167 lot tanah secara keseluruhan di semua tujuh daerah di Terengganu.

Menurut Menteri Besar, daerah Marang mencatatkan jumlah kelulusan tanah yang tertinggi dengan 1,741 lot melalui 15 skim permohonan sehingga Julai lalu.

"Manakala di Besut kita menerima 10 skim permohonan sejak 2009 dan 2010, namun kita hanya meluluskan sembilan permohonan melibatkan 564 lot.

"Bagi daerah Dungun kita tidak menerima sebarang permohonan pada 2008, namun pada 2009 kita meluluskan dua skim melibatkan 62 lot manakala pada tahun lalu kita hanya meluluskan dua daripada tiga skim dengan 224 lot keseluruhan diperuntukkan," katanya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar memaklumkan sebanyak 553 lot diagihkan kepada penduduk di Hulu Terengganu setelah Kerajaan negeri meluluskan 10 skim permohonan yang dibuat sehingga kini.

Beliau berkata, setiap pemohanan yang diajukan perlu mematuhi prasyarat permohonan tanah yang telah dikeluarkan sebelum ini termasuk bagi status tanah haram.

Kerajaan Negeri katanya, telah bersetuju meluluskan satu lot baru di Kemaman dan lokasinya akan dikenal pasti. Sehingga kini sebanyak 744 lot telah diluluskan menerusi sembilan skim permohonan dibuat dan satu ditolak pada 2008.

"Di Kuala Terengganu dua permohonan diluluskan melibatkan 42 lot melibatkan perumahan pada 2008 dan pada 2009 ada 4 permohonan dengan 312 lot diluluskan.

"Tahun 2010 ada lapan skim melibatkan 327 lot dan satu skim pada tahun ini melibatkan 17 lot menjadikan 698 lot secara keseluruhan," ujarnya.

Sementara itu Menurut Ahmad Said, daerah Setiu hanya tiga skim di pohon pada 2008 dan 2009 dengan melibatkan 643 kelulusan lot tanah diberikan kepada penduduk di daerah itu.

Katanya, jumlah keseluruhan ini tidak termasuk kelulusan yang telah diumumkan sebelum ini termasuk tapak tanah pertanian, tanah haram dan tapak rumah yang diluluskan.

"Setiap tapak rumah yang diluluskan, kerajaan hanya mengambil premium 10 peratus daripada jumlah nilai harga semasa.

"Sekiranya tanah haram kerajaan negeri hanya mengambil 15 peratus daripada jumlah harga semasa, manakala sekiranya skim tanah itu ada penolakan, kita hanya ambil 25 peratus," katanya.

Sebelum ini katanya, Kerajaan negeri mewujudkan polisi baru dalam urusan menukar syarat tanah sebagai usaha memantapkan lagi pentadbiran yang sebelum ini dilihat mengambil masa terlalu lama hingga mencecah setahun.

"Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2011, Kerajaan negeri telah meluluskan 613 permohonan dan hanya meluluskan 55 daripada 399 permohonan bagi tanah haram," jelasnya.

Teganukita

Hasrat Azlas Ziarah Kubur Bapa di Bukit Kepong Bakal Tercapai

Hasrat anak kepada Konstabel Jaafar Hassan (gambar atas) yang terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong, Azlas untuk menziarahi pusara arwah bapanya buat pertama kali bakal menjadi kenyataan, tidak lama lagi.

Ia berikutan persetujuan antara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki bersama Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail bagi merealisasikan hasrat Azlas, 62, itu.

Azlas meluahkan rasa gembira serta mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak berkenaan yang sudi memberi kesempatan kepadanya menziarahi pusara Allahyarham Jaafar di Bukit Kepong dalam waktu terdekat.

Saya rasa sangat gembira dan terharu dengan kesudian Badrol dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang sudi bawa saya ziarah kubur arwah bapa di Bukit Kepong.

Hanya Allah saja yang dapat balas jasa mereka ini. Saya sedih kerana tidak pernah ziarah pusara arwah bapa dan saya tak pernah tahu di mana letaknya kubur arwah.
Saya tak sabar-sabar nak ke sana (ziarah kubur bapa di Bukit Kepong)," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala terengganu semalam.

Semalam, akhbar menyiarkan luahan Azlas terhadap kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang membela anggota komunis dalam tragedi Bukit Kepong.

Ekoran itu, Azlas yang juga anak kepada Konstabel Jaafar Hassan yang terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong itu menegaskan bahawa dia tidak akan memaafkan Mat Sabu ekoran kenyataannya itu.

Dia turut terkejut dan tidak menyangka pemimpin nombor dua Pas itu tergamak mengeluarkan kenyataan yang sangat mengguris hati keluarga anggota polis lain yang turut terlibat dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, satu majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk arwah Konstabel Jaafar berlangsung di rumah keluarga Azlas di Kampung Lot Perpindahan, Chendering dekat sini malam tadi yang disertai kira-kira 60 ahli kariah kampung itu.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahri Baharudin; Badrol Hisham dan Wan Nawawi.

Badrol Hisham berkata, majlis tahlil itu diadakan atas inisiatif Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO negeri.

Beliau turut mengesahkan, pihaknya bersama Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi bersetuju membantu menguruskan pemergian Azlas serta keluarganya menziarahi pusara Allahyarham Konstabel Jaafar di Bukit Kepong.

NGO Buat Laporan Polis Terhadap Mat Sabu

Sembilan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) membuat laporan polis petang semalam berhubung kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu, yang menyatakan pengganas komunis dalam kompeni ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang membunuh anggota keselamatan serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero Malaya.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Bukit Payong, kira-kira jam 3.30 petang. Dalam laporan polis itu mereka meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Mereka membuat laporan tersebut berhubung kenyataan Mat Sabu seperti yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27 Ogos yang menyatakan kenyataan berkenaan yang disifatkan menimbulkan kemarahan pelbagai pihak, termasuk waris anggota keselamatan yang terlibat dalam kes itu.

Antara NGO yang membuat laporan polis tersebut ialah Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Majlis Belia Daerah Marang, Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu, Belia MAYC Kawasan Marang, Belia 4B (M) Kawasan Marang, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Marang, Kelab Gym 1Malaysia Daerah Marang, Persatuan Silat Daerah Marang dan Pesatuan Benteng Daerah Marang.

Pemimpin NGO yang hadir termasuk Pengerusi MBNT, Mat Yusof Mat Ali; Pengerusi MBDM, Zaidi Muda dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri, Saiful Bahri Dato’ Baharuddin.

Teganukita

PM Arah Kaji Semula Caj 6% Cukai Perkhidmatan Tambah Nilai Telefon Bimbit

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) memegang logo baru Maybank bersama Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor (kiri) dan Presiden Maybank Datuk Seri Wahid Omar selepas melancarkan logo tersebut di Menara Maybank di Kuala Lumpur, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meminta syarikat telekomunikasi supaya mengkaji semula keputusan mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus kepada pengguna ke atas produk tambah nilai dan pek permulaan kerana keputusan itu kini dilihat membebankan rakyat.

Najib berkata, keputusan itu yang diambil sendiri oleh syarikat telekomunikasi merupakan satu keputusan yang tidak popular selepas beliau mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada para pengguna.

Menurutnya, fokus utama ketika ini sepatutnya untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya mengambil keputusan untuk menambah beban itu.

"Saya dah dapat banyak reaksi dan maklumat timbal balas dari orang ramai bahawa langkah yang dibuat oleh syarikat telekomunikasi mengenakan cukai perkhidmatan kepada pengguna adalah suatu yang tidak popular dan sukar diterima oleh rakyat.

"Saya berharap syarikat telekomunikasi dapat kaji semula langkah ini kerana hari ini kita hendak kurangkan beban kepada rakyat."

"Kini rakyat terpaksa menanggung kos perbelanjaan serba-serbi dan ada sesetengah bahan makanan sudah bertambah harga, kita hendak kurangkan bebanan pada rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan logo baharu Maybank di Menara Maybank semalam.

Najib berkata, kerajaan tidak pernah meluluskan apa-apa berkenaan caj cukai 6 peratus itu sebaliknya ia dibuat oleh syarikat telekomunikasi sendiri.

"Kita tidak pernah luluskan, keputusan dibuat pihak syarikat telekomunikasi sendiri tanpa campur tangan kerajaan," katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian sebagai mengulas satu kenyataan bersama syarikat telekomunikasi yang mengumumkan caj perkhidmatan akan dikenakan kepada produk-produk prabayar bermula Khamis depan.

Menurut kenyataan itu, cukai perkhidmatan bukan sesuatu yang baru, namun sejak perkhidmatan prabayar diperkenalkan pada 1998 cukai berkenaan diserap oleh syarikat telekomunikasi.

Langkah itu diambil bagi memastikan perkhidmatan prabayar mudah alih kekal kompetitif berikutan kadar panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) prabayar adalah tinggi berbanding pasca bayar.

Dengan mengenakan cukai perkhidmatan 6 peratus terhadap perkhidmatan prabayar, pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, yang mana 60 sen adalah merupakan cukai perkhidmatan.

Sementara itu, Maybank melancarkan logo baru yang menampilkan ikon Harimau Malaya dengan lebih jelas selari dengan matlamat Maybank yang mahu berkembang sebagai syarikat perbankan bertaraf global.

Dalang Edar Pil Kuda Ditahan, 6,930 Pil Dirampas

Roslan Abd. Wahid (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan pil kuda dan dadah di Kuala Terengganu, kelmarin.

Polis negeri ini mencatat kejayaan terbesar apabila merampas sebanyak 6,930 biji pil kuda bernilai RM173,250 setelah menahan dalang sindiket pengedaran dadah itu di pusat bandar ini, kelmarin.

Penahanan suspek berusia 26 tahun itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Palas, Kuala Bekah, di sini, yang kemudian menemui dadah berkenaan.
Turut dirampas dalam serbuan pukul 6.15 petang itu, wang tunai RM30,670, dipercayai hasil jualan dadah selain sebuah motosikal Yamaha RXZ.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Terengganu, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, rampasan itu yang terbesar membabitkan pil kuda bagi tahun ini.

Menurutnya, suspek yang juga penganggur sebelum itu ditahan ketika memandu dalam keadaan mencurigakan di pusat bandar raya berkenaan.

"Hasil pemeriksaan menemui lima botol serbuk putih yang dipercayai dadah jenis heroin seberat 21 gram bernilai RM5,000 dalam kenderaan itu," katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut beliau, suspek dipercayai aktif mengedar dadah-dadah jenis pil WY, pil kuda dan heroin, hampir setahun lalu.

Katanya, suspek direman bermula semalam hingga 12 September ini dan akan didakwa di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pihaknya percaya suspek aktif mengedar dadah di Durian Burung, Pulau Rusa, Paloh, Manir, Batu Enam, Kuala Bekah, Sungai Rengas, Pulau Musang dan Bukit Payong.

"Keseluruhan anggota sindiket itu telah dikenal pasti dan usaha untuk menangkap mereka sedang giat dijalankan," katanya.

Utusan Malaysia

Mohd. Firdaus Anak Terengganu Pertama ke Oxford

Ahmad Said (tengah) beramah mesra dengan pelajar cemerlang dari kiri, Lau Jia Cheng, Mohd. Firdaus Samsudin @ Mustapha, Khairina Abdullah dan Esther Ng Feng Ying pada majlis meraikan pelajar Terengganu ke luar negara dan penyampaian wang pendahuluan diri di kediaman Menteri Besar, Seri Iman, kelmarin.

Mohd. Firdaus Samsudin @ Mustapha, 23, melakar sejarah sebagai anak negeri pertama yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford di United Kingdom tahun depan

Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu itu akan mengikuti pengajian peringkat sarjana selama dua tahun dalam jurusan biokimia.

Beliau yang pernah merangkul anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat Kebangsaan 2005 itu baru memperoleh ijazah kelas pertama dalam bidang bioteknologi di Imperial College London selama tiga tahun.

Mohd. Firdaus, anak kepada pesara kerajaan itu dijadual memulakan pengajian di sebuah universiti paling berprestij di dunia pada Oktober ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud itu berkata, dia akan lebih komited meneruskan pengajian di sana cita-citanya menjadi seorang saintis.
"Saya dan keluarga bersyukur pada Tuhan dan berterima kasih kepada kerajaan khususnya Yayasan Terengganu (YT) yang menyediakan bantuan pinjaman," katanya.

Mohd Firdaus menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis meraikan para pelajar Terengganu ke luar negara dan penyampaian wang pendahuluan diri di Kediaman Menteri Besar di Seri Iman di Kuala Terengganu, kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 96 pelajar diraikan dengan sebahagian besarnya bakal menyambung pengajian ke Rusia manakala selebihnya di United Kingdom dan Jordan.
Setiap pelajar menerima wang pendahuluan diri tajaan YT berjumlah RM35,000 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Selain Mohd. Firdaus, tiga lagi anak watan Terengganu yang merupakan bekas cemerlang peringkat A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin turut cemerlang dan bakal meneruskan pengajian ke United Kingdom.

Mereka ialah Lau Jia Cheng, 20, yang akan mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam jurusan ekonomi di University of Cambridge diikuti Khairina Abdullah, 20, di London School of Economics.

Manakala Esther Ng Feng Ying, 20, akan menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang pergigian di King's College London.

Utusan Malaysia

Zoo Kemaman Mungkin Jadi Penempatan Haiwan Yang Dirampas

Sejumlah 132 haiwan liar, termasuk tiga harimau belang dan kongkang, dirampas dalam serbuan ke atas zoo terbabit semalam.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 132 ekor haiwan termasuk spesies yang dilindungi di Danga Bay Petting Zoo, Teluk Danga, di Johor Bahru, semalam.

Tindakan itu diambil selepas pemilik zoo persendirian yang beroperasi sejak 2005 itu gagal memperbaharui permit khas pemilikan zoo berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah 2 Perhilitan, Dr. Zaaba Zainol Abidin berkata, zoo itu tidak mendapat kelulusan untuk memperbaharui permit khas tersebut kerana melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang antaranya menyediakan kandang yang sempit dan tidak sesuai bagi setiap haiwan.

Anggota Perhilitan memindahkan gajah dari Zoo Petting di Danga Bay, Johor, selepas permit dan lesen khas hidupan liar itu tidak diperbaharui.

"Kesemua 132 ekor haiwan yang dirampas itu termasuk seekor gajah, tiga ekor harimau, dua ekor beruang dan dua ekor singa. Haiwan berkenaan akan ditempatkan di beberapa lokasi, antaranya Zoo Melaka, Zoo Kemaman Terengganu dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang,” katanya kepada pemberita, semalam.

Zaaba berkata, Perhilitan pernah memberi peluang kepada pihak pengurusan zoo berkenaan untuk mematuhi segala peraturan namun ia gagal dilaksanakan.

Mas Adakan 7 Penerbangan Sewa Khas Haji dari LTSM

Malaysia Airlines (MAS) akan menyediakan 38 penerbangan sewa khas haji bagi Lembaga Tabung Haji semasa fasa pertama operasi musim haji mulai 29 September hingga 30 Oktober tahun ini.

Daripada 38 penerbangan berkenaan, 11 penerbangan adalah dari KLIA, lapan (Pulau Pinang), tujuh (Kuala Terengganu), enam (Johor Baharu) dan masing-masing tiga dari Kota Kinabalu dan Kuching.

Penerbangan pertama, MH 8000 dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ke Madinah ada 29 September.

Menurut satu kenyataan syarikat penerbangan itu hari ini, MAS akan mengangkut kira-kira 14,000 jemaah haji pada setiap fasa penerbangan pergi dan balik haji.

Fasa kedua penerbangan sewa khas haji dijadual bermula pada 12 November hingga 10 Disember.

Menurut kenyataan itu, MAS mengkhususkan dua pesawat Boeing 747-400 bagi operasi penerbangan musim haji kali ini.

Bagi memastikan jemaah haji menikmati perjalanan yang selesa ke Tanah Suci, MAS menyediakan beberapa pilihan perkhidmatan khusus semasa penerbangan antaranya program audio seperti pilihan lagu nasyid, bacaan ayat-ayat Al-Quran serta siaran video menerusi skrin TV pada setiap tempat duduk penumpang.

Doa Musafir juga akan diperdengarkan dan bacaan niat ihram (miqat) akan didemonstrasikan oleh krew penerbangan dalam Bahasa Melayu.

MAS akan menugaskan petugas berpengalaman bagi pengendalian di lapangan bagi operasi haji di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, KLIA dan di Lapangan Terbang Jeddah dan Madinah, menurut kenyataan itu.

Friday, September 9, 2011

Padah Bagi PAS Lantik Mat Sabu Sebagai Naib Presiden

Para pemimpin dan ahli Pas perlu mengankui bahawa mereka telah melakukan satu kesilapan paling besar apabila melantikan jaguh ceramahnya, Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden parti itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, Mohmad atau dikenali sebagai Mat Sabu yang terkenal dengan akal dangkalnya untuk meraih sokongan bukan melayu sanggup menganggap komunis sebagai pejuang bangsa dan merendahkan taraf anggota keselamatan terbunuh.

Menurutnya,sejarah tragedi Bukit Kepong yang dijadikan contoh oleh Mat Sabu tentunya sangat mengguriskan perasaan anggota keselamatn yang terkoban nyawa apabila gerombolan komunis siangkat sebagai hero.

Bagi saya, adalah menjadi kesilapan Pas apabila memilih Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden dengan menolak Nasharuddin Mat Isa yang juga arif dalam agama.

“Tetapi Pas telah memilih Mat Sabu sebagai jaguh yang hanya pandai bercakap, Pas telah membuat pilihan yang salah,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pembarita ketika mengunjungi keluarga Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan, di Kampung Perpindahan, Chendering dekat sini kelmarin.

Bank Islam Sedia Tukaran Wang Kecil Riyal Untuk Jemaah Haji

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) kini menyediakan kemudahan pertukaran mata wang kecil Riyal Saudi (SAR) untuk kemudahan para jemaah haji Malaysia yang akan berlepas ke tanah suci.

Menurut kenyataan Bank Islam di Kuala Lumpur semalam, pertukaran itu, yang boleh dilakukan di mana-mana cawangan bank itu tanpa had, pada kadar pertukaran tetap SAR235 bagi RM200.

Katanya, bakal jemaah haji juga boleh mendapatkan tukaran wang SAR sebelum bertolak ke Mekah di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Kompleks Tabung Haji Bayan Baru di Pulau Pinang, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halimm, Kedah dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Selain itu Bank Islam berkata, pihaknya juga menyediakan sumbangan kebajikan berbentuk Kad Debit-i Visa Bank Islam bernilai RM400,000, 40,000 unit Buku Wirid Terpilih dan lanyard bernilai lebih daripada RM63,000 kepada Lembaga Tabung Haji untuk diagihkan kepada bakal jemaah haji tahun ini.

Sehubungan itu, sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Bank Islam Datuk Seri Zukri Samat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Haji Jamil Khir Bin Baharom, pada satu majlis penyampaian sumbangan dan Penghargaan Sahabat Korporat Tabung Haji di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji, Kuala Lumpur.

Zukri berkata, kad debit ini boleh dipohon oleh bakal jemaah di cawangan-cawangan Bank Islam sebelum 30 Oktober ini atau di kaunter khas Bank Islam yang disediakan sewaktu Kursus Haji Perdana (KHP) di seluruh negara.

MB Terengganu Beri Amaran Pelajar Tajaan Jangan Libat Politik

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said semalam memberi amaran kepada kepada pelajar tajaan kerajaan negeri yang menuntut di luar negara supaya memberi perhatian kepada pelajaran mereka dan tidak terbabit dalam politik.

"Saya bagi amaran awal-awal, kita tidak akan bertolak ansur dalam hal ini kerana kita beri mereka biasiswa untuk belajar dan bukan terbabit dalam politik," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan pelajar luar negara dan penyampaian wang pendahuluan dari Yayasan Terengganu (YT) di Kuala Terengganu, semalam.

Jika mereka tidak mahu belajar, kerajaan boleh memberi peluang itu kepada pelajar-pelajar lain, katanya.

Katanya ada pemimpin politik pembangkang yang pergi ke luar negara dan menghasut pelajar Malaysia supaya menentang kerajaan.

Ahmad berkata, kerajaan negeri memberikan biasiswa dan bantuan pelajaran bagi membolehkan pelajar membantu keluarga dan berkhidmat untuk negara apabila tamat pengajian kelak dan bukannya bertindak menentang kerajaan.

Ahmad berkata kerajaan telah memperuntukkan lebih RM4 juta untuk memberi wang pendahuluan melalui yayasan itu tahun ini kepada 96 orang pelajar bagi melanjutkan pengajian di seberang laut.

Katanya sebahagian besar daripada pelajar itu akan belajar di Jordan manakala yang lain di Rusia dan United Kingdom.

Polis Lumpuhkan Sindiket Pengedaran Dadah Terbesar Di Terengganu

Polis percaya telah melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah terbesar di Terengganu, menerusi penangkapan seorang lelaki di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya, di Kuala Terengganu Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata polis turut merampas dadah jenis heroin dan pil kuda dengan nilai keseluruhan RM178,250 daripada lelaki terbabit.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditangkap di dalam keretanya di tempat parkir pasar raya di Jalan Sultan Muhammad tersebut pada 5.22 petang hasil maklumat awam, katanya pada sidang media, di Kuala Terengganu semalam.

"Dengan tertangkapnya suspek ini kita percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Terengganu pada tahun ini yang aktif menjalankan pengedaran di daerah Kuala Terengganu dan Marang sejak setahun lalu," katanya.

Mengulas lanjut, Roslan berkata polis menemui dadah jenis heroin seberat 21 gram bernilai kira-kira RM5,000 yang disembunyikan dalam kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu suspek.

Hasil siasatan lanjut, polis kemudian menyerbu rumah lelaki itu dan menemui 6,930 biji pil kuda bernilai RM173,250 yang disorokkan dalam sebuah bilik di rumah terbabit.

Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM30,670 yang dipercayai hasil jualan dadah dan menyita sebuah motosikal jenis Yahama RXZ bernilai RM3,000, katanya.

Roslan berkata pihaknya telah mengenal pasti kesemua anggota sindiket itu dan sedang menjejaki mereka.

Suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap kini ditahan reman sehingga 12 Sept bagi siasatan lanjut mengikut Ssyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

343 Saman Sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri 2011

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu telah mengeluarkan sebanyak 343 saman sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri 2011 bermula pada 14 Ogos lalu.

Pengarah JPJ, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, saman yang dikeluarkan adalah merangkumi 383 jumlah kesalahan dengan pelbagai kategori, termasuk tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh.

Menurutnya, statistik itu diperoleh berdasarkan Ops Hari Raya Aidilfitri bermula 14 Ogos hingga 3 September.

“Mengikut statistik, 343 saman yang dikeluarkan bermula pada 14 Ogos hingga 3 September meliputi motosikal persendirian sebanyak 161 saman, 108 saman bagi motokar persendirian, 33 saman kenderaan berat bawah lima tan dan 34 kenderaan berat lebih lima tan serta tujuh saman untuk bas ekspres.

“Saman yang dikeluarkan berdasarkan kepada pemeriksaan ke atas 4,537 buah kenderaan di semua laluan sepanjang operasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penguatkuasaan perintah larangan kenderaan barangan di laluan utama dua hari sebelum raya, 27 dan 28 Ogos serta dua hari selepas raya, iaitu 3 dan 4 September dipatuhi oleh pemandu dan pemilik syarikat terbabit.

Abdul Rahman berkata, ini susulan kesedaran yang tinggi untuk sama-sama mengurangkan kadar kesesakan dan kemalangan jalan raya semasa musim perayaan.

“Selain memberikan penumpuan kepada jalan utama iaitu di Kilometer (KM) 58 Jerangau-Jabor, KM54 Jalan Sungai Tong-Permaisuri dan KM61 Marang-Dungun, tumpuan juga diberikan kepada laluan lain.

“Antaranya, di laluan selekoh Bukit Bauk, Dungun yang juga antara laluan bahaya terutama pada musim perayaan,” katanya sambil memberitahu operasi akan berterusan sehingga 14 September ini.

Menurutnya, pujian harus diberikan kepada pemandu bas ekspres kerana sepanjang operasi penyamaran yang dilakukan ke atas 22 trip bas yang dipilih secara rawak, pemanduan adalah secara berhemah dan juga sangat mementingkan keselamatan penumpang.

Polis Terengganu Bongkar Taktik Pengedaran Dadah Di Rumah

Taktik seorang lelaki yang menjadikan rumah kawannya sebagai tempat pengedaran dadah akhirnya terbongkar setelah polis menyerbu kediaman tersebut awal pagi Rabu.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.22 pagi di sebuah pangsapuri di Kampung Ladang Gemilang itu, polis menemui 2,620 biji pil kuda yang dianggar bernilai RM65,500 dan wang tunai RM61,550 yang dipercayai hasil jualan dadah.

"Kita berjaya menemui pil berkenaan yang disorokkan di dalam pembesar suara di salah sebuah bilik di rumah itu," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam.

Ketika serbuan itu dilakukan, katanya lelaki itu dan rakannya serta isteri dan anak perempuan rakannya itu yang berumur 10 tahun berada di rumah dan ditahan polis.

Katanya suspek yang berusia 34 tahun menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat pengedaran, manakala rakannya yang berumur 35 tahun yang merupakan pemilik rumah itu menjadi orang suruhannya bagi manghantar bekalan dadah di sekitar Kuala Berang.

Roslan berkata suspek yang bekerja sebagai buruh dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun lalu.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 12 Sept bagi siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Kanak-kanak perempuan tersebut akan diserahkan kepada keluaga terdekat, katanya.

Kes Denggi Menurun Bagi Tempoh 28 Ogos Hingga 3 September

Kes demam denggi bagi tempoh 28 Ogos hingga 3 September lepas, menunjukkan penurunan iaitu daripada 302 kes minggu sebelumnya kepada 126 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata, penurunan itu kemungkinan dipengaruhi cuti perayaan yang mana masyarakat tidak pergi mendapatkan rawatan awal apabila mengalami demam.

Beliau berkata hanya negeri Sabah sahaja yang menunjukkan peningkatan kes iaitu satu kes.

"Orang ramai bagaimanapun diharap tidak mengambil mudah meskipun berlakunya penurunan kes dan mengabaikan kebersihan kawasan persekitaran," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sejumlah 47 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara berbanding 63 lokaliti pada minggu sebelumnya, katanya.

Dr Hasan berkata hanya satu sahaja hot spot dikenal pasti pada minggu ini yang melibatkan 29 kes demam denggi iaitu di Taman Melati Utama, Setapak Kuala Lumpur.

Polis Tahan Tujuh, Rampas Dadah Bernilai RM2.6 Juta Sejak Tiga Hari Lepas

Polis Diraja Malaysia menahan tujuh suspek termasuk empat warga asing serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.6 juta di Lembah Klang dan Terengganu, dalam tempoh tiga hari sejak Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 41 tahun itu membabitkan beberapa sindiket pengedaran dadah.

Bercakap pada sidang media di sini Khamis, Noor Rashid berkata penangkapan pertama membabitkan tiga lelaki termasuk seorang warga Thailand di Bandar Sri Damansara kelmarin, kira-kira pukul 11.15 malam.

"Pada mulanya kita tahan seorang lelaki warga asing yang memandu kereta jenis Toyota Crown. Susulan itu polis menahan dua lagi rakannya di kawasan yang sama.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, kita menjumpai 60 ketulan mampat dadah jenis ganja yang disembunyikan di ruang sulit khas pada bahagian kereta yang telah diubah suai," katanya.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati suspek aktif menyeludup masuk dadah dari Thailand untuk pasaran di sini sejak tiga bulan lepas.

Kes kedua di Lembah Klang ialah penangkapan tiga suspek warga asing termasuk seorang wanita pada 4.15 pagi ini di belakang sebuah stesen minyak di Jalan Duta di sini.

"Pada masa itu dua lelaki telah keluar dari kereta dan cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan. Turut ditahan seorang wanita yang berada di dalam kereta.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta, polis merampas dua beg galas yang berisi 29 ketul dadah jenis ganja dengan anggaran berat 28.1 kg," katanya.

Beliau berkata siasatan ke atas dua lelaki warga Nigeria dan wanita Thailand itu mendapati dadah tersebut dibawa dari Nigeria dan transit di Thailand sebelum dibawa masuk untuk pasaran di negara ini.

Selain itu, Noor Rashid berkata JSJN Terengganu juga berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun kelmarin.

"Pelbagai jenis dadah yang telah kita rampas iaitu 6,930 biji pil WY dengan nilai kira-kira RM173,250, lima botol heroin berjumlah RM5,000 dan wang tunai berjumlah RM31,000," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan reman dan semua kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

17,000 Kad Sim Percuma Kepada Jemaah Haji

Maxis Berhad menawarkan 17,000 kad SIM khas daripada Saudi Telecom Company bagi membolehkan jemaah haji membuat atau menerima panggilan dan khidmat pesanan ringkas di Arab Saudi dengan kadar tempatan.

Menurut satu kenyataan syarikat telekomunikasi itu di sini, kad SIM itu dimuatkan dengan nilai prabayar sebanyak 25 Saudi Riyal dengan masa berbual percuma selama 40 minit.

"Dengan bantuan Tabung Haji, kad SIM ini akan diagihkan secara percuma kepada jemaah haji di beberapa balai berlepas di Selangor, Johor Baharu, Pulau Pinang, Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching," katanya.

Selain itu, jemaah haji yang juga pelanggan pascabayar Maxis boleh menikmati diskaun eksklusif 30 peratus bagi panggilan suara ke Malaysia untuk kedua-dua talian tetap dan mudah alih, sah dari 1 Oktober hingga 15 Disember 2011.

Thursday, September 8, 2011

Tiada Maaf Bagimu Mat Sabu - Azlas, Minah

Azlas Jaafar (kanan) dan Minah Mohammad menunjukkan gambar arwah bapanya, Konstabel Jaafar Hassan yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong di Kuala Terengganu, semalam. - Gambar Harith Fadzillah

Anak kepada Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan yang terbunuh dalam Tragedi Bukit Kepong mempersoalkan mengapa sampai begitu sekali Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu tergamak membela pengganas komunis.

Azlas Jaafar, 62, menegaskan, dia tidak akan memaafkan Mat Sabu yang mengeluarkan kenyataan menghina dan mengguris keluarga anggota keselamatan yang terbunuh semasa menentang komunis dan menganggap kematian mereka seolah-olah tidak bernilai sama sekali.

Beliau menyatakannya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perpindahan, Cendering dekat Kuala Terengganu selepas dikunjungi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semalam.

Pada kunjungan itu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada Azlas dan keluarga selain melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa keluarga itu akibat kekejaman komunis.

Ahmad Said turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan berusaha untuk mencari satu kawasan sesuai bagi didirikan kediaman baru Azlas memandangkan selama ini dia hanya menumpang rumah milik saudaranya di kampung berkenaan.

“Saya sangat sedih dan tidak sangka sama sekali dia (Mat Sabu) sanggup berkata demikian (mengangkat komunis sebagai hero). Saya tak akan maafkan dia. Jangan datang jumpa kami di sini, kami tak mahu dan saya benci dia.

“Dia sepatutnya dikenakan hukuman. Sebenarnya dialah penderhaka dan pengkhianat negara,” katanya.

Turut hadir ialah ibu saudaranya yang juga kakak kepada Allahyarham Jaafar, Minah Mohamad, 85.

Azlas berkata, dia sangat kesal dengan kenyataan keterlaluan yang dikeluarkan Mat Sabu itu tanpa mengambil kira perasaan orang lain khususnya keluarga anggota keselamatan.

Menurutnya, walaupun bapanya terkorban akibat ditembak komunis dalam peristiwa itu semasa usianya baru setahun, apa yang menimpa bapanya itu telah diceritakan arwah ibunya, Seri Ahmad sebelum meninggal dunia pada 1993.

“Memang ketika kejadian saya baru berumur setahun tapi setelah diberitahu ibu saya, arwah bapa adalah seorang pejuang yang mempertahankan negara daripada komunis.

“Biarpun arwah bapa hanya ditembak, tapi ada anggota polis lain yang dibunuh kejam, dibakar dan anggota badan dikerat-kerat. Komunis memang pengkhianat, sangat zalim dan mereka bukannya hero,” katanya.

Azlas berkata, dia hanya mempunyai seorang adik lelaki tetapi meninggal dunia semasa bayi dan dia bersama ibu serta bapanya tinggal di Muar, Johor, negeri kelahiran keluarga sebelah ibunya.

Menurutnya, setelah kematian ibu bapanya, dia dijemput anggota sebelah bapanya di Terengganu dan menetap di Cendering dekat sini sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Utusan Malaysia

Sang Penyu & T 'Team Perlu Terus Menang

Sang Penyu dan T’Team jangan mudah selesa.

Semua perlawanan perlu dilalui secara berperingkat serta tidak boleh memandang mudah pihak lawan.

Harapan peminat dan penyokong bolasepak Terengganu, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mahukan Piala Malaysia dibawa ke Terengganu perlu dipenuhi.

Terengganu akan menentang Selangor PKNS, Sabtu ini di Kuala Terengganu dan T’Team akan berdepan Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Kuala Lumpur sejauh ini mencuri tumpuan dalam saingan Kumpulan D selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menerusi gol sendiri Azrul Azman (44) , Badrul Hisyam Azmi (64) dan Yong Kuong Yong (76).

Sementara Selangor PKNS bagaikan harimau luka selepas gagal mendapatkan mata penuh pada saingan kumpulan B apabila tewas kepada naib juara Piala Malaysia 2010, Negeri Sembilan 1-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya Sabtu lalu.

Semalam jurulatih Terengganu, Irfan Bakti kepada mengingatkan anak buahnya jangan selesa selepas mereka memperoleh tiga mata penuh pada perlawanan pertama Piala Malaysia Kumpulan B menewaskan Sime Darby 3-0 di, kelmarin.

"Sungguhpun kita berjaya memperoleh kejuaraan Piala FA tahun ini, namun itu semua perlu dilupakan sementara ketika sedang mengharungi cabaran Piala Malaysia.

"Saya juga mahu penyakit mudah bangga dengan kelebihan yang ada dibuang daripada diri semua pemain saya. Jangan selesa dengan semua ini sewaktu berhadapan PKNS dan kita perlu menang," kata Irfan.

Sementara T-Team yang sekali lagi mengekalkan rekod tanpa kalah menewaskan Red Giants 1-0 pada perlawanan Kumpulan D Piala Malaysia, kelmarin juga tidak boleh leka dan merasa puas.

Yunus Alif ternyata kecewa sedikit kerana pemain gagal menambah dua gol lagi pada aksi separuh masa kedua di mana lebih banyak peluang yang diperoleh.

Namun, Yunus akui, perlawanan babak pertama begitu sukar apabila pergerakan pemain-pemainnya terhad dengan penguasaan Selangor pada permulaan perlawanan.

"Saya juga ingin memberi kredit kepada barisan pertahanan yang berjaya mengekang asakan bertali arus daripada pemain Selangor," ujarnya.

Yunus berjanji akan menyusun strategi lebih mantap dalam aksi menentang satu lagi pasukan gergasi, Kuala Lumpur di Selayang nanti.

Tengkujuh: Pulau Redang Tutup 4 Bulan Mulai Pertengahan Oktober

Segala aktiviti pelancongan ke Pulau Redang, sebuah pulau peranginan yang terindah di negeri ini akan ditutup selama empat bulan mulai pertengahan Oktober ini.

Setiausaha Persatuan Pengurusan & Operator Kepulauan Redang Terengganu, Lorenz Law berkata, ini berikutan musim tengkujuh di Pantai Timur pada waktu itu.

"Segala aktiviti pelancongan akan ditangguh sementara dan semua calet dan resort juga akan menggunakan tempoh itu untuk menjalankan pengubahsuaian,” katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Lorenz berkata, kesemua 16 resort di Pulau Redang akan menyambung semula operasi mereka selepas 1 Mac 2012..

Tiga Pemain T-Team Terima Pampasan Perkeso

Mohd. Norfarhan Muhammad (dua dari kiri) diasak dengan tiga pemain Selangor dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.

Tiga pemain pasukan bola sepak T-Team yang cedera ketika menjalani sesi latihan dan semasa beraksi menentang pasukan lawan menerima pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semalam.

Mereka ialah pemain penyerang Nor Farhan Muhammad, pemain pertahanan Sobri Sulong dan penjaga gol Syamsuri Mustafa yang masing-masing menerima cek untuk ketegori hilang upaya sementara (HUS), dalam satu majlis yang diadakan di Majlis Sukan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu.

Timbalan Pengarah Perkeso Terengganu, Norihan Ibrahim berkata jumlah pampasan yang diberikan adalah berdasarkan tempoh cuti sakit yang mereka perolehi.

"Bagi Nor Farhan selama 12 hari, Sobri selama 30 hari manakala Syamsuri selama 94 hari. Nor Farhan menerima RM994, Sobri RM2,360 dan Syamsuri sebanyak RM7,394," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek tersebut.

Beliau juga berkata semenjak Januari hingga Ogos lalu, Perkeso menerima 431 kes tuntutan bagi Skim Bencana Pekerjaan HUS dan telah membuat bayaran sebanyak RM451,091.

Beberapa Kawasan Dilanda Jerebu Akibat Tiada Hujan - JAS

Beberapa kawasan di negara ini akan dilanda jerebu selama beberapa hari kerana tidak menerima hujan untuk lima hari berturut-turut.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia kawasan berkenaan ialah Arau (Perlis), Kota Setar (Kedah), Seberang Perai Utara (Pulau Pinang), Kinta dan Manjung (Perak), Kepong, Klang, Petaling dan Sabak Bernam (Selangor), Batu Pahat (Johor) dan Miri (Sarawak).

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) malam ini keadaan berjerebu yang melanda sekitar kawasan Lembah Klang, negeri-negeri di utara Semenanjung, Melaka, Negeri Sembilan dan beberapa daerah di Pahang pagi ini disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan akibat kebakaran yang berlaku di Sumatera, Indonesia.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan diminta bekerjasama memadamkan kebakaran kecil serta melaporkan aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

JAS juga mendapati kualiti udara di kebanyakan tempat di seluruh negara hari ini mencatat paras sederhana pada sebelah pagi.

Sehingga 11 pagi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di 14 kawasan mencatatkan paras baik dan 38 mencatatkan IPU sederhana.

Antara kawasan yang mencatatkan IPU sederhana ialah Shah Alam, Selangor (84), SK Jalan Pegoh, Ipoh, Perak (83) dan Pelabuhan Klang (81) manakala kawasan yang mempunyai IPU sihat, Sarikei, Sarawak (30), Sri Aman, Sarawak (31) dan Kuching, Sarawak, (32).

Telaga Air Digali, Gas Pula Yang Keluar

Penduduk kampung cuba menyalakan api daripada gas bawah tanah di Kampung Padang Machang Manir, Kuala Terengganu, semalam.

Seorang penggali perigi terkejut apabila telaga yang digalinya untuk menyalurkan air paip ke sebuah rumah di Kampung Padang Macang, Manir, dekat Kuala Terengganu, mengeluarkan gas.

Lebih mengejutkan Musa Omar, 48, ialah gas yang keluar dari telaga yang digali sedalam 11 meter itu itu mampu menyalakan api.

Menurut Musa, beliau diupah oleh tuan rumah yang merupakan imam di masjid kampung terbabit untuk menggali sebuah perigi berhampiran rumahnya.

Katanya, beliau memulakan kerja menggali telaga itu seorang diri pada 9 pagi semalam tetapi apabila sampai di kedalaman tersebut, beliau terdengar satu bunyi pelik.

"Kemudian saya memasukkan sebatang paip PVC dan secara tiba-tiba terdengar bunyi seakan bunyi gas,” katanya ketika ditemui di kampung itu semalam.

Menyedari keadaan itu, beliau cuba menyalakan api dengan menggunakan pemetik api di corong paip PVC dan ternyata ia mampu menyalakan api, walaupun gas yang keluar itu tidak mengeluarkan sebarang bau.

Wednesday, September 7, 2011

Subang Pesaka Nenek Lumpuh Dilarikan

Seorang nenek berusia 81 tahun yang lumpuh kehilangan sepasang subang pesaka akibat dirompak oleh lelaki tidak dikenali di rumahnya di Kampung Titian Hangus di Kuala Terengganu semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.00 petang, mangsa Manong Salleh yang lumpuh bahagian pinggang ke bawah sedang duduk seorang diri sambil melipat baju sebelum didatangi oleh seorang lelaki yang pada mulanya disangkakan anak saudaranya.

Menurut mangsa, pada ketika itu, pintu rumahnya yang uzur itu berkunci dari dalam, namun dengan mudah dapat dibuka oleh lelaki berkenaan.

"Lelaki yang menutup mukanya dengan tuala menyerbu masuk rumah dan kemudian terus mengilas tangan makcik ke belakang dan menyembamkan muka makcik ke lantai sebelum merentap subang pesaka yang diwarisi daripada arwah emak makcik, dan melarikan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Maidam Tunggu Laporan Lengkap Kejadian Ribut

Seorang penduduk, Fatimah Musa bersama anaknya, Mohd. Nazor Abd. Bakar mengemas rumah mereka yang berselerak akibat dilanda ribut di Kampung Pulau Kerengga, Marang.

Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu menyediakan peruntukan khas bencana dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat negeri ini akibat bencana alam.

Pengerusi Maidam, Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata, pihaknya menyediakan peruntukan khas kepada mangsa bencana sebagaimana sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, bantuan itu masih belum dapat diagihkan kepada mereka yang terlibat memandangkan Maidam masih belum menerima laporan lengkap berhubung kejadian ribut yang berlaku minggu lalu.

“Kita masih menunggu laporan lengkap berhubung perkara itu dan akan mengkaji bentuk bantuan yang bakal disalurkan kepada mereka.

“Justeru, kita berharap mereka yang terlibat dapat bersabar sebelum bantuan yang sepatutnya dapat disalurkan,” katanya ketika ditemui pada Program Taklimat Pelajar-pelajar Tajaan Maidam ke Universiti di Jordan yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung bentuk bantuan yang bakal disalurkan kepada mangsa kejadian ribut di daerah Marang, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu yang melibatkan hampir 80 buah rumah penduduk.

Pada 2 September lalu, sebanyak 16 rumah penduduk di Rhu Rendang, Marang mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung apabila dipukul ribut setelah hujan lebat dan angin kencang bermula jam 3.30 petang.

:Manakala pada 3 September pula sebanyak 52 rumah penduduk mengalami kerosakan pada bahagian atap dalam kejadian ribut yang berlaku di Padang Midin, Kuala Terengganu.

Sementara itu di Kampung Kubang Palas, Hulu Terengganu, sebanyak 13 rumah rosak teruk dibahagian atap dalam kejadian sama dan turut mencederakan bahagian kepala seorang penduduk yang berusia awal 30-an akibat dihempap kayu.

Sinar Harian

Tiada Pencemaran Radioaktif Dikesan di Malaysia – Maximus

Tiada pencemaran radioaktif dikesan di Malaysia setakat ini selepas insiden nuklear 11 Mac di Stesen Kuasa Nuklear Daiichi Fukushima, Jepun, demikian disahkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Bagaimanapun, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) akan meneruskan dengan sampel bulanannya, terutama untuk air laut seluruh Malaysia di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Mersing, Kuching, Labuan dan Kudat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, AELB sebagai sebahagian daripada prosedur standard, terus memantau paras radiologi persekitaran seluruh negara menerusi Sistem Pemantauan Radiologi Alam Sekitar.

Sistem itu terletak di tujuh tapak (Chuping, Ipoh, Senai, Melaka, Kuantan, Sri Aman dan Kudat).

"Pembacaan di tapak-tapak ini terus menunjukkan paras yang normal dan selamat untuk semua,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Paras syarat Malaysia yang disifatkan selamat untuk orang ramai ialah 0.5 mikro-Sievert setiap jam.

SMS Ugut Bunuh - Dr Ramzi Bersalah Terhadap Semua 8 Pertuduhan

http://teganukini.blogspot.com/

Tuduhan atau dakwaan berkaitan perkara lain tidak penting.

Walaupun dakwaan membabitkan ‘mengancam kematian’, itu adalah terhadap ‘rakan-rakannya’.

Yang penting ialah dakwaan fitnah oleh bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu (Dato’ Seri Idris Jusoh), Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir terhadap bekas setiausaha sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahamad Wan Muda, yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) kononnya menghantar SMS ugutan itu melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad sendiri.

Dakwaan ini sangat serius kerana seperti laporan-laporan sebelum ini bahawa ia mendatangkan kesan besar.

Pertama, tuduhan atau dakwaan itu ada kaitan dengan pemulauan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh sebilangan besar ADUN Barisan Nasional;

Kedua, dakwaan itu mengatakan keadaan keselamatan ADUN BN ‘tidak selamat’ seolah-olah ada pihak terte
ntu di Terengganu pada ketika itu sedang mengancam nyawa ADUN-ADUN BN;

Ketiga, dakwaan itu ada kesan terhadap kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kerana ketika tuduhan dibuat, Wan Ahmad ialah Setiausaha Sulit Kanan;


Keempat, dakwaan itu berat kerana akibat SMS itu, ADUN BN memulaukan sidang DUN di sebuah negeri yang diperintah oleh BN bukan pembangkang sehingga berlaku ‘campur tangan Putrajaya’;

Kelima dakwaan terhadap Wan Ahamad itu ada unsur penentangan politik oleh penentang Ahmad Said ketika kejadian berkenaan;


Keenam, akibat tuduhan SMS kononnya daripada telefon bimbit Wan Ahmad, BN dan kerajaan BN pimpinan Ahmad Said jadi ‘bahan ketawa’ pembangkang dan ini memalukan BN;


Ketujuh, perbuatan menghantar SMS ini menganggu-gugat pentadbiran Ahmad Said beberapa bulan, malah Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN terpaksa mengarahkan ADUN BN masuk persidangan DUN berkenaan; dan


Kelapan, persekongkolan sesetengah ADUN BN yang kononnya mereka tidak selamat serta memulaukan sidang DUN menggambarkan tindakan ‘boikot’ sesama BN adalah cubaan memalu dan menggugat pentadbiran pimpinan Ahmad Said.


Pihak pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam berjaya membuktikan terdapat `prima facie’ berhubung kes `ugutan bunuh melalui SMS’ yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu (Dato’ Seri Idris Jusoh), Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir itu.

Dengan bahasa yang mudah, Dr Ramzi didapati bersalah dalam semua lapan pertuduhan kes ‘SMS Ugut Bunuh’ berkenaan.

Sehubungan itu, tertuduh Dr Ramzi diarahkan membela diri pada tarikh yang ditetapkan Hakim M Bakri Abd Majid pada 10 hingga 13 Oktober dan 24 hingga 27 Oktober 2011.

M Bakri berkata, segala keterangan terhadap tertuduh Dr Ramzi sebelum ini berjaya membuktikan terdapat `prima facie’ dan beliau diarahkan membela diri pada tarikh 10 hingga 13 Oktober dan 24 hingga 27 Oktober 2011.

Tertuduh, Datuk Dr Ahmad Ramzi didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April 2009 lalu, di E 726 Kampung Kubang Parit., Kuala Terengganu.

Datuk Dr Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Adun Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Adun Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ahmad Ramzi mengancam untuk mendatangkan kematian kepada ketiga-tiga Adun berkenaan.

Dia turut didakwa memfitnah bekas setiausaha sulit Menteri Besar Terengganu, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan, dengan menghantar SMS ugutan itu melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Dato’ Wan Ahamad.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kini kebenaran kepada Wan Ahamad dan Ahmad Said semakin menyerlah.

Kita tunggu apa akan jadi kepada Dr Ramzi dan mentornya, Datuk Seri Idris Jusoh.

Selain itu apakah ‘rakan-rakan’ yang berkomplot denganya masih melihat Dr Ramzi sebagai orang penting untuk politik mereka?

Apakah mereka akan terus mengelilingi Idris?