Saturday, June 11, 2011

Mampukah Penyu Tewaskan Kijang Untuk Juara Piala FA?


Analisis Hambali Abdul Latiff

Bola, bola, bola!

Hakikatnya topik bola ini diperkatakan warga Terengganu sehari dua ini. Ia tidak lain dan tidak bukan gara-gara final Piala FA yang akan berlangsungnya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Lawan pasukan bolasepak Terengganu pada perlawanan akhir ialah negeri berjiran, Kelantan.

Pertembungan dua gergasi Pantai Timur ini menarik kerana selain inilah final pertama kedua-dua pasukan, mereka juga sedang memburu juara Liga Super tahun ini.

Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata hampir 80,000 tiket telah habis dijual setakat ini.

Beliau berkata sekiranya tiket habis terjual pada perlawanan akhir kali ini, ia akan memecah rekod penjualan dan juga memecah rekod keuntungan dalam penjualan tiket tertinggi iaitu Piala Malaysia tahun ini.

Sebanyak 60,000 tiket dengan harga RM50, RM30 dan RM5 untuk kanak-kanak telah habis dijual di Terengganu dan Kelantan.

Terengganu berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas berjaya menundukkan Pahang 3-2 pada perlawanan separuh akhir di Darul Makmur 13 Mei lalu.

Kali terakhir Terengganu layak ke final saingan Liga Malaysia ialah pada perlawanan akhir Piala FA tahun 2004 yang menyaksikan pasukan Penyu tewas 0-3 di tangan Perak.

Sebelum itu, Terengganu telah dua kali melangkah ke pentas yang sama iaitu pada tahun 2001 yang menyaksikan mereka muncul juara selain pada tahun 1999 ketika tewas kepada Kuala Lumpur.

Persoalannya mampukah Terengganu mengulangi sejarah 10 tahun lalu itu?

Di atas kertas Kelantan dilihat ada kelebihan. Ini kerana Kelantan baru sahaja menewaskan Terengganu di Stadium Sultan Nasiruddin Shah Kuala Terengganu Isnin lalu.

Selain itu apa yang menarik pada perlawanan ini ialah persaingan dua penyerang yang sama-sama mewakili Malaysia iaitu Norshahrul Idlan Talaha penyerang Kelantan dan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya (gambar kanan).

Kini dengan kedua-duanya mengumpul 15 jaringan dalam saingan Liga Super, mereka memburu gelaran penjaring terbanyak - sekali gus merebut Anugerah Kasut Emas, musim ini.

Dari segi pengalaman bermain peringkat antarabangsa kedua-duanya seimbang dan perlawanan di Stadium Nasional nanti akan memberikan kelebihan kepada penyerang yang tenang dan melakukan penyudah dengan baik dan berkesan.

Jika Kelantan turun dengan semangat serta keyakinan tinggi selepas berjaya menewaskan Terengganu Isnin lalu, Terengganu ke Stadium Bukit Jalil ibarat harimau yang luka dan akan mengamuk melalui gandingan tiga penyerangnya iaitu Abdul Hadi, Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsuddin.

Bagi Terengganu, hanya kemenangan dan membawa Piala FA ke Terengganu sahaja menjadi penawar luka Terengganu kerana diaibkan oleh Kelantan dengan 3-0 Isnin lalu.



Pastinya peminat dan penyokong Terengganu mengharapkan pengendali skuad Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim dapat memadamkan memori duka itu dengan mengatur strategi lebih berkesan agar pemain tidak mengulangi kesilapan seperti perlawanan tempoh hari.

Irfan juga bertanggungjawab untuk menggembalikan moral serta semangat pemain Terengganu yang sedikit terjejas selepas pasukan Kelantan yang juga dikenali dengan The Red Warriors.menyentap peluang memburu gelaran liga yang kini semakin terbuka, termasuk diburu pasukan Selangor.

Rabu lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said turut menasihatkan pasukan Bola Sepak Terengganu agar membaiki mutu permainan mereka menjelang perlawanan akhir Piala FA hari ini.

Ahmad Said berkata kemerosotan pada pasukan Terengganu pada perlawanan terakhir di gelanggang sendiri semasa menentang Kedah dan Kelantan dalam pertandingan Liga Super perlu diperbaiki segera.

Ini kerana selain untuk memburu juara Piala FA, Terengganu mempunyai dua lagi pelawanan Liga Super dan jika berjaya memenangi kedua-dua perlawanan itu, Terengganu mampu meraih enam mata menjadikan keseluruhan 53 mata serta berpeluang menjadi juara. Itupun jika Kelantan kalah salah satu daripada dua perlawanan terakhirnya.

Bak kata Menteri Besar, dalam permainan bolasepak, apa-apa boleh jadi. Walaupun Terengganu kalah di tempat sendiri, tidak mustahil pasukan ini boleh menang di Stadium Nasional bagi menjulang Piala FA selain perlawanan Liga Super selepas ini.

Bagi peminat dan penyokong pula, mereka akan pastinya berduyun-duyun ke Stadium Bukit Jalil bersama-sama peminat nombor satu Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad dengan harapan persembahan terbaik pasukan yang bergelar Penyu.

Dijangkakan lebih 30,000 penyokong dari Terengganu akan ke Kuala Lumpur bermula esok dan kita mengharapkan dalam semangat menyokong pasukan Terengganu, mereka mementingkan keselamatan dalam perjalanan dan menjaga disiplin ketika menonton.

Kita tidak mahu mendengar berita ada kemalangan jalan raya atau juga penonton Terengganu ditahan kerana membaling mercun, memaki anggota keselamatan atau juga bergaduh.

Polis Terengganu menasihatkan semua peminat bola sepak yang berkonvoi untuk menonton perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini supaya mematuhi peraturan jalan raya dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, peminat bola sepak negeri ini yang berkonvoi diminta mematuhi had laju dan berhati-hati susulan pertambahan kenderaan pada penghujung musim cuti sekolah.

Menurutnya, walaupun ‘teruja’ untuk berkonvoi, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan memandangkan puluhan ribu rakyat negeri ini mula menuju ke Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu, bagi menyaksikan perlawanan akhir antara dua seteru Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan.

Peminat dan penyokong Terengganu wajib menjaga tata susila dan mematuhi semua peraturan sama ada di jalan raya mahu pun di stadium.

Ini kerana semangat kesukanan bukan sahaja perlu dipupuk di kalangan pemain tetapi ia juga penting di kalangan penyokong.

Selamat berangkat dan menyaksikan final Piala FA dan berdoalah untuk kejayaan pasukan Terengganu!

Terengganu Hampiri Kejuaraan Sukan Malaysia XIV, Tiga Kali Berturut-Turut

Pendayung Terengganu (dari depan), Muhammad Syazwan Abdul Aziz, Mohd Syazwan Hassan, Muhammad Hazman Ngah dan Wan Mohd Taufik Mukhtar berjaya mendapat tempat pertama dalam acara "lightweight men Four" pada hari pertama sukan mendayung Sukma XIV di Kompleks Sukan Air, Putrajaya semalam.

Terengganu yakin menamatkan cabaran Sukan Malaysia XIV selaku juara keseluruhan, mempertahankan pencapaian di Melaka tahun lalu ketika temasya tinggal sehari untuk ditutup esok.

Ketua Kontijen Sukma Terengganu, Datuk Wan Ahamad Wan Muda (gambar kanan) pada smsnya kepada Teganuku malam semalam berkata Terengganu hanya mengharapkan bonus satu emas daripada mendayung dan Selangor pula tercicir satu emas daripada 11 yang diharapkan hari ini.

Sebanyak 15 lagi emas ditawarkan hari ini dengan acara mendayung (5), renang berirama (2), pingpong (2), kabaddi (2), bola tampar pantai (2), manakala kriket dan bola keranjang masing-masing menawarkan sebutir pingat emas, di mana Terengganu dijangka mengukuhkan cengkaman menerusi dominasi di Kompleks Sukan Air, Putrajaya.

Wan Ahamad berkata, di atas kertas Selangor boleh memungut 11 emas lagi dan akan menjadikan emas mereka 29. Terengganu mulanya menjangkakan dengan 27 pingat emas sudah menjadi juara tetapi kini perlu menambah tiga
lagi emas untuk selamat.

Terengganu dijangka akan mendapat 4 emas melalui mendayung (2, bola baling wanita dan sofbol wanita menjadikan jumlah pungutan juga 29.

Sekiranya Terengganu berjaya mendapat tiga emas mendayung, Terengganu pasti sekali mendahului Selangor.
Semalam, Terengganu menokok dua lagi emas dalam mendayung bagi mengukuhkan kedudukan pendahulu pungutan pingat menerusi 25 emas keseluruhan, meninggalkan pencabar terdekat, Johor dan Selangor dengan 18 emas, manakala Negeri Sembilan 14.

Pendayung berusia 18 tahun, Che Ku Nurulasma Abdullah menjadi atlet pertama mengutip emas Terengganu semalam selepas menjuarai Scull perseorangan wanita dalam masa 9 minit, 43.12 saat.

Emas ke-25 Terengganu, disumbang kuartet Muhammad Syazwan Abdul Aziz, Muhammad Hazman Ngah, Wan Mohd. Taufik Mukhtar dan Mohd. Syazwan Hassan dalam acara lightweight empat berpasukan lelaki.

Selangor dan Johor masing-masing berkongsi satu emas. Emas Selangor diraih Muhamad Nur Afiq dan Muhamad Aiman Aziz dalam Dightweight Double Scull menerusi catatan 7:37.72s, manakala kemenangan Johor dicatat dalam berpasangan wanita - Nurul Jannah Mohd. Ramlan dan Nurul Sharifah Abu Samah (9:42.69s).

Selangor melonjak ke tangga ketiga dalam carta pungutan pingat selepas merangkul enam pingat emas pada saingan hari kesembilan temasya Sukan Malaysia ke-14 semalam.

Acara ping pong menjadi lubuk emas bagi kontinjen Selangor apabila menyapu bersih tiga butir emas yang ditawarkan dalam acara beregu campuran, beregu wanita dan beregu lelaki.

Selain itu, Selangor memungut dua emas dalam acara renang berirama menerusi Katrina Ann Abdul Hadi dalam acara teknikal solo dan Lee Yhing Huey dalam acara solo bebas.

Pungutan emas Selangor bermula menerusi sukan mendayung oleh Muhammad Aiman Aziz dan Muhammad Nur Afiq Johari dalam acara scull lightweight.

Selangor kini mengumpul 18 emas 16 perak 23 gangsa, menggugat kedudukan Johor di tempat kedua yang meraih 18 emas 17 perak dan tujuh gangsa.

Hadi, Manaf, Ashaari Sedia Gempur Red Warriors, Terengganu Yakin Memang

Terengganu sudah berteguh azam membenam RedWarriors - sekali gus memastikan piala itu tetap menjadi milik mereka kali ini.

Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh yakin sasaran itu dapat dicapai jika pemain Terengganu dapat memberi tumpuan sepenuhnya dan bersikap tenang menyekat barisan serangan Kelantan daripada mencerobohi kubu mereka nanti.

“Saya cukup berpuas hati dengan latihan dan persediaan yang sudah giat dijalankan sejak pagi tadi (semalam) dan mendapati semua pemain cergas serta mematuhi segala arahan jurulatih, Irfan Bakti sebelum berlepas ke Kuala Lumpur petang ini (semalam),” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu, penjaring terbanyak pasukan, Abdul Hadi Yahya (gambar kanan) gembira dengan kehadiran Ashaari Samsuddin yang diyakini menjadi gandingan terbaiknya dalam rangka memudahkan tugasnya menjaringkan gol.

“Saya akan berusaha memecah kubu pertahanan Kelantan dengan bantuan rakan sepasukan dan yakin dapat menjaringkan gol kemenangan,” katanya.

Bagaimanapun, Terengganu akur pasukan tetangga, Kelantan memang hebat kerana memiliki segala ramuan terbaik apabila bertembung mereka dalam final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok tapi reputasi itu tidak akan mudah menggoncang semangat anak didik Irfan Bakti Abu Salim.

Apapun, pengendali berkenaan menuntut anak didiknya usah terlalu menghormati lawan, sebaliknya bangkit memadamkan duka lama dan membawa pulang trofi sebagai penawar duka tewas 0-3 kepada lawan dalam saingan Liga Super, Isnin lalu.

Melihat kepada prestasi di atas kertas ia memihak kepada Kelantan.

Walau apa pun kita akan memberi persembahan terbaik dalam tempoh 90 minit perlawanan akhir nanti,” kata Irfan semalam.

“Kami tidak akan menggadaikan maruah.” Itulah tekad dilaungkan skuad Kelantan ketika ada khabar angin bertiup kencang menyebut skuad Red Warriors itu akan menyerahkan mahkota kejuaraan Piala FA kepada pasukan tetangga, Terengganu dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Menjelang bahang saingan membabitkan dua finalis dari pantai Timur buat julung kali ada ura-ura bahawa anak didik DatukM Karathu mahu memberi trofi berkenaan kepada lawan dengan sifat yakin gelaran Liga Super akan menjadi milik mereka, musim ini.

Tambah menarik ‘seperti ada komplot’ untuk berkongsi gelaran secara seimbang bagi mengekalkan kuasa bola sepak di sebelah timur semenanjung.

Apa pun, pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata mereka tidak akan mensia-siakan perjuangan selama ini untuk mara ke final sebaliknya mendakwa khabar angin itu dicipta bagi melemahkan semangat Red Warriors merangkul Piala FA buat julung kali.

“Kami tidak akan menggadaikan maruah pasukan. Ini sudah pasti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, malam semalam.

“Kita dapat lihat semua pemain tiba-tiba bersemangat luar biasa dan menunjukkan komitmen baik ketika sesi latihan. Ini menunjukkan mereka begitu mahukan kemenangan.”

Azman berkata, Karathu sedang bekerja keras melatih dan memilih pemain terbaik bakal disenaraikan sebagai kesebelasan utama dan segala usaha ditunjukkan itu adalah mustahil Kelantan akan menyerah dengan mudah.

Katanya, kemenangan ke atas Terengganu Isnin lalu dalam saingan Liga Super memberi keyakinan kepada pemain untuk beraksi di final Piala FA, namun tetap diingatkan tidak memandang mudah kemampuan pihak lawan.

“Semua pihak bekerja keras dalam memastikan usaha yang dilakukan membuahkan hasil pada hari perlawanan dan ini bukti kami tidak main-main untuk mengejar kejayaan,” katanya.

Berita Harian/Utusan

Rangkul Dua Emas Mendayung, Terengganu Yakin Capai Emas Lagi Hari Ini

Para pendayung Terengganu Muhammad Syazwan Abdul Aziz, Mohd Syazwan Hassan, Muhammad Hazman Ngah dan Wan Mohd Taufik Mukhtar menunjukkan pingat emas yang mereka menangi dalam acara mendayung empat lelaki 2km pada temasya Sukan Malaysia ke-14 di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya. - Utusan

Terengganu merangkul dua emas menerusi acara mendayung yang berlangsung di Kompleks Sukan Air, Presint 6, di Putrajaya, semalam.

Emas pertama Terengganu dimenangi Che Ku Nurulasma' Ku Abdullah yang mengungguli acara scull perseorangan wanita dengan catatan masa 9 minit 43.12 saat.

Wakil Selangor Fatin Asilah Paisal yang melakukan 9 minit 49.02 saat membawa pulang perak manakala Siti Halijah Mat Puji (10 minit 3.17 saat) dari Wilayah Persekutuan meraih gangsa.

Che Ku Nurulasma' ketika ditemui Bernama, berkata beliau tidak menjangka dengan kemenangan itu kerana baru dua bulan menceburi sukan mendayung dan berlatih bersama anggota pasukan yang lain.

"Sebelum ini saya merupakan atlet simpanan pasukan kanu Terengganu. Pengurusan meminta saya mencuba 'rowing' dan alhamdullilah melalui sukan ini saya dapat bermain di Sukma (Sukan Malaysia) dan dapat pula menang emas," katanya.

Kemenangan hari ini juga membuatkan gadis berumur 18 tahun itu lebih bersemangat untuk terus bersama sukan mendayung.

"Saya rasa saya boleh pergi jauh dalam sukan ini. Jika boleh saya mahu mewakili pasukan kebangsaan dan mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa," kata anak kelahiran Chendering, Terengganu itu.

Satu lagi emas disumbangkan pasukan berempat lelaki (lightweight) Terengganu menerusi gandingan Muhammad Syazwan Abdul Aziz, Mohd Syazwan Hassan, Muhammad Hazman Ngah dan Wan Mohd Taufik Mukhtar.

Pasukan itu mencatat 7 minit 17.96 saat untuk mengatasi skuad Johor (7 minit 25.96 saat) dan Selangor (7 minit 38.14 saat).

Jurulatih Terengganu Mohd Shahrol Mat Saad menyifatkan kemenangan hari ini sebagai hasil semangat berpasukan dan komitmen tinggi yang diberikan anak buahnya.

"Sasaran kami adalah tiga emas. insya-Allah, besok masih ada lima acara lagi dan berdasarkan prestasi hari ini, saya yakin sasaran tersebut dapat kami capai," katanya.

RTM Abai Sukan Malaysia, Tiada Promosi?

Pendayung Selangor, Muhammad Nur Afiq Johari dan Muhammad Aiman Aziz menggenggam tangan selepas berjaya memperoleh pingat emas dalam acara mendayung berpasangan lelaki 2km akhir sempena temasya Sukan Malaysia ke-14, di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya semalam. - Utusan

Apa dah jadi dengan RTM?

Kenapa tidak ada siaran langsung Sukan Malaysia sejak Sukma Terengganu, Melaka dan kini di Kuala Lumpur.

E-Mail Pembaca Dalam Berita Harian semalam:

SAYA ingin menarik perhatian mengenai kekurangan sambutan terhadap Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-14 yang berlangsung di Kuala Lumpur sekarang. Malah mungkin ramai juga yang tidak menyedari berlangsungnya SUKMA kali ini.

Bagi saya, promosi mengenai SUKMA untuk tahun ini amat bekurangan. Walaupun dikhabarkan SUKMA kali ini adalah paling kurang menelan kos seperti kejohanan lalu tetapi kenapa kemeriahannya turut kurang mendapat sambutan.

Apa yang mengecewakan tiada siaran langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti SUKMA di Terengganu dan Melaka. Siaran langsung kini disiarkan oleh ASTRO Arena.

Seperti diketahui umum, bukan semua rakyat Malaysia melanggan Astro. Ini adalah salah satu penyebab SUKMA tidak mendapat sambutan. Ketika SUKMA lalu, ramai yang menyaksikan secara langsung termasuk di warung kampung dan restoran, semua siaran tertumpu kepada RTM. Kemeriahannya juga meresap di setiap kediaman.

Diharapkan RTM akan mengadakan siaran langsung ini kerana stesen berkenaan berpengalaman dalam siaran langsung SUKMA ataupun hak penyiarannya diberikan kepada Media Prima menerusi TV3.

PEMINAT SUKMA

Piala FA: Polis Kerah 2,600 Anggota Kawal Keselamatan Di Stadium Bukit Jalil

Pengerusi Liga Super Malaysia, Tan Sri Annuar Musa (kiri) dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad (kanan) menunjukkan lencana "integriti" yang terdapat pada jersi kapten Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi dan Kapten Terengganu, Mohd Mazuki Yusof sempena perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Utusan


Polis telah membuat persiapan penuh bagi memastikan tahap keselamatan terkawal pada perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Salleh Abdul Rashid, berkata PDRM akan mengerah 2,600 anggota polis dan anggota Ikatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi menjamin kselamatan di dalam dan luar stadium sepanjang perlawanan itu.

"Kita tidak akan berkompromi dengan soal keselamatan dan tidak mahu kejadian seperti perlawanan terdahulu antara dua pasukan Pantai Timur itu berulang," katanya pada sidang akhbar mengenai Piala FA yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, semalam.

Salleh, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, berkata pihak polis akan mengetatkan kawalan keselamatan di tahap maksimum berdasarkan kepada kehendak semasa.

Terdauhlu itu, Annuar telah melancarkan lencana "Integriti" Liga Malaysia 2011 sebagai simbolik menyatukan bola sepak dengan meletakkan pelekat Integriti ke lengan baju kedua-dua ketua pasukan Terengganu dan Kelantan, Mohd Marzuki Yusof dan Mohd Badhri Mohd Radzi.

Salleh berkata polis memerlukan kerjasama penyokong kedua-dua pasukan supaya mematuhi arahan keselamatan dan mempamerkan disiplin tinggi untuk mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Sekitar 85,000 penyokong Kelantan dan Terengganu dijangka membanjiri stadium itu seawal 5 petang ini.

Masalah Kesesakan Bilik Darjah Selesai Tahun Depan

Masalah kekurangan bilik darjah sehingga wujudnya sistem persekolahan dua sesi di beberapa sekolah di negeri ini dijangka selesai menjelang tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ia berikutan pembukaan beberapa buah sekolah baru dan pembinaan bangunan tambahan di sekolah-sekolah sedia ada.

Menurutnya, setakat ini terdapat kira-kira 10 peratus daripada lebih 200 buah sekolah di negeri ini masih melaksanakan sistem persekolahan dua sesi.

"Antara sekolah baru yang bakal dibuka pada sesi persekolahan awal tahun depan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram dan SMK Seri Tembesu di Kuala Terengganu serta SMK Merang di Setiu.

"Usaha ini bagi memastikan lebih banyak sekolah mengadakan persekolahan satu sesi supaya proses pembelajaran dan pengajaran berjalan lebih lancar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Buku Negeri Terengganu 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu semalam yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin.

Tambah Ahmad Razif, penyelesaian masalah sekolah dua sesi selaras dengan konsep Kementerian Pelajaran untuk menjadikan setiap sekolah satu sesi.

"Setiap sekolah yang bakal disiapkan kelak mampu menempatkan kira-kira 1,200 pelajar dan jumlah itu selaras dengan kapasiti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran dalam pengurusan sesebuah sekolah," ujarnya.

Pada majlis itu, 18 buah buku karya 13 orang anak Terengganu turut dilancarkan seperti Mungkin Nanti tulisan Anita Aruszi, Cinta Usah Dinanti (Aimi Husna), Manisnya Alunan Rindu (Nur Hazma) dan Penderhaka (Marsli N.O).

Turut dilancarkan, buku Detik Cemas Mavi Marmara (Fatimah Syarha), Senyuman Manismu (Rania Firdaus), Memburu Rentak (Sharif Putera), Berikan Aku Rindu (Indah Hairani) dan Di Bawah Unggun Api (Rahman C.M).

Utusan Malaysia

Petronas Chemicals Tinjau Pemerolehan Sesuai

Petronas Chemicals Group Bhd (PCG), pengeluar petrokimia bersepadu utama di Asia Tenggara, berada pada kedudukan "amat kukuh" untuk melaksanakan lebih banyak pemerolehan dengan kedudukan tunai syarikat mencecah RM8 bilion.

"Apabila mempunyai jumlah tunai yang banyak, ia akan membantu dalam usaha mengembangkan perniagaan. Kami akan melaksanakan pemerolehan sesuai yang berpilih," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Abd Hapiz Abdullah.

Beliau berkata PCG kini mengadakan rundingan dengan beberapa pihak berhubung cara lain untuk pengembangan, tetapi ini masih "di peringkat amat awal".

"Kami amat fleksibel dalam perbincangan, dan semuanya bergantung kepada bagaimana ia bersesuaian dengan kami dan objektif mengembangkan perniagaan kami secara menyeluruh," kata beliau kepada pemberita yang menyertai lawatan media ke operasi PCG di Kertih, Terengganu, semalam.

Pada 2009, PCG mencapai persetujuan dengan Dow Chemical Company untuk memiliki keseluruhan pegangan dalam Optimal Group of Companies, pada US$660 juta.

Tahun lepas, ia memuktamadkan pemerolehan pegangan 15 peratus BP dan 60 peratus kepentingan masing-masing dalam Ethylene Malaysia Sdn Bhd dan Polyethylene Malaysia Sdn Bhd pada US$363 juta secara tunai.

"Kami dapat memuktamadkan pemerolehan strategik tepat pada masa dan dengan pantas tanpa ke pasaran untuk mendapatkan dana," kata Ketua Pegawai Kewangan PCG Wan Shamilah Saidi

Pada masa ini, "tiada rancangan yang pasti" atau tempoh masa bagi apa yang dikatakan sebagai "pemerolehan sesuai yang berpilih" ini, katanya.

Sementara itu, Abd Hapiz berkata permintaan daripada pengguna Asia Pasifik dalam industri kimia akan mendatar dalam masa 12-24 bulan akan datang disebabkan oleh ketidak tentuan berhubung pemulihan ekonomi.

Beliau berkata China dan India dilihat bertahan "agak baik", dengan permintaan aktif dilihat pada Vietnam dan Indonesia.

"Bencana yang melanda Jepun hanya menjana beberapa permintaan jangka pendek dalam sektor permintaan.

"Permintaan bagi produk kimia terus tinggi di Malaysia dan amat baik. Secara keseluruhan, kami agak selesa," katanya.

PCG merupakan pengeluar metanol keempat terbesar dalam dunia. Ia juga merupakan pengeluar urea ketiga terbesar Asia.

Mengenai keadaan turun naik harga bahan, Wan Shamilah berkata harga gas yang dibayar oleh PCG kepada syarikat induk, Petronas Group, berdasarkan kepada struktur harga tetap dalam kontrak jangka panjang antara kedua-duanya.

Sementara itu, semakan semula tarif gas yang diumumkan oleh kerajaan pada 30 Mei akan memberi kesan minimum terhadap syarikat memandangkan mulai 1 Jun sehingga 31 Dis, PCG akan memerlukan hanya 7.0 juta mmbtu (juta unit termal British).

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan kenaikan harga gas kepada sektor tenaga daripada RM10.70/mmbtu kepadao RM13.70/mmbtu.

Malaysia Bebas Wabak E-coli: Liow

Malaysia masih bebas daripada wabak penyakit e-coli yang menyerang beberapa negara Eropah, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya walaupun belum ada sebarang kes berlaku di negara ini, Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan berjaga-jaga.

"Semua hospital dan klinik seluruh negara diarah supaya memantau, dan bagi mereka yang baru pulang dari Eropah dan menghidap cirit birit dan demam, mereka perlu menjalani pemeriksaan segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan MCA Bahagian Kuala Krau Temerloh, semalam.

Katanya kementerian belum bercadang untuk mengadakan pemeriksaan kesihatan terhadap pelancong dari Eropah atau mereka yang baru pulang dari sana kerana belum ada laporan tentang wabak itu di negara ini.

Terdahulu ketika merasmikan mesyuarat itu, Liow yang juga Timbalan Presiden MCA, berkata parti itu sudah bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tukang Urut di Langkap Dinobat Keluarga Terbilang

Asha’ariI Idris (dua dari kiri) memakaikan jubah kepada Salleh Md. Zin sambil diperhatikan Nazri Yusof di Majlis Anugerah Keluarga Mithali DUN Langkap 2011 di Sutra Beach Resort and Spa Setiu, baru-baru ini.


Seorang tukang urut tradisional, Salleh Md. Zin, 66, dari Kampung Seri Aman, Sungai Tong di sini dinobatkan sebagai keluarga terbilang bagi Anugerah Keluarga Mithali peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan Salleh yang mempunyai lapan orang anak membawa pulang wang tunai RM1,000 sejurus diumumkan sebagai penerima anugerah itu pada majlis anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kerjasama Pejabat DUN Langkap.

Pemilihan beliau sebagai keluarga terbilang dinilai berdasarkan warga emas itu sering terbabit dalam pelbagai kegiatan masyarakat selain tiga orang anaknya cemerlang dalam akademik.

Pada program yang berlangsung di Sutra Beach Resort & Spa Merang dekat Setiu itu, seorang guru tabika, Serimas Sulaiman, 51, dari Kampung Langkap pula diisytiharkan sebagai Ibu Tunggal Terbilang dengan menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Lain-lain pemenang ialah Abdullah Che Mat, 65, dari Kampung Padang Muar, Sungai Tong bagi kategori Keluarga Gemilang sekali gus mendapat RM700 diikuti Ramlah Seman, 66, dari Kampung Tayor Tengah bagi kategori Ibu Tunggal Gemilang (RM700) dan Mohamed Ripin Ya, 63, dari Kampung Bukit Nenas untuk kategori Keluarga Cemerlang (RM500).
Dua penerima lain ialah Mohamad Nasir Abd. Hamid, 52, dan Mohd. Daud Othman, 59, masing-masing mendapat hadiah sagu hati RM250.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah YPKT, Nazri Yusof dan Pegawai YPKT Parlimen Setiu, Wan Zul Fazlee Mustaffa.

Dalam pada itu, Nazri ketika ditemui berkata, pelaksanaan program berkenaan bagi memantapkan institusi keluarga yang merupakan asas terpenting dalam membangunkan masyarakat dan negara.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui YPKT menganjurkan majlis seumpama itu bagi memberi pengiktirafan serta memartabatkan ibu bapa atas pelbagai pengorbanan mereka melahirkan keluarga cemerlang dan terbilang.

Karathu, Irfan Masing-Masing Yakin Dapat Julang Piala FA Malam Ini

Jurulatih dua pasukan gergasi Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu, optimis barisan pemain masing-masing mampu memburu kejuaraan Piala FA musim ini pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, malam ini.

Jurulatih Kelantan Datuk M Karathu berkata beliau mempunyai ramuan untuk membawa pulang buat julung kali Piala FA ke negeri yang dikenali sebagai serambi Mekah itu.

Katanya beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik dan yakin anak buahnya akan beraksi cemerlang untuk memburu kejuaraan pertama skuad Red Warriors itu.

"Kita tahu kekuatan dan kelemahan lawan dan begitu juga dengan mereka tetapi kami sudah pasti akan menentang secara habis-habisan," katanya pada sidang akhbar Piala FA di Kuala Lumpur, semalam.

Walaupun telah menjinakkan Terengganu 3-0 pada saingan Liga Super pada Isnin lepas, Karathu berkata beliau tidak memandang rendah keupayaan Skuad Penyu kerana anak buah Irfan Bakti Abu Salim pasti akan cuba memberi kejutan.

Katanya beliau tidak mahu pemainnya terlalu yakin dan mengambil mudah pasukan lawan malah meletakkan sandaran kepada barisan penyerang yang diketuai oleh Norshahrul Idlan untuk mencari peluang sebaik mungkin untuk menjaringkan gol.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti berkata beliau gembira dengan kehadiran semula Mohamad Ashaari Samsudin setelah digantung satu perlawanan dalam saingan Liga Super Isnin lalu.

"Saya optimis kita akan menang esok. Saya harap Abdul Hadi Yahaya dan Abd Manaf Mamat mampu memperkemaskan jentera serangan bagi menghasilkan gol kemenangan," katanya.

Dalam pada itu, penjaring terbanyak Kelantan, Norshahrul berharap pasukannya dapat menjuarai Piala FA, secara tidak langsung menjadi kenangan manis dan dijadikan 'hadiah hari jadi' yang disambutnya pada 8 Jun lepas.

"Saya harap rakan sepasukan akan beraksi dengan baik khususnya di bahagian pertahanan agar penyerang Terengganu tidak mudah membolosi gawang," katanya.

Penyerang Terengganu, Abdul Hardi berharap sokongan daripada peminat setia Skuad Penyu mampu memberi dorongan dan semangat kepada pasukannya.

Terengganu pernah meraih sekali Piala FA pada tahun 2000 sementara Kelantan mencari kejuaraan pertama apabila hanya mampu menjadi naib juara pada 2009.

Ultras Ganu, Peteh, TFC vs Gelombang Merah

Demam Final...Dua penyokong Terengganu, Mazlizawati Mohamed (kiri) dan Farah Hanim Abdullah menunjukkan isyarat bagus kerana kreativiti seorang penyokong Kelab Peteh yang membuat corak bendera negeri dan penyu pada kepalanya di Kuala Terengganu semalam sempena perlawanan akhir Piala FA di antara Terengganu dan Kelantan esok.


Hmmm hebat. Macam perlawanan antarabangsa.

Penyokong Kelantan dan Terengganu bersiap sedia memberikan sokongan dan sorakan kepada pasukan masing-masing.

Ketika bahang final Piala FA semakin terasa, tiga kelab penyokong Terengganu iaitu Terengganu Fan Club (TFC), Peteh dan Ultras Ganu melaungkan amaran untuk menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sorakan padu mereka.

Ketua Penerangan TFC, Rashid Ridha berkata, penyokong ketiga-tiga kelab akan berpadu tenaga bagi memastikan pasukan Terengganu tidak kekeringan sorakan berbanding penyokong Kelantan.

Katanya, walaupun skuad Penyu tunduk kepada Kelantan 0-3 di gelanggang sendiri Isnin lalu, ia tidak mematahkan semangat untuk melihat pasukan itu meraih kejayaan pada final nanti.

"Memang kita menyimpan harapan yang tinggi untuk melihat pasukan kesayangan kita Terengganu membawa pulang Piala FA.

"Untuk itu, TFC telah menyediakan 10 buah bas khas untuk ahli kelab menyaksikan perlawanan bersejarah itu nanti," katanya.

Bagi Timbalan Pengerusi Peteh, Datuk Mohd. Hazlan Ismail pula, Terengganu seharusnya melupakan kekalahan lalu dan bersedia untuk bangkit pada final.

Katanya, Peteh tidak akan jemu memberi sokongan kepada pasukan Terengganu dan berharap agar para pemain bermotivasi tinggi untuk menang.

"Kami juga akan beri ganjaran kepada para pemain walaupun mungkin tidak sebesar mana sekiranya mereka pulang dengan kejayaan," katanya.

Tambah Mohd. Hazlan, walaupun Peteh hanya menyediakan tujuh buah bas, ramai lagi penyokong yang akan menyertai mereka dengan menaiki bas sumbangan kerajaan negeri serta kenderaan perseorangan.

Sementara itu, jurucakap kelab penyokong Ultras Ganu, Mohd. Shafiq Sahari memberitahu, mereka akan merancang gimik baru sempena final nanti.

"Ultras Ganu adalah sebahagian daripada Ultras Malaya dan kita akan sentiasa berdiri teguh di belakang pemain dalam apa keadaan sekalipun," katanya, yang akan bersama-sama rombongan seramai 20 anggota kelab itu ke sana.

Sementara ‘Gelombang Merah’ mengiringi pergerakan 150 kereta yang disertai 600 peminat bola sepak dari kawasan Parlimen Kota Bharu bagi menyokong pasukan Red Warriors yang beraksi di pentas final Piala FA bertemu Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Konvoi dianjurkan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu itu berlepas dari pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, jam 4 petang semalam. Majlis pelepasan konvoi berkereta itu dilakukan Bendahari UMNO Bahagian Kota Bharu, Sheikh Rozi Sheikh Ahmad.

Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu, Wan Abdul Rahman Wan Ismail berkata, pihaknya berjaya mengumpul 600 peminat bola sepak dari kawasan Parlimen itu mengikuti konvoi menaiki 150 buah kereta pelbagai jenis ke Bukit Jalil.

Katanya, pihaknya tidak mahu ketinggalan untuk memberi sokongan padu kepada Red Warriors yang beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA bertemu Terengganu malam ini.

Aktiviti Pra Jambori Malaysia Uji Ketahanan

Peserta Pra Jambori Malaysia ke-12 berpuas hati de-ngan aktiviti yang mereka mereka tempuh sepanjang program terutama yang meminati aktiviti lasak.

Peserta pra jambori, Nurul Asikem Mohd Fauzi, 16, dari Sekolah Me-nengah Kebangsaan (SMK) Matang berkata, dia seronok mengikuti program walaupun penat.

“Sepanjang program, saya penat tetapi puas kerana dapat menghabiskan semua program dan saya seolah-olah berada dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

“Mungkin pengalaman yang diperoleh di sini dapat dijadikan sebagai persediaan untuk ke PLKN selepas tamat belajar nanti,” katanya di Kem Pengakap Telaga Batin, Seberang Takir.

Menurutnya, antara aktiviti yang tidak dapat dilupakan ialah Litar Komando kerana pada program itu dia berpeluang melakukan pelbagai aksi hebat seperti seorang tentera.

“Aktiviti Litar Komando paling menarik minat saya kerana ia paling lasak dan saya memang suka dengan aktiviti fizikal seperti memanjat tembok dan sebagainya kerana dapat menguji ketahanan tubuh badan serta mental,” katanya.


Sementara itu, Siti Nur Sarah Zamani, 13, dari sekolah sama berkata, dia berpeluang mendapat ramai kenalan dari daerah lain kerana pergaulan dan kerjasama penting untuk menjadikan sesebuah kumpulan mampu melaksanakan tugas yang diberi.

“Selain dapat mengikuti pelbagai aktiviti yang disediakan kepada peserta kem, kami dapat mencari kenalan baru, malah mereka yang tidak menyertai Pengakap memang rugi.

“Melalui Pengakap, banyak perkara yang dapat dipelajari terutama cara hidup berdikari yang dapat digunakan dalam kehidupan seharian,” katanya.


Sinar Harian

Bacaan Terbaru Pada Pesta Buku Terengganu 2011

Ahmad Razif Abdul Rahman (dua dari kanan) melawat gerai Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. sambil diperhatikan Rozita Yusoff (kiri) sempena Pesta Buku Terengganu 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), kelamrin.


Sempena Pesta Buku Negeri Terengganu 2011, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) tidak ketinggalan mempromosi buku dan bahan bacaan terbaru terbitan syarikat itu.

Program selama seminggu bermula kelmarin yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu itu juga melibatkan pelancaran buku-buku baru karya penulis tempatan dari negeri ini.

Pengurus Kewangan dan Operasi UP&D, Rozita Yusoff berkata, dua buah buku terbitan UP&D bertajuk 'Cemerlang Belajar Bersama Abang Razali' karya Mohd. Razali Kamaruddin yang merupakan anak kelahiran Sungai Tong, Setiu turut dilancarkan.

"Beliau (Mohd. Razali) mula melibatkan diri dalam dunia penulisan sejak di bangku sekolah dengan menyumbangkan artikel untuk majalah berbentuk pendidikan.

"Kini, beliau merupakan kolumnis ruangan 'Motivasi' untuk majalah KAWAN terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. dan kolumnis 'Teknik Belajar' untuk majalah Dewan Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka," katanya ketika ditemui pada pesta buku itu di sini semalam.

Majlis perasmian pesta tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Program tahunan anjuran kerajaan negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dan Jabatan Pelajaran negeri itu disertai 38 syarikat penerbit, pembekal dan agensi kerajaan.

Tambah Rozita, buku yang mempunyai 144 muka surat itu berkisar tentang tips pembelajaran yang berkesan selain rahsia melahirkan pelajar cemerlang dengan harga RM14 senaskhah.

Selain itu jelasnya, buku 'Razali Ismail-Arkitek Pendidikan Negara' adalah biografi Allahyarham Datuk Razali Ismail, bekas Timbalan Menteri Pelajaran juga boleh didapati di gerai UP&D.

"Buku yang berharga RM29 dan setebal 282 muka surat itu ditulis oleh Tuan Sharif Tuan Putera dari Kampung Petai Bubus, Kuala Terengganu yang merupakan sahabat Allahyarham.

"Tuan Sharif lebih dikenali sebagai Sharif Putera merupakan seorang penulis yang sangat prolifik menghasilkan karya sastera sejak 1962 dengan ratusan cerpen dan drama radio serta rencana," katanya.

Menurut Rozita, tulisan itu menceritakan peristiwa suka dan duka Allahyarham Razali dari zaman kanak-kanak sehingga diberi kepercayaan melahirkan dan memimpin warga pendidik seterusnya diberi peluang merencana pelan pembangunan potensi pendidikan negara.

Buku-buku berkenaan boleh diperolehi di semua kedai buku utama di seluruh negara dan pembelian juga boleh dibuat secara dalam talian dengan melawati laman web rasmi UP&D, www.mybooks.com.my.


Utusan Malaysia

Friday, June 10, 2011

Hina & Ugut Bunuh Agong - Polis Terengganu Minta Kerjasama MCMC

(Ekslusif) Polis Terenganu sedang mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi mengesan individu atau pihak yang menggendalikan sebuah laman sosial digunakan oleh seseorang memfitnah dan mengancam membunuh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Laman berkenaan pada Rabu, 25 Mei 2011 bukan sahaja memuatkan tulisan menghina yang mengugut Yang di-Pertuan Agong tetapi juga menconteng gambar Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Berikutan itu keesokannya (26 Mei 2011) pada jam jam 1.00 tengahari sebelas orang pemimpin badan bukan kerajaan telah membuat laporan polis mengenai laman berkenaan.
Mereka terdiri daripada pimpinan Kelab SS78 dan pemimpin-pemimpin kelab yang bernaung di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu.

MMC difahamkan sudah menutup laman sosial berkenaan selain terus berusaha mengesan alamat internet protokol (IP) laman berkenaan selain server ‘jahat ‘ berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa dalam smsnya kepada teganuku kelmarin berkata polis Terengganu menunggu jawapan daripada MMC untuk tindakan lanjut.

Berikut adalah kata-kata menghina dan mencaci Yang di-Pertuan Agong yang dimuatkan melalui laman berkenaan:

mizan bin babidin adalah raja malaysia ato nama barunya MALAINGSIA,...mizan bisa di kategorikan sebagai species gorilla yg sangat langka dan di lindungi di malaysia sehingga sampai sekarang masih di angkat sebagai raja,.........para ilmuwan telah menyepakati di dalam tubuh mizan bin babidin terdapat virus yg bisa menyebarkan penyakit MAHO alias manusia homo keseluruh umat manusia yg berada di bumi,.....oleh karena itu badan kesehatan dunia atao WHO menyetujui spesies ini harus di bunuh. prof. michael de joung

Mengenai pengirim kata-kata yang menghina itu, satu laman sosial yang dihantar ke facebook “Terengganu City Night Game’ sebagaimana berikut :

Menurut kenyataan daripada seorang yang ditemui menyatakan berdasarkan kepada alamat email di laman sosial tersebut, adalah dari Terengganu.

Sejauh ini kajian selidik seterusnya mengenai latarbelakang pemilik facebook hina Yang di-Pertuan Agong itu adalah seperti berikut:

Nama group Facebook - Bunuh mizan bin babidin

Di tubuhkan Pada 21 May 2011 jam 5.34PM, Url group: http://www.facebook.com/home.php?sk=group_157076457692424

Pemilik Facebook - Rakai Arya Santoso, Has worked at cinggarong
Studied at University Teknikal Malaysia Melaka (UTeM


Jamshah berkata Polis Terengganu meminta kerjasama MMC itu berdasarkan laporan polis yang dibuat baru-baru ini dan sudahpun mengambil tindakan segera terhadapnya.

Bookie Ditahan Dipercayai Terlibat Dalam Sindiket Perjudian Bola Sepak


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki dipercayai bookie yang terbabit dalam skandal mengatur perlawanan bola sepak pasukan Piala Presiden T-Team.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Yusoff Mohd Zain, berkata suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan di Seremban, Negeri Sembilan, kira-kira jam 3 petang semalam.

"Suspek ditahan reman sehingga 12 Jun ini bagi membantu siasatan berhubung sogokan dan sindiket perjudian bola sepak yang melibatkan pemain," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata dengan tertangkapnya individu penting itu pihaknya dapat melengkapkan siasatan berhubung kes mengatur perlawanan itu yang kini hampir siap 80 peratus.

Katanya pihaknya telah merekodkan kenyataan daripada semua pihak termasuk pengurusan pasukan, pemain dan jurulatih dan yakin dapat menyelesaikannya kes itu tidak lama lagi.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang bekas jurulatih pasukan Piala Presiden T-Team membuat pendedahan berhubung amalan rasuah dan mengatur perlawanan yang berlaku dalam pasukan itu tahun lalu.

Dalam laporan terbabit, bekas jurulatih itu mengaku telah menerima rasuah sehingga mencecah ribuan ringgit bagi mengatur perlawanan melibatkan pasukan Piala Presiden T-Team.

NS Di Tangga Ketiga, Terengganu Unggul Di Tempat Teratas

Juara Perseorangan Lelaki dan Wanita Tenis, Khoo Er Yang dan Jawariah Noordin dari Negeri Sembilan bersama pingat emas yang diraih pada Kejohanan Tenis Sukan Malaysia XIV, Kuala Lumpur 2011 di Kompleks Tenis Majlis Sukan Negara, semalam.

Negeri Sembilan berjaya merampas kedudukan tempat ketiga dari Selangor pada hari kelapan carta kutipan pingat temasya Sukan Malaysia ke-14.

Negeri Sembilan membolot empat pingat emas daripada acara tenis menerusi kategori perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita dan beregu campuran pada hari terakhir acara tersebut.

Secara keseluruhan Negeri Sembilan kini mengumpul 14 pingat emas, 11 perak dan 16 gangsa.

Terengganu terus kekal mendominasi kutipan pingat dengan kutipan keseluruhan 23 pingat emas, enam perak, 10 gangsa manakala Johor di tempat kedua dengan 17 emas, 15 perak dan enam gangsa.

Pingat emas acara renang berirama yang baru membuka tirai hari ini dikuasai oleh pasukan Pulau Pinang apabila pasukan Pulau Mutiara itu memperoleh dua emas menerusi acara berpasukan teknikal routine dan acara berpasukan free routine.

Kelantan membuat kejutan apabila skuad ragbinya berjaya memperoleh pingat emas dalam acara tersebut apabila berjaya menumpaskan Sabah 36-5 pada perlawanan akhir hari ini.

Pingat perak bagi acara tersebut pula milik Sabah dan gangsa menjadi milik Kedah.

Seperti yang diramalkan Wilayah Persekutuan meraih pingat emas dalam acara bola jaring setelah menang besar dengan mata 49-21 menewaskan Terengganu yang meraih pingat perak.

Kedah pula membawa pulang pingat gangsa setelah menumpaskan Johor 49-47 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Esok sebanyak enam pingat emas ditawarkan iaitu empat pingat emas dari acara mendayung dan dua lagi dari acara renang berirama.

Fama Wujudkan Pasar Tani Khas Untuk Wanita?

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri merintis pelaksanaan pasar tani khas untuk wanita di Telemong di bermula Jumaat lalu.

Pengarah FAMA negeri, Hasan Jusoh berkata, sejumlah 41 tapak disediakan dan buat permulaan, seramai 30 peniaga wanita terutama penduduk setempat mengambil peluang itu.

''Pasar tani itu mungkin akan diperluaskan jika ia terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada wanita terutamanya ibu tunggal bagi meningkatkan sumber ekonomi mereka.

"Pasar tani ini merupakan jalinan kerjasama di antara FAMA, AIM (Amanah Ikhtiar Malaysia) dan Mara (Majlis Amanah Rakyat) dalam membantu golongan wanita menambah pendapatan keluarga mereka," katanya.

Beliau memberitahu Utusan Malaysia semalam, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan pasar tani khas itu disetiap daerah di negeri ini.

"Jika tak dapat buat pasar tani pun, kita akan cuba cari kaedah atau program lain untuk membantu golongan ini (wanita)," katanya.

Tambah beliau, FAMA sentiasa membantu dalam memberi pendedahan kepada mana-mana individu terutamanya kaum ibu yang mahu berniaga bagi membantu menjana pendapatan keluarga mereka.

"Wanita terutamanya dari pantai timur memang sudah sinonim dengan budaya berniaga. Jadi, kita berharap agar mereka dapat memanfaatkan peluang seperti berniaga di pasar tani khas," katanya.

Jangan Teroka Tanah Secara Haram - Ahmad Said

Tindakan tegas terhadap peneroka tanahg haram.

Kerajaan negeri memberi amaran, termasuk penjawat awam agar menghentikan penerokaan tanah secara haram yang dikesan masih berlaku di setiap daerah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan, beliau turut mengarahkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengeluarkan pekeliling mengenainya bagi memastikan tiada penjawat awam tidak terbabit dengan kegiatan itu.

Menurut Menteri Besar, sehingga permohonan tanah haram ditutup pada 31 disember 2006 kerajaan menerima 9,916 permohonan dan pencapaian penyelesaian adalah 97.73 peratus, kini hanya 225 kes belum selesai dan akan selesai dalam sedikit masa lagi.

“Daerah paling banyak berbaki kes tanah haram ialah daerah Marang (40 kes) dan Hulu Terengganu (58 kes) manakala Besut (5), Dungun (6), Kuala Terengganu (3) dan Kemaman (2),” katanya.

“Orang ramai diingatkan tidak menceroboh tanah kerajaan dan bagi penjawat awam mereka boleh dikenakan tindakan disiplin jika terbabit,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman kelmarin.

Menurutnya, pihak berkuasa negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit sekiranya masih enggan mematuhi larangan itu.

''Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM10,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,'' katanya

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Ahmad Said mengakui gejala itu masih berlaku di setiap daerah di Terengganu dan walaupun jumlahnya tidak serius, ia jelas merupakan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.

Katanya, aktiviti penerokaan tanah haram banyak berlaku di kawasan sempadan seperti di Besut namun ia agak terkawal dan penguatkuasaan sentiasa memantau keadaan dan berharap selepas ini tidak ada lagi kes penerokaan tanah haram yang baru.

Yayasan Islam Hasilkan Beratus Siri Penyelidikan, Penerbitan

Yayasan Islam Terengganu (YIT) berjaya menghasilkan beratus-ratus siri penyelidikan dan penerbitan untuk rujukan masyarakat Islam negeri ini sehingga kini.

Terbaru, sebanyak lapan buah siri lagi dilancarkan untuk kegunaan masyarakat khususnya kepada guru agama di masjid dan surau seluruh negeri.

Antara siri penerbitan berkenaan termasuklah Agama dan Pembangunan Perspektif Sosio-Budaya, Agama dan Pembangunan Kontemporari (penulis, Muda @ Ismail Ab Rahman); Agama Yahudi Menurut Perspektif Islam, Ekstremis Agama (Lubahah Hussain); Dadah Dari Perspektif Islam (Dr Hamid Jami’) dan Jihad (Dr Muhammad Na’em Yasin).

Buku-buku yang mengambil kisah dari al-Quran seperti keluarga Yasir, Kisah Tiga Bersaudara dan kebun, lelaki Yang Membeli Dirinya Sendiri, Wanita Yang Mengadu, Pewaris, Satu Komplot, Uzair, Lukman al-Hakim, Hakim Muda dan Habib Si Tukang Kayu.

“Program penyelidikan dan kitab-kitab di bawah YIT merupakan antara beberapa siri program dan aktiviti YIT yang dipengerusikan Khazan Che Mat (Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri).

“Usaha ini diharapkan dapat menyalur dan menyebarkan ilmu dan isu-isu semasa yang berkaitan dengan agama dan kemasyarakatan,” kata Pengarahnya, Md Kamaru Al-Amin Ismail (gambar kiri).

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran kitab Matla’ al-Badrain Wa Majma’ al-Bahrain dan tujuh buku terbitan YIT dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Khazan. Turut hadir, Timbalan Pengerusinya, Muhammad Ramli Nuh.

Sehingga kini, Haji Md Kamaru berkata, YIT bermatlamat menjadi agensi terunggul dalam peningkatan dan pengembangan syiar Islam bagi meningkatkan olmu dan pendidikan Agama Islam kepada penduduk ke arah mewujudkan ummah yang berakhlak mulia, progresif dan berdaya saing.

Seiring dengan misi tersebut YIT menganjur dan mengadakan kelas Kafa, kelas agama rakyat, dewasa dan belia, kelas al-Quran kampung, kelas berzanji, kelas Pintar al-Quran dan kelas Tadika.

Katanya, YIT turut berperanan memberikan pendidikan agama daripada peringkat prasekolah sehingga dewasa kepada semua rakyat Terengganu yang bertepatan dengan visi dan misi penubuhannya.

Di samping itu, Unit Dakwah YIT mengembangkan dakwah dalam aktiviti-aktiviti seperti qiamullail, usrah, forum perdana, Sahsiah pelajar, ceramah berkala dan perkampungan
dakwah.

Pada masa yang sama, YIT mempunyai dua pengajian pondok moden iaitu Institut Pengajian Islam (INSPI) yang dulu dikenali sebagai MARPA di Kampung Binjai, Kemaman dan Pondok Darul Iman (PDI) di Kampung Pelandan, Hulu Terengganu.

Unit Komunikasi Negeri

Perlawanan Akhir Piala FA 2011: Polis Nasihati Penyokong Patuhi Semua Arahan

Polis meminta para penyokong bola sepak Kelantan dan Terengganu supaya mematuhi segala arahan yang ditetapkan bagi mengelak sebarang kesulitan dan gangguan lalu lintas sepanjang perlawanan akhir Piala FA 2011 pada Sabtu ini.

Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ASP Suffian Sulaiman berkata para penyokong yang datang dari arah Tol Gombak menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil boleh melalui dua laluan iaitu laluan terus dan laluan alternatif.

Pengguna yang mengikuti laluan terus dari Tol Gombak menuju ke MRR2 seterusnya ke Lebuhraya Kesas, akan tiba di stadium yang jaraknya 27.7 kilometer dalam masa 30 minit, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Laluan alternatif pula yang mengambil masa perjalanan 36 minit ialah dari Tol Gombak menuju ke MRR2, Lebuhraya DUKE, Jalan Duta, Jalan Mahameru, Lebuhraya Seremban, susur naik ke Lebuhraya Kesas atau susur naik ke Puchong Link (Bulatan Lumba Kuda), Puchong Link (Lebuhraya Bukit Jalil, Persimpangan Taman Teknologi Malaysia (TPM).

Selain itu, beliau berkata bagi memudahkan aliran kenderaan, tempat letak kereta dan bas bagi penyokong Kelantan disediakan di parkir E (Majlis Sukan Negara) dan parkir D (TPM).

"Ikut laluan bulatan lumba kuda ke Puchong Link (Lebuhraya Bukit Jalil), Persimpangan TPM dan 'U' turn ke MSN untuk parkir di D,E, Futsal dan TPM," katanya.

Pasukan Terengganu pula diperuntukkan parkir A dan B Bukit Jalil yang mana laluannya ialah dari persimpangan Sukom Interchange menuju ke Jalan Merah Cagar (North) ke kawasan parkir.

Suffian juga menasihati para penyokong agar tidak membawa barang-barang terlarang seperti botol air mineral, kayu, mercun atau bunga api, laser, mancis atau pemetik api, sebarang objek tajam sama ada besi atau kayu, senjata seperti parang, minuman keras, payung dan tongkat.

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyokong yang melanggar arahan yang telah ditetapkan.

Dua Pasukan Pro-Tour Hangatkan Saingan LTdL 2012

Status elit Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semakin terserlah apabila dua pasukan pro tour telah mengesahkan penyertaan awal pada edisi ke-17 itu.

Pasukan pro tour tersebut ialah Team Garmin-Cervelo dari Amerika Syarikat dan Pro Team Astana dari Kazakhstan.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalal, berkata kehadiran pasukan pro tour itu sudah pasti akan menarik lebih banyak pasukan handalan dunia menyertai kejohanan itu dari 24 Feb hingga 4 Mac tahun depan.

Sejumlah 22 pasukan termasuk tiga pasukan tempatan -- skuad kebangsaan, Terengganu Pro-Asia Cycling team (TSG) dan Le Tua Cycling Team -- dijangka mengambil bahagian pada perlumbaan itu.

"Ia secara tidak langsung akan menyebabkan kesan domino di mana cabaran pada perlumbaan tahun depan akan menjadi lebih besar," katanya selepas Menteri Beliau dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan laluan LTdL 2012 di Dewan Serbaguna, Kementerian Belia dan Sukan, di Putrajaya semalam.

Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Kebangsaan berbasikal Malaysia (PKBM) Abu Samah Abdul Wahab.

Pada majlis itu, PKBM telah memeterai perjanjian penyertaan pasukan Team Garmin-Cervelo yang diwakili oleh pengarah bahagian sukan,Chann McRae dan Pro Team Astana oleh pengarah komersial Dr Aidar Makhmetov.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan itu belum menamakan barisan pelumba tetapi berjanji akan menghantar pelumba terbaik masing-masing.

Emir berkata kehadiran pelumba bertaraf dunia akan dapat memberi peluang kepada pelumba negara mengukur tahap keupayaan serta meningkatkan keazaman mereka untuk mencipta kejutan.

Kejohanan tahun depan melibatkan jarak keseluruhan perlumbaan sejauh 1,414.8km dengan peringkat peringkat pertama acara ujian masa individu sejauh 20.3km di Putrajaya.

Acara ujian masa individu kali terakhir tersenarai dalam perlumbaan LTdL ialah pada tahun 2006.

Peringkat kedua perlumbaan dari Putrajaya ke Melaka melibatkan jarak 151km dan diikuti Melaka-Parit Sulong, Johor (177.6km); Batu Pahat-Muar (169.4km); Ayer Keroh-Pandan Indah (188.4km); Shah Alam-Genting Highlands (108km); Bentong-Kuantan (215.8km), Pekan-Cukai (100.8km); Kemasik-Kuala Terengganu (169.4km) dan berakhir dengan Kuala Terengganu Loop (114.1km).

Pengajaran Agama Lebih Jelas Guna Kitab Matla' al-Badrain

Kerajaan negeri berharap segelintir guru agama di masjid dan surau yang sebelum ini mengajar dengan merujuk kitab tetapi berdasarkan kefahaman yang berbeza dan kemampuan sendiri menggunakan kitab Matla’ al-Badrain Wa Majma’ al-Bahrain untuk lebih tepat serta lancar.

Kitab terbitan Yayasan Islam Terengganu (YIT) diterjemah oleh enam ahli panel di kalangan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) menggunakan bahasa mudah dan moden, merangkumi aspek ibadat, munakahat, jual beli dan muamalat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata penerbitan naskhah yang diterjemahkan daripada kitab tersohor inisiatif YIT bertujuan memudahkan guru agama di masjid dan surau mengajar dan memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat seluruh Terengganu.

Seramai 2,000 guru agama di masjid dan surau dilantik di bawah YIT. Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk guru ta’mir dan mubaligh yang dilantik menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Khazan berkata, semua guru berkenaan terlebih dahulu diberi pendedahan mengenai kaedah mengajar yang betul melalui Kursus Metodologi Pengajaran Kitab Matla’ al Badrain yang disampaikan bekas Timbalan Mufti negeri, Haji Abdul Halim Awang.

“Kursus yang diatur oleh Yayasan Islam (Terengganu) untuk memberi kefahaman, mendalami dan mentafsir kitab yang akan diguna pakai oleh semua guru agama di negeri Terengganu. Kitab ini sangat baik dan menyeluruh.

“Kitab yang komprehensif ini bukan sahaja merangkumi mengenai ibadat, munakahat, jual beli dan muamalat, malah pelbagai aspek lagi,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan kitab itu serta tujuh buku baru terbitan YIT dengan kerjasama kerajaan negeri , di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah YIT, Md Kamaru Al-Amin Ismail.

Menurut Khazan, tempoh masa dua tahun diambil bagi menyiapkan naskhah agama itu berikutan ahli panel bukan di kalangan mereka yang bekerja sepenuh masa , selain proses menghasilkan buku itu melalui pelbagai peringkat termasuk transliterasi, pengstrukturan semula dan ulasan.

Selain itu, kitab setebal 94 muka surat itu juga merangkumi aspek penyuntingan menggunakan Bahasa Melayu moden dan mudah, menulis dalam Bahasa Melayu versi jawi, menterjemah perkataan Arab, menghurai maksud perkataan, istilah, teks yang tidak jelas serta sukar difahami, selain menterjemah tokoh ulama yang tercatat namanya dalam kitab itu.

“Selepas ini, kerajaan negeri akan memastikan tempoh masa menyiapkan penterjemahan itu dapat dipercepatkan lagi bagi menghasilkan kitab rujukan lain termasuk bidang fiqah, tauhid dan usuluddin.

Anugerah Kasut Emas - Mat Yo Atau Abdul Hadi?

Siapa Akan Menjadi Pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super tahun ini?

Persaingan adalah antara penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (gambar kiri) dan Abdul Hadi Yahya, penyerang Terengganu.

Kini dengan 15 jaringan dikumpul Norshahrul dalam saingan Liga Super - jumlah yang sama dikumpul Abdul Hadi, benar-benar membakar semangatnya bagi memburu gelaran penjaring terbanyak - sekali gus merebut Anugerah Kasut Emas, musim ini.

“Saya berharap dapat meneruskan rentak cemerlang bagi mengharumkan nama pasukan Kelantan dalam Liga Super musim ini. Dua gol dijaringkan (pada perlawanan dengan Terengganu Isnin lalu ) adalah hadiah bermakna kepada saya sendiri selain menyuntik semangat rakan untuk memburu impian menjuarai Liga Super musim ini,” katanya.

Malah dia membuktikan lebih berbisa daripada penyerang Abdul Hadi apabila meledakkan dua daripada tiga gol di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin, sehingga mematikan segala semangat tuan rumah.

“Tapi saya tetap menganggap dia (Abdul Hadi) adalah seorang penyerang yang hebat dan saya juga akan melakukan yang terbaik untuk pasukan ketika bertemu Terengganu dalam saingan final Piala FA nanti,” katanya kelmarin.

Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo, berharap dapat mengekalkan momentum untuk terus memburu gol dalam pertemuan dengan Terengganu dalam final Piala FA, Sabtu ini.