Saturday, November 12, 2011

BN Terengganu Belum Tentukan Nama Calon DUN, Parlimen- Ahmad Said

(EKSLUSIF)Tiada sebarang nama yang sudah dicadang atau dipertimbangkan sebagai calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu untuk menghadapi pilihan raya umum sehingga kini.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan semua pemimpin dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) Terengganu jangan terperangkap dan terpengaruh dengan dakyah bahawa calon untuk pilihan raya sudah diputuskan.

Elakkan bercakap atau mendengar cakap mengenai siapa jadi calon dan sebagainya kerana masa ini perlu digunakan untuk memenangi hati rakyat, katanya.

Kerana itu, Ahmad Said mahu semua pihak bekerja keras sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke 13 (PRU13) dan isu calon tidak wajar dibincangkan langsung.

“Saya bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak malam kelmarin dan beliau menasihatkan supaya semua anggota UMNO dan BN jangan bercakap mengenai calon tetapi persediaan serta gerak kerja untuk menjamin BN terus menjadi kerajaan Pusat dan negeri.

“Tidak timbul langsung soal nama calon dikemukakan atau dinilai ketika ini. Di Terengganu, tidak seorang pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen atau Pegawai pembangunan DUN ditukar atau digugurkan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu pada pertemuan dengan semua Ahli Parlimen, ADUN serta Pegawai Pembangunan Parlimen dan DUN di sebuah hotel di Kuala Terengganu malam semalam.

Semua Ahli Parlimen, ADUN dan Pegawai Pembangunan Parlimen dan DUN hadir kecuali tiga Ahli Parlimen iaitu Kemaman, Setiu serta Kuala Nerus selain ADUN Jerteh serta Langkap.

Ahmad Said berkata, ketika pelbagai pihak membuat spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan semalam bersamaan 11,11,2011, BN Terengganu menggunakan tarikh itu untuk merangka strategi dan merapatkan perpaduan di kalangan ADUN dan Ahli Parlimen untuk bekerja dalam satu pasukan.

Beliau yakin jika semua pemimpin BN dan UMNO meningkatkan usaha, BN Terengganu tidak ada masalah untuk mengekalkan kuasa.

Malah, difahamkan UMNO Pusat dan Presiden UMNO sendiri berpuas hati dengan gerak kerja UMNO Terengganu.

Ahmad Said meminta semua yang hadir pada pertemuan malam semalam mengelakkan sebarang krisis dalaman sama ada pada peringkat bahagian, cawangan atau juga setempat.

“Yang penting, kita menguruskan parti dengan baik dan elak perpecahan. Untuk ketika ini turun padang dan bertemu rakyat untuk menawan hati mereka,” katanya.

Mengikut Sujuhanjaya Pilihanraya, sehingga suku kedua tahun ini, Terengganu mempunyai pengundi seramai 597,631 dan 106,159 daripadanya adalah pengundi baru.

4 Bengkel Projek ATOM Sedang Disiapkan di Terengganu

Sebanyak 53 bengkel kenderaan projek Pemodenan Bengkel Automotif dikenali sebagai ATOM akan siap sebelum akhir tahun ini melebihi sasaran 50 bengkel setahun, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu 10 bengkel telah pun siap manakala 43 lagi masih dalam proses pengubahsuaian.

Bengkel yang dalam proses pengubahsuaian ialah di Pulau Pinang (14), masing-masing enam di Kedah dan Selangor, empat tiap satu di Terengganu dan Pahang, Perak (3), dua di Johor dan juga Melaka dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,"Katanya, 10 bengkel itu ialah lima di Pulau Pinang, tiga di Johor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bengkel projek Atom, Speedlodge Auto Services, di Kuala Lumpur semalam.

Ismail Sabri berkata Atom merupakan program di bawah Aktiviti Utama Ekonomi Negara (NKEA) untuk memoden dan mentransformasikan sektor industri khidmat selenggara dan pembaikan automotif yang bertaburan serta tidak tersusun.

Beliau berkata projek ini dijangka dapat membantu meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (GNI) kepada RM1.1 bilion setahun dan memberi lebih 9,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM30 juta tahun ini sebagai pinjaman mudah sehingga RM100,000 kepada setiap pemilik bengkel yang terpilih menyertai projek Atom ini.

Pinjaman katanya akan diselenggara oleh Bank Rakyat dengan faedah pinjaman tiga peratus kepada bengkel yang memenuhi kriteria tertentu seperti beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

RRSB Tawar Pengajian Perubatan Dengan Kos Murah Di Rusia

Bagi sesiapa yang berminat untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Rusia, Russian Resources Sdn Bhd (RRSB) sedia membantu dengan menawarkan pengajian perubatan dengan kos berpatutan.

Syarikat yang bernaung di bawah Kedutaan Rusia di Malaysia itu kini giat menjalankan promosi kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) termasuk yang berkelulusan Matrikulasi bagi mengikuti bidang tersebut di Rusia.

Ketua Kanan Unit Pemasaran RRSB, Eswin Woo berkata RRSB yang telah beroperasi sejak 14 tahun lalu, setakat ini telah menghantar lebih 2,500 pelajar Malaysia di tiga buah universiti pilihan di Rusia iaitu Moscow State Medical University, Nizhny Novogorod State Medical Academy dan Volgograd State Medical University.

Sehingga kini lebih 1,000 pelajar yang diuruskan oleh RRSB sejak 1998 telah pun kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di hospital-hospital di seluruh negara.

Katanya pihaknya kini membantu menawarkan tempat dalam bidang tersebut dengan bayaran yang berpatutan berbanding dengan kadar yang dibelanjakan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta untuk menghantar pelajar di dalam atau di luar negara.

Katanya keupayaan RRSB tidak perlu diragukan kerana operasi penghantaran pelajar ke ketiga-tiga universiti itu diakui sepenuhnya oleh Badan Perubatan Malaysia (MMC) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Kami menyedari keinginan ramai generasi muda yang disokong oleh ibu bapa untuk menjadi doktor tetapi oleh sebab faktor-faktor tertentu seperti tidak terpilih dan perbelanjaan yang tinggi, mereka terpaksa membuat pilihan kedua.

"Justeru, RRSB ingin membantu dengan sama-sama berusaha untuk merealisasikan cita-cita mereka melalui program yang dikelolakan ini," katanya di Besut.

Menurutnya RRSB menyediakan dua program untuk menyertai bidang perubatan di tiga buah universiti di Rusia itu untuk tempoh antara enam dan tujuh tahun.

Bagi mengekalkan mutu dan setaraf dengan syarat yang telah ditetapkan oleh universiti pilihan RRSB itu calon SPM yang ingin mengikuti pengajian perubatan mestilah sekurang-kurangnya memperolehi B dalam mata pelajaran Biologi, Kimia, Fizik, Matematik dan Matematik Tambahan.

Manakala bagi calon STPM atau Matrikulasi pula perlu memiliki kelulusan 3B atau CGPA 3.0 untuk mata pelajaran Sains dan bagi A Level pula perlu mempunyai 3B untuk mata pelajaran Sains termasuk SPM.

Eswin berkata mereka yang mempunyai kelulusan SPM perlu melalui Program Praperubatan terlebih dahulu dan setelah lulus boleh meneruskan pengajian ke Tahun 1 sehingga Tahun 6.

Katanya pihak universiti di Rusia juga menerima calon yang mempunyai kelulusan peringkat South Australian Matriculatin (SAM), Canadian Preuniversity(CPU) dan Unify Examination Council Taiwan (UEC).

Beliau menambah yang paling menarik dalam program pembelajaran bidang perubatan yang disediakan di Rusia di bawah kelolaan RRSB berbanding pihak lain ialah kos perbelanjaan dan hostel untuk selama enam tahun pengajian ialah hanya RM120,000 bagi Nizhny Novogorod State Medical Academy dan Volgograd State Medical University dan RM210,000 untuk Moscow State Medical University berbanding IPTA atau IPTS di dalam mahupun luar negara yang antara RM500,000 hingga RM1 juta.

"Tidak seperti pengajian perubatan di tempat lain, bagi universiti di bawah urusan RRSB ini, yuran pengajian dibayar dari tahun ke setahun dan bukan sekaligus," katanya.

Menurutnya kos tersebut bagaimanapun tidak termasuk kos sara hidup seperti makan dan minum pelajar yang dianggarkan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Eswin berkata setelah mendapat tempat belajar dari mana-mana satu daripada tiga universiti di Rusia itu ibu bapa hanya perlu menyediakan kos perbelanjaan belajar bagi tahun pertama sahaja manakala pihak RRSB akan membantu pelajar bagi mendapatkan pinjaman di tahun kedua dan seterusnya.

Menurutnya, buat masa ini promosi giat dilakukan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada akhir tahun ini bagi memastikan mereka yang berkelulusan STPM atau Matrikulasi serta A Level boleh memulakan pengajian pada bulan Mac setiap tahun dan bagi pelajar lulusan SPM bermula September.

Katanya setakat ini kesemua pelajar lepasan pengajian perubatan dari ketiga-tiga buah universiti kelolaan RRSB itu tidak menghadapi masalah untuk pulang menjadi doktor di Malaysia kerana kelulusan mereka diiktiraf sepenuhnya oleh kerajaan.

Beliau berharap program tersebut akan terus mendapat sambutan daripada pelajar terutamanya pelajar Melayu yang hanya sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja kemasukan setahun berbanding kaum Cina dan India.

Menurutnya bagi memudahkan sesi kaunseling dan promosi, RRSB telah melantik beberapa individu sebagai pegawai pemasaran di Pantai Timur iaitu Roslan Adi (013-9801601), Mohamad Mohd Taib (013-9811040) dan Adnan Ibrahim (019-9441701) bagi Terengganu serta Noran Abdullah (012-9888025) bagi Kelantan untuk berurusan dengan pelajar.

Maklumat juga boleh dilayari melalui laman sesawang www.russian-resources.com atau melalui laman FaceBook di alamat: 1 want to study in Russia.

Berbasikal Wajar Jadi Trend Remaja

Rozi Mamat (tiga dari kanan) mengetuai 600 peserta Karnival Kayuhan Rapat 1Malaysia di Dataran Batu Buruk, kelmarin.

Kerajaan negeri yakin kegiatan berbasikal dalam kalangan remaja menjadi trend baharu dan formula paling berkesan bagi menangani gejala lumba haram dan mat rempit di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pada masa yang sama, kegiatan itu dapat membantu melahirkan generasi sihat selain mengalih perhatian mereka daripada terbabit dalam aktiviti tidak berfaedah.

Beliau seterusnya menyokong minat serta kecenderungan golongan remaja di negeri ini yang melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal walaupun sanggup mengeluarkan belanja besar.

"Ada peserta sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk membeli sebuah basikal, ini satu pendekatan bijak untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti lebih berfaedah," katanya.

Beliau berucap merasmikan Karnival Kayuhan Rapat 1Malaysia di Dataran Batu Buruk di Kuala Terengganu, kelmarin.

Karnival anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri (Jasa) Terengganu dan Kelab Belia Generasi Prihatin itu disertai kira-kira 600 peserta melibatkan kayuhan sejauh 20 kilometer dengan mengelilingi bandar raya itu.

Menurut Rozi, aktiviti kayuhan basikal secara beramai-ramai adalah cara terbaik bagi mengurangkan kegiatan perlumbaan haram yang sering dikaitkan dengan golongan remaja di negeri ini pada setiap hujung minggu.

Utusan Malaysia

Petronas Nafi Diserbu SPRM

Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menjelaskan bahawa tiada serbuan dilakukan terhadap syarikat minyak dan gas negara itu dan tiada fail atau dokumen diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Petronas dalam satu kenyataan berkata lawatan SPRM adalah sebahagian daripada prosedur operasi standardnya selepas menerima aduan.

"Pegawai SPRM berada di ibu pejabat Petronas baru-baru ini untuk memudahkan prosedur laporan maklumat pertamanya, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard agensi itu berikutan sebarang aduan mengenai dakwaan salah laku," kata kenyataan itu.

Sebelum itu, portal berita melaporkan bahawa SPRM menyerbu Petronas sejak minggu lalu selepas menerima maklumat berhubung dakwaan rasuah oleh juru perunding projek yang bekerja dalam usaha eksplorasi dan pengeluaran di perairan Malaysia.

"Petronas ingin mengulangi komitmen penuhnya dan berpegang kepada proses dan prosedur yang diiktiraf antarabangsa dalam proses tender dan kerja dan mempunyai dasar tidak bertolak ansur terhadap amalan rasuah," kata kenyataan itu.

Guna M uzik, Spa Rawat Penagih Dadah

Golongan penagih yang mendapatkan rawatan di Klinik Cure & Care 1Malaysia di Sungai Besi di sini memperkenalkan alternatif terbaharu menggunakan muzik dan spa untuk merawat penagih dadah.

Pengarah klinik berkenaan, Hadijah Baba berkata, kaedah itu dipercayai dapat membantu merawat penagih dadah selain kaedah-kaedah lain yang pernah digunakan sebelum ini.

Menurutnya, pengunaan muzik boleh menghilangkan tekanan kepada penagih yang mungkin akan merasa lebih selesa dengan bunyi-bunyian.

Sementara itu, katanya, spa pula dapat memberi kelegaan kepada golongan tersebut apabila toksik yang terdapat dalam badan mereka boleh dikeluarkan.

“Muzik dan spa merupakan alternatif rawatan yang dipercayai berkesan untuk memulihkan penagih dadah berdasarkan daripada beberapa kajian yang dilakukan oleh klinik tersebut sebelum ini,” katanya.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Tidak Bincang Tarikh Pilihan Raya

Spekulasi kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 dipanggil pada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam ternyata tidak menjadi kenyataan.

Najib berkata tarikh 11.11.11 berlalu tanpa Parlimen dibubarkan, dan mesyuarat hari ini langsung tidak membincangkan mengenai tarikh pilihan raya tersebut.

Presiden Umno dan Pengerusi BN itu berkata ia cuma membincangkan usaha yang boleh dibuat untuk memperkuatkan BN supaya parti lebih mantap untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

"Kita juga bincang pentingnya kita kembali kepada semangat dan prinsip BN iaitu hormat menghormati antara satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Menurutnya, perbincangan melibatkan ketua parti-parti komponen BN itu juga tertumpu kepada hal kepentingan bersama.

"Ini supaya kita dapat cari kata sepakat untuk tangani apa juga isu sama ada sensitif atau sebaliknya," kata Najib.

Beliau menegaskan ada kenyataan mengenai parti dan isu tertentu boleh dibuat secara terbuka tetapi jangan sampai menyentuh sensitiviti parti dan pihak lain.

Beliau turut ditanya mengenai kedudukan MCA yang dilaporkan tidak menyokong cadangan membenarkan warga Malaysia di luar negara mengundi pada pilihan raya umum akan datang kerana dikatakan tidak mengikuti perkembangan semasa di tanah air.

Najib berkata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah menjelaskan perkara itu kepadanya.

Apa yang dijelaskan ialah kekhuatiran MCA berhubung kesukaran melaksanakan perkara itu yang mungkin membabitkan masalah lojistik memandangkan pengundian membabitkan kira-kira 800 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

"Jadi BN tidak menentangnya tetapi BN mahu mengetengahkan kesukaran besar dalam melaksanakannya, kata Najib.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat itu, Dr Chua berkata jika cadangan itu dilaksanakan, ia akan membabitkan penghantaran kira-kira 800 peti undi ke luar negara.

Beliau menjelaskan perlu juga ada wakil dari parti terbabit dan pemerhati bebas, dan itu semua melibatkan kos yang besar.

MCA khuatir keadaan itu akan menimbulkan keraguan dan tohmahan tentang kesahihan pengundian, katanya.

19 Pasangan Tionghua Pilih 11.11.11 Untuk Berkahwin

Sebanyak 19 pasangan pengantin berketurunan Tionghua memilih untuk mengabadikan detik bersejarah melangsungkan perkahwinan pada tanggal 11.11.11 (11 November 2011).

Daripada jumlah itu, 12 pasangan merupakan pengantin baru yang berkahwin hari ini manakala tujuh lagi pasangan sudah berkahwin tetapi mendaftar semula perkahwinan mereka.

Majlis perkahwinan beramai-ramai itu bermula pada 10 pagi berlangsung meriah di bangunan Persatuan Buddha Terengganu (TBA) di Kuala Terengganu.

Presiden TBA, Wong Choon Kheng dan isteri, Chia Siew Hoon serta Naib Pengerusi, Chong Jun Hwa bersama pasangannya, Lee Beng Ong serta Setiausaha Agung persatuan itu, Soon Gin Leong dan isteri, Ong Yok Lan turut mendaftar semula perkahwinan masing-masing.

Ia turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar, Datuk Toh Chin Yaw.

Bagi pasangan pengantin baru, Pang Jia Ming, 24, dan isterinya, Poh Su Ting, 20, mereka memilih tarikh unik 11.11.11 untuk disatukan sebagai suami isteri.

Jia Ming, usahawan dalam bidang pertanian dan Su Ting, akauntan berkata mereka merancang untuk memilih tarikh itu untuk dijadikan kenangan paling indah dalam hidup mereka.

Sementara itu, pasangan Lim Beng Thian, 75, dan isteri, Ong Eng Cheng, 64, yang telah berkahwin sejak 37 tahun lalu mendaftar semula perkahwinan mereka sempena tarikh 11.11.11 yang dianggap 'bersejarah'.

Malah menurut Beng Thian, 11 November juga merupakan tarikh bermulanya dia mengenali isterinya, Eng Cheng sehingga membawa mereka mendirikan rumahtangga.

"Tarikh ini (11.11.11) sangat (ong) (bertuah), walaupun dah lama kahwin tapi kami daftar semula hari ini sebagai satu kenangan paling indah," katanya sambil menambah, hasil perkongsian hidup dengan Eng Cheng, mereka dikurniakan dua anak dan tiga orang cucu.

Sementara itu, seramai 19 bayi '11.11.11' selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini setakat pukul 2 petang tadi.

Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Anwar Sulaiman berkata daripada jumlah itu sembilan bayi lelaki dan 10 bayi perempuan selamat dilahirkan dan dua daripadanya bersalin melalui pembedahan.

Katanya bayi pertama selamat dilahirkan pada pukul 12.39 pagi merupakan bayi perempuan seberat 4.06 kilogram diikuti bayi kedua yang lahir kira-kira 11.18 pagi juga bayi perempuan.

Zaidah Ibrahim, 39, ketika ditemui pemberita melahirkan rasa gembira dan bersyukur dan tidak menyangka akan bersalin pada hari ini yang mempunyai angka menarik.

Agong Rasmi Hotel Wakaf Pertama Di Malaysia Bernilai RM256.4 Juta

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Jumaat berkenan merasmikan hotel wakaf pertama di Malaysia bernilai RM25.6 juta di Pantai Puteri, Tanjung Keling di Melaka.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Sementara itu Jamil berkata kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM256.4 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

"Ini bagi melaksanakan projek-projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal di atas hartanah wakaf yang berpotensi serta strategik di seluruh negara.

"Usaha murni ini dilestarikan lagi dalam RMK-10 tahun 2011 dan 2012 di mana JAWHAR telah diberi peruntukan sebanyak RM72.76 juta bagi melaksanakan 10 projek sambungan," katanya ketika berucap di majlis Perasmian Hotel Pantai Puteri semalam.

Jamil Khir berkata wakaf merupakan satu instrumen penting dalam usaha memperkasakan sosioekonomi ummah secara produktif melalui penggunaan tanah wakaf secara optimum.

Katanya sebanyak 16 projek fizikal di bawah RMK-9 dilaksanakan dengan persetujuan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaku pemegang amanah tunggal hartanah wakaf di setiap negeri mengikut fokus utama pembangunan Islam seperti ekonomi, kesihatan, pendidikan, perumahan dan agama.

Katanya rakyat di negara ini bakal menikmati pelbagai manfaat hasil pembangunan wakaf di seluruh negara selaras dengan teras ketiga RMK-10 iaitu menangani masalah ketidaksamaan sosio ekonomi secara membina dan produktif.

Hotel Pantai Puteri yang merupakan projek kerjasama JAWHAR dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) ini mula dibina pada 15 Januari 2009 dan merupakan salah satu daripada empat rangkaian hotel wakaf selain tiga buah lagi yang masih dalam pembinaan iaitu di Taiping, Port Dickson dan Kuala Terengganu.

Hotel wakaf setinggi tujuh tingkat yang dibina di atas tanah seluas 0.58 hektar itu mempunyai 87 bilik penginapan dan dilengkapi dengan kemudahan yang setanding hotel bertaraf tiga bintang.

Friday, November 11, 2011

Kerajaan Terengganu Akan Buka Dua Lagi Sekolah Imtiaz

Berikutan permohonan untuk memasuki Sekolah Menengan Imtiaz (SMI) mencatatkan peningkatan ketara, kerajaan negeri membuat keputusan akan membuka dua lagi SMI.

Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah berkata, dua SMI berkenaan ialah di daerah Setiu dan Marang.

Tambahnya, hari ini SMI mempunyai kekuatan bersaing dipersada pendidikan sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negeri.

Keadaan ini katanya, telah meletakan kepercayaan pelajar dan ibu bapa kepada sekolah berkenaan sebagai pilihan utama dan jumlah permohonan kemasukan tahun ini melebihi 2036 orang.

Menurut Mazlan, sambutan ibu bapa begitu menggalakan kepada sekolah ini selain pendekatan pembelajaran di SMI Terengganu yang membudayakan al-Quran mampu membentuk peribadi cemerlang di kalangan pelajar.

Malah, menurutnya, ia wajar dicontohi pelbagai pihak kerana anak-anak pada masa kini adalah pewaris bangsa dan bakal pemimpin ummah pada masa akan datang.

Katanya, pembudayaan al-Quran dapat menghasilkan generasi pintar Quran serta mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dan seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

“Sistem pembelajaran yang meletakkan Al-Quran sebagai teras pembelajaran dalam mendidik pelajar supaya mampu menguasai pelbagai disiplin ilmu, bahasa dan kemahiran,” katanya di majlis Anugerah Graduasi 2011 Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Sehubungan itu , kerajaan turut menyumbang RM 185,000.00 kepada 185 hafiz dan hafizah sekolah menengah Imtiaz yang telah berjaya khatam menghafaz 30 juzuk al-Quran pada majlis Anugerah Hafazan yang berlangsung baru-baru ini.

Katanya, kecemerlangan pelajar di SMI yang wajar dicontohi dan berbangga sekolah ini tidak pernah ketandusan melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang al-Quran.

Tambahnya, berkat usaha gigih semua pihak, SMI Besut telah mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi kategori berasrama penuh kerajaan negeri yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Februari lalu.

“Pengiktirafan juga turut diterima oleh SMI Kuala Terengganu di bawah anugerah New Deal dan Cluster School,” katanya.

Keputusan ke SMS Ugut Bunuh Diketahui 28 November

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menetapkan keputusan kes ugutan bunuh melalui SMS yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Datuk Seri Haji Idris Jusoh, iaitu Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd Zubir, pada 28 November depan.

Perbicaraan kes tersebut menyaksikan lebih 20 saksi memberi keterangan mereka di mana kes itu dikendalikan Hakim M.Bakri Abd.Majid.

Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Tertuduh diwaklili peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman manakala pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz.

Teganukita

Atlet Terengganu Ramai Wakili Negara Ke Sukan SEA

Atlet dari Terengganu dikatakan paling ramai mewakili negara ke Sukan SEA di Indonesia.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, seramai 55 orang atlet atau 11.03 peratus daripada keseluruhan atlet negara ke sukan dwitahunan itu adalah dari Terengganu.

"Kita negeri yang paling besar penyumbang kepada atlet negara untuk bersaing di peringkat sukan SEA yang berlangsung di Jakarta dan Palembang," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata atlet Terengganu mewakili acara bola lisut, kenu, silat, basikal, sepak takraw, judo, olahraga, bola sepak, memanah dan lawang pedang.

Kerajaan negeri memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap atlet dari Terengganu ke sukan itu, katanya.

Ahmad berkata empat atlet Terengganu iaitu dua dari cara lumba basikal dan dua atlet memanah turut layak mewakili negara ke Olimpik 2012.

Mereka ialah Azizol Hasni Awang dan Fatihah Mustapa dari acara berbasikal dan Khairul Anwar Mohamad serta Nurul Syafiqa Hashim dari acara memanah.

Seorang lagi pelumba basikal Mohamad Adiq Husainie Othman pula termasuk dalam program "Road to London".

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberi sumbangan kepada atlet berkenaan sebelum mereka bertolak ke London nanti.

Sekolah Menengah Imtiaz Perkenal Anugerah Khas MB

Ahmad Hazarul Afiq Mohd Zainun, 17, pelajar Tingakatan Lima Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Yayasan Terengganu, Dungun menerima Anugerah Khas Menteri Besar yang pertama kali diperkenalkan tahun ini.

Ahmad Hazarul Afiq turut terpilih menerima Anugerah Khas Ulul Albab adalah antara 257 pelajar dari sekolah-sekolah Imtiaz seluruh negeri yang diraikan di majlis Anugerah Graduasi 2011 di Wisma Darul Iman semalam.

Beliau yang bercita-cita menjadi Doktor Pakar Otak itu mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang sejak menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)(5A), Penilaian Menengah Rendah (PMR) (9A) dan dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Manakala pencapaian dalam kokurikulum mendapat tempat kedua dalam pertandingan khutbah peringkat negeri, pertandingan debat peringkat daerah (separuh akhir), pertandingan hafazan dan tafsir (ketiga).

Tuan Nur Aisyah Tuan Fuzai, 17, dari SMI Kuala Berang pula menerima Anugerah Khas Ulul Albab dan masing-masing enam orang menerima Anugerah Ibnu Sina (terbaik akademik), Anugerah Al Farabi (terbaik kokurikulum), Anugerah Imam As Syafei (terbaik personaliti) dan Anugerah Muhammad Al Fateh (terbaik kepimpinan).

Kesemua pelajar ini akan menduduki peperiksaan SPM bermula 14 November depan dan bakal meninggalkan sekolah dan berdepan dengan cabaran lebih besar untuk bergelar mahasiswa.

Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah telah merasmi dan menyampaikan anugerah serta sijil tamat sekolah kepada pelajar berkenaan. Hadir sama Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Zakaria Yusof.

Teganukita

Najib - Tiada Had Umur Untuk Calon Barisan Nasional

Najib bersalam dengan sebahagian daripada ahli Mubarak pada majlis di Seri Perdana, Putrajaya semalam.

Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan had umur atau berapa kali individu itu pernah menjadi wakil rakyat asalkan calon itu boleh membawa kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil mengakui pilihan raya umum akan datang sebagai sengit, Perdana Menteri berkata, apa yang penting individu berkenaan adalah calon terbaik untuk BN.

"Calon boleh menang ini boleh merangkumi semua, tidak kira muda atau tua, tidak ada had umur, tidak ada had berapa kali menjadi wakil rakyat. Kesimpulannya, calon boleh menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada majlis bersama ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Seri Perdana di Putrajaya, semalam.

Turut hadir Presiden Mubarak, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman dan Ketua Penerangan Mubarak, Datuk Abdul Rahman Sulaiman.

Najib berkata, beliau memerlukan semua tenaga yang ada dan ia merupakan gandingan antara yang baharu dan lama bagi sama-sama bergabung tenaga untuk berjuang pada pilihan raya nanti.

Katanya, yang penting sekali adalah mendokong calon boleh menang yang ditentukan oleh parti kerana pilihan raya umum akan datang dianggap sebagai sengit.

Sehubungan itu, katanya, beliau amat mengalu-alukan peranan Mubarak bagi menguatkan kepimpinan parti berikutan perubahan landskap sosial politik pada masa ini yang berlaku dengan pantas.

Kontraktor Didakwa Tipu Ahli Perniagaan RM426,740

Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam kelmarin, atas tuduhan memperdayakan seorang ahli perniagaan untuk menyerahkan wang tunai RM426,740 bagi mendapatkan dua kawasan konsesi pembalakan di Terengganu, lapan tahun lalu.

Choong Soon Sing, 46, dari Seremban, Negeri Sembilan, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Choong didakwa menipu Leong Sow Lai, 40, untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh mendapatkan kawasan konsesi pembalakan di Gapi, Bukit Paun, Terengganu seluas 12 hektar, dan kawasan konsesi pembalakan di Hulu Berang, Terengganu seluas 60 hektar sehingga mendorong Leong untuk menyerahkan RM426,740 kepadanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Wai Weng Enterprise, Lot No:996, Batu 22, Jalan Beranang, Semenyih, Hulu Langat dekat sini, antara 31 Mac 2003 dan 6 Oktober 2003.

Choong didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Aslam membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan supaya pasport tertuduh ditahan di mahkamah sehingga kes itu selesai. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadiah Abd Rahman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Bayi nombor siri 11111111 Bagi 8 Digit MyKad

Dalam satu kebetulan yang menarik, bayi yang lahir hari ini di Terengganu akan mempunyai empat set nombor 11 bagi lapan digit pertama MyKad dan sijil kelahiran mereka.

Selain nombor 111111 bagi hari, bulan dan tahun kelahiran mereka, bayi di Terengganu juga akan mempunyai satu lagi set nombor 11 iaitu bagi menandakan kod negeri Terengganu.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri Terengganu, Nafisah Abdullah, berkata bayi yang lahir antara 12 pagi hingga 11.59 malam ini di Terengganu, akan mendapat nombor kad pengenalan dengan senarai angka berkenaan, tidak kira sama ada ibu bapa mereka berasal dari negeri ini atau tidak.

“Bayi yang dilahirkan sebelum atau selepas tempoh itu tidak dibenarkan menukar tarikh dan masa kelahiran,” katanya ditemui di Kuala Terengganu, semalam.

Ditanya sama ada berlaku perubahan dalam kaedah pemberian nombor MyKad pada masa depan, beliau berkata, kurang kemungkinan ke arah itu kerana ia sudah digunakan dengan berkesan sejak lebih sedekad lalu.

“Kami sentiasa memberi keutamaan untuk menambah baik mutu MyKad. Kita tidak lihat masalah dengan sistem nombor sedia ada, malah ia dapat digunakan tanpa masalah ketika kita melalui peralihan milenia 11 tahun lalu,” katanya.

Rekod JPN negeri menunjukkan purata 60 bayi dilahirkan setiap hari di Terengganu.

Berita Harian

Program ‘Honeymoon’ Lepasan SPM Buka Jalan Kerjaya

Lebih 90 peratus daripada kira-kira 3,000 pelajar Terengganu yang gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu berjaya menempatkan diri di institusi kemahiran setelah melalui kursus tiga bulan anjuran kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kursus itu bagi memastikan tiada pelajar lepasan SPM di Terengganu yang tercicir daripada melanjutkan pengajian ke institusi pengajian atau kemahiran.

Katanya, program yang ditanggung sepenuhnya Kerajaan Terengganu itu melibatkan beberapa pusat kemahiran termasuk Kolej Universiti Tati, Akademi Binaan Malaysia, Kolej Tesdec, Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) dan Institut Kemahiran Belia Negara.

“Dengan kerjasama Jabatan Pelajaran negeri, golongan itu dikesan menunjukkan sikap tidak minat kepada akademik dan hilang fokus pada pembelajaran di bilik darjah dengan mengambilkira keputusan percubaan SPM mereka.

“Kita mahu remaja berkenaan memiliki kemahiran bagi membuka jalan kerjaya mereka pada masa depan serta dapat membatu keluarga berkenaan keluar dari kepompong kemiskinan dan pengangguran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Karnival Inovasi dan Skills Malaysia Terengganu 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Nidzam Kamarulzaman dan Pengarah Urusan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Dr. Mohd. Zaki Mohd. Said.

Kata Ahmad Razif, selepas melalui kursus tiga bulan itu, kebanyakkan mereka memilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti sijil kemahiran, sijil tinggi kemahiran dan diploma kerana mula memahami prospek kerjaya bidang kemahiran.

“Kita mahu mereka guna aliran kemahiran dan vokasional untuk memajukan diri kerana kerjayanya cukup luas malah pendapatan mereka lebih lumayan berbanding golongan profesional jika ada kesungguhan,” jelasnya.

Tahun ini katanya, seramai kira-kira 3,000 lagi pelajar lepasan SPM bakal menduduki kursus yang sama.

“Sebelum itu, mereka telah ditempatkan di beberapa pusat kemahiran selama tiga hari dua malam untuk menilai minat dan bakat masing-masing bagi memilih bidang yang bakal diceburi untuk kursus tiga bulan nanti.

“Kerajaan negeri membelanjakan peruntukan RM1 juta untuk program bersifat ‘honeymoon’ itu dan ia diuruskan melalui Yayasan Terengganu,” ujarnya.

Sementara itu, sebanyak 43 agensi dan syarikat terlibat dalam karnival tiga hari itu yang melibatkan aktiviti seperti symposium, slot perkongsian kerjaya pelajar sekolah, demo kemahiran, temuduga terbuka, pertunjukkan sains dan ceramah inovasi.

Teganukita

Pertandingan Bot Berhias 2011 di Sungai Nerus

Pasukan Teluk Pasu yang menjuarai Pertandingan Perarakan Bot Berhias 2011 di Sungai Nerus, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Tepian tebing Sungai Nerus di Kampung Jeram Manir, dekat sini lazimnya agak sunyi. Namun ia bertukar menjadi pesta, sesak dengan ribuan pengunjung dan diterangi dengan lampu beraneka warna serta deruan enjin bot, baru-baru ini.

Buat julung kalinya, sungai yang suatu ketika pernah menjadi nadi kehidupan penduduk di sekitarnya dimanfaatkan bagi pertandingan bot penambang berhias sebagai acara kemuncak memeriahkan penutupan Sukan Rakyat Mega Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu.

Sebahagian daripada bot yang menyertai pertandingan Bot Berhias 2011 di Sungai Nerus, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Pertandingan kelolaan Pejabat ADUN Teluk Pasu itu merupakan acara kemuncak program Sukan Rakyat Mega, yang paling meriah pernah diadakan di peringkat DUN.

Program Sukan Rakyat Mega digerakkan bagi menarik penglibatan seramai mungkin penduduk dan lebih menjurus ke arah mengeratkan hubungan pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia.

Melalui program itu, ia juga boleh menjadi wadah mengeratkan kerjasama berpasukan antara kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, pertubuhan belia, jabatan kerajaan, agensi awam serta syarikat swasta.

Selain pertandingan bot berhias yang nyata mencuri tumpuan, acara sukan rakyat dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan termasuk tarik tali, anyam ketupat, rakit darat, sepak raga bulat, boling kelapa, baling telur dan teka biji nangka.

ADUN Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, acara dianjurkan bukan semata-mata mahu meraih hadiah dan mempamerkan kreativiti, tetapi lebih daripada itu, ia adalah platform untuk menghidupkan tradisi sukan rakyat.

Katanya, ia dilakukan dalam usaha menyuburkan sukan dan kegiatan lain yang dikaitkan dengan tradisi dan menarik penglibatan generasi muda agar mereka menghargai dan merasai pengalaman bersama.

“Contohnya perarakan bot berhias. Tradisi ini sudah lama dan begitu tersohor dalam kalangan penduduk Terengganu satu ketika dahulu terutama pada perayaan tertentu atau hari kebesaran.

“Bot pernah menjadi pengangkutan penting di Terengganu. Perarakan bot berhias adalah acara orang kita, bukan ditiru dari negeri atau negara lain walaupun tidak sehebat perarakan bot berhias di Putrajaya atau Sungai Melaka,” katanya.

Upacara penutup program itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang jelas teruja dengan sambutan luar biasa masyarakat terhadap acara itu.

Turut menyaksikan perarakan tersebut ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri dan ADUN Tepuh, Muhammad Ramli Nuh.

Abdul Rahin mengakui program itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan idea kreatif untuk menghasilkan sebuah bot berhias yang mampu memukau kehadiran pengunjung.

Sebab itulah katanya, pihak penganjur mendapatkan kerjasama agensi kerajaan dan swasta bagi menampung sebahagian perbelanjaan serta bersepakat untuk tonjolkan persembahan untuk tontonan umum.

Agensi yang terlibat termasuklah Muzium Terengganu, Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Pusat Giat Mara Kuala Nerus dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

MCA Kuala Nerus turut serta dalam pertandingan dengan rekaan bot berhias bertemakan naga dan tanglung serta pertunjukan perahu berlampu daripada Persatuan Perahu Panjang Kuala Terengganu.

Mempertaruhkan tema ayam dan pasu warna emas telah membawa tuah kepada pasukan Teluk Pasu pada pertandingan perarakan itu yang muncul sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM5,000.

Sentuhan penduduk dua kampung iaitu Teluk Pasu dan Sekati itu dibuat selepas mengambil kira tema asal usul kedua-dua kampung itu yang berkait dengan penemuan pasu emas dan tempat ayam bertelur.

Dengan kerjasama jabatan angkat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Petanian Malaysia (Mardi), kreativiti limpahan lampu warna-warni yang melingkari replika ayam betina yang bertenggek atas pasu besar menarik perhatian juri.

Pengurus pasukan Teluk Pasu, Mohd. Zali Zakaria berkata, pasukannya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkan bot berkenaan termasuk hiasannya sekali dengan kos paling minimum.

“Untuk menghias, kami perlukan masa tiga hari iaitu melibatkan replika empat ekor ayam dan sebuah pasu besar. Kami bekerja keras menyiapkan bot berhias ini dengan bantuan Mardi,” katanya.

Tempat kedua dimenangi pasukan Kebor Besar dan Jabatan Perikanan yang membawa pulang hadiah RM4,000 manakala pasukan Jeram dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di tempat ketiga (RM3,000) dan keempat menjadi milik Bukit Petiti dan Pusat Giat Mara (RM2,000).

Turut memberi saingan ialah pasukan Kampung Kebor Air, Kebor Besar, Kesom, Petai Bubus, Tanjung Bunut, Bukit Petiti, Jeram dan Banggol Peradong.

Utusan Malaysia

Thursday, November 10, 2011

MB Terenganu Mahu Saman Fitnah Blog Guanopulok, MSO Melayu


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akan memfailkan saman ke atas dua pemilik laman blog yang menyebar fitnah kononnya dia ditangkap basah sebelum ini.

Ahmad berkata, dua pemilik blog yang mengendalikan blog http://msomelayu.blogspot.com dan guanopulok.blogspot.com telah memfitnah beliau sejak tiga bulan lalu.

"Kita kenal pasti pemilik blog msomelayu dan pemilik blog guanopulok masih disiasat kerana blog tersebut dipercayai didaftar di California," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Keluarga dan SME Bank di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam laporan 4 Oktober lalu, pemilik blog guanopulok.blogspot.com mendakwa Menteri Besar itu telah 'ditangkap' oleh seseorang di Hilton Sentral.

Ahmad menyifatkan penulis blog tersebut seperti manusia bertopengkan khinzir kerana sanggup mengaibkan orang lain demi kepuasan diri sendiri.

Jelasnya, sebelum ini beliau hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu memperbesarkan isu tersebut yang nyata tidak menjejaskan kepimpinannya.

Bagaimanapun, ujarnya, beliau kesal apabila isu tersebut memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga.

"Apa yang menyedihkan, ketika sambutan Aidiladha baru-baru ini, anak saya menangis ekoran fitnah itu kerana tidak tahan dengan kata-kata orang.

''Itu membuatkan saya tampil membuat laporan polis dan menyaman individu berkaitan,'' katanya.

Beliau menambah, sebagai ahli politik, dia mampu bertahan dengan apa jua tuduhan tetapi tidak bagi ahli keluarganya yang terlalu kecewa dan sedih.

Ahmad berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan berharap undang-undang sedia ada dipinda bagi memberikan hukuman lebih berat kepada mereka yang menyalahgunakan media baru.

Utusan Malaysia

Kerajaan Negeri Sedia Pinjaman Mudah Untuk Usahawan

Pengarah Bahagian Pemasaran dan Perhubungan Korporat SME Bank, Asbullah Adnan (kanan) bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Azmi Razik sambil diperhatikan Ahmad Said (dua dari kanan) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyusun pelbagai program dan projek keusahawanan termasuk Program Flagship Keusahawanan (PFK) melalui satu pembiayaan yang besar.

Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukan RM1 juta setahun bermula 2009 yang disalurkan kepada YPU untuk diberi pinjaman mudah kepada usahawan terpilih bagi menjalankan perniagaan kedai T’Shoppe.

“Sehingga hari ini 19 T’Shoppe, enam T’Kafe dan sebuah butik T’Kraf telah berjaya menjalankan operasi di negeri,” katanya dalam sidang media selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YPU dan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) di Wisma Darul Iman semalam,

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Haji Mohamad Awang Tera; Setiausaha Kerajaan Datuk Haji Mazlan Ngah; Setiausaha Bahagian Pengupayaan Ekonomi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Encik Zazali Sallehudin dan Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Sehubungan itu katanya, terdapat tujuh permohonan baru bagi T’Shoppe dan masing-masing dua T’Kafe dan T’Kraf baru saja mendapat kelulusan.

Katanya,kerajaan negeri mengucap setinggi penghargaan kepada KKLW yang memperuntukkan RM4.5 juta bagi membolehkan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) membiayai PFK keusahawanan di negeri ini berjalan lancar.

Menurutnya, pelan halatuju pembangunan negeri 2009-2013 memberi penekanan kepada sektor yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi di samping membasmi kemiskinan di negeri ini.

“Ia memberi tumpuan khusus kepada sector pendidikan dan peambangunan sumber manusia, pertanian dan industri asas tani, pelancongan, perdagangan, perkhidmatan dan ICT,” katanya.

Katanya, T’Shoppe, T’Kafe,T’Kraf dan T’Lodge termasuk dalam sektor perdagangan, perkhidmatan dan pelancongan.

Teganukita

SME Bank Catat Rekod Operasi Yang Amat Baik

SME Bank cawangan Kuala Terengganu merupakan salah satu cawangan bank itu yang mencatatkan rekod operasi yang amat baik setelah mencatatkan pembiayaan 79 projek bernilai RM106.72 juta antara Januari hingga September, 2011 di negeri itu.

Pengarah Urusan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata pencapaian itu menggambarkan perkembangan memberangsangkan berbanding negeri-negeri lain, yang meyakinkan pihak bank bahawa usahawan di negeri itu adalah golongan yang berwibawa dan berdaya maju.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara SME Bank dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

SME Bank diwakili Pengarah Pengurusan Stakeholder Asbullah Adnan sementara YPU diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik.

Majlis itu disaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera.

Mohd Radzif berkata majlis hari ini membuka satu lagi lembaran baru apabila SME Bank dan kerajaan negeri Terengganu melalui YPU menjalin kerjasama strategik dalam membangunkan rangkaian kedai T-Shop, T-Craf, T-Kafe dan T-Lodge selain inisiatif lain ke arah pembangunan keusahawanan keseluruhannya di negeri itu.

Sementara itu, Mohamed berkata, bagi tempoh 2010-2013, 100 buah T-Shoppe dirancang untuk dibuka di dalam dan luar negeri Terengganu dengan anggaran kos sebanyak RM11 juta.

Selain itu, dalam tempoh yang sama, kerajaan negeri melalui YPU juga merancang untuk menambah bilangan pembukaan T-Kafe, T-Craft dan T-Lodge yang dijangka memberi pulangan yang berkesan kepada pencapaian objektif pelaksanaan program di bawah T-Brand.

Kos peruntukan dianggarkan RM10 juta, katanya.

Hubungan Sejenis Bawa Murtad - Mufti Pahang

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman, berkata sebarang kegiatan songsang yang bercanggah dengan agama Islam terutama membabitkan hubungan sejenis boleh menjurus seseorang Muslim itu kepada murtad.

Katanya, hubungan sejenis atau songsang ditegah dalam Islam kerana ia membawa kepada pupusnya manusia sejagat.

Beliau berkata, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah juga menasihatkan umat Islam supaya tidak terpengaruh serta terbabit dengan aktiviti tidak sihat atau program songsang yang dianjurkan pihak tertentu di negara ini.

Katanya, titah terbabit disampaikan baginda dalam satu majlis di negeri ini baru-baru ini bertujuan sebagai peringatan.

“Oleh itu, sebagai mufti menjadi tugas saya memberi nasihat kepada rakyat negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan aktiviti songsang serta dilarang agama sebaliknya banyakkan beribadah serta mengimarahkan masjid.

“Saya juga bimbang jika tidak diberi nasihat, umat Islam akan terus hanyut melakukan perkara atau aktiviti yang merosakkan akidah,” katanya pada sidang media di Kuantan, kelmarin.

Abdul Rahman mengulas penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang dikecam dan mendapat bantahan meluas pelbagai pihak termasuk wakil agama di dalam negara.

Katanya, umat Islam negeri ini yang terbabit dengan program seumpama itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 169 Enakmen Pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 iaitu tidak mematuhi arahan pihak berkuasa agama yang boleh dikenakan hukuman denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

“Saya menyeru umat Islam supaya tidak turut serta dan membantah program seumpama itu kerana sebagai orang Islam kita mengetahui sesuatu perkara mungkar akan tetap mungkar, ” katanya.

Abdul Rahman juga menolak tanggapan pihak tertentu yang mendakwa kenyataan dikeluarkan mufti berhubung isu Seksualiti Merdeka bermotifkan politik sebaliknya apa yang diluahkannya atas sebab menjaga kesucian agama.

Selain itu, katanya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi memastikan anak mereka tidak terbabit dengan program yang memperjuangkan sesuatu yang bertentangan dengan agama.

Mengenai penganjuran konsert artis antarabangsa Elton John pada 22 November ini, beliau menasihatkan umat Islam untuk tidak menyertainya.

“Saya bimbang konsert itu akan memberi kesan negatif kepada masyarakat khususnya remaja," katanya.

Pengusaha Keropok Lekor Tertekan Harga Sagu Melambung

Pengusaha keropok lekor di negeri ini mengeluh kerana terpaksa menanggung kenaikan kos pengeluaran berikutan peningkatan berterusan harga bahan mentah utama termasuk tepung sagu.

Pengusaha keropok lekor, Wan Su Wan Awang, 54, dari Kampung Kuala Ibai di sini, berkata kenaikan ketara sejak awal tahun ini apabila harga paket tepung sagu seberat 28 kilogram (kg) ketika itu RM36, kini sudah naik sehingga RM60.

Katanya, kenaikan hampir 100 peratus itu membebankan pengusaha keropok dan mereka tiada pilihan hingga terpaksa menaikkan harga walaupun dimarah pelanggan.

"Hendak atau tidak, apabila harga tepung sagu terus melambung, harga produk yang dijual terpaksa dinaikkan walaupun kami tahu ia membebankan pengguna," katanya yang bimbang jika sesuatu tidak dilakukan kerajaan, orang ramai mungkin beralih kepada makanan ringan lain selain keropok lekor.

Wan Su berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengawal harga tepung sagu, berikutan permintaannya bukan saja daripada kalangan pembuat keropok lekor, malah dalam industri lain seperti mi.

Katanya, sagu yang diguna pakai di negara ini diimport dari Indonesia menyebabkan pembeli tiada upaya untuk menahan daripada harga terus meningkat.

Beliau berkata, setiap kali berlaku kenaikan, bukan membabitkan sekitar 10 sen atau 20 sen, tetapi mencecah RM4 bagi setiap 28 kg sagu dan keadaan ini menggusarkan pengusaha kerana dalam tempoh terdekat mereka difahamkan harga akan naik lagi antara RM3 hingga RM4.

Seorang lagi pengusaha keropok lekor di daerah Marang, Mariam Abdullah, 70, berkata bulan lalu, harga 50 kg tepung sagu adalah RM90 tetapi sudah dinaikkan kepada RM92, malah pembekal sudah memaklumkan harga akan naik lagi RM3 minggu depan.

"Kami tiada pilihan dan terpaksa membelinya untuk meneruskan perniagaan dan akibat kenaikan berterusan pengusaha terpaksa menanggung beban yang kesannya turut ditanggung pengguna," katanya yang menjalankan perniagaan keropok sejak 40 tahun lalu.

Mariam berkata, bagi mengelakkan pelanggan marah, beliau terpaksa mengecilkan saiz supaya sepadan dengan kenaikan harga sagu dan ikan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Keropok Losong (PPKL), Abu Bakar Yusof, berkata kenaikan harga ikan dan tepung sagu yang mendadak menyebabkan jualan pengusaha keropok lekor dan keping terjejas kerana pengguna marah dan mendakwa peniaga menaikkan harga sesuka hati.

Katanya, kebergantungan kepada sagu import mengakibatkan harga bahan itu terus melambung sejak tahun lalu.

Berita Harian

Piala Motour Tourism Kembali Lagi ke Terengganu

Piala Monsun hanya beberapa minggu lagi dan persiapan sedang dijalankan untuk menobat Juara Dunia Match Racing ISAF pada acara terakhir musim Siri Jelajah Dunia Match Racing pada 22-27 November 2011 di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa.

Jauh dari Kejohanan Dunia, terdapat satu lagi piala yang menanti juara tempatan. Piala MOTOUR Tourism merupakan regata pelayaran yang dianjurkan khas untuk mereka yang terbabit di dalam industri pelancongan di Terengganu. Pejabat Kementerian Pelancongan Terengganu bekerjasama dengan Tbest Events, penganjur Piala Monsun untuk memberi mereka peluang untuk belayar di atas Foundation 36, kapal layar yang digunakan dalam acara utama.

Tahun lepas, pasukan Pejabat Kementerian Pelancongan Terengganu berjaya merebut gelaran juara.

Timbalan Pengarah Puan Mazshida Ruslal berkata: "Kini adalah masanya untuk mempertahankan gelaran kami sebagai raja pelayaran di Pulau Duyong, akan tetapi kami juga bimbang dengan pasukan Persatuan Hotel Malaysia. Mereka mempunyai dua pasukan; Hotel Permai dan Ri-Yaz yang telah bersaing dalam Kejohanan Match Racing Malaysia baru-baru ini. Sudah tentu persiapan dan prestasi mereka lebih baik daripada kami, "kata Mazshida.

Sebanyak 6 pasukan akan mengambil bahagian dalam perlumbaan ini pada 19 November. Antara pasukan yang mengambil bahagian adalah Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA), Persatuan Ejen Pelancongan dan Tour Malaysia (Matta), Terengganu Tourism Association (TTA), Terengganu Travel Guides Association (TTGA) dan Tourism Malaysia.

"Kemungkinan, terdapat juga satu pasukan dari Kelab Wartawan Terengganu dan kami menjangkakan setiap pasukan akan memberi saingan yang hebat untuk merampas gelaran itu daripada kami. Pertandingan ini sangat penting bagi mereka yang terbabit di dalam industri pelancongan kerana kami perlu memahami mengenai pelayaran untuk menjual dan mempromosi dengan lebih baik sukan dan acara Piala Monsun kepada pelancong" tambah Mazshida.

Mazshida berkata Piala Monsun telah menjadi salah satu produk pelancongan yang paling penting untuk Terengganu sejak penganjurannya pada tahun 2005. "Kami perlu membiasakan diri dengan produk jika ingin menjual kepada pelawat yang berpotensi dan tidak ada cara yang lebih baik untuk belajar mengenai Piala Monsun daripada keluar belayar dan berlumba dengan kapal Foundation 36," katanya.

Petronas Kurangkan Kerugian Pengeluaran Dengan Perisian PRBI

Petronas akan menyelamatkan kerugian pengeluaran disebabkabn oleh penutupan lojinya bagi pemeriksaan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dengan pelancaran perisian 'Online PRBI Interface' semalam.

Presiden Bahagian Teknologi dan Kejuruteraan Petronas, Dr Colin Wong, berkata perisian itu adalah sistem kelulusan dalam talian bagi pengeluaran sijil kelayakan (CF) mesin yang didaftarkan dengan DOSH di loji-lojinya.

"Contohnya loji penapisan minyak kami di Melaka memproses kira-kira 300,000 tong (minyak mentah kurang sulfur dan kondensat) sehari dan kami meraih untung kira-kira US$5 hingga US$10 setong. Pada puratanya kami perlu melalui dua penutupan loji setahun.

"Kami juga ada IPC (Kompleks Petrokimia Bersepadu) di Kerteh (Terengganu) dan Gebeng (Kuantan, Pahang), serta loji-loji di Bintulu (Sarawak) dan Labuan, kalau kita kira seluruh negara, kira-kira lima penutupan kilang setahun," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petronas dengan DOSH untuk mempermudah pengenalan perisian itu. Wong menandatangani bagi pihak Petronas manakala DOSH diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Johari Basri.

Di bawah terma MOU itu, DOSH akan mendapat akses kepada perisian Pemeriksaan Berasaskan Risiko (PRBI) Petronas dengan menggunakan Online PRBI Interface yang dibangunkan untuk meningkatkan kecekapan proses pengeluaran CF kepada Petronas oleh DOSH.

Wong berkata dengan Online PRBI Interface, DOSH boleh menggunakan dan mengakses data-data berasaskan risiko dari lokasi-lokasi jauh dan meminimumkan pergerakan dan lawatan ke tempat pemeriksaan oleh kakitangan DOSH sebelum proses pemeriksaan.

Beliau berkata loji Gas Asli Cecair (LNG) Petronas di Bintulu bakal menjadi kompleks pertama menggunakan antara muka PRBI itu.

"Petronas membangunkan PRBI kira-kira 10 tahun lalu untuk mewujudkan pangkalan data pusat yang mempermudah proses pemeringkatan risiko kelengkapan melalui platform berasaskan laman web, sekali gus membolehkan data diakses dengan mudah.

"Online PRBI Interface adalah tambahan yang dinanti-nantikan bagi PRBI. Ini juga akan menggalakkan pelaksanaan kawal selia kendiri dalam industri minyak dan gas Malaysia," katanya.

Sementara itu, Johari berkata loji perlu ditutup selama purata tujuh hari bagi setiap pemeriksaan.

"Tujuh hari bererti kerugian pengeluaran yang besar bagi sesebuah syarikat dan pembangunan perisian ini oleh Petronas amat dialu-alukan untuk memastikan syarikat meminimumkan kerugian pengeluaran serta membantu kami menjalankan pemeriksaan dan mengeluarkan CF bagi mesin (yang digunakan).

"Kami memeriksa kira-kira 150,000 mesin dalam setahun bagi CF, dan perisian ini mempercepat kerja kami. Kakitangan DOSH masih perlu pergi ke loji untuk membuat pemeriksaan tetapi tidaklah sekerap dahulu, dan tempoh pemeriksaan juga boleh dikurangkan," katanya.

Beliau juga menggesa syarikat-syarikat perusahaan yang lain di Malaysia membangunkan perisian serupa untuk mengurangkan keperluan menutup kilang dan kerugian pengeluaran.

Penghidap Diabetes Meningkat 3 Juta Tahun Ini

Jumlah penghidap diabetes di negara ini semakin membimbangkan apabila kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan tiga juta penghidap tahun ini berbanding hanya 1.5 juta lima tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, keadaan lebih membimbangkan apabila dua juta rakyat negara ini yang mempunyai kandungan gula dalam darah tinggi masih belum membuat pemeriksaan doktor.

Katanya, diabetes penyakit senyap dan jika dibiarkan berlanjutan ia akan memberikan komplikasi kesihatan seperti risiko buta, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan mati pucuk.

“Keputusan awal kajian NHMS 2011 yang dijangka diterbitkan Disember ini, menunjukkan peningkatan penghidap diabetes di negara ini dengan lebih tiga juga orang berbanding lima tahun lalu, hanya 1.5 juta orang.

“Lebih membimbangkan lagi ialah dua juta orang dewasa mempunyai kandungan gula tinggi dalam darah dan ini menunjukkan masih ramai rakyat negara ini belum melakukan ujian saringan kesihatan mereka secara tetap serta berkala,” katanya dalam kenyataan media yang dipetik melalui laman web Kementerian Kesihatan (KKM).

Dr Hasan berkata, tahap penjagaan penyakit bagi mereka yang sudah disahkan menghidap diabetes dan penyakit NCD masih tidak memuaskan, apabila data KKM mendapati satu daripada lima pesakit terbabit mencapai sasaran gula dalam darah yang baik.

“Data juga mendapati dua daripada lima pesakit mencapai sasaran tekanan darah yang optimum; satu daripada empat pesakit mencapai sasaran tahap kolesterol yang baik dan hanya satu daripada enam pesakit berada pada tahap BMI yang ideal,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas disyorkan segera menjalani ujian saringan faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) setiap tahun bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa terjamin.

ECLIMO Sdn Bhd Menerajui Eco Terengganu 2011

Eclimo Sdn Bhd, pengilang e-skuter dan e-motosikal eksklusif pertama di Malaysia semalam menandatangani perjanjian sebagai penaja utama Persidangan julung kali Eco Terengganu 2011.

Persidangan alam sekitar yang dianjurkan oleh EcoKnights dan T-Best Events ini adalah bersempena pertandingan Piala Monsun 2011.

Acara dua hari ini akan berlangsung pada 23 dan 24 November 2011 di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu bertujuan mewujudkan kesedaran tentang isu-isu alam sekitar dan mengetengahkan peralatan dan teknologi perniagaan mesra alam untuk membangunkan Terengganu sebagai sebuah negeri yang mampan.

Eclimo akan berkongsi visi mereka ke arah mewujudkan sebuah negara yang mengutamakan kesedaran alam sekitar dengan mengubah amalan perjalanan rakyat Malaysia.

Syarikat tempatan ini adalah pencipta kenderaan elektrik pertama buatan Malaysia, iaitu motosikal dan skuter berkuasa elektrik yang menggunakan tenaga bateri litium ion.

Mesra alam, mampu dimiliki dan senyap, kenderaan-kenderaan ini menghasilkan pelepasan karbon sifar dan menawarkan mod pengangkutan yang lebih mesra alam.

Liew Chung Peng, Pengarah Urusan Eclimo (gambar kiri) yang berpengalaman dalam electric vehicle powertrain and high density energy battery akan mengadakan satu bengkel semasa persidangan Eco Terengganu untuk memberi kefahaman mengenai kenderaan elektrik dan membincangkan pemasaran dan strategi promosi yang berkesan dan efektif.

Pengunjung ke Persidangan Eco Terengganu dan Piala Monsun akan berpeluang untuk melihat sendiri e-skuter dan e-motosikal buatan Eclimo dalam pameran khas yang dianjurkan khusus untuk acara tersebut.

Datuk Dennis Chuah, Pengarah Eksekutif Eclimo Sdn Bhd (gambar kanan)berkata, "Kami teruja untuk memainkan peranan kami dalam mempromosi Malaysia yang lebih mesra karbon melalui Persidangan julung kali Eco Terengganu 2011.

Bengkel maklumat kami bertujuan untuk mendidik para delegasi dan menyangkal mitos tentang pilihan kenderaan yang mampan.

Sumber-sumber yang semakin berkurangan dan keperluan mendesak untuk melindungi bumi ini mendorong kami untuk menumpukan penyelidikan kepada sumber-sumber alternatif mesra alam untuk memberi kuasa kepada motor dan enjin. Teknologi kuasa hijau yang unggul adalah cara menuju masa depan. "

Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (CMM) adalah penyokong utama usaha pemuliharaan alam sekitar melalui kempen Canon Goes Green.

Hasilnya, CMM memilih untuk menggunakan beg kertas diperbuat daripada kertas kitar semula sebagai pengganti beg plastik.

Juga untuk Eco Terengganu, CMM akan menyumbang beg kitar semula untuk menggalakkan orang ramai menggunakan semula beg berkenaan pada masa hadapan.

Tuanku Mizan Bakal Rasmi Jambori Pengakap Malaysia Ke-12

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin akan berangkat merasmikan Jambori Pengakap Malaysia ke-12 di Kem Telaga Batin di Kuala Terengganu, 18 Nov ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata jambori seminggu yang bermula 17 Nov itu akan dihadiri lebih 8,500 peserta dari dalam dan luar negara.

"Kita berbangga kerana Terengganu telah dipilih untuk menjadi tuan rumah jambori itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco semalam.

Beliau berkata peserta luar negara termasuk Hong Kong, Singapura, Nepal, Kemboja, Bangladesh, Mesir, Brunei, Sri Langka, Vietnam dan Indonesia.

Katanya, antara aktiviti jambori termasuk kembara, acara lasak dan permainan warisan.

Majlis penutup akan disempurnakan Ahmad Said pada 24 Nov.

Jom Kirta Ramai-Ramai ke Kernival KISMT

Kerajaan negeri dengan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu menganjurkan Karnival Inovasi & Skills Malaysia Terengganu (KISMT) 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Karnival bertemakan `Inovasi dan Kecemerlangan Kemahiran Pencetus Tranformasi itu diadakan selama tiga hari iaitu bermula hari ini (10 November) dan berakhir 12 November.

Pelbagai aktiviti menarik akan ditonjolkan bagi menarik minat ribuan pengunjung antaranya, termasuk pameran kerjaya; pertandingan inovasi dan kreativiti; bual bicara; temuduga terbuka dan klinik kerjaya; pertunjukan kreativiti sains; slot pengkongsian kerjaya dan pertandingan melukis dan mewarna.

Ribuan pengunjung terutama pelajar dan belia dijangka hadir memeriahkan program tahunan itu. Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka hadir merasmikan majlis penutup pada hari terakhir program kira-kira jam 2.00 petang.

Wednesday, November 9, 2011

Kerajaan Negeri Perlu Kesinambungan Laksana Agenda Pendidikan

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menegaskan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan kerana masih ada agenda besar pendidikan yang belum selesai.

Katanya, kerajaan BN pimpinannya perlu dikekalkan demi kesinambungan untuk terus memperkasakan bidang pendidikan di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri akan lakukan apa saja dalam usaha mengekalkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini yang memerlukan kerjasama guru, ibu bapa di samping pelajar sendiri perlu fokus untuk capai kejayaan.

“Oleh itu BN perlu dipertahan dan dikekalkan untuk memastikan pembangunan pendidikan terus diperkasa dan pelbagai kemudahan pembelajaran dapat disalurkan kepada anak-anak kita,” katanya.

Ahmad Said berkata demikian di majlis Perjumpaan Bersama Pelajar Terbilang / Sasaran SPM dan STPM 2011 di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud serta timbalannya, Encik Hashim Mohd Zin.

Tambahnya, pelajar cemerlang di negeri ini mendapat pengiktirafan kerajaan berupa Seramai 2,000 pelajar dari 153 buah Sekolah Menengah (SM) Kebangsaan, SM Sains, SM Agama dan SM Imtiaz seluruh negeri yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2011 hadir ke majlis berkenaan.

Mereka menerima wang tunai dan komputer riba sebagai dorongan untuk terus mencapai kejayaan lebih tinggi serta mengharumkan nama negeri.

Teganukita

Enam Pelumba Basikal Terengganu Galas Cabaran Di Sukan SEA Indonesia

Enam pelumba basikal dari Terengganu akan menggalas cabaran negara pada Sukan SEA ke-26 di Indonesia yang bermula secara rasmi Jumaat ini.

Jurulatih skuad lumba basikal Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata mereka terdiri daripada seorang pelumba wanita dan lima pelumba lelaki dalam acara trek dan acara lebuh raya.

"Kita harap mereka akan mengharumkan nama negara pada temasya sukan dwitahunan itu," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Katanya pelumba wanita Fatihah Mustapa (gambar kiri) akan menyertai Mohd Haris Salleh dan Mohd Zulhilmi Hafiz Ahmad Zamri dalam acara trek manakala pelumba acara lebuh raya ialah Adiq Hussaini Othman, Amir Mustapa Rosli dan Mohd Shahrul Mat Amin.

Syed Mohd Hussaini, yang juga penolong jurulatih skuad lumba basikal Sukan SEA negara, Fatihah kini sedang menjalani latihan di Melbourne, Australia.

Melihat kepada prestasi pelumba-pelumba Terengganu dan persiapannya, beliau yakin mereka mampu menyaingi pelumba dari negara lain termasuk pencabar terkuat iaitu pelumba tuan rumah Indonesia.

Beliau berkata skuad kebangsaan yang terdiri daripada 14 atlet akan bertolak ke Indonesia mulai Jumaat ini.

Katanya acara lebuh raya akan berlangsung di Bandung mulai 14 hingga 17 Nov sementara acara trek pula akan diadakan di Jakarta dari 19 hingga 22 Nov.

Beliau berkata persiapan atlet negara telah pun dibuat di Ipoh bagi acara trek dan Kuala Lumpur untuk acara lebuh raya sehak 20 Okt lalu.

"Kita akan buat yang terbaik dan berusaha untuk membawa pulang pingat," katanya.