Saturday, June 12, 2010

LPT sokong aktiviti perniagaan, jimat masa & lebih selamat

Penambahan rangkaian pengangkutan pelbagai mod dan usaha menambah baik sistem jalan raya menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan memberi banyak faedah kepada pengguna.

Setiausaha agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhammad Shaani Abdullah berkata, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Kuantan ke Kuala Terengganu akan menjimatkan masa perjalanan.

“Malah LPT yang dijangka siap pada 2012 akan lebih selamat berbanding jalan yang sedia ada sekarang," katanya dihubungi selepas pembentangan RMK-10 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau berharap pengguna tidak akan dibebankan dengan tol yang tinggi dan kerajaan perlu memastikan sebarang projek yang dilaksanakan bukan pelaburan yang membazir.

Bagi kerajaan Terengganu pula, selain faedah seperti disebutkan, LPT begitu penting bagi membolehkah adanya laluan Singkat Ke Tasik Kenyir.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang pernah melawat pembinaan LPT beberapa bulan lalu menganggap laluan melibatkan pakej 11 dan pakej 12 menghubungkan Batu Hampar ke Gemuroh an mampu memendekkan masa dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Tasik Kenyir.

Jalan singkat berkenaan hanya mengambil masa 35 minit dari LTSM berbanding sejam masa yang diambil ketika ini.
Ini bermakna LPT akan menjadi infrastruktur penting dalam menjadikan Tasek Kenyir sebagai destinasi pelancongan penting bagi Terengganu.

Bagi FOMCA pula, ia menyambut baik langkah kerajaan membina jalan raya dan landasan kereta api baru ke pelabuhan dan lapangan terbang kerana kemudahan itu merupakan satu keperluan.

Selain jalan raya, pembinaan landasan kereta api menyusur ke pelabuhan dan lapangan terbang dapat meningkatkan aktiviti pengangkutan kargo, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Beliau berkata rancangan pembinaan jalan raya yang lain dan juga transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) meliputi kawasan sekitar 20km dari Bandaraya Kuala Lumpur juga akan memberi keselesaan kepada pengguna dan menjimatkan masa perjalanan.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Pengangkutan Malaysia Datuk Zainal Rampak berkata pembentangan RMK-10 adalah bukti jelas bahawa kerajaan mendahulukan rakyat dengan memberi perhatian kepada pembinaan jalan raya baru.

Projek membabitkan pengangkutan dalam RMK-10 dapat menyelesaikan sebahagian daripada masalah kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun kerajaan perlu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.

Katanya walaupun kerajaan akan membina jaringan jalan raya baru tetapi pada masa yang sama masalah kesesakan yang teruk pada waktu puncak perlu diselesaikan.

Menurut laporan RMK-10 yang dibentang di Parlimen semalam (Khamis, 10 Jun 2010), rangkaian pengangkutan pelbagai mod akan terus dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk memperbaiki kecekapan perdagangan dan menambah baik sistem logistik di Malaysia.

Laporan menyebut, kira-kira RM2.7 bilion akan dilaburkan untuk membina jalan raya dan landasan kereta api menyusur ke pelabuhan dan lapangan terbang utama serta pengurusan logistik akan diperbaiki di bawah rancangan pembangunan lima tahun ini.

Ia bertujuan meningkatkan kecekapan pengangkutan kargo melalui landasan kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang.

LPT akan disertai dengan pembesaran Pelabuhan Kuantan akan menyediakan infrastruktur asas untuk menyokong aktiviti perdagangan serta pergerakan kargo di sepanjang koridor pantai timur Semenanjung Malaysia, menurut laporan itu.

Selain itu, Jambatan Kedua Pulau Pinang yang akan siap dibina bagi menghubungkan Seberang Prai dan Pulau Pinang akan meningkatkan perhubungan dan akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Jambatan itu akan merangsang pertumbuhan ekonomi di negeri tersebut manakala Lebuhraya Lembah Kelang Selatan yang dijangka siap pada tahun 2012 pula akan menyediakan hubungan jalan raya kedua ke Pelabuhan Barat di Pelabuhan Kelang di Selangor.

Mengenai pembangunan rel, projek landasan berkembar elektrik akan disambung ke Johor Baharu untuk melengkapkan rangkaian dan meningkatkan kecekapan organisasi serta memudahkan pengangkutan barangan yang bertambah melalui rel dan mengurangkan kesesakan jalan raya.

Apabila projek landasan berkembar elektrik dari Johor Baharu ke Padang Besar berharga RM16.5 bilion siap kelak, peratusan pengangkutan barangan melalui kereta api dijangka meningkat daripada 1.3 peratus ketika ini kepada 10 peratus pada tahun 2015 dan ia juga dapat mengurangkan kos pengangkutan.

Selain itu, transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) meliputi kawasan sekitar 20km dari bandaraya Kuala Lumpur akan dibangunkan dan apabila siap, MRT itu dijangka berupaya menampung dua juta penumpang sehari, menurut laporan itu.

Bagi infrastruktur maritim pula, ia akan dinaik taraf untuk memastikan pelabuhan Malaysia berdaya saing dan kerajaan akan membelanjakan RM1 bilion untuk kerja-kerja pendalaman di laluan kapal bagi memenuhi keperluan kapal besar.

Kerja-kerja menaik taraf akan turut melibatkan Pelabuhan Barat di Pelabuhan Kelang, Selangor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor untuk menyediakan keupayaan tambahan bagi aktiviti import dan eksport barangan, menurut laporan tersebut.

Dalam tempoh RMK-10, pelaburan utama swasta berjumlah RM6 bilion akan merangkumi kerja menaik taraf Pelabuhan Barat, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pulau Pinang.

Bagi pembangunan lapangan terbang, jumlah ketibaan penumpang penerbangan dijangka meningkat daripada 47 juta orang pada tahun 2008 kepada 62 juta orang pada 2015 dan ini memerlukan peningkatan kapasiti lapangan terbang dengan anggaran kos sebanyak RM3.3 bilion.

Sehubungan itu, sebuah terminal penerbangan tambang murah yang baru akan dibina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menampung peningkatan bilangan penerbangan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang akan turut dinaik taraf bagi menyokong pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Pas Akui Belum Mampu Laksana Undang-undang Islam Di Negeri Pakatan Pembangkang

PAS belum mampu untuk melaksanakan undang-undang Islam di negeri yang diperintah pakatan pembangkang, kata presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata parti itu terpaksa mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri.

Malahan beliau menyalahkan kelemahan itu berpunca daripada tekanan daripada kerajaan pusat secara terbuka dan halus.

"PAS yang berjaya memerintah Kelantan, pernah di Terengganu dan Perak, dan terkini memimpin kerajaan di Kedah di samping menyertai kerajaan campuran di Selangor dan Pulau Pinang telah mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri," katanya dalam ucapan dasar merasmikan Muktamar ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, semalam.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan bagaimana bentuk halangan dan tekanan yang dilakukan kerajaan pusat.

Ucapan dasar Abdul Hadi pada muktamar itu, yang bertemakan "Islam Adil untuk Semua", lebih banyak retorik dengan banyak menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) melakukan kesilapan dalam pentadbiran negara.

"PAS wajib berjuang mengembalikan martabat umat Islam ke atas landasan yang sebenar dalam segala lapangan, dan seterusnya memulihkan imej Islam walaupun terpaksa berdepan dengan rintangan," katanya.

Friday, June 11, 2010

Dr Syed Muhammad Haleem tidak serik untuk ke Gaza

Salah seorang sukarelawan Malaysia yang terselamat ketika kapal Mavi Marmara yang menuju Gaza diserang komando Israel, masih mengharap beliau dapat menjejak kaki ke bumi Gaza setelah percubaan pertama kali pada 31 Mei lalu itu gagal dilakukannya.

"Saya menunggu untuk ke sana lagi. Saya dapat tahu akan ada rombongan lebih besar membawa aktivis dan bantuan kemanusiaan akan ke Gaza tidak lama lagi yang diatur kerajaan Turki. Insya-Allah, saya akan ikut serta," kata Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan.

Beliau yang merupakan anggota badan bukan kerajaan pro-Palestin, Haluan Malaysia berada di sini untuk berkongsi pengalaman tentang kejadian ngeri tersebut.

Beliau adalah antara anggota 12 sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal milik Turki berkenaan yang diserang dan kemudian ditawan dan ditahan di penjara Israel sebelum dibebaskan dengan pertolongan negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

"Tidak dapat saya bayangkan bagaimana rakyat Palestin mampu bertahan dengan semua itu (kekejaman Israel)," katanya.

Mengenai pengalamannya itu, Dr Syed Muhammad Haleem berkata sebaik sahaja beliau selesai sembahyang Subuh, beliau dimaklumkan tentang serangan tentera Israel dan terdapat sukarelawan yang ditembak dengan peluru hidup.

"Kami tidak menyangka akan diserang begitu sekali tanpa sebarang amaran terlebih dahulu, tambahan pula kami masih berada di perairan antarabangsa.

"Saya bersama kira-kira 12 doktor perubatan yang ada terpaksa merawat para sukarelwan yang cedera dengan peralatan perubatan yang terhad," katanya.

Menceritakan kisahnya merawat dua tentera Israel yang cedera, yang mungkin terkena tembakan sesama sendiri dalam serangan itu, beliau berkata beliau tidak menyedari mereka tentera rejim.

"Dalam kesibukan merawat pesakit yang semakin bertambah, saya tidak sedar perkara itu, sehinggalah dimaklumkan seseorang.

Bagaimanapun sebagai seorang doktor, saya bertanggungjawab merawat pesakit tidak kira siapa mereka.

"Saya tidak tahu nasib mereka selepas itu kerana ketika kedua-dua komando itu yang sudah dirawat diletakkan di tepi dek kapal, mereka terjun ke laut," katanya.

Sembilan sukarelawan yang menyertai misi talian hayat antarabangsa di atas Mavi Marmara terbunuh sementara hampir 100 yang lain cedera.

Pesalah Trafik Tetap Disenaraihitamkan Walaupun Tidak Terima Notis Saman

Pesalah trafik yang gagal membayar saman dalam tempoh dua bulan akan disenaraihitamkan walaupun mereka tidak menerima notis saman kerana telah bertukar alamat tempat tinggal.

Timbalan Ketua Trafik Persekutuan ACP Mohd Fuad Abd Latiff berkata pemilik kenderaan perlu mengemaskini alamat terakhir mereka dalam kad pengenalan dan lesen memandu bagi mengelak daripada tidak menerima notis saman.

Katanya kegagalan mengemaskini alamat akan menyukarkan proses penghantaran surat atau notis saman yang telah dikeluarkan kepada pesalah trafik.

"Dari sudut perundangan, selepas kamera merakam gambar nombor pendaftaran kenderaan yang dikenalpasti melanggar had laju, misalnya, surat akan dihantar kepada pemilik kenderaan berdasarkan alamat terakhir mereka," katanya
hari ini.

"Sama ada pengguna terima atau tidak (notis saman), kita sudah menjalankan tugas dan dalam tempoh dua bulan, jika gagal memberikan respons, nama mereka akan disenaraihitam," katanya.

Beliau berkata saman yang dikeluarkan itu atau 'saman ekor' perlu dijelaskan sebelum dapat memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan.

Bagi kesalahan pada beberapa tahun lepas, kompaun atau diskaun masih lagi dalam perbincangan bersama pihak berkuasa lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), katanya.

Pengguna jalan raya boleh memeriksa sama ada mereka mempunyai saman trafik atau disenaraihitamkan dengan melayari laman web http://www.rilek.com.my, http://www.myeg.com.my atau http://www.eservices.com.my

Terengganu kutip 2 emas melalu silat

Pesilat Terengganu mempamerkan persembahan yang membanggakan dengan menyumbang dua pingat emas untuk kontinjen negeri itu pada acara terakhir temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-13 hari ini.

Esok akan diadakan upacara pembukaan temasya dwitahunan itu di Stadium Hang Jebat.

Pingat emas diperolehi melalui Mohd Fadzli Ismail dan Nurul Syahidah Hishamuddin, masing-masing dalam acara Solo Kreatif Putra dan Putri.

Sementara itu kontinjen tuan rumah – Melaka - terus mendominasi carta pungutan pingat apabila menambah lagi tiga butir emas untuk mendahului dengan lapan emas .
Bagaimanapun, jiran terdekat Bandaraya Bersejarah ini iaitu Negeri Sembilan terus memberi saingan sengit dalam pungutan pingat setakat ini.

Negeri Sembilan kini mengekori dengan empat pingat emas, manakala Sarawak setakat ini berada di tempat ketiga dengan dua pingat emas.

Melaka terus mendominasi acara wushu apabila meraih tiga daripada tujuh pingat emas yang ditawarkan.

Tiga emas disumbangkan menerusi juara dunia, Hock Mun Hua dalam acara Nandao lelaki, Chai Fong Wei bagi acara Daoshu wanita dan Ng Shin Yii menerusi acara Taijijian wanita.

Sementara Negeri Sembilan menyekat penguasaan penuh Melaka dalam acara wushu pada Sukma kali ini dengan turut meraih tiga pingat emas.

Pingat emas mereka diperolehi melalui acara Jiansu lelaki dan wanita menerusi Phoon E. Yin dan Wong Wen Son manakala sebutir lagi menerusi Tai Cheau Xuen dalam acara Nandao wanita.

Sementara trio Pahang -- Mohd Faiz Abdul Malek, Mohd Taqiyuddin Hamid dan Mohd Firdaus Sabarudin -- meraih pingat emas dalam acara Regu Putra.

Dalam acara Regu Putri, Nur Hidayah Musa, Nuraziemah Abdul Ghani dan NurKhuzaimah Mohd Faeree menyumbang pingat emas pertama Wilayah Persekutuan.

Hari ini, selain wushu dan gimnastik artistik, sebanyak lima acara sukan akan membuka gelanggang masing-masing iaitu angkat berat, renang, terjun, karate-do, lawan pedang dan ekuestrian.

Sebanyak 37 pingat emas lagi menjadi buruan semua atlet.

Acara angkat berat menawarkan satu pingat emas, gimnastik artistik (10), renang (8), terjun (1), karate-do (6), wushu (7), lawan pedang (1) dan ekuestrian (2).

Pinjaman RM1.4 Juta Untuk Pembangunan T'Shop

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan mengeluarkan pinjaman sebanyak RM1.4 juta untuk pembangunan kedai serbaneka (T'Shop) dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Pengurus Besar YPU Azmi Razik berkata ia melibatkan seramai 11 usahawan, dengan kadar pinjaman antara RM50,000 dan RM100,000 seorang.

"Kita masih memproses lapan lagi permohonan daripada usahawan untuk membuka T'Shop tahun ini," katanya di Kuala Terengganu, hari ini.
Azmi berkata ia merupakan pinjaman mudah tanpa faedah, bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan di Terengganu.
Beliau berkata sasaran YPU sehingga tahun 2013 ialah melahirkan 100 usahawan T'Shop yang berjaya, selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada penganggur.

Azmi berkata beliau yakin T'Shop yang menjual produk hasil keluaran Terengganu, akan dapat bersaing dengan kedai-kedai serbaneka popular lain dan maju pada masa akan datang.

Menurut beliau, sambutan orang ramai terhadap T'Shop sangat menggalakkan, dengan kutipan hasil jualan antara RM2,000 dan RM4,000 setiap hari.

Beliau berkata setiap T'Shop kini mampu memberi peluang pekerjaan kepada enam hingga tujuh orang pekerja.

Azmi berkata YPU juga merancang membuka mini T'Shop di kampung-kampung dan kawasan perumahan di seluruh Terengganu pada masa akan datang.

Felcra Akan Ternak Lebih 24,000 Ekor Lembu

Felcra merancang menternak kira-kira 24,000 ekor lembu di Terengganu dalam masa terdekat bagi meningkatkan sumber pendapatan Felcra dan peserta di negeri ini.

Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Timur Mohd Sebri Said berkata Felcra Bukit Kepah di Hulu Terengganu dan di Felcra Kruak, Besut telah dipilih untuk pelaksanaan projek itu.

"Ini merupakan projek ternakan lembu yang pertama Felcra di Terengganu dan di setiap kawasan Felcra yang terlibat, kita akan menternak 12,000 ekor lembu," katanya baru-baru ini.
Mohd Sebri berkata lembu-lembu dari jenis Plasma itu akan diimport dari Thailand dan Felcra akan membelanjakan RM480,000 untuk membina kandang lembu di dua rancangan itu.
Beliau berkata selain daging lembu, Felcra juga mensasarkan untuk memperoleh hasil daripada susu, kulit, dan najis lembu.

Mohd Sebri berkata Felcra juga akan membangunkan kawasan seluas 2,000 hektar di beberapa daerah di negeri ini untuk tanaman sawit membabitkan peruntukan RM30 juta.

Beliau berkata ia akan dibangunkan secara berperingkat iaitu 635 hektar di Kemaman, Hulu Terengganu (400 hektar), Marang (300 hektar) manakala selebihnya di daerah lain.

Kawasan kelapa sawit Felcra yang sedia ada di Terengganu pada masa kini ialah 28,000 hektar dengan jumlah peserta seramai 5,500 orang.

Takaful Malaysia Sasar Tambah Bilangan Ejen

Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) menyasarkan untuk menambah bilangan ejen kepada 1,500 menjelang akhir tahun ini selaras dengan langkah penambahan tiga produk baru pada bulan Mac lepas.

Ketua Pegawai Wilayah Bahagian Pengedaran Peruncitan STMB Wan Azman Wan Mamat berkata dengan pengenalan produk baru itu, iaitu Takaful my Gemilang, Takaful my Graduan dan Takaful my Invest, ia memerlukan lebih ramai ejen terutama di kalangan golongan muda.

"Takaful my Gemilang diperkenalkan untuk pembinaan masa persaraan yang lebih selesa, Takaful my Graduan bagi pelan perlindungan pelajaran anak-anak dan My Invest untuk perlindungan pelaburan dan simpanan.

"Sehubungan itu, kita memerlukan lebih ramai lagi ejen untuk memperkenalkan produk-produk ini kerana didapati golongan muda masih kurang menyedari tentang betapa pentingnya perkhidmatan takaful ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek tuntutan bernilai RM123,244.18 kepada seorang penyimpannya, Allahyarham Mahmud Zaudi, 31, yang telah meninggal dunia tahun lepas akibat kemalangan jalan raya.

Cek disampaikan oleh Wan Azman kepada ibu Mahmud, Mariam Mamat, 56, yang menerima cek tersebut bagi pihak isteri Mahmud di cawangan Takaful Malaysia Kuala Terengganu semalam.

Thursday, June 10, 2010

PPDNKK rampas sandal, baju T tiruan

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri merampas 1,542 pasang sandal Crocs dan 236 helai baju T tiruan yang bernilai RM26,282 selepas menyerbu tujuh buah gerai di tapak karnival Euro Fun Park di Taman Shahbandar dekat Kuala Terengganu malam semalam.

Serbuan diketuai Timbalan Pengarah PPDNKK, Ab. Ghani Harun pukul 8 malam tadi dan turut disertai seramai 25 anggota dan pegawai penguatkuasa.

Katanya, "Ops Gerak Gempur Cetak Rompak dan Barangan Tiruan" itu dijalankan hasil intipan yang dijalankan sejak tiga hari lepas.

"Pada mulanya kita dapati bilangan kasut tiruan yang dijual tidak berapa banyak, mungkin kerana peniaga hendak menguji pihak berkuasa, namun setelah beberapa hari didapati jumlahnya semakin bertambah sehinggalah kita melakukan operasi ini.

"Siasatan awal kita mendapati kesemua peniaga yang terlibat datang dari negeri pantai Barat dan melambakkan barangan tiruan di negeri ini dengan tujuan mencari pasaran baru," katanya semalam.

''Ini merupakan kali pertama pihak kami merampas sandal tiruan daripada jenama Crocs di negeri ini.

"Karnival ini dibuka sejak beberapa minggu lalu, namun apabila mendapati pihak penguatkuasa tidak menjalankan serbuan, peniaganya berani melambakkan dengan lebih banyak bekalan kasut itu," katanya selepas serbuan itu.

Menurut Ab. Ghani, kesemua peniaga barang tiruan itu ditahan untuk soal siasat mengikut Seksyen 3(1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 iaitu membekal atau menawarkan apa-apa barangan palsu.

Jika sabit kesalahan, katanya, mereka boleh didenda maksimum RM100,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

JPV Terengganu CadGuna Teknologi Penternakan Kambing New Zealand

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu akan mengunakan teknologi penternakan kambing di New Zealand pada kalangan penternak di negeri itu bagi mengurangkan kos pengeluaran.

Pengarah JPV negeri Dr Azizol Mohd Sharun berkata antara langkah yang akan diambil ialah menggantikan pelet dengan rumput sebagai makanan ternakan.

"JPV akan bantu mereka mengaplikasikan teknologi itu," katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Beliau berkata langkah itu diharap dapat meningkatkan keuntungan yang diperolehi penternak kambing Terengganu memandangkan pada masa ini pendapatan mereka bagi setiap kilo daging hanya sekitar RM3.

Harga di ladang kira-kira RM14 sekilogram sedangkan kos pengeluaran bagi setiap kilo adalah sekitar RM11. JPV berharap penggunaan teknologi New Zealand ini akan meningkatkan pendapatan mereka, katanya.

Mengulas isu berkaitan Dr Azizol berkata populasi kambing di Terengganu telah meningkat sebanyak 71 peratus daripada 22,060 pada 2006 kepada 73,729 ekor tahun lepas.

Setakat ini kerajaan negeri telah membelanjakan RM31.6 juta daripada RM50 juta yang diperuntukkan untuk projek penternakan kambing negeri, katanya.

Wednesday, June 9, 2010

72 peratus penghidap AIDS/HIV umat Islam

Lebih 70 peratus daripada 87,710 penghidap HIV/AIDS di negara ini adalah daripada kalangan umat Islam, kata Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Zaman Khan.

Mengenai jangkitan di Terengganu, beliau berkata sebanyak 315 kes baru dilaporkan pada tahun lepas.
Angka itu meletakkan Terengganu di tempat keempat tertinggi selepas Kelantan (596), Pahang (431) dan Selangor (378).

Justeru katanya, sambutan Hari AIDS Sedunia pada tahun ini akan menekankan kepada usaha-usaha meningkatkan penglibatan umat Islam dalam semua aspek mengenai penyakit itu bagi meningkatkan kesedaran mereka.

Beliau berkata, lebih membimbangkan laporan sesi khas perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGASS) Deklarasi Komitmen mengenai AIDS menyatakan sembilan rakyat negara ini dijangkiti penyakit tersebut setiap hari.

Juga membimbangkan penularan pada kalangan wanita semakin meningkat iaitu daripada 9.5 peratus pada 2000 kepada 20 peratus pada tahun lepas, katanya ketika berucap pada majlis Hari Memperingati AIDS Sedunia 2010 peringkat kebangsaan, di sini malam tadi.

Beliau berkata, pada tahun 2000 punca utama jangkitan pada kalangan wanita adalah penagihan dadah, namun sejak kebelakangan ini jangkitan menerusi hubungan seks heteroseksual meningkat kepada hampir 30 peratus.

Perkara itu berlaku disebabkan kurangnya keprihatinan dan kerjasama daripada masyarakat untuk melindungi wanita daripada dijangkiti, katanya.

Si bujang yang gilakan seluar dalam wanita, coli

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Supt. Roslan Abd. Wahid (kiri) bersama pegawainya melihat sebahagian daripada seluar dalam wanita yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah suspek kes dadah, di Kuala Terengganu, 8 Jun. - Gambar Utusan

Ini kerja gila atau dia memang ‘gila’?

Pembantu perubatan didapati gemarkan pakaian dalam wanita. Dia sanggup mencuri seluar dalam wanita dan coli.

Pada kejadian semalam, pada mulanya, polis menyerbu rumah seorang pembantu kesihatan awam untuk mencari dadah.

Namun serbuan awal pagi semalam di Marang telah membawa satu penemuan yang mengejutkan apabila beratus-ratus helai seluar dalam wanita dan beberapa helai coli, yang dipercayai dicuri, ditemui dalam almari lelaki bujang itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt. Roslan Abd Wahid berkata, serbuan dijalankan pada 2.45 pagi di rumah milik bapa lelaki itu di Kampung Rawai, Alor Limbat bagi mengesan beliau untuk satu kes dadah.

"Tujuan serbuan itu dijalankan adalah untuk mengesan suspek bagi tujuan pertuduhan di mahkamah, namun hasil pemeriksaan yang dijalankan di rumah itu, polis telah menemui kira-kira 400 helai seluar dalam wanita dan beberapa helai coli dalam almarinya.

"Lelaki berkenaan tinggal seorang dan masih bujang. Setelah soal siasat dijalankan, suspek mengaku telah mencuri sebahagian besar daripada seluar dalam wanita itu ketika bertugas di Dungun dan Marang,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata lelaki itu turut memaklumkan bahawa pakaian dalam tersebut dicuri di sekitar kawasan perumahan di dua daerah berkenaan sejak setahun lalu.

Roslan berkata, paling mengejutkan, lelaki berusia 39 itu mengaku suka mencuri dan menyimpan pakaian dalam wanita kerana gemar memakainya sejak di bangku sekolah menengah lagi, malah ketika ditahan, dia sedang memakai seluar dalam wanita.

"Tetapi fizikalnya tidak mencerminkan dia seorang pondan ataupun gay,” katanya.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati lelaki itu turut positif dadah metaphetamine dan dia ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

"Polis juga sedang menyiasat sekiranya ada laporan dibuat oleh mana-mana wanita berhubung kehilangan pakaian dalam mereka bagi membolehkan polis membuat pertuduhan atas kesalahan mencuri,” katanya.

UMT perkenal sistem e-Cube



















PROF. Dr. Aziz Deraman (kiri) diberi penerangan mengenai jantung semasa melawat pameran 'Hanya Dikau Yang Satu, Sayangilah Jantung Anda' di UMT, Kuala Terengganu, semalam.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti pertama di negara ini yang memperkenalkan sistem pengurusan lanjutan pengajian di kalangan kakitangan secara online yang dikenali sebagai 'e-cuti belajar' (e-Cube).

E-Cube adalah sistem yang membolehkan maklumat pengajian kakitangan dikemas kini dengan pantas selain mempercepatkan pemberitahuan sebarang maklumat serta memudahkan pemantauan oleh pihak universiti.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman berkata, melalui sistem tersebut, kakitangan yang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti dalam atau luar negara boleh mengakses maklumat terkini dari pihak universiti.


Katanya, sistem tersebut juga memudahkan pihak universiti memantau perkembangan serta laporan pengajian mereka secara lebih sistematik.


"Sistem yang baru diguna pakai pada 1 Jun lalu membolehkan kakitangan yang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD mudah untuk mengakses maklumat daripada pihak universiti dan sebaliknya.

"Pelaksanaan sistem tersebut bertujuan mempercepatkan proses pengurusan di kalangan kakitangan universiti itu merangkumi proses memaklum, menerima dan memantau laporan kakitangan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Program Kesihatan 'Hanya Dikau Yang Satu, Sayangilah Jantung Anda' di Dewan Sultan Mizan, UMT di Kuala Terengganu semalam.

Pada program tersebut, lebih 1,000 kakitangan UMT menyertai pelbagai program yang diadakan seperti pemeriksaan kesihatan, pameran, pertandingan bayi sihat dan pertandingan mewarna.

Dalam pada itu, Aziz berkata, dalam usaha menyasarkan lebih 70 peratus warga pendidik di UMT yang mempunyai PhD pada tahun 2015, pelaksanaan e-Cube dilihat amat bertepatan.

Jelas beliau, e-Cube merupakan mekanisme yang paling tepat dilaksanakan memandangkan ia berkonsepkan pengurusan secara online yang lebih mudah, cepat dan praktikal.

"Setakat ini seramai 230 kakitangan UMT masih melanjutkan pengajian mereka dan perlu menghantar laporan pengajian setiap enam bulan.

"Justeru, dengan penggunaan sistem ini dapat membantu mereka mengemas kini laporan dari semasa ke semasa tanpa memerlukan kos yang tinggi berbanding menggunakan sistem talian mahupun secara penghantaran pos seperti sebelum ini," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, penggunaan sistem e-Cube tersebut juga akan dipanjangkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk digunakan di universiti lain.

Polis Perlu Teruskan Siasatan Kes Buang Bayi Di Terengganu

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyarankan agar pihak polis meneruskan siasatan dengan menjejaki lelaki yang bertanggungjawab dalam kes pembuangan bayi di Chendering, Kuala Terengganu, dua tahun lepas.

Beliau berkata walaupun ibu kepada bayi malang itu yang merupakan bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering telah dijatuhkan hukuman, namun kementerian berpendapat kes ini tidak seharusnya tamat begitu sahaja.

"Mesej yang perlu disampaikan kepada masyarakat umum ialah kesalahan bagi kes pembuangan bayi tidak seharusnya diletakkan di atas bahu seorang wanita semata-mata.

"Sebaliknya, pihak lelaki juga mesti dipertanggungjawabkan dan perlu menerima hukuman setimpal atas perbuatan mereka," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.


Shahrizat berkata sudah tiba masanya pihak berkuasa mensabitkan pihak lelaki bersama-sama dengan pihak wanita dalam kes-kes pembuangan bayi.

"Teknologi yang canggih pada masa kini khususnya penggunaan kaedah DNA boleh dimanfaatkan bagi mengenalpasti bapa bayi berkenaan," katanya.

Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM7,000 ke atas Zarina Sulaiman, 22, selepas mengaku bersalah membuang mayat bayi lelaki yang dilahirkannya, dua tahun lepas.

Hospis sedia khidmat rawatan kanser percuma di rumah

Berita baik untuk rakyat Terengganu yang menghidap kanser!

Persatuan Hospis Terengganu menyediakan khidmat rawatan kepada penghidap kanser di rumah pesakit secara percuma bagi mengurangkan penderitaan dan kesakitan yang ditanggung.

Yang Dipetuanya, Toh Puan Dr Rahmah Elias berkata, perkhidmatan rawatan ke rumah pesakit yang disediakan pihaknya tidak sama seperti perkhidmatan yang disediakan persatuan hospis di negeri lain.

“Perkhidmatan yang kita sediakan adalah dengan pergi sendiri ke rumah pesakit dan kaedah ini tidak sama dengan negeri lain yang mempunyai hospital sendiri.

“Menerusi lawatan ini kita turut menyalurkan bantuan tetapi bukan dalam bentuk wang sebaliknya kita cuba membantu pesakit mendapatkan bantuan yang diperlukan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Hospis Terengganu 2010 di Primula Beach Hotel, kelmarin.

Dr Rahmah berkata, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan pakar rujuk bagi pesakit.

Justeru, pihak tertentu yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu boleh menghubungi ahli persa-tuan.

“Kita turut menyediakan perkhidmatan sokongan di rumah seperti pemberian ubat dan sesi kaunseling kepada pesakit dan keluarga mereka.

“Perkhidmatan pinjaman peralatan seperti ‘oxygen concentrator’, kerusi roda, ‘commode’ dan katil juga disediakan,” katanya.

Bagi membolehkan pesakit kanser menikmati perkhidmatan yang disediakan cawangan persatuan turut diwujudkan di Kemaman selain sedia ada.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan terutama bekas penghidap kanser atau ahli keluarga mereka untuk menyertai Persatuan Hospis Terengganu bagi membantu pesakit kanser di negeri ini.

“Khidmat sukarelawan diperlukan untuk menghantar pesakit menerima rawatan di hospital.

“Ia penting bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan selain memberi sokongan rohani dan jasmani kepada pesakit,” katanya.

Pantai Geliga diwarta santuari penyu

Jabatan Perikanan Terengganu akan meminta kerajaan negeri mewartakan Pantai Geliga di Kemaman sebagai kawasan santuari penyu di negeri ini.

Pengarahnya, Zakaria Ismail berkata, permintaan itu dibuat kerana kawasan Geliga merupakan kawasan yang mencatat jumlah pendaratan penyu yang tinggi di Terengganu pada masa kini.

"Sebelum ini kita telah mewartakan dua kawasan sebagai santuari penyu," katanya semalam.
Mengenai pendaratan penyu di Terengganu tahun ini, beliau berkata, sehingga Mei lepas, sebanyak 21,480 biji telur penyu telah dikutip dan diramkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,028 biji berjaya ditetaskan.

Kesemua anak penyu yang ditetaskan itu dilepaskan ke laut, katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata, lebih 10,000 pelawat dijangka melawat Pusat Penerangan Penyu di Rantau Abang tahun ini.

Pada tahun lepas, seramai 9,979 pelancong melawat pusat penerangan itu iaitu 8,959 pelawat tempatan dan 1,020 pelawat luar negara.

Tuesday, June 8, 2010

Sukma: Skuad Bola Sepak Terengganu Benam Kelantan 4-0

Bola sepak menjadi acara pembuka tirai Sukan Malaysia ke-13 dengan menyaksikan juara bertahan Terengganu membenam Kelantan 4-0 pada perlawanan Kumpulan C di padang Sekolah Menengah Seri semalam.

Terengganu yang terpaksa bermain dengan 10 orang setelah pemainnya Mohd Nuralif Zainal Abidin diperintah keluar padang pada minit ke-40, membuka jaringan menerusi Mohd Firdaus Mohd Faudzi pada minit ke-29 sebelum Shamsul Kamal Muhammad menjaringkan gol kedua Terengganu pada minit ke-58.

Pesta gol Terengganu dilengkapkan oleh Joseph Kalang Tie yang meledak dua gol pada minit ke-55 dan ke-90.

Dalam saingan Kumpulan A, Kedah hanya mampu seri 2-2 dengan Wilayah Persekutuan dalam perlawanan sengit di Stadium Tun Fatimah di sebelah pagi di mana Kedah membuka tirai jaringan menerusi ketua pasukan yang juga pemain Liga Super, Muhammad Shafiq Jamal pada minit ke-12.

Wilayah Persekutuan menggandakan asakan dan hasilnya pada minit ke-62, Yong Kuong Yong menyamakan kedudukan 1-1 untuk Wilayah Persekutuan yang kemudiannya dibalas pula oleh Kedah dengan gol hasil jaringan Mohd Hisham Mohd Shofi pada minit ke-78 untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Namun nasib tidak menyebelahi Kedah apabila pemain gantian Wilayah, Mohd Badrul Hisyam Azmi menyamakan kedudukan 2-2 untuk Wilayah Persekutuan pada minit ke-89.

Dalam aksi kumpulan yang sama di sebelah petang pula, Perak menewaskan Perlis 1-0 hasil jaringan S. Savirimuthu pada minit ke-82.

Dalam perlawanan Kumpulan D di Stadium Hang Tuah petang tadi, Selangor membelasah Sabah 4-0 di mana Selangor memperolehi gol pertama melalui jaringan Wan Mohd Hoesne Wan Hussain pada minit ke-26.

Pemain pasukan Liga Super Selangor, Faderin Kadir muncul wira pasukan apabila meledakkan dua gol pada minit ke-31 dan 84, manakala Muhammad Shafiq Abd Samad melengkapkan kemenangan bergaya Selangor dengan gol keempat pada minit ke-92.

Dalam satu lagi perlawanan dalam kumpulan yang sama, tuan rumah Melaka menang tipis ke atas Sarawak 1-0 hasil jaringan Mohd Hilmi Rosli pada minit ke-33.

Dalam saingan Kumpulan B pagi tadi, menyaksikan Negeri Sembilan seri 1-1 dengan Johor dalam perlawanan yang dicemari dengan layangan tujuh kad kuning kepada pemain kedua-dua pasukan serta satu kad merah kepada pemain Johor S.Kumaresan.

Johor yang terpaksa bermain dengan 10 orang terlebih dahulu membuka jaringan oleh Mohd Faizol Hussain pada minit ke-51 manakala Mohd Firdaus Azizul menyamakan kedudukan untuk Negeri Sembilan menerusi jaringan pada minit ke-74.

Saingan bola sepak bersambung esok.

Monday, June 7, 2010

LHDN siasat Patrick Lim

Daripada Merdeka Review

Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjejak pejabat Patrick Lim Soo Kit di Serdang, Selangor, baru-baru ini untuk menyiasat dan mengambil beberapa dokumen dari bilik peribadinya, menurut sumber yang enggan didedah namanya.

Sumber maklumat memberitahu MerdekaReview, Patrick Lim (gambar kanan) bangkit semasa zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, malah dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga bekas Perdana Menteri ini, kini berdepan dengan siasatan LHDN yang boleh mencungkil pelbagai tafsiran dari segi politik.

Akhbar mingguan, The Edge sebelum ini melaporkan bahawa LHDN sedang mengadakan siasatan mengejut terhadap beberapa orang usahawan yang "untouchables" (tidak boleh disentuh) sebelum ini, berikutan kelewatan dalam pembayaran cukai atau cukai terkurang lapor.

Sebagaimana yang diketahui, unit Intelligence and Investigation di bawah LHDN kini melancarkan serbuan mengejut dengan waran menggeledah (Search Warrant) ke atas usahawan-usahawan ini, setelah menguasai maklumat penyelewengan berdasarkan desk audit yang dijalankan.

Tindakan serbuan ini dijalankan berdasarkan Akta Cukai Pendapatan 1967, yang memperuntukkan kuasa kepada pegawai LHDN untuk memasuki bangunan dan menggeledah dokumen.

Mengikut maklumat yang diperolehi, pejabat usahawan-usahawan yang terbabit ini akan disiasat pejabatnya oleh satu pasukan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 15 orang pegawai. Dua pasukan yang lain akan bertanggungjawab untuk bertemu dengan juruauditnya, dan menziarahi rumah sesetengah pengarah syarikat. Secara keseluruhannya, pasukan penyiasat ini terdiri daripada 30 orang.

Pada April 2010, satu media bahasa Inggeris melaporkan LHDN melancarkan siasatan mengejut ke atas pemaju utama Cyberjaya, Setia Haruman Sdn Bhd. Sebagaimana yang diketahui, siasatan LHDN bermula setelah mendapati maklumat berhubung pencukaian antara Setia Haruman dengan pihak ketiga. Tetapi, Setia Haruman menjelaskan kemudian bahawa mereka disiasat kerana kelewatan dalam pembayaran cukai.

Tindakan LHDN untuk menyiasat mereka yang "tidak boleh disentuh" ini bertujuan untuk menyampaikan satu mesej, iaitu LHDN akan mengambil tindakan dalam hal pencukaian negara, tidak kira sama ada pembayar cukai ini mempunyai lindungan politik atau tycoon.

Hubungan akrab dengan Abdullah-Khairy

Tiada maklumat untuk mengesahkan sama ada Patrick Lim Soo Kit terlibat dalam tax evasion, malah sejauh mana besar angkanya. Namun, menurut sumber maklumat, tindakan ini mungkin hasil daripada pergelutan kuasa politik, dengan motif untuk mencantas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, menantu Abdullah Ahmad Badawi.

Pejabat Patrick Lim dimiliki Taman Equine Sdn Bhd, iaitu anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Equine Capital Berhad. Patrick Lim adalah pemegang saham Equine Capital, pernah menjawat Pengerusi dan Pengarah Eksekutif syarikat tersebut. Namun, beliau meletak kesemua jawatannya pada Oktober 2008, dan kekal sebagai pemegang saham yang kini memiliki hampir 14% sahamnya.

MerdekaReview gagal menghubungi jurucakap LHDN, malah staf Taman Equine Sdn Bhd enggan mengulas isu ini dengan alasan Patrick Lim bukan lagi pengarah syarikatnya.

Hubungan komersial antara Patrick Lim dengan Khairy adalah rapat. Kedua-dua mereka dituduh mengadakan Monsoon Cup Antarabangsa, yang menelan kira-kira RM200 juta semasa zaman Abdullah menjawat PM. Suara pertikaian tersebar luas kerana aktiviti ini dikatakan melibatkan wang royalti minyak, sehingga Patrick Lim digelar sebagai "Patrick Badawi" pada ketika itu.

Selain itu, Patrick Lim mendapat banyak projek di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menerusi Equine Capital, termasuk pembangunan tanah Crescentia Park yang bernilai RM800 juta dan pembangunan semula padang lumba kuda Pulau Pinang yang bernilai RM25 bilion.

Antaranya, syarikat Abad Naluri Sdn Bhd di bawah Equine Capital telah memperolehi projek pembinaan semula padang lumba kuda. Meskipun Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Jabatan Perancangan Pembangunan belum meluluskan projek membangunkan Penang Global City Centre (PGCC) di padang lumba kuda, namun Patrick telah berjaya mengundang Abdullah Ahmad Badawi untuk merasmikan projek PGCC di Bukit Gantong.

Akibat hakisan kuasa Abdullah

Patrick Lim menafikan dirinya memperolehi projek PGCC kerana hubungannya dengan kuasa politik ketika ditemuramah akhbar mingguan The Edge. Namun, pertikaian tidak reda lantaran penafian ini.

Pertikaian yang tercungkil termasuklah mengapa syarikat kecil seperti Equine Capital mampu memperolehi projek hartanah yang bernilai RM25 bilion? Malah, syarikatnya membeli tanah keemasan ini dengan harga RM43/kaki persegi, padahal harga tanah ini bersamaan dengan harga tanah di Mont Kiara yang lebih daripada RM250 / kaki persegi.

Bagaimanapun, PGCC diketepikan setelah kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas PRU ke-12. Equine Capital telah menjual 25% saham Abab Naluri Sdn Bhd (yang bertanggungjawab ke atas PGCC) kepada Kiara Ikhtisas Sdn Bhd dengan RM 2 juta pada 20 Oktober 2008.

Lebih-lebih lagi, kuasa Abdullah Ahmad Badawi semakin terhakis selepas "tsunami politik". Patrick Lim meletak jawatan sebagai pengerusi syarikat dan Pengarah Eksekutif pada 10 Oktober 2008, malah mengurangkan pegangan sahamnya dari 28.89% pada 10 September 2008 kepada 13.93% pada 14 Oktober 2009.

Patrick Lim semakin low profile selepas itu, sehingga media tempatan melaporkan bahawa beliau bersama rakannya membeli ProMatch Tour Ltd daripada F10 Holdings Ltd, menerusi syarikat mereka di HongKong, iaitu Regal Faith Ltd, barulah beliau menjadi tumpuan pasaran semula.

Artikel asal yang disiarkan pada 26 Mei 2010.





Buang Bayi - Graduan UiTM Di Penjara Setahun

Zarina Sulaiman menutup muka sambil diiringi oleh polis selepas dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM7,000 atas kesalahan membuang mayat seorang bayi lelaki di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Terengganu, 7 Jun. – Gambar Utusan.

Seorang graduan universiti dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah membuang mayat bayi lelaki yang dilahirkannya, dua tahun lalu.

Tertuduh Zarina Sulaiman, 22, seorang graduan Universiti Teknoloji Mara (UiTM), kelihatan menangis ketika hukuman dijatuhkan oleh Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Asrama Sutera UiTM Cawangan Chendering, Kubang Ikan, Chendering, dekat Kuala Terengganu, antara pukul 11 malam dan 12 malam, 29 Januari 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebelum menajtuhkan hukuman, Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud @ Mamat memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan ia satu kesalahan yang serius walaupun tertuduh berusia 19 tahun ketika kejadian itu.

Katanya, dengan hukuman itu ia diharap dapat memberi pengajaran kepada masyarakat sekeliling agar tidak melakukan perbuatan yang sama.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Mohd Hayyatuddin Muhammad merayu agar tertuduh yang berasal dari Kampung Felda Cherul, Kemaman, dijatuhkan hukman ringan memandangkan tertuduh telah menyesal dan ia merupakan kesalahan pertama.

"Semasa kejadian juga dia masih di bawah umur dan merupakan gadis kampung yang menjadi mangsa kerana terlalu percaya terhadap kata-kata manis seorang lelaki," katanya.

Katanya, mayat bayi yang ditemui dalam keadaan terbakar separuh badan di kawasan pembuangan sampah di asrama itu oleh seorang tukang sapu juga bukan dibakar oleh tertuduh.

Selain itu Mohd Hayyatuddin berkata, Zarina yang berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Diploma Sains Fizik tahun lalu, telah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang yang sama.

Katanya, hukuman penjara akan memburukkan lagi keaadaan dan ia akan menjejaskan masa depan tertuduh, selain berhadapan dengan cemuhan masyarakat sekeliling.

Majistret kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini dan ayah tertuduh telah membayar denda itu.

UMT sertai Sispa memenuhi sasaran 100,000 anggota JPAM

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) melakukan pembaharuan dalam program Siswa Siswi Pertahanan Awam (Sispa) bagi menarik lebih ramai sukarelawan di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Katanya program berkenaan menawarkan jam kredit kepada anggota Sispa dan pangkat Leftenan (sukarelawan) setelah mengikutinya selama empat semester.

"Tiga IPTA iaitu Universiti Teknologi Mara (Kampus Induk Shah Alam), Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Terengganu menyertai program itu menerusi kerjasama JPAM dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Saya meminta JPAM di setiap negeri mencadangkan program ini kepada semua IPTA di kawasan masing-masing agar ia dapat diperluaskan," kata Ketua pengarahnya Datuk Abdul Halim Abdul Hamid.

Menurutnya inisiatif itu untuk menjadikan Sispa setanding dengan program-program badan beruniform lain di IPTA seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan Kursus Pegawai Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis).


Sementara itu JPAM mensasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 100,000 anggota sukarelawan setiap tahun.

Beliau berkata pada masa ini dianggarkan 80,000 anggota sukarelawan JPAM di seluruh negara.

"Kita perlukan lebih ramai anggota sukarelawan bagi menjalankan tugas dengan lebih cekap dan berkesan," katanya selepas perhimpunan bulanan JPAM Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Turut hadir ialah pengarah JPAM Negeri, Mat Zin Bujang.

Sementara itu, Abdul Halim berkata masih terdapat ruang untuk penambah baikan berhubung pembabitan anggota sukarelawan di kalangan pekerja sektor swasta.

Beliau berkata majikan terutamanya yang terbabit dalam operasi pengilangan disaran mengambil inisiatif menubuhkan pasukan tindak balas kecemasan pertahanan awam di premis masing-masing.

"Sebahagian syarikat swasta mungkin kurang berminat melaksanakan inisiatif berkenaan kerana ia melibatkan kos dan perlu menghantar pekerja mengikuti latihan. Kita tidak boleh paksa pihak majikan menubuhkannya, namun, sekiranya mereka berminat, JPAM sentiasa bersedia membantu," katanya.


Bacaan Yasin & Tahlil Majlis AIDS Malaysia esok

Majlis Aids Malaysia akan menganjurkan majlis bacaan yasin dan tahlil di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, esok.

Pengurus Jabatan Komunikasi dan Medianya, Shabana Palpanaban berkata, majlis bertema Sinar Harapan Untuk Hak Kemanusiaan itu diadakan sempena sambutan Hari Memperingati Aids Sedunia 2010.
Katanya, satu pameran mengenai HIV/AIDS juga akan diadakan di ruang legar masjid berkenaan.
''Majlis bermula pukul 5 petang dan berakhir kira-kira pukul 10 malam.

''Ia akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Beliau memberitahu, pihaknya mengadakan majlis itu bagi mewujudkan dan meningkat kesedaran mengenai penyakit berbahaya tersebut.

Katanya, ini kerana sebanyak 87,710 orang di negara ini telah dijangkiti HIV sehingga 2009 dan 13,394 kematian dilaporkan berkaitan AIDS.

Beliau berkata, lelaki merupakan jumlah paling ramai dijangkiti HIV dengan 92 peratus kes manakala wanita dan gadis kurang daripada 10 peratus kes.
''Sebanyak 35.9 peratus kes jangkitan berlaku di kalangan golongan muda antara umur 13 hingga 29 tahun," katanya.

Justeru, katanya, majlis itu diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran penduduk di negeri ini.


Skrin layar besar di Dataran Shahbandar

(Utusan Malaysia)

Mohd. Azlan Dagang bersama anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Darul Falah bergambar kenangan di Tapak Permainan Euro Fun Park, Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu, malam kelmarin.


Dalam usaha menghidupkan suasana malam di Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu sebuah skrin layar besar dibina untuk siaran program-program berbentuk kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Mohd. Azlan Dagang berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM800,000 untuk pembinaan skrin layar tersebut.

Katanya, skrin itu merupakan salah satu alternatif memastikan kawasan bandar raya itu 'hidup', selain memastikan peningkatan dan pembangunan ekonomi negeri.

Beliau berkata, ia akan mula beroperasi dengan penyiaran perlawanan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 11 Jun ini.

''Skrin besar dibina untuk mencipta keindahan kawasan di Shahbandar dan orang ramai boleh membawa keluarga untuk meluangkan masa di sana. Kita turut menyediakan program Astro.

"Kita atur supaya malam di Kuala Terengganu lebih hidup dan usaha ini untuk memastikan gejala mat rempit berkurangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Lawatan Khas bersama Anak- Anak Yatim Darul Falah ke Tapak Permainan Euro Fun Park dan Tapak Ekspo Usahawan Tani di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu malam semalam.

Konsep baru itu dilihat mampu menarik pelancong dan penduduk di kawasan berdekatan merasai keindahan malam di bandar raya ini.

Wartawan jangan memfitnah, bohong

Ahmad Said meminta tanda tangan penulis pada buku yang mereka hasilkan, selepas dilancar.

Wartawan di seru bergabung dalam satu pertubuhan yang kuat agar suara dan perjuangan mereka lebih berkesan dan padu.

Jika banyak persatuan, ia bagaikan ‘lidi sebatang’ dan suara mereka menjadi kurang berkesan kerana jika ‘lidi seberkas’ ia akan menjadi kesatuan yang kukuh.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata sebagai wartawan mereka adalah kumpulan istimewa kerana pena mereka lebih tajam daripada mata pedang.

Sumbangan mereka terbukti dengan tulisan wartawan yang berjaya menumbangkan Malayan Union dan tuntutan kemerdekaan.

“Bagaimanapun janganlah kemahiran yang ada pada wartawan digunakan untuk memfitnah, berbohong dan menjatuhkan orang yang tidak berdosa.

Sebaliknya wartawan adalah kumpulan yang boleh mengubah suasana politik dan menjamin ia menguntungkan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada jamuan Malam Persatuan Wartawan Terengganu (PEWARTA) di Sri Iman, Kuala Terengganu yang disertai lebih 450 tetamu malam semalam.

Pada majlis itu, selain meraikan wartawan seluruh negeri dan dari Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur, turut diadakan anugerah wartawan dalam empat kategori – berita, rencana, puisi dan drama.

Turut diadakan ialah anugerah untuk tokoh masyarakat dan tokoh politik paling lama.

Selain itu, pelancaran buku dan sebuah majalah turut dilakukan oleh Menteri Besar.

Ahmad Said berbangga kerana PEWARTA walaupun kecil bilangan ahlinya iaitu 70 orang sahaja tetapi sepanjang dua tahun lalu menghasilkan 26 judul buku pelbagai tajuk mengenai Terengganu.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah seperti hamper dan tiket penerbangan ke Subang dan Jogjakarta sumbangan Firefly dan Penerbangan Malaysia (MAS).

Pemenang tikel kapalterbang ke Jogjakarta sumbangan MAS.

200 Pendatang Asing Cuba Rusuh Di Depot Tahanan Imigresen Ajil

Hampir 200 warga asing yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen Ajil, di Hulu Terengganu, cuba merusuh dan meloloskan diri dari pusat tahanan itu dalam kejadian bermula pukul 9.30 malam semalam.

Tindakan agresif dipercayai dua dari kumpulan rakyat Vietnam dan Myanmar yang bergaduh sesama sendiri itu bagaimanapun dapat dihalang pihak berkuasa.

Pengarah Imigresen Terengganu, Mahasan Mustapa berkata kejadian dipercayai bermula daripada pergaduhan dua pendatang asing tanpa izin Vietnam yang baru dimasukkan ke pusat itu.

"Pergaduhan bagaimanapun merebak kepada hampir 200 tahanan di blok lain. Mereka cuba memecahkan pintu dan ada daripadanya mengambil peluang untuk melarikan diri daripada depot berkenaan namun cubaan mereka gagal.

"Dalam kejadian itu, satu pintu blok dipecahkan bagaimanapun mereka tidak dapat melepasi dua lagi pintu dan gril di situ," katanya semalam.
Katanya keadaan dapat dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 12 malam tadi dengan bantuan pihak polis.

Katanya kes itu dirujuk kepada Kedutaan Vietnam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kira-kira lapan pendatang asing Vietnam cedera ringan dalam kejadian itu, dipercayai daripada tindakan ganas mereka memecahkan pintu itu.

Dalam kejadian itu sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang turut dihantar ke depot berkenaan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan penghuni cuba membakar pusat itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Pauzan Ahmad berkata panggilan diterima kira-kira pukul 10.15 malam dan anggotanya hanya pulang pukul 3 pagi setelah keadaan benar-benar terkawal.

Sementara itu, seorang saksi, Aminuddin Deraman,50, yang berniaga buah berhampiran depot tahanan itu berkata beliau mendengar bunyi bising kira-kira pukul 9 malam.

"Bunyinya kuat dengan hiruk pikuk dari arah dalamnya, tidak lama kemudian saya nampak polis datang dan hampir tengah malam keadaan kembali tenang," katanya.

YT sediakan RM3j untuk pelajar diploma

Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu akan menyampaikan bantuan persediaan sebanyak RM3 juta kepada 4,000 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.
Ia akan diadakan pada 16 Jun ini di Kompleks Sukan Gong Badak dekat Kuala Terengganu.

Felcra Hidupkan Semula Tilawah Al-Quran, Pakej Umrah Untuk Johan

Johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan Felcra Berhad yang akan diadakan buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun oleh agensi itu akan dihantar menunaikan ibadah umrah.

Anggota Lembaga Pengarahnya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata seramai 18 qari dan qariah akan mengambil bahagian dalam majlis itu yang dijangka diadakan di Felcra Seberang Perak pada 27 Jun ini.

Kira-kira RM700,000 diperuntukkan untuk program tilawah yang bertujuan menanam perasaan cinta pada kalangan peserta-peserta Felcra terhadap kitab suci al-Quran, katanya selepas Majlis Tilawah al-Quran Felcra Berhad Wilayah Timur, di Kuala Terengganui malam tadi.

Beliau berkata sehingga kini majlis tilawah telah diadakan di Sabah, Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan, Pahang dan Terengganu.

Pada majlis tilawah malam tadi, Mat Hasan Abdul Rahman dan Hamidah Daud muncul johan qari dan qariah Wilayah Timur.

Kedua-duanya yang mewakili Felcra Bukit Tadok, Rantau Panjang, Kelantan membawa pulang wang tunai RM1,00, sijil dan al-Quran.

Guna teknologi moden ternak burung walet

utusanterengganu@utusan.com.my

Penggunaan peralatan berteknologi tinggi dan moden dalam perusahaan ternakan sarang burung walet mampu mengatasi kegagalan lebih kurang 70 peratus pengusaha industri itu di negara pada masa kini.

Ini kerana menurut kajian seorang konsultan penternakan burung walet, Phang Kam Wah yang juga merupakan pengasas Syarikat Nest Tech System Sdn. Bhd., melalui penggunaan peralatan berteknologi moden, ia membolehkan penternak sarang burung walet dijalankan secara semulajadi dan tidak mengganggu persekitaran.
Katanya, ia juga dapat meningkatkan hasil yang lebih baik berbanding menggunakan kaedah tradisional seperti yang dijalankan di Indonesia.

''Walaupun industri penternakan sarang burung walet dipelopori oleh Indonesia sejak 60 tahun lalu, namun mereka masih menjalankan penternakan secara konservatif dan tradisional.

"Ini menyebabkan hasil yang diperolehi tidak memberangsangkan malah sebanyak 80 peratus pengusaha mengalami kegagalan," katanya pada Seminar Penternakan Sarang Burung Walet Berteknologi Tinggi di Wisma Seri Amar di Kuala Terengganu kelmarin.

Turut hadir, Presiden Persatuan Perdagangan Burung Walet Negeri Terengganu, Datuk Tok Teng Sai.
Mengulas lanjut, Kam Wah berkata, peluang pengusaha dalam industri penternakan sarang burung walet amat cerah apabila teknik penternakannya di negara ini semakin berkembang dan berinovasi.

Katanya, teknik pengurusan rumah burung walet di negara yang semakin teratur menjadikan industri tersebut lebih baik berbanding negara-negara pengeluar lain.

"Melalui kaedah penternakan rumah burung walet berteknologi tinggi, pengusaha hanya terdedah kepada risiko kegagalan sebanyak 30 peratus sahaja dan sebarang masalah yang timbul lebih mudah dikesan dengan penggunaan alatan moden.

"Antara peralatan yang boleh digunakan ialah sistem kawalan kelembapan jenis ionizer, sistem penyejukan bumbung automatik, cecair penyingkir rumah walet, penguji kelembapan dan suhu, corong pembesar suara jarak jauh, sarang burung palsu dan papan walet sudut khas," jelasnya.

Dengan adanya Garis Panduan Industri Burung Walet yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi, beliau yakin industri itu bakal memberi pulangan kepada negara amnya dan pengusaha tempatan khasnya.

YT sediakan 209 tempat, 900 pelajar lepasan SPM bersaing

Seramai 896 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak mengikuti kursus pengajian di dalam dan luar negara bakal bersaing untuk mengisi 209 tempat yang ditawarkan.

kesemua mereka akan dinilai melalui temuduga atau kursus jangka pendek oleh pegawai dari Yayasan Terenganu (YT), ahli akademik dari IPT serta pegawai perubatan berdasar kursus dipohon.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, YT menerima sebanyak 1,211 permohonan daripada pelajar lepasan SPM sebelum ini yang mahu mengikuti kursus perubatan dan kursus lain di Timur Tengah, Rusia, Nottingham, Maghribi, Jordan, kursus A-Level di 10 universiti terbaik di dunia serta beberapa kursus di bawah Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

“Ini menggambarkan pencapaian kita dalam SPM bukan sahaja meningkat dari segi kuantiti, tetapi juga dari segi kualitinya berbanding tahun lepas,” katanya di Wisma Darul Iman, Rabu lalu.

Mengulas lanjut, pihaknya akan membuat permohonan kepada MAS untuk menambah 20 tempat lagi kepada pelajar di negeri ini yang memohon untuk kursus juruterbang, memandangkan MAS hanya menerima 20 permohonan buat masa ini.

“Kita menerima sebanyak 103 permohonan, yang layak dipertimbangkan hanya 61 orang dan tempat yang ditawarkan hanya 20 sahaja. Kita akan membuat permohonan untuk menambah 20 tempat lagi untuk kursus juruterbang menjadikannya 40,” katanya.

Menurut Ahmad, selain itu, kursus jurutera menerima permohonan paling tinggi di bawah kendalian MAS iaitu 219 orang, namun 203 pemohon yang layak untuk menempatkan diri di 20 tempat ditawarkan, manakala kursus juruteknik pula ditambah kepada 10 tempat daripada 20 tempat yang disediakan sebelum ini

Ahmad berkata, bagi pelajar yang berjaya ke Universiti Nottingham, mereka akan mengikuti kursus selama dua tahun di IPT tersebut dan dua tahun di IPT dalam negara.

Melalui penilaian awal, katanya, hanya 16 pelajar yang layak daripada 89 permohonan yang diterima untuk melanjutkan pe-ngajian di sana dan akan dinilai semula bagi mengisi 10 tempat yang ditawarkan.

FAMA Terengganu sasar jualan pasar tani RM18j

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri menyasarkan jualan sebanyak RM18 juta berikutan pembukaan empat lagi tapak pasar tani di seluruh negeri sehingga hujung tahun ini.

Pengarah FAMA negeri, Hasan Jusoh berkata, sepanjang tahun lalu, nilai jualan lebih 10 pasar tani sedia ada di seluruh negeri mencecah RM16.2 juta.

Katanya, dengan peningkatan dari tahun ke tahun, pihak FAMA yakin inisiatif mengadakan pasar tani di setiap daerah membolehkan produk-produk yang dihasilkan pengusaha kecil-kecilan mampu diketengahkan.

''Terbaru kita telah membuka dua pasar tani iaitu di Bukit Kenak dan Kuala Ping, Hulu Terengganu serta empat lagi bakal di buka di Dungun, Ajil manakala dua lagi di Besut.

''Kita menjangkakan dengan pembukaan pasar tani tersebut dapat membantu menyediakan platform kepada usahawan-usahawan untuk menjual produk mereka selain memberi peluang kepada mereka mengetengahkan produk-produk mereka kepada masyarakat luar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid Datuk Wan Salleh merasmikan Majlis Pelancaran Ekspo Usahawan Tani Negeri Terengganu 2010 di Dataran Shah Bandar semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Mohd. Dagang.
Sebanyak 112 usahawan dari seluruh negeri menyertai ekspo tahunan itu yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 6 Jun ini.

Ekspo yang dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam itu menyediakan pelbagai pilihan produk berasaskan tani seperti herba, minuman, buah-buahan, makanan, ikan hiasan dan kraftangan.

Dalam pada itu, Hassan berkata, FAMA negeri kini dalam usaha memperkembangkan produk berasaskan ikan air tawar yang semakin mendapat permintaan di seluruh negara.

Katanya, pada masa kini Pasar Tani Padang Hiliran, dekat sini menjadi lokasi tumpuan utama di negeri ini untuk mendapatkan produk berkenaan.

''Setakat ini kita mempunyai sebanyak 12 peserta yang terlibat dalam perusahaan ikan air tawar dan kesemua mereka sedang giat mempromosikan produk itu.

"Antara produk yang dihasilkan ialah ikan keli pekasam dan salai yang semakin diminati pengguna," jelasnya.

FAM gantung Abdul Manaf, Peteh kesal

Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) berasa kesal dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menggantung penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat sebanyak sepuluh perlawanan.

Setiausaha Peteh, Wan Azmi Wan Ngah berkata, tindakan FAM agak melampau berikutan mengenakan tindakan yang tidak setimpal di atas kesalahan yang dilakukan.

“Kami berpendapat, FAM sepatutnya hanya me-ngenakan tindakan yang dirasakan wajar dan setimpal di atas kesalahan itu dan bukannya dengan menggantung sepuluh perlawanan serta denda RM6,500,” katanya kelmarin.


Sinar Harian memetik Wan Azmi sebagai berkata, tindakan yang dikenakan FAM umpama membunuh kerjaya pemain bola profesional negeri.

“Tindakan itu akan merugikan pihak persatuan negeri dan pemain sendiri apabila pemain muda berpotensi tidak layak beraksi sehingga menjejaskan kehadiran penonton ke stadium,” katanya.

Katanya, sepatutnya FAM memberi peluang kepada pemain membuat ra-yuan dan memohon maaf tidak mengulangi perbuatan seumpama itu lagi.

“FAM perlu mengkaji punca sebenar kesalahan yang dilakukan pemain tersebut dengan me-ngambil kira kesalahan pengadil yang mengadili perlawanan selain perlu membuka ruang kepada pemain untuk membuat rayuan,” katanya.

Menurutnya, Abdul Manaf digantung sepuluh perlawanan dan denda RM6,500 di atas kesalahan mengeluarkan kata kesat dan meludah pengadil.

“Tindakkan FAM dianggap tidak profesional kerana pemain yang pernah berkhidmat kepada pasukan negara dikenakan tindakan tidak wajar apatah lagi FAM lewat memaklumkan hukuman tersebut.

Wan Azmi berkata, pihak persatuan bola sepak negeri perlu melakukan sesuatu supaya pemain itu dapat beraksi semula bagi membantu pasukan negeri.