Saturday, July 11, 2009

Pusat Akuatik MBKT : Satu lagi ‘rahsia’ akan terbongkar

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah(citra_bangsa@yahoo.com)

Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor cukup terkilan dengan keadaan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang menghadapi banyak masalah termasuk air meresap dari kolam ke lantai tingkat bawah kompleks itu.

Malah, bumbung pusat itu juga bocor dan peralatan besi juga susah berkarat walaupun ia baru setahun siap dibina.

Berikutan itu, Shaziman mengarahkan Pusat Akuatik tersebut ditutup serta-merta mulai Khamis, 9 Julai 2009 dan kerja membaik pulih diserahkan kepada kontraktor yang berkenaan.

Pusat Akuatik ini telah menelan belanja RM18 juta siap diguna pakai setahun lalu dan pernah dijadikan venue untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu.

Ketika lawatan Shaziman, tidak kedengaran sesiapa yang pernah bertanggungjawab dalam pembinaan ini, termasuk bekas Exco Kerajaan Negeri dan bekas Menteri Besar yang bertanggungjawab ketika membuat perlantikan kontraktor mengiringi Menteri Kerjaraya ini membuat lawatan ke Pusat Akuatik ini.

Berbeza dengan kedatangan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke Kuala Terengganu, ada dua orang dari anggota Geng 10 menyambut kedatangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu itu, kerana mengharapkan Hishammuddin akan melantik mereka menjadi pegawai-pegawai di Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.

Dalam isu runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dan kini Pusat Akuatik, tidak langsung kedengaran bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Exco-Exco dalam eranya melawat kawasan itu, walaupun bukan tujuan menyiasat sekurang-kurangnya boleh bergambar dengan berlatar belakangkan runtuhan sebagai kenang-kenangan.

Khabarnya ramai betul peminat yang datang untuk merakamkan gambar dengan latar belakang runtuhan bumbung stadium tetapi tidak pula kedengaran berita apakah Idris, Datuk Rosol Wahid, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Datuk Din Adam sudah pergi ke tempat itu untuk tujuan merakamkan gambar.

Kalau anggota Geng 10 ada masa, tidak sibuk bermesyuarat, adalah lebih baik jika mereka turut mengadakan kunjungan ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ini kerana jika keruntuhan ini sudah diperbaiki, rugilah mereka kerana tidak dapat merakamkan kenang-kenangan kepada tragedi yang cukup memalukan ini.

Seorang penulis yang kini merupakan blogger, menyalahkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang tidak berundur dari kerusi Menteri Besar Terengganu yang menyebabkan runtuhan demi runtuhan terjadi di Terengganu.

Blogger yang pernah bekerja dengan bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Din Adam ini seolah-olah mendapat ‘wahyu’ yang dia tahu benda-benda ghaib dan mendahului sesuatu sebelum ia terjadi.

Penulis ini tidak pula menulis bahawa jika Din Adam pergi bergambar dengan latar belakang runtuhan bumbung, kemungkinan rahsia yang tersembunyi hingga mengakibatkan runtuhan ini berlaku akan terdedah.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar sudah mengeluarkan kenyataan sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencari sebab mengapa runtuhan ini berlaku.

Bekas Exco, Wan Hisham juga turut mengesahkan dia juga sedia untuk memberikan kerjasama kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tetapi setakat ini tidak pula kedengaran suara dari Rosol dan Din yang sedia disiasat SPRM.

Dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, ada sumber dipetik sebagai berkata, tiga bekas Exco ini akan dipanggil untuk siasatan tetapi tidak diketahui sejauh mana perkembangan ini sudah berlaku.

Mungkin Geng 10 tidak mahu mencampuri isu ini tetapi adalah lebih jika Geng 10 turut mendesak SPRM supaya menyegerakan siasatan terhadap isu runtuhan ini bagi mengetahui siapakah yang boleh dihadapkan ke muka pengadilan.

Selagi isu ini tdak selesai, selagi itulah Geng 10 dipandang serong oleh penyokong-penyokong mereka kerana ketika Geng 10 menuding jari menyalahkan kepimpinan Datuk Ahmad Said di Terengganu, rakyat sekarang sedang menuding jari kea rah Geng 10 yang ketika mereka berkuasa, mereka juga tidak melakukan ketelusan dan kejujuran.

Menteri Kerjaya menyifatkan runtuhan bumbung stadium ini amat memalukan negara dari pandangan dunia luar tetapi apakah Geng 10 tidak terasa malu dengan apa yang berlaku?

Kalau Geng 10 tidak tahu malu, kini Pusat Akuatik MBKT pula bermasalah, adakah Geng 10 merasakan apa yang berlaku ini disebabkan ‘bala’ kepada mereka yang tidak menyokong Idris Jusoh menjadi pemimpin bertaraf dunia.

Bahaya Kegiatan Geng 10

Oleh EDUCATED GROUP OF TERENGGANU(lesungbatu.webs.com)

Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kerana tuan minta pembaca komen apa yang terdapat dalam rencana-rencana yang diterbitkan dalam web tuan.

Memang saya perhatikan lesungbatu tidak jemu-jemu menyiarkan kisah geng 10 di Terengganu yang sehingga hari ini masih menjalankan agenda mereka hingga memboikot pentadbiran kerajaan Terengganu pimpinan Datuk Ahmad Said.

Yang saya nampak di sini ada beberapa perkara yang sememangnya menjadi buah mulut orang ramai terutama di persekitaran lingkungan kami yang merasakan bahangnya apabila politik Terengganu diganggu oleh orang dalaman sendiri iaitu orang UMNO sendiri yang pernah duduk dalam barisan kepimpinan di peringkat atasan negeri bersama Datuk Seri Idris Jusoh dulu.

Rumusan kami dengan rakan-rakan EGT (Educated Group of Terengganu) adalah kumpulan geng 10 ini adalah sama dengan cerita kanak-kanak ’10 budak hitam’. Satu orang malas, ditambah jadi 11. Sebelas budak hitam, minum dalam cawan. Satu cawan, tidak beralas, mereka ajak tauke kedai join jadi 12. Begitulah seterusnya.

Cerita 10 budak hitam, akhirnya tinggal kosong. Tapi geng 10 tidak kurang tapi terus bertambah. Inilah terletaknya bahaya yang bukan sedikit untuk UMNO mengukuhkan kekuatannya mahu menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Satu perkara lagi yang dilihat janggal apabila dalam rencana terbitan tuan, ada ditulis kisah Datuk Seri Hishamuddin Hussein selalu berhubung dengan Idris Jusoh setiap masa. Ini satu pertanda tidak baik kerana rencana itu juga mempersoalkan mungkin Hishamuddin tidak pernah berhubung dengan Datuk Ahmad untuk mengetahui perkembangan UMNO di Terengganu.

Paling kami nanti-nantikan dan sedang memerhatikan perkembangan seterusnya ialah mengenai tertangkapnya dua orang penting mengenai SMS mengugut ADUN hingga perdana menteri masuk campur. Perkara ini serius.

Walaupun kami tahu prosedur mahkamah memakan masa begitu panjang untuk membicarakan sesuatu kes, ia boleh memberi peluang kepada geng jahat (yang bukan lagi sebelas saya fikir), bebas menjalankan kegiatan mereka mengganggu pentadbiran negeri.

Hal-hal seperti ini, UMNO pusat sendiri sepatutnya yang di mana Datuk Seri Hishamuddin sebagai naib presiden harus menggunakan segala senjata yang ada pada diri beliau boleh mendesak meminta mahkamah memberi prioriti kepada kes SMS itu disegerakan.

Pada kami, selagi mahkamah memberi tempoh yang lama, kes ini akan menjadi lesu dan macam-macam boleh berlaku hingga boleh menjejaskan intrigiti institusi kehakiman nanti.

Untuk pengetahuan geng budak jahat, kami EGT juga sedang menguatkan kumpulan kami untuk mempersoalkan banyak perkara di Terengganu semasa zaman Idris Jusoh yang nampaknya kebal dan dilindungi pihak atasan dalam kes SMS ugutan dan bumbung stadium runtuh yang memalukan kami sebagai rakyat educated di Terengganu seolah-olah kami sentiasa diperbodohkan.

Kalau komen ini tersiar dalam blog tuan, kami berjanji akan mendedahkan siapa kami yang mengendong perasaan sama sakit hati dengan penulis-penulis tuan atau tuan sendiri antara yang berani dan terus membangkitkan perkara yang juga terlalu ingin melihat apa akan jadi pada Terengganu kalau dibiarkan berlarutan.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, July 8, 2009

Sia-sia saja cinta Wook…

Demi cinta Wook sanggup berkorban.

Biarpun dia tahu bakal suaminya mengambil dadah tetapi demi cinta mahu mengubah sikap suaminya dia berkorban.

Namun segalanya tidak berbaloi dengan orang yang sudah dikawal dadah.

Cinta buta Wook Kundur, 107, terhadap Mohd. Nor Musa, 38, yang dianggap ‘buta’ dan sanggup apa saja musnah dan berderai bagai berderainya hati Wook.

Perbezaan umur 69 tahun bagi Wook tidak penting kerana baginya Mohd Nor segala-galanya.
Namun takdir Tuhan menetapkan Wook tidak akan dapat menunaikan kemahuannya.

Pergorbanan cinta Wook itu akhirnya menjerat diri sendiri apabila bukan sahaja hartanya dijual oleh lelaki itu, malah dia bakal ‘kesepian’ apabila suaminya ditahan pihak berkuasa kerana mengambil dadah semalam.

Sambil mengakui dia sebelum ini sudah mengetahui bahawa suaminya pernah ditahan di Pusat Serenti Tampin kerana menagih dadah, Wook masih menaruh harapan Mohd. Nor dapat memulihkan diri sepenuhnya dan sentiasa mengingati Tuhan.

Bagaimanapun, menurut warga emas itu, dia tidak sedar bila suami melakukan perbuatan tersebut kerana dia tidak tahu mengesan gerak-geri orang yang mengambil dadah.

“Saya harap dia berubah dan bertaubat. Dulu memang dia (suami) kerap keluar malam jumpa kawan-kawan. Dia juga jual kereta dan cincin saya, tapi saya tak syak apa-apa. Tapi hari ini (semalam) ada orang datang beritahu dia kena tangkap, kena gari.

“Saya memang sedih tapi nak buat macam mana, eloklah dia berubat dulu,” katanya ketika ditemui di pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Ajil semalam.

Memupuk pelancong cintai seni warisan Terengganu


Oleh : SURIATI BINTI ALI (UKOM)


Usaha menarik pelancong ke Terengganu oleh agensi kerajaan dan swasta melalui acara tahunan turut membabitkan bidang seni dan warisan.

Muzium Negeri Terengganu antara agensi kerajaan yang aktif menganjurkan aktiviti pelancong mencintai seni dan warisan Terengganu.

Terbaru, Pertandingan Melukis Citra Terengganu 2009 diadakan bertujuan mncungkil bakat masyarakat terutama peminat seni lukis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata pertandingan itu menjadi strategi untuk menggalakkan pelancong domestik datang ke Terengganu seterusnya melawat muzium negeri.

Hadiah keseluruhan bagi pertandingan itu berjumlah RM46,000 bagi dua kategori iaitu spontan dan karya siap.

Dato’ Za’abar berkata, melalui pertandingan yang dianjurkan itu pihak muzium secara tidak langsung dapat membantu menggiatkan karyawan seni yang selama ini ketandusan aktiviti selain dapat menambah koleksi lukisan.

“Pertandingan dianjurkan ini, termasuk dalam 10 aktiviti tetap tahunan yang dianjurkan agensi kerajaan itu.

“Kira-kira 150 peserta dari pelbagai negeri menyertainya. Berdasar sambutan menggalakkan dan meningkat setiap tahun itu, muzium negeri bersetuju meneruskan pertandingan sama pada masa akan datang,” katanya berucap pada majlis penyampaian hadiah sempena pertandingan itu di muzium negeri, Kuala Terengganu, kelmarin (6 Julai).

Terengganu Pilihan Kaki Judi?

(TERENGGANULENING)

RENTAK permainan pasukan Terengganu di persada Liga Super menjadikan mereka antara pasukan digemari ‘bookie’.

Sudah bermusim, fenomena menang ke atas pasukan kuat dan tewas kepada yang lemah menjadi resipi keuntungan berjuta ringgit kepada ‘bookie’ bola sepak di dalam dan luar negara.

Menurut bekas ‘bookie’ yang hanya mahu dikenali sebagai Mr T, kaki judi senang terpengaruh dengan kegagahan Terengganu apabila bertemu pasukan kuat yang mengakibatkan mereka hilang wang pertaruhan.

“Musim ini juga sama apabila Terengganu bertindak cemerlang dengan menundukkan pasukan seperti Selangor, Perlis dan Kelantan tapi kecundang apabila berdepan dengan KL Plus, Kuala Muda Naza dan Johor FC.
“Baru-baru ini, Terengganu menang 2-0 ke atas Kelantan yang bertandang sebagai pilihan, tapi mereka cuma mampu seri 1-1 dengan Perak apabila Terengganu menjadi pasukan pilihan untuk menang,” kata Mr T yang kini seorang ahli perniagaan sah di Kuala Terengganu.

Katanya lagi, situasi sebegitu yang disukai ‘bookie’ kerana kebanyakan kaki judi suka memihak kepada pasukan kuat walaupun terpaksa memberi kelebihan (handicap) kepada pasukan pilihan.

“Saya kurang pasti jika ada pemain Terengganu sekarang yang terbabit dengan mengatur perlawanan walaupun sebelum ini, saya tahu ada pemain yang menerima imbuhan daripada ‘bookie’.

“Mungkin segala-galanya sudah berubah, namun saya kurang yakin, memandangkan masih banyak lagi peluang untuk kaki judi bertaruh keputusan perlawanan liga tempatan,” katanya.

Mr T berkata jika Liga Perdana Malaysia ada ditawarkan ‘hang cheng’ (pasaran pertaruhan), sudah tentu lebih ramai lagi kaki judi yang berminat untuk meletakkan wang pertaruhan untuk perlawanan Liga Super.

“Jika tidak ada ‘bookie’ yang menjalankan operasi di mana-mana bandar, kaki judi cuma perlu melayari laman web perjudian bola sepak yang semakin banyak muncul sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, berkata beliau menyedari beberapa usaha yang dilakukan ‘bookie’ untuk membabitkan pemain Terengganu dalam menentukan hala tuju keputusan perlawanan.
Dalam ucapannya ketika pelancaran Liga Darul Iman di Permai Inn baru-baru ini, Che Mat menyeru pemain supaya mengekalkan etika sukan dengan menjauhi diri daripada gejala seperti rasuah dan mengatur perlawanan.

“Pihak ‘bookie’ akan terus mencuba untuk memberi habuan lumayan kepada pemain, namun semua itu dapat dielakkan sekiranya pemain jujur dengan diri mereka sendiri.“Setakat ini, saya berpuas hati dengan sikap pemain yang cepat memberitahu pihak pengurusan apabila ada wakil ‘bookie’ yang cuba berhubung dengan mereka,” katanya.Katanya, buat masa ini, pihak pengurusan juga yakin tidak ada pemain yang terbabit dengan gejala menerima rasuah dan menjual perlawanan.

PRIHATIN - Ibu gadai tanah ubat anak sakit

Hubungi Mohamed Ismail melalui talian 09-5511364 atau 019-9005350 untuk membantunya.

Mohamed Ismail, bekas buruh pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuantan berkata, pencennya RM400 sebulan tidak cukup untuk membiayai perubatannya.

Ibu warga emas hidap sakit jantung, Halijah Enjong, 73, terpaksa menggadai tanah pusaka untuk mengubat penyakit misteri anaknya, Mohamed Ismail Awang, 54, yang dihadapi sejak 14 tahun.

Dengan pencen anaknya RM400 sebulan tidak cukup untuk membiayai perubatan anaknya itu.
Beliau yang disahkan menghidap luka dalam perut atau Phychosomatic Abdominal Pain oleh pakar perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 3 Mac 1998 dan mengalami gangguan jiwa (Somatisation Disorder) terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan sepenuhnya.

"Sebenarnya saya malu untuk meminta bantuan orang ramai tetapi saya sudah tiada tempat lain untuk mengadu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherok Paloh, dekat sini, kelmarin.

Kehidupan semakin tersepit apabila isterinya, Fatimah Samad, 51, yang bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah menengah di Kuantan menghidap kencing manis sejak lapan tahun lalu.

Anak sulungnya, Norafizah, 23, yang menghadapi masalah pertuturan dan cacat di kaki kanan kini terpaksa mengambil alih tugas mengurus rumah tangga.

"Selama 14 tahun saya menanggung penderitaan dan sudah berpuluh kali mendapatkan rawatan di hospital tetapi penyakit ini tidak juga sembuh.

"Sehingga pada satu peringkat doktor meminta saya mendapatkan rawatan tradisional untuk mengubati penyakit ini," katanya.

Beliau mohon jasa baik orang ramai dan pihak swasta yang sudi membantu mengurangkan beban kewangan dialami untuk mengubatinya.

Amaran Za’abar - Jangan bawa penumpang lebih had

Oleh Shaarani Ismail (Berita Harian)

Kerajaan negeri tidak berkompromi dengan aspek keselamatan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bot yang membawa penumpang melebihi had dibenarkan.
Ia bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku hingga menjejaskan imej Terengganu sebagai destinasi pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib, berkata tindakan segelintir pengusaha bot membawa penumpang melebihi jumlah yang dibenarkan hanya akan menimbulkan ketakutan kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini seterusnya menjejaskan imej Terengganu.

"Saya tahu perkara itu berlaku disebabkan permintaan yang semakin meningkat untuk membawa pelancong bercuti di Pulau Redang mahupun pulau lain yang berdekatan, tetapi hal membabitkan keselamatan penumpang tidak boleh dipandang ringan dan diabaikan.

"Kekurangan pegawai penguat kuasa yang memantau aktiviti pengusaha bot ini juga menjadi antara sebab mengapa ada pengusaha yang berani membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan kerana permintaan tinggi atau kerana tidak mahu pelancong menunggu lama untuk perjalanan seterusnya,” katanya selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Melukis Citra Terengganu di Muzium Negeri semalam.

Beliau mengulas laporan mengenai penahanan dua bot pelancong di perairan Pulau Redang oleh Pasukan Gerakan Marin (PRM) kerana membawa muatan sehingga empat kali ganda daripada had dibenarkan.

Laporan itu menyebut, kedua-dua bot terbabit yang dimiliki sebuah syarikat pengendali pelancongan yang sama hanya dibenarkan membawa 12 penumpang bagi setiap bot tetapi ketika ditahan setiap bot diisi 33 dan 51 penumpang, malah ramai mereka tidak memakai jaket keselamatan hanya 12 yang tersedia dalam setiap bot.

Za'abar berkata, bagi memastikan perkara itu tidak berulang, penumpang yang mendapati pengusaha bot cuba membawa lebih daripada had yang dibenarkan supaya melaporkannya kepada agensi berkenaan supaya tindakan tegas dapat diambil bagi memastikan kejadian itu tidak berulang lagi.

Katanya, kerajaan negeri akan cuba mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat terbabit mengikut peruntukan yang dibenarkan.

Marang dapat kuarters imigresen negeri

Oleh : AIDA ABD RAHMAN (UKOM)

Kuaters Imigresen Negeri Terengganu yang mampu menempatkan kira-kira 300 kakitangan jabatan itu bakal dibina di persimpangan Kampung Jenang, Marang menerusi projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesepuluh, tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Yahya Khatib Mohamad, berkata kemudahan kepada kakitangan Imigresen Depot Ajil dan Penjara Marang, akan dimajukan di atas tanah seluas 6.8 hektar.

Ia penting kerana lokasinya berada di tengah-tengah antara dua jabatan persekutuan berkenaan.

“Secara tidak langsung pertambahan pembangunan berkenaan, selain kem FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) di Wakaf Tapai (Marang) yang akan siap pada tahun depan dan kemasukan anggota kerjanya pada akhir tahun depan.

“Saya difahamkan antara 500 hingga 1,000 anggota FRU akan dapat ditempatkan di kuaters itu.
Sedikit sebanyak penempatan itu dapat menambahkan pengundi baru di Pengkalan Berangan dan Marang, antara 1,000 hingga 1,500 pengundi,

Beliau menyatakan demikian selepas menyampaikan 405 unit e-Book kepada murid Tahun Lima di empat sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Berangan, Marang, hari ini (7 Julai).

Tuesday, July 7, 2009

BENGKEL GARAP 9 TERAS PEMBANGUNAN

‘Rakyat Di hatiku’.

Sewajarnya itulah falsafah dan pegangan setiap kakitangan pentadbir Terengganu, sesuai dengan slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diilhamkan Datuk Ahmad Said.

Namun, apakah mekanisme dan cara menjayakan slogan dan falsafah itu?

Menteri Besar pernah mengutarakan falsafah bahawa `kalau rakyat mahu berubah, kita perlu berubah dan mesti mengubahnya’ dan berlandaskannya bengkel ini digerakkan melalui tiga fasa iaitu membentuk prinsip awal, menilai dan memilih prinsip sesuai dan akhirnya merumus teras utama menggerakkan agenda pentadbiran dan pembangunan.

Bertempat di sebuah hotel terkemuka Kuala Terengganu, kira-kira 60 pegawai kanan kerajaan negeri menghadiri bengkel bengkel tiga hari bermula 4-7 Julai (kelmarin) bertujuan merangka prinsip utama agenda menjayakan pentadbiran yang digarapkan oleh Ahmad Said.

Bengkel Anjakan Paradigma Mencapai Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan itu menggabungkan pegawai daripada pelbagai jabatan yang ada kena mengena dengan pembangunan rakyat – fizikal dan spiritual.

Berucap merasmikan bengkel, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahamad Wan Muda berkata peserta perlu menyelami hasrat dan matlamat Menteri Besar yang meletakkan rakyat sebagai asas dalam segala perancangan, perlaksanaan dan pemantauan.

Beliau menjelaskan usaha mencari teras ini sebagai sokongan dan dokongan kepada 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan.


“Kita berharap dengan adanya teras ini, 1Malaysia akan dapat dijayakan melalui ‘selera tempatan’ berasaskan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Bengkel di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu itu pada sesi pertama di bahagikan kepada lima kumpulan sebelum digabungkan dalam bengkel utama.

Setiap kumpulan mencadangkan prinsip untuk digarapkan sebagai teras utama Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang akhirnya dipersetujui bahawa ilmu, amanah, cakna, keterbukaan, setia, muafakat, cemerlang, istiqamah dan bersyukur menjadi pilihan.

Teras ini akan dinilai oleh satu jawatankuasa tertinggi sebelum dipersetujui oleh Menteri Besar.
Katanya, sebagai pentadbir, mereka harus faham agenda yang mahu direalisasikan oleh Menteri Besar yang bertujuan mengutamakan rakyat dalam segala aspek sama ada pentadbiran atau pembangunan.

Lelong 'raja buah'

Lambakan 'raja buah' di negeri Terengganu menyebabkan peniaga durian mula bersaing melelong buah tersebut dengan harga paling murah malam tadi.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi di sekitar bandar raya itu mendapati para peniaga menjual sehingga enam biji durian untuk RM10 mengikut saiz bagi menarik pelanggan.

Malah, pelanggan boleh mendapat harga yang lebih murah jika tawar-menawar.




Orang ramai membanjiri kawasan pasar bagi mendapatkan buah durian tempatan di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu, semalam. – Utusan Malaysia Online

Bayar zakat guna kad kredit

Sumber: Utusan Malaysia Online
Penduduk Terengganu berpeluang membayar pelbagai jenis zakat menggunakan kad kredit apabila perkhidmatan tersebut mula diperkenalkan di negeri ini mulai bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam), Wan Harujan Sulaiman berkata, pihaknya dalam mesyuarat pada 18 Mei lalu meluluskan kaedah pembayaran zakat melalui kad kredit.

Justeru, kata beliau, pihaknya kini dalam proses membeli dua unit mesin pembayaran kad kredit bagi membolehkan perkhidmatan ditawarkan kepada rakyat Terengganu.

''Sebelum ini, Maidam hanya menawarkan perkhidmatan pembayaran zakat melalui kad debit namun perkhidmatan itu kurang mendapat sambutan kerana berdasarkan maklum balas menunjukkan penduduk Terengganu lebih menggemari penggunaan kad kredit.

''Dua mesin yang bakal dibeli akan ditempatkan di pejabat Maidam di Kuala Terengganu dan Kemaman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Perbankan Islam oleh Public Bank Cawangan Kuala Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Wan Harujan menerima cek bernilai RM20,000 daripada Pengurus bank itu, Wan Hazmanor Wan Harun.

Wan Harujan berkata, sehingga 30 Jun lalu, Maidam mengutip sebanyak RM20,197,302 daripada pelbagai jenis zakat.

''Zakat pendapatan merupakan penyumbang paling besar dalam kutipan zakat dengan RM8.2 juta.

''Kuala Terengganu pula merupakan daerah paling tinggi menyumbang dalam kutipan zakat iaitu sebanyak RM15.2 juta," ujarnya.

Beliau memberitahu, daripada jumlah kutipan zakat itu, sebanyak RM14,575,730 telah diagihkan kepada lapan asnaf.

''Orang miskin merupakan asnaf paling banyak menerima zakat dengan jumlah RM7.4 juta diikuti dengan asnaf fisabilillah sebanyak RM4.4 juta," katanya.

Hayati slogan MPP di Terengganu

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
citra_bangsa@yahoo.com


Usaha Kerajaan Negeri Terengganu memperkenalkan slogan ‘merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ sejak setahun yang lalu yang diperkenalkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bukan sekadar retorik.

Itulah sebabnya, Menteri Besar pernah memperkenalkan konsep ‘fikir rakyat’ kepada semua pegawai peringkat pengurusan dan sokongan sewaktu mereka menjalankan tugas bagi menjayakan slogan itu.

Menurut Datuk Ahmad Said, pendekatan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan akan menjadikan pentadbiran lebih mesra rakyat selain pembangunan yang dirancang bermanafaat dan mendatangkan faedah secara terus kepada rakyat.

Sebenarnya, apa yang diperkenalkan Datuk Ahmad di Terengganu adalah selaras dengan apa yang dimahukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mahukan pendekatan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

“Saya juga ingin menjadi Menteri Besar rakyat kerana apa yang penting adalah rakyat adalah segala-galanya,” katanya dalam beberapa siri ucapan sebelum ini.

Menyedari hakikat itulah, walaupun sibuk dengan tugas seharian namun ia tidak menghalang Datuk Ahmad meluangkan masa mendekati dan menyapa mesra penduduk yang ditemui dalam setiap program yang dihadirinya.

Malah, dalam program pengagihan komputer ‘e-book’ beliau sendiri menyampaikan komputer riba kepada semua pelajar dalam setiap majlis penyampaian yangd dihadirinya.
Beliau sanggup berdiri hampir dua jam menunggu ratusan pelajar dan guru sambil menghulurkan komputer satu persatu tanpa jemu kepada semua penerima.

Apabila ditanya apakah perasaan kerana menyampaikan sendiri komputer kepada setiap pelajar, beliau sambil tersenyum berkata, “saya ingin bertemu dengan setiap pelajar dan rakyat kerana saya juga adalah rakyat dan rakyat adalah segala-galanya,”

Ahmad yang bangga bertemu setiap pelajar berharap rakyat pelbagai lapisan melupakan soal ‘titik bengik politik’ sebaliknya terus membantu kerajaan dalam menjayakan agenda ‘merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ (Utusan Melayu, Isnin 6 Januari 2009 – Wan Ramli Wan Mohamad).

Alangkah bertuahnya rakyat Terengganu kerana dianugerahkan Allah seorang pemimpin berjiwa rakyat seperti Datuk Ahmad Said ini yang sanggup mengutamakan rakyat dalam setiap tindak-tanduknya.

Walaupun beliau dikatakan menerima pelbagai halangan dan rintangan sepanjang menjadi Menteri Besar Terengganu, namun semangat dan iltizamnya cukup luar biasa.

Tidak hairanlah, beberapa pihak termasuk dari kalangan Geng 10 masih terus memboikot kehadirannya di sisi rakyat kerana mahu menjadikan isu pertikaian peribadi Geng 10 dengan Menteri Besar sebagai isu yang boleh mengganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri.

Geng 10 sibuk mempertikaikan pertukaran pegawai-pegawai kerajaan negeri (TCS) di Terengganu tetapi mereka lupa bekas boss mereka, Datuk Seri Idris Jusoh yang mereka mahu nobatkan sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia, pernah menghadapi isu ‘pemecatan’ seorang pegawai tinggi kerajaan negeri suatu ketika dahulu.

Maknanya, kalau zaman Idris, ia bukan isu tetapi kalau zaman Datuk Ahmad Said, ia akan dijadikan isu yang boleh menggugat kestabilan politik Terengganu.

Geng 10 mungkin memikirkan mereka terpilih menjadi wakil rakyat kerana Idris memilih mereka menjadi calon BN dalam PRU 12 yang lalu. Itulah sebabnya mereka harus taat-setia kepada Idris walaupun Idris tidak lagi terpilih menjadi Menteri Besar.

Mereka lupa, siapa yang memilih Idris dan parti mana yang mereka wakili. Apakah mereka terpilih menjadi wakil rakyat jika ‘pihak yang lebih atas’ tidak memilih Idris sebagai calon terlebih dahulu.

Jika ini mereka dapat fakir, mereka tentunya lebih taat kepada institusi kepimpinan Umno itu sendiri kerana mereka tidak mungkin bergelar YB tanpa Umno yang mereka sedang khianati sekarang ini.

Datuk Ahmad sebagai seorang individu ‘mungkin boleh dikhianati’ oleh mereka yang berjiwa pengkhianat tetapi Datuk Ahmad sebagai Menter Besar Negeri Terengganu tidak sewajarnya dikhianati kerana institusi kepimpinan itu mesti difahami kalau mahu mereka sendiri sebagai ADUN dihormati.

Kita sering mahu diri kita dihormati tetapi kenapa kita sendiri tidak tahu menghormati mereka yang patut kita hormati? Peliklah manusia ni, ketika mereka berada di puncak kuasa, mereka meminta semua pihak menyokong mereka tetapi apabila mereka kehilangan kuasa, mereka pula menjadi pengkhianat kepada ‘parti dan institusi kepimpinan’ yang pernah meletakkan mereka dalam kedudukan yang cukup tinggi.

Itulah sebabnya, sebagai Menteri Besar dan bekas Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan, Idris Jusoh sepatutnya menggalakkan pengikut-pengikutnya memasuki kursus-kursus di mana-mana sekolah yang ada mengajar subjek ‘menghormati istitusi kepimpinan dan parti yang mereka sertai’.

Jika tidak ada sekolah seperti ini untuk memberikan kursus-kursus seperti ini, syorkan kepada Geng 10, termasuk Idris sendiri supaya menyertai kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN) supaya mereka ini kenal erti perjuangan dan tahu etika sebagai seorang ahli parti.

Memetik kata-kata bekas Timbalan Presiden Umno, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Umno tidak akan lemah kerana ancaman luar tetapi Umno akan lemah kerana ancaman dari orang dalam, iaitu ahli-ahlinya sendiri seperti apa yang dilakukan oleh geng 10 kepada kepimpinan Datuk Ahmad Said di Terengganu.

Geng 10 mungkin merasakan mereka betul dan mereka hero apabila membuat pelbagai karenah hingga sanggup memboikot persidangan DUN Terengganu dan tidak menghadiri majlis-majlis Umno dan kerajaan yang dihadiri Menteri Besar, tetapi hakikat sebenarnya mereka tidak tahu yang mereka sedang mempamirkan ‘kecetekan akal’ mereka.

Jika dilihat dari luar, Geng 10 ini memang tidak layak bergelar YB. Orang yang memilih mereka menjadi calon dahulu tidak memberikan kuliah dan takzirah yang mencukupi kepada golongan ini, syarat-syarat yang melayakkan mereka menjadi seorang YB.

Bayangkan, kalau Perdana Menteri memilih seseorang menjadi calon pilihan raya, apabila Perdana Menteri berhenti, adakah semua wakil rakyat yang mereka pilih itu perlu menubuhkan team seperti Geng 10, berarak ke hulu ke hilir memboikot Perdana Menteri baru? Hancurlah parti kalau inilah cara mereka ini berfikir?

Monday, July 6, 2009

Tanaman jagung – RM10,000 dalam tempoh 3 bulan

Oleh: KAMARUDIN MAT AKIB

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengarahkan semua wakil rakyat dan pegawai daerah supaya mengenal pasti tanah kosong milik kerajaan di kawasan mereka yang sesuai dengan tanaman jagung.

Ini kerana tanaman kontan itu jika dijalankan komersil mampu menghasilkan pulangan lumayan.
Bagi petani yang mengusahakan tanaman jagung di kawasan seluas 0.4 hektar sahaja, mereka mampu meraih pendapatan RM10,000 dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

“Kerajaan sedia memberi bantuan keperluan petani seperti jentera membajak, baja dan benih bagi membolehkan penduduk tempatan mengusahakan tanaman jagung secara berkelompok,” katanya.

Menurut beliau, petani boleh mengusahakan tanah berkenaan selama mana mereka mampu berbuat demikian, tetapi mereka tidak akan diberi hak milik tanah tersebut.

Berikutan itu penduduk tempatan perlu memanfaatkan pelbagai insentif disediakan kerajaan bagi mengusahakan tanaman komersil ini.

Petani yang mengusahakan tanaman itu secara berkelompok pula mampu meraih pendapatan lebih RM2,000 sebulan dan tidak menghadapi masalah memasarkan hasil tanaman kerana pasarannya terjamin.

Menteri Besar berkata tanaman itu mudah diusahakan di mana ia boleh ditanam sehingga 10,000 pokok bagi kawasan seluas 0.4 hektar dan boleh dituai selepas 72 hari.

“Jagung hibrid adalah spesies terbaik dan sesuai ditanam di negeri ini kerana ia tahan penyakit dan mendapat permintaan tinggi dengan harga RM1 setongkol,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menuai Projek Tanaman Jagung Berkelompok di Kampung Batu Hampar, Manir, baru-baru ini.

Penduduk kampung itu menanam jagung manis baka Thailand secara berkelompok di tanah kerajaan seluas kira-kira 14 hektar, lebih tiga bulan lalu.

Beliau menjelaskan amalan kerajaan sekarang ialah menggalakkan petani mengusahakan tanaman di tanah kerajaan, tetapi mereka tidak akan diberi hak milik bagi mengelakkan kejadian tanah terbiar.

COMBI tingkat kesedaran penduduk

Oleh: NIK SUHAILA MEGAT DERAMAN

Kebersihan amat dekat dan berkait rapat dengan kesihatan. Kadangkala kita mungkin terlupa bahawa penjagaan kebersihan yang rapi boleh menghindarkan manusia daripada serangan penyakit.

Pelbagai penyakit baru dan mudah berjangkit telah dikesan, terutama melalui kebersihan persekitaran yang mungkin sedikit terabai kerana sikap sambil lewa manusia terhadap perkara tersebut.

Selain itu sistem komunikasi yang kurang berkesan dalam menyampaikan maklumat terperinci dan terkini antara yang menyumbang kepada mala petaka daripada kecuaian kita sendiri.

Lantaran itu, satu jawatankuasa yang dipanggil COMBI ditubuhkan di Kampung Losong Haji Mat Shafie dan Kampung Losong Wakaf Nyior Kembar dilancarkan pada pertengahan bulan Mei lalu.

COMBI merupakan singkatan kepada “Communication for Behavioural Impact” (komunikasi untuk perubahan tingkah laku).

Ia adalah program yang menggunakan pendekatan komunikasi untuk mengubah tingkah laku berisiko tehadap kesihatan manusia dan bertujuan memperkasakan peranan komuniti dalam mencegah dan mengawal penyakit demam denggi.

Promoter COMBI merupakan penyampai maklumat kepada komuniti dan mereka yang terpilih adalah di kalangan penduduk setempat yang mengetahui sosio budaya tempatan dan mereka berperanan mengingatkan orang ramai supaya supaya menjalankan pemeriksaan di rumah masing-masing.

Seramai 25 sukarelawan yang dipanggil Promoter COMBI akan menyebarkan informasi yang akan disalurkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan MBKT.

Selain itu, mereka akan menggerakkan masyarakat penduduk setempat membuat pemeriksaan dan gotong royong di luar kawasan rumah seperti padang permainan, surau dan kawasan lapang.

Promoter terlatih ini akan mengedarkan risalah dan mengingatkan masyarakat untuk mendapatkan rawatan segera di hospital atau klinik kesihatan berdekatan sekiranya mengalami demam secara tiba-tiba.

Program anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan kerjasama penuh Kementerian Kesihatan Malaysia itu dirasmikan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Perkaya sasar 200 anak yatim ke IPTA setiap tahun

Sumber: Bernama & Utusan Online

Seramai 200 anak yatim di negeri ini disasarkan mampu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya), Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, sasaran itu berdasarkan pencapaian akademik anak-anak yatim semakin baik.

Menurutnya, pada masa ini antara 50 hingga 80 anak yatim berjaya melanjutkan pengajian ke pringkat tinggi setiap tahun.

''Sasaran peningkatan ini adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak untuk melihat anak-anak yatim turut mendapat tempat dan mampu bersaing dengan mereka yang mempunyai ibu bapa,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah Sukaneka Anak Yatim Sekolah Rendah Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.

Katanya, walaupun ada anak yatim yang berjaya, namun tidak dinafikan masih terdapat segelintir daripada mereka mempunyai rasa rendah diri dan kurang keyakinan diri.

''Kita sentiasa memberi motivasi kepada mereka bagi memastikan golongan ini tidak berasa terpinggir.

''Anak yatim juga mempunyai kelebihan dalam bidang akademik dan kokurikulum seperti sukan yang boleh diketengahkan,'' ujarnya.

Mengulas lanjut Tengku Mahmud berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pelajaran negeri juga akan menyampaikan bantuan pakaian Hari Raya Aidilfitri kepada anak yatim di seluruh negeri pada tahun ini.

Menurutnya, bagi tujuan itu, Perkaya akan membelanjakan kira-kira RM120,000 yang merupakan aktiviti bantuan tahunan bagi membantu golongan tersebut mendapat pakaian baru menjelang hari raya.

Jelasnya, mulai tahun depan, Perkaya akan menambahkan bilangan anak yatim yang mendapat bantuan tersebut kepada 5,000 orang berbanding 2,500 orang tahun lepas.

''Ia membabitkan murid tahun tiga dan enam serta pelajar tingkatan dua dan empat,'' ujarnya.
Beliau memberitahu, pada masa ini terdapat 11,000 anak yatim berdaftar di seluruh negeri dan daripada jumlah itu seramai 500 orang ditempatkan di asrama Perkaya di Marang dan Besut.

Sakit Paru-Paru - Merokok Puncanya...

Sumber: Utusan Online

Amaran daripada pakar kesihatan. Awas bilangan pesakit paru-paru meningkat.
Bilangan penghidap kanser paru-paru di Terengganu dilaporkan meningkat setiap tahun termasuk golongan wanita yang suami mereka perokok.

Pakar Perunding Respiratori (Pernafasan) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Norhaya Mohd. berkata, sebanyak 48 penghidap kanser itu menerima rawatan di hospital tersebut sepanjang tahun lalu.

Katanya, bilangan tersebut mungkin lebih tinggi jika dicampur dengan kes di hospital daerah lain.

''Di HSNZ sahaja, sebanyak 48 kes diterima tahun lalu dan 25 kes diterima sepanjang enam bulan pertama tahun ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Kursus Neurorespiratori (Saraf dan Pernafasan) Peringkat Pantai Timur di Pulau Redang semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr. Mohamad Omar merasmikan kursus yang dihadiri 34 pegawai perubatan dan pakar dari negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Mengulas lanjut Dr. Norhaya berkata, sebahagian besar daripada penghidap kanser paru-paru di HSNZ adalah lelaki.

''Bagi golongan wanita, kalau mereka tidak merokok, ia disebabkan asap rokok suami masing-masing,'' ujarnya.

Dr. Norhaya menegaskan, kanser paru-paru bukan penyakit genetik atau keturunan.
Sebaliknya kata beliau, hubungan kekeluargaan dengan perokok memungkinkan seseorang mendapat kanser paru-paru dan kebarangkaliannya agak tinggi.

Jelasnya, antara faktor jangkitan kanser paru-paru selain merokok adalah pemakanan berlemak, persekitaran tempat kerja seperti pendedahan terhadap asbestos dan formaldehide (bahan dalam pengawetan mayat).

''Kanser boleh dicegah dan saya nasihatkan orang ramai berhenti merokok kerana orang lain turut terdedah terutama jika merokok di tempat awam," katanya.

Sunday, July 5, 2009

Pantai Pandak berpuaka?

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR (Kosmo Online)
















KAWASAN Pantai Pandak masih terus menjadi tumpuan orang ramai untuk mandi meskipun telah banyak meragut nyawa pengunjung di Chendering, Kuala Terengganu.


Pantai Pandak di Chendering dekat sini memang digemari pengunjung kerana persekitaran pantainya yang cantik.

Selain berbentuk lagun, pesisir pantai yang dipenuhi pasir bersih dan putih itu dilihat amat sesuai bagi pengunjung untuk mandi-manda.

Namun di sebalik keindahan itu, Pantai Pandak juga ada sisi hitamnya kerana banyak merekodkan kejadian lemas sejak beberapa tahun lalu.

Disebabkan banyak kes mati lemas yang berlaku, ada sesetengah penduduk setempat mendakwa kawasan itu ‘berpuaka’ dan sentiasa menagih ‘korban’ manusia setiap tahun.

Malah ada mendakwa jika seseorang itu berdiri di pesisir pantainya seorang diri, mereka akan dapat berasa seolah-olah pasir di situ bergerak dan kaki bagaikan ‘ditarik-tarik’ ke tengah laut.
















PAPAN tanda amaran tidak dihiraukan oleh ramai pengunjung yang masih berani
mengunjungi kawasan Pantai Pandak di Chendering, Kuala Terengganu.


Ronda-Ronda Kosmo! difahamkan, sehingga kini seramai 120 orang sudah menjadi mangsa kejadian mati lemas di kawasan berkenaan terutama dari kawasan Sungai Ibai hingga Hujung Batu.

Paling banyak meragut nyawa ialah kawasan Hujung Batu kerana di situ dikatakan hampir 100 kes lemas pernah berlaku.

Sejauh mana kebenaran dakwaan penduduk itu, tiada siapa yang dapat mengesahkannya namun setelah cerita itu menular dan berlaku peningkatan kes dari semasa ke semasa ramai yang mempercayainya.

Jabatan Perikanan kerah tangkap ikan naga

Sumber: Mingguan Malaysia Online

Jabatan Perikanan negeri akan mengerah beberapa anggotanya dalam tempoh terdekat ini untuk menangkap ikan naga atau Arapaima gigas di Tasik Kenyir.

Pengarahnya, Munir Mohd. Nawi berkata, pihaknya akan menangkap hidup-hidup ikan naga itu sekiranya ia benar-benar wujud di tasik berkenaan.

Katanya, jabatan akan menggunakan tiga bot yang sedia ada di Tasik Kenyir untuk membuat pemantauan dan seterusnya menangkap ikan tersebut.

"Usaha secara berterusan akan dilakukan selaras dengan tawaran yang dibuat oleh kerajaan negeri," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi semalam.

Munir mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said semalam yang menawarkan RM10,000 kepada sesiapa yang berjaya menangkap ikan naga di Tasik Kenyir.

Ahmad berkata, tawaran itu dibuat bagi mengelak spesies ikan kecil lain di tasik berkenaan pupus akibat di makan ikan naga tersebut.

Mengulas lanjut, Munir berkata, ikan naga mempunyai tarikan unik dengan saiznya mampu menyamai panjang sebuah kereta Perodua Kancil.

Malah, katanya, ikan yang berasal dari Sungai Amazon itu boleh mencecah berat antara 50 sehingga 100 kilogram seekor.

Ikan naga sebesar itu pernah wujud di Sungai Kulai, Johor suatu ketika dahulu.

Jelasnya, ketika ini pula seekor ikan jenis itu dengan saiz yang sama terdapat di Ladang Ikan Hiasan Xian Leng di Batu Pahat, Johor.

"Ikan Arapaima gigas yang panjangnya menyamai kereta Perodua Kancil diternak di ladang tersebut di Batu Pahat untuk tarikan pengunjung kerana saiznya yang unik," katanya.

Ditanya bagaimana ikan tersebut wujud di tasik berkenaan, Munir menjelaskan, ia berkemungkinan besar dibawa masuk oleh pengusaha atau individu tertentu untuk dijadikan ikan hiasan di negeri ini.