Mohd. Firdaus Dol memerhatikan ombak yang merobohkan tempat tinggalnya akibat hakisan ketika fenomena ombak besar di Kampung Geliga Baru, Kemaman, kelmarin.
Fenomena air pasang dan ombak besar yang melanda di kebanyakan pantai di negeri ini bukan sahaja memusnahkan kawasan pesisir pantai serta kemudahan jalan raya, malah turut memusnahkan kediaman penduduk.
Antara kawasan yang terlibat ialah di Kampung Geliga Baru di sini yang melibatkan kediaman enam keluarga musnah yang kebanyakannya menetap di kawasan itu lebih 10 tahun.
Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati hampir kesemua tapak rumah yang dilanda ombak besar itu sejak beberapa minggu yang lalu mula hilang dari pandangan akibat ditimbus pasir.
Menurut seorang penghuni, Che Wan Nur Ain Che Wan, 17, kejadian ombak besar yang menghanyutkan rumahnya yang turut diduduki 13 ahli keluarga lain berlaku dengan pantas sehingga tiada apa yang dapat diselamatkan.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam semasa semua ahli keluarga berkumpul untuk menunaikan solat dan membaca surah Yasin.
"Ketika itu, semua ahli keluarga berada di ruang tamu manakala ibu pula berada di dalam bilik sebelum menyedari air laut mula memasuki rumah.
"Pada mulanya ibu menyangka kain sembahyangnya basah disebabkan tempias hujan, namun apabila diamati betul-betul rupanya air ombak masuk melalui celah-celah dinding," katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, menyedari kejadian itu, ibunya terus memaklumkan pada ahli keluarga agar menyelamatkan barang-barang berharga.
Jelasnya, dia hanya sempat menyelamatkan dokumen pengenalan diri dan sedikit pakaian sebelum rumahnya terus dihanyut ombak setinggi enam meter.
"Saya lihat sendiri ombak menghanyutkan rumah dalam sekelip mata seperti tsunami dan tiada apa yang mampu kami selamatkan termasuk pakaian sekolah yang baru dibeli ibu beberapa hari sebelum itu. Namun kami bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri," jelasnya.
Sementara itu seorang pelajar, Mohd. Firdaus Dol, 17, berkata, kejadian yang menimpa rakannya, Che Wan Nur Ain itu menyebabkan keluarganya bersiap sedia untuk menghadapi fenomena ombak berkenaan biarpun ketika itu menyangka rumahnya tidak akan terlibat ekoran berada jauh dari pantai.
Namun, pada 24 Disember lalu rumah yang diduduki keluarga Mohd. Firdaus turut dihanyutkan ombak besar.
"Disebabkan kami telah bersiap sedia kemungkinan rumah akan dihanyutkan air ombak, jadi hampir kebanyakan peralatan dan perabot sempat diselamatkan.
"Pun begitu, saya masih trauma melihat rumah yang kami duduki sejak 10 tahun lalu hilang sekelip mata sahaja," jelasnya.
Utusan Malaysia