Friday, December 17, 2010

'Pembohong Bersiri', 'Bapak Penipu' Hangatkan Sidang DUN Terengganu

Dua ADUN PAS yang mengeluarkan kata kesat terhadap Ahmad Said dan Tengku Putera selepas Dr Syed Azman dilabelkan 'pembohong bersiri'.

Sesi penggulungan Bajet Persidangan Dewan Undangan Negeri Terenggganu Kali ke-12 semalam panas dengan pertikaman lidah antara wakil pembangkang, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said serta Yang diPertua Dewan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Dua ADUN PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Burok) dan Wahid Endut (Wakaf Mempelam) mereka menuduh Tengku Putera sebagai ‘berat sebelah’ dan memihak kepada kerajaan negeri.

Keadaan menjadi benar-benar panas apabila Ahmad Said menggelarkan sebagai Dr Syed Azman ‘pembohong bersiri’ berikutan beberapa isu yang dibangkitkan dalam dewan termasuk mengenai penempatan semula penduduk Kampung Tok Perah, Ladang di Pangsapuri Ladang Gemilang adalah tidak tepat.

''Saya mempunyai bukti Yang Berhormat (Syed Azman) pembohong bersiri. Memorandum tersebut hanya ditandatangani oleh sejumlah penduduk yang merupakan orang Pas sahaja manakala yang lain hanya ada nama sahaja. Ini pembohongan pertama," katanya ketika sesi penggulungan pembentangan Bajet 2011.

Syed Azman kemudian bangun membantah bahasa yang digunakan oleh Menteri Besar dengan menyatakan jika ia dibenarkan, beliau juga akan gunakannya.

Dr Syed Azman meminta Ahmad menarik balik perkataan itu tetapi apabila Ahmad terus menggelarkannya dengan panggilan itu, Syed Azman turut melemparkan beberapa perkataan seperti 'bapak penipu dan penipu besar' kepada Menteri Besar.

"Saya rasa kecewa kerana Adun Batu Burok lulusan hebat, tetapi tak menggambarkan kebijaksanaannya...Minta maaf kalau saya anggap wakil Batu Burok ni pembohong bersiri.

"Mereka sengaja menggunakan nama 170 orang tanpa dapat restu penduduk yang tinggal di Pangsapuri Ladang Gemilang dan ini dilakukan oleh enam orang PAS yang tidak akan berpuas hati walaupun gunung kita berikan," katanya.

Beliau merujuk kepada penyerahan memorandum bantahan penduduk Kampung Tok Perah, Ladang berhubung penempatan semula penduduk ladang di Pangsapuri Ladang Gemilang di Kuala Terengganu yang dibantu oleh Dr. Syed Azman Syed.

Ahmad Said menjelaskan, memorandum yang dihantar kepada beliau semalam yang didakwa oleh 170 penduduk kawasan berkenaan kerana tidak berpuashati mengenai soal pengambilalihan tanah sebenarnya tidak benar kerana hanya mempunyai nama tanpa tandatangan.

Beliau menambah, pembohongan kedua dilakukan oleh Dr Syed Azman apabila beliau menuduh projek pembinaan tempat letak kereta itu telah ditolak oleh Pulau Pinang selepas menghubungi Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Menteri Besar merujuk kepada penolakan projek pembinaan kompleks tempat letak kereta bertingkat bernilai RM4.2 juta di Batas Baru di Kuala Terengganu oleh negeri-negeri lain selain tuduhan projek-projek di negeri ini diberikan kepada 'kroni' Menteri Besar.

"Saya juga menghubungi Guan Eng dan beliau menyatakan Syed Azman tidak menghubunginya mengenai perkara itu.

"Dia (Syed Azman) ingat saya tak kenal Guan Eng. Saya tanya ada orang menghubungi Guan Eng berhubung tempat letak kereta: Dia kata, tidak ada dan saya tak ingat dan mungkin pegawai saya, saya tak tahu. ADUN Batu Burok? Dia kawan saya. Dia juga tak hubungi saya berhubung perkara itu setakat ini," katanya.

Ahmad kemudian mencabar Dr Syed Azman untuk bersumpah dan kemudian wakil Batu Burok itu bangun bersumpah bahawa beliau ada menghubungi Guan Eng.

Ahmad menerangkan, kompleks tempat letak kereta berkenaan dibina di Batas Baru amat bersesuaian kerana tanah di lokasi berkenaan yang amat terhad.

''Saya sudah beri penjelasan semalam. Tanah kita terhad, Tempat letak kereta terhad. Jadi kita buat tempat letak kereta bertingkat.

''Ini susah, bila tak ada tempat letak kereta marah kerajaan , bila kita buat tempat letak kereta bertingkat kata maju sangat. Buat salah, tak buat pun salah," katanya.
Dewan kemudian meluluskan usul Bajet dan persidangan dewan ditangguh hingga ke suatu masa yang ditetapkan.


Tengku Putera berusaha menenangkan wakil pembangkang.

Lombong Besi di Bukit Besi Tetap Dibangunkan

Gambar Fail - Ahmad Said ketika melawat Bukit Besi, Ogos lalu.


Kerajaan negeri bercadang untuk membangunkan semula kawasan lombong biji besi di Bukit Besi, Dungun berikutan penemuan biji besi baru di situ.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengesahkan perkara berkenaan berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan melakukan kajian peringkat kedua berhubung penemuan baru biji besi itu selepas kajian pertama selesai dijalankan.

"Kajian pertama telah tamat, kajian selanjutnya akan dilakukan berdasarkan maklumat mengenai penemuan biji baru di kawasan itu," katanya ketika menjawab soalan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said memberitahu, usaha membangunkan semula kawasan perlombongan tersebut akan diuruskan oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.

Buat masa ini, jelasnya, kerajaan negeri masih menunggu laporan hasil kajian selanjutnya daripada Jabatan Mineral dan Geosains sebelum memutuskan kerja membangunkan semula kawasan perlombongan itu sama ada secara persendirian atau usahasama dengan pihak lain.

"Kita belum muktamad lagi sama ada kena buat persendirian atau usahasama. Kita perlu tunggu jumlah sebenar dari segi deposit yang melibatkan kos besar, dan kerja-kerja bangunkan semula lombong ini akan dilakukan tiga buah syarikat," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Said turut yakin usaha kerajaan membangunkan Tasik Kenyir sebagai Pulau Bebas Cukai menjelang Ogos 2012 nanti mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negeri ini.

Beliau memberitahu, sejurus bergelar status Pulau Bebas Cukai kelak, ia berupaya bukan sahaja menyediakan pelbagai peluang pekerjaan malah menjana pendapatan ekonomi negeri dari sudut pelancongan.

Menurutnya, pada masa ini, kerajaan giat berusaha membuat persiapan termasuk memasang kabel sepanjang kira-kira 23 kilometer dari Kuala Ping ke Pulau Bayas selain kerja-kerja menebang pokok dekat pulau berkenaan sedang dilakukan.

"Apabila laksanakan pembangunan, rakyat akan dapat peluang pekerjaan, pelancong pun ramai datang dengan Pangkalan Gawi sebagai pintu masuk yang dilengkapi kemudahan jeti dan sebagainya," katanya semasa menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang).

ECER Tarik Pelaburan RM36.5 Bilion

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menarik pelaburan sebanyak RM36.5 bilion dari dalam dan luar negara sejak ia ditubuhkan pada 2007 sehingga November 2010, kata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Daripada jumlah tersebut, RM15.3 bilion daripadanya telah pun diterima," kata Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis yang Ketiga untuk tahun 2010 bagi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Kuala Lumpur, semalam.

Pelaburan-pelaburan yang diterima ini merangkumi 158 projek, yang akan mewujudkan 17,500 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk di kawasan itu.

Para pelabur tersebut termasuklah Eco Tower Sdn Bhd dari Singapura dan Oilfields Supply Centre Ltd dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), serta syarikat-syarikat tempatan seperti Sentoria Themeparks and Resorts dan Hi Essence Sdn Bhd.

"Jumlah pelaburan yang memberangsangkan ini mencerminkan keyakinan dan kepercayaan para pelabur terhadap ECER sebagai sebuah destinasi pelaburan yang tersendiri, dinamik dan kompetitif," kata Najib.

"Kebanyakan infrastruktur asas di ECER telah pun siap dibina dan Wilayah ini turut menawarkan pakej insentif fiskal dan bukan fiskal yang kompetitif kepada para pelabur," kata beliau.

Najib juga berkata beliau sangat berpuas hati dengan usaha promosi pelaburan secara berfokus yang dijalankan oleh ECERDC pada tahun ini, dan kemajuan yang ditunjukkan oleh ECER dari segi pelaksanaan projek.

Pembangunan di ECER sedang berjalan lancar mengikut jadual, di mana kesemua projek yang diluluskan oleh Kerajaan untuk Wilayah tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Projek-projek yang bernilai RM1.4 bilion tersebut merangkumi kelompok ekonomi utama iaitu pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, pertanian dan pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John berkata kesemua projek yang dilaksanakan di ECER adalah seiring dengan Model Baharu Ekonomi (MBE), termasuklah Projek-projek Permulaan (EPP) yang memberi penekanan terhadap projek-projek pelaburan swasta, dan bakal menyumbang secara ketara kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI).

"Projek-projek seperti Agropolitan Pekan, Agropolitan Kelantan Selatan dan Agropolitan Besut-Setiu juga akan membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar dan berpendapatan rendah, dan seterusnya dapat mengurangkan tahap kemiskinan di Wilayah ini," tambah beliau.

"Transformasi ECER kini sedang berjalan dan kami yakin visi ECER untuk menjadi sebuah wilayah maju menjelang 2020 mampu dicapai," katanya.

Menurut kenyataan daripada ECERDC, antara pencapaian utama yang dicatatkan oleh ECER setakat ini ialah pembangunan Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu (KTCC).

Kuala Terengganu kini bersedia untuk melalui satu transformasi utama di bawah projek KTCC.

Pembangunan KTCC akan menyaksikan ibu negeri Terengganu itu bakal dibangunkan sebagai sebuah Bandar Warisan Pesisir Air dan pintu gerbang pelancongan antarabangsa bagi Pantai Timur.

Perunding projek bagi pembangunan KTCC telah dilantik pada tahun 2009 dan kajian projek tersebut kini berada di peringkat akhir. Kerja-kerja pembangunan reka bentuk dan infrastruktur terperinci bagi KTCC dijangka bakal dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Dianggarkan bahawa pembangunan Pemecah Ombak Utara dan Selatan KTCC bakal menjana pelaburan keseluruhan bernilai RM3.9 bilion, yang mana RM3.5 bilion adalah daripada sektor swasta.

Anggota Tabligh Mati Lemas Di Rantau Abang

Seorang anggota kumpulan jemaah tabligh mati lemas ketika mandi di pantai Batu Pelanduk Kuala Abang, Dungun semlam.

Mayat Che Bahaman Md Yusof, 26, yang berasal dari Kampung Nyirih Kampung Raja, Besut dijumpai pukul 12.20 tengah hari oleh pasukan penyelamat.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Dungun Nurali Omar berkata mayat mangsa dijumpai beberapa meter daripada tempat kejadian dan di hantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Beliau berkata Che Bahaman tiba di Rantau Abang malam tadi bersama-sama sekumpulan 10orang ahli tabligh dan bermalam di Masjid Kampung Baru Kuala Abang.

"Che Bahaman bersama empat rakannya mandi di pantai itu pada kira-kira pukul 9 pagi dan dia secara tiba-tiba dihanyutkan ombak besar," katanya.

Tindakan tegas seleweng wang JKM

Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati terbabit dalam penyelewengan wang bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk kakitangan kerajaan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad ketika memberi jaminan itu menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak bertindak tegas jika gejala itu berlaku.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang aduan atau laporan mengenai dakwaan itu namun bersedia bertindak sekiranya ada kesahihannya.

"Jika ada, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dan tindakan disiplin ke atas mereka yang terbabit," katanya ketika menjawab soalan Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) pada Sidang Dewan Undangan Negeri terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Sebelum itu, wakil rakyat tersebut membangkitkan hasil siasatan audit yang mendapati dipercayai berlaku penyelewengan dalam pengurusan wang bantuan am di negeri ini.

Yahya menjelaskan, pihaknya menghargai dan berterima kasih kepada pihak audit yang menjalankan pengauditan berhubung perkara itu sebagai pengajaran untuk membaiki kelemahan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberi jaminan bahawa masalah pembinaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di negeri ini yang dikatakan tergendala sebagai tidak serius.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menambah nilai bagi memastikan projek PPRT di negeri ini berjalan lancar demi manfaat penduduk.

Setakat ini, kata Yahya, sebanyak 5,990 unit PPRT telah dibina di seluruh Terengganu antara tahun 2004 hingga sekarang.

"Kalau ada kelewatan pun hanya disebabkan masalah teknikal," katanya sewaktu menjawab soalan Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh).

UMT Menang Hadiah Pertama Penyelidikan Anjuran BSN

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah dinobatkan sebagai pemenang pertama bagi program "BSN Inter Varsity Social Venture Challenge" (SVC) dengan mengemukakan kertas cadangan yang bertajuk "Projek Manfaat Nira".

Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Teknologi Petronas (Pengkomersialan Baja Organik) manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) (Kesukaran Pembelajaran Khusus) di tempat ketiga.

Program yang baru diperkenalkan pada tahun ini merupakan program di bawah tanggungjawab sosial korporat Bank Simpanan Nasional (BSN) bertujuan menggalakkan penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta menghantar kertas cadangan berhubung rancangan perniagaan yang memberi impak kepada pembangunan komuniti.

Program yang disokong penuh oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini menawarkan hadiah RM25,000 (dalam bentuk Sijil Simpanan Premium) untuk pemenang pertama, RM15,000 untuk tempat kedua, RM10,000 bagi pemenang ketiga dan RM5,000 untuk pemenang kategori merit.

Pemenang-pemenang utama juga membawa pulang hadiah netbook setiap seorang, baucar buku dan sijil penyertaan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah Khamis berucap pada majlis itu semalam, menggesa universiti tempatan agar menjalankan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap keusahawanan sosial.

Beliau berkata setakat ini hanya tiga buah institusi pengajian tinggi yang telah memulakan kursus akademik dalam bidang keusahawanan sosial iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) dan Kolej Universiti Binary.

"Saya ingin melihat lebih banyak universiti tampil ke depan menjalankan lebih banyak penyelidikan dalam bidang ini. Kita perlu cara baru dalam tindakan afirmatif. Kita kini sedang meninjau cara baru itu.

"Kita perlu pendekatan dan metodologi baru dalam usaha membantu 40 peratus di kalangan mereka yang berpendapatan rendah," katanya di majlis penyampaian hadiah program "BSN Inter Varsity Social Venture Challenge" (SVC)di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata ini adalah masa terbaik bagi institusi pengajian tinggi untuk menjalankan kajian lebih mendalam tentang konsep keusahawanan sosial memandangkan pendekatannya dilihat mampu untuk membantu ramai golongan berpendapatan rendah.

Katanya, R&D yang dijalankan bakal memberi impak yang cukup besar kepada inovasi ekonomi dalam aspek perancangan, strategi dan program pembangunan terutamanya dalam konteks Model Baru Ekonomi (MBE).

Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu Akan Beroperasi Pada Oktober 2015

Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu dijangka siap dan beroperasi pada Oktober 2015, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB) semalam.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TNB berkata projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat bagi menyediakan kapasiti bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik, menambah baik jaminan sistem tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

Projek itu yang terletak di bahagian hulu Sungai Terengganu, di kawasan Tasik Kenyir, akan melibatkan pembinaan dua empangan dan pemasangan dua turbin hidro dan generator dalam stesen janakuasa bawah tanah dengan jumlah kapasiti 250 megawat.

TNB menandatangani tiga perjanjian berhubung projek hidroelektrik Hulu Terengganu, yang pertama dengan Loh & Loh Construction Sdn Bhd dan usaha sama Sinohydro Corporation Ltd.

Mengikut kontrak berkenaan, usaha sama itu akan bertanggungjawab bagi kerja-kerja am utama termasuk pembinaan dua empangan, terowong pemindahan air dan janakuasa bawah tanah.

Harga kontrak yang diterima ialah RM828.3 juta.

Perjanjian kedua ialah dengan Consortium of Alstom Projects India Ltd dan Alstom Hydro Malaysia Sdn Bhd bagi harga kontrak yang diterima pada Euro 27.5 juta dan RM127.6 juta.

Kontrak berkenaan melibatkan antara lain reka bentuk, ujian dan pelaksanaan loji janakuasa itu, setiap satu dengan kapasiti penjanaan sebanyak 125 megawat dan berkaitan peralatan elektrik dan mekanikal.

Perjanjian ketiga ialah dengan usaha sama yang terdiri daripada SNC-Lavalin Inc, SNC-Lavalin Power (Malaysia) Sdn Bhd, KTA Tenaga Sdn Bhd dan G & P Professionals Sdn Bhd.

Usaha sama berkenaan akan menyediakan reka bentuk kejuruteraan terperinci bagi kerja-kerja am utama, reka bentuk kejuruteraan untuk kerja-kerja elektrik dan mekanikal, pengurusan projek dan penyeliaan tapak.

Harga kontrak yang diterima ialah 1.73 juta dolar Kanada dan RM35.9 juta.

Menurut TNB, pembangunan projek hidroelektrik Hulu Terengganu ialah untuk tempoh lima tahun di mana pembayaran kepada kontraktor-kontraktor ini akan dibuat mengikut perkembangan projek.

Thursday, December 16, 2010

Penyusunan Semula Bandar Ambil Kira Kepentingan Melayu

Dr Syed Azman 'mengasak' Menteri Besar pada sidang DUN semalam.

Perancangan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu dibuat dengan mengambil kira kepentingan orang Melayu agar mereka tidak terpinggir.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan, pendirian kerajaan ini jelas dengan memastikan 80 peratus penempatan di bandar raya ini untuk golongan itu.

Katanya, pengambilan balik tanah pula dilakukan dengan imbuhan sewajarnya yang begitu tinggi termasuk kepada mereka yang menduduki secara haram di kawasan terbabit sejak sekian lama.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) semasa sesi menjawab soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Syed Azman yang bangkit mencelah semasa Menteri Besar menjawab soalan asal Adun PAS Ladang, Tengku Hassan Tengku Omar (gambar kiri)menghangatkan suasana dewan.

Wakil pembangkang itu menuduh kerajaan negeri tidak mempertahankan hak orang Melayu berhubung isu pengambilan tanah dalam proses penyusunan semula bandar raya ini.

Dalam soalan asalnya, Tengku Hassan membangkitkan mengenai janji Menteri Besar mengenakan sewa RM126 sebulan bagi pangsapuri ladang gemilang di pusat bandar raya ini tetapi sekarang dikenakan RM300.

Ahmad terdahulu menjelaskan, kadar sewaan untuk tempoh beberapa tahun itu hanya dikhususkan kepada golongan benar-benar miskin dan bayaran RM300 kepada yang lain adalah wajar dengan keadaan pangsapuri dan lokasinya.

Riyapadu Ditamatkan Kontrak Kerana Gagal Bayar Premium?

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kini menyalahkan Syarikat Riyapadu Sdn. Bhd yang menurutnya gagal membayar premium pembalakan mengikut peringkat-peringkat yang telah ditetapkan dalam perjanjian tersebut.

Bekas Exco Kerajaan Negeri ketika PAS memerintah Terengganu (1999=2004) itu mempertahankan tindakannya menamatkan kontrak konsesi pembalakan yang diberikan kepada ketika memerintah kerajaan Terengganu pada satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu di Kuala Terengganu Isnin lalu.

Katanya, syarikat berkenaan gagal membayar premium pembalakan mengikut peringkat-peringkat yang telah ditetapkan dalam perjanjian tersebut.
Dengan kata lain, Riyapadu gagal membayar premium ditetapkan dalam perjanjian meski pun kerja pembalakan diteruskan.

“Selepas ditawarkan ada penjanjian. Bayaran premium kena bayar ikut jadual yang dipersetujui dan ditetapkan dalam perjanjian itu. Selepas itu, diberi lesen dan balak dikeluarkan.

“Kita ikut perjanjian dan sampai suatu masa yang sepatutnya Riyapadu ini membayar premium mengikut peringkat-peringkat yang telah ditetapkan dalam perjanjian. Dia gagal, dia tidak bayar. Premium itu tidak dibayar tetapi balak dikerjakan,” ujarnya.

Menurut Mustafa tindakan itu kerana mahu mempertahankan hak dan harta rakyat dari diceroboh kerana tanggungjawab PAS terhadap rakyat serta amanah kepada Allah SWT.

Mustafa mendakwa telah berlaku pelanggaran kepada syarat-syarat perjanjian kontrak yang dibuat antara kerajaan negeri Terengganu dengan syarikat Riyapadu Sdn. Bhd.

“Kita hendak mempertahankan harta rakyat, balak ini harta rakyat. Kita tidak boleh membiarkan dia (Riyapadu) mengerjakan balak dengan premium tidak dibayar mengikut jadual.

“Ini akan merugikan rakyat, kerana kita bertanggungjawab kepada rakyat, amanah kita dengan Allah SWT kita tidak boleh buat main-main.

“Keputusan itu dibuat dengan pandangan Penasihat Undang-undang Negeri. Ini kerana, telah berlaku pelanggaran kepada syarat-syarat perjanjian kontrak yang dibuat antara kerajaan negeri Terengganu dengan Syarikat Riyapadu Sdn. Bhd,” jelasnya.

Kita tunggu jawapan Riyapadu.

Stesen Jana Kuasa Hidro Elektrik di Hulu Terengganu RM1.6 bilion

Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangkakan mengekalkan perbelanjaan modalnya bagi tahun kewangan 2011 dan 2012 pada paras antara RM4.2 bilion hingga RM4.5 bilion.

Syarikat utiliti itu bagaimanapun menjangkakan akan berdepan tekanan kenaikan kos arang batu seawal Mac tahun depan.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata walaupun dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Ogos 2011, TNB terbabit dalam tiga projek penjanaan tenaga, iaitu di Ulu Jelai, Pahang, Hulu Terengganu dan Jana Manjung di Perak tetapi ia masih pada peringkat awal dan tidak memerlukan dana besar untuk tempoh 24 bulan akan datang.

“Dana yang diperlukan untuk perbelanjaan modal ketiga-tiga projek itu secara relatifnya rendah dalam tahun kewangan semasa ini, tetapi kosnya dijangkakan mula memuncak dua tahun akan datang yang akan dirasai pada tahun kewangan 2013.

“Justeru, dalam tempoh dua tahun akan datang kami akan mengekalkan paras perbelanjaan modal semasa iaitu antara RM4.2 bilion hingga RM4.5 bilion,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-20 TNB di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie.

Stesen jana kuasa hidro elektrik di Ulu Jelai bernilai RM2.1 bilion dan Hulu Terengganu RM1.6 bilion masing-masing akan menjana 372 megawatt dan 250 megawatt tenaga elektrik, sementara stesen jana kuasa arang batu Jana Manjung 1,000 megawatt.

Ketiga-tiga projek jana kuasa berkenaan dijadual siap pada akhir 2014 hingga 2015.

Enam Pekerja Petronas Carigali Stabil

Enam pekerja Petronas Carigali Sdn Bhd yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana melecur dalam kebakaran di platform Bekok C awal pagi semalam, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurut satu kenyataan semalam, syarikat itu telah menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kesemua mangsa dan keluarga mereka.

Selain itu, seramai 102 kakitangan yang dipindahkan ke platform berdekatan sejurus selepas kejadian, dibawa pulang ke daratan secara berperingkat.

Petronas Carigali Sdn Bhd juga telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerosakan di platfom berkenaan, kata kenyataan itu.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam semalam, Alias Abdullah, 52, Mohd Hamzah Abdullah, 32, Mohd Fauzi Ibrahim, 37, Mohd Rishaudin Ismail, 32, Mohd Ariff Farimi, 28, dan Zamri Wagiman, 32, cedera dalam kebakaran yang berlaku di pelantar cari gali minyak di platform berkenaan.

Sementara itu, usaha wartawan menemu bual mangsa yang dirawat di Unit Kebakaran HSNZ sejak semalam gagal kerana tidak dibenarkan berbuat demikian oleh pihak berkenaan atas alasan mereka perlu berehat.

46 peniaga dapat ruang selesa di pasar Batu Enam

Mohd Nasir Ibrahim Fikri (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada seorang peniaga di Pasar Batu Enam, Kuala Terengganu, kelmarin.

Seramai 46 peniaga kecil di Pasar Batu Enam di sini gembira diberikan peluang untuk berniaga di premis baru selepas menunggu tiga tahun.

Mereka yang sebelum ini terpaksa berkongsi ruang niaga di pasar berkenaan dalam keadaan bersesak kini berpeluang berniaga di gerai sendiri dalam keadaan kemas dan tersusun.

Para peniaga berkenaan menjalankan operasi perniagaan di deretan gerai pinggir pasar itu selepas menerima kunci dalam satu majlis di Kuala Terengganu kelmarin yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.

Salah seorang peniaga, Azmi Yusof mengucapkan terima kasih dan gembira kerana dapat berniaga di premis baru.

Azmi berkata, ruang niaga yang disediakan itu selesa dan bersesuaian dengan barang jualannya iaitu santan.

"Sebelum ini, saya berniaga di pasar Batu Enam sejak lapan tahun lalu dan ruang untuk berniaga agak terhad," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nasir memberitahu, sebanyak 51 buah gerai telah dibina sejak awal tahun lepas untuk memenuhi keperluan peniaga kecil berkenaan.

Katanya, ia lambat disiapkan kerana reka bentuk yang dirancang perlu dikemas kini bagi memenuhi keperluan peniaga.

Menurut beliau, pembinaan 51 buah gerai menelan kos sebanyak RM1.47 juta.

"Kita masih menimbang permohonan untuk mengisi lima lagi gerai berkenaan kerana kita mahu menawarkan ruang perniagaan untuk peniaga kecil yang telah lama berniaga di sini.

"Ini kerana ruang niaga yang disediakan amat rendah melibatkan sewa antara RM70 hingga RM80 bagi perniagaan runcit, buah-buahan dan sebagainya manakala untuk peniaga makanan pula sebanyak RM200," katanya.

Panggilan 'Sayang' MB Terengganu Kepada Wakil Pas Gamatkan Dewan

Panggilan `sayang' kepada Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menggamatkan persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang masuk hari ketiga semalam.

Ia berlaku apabila wakil PAS itu terus mengasak Ahmad dengan soalan tambahan mengenai cadangan untuk menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu walaupun Ahmad beberapa kali menjelaskan kerajaan belum bercadang berbuat demikian.

"Kita tak bercadang nak tambah jumlah kerusi DUN, cukup setakat itu saja sayang," katanya yang menyebabkan hampir semua yang ada di dewan tergelak.

Sebelum ini menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang), Ahmad berkata kerajaan negeri belum berhasrat menambah bilangan kerusi DUN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Setakat ini, kita tidak bercadang untuk tambah bilangan kawasan DUN," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang).

Abdul Hadi bertanya sama ada kerajaan negeri berhasrat untuk mengkaji semula dan menambahkan bilangan kerusi DUN pada pilihan raya umum akan datang.

Menjawab soalan tambahan Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam), Ahmad menjelaskan, kerajaan negeri perlu merujuk kepada Pusat berhubung perkara itu dan proses persempadanan semula hanya dibuat dalam tempoh lapan tahun sekali.

Ahmad yang terus diasak dengan soalan tambahan daripada wakil Pas tetap menegaskan, jumlah kerusi DUN tidak akan ditambah buat masa ini.

"Kita tak bercadang nak tambah jumlah kerusi DUN, cukup setakat itu saja 'sayang'," katanya sambil disambut dengan gelak ketawa ahli-ahli Dewan.

Ahmad berkata, jika ada cadangan berbuat demikian, kerajaan negeri perlu merujuk kepada kerajaan persekutuan.

"Proses persempadanan semula hanya dibuat dalam tempoh lapan tahun sekali," katanya.

Pada masa ini, Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dengan 24 daripadanya dikuasai Barisan Nasional dan selebihnya oleh PAS.

Amaran Hujan Lebat Peringkat Kuning Di Pantai Timur, Sabah Dan Sarawak

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang mulai malam esok (Jumaat) hingga pagi Isnin depan.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam, kawasan yang terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Machang manakala Terengganu pula di kawasan Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun serta Kemaman, sementara Pahang melibatkan Kuantan, Pekan dan Rompin.

Ia boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah dan berdekatan tebing sungai, kata kenyatan itu.

Sementara itu, angin kencang barat laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Tengganu, Pahang, timur Johor, Sarawak (Kuching, Mukah, Bintulu, Miri), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Pantai Barat,Pedalaman dan Kudat) mulai 17 hingga 19 Dis.

Menurut kenyataan itu lagi, keadaan angin kencang dan laut bergelora tersebut berbahaya kepada bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Terengganu Sedia RM13.3 Juta Bantu Pengusaha Burung Walit

Kerajaan negeri Terengganu mengeluarkan dana sebanyak RM13.3 juta bagi membantu seramai 63 pengusaha burung walit di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri (gambar kiri) , Asha'ari Idris berkata, dana tersebut disediakan dalam bentuk pinjaman bercagar yang diuruskan oleh Agro Bank.

"Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha membangunkan perusahaan burung walit dan untuk itu kita menyediakan pinjaman tanpa cagaran yang berjumlah RM30,000 ke bawah selain RM1 juta untuk faedah 40 peserta yang mengusahakan industri burung walit itu," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di Kula Terengganu, semalam mengenai usaha kerajaan membantu industri sarang burung walit.

Katanya, kerajaan turut mengatur seminar untuk meningkatkan pengetahuan peserta, selain kemudahan teknikal kepada peserta baru dan pengusaha yang pernah gagal.

Asha'ari berkata, kerajaan negeri belum berhasrat untuk mengikuti jejak langkah Indonesia yang membangunkan perusahaan burung walit ini secara komersil.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Wahid mengenai masalah yang dihadapi sesetengah pengusaha burung walit dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), beliau berkata, setakat ini belum ada garis panduan mengenainya.

Beliau difahamkan, garis panduan berkenaan itu setakat ini hanya dikuatkuasakan di peringkat pusat dan belum diperluaskan ke negeri-negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan Dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera (gambar kiri) berkata, bagi mengelak kegiatan curi pasir berlaku seperti di Selangor, kerajaan negeri telah menubuhkan satu pasukan pemantau.

Pasukan itu diketuai oleh Pejabat Tanah dan Galian.

Beliau memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri, pasukan berkenaan turut dianggotai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pentadbir-pentadbir tanah.

Katanya, pada masa ini kes pelanggaran syarat lesen dan kecurian pasir di negeri ini adalah kecil bilangannya namun langkah awal perlu diambil.

Beliau menjawab soalan lisan dan tambahan yang dikemukakan Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam).

Menurut Mohamed, kerajaan negeri tidak meluluskan lesen dengan mudah dan jumlah yang dikeluarkan setiap tahun tidak melebihi 100.

"Ia akan dinilai semula setiap dua tahun di segi keberkesanannya," jelasnya.
Katanya, kerajaan negeri mengutip hasil sebanyak RM5.012 juta daripada pengambilan pasir di negeri ini dalam tempoh tiga tahun lalu.

Kerjaya Nakhoda Kurang Diminati?

Suhaili Lee (dua dari kiri) beramah mesra dengan peserta Program Pembangunan Nakhoda di Marang, baru-baru ini.

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
(
utusanterengganu@utusan.com.my)


Malaysia mempunyai lautan luas yang memberikan kekayaan sumber alam bagi menjana hasil untuk negara dan kesejahteraan rakyat.

Namun anugerah itu tidak akan melimpahkan banyak rezeki jika tidak diterokai sepenuhnya bagi menggerakkan industri dengan keupayaan dan kesediaan belayar jauh mengemudi dan mengendalikan tangkapan.

Perkembangan industri itu semakin pesat dengan permintaan yang terus meningkat dan ia memerlukan nelayan berwibawa dan berkemahiran menguasai teknologi.

Dalam kegiatan penangkapan ikan laut dalam, nakhoda merupakan satu jawatan penting namun ia hampir dikuasai sepenuhnya oleh tenaga luar.

Justeru ia membawa bersama lambakan warga asing dan mengikut statistik Jabatan Perikanan pada 2009, daripada 125,632 nelayan yang bekerja di atas bot atau kapal tempatan, 34,520 adalah warga Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Bagi mengatasi dilema ini, Jabatan Perikanan telah memulakan Program Pembangunan Nakhoda pada tahun 2001 dengan Institut Perikanan Malaysia (IPM) dipertanggungjawab mengendalikannya.

Kursus ini telah dibangunkan untuk memberikan impak besar kepada industri perikanan laut dalam dengan melatih nelayan tempatan dengan pelbagai disiplin pengetahuan berkaitan industri perikanan tangkapan.

Sejak program itu diperkenalkan, seramai 423 orang telah dilatih.

Usaha Jabatan Perikanan untuk mempertingkatkan bilangan nakhoda dan kru kapal tempatan juga dimanifestasikan melalui Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK).

Bagaimanapun, difahamkan usaha menampung kekurangan tenaga kerja ini yang kian meruncing tidak begitu berhasil.

Ia tidak berlaku kerana ramai bekas pelatih kedua-dua program berkenaan lebih gemar mendapatkan kerja dalam industri lain yang menawarkan ganjaran lumayan dan persekitaran lebih selesa.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perikanan, Datuk Suhaili Lee memberitahu, kurang 50 peratus daripada mereka yang mengikuti Program Pembangunan Nakhoda yang ditawarkan oleh IPM meneruskan kerjaya dalam industri perikanan tangkapan.

"Berdasarkan kajian yang dijalankan, lebih 50 peratus memasuki industri lain termasuk kapal perdagangan dan kapal pelancongan selain feri," katanya kepada media pada Majlis Penutup Kursus dan Penyampaian sijil IPM Terengganu 2010 di Marang baru-baru ini.

Seramai 59 pelatih Program Pembangunan Nakhoda yang berjaya menamatkan latihan menerima sijil dan kumpulan pelatih tersebut merupakan peserta terakhir program itu.

Mereka juga merupakan antara 1,071 pelatih pelbagai kursus yang menerima sijil pengajian masing-masing di IPM sepanjang tahun ini.

Semenjak 1991 sehingga kini, IPM telah melatih 11,962 pelatih dan kakitangan Jabatan Perikanan dalam pelbagai bidang berkaitan industri itu.

Turut diundang untuk upacara itu ialah para pengusaha perikanan yang berjaya serta pengerusi-pengerusi persatuan nelayan yang diharap dapat merangsang para pelatih supaya terus berjaya dalam kerjaya ini dengan menyerapkan mereka dalam industri itu.

Tentunya kerjasama pengusaha dan sektor swasta diharapkan untuk terus memacu sektor ini kepada yang lebih dinamik dan komersial serta menjayakan hasrat kerajaan agar modal insan yang dibangun dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Program Pembangunan Nakhoda juga akan diserapkan dalam program Kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada tahun depan bagi mengelak pertindihan kursus yang ditawarkan dan mengoptimumkan penggunaan kapasiti pembelajaran dan sumber serta meningkatkan keberkesanan kos.

Ia juga adalah sebahagian daripada usaha melahirkan nakhoda yang kompeten, mahir dan cekap selain berkomunikasi dengan baik serta sahsiah positif.

Di bawah SKM, para pelatih perlu menjalani latihan melalui empat tahap kemahiran untuk mencapai peringkat nakhoda dan mengambil masa kira-kira tiga tahun berbanding Program Pembangunan Nakhoda yang memakan masa selama enam bulan.

Para pelatih SKM akan menerima akreditasi di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia dalam memenuhi standard antarabangsa yang ditetapkan oleh International Maritime Organisation (IMO).

Program Pembangunan Nakhoda dan SKM juga merupakan satu langkah untuk mengubah corak hidup nelayan yang masih dikaitkan dengan kemiskinan dalam industri yang besar pulangannya.

Justeru mereka perlu membuka minda untuk mengubah corak hidup dan berusaha membentuk imej baru golongan nelayan dengan sahsiah diri yang positif.

Mengikut penilaian yang dijalankan oleh IPM, kesukaran mendapatkan kerja dalam bidang perikanan tangkapan bukanlah isu besar kerana peluang luas sentiasa terbuka.
Namun, masalah sikap menjadi halangan utama dan pelatih perlu bersedia menempuh cabaran dengan bermula dari bawah serta sanggup berada lama di lautan.

Terengganu Tak Bercadang Bubar T-Team

Kerajaan Terengganu belum bercadang untuk membubarkan satu daripada dua pasukan bola sepak negeri itu walaupun banyak kelab bola sepak di bawah negeri lain telah berbuat demikian kerana masalah kewangan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Rozi Mamat berkata, ini kerana pasukan Terengganu dan T-Team tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber kewangan daripada kerajaan negeri.

"Kita tidak ada masalah kewangan kerana kita tidak bergantung kepada sumber kerajaan semata-mata," katanya pada sesi penggulungan pembentangan Bajet 2011 di Dewan Undangan Negeri semalam.

Rozi berkata T-Team telah didaftarkan dan terikat dengan perjanjian Persatuan Bolasepak Malaysia sehingga 2013, dan jika pasukan itu menarik diri, kerajaan negeri akan kehilangan wang deposit berjumlah RM356,000.

Daripada aspek lain, katanya, dengan adanya dua pasukan bola sepak itu ia secara langsung memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Terengganu yang berbakat dalam bidang bola sepak.

"Lebih membanggakana kedua-dua pasukan itu kini berada dalam Liga Super, menjadikan negeri ini mendapat liputan dan pendedahan yang lebih," katanya.

Wednesday, December 15, 2010

Dua masjid di Besut Solat Jumaat Dua Kali

Dua buah masjid di negeri ini iaitu di daerah Besut dikesan menunaikan solat Jumaat dua kali dalam satu kariah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat (gambar kiri) berkata, sebelum ini dilaporkan ada 10 buah masjid yang mengalami keadaan sama, namun dapat diatasi dengan penyokong parti pembangkang kembali bersama menunaikan solat Jumaat bersama-sama di masjid yang ditauliahkan kerajaan.

"Keadaan pemulauan mengerjakan solat Jumaat di masjid kerajaan akan terus berlaku jika pemimpin Pas di negeri ini tidak menasihati penyokong mereka supaya menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid kerajaan dalam kariah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Kuala Terengganu semalam yang mahukan penjelasan bila masalah solat dua jumaat dalam satu kariah akan diatasi.

Katanya, hasil siasatan yang dilakukan juga mendapati kebanyakan penyokong parti pembangkang enggan menunaikan solat Jumaat di masjid kerajaan kerana tidak mendapat keizinan daripada pemimpin parti itu.

"Apabila ditanya, mereka menjawab yang mereka tak ada masalah solat Jumaat di masjid kerajaan tapi kena tanya pemimpin mereka dulu,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu jelas menunjukkan penyokong Pas tidak mempunyai masalah untuk menunaikan solat Jumaat di masjid kerajaan, namun tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mendapat keputusan daripada pemimpin mereka.

Sehubungan itu, katanya sudah tiba masa bagi pucuk pimpinan parti tersebut supaya menasihati penyokongnya agar kembali menunaikan solat Jumaat di masjid asal bagi memastikan umat Islam terus bersatu dan teguh walaupun mempunyai idealogi politik yang berbeza.

Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) kemudian bangkit mengemukakan soalan tambahan dengan menyatakan masalah solat dua jumaat dalam satu kariah tidak pernah menjadi isu, terutama di negara Arab termasuk Arab Saudi.

Khazan berkata, situasi itu jauh berbeza kerana penduduk Islam seperti di Madinah (Arab Saudi) terlalu padat dan munasabah mereka menunaikan solat Jumaat di masjid berasingan.

Ahmad Said Bertegas Kekal Penempatan Orang Melayu di Bandaraya KT

Terbuka...Ahmad Said menerima rayuan penduduk ketika sidang DUN berhenti rehat semalam. Tiga dari kiri ialah Dr Syed Azman.

Bukan mudah untuk membuat keputusan besar khususnya menjamin agar orang Melayu terus kekal di bandar raya.

Tetapi itulah yang dilakukan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Bukan sekadar terpaksa bertegang leher pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), turun padang memberikan penjelasan tetapi juga perlu berani melayani pihak yang datang menuntut dan menyatakan tidak puas hati mereka.

Semalam, selepas ‘hangat’ pada sidang DUN kerana melayani soalan dan pertanyaan dan dakwaan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk), pada waktu rehat, beliau menerima pula surat rayuan wakil sebahagian penduduk di Ladang.

Apapun, seperti kata Ahmad Said, kerajaan negeri Terengganu sentiasa memastikan 80 peratus orang Melayu kekal di kawasan penempatan mereka, termasuk di Bandaraya Kuala Terengganu.

Beliau berkata kerajaan negeri misalnya telah membina pangsapuri di dalam kawasan bandar dengan menyediakan subsidi 50 peratus terhadap pembeliannya dan menjualnya dengan harga RM75,000 setelah tiga tahun disewa.

"Berapa banyak tanah tempatan dibeli oleh orang lain dan dihalau oleh pembelinya begitu sahaja. Tetapi kerajaan bayar segala-segalanya, ayam, pokok pun (kerajaan) bayar.

"Malah orang yang menumpang di tanah (kerajaan) puluhan tahun secara haram, kerajaan tak pernah denda, sebaliknya beri lagi sagu hati, rumah dan subsidi. Ia mencerminkan keprihatinan kerajaan," katanya.

Beliau menjawab dakwaan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) bahawa kerajaan negeri tidak peka dengan nasib dan hak orang Melayu berkaitan isu pengambilan tanah bagi tujuan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu.

Ahmad menjelaskan pengambilan tanah bagi tujuan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu turut dilakukan ekoran kajian mendapati terdapat banyak masalah sosial di kawasan Tanjung dan Ladang seperti sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah.

Pada sebelah petang, ketika membahaskan Ucapan Bajet 2010. Syed Azman sekali lagi menimbulkan isu ini dengan mengatakan kerajaan BN tidak membela penduduk yang terpaksa berpindah.

Hakikatnya penduduk yang berpindah dan mendiami rumah baru di tengah bandar secara sewabeli ada yang menerima subsidi bayaran bulanan sebanyak RM126 selain penghuni biasa dengan sewaan RM300.

Kenapa PAS, Mustafa Sampai Nak Saman Ahmad Said?

Kenapakah PAS begitu terdesak hingga mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Terengganu (Barisan Nasional sekarang) yang dianggapnya membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat?

Siapa mengelirukan siapa?


Gara-gara marah dan tidak dapat menerima kenyataan, pemimpin PAS menyebut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai ‘tidak cerdik’.

Isu utama ialah penghakiman sudah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu 27 Oktober lalu untuk memberikan ‘kemenangan’ kepada Syarikat Riyapadu Sdn Bhd berhubung tuntutan saman RM1 bilion terhadap Kerajaan Negeri.

Ini bermakna bahawa Kerajaan Negeri sudah ‘kalah’ dan perlu akur kepada keputusan guaman sivil No. 21-18-Tahun 2007 itu.

Jadi, sekiranya kerajaan negeri mahu merayu atau apa sahaja bergantung kepada keputusan Kerajaan Negeri, bukan Mustafa atau PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata kelmarin, PAS (atau kenyataannya semata-mata) akan mempertimbangkan opsyen itu berikutan kenyataan demi kenyataan oleh Ahmad Said.

Menurut Mustafa, kenyataan yang mengaitkan PAS itu merupakan subjudis terhadap PAS, sedangkan kes tersebut masih dalam proses mahkamah.

“Kerajaan adalah satu entiti, parti pula entiti yang lain, tetapi mengapa mereka kaitkan dengan PAS. Kes ini adalah kes mahkamah, tetapi gambaran yang diberi akhbar seolah-olah kerajaan terpaksa tanggung hutang RM1 billion, ia boleh menimbulkan subjudis.

“Ia memberi persepsi yang salah sedangkan masih di peringkat Mahkamah Tinggi. Walaupun sudah ada penghakiman, pihak berkenaan iaitu plaintif atau defenden, boleh angkat proses ini kepada Mahkamah Rayuan sekiranya tidak berpuas hati dan masih boleh pergi kepada Mahkamah Persekutuan. Itu barulah pengakhiran terhadap kes mahkamah,” katanya.

Soalan kepada Mustafa ialah itu jika kerajaan BN yang memerintah dari 2004 hingga sekarang mahu merayu atau perkara berkaitan. Jika merayu dan gagal bagaimana?

Isunya di sini siapakah yang memerintah Terengganu antara 1999 dan 2004?

Kerajaan ‘dari atas langit seperti khayalan Ayan Pin’ atau PAS yang memerintah?

Contohnya siapa memerintah Pulau Pinang atau Selangor sekarang? Kerajaan siapa itu? Bukankah kerajaan DAP dan PKR?

Mustafa marah menyebut kerajaan PAS berikutan kes membabitkan pembayaran premium konsesi balak di kawasan seluas 16.5 hektar di kawasan Empangan Kedua Hulu Terengganu pada 2003 yang lalu.

Pada sidang media khas yang diadakan di Ibu Pejabat Pas Negeri di Kuala Terengganu, kelmarin Mustaffa berkata, PAS mempertahankan keputusan Kerajaan Negeri pada masa itu yang membatalkan kontrak terhadap Syarikat Riyapadu.

Apa sahaja kenyataan Mustafa ia tidak penting lagi.

Tidak mengapalah isu RM1 bilion berkenaan. Yang pasti Kerajaan Negeri sudah kalah. Bagaimana pula dengan perkara penghakiman pada 27 Oktober 2010 berikut?

1. Adakah dihakimkan bahawa defendan (Kerajaan Negeri) hendaklah membayar balik kepada Plaintif (Riyapadu) wang sejumlah Ringgit Malaysia Dua Puluh Lima Juta (RM25,000,000) sahaja setelah menolak apa-apa keuntungan yang diperolehi oleh Plaintif dari hasil 15.5.2003 dan Lesen Blok Kedua -2 (L2024/2003) bertarikh 1.8.2003 dasn juga setelah menolak apa-apa yang dialami Plaintiff berikutan penamatan perjan jian itu?

2. Plaintif adalah berhak untujk memperolehi keuntungan yang dijangka munasabah dari pengerjaan kawasan Lesen Blok Ketiga -3 yang telah dipohon Plaintif dari 26.6.2003 hingga penamatan perjan jian pada 25.9.2003;

3. Plaintif adalah berhak untuk keluarkan dan/atau mengusahakan hasil hutan bukan balak yang telah dipohon melalui surat Plaintif pada 6.7.2003;

4. Defendah dikehendaki membayar faedah di atas wang berjumlah Ringgit Malaysia Dua Puluh Lima Juta (RM25,000,000) setelah menolak apa-apa keuntungan yang diperolehi oleh Plaintif dan hasil penjualan kayu balak lanjutan kepada Lesen Blok Pertama-K1 (L2021/2003) bertarikh 15.5.2003 dan Lesen Blok Kedua-2 (L2024/2003) berterikh 1.8.2003 pada kadar empat peratus (4%) setahun dari 2.7.2003 hingga penyelesaian penuh .


Amat jelas, dalam perkara 1 dan 4 sahaja, Kerajaan Negeri sebagai plaintif perlu membayar sekurang-kurangn RM50 Juta.

Dengan duit siapa ini perlu digunakan? Sudah pasti duit rakyat.
Mustafa mengatakan Ahmad Said tidak cerdik dalam mengatakan isu ini. Tidak cerdik tu bodohlah...tetapi apabila ternyata kerajaan pimpinan PAS kalah dalam isu ini, siapa sebenarnya bodoh?

Soalan kepada Mustafa yang satu-satunya ialah, kenapa Mustafa begitu sibuk menjawab isu ini? Kenapa bukan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

Hadi tidak tahu perkara ini? Atau Hadi tidak tahu detailnya?
Ahmad Said pula tidak suruh Exconya bercakap mengenai isu ini. Beliau sekadar mengulas pendek kerana bimbang akan berlaku subjudis (ada disebut melalui kenyataan seperti dilaporkan Kosmo!

Ahmad Said sedar semua itu. Tetapi yang tidak boleh tidak ialah kerajaan antara 1999 dan 2003 pimpinan Hadi yang Mustafa menjadi Exconya ialah kerajaan pimpinan PAS.

Banyak ke beza antara kerajaan pimpinan PAS dengan Kerajaan PAS?

Daripada saman Ahmad Said, bagus kalau Mustafa bersedia untuk disaman sekali lagi kerana dakwaan tertentu terhadap Riyapadu pada sidang medianya kelmarin yang antara lain mengatakan kontrak ditamatkan kerana Riyapadu tidak menyelesaikan premium.

Kita lihatlah selanjutnya!

Wanita British Ditahan Bersama Suami Miliki Dadah

Roslan menunjukkan pokok ganja yang dirampas pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.
Polis pagi kelmarin menahan seorang wanita warga British dan suaminya rakyat tempatan kerana memiliki pelbagai jenis dadah bernilai RM75,000 di sebuah banglo di Kampung Kubang Kurus, Kemaman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Supt Roslan Abd Wahid berkata dalam serbuan 11 pagi itu, seorang wanita Melayu berumur 18 tahun yang merupakan anak angkat kepada pasangan itu turut ditahan.

"Ini merupakan satu kejayaan dan rampasan terbesar dengan pelbagai jenis dadah dalam tempoh tiga tahun untuk kawasan Terengganu Selatan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, sebelum itu sepasukan polis yang menerima laporan tentang kegiatan pengedaran dadah di rumah berkenaan telah bertindak menyerbu ke rumah itu dan setelah memperkenalkan diri sebagai polis, seorang wanita berusia 40 tahun cuba melarikan diri ke dalam sebuah bilik, namun berjaya ditahan.

Roslan berkata selang beberapa minit kemudian seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun muncul di rumah itu dan mengaku sebagai pemilik banglo berkenaan dan suami kepada wanita itu.

Hasil soal siasat, dia telah membawa polis ke sebuah bilik di dalam rumah itu dan menemui pelbagai jenis dadah iaitu heroin 224.9 gram, syabu 7.4 gram, eramin 5 sebanyak 50 biji, ekstasi 40 biji, ganja 7.8 gram dan lima pokok ganja.

Ekoran itu polis turut merampas wang tunai RM37,530.00, sebuah kereta Mercedes Benz, sebuah kereta Honda Civic, sebuah kereta jenis Proton Gen2 dan barang-barang kemas yang kesemuanya dianggar bernilai RM246,220, katanya.

Roslan berkata siasatan awal mendapati selain kegunaan sendiri, dadah-dadah itu juga dipercayai untuk dijual oleh pasangan itu di sekitar Kemaman dan Cherating, Kuantan, Pahang.

"Pasangan itu merupakan penagih tegar dadah hampir 15 tahun dan mengedar dadah sejak 10 tahun yang lalu. Mereka membelanjakan hampir RM10,000 untuk tujuan pembelian dadah.

"Disebabkan perbelanjaan yang tinggi untuk membeli dadah itu suspek lelaki yang merupakan seorang pengusaha calet di Kuantan dan pasangannya terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah," katanya.

Beliau berkata JSJN Terengganu akan memaklumkan segera tangkapan terhadap wanita warga British itu kepada Pesuruhjaya British di Kuala Lumpur melalui JSJN Bukit Aman.

Dengan penangkapan pasangan suami isteri yang mempunyai anak lelaki berusia 14 dan 16tahun yang masih bersekolah itu, beliau percaya kegiatan pengedaran dadah di Kemaman dan Cherating lumpuh.

Roslan berkata pasangan itu yang turut positif dadah jenis methamphetamine ditahan di bawah lapan seksyen termasuk Seksyan 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.

Kini kedua-dua suspek ditahan reman sejak hari tangkapan hingga 19 Dis untuk siasatan lanjut.

Rumah Tumpangan Guna Istilah Homestay Bawa Impak Negatif

Ahmad Fathil Abd. Ghani (duduk tengah) bersama peserta Kursus Etika, Komunikasi dan Penampilan Pengusaha Homestay di Kuala Terengganu, kelmarin.

Kewujudan banyak rumah tumpangan atau premis penginapan yang diuar-uarkan sebagai ‘homestay’ (inap desa) di negeri ini sedikit sebanyak telah memberi impak negatif kepada konsep kewujudannya yang sebenar.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan negeri, Ahmad Fathil Abd. Ghani berkata, dengan penggunaan istilah itu, ia sedikit sebanyak telah menjejaskan fungsi dan peranan produk pelancongan yang ingin diperkenalkan.

“Homestay merupakan konsep tinggal bersama dengan pemilik rumah yang mana mereka boleh merasai suasana kehidupan keluarga dan masyarakat setempat, malah bersama dalam kegiatan harian.

“Di situ, pelancong dapat merasai pengalaman baru dalam aspek budaya dan tradisi selain suasana persekitaran baru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas di Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Penyertaan kepada 27 peserta Kursus Etika, Komunikasi dan Penampilan Pengusaha Homestay, di petang kelmarin.

Kursus dua hari ini bertujuan memberi kesedaran serta meningkatkan kecekapan dan kemahiran para pengusaha di enam buah homestay di seluruh negeri dengan harapan dapat memberi kepuasan maksimum kepada pelancong.

Mereka turut didedahkan dengan pelbagai kursus seperti Kursus Pemandu Pelancong, Kursus Undang-Undang Pelancongan, Kursus Mesra Malaysia dan Kursus Pertolongan Cemas dan Penggunaan Alat Pemadam Api.

Sementara itu, katanya, sebuah lagi homestay dengan kapasiti 10 buah rumah akan dibuka pada tahun hadapan di Kampung Seberang Pintasan, Dungun dengan menjadikannya homestay yang ketujuh di negeri ini.

Ahmad Said Lawat Mangsa Letupan Paip Gas Luar Pantai

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said melawat dan bertanya khabar dengan mangsa letupan paip gas di Pelantar Minyak Bekok C milik Petronas, Alias Abdullah, 52di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Enam pekerja pelantar minyak milik Petronas di luar pantai Terengganu dilaporkan cedera apabila pelantar yang sedang dalam penyelenggaraan berkala terbakar, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam kelmarin itu, pelantar Bekok C yang terletak kira-kira 200 kilometer dari pantai terbakar tetapi api dapat dikawal daripada marak.

Seramai 102 kakitangan pelantar kendalian Petronas Carigali Sdn Bhd itu berjaya dipindahkan ke pelantar berhampiran.

Setakat ini punca kebakaran belum dapat dipastikan tetapi difahamkan ia akibat paip gas yang bocor.

Syarikat tersebut dalam satu kenyataan semalam berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam, seramai 108 pekerja berada di pelantar yang terletak kira-kira 200 kilometer dari pantai Semenanjung.

Katanya, ia berlaku ketika Bekok C baru ditutup operasinya bagi tujuan kerja-kerja penyenggaraan berjadual.

Menurut kenyataan itu, bagaimanapun kebakaran berjaya dikawal dengan segera hasil tindakan pantas pasukan kecemasan pelantar berkenaan.

“Kesemua pekerja yang cedera dihantar ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan segera dan keadaan mereka kini stabil,” menurut kenyataan itu.

Seramai 102 pekerja lagi dipindahkan ke pelantar berhampiran sementara pihak syarikat melakukan siasatan tentang punca kebakaran.

“Petronas Carigali telah memaklumkan kepada pihak-pihak berkaitan dan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut,” ujar kenyataan itu.

Mangsa yang melecur sebahagian anggota badan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Sementara itu BERNAMA melaporkan, mereka yang cedera ialah Alias Abdullah, Hamzah Abdullah, Fauzi Ibrahim, Rishaudin Ismail, Ariff Farimi, dan Zamri Wagiman.

Mereka tiba di hospital itu kira-kira jam 9 pagi dengan seorang daripada mereka dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, seorang di Unit Kecemasan manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar.

Bagaimanapun kira-kira 12 tengah hari semua mereka dilaporkan stabil, dan ditempatkan di Unit Kebakaran HSNZ.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sempat meluangkan masa melawat mangsa sebaik saja Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berhenti rehat tengah hari.

Dalam pada itu, Ahmad ketika ditemui memberitahu, beliau difahamkan insiden berlaku akibat kebocoran gas.

“Siasatan lanjut akan dijalankan pihak Petronas tetapi saya tetap bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Mangsa yang ditemui ketika menerima lawatan Ahmad Said memberitahu, mereka ternampak percikan api sebelum kebakaran bermula.

Mereka bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian kerana difahamkan pihak pengurusan tidak membenarkan mereka berbuat demikian.

KIST Terima 60 Pelajar Tajaan Kementerian Kesihatan

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST, akan mula menerima kemasukan pelajar melalui Kementerian Kesihatan bagi Program Sijil Pembantu Kesihatan Awam (PKA), Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KIST (Pengambilan Pelajar) Noor Haslina Abdullah memberitahu, ia memperlihatkan keyakinan kementerian terhadap institusi pengajian itu bagi membekalkan tenaga mahir.

Katanya, kumpulan perintis seramai 60 pelajar lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh negara.

"Mereka akan ditempatkan di Kampus Bachok Kelantan dan akan mengikuti pengajian selama dua tahun (empat semester) dengan latihan praktikal di klinik-klinik kesihatan.

"Kursus ini bakal melahirkan pegawai PKA yang akan ditempatkan di klinik-klinik kesihatan di seluruh negara," ujar beliau.

Katanya, difahamkan setiap tahun, pihak kementerian memerlukan sekurang-kurangnya 300PKA untuk mengisi kekosongan.

PKA merupakan program terbaru yang ditawarkan oleh KIST yang dimulakan awal tahun ini dengan pengambilan pelajar yang terdiri daripada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Bagi PBT, ini adalah suatu program yang disasarkan bagi menambah keilmuan dan kemahiran dalam melindungi kesihatan masyarakat daripada penyakit.

"Kakitangan mereka terlibat dalam aktiviti seperti pencegahan dan kawalan penyakit, penjagaan kebersihan alam sekitar, kawalan mutu makanan, kawalan mutu air minuman, kesihatan alam sekitar dan program perlindungan alam sekitar," ujarnya.

Kata beliau lagi, Program Sijil PKA pada awalnya dikhaskan untuk calon-calon yang ditaja oleh PBT, Kementerian Kesihatan, agensi kerajaan lainnya dan juga swasta.

"Ia hanya memerlukan kelulusan SPM/ SPMV dengan memperoleh satu kepujian dalam mana-mana mata pelajaran," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, ia kini turut dibuka kepada pelajar tanpa tajaan dengan pengajian dibiayai oleh KIST dan pembayaran balik selepas bekerja melalui ikatan perjanjian.

Hujan, Ribut Petir di Terengganu, Pahang

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Terengganu (Maran, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) mulai malam lusa (Jumaat 17 Disember) hingga Ahad malam (19 Disember).

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan semalam berkata, keadaan itu boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah dan berdekatan tebing sungai.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang tumur laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ombak setinggi 3.5 meter yang dijangka berlaku di perairan Codore Reef North dan Pulau Layang-Layang bermula Jumaat hingga Ahad ini.

"Keadaan ini berbahaya kepada bot kecil, kegiatan rekreasi dan sukan laut," menurut kenyataan itu.

Tuesday, December 14, 2010

Najib Lancar KPR Terengganu, Poster 1 Malaysia

Lebih 30,000 remaja dijangka berada di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak Sabtu ini dalam program Himpunan Remaja Terengganu sempena Pelancaran Kelab Permotoran Remaja Terengganu (KPRT)yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Difahamkan, Perdana Menteri juga akan melancarkan poster 1 Malaysia yang bertandatangan beliau sendiri kepada remaja dan wakil belia serta jabatan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, semalam, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menghantar 1,000 ahli KPRT yang mempunyai lesen memandu manakala remaja yang tiada lesen, pihak penganjur sediakan bas untuk sampai ke stadium.

Katanya, program ini berlangsung selama tiga hari bermula 16 Disember dipenuhi pelbagai aktiviti seperti forum perdana yang akan menampilkan tokoh Imam Muda, ekspo kerjaya dan pendidikan oleh beberapa pusat latihan kemahiran yang terdapat dalam negeri.

“Sepanjang festival, kita turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan peluang kerjaya kepada golongan belia serta mengadakan temuduga terbuka di tapak program,” katanya pada sidang media, di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, program ini memberi ruang kepada golongan belia menyertai aktiviti yang selari dengan minat dan kebolehan mereka serta ingin mengalihkan tumpuan segelintir remaja yang membazir masa merempit di jalan raya.

Rozi mempelawa remaja di seliruh negeri datang memeriahkan festival yang di adakan khusus untuk mereka sambil menikmati pertunjukan drif, perlumbaan sprint test, belon udara dan juga persembahan beberapa artis tanah air.

Hanya Allah Yang Mengetahui...

Tidak faham apa yang cuba diperkatakan oleh Saiful Bahari (Ustaz) iaitu Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dalam entri melalui blognya bertajuk ' 2 Jam, what you talking roundabout,,,?" seperti tertera di bawah.

Apa maksud dua jam itu lama?

Melalui entrinya Saiful menyindir: “2 jam? Lama woo.. bincang pe??? “what you talking roundabout..? me no speak english..” Sambil makan dan berbincang – lama ke?

Keduanya, apakah Saiful berpendapat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bercakap dengan Yusof Islam dalam bahasa Melayu?

Tiada siapa dapat meneka apa yang cuba diperkatakan oleh Saiful tetapi dalam perbincangan dan perbualan Ahmad Said dan Yusof, ia bukan sahaja membabitkan mereka berdua kerana di meja itu juga ada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Razak Ismail.

Selain itu isteri Yusof dan isteri Ahmad Said, Toh Puan Seri Nurliza Mahmud juga faham apa yang diperkatakan oleh Ahmad Said dan Yusof.

Terpulanglah kepada Allah untuk menilai hambanya yang bernama Saiful ini sama ada dia berniat baik atau jahat dalam ulasannya mengenai perbualan dan perbincangan Ahmad Said dan Yusof ini

Hanya Allah yang mengetahui niat Saiful mengulas sebegini!

Bajet Terengganu - RM1.887 Bilion Untuk 2011

Menteri Besar menunjukkan Buku Bajet 2011 sebelum membentangkannya pada persidangan DUN semalam.

Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan RM1.887 bilion untuk Bajet 2011 yang merupakan pertambahan sebanyak RM6.04 juta atau 0.32 peratus berbanding peruntukan sebanyak RM1.881 bilion pada tahun ini.

Daripada jumlah itu RM1.699 bilion diperoleh daripada kerajaan pusat termasuk royalti petroleum yang mewakili sebanyak 90 peratus daripada bajet itu, manakala bakinya RM188 juta atau 10 peratus pula adalah daripada sumber kerajaan negeri sendiri.

Menteri Besar Terenganu Datuk Ahmad Said bagaimanapun berkata jumlah bajet untuk tahun depan itu sebenarnya berkurangan RM57.18 juta atau 2.94 peratus jika dibandingkan dengan peruntukan pada tahun ini yang disemak.

Ketika membentangkan Bajet 2011 yang meneruskan tema pada tahun lepas "Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan", pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha sedaya mungkin untuk menjana pembangunan dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

"Dalam masa yang sama kerajaan negeri akan pastikan perbelanjaan akan dilakukan secara lebih berhemah dan melaksanakan langkah berjimat cermat tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti perkhidmatan," katanya.

Ahmad berkata kesan pemulihan ekonomi telah mempengaruhi senario ekonomi Terengganu dan kadar pengangguran dijangka menurun 3.5 peratus pada tahun ini berbanding 3.9 peratus pada tahun lepas.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri pula dijangka tumbuh positif kepada enam peratus pada tahun ini berbanding pertumbuhan negatif 1.5 peratus pada tahun lepas.

Malahan bagi tahun depan, pertumbuhan ekonomi negeri dijangka mencapai 6.5 peratus hingga tujuh peratus.
Ahmad Said bermesra dengan pelawat selepas membentangkan Bajet 2011 semalam.

Berhubung kedudukan kewangan negeri, beliau berkata kerajaan sedar Akaun Hasil Disatukan telah mengalami defisit terkumpul yang besar iaitu RM699.01 juta pada tahun lepas berbanding defisit RM424.96 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, kekurangan dalam Akaun Hasil Disatukan itu telah menyebabkan baki Kumpulan Wang Disatukan Negeri susut dari RM404.65 juta pada 2008 kepada RM240.45 juta pada 31 Dis tahun lepas.

"Seperti yang dibentangkan dalam bajet tahun lalu, defisit ini adalah disebabkan kerajaan tidak menerima sepenuhnya pemberian Dana Khas daripada kerajaan persekutuan seperti mana dalam anggaran bajet 2007, 2008 dan 2009," kata Ahmad.

Bagaimanapun, katanya kerajaan komited untuk memastikan defisit ini berada di tahap yang munasabah dan dapat dikurangkan secara berperingkat dengan penerimaan Dana Khas daripada kerajaan persekutuan.

Bagi kedudukan Kumpulan Wang Pembangunan pula, ia menjadi lebih baik kerana bakinya telah meningkat daripada RM28.62 juta pada tahun 2008 kepada RM59.16 juta pada tahun lepas dan kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM678.17 juta untuk pelbagai projek pembangunan.

"Kumpulan Wang Bekalan Air juga mengekalkan baki positif tetapi menurun sedikit daripada RM128.43 juta pada tahun 2008 kepada RM125.11 juta pada 2009," katanya.

Beliau berkata, penurunan ini disebabkan kerajaan pusat hanya mengeluarkan RM45.61 juta pinjaman bagi projek bekalan air berbanding RM75.75 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, pada tahun lepas, kerajaan telah membelanjakan RM470,000 bagi pengurusan dan RM53.86 untuk pelbagai projek bekalan air.

Menurut Ahmd, daripada jumlah RM1.887 bilion yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM97.84 juta adalah untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.790 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

Menerusi Perbelanjaan Bekalan katanya, sebanyak RM1.377 juta untuk pemberian dan bayaran tetap, emolumen (RM213.34 juta), perkhidmatan dan bekalan (RM166.57 juta), aset negeri (RM31.85 juta) dan RM1.16 juta untuk perbelanjaan lain.

Ahmad berkata, hala tuju Rancangan Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013 ialah dengan memberi penekanan terhadap sektor yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi di samping membasmi kemiskinan.

Empat sektor yang diberi tumpuan ialah pendidikan dan pembangunan sumber manusia, pertanian dan asas tani, pelancongan serta industri, perdagangan, perkhidmatan dan teknologi maklumat.

"Bajet kali ini juga akan tertumpu terhadap empat strategi utama iaitu mengutamakan kesejahteraan rakyat, memperkasa pembangunan modal insan, meningkat daya saing negeri dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam," katanya.

PAS Bangkit Lagi Isu Top IT Pada Persidangan DUN

Pembangkang mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) membincangkan laporan Jabatan Audit berhubung pengurusan anak syarikat kerajaan negeri, Top IT Industries Sdn. Bhd.

Operasi syarikat yang ditubuhkan untuk pelaksanaan program komputer riba di sekolah rendah dan menengah di negeri ini, e-Book didakwa banyak kepincangan.

Dr. Syed Azman Syed Ahmad (Pas-Batu Burok) berkata, ini berikutan laporan audit yang dibentangkan oleh Ketua Audit Negara kepada Parlimen baru-baru ini amat mengejutkan.

Beliau mengemukakan usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Fasa 30 Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap DUN bagi membolehkan sidang ditangguhkan untuk membincangkan soal itu.

Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Speaker DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang atas alasan ia bukan suatu yang begitu mendesak kerana masih banyak ruang untuk membincangkannya dalam Dewan.

Menurut Dr. Syed Azman, laporan tersebut antaranya menyebut aktiviti projek e-Book kurang memuaskan ekoran beberapa faktor.

''Ini termasuk tiada perjanjian di antara syarikat dengan kerajaan negeri dan antara syarikat dengan pembekal perkakasan dan perisian," katanya.

Katanya, ia perlu diberi perhatian serius kerana kerajaan telah membelanjakan hampir RM100 juta bagi pelaksanaan projek ini dan RM30 juta lagi tahun depan.

Menurut beliau lagi, laporan itu mendedahkan kadar murid sekolah yang membawa e-Book ke sekolah amat rendah iaitu hanya 18.2 peratus selain berlaku kecuaian memilih pembekal perisian sistem hingga disaman kerana dituduh meniru hak cipta syarikat lain.

''Laporan itu turut menyebut kadar kerosakan e-Book yang amat tinggi iaitu 14.4 peratus yang memberi gambaran terhadap tahap mutunya.

''Di samping itu pelan bangunan kilang tidak mendapat kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta tidak memperoleh Sijil Akuan Kelayakan Menduduki daripada Majlis Bandaraya tetapi digunakan untuk menjalankan operasi," katanya.

Beliau berkata, perkara itu melibatkan kepentingan orang ramai kerana kilang itu telah beroperasi hampir dua tahun dan 60 orang bekerja di sana menanggung risiko.