Saturday, July 31, 2010

Piala Monsun 2010 Dijangka Tambah 30 Peratus Pulangan Pelaburan

"Kejohanan itu jelas sebagai pemangkin ekonomi bagi pelancongan dan sukan tempatan, khususnya bagi Terengganu di mana penganjuran kejohanan musim Monsun kini dilihat sebagai satu peluang dan bukan lagi ancaman, selain menarik peminat dari seluruh dunia dan pulangan ekonomi yang dihasilkan." - Peter Gilmour

Kejohanan tahunan Piala Monsun di Terengganu, yang merupakan acara sukan antarabangsa kedua terbesar di Malaysia, bersedia mencatat peningkatan 30 peratus pulangan daripada pelaburan di segi acara, media dan penjenamaan tahun ini berbanding pencapaian RM539 juta pada tahun lepas.

Penasihat Kejohanan dan tiga kali juara dunia Match Race Sailing Datuk Peter Gilmour berkata kos penganjuran Piala Monsun itu menelan kira-kira RM30 juta, di mana 60 peratus daripadanya dibiayai oleh kerajaan dan bakinya dibiayai sektor swasta.

Beliau berkata acara dunia yang amat mengujakan itu telah menjana pulangan 26 kali pelaburan berbanding tahun lepas, menjadikan acara reben biru kejohanan pelayaran itu satu penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Acara itu juga telah menjana kesan limpahan bagi Terengganu seperti pekerjaan di musim tengkujuh yang menyulitkan.

"Pada asasnya, kesemua kos digunakan untuk mengendali dan menganjur kejohanan itu, dan kami mendapat manfaat luar biasa yang hebat seperti pengiklanan tambahan.

"Tiga puluh peratus merupakan sasaran purata yang telah ditetapkan berasaskan tahun ke tahun. Sasaran itu meningkat tahun ke tahun melebihi RM100 juta," katanya.

Piala Monsun 2009 telah menarik 101,794 penonton, mewujudkan 1,722 pekerjaan dan menjana nilai media cetak RM24 juta.

"Terdapat banyak limpahan ekomomi di negeri itu.

Ketibaan penumpang di lapangan terbang meningkat daripada 300,000 setahun kepada empat juta, manakala stadium sukan dan dua hotel baharu dibina di negeri itu.

"Semua ini berlaku ketika musim Piala Monsun itu.

"Dan, sudah tentu bukannya kami tidak bercita-cita untuk cuba meningkatkan jumlah itu, tetapi ia juga bergantung kepada keadaan," kata Gilmour mengenai acara yang diwujudkan di Malaysia pada 2005 dan telah menjadi sebahagian daripada kalendar kejohanan dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF).

Acara itu juga salah satu kejohanan paling penting World Match Racing Tour dan dianggap Formula One dalam pelayaran yang meletakkan Terengganu pada peta dunia bagi kejohanan sukan utama.

Piala Monsun, iaitu projek Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sejak tahun lepas, merupakan kejohanan pelayaran anjuran Negeri Terengganu.

Gilmour berkata kejohanan itu jelas sebagai pemangkin ekonomi bagi pelancongan dan sukan tempatan, khususnya bagi Terengganu di mana penganjuran kejohanan musim Monsun kini dilihat sebagai satu peluang dan bukan lagi ancaman, selain menarik peminat dari seluruh dunia dan pulangan ekonomi yang dihasilkan.

Malaysia mempunyai kontrak lapan tahun sebagai tuan rumah Piala Monsun, dianjur oleh T-Best Events Sdn Bhd, pengajur acara rasmi bagi kejohanan itu.

Bagi tahun ini, beliau berkata fokusnya ialah untuk mewujudkan kesan ekonomi yang lebih besar.

"Apa yang kami buat sekarang ialah menyasarkan bidang seperti menarik lebih ramai penonton dan menjana perolehan yang lebih tinggi di negeri itu. Jadi, apabila ia mula dipromosikan di pasaran tempatan, kami berharap dapat meningkatkan impak itu," katanya.

Gilmour berkata acara itu juga satu platform untuk membangunkan bakat dan kemahiran tempatan.

Tahun lepas, 23,359 minit disiarkan menerusi 24 penyiar, mencapai 2.1 bilion isi rumah di seluruh 184 negara.

Pada 2008, 12,900 minit disiarkan di televisyen menerusi 18 penyiar, mencapai 1.3 bilion isi rumah di 137 negara.
Piala Monsun tahun ini akan diadakan antara 30 November dan 5 Disember.

Bernama

Mosti Laksana Projek Perintis Pusat Inovasi

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan menubuhkan pusat inovasi di beberapa tempat terpilih selaras dengan hasrat kerajaan membudaya inovasi di kalangan rakyat.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata dengan kerjasama beberapa pihak seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), pusat inovasi berkenaan akan dibuka di kolej komuniti dan Pusat Giat Mara.

"Projek perintis akan bermula September hingga Disember ini dan jika ia membuahkan hasil, ia akan dimulakan awal tahun depan.

"Buat permulaan beberapa lokasi luar bandar seperti di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak akan dipilih untuk projek perintis dan jika berjaya, ia akan dibuka di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas perasmian Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) Zon Timur di Kuala Terengganu, semalam.

Karnival itu dirasmikan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderul Zaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud. Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata pusat inovasi itu bertujuan memberi tempat kepada mereka yang berminat terutama lepasan sekolah yang mempunyai idea inovasi atau reka cipta tetapi berada di luar institusi pengajian, meneruskan penghasilan kreatif mereka.

"Pusat itu juga akan menguruskan soal paten atau hak milik dan pemasaran produk yang dihasilkan nanti. Pusat Inovasi ini akan menggunakan kepakaran tempatan dan jika perlu, kepakaran dari luar akan dibawa masuk kerana kita nak pastikan kemajuan inovasi kita selari dengan kemajuan dunia," katanya.

Karnival Malaysia Inovatif Zon Timur dengan tema Pembangunan Lestari itu akan berlangsung selama dua hari mulai semalam di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).

Pelbagai program diadakan pada karnival anjuran bersama Mosti dan kerajaan negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan serta Rakan Inovatif itu seperti pameran produk inovasi ciptaan rakyat tempatan, Malam Kreativiti Muzikal, pertandingan Inovasi peringkat Zon Pantai Timur, ceramah inovasi dan program Cabaran Angkasawan Malaysia.

Turut diadakan ialah larian angkawasan yang memberi peluang pemenang menghadiri sesi latihan di peringkat kebangsaan dan pemenang utama terpilih untuk menyertai lawatan ke Russia atau melanjutkan pelajaran dalam bidang sains angkasa dan melihat pelancaran roket dari Kazakhstan.

Ibu Tunggal Berjaya Didik Sembilan Anak

Menteri Besar menyampaikan anugerah kepada salah sebuah keluarga. Gambar - Zulkifli Putra.

Oleh : AIDA ABD RAHMAN (Ukom)


Seorang ibu tunggal dari Kampung Batu 4, Binjai, Kemaman berjaya membesar dan mendidik sembilan cahaya mata sehingga enam daripadanya berjaya melanjut pelajaran ke menara gading serta memiliki kerjaya yang baik walaupun wanita itu hanya bersandarkan pendapatan hasil kedai runcit kecil-kecilan berhampiran rumah.

“Mak cik selalu pesan anak-anak jangan tinggal sembahyang dan mereka sejak kecil memang menghormati saya dan arwah suami serta orang tua. Dengan sikap sedemikian mereka membesar dengan baik dan beroleh keberkatan dalam hidup,” kata Kiah @ Saadiah Talib, 64, selepas menerima Anugerah keluarga Mithali Terbilang 2010 Parlimen Kemaman, di Awana Kijal, Kemaman, kelmarin (27 Julai 2010).

Kiah berkata, walaupun kematian suami yang mengidap barah hati pada 30 September 2007, dia tidak menganggap kehilangan tunggak keluarga itu sebagai penghalang untuk terus mengecap kebahagian bersama anak-anak yang sudah dewasa dan enam daripadanya bekeluarga.

Nenek kepada 15 cucu itu berkata, kesemua anak-anaknya sering mengambil
berat dan saling membantu antara satu sama lain sekaligus menguatkan lagi hubungan mereka sekeluarga dan setiap masalah yang melanda keluarga mereka dapat diatasi dengan baik.

Menurutnya, walaupun hidup mereka sejak dulu hanya bergantung kepada pendapatan yang tidak menentu melalui perniagaan kuih sebelum beralih menjual barangan runcit di kedai yang dibina berhampiran rumah, mereka tetap mampu menjalani kehidupan yang sederhana dan tidak berserah nasib kepada takdir semata-mata.

“Walaupun hidup ketika muda dan anak-anak masih kecil dulu tidak begitu senang, mak cik tetap bersyukur dikurniakan rezeki memiliki anak-anak yang mendengar kata dan rajin belajar untuk mengubah nasib keluarga dan hasilnya kami nikmati kini, “ kata Kiah yang turut berterima kasih kepada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) kerana memilih keluarganya sebagai penerima anugerah itu.

Sembilan anak Kiah adalah Noriah Abu Bakar, 48, surirumah; Noreha, 46, guru (bekas penuntut Universiti Putra Malaysia); Musalmah, 44, surirumah; Hanafi 42, berniaga (bekas penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Tarmizi, 39, juruteknik (bekas penuntut Politeknik); Suhaidi, 35, pegawai agensi pelancongan ; Nurbairi, 29, jurutera (bekas penuntut UTM); Zatul Itri, 25 (sedang mengikuti Master, di UPM) dan Nor Hasmira, 20, penuntut Universiti Teknologi Mara.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dengan diiringi isteri, To’ Puan Norliza Mahmud menyampaikan hadiah kepada semua penerima anugerah mengikut Dewan Undangan Negeri (Dun). Hadir sama, Adun Air Putih, YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Adun Kemasik, Ir Rosli Othman.

Turut hadir, Pengarah YPK Terengganu, Encik Shafaruddin Mustafa.

Dua Jawatan Timbalan Presiden Jadi Perhatian Pada Pemilihan FAM

Seramai 38 ahli Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menentukan barisan kepimpinan badan induk itu bagi tempoh 2010-2014 pada pemilihan semasa Kongres Tahunan ke-47 di sebuah hotel, di Shah Alam, hari ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata 38 ahli tersebut mewakili 19 ahli gabungan FAM termasuk dua wakil dari setiap ahli gabungan baru, Persatuan Bolasepak Melayu, Persatuan Bolasepak Cina dan Persatuan Bolasepak India.

"Sebelum ini, ahli gabungan FAM ialah 16 persatuan dan tahun ini, tiga lagi persatuan yang mewakili kaum turut menjadi ahli dan wakil mereka layak mengundi," katanya semalam.

Pada pemilihan itu, perwakilan akan memilih dua timbalan presiden, empat naib presiden dan lapan anggota eksekutif selepas presiden Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, mengekalkan jawatan yang disandang itu sejak 1984, selepas menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup 18 Julai lalu.

Tumpuan utama esok pastinya bagi dua jawatan timbalan presiden yang sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad dan Khairy Jamaludin.

Redzuan akan bertanding sementara Khairy pula tidak mempertahankan jawatannya.

Perhatian perlu diberikan dengan kembalinya bekas timbalan presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam senarai calon timbalan presiden.

Tengku Mahkota Pahang itu sebelum ini pernah memegang jawatan berkenaan pada Februari 1992, namun melepaskannya pada bulan Mac tahun berikutnya.

Beliau bagaimanapun dipilih memegang jawatan itu semula pada Februari 1994 sebelum melepaskannya kembali pada Julai 2007.

Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, pada mulanya turut berminat bertanding jawatan timbalan presiden namun kemudian menarik diri.

Berikut adalah senarai calon ahli jawatankuasa eksekutif FAM bagi penggal 2010/2014:

Presiden: Sultan Ahmad Shah (menang tanpa bertanding)

Timbalan Presiden (dua jawatan)

1. Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

2. Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad

3. Datuk Che Mat Jusoh

4. Tan Sri Annuar Musa

5. Datuk Abdul Mokhtar Ahmad

Naib Presiden (4 jawatan):

1. Datuk Afandi Hamzah

2. Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar

3. Datuk S.Subramaniam

4. Datuk Hamidin Mohd Amin

5. Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim

6. Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd Hashim

7. Datuk Subahan Kamal

8. Datuk Lawrence Gimbang


Jawatankuasa Eksekutif (lapan jawatan)

1. Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim

2. Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman

3. Datuk Hamdan Mohamed Khalib

4. Datuk Takiyuddin Hassan

5. Datuk Jeffery Low Han Chau

6. Datuk Astaman Abdul Aziz

7. Datuk Ibrahim Shamsuddin

8. Datuk Osman Salleh

9. Datuk Soh Chin Aun

10. Rosmadi Ismail

11. Mej Rani Abdul Rahim

12. Wan Mohd Nizam Wan Omar

13. S.Sivasundram.

Friday, July 30, 2010

Bapa Bersyukur Anak Terlepas Daripada Dirogol

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supritendan Noor Zainy Md. Noor (dua kiri) bersama pegawainya memeriksa kereta Perodua Kenari yang digunakan dua lelaki berumur 15 dan 23 tahun untuk melarikan seorang pelajar perempuan di Kampung Limbongan, Besut, semalam.- Gambar Utusan

"Biarpun anak saya cedera parah sehingga retak kepalanya tapi saya redha dan bersyukur kerana dia tidak dirogol dan dapat ditemui semula," kata Mohd. Roslan Ali, 46, bapa kepada pelajar tingkatan tiga yang diculik di Besut, kelmarin.

Menurut Roslan, doktor memberitahunya bahawa anaknya, Nurmuni Ainun Izzati, 15, tidak dirogol biarpun pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemui dengan seluar dalamnya terlondeh.

"Saya langsung tidak menyangka kejadian itu akan menimpa anak saya, dia telah diculik dan hampir dirogol ketika pulang dari kelas tambahan semalam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Bharu semalam.

Nurmuni kini dirawat di HUSM kerana mengalami keretakan pada bahagian kepala serta beberapa kecederaan parah di badan akibat kemalangan tersebut bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Mengimbas kejadian itu katanya beliau hanya menyedari anaknya diculik apabila seorang guru dari sekolah berkenaan datang ke rumahnya memberitahu anak keenam daripada 12 orang adik beradik itu dilarikan oleh penjenayah dengan menaiki sebuah Perodua Kenari kira-kira pukul 4.30 petang.

"Pada mulanya, anak keempat saya yang merupakan abang kepada Nurmuni, Mohd. Yusri, 19, yang pergi menjemput adiknya di sekolah, sampai sejam lebih awal menyebabkan Yusri mengambil keputusan pulang dulu ke rumah.

"Sejam selepas itu iaitu kira-kira pukul 4.30 petang isteri saya, Hamidah Musa, 40, pula bercadang untuk keluar menjemput Nurmuni di sekolah, tetapi ketika sedang bersiap-siap, kami didatangi guru berkenaan yang membawa berita buruk itu," katanya.

Mohd. Roslan berkata, terkejut dengan berita itu beliau dan guru berkenaan kemudian bergegas ke Balai Polis Kampung Raja, Besut untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di balai berkenaan, seorang anggota polis memaklumkan terdapat sebuah kenderaan jenis yang sama berwarna biru terbabas berhampiran rumahnya di Kampung Limbongan.

"Pada mulanya saya kurang berminat dengan apa yang diberitahu polis itu cuma terfikir sejenak kerana kereta itu sama jenis dengan kereta penculik anak saya yang diberitahu guru itu.

"Beberapa minit selepas itu saya menerima panggilan telefon dari salah seorang adik saya memaklumkan anak saya ada ditemui di dalam kenderaan itu dengan keadaannya cedera parah," katanya.

Menurutnya beliau kemudian segera ke tempat kejadian sebelum bergegas membawa anaknya ke Hospital Besut.

"Kemungkinaan anak saya berhadapan cubaan rogol menyebabkan dia melawan sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan kenderaan itu terbabas," katanya.

Mohd. Roslan berkata beliau difahamkan ada penduduk kampung yang melihat kenderaan itu terjunam ke dalam parit sebelum ternampak dua lelaki bergegas keluar dan melarikan diri dari kenderaan itu.

Beliau bagaimanapun berkata kedua-dua lelaki itu berjaya ditahan polis dan penduduk kampung yang melakukan operasi segera untuk mengesan mereka.

Ibu Sanggup Lempar Bayi Lari Serbuan Imigresen

Seorang wanita warga Indonesia tergamak melempar bayi berusia empat bulan dalam pelukannya ke lantai, ketika mahu menyelamatkan diri daripada ditahan penguatkuasa Jabatan Imigresen Terengganu yang menyebu tapak projek pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bukit Besi, pagi kelmarin.

Tindakan itu menyebabkan bayi lelaki itu menangis sebelum dia diselamatkan ibu saudaranya yang juga seorang pendatang asing tanpa izin (PATI).


Difahamkan, suami wanita terbabit yang juga seorang warga Indonesia turut ditahan dalam operasi berkenaan tetapi dibebaskan selepas imigresen yang menjalankan pemeriksaan mendapati lelaki itu adalah penduduk tetap dan mempunyai kad pengenalan merah dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Seramai 68 PATI membabitkan 32 warga Bangladesh, 29 orang termasuk 10 wanita Indonesia, lima rakyat India dan dua warga Myanmar ditahan.

Tawan semula DUN Batu Burok - MB

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengajak semua pemimpin Barisan Nasional (BN) di segenap peringkat agar merapatkan barisan dan bekerja keras untuk menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.

Beliau merayu kepimpinan akar umbi termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pemimpin UMNO peringkat cawangan menghentikan segera pertelagahan sesama sendiri sebaliknya bersatu ke arah kemenangan parti.

Beliau juga tidak menolak tanggapan sesetengah pihak mengenai sikap pemimpin JKKK yang tidak ikhlas dan suka bercakaran menjadi punca status kekalahan BN sejak lebih 20 tahun lalu.

"JKKK perlu elakkan diri daripada dilabel sebagai jawatankuasa yang hanya banyak bermesyuarat dan bercakap," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Besar anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Buruk di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Datuk Che Mat Jusoh dan Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abd. Hamid.

Ahmad Said turut melahirkan rasa kesal dengan beberapa orang wakil rakyat di negeri ini yang bertelagah dengan rakyat dan amat berharap sikap negatif sedemikian perlu dihentikan.
Katanya, perkara itu akan menyebabkan rakyat menjauhkan diri daripada BN dan fungsi wakil rakyat BN sebagai 'pembela rakyat' akan dipertikaikan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan BN dan UMNO di DUN Batu Buruk bersatu dan hentikan 'politiking' yang tidak ada manfaat. Beliau yakin akan ada sinar baru di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Pada majlis itu, Ahmad turut menyampaikan hadiah kepada JKKK Mengabang Tengah dan JKKK Che Kundur yang diumumkan sebagai johan pertandingan profil kampung peringkat DUN Batu Buruk dan mereka menerima RM1,000.

Pelajar Wanita Melawan Dua Remaja Gila Seks

Keberanian pelajar wanita dibantu dengan kepekaan seorang guru sebuah sekolah terhadap pelajar menyumbang kepada kegagalan hasrat dua lelaki melarikan dan merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah dekat Pengkalan Nyireh, Kuala Besut, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, guru lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 31, ketika itu memandu kenderaan bersama anaknya melalui jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Permaisuri Nur Zahirah yang terletak bersebelahan sekolah itu.

Menurutnya, ketika memandu dia ternampak seorang lelaki di dalam sebuah kereta Perodua Kenari berwarna hitam sedang berusaha menarik seorang pelajar perempuan yang berpakaian lengkap sekolah masuk ke dalam kereta.

“Curiga dengan kejadian itu, saya cuba menghalang kenderaan tersebut, tetapi mereka berjaya mengelak dan beredar dari situ dengan membawa pelajar berkenaan.

“Saya tidak nampak wajah lelaki di dalam kereta itu kerana cermin gelap, malah terfikir mungkin pemandu dan penumpang kereta itu adalah ahli keluarga pelajar terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, dia curiga apabila melihat buku dan beg pelajar terbabit bertaburan di atas jalan raya.

Kemudian, dia bertanya kepada pelajar lain di luar sekolah menengah untuk mengetahui maklumat mengenai pelajar itu berdasarkan nama yang tertera pada kertas soalan peperiksaan.

“Saya terkejut apabila seorang pelajar perempuan yang saya temui memberitahu, dua lelaki yang menaiki kereta hitam (Kenari) terbabit sebelum ini pernah cuba menarik tangan pelajar lain masuk ke dalam kereta, tetapi gagal.

"Menyedari perkara itu saya terus mencari keluarga mangsa di Limbongan untuk memaklumkan kejadian itu bagi mendapatkan pengesahan keluarga mengenai suspek," katanya.

Menurutnya, apabila mengesyaki lelaki itu penjenayah, dia dan bapa mangsa ke Balai Polis Kampung Raja untuk membuat laporan.

Katanya, hanya beberapa minit berada di balai berkenaan, ada penduduk kampung menghubungi polis memaklumkan sebuah kereta Kenari terbabas di Kampung Limbongan, kira-kira satu kilometer dari SMK Permaisuri Nur Zahirah dan dia bergegas ke tempat kejadian untuk mengesahkan kereta itu yang dilihatnya sebelum itu.

“Ketika sampai, mangsa yang tidak sedarkan diri telah diangkat ke dalam kereta bapanya manakala dua lelaki terbabit melarikan diri.

“Namun, saya gembira apabila polis berjaya memberkas kedua-dua suspek di Kuala Besut dalam tempoh satu jam,” katanya.
Nafsu lelaki gila seks

Sebenarnya, demi mempertahankan maruahnya, pelajar Tingkatan Tiga itu bertindak nekad melawan dua lelaki gila seks yang menculik dan cuba merogolnya di Kampung Limbongan itu.

Gadis itu meronta dan melawan mereka ketika ditarik masuk ke dalam kereta menyebabkan pemandunya hilang kawalan dan kenderaan terbabas, dan lalu terjatuh dalam parit.

Kedua-dua lelaki itu berumur 23 dan 15 tahun, ditahan polis di sebuah rumah sejam selepas kejadian itu. Suspek berusia 23 tahun luka di kepala.

Mangsa cedera dan koma selepas kereta terbabas dan jatuh dalam parit. Dia dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, dua lelaki menghampiri pelajar yang mengikuti program di Sekolah Menengah Permaisuri Nur Zahirah.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Noor Zainy Mohd Nor berkata, ketika sedang berjalan seorang diri untuk ke kedai tempat keluarganya berniaga di Kampung Limbongan, kira-kira 1.5 kilometer dari sekolahnya, mangsa ditarik masuk ke dalam kereta jenis Perodua Kenari bercermin gelap dan dilarikan.

Menurutnya, kedua-dua suspek melarikan diri dan meninggalkan mangsa yang tersepit dicelah antara kerusi pemandu dan kerusi penumpang depan dan tidak sedarkan diri. Mangsa cedera di hidung, kaki dan leher,” katanya.

Noor Zainy berkata, hasil maklumat orang ramai, beliau mengetuai operasi memburu suspek.

Dengan kerjasama orang ramai, kedua suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut.

“Polis mengesan dan memberkas suspek dalam tempoh kurang satu jam selepas suspek berjalan kaki sejauh kira-kira lima kilometer daripada tempat kereta terbabas.

“Suspek yang cedera itu membuang bajunya yang dipenuhi darah ke dalam semak dan mencuri baju di ampaian,” katanya.

Manakala seorang lagi suspek berumur 15 tahun hanya belajar setakat Tingkatan Satu dan bekerja di kedai membasuh kenderaan.

Noor Zainy memberitahu, mangsa ditinggal di Kampung Paya Rawa dekat Kampung Raja, dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, masih belum sedarkan diri.

Sementara itu di Kota Bharu, bapa mangsa, Hasan (bukan nama sebenar) berkata, penculik itu menanggalkan seluar dalam anaknya dan cuba merogolnya di dalam kereta itu.

“Saya diberitahu oleh adik saya, bahawa anak saya berada dalam sebuah kereta yang terbabit dalam kemala- ngan kira-kira 500 meter dari rumahnya,” katanya ketika ditemui di HUSM.

Hasan bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan anaknya dan sebaik tiba anaknya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai.

”Saya difahamkan, suspek cuba merogol anak saya kerana ketika kejadian, seluar dalam anak saya sudah ditanggalkan,” katanya.

Hasan berkata, berikutan keadaan anaknya yang kritikal, dia dirujuk ke HUSM kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Sinar Harian

Pelumba Basikal Profesional Terengganu Dibayar Gaji Tetap

Kerajaan negeri Terengganu akan membayar gaji tetap kepada pelumba basikal yang akan dipilih menyertai pasukan profesional negeri itu tahun depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata pelumba akan dibayar gaji mengikut prestasi mereka dan berdasarkan kontrak selama dua tahun dan mereka akan dinilai setiap dua tahun sekali.

Beliau berkata pasukan tersebut akan ditubuhkan tidak lama lagi dan pemilihan pelumbanya akan dibuat pada bulan Disember nanti oleh satu jawatankuasa pemilih.

"Seperti yang kita sedia maklum, Terengganu mempunyai pelumba profesional seperti Azizul Hasni Awang dan Anuar Manan dan kita juga mempunyai ramai pelumba basikal yang lain di mana lima daripada enam pelumba yang menyertai pertandingan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lepas adalah pelumba anak Terengganu.

"Beberapa pelumba kita juga kini sedang menjalani latihan di Australia. Jadi kita tidak ada masalah untuk membentuk satu pasukan profesional untuk menyertai kejohanan-kejohanan besar di dalam atau di luar negara," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Tuanku Nur Zahirah Lancar Selendang Songtik, Gabungan Songket Dan Batik

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan melancarkan selendang "Pink Jambu Songtik" iaitu gabungan songket dan batik di Kuala Lumpur semalam.

Rekaan songtik oleh Pink Jambu menggunakan kain daripada syarikat Royal Terengganu Songket Textile, berhasil mencantum kedua-dua kain warisan Malaysia itu.

Pengarah Rekaan Songtik, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pink Jambu Tengku Marina Ibrahim berkata idea mencipta Songtik bermula dua tahun lepas apabila beliau dijemput oleh Royal Terengganu Songket, satu jenama di bawah Yayasan Tuanku Nur Zahirah untuk mereka beberapa helai songket bagi dimuatkan dalam buku mereka mengenai revolusi songket.

"Semasa kami menyiapkan buku tersebut, saya diperkenalkan kepada Dr June Ngo (pengarah produksi dan rekaan Royal Terengganu Songket). Beliau menjelaskan kepada saya mengenai batik. Walaupun saya berada dalam industri ini kira-kira 18 tahun, saya beroleh lebih banyak pengetahuan selepas menemuinya.

"Kolaborasi ini sangat bermakna kerana kami banyak belajar untuk memodenkan dan melakukan ilustrasi kedua-dua hasil kraf ini secara moden," katanya pada sidang akhbar sebelum majlis pelancaran.

Beliau berkata rekaan selendang tersebut diinspirasikan oleh bunga tempatan seperti bunga melur, bunga kenanga dan bunga cempaka selain bahan terbaik seperti sutera dan gentian lurex digunakan dan dihasilkan dengan tangan secara berhati-hati.

Sementara itu, June Ngo berkata mereka mengadakan banyak perbincangan berhubung konsep dan idea, dengan setiap songtik berlainan antara satu sama lain iaitu kedua-dua sisi selendang memiliki corak batik dan songket.

Pusat Penyelidikan Kerajaan Terengganu & UMT di Tasik Kenyir

Ahmad Said (kiri) bersama Dr. Aziz Deraman melepaskan benih ikan kelah ke dalam sangkar Pos Kawalan Sungai Leban di Tasik Kenyir, semalam.

Kepelbagaian sumber alam dan ekosistem Tasik Kenyir adalah sumber tidak ternilai dan perlu diuruskan secara mampan supaya memberi manfaat berterusan.

Atas alasan itu, kerajaan negeri Terengganu melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengambil inisiatif dengan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menubuhkan sebuah pusat penyelidikan di tasik buatan manusia tersebut.

Pusat penyelidikan tersebut akan bertindak sebagai sebuah pusat pengumpulan data saintifik bagi flora, fauna dalam ekosistem perairan dan kawasan persekitaran tasik seluas 38,000 hektar tersebut.

Ia juga akan membantu mempelbagaikan hidupan ikan di tasik buatan manusia di Hulu Terengganu itu.

Kepelbagaian ikan yang hidup di tasik berkenaan turut menarik ‘kaki pancing’ untuk melakukan aktiviti rekreasi berkenaan di sana.

Selain itu, tasik tersebut turut menempatkan Santuari Kelah di Sungai Petang.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pusat penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu akan dibangunkan di sebuah kawasan seluas 20 hektar di kawasan teluk tasik berkenaan.

‘‘Pusat penyelidikan ini akan bertindak sebagai pusat pengumpulan data santifik flora dan fauna, ekosistem perairan dan kawasan persekitaran tasik sekali gus menjadikan Tasik Kenyir sebagai makmal lapangan untuk penyelidikan dalam bidang akuakultur, tumbuhan, haiwan, tanah dan airnya.

‘‘Ia juga akan membantu kita menambah kepelbagaian hidupan ikan yang bersesuaian di Tasik Kenyir dan menjadikan ia sebagai syurga pemancing pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Benih Ikan dan Pecah Tanah Pusat Penyelidikan Tasik Kenyir UMT, di Petang Island Resort, yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, semalam.

Turut hadir ialah Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman. Aziz mengiringi Ahmad ke tapak Pusat Penyelidikan Tasik Kenyir UMT di Tanjung Teluk Perikanan dan Sungai Leban serta sangkar Pos Kawalan Sungai Leban bagi pelepasan anak ikan kelah.

Ahmad Said berkata, antara spesis ikan yang akan diperbanyakkan termasuk ikan lampam dan kelah.

Prof Aziz pula berkata, maklumat hasil penyelidikan di pusat itu juga boleh menyokong usaha Ketengah menjadi Tasik Kenyir sebagai pusat pelancongan pendidikan untuk ekosistem hutan tropika.

‘‘Saya berharap maklumat dan penyelidikan UMT ini akan membantu memantapkan usaha Ketengah untuk memelihara kawasan Tasik Kenyir dan persekitaran,” ujarnya.

Prof Aziz berkata, populasi ikan kelah di Tasik Kenyir dijangka bertambah dalam tempoh beberapa tahun akan datang apabila Pusat Penyelidikan Tasik Kenyir UMT di Tanjung Teluk Perikanan dijadualkan dibina awal tahun depan.

Pusat penyelidikan seluas 20 hektar itu juga berfungsi sebagai pusat pengumpulan data saintifik flora dan fauna sekali gus menjadikan Tasik Kenyir sebagai pusat pelancongan pendidikan terulung di negara ini.

“Pusat penyelidikan ini turut mewujudkan pusat pembenihan ikan di Kuala Sungai Sepetang yang akan meningkatkan populasi kelah di kawasan tasik ini pada masa depan.

“Setakat ini, kami berjaya menghasilkan lebih 2,000 anak kelah dalam makmal dan akan dilepaskan ke dalam sangkar di Tasik Kenyir terlebih dahulu serta tidak dimakan pemangsa,” katanya.

Prof Aziz berkata, pembinaan pusat penyelidikan dengan Ketengah itu juga bertindak sebagai makmal lapangan bagi penyelidikan pelbagai bidang seperti akuakultur, haiwan, tanah, dan air yang mendatangkan faedah kepada penyelidik serta penuntut UMT.

“Sebenarnya kami berusaha selama 15 tahun untuk mendapatkan kawasan di Tasik Kenyir dan hasil penyelidikan serta pengumpu-lan data yang diperoleh kelak membantu pihak berkuasa merancang pembangunan atau pemuliharaan tasik ini,” jelasnya.

Katanya, pusat penyelidikan itu turut menyediakan kemudahan penginapan antara 30 hingga 40 bilik dan kemudahan awam termasuk jalan masuk, jeti, tempat menyimpan bot, makmal pengajian sosioekonomi serta tapak aktiviti perkhemahan.

Prof Aziz berkata, UMT adalah pusat pengajian tinggi pertama yang bertapak di kawasan Tasik Kenyir.

Beliau memberiahu, pusat penyelidikan tersebut dijangka dimulakan pada awal tahun depan dengan pembinaan fasa pertama itu akan memerlukan peruntukan kira-kira RM5 juta.

Beliau menambah, ia akan dilengkapkan dengan makmal untuk pengajian sosioekonomi bagi masyarakat setempat dan orang asli, makmal sains akuatik serta makmal biodiversiti tumbuhan dan biodiversiti.

‘‘Pelbagai infrastruktur lain juga akan dibina seperti kemudahan penginapan. tapak perkhemahan, kemudahan utiliti, jeti dan tempat simpanan bot, surau dan tempat simpanan minyak,” ujarnya.

Prof Aziz memberitahu, sebuah bangunan pembenihan dan kemudahan kolam serta tapak semaian akan dibina di Sungai Petang, Tasik Kenyir.

‘‘Ia dibina untuk menyokong kajian pengeluaran benih ikan kelah serta ikan air tawar lain dan pembiak bakaan tanaman dan buah-buahan nadir,” ujarnya.

Katanya, dengan wujudnya pusat penyelidikan itu, ia akan berperanan menghasilkan benih-benih ikan dan tumbuhan yang diancam kepupusan seperti ikan kelah.

‘‘Ini secara tidak langsung membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan program pemeliharaan dan pemuliharaan sumber semulajadi,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kepelbagaian hidupan di darat di tasik berkenaan juga akan dijadikan sebagai kawasan penyelidikan untuk pelajar universiti berkenaan.

‘‘Pusat penyelidikan ini akan menjadi tempat latihan amali dan pengajaran kepada pelajar UMT yang mengikuti bidang pengajian perikanan, akukultur, biodiversiti, agroteknologi dan pengurusan,” katanya.

Utusan Malaysia & Sinar Harian

Pertandingan Blog KBS Kemaman hingga 5 Ogos

Daya kreativiti pencipta blog kini boleh diterjemahkan di dalam blog yang menarik apabila pertandingan mencipta blog anjuran Kementerian Belia dan Sukan kini berlangsung dari 18 Julai hingga 5 Ogos ini.

Pegawai Belia dan Sukan Kemaman, Ruhisyam Ibrahim berkata, pertandingan itu dijalankan susulan kursus Bloggers melibatkan 120 pemimpin belia terlatih di daerah ini dan dia ingin menghidupkan persatuan belia dengan wujudnya blog yang aktif di Kemaman.

“Saya menyasarkan sehingga 200 penyertaan. Buat masa ini hampir 75 penyertaan telah diterima, dan tema yang dibawa adalah Patriotisme asas 1 Malaysia,” katanya.

Menurutnya, idea pembinaan blog itu dihasilkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shaberry Cheek dan beliau sendiri akan menyampaikan hadiah kejuaraan yang dijadualkan berlangsung pada 6 Ogos ini di Padang Astaka, Chukai.

“Juara bakal menggondol RM3,600 termasuk peralatan komputer bernilai RM300, dan dua kategori disediakan iaitu 18 hingga 25 Tahun serta 26 hingga 40 Tahun,” katanya.

Menurutnya, pertandingan itu dijalankan dengan kerjasama MZF Computer Centre, Chukai, Majlis Belia daerah Kemaman, Parlimen Kemaman dan Pergerakan Puteri serta Pemuda UMNO Bahagian Kemaman.

“Hasrat Kementerian Belia dan Sukan harus direalisasikan untuk membina perubahan baru dalam kalangan belia.

"Sudah menjadi hasrat Kementerian untuk mencipta wadah baru dalam kalangan belia dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.

Menurutnya, tema patriotisme dipilih memandangkan aspek jati diri semakin hilang dalam kalangan belia menyebabkan pihaknya terpanggil untuk mewujudkan tema itu melalui pertandingan terbabit.

“Melalui pertandingan ini, setiap peserta akan mencari maklumat mengenai sejarah kemerdekaan negara, dasar dan perundangan negara serta maklumat terkini.

"Secara tidak langsung setiap peserta mengalami perubahan minda dan membaca maklumat yang memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, hanya lima bloggers terbaik akan dipilih untuk ke peringkat akhir sebelum juara pertandingan diumumkan pada 6 Ogos depan.

YPT Pelawa Pasangan Baru Kawin Sertai Kursus

Pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan dipelawa menyertai kursus bulan madu anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang akan diadakan di Desa Keluarga, Saujana, Setiu.

Pengarah YPKT Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustafa berkata, pakej enam hari itu diperkenalkan YPKT bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan selain mengukuhkan hubungan sihat suami dan isteri.

“Lazimnya, YPKT akan memberi tumpuan kepada aspek Fardu Ain, ilmu keibubapaan, kesihatan, pengurusan kewangan dan moral,” katanya pada Majlis Anugerah Keluarga Mithali Parlimen Kemaman di Hotel Awana, Kijal yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kelmarin.

Menurutnya, pasangan yang baru berkahwin biasanya kurang pengalaman dalam ilmu rumah tangga menyebabkan mereka terdedah dengan pelbagai unsur yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan.

“Itulah yang cuba dielakkan dan kami sentiasa membantu mengekalkan kerukunan rumah tangga,” katanya.

“Saya harap semua pasangan mendapatkan maklumat melalui hebahan yang akan dipaparkan di semua media massa,” katanya

Elak kemiskinan diwarisi anak

Seakan tidak dapat dielakkan apabila seseorang itu miskin harta, kesusahan itu akan meliputi semua aspek termasuk pemikiran, ilmu dan sebagainya hingga menyebabkan kemiskinan terus diwarisi anak-anak.

Menyedari hakikat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, usaha mengurangkan kadar kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat mampu direalisasikan melalui pendidikan berterusan.

“Namun, kita menyedari bahawa dalam hidup serba kekurangan, mereka tidak meletakkan pendidikan sebagai asas utama, sebaliknya apa yang perlu dicari adalah wang bagi menampung kehidupan seharian.

“Bagaimanapun kita tidak seharusnya membiarkan mereka terus terpinggir dan langkah proaktif melalui bantuan yang lebih menjurus untuk memberi kesedaran mengenai pentingnya pendidikan, akan diperhebat dari masa ke masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Kerusi dan Meja Belajar untuk Anak-Anak Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Pusat Khidmat Masyarakat, di Seberang Takir.


Menurutnya, usaha merubah pemikiran ibu bapa adalah antara cabaran yang memerlukan kebijaksanaan, selain perlu mengetahui cara terbaik menggalakkan golongan ini berminat dalam pendidikan.

“Pendidikan adalah cabang terbaik dalam mengatasi, seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan, namun apa yang paling penting, ibu bapa hari ini perlu berfikiran lebih terbuka,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 50 buah keluarga golongan PPRT yang memiliki anak-anak bakal menduduki peperiksaan awam 2010 menerima bantuan berupa meja dan kerusi belajar.

Sinar Harian

Lawatilah Karnival Malaysia InovatifZon Timur Hari Ini & Esok

Mulai pagi ini, Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Kuala Terengganu menjadi tumpuan ramai apabila berlangsungnya Karnival Malaysia Inovatif (MI2010) Zon Timur selama dua hari hingga esok.

Karnival itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderul Zaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud pagi ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said turut hadir.

Karnival dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, Pahang dan Kelantan selain Rakan Inovatif.

Penganjuran karnival kali ini dijangka menarik tidak kurang 12,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan tarikan utama kepada produk hasil inovasi yang dipamerkan.
MOSTI menjangka tidak kurang 12,000 hadir dan mereka akan tertumpu kepada pameran yang menampilkan hasil kreativiti masyarakat Pantai Timu.

Pameran tersebut akan membuktikan keupayaan dan kemampuan rakyat Malaysia menghasilkan produk hasil kreativiti dan ilham ciptaan yang menakjubkan.
Selain pameran, pelbagai acara lain turut dijangka menarik perhatian antaranya Malam Kreativiti Muzikal dan pertandingan Inovasi peringkat Zon Pantai Timur, ceramah inovasi dan program Cabaran Angkasawan Malaysia.

Larian angkasawan memberi peluang kepada pemenang untuk menghadiri sesi latihan di peringkat kebangsaan dan pemenang utama terpilih untuk menyertai lawatan ke Amerika Syarikat atau United Kingdom bagi mendalami bidang sains angkasa di negara berkenaan.

Karnival MI2010 yang bertemakan Meraikan Kreativiti diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pemikiran kreatif selain memupuk budaya inovasi di kalangan rakyat di tiga negeri pantai timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Fokus utamanya ialah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat dengan matlamat melahirkan satu bangsa berinovasi.

Manakala kumpulan sasarannya adalah dari segenap lapisan masyarakat meliputi golongan orang kurang upaya (OKU), wanita, belia, pelajar sekolah, komuniti, penduduk bandar dan luar bandar, penyelidik, badan bukan kerajaan dan pihak swasta.

Karnival MI2010 itu merupakan yang ketiga diadakan daripada enam yang dijadualkan sepanjang tahun ini.

Sebelum ini, karnival seumpamanya diadakan di Perlis (Zon Utara) dan Kota Kinabalu, Sabah (Zon Sabah).

Selepas ini, bengkel tersebut dijadual diadakan di Pagoh, Johor (Zon Selatan), Melaka (Zon Tengah) dan Sarawak manakala acara kemuncak Festival Inovasi diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada November ini.

Apa yang pasti, MI2010 menghimpunkan lebih 200 program ke seluruh negara yang mana setiap lokasi menawarkan keunikan kreativiti dan inovasi penduduk setempat.

Antara acara yang turut menjadi tumpuan orang ramai adalah Bengkel Mega ke arah Rakan Inovasi bersama Zull Design dengan kerjasama Utusan Malaysia.

Bengkel yang akan disertai seramai 100 peserta tersebut akan merungkai rahsia penggunaan alatan tertentu yang memudahkan peminat inovasi untuk melakukan pelbagai ciptaan terbaru.

Manakala Program Malam Kreativiti Muzikal pada hari pertama karnival tersebut bakal menonjolkan bakat serta kreativiti anak-anak muda negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan.
Berkonsepkan 'waste to wealth', program tersebut turut bakal menyaksikan persaingan hebat antara kumpulan-kumpulan yang terpilih sebagai 'finalis'.

Johan pertandingan tersebut akan berpeluang membuat persembahan di Festival MI2010 di Bukit Jalil pada November 2010 ini.

Thursday, July 29, 2010

Ada 47 Lagi Perairan Taman Laut di Terengganu Boleh diLawati!

Hanya satu daripada 20 lokasi ditutup di Pulau Redang.

Salah faham. Hanya lima ditutup dan ada 47 lagi.

Akibat kenyataan yang tidak diperjelaskan oleh beberapa pihak terbabit dengan industri pelancongan, pelancong luar Terengganu dan luar negara agak terkejut dengan berita penutupan beberapa lokasi perairan taman laut di Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, semalam menjelaskan, hanya lima lokasi daripada 52 di Terengganu ditutup. Ini bermakna pelancong sama ada dari dalm atau luar Malaysia masih boleh ke 47 perairan taman laut di Terengganu.

Penutupan sementara itu dibiat berikutan berlakunya kelunturan karang yang didapati lebih teruk berbanding kali pertama pada 1998.

Penutupan yang berkuatkuasa 2 Julai lepas sehingga 31 Oktober ini berikutan kelunturan karang yang mencapai tahap 60 hingga 90 peratus.

Kelunturan karang adalah satu bentuk tekanan dalam terumbu karang yang melibatkan kegagalan hubungan simbiotik di antara karang dan alga unisel ('zooxanthellae'). Gejala-gejala kelunturan termasuklah kehilangan warna secara beransur-ansur apabila 'zooxanthellae' keluar dari tisu karang, sehingga menyebabkan tulang karang berwarna putih.

Tekanan kelunturan juga boleh dilihat pada hidupan lain di terumbu karang yang mempunyai hubungan simbiotik dengan 'zooxanthellae' seperti karang lembut, kima gergasi, sesetengah span, dan sebagainya.

Kawasan karang yang luas boleh terjejas semasa peristiwa kelunturan secara besar-besaran.

Di Terengganu lima kawasan terlibat ialah Pulau Redang (Teluk Bakau), Pulau Tenggol (Teluk Air Tawar), Pulau Perhentian Besar (Teluk Dalam) dan Pulau Perhentian Besar ( Tanjung Tukas Darat dan Tanjung Tukas Laut).

Hanya tiga lokasi di Pulau Perhentian Besar yang ditutup sementara.

Jumlah ini amat kecil jika dibandingkan dengan yang masih tersedia untuk dilawati, katanya.

Ahmad Said menyatakan perkara itu selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Beberapa hari lalu, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit berkata pengusaha pelancong terutama di pulau-pulau luar pantai di Terengganu diminta tidak bimbang dengan penutupan sementara beberapa tempat menyelam di taman-taman laut di negeri itu.

Katanya, di Terengganu terdapat 13 taman laut yang menyediakan 50 pusat menyelam iaitu 30 di Pulau Perhentian, 20 di Pulau Redang dan 10 lagi di Pulau Tenggol.

"Hanya lima pusat menyelam sahaja ditutup iaitu tiga di Pulau Perhentian, masing-masing sebuah di Pulau Redang dan Pulau Tenggol selama tiga bulan bagi memulihkan terumbu karang yang rosak," katanya ketika melawat Pulau Redang.

Pada 21 Julai lalu, Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia Abdul Jamal Mydin berkata, antara lokasi itu ialah Teluk Wangi, Pantai Damai dan Coral Garden di Pulau Payar; Pulau Redang, Teluk Bakau, Pulau Tenggol, Teluk Air Tawar, Pulau Perhentian Besar dan Teluk Dalam.

Menurut Abdul Jamal, ini adalah kali kedua berlaku kelunturan karang yang didapati lebih teruk berbanding pertama kali pada 1998," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat mengenai perkara itu di Pulau Taman Laut di Kompleks Lada, di Langkawi.

Abdul Jamal berkata, jabatannya mendapati antara punca berlaku kelunturan karang dikaitkan dengan pemanasan global.

Katanya, jabatan berkenaan menubuhkan Jawatankuasa bertindak dianggotai pelbagai jabatan termasuk Kementerian Pelancongan, Jabatan Kerja Raya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Abdul Jamal berkata, setiap tahun taman laut dikunjungi lebih setengah juta pelawat dari dalam dan luar negeri.

Pulau Tenggol...hanya satu ditutup sementara antara 2 Julai dan 31 Oktober depan.

Menurutnya kemasukan pelawat ke pulau Payar akan dikurangkan sebanyak 50 peratus kepada 200 orang sebagai langkah mengawal dan mengurangkan tekanan karang itu.

"Pengurangan itu hanya pelawat ke Pulau Payar manakala pulau-pulau lain belum diputuskan," katanya.

Hanya sebahagian Pulau Payar membabit tiga lokasi ditutup.

Persatuan Pengusaha Resort Kepulauan Redang Terengganu beberapa hari lalu turut menafikan dakwaan kononnya taman-taman laut di perairan Pulau Redang ditutup sementara.

Presidennya, Lee Yat Loong menjelaskan, taman laut di pulau berkenaan yang menjadi lokasi bagi aktiviti menyelam dan 'snokerling' tidak ditutup sepenuhnya.

"Hanya Teluk Bakau yang ditutup sementara dari keseluruhan Pulau Redang dan di sana masih ada 20 lagi kawasan menyelam yang tidak ditutup," katanya pada sidang media bagi memperbetulkan kekeliruan mengenai penutupan taman laut di pulau berkenaan di Kuala Terengganu.

Yat Loong memberitahu, beliau tampil memperbetulkan perkara itu berikutan beberapa pengusaha resort telah dihubungi pelancong tempatan dan asing termasuk dari Eropah dan Amerika Syarikat mengenai penutupan taman laut itu.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Perancangan dan Pengurusan Taman Laut, Shahima Abdul Hamid turut menyifatkan kekeliruan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kenyataan media seperti mana disiarkan pada 21 Julai lalu adalah jelas.

KMC - Pelaburan memenuhi ‘tanggungjawab sosial’

Semangat bekerjasama - Datuk Ahmad Said dan Datuk Adnan Yaacob merasmikan acara pecah tanah untuk bangunan KMC baru di Indera Mahkota, Kuantan kelmarin. - Gambar Zulkifli Putra.

Apakah kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya TDM hanya melihat keuntungan apabila melabur bagi membina pusat perubatan terbesar di Pantai Timur, Kuantan Medical Centre (KMC), di Bandar Indera Mahkota,Kuantan?

Dan kenapa pula di Kuantan, bukan di Terengganu?

Memang benar KMC bagi tujuan pelaburan dan perniagaan. Tetapi bagi pelaburan dan perniagaan, di mana pun tidak penting asalkan pulangannya dirasai oleh rakyat Terengganu.

TDM Berhad yang setiap tahun membuat keuntungan dan menyerahkan zakat kepada kerajaan negeri, kini adalah anak syarikat paling aktif melakukan ‘tanggungjawab sosial’.

TDM Berhad melabur RM120 juta bagi tujuan membina pusat KMC yang baru itu.

Namun, menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, kerajaan Terengganu memberi jaminan, KMC sebagai pemain industri kesihatan akan tetap menjalankan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

"Saya yakin pihak pengurusan KMC akan sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik dan menjalankan tanggungjawabnya kepada orang ramai yang memerlukan," katanya.

Soal di mana tidak penting tetapi hasilnya akan dinikmati oleh rakyat Terengganu dalam pelbagai bentuk.

Ahmad Said, berkata Kerajaan Terengganu berterima kasih dengan sokongan Kerajaan Pahang yang memberi peluang kepada TDM meluaskan pelaburan ke negeri itu dalam usaha memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat.

Setidak-tidaknya rakyat dua negeri dapat berkongsi kemudahan itu.

“Kita berharap dengan bangunan baru ini pesakit berasa lebih selesa dengan peralatan yang lebih baik dan canggih selain tambahan pakar perubatan dalam pelbagai bidang yang akan diambil untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit, “ kata beliau pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek bangunan baru KMC di Kuantan, petang kelmarin ( 27 Julai).

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi TDM Bhd, Datuk Senator Roslan Awang Chik.

Katanya, keperluan membina bangunan baru berikutan kedudukan bangunan KMC yang sedia ada terletak di pusat bandar Kuantan tidak begitu kondusif serta kelengkapan yang semakin terhad berbanding permintaan tinggi pesakit.

KMC yang mula beroperasi sejak 1997 memiliki 84 katil termasuk tiga unit rawatan rapi dan 18 pakar perunding.

Hospital baru tujuh tingkat dibina atas tapak seluas 4.3 hektar bakal dilengkapi kemudahan teknologi perubatan tercanggih dan siap pada 2012 sebelum beroperasi pada awal 2013.

KMC yang akan dilengkapi 150 katil berdasarkan konsep bilik individu dengan 10 katil untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tujuh dewan bedah.

Jelas beliau, dengan pembinaan hospital tujuh tingkat di tanah seluas 4.3 hektar itu, KMC akan meningkatkan bilangan pakar perunding dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.

Sejajar dengan hasrat Kerajaan Terengganu yang mengutamakan aspek perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dengan menyediakan peruntukan yang besar untuk tujuan itu, usaha ini akan menggerakkan lagi pembiayaan pengajian 150 pelajar anak Terengganu ke luar negara bagi mengikuti pengajian dalam jurusan perubatan.

“Sebahagian pelajar yang kita hantar belajar perubatan akan ditawarkan berkhidmat dengan KMC atau mana-mana pusat perubatan negeri selepas mereka menamatkan pengajian nanti.

“Apabila sudah ramai doktor yang dapat kita lahirkan nanti, pastinya keperluan untuk doktor wanita merawat pesakit wanita sahaja dan lelaki merawat pesakit lelaki dapat kita lakukan,” katanya.

Sama-sama melihat bangunan contoh yang berharga RM120 juta. Gambar Zulkifli Putra.

Dewan Negara Lulus Usul RMK-10

Dewan Negara meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) selepas dibahas selama lima hari dan penggulungan selama dua hari.

Usul berkenaan dipersetujui sebulat suara oleh semua anggota Dewan semalam.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang mengingatkan sekali lagi kepada semua Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai supaya mengambil berat mengenai perbahasan yang dijalankan di Dewan Negara.

"Saya berharap semua Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai mengambil berat perbahasan yang dijalankan kerana apa yang kita bahaskan di Dewan yang mulia ini, adalah satu perkara yang sangat penting untuk semua," katanya.

RMK-10 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 10 Jun lepas yang menggariskan perbelanjaan pembangunan negara ke arah memacu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

RMK-10 yang bertemakan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial telah mencadangkan peruntukan berjumlah RM230 bilion untuk perbelanjaan sepanjang tempoh lima tahun.

Rancangan strategik yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 30 Jun lepas dirangka supaya selari dengan sasaran negara untuk muncul sebagai negara maju menjelang 2020.

Antara teras utama RMK-10, termasuk mencarta pembangunan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita dijangka meningkat kepada RM38,845 pada 2015.

Selain itu, ia juga mensasarkan pertambahan peluang pekerjaan di negara ini kepada 13.2 juta pekerjaan menjelang 2015.

RMK-10 turut merancang meningkatkan jumlah modal insan tempatan yang berkualiti selain menarik kehadiran tenaga profesional dari luar ke Malaysia.

Saya Bertanggungjawab Kerana Dipotong 3 Mata - Irfan

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti mengaku bertanggungjawab kerana pasukannya dipotong tiga mata akibat kesilapan teknikal ketika menang 4-0 ke atas Johor FC pada saingan Liga Super, awal bulan ini.

Irfan Bakti menganggap insiden tersebut sebagai pengajaran yang perlu dijadikan iktibar buat pasukannya untuk lebih matang.

Malah, Irfan dengan rasa tanggungjawab menerima hukuman tersebut dan meletakkan kesalahan itu di atas bahunya.

"Saya bertanggungjawab, pihak pengurusan bertanggungjawab dan kami semua bertanggungjawab. Secara jujurnya, ini adalah kesalahan saya dan secara peribadinya ia berpunca daripada kelalaian kami terhadap aspek teknikal.

"Ia adalah kesalahan teknikal dan ia berlaku di dalam tempoh 24 jam. Jika ia berlaku selepas tempoh tersebut ia tidak menjadi masalah," katanya.

Beliau mengulas isu Terengganu yang dikenakan hukuman pemotongan tiga mata selepas melanggar peraturan perlawanan dengan menurunkan pemain yang sama untuk dua pasukan berbeza dalam tempoh 24 jam.

Kesalahan itu dilakukan selepas Terengganu menurunkan Mohd. Zubir Mohd. Azmir pada perlawanan menentang Johor FC 6 Julai, iaitu kurang 24 jam selepas pemain itu beraksi untuk pasukan Piala Presiden Terengganu.

Dalam pada itu, Irfan secara profesional mengakui Zubir memang layak untuk beraksi pada perlawanan berkenaan.

"Zubir tidak bersalah dalam hal ini kerana dia memang layak untuk bermain, jadi saya tidak pernah menyesal membuat keputusan dengan menurunkan Zubir pada perlawanan itu,"ujarnya.

Ketika ditanya adakah hukuman itu menjejaskan corak permainan pasukannya, Irfan menafikan sama sekali ,sebaliknya meluahkan rasa bangga apabila pasukannya berjaya menewaskan pasukan Perlis pada perlawanan kedua menentang pasukan tersebut di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.

Jelasnya, Terengganu yang kini menghuni kedudukan ketiga Liga Super, berjaya mempamerkan permainan yang hebat dengan menewaskan Perlis 4-2.

RM6,000 Untuk Wakil Negara Ke Kejuaraan Formula Future Dunia

Gambar fail...Ahmad Said meraikan perserta Terengganu ke Pertandingan Formula Future Dunia 2008.

Enam atlet Terengganu yang akan mewakili negara pada kejuaraan Formula Future di Liverpool, England pada 13 hingga 15 Ogos ini akan menerima sumbangan sebanyak RM6,000 setiap seorang daripada kerajaan negeri.

Mereka ialah Akef Hilmie Mohd Zamry, Dzafran Mohd Noor, Muhammad Zhafree Ammar Mohd Zamry, Nik Daniel Affifudin Nik Kamaruzaman, Tengku Mohd Kamal Hishamuddin Tengku Mohd Zainal Abidin Petra dan Muhammad Faidzullah Ramli.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata sumbangan itu sebagai satu penghargaan kerajaan negeri kepada mereka yang membawa nama negeri ini di luar negara selain berjaya memenangi pingat emas pada kejohanan Formula Future Kebangsaan di Taman Botani Putrajaya, Ahad lalu.


Terengganu merebut kembali juara selepas tewas tahun lau.

Pasukan Terengganu muncul juara keseluruhan Kejohanan Formula Future Kebangsaan (Formula Future) 2010 yang berakhir di Taman Botani, Putrajaya, Ahad lalu selepas membolot 16 daripada 30 kedudukan tertinggi dalam dua kategori dipertandingkan.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kuala Terengganu semalam.

Kemenangan itu lebih manis lagi bagi Terengganu kerana enam pesertanya turut terpilih menyertai empat lagi pilot bagi membawa cabaran Malaysia di Kejohanan Formula Future Dunia di Carr Mill Dam, St Helens (Merseyside), England antara 13 hingga 15 Ogos ini.

Malaysia akan diwakili Akef Hilmie Mohd Zamry, Dzafran Mohd Noor, Muhammad Zhafree Ammar Mohd Zamry, Nik Daniel Affifudin Nik Kamaruzaman, Tengku Mohd Kamal Hishamuddin Tengku Mohd Zainal Abidin Petra dan Muhammad Faidzullah Ramli dari Terengganu.

Empat lagi wakil Malaysia ke England termasuk Hadi Irfan Mohd Rahaiza, Muhamad Azwar Yahya dan Muhammad Faqih Noor Hamzah dari Putrajaya.

Sementara itu, pertandingan Formula Future Kebangsaan bagi kategori manouvering kelas 1 (antara tujuh hingga sembilan tahun) dimenangi Akef Hilmie diikuti Mohd Zulkarnain Mohd Zaharom (Putrajaya) dan Muhammad Hazim Rosmaza (Selangor).

Kategori slalom Kelas 1 dimenangi Dzafran diikuti Akef Hilmie Mohd Zamry (Terengganu) dan Muhammad Syimir Mohd Saidi (Selangor). Kelas 2 dimenangi Muhammad Zhafree diikuti Nik Daniel dan Hadi Irfan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan hadiah kepada pemenang utama dan menutup secara rasmi kejohanan dua hari itu.

Muhyiddin, yang juga penaung Formula Future, berkata baru-baru ini pihak mempromosi 'F1 World Nations Cup Powerboat Series', yang berpangkalan di Itali, melawat Pusat Maritim Presint 6 di sini dan bercadang menjadikan Putrajaya sebagai ibu pejabat mereka di rantau Asia.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat kerjasama pintar kerajaan dan swasta banyak menjayakan pembangunan sukan negara, termasuk penganjuran Formula Future, yang wajar menjadi iktibar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan sukan, sektor swasta dan agensi kerajaan lain.

Muhyiddin juga kagum dengan kejayaan pilot 'Formula Future' Malaysia membawa pulang empat kejuaraan dunia, iaitu pada 2004 di Lisbon, Portugal, 2005 (Portimao, Portugal), 2007 (Leer, Jerman) dan di Ravenna, Itali pada 2008, sekali gus membuktikan negara tidak ketandusan pilot bertaraf dunia.

12 Pejabat Imigresen Negeri Ditutup Sabtu

Dua belas pejabat Imigresen negeri akan ditutup pada Sabtu dan Ahad ini untuk tujuan penambahbaikan kelancaran sistem pengeluaran pasport.

Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan berkata pejabat yang terbabit ialah Damansara, Wangsa Maju, Ipoh, George Town, Alor Setar, Johor Baharu, Seremban, Ayer Keroh, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Baharu dan Shah Alam.

Bagi Kedah, Terengganu dan Kelantan, penutupan pejabat Imigresen adalah pada Sabtu sahaja, manakala pada Ahad, operasi pejabat Imigresen berjalan seperti biasa.

49 penduduk gembira dapat tanah

Seramai 49 penduduk gembira selepas usaha mereka memohon tanah di kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Kubur, Kota Putera sejak tiga tahun lalu akhirnya diluluskan kerajaan.

Semalam mereka menerima Jadual 5A sebagai tanda tanah tersebut akan menjadi milik mereka yang disampaikan dalam satu majlis di Balai Serbaguna Pengkalan Kubur.

Masing-masing menerima tanah tapak rumah seluas kira-kira 0.2 hektar dengan bayaran premium kira-kira RM1,500.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof yang turut dihadiri oleh Pentadbir Tanah Besut, Tuan Mamat Tuan Ngah.

Pehimi dalam ucapannya meminta penerima agar tidak membiarkan tanah mereka dipenuhi semak samun sebaliknya membina rumah yang sesuai.

Katanya, terdapat beberapa kes di mana penerima tidak membina rumah di atas tanah pemberian kerajaan itu namun hanya membiarkannya sehingga diambil balik oleh kerajaan.

"Jika keadaan itu berlaku, timbul pula masalah apabila penerima mula mendesak kerajaan untuk memberikan semula tanah yang telah diambil selain ada pula yang meminta kerajaan menggantikannya dengan tanah di tempat lain,'' katanya.

Sementara itu beberapa penerima yang ditemui selepas majlis itu melahirkan rasa syukur dan gembira dengan pemberian itu yang sememangnya dinantikan mereka sejak sekian lama.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gerda Mas/Pengkalan Kubur, Rakman Awang Seman berkata, kesemua penerima melahirkan rasa lega kerana impian mereka tercapai.

"Dengan adanya sijil jadual 5A tersebut mereka tidak lagi merasa risau sebaliknya akan berusaha membina rumah di atas tanah itu," jelasnya.

Mohamad Deris, 42, yang bekerja sebagai buruh berkata, dia amat bersyukur kerana tanah yang diidamkan selama ini sudah menjadi miliknya dan berterima kasih kepada kerajaan.

"Walaupun mempunyai tujuh anak tetapi saya gembira kerana ada tanah sendiri yang boleh menjadi tempat tinggal kami sekeluarga tanpa perlu menumpang di tanah orang lain, "katanya.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Mek Mas Mohamad, 48, berkata, dia merasa bertuah kerana terpilih untuk menerima tanah tersebut yang bakal diwarisi oleh tiga anaknya yang berumur antara 18 hingga 27 tahun.

Hong Leong Islamic Bank Buka Cawangan Ke-empat

Hong Leong Islamic Bank Berhad (HLISB), anak syarikat Hong Leong Bank Berhad (HLBB) membuka cawangan pertamanya di Terengganu yang menjadikan jumlah keseluruhan cawangannya kepada empat di seluruh negara pada masa ini.

Pengarah Urusan HLISB Hijah Arifak Othman berkata cawangan HLISB itu merupakan cawangan ke-dua di Pantai Timur dan yang ke-empat selepas Kota Bharu, Shah Alam dan Kuala Lumpur selepas HLISB dilancarkan secara rasmi pada 19 Julai 2005.

"Pembukaan ini adalah untuk memenuhi peningkatan keperluan pelanggan kami di Pantai Timur yang merupakan kawasan pertumbuhan pesat untuk perbankan Islam dan merupakan langkah penting untuk memperluaskan lagi liputan kami sambil memperkukuhkan lagi hubungan dengan pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian cawangan baru HLISB di Jalan Sultan Ismail di Kuala Terengganu semalam yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah.

Hijah berkata cawangan terbaru itu merupakan cawangan pertama HLISB yang mempunyai ciri-ciri kontemporari dan menjadi penanda ukur bagi cawangan baru HLISB di masa akan datang.

Selain reka bentuk dalaman yang lebih moden, katanya dewan perbankan juga dilengkapi dengan terminal layar sesentuh, papan isyarat digital dan sudut khas untuk perbankan elektronik dengan terminal layan diri untuk keselesaan pelanggan.

"Cawangan ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan inovatif yang menyeluruh, yang bersesuaian dengan prinsip syariah dan penyelesaian yang meliputi aspek seperti kewangan berstruktur, pasaran modal, perkhidmatan kewangan, dan pengurusan kekayaan peribadi," katanya.

Beliau berkata HLISB menyokong penuh hasrat kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam dan dengan pembukaan cawangan baru itu diharap dapat memperluaskan lagi produk dan perkhidmatan baru inovatif berlandaskan syariah di pasaran.

Selangor Tambah Mata Tewaskan T-Team 2-1

Pendahulu Liga Super, Selangor terus memperkemaskan kedudukan di tangga teratas setelah menang tipis ke atas T-Team 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam semalam.

Pelawat yang berjersi kuning membuka jaringan seawal separuh masa pertama menerusi Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-39.

Tuan rumah kemudiannnya menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua oleh Shamsul Kamal Muhamad pada minit ke-63.

Selang enam minit kemudian, Selangor terus memperkemaskan rentak perlawanan apabila Rudie Ramli menjaringkan gol kedua pasukan itu.

Dengan kemenangan tersebut, Selangor kini mengumpul 60 mata iaitu lima mata di hadapan pencabar utamanya Kelantan yang turut sama mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas KL Plus di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV.

Gol kemenangan bagi Kelantan disumbangkan oleh Azizi Matt Ros pada minit ke-15, Indra Putra Mahyudin pada minit ke-56, Akmal Rizal Ahmad Rakli pada minit ke-62 dan Mohd Nur Farhan Muhd, minit ke-86. Gol tunggal KL Plus muncul pada minit ke-67 oleh Rusydee Samsudin.

Kedah pula membelasah Pahang 3-0 di Stadium Darul Aman.

Di Stadium Batu Kawan, Negeri Sembilan membenam tuan rumah, Pulau Pinang dengan jaringan 3-0, manakala Johor FC menang besar kepada Johor dengan jaringan 5-0

Kuala Lumpur pula mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Wednesday, July 28, 2010

19 Sept Keputusan Sama Ada 46 Pengikut Ayah Pin Perlu Bela Diri

Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa menetapkan 19 September depan untuk memutuskan sama ada 46 pengikut ajaran Ayah Pin perlu membela diri terhadap pertuduhan menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari fatwa bahawa ajaran itu adalah sesat.

Hakim Syarie Rosdi Harun menetapkan tarikh itu selepas Ketua Pendakwa Syarie Mustafar Hamzah selesai menyampaikan hujahan.


Dalam prosiding yang dihadiri oleh semua tertuduh termasuk seorang bekas ustazah Kamariah Ali, 59, yang pernah mengemparkan negara kerana mengaku dirinya murtad, Hakim Rosdi turut menetapkan 4 Ogos sebagai tarikh untuk peguam yang mewakili semua tertuduh, Saadiah Din menyediakan hujahan balas secara bertulis.

Beliau juga menetapkan 18 Ogos sebagai tarikh untuk pihak pendakwaan membuat hujahan balas pengulungan sebelum mahkamah memutuskan sama ada wujudnya kes prima facie terhadap kessemua tertuduh.

Terdahulu, Mustafar dalam hujahan yang berlangsung hampir dua jam berkata tertuduh Esah Mohamed bersama 45 orang pengikut Ayah Pin yang lain atau nama sebenarnya Arifin Mohamed, didapati dengan jelas telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Beliau berkata, ia dibuktikan hasil keterangan 25 saksi pendakwa yang dipanggil sepanjang prosiding berhubung kes itu dijalankan sebelum ini dan pihak peguam bela juga gagal menyangkal sebarang keterangan yang dikemukakan oleh saksi.

"Pihak kami telah memanggil 25 orang saksi dan melalui saksi-saksi itu kami telah berjaya membuktikan dan mengemukakan fakta-fakta utama yang perlu dibuktikan menepati fakta persoalan yang terkandung dalam statut peruntukan seksyen berkenaan sebagaimana berikut.

"Pertama tertuduh dan 45 yang lain ditahan ketika berada di dalam kawasan kediaman berpagar di mana Arifin Mohamad tinggal dan kediaman berpagar itu merupakan tempat di mana Ayah Pin menjalankan ajaran dan pegangannya," katanya.

Beliau berkata, terdapat perintah pihak berkuasa agama negeri melalui fatwa yang dikeluarkan supaya orang ramai menghindarkan diri dari terlibat dengan ajaran dan pegangan Ayah Pin.

Sehubungan itu, katanya tindakan tertuduh dan 45 yang lain yang sengaja tinggal dan duduk di dalam kawasan itu telah menghina pihak berkuasa agama kerana tidak menghindarkan diri dari terlibat dengan pegangan dan ajaran Arifin Mohamad sebagaimana yang diperintahkan melalui fatwa.

Mengikut kertas pertuduhan, Esah Mohamed dan 45 tertuduh yang lain pada 20 Julai 2005, kira-kira pukul 10.30 malam telah didapati berada di dalam kawasan kediaman Arifin Mohamad yang dikenali sebagi Ayah Pin iaitu di Kampung Batu 13, Mukim Tenang Hulu Besut.

Dengan cara itu mereka didapati telah bertindak dengan cara menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari fatwa bahawa ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu, sesat, menyeleweng dan boleh memberi ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah.

Oleh itu mereka didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.