Friday, October 21, 2011

Hudud PASTerengganu Benarkan Suami Liwat Isteri?

Daripada http://hambali1.blogspot.com/
(Tajuk Asal - HUDUD PAS BENAR SUAMI LIWAT ISTERI...PATUTLAH...
)

Undang-undang Hudud yang diluluskan kerajaan PAS semasa memerintah Terengganu membenarkan suami meliwat isteri?

"Paling saya terperanjat, ada berbelas-belas kesilapan yang bercanggah dengan Islam tapi yang saya nak tunjuknya, ini bukan datang dari syariat Islam. Contoh, berkaitan dengan liwat. Disebut dalam ini (enakmen) liwat ialah (dalam)Seksyen 14. Ini enakmen yang telah digazetkan.

"Tafsiran liwat (di dalam enakmen) ialah satu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki...kita faham lah itu... atau di antara lelaki dengan seorang perempuan yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur.

"Yang saya terperanjat dia (hukum hudud) kata 'selain daripada isterinya'. Makna kata kalau seorang suami bersetubuh melalui dubur isteri itu (bermakna)tidak liwat dalam hudud PAS ini,"

Demikian kata Datuk Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim-Bandar Baharu) ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 yang menjadikan Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur lkecoh semalam.

Beberapa pemimpin pembangkang khususnya daripada PAS 'bengang' dengan kenyataan Zulkifli semalam.

Menurut Zulkifli, jika jika mengikut Seksyen 14, Enakmen Jenayah Syariah, Qisas dan Takzir yang digazetkan pada 2004, adalah tidak menjadi kesalahan bagi seorang suami berbuat demikian.

Banyak lagi perkara menarik disebut Zulkifli.

Yang nyata apabila beliau periksa balik, rupanya betul memang Tun Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dulu tolak kerana ini bukan hudud Islam tetapi ini hudud PAS.

“Ada percanggahan jelas, isteri diboleh diliwat dan lain-lain lagi," katanya. Menurut Zulkifli, keputusan Dr Mahathir menolak pelaksanaan hudud telah diputar-belit oleh pihak tertentu pada ketika itu.

Hakikatnya apakah PAS Terengganu dan Kelantan faham dan tahu kesan undang-undang hudud yang diluluskan olehnya?

Baca selanjutnya di sini.

Projek KTCC RM5b Pacu Perubahan Terengganu - Ahmad Said

Projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) dengan pelaburan bernilai RM5 bilion yang akan dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan menjadi pemangkin kepada transformasi pembangunan sosioekonomi negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia dijangka membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Terengganu sehingga 7.5 peratus menjelang 2020 berbanding 5.5 peratus ketika ini.

Katanya, projek yang merangkumi tiga pemangkin utama iaitu pusat gaya bersepadu, pusat komersial dan hab pendidikan itu akan turut mewujudkan lebih 82,000 peluang pekerjaan kepada penduduk negeri itu dalam tempoh yang sama.

"Projek KTCC akan menjadi penanda aras yang baru kepada pembangunan hartanah dan pelancongan di negeri ini pada masa depan dan meletakkan Terengganu sebagai pusat pelancongan moden bertaraf dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah dan pelancaran projek KTCC di Muara Selatan, Jalan Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John.

ECERDC merupakan antara koridor pembangunan terbesar negara yang bakal melibatkan kawasan seluas kira-kira tujuh kilometer radius dari Muara Sungai Terengganu yang merangkumi pembangunan lima bidang utama iaitu Muara Utara, Muara Selatan, Pulau Warisan, Kampung Ladang/Tanjung dan Tebing Pesisir Air.

Antara komponen lain yang akan dibangunkan melalui penglibatan pelabur dalam dan luar negara ialah pusat perniagaan komersial, pusat konvensyen antarabangsa dan kediaman moden yang akan dilengkapi dengan pusat beli-belah, percutian, perubatan dan pendidikan.

Ahmad Said berkata, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan kunjungan pelancong sebanyak 3.5 juta orang setahun menjelang 2013 berbanding lebih 2.5 juta sekarang.

Tambahnya, bagi melengkapkan pembangunan KTCC, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) akan disiapkan menjelang 2013 dan bakal mengurangkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur kepada empat jam.

Katanya, projek di bawah ECERDC itu akan memberi manfaat kepada semua terutamanya penduduk di negeri ini.

"Nilai hartanah akan meningkat dan dari segi sosioekonomi, KTCC akan menjadi faktor penarik untuk menggalakkan lebih ramai belia kembali bekerja di negeri ini apabila melihat perubahan bandar raya ini yang bakal menjadi hab kehidupan, bekerja dan aktiviti-aktiviti rekreasi," jelasnya.

Bagi mempromosikan imej negeri itu sebagai Gerbang Pelancongan di ECER, sebuah jambatan angkutan (draw breach) bakal dibina menghubungkan kawasan seluas 72 hektar di Muara Selatan dan Muara Utara.

Jelas Ahmad Said, ia merupakan sebuah jambatan seumpamanya di negara dan bakal menjadi satu mercu tanda negeri itu.

Terengganu Berwaspada, T-Team Buru 3 Gol

Pasukan Terengganu dengan misi persembahan lebih baik apabila bertemu Selangor di pusingan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sementara T’team pula dengan misi ‘Buru 3 Gol’ di Senawang Sabtu ini.

Pengurus Terengganu yang juga Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata Terengganu tidak meletak keyakinan yang tinggi dalam pertemuan kedua nanti walaupun sudah mempunyai kelebihan dua gol.

“Semua perkara boleh berlaku dalam permainan bola sepak dan sebab itu Terengganu akan berusaha seberapa yang boleh untuk menang di gelanggang sendiri sendiri. Walaupun dengan dua gol, tidak bermakna kita seolah-olah sudah boleh masuk pertandingan akhir. Masih ada masa lagi 90 minit untuk menentukan nasib Terengganu,” katanya.

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam malam kelmarin, Terengganu mengalahkan Selangor 2-0.

“Dengan doa restu rakyat dan penyokong bola sepak Terengganu serta sokongan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, kita yakin akan beroleh kejayaan yang kita impikan selama ini,” katanya.

Bagi T’team pula, biarpun atas kertas peluang pasukan itu untuk melakar sejarah dengan mara ke final Piala Malaysia begitu tipis dan mustahil, namun perjuangan belum selesai.

Jurulatih T’Team masih mengharapkan kebangkitan luar biasa daripada para pemain T-Team pada aksi di Paroi esok.

Katanya, pengalaman beberapa pemain seperti, Zairo Anuar Zailani dan Nor Farhan begitu ditagih. Ini kerana Indra Putra Mahyuddin dikatakan tidak boleh diturunkan kerana ada dua kad kuning.

“Kami adalah sebuah pasukan yang mengamalkan corak menyerang dan saya harap kami mampu mendapatkan sekurang-kurangnya tiga gol di tempat lawan,” ujarnya.

Malah, misi yang dianggap penuh mustahil itu terpaksa dilalui anak- anak buah Yunus Alif di hadapan ribuan penyokong Negeri Sembilan bagi aksi separuh akhir kedua malam esok.

‘Ibarat nyawa di hujung tanduk’, tiada jalan singkat boleh dilalui kesebelasan utama T-Team melainkan memburu tiga gol tanpa dibolosi pasukan tuan rumah.

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Kuala Terengganu (Selasa lalu), T-Team gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 2-4.

“Memang sukar untuk kami mara ke final jika dilihat kepada jumlah jaringan yang diperoleh lawan pada separuh akhir pertama. Mereka memperoleh empat gol di tempat lawan dan ia adalah bekalan yang cukup selesa buat mereka,” kata Yunus.

“Ada ada dua atau tiga gol yang tidak sepatutnya dilepaskan. Jadi, saya akan memikirkan semula kedudukan Zairi sama ada menggantikannya dengan Mohd. Jibrail,” katanya lagi.

Kosmo!, Utusan & Berita Harian

Asiaflex Products Catat Penghantaran Sulung Untuk Petrofac




Kilang pengeluaran paip boleh lentur Technip-Asiaflex Products Sdn Bhd di Tanjung Langsat, Johor, membuat penghantaran sulungnya baru-baru ini kepada Petrofac E&C Sdn Bhd (Petrofac).

Dalam satu kenyataan semalam, Technip berkata ia telah diberikan projek itu pada Mac tahun ini dan paip itu akan digunakan bagi pembangunan medan Sepat di luar pantai Terengganu.

Penghantaran itu amat penting bagi Asiaflex Products kerana ia menandakan permulaan yang berjaya bagi kilang pembuatan itu berikutan perasmiannya pada November,2010.

Ia juga penting kerana paip boleh lentur itu akan digunakan buat kali pertamanya dalam sebuah projek dasar laut di Malaysia.

"Sejak ia memulakan operasi pada Julai 2010, Asiaflex Products telah menerima pesanan dari China, India, Indonesia, Malaysia, Brunei dan Vietnam," kata Naib Presiden Kanannya di Asia Pasifik dan Pengarah Urusan di Malaysia, Edgar Pushparatnam, Khamis dalam ucapannya pada upacara penyerahan kepada Petrofac.

Beliau juga menegaskan bahawa meskipun dalam tempoh yang mencabar namun Asiaflex Products berjaya menyiapkannya mengikut jadual.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kedua Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, berkata : "Malaysia telah mencapai kemajuan besar ke arah menjadi hab serantau bagi pembuatan jentera dan kelengkapan (M&E) dan perkhidmatan bagi industri minyak dan gas.

"Dengan kehadiran peserta-peserta utama seperti Technip, yang terdedah kepada pelbagai teknologi bertaraf dunia, mempunyai teknologi syarikat yang canggih, sektor M&E minyak dan gas Malaysia telah meraih manfaat dari segi kemajuan teknologi, pembangunan kemahiran dan keperluan penyumberan luar," katanya.

Beliau juga berkata pelaburan Asiaflex Product berjumlah lebih RM600 juta itu mencerminkan keyakinan terhadap asas-asas kukuh ekonomi Malaysia yang pelbagai.

"Kemudahan pengeluaran ini bukan sahaja menawarkan peluang perniagaan berpotensi kepada industri-industri sokongan. Ia juga mewujudkan pekerjaan, khususnya dalam kategori teknikal dan kemahiran.

"Ini pastinya akan menyumbang kepada cita-cita Malaysia untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi," tegasnya.

Asiaflex Products adalah satu-satunya kemudahan pembuatan paip boleh lentur di Asia Pasifik dan merupakan kemudahan ketiga bagi Technip, selepas kilangnya yang sedia ada di Le Trait, Perancis dan Vitoria, Brazil.

Kilang itu adalah sebahagian daripada program perbelanjaan modal Kumpulan itu untuk memperkukuh kedudukan penerajunya dalam pasaran dasar laut seluruh dunia.

Terengganu Beri Fokus Perkasa Bahasa Melayu - Ahmad Said

Gimik pelancaran Bulan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada usaha memperkasakan Bahasa Melayu bagi menjadikannya bahasa ilmu dan asas perpaduan.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, menggesa rakyat daripada pelbagai kaum supaya memperbaharui iltizam dan azam, memantapkan kualiti sahsiah dan mengenali jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia.

“Tema Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini iaitu 1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara, bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang dicita-citakan.

“Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak, gagasan 1Malaysia adalah berasaskan prinsip-prinsip yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Sebagai bangsa Malaysia, kita wajib mempertahankan dan menghormati bahasa kebangsaan kita sebagai lambang jati diri dan bahasa perpaduan negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu, semalam.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Datuk Haji Mohamed Awang Tera dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Termuzi Abd Aziz.

Menteri Besar berkata, penghayatan Bahasa Melayu perlu disegarkan semula dalam semua sektor dan langkah itu tidak akan tercapai tanpa penglibatan dan komitmen padu semua pihak, sama ada di sektor awam, swasta mahu pun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau meminta semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan dan majlis rasmi sepanjang masa, khususnya sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan.

Ahmad Said turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan memastikan paparan dan peragaan seperti iklan, papan tanda, nama jalan dan lain-lain mengutamakan penggunaan bahasa Melayu serta persekitaran memaparkan latar dan panorama yang bercitrakan Malaysia.

“Perkara ini selaras dengan Undang-Undang Kecil dan Iklan dan Garis Panduan Iklan Premis Perniagaan seperti dalam Pekeliling Jabatan Kerajaan Tempatan bertarikh 11 Januari 2005,” ujarnya.

Teganukita

E-kasih Bantu 7,722 Penduduk Terengganu

Seramai 7,722 penduduk termasuk 6,924 ibu tunggal dan selebihnya bapa tunggal di Terengganu dipantau Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) melalui program e-Kasih yang diwujudkan dua tahun lepas.

Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa berkata, berkata beberapa proses tertentu dilaksanakan sebelum seseorang itu layak disenarai di bawah e-Kasih.

Antaranya termasuk seseorang individu itu perlu mengisi borang secara manual atau `on line’.

“Melalui borang itu, beberapa pihak berkaitan akan tampil membuat bancian bagi mengetahui sama ada pemohon benar-benar layak atau sebaliknya,” katanya

Katanya, YPK mewujudkan pelbagai program, bantuan dan sokongan bagi meringankan beban golongan itu, terutama ibu tunggal agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin.

“Langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan, khususnya mereka yang mempunyai anak masih bersekolah mampu menjalani kehidupan lebih berkualiti dan tidak tercicir daripada pelajaran.

“Di samping bantuan berbentuk kewangan, barangan, kursus kemahiran juga ditawarkan bagi membantu golongan berkenaan membuka perniagaan kecil-kecilan serta kemahiran menjahit pakaian dan sebagainya,” katanya.

Teganukita

Samun Rokok Di Kawasan Masjid Pulau Panjang

Anggota polis memeriksa salah sebuah van rokok yang disamun lapan lelaki di kawasan masjid di Kampung Pulau Panjang, Besut kelmarin.

Sekumpulan lapan penjenayah menyamun dua pemandu van sebuah syarikat rokok dengan melarikan beratus karton rokok, wang dan jam tangan bernilai hampir RM82,000 kelmarin.

Kejadian pukul 1.50 petang di Kampung Pulau Panjang, itu berlaku ketika Azmi Mat Ali, 43, dan Othman Mamat, 44, masing-masing memandu sebuah van, sedang berhenti di kawasan masjid tersebut untuk melepaskan lelah dan menunaikan solat Zuhur.

Suspek menghentak kepala salah seorang mangsa ke stereng sebelum mengikat tangan dan menutup matanya untuk melarikan kesemua barang berharga itu.

Difahamkan, ketika itu, Othman membawa 233 karton rokok bernilai RM23,715 manakala Azmi pula membawa 250 karton bernilai RM27,810. Selain rokok, wang RM17,000 milik syarikat dan jam tangan jenama Rado milik Othman bernilai RM5,000 juga dilarikan.

Mengimbau semula kejadian itu, Othman memberitahu, sebaik tiba, dia didatangi seorang lelaki yang terus menghentak kepalanya ke stereng.

Ceritanya, suspek kemudian telah memegang kepalanya dan mengarahkannya menyerahkan kesemua wang yang dibawa.

“Tidak lama kemudian, tujuh lagi rakannya yang menaiki dua buah kereta tiba lalu mengikat tangan dan menutup mata saya. Azmi yang berada tidak jauh juga menerima nasib serupa,” katanya di sini semalam

Tiga Rakan Sekampung Mengaku Rogol Pelajar

Tiga rakan sekampung mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, kelmarin merogol dan melakukan seks di luar tabii terhadap seorang pelajar tingkatan satu yang baru dikenal melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sebuah rumah di Kampung Alor Mak Bah, Dungun, 7 Oktober lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, iaitu Mohd Farid Andy Alaudin, 19, Mohd Helmi Ali, 19, dan Muhamad Azizie Azhar, 20, dari Kampung Alor Mak Bah, Dungun, mengaku bersalah ke atas pertuduhan masing-masing yang dibacakan secara berasingan.

Tertuduh, Mohd Farid didakwa merogol mangsa, 13, sebanyak dua kali iaitu pada 12.30 malam di sebuah rumah kosong di Kampung Alor Mak Bah, Dungun dan di tandas sebuah rumah di Rantau Abang, Dungun pada 2 pagi, pada 7 Oktober lalu.

Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi tertuduh, Mohd Helmi, dia didakwa merogol mangsa di rumah kosong di Kampung Alor Mak Bah, Dungun jam 12.35 malam hingga 12.45 malam, juga pada hari sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Manakala, tertuduh, Muhamad Azizie pula, dia didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa di rumah dan hari sama kira-kira jam 4.35 pagi.

Dia didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.

SMK Lembah Bidong Juara Pertandingan Memasak Kebangsaan

Para peserta mengambil bahan-bahan yang diperlukan semasa Pertandingan Memasak Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2011 di Kuala Terengganu, kelmarin.

Sukar memilih yang terbaik kerana kesemua 16 buah sekolah yang menyertai pertandingan memasak peringkat kebangsaan memenuhi syarat yang ditetapkan pihak penganjur iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Hanya sedikit kecuaian yang memisahkan antara mereka iaitu terlebih memasukkan garam ke dalam masakan,” demikian komen salah seorang juri pertandingan Hajah Muni Abdul Kadir.

Dalam pertandingan berkenaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Setiu muncul juara Pertandingan Memasak Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang berakhir semalam di Primula Beach Resort.

SMK Lembah Bidong yang diwakili Nur Hazwani Mohd Rashid dan Nur Aisyah Nadzirah Ahmad Ramzan serta peserta tunggal lelaki Atraz Omar telah menewaskan 15 sekolah lain dari seluruh negara.

Hidangan nasi harmoni, siakap kukus dua jiwa, kerabu mangga cinta abadi dan puding milo yang disediakan oleh tiga sahabat karib itu menepati tema ‘masakan pengantin’ pihak penganjur.

“Saya tidak sangka masakan kami mendapat penghargaan sekaligus memenangi tempat pertama,” kata Atraz seorang pemain ragbi di sekolahnya serta gemar memasak.

Pertandingan memasak anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan acara tahunan dan tahun ini Terengganu menjadi tuan rumah bagi edisi ke 14.

SMK Datuk Abdul Samad, Negeri Sembilan memenangi tempat kedua manakala SMK Dato’ Onn, Johor tempat ketiga.

Johan pertandingan menerima wang tunai RM3,000 termasuk untuk pelajar (RM2,000) dan tabung ERT sekolah (RM1,000) beserta hamper, sijil penghargaan dan trofi.

Temasya Pantai Timur Bermula Hari Ini

Pergendangan Pantai Timur yang ditampilkan pada Temasya Pantai Timur tahun lalu.

Penduduk di Pantai Timur semenanjung Malaysia memang kaya dengan pelbagai tradisi dan adat budaya. Ada antaranya yang masih diamalkan hingga ke hari ini dan ada pula yang semakin dilupakan terutama oleh generasi muda.

Temasya gendang, aktiviti kebudayaan dan dikir barat merupakan antara seni dan budaya yang perlu terus dipertahankan.

Bagi memastikan semua terus dipertahankan dan dihayati, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang menganjurkan Temasya Pantai Timur mulai hari ini hingga 23 Oktober yang menghimpunkan pelbagai aktiviti budaya dan adat masyarakat.

Temasya selama tiga hari yang berlangsung di Dataran Pekan, Pahang itu melibatkan penyertaan pelbagai kaum di negeri-negeri Pantai Timur.

Ia turut disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bersama Kementerian Pelancongan.

Kira 15,000 orang dijangka hadir pada temasya akan akan turut diserikan dengan dengan penampilan istimewa watak Upin dan Ipin, Saleem, Roy Kapila dan Anis Salwa.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang, Nur Ayzlinda Abu Bakar temasya itu bermatlamat menyemarakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian masyarakat di negeri-negeri Pantai Timur Malaysia

Ia juga katanya untuk membina produk pelancongan berteraskan seni budaya dan warisan.

Selain itu, temasya tersebut juga katanya diharap dapat menyerlahkan seni budaya pelbagai kaum ke arah pembentukan gagasan 1Malaysia.

"Ini juga merupakan usaha melahirkan bakat-bakat baru dalam bidang seni budaya dan membangunkan industri kreatif selain meningkatkan pembudayaan bahasa melalui elemen seni dan budaya," katanya.

Katanya, antara program yang akan diadakan ialah pergendangan Pantai Timur, perarakan budaya Pantai Timur bersama generasi muda, persembahan kesenian' dikir barat' pameran dan pertandingan mewarna, memasak dan bercerita.

Yang paling penting katanya, temasya itu bertujuan untuk mengangkat dan menyemarakkan kesenian dan kebudayaan masyarakat Pahangm Terengganu dan Kelantang.

"Ia bagi menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara sebagai mercu tanda serta ikon seni budaya Malaysia," katanya.

Jelasnya, hari ini juga pihaknya menganjurkan Senam Seni 1Malaysia melibatkan kira-kira 1,000 peserta yang akan diadakan di Padang Majlis Daerah Pekan.

Utusan Malaysia

MBKT Jemput Orang Ramai Sertai Program Pembersihan

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menjemput orang ramai terutama peniaga dan penduduk setempat supaya hadir menyertai program Pembersihan Medan Selera Tanjung, Kuala Terengganu dan persekitarannya pagi ini, (21 Oktober 2011).

Jabatan Korporat, Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT, Mohd Huraizil Nizam Ibrahim, berkata program seumpama itu wajar mendapat kerjasama semua pihak berikutan lokasi program adalah kawasan yang sering dikunjungi orang awam.

“Kerjasama amat diperlukan kerana bukan sahaja mampu mengekalkan kebersihan malah dapat mengekalkan padangan positif dikalangan pelancong tentang keindahan Terengganu,” katanya.

DBP - Kedudukan Bahasa Melayu Belum Boleh Dibangga

Penarafan dan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sistem berkerajaan belum berada pada tahap yang boleh dibanggakan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz mengakui, ia masih jauh ke belakang jika dibandingkan dengan kegemilangannya pada zaman silam di era kerajaan Melayu Melaka.

''Sehingga kini penarafan dan pemerkasaan bahasa kebangsaan masih belum mantap dan meluas dalam erti kata sebenar," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, Pengarah DBP Wilayah Timur, Azmi Ibrahim dan pakar bahasa, Dr. S. Nathesan.

Beliau merujuk kedudukan bahasa rasmi itu selepas kemerdekaan yang diterjemahkan dalam sistem persekolahan, pentadbiran, bahasa komunikasi sosial, bahasa perpaduan, bahasa perniagaan, bahasa ilmu dan budaya tinggi.

Termuzi berkata, pada zaman kerajaan Melayu Melaka, bahasa Melayu mencerminkan budaya tinggi, bukan sahaja sebagai 'lingua franca' malah dalam semua urusan termasuk bahasa diplomatik dan undang-undang.

Katanya, DBP yang diamanahkan untuk menyebarluaskan bahasa Melayu akan terus melaksanakan program bagi memartabat, memantap, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa bahasa itu.

Sementara itu, Nathesan berkata, tidak ada kaum yang boleh menuntut pemilikan mutlak terhadap bangsa kebangsaan kerana ia milik bersama seluruh rakyat.

Beliau menegaskan, identiti rakyat negara yang berbilang bangsa disatukan melalui bahasa kebangsaan seperti rakyat Thailand, Jerman, Rusia dan Denmark dikenali di dunia kerana bahasa kebangsaan mereka.

''Di negara Eropah, Australia atau Amerika Syarikat, penduduknya berbilang bangsa namun tidak wujud istilah orang Inggeris Australia atau orang Cina Amerika Syarikat. Mereka dirujuk sebagai rakyat.

''Kita tercabar untuk mewujudkan situasi seumpama ini tetapi ia bukanlah satu utopia dan boleh menjadi kenyataan jika kita semua membulatkan tekad untuk berusaha mencapai hasrat murni itu," ujarnya.

Lihat aAnak Bulan Zulhijah 27 Oktober Tentukan Aidiladha

Petang 27 Oktober bersamaan 29 Zulkaedah ditetapkan bagi melihat anak bulan Zulhijah untuk menentukan Aidiladha.

Perkara itu dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam, Majlis Raja-Raja juga mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidiladha atau Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Sebanyak 30 lokasi ditetapkan bagi melihat anak bulan iaitu di Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara di Melaka; Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; Bukit Melawati dan Pulau Angsa, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, dan Sabak Bernam di Selangor.

Lokasi lain ialah Pantai Pasir Panjang, Daerah Manjong di Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Kemuning, Kemaman, Pulau Perhentian, Besut, dan Balai Cerap KUSZA, Setiu di Terengganu.

Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai, Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu di Kelantan; Tanjong Lubang, Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak serta Balai Cerap Al-Biruni, Putatan di Sabah.

Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan; Menara Kuala Lumpur di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Wilayah Persekutuan Putrajaya; dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di Perlis.

Pada malam itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad akan mengisytiharkan tarikh Hari Raya Qurban menerusi radio dan televisyen.

Thursday, October 20, 2011

Letaklah Apa Manifesto Pun, Rakyat Terengganu Sudah Serik Dengan Pas

Pemimpin Pas Terengganu lancar manifesto Sabtu lalu.

Manifesto Pas Terengganu yang bertemakan ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’ hanyalah manifesto pancing undi dalam usaha parti itu untuk mengaburi mata rakyat yang telah melalui zaman gelap ketika negeri itu diperintah Pas pada satu masa dahulu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Yahya Khatib berkata rakyat negeri tidak akan lupa bagaimana pentadbiran Pas di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada ketika itu hanya bercakap dan berceramah sepanjang masa dan bukannya melaksanakan apa yang termaktub di dalam manifesto yang dijanjikan.

Justeru katanya manifesto yang dikeluarkan itu tidak lebih hanya sekadar untuk mengulangi skrip lama dan mereka perlu ingat rakyat Terengganu sudah matang dan tidak akan terpengaruh dengan segala janji yang hanya manis di bibir sahaja.

“Penghapusan cukai kediaman dan sebagainya adalah gula-gula untuk memastikan pengaruh mereka terus berkembang namun pada masa yang sama mereka tidak sedar tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan pada satu ketika dahulu disia-siakan.

“Jika mereka melaksanakan amanah dan melunaskan segala janji, takkankan rakyat khususnya pengundi menukar kerajaan negeri dalam sekelip mata sahaja dan mereka hanya memerintah sepenggal sahaja,” katanya.

Pas Terengganu Sabtu lalu melancarkan manifesto Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) dengan tema ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’.

Lima perkara dari kandungan manifesto yang dilancarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu ialah melaksanakan pengecualian cukai kediaman, Menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN, Cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami, Menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh 3 tahun, dan Merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas rakyat miski.

Yahya yang juga Adun Pengkalan Berangan seterusnya menegaskan Pas perlu mencermin diri terlebih dahulu dan bukannya secara semberono mengumumkan manifesto berkenaan.
“Manifesto mereka seolah-olah kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) hari ini tidak peka dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyat sedangkan kita telah melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat Terengganu.

“Usah cakap banyaklah….Tengok dan selidik dulu apa jasa dan “track record” ketika rakyat memberi amanah sebelum ini. Seperti yang saya katakan di atas, jika mereka benar-benar bertanggungjawab, takkanlah rakyat berpaling tadah dengan memberikan madnat kembali kepada BN.

“Kita bukannya nak bercakap sombong atau bongkak sebaliknya bercakap atas dasar hakikat yang sebenarnya. Kita percaya rakyat negeri ini lebih selesa dengan apa yang kita telah laksanakan dan segala perancangan yang telah diatur dan sama sekali tidak akan mengulangi kesilapan sebelum ini,” katanya.

Teganukita pula melaporkan, rakyat Terengganu bakal 'menderita' sekali lagi jika mereka memilih PAS sebagai parti pemerintah negeri tersebut.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, ini kerana manifesto yang dilancarkan parti itu baru-baru ini hanya bersifat populis, yang tidak mengambil kira kesan selepas pelaksanaannya.

"Terbukti apa yang dijanjikan parti itu tidak dapat dilaksanakan seperti janji kerajaan PAS di Kedah menurunkan cukai tanah, tetapi sekarang mereka sebenarnya merana akibat tindakan itu kerana cukai merupakan pendapatan kepada kerajaan negeri.

"Bagi menutup kepincangan itu, mereka mengenakan cukai yang tinggi pula kepada UUM.

"Maka, sebab itu kita menjangkakan mereka tidak melakukan kajian secara terperinci ketika menyenaraikan janji-janji tersebut kerana ia sekadar memancing undi," katanya.

PAS Terengganu baru-baru ini mengumumkan sebahagian manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 yang antara lain menjanjikan kakitangan awam wanita kematian suami bakal diberi cuti bergaji selama 30 hari sebagai tempoh berkabung.

Langkah pengumuman secara berperingkat itu kononnya bagi memastikan manifesto yang dibuat tidak ditiru oleh Barisan Nasional (BN).

Pensyarah Kanan Bahagian Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan pula berkata, penghapusan cukai pintu dan penyelesaian isu tanah merupakan pengulangan janji oleh PAS selepas mereka diberi mandat memerintah Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada tahun 1999.

Katanya, PAS bagaimanapun menghadapi masalah kewangan kerana mereka hanya mengharapkan wang royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan.

"Sekiranya janji yang sama dibuat oleh PAS, saya mengandaikan mereka akan menghadapi masalah kewangan yang sama.

"Penghapusan cukai bukan tindakan bijak kerana ia merupakan sumber utama kerajaan negeri. Banyak lagi cara lain yang boleh meringankan beban rakyat," katanya

umno-online, Teganukita

Kelebihan Dua Gol Bukan Modal Besar Untuk Terengganu - Irfan Bakti

Kallang T cuba melepasi dua pemain Selangor pada perlawanan separuh akhir pertama di Shah Alam malam kelmarin.

Berpandukan jumlah jaringan dan bermain pula di tempat lawan, Selangor sudah boleh melupakan Misi 33 serta hasrat beraksi di pentas final Piala Malaysia, 29 Oktober ini selepas tewas 0-2 kepada Terengganu pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Namun jurulatih Selangor, P Maniam tetap memberi contoh positif buat anak buahnya menjelang aksi Sabtu ini, apabila dia tetap melahirkan rasa optimis Selangor masih berpeluang memadam kelebihan dua gol diperoleh Terengganu menerusi Abdul Manaf Mamat, kelmarin.

“Bukan mustahil untuk Selangor menewaskan Terengganu pada aksi kedua nanti. Jika semua pemain dapat memberi aksi terbaik, saya pasti peluang ke final masih ada, “ katanya.

Bagi P Maniam, Amri Yahyah mungkin dapat diturunkan Sabtu ini dan kehadirannya akan memberi keyakinan yang lebih kepada pemain lain untuk mengatasi Terengganu.

Namun berdasarkan rekod buruk Selangor yang sudah sembilan tahun gagal mencapai kemenangan ke atas Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, gelanggang yang perlu dihadapi mereka sekali lagi untuk aksi separuh akhir kedua, Sabtu ini Misi 333 menjadi tanda tanya.

Kali terakhir Selangor melakukannya ialah pada 19 Januari 2002, ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Wan Rohaimi Ismail, Selangor bangkit mencatat kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi Piala Sumbangsih hasil dua jaringan Azman Adnan.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti pula memberikan peringatan awal-awal lagi : “Jangan terlalu selesa dengan situasi sekarang.”

Meskipun sudah memperoleh bekalan selesa selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2011, malam kelmarin, apa sahaja boleh berlaku.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpesta dan kami perlu mengelakkan diri daripada bersikap terlalu angkuh serta sombong. Kami perlu cekalkan hati kerana perjuangan kami masih belum selesai.

“Selangor akan hadir di Kuala Terengganu tanpa sebarang tekanan kerana mereka tahu kami memiliki kelebihan besar. Tetapi, situasi inilah yang membimbangkan saya kerana takut pemain akan leka sehingga membahayakan kedudukan pasukan,” jelasnya.

Irfan mengakui dua gol yang diperoleh di Stadium Shah Alam itu bukanlah modal besar sehingga membolehkan para pemainnya bermain sambil lewa pada aksi kedua di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

“Memang kami menang 2-0, tetapi permainan belum lagi berakhir. Masih ada 90 minit lagi yang perlu kami lalui dan dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku," katanya semalam.

"Saya tetap menghormati Selangor walaupun kami memenangi perlawanan malam ini. Selangor sudah pasti akan berusaha untuk bangkit pada perlawanan kedua nanti dengan mendapatkan gol awal.

"Walaupun kami mendahului pada separuh akhir pertama, kami akan meneruskan corak permainan menyerang seperti mana yang kami buktikan ketika kami menyingkirkan Kelantan.

"Kami menang 3-1 pada perlawanan suku akhir pertama tetapi kami tetap bermain secara menyerang pada suku akhir kedua di Kota Bharu.

"Perlawanan separuh akhir masih ada 90 minit, kami tetap mahu cuba mendapatkan kemenangan di tempat sendiri, " katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Abdul Manaf Mamat, yang baru kematian bapanya tidak sampai seminggu, muncul wira Peteh apabila menyumbat dua gol pada minit pertama dan ke-32 sekali gus meletakkan Terengganu ke pentas akhir buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.

Mengulas perlawanan kelmarin, Irfan gembira kerana pemain beraksi seperti dirancang dengan gol awal yang tercipta pada minit pertama memberikan impak kepada persembahan pasukannya.

"Saya memang mahukan pemain cukup bersedia untuk hadapi perlawanan ini dan mereka membuktikannya pada malam ini dengan bermain mengikut apa yang saya rancang.

"Asaari Samsudin dan Manaf Mamat antara yang cemerlang pada malam ini kerana banyak mencipta gerakan kepada rakan sepasukan, selain memberi bantuan dari bahagian bawah," katanya.

Justeru, kata pengendali kelahiran Kelantan itu, komitmen amat ditagih daripada kesemua pemain dalam misi mereka memburu tempat ke final Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

Pada perlawanan di Stadium Shah Alam kelmarin, kesebelasan utama Terengganu sekali lagi menampilkan kelas tersendiri apabila mudah menjerat Selangor dengan dua gol menerusi sentuhan Abdul Manaf Mamat.

Kejayaan itu sekali gus mengulangi skrip yang sama di Kota Bharu minggu lalu apabila anak-anak buah Irfan mampu menyerap tekanan ribuan penyokong Gergasi Merah Kuning yang membanjiri stadium.

Jelasnya, kehadiran Reshafiq Alwi dan Ahmad Nordin di bahagian tengah juga perlu diberikan pujian termasuk jentera tengah yang dikemudi Marzuki Yusof.

“Saya pilih Manaf sebagai pemain terbaik pada perlawanan semalam dan memberi kredit kepada Reshafiq dan Ahmad Nordin atas kesungguhan mereka membantu jentera tengah dan pertahanan.

“Inilah barisan terbaik saya dan pemain telah mempamerkan satu mutu permainan luar biasa sejak kebelakangan ini,” katanya.

Berita Harian, Kosmo!, Harian Metro

Manis FM Jadi Radio Rasmi Kerajaan Terengganu

Radio Manis FM menjadi radio rasmi kerajaan negeri apabila proses mengambilalih stesen berkenaan oleh Lembaga Tabung Amanah Terengganu sejak tiga bulan lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, berkata sebagai langkah susulan kerajaan sedang mengubahsuai bangunan brhampiran Wisma Darul Iman untuk menempatkan stesen berkenaan menjalankan operasi.

“Kita jangka awal tahun depan stesen berkenaan boleh memulakan operasi di sini tetapi setakat ini radio berkenaan masih beroperasi di tempat asalnya iaitu Kelantan.,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Beliau berkata, kawasan liputan merangkumi negeri Kelantan, Pahang, Terengganu, Selatan Thailand dan boleh juga diikuti pendengar di kawasan tengah dan selatan tanah air.

Selain itu, katanya, stesen radio merupakan satu pelaburan yang strategik dan dapat menyalurkan maklumat kerajaan secara lebih luas dan menyeluruh.

Katanya, tidak banyak kerajaan negeri yang memiliki stesen radio sendiri dan kita mencuba kepada sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan kepada kerajaan negeri dan rakyat.

Mengenai pengambilan kakitangan baru bagi melengkapkan stesen berkenaan, Ahmad Said berkata kajian teperinci mengenai keupayaan tenaga yang ada dan akan diisi jika perlu berbuat demikian sedang dijalankan.

Teganukita

Hai-O Memang Berbisa, Misi Mustahil T-Team

Tandukan terbang Hairuddin mampu membolosi gawang Terengganu yang menyaksikan beliau menjaringkan dua gol malam kelmarin. Gambar Harith Fadzillah

Ramai bercakap mengenai Manaf Mamat yang mencipta dua gol untuk pasukan Terengganu di Shah Alam.

Namun malam kelmarin, di Kuala Terengganu, satu lagi perlawanan seprauh akhir Piala Malaysia tidak kurang hebatnya dengan kelibat Hai-O atau Hairuddin Omar.

Tonggak Negeri Sembilan itu kini dikatakan sudah mula ghairah mahu beraksi dalam final Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut selepas menyumbat dua gol, malam kelmarin.

Pada 2009 dia mewakili Negeri Sembilan manakala pada 2010 mewakili Kelantan dengan memenangi pingat kejuaraan pada kedua-dua edisi berkenaan.

Dia yang juga dikenali sebagai Hai-O turut menjaringkan gol dalam dua pentas final berkenaan dan andai Negeri Sembilan ditakdirkan layak dia mahu menyumbat gol di Stadium Shah Alam pada 29 Oktober ini.

“Secara peribadi memang saya memasang impian besar beraksi di final Piala Malaysia kali ketiga berturut-turut. Saya harap mampu mampu merealisasikan cita-cita itu kali ini, katanya yang menyumbang dua gol membantu skuad Rusa mengatasi T-Team 4-2 dalam saingan separuh akhir pertama di Kuala Terengganu.

“Sekarang ini saya tidak mahu terlalu memikirkan untuk ke final tapi memberi fokus 100 peratus untuk perlawanan Sabtu ini di tempat sendiri,” katanya.

Berpandu kepada jumlah jaringan perlawanan separuh akhir pertama, skuad Hoben Jang Hoben mungkin tidak berdepan sebarang masalah mengatasi kelab dari Pantai Timur itu dan mereka kini hampir pasti layak ke final buat kali ketiga berturut-turut.

Bagi jurulatih Terengganu, Yunus Alif dia tidak terkejut dengan kemampuan Hairuddin yang mudah merobek gawang pasukannya kerana menyedari pengalaman yang dimiliki pemain kelahiran Terengganu ketika bersama T-Team dua tahun lalu.

Malah katanya, dia sendiri telah memberi peringatan kepada anak-anak buahnya agar sentiasa mengawasi pergerakan penyerang kental itu sepanjang 90 minit permainan.

“Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan kami mudah dibolosi empat gol walaupun beraksi di gelanggang sendiri. Salah satunya adalah perasaan gentar yang ada pada pemain apabila beraksi di peringkat genting seperti ini.

“Namun, faktor utama pasti kepada Hairuddin kerana dia merupakan bekas pemain T-Team dan tahu kemampuan pasukan ini.

Dalam masa sama, pemain saya pula terutamanya penjaga gol begitu gugup apabila melihat Hairuddin memegang bola.

“Sebab itulah Hairuddin mudah menjaringkan dua gol menerusi tandukan kerana tiada pemain yang mengawalnya,” jelas Yunus.

Jurulatih T-Team itu mengakui tugas sukar terpaksa dilalui anak-anak buahnya di Paroi, Sabtu ini dalam misi menyekat kelebihan besar tuan rumah yang berjaya meledak empat gol pada aksi kelmarin.

Katanya, pemain T-Team tiada jalan lain untuk mara ke final Piala Malaysia musim ini selain bangkit dengan satu corak permainan menyerang habis-habisan.

"Laluan kami begitu sukar dan sejak dari awal lagi saya sudah katakan Negeri Sembilan bukanlah pasukan yang mudah ditewaskan,” katanya.

Pada aksi malam kelmarin, pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Shahurain Abu Samah pada minit kelima sebelum Indra Putra Mahyuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-11.

Namun, pengalaman luas Hairuddin membolehkannya meletakkan Negeri Sembilan kembali di hadapan minit ke-25, sebelum tuan rumah sekali lagi menyamankan kedudukan hasil jaringan Nor Farhan Mohammad.

Detik kemusnahan T-Team bagaimanapun hadir pada minit ke-42 apabila Hairuddin meledak gol peribadi keduanya, diikuti jaringan keempat oleh S. Kunalan pada minit ke-50.

Sumber : Kosmo!, Utusan, Berita Harian

Tujuh Pelumba TSG Bawa Cabaran Di Tour Of Hainam

Pasukan lumba basikal profesional Terengganu - Terengganu Cycling Team (TSG) menyenaraikan seramai tujuh pelumba untuk menyertai kejohanan Tour Of Hainam, China bermula hari ini.

Pengurus pasukan Ahmad Kamarul Idrus berkata mereka terdiri daripada empat pelumba tempatan, dua pelumba Korea dan seorang pelumba Jepun, yang akan membawa cabaran di kejohanan itu.

Beliau berkata mereka terdiri Anuar Manan, Haris Salleh, Amirul Fakharuddin, Mohd Shahrul Mat Amin (pelumba tempatan), Cha Jang Jae, Kim Do Hyoung (Korea) dan Motoi Nara (Jepun).

"Pasukan itu akan diketuai oleh pelumba sensasi Anuar Manan," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Kamarul berkata kira-kira 30 pasukan dari Eropah dan Asia akan menyertai kejohanan selama sembilan hari itu dan sasaran TSG cuba dapat jersi pecut melalui Anuar selain memenangi acara-acara yang lain.

Beliau berkata ini merupakan kejohanan profesional yang ke-16 disertai sejak TSG ditubuhkan oleh kerajaan negeri Terengganu tahun ini.

Selepas ini, katanya TSG akan menyertai satu lagi kejohanan sebelum tirai tahun 2011 dilabuhkan iaitu Tour Okinawa Jepun yang akan bermula dari 12 hingga 13 Nov.

Katanya untuk kejohanan itu TSG telah menyenaraikan lima pelumba untuk membawa cabaran iaitu Yusrizal Usop, Amirul Fakaruddin, Mohd Sobri Abdullah, Motoi Nara dan Shinichi Fukushima.

Ahmad Kamarul berkata antara kejohanan yang sudah disertai TSG ialah Tour Brunei, Jelajah Jawa Timur, Indonesia dan Le Tour de Langkawi.

Beliau berkata sebagai sebuah pasukan baru dalam arena lumba basikal antarabangsa, setiap kejohanan yang disertai TSG mencapai kejayaan yang amat memberangsangkan.

Terengganu Sedia Bekal Air Bersih Kepada Kelantan

Kerajaan Terengganu sedia menimbang permohonan Kerajaan Kelantan untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi keperluan rakyat negeri itu, Kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya, kerajaan negeri tiada masalah untuk menyalurkan keperluan sumber air berkenaan kerana kedua-dua negeri adalah berjiran.

Menurutnya, beliau menyerahkan perkara itu kepada pegawai terbabit dari Syarikat Air Terangganu (Satu) dan Syarikat Air Kelantan untuk berunding bagi mencapai kata sepakat sebelum ia diluluskan kerajaan.

Beliau berkata, rundingan sedang dijalankan oleh pegawai terbabit untuk meentukan kaedah terbaik bagi menyalurkan bekalan air termasuk caj yang akan dikenakan kepada syarikat air dari Kelantan.

“Jika persetujuan dicapai penduduk yang tinggal di Jajahan Pasir Puteh akan mendapat kemudahan bekalan air yang akan disalurkan dari loji air utama di Besut,” katanya selepas majlis Penyerahan e-book bagi Zon Kuala Besut, kelmarin.

Menteri Besar, berkata Terengganu tidak menghadapi masalah untuk menyalurkan bekalan air ke negeri itu melalui Besut kerana negeri ini mempunyaimempu stok bekalan air yang lebih.

Malah,katanya, caj penggunaan air kepada penduduk negeri ini juga paling rendah dan paling membanggakan ialah Terengganu berupaya menghasilkan bekalan air paling bersih di Malaysia.

Kesulitan penduduk Kelantan mendapatkan bekalan air bersih menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat negeri itu menyebabkan mereka sering membangkitkan isu kemudahan bekalan air yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan Pas.

Teganukita

Suspek Cubaan Bunuh Kontraktor Serah Diri

Seorang pemandu lori yang diburu polis setelah cuba menembak seorang kontraktor di Kampung Cacar, Paka, Dungun Isnin lepas, ditahan setelah menyerah diri petang semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, lelaki berusia 55 tahun berasal dari kampung berkenaan menyerah diri di Balai Polis Paka kira-kira pukul 7 petang semalam.

Tindakan suspek itu dibuat kurang 24 jam selepas wajahnya didedahkan media, selepas dipercayai telah melepaskan tembakan ke arah seorang tukang cat dalam satu kejadian kelmarin akhirnya menyerah diri.

Suspek yang dikenali sebagai Pak Awang itu tampil menyerah diri di Balai Polis Paka pada pukul 7 petang kelmarin selepas gerakan memburunya dilakukan pihak polis.

Jamshah berkata, hasil tangkapan itu, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori telah membawa polis ke sebuah stor berhampiran rumahnya di Kampung Cacar, Paka dekat sini.

“Pemeriksaan lanjut ke dalam stor berkenaan polis menemui sepucuk pistol jenis .38 selain 16 butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru yang diletakkan di dalam dua tin,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam.

Ujar beliau lagi, polis sedang menyiasat mengenai kemungkinan suspek turut terlibat dengan jenayah lain ekoran tindakan suspek memiliki senjata api.

“Kita percaya suspek mendapatkan senjata api ini daripada negara jiran dan motif suspek melepaskan tembakan ke arah seorang tukang cat dalam kejadian berkenaan adalah disebabkan dendam,” katanya lagi.

"Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke rumahnya dan menunjukkan tempat senjata yang diguna semasa kejadian itu, disorok.

"Ekoran itu polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver .38 dan 16 peluru serta satu kelongsong peluru yang disorok dalam dua bekas di sebuah stor berhampiran rumahnya,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, hari ini.

Jamshah mengesahkan, lelaki itu menyerah diri setelah gambarnya disiar dalam akhbar serta televisyen.

Penjawat Awam Diminta Jaga Kesihatan Diri

Penjawat awam di negeri ini diminta menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan pemakanan sihat bagi mengelakkan daripada menghidap pelbagai penyakit serius, termasuk gejala `nyanyuk’, sebelum mencapai umur pesaraan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata mereka perlu berbuat demikian kerana usia persaraan bagi penjawat awam kini dinaikkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Beliau berkata, Belanjawan 2012 yang diumumkan Perdana Menteri pada Oktober lalu menyediakan banyak insentif yang menggembirakan semua lapisan rakyat, termasuk penjawat awam.

Katanya , penjawat awam menerima berita baik kerana selain diberi kenaikan gaji dan bonus, umur persaraan mereka dilanjutkan.

“Sehubungan itu, saya cukup berharap kita bersama-sama menjaga kesihatan diri sepanjang hayat supaya kelihatan cerdas dan ceria ketika bertugas.

“Apabila langkah seumpamanya diamalkan, secara tidak langsung pelbagai penyakit serius, termasuk nyanyuk dapat dielak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil 5S dan Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan bagi Julai hingga September di Wisma Darul Iman, KualaTerengganu, semalam.

Seramai 15 kakitangan WDI menerima anugerah itu, antaranya Puan Azizah Ali dari Pejabat Perbendaharaan Negeri; Haji Muhammad Nor (Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK), Khidmat Pengurusan); Puan Maimunah Che Muda (Unit Audit Dalam) dan Encik Ahmad Asrul Mohd Ghani dari Pejabat SUK (Khidmat Pengurusan Sumber Manusia).

Penerima lain, Cik Esah Abdullah dari Unit Komunikasi Negeri; Y.M Sharifah Rohizan Syed A.Kadir (Pejabat SUK,Khidmat Pengurusan Sumber Manusia); Encik Mejenun @ Mazuki Abdullah (Unit Pengurusan Maklumat Negeri) dan Encik Jusoh Ali (Pejabat SUK Khidmat Pengurusan).

Mazlan berkata kerajaan negeri menyambut baik keseluruhan Bajet 2012 kerana ia mencerminkan inisiatif kerajaan untuk mencapai keseimbangan dalam menguruskan isu berkaitan rakyat.

“Kerajaan jelas peka dan mengambil berat mengenai kebimbangan yang disuarakan rakyat terhadap isu sara hidup dengan menyediakan banyak manfaat kepada semua golongan,” katanya.

Teganukita

Pemberita Sambilan Bernama Rugi RM6,000, Rumah Dipecah Masuk

Seorang pemberita sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, rugi kira-kira RM6,000 apabila kediamannya di Jalan Taman Teratur, Besut, dipecah masuk Rabu.

Nordin Mahadi berkata kejadian disedari isterinya kira-kira 3 petang, selepas pulang dari mengajar di sebuah sekolah berhampiran rumahnya.

"Sebaik isteri, Mashitah Hasan, habis mengajar dan pulang ke rumah, dia melihat pintu utama rumah diumpil dan rumah berselerak digeledah," katanya ketika dihubungi di sini.

Kejadian dipercayai berlaku sebelah pagi dan antara barang yang didapati hilang ialah komputer riba, telefon bimbit dan barang kemas, katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Besut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K\. Manoharan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Demam Denggi Dijangka Meningkat Menjelang Musim Tengkujuh

Kes demam denggi dijangka meningkat menjelang musim tengkujuh tidak lama lagi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata ekoran itu lokaliti pemantauan telah ditambah kepada 59 berbanding 52 lokaliti sebelum ini.

"Jumlah kes denggi tahun ini sehingga pemantauan minggu lepas meningkat sedikit kepada 340 kes daripada 316 kes sepanjang pemantauan pada minggu sebelumnya," kata Dr Hassan kepada pemberita selepas kempen mencegah demam denggi anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Pangsapuri Impian Baiduri di Petaling Jaya.

Beliau berkata antara lokaliti yang dipantau ialah di Flat Pandan Perdana dan Apartmen Taman Bukit Mewah di Selangor dan Bintang Mas Condo serta Correnthian Condo di Kuala Lumpur.

Dr Hassan berkata pihaknya telah menjalankan pelbagai aktiviti mencegah denggi dengan mengedarkan risalah bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya bertindak proaktif dalam menjaga kebersihan kawasan sekitar dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi mencegah demam denggi.

Beliau berkata pihak kementerian juga sentiasa memberi sokongan kepada pihak lain termasuk syarikat swasta dalam menganjurkan program pencegahan demam denggi.

Wednesday, October 19, 2011

Exxonmobil Meterai Perjanjian Kontrak Luar Pesisir Terengganu Bernilai RM236 Juta

ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI), anak syarikat Exxon Mobil Corporation, menandatangani kontrak bernilai RM236 juta dengan Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) bagi menyediakan kemudahan untuk projek pembangunan Telok Gas di luar pesisir Terengganu.

Pengerusi dan Presidennya Hugh W. Thompson berkata MMHE akan membuat dan membina bahagian atas dan jaket platform bagi projek yang dikendalikan ExxonMobil.

"Projek tersebut akan melibatkan pemasangan dua platform satelit gas, Telok A dan B, sambungan kepada hab gas sedia ada Guntong dan pemasangan kemudahan yang dirancang untuk dimulakan pada suku ketiga 2012," katanya semasa berucap pada majlis pemeteraian kontrak di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata pembangunan 14 telaga dirancang dalam projek yang dijangka bermula pada suku pertama 2013.

"Ini akan menyediakan bekalan tambahan bagi keperluan tenaga dan perindustrian Malaysia serta membantu menggalakkan keseluruhan pertumbuhan sektor gas asli," katanya.

Thompson berkata dianggarkan 1,400 pekerja akan terlibat dalam pelbagai aspek pembuatan, pengurusan projek dan perkhidmatan sokongan di lapangan berkenaan dan di tapak serta pejabat utama.

"Kerja-kerja fabrikasi akan mengambil masa kira-kira 18 bulan dan semasa tempoh tersebut, kami menjangka kehadiran sejumlah besar tenaga kerja projek yang akan menyumbang ke arah ekonomi tempatan," kata beliau.

Pada majlis berkenaan, Thompson mewakili EMEPMI manakala MMHE diwakili oleh pengarah urusan dan juga ketua pegawai eksekutifnya Dominique De Soras.

Dalam ucapannya, De Soras berkata projek tersebut terdiri daripada dua bahagian atas dan dua jaket yang menyokong platform.

"Bahagian atasnya yang dikenali sebagai Telok A dan Telok B, merupakan kemudahan tanpa pekerja bahagian atas kepala telaga dengan anggaran berat masing-masing 1,735 tan metrik (MT) dan 1,648 MT.

"Kedua-dua bahagian atas dijangka mengeluarkan 450 juta kaki padu standard (MSCF) gas sehari di lapangan Telok luar pesisir semenanjung Malaysia (Terengganu)," katanya.

Akta Veteran 2011 - PBTM Terengganu, 4 Negeri Lain Belum Nyatakan Sokong

Akta Veteran 2011 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini menerima sokongan padu Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PTM) dari sembilan negeri, yang menyifatkannya sebagai mampu membela masa depan serta kebajikan bekas tentera secara menyeluruh.

Naib Presiden PBTM, Kapten (B) Shahruddin Omar (gambar kanan) berkata ia sekaligus menyangkal kenyataan dan pendirian Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abd Ghani, yang mendakwa kononnnya akta berkenaan akan memansuhkan semua persatuan bekas tentera sedia ada selain mengekang kebebasan.

"Dakwaan itu tidak benar kerana semua persatuan bekas tentera yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) diberi tempoh tiga bulan untuk mendaftar persatuan masing-masing di bawah Majlis Veteran dan boleh berpersatuan seperti biasa bagi mengenengahkan isu atau masalah selain tidak kehilangan kebebasan bersuara," katanya kepada sidang media di Putrajaya hari ini.

Shahruddin berkata, bantahan terburu-buru oleh Presiden PBTM itu juga, seolah-olah mewakili pendirian dan pendapat lebih 400,000 bekas tentera juga adalah salah.

Beliau berkata perkara itu, menimbulkan banyak implikasi kepada persatuan bekas tentera sedangkan mereka memperakui selama ini, kerajaan banyak membantu bekas tentera dan keluarga mereka mengikut peraturan sedia ada.

Akta berkenaan yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen 4 Oktober lepas itu, membolehkan semua persatuan yang menjaga kebajikan bekas tentera disatukan di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).

Shahruddin berkata, penggubalan akta itu satu pengiktirafan tinggi kerajaan terhadap sumbangan dan pengorbanan bekas tentera serta anggota keluarga selain dapat memastikan kebajikan mereka lebih terbela.

"Dengan akta baru tersebut kerajaan dapat menyelaras badan khusus bagi memastikan setiap bekas tentera menerima ganjaran sewajarnya, tidak kira di pelosok mana mereka berada, secara lebih terurus dan teratur," katanya.

Beliau berkata sebelum ini, kebanyakan anggota tentera terutama di Sabah dan Sarawak, sukar dihubungi PBTM bagi menyampaikan maklumat terkini atau insentif baru yang ditawarkan kerajaan akibat kekangan dari segi sumber dan logistik, sekali gus menyebabkan mereka tidak berpeluang menikmatinya.

"Saya percaya kesemua 400,000 bekas tentera akan menyokong akta itu sekiranya mereka mengetahui manfaatnya apabila ia diluluskan kelak, malah percaya lima lagi PBTM akan turut menyokong jika mendapat penjelasan sebenar," katanya.

Shahruddin berkata, lima PBTM mewakili Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Terengganu belum lagi menyatakan pendirian masing-masing.

2,300 Guru di Terengganu Akan Dibekalkan Komputer Riba

Murid tahun empat dari DUN Kuala Besut menerima e-book daripada Menteri Besar.

Beruntung sungguh menjadi rakyat Terengganu, selepas selesai pengagihan e-Book kepada murid tahun empat kerajaan negeri akan meneruskan tanggungjawab memastikan guru yang bertugas di negeri ini mendapat kemudahan laptop percuma.

Seramai 2.300 guru yang mengajar tahun enam di sekolah rendah seluruh negeri ini bakal menerima laptop yang akan diagihkan secara berperingkat mulai minggu depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pengagihan laptop kepada guru terbabit satu lagi usaha kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan dengan menyediakan kemudan teknologi maklumat kepada pendidik.

Katanya, katanya penggunaan IT dikalangan guru juga amat penting supaya mereka dapat menggunakan segala kemudahan teknologi untuk tujuan pembelajaran.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada golongan pendidik dan mereka wajar menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan untuk pembangunan pendidikan.

Ketika ini,katanya, Terengganu mempunyai 23,000 guru yang sedang bertugas di seluruh negeri dan mereka sepatutnya mampu menjadi agen pembangunan pendidikan kerana sentiasa diberi pelbagai kemudahan dan insentif semasa bertugas.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian e-Book kepada 664 murid tahun empat dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, di Sekolah Kebangsaan Seri Nail,Kuala Besut semalam.

Hadir sama pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri YB Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut, ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, ADUN Jabi, Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut,A Rahim Jusoh.

Teganukita

Pameran & Jualan Amal Bantu Kartunis Fatah Ngah

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) akan menganjurkan satu pameran dan jualan amal koleksi karya seni kartunis terkenal tanah air, Fatah Ngah dari 21 hingga 30 Oktober ini.

Fatah dikenali menerusi kartunnya berjudul 'Lagak A. Mahmud' dalam majalah Gila-Gila.

Fatah Ngah atau nama sebenarnya Abdul Fatah bin Ngah cukup sinonim dengan karyanya A. Mahmud dan Lagak A. Mahmud.

Pelukis, kartunis yang berasal dari Dungun, Terengganu ini merupakan sahabat karib Kerengge.

Fatah Ngah dibesarkan dalam keluarga yang meminati seni, anak seorang guru pelawat. Kedua orang adik beliau, Abdul Jalil Ngah merupakan Art Director sementara penggubah lagu terkenal Sekadar Di Pinggiran, A. Manan Ngah.

Fatah pernah menjadi ilustrator komik Medan Pelajar, Bambino dengan penerbitan majalah Gila-Gila.

Pameran dan jualan amal itu akan berlangsung di Laman Wau, Kompleks Kraftangan yang terletak di Jalan Conlay di sini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kraftangan, pameran tersebut akan bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

Jelas kenyataan itu, pameran dan jualan amal ini diadakan bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu kos rawatan dan perubatan Fatah Ngah yang kini sedang sengsara akibat penyakit saraf.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung pameran dan jualan amal ini boleh diperolehi dengan menghubungi Bahagian Komunikasi Korporat, Kraftangan Malaysia di talian 03-21613793 atau 03-21627533.