Friday, August 16, 2013

Kes Lelaki Belasah Isteri: Wanita Mahu Dakwa Suami


Wanita yang dibelasah suaminya dalam lif di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, Isnin lalu mengakui sudah tawar hati terhadap pasangannya itu.

“Saya sudah tiada perasaan lagi terhadapnya apatah lagi selepas dipukul. Saya dah tawar hati sebab itu saya tidak menangis ketika pukul,” katanya.

Wanita berusia 36 tahun itu mendedahkan selepas video dia dipukul seorang lelaki dalam Youtube, mendapat reaksi pelbagai pihak, semalam.

Mangsa yang bekerja kilang berkata, dia bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas suaminya kerana bertindak keterlaluan hingga menyebabkan dia mengalami kesakitan di kepala, muka dan paha kiri dalam kejadian itu.


Wanita itu berkata, kejadian berlaku di dalam lif di sebuah hospital swasta Bandar Perda, ketika dia dan dua anaknya berusia empat dan lima tahun mahu pulang selepas melawat anak sulungnya berusia sembilan tahun yang dimasukkan ke wad kerana demam panas.

“Kebetulan saya bertemu suami yang melawat anak sulung tetapi kami tidak bertegur sapa. Ketika hendak pulang, suami turut mengikut kami masuk ke dalam lif sambil meminta saya memujuk anak supaya mengikutinya.

“Bagaimanapun, anak perempuan saya kata dia nak ikut ummi dan tidak mahu mengikut ‘daddy’ menyebabkan suami marah,” katanya. ketika ditemui, semalam.

Mangsa yang sudah tinggal berasingan dengan suaminya berusia 36 tahun berkata, suaminya kemudian menampar mukanya beberapa kali, walaupun dua anaknya melihat kejadian itu.

“Saya keluar dari lif sebaik pintu terbuka tetapi suami menendang paha kiri hingga saya terjatuh,” katanya yang membuat laporan polis selepas mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya, dekat pada hari sama.

Suami mangsa sudah berkahwin dengan wanita lain pada 2011 dan bekerja di sebuah agensi kerajaan di Jerantut, Pahang.

Mangsa berkata, dia pernah meminta suaminya menceraikannya tetapi dia dicabar supaya pergi ke pejabat agama.

Adik mangsa, Mohd Yunus Ahmad Ramli, 31, mengakui dia memuatkan video kakaknya dipukul ke dalam Youtube selepas dihantar seorang abangnya dan berharap pihak polis mengambil tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ahmad Said Tidak Tanding MT, Sokong Idris, Ahmad Shabery

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan tidak akan bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti Oktober ini.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri keputusannya adalah wajar untuk memberi ruang kepada calon lain yang berkelayakan.

Saya akan memberi sokongan dan mengalu-alukan hasrat Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bertanding bagi mengekalkan kerusi MT.

Fallanie Pertahan Diri Mengenai Isu Doping, Akui Ambil Ubat Batuk, Demam


Pelumba basikal lebuh raya negara, Ahmad Fallanie Ali akhirnya tampil mempertahankan dirinya mengenai isu doping ketika beraksi pada Jelajah 1 Malaysia (J1M) 2013 Jun lalu.

Meskipun ujian doping ke atasnya didapati positif, Fallanie, 30,  tetap dengan pendiriannya bahawa dia hanya mengambil ubat batuk dan bukan bahan larangan iaitu dadah jenis steroid anabolic seperti yang disahkan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

Bagaimanapun, ujian doping yang dijalankan tidak menunjukkan sebarang kandungan kodein atau dextromethorphan iaitu bahan yang terkandung dalam ubat batuk berkenaan.

Cikgu Zubir Sah Bertanding Ketua UMNO Kuala Terengganu

Tawar diri berikutan kekosongan

Yang Dipertua DUN Terengganu, Mohd Zubir Embong mengesahkan menawarkan diri bertanding Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu dalam pemilihan parti itu, Oktober depan.

Mengesahkan laporan yang disiarkan sebuah laman portal politik pro-Umno mengenai tawaran tersebut kelmarin, beliau mengiyakan dengan jawapan ringkas,

“Insya-ALLAH”, melalui SMS kepada Sinar Harian, semalam.

Penjawat Awam Belasah Isteri Boleh Dikenakan Tindakan Tatatertib - KSN

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hadir pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Ketua Setiausaha Negara bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan di Kampung Sungai Melut di Sepang, semalam.
Lelaki yang jadi buruan polis selepas membelasah isterinya dalam lif di Pulau Pinang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, jam 4.45 petang semalam.

Rakaman video seorang isteri dibelasah suaminya yang tersebar di laman YouTube sejak kelmarin.

Rakaman berdurasi 2 minit 20 saat itu bukan sahaja memaparkan aksi seorang isteri dipukul bertubi-tubi oleh suaminya malah turut diterajang lelaki terbabit di hadapan dua anak mereka di dalam lif.

Polis Percaya Pemilik Restoran Nasi Kukus Ditembak Dari Jarak Jauh

Polis percaya pemilik restoran nasi kukus di Dungun, yang ditemui mati di hadapan kedai makan miliknya semalam, ditembak dari jarak jauh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan berkata setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada anggota keluarga dan pekerja pemilik restoran itu.

"Daripada keterangan yang diambil, tidak ada seorang pun yang melihat atau mendengar tembakan dilepaskan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.

DAP Akan Adakan Pemilihan Semula CEC

DAP akan mengadakan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) bagi mengelakkan pendaftaran parti itu batalkan, kata Pengerusinya Karpal Singh.

Karpal dalam satu kenyataan semalam, berkata perkara itu diputuskan malam Selasa.

CEC bagi penggal 2008-2011 akan bermesyuarat Khamis depan untuk melakukanpersiapan bagi pemilihan semula, katanya.

Kejadian Tembak Mungkin Jejas Pelancongan - Nazri

Kejadian tembak yang banyak berlaku sekarang mungkin menjejaskan sektor pelancongan negara, namun itu bukan alasan untuk memperkenalkan semula Ordinan Darurat (EO), kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Katanya terdapat banyak lagi langkah lain yang boleh diambil bagi menangani jenayah tembak termasuk meletakkan lebih ramai anggota polis di jalanan, katanya kepada pemberita di Shah Alam, semalam.

Beliau sebelum itu melancarkan Red Carpet, muzium lilin interaktif pertama di i-City, di Shah Alam.

Adun Jabi Minta Pembahagi Jalan Elak Kemalangan Maut


Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta segera membina pembahagi jalan di KM92 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu dekat Kampung Anak Ikan bagi mengelakkan lokasi berkenaan terus menjadi kawasan kemalangan maut.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata lokasi Kampung Anak Ikan terletak di jalan lurus sejauh 15 kilometer dari Kampung Guntung Luar hingga Kampung Renek adalah kawasan yang sering berlaku kemalangan.

Menurutnya jalan empat lorong itu tidak mempunyai pembahagi jalan menyebabkan ramai pemandu membawa kenderaan dengan laju serta memotong kenderaan lain.

BN Kekal Di Parlimen Bagan Datoh, Tapah

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan bagi kawasan Parlimen Bagan Datoh dan Parlimen Tapah selepas Mahkamah Pilihan Raya di Ipoh, semalam menolak petisyen yang difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) bagi dua kawasan itu.

Mahkamah menolak kedua-dua petisyen itu dengan kos.

Bagi kawasan Parlimen Bagan Datoh, Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid membuat keputusan itu selepas mendapati petisyen yang difailkan calon PKR Madhi Hasan dan seorang pengundi Azmi Sulaiman gagal mematuhi Perintah 9 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Enam Pelumba Muda Galas Cabaran Terengganu Di Tour De Borneo Ahad Ini

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) mempertaruhkan enam pelumba pelapis bagi menggalas cabaran pada kejohanan Tour De Borneo (ToB), Sabah selama lima hari bermula Ahad ini.

Mereka ialah Mohd Khairul Azizi Abdullah, Mohd Fahmi Irfan Zailani, Mohd Syairazi Fuad, Mohd Iskandar Fitri Mod Sabti, Asmuai Ali dan Mohd Nor Irfan Norin.

Ketua Jurulatih PLBT, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan berkata walaupun pelumba yang diketengahkan itu masih muda berumur antara 15 hingga 18 tahun, namun mereka mempunyai bakat yang besar dan dapat melakukan yang terbaik sepanjang kejohanan itu.

Semua Rakyat Malaysia di Mesir Selamat - Anifah

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan semua rakyat Malaysia di Mesir berada dalam keadaan baik dan selamat walaupun situasi keselamatan semasa di negara itu merosot.

Negara itu dilanda konflik berdarah apabila tercetus pentempuran antara pihak berkuasa keselamatan dengan penyokong bekas presiden Mesir Mohamed Morsi, menyebabkan ramai yang terkorban dan ribuan lain cedera.

Justeru, Anifah meminta rakyat Malaysia mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

Rakyat Malaysia di Mesir dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan semasa dengan menghubungi Kedutaan Malaysia di Kaherah di alamat No. 21 El Aanab Street, Mohandesseen, Giza, Mesir. Nombor talian kedutaan ialah (202) 37610013/ 19/68/73 atau Bilik Operasi Kedutaan Malaysia di talian 00-2-02-37610270 atau 02-3760735/02-37610013 sambungan 140.

Polis Tahan Lelaki Disyaki Pembekal Pil Kuda Di Besut

Polis menahan seorang lelaki dan merampas 7,964 pil Methamphetamine (pil kuda) bernilai melebihi RM143,000 dalam sekatan jalan raya di Simpang Tiga Kampung Pinang di Kampung Raja kelmarin.

Turut dirampas daripada mekanik berusia 21 tahun itu ialah wang tunai berjumlah RM940 yang dipercayai hasil jualan dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata ketika ditahan pada pukul 3.30 petang, lelaki terbabit dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah itu ke Setiu dan Hulu Terengganu.

Tun M: Peningkatan Kes Bunuh Harga Bagi Kebebasan

Pembunuhan di jalanan menggunakan senjata api yang meningkat kebelakangan ini adalah harga bagi kebebasan yang perlu dibayar oleh setiap warganegara, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata dalam suasana lebih liberal sekarang, sukar bagi pihak berkuasa untuk mengatasi keganasan seperti itu dan mereka hanya boleh mengambil tindakan setelah ia berlaku.

"Rakyat Malaysia amat baik dan mereka tidak suka membunuh satu sama lain...kecuali sekarang apabila pembunuhan agak lebih kerap berlaku setiap hari, ada orang yang kena tembak...itulah harga bagi kebebasan," katanya.

Proton Lancar Model Terbaru Preve 'Suprima' Sabtu Ini


Syarikat kereta nasional, Proton akan melancarkan model terbaru produk keluaran mereka esok, model tersebut diramalkan versi 'hatchback' sedan Preve.

Menurut beberapa laman web kenderaan bermotor, model terbaru itu akan dikenali sebagai 'Suprima'.

Penasihat Proton yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan melancarkan model terbaru tersebut di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di Kuala Lumpur.

Polis Tahan Lelaki Ugut Sembelih Adik

Polis menahan seorang lelaki yang didakwa mengugut untuk menikam dan menyembelih adiknya hanya kerana berlaku sedikit perselisihan faham.

Lelaki berusia 36 tahun terbabit juga didapati positif dadah dan polis merampas sebilah pisau lipat sepanjang 16.5 sentimeter daripada lelaki itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari Selasa itu, lelaki terbabit dikatakan bertanya mengenai kehilangan barangnya yang diletakkan di dalam bilik rumah adiknya.

Juru Kimpal Kena Belasah Sampai Mati di Pak Katak

Seorang juru kimpal meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama enam hari berikutan cedera parah di kepala akibat diserang sekumpulan mat rempit pada 1 Syawal lalu di Kampung Pak Katak, Batu Enam, di Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mangsa berusia 25 tahun, dari Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.15 petang kelmarin, semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Jelasnya, dalam kejadian antara jam 4 hingga 5 pagi itu, mangsa dipercayai dibelasah dengan topi keledar dan dipukul oleh kumpulan mat rempit yang terdiri daripada 20 hingga 30 orang.

Wednesday, August 14, 2013

Roboh Surau: NGO Kata BN, Majlis Agama Johor 'Seperti Taliban'


"Taliban dah bertapak di Malaysia - syabas BN," "MAIJ (Majlis Agama Islam Johor) macam Taliban, @PDRMsia (polis) salahguna kuasa tangkap/reman pemilik resort, majistret (pula) bersekongkol benarkan empat hari reman....Agaknya @PDRMsia dah jadi penguatkuasa Taliban Msia lupa kerja sebenar – sibuk tangkap 'penghina' Islam bila hari-hari orang kena tembak/letupan."
 -Lawyers For Liberty

Inikah antara pemimpin LFL?
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) hak asasi dan reformasi undang-undang, Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa pihak berkuasa agama Johor bersikap "seperti Taliban" kerana merancang untuk merobohkan satu surau kontroversi di negeri itu yang didakwa dibina dengan tidak menepati arah kiblat.

LFL dalam tulisan di Twitter turut mempersoalkan sekiranya arah kiblat tersebut perlu dipatuhi oleh manusia dan bukan oleh surau.

"Surau ‘meditasi’ Buddha tidak menghadap kiblat, kata Mufti Johor... Dah gila – surau kena hadap kiblat bukan manusia?," tulisan itu dipetik.

NGO itu juga mempertikaikan tempoh tahanan reman selama empat hari ke atas pemilik resort itu.

"Taliban dah bertapak di Malaysia - syabas BN," "MAIJ (Majlis Agama Islam Johor) macam Taliban, @PDRMsia (polis) salahguna kuasa tangkap/reman pemilik resort, majistret (pula) bersekongkol benarkan empat hari reman.

"Agaknya @PDRMsia dah jadi penguatkuasa Taliban Msia lupa kerja sebenar – sibuk tangkap 'penghina' Islam bila hari-hari orang kena tembak/letupan," kata LFL dalam tulisan berkenaan.

LFL mengulas laporan media petang ini berhubung kenyataan penasihat MAIJ, Datuk Noh Gadut yang mengandaikan surau itu mungkin akan dirobohkan kerana tidak menepati arah kiblat.

Keputusan itu bagaimanapun dilaporkan akan hanya ditentukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam masa sebulan lagi, kata Noh seperti dilaporkan Sinar Harian Online.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi Hasrin Kamal Hashim dalam laporan Sinar Harian hari ini mengakui bahawa pihaknya telah meluluskan pelan bangunan berkenaan.

Dalam laporan sama, Pegawai Daerah Kota Tinggi Mohd Noorazam Osman pula berkata surau terbabit dibina atas tanah persendirian dan tidak dimiliki atau diwakaf kepada JAIJ.

Surau yang terletak dalam kawasan sebuah Surau di Kota Tinggi itu meraih kontroversi apabila digunakan untuk satu upacara keagamaan oleh sekumpulan penganut Buddha pada Sabtu.

Pemiliknya, seorang warga Singapura kini ditahan reman mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Isu Alan Tang - Polis Johor Tunggu Laporan SKMM


Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata semalam, pihaknya sedang menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang dijangka diperoleh hari ini untuk melakukan siasatan lanjut terhadap seorang lelaki menggunakan nama Alan Tang yang didakwa menghina agama Islam melalui status yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya.

Beliau berkata polis setakat ini sudah menerima empat laporan daripada orang ramai berhubung isu berkenaan dan siasatan segera akan dilakukan bagi membolehkan kertas siasatan lengkap dikemukakan kepada pihak pendakwa raya.

MB Lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang 19 Ogos

Majlis Pelancaran Perayaan Bulan Kemerdekaan ke-56 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu akan diadakan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam pada 19 Ogos ini bermula jam 2.45 petang.

Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerja Raya dan Pengangkutan),  Encik Nasran Abd. Halim berkata majlis pelancaran akan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti lagu 1Malaysia.

Katanya majlis pelancaran juga akan diserikan dengan persembahan sajak Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku yang akan disampaikan oleh Muhammad Iqbal Zahanuddin dan Nur Atiekah Hidayah Hussain dari Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail Kuala Terengganu.

Surau Dijangka Diroboh Selepas Siasatan Selesai


Surau di sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi yang diguna untuk upacara keagamaan bukan Islam dijangka diroboh selepas siasatan mengenai kes itu selesai.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadut berkata keputusan mengenai nasib bangunan yang dipercayai dibina dengan kos lebih RM60,000 itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam tempoh sebulan.

"Surau itu tidak boleh diroboh serta-merta kerana ia merupakan barang kes dan kini berada dalam pengawasan polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di Johor Bahru, semalam.

Pemilik Restoran Mati Ditembak Di Dungun

Seorang pemilik restoran nasi kukus ditemui mati ditembak di Kampung Cacar, di Dungun awal semalam.

Mayat Mohamad Lutpi Mansor, 50, ditemui dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di tempat letak kereta di hadapan restorannya pada pukul 7.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati dua kesan tembakan di bahagian atas dada dan di bahu kiri mangsa," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan samun kerana Toyota Hilux dan beg duit milik lelaki itu dilapor hilang.

Isu Surau - Polis Johor Terima Enam Laporan

Polis menerima enam laporan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan pengurusan sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi yang membenarkan surau di resort itu digunakan penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pasukan khas yang diketuai Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim akan menjalankan siasatan segera selepas polis mendapat kebenaran mahkamah hari ini untuk menahan reman pemilik resort itu.

"Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya dan penulis blog juga digesa supaya tidak mencetuskan keadaan lebih buruk yang boleh menimbulkan kemarahan masyarakat menerusi penulisan mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor semalam.

Naib Presiden - Umno Sabah Sedia Kempen Untuk Musa

Umno Sabah sedia menggerakkan jentera ke seluruh negara sekiranya Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memutuskan untuk bertanding naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober depan.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Yahya Hussin berkata beliau yakin dengan sokongan padu dan solidariti Umno Sabah terhadap Musa, kejayaan cemerlang mampu diperolehi.

Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata setakat ini lebih 20 bahagian Umno Sabah telah secara terbuka menyatakan sokongan penuh kepada Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri untuk bertanding jawatan tersebut.

Insiden Di Surau Kota Tinggi: Ketua Sami Buddha Mohon Maaf


Ketua Sami Buddha Malaysia Datuk K Sri Dhammaratana semalam  memohon maaf kepada umat Islam di atas tindakan penganut fahaman Buddha yang menggunakan sebuah surau di Johor untuk melakukan upacara keagamaan.

Dalam satu kenyataan ringkas, Sri Dhammaratana menyatakan rasa kesal berhubung insiden itu dan meminta penganut fahaman itu untuk menjadi lebih prihatin terhadap sensitiviti agama lain

 "Kami ingin memohon maaf kepada umat Islam di atas tindakan sekumpulan penganut Buddha dari Singapura kerana mengadakan upacara keagamaan di dalam surau sebuah resort di Kota Tinggi.

Mrs Malaysia Dimahkotakan Mrs Universe 2013


Mrs Malaysia Universe, Carol Lee mencipta sejarah apabila beliau dinobatkan sebagai Mrs Universe 2013, menjadikan beliau sebagai rakyat Asia pertama yang memenangi pertandingan ratu antarabangsa.

Lee, 39, menerima mahkota pada pertandingan akhir pada 11 Ogos di The Westin Aruba Resort di Palm Beach, Caribbean.

Penyampai berita dan bekas hos program bual bicara itu menewaskan 32 peserta di seluruh dunia yang bersaing bagi merangkul gelaran itu, serta turut mendapa gelaran "Mrs Popularity".

Kes Surau: Pemilik Resort Ditahan Reman


Pemilik sebuah resort di Sedili Besar di Kota Tinggi direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung tindakannya membenarkan surau resort itu digunakan untuk upacara keagamaan penganut bukan Islam.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Hairul Azhar Mohamad di Mahkamah Sesyen di Kota Tinggi hari ini.

Lelaki berusia 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mencuri dalam wad HSNZ

Seorang pesakit lelaki yang menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu, hanya mampu melihat telefon bimbit miliknya yang disorokkan di bawah bantal diambil pencuri, dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, disebabkan terlalu uzur dan dalam keadaan sakit, mangsa berusia 40-an tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan hanya melihat sahaja telefon bimbit miliknya dilarikan suspek berusia 28 tahun.

“Suspek menghampiri mangsa yang ketika itu sedang tidur sebelum perlahan-lahan menarik telefon bimbit yang disorokkan di bawah bantal.

Kokitab Rancang Bina Dua Pajak Gadai Islam

Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu Berhad (Kokitab) akan melabur sebanyak RM6 juta untuk membuka pajak gadai Islam di Dungun dan Kemaman dalam masa terdekat.

Pengerusinya Alias Mustafa berkata koperasi itu kini mencari bangunan yang sesuai di kawasan berkenaan. 

"Kita akan bergerak aktif dalam bidang perniagaan pajak gadai Islam memandangkan perniagaan itu memberi pulangan yang baik dan menguntungkan dan ini merupakan sumber pendapatan baharu kepada Kokitab selain projek-projek yang sedia ada," katanya semalam.

Pencapaian Atlet Sukan Berkuda Terengganu Membanggakan


Pencapaian atlet sukan berkuda negara, khususnya atlet Terengganu harus dipuji apabila berjaya mendapat tempat keempat dalam kejohanan FEI World Endurance Championships for Young Riders & Juniors 2013 di Perancis, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, beliau bangga dengan pencapaian atlet negeri ini kerana daripada tujuh peserta mewakili Malaysia dalam pertandingan tersebut, empat daripada mereka merupakan anak Terengganu.

"Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada semua ahli pasukan Endurance negara, khususnya atlet Terengganu kerana telah melakar kejayaan cemerlang dalam kejohanan tersebut.

BN Kekal Menang Di DUN Lubok Merbau

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen yang difail seorang pengundi untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) bagi kawasan itu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen Mohd Ridzuan Hasif tidak mematuhi Peraturan 9 dan Peraturan 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954. 

"Pempetisyen tidak mematuhi perintah itu apabila petisyen pilihan raya telah difailkan firma guaman bukan oleh pempetisyen atau peguamnya," kata beliau.

Lelaki Maut Kereta Dirempuh Lori Minyak Di Marang

Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya dirempuh lori tangki minyak di Km 55.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di Marang semalam.

Akibat rempuhan itu, Muhammad Hazwan Kamaruddin, 27, mati di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala.

Monday, August 12, 2013

Sekumpulan Buddha Singapura Sembahyang Dalam Surau...Apa Boleh Kita Lakukan?


Apabila sekumpulan rakyat asing membuat onar di negara kita, kita hanya boleh memandang dan biarkan. 
Bagaimana kalau ini dilakukan rakyat kita di negara asing, termasuk di negara jiran kita Singapura?

Menurut sebuah blog, ia menemui satu lagi video berkaitan agama yang mengajak kita berfikir lebih lanjut. Ia berkaitan satu kumpulan dipercayai agama Buddha menjalankan upacara sembahyang atau ritual keagamaan mereka dalam sebuah surau.

Lokasinya ialah di Surau Tanjung Sutera Resort, Tanjung Sedili, Kota Tinggi Johor.

Video berkenaan telah dimuatnaik oleh sebtv atau pemilik saluran YouTube sebastianphiu kelmarin. Surau berkenaan dipercayai surau yang berada di dalam kawasan resort.


Video itu turut dimuatnaik di dalam blog sebastianphiu.blogspot.com ditulis oleh Sebastian Phiu Abdullah.
Di dalam video selama 1:25 saat kelihatan kumpulan penganut Buddha ini yang seramai 13 orang sedang menjalankan ritual mereka di dalam ruang solat surau.

Ia jelas sebuah ruang solat kerana terdapat beberapa tulisan ayat suci Al-Quran di dinding surau berkenaan. Bagaimanapun, upacara ritual keagaaman Buddha dilihat bersifat sementara kerana lihat cara tempat sembahyang mereka diletakkan dan tambahan pula ia sebuah surau yang terletak di dalam resort.

Pada saya, mereka ini mungkin menjalani sejenis program Buddha di resort berkenaan dan tiada lokasi untuk menjalankan upcara sembahyang sehingga pihak resort memberi mereka kemudahan surau untuk menjalankan ucapara itu.

Mynewshub kemudian menghubungi Pengurus Tanjung Sutera Resort Syed Ahmad Alkaff bagi mendapatkan penjelasan. Menurut beliau, kejadian berkenaan terjadi semalam dan anggota rombongan terlibat datang dari Singapura.


Menurut beliau pihaknya kerap menerima banyak rombongan dan lawatan dari pertubuhan keagamaan di resort mereka.

“Pada mulanya, mereka meminta izin untuk sebuah tempat bagi mereka mengadakan satu upacara meditasi, memandangkan dewan kami ketika itu penuh kerana sedang digunakan, kami membenarkan mereka menggunakan surau hanya untuk proses meditasi berkenaan.

“Bagaimanapun, kumpulan itu membawa peralatan mereka secara senyap seperti tempat sembahyang di dalam video itu dan kemudian mengadakan upacara sembahyang sebegitu rupa,” katanya kepada Mynewshub.my ketika dihubungi semalam.

Menurut Syed Ahmad, pihaknya hanya mengetahui kejadian itu selepas mendapat aduan daripada orang ramai yang ternampak kejadian itu sehingga menimbulkan sedikit ketegangan.

Pihak resort, kemudiannya mengarahkan mereka menghentikan upacara dan semua peralatan sembahyang mereka dikeluarkan, katanya.

Menurut beliau, pihak polis turut berada di surau berkenaan ketika kejadian dan keterangan semua pihak sudah diambil dan direkodkan.

Anwar - Pandangaan Lee Kuan Yew 'Lapuk', Najib Tidak Berkeupayaan


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemikiran Lee Kuan Yew berhubung politik berteraskan kaum dalam buku terbaru bekas perdana menteri Singapura itu, 'One Man's View of the World' merupakan pandangan "lapuk".

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula tidak menunjukkan keupayaan untuk melakukan pembaharuan ke atas Umno, kata Anwar lagi ketika mengulas kenyataan kedua-dua pemimpin berkenaan berhubung politik Malaysia.

Anwar berkata, beliau melihat bahawa Lee kurang kefahaman dari segi politik berasaskan kaum dan Najib pula kurang keazaman untuk memahami sentimen rakyat Malaysia.

"Pandangan Kuan Yew sangat mewakili generasi Mahathir – ia agak lapuk. Beliau selalu melihat kepada dikotomi di antara hak dan kaum, hitam dan putih," kata Anwar.

Zambry Tidak Tanding Jawatan MT Umno Oktober Ini

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengumumkan tidak akan bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti Oktober ini. 

Zambry berkata sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, wajar untuk beliau tidak menawarkan diri bertanding di peringkat MT sebaliknya memberi ruang kepada calon lain yang berkelayakan.

"Sebagai seorang Menteri Besar, saya menjadi anggota MT secara automatik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pemuda Umno Perak di Ipoh, semalam.

Umno Pinda Tarikh Mesyuarat Cawangan, Bahagian Dan Penamaan Calon Parti

Tarikh mesyuarat cawangan Umno, mesyuarat bahagian dan penamaan calon untuk pemilihan parti dipinda ke tarikh yang baru, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, pindaan tarikh tersebut telah dipersetujui oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, pindaan tersebut dibuat berikutan cadangan dan permintaan daripada Umno Bahagian dan Cawangan di mana antaranya disebabkan oleh tarikh mesyuarat Cawangan sebelum ini berlangsung pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri serta tamat tempoh mesyuarat pada 31 Ogos.

Terengganu Jadi Hab Haji Pantai Timur


Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre Terengganu (THHT) yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak buat pertama kalinya akan mengendalikan urusan kira-kira 1,200 jemaah haji dari Pantai Timur September ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah memberitahu, dijangkakan sebanyak enam penerbangan dijadual berlepas dari LTSM bermula 17 September depan.

"Segala urusan yang berkaitan seperti lapor diri dan sebagainya akan dibuat di kompleks THHT," ujarnya kepada media baru-baru ini.

Siti, Bekas Isteri Datuk K Sudah Berbaik

Siti bergambar bersama Tengku Zawiyah (kiri) dan Asyraf di Instagram. 
Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mengakui beliau sudah lama berbaik dengan bekas isteri suaminya, Datin Tengku Zawiyah Tengku Izham.

Sehubungan itu, katanya, kemunculan gambar beliau bersama Tengku Zawiyah dan anak tirinya, Asyraf di laman sosial Instagram tidak perlu disensasikan.

“Gambar itu diambil Asyraf ketika Siti beraya di rumah abang Tengku Zawiyah di Kuala Lumpur, pada hari raya pertama.

T-Team Dapat Jurulatih Baharu Hadapi Piala Malaysia

T-Team akan memulakan pusingan pertama Piala Malaysia dengan Felda United pada 20 Ogos ini diikuti Johor Darul Takzim (Johor DT) dan PKNS.

Kelab T-Team akan melantik seorang sebagai jurulatih bagi membantu ketua jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor mempersiapkan pasukan dalam kempen Piala Malaysia bermula 20 Ogos ini.

Penolong Pengurus pasukan, Mohammad Sekanther Hamid berkata, jurulatih berkenaan merupakan bekas pemain Terengganu dan berasal dari Selangor.