Saturday, November 2, 2013

Bina Segera Padang Bola Sintetik Kedua



Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu pembinaan padang bola sepak sintetik kedua di negeri ini yang terletak di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu,  disiapkan mengikut jadual iaitu selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Katanya, beliau sudah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau perkembangan projek tersebut bagi memastikannya siap mengikut jadual.

"Sekiranya kontraktor yang dilantik gagal mematuhi tarikh yang dipersetujui sebagaimana dalam kontrak tersebut, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengenakan denda," katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek itu, baru-baru ini.

Friday, November 1, 2013

Kegiatan Pengintipan: Wisma Putra Dapatkan Penjelasan Duta Amerika Syarikat


Wisma Putra telah mendapatkan penjelasan daripada Duta Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Joseph Y. Yun berhubung dakwaan mengenai kegiatan pengintipan di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Yun menyatakan semua kegiatan pengawasan yang dijalankan oleh AS di seluruh dunia adalah bagi tujuan keselamatan. Ini khususnya untuk mengenal pasti kewujudan ancaman seperti keganasan dan senjata pemusnah besar-besaran.

Isu itu timbul berikutan laporan akhabar mengenai dakwaan oleh pemberi maklumat perisikan Edward Joseph Snowden yang mendedahkan bahawa AS mempunyai 90 kemudahan pengawasan elektronik di seluruh dunia termasuk di kedutaan AS di Kuala Lumpur.

"Duta itu menyatakan Kedutaan AS telah menerima arahan daripada Washington D.C. untuk menyemak semula skop kerjanya dalam perkara itu," kata Anifah dalam kenyataan.

Menteri itu berkata Duta Amerika itu turut memberi jaminan bahawa privasi individu tidak akan terjejas. "Wisma Putra sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa relevan Malaysia berhubung perkara ini dan sekiranya terdapat bukti sahih, kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya.

 "Wisma Putra memberi jaminan keselamatan dan kedaulatan Malaysia adalah menjadi keutamaan kerajaan Malaysia," kata Anifah.

Malaysia Disenaraikan Antara 10 Destinasi Pelancongan Utama Dunia Bagi 2014


Malaysia disenaraikan dalam kalangan 10 destinasi pelancongan utama di dunia bagi 2014 oleh Lonely Planet, penerbitan panduan pelancongan popular global.

Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Promosi) Chong Yoke Har berkata rangking itu keluar pada masa yang sesuai bagi Malaysia, ketika negara bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014. 

"Kami gembira dengan ranking ini daripada salah satu penerbitan industri pelancongan paling berwibawa. 

ROS Diminta Siasat Status 54 NGO Dalam COMANGO


Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa menyiasat status 54 badan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang membuat tuntutan bercanggah dengan Islam serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) berkata tindakan tegas itu perlu bagi mengenal pasti sama ada kesemua NGO itu merupakan pertubuhan berdaftar selain memastikan tidak ada nama NGO yang diperalatkan bagi kepentingan gabungan itu.

"Tuntutan Comango tidak selari dengan Perlembagaan negara kita dan kenyataan mereka ini memberi gambaran buruk terhadap negara kita selain boleh menjejaskan hubungan baik dan nama Malaysia dengan mana-mana negara hingga boleh menjejaskan prospek ekonomi perdagangan dan hubungan antarabangsa. 

UniSZA Jalin Kerjasama Dengan Universiti Dan Syarikat Robotik Jepun

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini membuka sayapnya ke Jepun dengan menjalinkan kerjasama dengan dua buah universiti dan sebuah syarikat membuat robot di negara tersebut.

Naib Canselornya Profesor Dr Yahaya Ibrahim berkata pihaknya menjalinkan kerjasama dengan menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) yang berbeza dengan Universiti Okayama dan sebuah syarikat robotik iaitu A life Robotics Corporation Ltd serta bakal bekerjasama dengan Universiti Tokushima dalam satu penyelidikan nasional kerajaan Jepun.

"Kita telah menandatangani MoU dengan Universiti Okayama pada 18 Oktober lalu sempena lawatan UniSZA ke Jepun dan MoU ini memfokuskan kepada aspek pengajaran, penyelidikan bidang robotik, kejuruteraan komputer serta teknologi komunikasi yang ditawarkan di bawah Fakulti Reka Bentuk dan Teknologi Kejuruteraan (FRTK) UniSZA dan dua pakar bius akan dihantar untuk berkhidmat di UniSZA selama dua tahun.

Lebih 90 Peratus Sekolah Di Terengganu Ada Akses Internet Berkelajuan Tinggi

Lebih 90 peratus sekolah di Terengganu sudah dilengkapi kemudahan Internet berkelajuan tinggi yang mempermudah proses pembelajaran secara maya atau VLE.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Ghazali Taib berkata kadar itu meliputi 447 daripada 494 sekolah di Terengganu.

Hasrat ini direalisasikan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi YTL Communications Sdn Bhd yang menyediakan kemudahan Internet 4G dan VLE di Terengganu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Profesionalisme Pengurusan VLE Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu semalam.

JPJ Guna Sistem mySIKAP Mulai Hari Ini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan sistem komputer baharu mySIKAP di semua pejabat JPJ di seluruh negara mulai hari ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Ismail Ahmad bekata sebagai langkah awal, JPJ negeri telah menampal notis pemberitahuan dan membuat hebahan dari semasa ke semasa kepada pelanggannya, termasuk melalui portal, facebook dan twitter jabatan mengenai perkara itu.

"JPJ juga membuka bilik gerakan di Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya mulai semalam untuk memantau isu-isu teknikal atau gangguan sistem semasa pelaksanaan penggunaan sistem baharu ini," katanya dalam satu kenyataan.

Terengganu Berlumba Basikal Di China Untuk Kutip Pengalaman

Penyertaan dalam kejohanan Lumba Basikal Terbuka Jinjiang di China pada Isnin adalah sebagai pendedahan bagi pelumba-pelumba muda Terengganu sebelum menyertai Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan. Sukma di Perlis akan berlangsung dari 24 Mei hingga 4 Jun depan.

Jurulatih lumba basikal Terengganu, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan berkata pihaknya menghantar lima pelumba termasuk tiga pelumba muda pada kejohanan sehari itu.

Katanya walaupun pelumbanya tidak memperoleh sebarang kejayaan pada kejohanan itu, namun beliau berpuas hati kerana anak didiknya telah mempamerkan kesungguhan berkayuh memberi cabaran kepada 125 peserta daripada 25 pasukan.

‘Kenyir Rangers’ Cegah Aktiviti Haram Di Tasik Kenyir



Pelbagai aktiviti haram yang dijalankan di Tasik Kenyir hingga menyebabkan berlaku kepupusan bermacam-macam spesies ikan air tawar di tasik berkenaan sejak kebelakangan ini berkurangan dengan kehadiran ‘Kenyir Rangers’ yang memantau kawasan itu.

‘Kenyir Rangers’ dianggotai oleh beberapa jabatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perhilitan. Penubuhan pasukan penguatkuasa tersebut pada tahun 1994 hasil inisiatif Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk meningkatkan pengawasan terhadap aktiviti penangkapan ikan secara haram di Tasik Kenyir, terutama yang menggunakan pukat.

Thursday, October 31, 2013

PPDNKK Berusaha Lindungi Pengguna Terengganu Melalui Skim Kawalan Harga

Alwi Abdul Hamid (dua dari kanan) memeriksa harga barangan kawalan bersempena musim perayaan Deepavali di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu, semalam.
Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKK) menggerakkan 150 anggota penguat kuasa termasuk Pegawai Pemantau Harga (PPH) di seluruh negeri ini sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2013. 

Timbalan Pengarahnya, Alwi Abdul Hamid berkata, langkah itu bertujuan memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk meletakkan tanda harga yang betul serta tidak menaikkan harga barang sesuka hati mereka.

 "Alhamdulillah, sejak skim kawalan harga dilaksanakan kelmarin, kita hanya mengesan satu kes iaitu peniaga tidak meletakkan tanda harga pada ubi kentang di sebuah pasar basah di Manir dekat Kuala Terengganu. 

"Peniaga berusia 55 tahun itu bagaimanapun telah menyedari kesalahannya dan dikenakan kompaun minimum sebanyak RM100," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran skim kawalan harga tersebut di Pasar Besar kedai Payang semalam.

Sempena pelancaran itu, beliau bersama lebih 10 anggota penguat kuasa lain turut membuat tinjauan harga di pasar berkenaan. Sementara itu, PPDNKK Terengganu merampas barangan bernilai lebih RM113,000 sepanjang operasi khas di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 serta Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 di negeri ini bermula 6 Julai lalu hingga semalam.

Alwi berkata, pada masa yang sama, pihaknya turut mengeluarkan kompaun keseluruhan sebanyak RM22,350 kepada seramai 208 peniaga di seluruh negeri ini atas pelbagai kesalahan membabitkan kedua-dua akta berkenaan.

Katanya, untuk kesalahan di bawah AKHAP 2011, seramai 160 peniaga telah dikenakan kompaun sebanyak RM16,250 manakala nilai rampasan pula melebihi RM53,000.

 "Daripada jumlah itu, kes tertinggi dicatatkan di pejabat PDNKK cawangan Kuala Terengganu iaitu sebanyak 82 kes.

"Selain Kuala Terengganu, tiga lagi pejabat cawangan lain iaitu Kemaman mencatatkan sebanyak 17 kes, Dungun dengan 31 kes dan Besut dengan 30 kes," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, untuk kesalahan di bawah ATS 1972 pula, pihaknya telah mengenakan kompaun sebanyak RM6,100 kepada 48 peniaga dengan kes tertinggi dicatatkan di pejabat PPDNKK cawangan Besut.

Beliau berkata, pejabat cawangan Kemaman dan Besut masing-masing mencatatkan sebanyak 12 kes manakala cawangan Kuala Terengganu mencatatkan 10 kes.

"Nilai rampasan di bawah kesalahan ini pula hampir RM60,000 dengan cawangan Besut mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu sebanyak RM57,120 manakala tiga cawangan lain itu Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun pula masing-masing mencatatkan sebanyak 680 kes, 1,470 kes dan 685 kes.

Pembangkang Tidak Tolak GST, Akui Baik Untuk Ekonomi - Azmin

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada Rabu menegaskan pakatan pembangkang tidak pernah menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mahu dilaksanakan kerajaan.

Berbeza nada dengan rakan seperjuangannya yang lain termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin berkata pendirian pembangkang adalah GST merupakan satu sistem percukaian yang cukup telus, efisien dan dalam jangka masa panjang mampu memberi kebaikan kepada sistem ekonomi negara. 

Bagaimanapun menurut anggota Parlimen Gombak itu, Malaysia dilihat masih belum bersedia untuk melaksanakan cukai baharu itu kerana lebih 40 peratus rakyat mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 sebulan dengan 80 peratus daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera.

Tiga Ubat Tradisional, Satu Produk Pelangsingan Berbahaya - Kementerian Kesihatan


Kementerian Kesihatan menasihati pengguna supaya tidak membeli dan menggunakan tiga ubat tradisional dan satu produk pelangsingan tidak berdaftar yang didapati mengandungi racun berbahaya.

Tiga ubat tradisional itu ialah 'Majun Dua Istimewa', 'Makjun Taufiq Dua Istimewa' dan 'Madu Adunan Herba' dan produk pelangsing badan 'Figure-Up'. untuk pelangsingan badan

 Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Datuk Eisah Abdul Rahman berkata ujian mendapati tiga produk tradisional itu mengandungi 'dexamethasone' yang antara lain boleh mengakibatkan penyakit berkaitan hati serta kegagalan fungsi buah pinggang akut jika diambil tanpa pengawasan doktor.

MBKT Tubuh Pasukan Tindakan Khas Hadapi Banjir

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menubuhkan pasukan tindakan khas bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBKT, Ghani Idris berkata pasukan tersebut akan mengawasi kejadian pokok tumbang, longkang tersumbat dan sebagainya.

"Kita telah meletakkan pasukan dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi bencana alam itu," katanya di Kuala Terengganu.

27 Sekolah Terletak Di Kawasan Risiko Banjir Di Terengganu

Sebanyak 27 buah sekolah rendah dan menengah di empat daerah di Terengganu terletak di kawasan berisiko dilanda banjir semasa musim tengkujuh ini, menurut Jabatan Pelajaran Negeri.

Pangarahnya Zakaria Husin berkata semua sekolah berkenaan di daerah Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu sudah diberi taklimat persediaan bagi menghadapi bencana akhir tahun itu.

Selain itu, pihak pengurusan beberapa sekolah di daerah berkenaan telah diberi taklimat mengenai persediaan bagi menempatkan mangsa banjir di sekolah masing-masing, katanyadi Kuala Terengganu, Isnin.

Ketika ini, katanya kebanyakan sekolah di negeri itu sedangkan menjalankan peperiksaan akhir tahun dan proses mengembalikan pinjaman buku teks akan bermula minggu depan sebelum cuti sesi persekolahan bermula 15 Nov ini.

Terengganu Jadi Tumpuan Venue Sukan

Terengganu bakal menjadi venue utama dalam beberapa kejohanan sukan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sebagai langkah mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Terbaru, lebih 3,000 atlet berkampung sejak awal minggu lalu dalam beberapa siri kejohanan yang diadakan sekaligus mampu memperkenalkan keunikan Terengganu kepada pihak luar.

Aktiviti itu, termasuk Kejohanan Taekwando Sekolah-sekolah Malaysia; Kejohanan Sukan Mahasiswa; Kejohanan Sukan Mahasiswa UiTM (KARiSMA); Sukan MAKSAK sepak takraw, badminton serta Kejohanan Sukan Telekom Malaysia.

Ketua Sekretariat TMT 2013, Ahmad Fathil Abd Ghani berkata sejak dilancarkan awal tahun ini, lebih 20 kejohanan sudah berlangsung dalam usaha mempergiatkan promosi TMT

JPN Akan Periksa Kad Pengenalan Semua Pengawal Keselamatan

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memeriksa kad pengenalan semua pengawal keselamatan di negara ini bagi mengesahkan identiti mereka. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat dan pelaksanaannya tidak melibatkan tempoh masa. 

"Pemeriksaan yang melibatkan lebih daripada 600 syarikat kawalan keselamatan ini akan membabitkan pengawal bersenjata dan tidak bersenjata," katanya kepada media selepas menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Othman Hassan, di pejabatnya Isnin.

Ahmad Zahid berkata pihak juga akan meneliti cadangan agar syarikat kawalan keselamatan diklasifikasi mengikut kategori.

Bekas Ketua Umno Jerai Nafi Wujud Perpecahan Di Bahagian Itu

Bekas Ketua Bahagian Umno Jerai Datuk Mohd Suhaimi Abdullah menafikan desas-desus wujudnya perpecahan di bahagian itu selepas beliau gagal mempertahan jawatannya pada pemilihan parti baru-baru ini. 

Mohd Suhaimi berkata beliau bersama-sama Ketua Umno Bahagian Jerai yang baharu Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak mempunyai sebarang pertelingkahan malah bekerjasama dengan baik dalam menggerakkan jentera kempen pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

"Ini (perpecahan) tidak ada berlaku. Bila pucuk pimpinan di atas bercantum, di bawah bertaut. Sekarang saya dengan Datuk Seri Jamil bercantum, penyokongpun sama," katanya  di Pusat Operasi BN semalam ketika mengulas desas-desus berkenaan.

Maidam Kutip Zakat RM92 Juta Daripada Sasaran RM120 Juta

Syed Ibrahim Syed Mohamad (kiri) menyerahkan zakat peniagaan kepada Alias Mamat pada majlis penyerahan zakat oleh Agrobank di pejabat Maidam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengutip zakat lebih RM92 juta sejak awal tahun lalu sehingga 27 Oktober lalu.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Zakat Maidam, Alias Mamat berkata, kutipan zakat tersebut meningkat berbanding tahun sebelumnya hanya RM84 juta untuk tempoh yang sama.

Katanya, daripada jumlah RM92 juta itu, kutipan tertinggi diperoleh melalui pembayaran zakat pendapatan sebanyak RM35 juta, zakat perniagaan RM28 juta, diikuti zakat wang simpanan RM17 juta dan selebihnya zakat zakat fitrah, zakat harta dan lain-lain.

9,000 kanak-kanak bakal khatam al-Quran

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Kanak-kanak Tabika peringkat Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 2 November ini.

Kira-kira 9,000 kanak-kanak tadika dijangka menyertai program tahunan yang bakal dirasmikan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Dato' Seri Idris Jusoh.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al- Amin Ismail, berkata bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional.

Bomba Terengganu Siap Sedia Hadapi Banjir

Seramai 700 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu telah dikerah untuk menghadapi banjir menjelang musim tengkujuh.

Pegawai Perhubungan JBPM Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata mereka akan ditempatkan di semua 15 balai di seluruh negeri dan sekiranya jumlah itu tidak mencukupi, 314 anggota sukarela akan turut dikerah.

"Pihak kami juga telah menyediakan 50 buah bot dan lima buah lori untuk kerja-kerja menyelamat," katanya.

Sunday, October 27, 2013

24,330 Lagi Murid KAFA Terengganu Khatam Al-Quran

Sebahagian murid Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) negeri Terengganu yang diraikan dalam majlis khatam al-Quran secara serentak di seluruh negeri di Kuala Terengganu, semalam. 
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyampaikan sijil kepada pelajar terbaik KAFA.
Seramai 24,330 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) negeri Terengganu diraikan dalam majlis khatam al-Quran secara serentak di seluruh negeri semalam.

Jumlah tersebut merupakan yang tertinggi dicatatkan seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk membudayakan al-Quran dalam jiwa rakyat bermula di peringkat usia awal.Tahun lalu ia membabitkan 21,610 pelajar.

Majlis khatam al-Quran telah diadakan serentak hari ini di tujuh daerah iaitu Kuala Terengganu (6,830); Besut (3,518); Setiu (3,198); Dungun (2,926); Kemaman (2,816);Marang (2,805) dan Hulu Terengganu 2,237.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri sememangnya komited bagi memastikan sebahagian besar murid sekolah rendah di negeri ini khatam al-Quran sebelum menjejakkan kaki ke sekolah menengah.

Beliau berkata, dengan pencapaian yang terus melonjak itu, kerajaan negeri meningkatkan sasaran sehingga mencecah 50,000 murid kelas KAFA di negeri ini berupaya khatam al-Quran setiap tahun dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Saya sebut berulang kali soal ini. Kalau mereka pergi sekolah menengah sebelum khatam, maka peratusan untuk khatam begitu kecil. Alasannya, susah nak mengaji, masa terhad, malu dengan kawan-kawan dan sebagainya," katanya.

Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan memastikan semua pelajar di sekolah rendah di negeri ini akan khatam al-Quran sebelum melangkah ke tingkatan satu .

Katanya, melalui perlaksaaan itu, dia percaya mampu dillaksanakan sebaiknya mungkin dengan kerjasama pebagai pihak. “Kita beri penekanan khusus terhadap murid di sekolah rendah kerana apabila melangkah ke sekolah menengah, komitmen pelajar terhadap pengajian al-Quran semakin menurun mungkin disebabkan pelbagai tugasan perlu diuruskan.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran untuk murid kelas KAFA di Stadium Tertutup Gong Badak semalam dengan dengan 6,830 murid dari kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di samping sekitar Batu Rakit dan Manir diraikan.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib; Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ramlah Yong; Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Husain dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Md. Kamarul Al-Amin Ismail.

Majlis khatam al-Quran yang diadakan di Besut.
Sementara itu di Besut, seramai 3,518 murid KAFA dari sekolah rendah di daerah ini menyertai Majlis Khatam al-Quran peringkat Parlimen itu di Masjid Nasiruddin Shah Kampung Raja, semalam.

Perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof serentak dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).

Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud dipilih sebagai Sekolah Terbaik Khatam al-Quran tahun ini dengan menerima hadiah sebanyak RM500 bersama sijil manakala Sekolah Cemerlang UPKKK tahun lalu dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Kampung Raja dengan hadiah RM500.

Sementara itu pelajar terbaik, Nur Ayuni Mohd Zin dari Sekolah Kebangsaan Alor Peroi dipilih sebagai pelajar terbaik UPKK bagi DUN Kuala Besut manakala pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, Siti Aishah Mohd Nasir terpilih pelajar terbaik DUN Kota Putera.

Bagi DUN Hulu Besut, pelajar terbaik dimenangi pelajar Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Muhammad Yamin Mat Rusdi manakala pelajar terbaik DUN Jerteh dimenangi oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Tanah Merah, Hanis Ayuni Hadi.

Piala Malaysia - Tok Gajah Jumpa TRW Pada Final Di Shah Alam 3 November

Pertahanan Sarawak, Mohd Hairol Mokhtar (kiri) cuba mengasak pemain Pahang dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching. Pahang layak ke final apabila menang agregat 4-2 ke atas Sarawak biarpun seri 1-1, malam semalam.

Impian Pahang untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia akhirnya tercapai selepas 16 tahun menanti apabila menunjukkan pintu keluar buat juara Liga Perdana, Sarawak dengan agregat 4-2 setelah seri 1-1 di Stadium Negeri, Kuching, semalam.

Dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 22,000 penonton setia Bujang Senang itu, Sarawak terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-33 menerusi penyerang berbisa mereka, Bobby Gonzales tetapi jaringan super-sub, Mohd. Fauzi Roslan pada minit ke-73 meranapkan hajat besar skuad Ngap Sayot itu untuk melangkah ke perlawanan akhir musim ini.

Kejayaan itu akan menemukan Tok Gajah dengan jiran mereka dari Pantai Timur, Kelantan pada perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, 3 November depan.

Malah, lakaran sejarah layak ke perlawanan akhir buat kali ketujuh itu dianggap sebagai hadiah terbaik kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang menyambut Hari Keputeraan ke-83 pada 24 Oktober lalu.



Bangunkan Syiar, Pendidikan Islam Lebih Penting Daripada Politik - Muhyiddin


Kerajaan pusat memberi bantuan kepada institusi keagamaan tanpa mengira fahaman politik demi meningkatkan syiar Islam dan kemajuan masa depan anak bangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan membantu sekolah agama dan pondok yang memang memerlukan bantuan untuk meningkatkan pembangunannya termasuk dari segi kerohanian.

Beliau turut mengimbas pertemuannya dengan pimpinan sebuah pondok di Batu 16 Yan awal tahun ini yang mengeluh kerana diabaikan di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

"Depa beritahu saya. Masa mula-mula Pas menang, merekalah yang paling seronok kerana mungkin dapat beri bantuan. Tetapi selepas tiga kali jumpa, tak tau lah depa jumpa sapa, satu sen pun tak dapat.

"Akhirnya kerajaan pusat yang bantu. Saya tak tanya pun depa orang Pas ka atau orang Umno. Itu hak masing-masing," katanya pada majlis ramah mesra bersama imam, guru pondok dan Kafa di Sekolah Kebangsaan Sungai Dedap di Yan, pagi semalam.

Siew Keong Mahu Segera Dipulihkan Gerakan


Presiden Gerakan yang baharu Datuk Mah Siew Keong berkata beliau akan segera memulihkan parti. Beliau berkata pemegang jawatan parti yang baharu dipilih perlu segera bekerja termasuk memperkukuh perpaduan di kalangan anggota.

Siew Keong...janji pulih Gerakan
Dalam reaksi segera beliau sebaik keputusan pemilihan parti diumumkan, beliau berkata parti berusia 45 tahun itu menghadapi lebih banyak cabaran berbanding sebelum ini terutama ekoran prestasi lemahnya dalam dua pilihan raya umum lalu.

"Ia bukan tugas mudah. Tetapi saya fikir jika kita bekerja bersama sebagai atu pasukan, kita boleh menaikkan semula parti. Terdapat banyak perkara yang perlu kita buat. Selepas dua kekalahan, kita mengaku kita mempunyai kelemahan (untuk diatasi)," katanya kepada pemberita.

Beliau terpilih sebagai presiden setelah menewaskan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow dengan majoriti 509 undi.

Terengganu Berhasrat Jadi Hab Gamelan Dunia


Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Terengganu sebagai hab gamelan dunia dalam tempoh beberapa tahun akan datang sebagai simbol negeri gedung budaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafie berkata, ia bagi memastikan cabang seni yang telah bertapak kukuh di negeri ini sejak lebih seabad itu terus subur sebagai warisan kebanggaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival Gamelan Sedunia 2013 berkata, untuk itu, kerajaan negeri akan terus mempromosikan seni gamelan terutamanya kepada anak-anak muda dari semasa ke semasa.

"Kita juga bersedia untuk memperluaskan seni muzik gamelan ini di sekolah-sekolah mulai tahun depan serta bercadang untuk mendapatkan beberapa tenaga pengajar dari luar untuk tujuan berkenaan. "Ini penting bagi memastikan kita dapat melahirkan lebih ramai pemuzik profesional khususnya dalam seni gamelan ini dengan menyemai minat, kecintaan dan mengasah bakat sejak kecil," katanya.

TPM Umum RM1.8 juta Lagi Bantuan di Sg Limau


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian bantuan sekurang-kurangnya sebanyak RM1.8 juta lagi kepada penduduk Sungai Limau petang semalam.

Ia diumumkan pada majlis 'Himpunan peladang, penternak dan nelayan Mada 2013' di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Bantuan itu adalah dalam bentuk Insentif Bantuan Projek Azam Tani Mara sebanyak RM802,700 untuk kira-kira 107 orang serta bantuan tambahan sebanyak RM1 juta dari Yayasan Felda kepada 200 penduduk untuk memperbaiki rumah mereka.

Bukan Islam Tidak Layak Jadi Peguam Syarie

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengalu-alukan orang bukan Islam mempelajari undang-undang Islam, tetapi tidak semestinya mereka boleh menjadi peguam syarie.

Presiden PGSM, Musa Awang, berkata kelayakan akademik tidak cukup untuk melayakkan mereka menjadi peguam syarie kerana kebanyakan undang-undang pentadbiran Islam negeri mewajibkan peguam syarie mesti beragama Islam.

Katanya, Johor mengenakan syarat itu sejak 1982, diikuti beberapa negeri lain seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Suspek Tembak Pegawai AMbank Dipercayai Masih di M'sia


Suspek yang menembak mati pegawai wanita Ambank dalam kes rompak dan bunuh di cawangan bank itu di USJ Sentral 2, Subang Jaya Rabu lepas dipercayai masih berada dalam negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas khas yang berpusat di Selangor untuk menjejaki suspek.

"Task force ini juga dibantu oleh jabatan lain di Bukit Aman dan kita akan pastikan perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas upacara perbarisan tamat latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 1/2013 di Pusat Latihan Polis di ibungara semalam.

Gula: Kerajaan Bertanggungjawab Akan Lakukan Perkara Betul - Najib

Kerajaan yang bertanggungjawab akan sentiasa melakukan perkara yang betul dan bercakap benar kepada rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Merujuk langkah kerajaan memansuhkan subsidi gula berkuat kuasa hari ini Najib berkata langkah itu sebenarnya baik, memandangkan subsidi gula adalah membazir.

Rakyat Malaysia perlu belajar untuk mengurangkan pengambilan gula demi kesihatan mereka. "Sayapun sudah belajar minum teh tanpa gula.

Bunuh Sebab Dengar Bisikan Ghaib

Gambar fail menunjukkan suspek yang cedera digari sebelum dibawa ke HKL untuk rawatan akibat dibelasah orang ramai.
Seorang lelaki yang mengamuk di dua buah stesen transit aliran ringan (LRT) Gombak dan Taman Melati di Kuala Lumpur, Khamis lalu didakwa telah mendengar suara ghaib yang mengarahkannya untuk membunuh.

Sumber berkata, penagih dadah berusia 26 tahun tersebut kini diletakkan di bawah pengawasan Unit Psikologi dan Kaunseling Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi memastikan tahap kesihatan mentalnya yang dikatakan mengalami gangguan.

Katanya, setakat ini siasatan kes sudah hampir 50 peratus dengan polis telah mengambil keterangan daripada ramai saksi bebas yang melihat kejadian itu di dua tempat berkenaan.

BN Mampu Rampas Sungai Limau


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Barisan Nasional (BN) mampu merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang dianggap kubu kuat Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 November ini.

Menurut beliau, keyakinan itu berdasarkan kejayaan parti itu mengambil alih pentadbiran negeri ini daripada Pas pada Pilihan Raya Umum lalu.

"Ada orang kata BN tidak boleh menang, ini (Sungai Limau) kubu Pas. Saya kata Kedah dulu pun diperintah Pas tetapi Alhamdulillah kita diberi keyakinan, kepercayaan dan rezeki, akhirnya Pas sudah diganti," katanya.

T'ganu Senarai 20 Pemain Hadapi Saingan Awal Piala Emas Raja-raja 2013

Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) menyenaraikan 20 pemain untuk menghadapi saingan awal bola sepak Piala Emas Raja-Raja 2013, di Kluang Johor pada 8 hingga 10 Nov.

Pengurus pasukan Nor Zaidi Mohamad berkata mereka terdiri daripada bekas pemain negeri, Piala Presiden dan pemain Piala Emas yang lepas.

"Kami belum menyenaraikan pemain daripada Liga Super kerana kami ingin memberi pendedahan kepada pemain berkenaan terutamanya pemain bawah 21 tahun dalam Piala Presiden," katanya semalam.

Polis Cari Penyebar Kip Video

Polis telah mengambil keterangan dua anggotanya dari Balai Polis USJ, Subang Jaya bagi membantu siasatan berhubung penyebaran klip video rakaman kes tembak mati seorang Pegawai Operasi AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan, keterangan kedua-dua anggota itu telah dirakam bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

"Kita juga akan menjalankan siasatan ke atas pekerja di bank itu bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan gambar mangsa mati ditembak di dalam bilik kebal," katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Norazita Abu Talib, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan bank yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, selepas mangsa membuka pintu bilik kebal bank itu.

Kosmo!