Friday, July 1, 2011

Jangan Sertai Perhimpunan 9 Julai - Pengerusi Majlis Fatwa

Kelmarin Menteri Besar Terengganu meminta rakyat Terengganu khususnya penjawat awam jangan menyertai perhimpunan Bersih 9 Julai ini.

Ia bersifat amaran dan tindakan boleh diambil jika ada pihak yang melanggar nasihat Menteri Besar itu.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin meminta umat Islam khususnya dan masyarakat negara ini amnya supaya tidak menyertai perhimpunan haram berkenaan.

Katanya, ini kerana negara ini sekarang bukan sahaja aman, malah orang luar menjadikan negara ini sebagai contoh.

"Ertinya kalau sudah ada yang baik itu, kita perlu jaga, kita perlu pertingkatkan dan perlu dibaiki untuk menjadi lebih baik.

"Dalam Islam, yang baik itu jangan kita rosakkan, yang berpadu, jangan kita pecahkan kerana ia adalah merupakan satu dosa besar bagi kita," katanya ketika diminta pendapatnya mengenai perhimpunan yang akan diadakan itu.

Beliau bercakap selepas majlis perasmian Wacana Pendidikan Fatwa negeri Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata, Malaysia yang mempunyai ekonomi teguh sedang menuju ke arah yang lebik baik, jika perkara yng boleh menyekat atau merosakkan negara, maka perhimpunan itu tidak harus diteruskan.

"Dalam Islam kita boleh memberi pandangan, tetapi ia melalui saluran. Islam suruh kita berbincang dulu, kalau sudah tidak ada peluang, nak jumpa tak boleh, kita ditekan, pada saya itu boleh kita buat apa yang patut untuk mencari keadilan," katanya.

Bagaimanapun katanya, selagi ada sumber, maka ia digalak menggunakan 'syura' (berbincang).

Beliau berkata, selain itu semua pihak harus melihat masa depan dan kemajuan negara.
Katanya, kemajuan bukan bererti yang ada ini kita runtuhkan dan bina yang baru.

"Dalam sejarah tamadun manusia, kemajuan itu apa yang ada. Kalau kurang, kita tambah, yang kurang baik, kita perbaiki supaya ia menjadi lebih baik.

"Seperti di Terengganu, kita nak lahirkan generasi Ulul Albab, generasi celik Al-Quran dan Hadis, nak menjadikan ornag Islam itu baik.

Apakah kita kena runtuhkan yang ini dan nak bina yang baru yang dikatakan satu tamadun," kata Abdul Shukor.

Terengganu Masih Berpeluang Juarai Liga Super 2011 - Irfan Bakti

Peluang Terengganu untuk menjuarai saingan Liga Super 2011 masih terbuka, kata ketua jurulatih pasukan itu Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata ini berdasarkan rekod pertemuan dua pasukan teratas iaitu Kelantan dan Selangor dengan lawan masing-masing kurang memberangsangkan.

Katanya, perlawanan terakhir pada 6 Julai ini menyaksikan tiga pasukan teratas liga termasuk Terengganu, akan bertandang ke tempat lawan.

"Harus diingat Kelantan akan bertandang ke Sabah, yang mana bukan senang untuk kalahkan tuan rumah itu, dan kalau kita lihat, hanya tiga pasukan yang berjaya mencipta kemenangan ketika bermain di Sabah pada musim ini, iaitu Terengganu, Selangor dan Johor FC.

"Justeru, saya melihat Terengganu masih mempunyai peluang untuk bergelar juara Liga Super, dan kita akan memanfaatkan sepenuhnya peluang tanpa mengira apa jua keputusan yang diperoleh lawan nanti," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.

Mengenai barisan pemain yang bakal diturunkan pada perlawanan itu, Irfan Bakti berkata beliau memilih menurunkan skuad utama ketika menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala FA awal Jun lepas.

"Alhamdulillah, kesemua pemain utama kita dapat diturunkan, dan sudah tentu mempunyai harapan yang tinggi untuk dinobatkan juara Liga Malaysia selepas berjaya menjulang Piala FA 11 Jun lalu," katanya.

Beliau juga enggan mengulas persiapan untuk saingan Piala Malaysia yang dijadual selepas Hari Raya Puasa kerana ingin memberi tumpuan terhadap perlawanan terakhir menentang Felda United.

Thursday, June 30, 2011

Terengganu Jemput 32 Imam Arab Saudi Untuk Solat Sunat Tarawih Tahun Ini

Kerajaan Terengganu akan menjemput 32 imam dari Arab Saudi bagi menjadi imam solat tarawih di masjid-masjid negeri itu sepanjang Ramadan nanti.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, berkata dari jumlah itu seramai 15 orang didatangkan khas dari Arab Saudi manakala 17 orang lagi terdiri daripada guru-guru bahasa Arab dari negara itu yang sudah berada di sini yang kini sedang mengajar di sekolah-sekolah di Terengganu.

"Semasa bulan Ramadan tahun lepas kita hanya menjemput 12 orang saja imam dari Arab Saudi, tetapi tahun ini kita tambahkan lagi.

"Mereka ini akan menjadi imam di masjid-masjid negeri dan masjid daerah secara bergilir-gilir," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Guru-guru Kafa Negeri Terengganu (PERKAT) semalam.

Sementara itu Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) Md Kamaru Al-Amin Ismail ketika ditemui pada majlis itu berkata terdapat seramai 3,105 guru Kafa di bawah penyeliaan YIT.

Katanya dari jumlah itu seramai 1,600 guru Kafa telah diberi kursus pemantapan melibatkan lapan siri di setiap Parlimen selama dua bulan pada April dan Mei lepas.

"Guru-guru berkenaan kita beri kursus kerana kita dapati penyampaian pengajaran mereka kepada murid tidak sampai 45 peratus berbanding guru kementerian iaitu antara 70 peratus dan 80 peratus," katanya.

Katanya, kursus seumpama itu akan diadakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan lagi pengajaran dan pembelajaran kepada murid di sekolah rendah dan menengah di negeri itu.

Jangan Terlibat Dengan Perhimpunan Bersih

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said menyeru rakyat negeri ini terutama kakitangan awam supaya sesekali tidak terlibat dengan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi mengelak tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.

“Saya merayu rakyat Terengganu jangan terlibat dengan perhimpunan Bersih ini. Saya juga sudah maklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (Terengganu) mana-mana kakitangan kerajaan negeri ini yang terlibat dengan perhimpunan haram berkenaan boleh diambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Kerajaan tidak akan berkompromi. Kita ada syarat dan peraturan yang tertakluk di bawah perintah am pentadbiran awam yang perlu sentiasa menjaga nama baik perkhidmatan sebagai seorang kakitangan kerajaan,” katanya kepada media di majlis hi-tea bersama media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan lebih 20 pengamal media di Terengganu.

Menteri Besar berkata,perhimpunan haram itu boleh mencetuskan suasana huru-hara kerana kegagalan mengawal emosi masing-masing akan mengakibatkan mereka yang terlibat bertindak merosakkan harta benda awam serta mencederakan orang yang tidak berdosa.

“Saya berseru kepada rakyat Malaysia yang mencintai keamanan kerana dengan berkat keamanan yang kita nikmati kini, kita seharusnya menjauhi perhimpunan haram yang hanya semata-mata untuk menguji kesabaran kerajaan dan menguji peraturan sedia ada.

“Usaha yang didalangi parti pembangkang mengandungi muslihat dan kehendak tertentu untuk mempopularkan diri mereka dan mungkin juga ada pengaruh negara asing atau `orang luar’ yang ingin mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku di negara kita ini,” kata beliau lagi.

Unit Komunikasi Negeri

Masyarakat Perlu Terima Fatwa Majlis Fatwa

Masyarakat Islam di negeri ini diminta menerima baik setiap fatwa yang dikeluarkan Majlis Jawatankuasa Fatwa Malaysia Kebangsaan (JKF) berhubung sesuatu hukum Allah S.W.T dalam menjalani kehidupan mereka seharian.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata beliau cukup kesal dengan tindakan segelintir individu yang menghentam fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa kerana ia bukannya lahir daripada akal fikiran dan undang-undang, sebaliknya mengikut kata sepakat dan pandangan mufti seluruh negara.

“Program pendidikan dan penjelasan fatwa seumpama ini perlu diperbanyakkan serta diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi supaya masyarakat Islam dapat memahami dengan jelas apa jua fatwa yang diputuskan.

“Pada masa sama dapat menghalang masyarakat daripada terpengaruh dengan pandangan-pandangan berkaitan hukum hakam daripada pihak yang tidak berautoriti,” katanya berucap merasmikan Wacana Pendidikan Fatwa peringkat Terengganu di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Haji Mazlan Hashim, Timbalan Jawatankuasa Pengerusi Agama dan Penerangan, Haji Muhammad Ramli Nuh, Pengerusi JKF Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Abdul Syukor Husin.

Tetamu kehormat lain, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Haji Othman Mustapa dan Pengarah Bahagian Pengurusan Fatwa Jakim, Hajah Wan Morsita Wan Sudin.

Lebih 300 peserta wancana pendidikan itu yang membentangkan empat kertas kerja iaitu konsep hiduran dalam Islam, perbezaan insuran konvesional dan takaful, pandangan syarak mengenai kehamilan luar nikah dan penguguran serta amalan khurafat dan penggunaan jin.

Tan Sri Dr Shukor melahirkan harapan supaya pihak berkaita terutama Jakim terus mempertingkatkan usaha ke arah memartabatkan institusi fatwa di negara ini dengan tanggungjawab membina dan memelihara generasi umat Islam ke arah yang lebih gemilang pada hari ini dan juga masa-masa akan datang.

Unit Komunikasi Negeri

MB Sedia Terima Kritikan Wartawan

Kerajaan negeri sedia menerima kritikan daripada golongan wartawan asalkan ia berupa kritikan membina dan ke arah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata atas kepentingan rakyat, kerajaan sedia bertindak berdasarkan teguran pihak media dan membaiki segala kelemahan dalam sistem pentadbirannya.

“Bagaimanapun, pada masa yang sama kita mahu pihak media menyemak terlebih dahulu fakta dan kesahihan sesuatu berita sebelum menyiarkannya,” katanya sewaktu berucap pada majlis ramah mesra YAB Menteri Besar dengan media di Permai Inn, petang semalam.

Program anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) itu turut dihadiri Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan Timbalannya Ruslan Abd Rahman; Penyelidik Kanan Kepada Menteri Besar, Hambali Abd Latiff dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Rosli Zakaria.

Menteri Besar berkata, tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh wartawan seakan sama dengan pemimpin kerajaan iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Wartawan menyiarkan kesusahan rakyat supaya pihak berkenaan membela nasib mereka manakala wakil rakyat menyediakan kemudahan dan keperluan rakyat,” ujar beliau.

Beliau berharap para wartawan dapat bekerjasama dengan kerajaan dan berganding bahu membela nasib rakyat di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri sudah terlalu banyak menyediakan subsidi dan kemudahan kepada rakyat Terengganu.

Katanya, sebahagian besar daripada penerima bantuan am di negeri ini sepatutnya tidak layak diberi kemudahan itu jika mereka tinggal di negeri lain.

“Tetapi Kerajaan Terengganu terlalu baik hati dengan menyediakan macam-macam kemudahan untuk rakyat, asalkan mereka tidak susah,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

PTG anjur kursus Pemantapan Pembangunan Tanah

Kira-kira 100 peserta berjaya mengikuti Kursus Pemantapan Pembangunan Tanah anjuran Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Terengganu di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu bermula jam 9.30 pagi semalam.

Kursus sehari yang disampaikan sendiri Pengarah PTG, Tuan Mamat Tuan Ngah itu nyata menarik minat peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah Daerah serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Program itu memberi fokus kepada pelbagai aspek termasuk berkaitan pengurusan tanah, kaedah permohonan untuk kelulusan serta kuasa Pentadbir Tanah dan Pengarah Negeri berhubung permohonan.

Agenda lain, syarat-syarat pecah sempadan dan pengeluaran hak milik kepada bahagian pecah sempadan.

Tuan Mamat berkata, kurusus seumpama ini mampu dijadikan sebagai landasan untuk menyeragamkan pengurusan tanah supaya tidak bercanggah dengan undang-undang ynag ditetapkan.

“Selain itu, dapat menyelesaikan permasalahan antara jabatan dengan sermpurna , memberi penjelasan secara mendalam berkaitan kajian tanah dan kajian kes serta meningkatkan kualiti kerja dengan efisyen apabila berususan dengan pelanggan,” katanya.

Meningkatkan kemakmuran dan kefahaman Undang-undang dan menyeragamkan pengurusan tanah antara PBT dan beberapa jabatan yang terlibat antara objektif utama kursus ini dianjurkan PTG.

Unit Komunikasi Negeri

Parlimen: Petronas Bayar Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri RM594.6 Bilion

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Petronas telah membuat pembayaran RM594.6 bilion kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dalam bentuk dividen, cukai, duti eksport dan perolehan petroleum semenjak penubuhannya sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac lepas.

Daripada jumlah itu, Perdana Menteri berkata RM65.7 bilion adalah pembayaran bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac tahun ini.

Sehingga Jun 2011 pula, Najib berkata, jumlah sumbangan Petronas kepada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) adalah sebanyak RM3.0 bilion dan dilaburkan di dalam pelbagai instrumen kewangan.

"Dana ini adalah aktif dan saiz dana KWAN kini berjumlah RM5.43 bilion," katanya dalam jawapan bertulis kepada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

Nurul Izzah ingin tahu mengenai jumlah sumbangan Petronas kepada KWAN dan kesediaan kerajaan menetapkan 30 peratus keuntungan tahunan Petronas ke dalam sebuah tabung pendidikan kebangsaan untuk pemberian biasiswa.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata KWAN telah ditubuhkan untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber asli negara yang merosot supaya dapat memberikan sumber pendapatan yang berterusan dan stabil demi faedah generasi akan datang.

Pengurusan dan pentadbiran hal ehwal KWAN dipertanggungjawabkan ke atas Bank Negara Malaysia yang memastikan dana KWAN dilaburkan dengan wajar manakala operasi kumpulan wang itu diselia oleh Panel KWAN, katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak bercadang menubuhkan tabung pendidikan baharu seperti tabung pendidikan kebangsaan kerana pemberian biasiswa atau pinjaman adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

"Kerajaan pada masa ini juga telah menyediakan dana bagi tujuan pendidikan negara di bawah agensi tertentu seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," katanya.

Struktur Bumbung Stadium Yang Runtuh Mungkin Diganti Baru

Struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA) di Gong Badak yang runtuh dua tahun lepas, kemungkinan akan dicabut dan digantikan yang baru.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ini kerana bahan yang digunakan sudah patah dan sambungannya telah tercabut.

"Apa yang merunsingkan kita strukturnya juga tidak selamat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri semalam.

Beliau berkata padang dalam stadium juga rosak dan perlu dibaik pulih kerana sudah lama terbiar dan digunakan.

"Pokok-pokok yang ada juga perlu dicabut, kos berapa juta pula tidak tahulah...," katanya.

Ahmad berkata kerajaan sedang memikirkan beberapa pilihan untuk membina bumbung dan salah satunya seperti bumbung Stadium Merdeka kerana lebih ringan dan murah.

Beliau berkata masih banyak benda-benda baru dan kerja-kerja tambahan yang perlu dibuat oleh konsultan yang menjalankan kajian ke atas stadium itu.

Katanya kajian yang dijangka siap September itu berharga lebih RM2 juta.

"Saya cukup kecewa kerana stadium itu telah terbiar begitu lama," katanya

Yusof Awang Hitam Tabur Bakti Melalui Kerja Sukarelawan

Konvoi bermotor dari rumah ke rumah sempena program turun padang di Kampung Pujuk, Manir, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Yusof Awang Hitam bukanlah seorang wakil rakyat, tetapi beliau adalah seorang pemimpin setempat yang sentiasa dilihat akrab mendampingi masyarakat melalui pelbagai gerak kerja.

Kini memikul tanggungjawab sebagai Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, anak kampung itu sudah terdidik dengan kegiatan sukarelawan yang gemar dilakukan melalui pertubuhan dianggotai sejak remaja lagi.

Beliau ternyata tidak mempedulikan perbezaan fahaman politik yang masih mencengkam masyarakat dalam mengisi luang-luang untuk terus berperanan dan membantu mengikut keupayaannya dengan sokongan UMNO dan kerajaan negeri.

Salah satu yang menarik tentang usahanya ialah merintis penubuhan Pusat Kesihatan Yusof Awang Hitam (PKY) di Pulau Bahagia dekat sini dengan menawarkan khidmat rawatan pakar secara percuma untuk penduduk dalam DUN berkenaan.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan ke Terengganu tidak lama dulu turut meninjau pusat itu dan tertarik dengan inisiatif yang diambil bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Kalangan doktor pakar yang merupakan rakan-rakannya itu turut sedia bersamanya turun padang menyelami kehidupan penduduk termasuk persoalan kesihatan mereka.
Program tersebut menjadi suatu rutin dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setempat dan wakil Utusan Malaysia turut meninjau semasa mereka turun ke kampung Pujuk baru-baru ini.

Kali ini, Yusof turut membawa bersama doktor pakar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Dr. Rushdan Ismail yang juga sukarelawan di PKY dan mereka menjengah puluhan keluarga dalam sehari.

Melalui sesi ziarah selama tiga hari itu yang turut menarik penglibatan Gabungan Pelajar Universiti DUN Manir dan UMNO Cawangan Manir.

Kira-kira 180 yang diziarah turut menerima sumbangan barangan dapur.

Kata Rushdan, di PKY seramai 18 orang doktor daripada Persatuan Sukarelawan Perubatan Bebas (Superb) menjadi sukarelawan untuk merawat penduduk di kawasan DUN tersebut yang mula beroperasi Januari tahun lalu.

"Kita bukan sahaja bekerjasama dengan penganjur mengadakan pusat rawatan percuma namun kita juga turun ke kampung untuk memberi perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Yusof memberitahu, konvoi secara bermotor menyusuri jalan-jalan kampung itu melawat warga emas, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan penghidap pelbagai penyakit.

Menurut Yusof, program seumpama itu telah diadakan di beberapa buah kampung di DUN Manir seperti Kampung Tualang, Kampung Pasir Tebakang, Kampung Binjai Manis dan Kampung Durian Mas dengan sambutan yang cukup baik.

"Kita merasakan program bersemuka sebegini tanpa perbelanjaan yang besar cukup berkesan untuk kita mendekati rakyat di peringkat akar umbi, sambil mendengar keluh-kesah mereka dan memikirkan apa lagi yang boleh dibantu.

"Secara tidak langsung, kita juga dapat meninjau keadaan kemudahan asas penduduk seperti keadaan rumah, jaringan jalan kampung, bekalan air, tali air serta prasarana sukan untuk golongan muda beriadah," ujarnya.

Turut mendapat perhatian dalam kunjungan itu, Mohd. Isa Salleh, 60, yang patah kaki kiri akibat kemalangan dua bulan lalu dan dalam masa yang sama menghidap penyakit darah tinggi.

Dia yang hanya tinggal bersama seorang anak lelakinya menerima sumbangan sepasang tongkat, manakala bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sedikit sebanyak meringankan bebannya yang tidak bekerja.

Sementara itu, ibu kepada tiga anak lelaki, Saodah Muda, 43, yang mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi antara yang mendapat pemeriksaan kesihatan daripada Dr. Rushdan.

Walaupun agak uzur, ibu tunggal itu gembira menerima tetamu yang datang bertanya khabar dan turut memberitahu mereka bahawa dia ingin bekerja untuk mencari rezeki kerana seorang lagi anaknya masih bersekolah.

Utusan Malaysia

Lebih 150 Penunggang Bakal Sertai Kejohanan Motosikal Lasak Asia Di Terengganu

Lebih 150 peserta dari lapan negara dijangka menyertai Kejohanan Motosikal Lasak Asia yang akan berlangsung buat julung kali di Kompleks Sukan Gong Badak dari 14 hingga 16 Julai ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kejohanan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan hampir US$10,000 (RM30,000) turut melibatkan peserta dari Filipina, Thailand, Indonesia, Mongolia, India, China, Jepun dan Iran.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata litar perlumbaan di kompleks itu telah diubah suai dan dinaik taraf menjadi litar bertaraf antarabangsa untuk membolehkan kejohanan itu diadakan.

Litar itu sepanjang 1.3km dan mempunyai landskap yang cantik serta menarik, merupakan satu-satunya litar bertaraf antarabangsa yang ada di negara ini, katanya.

Ahmad berkata kejohanan itu diiktiraf oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Bimbing Pegawai Muda Jiwai Hidup Rakyat Biasa

Peserta Program Jejak Pegawai Muda Negeri Terengganu mengagihkan sejadah kepada penduduk kampung sekitar Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Seramai 118 pegawai tadbir agama, negeri dan Persekutuan menyertai Program Jejak Pegawai Muda Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti diatur selama empat hari tersebut seperti program jati diri, turun padang, bersama keluarga angkat serta kursus pemantapan rohani.

Pendekatan itu juga selaras dengan usaha untuk membentuk pegawai muda agar sama-sama menjayakan hala tuju negeri, Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI).

Menurut Pengarah T-ISSI, Arpin Draman, program julung-julung kalinya melibatkan pegawai tadbir muda itu merupakan inisiatif pihaknya untuk melahirkan lebih ramai pemegang jawatan itu yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada kerajaan.

Katanya, ia sangat penting kerana mereka merupakan imej dan tanda aras jabatan kerajaan pada pandangan masyarakat.

"Kebanyakan pegawai tadbir muda ini dilahirkan dalam keluarga yang agak senang dan lama terpisah dengan kehidupan masyarakat kerana melanjutkan pelajaran. Jadi mereka tidak terdedah masalah sebenar rakyat.

"Biarpun mereka mempunyai kelulusan cemerlang dalam akademik namun tidak bermakna mereka bijak mengawal situasi dan membuat pertimbangan apabila berdepan dengan masyarakat.

" Justeru, kita melihat program ini dapat membantu mereka menghadapi cabaran bidang tugas yang memerlukan komitmen untuk membuat keputusan sehingga menemui jalan penyelesaiannya," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mereka ditempatkan bersama penduduk di lima kampung tradisional iaitu Kampung Rhu Tapai, Gong Tengah, Setia Jaya, Merang dan Pantai Merang di Setiu.

Terdapat dalam kalangan peserta yang tidak dapat menahan air mata betapa mesranya sambutan penduduk dan terharu ketika mendengar luahan tentang masalah yang diharungi dalam kehidupan.

"Program turun padang berkenaan diadakan bagi membolehkan pegawai tadbir muda merasai dan melihat dengan lebih dekat permasalahan yang dihadapi oleh rakyat sejajar saranan pucuk pimpinan negeri.

"Ini bertujuan mendidik pegawai tadbir agar meletakkan diri mereka di tempat masyarakat ketika membuat sebarang keputusan agar ia sesuai dengan konsep merakyatkan pentadbiran yang dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri," ujarnya.

Ujar Arpin, melalui tugasan yang diberikan, kreativiti dan inovasi pegawai muda dapat dilihat terutama dalam membuat sesuatu keputusan tanpa meminggirkan mana-mana pihak dan memberi kesan menyeluruh.

"Mereka juga didedahkan cara mewujudkan hubungan antara pentadbir dan orang politik agar keserasian kerja dengan pelaksana dasar seimbang.

"Soal ketidakserasian bukan sahaja di antara masyarakat malah di antara pegawai tadbir dengan ahli politik walaupun mereka tulang belakang pihak kerajaan," ujarnya.

Tambah beliau, pegawai tadbir pada masa kini perlu berdepan dengan kehendak rakyat yang semakin meningkat dan mencabar seiring dengan perubahan masa dan keadaan.

Justeru, mereka perlulah menerapkan budaya kerja yang tekun iaitu bekerja lebih dari sepatutnya dan juga bersikap mesra rakyat atau mesra pelanggan.

Utusan Malaysia

Angkasa Bekerjasama Dengan Maidam Bantu Golongan Asnaf

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk memberi bantuan kepada lapan asnaf yang memerlukan bantuan rawatan perubatan.

Presiden Angkasa Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata Angkasa akan membantu daripada segi menyediakan mesin hemodialisis dan ubat-ubatan kepada golongan berkenaan.

Bagi tujuan itu, Angkasa akan mewujudkan pusat dialisis di seluruh negara, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, semalam selepas menyampaikan wang zakat Angkasa berjumlah RM67,440.13 kepada Maidam menerusi Ahli Perwakilan Pemangku Raja Terengganu Tengku Bendahara Raja Tengku Mustafa Kamel Sultan Mahmud.

Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Maidam Datuk Senara Muda Datuk Mazlan Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Wan Harujan Sulaiman.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 76 buah koperasi telah mengeluarkan zakat untuk tahun lepas berjumlah RM1.5 juta manakala sehingga Jun ini, sebanyak RM258,244 zakat telah dikeluarkan melalui 23 buah koperasi.

Mazlan pula berkata Maidam dan Angkasa merancang untuk mewujudkan koperasi di masjid seluruh Terengganu.

Katanya, apabila masjid dapat menubuhkan koperasi, ia dapat bergiat secara aktif di dalam bidang ekonomi termasuk membangunkan tanah-tanah wakaf yang tidak dapat dimajukan sebelum ini.

“Di bawah polisi baru Angkasa, tanah-tanah itu boleh dibangunkan dengan syarat masjid menubuhkan koperasi dan membuka akaun dengan Koperasi Syariah Angkasa (Kopsya) untuk mendapat pembiayaan,” katanya.

“Saya akan galakkan 426 masjid di Terengganu menubuhkan koperasi supaya dapat berkecimpung dalam bidang ekonomi yang diperkenalkan Angkasa bagi meneguhkan ekonomi institusi masjid,” katanya.

Murid 1Sukan Bakal Jadi Penggerak Perpaduan Di Sekolah

Kementerian Pelajaran (KPM) akan memastikan dasar 1Murid 1Sukan (1M1S) yang diperkenalkan pada tahun depan akan menjadi penggerak utama perpaduan pelajar berbilang kaum di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Asariah Meor Shaharuddin berkata telah terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, dengan menceburi bidang sukan, akan dapat memupuk semangat setiakawan dan berpasukan di samping mampu melahirkan atlit yang berkaliber sehingga ke peringkat antarabangsa.

Ketika merasmikan penutupan Persidangan Kebangsaan Pendidikan Jasmani di Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan di di Kampung Raja kelmarin, beliau berkata dasar 1M1S itu adalah merupakan serampang dua mata kerajaan dalam pembangunan negara pada masa akan datang.

Katanya, untuk itu kementerian akan melaksanakan enam elemen strategi bagi menjayakan dasar 1M1S mulai 2012 sebagai melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Enam strategi tersebut ialah menyediakan bantuan kewangan sukan kepada sekolah, mewajibkan pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan dan mengenalpasti program sukan sekolah yang perlu dilaksanakan sepanjang tahun.

Selain itu, penubuhan bahagian sukan di sekolah-sekolah, memasukkan elemen sukan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) dan penetapan lima Institut Pendidikan Guru (IPG) yang akan melatih guru sukan.

Asariah seterusnya memberitahu dengan wujudnya dasar 1M1S ini maka lengkaplah skop pembangunan sukan di sekolah kerana Program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) yang khusus bagi membangunkan atlit sekolah sememangnya telah dilaksanakan sejak Julai 2008 lagi.

Beliau berharap lebih banyak persidangan mengenai pembangunan sukan sekolah diadakan pada masa akan datang bagi memberi peluang kepada para guru sukan menambah ilmu dan maklumat dalam melaksanakan program di sekolah.

PPT Dapat Pengiktirafan Persekitaran Berkualiti 5S

Nor Akmal Abdul Fatah menunjukkan pengiktirafan Persekitaran Berkualiti 5S yang diterima di Kuala Terengganu, kelmarin.

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) berjaya mendapat pengiktirafan Persekitaran Berkualiti 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Di samping itu, empat daripada enam perpustakaan awam daerah iaitu Besut, Kemaman, Marang dan Hulu Terengganu turut memperoleh pengiktirafan yang sama.

Penilaian tersebut adalah berasaskan kepada lima aspek iaitu Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.

Pengarah PPAT, Nor Akmal Abdul Fatah berkata, pengiktirafan tersebut amat bermakna buat institusi itu yang berusaha keras sejak kira-kira setahun lalu bagi menerap budaya kerja 5S secara menyeluruh di kalangan kakitangannya.

"Kami bersyukur kerana hasil usaha selama ini membuahkan hasil apabila mendapat anugerah berkenaan dan amalan tersebut akan dijadikan sebagai budaya kerja PPAT," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di majlis penutup Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif dan Amalan Persekitaran Berkualiti Wilayah Pantai Timur di Kuala Terengganu, semalam.

Penyampaian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Ahmad Fadzil Mahmud.

Konvensyen berkenaan disertai oleh 52 kumpulan dari 27 organisasi dengan lebih 700 peserta dan pemerhati dari Terengganu, Kelantan dan Pahang. Manakala, 10 organisasi terlibat dalam Konvensyen Persekitaran Berkualiti.

Organisasi lain yang turut memperoleh pengiktirafan sama termasuklah Petronas Penapisan Terengganu Sdn. Bhd., Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan, Politeknik Kota Bharu, Majlis Perbandaran Kuantan dan Universiti Teknologi Mara Kelantan.

Sementara itu, Ahmad Fadzil dalam ucapannya berkata, program itu mampu menggalakkan syarikat dan agensi kerajaan menjadi lebih berkesan dalam menghasilkan produk bermutu tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Amalan 5S adalah satu konsep untuk mewujudkan persekitaran berkualiti secara sistematik dan praktikal.

"Melalui amalan ini tempat kerja menjadi lebih teratur dan selesa sepanjang masa seterusnya kerja akan menjadi lebih produktif, cekap, selamat dan menjimatkan kos," ujarnya.

Utusan Malaysia

Produk Scalogel Menang Pingat Emas di Geneva

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta satu lagi kejayaan apabila produk Scalogel, iaitu sejenis gel penyembuh luka yang dihasilkan daripada bahan terbuang iaitu sisik ikan talapia berjaya menggondol pingat emas pada International Exhibition Of Inventions kali ke-39 di Geneva, Switzerland pada 6 hingga 10 April lalu.

Produk ciptaan Pegawai Sains Institut Marin Bioteknologi UMT, Thirukanthan Chandra Segaran, berjaya menarik perhatian juri dengan kelebihannya mampu menyembuhkan luka dengan cepat iaitu 16 hari berbanding 21 hari bagi ubat biasa dan dikatakan lebih baik daripada gel gamat kerana keupayaannya menghilangkan parut.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman, berkata UMT turut memenangi dua pingat perak dan dua gangsa menerusi penghasilan produk Gamma Plus yang dihasilkan daripada gabungan kulit pisang, obor-obor dan gamat untuk menyembuhkan luka; tempat pembiakan ikan dan snek makanan kesihatan rosel.

Katanya, kejayaan UMT menerima anugerah dalam lima daripada enam penyertaan itu satu pencapaian membanggakan dan membuktikan keupayaannya sebagai universiti yang memacu aktiviti penyelidikan dan menitikberatkan kualiti serta hasil penyelidikan diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

“Pada pertandingan itu, 765 pempamer daripada 45 negara seluruh dunia mengambil bahagian dan Malaysia diwakili tujuh universiti iaitu UMT, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Malaysia Perlis.

"Sebelum ke pameran itu, hasil inovasi dipertandingkan terlebih dulu dan mendapat pengiktirafan anugerah dan pingat peringkat kebangsaan,” katanya pada majlis Anugerah Malim Ilmu UMT di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, kelmarin yang memberi pengiktirafan dan anugerah kepada penyelidik cemerlang sebagai suntikan semangat kepada mereka lebih aktif menjalankan penyelidikan.

Sementara itu, Thirukanthan berkata, beliau bersama kumpulan penyelidiknya mengambil masa setahun untuk menghasilkan produk ini dan sedang dalam proses mempatenkannya sebelum memasuki pasaran tahun depan.

"Produk ini dapat menyembuhkan luka dalam tempoh singkat kerana ia cepat menyerap air, menjadikan kesan luka cepat kering dan kulit pengguna sembuh tanpa kesan parut," katanya.

Dr Mohd Nizam Lani yang menghasilkan Le'Ro Rosselle Leather iaitu sejenis gula-gula getah yang boleh dimakan dan ditelan meraih pingat gangsa pada pameran itu berkata, gula-gula berkenaan kaya dengan Vitamin C.

Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia Diadakan November Ini

Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia 2011 (Intrade) bakal diadakan November akan datang dalam usaha membantu usahawan dan pengeksport tempatan meluaskan perniagaan ke luar negara.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pengeksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Zakaria Kamaruddin berkata pameran itu akan diadakan dari 22 hingga 24 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau berkata pameran itu bertujuan membolehkan syarikat Enterprise Kecil dan Sederhana (EKS) bertemu pembeli luar negara melalui sesi pemadanan perniagaan yang dianjurkan.

"Ia juga bertujuan untuk melancarkan produk baru dan mempromosikan barangan mereka sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya selepas merasmikan Program Matrade Bersama Usahawan dan Pengeksport di Kuala Terengganu, semalam.

Yang turut hadir Pengarah Matrade Wilayah Timur, Hasziah Mohd Yazid.

Katanya Intrade 2011 juga memberi peluang pemain industri tempatan menjalin rangkaian dengan rakan mereka dari luar negara.

"Dengan adanya pameran ini, usahawan tidak perlu berbelanja besar untuk ke luar negara bertemu dengan syarikat luar dan kami menjangkakan pameran kali ini akan disertai lebih dari 400 hingga 500 pembeli dari seluruh dunia," katanya.

Pameran tersebut juga akan mengenal pasti dan meneroka peluang perniagaan yang ada agar syarikat tempatan berjaya mengeksport produk mereka ke peringkat antarabangsa, katanya.

Industri yang disasarkan berpotensi besar ke pasaran antarabangsa adalah automotif dan bahagian-bahagian auto, elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, perabot dan produk berasaskan kayu, kraftangan, tekstil dan barang kemas, kosmetik dan kesihatan serta perkhidmatan.

Intrade 2010 mencatatkan jumlah jualan RM4 bilion dengan kehadiran 441 syarikat dari 51 buah negara di seluruh dunia.

Beliau berkata mana-mana syarikat yang berminat untuk mendapatkan tapak di pameran ini boleh membuat tempahan melalui laman web www.intrademalaysia.my.

Wednesday, June 29, 2011

Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan Mulakan Kurikulum Sukan

Sekurang-kurangnya enam Institut Pendidikan Guru (IPG) akan memulakan kurikulum sukan dengan memasukkan elemen kejurulatihan sukan kepada guru pelatihnya mulai tahun ini.

Antara IPG yang dikenali pasti bagi memulakan Program Guru Sukan itu ialah IPG di Besut, Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak, Sabah dan Johor.

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Datuk Dr Haili Dolhan berkata ia sesuai dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan konsep 1Murid 1Sukan tahun depan.

Menurut beliau, elemen kejurulatihan sukan akan diperkenalkan melalui cara mengajar sukan dengan betul bagi mengelakkan kecederaan di kalangan pelajar.

Katanya, antara 500 hingga 600 guru pelatih dijangka akan diambil bagi mengikuti program guru sukan ini dengan dibantu oleh Majlis Sukan Negara dan badan-badan sukan yang berprofesional di IPG itu nanti.

"Latihan yang diberikan kepada guru pelatih itu nanti akan menekankan kepada ciri-ciri keselamatan ketika bersukan dan menepati matlamat negara dalam melahirkan pelajar sukan berprestasi tinggi dan yang hanya mengikuti sukan secara santaian sahaja," katanya di Besut semalam.

Beliau sebelum itu merasmikan majlis Persidangan Kebangsaan Pendidikan Jasmani anjuran Institut Pendidikan Guru (IPG) di Institut Perguruan Sultan Mizan di Besut.

Beliau berkata bagi melatih guru-guru sukan itu, tenaga dan kemahiran pengajar di kalangan pensyarah-pensyarah akan ditambah di IPG yang terbabit.

Jelasnya, pihaknya juga dijangka akan mengadakan kursus-kursus dalaman kejurulatihan sukan kepada guru-guru di sekolah bagi menambah pengetahuan mereka sebagai guru sukan di sekolah.

Terlalu Lama Depan Televisyen, Komputer Punca Obesiti

Masa yang terlalu lama di depan televisyen dan komputer mengakibatkan golongan muda di negara ini mengalami obesiti, menurut Kementerian Kesihatan.

Pengarah Nutrisi Jabatan Kesihatan Awam, Rokiah Don berkata, golongan muda menghabiskan banyak masa mereka di hadapan skrin - sama ada menonton televisyen, bermain permainan video atau menggunakan komputer menyebabkan mereka cenderung kepada gaya hidup tidak aktif.

“Dalam era skrin ini, orang ramai banyak menghabiskan masa di depan skrin.
“Ini menyumbang kepada obesiti di kalangan golongan muda sebab output tenaga tidak seimbang dengan input tenaga atau makanan yang mereka makan," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Persidangan Persatuan Kajian Mengenai Obesiti Malaysia (Maso) 2011 Conference di Kuala Lumpur

Ubi Vitato Bawa Pendapatan Rm2,000 hingga RM15,000 Sebulan

Peserta mini estet ubi Vitato di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelagat mampu memperoleh pendapatan bersih melebihi RM2,000 sehingga RM15,000 sebulan, bergantung kepada keluasan tanah yang diusahakan dengan tanaman itu.

Pengurus Besar PPK Pelagat Zakaria Ibrahim berkata kini terdapat seramai 50 peserta yang menyertai mini estet ubi Vitato PPK Pelagat yang membabitkan kawasan seluas 38.4 hektar.

"Ubi Vitato boleh mengeluarkan hasil dalam masa tiga bulan selepas ditanam.

Harga ubi Vitato kini adalah RM1 sekilogram di peringkat ladang manakala di pasaran antara RM1.50 hingga RM2 sekilogram,” katanya di Besut.

Beliau berkata musim pertama tanaman tahun ini telah mula dituai seminggu lepas dan setakat ini pengeluaran mencapai 15 metrik tan sehektar.

"Habis musim ini, kita akan menanam untuk musim kedua pula,” katanya.

Zakaria berkata tanaman ubi Vitato akan dijadikan tanaman utama bagi menggantikan tanaman tembakau, dan mini estet tanaman itu mula diperkenalkan kepada para peserta tahun lepas selepas tanaman tembakau dihentikan.

Selain itu, katanya peserta juga akan menanam jagung sebagai tanaman sampingan.

500 Kedai Runcit Bakal Dinaik Taraf Menerusi Program TUKAR

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasar sebanyak 500 kedai runcit dinaik taraf dalam Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) di seluruh negara tahun ini.

Setakat ini 92 kedai runcit tradisional telah berjaya ditransformasi dengan bantuan pasar raya Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Carrefour Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang bertindak sebagai konsultan.

Pada Khamis (23 Jun) lalu KPDNKK menandatangani memorandum persefahaman dengan empat syarikat iaitu Aeon Co (M) Bhd, Econsave Cash and Carry Sdn Bhd, Sunshine Wholesale Mart Sdn Bhd dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu yang dilantik sebagai konsultan untuk membantu kerajaan.

Ketua Delivery Management Office KPDNKK Putrajaya, Mohd Fariszan Ahmad berkata sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk disalurkan sebagai pinjaman menerusi Bank Kerjasama Rakyat kepada para pemilik kedai runcit yang memilih untuk menyertai TUKAR dengan pembayaran balik dalam tempoh 15 tahun.

"Dengan kadar faedah sebanyak tiga peratus pemilik-pemilik kedai runcit akan memperolehi keuntungan yang lebih tinggi.

"Tempoh masa bayaran yang agak panjang tidak membebankan pemilik dan mereka boleh menikmati keuntungan dan meluaskan bidang perniagaan mereka," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat kepada media mengenai TUKAR di sini Selasa.

TUKAR dilancarkan pada Januari lepas dengan menawarkan pinjaman RM60,000 kepada seorang pekedai.

Insiatif ini bagi membantu pekedai runcit di kawasan kecil dan luar bandar meningkatkan aktiviti perniagaan mereka.

"Beberapa manafaat akan diperolehi pemilik kedai runcit dalam program ini antaranya dapat mempelajari sistem pengurusan pos atau inventori, perningkatan dalam jualan dan kawalan aliran wang tunai, susun atur kedai dan papan tanda," kata Mohd Fariszan.

Geng .Yusuf Kerinting' Curi Kereta Mewah Tumpas

Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kereta mewah yang bergiat aktif di beberapa negeri selepas menahan lima lelaki dalam serbuan di tiga lokasi, baru-baru ini.

Kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 51 tahun dipercayai ahli kumpulan penjenayah curi kenderaan yang dikenali sebagai 'Yusuf Kerinting'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 10 buah kenderaan curi yang dianggarkan bernilai RM800,000 antaranya jenis Toyota Camry, Toyota Caldina, Toyota Harrier, Toyota Wish, Mitsubishi Triton dan Mitsubishi Storm.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan dalam serbuan di sini, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu dalam operasi yang dijalankan sejak 27 Mei lalu sehingga semalam.

"Nombor casis pada empat buah kenderaan berkenaan telah dikikis dan apabila dihantar ke Jabatan Kimia untuk semakan rekod mendapati ia merupakan kereta yang didaftarkan di Kulai, Johor; Besut, Terengganu dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

"Sebuah lagi kenderaan jenis Mitsubishi Storm masih dalam semakan kerana nombor casisnya sukar untuk dikenal pasti namun kita percaya ia juga merupakan kereta curi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang diMarang, semalam.

Mengulas lanjut, Manoharan berkata, enam buah kenderaan lagi yang dirampas merupakan kenderaan yang tidak dijelaskan ansuran atau telah ditarik oleh penarik kereta.

Bagaimanapun, katanya, kenderaan berkenaan tidak dipulangkan kepada bank, sebaliknya nombor pendaftaran enjin diubah suai dan diwujudkan geran baru untuk dijual kepada pelanggan dengan harga yang lebih murah.

Kesemua suspek direman selama dua minggu untuk disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Cukai Untuk Telefon Mudah Alih Prabayar Masih Dibincang

Perbincangan antara pengendali telefon mudah alih tempatan dan kerajaan untuk memindahkan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus kepada pengguna masih berlangung, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum.

Keputusan untuk mengenakan cukai perkhidmatan prabayar akan diputuskan oleh Kementerian Kewangan kemudiannya, kata beliau kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) dan China Mobile, pengendali mudah alih terbesar dunia di Kuala Lumpur.

Dilaporkan syarikat-syarikat telekomunikasi sedia bertemu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membincangkan mengenai cukai perkhidmatan prabayar yang dirancang di Malaysia.

Sekiranya cukai perkhidmatan disalurkan kepada pelanggan prabayar di Malaysia, sebagai contoh tambah nilai RM10 akan hanya mengandungi RM9.40 nilai panggilan dengan 60 sen dikenakan sebagai sukai perkhidmatan.

Bagaimanapun, Joseph Salang berharap syarikat telekomunikasi akan terus menyerap cukai sebanyak enam peratus memandangkan ini akan sedikit sebanyak mengurangkan beban pengguna.

JPJ Terengganu Catat Pengurangkan Saman Sebanyak 65 Peratus

Jumlah saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mencatatkan penurunan sebanyak 65 peratus atau 9,290 kes bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah negeri Abdul Rahman Emang Anyie berkata pada Januari hingga Mei tahun lalu, sebanyak 14,691 saman dikeluarkan berbanding tahun ini hanya 5,401 saman dikeluarkan untuk tempoh sama.

Katanya statistik itu menunjukkan keberkesanan program JPJ seperti membuat sekatan jalan raya dan mengadakan rondaan secara berkala untuk menyedarkan dan mendisiplinkan pengguna kenderaan supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan disaman.

Antara kesalahan paling tinggi yang menyebabkan pengguna jalan raya di negeri ini disaman adalah kesalahan berkaitan cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh.

"Bagaimanapun, kesalahan-kesalahan lain seperti melanggar lampu merah, tidak memakai tali pinggang keledar dan sebagainya tetap kita beri tumpuan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Kempen Senyum' peringkat JPJ Terengganu di Dataran JPJ negeri di sini Selasa.

Pelajar Lelaki Tingkatan Enam Maut Terjun Bangunan Sekolah

Akibat ditegur oleh guru kaunseling, seorang pelajar lelaki Tingkatan Enam sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Kajang bertindak nekad terjun dari tingkat empat bangunan sekolah itu pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 9.20 pagi itu, Nge Hao Zheng, 18, ditemui mati di tepi bangunan sekolah itu dengan kepala dan badannya berlumuran darah.

Seorang guru sekolah itu yang enggan dikenali berkata, pelajar terbabit sebelum itu dilihat berjumpa dengan seorang guru kaunselor untuk berbincang mengenai aduan seorang pelajar perempuan.

"Hao Zheng dipanggil oleh guru kaunselor itu selepas pelajar perempuan tersebut mengadu bahawa Hao Zheng telah melanggar bahunya semalam. Ketika kaunseling diberikan, Hao Zheng tidak menunjukkan tingkah laku yang pelik dan kelihatan tenang," katanya semalam.

Beliau berkata, Hao Zheng kemudiannya dilihat keluar daripada bilik kaunseling itu sebelum memanjat tembok di kaki lima bangunan itu dan bertindak terjun.

"Tiada sesiapa yang sempat menghalang pelajar itu terjun...kejadian itu membuatkan semua pelajar takut dan sesi persekolahan tergendala seketika sebelum segalanya kembali seperti biasa," katanya.

Mayat Hao Zheng kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Serdang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rasyid Abdul Wahab ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes tersebut.

"Setakat ini kes itu masih dalam siasatan dan kita klasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Ikan Air Tawar Dapat Sambutan Di Pasar Tani, Fama

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu sedang mengambil langkah untuk mempromosi ikan air tawar memandangkan ia semakin diminati masyarakat di negeri ini.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata ikan air tawar didapati mempunyai banyak kelebihan daripada segi kesihatan terutamanya ikan keli, belut dan juga haruan.

"Tahun ini, kita telah membuat kempen dan promosi ikan air tawar beberapa kali di pasar tani di Besut dan sambutannya memberangsangkan," katanya semalam.

Beliau berkata bagi golongan yang prihatin kepada kesihatan, kaedah pemakanan ikan air tawar adalah lebih kepada perubatan, selain dibuat lauk-pauk.

Hasan berkata, ikan haruan mempunyai khasiat untuk menyembuhkan luka dalam perut terutamanya selepas pembedahan dan untuk rawatan penyakit gastrik, belut boleh mengubat penyakit asma, menyembuhkan kesan luka pembedahan, menguatkan daya tahan tubuh dan beberapa jenis penyakit lagi jika dimakan berterusan.

Kelebihan ikan keli pula adalah baik untuk pertumbuhan otak dan pembesaran kanak-kanak selain mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung, katanya.

Hasan berkata ikan air tawar sekarang ini mula mendapat perhatian dan digemari oleh mereka yang tinggal di tepi laut berikutan harga ikan laut lebih tinggi berbanding ikan air tawar.

Harga ikan keli ialah RM6 sekilogram, haruan RM17 dan belut RM18 untuk ikan yang bukan diternak. Ikan lain seperti talapia dijual pada harga RM12 sekilogram, patin RM8, baung RM16, lampam jawa RM12, toman RM10 dan ikan belida RM12 sekilo.

"Yang mendapat sambutan dan laris ialah belut, keli dan haruan," katanya.

Hasan berkata setakat ini terdapat 14 penjual ikan air tawar iaitu lapan orang di pasar tani Padang Hiliran, Bukit Payong dan Besut masing-masing (dua), Hulu Terengganu dan Kemaman masing-masing (satu).

Daripada jumlah itu, terdapat enam penternak yang menternak ikan keli, haruan, belut dan talapia iaitu empat orang di pasar tani Padang Hiliran dan dua orang di pasar tani Bukit Payong, Marang.

Beliau berkata kebanyakan pasar-pasar di Terengganu menjual ikan air tawar dan yang paling banyak ialah di pasar tani Padang Hiliran, sama ada yang sudah diproses atau hidup.

Hasan berkata nilai jualan ikan air tawar sepanjang tahun lepas adalah sebanyak RM470,673 dan bagi lima bulan pertama tahun ini ialah RM199,730.

"Kita jangka jualan keseluruhan ikan air tawar sehingga akhir tahun ini boleh mencecah RM500,000," katanya.

Ustaz Cabul Gadis Dalam Bilik Air di Bukit Besi

Seorang ustaz sanggup membelakangkan hukum agama apabila tergamak menodai kesucian seorang pelajar ketika memberi rawatan kepada gadis belasan tahun yang difahamkan pernah mengalami gangguan makhluk halus itu.

Kejadian dipercayai berlaku di rumah mangsa di Bukit Besi, dekat Dungun antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari 25 Jun lalu, ketika pelajar Tingkatan Lima di salah sebuah sekolah di Bukit Besi itu sedang menerima rawatan daripada suspek, yang juga difahamkan seorang bekas guru al-Quran di kampungnya.

Sebelumnya, suspek diundang oleh bapa mangsa untuk melakukan proses pemulihan setelah anak gadisnya itu dikatakan terkena gangguan makhluk halus.

Ustaz terbabit yang kononnya tahu bab-bab agama dan ilmu halus difahamkan telah memulakan rawatan di ruang tamu.

Detik hitam itu bagaimanapun bermula apabila suspek mengarahkan mangsa ke bilik air untuk melakukan proses mandian, kononnya untuk membuang bala.

Bapa mangsa yang turut berada di situ mulai rasa sangsi setelah suspek dikatakan mengambil masa yang agak lama untuk merawat mangsa di dalam bilik air.

Bagaimanapun ketika berada di bilik air, mangsa yang diarahkan mandi dalam keadaan berkemban itu dikatakan telah dinodai oleh suspek yang berlagak alim itu dengan mencabul kehormatannya.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan separuh sedar kerana difahamkan masih belum pulih daripada terkena gangguan makhluk halus.

Sebaik selesai rawatan, mangsa terus keluar dari bilik air dan menyendiri di bilik tidur, manakala suspek pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.

Tembelang suspek yang difahamkan sering menjadi imam di salah sebuah surau di kampung berdekatan bandar Bukit Besi itu mulai terbongkar setelah mangsa menceritakan perbuatan terkutuk suspek kepada ibu bapanya.

Mangsa diiringi bapanya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Besi keesokan hari, sebelum suspek ditahan kira-kira jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit dan suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Guru, pelajar Wajar DiBeri Peluang Aktif Sukan

Pentadbir sekolah diminta memberi galakan dan peluang kepada guru serta pelajar mengembangkan bakat dan potensi diri masing-masing dalam bidang sukan bagi mengelak ketandusan atlet.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata umpamanya menggalakkan mereka yang berkaitan menyertai pelbagai aktiviti dan kejohanan sukan di peringkat sukan mahupun negeri.

Katanya, suasana kehidupan sihat melalui aktiviti sukan dan kecergasan yang terdapat di kawasan persekitaran sekolah mampu melahirkan warga sekolah yang sihat, aktif dan berdaya maju. Situasi begini berpotensi melahirkan bakat sukan yang terkemukan pada suatu hari nanti.

“Pihak berkenaan juga sepatutnya mengenal pasti potensi dan kekuatan sukan yang boleh ditonjolkan di sekolah supaya menyerlah sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Pelajar memainkan peranan penting dalam melakukan anjakan paradigma pendidikan jasmani dan sukan. Mereka ke sekolah bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik malah perlu memahami bahawa bersukan juga dapat membina pembentukan diri yang sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pendidikan Jasmani 2011, di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut, semalam.

Hadir sama, Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Haili Dohlan; Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan, Dr Hajah Samsiah Mustafa dan Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Haji Mohd Zubir Embong.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir 29 Jun ini mengumpulkan pensyarah dari pelbagai negara termasuk Thailand, India, Indonesia dan Singapura.

Ahmad Razif turut memberitahu kerajaan menerusi persatuan-persatuan sukan mengadakan pelbagai program untuk membentuk ahli sukan sejak di bangku sekolah lagi.

“Mereka yang terpilih akan diberi latihan dalam acara sukan tertentu selain menjalani kehidupan seperti pelajar biasa di sekolah bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan jasmani. Pendekatan ini mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda yang profesional,” katanya.

Katanya, kesediaan ibu bapa menerima perubahan sangat penting kerana ramai ibu bapa pasti mahukan anak mereka menumpukan perhatian untuk kecemerlangan akademik.

“Ibu bapa sebagai tunjang keluarga perlu mengubah persepsi mereka mengenai dunia sukan ke arah yang lebih positif.

“Sukan bukan sahaja menjadi punca rezeki malah dapat meningkatkan maruahserta ekonomi negara. Oleh itu, ibu bapa perlu meberi sokongan penuh kepada anak-anak yang menunjukkan minat dalam bidang sukan.

Unit Komunikasi Negeri

Ladang Tebu Telur di Langkap Jadi Kenyataan

Kerajaan memperuntukan RM150,000 sebagai modal permulaan untuk membuka ladang tebu telur di Kampung Bukit Munduk, Langkap, Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris berkata, seluas 20 hektar kawasan terdiri dari tanah kerajaan dan tanah milik persendirian akan ditanam dengan tebu telur untuk projek komersial.

“Seramai 27 peserta di bawah Program pembangunan rakyat Termiskin (PPRT) terpilih untuk menyertai projek perintis berkenaan,” katanya kepada pemberita di majlis Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Motel Desa, Bukit Pak Apil Kuala Terengganu kelmarin.

Katanya, sebagai persediaan menjadi seorang peladang berjaya, mereka telah dibawah meninjau ke ladang tebu telur di Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini untuk melihat sendiri kejayaan petani di sana mengusaha tanaman berkenaan.

Beliau yang mengetuai lawatan berkenaan menaruh harapan besar terhadap 27 peserta itu untuk menimba pengalaman serta mencari ilmu kejayaan peladang yang mengendalikan tanaman berkenaan.

“Setakat ini kerja-kerja pembersihan kawasan sedang dijalankan dan kemungkinan selepas ini kerja-kerja menbajak tanah dan menanam dapat dimulakan,” katanya.

Katanya, peruntukan RM100,000 akan digunakan untuk urusan tanaman termasuk mendapatkan benih, baja dan sebagainya manakala selebihnya untuk kerja membersih kawasan.

Asha’ari berkata, ladang tebu telur yang dicadangkan ini akan dipelbagaikan kegunaannya termasuk menghasilkan produk-produk yang boleh memberi pulangan pendapatan kepada peserta.

Tuesday, June 28, 2011

Wahid Endut Merapu Mengenai Ramainya Golongan Muda Bankrap

Oleh Pok Teh Bakap

Anak Muda Bankrap Kerana BN?

Dangkalnya pemikiran Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baru, Mohd Wahid Endut.
Beliau salahkan kerajaan Barian Nasional kerana berlakunya kejadian 41 orang muflis setiap hari di Malaysia.

Bercakap di Chukai, Kemaman pada 16 Jun lalu, Mohd Wahid yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu melahirkan kebimbangan apabila berlaku peningkatan mendadak jumlah rakyat Malaysia yang menjadi bangkrap dan muflis.

Katanya, kerajaan yang menjadikan rakyat bankrap dan muflis sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti.

Sebab apa muda-muda bangkrap? Menurut Wahid:
“Keluar Universiti sahaja sudah berhutang dengan kerajaan, kerja tidak ada lagi sudah berhutang RM20,000 hingga RM30,000 seorang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).”

Laporan menyebut, jumlah muflis di kalangan anak muda sekarang ini yang berumur 25 hingga 34 tahun yang telah diistiharkan bangkrap seramai 13,128 orang. Mereka yang berumur 25 hingga 44 tahun, meningkat lagi telah menjadi bangkrap seramai 38,357 orang dalam tempoh 65 bulan sehingga bulan Mei 2010.

Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Devinder Singh berkata anak muda mahukan kemewahan tetapi lemah dalam pengurusan kewangan. Lebih buruk lagi apabila pada usia 30 tahun, mereka terpaksa menanggung hutang dan perlu mendapatkan bantuan profesional untuk mengeluarkan mereka daripada muflis.

Menurutnya, 15 peratus daripada lebih 39,600 individu yang menyertai program pengurusan kredit AKPK adalah mereka berusia di bawah 30 tahun.

Beliau berkata, ramai golongan muda diisytiharkan muflis disebabkan oleh perbelanjaan berlebihan menerusi penggunaan kad kredit dan kegagalan mereka untuk mengikut peraturan asas dalam pengurusan kewangan yang bijak.

Tambahnya, individu terbabit tidak akan mengalami masalah hutang sekiranya jumlah pinjaman mereka tidak melebihi 40 peratus daripada perolehan kasar pendapatan bulanan.

Amat jelas, kebanyakan anak muda bankrap kerana berbelanja lebih daripada kemampuan, termasuk gaya hidup gemar berhutang menggunakan kad kredit walaupun tidak mampu dari segi kewangan.

Ambil contoh mudah dengan melihat senario graduan baru bekerja. Dengan usaha, pengetahuan dan tuah badan, kita andaikan graduan itu mendapat gaji RM2,000 sebulan (tidak termasuk graduan mendapat gaji tidak setimpal dengan kelulusan iaitu RM800 hingga RM1,200).

Dengan gaji RM2,000, bermulalah kerjaya graduan sebagai eksekutif muda di bandar atau di kawasan pinggir bandar. Namun, perbelanjaan yang terpaksa ditanggungnya, termasuk seperti berikut:

1. Sewa rumah/bilik RM200 (berkongsi rumah dengan rakan);
2. Ansuran kereta RM300 (bergantung jenis kereta, kalau mahal maka tinggi ansuran bulanannya);
3. Duit minyak dan tol RM450 (anggaran perjalanan pergi dan balik kerja, tidak termasuk perjalanan lain);
4. Makan dan minum RM500;
5. Sosial dan riadah RM300 (bersama rakan dan hal peribadi);
6. Bayaran bil RM200 (api, air, telefon, bil pelbagai);
7. Bayar kredit barang RM300 (hutang set hi-fi, TV, peti sejuk, dapur masak dan pelbagai barang elektrik);
8. Barang peribadi RM200 (tambah kad prabayar, barang kesihatan dan kecantikan, pakaian, kasut, aksesori diri bagi wanita, aksesori kereta dan tukar telefon bimbit);
9. Hal kecemasan RM100 (sakit, beri pinjam kawan, kereta rosak); dan
10. Simpanan RM100 (kerana memikirkan hendak kahwin, insuran kereta dan tunai haji)

Ini tidak termasuk dengan perintah bayar daripada pinjaman pelajaran mereka di universiti yang sering eksekutif muda ini ‘sengaja buat lupa’ tetapi tidak pernah lupa untuk bayar perbelanjaan berkaitan urusan peribadi mereka. Katakan eksekutif yang ‘memaksa diri’ bayar pinjaman secara minimum RM100, jadi berapa gaji bulanan mereka yang tinggal?

Pendapatan RM2,000 sebulan dan perbelanjaan seperti di atas RM2,750. Bermakna eksekutif muda itu berhutang RM750 sebulan. Bayangkan bagaimana jika mereka bergaji RM1,000 hingga RM1,500 sebulan?

Tanpa mereka sedari atau sengaja tidak sedar diri, kad kredit itulah yang menjadikan mereka terus berhutang dan akhirnya hutang melilit pinggang. Mengapa eksekutif muda ini berhutang? Persoalan ini bukannya susah untuk difahami tetapi tidak mudah dicari penyelesaiannya. Jawapannya terletak kepada perkara berikut:

Personaliti

Peribadi dan sikap seseorang yang sememangnya suka berhutang kerana sudah menjadi satu kebiasaan kepada dirinya melihat ibu bapa, adik-beradik dan saudara-maranya yang memang suka berhutang untuk memenuhi kehendak dan keperluan diri.

Pengaruh persekitaran


Hidup mereka sentiasa dikelilingi mereka yang menjadikan hutang sebagai gaya hidup malah rakan turut memberi galakan berhutang bagi membeli kereta yang kononnya setaraf dengan kerjaya sebagai eksekutif.

Promosi


Institusi kewangan dan yang berkaitan dengan kad kredit memang mensasarkan golongan muda dan bekerjaya sebagai pelanggan berpotensi dengan membuat promosi besar-besaran dan habis-habisan untuk menarik eksekutif muda ini menggunakan kad kredit.

Pelbagai iklan dan mesej yang digunakan untuk ‘memaksa’ eksekutif ini menggunakan kad kredit.

Kehadiran jurujual yang tidak pernah penat ‘senyum dan ketuk pintu pejabat’ memang menjadikan taktik promosi ini sebagai strategi menarik golongan muda menggunakan kad kredit.
Pujian dan perasan

Sebagai eksekutif muda, banyak pujian dan dorongan agar mereka terus kelihatan anggun, cantik dan bergaya selaras dengan umur muda dan kerjaya mereka.

Disebabkan terlena dan perasan dengan pujian itu, maka berlumba-lumba eksekutif muda wanita dan lelaki membeli barang berjenama yang bukan murah harganya, falsafah mereka ‘biar papa asal bergaya’ menjadikan mereka akhirnya papa dan merana kerana muflis. Siapa yang perlu dipersalahkan jika keadaan ini berlaku? Tepuk dada tanya selera!

Pada akhirnya, mereka tidak cukup duit. Mereka selalu pokai atau tidak cukup duit kerana gaya hidup mewah menjadi fokus utama mengapa golongan muda banyak berhutang.

Tekanan fizikal dan mental seperti sukar tidur malam, keresahan, gangguan fikiran, panas badan, pening kepala, kekeruhan air muka, kelesuan, kemarahan dan pelbagai simptom fizikal yang akhirnya menjejaskan kreativiti, prestasi dan produktiviti pekerjaan anda yang baru mencipta nama dalam bidang yang ceburi.

Inilah hakikat sebenar kenapa orang muda mudah jatuh bankrap, bukan kerana dasar BN.
Kerajaan menyediakan pinjaman adalah bagi memudahkan mereka belajar di institusi pengajian tinggi dan dengan membayar balik, adik-adik dan yang terkemudian daripada mereka menyambung manfaat itu.

Sebaliknya jika gagal, bukan sahaja orang lain tidak mendapat kemudahan itu, peminjam pula berdepan dengan tindakan bankrap.
Kerana itu, kalaupun mahu mempengaruhi dan mendapatkan simpati rakyat, Wahid janganlah buat kenyataan bodoh dan tidak berasas.

Mereka bankrap kerana kesalahan diri sendiri.

Tidak ada kena mengena dengan PINJAMAN PTPTN yang disediakan kerajaan!