Saturday, December 19, 2009

Datuk Mokhtar Nong bersara awal?

Benarkah berita ini?

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datukj Mokhtar Nong diberitakan akan bersara awal.
The Star Online hari ini melaporkan pengganti Mokhtar dijangka akan diumumkan awal bulan depan.

Mokhtar, 54, sebelum ini Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri dilantik selepas Barisan Nasional menang pilihan raya umum 2004.

Baca berita selanjutnya:

Saturday December 19, 2009

Terengganu state sec offered early 
retirement

By R.S.N. MURALI

KUALA TERENGGANU: State secretary Datuk Mokhtar Nong has been asked to take early

retirement and his replacement is expected to be named by January.

A source told The Star that the Menteri Besar’s office was in the midst of sifting through several names as his successor.

However, the name of the chosen candidate would only be announced after the Federal Government and the Terengganu palace have given their blessings.

Mokhtar, 54, who was appointed deputy state secretary after the Barisan Nasional wrested the state from PAS in 2004, was promoted the following year.

The source said among the candidates earmarked as possible successors were Datuk Mazlan Ngah, who is currently the state Financial Officer, and Terengganu Land and Mines Department director Datuk Abdul Razak Ismail.

However the possibility of a candidate from the Federal Government being parachuted in cannot be discounted.

The source added that the person’s age was a crucial factor in the selection.

The source said Mentri Besar Datuk Ahmad Said plans to implement fast-track projects next year and wants the state secretary to keep pace with the swift execution of the proposed developments.

“The projects are not mega constructions but more people-centric developments aimed at uplifting the socio-economic status of the locals.

“The menteri besar also wants to ensure that future projects benefit the grassroots and every community in Terengganu, including the small Thai population in Besut,” said the source, hence the need for a state secretary who could cope with an increased work load and pressure.

Asked whether the sudden removal of Mokhtar was an attempt to eliminate key officials who served during the reign of previous Mentri Besar Datuk Seri Idris Jusoh, the source replied it had nothing to do with vengeance.

“If the current administration had disapproved of Mokhtar, he would have been removed a long time ago.”

Bapa 16 anak dinobat Tokoh Keluarga Mithali Terengganu

Siapa sangka kesabaran Abd. Razak Yusof, 70, membesarkan anak seramai 16 orang berbaloi dan beliau kini mampu tersenyum apabila kesemua anaknya berjaya dalam hidup.

Berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam mendidik anak-anak serta mempunyai isteri yang memahami tanggungjawabnya bagi membantu menjaga anak-anak ketika ke laut mencari rezeki, menjadi resipi kebahagiaan dan kejayaan hidupnya.

Lebih membanggakan apabila 11 daripada 16 orang anaknya berjaya ke menara gading.
Berkat kegigihan mendidik dan menjaga anak-anaknya itu, Abd. Razak dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali Negeri Terengganu 2009 yang diadakan sempena sambutan Maal Hijrah Tahun 1431 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.

Abd. Razak ketika ditemui pemberita melahirkan rasa syukur apabila penat lelah menjaga keluarganya selama lebih 30 tahun lalu berbaloi apabila melihat kejayaan anak-anaknya tanpa mereka lupa segala jasa ibu bapa.

Beliau tidak menyangka kegigihannya mendapat perhatian kerajaan sehingga diumumkan sebagai Tokoh Keluarga Mithali peringkat negeri kali ini.

"Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak seramai ini memandangkan saya hanya seorang nelayan, bayangkan saya terpaksa meninggalkan keluarga selama tiga bulan untuk ke laut suatu masa dulu semata-mata untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.

"Kini saya mampu menarik nafas lega apabila anak-anak pula menjaga saya dan isteri dengan sebaiknya," katanya.

Tambahnya, setiap malam sebelum tidur, beliau akan mendoakan agar dikurniakan zuriat yang baik dan menyejukkan mata.

"Doa ibu bapa amat penting agar anak-anak sentiasa istiqamah dalam melakukan sesuatu terutamanya dalam soal agama.

"Saya tidak pernah menyesal menjaga anak seramai ini kerana mereka merupakan anak yang soleh dan solehah serta tidak pernah meninggalkan suruhan Allah," jelasnya ketika ditanya resipi kebahagiaan keluarganya.

Turut menemani Abd. Razak ialah isteri, Zaharah Abd. Rahman, 63, dan 16 orang anak-anaknya iaitu Jamilah (guru), 47, Haripas (surirumah), 45, Ismail (guru), 43, Rokiah (pembantu pejabat), 41, Mat Sofi (guru), 38, Mohd. Yusuf (pengurus), 35, Rushidah (guru), 33 dan Rozita (surirumah), 32.

Lain-lain ialah Mohd. Sabri (juruteknik), 30, Suria (surirumah), 28, Zarina (Pegawai Tadbir Diplomatik), 26, Mohd. Firdaus (pegawai penyelidik), 24, Nurul Shafiyah (guru), 24, Nur Fatihah (pensyarah), 22, dan Ain Najwa, (guru), 20.

Pada majlis tersebut, turut menerima penghargaan ialah Imam Masjid Kampung Tualang, Kuala Terengganu, Wan Abdul Wahab Othman, 53, yang dipilih sebagai Imam Cemerlang Negeri Terengganu dan Bilal Masjid Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu, Muhamad Ab. Rahman, 51, sebagai Bilal Cemerlang Negeri Terengganu.

Hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Penglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Hadir sama ialah isteri Tengku Baderulzaman, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Norliza Mahmud.

Dr Yusof tokoh Maal Hijrah 1431H, Terengganu tiada

Tahniah Sri Dr Mohamed Yusof Mohamed Noor kerana terpilih Tokoh Maal Hijrah 1431H peringkat kebangsaan.

Beliau antara dua tokoh yang terpilih tahun ini selain Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradawi, dari Mesir.

Bagaimanapun, di KUALA TERENGGANU, tiada pemenang tokoh maal hijrah kerana tiada yang betul-betul

layak untuk dianugerahkan tetapi imam yang mempunyai 16 orang anak telah dipilih sebagai tokoh keluarga mithali yang diadakan di Taman Tamadun Islam.

Dr Al-Qaradawi, 83, yang juga Pengarah Pusat Kajian Sunnah dan Sejarah Islam di Universiti Qatar terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431H peringkat kebangsaan kerana jasanya sebagai pemikir, sarjana dan intelek kontemporari yang amat disegani di seluruh dunia.

Beliau amat peka dengan permasalahan ummah terutamanya keperluan umat Islam di negara lain sehingga beliau turut diberi kepercayaan memegang jawatan Pengerusi Majlis Fatwa Eropah dan Ahli Pusat Pengajian Islam di Oxford.

Beliau berkelulusan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar turut memiliki Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) dalam bidang fiqh al-Zakat serta mendapat pujian dan menjadi kebanggaan majoriti sarjana Islam termasuk al-Mawdudi dan Muhammad Mubarak.

Dr Mohamed Yusof, 68, Pengerusi Felda terpilih kerana jasanya meningkatkan kedudukan masyarakat Islam terutamanya melalui bidang pendidikan dan politik.

Anak kelahiran Besut, Terengganu itu berkelulusan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar juga pemegang PhD dalam bidang Falsafah di Universiti Kaherah, Mesir.

Kini, selain Pengerusi Kumpulan Felda, Dr Mohamed Yusof turut memberi sumbangan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Pengerusi Majlis Penasihat Tabung Haji dan Pengerusi Lembaga Pendidikan Islam Malaysia.

Dahulu, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga pernah bertugas sebagai pensyarah dan Dekan di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk wang tunai RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan yang disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.

Angin kencang di Pantai Timur dijangka berterusan hingga Selasa

Jabatan Metereologi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning iaitu hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat yang turun dari semasa ke semasa hingga 22 Disember di kawasan pantai timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang," kata jabatan itu dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Di Kelantan kawasan yang dijangka mengalami keadaan itu adalah jajahan Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai.

Manakala di Terengganu kawasan yang terjejas adalah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, dan di Pahang daerah yang mengalami keadaan demikian ialah Kuantan, Pekan dan Rompin.

Kenyataan itu berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer (km) sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur) perairan Condore, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat dan Kudat) Reef North, Layang-layang dan Palawan di Laut China Selatan dijangka berterusan sehingga 23 Disember.
Sementara keadaan sama akan berlaku di Perak dan Kedah bermula hari ini, dijangka berterusan sehingga 20 Disember.

Di Kedah daerah yang terlibat adalah Padang Terap dan Sik manakala di Perak daerah yang terlibat adalah Hulu Perak dan keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah seperti berhampiran tebing sungai.

Sehubungan itu, katanya, kawasan pantai di pantai timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu dan Pahang) terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sepanjang tempoh itu.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, kegiatan sukan dan rekreasi laut," kata kenyataan itu.

JPJ Terengganu Sita 61 Kenderaan Kesalahan Identiti

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Terengganu menyita sebanyak 61 buah kenderaan sepanjang tahun ini kerana kesalahan gangguan pengenalan dan panel struktur.


Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie berkata, kesalahan yang paling banyak dilakukan ialah kes kenderaan potong dan sambung iaitu sebanyak 23 kes.

"Selain itu sebanyak 18 kes berkaitan gangguan cowl panel manakala 15 kes lagi melibatkan pengubahan pada nombor casis," katanya kepada pemberita selepas menutup kursus mengenai tayar kenderaan kepada pegawai-pegawai JPJ Terengganu kelmarin.

Abdul Rahman berkata, kesalahan lain termasuk pengubahan pada nombor enjin.

Katanya semua kenderaan berkenaan disita setelah melalui proses pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di sini.

Sementara itu Abdul Rahman mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati memilih tayar untuk kegunaan pada kenderaan mereka.

"Saya ingin mengingatkan pengguna kenderaan mulai 1 Januari depan, penggunaan tayar toreh tidak dibenarkan sama sekali kerana ia membahayakan kenderaan," katanya.

Tayar toreh merupakan tayar terpakai yang mempunyai ketebalan enam milimiter dan dikorek sebanyak tiga milimiter untuk membentuk aliran bunga baru.

"Jadi tayar berkenaan hanya tinggal tiga milimiter dan pada tahap itu ia cukup nipis dan berisiko untuk pecah dalam apa juga situasi apatah lagi jika digunakan dengan kelajuan maksimum," katanya.

Abdul Rahman berkata, keadaan bunga tayar yang kurang memuaskan akan mengurangkan cengkaman semasa di jalan raya dan seterusnya menyebabkan kenderaan mudah hilang kawalan terutama dalam cuaca buruk.

Kawal pencerobohan 'big player' produk halal

Kerajaan perlu mewujudkan dasar perlindungan supaya industri pengeluaran produk halal, khususnya di negeri ini tidak dicerobohi golongan kapitalis atau ‘big player’.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT), Datuk Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar berkata, ‘big player’ perlu dikawal supaya usaha kerajaan menggalakkan lebih ramai usahawan Islam
mengeluarkan produk halal dapat direalisasikan.

“Kita mahu melihat lebih ramai orang Islam mengeluarkan produk halal untuk keperluan orang Islam, apatah lagi pasaran produk halal
ini sangat luas, mengambil kira bilangan umat Islam seluruh dunia, kira-kira tiga bilion.

“Negara kita adalah lokasi strategik dan tepat bagi pengeluaran produk halal domestik, serantau dan global.

"Kita juga berhasrat menjadi hab bagi produk halal ini, namun dalam usaha ke arah itu kita juga perlu sedar bahawa kita turut
mempunyai pesaing pasaran produk ini seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Produk Halal Program Mentor Makanan dan Minuman Nestle-Nasmec-Hdc (Program Pengenalan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana) di Batu Burok Beach Resort, kelmarin.

Turut hadir, Pengurus Besar Nasmec, JS Robert dan Pengarah Matrade Wilayah Timur, Hasziah Mohd Yazid.

Tengku Ismail berkata, konsep halal berkenaan bukan hanya merangkumi produk makanan dan minuman sahaja, malah turut
membabitkan produk gunaan seperti barangan ’konsumer’, perbankan dan sebagainya.

Menurutnya, dalam usaha kerajaan menggalakkan lebih ramai menceburi industri produk halal, ancaman kewujudan ‘big player’ perlu
diambil berat, bukan dalam sektor pengeluaran produk halal sahaja tetapi dalam bidang lain seperti peruncitan dan pembinaan.

“Misalnya di negeri ini, hasrat kerajaan menggalakkan pertumbuhan peruncit gagal kerana adanya ‘big player’ yang memonopoli
pasaran peruncitan,” katanya.

Sementara itu, Tengku Ismail berkata, seminar berkenaan diadakan bertujuan meningkatkan penyertaan pemain tempatan dalam
industri produk halal dengan memberi tumpuan terhadap aspel ‘knowlegde building’ dan ‘capacity building’.

Kerajaan Cadang Wujud SKM Setaraf Tahap Sarjana Dan Kedoktoran

Kerajaan bercadang mewujudkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di peringkat ijazah dan kedoktoran dalam usaha mengangkat taraf kelulusan sijil kemahiran di negara ini setaraf dengan sijil akademik.


Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator Datuk Maznah Mazlan berkata pada masa ini, ramai pihak yang memandang rendah terhadap kelulusan dalam bidang kemahiran berbanding akademik, sedangkan mereka yang mempunyai kelulusan dalam kemahiran turut memain peranan penting dalam memacu pembangunan negara.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2010, telah memberi pengiktirafan SKM tahap empat dan lima yang setaraf dengan diploma dan diploma lanjutan.

Katanya pengiktirafan itu merupakan satu simbolik perubahan sikap dalam keperluan negara terhadap keperluan tenaga mahir, ditambah lagi Malaysia sedang menuju ke arah negara maju.

"Sehubungan itu, kementerian merasakan amat perlu kita mewujudkan SKM di peringkat iaitu di peringkat enam dan tujuh iaitu menyamai pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Graduasi Institut Kemahiran Bestari (IKB) di sini Khamis.

Mengulas lanjut, Maznah berkata perkara itu masih dalam peringkat kajian dan akan dilaksanakan apabila lebih 1,000 pusat latihan yang ada di seluruh negara bersedia termasuk daripada segi tenaga pengajar.

Dalam majlis itu, 200 pelatih IKB dalam bidang jahitan dan teknologi pemesinan logam menerima sijil tamat latihan masing-masing daripada Maznah.

Thursday, December 17, 2009

Kerajaan negeri manfaatkan Taman Ilmu

Kerajaan Negeri meluluskan permohonan untuk menubuhkan kolej kejururawatan dari Waikato Institute of Technology, New Zealand yang dijangka beroperasi pertengahan tahun depan di Taman Ilmu, Besut.


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, perjanjian penubuhan kolej yang mampu menyediakan peluang pendidikan kepada 1,000 pelajar untuk satu-satu masa itu akan ditandatangani pada Januari ini.

Kolej kejururawatan itu dijangka akan dibuka pada Julai depan.
Selain itu menurutnya, kerajaan turut menerima satu permintaan untuk menubuhkan kolej perubatan dari sebuah institusi luar negara yang popular iaitu Royal College of Surgeons di Ireland (RCSI).

“Kolej ini juga akan dibina di Taman Ilmu kerana kita sudah mempunyai kemudahan di sana, mereka hanya perlu datang dan bina kelas sahaja,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad berkata, bagi merealisasikannya beliau akan ke Ireland untuk berbincang secara mendalam mengenai penubuhan kolej itu manakala pihak RCSI pula akan datang melawat Terengganu Januari ini.

Untuk kursus perubatan, beliau berkata ia bukan sahaja melibatkan pelajar Malaysia malah membabitkan penuntut dari luar negara kerana perbelanjaan mungkin lebih rendah.

Ahmad berkata, Terengganu menghantar 150 penuntut mengikuti kursus perubatan ke luar negara pada setiap tahun terutamanya ke Indonesia walaupun kos di negeri ini agak tinggi berbanding di Indonesia tetapi RCSI memang telah diiktiraf dunia.

Taman Ilmu mempunyai keluasan kira-kira 280 hektar di mana keperluan untuk kedua-dua kolej berkenaan akan dilihat dahulu mungkin kira-kira 16 hektar.

Dalam perkembangan lain, Ahmad akan ke China untuk berunding bagi menubuhkan Pusat Bahasa Inggeris di Taman Ilmu supaya penuntut dari negara itu boleh ke sini untuk belajar Bahasa Inggeris.

Katanya beliau telah berbincang dengan timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London Datuk Rustam Yahya supaya berunding di peringkat awal dengan universiti di China dalam bidang teknologi maklumat (IT), kejuruteraan dan sebagainya bagi membolehkan membawa mereka belajar di Terengganu.

Polis Tumpas Geng Remaja Pecah Rumah

Polis berjaya menumpaskan geng remaja pecah rumah dan curi di pejabat kerajaan dengan penahanan lima remaja dalam beberapa serbuan di Kuala Terengganu dan Kuala Berang awal bulan ini.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, kumpulan remaja terbabit yang berumur 18 hingga 22 tahun dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak Jun hingga Okt tahun ini dengan menjadikan komputer sebagai sasaran.

"Mereka menjualnya kepada orang perseorangan di kawasan Kuala Berang dengan harga RM300 sebuah sebelum menggunakan wang itu untuk tujuan berfoya-foya," katanya dalam satu sidang media semalam.
Katanya, modus operandi kumpulan itu ialah memecah masuk dengan mengumpil pintu dan memotong gril bahagian belakang pada waktu lewat malam di pejabat kerajaan khususnya pada hari cuti umum.

Beliau berkata, antara yang menjadi mangsa termasuk Pejabat Penerangan, Pejabat Kemas dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong.

Menurutnya, bertindak atas aduan, polis telah melakukan serbuan di sebuah rumah di Chabang Tiga Kuala Terengganu pada 3 Dis lepas dan menahan seorang daripada ahli kumpulan itu.

Hasil penahanan tersebut, empat lagi remaja telah ditahan di rumah masing-masing di sekitar Kuala Berang dua hari kemudian yang membawa kepada penemuan semula lapan unit komputer meja dan lima unit komputer riba yang dianggar bernilai RM40,000.

"Kesemua komputer tersebut kita rampas dari orang perseorangan yang merupakan pembeli kepada barangan curi itu. Sebuah motosikal dipercayai motosikal curi turut dirampas dalam serbuan di sebuah rumah suspek," katanya.

Katanya, tiga daripada remaja berkenaan didapati positif dadah dan dua daripadanya pernah mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan memeras dan mencuri motosikal.

Kesemua mereka dibawa ke mahkamah hari ini untuk pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan denda.

Ahmad Belum Terima Laporan Siasatan Stadium Runtuh

Kerajaan Terengganu masih menunggu laporan siasatan kejadian Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh pada 2 Jun lepas.


"Saya dimaklumkan laporan siasatan mengenai kejadian itu sudah siap dan telah dibawa ke Kabinet. Bagaimanapun kerajaan negeri belum menerima sebarang maklumat sehingga ini," kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu semalam, Ahmad berkata kerajaan negeri perlu melihat terlebih dahulu laporan itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya termasuk tindakan undang-undang.

"Kita mahu laporan itu betul-betul kukuh kerana apabila dibawa ke mahkamah, kita ingin pastikan kita boleh menang sebab ia melibatkan teknikal dan banyak pandangan," katanya.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, yang menjadi gelanggang Sukan Malaysia (Sukma) ke 12 tahun lepas, runtuh di bahagian bumbung utama dan sehingga ini ia belum dibaikpulih.

Mara sedia 38 premis untuk usahawan Melayu

Sebanyak 38 premis perniagaan seluruh negeri ini di bawah pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah dibina bagi menempatkan penyewa Melayu yang berminat berkecimpung dalam bidang keusahawanan.


Pengarah Mara Terengganu, Razali Nurdad berkata, premis perniagaan ini telah dibina di setiap daerah bagi memberi kemudahan orang Melayu menjalankan perniagaan supaya tidak terus mengharapkan ‘makan gaji’ di sektor awam dan swasta.

“Selain menyediakan premis perniagaan, Mara juga turut memberi pembiayaan pinjaman, khidmat nasihat dan kursus jangka masa pendek bagi melengkapkan diri peniaga dengan ilmu keusahawanan.

“Dengan adanya semua pakej yang disediakan oleh pihak Mara, kita berharap ia mampu melaksanakannya dengan baik dan jangan hanya bersungguh-sungguh separuh jalan,” katanya.

Menurutnya, dalam meningkatkan perniagaan produk yang dihasilkan, penyewa perlu memikirkan alternatif untuk menceriakan premis masing-masing supaya dapat menjadi tarikan kepada pengunjung.

“Sekurang-kurangnya apa yang dilakukan itu dapat memberi manfaat untuk tempoh yang panjang dan bukan hanya mengharapkan kemudahan diberikan oleh Mara sahaja,” katanya.

Razali berkata, sebagai sebuah pengurusan yang mementingkan kebajikan ahli, Mara juga telah mengatur pelbagai program pembangunan penyewa bagi membuka minda peniaga supaya tidak terus berada di takuk lama.

“Kita mahukan pembaharuan dari masa ke masa dan Mara akan menjadi ‘fasilitator’ dalam meningkatkan keyakinan peniaga walaupun pernah mengalami kegagalan sebelum ini.

“Oleh itu, sikap dan mentaliti usahawan Melayu juga perlu seiring dengan perkembangan semasa supaya dapat terus menjadi antara yang terbaik dalam kala-ngan usahawan di negara ini,” katanya.

SUK Terengganu tegur Kem Latihan Sukma terabai

Atlet Terengganu yang sedang membuat persiapan menghadapi Sukma 2010 di Melaka dikatakan terdedah dengan pelbagai ancaman penyakit berjangkit ekoran kem latihan mereka di Gong Badak didapati tidak bersih dan selesa.


Ketika membut teguran itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, berkata pihak pentadbiran Majlis Sukan Negeri perlu segera melihat perkara itu serta mengatasinya.

"Saya tidak puas hati dengan keadaan tempat tinggal atlet terutama dari segi kebersihan seperti bilik air, tempat tidur yang tidak beralas dan sebagainya.

"Macam mana atlet hendak tinggal kalau sekiranya pengudaraan kurang selesa dan panas," katanya kepada pemberita selepas meninjau kem latihan Sukma, di Gerbang Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak semalam.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuala Terengganu yang juga Ketua Kontinjen Sukma Terengganu 2010, Datuk Mat Razali Kassim.

Mokhtar berkata beliau bimbang dan khuatir penyakit seperti taun akan merebak di kalangan atlet berikutan mereka tinggal setempat.

Selain itu, beliau meminta pihak pentadbiran Majlis Sukan Negeri melihat soal pemakanan atlet supaya mendapat makanan yang sesuai sebagai seorang atlet.

Semasa berucap, Mokhtar berkata dalam menghadapi Sukma 2010 nanti, Terengganu akan menggunakan khidmat tiga jurulatih import untuk sukan tinju, sepak takraw dan renang.

"Terengganu menyediakan peruntukan yang besar, yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 21 Disember ini bagai menghadapi Sukma tahun depan," katanya.

Katanya Terengganu meletakkan sasaran untuk sekali lagi muncul juara.

Sumber: Bernama

Jangan guna telefon bimbit di stesen minyak: Petronas

Petronas Dagangan Berhad menasihatkan pelanggan mematuhi peraturan keselamatan di semua stesennya yang melarang keras penggunaan telefon selular, merokok dan membiarkan enjin hidup semasa mengisi minyak.

"Kami ingin menegaskan bahawa kami menganggap keselamatan pelanggan, pekerja, kontraktor dan orang awam sebagai amat penting di semua kawasan operasi kami," kata kenyataan itu.

Kenyataan dikeluarkan berikutan kebakaran membabitkan dua kereta berlaku di Stesen Petronas Bandar Indera Mahkota di Kuantan semalam mengakibatkan kecederaan ringan terhadap pemandu kereta berkenaan.

Kenyataan dari Petronas Dagangan Berhad hari ini menjelaskan bahawa kemalangan jam 9.15 pagi itu berlaku di pam stesen itu dan api segera dipadamkan oleh kakitangannya.

Pemandu kereta pertama cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar di Hospital Besar Tengku Ampuan Afzan sementara penumpang kereta kedua masih di bawah perhatian di hospital itu.

Pihak berkuasa dan wakil Petronas Dagangan ketika itu berada di tempat kejadian untuk membantu dan menjalankan siasatan lanjut tentang sebab kejadian itu.

Stesen itu kini ditutup sementara, kata kenyataan itu.

Bergolak Di Sebalik Menang Enam Pilihan Raya

Jika dilihat pada angka, barisan pakatan pembangkang menang 6-2, iaitu enam daripada lapan pilihan raya kecil yang diadakan sepanjang tahun 2009.

Ia adalah bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) dan Bukit Gantang di Perak serta kerusi Bukit Selambau (Kedah), Penanti dan Permatang Pasir (Pulau Pinang) dan Manik Urai (Kelantan).

Barisan Nasional pula memenangi kerusi negeri Batang Ai, Sarawak dan Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Dari satu aspek, kemunculan pakatan pembangkang dilihat mampu memainkan peranan "mengawasi dan menegur" terhadap pentadbiran Barisan Nasional dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Di sebalik kejayaan tersebut, PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membentuk pakatan pembangkang masih mencari formula terbaik ke arah mewujudkan persefahaman jitu sesama mereka.

Matlamat jangka pendek adalah jelas iaitu untuk membentuk kerajaan baru, namun dalam jangka panjang, perjuangan Pas untuk menubuhkan negara Islam tidak boleh diterima DAP.

Tanggungjawab untuk membawa ketiga-tiga parti kepada pemuafakatan terletak di bahu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha agar percanggahan matlamat antara Pas dan DAP tidak menggugat keutuhan pakatan tersebut.

Namun begitu, riak-riak pergolakan tetap berlaku. Suatu ketika Pengerusi DAP Karpal Singh mengancam supaya DAP menarik diri jika PAS masih mahu melaksanakan hukum Hudud dan qisas sekiranya gabungan itu berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula bertegas bahawa PAS juga boleh membuat kenyataan berbentuk ugutan kepada DAP dan PKR sekiranya mereka enggan menerima cara Islam yang dibawa oleh parti itu.

Dalam pada itu, parti yang menerajui pentadbiran di negeri masing-masing berdepan pelbagai isu yang menggugat kewibawaan mereka.

Antaranya di Pulau Pinang, pentadbiran Lim Guan Eng berdepan dengan kemelut penduduk setinggan Kampung Buah Pala manakala Azizan di Kedah menghadapi isu perobohan pusat penyembelihan babi oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sehingga wakil DAP Kedah/Perlis bertindak keluar dari gabungan di Kedah.

Di Selangor, kontroversi tercetus ekoran timbul isu moral berhubung exco kerajaan Negeri Selangor yang juga ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong apabila gambar bogelnya tersiar di khalayak selain isu "kepala lembu" kerana bantahan penduduk terhadap cadangan memindahkan kuil.

Pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga teruja oleh desakan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali supaya kedudukan Exco dari DAP Ronnie Liu dikaji semula kerana didakwa campur tangan dalam beberapa isu penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan termasuk melibatkan penjualan arak di kawasan majoriti Melayu.

PAS mahu Selangor menguatkuasakan garis panduan larangan penjualan arak secara terbuka sepertimana dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu tetapi ditolak oleh Menteri Besar yang menyifatkannya sebagai bukan isu.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak sunyi daripada kontroversi terutama yang melibatkan menantunya yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tawaran menunai haji untuk beliau oleh sebuah syarikat swasta.

Lebih hangat lagi ialah apabila Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya PAS mengadakan Muktamar Agung Luar Biasa bagi menukar "dua tiga kerat" pemimpin parti itu yang dikatakan merujuk kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Ini kerana Nik Abdul Aziz dikatakan tidak boleh menerima apa jua cadangan ke arah kerajaan perpaduan dengan Umno dan BN.

Di Sabah, PKR dilanda krisis kepimpinan berikutan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai ketua perhubungan negeri oleh Anwar yang mendorong Datuk Dr Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai naib presiden PKR.

Tetapi tamparan paling hebat bagi pakatan tersebut ialah apabila pakatan itu hilang kuasa di Perak ekoran tindakan tiga wakil rakyat iaitu dua daripada PKR dan satu dari DAP mengisytiharkan diri menjadi anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan menyokong BN pada Februari lepas.

Dalam kemelut itu, pemimpin mereka dianggap "menderhaka" dan biadap dalam tindak-tanduk mereka terutama kerana tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Ekoran itu, Karpal dengan marah menuduh Anwar tidak layak menjadi pemimpin bagi pakatan kerana mendakwa Anwar bertanggungjawab mempromosikan budaya lompat parti.

Seterusnya kenyataan anggota Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Abdul Samad mengenai bai'ah atau sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika wakil rakyat mereka mengkhianati parti, juga mencetuskan kontroversi hebat.

Kontroversi yang berlarutan menimbulkan tanda tanya apakah laluan ke Putrajaya masih lagi jelas seperti dibayangkan Anwar awal tahun ini.

Ketika ini Pakatan memiliki 82 kerusi Parlimen berbanding 137 BN dan tiga Bebas.

Rencana Bernama

Persatuan pengguna peringkat daerah

Terengganu menjadi negeri pertama menubuhkan persatuan pengguna peringkat daerah bagi mengelak berlakunya penindasan terhadap rakyat negeri ini.

:Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu, (PPDNKKT) Mohd Hilmi Mohd Noor (:gambar:) berkata, sebagai sebuah jabatan yang peka dengan masalah rakyat mengenai hak pengguna, penubuhan persatuan pengguna peringkat daerah adalah langkah yang baik.

“Dengan penubuhan persatuan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada semua masyarakat untuk membuat aduan apabila berasa tertipu atau ditindas oleh peniaga.

“Ini menunjukkan komitmen yang berterusan daripada semua pihak telah berjaya membantu menjayakannya dalam membela nasib pengguna di peringkat negeri,” katanya.

Katanya, PPDNKKT juga berhasrat menubuhkan kelab pengguna di sekolah menengah negeri ini kerana pada masa ini tidak sampai 50 peratus sekolah yang menubuhkannya.

Justeru katanya, kerjasama dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) amat penting untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Wednesday, December 16, 2009

Hadiah tahun baru untuk rakyat Terengganu


Rakyat negeri Terengganu bakal menerima hadiah tahun baru tidak lama lagi apabila kerajaan negeri bakal bekerjasama dengan Royal College Surgeon Ireland di London bagi menubuhkan sebuah kolej perubatan di negeri itu tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said enggan mengulas dengan lebih lanjut tentang lokasi dan peruntukan pembinaan kolej tersebut.

"Ini merupakan hadiah tahun baru untuk rakyat Terengganu terutamanya para pelajar yang mengimpikan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di pusat pengajian terkenal di dunia.

"Bagaimanapun saya tidak mahu memberitahu dengan lebih lanjut tentang perkara tersebut...tunggu pada pengumuman bajet 2010 pada 21 Disember nanti," katanya.

Beliau yang tiba dari mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci pagi semalam berkata demikian kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.

Ketibaan beliau itu turut disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Negeri,

Dr. A. Rahman, Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Operasi Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera serta diiringi orang kenamaan dan pembesar negeri.

Turut tiba sama seramai 355 jemaah haji daripada kumpulan ketiga dengan pesawat Jeddah LTSM pada pukul 9 pagi ini.

Ketibaan mereka turut disambut oleh ahli keluarga masing-masing yang telah menunggu di lapangan terbang berkenaan sejak awal pagi walaupun pesawat berkenaan mendarat kira-kira pada pukul 9 pagi.

AhmadSaid dan isteri kemudiannya meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan jemaah haji yang menaiki penerbangan ketiga terus dari Jeddah dan tiba di lapangan terbang itu kira-kira jam 9 pagi.


Dalam ucapan ringkasnya, Menteri Besar melahirkan rasa syukur kerana rata-rata semua jemaah berada dalam keadaan sihat dan mendoakan mereka beroleh haji mabrur.

Beliau turut berpesan kepada ahli keluarga jemaah haji yang akan membawa pulang keluarga masing-masing supaya memandu dengan cermat dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Ada Penulis Blog Tidak Beretika

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein berkata ada antara penulis blog menulis tanpa mengikut peraturan dan etika kewartawanan untuk meraih populariti berbanding wartawan tempatan yang berpegang kepada etika penulisan yang betul.



"Kita ada etika dan mereka tidak ada dan tidak mengamalkan etika kewartawanan. Inilah yang membezakan kita dengan mereka," katanya pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2009 di Kuala Terengganu, malam semalam.
Hishamuddin berkata wartawan di negara ini tidak perlu bimbang kerana selagi laporan yang dibuat berpegang kepada etika kewartawanan, ia akan diterima baik oleh masyarakat.

Katanya tidak mungkin wartawan yang berada di atas dasar yang benar akan dihukum dan tidak mungkin yang menabur fitnah akan berjaya.

Pada majlis itu bebrapa kategori hadiah disampaikanm termasuk berita, berita sukan, berita ekonomi dan rencana terbaik, foto serta audio visual terbaik.

Batik Terengganu bakal guna kepakaran Filipina

Kerajaan negeri bakal bekerjasama dengan negara Filipina dalam usaha memantapkan bidang teknikal dan reka bentuk batik dan songket Terengganu.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, Filipina dipilih kerana kepakaran mereka dalam menghasilkan pelbagai jenis produk kraf mengikut peredaran masa sekali gus mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

Katanya, ini juga bakal mengatasi masalah lambakan produk batik dan songket di seluruh negara.
"Kita memerlukan kepakaran dalam menghasilkan pelbagai kreativiti bukan sahaja dalam corak batik dan songket bahkan dalam menghasilkan kepelbagaian reka bentuk terkini bagi menepati pasaran luar negara.
"Filipina merupakan negara yang amat mahir dalam bidang tersebut memandangkan mereka turut mampu menjadikan bahan-bahan berasaskan pertanian seperti serat nanas sebagai tekstil," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Festival Batik, Songket dan Kraf Terengganu 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir sama Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan, Mohd. Kamil Mohd. Ali dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu, Azmi Razik.

Festival yang julung kali diadakan tahun ini berbeza berbanding tahun lalu kerana menerapkan empat penganjuran program utama iaitu Terengganu Batik Mega Sale, Piala Seri Iman, Anugerah Usahawan Terengganu 2009 dan Malam Gala.

Seramai 61 usahawan tempatan menyertai festival tersebut dengan mempamerkan pelbagai batik dan songket terbaru keluaran syarikat mereka bermula 10 hingga 20 Disember ini.

Mohamed menambah, bagi memajukan industri batik dan songket Terengganu, pengusaha-pengusaha dan pereka-pereka fesyen perlu dididik untuk menghasilkan produk mereka yang bersesuaian dengan permintaan pasaran.

Ujarnya, pereka-pereka muda juga perlu menghasilkan lebih banyak produk berasaskan batik dan songket bagi tujuan promosi.

"Tidak salahnya pemakaian batik dan songket dipakai ketika tiada acara majlis formal contohnya sebagai uniform pelayan hotel ataupun restoran.

"Melalui cara tersebut, lebih mudah ia dikenali sekali gus dapat mempromosikan keunikannya di mata dunia," jelasnya.

Polis Buru Tiga Lelaki Guna Kad Kredit Palsu

Polis Terengganu sedang memburu tiga lelaki yang menyamar sebagai pelancong asing yang terbabit dengan penggunaan kad kredit klon di dua buah kedai di Kuala Terengganu yang mengakibatkan kerugian lebih RM40,000.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri DSP Ab Rahim Ab Razak berkata kegiatan tiga lelaki berumur 30an yang menjadikan sebuah kedai emas dan komputer sebagai sasaran sejak tiga hari lepas terbongkar setelah mangsa membuat laporan polis.

"Kumpulan itu menggunakan kad kredit klon dari luar negara dan perbuatan itu disedari setelah pihak bank mendapati kad kredit berkenaan merupakan kad kredit klon.

"Pihak bank kemudian meminta peniaga kedai emas dan komputer berkenaan membuat laporan polis untuk mengesan tiga penjenayah terbabit," katanya kelmarin.
Beliau berkata dalam kejadian pertama Khamis lalu, kumpulan itu menggunakan kad kredit klon untuk membeli barang-barang kemas di sebuah kedai emas di Jalan Banggol bernilai hampir RM30,000.

Kelmarin, katanya, kumpulan terbabit telah membeli empat buah komputer riba di sebuah kedai komputer di Jalan Petani menyebabkan kerugian mencecah RM10,000.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya segera menghubungi pihak polis jika didatangi oleh mereka yang hendak menjual barang kemas atau komputer dengan harga murah.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.

Monday, December 14, 2009

MB pulang dari Tanah Suci pagi esok


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dijangka akan pulang dari menunaikan ibadah haji di Tanah Suci esok.

Beliau dijangka tiba kira-kira jam 9.30 pagi dan rakyat serta pemimpin negeri akan menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Ahmad Said berlepas ke tanah suci 19 November lalu dan turut mengerjakan rukun Islam ke lima itu adalah isterinya To’ Puan Norliza Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Razif Abd Rahman serta isteri Puan Halina Zakaria.

Beberapa pegawai kanan kerajaan turut ikut serta menunaikan ibadah berkenaan.

Bapa mentua dan menantu mati lemas di Rantau Abang

Percutian tujuh sekeluarga dari Johor di Terengganu bertukar tragedi apabila seorang lelaki dan menantunya mati lemas ketika mandi di pantai Rantau Abang, Dungun, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata kejadian berlaku kira-kira 11 pagi

semasa Elias Ismail, 54, dan menantunya Badrisham Abd Majid, 29, serta anggota keluarga lain sedang mandi laut.

Beliau berkata Badrisham lemas akibat dipukul ombak dan bapa mertuanya cuba menyelamatkan mangsa namun gagal dan akhirnya kedua-duanya lemas.

"Gerakan mencari kedua-dua mangsa dilancarkan serta merta dan akhirnya pekerja chalet tempat mangsa tinggal semasa bercuti berjaya membawa kedua-dua mangsa ke pantai," katanya.

Elias yang beralamat di Batu Pahat Johor dan Badrisham dari Subang Jaya Selangor bercuti bersama lima lagi anggota keluarga mereka di Merantau Inn, Rantau Abang.

Dahlan berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat dan dibawa balik ke Batu Pahat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa mandi laut di pantai Terengganu memandangkan ombak musim tengkujuh masih belum reda.

Sumber:Bernama

Karnival Sukan Pemuda UMNO Terengganu

Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu akan menganjurkan Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Terengganu yang dijangka berlangsung April tahun depan.


Ketua pergerakan itu, Saiful Bahri Baharuddin berkata, karnival itu merangkumi pertandingan futsal, sepak takraw dan badminton.

Beliau memberitahu, karnival itu akan disertai oleh seluruh ahli pergerakan itu di semua bahagian selain anggota masyarakat setempat.

"Buat masa ini kita belum putuskan venue karnival itu diadakan dan ia dijangka berlangsung sekitar April atau Jun tahun depan," katanya.

Menurutnya, objektif karnival itu antara lain untuk merapatkan hubungan sesama ahli pergerakan tersebut selain menjalin silaturahim dengan masyarakat setempat.

Beliau memberitahu, sebelum karnival itu, satu pertandingan bola sepak merebut Piala Menteri Besar Terengganu turut diadakan serentak di semua bahagian UMNO bulan depan.

"Kita akan adakan pertandingan bola sepak Piala Menteri Besar Terengganu Januari ini, selepas itu baru kita teruskan dengan Karnival Sukan Pemuda UMNO Terengganu pertengahan tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, pertandingan futsal bagi merebut Piala Ketua Pemuda UMNO Bahagian Marang berlangsung di gelanggang futsal Indoor Soccer di Bukit Payong, Marang hari ini.

Saiful Bahri yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Marang berkata, pertandingan itu menyaksikan penyertaan lapan pasukan yang mewakili empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam bahagian itu.

Sumber: Utusan Online

Sunday, December 13, 2009

Ribut Petir Dan Hujan Lebat Di Pantai Timur Mulai Rabu

Pahang, Terengganu dan Kelantan dijangka mengalami hujan lebat serta ribut petir selama empat hari mulai Rabu ini.

Berikutan itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran peringkat kuning mengenai hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di ketiga-tiga negeri itu.

Kawasan yang terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, dan Pasir Puteh, manakala di Terengganu pula daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dan di Pahang ialah Kuantan dan Pekan.

Jabatan itu dalam kenyataannya pada Sabtu berkata keadaan itu dijangka menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran tebing sungai.

Polis Giat Buru Perompak warga Arab

Polis Terengganu sedang memburu empat penjenayah warga Arab yang merompak barang kemas bernilai hampir RM1 juta dari sebuah kedai emas dekat Pasar Payang, di sini Rabu.


Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC II Hamzah Md Jamil berkata pihaknya telah melancarkan 'Ops Tutup', iaitu sekatan jalan raya di semua pintu masuk negeri itu sebaik sahaja menerima laporan kejadian.



 "Usaha mengesan suspek kini dibuat berdasarkan gambar suspek yang dirakam oleh kamera litar tertutup kedai berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu pejabat Kontinjen Negeri kelmarin.


Beliau berkata hasil siasatan awal nombor kenderaan yang digunakan penjenayah berkenaan adalah palsu.

Hamzah berkata pihak polis memerlukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, diminta menghubungi pegawai penyiasat C/Insp Nik Aminuddin Raja Abdullah di talian 09-6246222 atau 019-9621223.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang Rabu ketika pemilik kedai, Zakaria Yusoff, 46, bersama isteri dan pekerjanya sedang sibuk melayan pelanggan sebelum tiga lelaki dan seorang wanita warga Arab berumur lingkungan 25 hingga 35 tahun yang berpura-pura menjadi pelanggan mengambil tiga beg berisi barang kemas yang tersimpan dalam peti besi kedai berkenaan yang tertutup tetapi tidak berkunci sebelum beredar.

Menurut Zakaria, hanya dengan menepuk tangan dan bahu, empat lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Arab dapat melarikan tiga buah beg sarat dengan barangan kemas bernilai RM1 juta.

Kejadian pada pukul 2 petang di sebuah kedai emas berhadapan dengan Pasar Besar Kedai Payang di Jalan Sultan Zainal Abidin itu berlaku di tengah-tengah kesibukan orang ramai.

Di sekitar pasar tersebut dianggarkan terdapat lebih 40 buah kedai emas yang beroperasi.

Pemilik kedai emas itu bersama tiga pekerja serta lima pelanggan yang ada di dalam kedai ketika itu mendakwa mereka hanya mampu melihat kelima-lima suspek itu menjinjing tiga buah beg iaitu dua berwarna hitam dan satu berwarna biru keluar dari premis itu menuju ke kereta.


Sebelum itu, kelima-lima suspek yang datang menaiki sebuah kereta Proton Persona masuk ke kedai emas tersebut dan berlagak sebagai pelanggan.

Mereka yang menggunakan isyarat tangan meminta pekerja di kedai emas itu menunjukkan beberapa barang kemas yang dipamerkan di situ.

Ketika memilih barang-barang kemas yang ditunjukkan, suspek-suspek itu kemudian dipercayai telah menepuk tangan dan bahu setiap pekerja dan pelanggan yang ada di dalam kedai itu.

Seperti tiada apa yang berlaku, suspek-suspek yang bercakap dalam bahasa Arab sesama mereka itu masih lagi meminta pekerja-pekerja kedai emas itu menunjukkan lebih banyak barang kemas.

Ketika itulah, dua daripada suspek itu dikatakan menolak salah satu meja pameran yang membolehkan suspek masuk ke dalam kedai emas.

Dua suspek itu terus masuk ke belakang kedai emas yang menempatkan sebuah peti besi tidak berkunci yang mengandungi tiga buah beg berisi barang kemas.

43 penduduk miskin syukur terima bantuan

Sebanyak 43 penduduk miskin di Dewan Undangan Negeri Tepoh di sini bersyukur menerima bantuan daripada kerajaan dalam usaha membantu menyediakan pendapatan tambahan kepada mereka.

Bantuan dalam bentuk bot, mesin jahit dan peralatan pertukangan kayu itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhamad Ramli Nuh pada Program Peningkatan Pendapatan Golongan Miskin DUN Tepoh di Kuala Terengganu kelmarin.

Muhamad Ramli berkata, kesemua bantuan berjumlah RM430,000 itu bertujuan membantu meningkatkan kedudukan ekonomi penduduk miskin di kawasan itu.

''Kerajaan mahu penduduk di kawasan ini menggunakan bantuan yang digunakan dalam mengubah nasib hidup mereka daripada terus dibelenggu kemiskinan," katanya.

Beliau berkata, kesemua penerima dipilih daripada senarai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Salah seorang penerima, Wan Nong, 44, berkata, dia gembira menerima bantuan bot dan enjin sangkut yang akan membantu menyara kehidupannya dan keluarga.

Penduduk Kampung Jeram itu, berkata, sebelum ini, dia terpaksa menumpang bot nelayan lain untuk menangkap ikan dan keadaan itu agak menyukarkannya untuk mencari pendapatan tambahan kerana bergantung kepada bot rakan.

''Dengan bot ini, saya akan dapat menangkap ikan di Sungai Nerus tanpa sebarang masalah," katanya yang bekerja sebagai nelayan sejak 20 tahun lalu.

Seorang lagi penerima bantuan, Mokhtar Che Mat, 51, berkata, dia kini boleh menarik nafas lega apabila menerima bantuan berbentuk alat pertukangan termasuk mesin pengetam papan.

''Sebelum ini saya terpaksa menanggung kos tinggi dalam membuat pelbagai kerja pertukangan kerana semua alat ini perlu saya sewa.

''Dengan bantuan ini, saya mampu mengurangkan kos dan dapat menyimpan untuk kegunaan keluarga," katanya.

Utamakan kebersihan elak taun ‘serang’ kembali

Meskipun Terengganu diisytiharkan bebas daripada wabak taun, tidak mustahil penyakit berkenaan boleh

menyerang semula sekiranya masyarakat umum tidak mengutamakan kebersihan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, sikap kurang menitikberatkan soal kebersihan terutamanya dalam penyediaan makanan boleh mengundang taun.
Rabu lalu, Terengganu, yang dilanda taun sejak 11 Nov lepas, kini diisytihar bebas daripada wabak itu setelah tiada kes baru dilaporkan sejak dua minggu lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican pada Rabu berkata sejak wabak itu dikesan di negeri itu bulan lepas, sebanyak 187 kes dikesan dengan satu kematian dilaporkan.

"Walaupun wabak ini telah tamat, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan terus melaksanakan tindakan kawalan, pencegahan dan pengawasan bagi menggelak ia berulang," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Ismail berkata siasatan mendapati jangkitan taun di Terengganu berlaku kerana kerana pengendali makanan dan orang ramai kurang mengambil berat tentang penjagaan kebersihan diri dan amalan pengendalian makanan yang selamat.
Dr Rahman menasihati rakyat Terengganu supaya tidak mengabaikan soal kebersihan diri selain memakan makanan dimasak dan dikendalikan dengan betul serta minum air bersih.

“Taun merebak melalui air dan makanan tercemar serta najis manusia, meskipun negeri ini telah pun bebas daripada wabak tersebut, tidak mustahil ia boleh menyerang semula jika aspek kebersihan diri diabaikan.

“Jangan abaikan kebersihan dan apa pun, Jabatan Kesihatan Negeri akan tetap meneruskan tindakan pengawasan dan kawalan supaya wabak ini benar-benar bebas serta tidak lagi menyerang orang ramai,” katanya.

Sinar Harian kelmarin melaporkan negeri ini yang dilanda taun sejak 11 November lalu, kini diisytiharkan bebas wabak itu setelah tiada kes baru dilaporkan sejak dua minggu lalu.

Siasatan mendapati jangkitan taun di negeri ini berlaku kerana pengendali makanan dan orang ramai kurang mengambil berat mengenai penjagaan kebersihan diri dan amalan pengendalian makanan selamat.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan sebanyak 187 kes taun dicatatkan di negeri ini dengan satu kematian sejak wabak tersebut dikesan di negeri ini.

Berikutan penularan taun, Jabatan Kesihatan telah memeriksa 115 premis dan daripada jumlah itu 20 premis terutama kilang ais diarahkan tutup serta merta selama 10 hari.