Saturday, August 3, 2013

Jatuhkan Presiden PAS – Desak Jawatankuasa Disiplin Siasat Menantu Hadi


"Ini adalah suatu tuduhan yang berat secara terbuka yang boleh menyebabkan pelbagai spekulasi buruk terhadap mana-mana pimpinan PAS mahupun ahli-ahli biasa PAS dan secara tidak langsung memberikan imej negatif terhadap PAS sendiri,"
 - Anggota PAS Seumur Hidup, Zulhazmi Shariff 

Kontroversi dalam PAS yang diakibatkan oleh kenyataan anggota Majlis Syura Zaharuddin Muhammad, yang juga menantu Presiden, kerana menuduh terdapat sabotaj dalaman secara terbuka kini semakin hangat.
Seorang anggota seumur hidup PAS membuat aduan kepada Jawatankuasa Disiplin berhubung kenyataan Zaharuddin itu semalam yang menggesa jawatankuasa displin menyiasat kesahihan dakwaan Zaharuddin yang dikatakan berlaku semasa pilihan raya umum lalu.

Kelmarin, menantu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa wujudnya usaha dalam parti itu untuk menjatuhkan bapa mertuanya sebagai pemimpin nombor satu parti Islam itu.

Zaharudin berkata terdapat saksi bagi mengesahkan dakwaan yang didakwa bermula sebelum pilihan raya umum (PRU) 2008 itu.

"Semua bukti dalam bentuk saksi ada dalam tangan saya jika diperlukan," katanya sambil turut menepis dakwaan beliau mempengaruhi Hadi, antaranya ketika proses mengeluarkan watikah calon secara kontroversi di Kota Damansara dalam PRU lalu.

"Ini bermaksud, bukan saya punca sebenarnya (di Kota Damansara) dan bukan juga TG presiden, tetapi isu sebenar ialah usaha mengambil alih jawatan presiden. Itu blind spotnya (titik butanya)."

Pada 27 Julai lalu, memetik sumber PAS Selangor, sebuah portal berita melaporkan Zaharudin (kiri) mempengaruhi Hadi menandatangani watikah kepada Rizuan Ismail untuk bertanding di Kota Damansara. 

Berikutan itu berlaku pertandingan tiga penjuru dengan PSM (yang menggunakan lambang PKR) dan BN. Menulis di Facebook-nya semalam, Zaharudin bagaimanapun tidak menyebut secara khusus pihak yang didakwa mahu menjatuhkan Hadi, sebaliknya hanya merujuknya sebagai "kumpulan kecil".

Zaharudin tidak menjelaskan bentuk usaha menjatuhkan Hadi yang juga anggota Parlimen Marang. Katanya, beliau "terpaksa menjadi team back-up mempertahankan parti itu dan bukan mempertahankan bapa mertua atau sebaliknya."

Dalam surat yang dihantar hari ini yang salinannya diberikan kepada Malaysiakini, Zulhazmi Shariff anggota seumur hidup PAS membuat aduan kepada Jawatankuasa Disiplin dan sekiranya ternyata tidak benar, penuduh patut dikenakan tindakan.

Ini kerana penuduh mencemarkan imej parti di mata masyarakat, kata Zulhazmi. Pengamal undang-undang itu mencadangkan Zaharuddin disiasat bawah fasal 82(1)(g) perlembagaan PAS, berkaitan tindakan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti.

"Berdasarkan tulisan tersebut sangat jelas, terang dan nyata bahawa Saudara Zaharudin Muhammad menyebut dan membuat tuduhan terbuka bahawa ada unsur-unsur sabotaj dalaman semasa pilihan raya umum ke-13.

Malah usaha sabotaj tersebut bertujuan menjatuhkan presiden dan timbalan mursyidul am (Datuk Haron Din).

"Ini adalah suatu tuduhan yang berat secara terbuka yang boleh menyebabkan pelbagai spekulasi buruk terhadap mana-mana pimpinan PAS mahupun ahli-ahli biasa PAS dan secara tidak langsung memberikan imej negatif terhadap PAS sendiri," surat itu dipetik.

Semalam Malaysiakini berusha menghubungi Zaharuddin (atas) bagaimanapun belum terdapat reaksi diberikan setakat ini.

Sumber Malaysiakini

Video Maznah 'Pelatih Anjing' Memang Hina Islam - JAKIM


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan penerbitan klip video '1 Hari di Hari Raya' yang menggambarkan Hari Raya umat Islam boleh diraikan bersama anjing adalah tindakan menghina Islam dan perbuatan tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata pemilik video itu secara jelas menghina pegangan dan sensitiviti umat Islam di Malaysia yang berpegang kepada Mazhab Shafie bahawa umat Islam tidak boleh memegang atau menyentuh anjing atau keturunannya di mana jika tersentuh wajib disertu.

Katanya takbir Hari Raya yang turut dijadikan muzik latar dalam video itu, juga merupakan satu tindakan penghinaan kerana takbir itu merupakan satu lafaz suci dalam memuji dan membesarkan Allah sedangkan pemilik video melakukan agenda yang sangat menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

"Penerbitan video tersebut tidak sepatutnya dilakukan oleh orang Islam yang menghormati perasaan beragama seorang Islam yang lain.

"Tindakan pemilik video itu seolah-olah memperlekeh dan mencabar pegangan umat Islam yang selalunya dilakukan dalam bentuk provokasi oleh segelintir orang bukan Islam," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Othman berkata satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat pada Rabu lalu dan kini Jakim sedang menyiapkan satu laporan untuk dikemukakan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membuat tindakan susulan.

Maznah Mohd Yusof, 38, yang dikenali sebagai Chetz menjadi sasaran kritikan selepas video itu yang memaparkan dirinya bersama tiga ekor anjing tiga tahun lepas telah dimuat naik di YouTube baru-baru ini. 

Wanita itu dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor, hari ini atas bon jaminan mahkamah.

Penggunaan Elektrik Di Terengganu Meningkat 10 Peratus


Tenaga Nasional Berhad (TNB) menganggarkan penggunaan bekalan elektrik musim perayaan di negeri ini meningkat antara lima hingga 10 peratus.

Pengurus Besar negeri, Ir. Md. Yuslan Md. Yusof berkata, peningkatan itu berlaku kerana aktiviti seperti menjahit, memasak, bersahur dan mengindahkan suasana malam yang dilakukan oleh pengguna.

Katanya, berikutan itu persediaan awal telah dilakukan oleh TNB, termasuk menaikkan taraf peralatan di pencawang dengan meningkatkan voltan fius, kabel dan beberapa peralatan lain.

'Urus Niaga Anwar-Karpal' - Rakyat Permatang Pauh Minta Penjelasan

Mazlan menunjukkan surat yang diterimanya.
Kemunculan surat misteri mendedahkan 'urus niaga' oleh dua pemimpin tertinggi pakatan pembangkang iaitu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh menimbulkan tanda tanya penduduk di daerah Permatang Pauh.

Surat lapan halaman yang tertera Untuk Pengundi Permatang Pauh dan dihantar ke rumah-rumah penduduk sejak beberapa hari lalu itu antara lain mengandungi pelbagai nombor akaun bank yang didakwa milik Anwar.

Penduduk kemudian memutuskan untuk menyerahkan surat bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal berkenaan kepada bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Dr. Mazlan Ismail.

Kerajaan Timbang Wujud Organisasi Khas Untuk Anak Seni Terengganu


Kerajaan negeri bersedia menimbang untuk mewujudkan satu organisasi khusus bagi menyelaras sosio dan kegiatan semasa penggiat seni tempatan serta menjaga kebajikan golongan itu sekiranya tidak lagi mampu bergiat aktif akibat sakit dan kemalangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee, berkata organisasi berkenaan kemungkinan akan bergerak menerusi geran tahunan yang disediakan kerajaan.

“Organisasi itu akan menggiatkan lagi aktiviti seni, mereka tidak perlu berjumpa pihak kerajaan untuk meminta sumber kewangan bagi menganjurkan sebarang kegiatan seni.

Maznah Dibebas Dengan Bon Jaminan Mahkamah


Pelatih anjing, Maznah Mohd Yusof, 38, yang menimbulkan kontroversi dengan rakaman video sambutan Aidilfitri bersama anjing di laman sosial YouTube, dibebaskan dengan bon jaminan mahkamah di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Mohd Kamil Sukaimi berkata wanita itu dibebaskan pada pukul 2.20 petang selepas Mahkamah Majistret di Segamat memberikan bon jaminan pada tengah hari semalam.

Terdahulu, Maznah, yang juga dikenali sebagai Chetz Yusof, dibawa ke mahkamah pada kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum dihantar ke IPD pada pukul 12.15 tengah hari untuk dibebaskan.

Dewan Bedah Hospital Setiu Boleh Guna Akhir Ogos


Dewan bedah Hospital Setiu yang sebelum ini menghadapi pelbagai masalah, kini sudah hampir pulih setelah dibaiki dan akan dapat digunakan akhir bulan ini.

Menyatakan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri Ir Rosli Othman berkata kerja-kerja ujian udara dan tahap kelembapan di dalam dewan bedah hospital itu sedang dijalankan manakala di bahagian lain kerja-kerja baik pulih sudahpun selesai.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut perbelanjaan kerja-kerja baik pulih hospital berkenaan yang telah digunakan sejak 10 tahun itu.

UDA Holdings Bina 112 Unit Kedai Desa Di Enam Negeri, Termasuk Terengganu

UDA Holdings Bhd membina 59 lot kedai melibatkan 112 unit kedai desa di enam negeri dengan jumlah kontrak pembinaan mencecah hampir RM15 juta sehingga Julai, 2013.

Naib Presiden Satu merangkap Ketua Pegawai Operasi UDA Land Sdn Bhd Mohd Hassan Mohd Salleh berkata projek pembangunan kedai desa itu dimulakan pembinaannya sejak Ogos, 2011, yang merangkumi negeri Melaka, Johor dan Kelantan (satu daerah), Pahang (dua daerah) dan Terengganu dan juga Perak (tiga daerah).

"Pembinaan kedai desa ini bertujuan meningkatkan pendapatan masyarakat desa, terutamanya golongan bumiputera melalui penyediaan ruang niaga di kawasan pekan dan bandar-bandar kecil," katanya dalam satu kenyataan semalam.

10% Cawangan Umno Seluruh Negara Selesai Mesyuarat

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sebanyak 10 peratus daripada lebih 20,000 cawangan Umno seluruh negara telah selesai melaksanakan mesyuarat pemilihan masing-masing. 

Beliau berkata laporan daripada Setiausaha Kerja Umno Pusat juga mengesahkan kesemua mesyuarat tersebut berjalan lancar termasuk berhubung penggunaan sistem pengesahan perwakilan pemilihan Umno. 

"Mungkin ada tempat tidak ada mesin untuk mengimbas tetapi macam kita di Sembrong kita ada sistem sokongan dengan memasukkan data secara manual untuk mengesahkan mereka sebagai ahli," katanya ketika berucap pada perasmian berkelompok Persidangan Cawangan dan Pergerakan Sayap-sayap Cawangan Umno Bahagian Sembrong di Felda Kahang Timur semalam.

Malaysia Kesal Tajuk Berita The New Paper, Singapura

Kerajaan Malaysia kesal dengan akhbar The New Paper, Singapura yang menerbitkan tajuk berita mengelirukan dan sensasi yang mendakwa pembunuhan murah di Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan pada Jumaat berkata tajuk berita itu mempunyai niat jahat dan menyebarkan tanggapan salah tentang keadaan keselamatan di Malaysia.

"Kami menggesa agar The New Paper tidak mensensasikan apa-apa perkara yang boleh memberi kesan menjejaskan ke atas mana-mana pihak," katanya.

Datuk Abdul Farid Alias Presiden & CEO Maybank

Datuk Abdul Farid Alias, 45, dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baru Malayan Banking Bhd, berkuat kuasa semalam.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Presiden dan Ketua Perbankan Borong Global.

Abdul Farid menggantikan Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang meletak jawatan pada 4 Jun untuk menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Nallakaruppan Dibenar Merayu Dalam Kes Saman Fitnah Anwar


Senator S.Nallakaruppan dibenar merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah melakukan fitnah selepas menolak pembelaannya dalam kes saman fitnah RM60 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif memberi kebenaran itu kepada Nallakaruppan. Anggota lain panel ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop dan Datin Paduka Zaleha Zahari.

SKMM Rujuk Jakim Isu Video Raya Bersama Anjing - Shabery


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum membuat keputusan berhubung kes penyebaran video '1 Hari Di Hari Raya' baru-baru ini yang dianggap menghina Islam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek berkata pandangan dan nasihat Jakim diperlukan bagi memutuskan sama ada video itu mencemar kesucian agama Islam.

"Sekiranya Jakim mendapati video itu menyentuh sensitiviti agama, maka SKMM akan buat keputusan supaya kes itu diserahkan kepada peguam negara," katanya kepada pemberita selepas meyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara TM Net Sdn Bhd dan Astro Malaysia Holdings Berhad.

PM Sampaikan Pingat Kedaulatan Negara Kepada Pengamal Media


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 227 pengamal media yang terlibat dalam membuat liputan mengenai insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah, awal tahun ini.

Majlis penganugerahan itu diadakan sempena majlis berbuka puasa anjuran Jabatan Penerangan dan Jabatan Perdana Menteri di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Kerusi DUN Kuala Berang Dan Hulu Besut Kekal Milik BN - Mahkamah

Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu, kelmarin menolak petisyen yang difailkan oleh PAS untuk mencabar keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dan Hulu Besut yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada Piluhan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh responden.

Beliau berkata pihak pempetisyen (PAS) gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954. Bagi kawasan DUN Kuala Berang, Mariana memerintahkan pihak pempetisyen membayar kos RM50,000 kepada responden pertama iaitu Anggota DUN (ADUN) Kuala Berang Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta masing-masing RM50,000 kepada responden kedua iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan responden ketiga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Anwar Beri Keterangan Awal RCI Di Kuala Lumpur Pada Jumaat

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan awal kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah, di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mengesahkan demikian, Anwar berkata beliau sedia bekerjasama sepenuhnya kepada panel RCI demi kebaikan dan kepentingan semua.

"Sebelum ini, saya telah menawarkan diri untuk memberi keterangan kepada panel RCI, dan saya dijadual memberi keterangan awal di Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 3 petang Jumaat.

Dua Enakmen Diguna Pakai Sekat Ajaran Syiah - Jamil Khir

Pihak yang menyebarkan fahaman Syiah di negara ini boleh didakwa mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Mengenai Pelanggaran Fatwa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, menerusi Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, individu yang menyebarkan fahaman Syiah boleh didakwa di mahkamah sivil.

"Negara mengamalkan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan fahaman Syiah," katanya kepada pemberita pada majlis penghargaan Sahabat Korporat Tabung Haji (TH) 2013 di kelmarin.

Satu Nafi Caj Komisen Kepada Pengguna

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) menafikan syarikat mengenakan caj komisen kepada pengguna yang membuat bayaran bil.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Husain Embong menjelaskan caj komisen 70 sen kepada pengguna dikenakan oleh agensi kutipan luar sebagai caj perkhidmatan mulai Jun lalu.

"Perkhidmatan yang mereka berikan dengan kadar yang berbeza-beza dan Satu tidak mengambil satu sen pun daripada caj berkenaan.

JPJ Buka Kaunter Hujung Minggu Ini

Semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dan cawangan di seluruh negara akan dibuka pada hujung minggu ini bagi menyelesaikan tunggakan kerja berikutan gangguan sistem komputer.

Pejabat JPJ dan cawangan di Kedah, Terengganu dan Kelantan dibuka semalam dan hari ini manakala di negeri lain pada Sabtu dan Ahad dengan operasi perkhidmatan kaunter masing-masing bermula 7.45 pagi.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad dalam kenyataan kelmarin berkata gangguan sistem komputer itu disebabkan berlakunya proses radigrasi (proses pertukaran sistem) daripada sistem SIKAP kepada mySIKAP.

22 Lebuh Raya Beri Diskaun Tol Dehingga 37.5 Peratus

Sebanyak 22 lebuh raya di seluruh negara akan memberikan rebat dan diskaun tol pada kadar lima hingga 37.5 peratus sempena Aidilfitri.

Ketua Pengarah, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Ismail Md Salleh, berkata daripada jumlah itu 17 lebuh raya akan memberikan diskaun tol pada kadar lima hingga 37.5 peratus bermula dari 7 hingga 9 Ogos ini.

"Manakala lima lebuh raya di bawah kendalian Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) menawarkan rebat tol sebanyak 20 peratus kepada penguna kenderaan Kelas Satu yang membuat bayaran tol secara elektronik pada 5 dan 6 Ogos serta 14 dan 15 Ogos ini," katanya.

Thursday, August 1, 2013

Pelatih Anjing, Maznah Mohd Yusof Dibawa Ke Segamat

Gambar fail menunjukkan Maznah sedang melatih anjing-anjing peliharaannya.
Maznah Mohd Yusof, wanita yang mencetuskan kontroversi menerusi video sambutan Aidilfitri bersama tiga anjing peliharaannya akan dibawa ke mahkamah Majistret di Segamat yang berkemungkinan bagi mendapatkan perintah lanjutan reman terhadapnya.

Peguamnya Latheefa Koya berkata, Maznah telah dibawa ke Segamat awal pagi ini  iaitu tempat di mana laporan polis pertama dibuat ke atasnya.

"Ini sesuatu yang tidak masuk akal. Mereka sepatutnya boleh menjalankan siasatan di Kuala Lumpur atau Selangor," katanya
 hari ini.

Menurut Latheefa beliau sempat menemui Maznah di Bukit Aman awal pagi ini.

Maznah yang juga dikenali sebagai Chetz ditahan aemalam.

Wanita itu mencetuskan kontroversi apabila video yang memaparkan aksinya tiga tahun lalu menyambut Aidilfitri bersama tiga anjingnya dimuat naik ke malam YouTube pada Isnin.

Video itu menunjukkan Chetz membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya.

Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan Chetz memakai baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah-olah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing itu)."

 Video itu turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk bersama tiga ekor ekor anjing di atas sofa.

mStar

Parlimen Lembah Pantai Kekal Milik PKR

Nurul Izzah (tiga, kiri) bersama suami Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (dua, kiri) ketika diumumkan memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada 5 Mei lalu.
Mahkamah Pilihan Raya pada Khamis menolak petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan bantahan awal Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk menolak petisyen yang difailkan pengundi, Mohamad Sazali Kamilan.

Mahkamah turut memerintahkan pempetisyen membayar kos RM40,000.

Pada PRU-13 lalu, Nurul Izzah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan calon Bebas Rusli Baba dengan majoriti 1,847 undi.

"Islam Tidak Halang Saya Dripada Membela, Menjaga Anjing..." - Maznah Mohd Yusof


Individu yang melakonkan aksi sambutan hari raya bersama anjing dalam satu video kontroversi menafikan bahawa tindakannya itu merupakan satu penghinaan kepada Islam.

Maznah Mohd Yusof, 38, ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau berasa sedih kerana video berkenaan disalah tafsir.

“Saya sayang agama saya. Saya fikir orang perlu belajar mengenai agama mereka dulu dan tidak membuat tafsiran salah mengenai video saya, yang dibuat tiga tahun lalu," katanya.

Jurulatih anjing tersebut berkata, beliau membersihkan dirinya dan anjing berkenaan dalam video berkenaan kerana agama Islam menurutnya menganjurkan kebersihan.

Maznah berkata, beliau juga sedih kerana imam masjid berhampiran kawasannya juga marah dengan video berkenaan.

“Sebagai seorang pemimpin agama, tidakkah dia tahu mengenai undang-undang Islam? Sepanjang pengetahuan saya, agama saya tidak menghalang saya daripada membela atau menjaga anjing,” katanya. 

Maznah yang juga dikenali sebagai Chetz berkata jirannya yang beragama Islam kini tidak berpuas hati walau mereka sebelum ini tiada masalah dengan tindakannya membela anjing.

"Video ini dibuat tiga tahun lalu, kenapa jadikannya sebagai isu sekarang?

"Saya percaya ini berkaitan dengan kes blogger Alvin Tan dan Vivian Lee... sebab pada awalnya, mereka yang menonton video tersebut menyangka saya seorang Cina,” katanya. Beliau merujuk kepada pasangan blogger seks yang didakwa ekoran satu video didakwa menghina Islam.

Malaysiakini

Terengganu Beri Bonus Khas RM500 Kepada Penjawat Awam Negeri


Kerajaan negeri Terengganu semalam mengumumkan pemberian bonus khas RM500 kepada kira-kira 20,000 penjawat awam negeri sempena Aidilfitri tahun ini, membabitkan perbelanjaan RM7 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ketika mengumumkan berita baik itu berkata bonus khas itu yang turut meliputi kakitangan badan-badan berkanun akan dibayar hari ini.

"Bayaran khas kewangan ini kepada kakitangan kerajaan negeri yang terlibat dengan kos berjumlah RM3,397,500.

Saman Fitnah: Raja Petra Diarah Bayar RM300,000


Editor Malaysia Today Raja Petra Kamarudin diperintahkan membayar RM300,000 kepada peguam terkemuka Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah berhubung kenyataan fitnah.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi, Farah Hana Hashim semalam  mengarahkan Raja Petra membayar kadar faedah lima peratus bermula semalam sehingga bayaran penuh dijelaskan.

Muhammad Shafee berjaya mendapatkan penghakiman terhadap Raja Petra pada 2011 di atas tiga artikel berunsur fitnah di laman web Malaysia Today tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

Tidak Perlu Pengganti Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri tidak perlu mencari pengganti bagi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri kerana yakin timbalannya Mahdi Musa (kanan) mampu menggalas jawatan tersebut.

Jawatan itu sebelum ini dipegang Dr A. Rahman Mokhtar yang sebelum ini ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, yang meninggal dunia pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Menteri Besar turut mengulas wakil rakyat Kuala Besut yang baharu, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang menurutnya boleh menggalas tugas sebagai wakil rakyat meskipun belum mengangkat sumpah jawatan. 

Pada pilihan raya kecil kerusi DUN Kuala Besut pada 24 Julai, Tengku Zaihan, 37, selaku calon Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,592 undi mengalahkan calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48.

PAS Lapor Polis Petisyen Pilihanraya Ditolak Dengan Alasan Rapuh

PAS akan membuat laporan polis ekoran 13 dari 18 petisyen pilihanraya umum lalu yang difailkan, telah pun ditolak oleh mahkamah berdasarkan “sebab kecil”.

Peguam PAS yang juga Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata mahkamah menolak dengan alasan rapuh dan teknikal.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat parti itu, Mohamed Hanipa menegaskan bahawa daripada 18 petisyen yang difailkan oleh parti itu, 13 telah pun dibuang kerja berdasarkan “kecil” sebab.

Umno Dan BN Perlu Pastikan Parti Kembali Diyakini Masyarakat Bandar - Najib


Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji kaedah berkesan bagi membolehkan parti kembali diyakini serta menjadi pilihan masyarakat bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pemimpin dan anggota parti perlu berkerja keras bagi menterjemahkan kekuatan sebagai satu-satunya parti yang mampu membangunkan ekonomi negara dan juga parti yang suatu ketika dahulu pernah berjuang memerdekakan negara.

Mengambil ikhtibar daripada mesej yang disampaikan rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-13 lepas, Najib berkata bagi memenangi kembali hati penduduk bandar, masalah utama yang menjadi kerisauan mereka iaitu jenayah atau rasuah, lalu lintas dan harga rumah mampu milik perlu terlebih dahulu ditangani.

Zubir Azmi Antara DiIntai Kim Swee Untuk harimau Muda


Saingan Piala Malaysia yang bermula 20 Ogos, akan menjadi pentas bagi pengendali Harimau Muda A Ong Kim Swee 'mengintai' pemain untuk disenaraikan dalam skuad bawah 23 tahun negara.

Kim Swee berkata beliau akan menyaksikan empat perlawanan Piala Malaysia bagi memilih pemain negeri dan kelab untuk diserap dalam pasukan bimbingannya menghadapi dua kejohanan besar tahun ini, iaitu Pestabola Merdeka pada September dan Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Katanya walaupun beberapa nama seperti Zubir Azmi (Terengganu) (gambar atas), K. Reuben (ATM), Nik Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan) dan Mohd Nazmi Faiz Mansor (PKNS) berada dalam percaturannya, namun pemilihan pemain bergantung kepada prestasi semasa mereka.

Jakim Kesal Penerbitan Video Hina Islam


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kesal dengan penerbitan video menghina Islam, yang sekali lagi menyentuh sensitiviti umat Islam pada Ramadan ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata penerbitan video itu memang tidak dapat dimaafkan, yang difahamkan dirakam dan diterbitkan sejak 2010.

"Melalui dapatan kami, sememangnya mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan secara sengaja ingin mencetuskan kemarahan umat Islam dengan menyamakan umat Islam dengan anjing dalam suasana laungan takbir raya sebagai latar belakang video," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Pelajar Terengganu Wakili Malaysia Di Pertandingan Hafaz Al-Quran Di Algeria

Seorang pelajar tahun empat Persijilan Tahfiz Institut Al-Quran Terengganu (IQT), Ikhwan Amin Hidayat, 19, akan mewakili Malaysia pada pertandingan Al-Quran Antarabangsa Algeria yang berlangsung pada 28 Julai hingga 7 Ogos.

Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar IQT, Hanapi Awang @ Sulong berkata, pelajar tersebut dipilih oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke pertandingan itu berjudul 'Algerian International Competition For The Glorious Quran 10th Session 2013M/1434H'.

"Alhamdulillah, pelajar ini menyertai pertandingan antarabangsa ini dalam kategori 30 juzuk hafazan Al-Quran.

"Pada awal tahun ini juga Ikhwan Amin menjadi johan dalam pertandingan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu dan mendapat saguhati dalam pertandingan Majlis Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan juga dalam kategori 30 juzuk," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Polis Siar Gambar Suspek Bunuh Hussain Najadi

Polis telah mengenal pasti suspek utama di sebalik pembunuhan kejam pengasas bank, Hussain Ahmad Najadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki itu, yang dikenali sebagai Sei Ngan Chai, dipercayai masih berada di ibu negara.

Ku berkata polis telah mengeluarkan satu gambar CCTV suspek.

Polis turut menahan seorang pemandu teksi berusia 44 tahun, yang memandu kenderaan tersebut untuk suspek.

Undang-Undang Sivil Diperlukan Elak Perkahwinan Sama Jenis - Jakim

Kemungkinan amalan perkahwinan sama jantina di negara jiran, Thailand dibenarkan adalah sesuatu yang membimbangkan kerana ia secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada Malaysia, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha memberitahu The Star Online bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu mengambil tindakan tegas dan berkongsi pandangan mereka untuk membendung masalah ini dengan "mencipta undang-undang sivil tertentu" mengenai perkara itu.

Apabila ditanya mengenai pendirian Jakim mengenai perkahwinan gay di kalangan homoseksual Malaysia di negara-negara lain, beliau berkata perkara itu adalah sukar untuk dikesan dan dikawal.

"Walaupun Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan sama jantina, kita tidak dapat menghalang ia daripada menular, terutama apabila tidak ada undang-undang tertentu termasuk untuk semua kaum dan agama untuk menangani masalah ini," katanya.

Di Thailand, draf undang-undang yang menawarkan pasangan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mendapat hak-hak perundangan yang sama sepertimana pasangan heteroseksual dilaporkan sedang disiapkan.

Pelatih Anjing Ditahan Isu Video Hina Islam


Wanita yang mencetuskan kontroversi menerusi video sambutan Aidilfitri bersama tiga anjing peliharaannya ditahan polis bagi membantu siasatan.

Peguamnya, Latheefa Koya berkata, Maznah Mohd Yusof, 38, disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, kebencian sehingga memudaratkan perpaduan.

Latheefa bagaimanapun berkata, beliau tidak mengetahui kesalahan yang dilakukan Maznah iaitu seorang pelatih anjing.

Polis Tahan Pemandu Teksi Bawa Suspek Bunuh Hussain Najadi

Polis menahan seorang pemandu teksi dipercayai pemandu yang membawa suspek berikutan pembunuhan Hussain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, pemandu berusia 44 tahun itu ditahan di Sri Petaling kira-kira pukul 9 malam Selasa berhubung pembunuhan pakar kewangan Hussain Ahmad Najadi.

"Siasatan awal mendapati pemandu menurunkan suspek (dikenali sebagai Sei Ngan Chai) di Jalan Yap Ah Loy selepas mengambilnya berhampiran tokong... dia mendakwa suspek adalah penumpang biasanya," kata beliau sambil menambah penangkapan itu akan memberikan lebih banyak petunjuk dalam kes itu.

50 Wakil Penduduk Sokong Pengetua SK Seri Pristana

Kira-kira 50 wakil penduduk dan Kesatuan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Pristana petang ini berhimpun di depan Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh bagi menyatakan sokongan terhadap pengetua sekolah berkenaan.

Pengerusi KRT Taman Seri Pristana Sulaiman Rejab, 57, berkata pihaknya dan UMNO cawangan Taman Seri Pristana akan mempertahan kedudukan Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd Nasir Mohd Noor, 57, agar terus berkhidmat di sekolah itu.

Beliau berkata sekolah yang dibuka pada Julai 2010 itu pernah dinobat sekolah terbaik Kuala Selangor peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 di bawah kepimpinan Mohd Nasir.

APMM Kawal Ketat Perairan Pantai Timur Sempena Raya

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan melakukan rondaan siang dan malam sepanjang sambutan Aidilfitri bagi mencegah sebarang bentuk pencerobohan di perairan negara.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Timur Semenanjung, Laksamana Pertama Datuk Nasir Adam berkata penceroboh mungkin akan mengambil kesempatan daripada musim perayaan ini, oleh itu APMM akan mengetatkan kawalan perairan bagi membanteras kegiatan seperti penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing.

Nasir berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan pelbagai pihak kemungkinan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang meningkat sejak akhir-akhir ini disebabkan penjenayah mudah memperoleh senjata api hasil kegiatan penyeludupan.

Juruteknik Maut, Kereta Rempuh Pokok Di Lebuhraya Pantai Timur

Seorang juruteknik maut selepas kereta yang dipandunya merempuh pokok di Km 193.5 Lebuhraya Pantai Timur, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Sri Jaya kelmarin.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata nahas berlaku pukul 2.30 petang ketika Mohammad Amiruddin Mat Lazim, 24 dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.

"Mangsa yang berasal dari Paka, Terengganu mati di tempat kejadian akibat parah di dada dan kepala," katanya kepada pemberita Kuantan semalam.

Pusat Pemeriksaan Puspakom Ditutup Tiga Hari Sempena Aidilfitri

Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) akan menutup pusat pemeriksaannya di seluruh negara selama tiga hari mulai 8 Ogos hingga 10 Ogos bersempena perayaan Aidilfitri.

Menurut kenyataan Puspakom semua pusat pemeriksaan Puspakom akan beroperasi semula seperti biasa pada 12 Ogos kecuali Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 11 Ogos.

Sehubungan itu, katanya pelanggan yang mempunyai tarikh luput pemeriksaan yang jatuh pada tarikh tersebut, dinasihatkan membuat pemeriksaan lebih awal di cawangan berdekatan.

Wednesday, July 31, 2013

Petisyen DiTolak - Tiga Kerusi Parlimen Di Selangor Kekal BN, Sepang Kekal Kepada PAS

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin (kiri) keluar dari mahkamah bersama peguamnya selepas hakim menolak petisyen difailkan Pas di Batu Gajah.
Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur, sebentar tadi menolak petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Sepang, Sungai Besar, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Kesemua kerusi parlimen itu dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) kecuali bagi kawasan Sepang yang dimenangi calon PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu.

Semalam di Batu Gajah, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen difailkan Pas bagi membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Dun Manong dan Pasir Panjang yang dimenangi BN pada PRU13 lalu. 

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim dalam kehakimannya menolak petisyen itu kerana kesemua pempetisyen gagal mematuhi Kaedah 9 dan Kaedah 34 yang termaktub dalam Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 dan mahkamah menolak kedua-dua petisyen berkenaan dengan kos.

Abang Iskandar turut mengarahkan pempetisyen iaitu calon Pas bagi kawasan berkenaan, Jamil Dzulkarnain membayar kos RM40,000 masing-masing kepada responden pertama iaitu, Adun Manong, Mohamad Kamil Shafie serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden kedua.

Mahkamah turut memerintahkan pempetisyen bagi Dun Pasir Panjang, seorang pengundi iaitu Shamsul Sakri Che Din turut membayar dengan kos yang sama kepada tiga responden iaitu Adun Pasir Panjuang, Rashidi Ibrahim, Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR sendiri.

Mahkamah turut menetapkan 2 Ogos ini untuk keputusan bantahan awal petisyen yang turut difailkan oleh seorang lagi pengundi iaitu Hamidun Zakaria bagi Dun Pasir Panjang.

Pas diwakili oleh enam peguam diketuai G K Ganeson manakala responden pertama bagi Dun Manong serta Pasir Panjang diwakili peguam Abu Bakar As Sidiq dan Badrul Hishah Abdul Wahab.

Responden kedua bagi Dun Manong diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Donald Joseph Fraklin sementara responden kedua dan ketiga bagi Dun Pasir Panjang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nadia Hanim Mohd Tajuddin.

Pada PRU13 lalu di Dun Manong, Mohd Kamil menewaskan Jamil dengan memperoleh majoriti 231 undi manakala Rohawati Abidin yang mewakili Pas tewas dengan majoriti 304. Pada 1 Ogos nanti, satu lagi keputusan petisyen pilihan raya bakal diketahui melibatkan kawasan Dun Rungkup.

PR Perak sebelum ini memfailkan lima petisyen melibatkan empat kawasan Dun dan satu kawasan Parlimen iaitu Parlimen Bagan Datoh. Bagi petisyen pilihan raya Parlimen Bagan Datoh, bantahan awal setakat ini belum lagi failkan oleh responden.

Kerajaan Persekutuan Peruntuk RM430 Juta Kepada Kumpulan Wang Simpanan Negeri Pada 2015

Bergambar kenangan sebelum mesyuarat. Kelihatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (berdiri tiga dari kiri).
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM430 juta kepada Kumpulan Wang Simpanan Negeri bagi tahun 2015, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata daripada jumlah itu, RM130 juta merupakan pembiayaan caruman kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus.

Sejumlah RM300 juta lagi diberikan berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup.

"Jumlah caruman yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kumpulan Wang Simpanan Negeri bagi 2014 berjumlah RM287 juta," kata Perdana Menteri kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat tahunan Majlis Kewangan Negara 2013, di Putrajaya semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Raza yang juga Menteri Kewangan berkata sesuatu kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2013 di Kementerian Kewangan semalam.

TH Belanja RM104 Juta Subsidi Haji Tahun Lalu

Lembaga Tabung Haji (TH) membelanjakan sebanyak RM104 juta bagi menampung subsidi haji kira-kira 28,000 jemaah pada tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Karim berkata, kos subsidi yang ditanggung ialah RM5,575 setiap seorang jemaah muasassah bagi membolehkan bayaran haji kekal pada RM9,980 seperti tahun sebelumnya. "Kos sebenar haji adalah sekitar RM15,555.

Jadi subsidi ini membolehkan jemaah hajimuasassah terus menikmati kemudahan yang disediakan dengan selesa," katanya.

Pelaburan Bioteknologi Di Terengganu Antara Tumpuan Perbincangan Najib, PM Perancis


Perbincangan mengenai pelaburan bioteknologi di Terengganu antara Arkema dari Perancis dan CJ CheilJedang (CJ) dari Korea Selatan menjadi antara tumpuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razakdengan rakan sejawatnya dari Perancis Jean-Marc Ayraul kelmarin.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia dan Perancis bakal menjalin kerjasama dalam bidang baharu, terutamanya tenaga diperbaharui, pengangkutan dan bioteknologi.

Najib menjelaskan, kerjasama itu dibincangkan dengan Ayrault dalam pertemuan mereka di Putrajaya kelmarin.

Beliau berkata selain itu, Malaysia dan Perancis juga berhasrat memperkukuhkan hubungan ekonomi sedia ada, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan pendidikan.