Saturday, May 3, 2014

Ahli Arkeologi Marin British Dakwa Temui Serpihan MH370


Ahli arkeologi marin British,Tim Akers mendakwa telah menemui bangkai kapal terbang MH370 lebih kurang 3,000 batu dari zon carian selepas mengesan serpihan Malaysia Airlines yang bewarna merah.

Beliau berkata, gambaran satelit menunjukkan ekor pesawat, sayap dan beberapa serpihan lain di pantai Timur Vietnam. Akers,56, sebelum ini turut mengkaji perairan Australia di Perth bertahun-tahun bagi mencari tinggalan kapal Perang Dunia Kedua yang hilang di negara ini-HMAS Sydney.

Operasi pencarian MH370 dilakukan secara menyeluruh melibatkan satelit, pesawat, kapal dan peralatan air canggih yang mampu melangkaui air dalam, namun tidak mendatangkan sebarang petunjuk dalam menemui Boeing 777 yang hilang 8 Mac lalu.

Tetapi Akers dari North Yorkshire mula yakin beliau mungkin telah menemui pesawat hilang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Beliau mendakwa telah mengenal pasti sebahagian daripada ekor pesawat itu di luar pantai Vietnam, hanya sekitar 1,000 batu dari mana pesawat itu berlepas.

Penemuannya itu sekaligus menyokong laporan bekas juruterbang Amerika Syarikat Michael Hoebel dari New York, yang mempercayai bangkai pesawat itu berada luar pantai Thailand.

Akers dirujuk sebagai penyelidik bebas bersama Muzium Maritim Nasional berkata, beliau kini sedang mengenal pasti bahagian-bahagian pesawat tersebut di mana sebelum ini pihak berkuasa Vietnam menerima laporan daripada pekerja minyak yang melihat pesawat yang terbakar keluar dari udara.

Beliau berkata adalah lebih munasabah pesawat itu terhempas di Laut China Selatan daripada terjatuh di Lautan Selatan India.

Khairy Tak Sokong Dasar Ambil Pemain Luar Untuk Wakili Malaysia

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin tidak menyokong sebarang usaha mengambil ahli sukan dari luar untuk mewakili Malaysia dengan memberi kerakyatan kepada pihak berkenaan.

Beliau berkata perkara itu bukan sahaja bertentangan dengan dasar pembangunan sukan negara malah semangat kesukanan untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Pada dasarnya, saya tidak bersetuju, dasar (sukan) negara kita berbeza dengan negara jiran lain di rantau ini di mana mereka boleh memberi kerakyatan kepada mana-mana orang luar untuk mewakili negara mereka dalam sukan seperti bola sepak," katanya kepada pemberita ketika mengulas hasrat penyerang import Selangor, Paulo Rangel, untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Hasrat T-Team Pikat Syukor Jusoh Tidak Kesampaian

Hasrat pasukan T-Team untuk memikat pemain tengah Selangor, Syukor Jusoh bagi memantapkan pasukan dalam saingan kedua Liga Super tidak kesampaian.

Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rashid Jusoh berkata, ini kerana pemain kelahiran Kuala Berang, Terengganu, itu tidak mahu meninggalkan pasukan gergasi Merah Kuning itu.

"Kita merasa agak kecewa kerana gagal mendapat khidmat anak kelahiran Terengganu itu,” katanya kepada semalam.

Thursday, May 1, 2014

Ahmad Said Kecewa Beberapa Projek Pembangunan Lewat Siap


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said semalam melahirkan rasa kesal atas kelewatan beberapa projek pembangunan termasuk Paya Bunga Square (PB Square) di Kuala Terengganu yang menelan belanja kira-kira RM141.867 juta.

Katanya kontraktor projek PB Square kepunyaan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) setinggi 17 tingkat itu telah diberi lanjutan tempoh siap sebanyak tiga kali antara 21 Julai 2013 hingga 8 Mei ini.

"Saya telah menegur kontraktor kerana projek itu lambat siap

Sekiranya mereka (kontraktor) tidak mampu menyiapkannya sehingga 8 Mei ini, mereka akan didenda sebanyak RM17,500 sehari," katanya kepada pemberita ketika melawat PB Square semalam.

Turut hadir Pengurus Besar PMINT Datuk Othman Muda. Katanya berikutan projek PB Square tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, PMINT mengalami kerugian lebih RM9 juta.

"Kita sudah mempunyai penyewa (untuk blok pejabat dan hotel di PB Square)...kalau semua itu beroperasi kita sudah memperoleh RM1,252,000 sebulan, itu tidak termasuk tempat letak kereta yang mampu memberi hasil kepada PMINT," katanya.


PB Square adalah kompleks perniagaan yang mengandungi empat tingkat podium perniagaan, empat tingkat tempat letak kereta termasuk satu tingkat di bawah tanah dan dua blok bangunan 17 tingkat untuk hotel dan pejabat.

Ahmad Said berkata kebanyakan projek pembangunan di Terengganu dijalankan oleh kontraktor tempatan dan ia sering mengalami kelewatan.

"Sebagai contoh projek Bandar Baru Kijal di Kemaman yang menempatkan kompleks tekstil, sehingga kini belum siap sepenuhnya.

Begitu juga dengan projek kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir yang sepatutnya siap pada September ini, tetapi telah tertangguh sehingga September tahun depan.

"Kita bukan tidak mahu beri peluang kepada kontraktor tempatan, tetapi kalau projek yang dibuat tidak siap dan kita mengalami kerugian yang besar... susahlah," katanya.

Najib - Kerajaan Komited Modenkan Undang-Undang Buruh Malaysia


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan komited memodenkan undang-undang buruh Malaysia sejajar dengan keperluan sebuah negara berpendapatan tinggi.

Dalam perutusan Hari Pekerjanya yang dikirim di halaman Facebooknya, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang mengkaji semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dalam usaha mewujudkan resolusi lebih berkesan berhubung pemecatan pekerja tidak adil dan pertikaian pekerja.

Ini juga untuk menentukan penguatkuasaan anugerah Mahkamah Perusahaan yang berkesan; dan mengimbangi keperluan bisnes dengan hak pekerja menerusi rundingan.

"Akta Pekerjaan 1955 juga sedang dikaji semula demi menentukan undang-undang itu sejajar dengan keperluan majikan tempatan dan asing, serta keperluan tenaga kerja negara perindustrian.

"Sebarang pindaan terhadap undang-undang itu bermatlamat mendorong produktiviti dan kecekapan; meningkatkan tahap pendapatan serta melindungi pekerja bagi menyokong daya saing tempatan, serantau dan global," kata beliau.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja, Najib berkata kerajaan komited menambah baik tempat kerja bagi semua warga Malaysia, tanpa mengira pangkat, status, kaum dan pendirian politik.

Beliau berkata, menurut sejarah, Hari Pekerja adalah hari untuk merayakan pencapaian ekonomi dan sosial pekerja, terutama penetapan hari kerja lapan jam dan pada masa lampau, undang-undang pekerjaan berada pada standard rendah dan pekerja dalam tahun 1800an mula bersatu bagi mendapatkan layanan lebih adil di tempat kerja.

Najib berkata, ketika Malaysia beralih dari ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi, ia memerlukan kerjasama semua pekerja dari setiap sektor ekonomi, oleh kerana tenaga kerja adalah tulang belakang ekonomi.

"Kini masanya bagi pekerja, ekonomi dan negara kita bersatu bagi mencapai status negara maju menjelang 2020," kata beliau.

Najib, yang juga menteri kewangan berkata sejak negara menyambut Hari Pekerja 2013, kadar pengangguran Malaysia telah bertambah baik, kini di tahap terendah 3.2 peratus dan masih merupakan antara yang terendah di dunia.

"Hari ini, pekerja kita mendapat gaji yang adil, waktu kerja yang selesa, keadaan kerja yang selamat, dan martabat persaraan terjamin," kata beliau.

Hentikan Isu Tukar MB- Ahli Parlimen Setiu.


Ahli Parlimen Setiu, Mohd Zulkifly Jusoh mahu supaya beberapa pihak menghentikan segera memainkan isu pertukaran Menteri Besar Terengganu kerana ia sudah jelas bahawa tiada pertukaran akan berlaku buat masa ini.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Razak sudah menolak khabar angin yang disebarkan berhubung cadangan untuk menukar beberapa Menteri Besar, baru-baru ini.

"PM sudah menyatakan tiada pertukaran mana-mana MB, kita ada 'prosedure', bukannya boleh tukar macam itu saja.

"Keadaan sudah jernih, kenapa kita mahu keruhkan suasana," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan dua buah Mesin Jahit daripada pejabat Parlimen Setiu kepada seorang surirumah yang mengalami kebakaran rumah tidak lama dulu di Kampung Bintang, Setiu hari semalam.

Santuari Ikan Sungai Pelong Setiu, Destinasi Pelancongan Baharu

Sungai Pelong dekat Langkap di Setiu,  bakal menjadi satu lagi destinasi pelancongan berkonsepkan akuakultur di Daerah Setiu berikutan kejayaan mewujudkan sebuah pusat santuari ikan.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Abdul Khalil Abdul Karim berkata pusat santuari itu adalah hasil kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan itu dengan jabatan.

"Sebenarnya, jabatan telah banyak mengadakan program melepaskan puluhan ribu benih anak ikan dan udang di beberapa batang sungai di seluruh Terengganu sejak beberapa tahun lalu.

"Antaranya Sungai Loh dekat Hulu Dungun, Sungai Pelong dan Sungai Lata Payung di Setiu serta Sungai Petang di Tasik Kenyir, namun ia memerlukan komitmen tinggi antara penduduk kampung dengan jabatan bagi memastikan kesemua benih ikan ini mampu membiak tanpa sebarang kegiatan yang boleh menjejaskannya," katanya semalam.

Usaha menjadikan beberapa sungai termasuk Sungai Pelong ini sebagai pusat santuari ikan sudah dimulakan sejak kira-kira tiga tahun lalu dan kini hasilnya pengunjung ke pusat santuari itu dapat bermandi-manda bersama ikan yang jinak, memberi makan serta merendam kaki untuk melakukan terapi.

Wednesday, April 30, 2014

Sektor Pelancongan Bakal Jadi Tulang Belakang Kepada Sumber Ekonomi Terengganu



Sektor pelancongan bakal menjadi tulang belakang kepada sumber ekonomi kerajaan negeri Terengganu dan tidak akan memfokuskan kepada sektor minyak dan gas semata-mata, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya, pengembangan sektor pelancongan di negeri ini dapat diukur dengan pembinaan hotel-hotel yang semakin giat dijalankan, menunjukkan bahawa terdapat permintaan yang tinggi daripada pelancong yang berkunjung ke Terengganu.

"Dengan pembinaan satu lagi hotel bertaraf lima bintang di Terengganu, ini membuktikan kerajaan peka dan komited untuk menyediakan pelbagai kemudahan penginapan kepada para pelancong," katanya.


Semalam (28 April), Success Circle Sdn Bhd, syarikat pelaburan swasta terkemuka, melalui Success Diar Sdn Bhd sudah memulakan pembinaan resort mewah antarabangsa bernilai RM300 juta dan bertaraf lima bintang, Movenpick Hotels and Resorts, di tapak seluas 18.2 hektar di Chendering.

Projek itu dijangka siap pada akhir Disember 2015.

Kementerian Sumber Manusia Sediakan RM330 Juta Untuk PTPK

Kementerian Sumber Manusia memperuntukkan RM330 juta tahun ini kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membolehkan lebih 18,000 pelajar swasta mengikuti program kemahiran di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Datuk Ismail Abd Mutalib berkata, dengan adanya dana pendidikan kemahiran, lebih banyak peluang program dan pendidikan kemahiran dapat ditawarkan kepada para pelajar.

"Kini ramai pelajar memilih untuk mengikuti program teknikal dan vokasional kerana ia memenuhi keperluan industri dan menawarkan pasaran kerja yang lebih luas dengan pendapatan yang tinggi," katanya dalam ucapan ketika Majlis Konvokesyen ShowMe International College 2014.

‘Jangan Beri Kera Makan Elak Ancaman’


Orang ramai di kawasan terdedah ancaman kera liar, dinasihatkan tidak memberi makan atau membiarkan sumber makanan haiwan liar itu bersepah sekitar rumah.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Yusoff Shariff, berkata orang ramai juga dinasihatkan tidak melakukan provokasi terhadap haiwan terbabit kerana perbuatan itu boleh mencetuskan kemarahan dan serangan haiwan berkenaan.

“Saya minta orang ramai tidak melakukan provokasi terhadap haiwan seperti kera, beruk, beruang dan lain-lain haiwan liar sama ada menggunakan perkataan atau bahasa isyarat.

“Walaupun kera tidaklah ganas tetapi jangan beri makan atau membiarkan makanan di persekitaran rumah kerana ia mengundang haiwan itu naik ke rumah,” katanya.

Beliau mengulas kejadian sekumpulan kera menyerang bayi berusia tiga bulan di Kampung Gelugor, Kertih, tengah hari kelmarin, menyebabkan mangsa terpaksa menerima 14 jahitan di dahi akibat digigit.

Kemaman Sudah Beberapa Hari Catat IPU Tidak Sihat Setakat 8 Pagi

Kemaman, Terengganu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 103 manakala empat kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana setakat 8 pagi hari ini.

Menurut laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) kawasan yang mencatat IPU sederhana ialah Nilai (60), Balok Baru, Kuantan (55), Kuching dan Pelabuhan Klang masing-masing (51).

Kawasan lain di seluruh negara mencatat bacaan IPU baik.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Tuesday, April 29, 2014

MH370: Juruterbang Dakwa Temui Pesawat Terhempas


Seorang juruterbang dari New York mendakwa telah menemui serpihan pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu di lautan berhampiran pantai Thailand.

Michael Hoebel, 60, mendakwa telah menemui imej serpihan itu selepas membuat pencarian menerusi ribuan imej pelbagai stelit yang terdapat di sekitar laluan pesawat berkenaan.

Juruterbang dari Tonawanda itu berkata, dia terkejut dengan imej yang diperolehi dan percaya pesawat dalam air itu telah terhempas sejak dua bulan lalu di timur laut pantai Malaysia iaitu lokasi ia dikesan melakukan lencongan.

Jelasnya, imej satelit tersebut dirakam pada 10 Mac iaitu dua hari selepas pesawat berkenaan dilaporkan hilang.

Ditanya mengenai kemungkinan imej itu merupakan banyangan seekor ikan yu, Hoebel menyoal," adakah seekor ikan yu sepanjang 21 kaki (6.4 meter) boleh didapati di lautan tersebut".

Lelaki itu juga yakin imej tersebut merupakan pesawat MH370 yang didakwa berakhir di Lautan Hindi baru-baru ini.

Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman Tidak Munasabah - Mahkamah Rayuan

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang menjadikan kegagalan penganjur memberi notis 10 hari sebagai satu kesalahan, adalah tidak munasabah kerana ia terjumlah kepada larangan efektif terhadap perhimpunan segera dan spontan.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mah Weng Kwai, dalam penghakiman setebal 29 muka surat, berkata hak untuk menganjur perhimpunan aman hanya boleh dihad secara munasabah dan bukan dilarang sebagaimana yang ditakrif dalam Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata seksyen itu pada masa ini, pada dasarnya melarang perhimpunan spontan serta segera, dan keperluan memberi notis 10 hari menjadikan kebebasan untuk berhimpun secara spontan dan segera satu ilusi.

"Saya berpendapat tidak ada pertalian yang munasabah antara keperluan penganjur memberi notis 10 hari untuk menganjurkan perhimpunan aman dengan keperluan memberi notis 10 hari bagi tujuan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, seperti dikehendaki akta berkenaan.

Terengganu Ambil Pendekataan Berjaga-jaga Terhadap MERS-CoV

Jabatan Kesihatan negeri mengambil pendekatan berjaga-jaga setelah terdapat beberapa kes pesakit yang disyaki mempunyai kaitan dengan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) dima­sukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman ketika mengesahkan perkara itu bagaimanapun tidak menyebut jumlah kalangan mereka yang baru pulang mengerjakan umrah di negeri ini menerima rawatan di HSNZ dan di hospital lain.

Beliau mengakui jumlah kes yang disyaki dilaporkan bertambah dari semasa ke semasa berdasarkan jadual kepulangan dari Mekah namun setakat ini, tiada sebarang kes seumpama itu yang disahkan berlaku di negeri ini.

"Memang ada pesakit yang ada simptom demam, selesema dan batuk dimasukkan ke wad HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah) sebagai langkah berjaga-jaga. Namun mereka hanya disyaki, bukan disahkan terkena jangkitan itu (MERS-CoV).

T-Team Adakan Kem Motovasi Di Pulau Redang Bagi Mantapkan Pasukan

Tempoh cuti rehat selama tiga minggu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan berstatus kelab, T-Team yang mengadakan kem motivasinya di pulau peranginan terkenal di Terengganu, Pulau Redang.

Kem motivasi itu merupakan salah satu langkah pasukan bagi memantapkan skuad The Titans untuk mengharungi saingan Liga Super yang akan bersambung selepas ini.

Kelazimannya setiap pasukan akan mengadakan perlawanan persahabatan namun pengendali pasukan T-Team yakin dengan kem motivasi berkenaan dijangka mampu meningkatkan persefahaman para pemain sekali gus memperkukuhkan kedudukan mereka di dalam liga.

Ketua Jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata kem yang diadakan selama tiga hari bermula semalam itu adalah salah satu langkah bagi meningkatkan semangat para pemain selain daripada memantapkan persefahaman antara pemain lama dan baru.

Petronas Chemicals Group Wujud Kemudahan 'Reed Bed' Di 22 Anak Syarikatnya

Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) memperuntukkan RM132 juta untuk mewujudkan kemudahan 'Reed Bed' di kesemua 22 anak syarikatnya yang memproses bahan kimia bagi tempoh enam tahun akan datang.

"Setiap projek rawatan biologi itu bernilai RM6 juta," kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Datuk Dr Abd Hapiz Abdullah pada pelancaran kemudahan Reed Bed yang pertama di Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd (PCFK) di

Beliau berkata Reed Bed akan diwujudkan di Kerteh, Terengganu sebelum ke Kuantan, Pahang; Bintulu, Sarawak dan Labuan.

Seorang Penuntut UiTM Maut Manakala Rakannya Parah Dalam Nahas Di Dungun

Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut manakala seorang lagi rakanya parah selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 93.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan petang kelmarin.

Jurucakap polis berkata mangsa yang terkorban ialah Ahmad Saiful Asyraf Aminuddin, 19, penuntut UiTM Kampus Kuala Terengganu, Chendering manakala rakannya Syed Adaham S. Azhar, 19, dari kampus yang sama cedera parah.

Katanya kejadian kira-kira pukul 5 petang itu berlaku ketika dua sahabat itu dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti di kampung mereka di Pahang.

Monday, April 28, 2014

Tukar MB - PAS Minta UMNO Jangan Jadiknya ‘Kambing Hitam’!

 
“PAS bersikap ‘gentleman’ apabila kita mengemukakan persoalan penukaran jawatan Menteri Besar secara rasmi di dalam Sidang DUN baru-baru ini untuk kepastian...Tapi malang bagi rakyat Terengganu kerana peluang keemasan bagi kerajaan menjawab khabar angin itu dilepaskan begitu sahaja, dengan menolak soalan saya itu sekaligus membuka pintu spekulasi yang tidak sepatutnya."
- YB Mohd Nor Hamzah

UMNO Terengganu sewajarnya menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan baik dan berlapang dada tanpa mengheret pihak lain menjadi ‘kambing hitam’, dalam kancah permasalahan mereka.

Tindakan pemimpin kanan UMNO Terengganu menyalahkan pihak lain adalah sikap yang tidak bertanggungjawab, dengan membuat tuduhan tanpa bukti dan cuba mengalihkan perhatian masyarakat terhadap ‘perbalahan’ sesama pemimpin UMNO itu.

Peringatan itu dinyatakan oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) Mohd Nor Hamzah berkaitan isu pertukaran Menteri Besar yang sedang hangat diperkatakan, bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh negara.

Menurutnya, kenyataan Exco Terengganu Nawi Mohamad yang juga ADUN Hulu Besut telah di laporkan oleh sebuah portal berita beberapa hari lalu.

Katanya, Nawi menuduh isu pertukaran MB itu adalah satu isu yang sengaja ditimbulkan oleh parti lawan.

Sedangkan, ADUN Bukit Payong itu berkata, berita berkaitan pertukara Ahmad Said turut disiarka oleh akhbar-akhbar perdaa termasuk akhbar pro-Umno, Utusan Malaysia.

Sebaliknya, kata Mohd Nor, Nawi adalah antara nama yang disebut-sebut bagi menggantikan Ahmad, dahulunya adalah ‘orang’ bekas MB Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh.


Bagi  Mohd Nor, perubahan sokongan dari ‘Team Idris’ kepada ‘Team Ahmad’ ini tidak menghairankan kerana budaya UMNO ialah siapa yang beri makan, dialah ketua.

Mohd Nor Hamzah menjelaskan, satu soalan berkaitan dengan isu pertukaran MB telah diajukan kepada kerajaan dalam sidang DUN baru-baru ini.

“PAS bersikap ‘gentleman’ apabila kita mengemukakan persoalan penukaran jawatan Menteri Besar secara rasmi di dalam Sidang DUN baru-baru ini untuk kepastian.

“Tapi malang bagi rakyat Terengganu kerana peluang keemasan bagi kerajaan menjawab khabar angin itu dilepaskan begitu sahaja, dengan menolak soalan saya itu sekaligus membuka pintu spekulasi yang tidak sepatutnya.

“Jadi saya nak nasihatkan Adun Hulu Besut supaya berhati-hati dalam membuat tuduhan dan kelihatan dia hanya mahu menutup pekung UMNO dengan menyalahkan pihak lain,”jelas Mohd Nor.

Beliau menambah, mungkin Nawi sudah lupa dengan usul yang dibawakan oleh rakannya dari Kota Putera dalam Sidang DUN lepas untuk suaya kerajaan mengambil tindakan terhadap penyebar khabar angin.

Mengulas lanjut isu berkenaan isu,  Mohd Nor berkata, PAS tidak yakin akan berlaku hal pertukaran Menteri Besar sebagaimana yang diheboh-hebohkan.

Sama ada wujud ‘perjanjian’ antara Perdana Menteri Najib Tun Razak dengan Ahmad Said berhubung tempoh menjawat jawatan MB itu atau sebaliknya, namun katanya, PAS melihat faktor politik semasa tidak membenarkan perubahan itu berlaku.

Menurutnya, Ahmad Said dilihat berjaya mempengaruhi ‘kuasa-kuasa’ politik termasuk Najib, sehingga berjaya meyingkirkan Idris dari ‘lanskap’ politik negeri Terengganu.

“Atas alasan-alasan tersebut, saya yakin Dato’ Ahmad tidak akan ditukar walaupun terdapat desas desus sebegitu.

“Yang kita bimbang, khabar ini sengaja disebarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkan Dato’ Ahmad sehingga ditulis dalam akhbar mereka, Utusan Malaysia.

“Jika cerita ini dimainkan Utusan Malaysia sendiri, adakah lojik ianya datang daripada pembangkang?”soal Mohd Nor

Buletinonline

Malaysia Minta Sokongan AS Bina Pengetahuan, Kepakaran Bangun Teknologi Hijau


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta sokongan Amerika Syarikat bagi membina pengetahuan dan kepakaran membangunkan teknologi hijau.

Ini terkandung dalam kenyatan bersama Najib dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, yang dikeluarkan di Putrajaya, semalam.

Najib dalam kenyataan itu, mengucapkan terima kasih kepada Obama atas sokongan negara berkenaan dalam pelaksanaan strategi pembangunan teknologi hijau dan kerjasama tenaga bersih di bawah Perkongsian Tenaga Komprehensif Amerika Syarikat Asia Pasifik.

Perdana Menteri melahirkan penghargaan kepada Obama atas sumbangan Amerika Syarikat berjumlah lebih US$60 juta (RM196.2 juta) sebagai bantuan teknikal dan kewangan kepada negara anggota Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI).

Inisiatif berhubung terumbu karang, perikanan dan keselamatan makanan (CTI-CFF) itu, meliputi kerjasama pelbagai hala bagi mengekalkan kepelbagaian sumber marin dan biologi yang terkaya di Asia Tenggara.

Wanita Kena Rogol Dalam Tandas

Seorang wanita mendakwa dirogol seorang pelanggan di kedai makan tempat dia bekerja dalam kejadian di sebuah tandas awam Kampung Nyatoh, Penarik, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.40 petang ketika mangsa berusia 23 tahun pergi berseorangan ke tandas itu tanpa menyedari dia diekori suspek dikenalinya berusia 20-an.

“Sebaik tiba, mangsa ditarik suspek ke dalam tandas dan diarahkan tidak berbuat bising jika enggan diapa-apakan.

Polis Tahan Penuntut IPTS Disyaki Buang Bayi Dalam Mangkuk Tandas

Seorang penuntut perempuan sebuah pusat pengajian tinggi swasta ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan bayi lelaki yang baru dilahirkan di Padang Hiliran di Kuala Terenggsnu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K.Manoharan berkata suspek yang berusia 21 tahun itu ditahan pukul 3 petang Khamis lalu setelah selesai menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Bagaimanapun, remaja itu dibebaskan tiga jam kemudian dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan ekoran keadaannya yang masih lemah," katanya semalam.

Sunday, April 27, 2014

Terjerat Cinta Palsu Sindiket Warga Afrika


Impian segelintir rakyat Malaysia untuk mencari nikmat bercinta dengan lelaki kaya dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berakhir dengan mereka dijerat sindiket warga Afrika yang menjual cinta mereka menerusi alam siber.

Lebih menakutkan, dalam tempoh tiga tahun, sebanyak 2,785 rakyat Malaysia ditipu oleh sindiket tersebut membabitkan kerugian kira-kira RM103 juta.

Bukan wanita sahaja yang menjadi mangsa iaitu membabitkan 1,794 orang malah seramai 991 lelaki tempatan turut diperbodohkan sindiket tersebut.

Rata-rata rakyat tempatan yang menjadi mangsa begitu mudah tergoda dan cair hati mereka dengan ayat-ayat manis sindiket berkenaan.

Antara ayat manis sindiket tersebut yang ditulis dalam bahasa Inggeris ialah ‘Sayang, awak nampak sangat cantik dalam gambar’, atau ‘Kalau awak menjadi kekasih saya, saya akan berikan segalanya asalkan awak setia’.

Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd. Syafik Jinuin Abdullah berkata, sebanyak 1,095 kes dicatatkan pada tahun lalu dan hampir 100 peratus kes membabitkan warga Afrika.

Beliau berkata, tahun lalu sahaja, rakyat Malaysia kerugian lebih RM35.7 juta berbanding RM33.6 juta pada 2012 gara-gara terjerat dengan cinta siber berkenaan.

Menurutnya, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penipuan cinta siber meningkat 34 peratus pada tahun 2013 iaitu sebanyak 1,095 kes berbanding 814 kes pada 2012.

Kosmo!

ECER Tarik Pelaburan Sebanyak RM24.45 Bilion Pada Suku Pertama 2014

 Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan sebanyak RM24.45 bilion ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur pada suku pertama 2014, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

Beliau berkata ECER telah menarik RM63.58 bilion dalam jumlah pelaburan dari 2007 sehingga suku pertama tahun ini, melepasi lebih daripada 57 peratus daripada sasaran pelaburannya yang sebanyak RM110 bilion menjelang 2020.

"Pelaburan ini akan mewujudkan lebih daripada 65,000 peluang pekerjaan untuk rakyat, yang terdiri daripada 6,601 profesional, 19,800 pekerja mahir dan 39,599 pekerja separa mahir di ECER," kata Najib pada majlis penyerahan rancangan alam sekitar utama di negeri-negeri dalam ECER diPutrajaya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Pahang telah menarik pelaburan paling banyak pada RM30.46 bilion setakat ini, dengan potensi untuk mewujudkan 38,027 pekerjaan.

Marilah Bersama-Sama Saya Perkukuhkan UMNO Terengganu



Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata UMNO mesti kuat, UMNO mesti dipertahan dan UMNO mesti di martabatkan.

Ahmad Said mengatakannya ketika memberi ucapan di hadapan jentera penerangan Umno dari seluruh Terengganu.

“Dan menjadi tanggungjawab kita bersama pada hari ini, dan hari-hari yang seterusnya, kita mesti pertahankan apa yang kita ada dan berusaha untuk mengambil semula beberapa kawasan yang kita tewas.

“Ini adalah misi dan visi kita, ini adalah tanggungjawab kita bersama sebagai ahli UMNO. Marilah kita sama-sama memperkukuhkan parti kita dan jangan sesekali kita menjadi gunting dalam lipatan, api dalam sekam, kita semua hendaklah bekerja keras

Najib Serah Pelan Pengurusan Alam Sekitar ECER Kepada Negeri-Negeri


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan lima Pelan Pengurusan Alam Sekitar untuk pembangunan lestari taman-taman negara dan negeri di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kepada kerajaan negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Putrajaya, pelan itu adalah bagi pemuliharaan, pemeliharaan dan pembangunan Taman Negara yang merentasi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan; Taman Negara Endau-Rompin yang merentasi negeri Pahang dan Johor; Tasik Chini di Pahang yang juga merupakan Rizab Biosfera Unesco yang pertama di Malaysia; Setiu Wetlands di Terengganu dan Tanah Tinggi Lojing di Kelantan.

"Pelan itu merupakan hasil kajian yang dilaksanakan oleh ECERDC untuk memastikan pembangunan yang seimbang di ECER, demi memastikan projek pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan turut mengambil kira kepentingan alam sekitar.

Maybank Bakal Naik Taraf Tiga Pusat Perkhidmatan Di Pantai Timur

Maybank Wilayah Pantai Timur akan menaik taraf tiga pusat perkhidmatan kepada bank sepenuhnya menjelang akhir tahun ini dalam usaha memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Pengarah Wilayah bagi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu, Abd Halim Lehan, berkata setakat ini dua pusat perkhidmatan Maybank telah dinaik taraf kepada bank.

"Kita telah mengenal pasti sebuah lagi pusat yang akan dinaik taraf di Kelantan. Ini sekali gus dapat melonjakkan perolehan bank dan memenuhi keperluan pelanggan," katanya ketika ditemui pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 di Kuala Terengganu, kelmarin.

Mohd Zamri Tagih Tiket Ke ACC 2014

Pelumba negara, Mohd Zamri Salleh bersedia mewakili negara dalam acara lepas beramai-ramai pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2014 (ACC 2014) di Astana, Kazakhstan, bulan depan.

Mohd Zamri, yang sebelum ini terpalit dengan kontroversi Sukan SEA 2013 di Myanmar, berkata beliau akan memberi komitmen dan tumpuan sepenuhnya sekiranya diberi peluang menyertai pasukan negara pada kejohanan itu.

"Saya tidak pernah hilang semangat untuk berkayuh bersama pasukan negara pada kejohanan di peringkat antarabangsa seperti ACC 2014.

"Kalau diberi peluang, saya berjanji akan berikan persembahan 100 peratus," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Mohd Zamri, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), muncul pemenang Kejohanan Final Grand Prix Kebangsaan 2013 (GP Final 2013) sejauh 167.2 km dengan catatan masa empat jam 15 minit 45 saat pada perlumbaan di Bukit Katil, Melaka, pada Sabtu.