Friday, March 4, 2011

Imam, Bilal Penting Memupuk Perpaduan Rakyat, Membina Umat Berdaya Maju Di Terengganu

Analisis HAMBALI ABDUL LATIFF

Ada beberapa perkara menarik pada Bicara Eksekutif : Multaqa Yang Amat Berhormat Menteri Besar bersama Imam dan Bilal di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam petang Isnin (28 februari 2011) lalu.

Pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said seakan sengaja menimbulkan persoalan - kenapa orang bukan Islam tidak berbalah mengenai agama mereka - malah mereka bersatu jika ada bencana menimpa atau rasa terancam.

Sedangkan kita umat Islam khususnya di Terengganu ini sering bertelingkah dan berpolimik mengenai Islam tidak habis-habis?

Jawapan kepada persoalan dikatakan ada di hadapan kita tetapi sukar untuk mengatasinya kerana banyak dilihat dalam aspek politik bukan kemasyarakatan atau keagamaan.

Kerana itu Menteri Besar meminta bijak pandai Islam melihat fakta kenapa orang bukan Islam tidak berbalah mengenai agama mereka, malah nampak bersatu dan cuba mengatasi masalah kaum atau juga kumpulan mereka secara bersama-sama.

Persoalan asas yang cuba ditimbulkan oleh Menteri Besar pada multaqa berkenaan ialah mengapa orang Islam tidak boleh bersatu seperti mereka?

Selain itu Datuk Seri Ahmad Said turut mengemukakan pertanyaan, mengapakah kerana hanya tidak bersependapat mengenai perkara-perkara cabang dalam Islam kita mula memusuhi saudara Islam kita sendiri?

Masalah ini adalah masalah global tetapi di Terengganu ia sudah kekal dalam masyarakat kita sejak berdekad lamanya.

Bagi kerajaan negeri persoalan ini tidak boleh diatasi oleh pentadbir atau penjawat awam serta orang politik.

Kerana sukarnya mengatasi masalah pertelingkahan seperti ini, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri berharap Imam dan Bilal mampu memainkan peranan mengurangkan polemik dan perbalahan antara umat Islam di negeri ini.

Bagi kerajaan negeri, di sinilah letaknya amanah dan kepercayaaan kerajaan kepada warga Imam dan Bilal keranajika kita mahu kebaikan maka kita akan mendapat kebaikan. Dan jika kita menghendaki kemusnahan, kita akan menerima akibat dan kesannya.

Amat jelas dalam masyarakat kita di Terengganu ini, warga Imam dan Bilal adalah institusi barisan hadapan yang dapat mencorakkan pemikiran rakyat. Mereka juga ejen penting dalam menyampaikan hasrat kerajaan untuk memajukan negeri ini serta membina umat yang berdaya maju.

Oleh kerana jawatan Imam dan Bilal adalah jawatan yang sangat penting dalam masyarakat Islam, mereka sewajarnya mewarisi peranan yang dimainkan oleh Rasulullah S.A.W. bukan sahaja dalam membimbing solat malah penting dalam membentuk masyarakat yang berdaya maju.

Bagi kerajaan negeri, merelah simbol penyatuan umat. Ini kerana melalui ibadah solat berjemaah, setiap umat Islam perlu mengetepikan segala bentuk perbezaan yang ada dan tunduk kepada seorang pemimpin iaitu Imam.

Sementara jika berlaku pula solat dua Imam, amat jelas menunjukkan masyarakat di kawasan itu telah dipisahkan oleh politik. “Mengapa kita mesti mempamerkan keegoan kita kepada masyarakat yang mengharapkan bimbingan dari kita supaya menjadi umat yang lebih baik?” tanya Menteri Besar.

Yang pasti, sebagai pemimpin masyarakat setempat, personaliti setiap Imam haruslah sentiasa dijaga agar tidak dipandang rendah oleh masyarakat. Dengan kata lain, Imam-imam hendaklah sentiasa kelihatan hebat pada setiap waktu dan ketika.

Imam-Imam juga diharapkan dapat menyediakan diri dengan ilmu yang mencukupi yang membolehkan mereka bukan sahaja perlu mahir dalam ilmu Fardhu Ain sahaja malah mesti menguasai kemahiran lain seperti ilmu Psikologi, Kaunseling dan sebagainya. Mereka boleh mengambil peluang menjadi Guru Ta’mir yang mengajar di masjid-masjid dan memberikan khidmat nasihat agama di masjid, selain membuka kelas pengajian berkaitan agama dan kebudayaan Melayu seperti marhaban, berzanji, qasidah dan sebagainya.

Sesungguhnya jika usaha ini tidak dimulakan dari sekarang, tidak mustahil jika suatu hari nanti ilmu-ilmu ini akan luput ditelan zaman.

Yang penting, menurut Ahmad Said, Imam dan Bilal hari ini perlu juga mahir dalam ilmu yang berkaitan dengan urusan keduniaan seperti ilmu pentadbiran, teknologi, teknologi maklumat dan sebagainya. Ini kerana merekalah penggerak dan pemangkin bagi segala kegiatan masyarakat setempat.

Sesungguhnya, baik atau buruk sesuatu masyarakat di negeri ini banyak bergantung kepada sejauh mana Imam dan Bilal memenuhi tanggungjawab dan melaksanakan peranan mereka dengan sewajarnya.

Amat jelas kerajaan negeri bukan sahaja mengiktiraf peranan Imam dan Bilal tetapi juga menghargai peranan mereka untuk menggerakkan masyarakat Terengganu kea rah perpaduan dan berdaya maju!

Saman Trafik: Kaunter Pejabat Pos Beroperasi Hujung Minggu

Berikutan keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melanjutkan tempoh diskaun 50 peratus terhadap saman trafik sehingga 10 Mac ini, Pejabat Pos di Lembah Klang serta Pejabat Pos Besar di setiap negeri akan dibuka pada Sabtu dan Ahad.

Pengerusi Pos Malaysia Berhad, Tan Sri Aseh Che Mat berkata perkhidmatan yang turut beroperasi pada hari biasa itu, adalah bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran saman trafik pada hujung minggu.

"Kaunter akan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad sehingga tamat tempoh lanjutan pada 10 Mac, dan selepas itu ianya akan dibuka seperti biasa.

"Pada hari Sabtu, Pejabat Pos akan mula beroperasi pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan pada hari Ahad bermula pukul 8.30 pagi hingga 1.30 petang," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian dan pelancaran bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pos Malaysia Berhad.

Bagi Terengganu, Pejabat Pos Besar Kuala Terengganu dan Pejabat Pos Pauh akan beroperasi pada hari Sabtu memandangkan esok adalah cuti sempena ulang tahun Pertabalan Sultan Terengganu.

Beliau berkata kaunter semakan dan bayaran saman PDRM di Pos Malaysia Berhad telah mula beroperasi pada 1 Ogos lepas di lima cawangan di sekitar Lembah Klang dan keseluruhannya sebanyak 703 cawangan di seluruh negara kini menyediakan perkhidmatan itu.

Aseh berkata sehingga kini sejumlah RM66 juta saman telah dijelaskan di Pejabat Pos di seluruh negara oleh pesalah trafik sejak Ogos tahun lepas.

T-Team Mampu Bangkit - Rozi

Prestasi hambar pasukan T'Team dalam saingan Liga Super ketika ini disifatkan hanya sementara sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri yang juga pengurus pasukan T'Team Rozi Mamat berkata salah satu sebab prestasi pasukan itu hambar kerana keserasian pemain belum wujud.

"Untuk mendapatkan keserasian bukan perkara yang mudah dan saya yakin pasukan T'Team akan bangkit," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Rozi berkata berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi hambar pasukan T'Team walaupun pasukan itu dibarisi ramai pemain bertaraf bintang seperti Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Mohamad.

Setelah mengharungi enam perlawanan setakat ini, T'Team cuma menduduki tangga ke-13 carta liga dengan empat mata.

Rozi berkata beliau tidak menafikan terdapat beberapa kelemahan dalam pasukan itu dan kelemahan itu akan diatasi dari semasa ke semasa.

Apapun, beliau yakin T'Team akan memberi saingan dan mampu melangkah lebih jauh dalam kejohanan itu musim ini.

Prestasi Hambar T'Team Hanya Sementara

Prestasi hambar pasukan T'Team dalam saingan Liga Super ketika ini disifatkan hanya sementara sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri yang juga pengurus pasukan T'Team Rozi Mamat berkata salah satu sebab prestasi pasukan itu hambar kerana keserasian pemain belum wujud.

"Untuk mendapatkan keserasian bukan perkara yang mudah dan saya yakin pasukan T'Team akan bangkit," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Rozi berkata berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi hambar pasukan T'Team walaupun pasukan itu dibarisi ramai pemain bertaraf bintang seperti Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Mohamad.

Setelah mengharungi enam perlawanan setakat ini, T'Team cuma menduduki tangga ke-13 carta liga dengan empat mata.

Rozi berkata beliau tidak menafikan terdapat beberapa kelemahan dalam pasukan itu dan kelemahan itu akan diatasi dari semasa ke semasa.

Apapun, beliau yakin T'Team akan memberi saingan dan mampu melangkah lebih jauh dalam kejohanan itu musim ini.

12 Pasukan Benua Sahkan Penyertaan Dalam Jelajah 1Malaysia

Sebanyak 30 pasukan termasuk 12 pasukan benua dan empat pasukan kebangsaan akan mengambil bahagian pada perlumbaan berbasikal Jelajah 1 Malaysia (JM 2011) dari 8 hingga 13 Mac.

Dua daripada pasukan benua adalah dari Malaysia iaitu Le Tua Cycling Team (L2A) dan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG).

Pasukan benua lain ialah Giant Kenda Cycling Team (Taiwan), Aisan Racing Team (Jepun), Champion System (Hong Kong), Genesys Wealth Advisers (Australia), Holy Brother Cycling Team (China).

Kelly Benefit Strategies-Optum Health (Amerika Syarikat), Tabriz Petrochemical (Iran), Team Eddy Merckx-Indeland (Jerman), Sp Tableware (Greece) dan Vali Asr Kerman (Iran).

"Saya amat bangga dengan pertambahan penyertaan bagi perlumbaan edisi ke-47 ini," kata Ketua Pegawai Operasi JM2011, Datuk Naim Mohamed, pada sidang media selepas menerima penajaan bernilai RM180,000 daripada Nestle Products Sdn Bhd dan pengumuman MILO, sebagai penaja jersi Hijau (Raja Pecut), di sini Khamis.

Penajaan itu disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Products, Ng Ping Loong.

Selain pasukan benua, Naim, yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), berkata empat pasukan kebangsaan tersebut ialah Brunei, Thailand, Uzbekistan dan Malaysia manakala selebihnya adalah pasukan kelab tempatan dan luar negara.

Katanya barisan pelumba muda dan berpengalaman akan menggalas cabaran Malaysia iaitu Ahmad Fakhrullah Alias, Mohd Akmal Amrun, Muhammad Adiq Husainie Othman, Sarham Miswan, Mohd Zulhilmi Afif Ahmad Zamri dan Mohd Al-Ghazali Abd Hamid.

Antara tarikan utama perlumbaan kali ini ialah penampilan pelumba Estonia, Jaan Kirsipuu, yang akan beraksi bersama pasukan Champion System dari Hong Kong.

Pelumba berusia 43 tahun itu pernah memenangi perlumbaan peringkat dalam Tour de France bersama pasukan Ag2r Prevoyance serta pernah mewakili pasukan L2A pada 2009.

Pelumbaan JM2011, anjuran PKBM, akan melalui enam peringkat melibatkan kayuhan kira-kira 1,011 kilometer dan bermula di Kota Iskandar, Johor, pada 8 Mac ini dan berakhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, pada 13 Mac.

Thursday, March 3, 2011

Kaunter Pembayaran Saman Trafik Dibuka Sehingga 10 Mac

Berikutan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pemberian diskaun 50 peratus bagi pembayaran saman trafik, kaunter pembayaran saman akan dibuka sehingga 10 Mac.

Ketua Trafik Polis Diraja Malaysia Bukit Aman SAC Datuk Abdul Aziz Yusof dalam satu kenyataan berkata kaunter tersebut akan dibuka dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad sehingga tarikh akhir tersebut.

Katanya pesalah trafik yang ingin menyelesaikan saman diminta membuat pembayaran seawal mungkin.

Sejak Ogos tahun lepas kerajaan telah memberi kelonggaran selama enam bulan untuk orang ramai menyelesaikan saman tertunggak, termasuk saman ekor dan dalam tempoh itu, tindakan menyenarai hitam pesalah juga ditangguhkan.

Bagaimanapun, hanya 1.5 juta saman diselesaikan pesalah trafik dalam tempoh seminggu hingga semalam - tarikh akhir diskaun ditetapkan sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pemberian diskaun 50 peratus bagi pembayaran saman trafik sehingga 10 Mac ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rintihan orang ramai yang menghadapi masalah ingin menjelaskan saman berikutan sistem tergendala serta kesesakan di kaunter.

UMT Mantapkan Jaringan Antarabangsa

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berusaha memantapkan jaringan antarabangsanya dengan mensasarkan pertambahan pelajar asing ke institusi pengajian itu sebanyak lima peratus pada 2015 berbanding hanya dua peratus kini.

Naib Canselornya, Prof Dr Aziz Deraman, berkata sasaran itu selaras dengan apa yang diamanatkan Kementerian Pengajian Tinggi yang mahu supaya lebih ramai pelajar asing menyambung pengajian di pusat pengajian awam di negara ini.

Katanya, sehingga kini, UMT memiliki 123 pelajar daripada 17 negara yang mengikuti pelbagai peringkat pengajian dan pengkhususan termasuk China, Kanada, United Kingdom, India dan Indonesia.

Prof Dr Aziz berkata, sebahagian daripada mereka mula memasuki UMT pada 2009 dan bakal menamatkan pengajian pada tahun depan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Malam Gala Antarabngsa (MGA) di Ri-Yaz Heritage Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu baru-baru ini.

“UMT sudah bekerjasama dengan lebih 20 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia bagi meningkatkan lagi mutu pembelajaran di institusi pengajian kami.

“Ini termasuklah Universiti Bergen, Norway, Universiti carolina and East Carolina (USA), Universiti James Cook (Australia), Institut Alfred Wagener (Jerman) dan Universiti Selatan Brittany, Perancis,” katanya.

Selain lain termasuk Universiti Newcaste (United Kingdom), Universiti Air Langga dan Universiti Bung Hatta (indonesia) serta Universiti Kagoshima (Jepun).

Prof Dr Aziz pada majlis itu turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyumbang RM10,000 bagi menjayakan program yang julung kali diadakan oleh pihak UMT itu.

Beliau turut berbangga kerana program itu mampu menghimpunkan pelajar daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya, di mana mereka tetap boleh bergaul dan belajar dalam persekitaran pembelajaran yang baik dan selesa.

Unit Komunikasi Negeri

Bonsai Sebagai Produk Pelancongan Terengganu

Spesis baru pokok herba iaitu Cucur Atap (Beackea Frutescen) yang sesuai dijadikan bonsai akan diperkenalkan pada program tahunan terbesar kalendar bonsai Malaysia "Karnival Pertandingan Bonsai Asean" bermula 12 Mac ini.

Program yang diadakan selama dua hari itu adalah anjuran Persatuan Seni Bonsai Kelantan dengan kerjasama Bonsai and Stone Academy dan Kelab Bonsai Antarabangsa yang disertai oleh anggota bonsai seluruh Malaysia dan Asean.

Naib Presiden (1) persatuan itu, Noryadi Noruddin berkata pokok herba itu akan diperkenalkan berikutan nilainya yang tinggi terdapat di Terengganu dan sangat sesuai dijadikan bonsai.

"Kehebatan bonsai cucur atap dan penilaian harganya yang mencecah ribuan ringgit diharap dapat menjadi sumber pendapatan tambahan kepada ahli bonsai," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata program itu juga memberi pendedahan kepada anggotai bonsai yang belum pernah mencari dan menggali pokok Cucur Atap itu.

"Ahli bonsai diberi peluang merasai pengalaman sebenar mencari asas cucur atap di kawasan semulajadinya dan memberi peluang kepada ahli bonsai untuk menonjolkan tahap kreativiti dalam mencipta asas bonsai cucur atap yang menarik," katanya.

Beliau berkata objektif program itu juga adalah untuk mewujudkan ruang diskusi dan forum bonsai, memperkenalkan bonsai sebagai produk pelancongan Terengganu dan memupuk semangat persahabatan dan kerjasama bagi seluruh pencinta bonsai tanahair dan di seluruh rantau asia.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik akan berlangsung sepanjang program itu antaranya demonstrasi seni lukisan bonsai dan karnival bonsai.

Terengganu Mula Temui Rentak

Kejayaan mengalahkan Johor FC 3-0 dalam Liga Super kelmarin membuktikan skuad Penyu sudah meningkat dan semakin menemui rentak sebenar.

Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh berkata, kemenangan ke atas skuad Lebah kelmarin, begitu membanggakan.

"Setiap pemain berjaya mempamerkan permainan yang mantap dan berkesan. Tahniah kepada para pemain dengan usaha yang ditunjukkan. Saya harap kecemerlangan ini diteruskan dalam Piala FA menentang Tentera,'' ujar Che Mat.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin, skuad bimbingan Irfan Bakti menguasai sebahagian besar perlawanan.

Abdul Hadi Yahya membuka jaringan pasukan tuan rumah pada minit ke-7, sebelum Ismail Faruqi menjaringkan gol kedua menerusi sepakan bebas lima minit kemudian.

Pemain kebangsaan, Ashari Samsudin turut mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-77 apabila merembat kencang ke penjuru gawang kelab dari selatan tanah air itu untuk gol ketiga.

Kejayaan menumbangkan Johor FC melonjakkan skuad Penyu ke tangga ketiga liga, mengekori rapat pasukan teratas, Perak dan Kelantan.

Mengenai sambutan hambar penonton, Che Mat berkata, kedudukan stadium yang jauh antara punca peminat enggan memenuhi stadium.

"Peminat kita bukan di sekitar kawasan ini saja tetapi di seluruh Terengganu termasuk di Besut dan Kemaman yang terletak hampir 3 jam perjalanan dari sini,'' katanya.

Galeri Petronas Adakan Pameran Ilustrasi Di Muzium Terengganu

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman dijangka merasmikan pameran ulung iaitu Perkataan+Gambar=Buku di Muzium Negeri Terengganu selama dua bulan, Isnin ini.

Pemeran akan membabitkan kerjasama Galeri Petronas dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Perkhidmtan Korporat Galeri Petronas, Medan Abdullah berkata pameran bermula semalam itu merupakan pameran yang mengetengahkan 30 pengilustrasi daripada 10 buah buku bergambar kanak-kanak.

"Pameran itu bertujuan mengangkat kedudukan buku bergambar dalam usaha menjadikannya satu bentuk seni yang diterima baik," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Terengganu, kelmarin.

Katanya 10 pengilustrasi terkenal negara iaitu Mohd Yusof Ismail (lebih dikenali sebagai Yusof Gajah), Azalan Hussain, Shukri Edrus, Jainal Amambing, Awang Fadillah Ali Hussein, Faizal Abdul Jalil, Khairul Azmir Shoib, Emila Yusof, Norazmi Mokhtar dan Chong Chin Yew.

Akram Sedia 12,000 Soalan Sebulan

Gambar fail - Menteri Besar menyerahkan komputera riba kepada Guru Akram.

Guru-Guru Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (Akram) menyediakan 12,000 soalan sebulan bermula Januari lalu untuk semua pelajar yang menghadapi peperiksaan awam pada pertengahan dan hujung tahun ini.

“Fokus soalan tertumpu kepada subjek penting yang terdapat pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” kata Setiausaha Akram, Encik Nordin Ambak.

Guru Akram terbahagi kepada 12 bidang termasuk Matematik, Sains, Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina, ICT dan Perkomputeran, Pendidikan Islam, Kajian Kemasyarakatan, Teknik dan Vokasional, Penyelidikan, e- pantau dan Korikulum Rendah/Akram Rendah di mana setiap bidang menyumbang 1,000 soalan sebulan.

Ketika dihubungi Encik Nordin menjelaskan setiap soalan akan disemak oleh satu panel khas terdiri daripada Jawatankuasa Penilaian dianggotai 14 guru-guru pakar dan cemerlang yang dilantik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).

“Melalui kerjasama dengan Top IT Sdn Bhd, soalan-soalan berkenaan akan diakses terus dengan menggunakan nombor identiti pelajar terbabit bagi tujuan latih tubi,” katanya.

Terdapat 800 guru Akram terpilih antara guru-guru cemerlang seluruh negeri dan bertanggungjawab menyediakan soalan untuk Program T-Skor dalam usaha kerajaan mencapai hasrat menjadikan Negeri Anjung Ilmu.

Perjanjian usahasama antara Top It dan Akram sudah diikat pada 14 Februari lalu yang disaksikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Kerjasama dua hala itu akan meledakkan satu dimensi baru dalam dunia pendidikan negeri kerana Top IT mempunyai kepakaran dalam sistem maklumat dan kumpulan Akram menyumbang pengisiannya.

Unit Komunikasi Negeri

Kementerian Pengajian Tinggi Pertingkat Usaha Tarik Penuntut Dari Negara Maju

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini berusaha menarik lebih ramai penuntut dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah untuk belajar di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Saifuddin Abdullah berkata daripada 86,923 pelajar antarabangsa di negara ini, bilangan penuntut dari negara maju amat kecil iaitu 57 dari Amerika Syarikat, 20 dari Kanada, 19 dari Australia, 17 dari Jepun, 12 dari Perancis dan tiga dari New Zealand.

"Ini peratusan yang sangat kecil dan kita tidak gembira dengan angka ini. Sebab itulah jabatan pemasaran kita kini giat berusaha untuk menarik lebih ramai pelajar dari negara maju," katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat Menteri Pengajian Tinggi Belgium Jean-Claude Marcourt, di Universiti Multimedia, di Cyberjaya semalam.

Saifuddin berkata antara kelebihan Malaysia yang boleh menarik penuntut terbabit ialah kos yang kompetitif, lokasi yang strategik serta hubungan baik dengan negara Islam lain serta kebolehan berbahasa Inggeris pada kalangan rakyat.

Daripada aspek pensyarah pula, Saifuddin berkata bilangan pensyarah dari negara maju dan universiti terkemuka dunia yang mengajar di negara ini juga masih di tahap sederhana.

"Saya menyarankan agar usaha menggalakkan kolaborasi dari segi penyelidikan dan perkongsian kepakaran antara KPT dengan universiti-universiti terbaik dunia dipergiat oleh KPT dan institusi pengajian tinggi tempatan," katanya.

Saifuddin sebelum itu turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara tiga institusi negara ini dengan tiga institusi dari Belgium iaitu iaitu MMU dengan Haute Ecole de la Province de Liege (HEPL), NetAcademy dengan HEC-ULG dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan University of Brussels.

Beliau berkata beberapa isu turut dibincangkan semasa lawatan Marcourt itu termasuk kemungkinan mengadakan program pertukaran pelajar dan pensyarah antara kedua-dua negara.

"Kita juga meminta rakan sejawatan kita dari Belgium agar mencadangkan beberapa universiti untuk kita hantar pensyarah kita ke sana dan mempelawa mana-mana universiti di Belgium yang berminat membuka kampus di sini," katanya.

Kumpulan Perompak Geng Mamat Di Tawau Tumpas

Polis Sabah menumpaskan kumpulan perompak bersenjata dikenali "Geng Mamat", yang beroperasi di negeri itu dan di Semenanjung Malaysia sejak dua tahun lepas, dengan penahanan lima anggota itu di Tawau, bahagian pantai timur Sabah, dua minggu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kelima-lima perompak warga asing berumur antara 22 dan 27 tahun itu dipercayai terlibat dalam 28 kes rompakan termasuk lima kes di Johor, satu kes di Terengganu dan selebihnya berlaku di sekitar Tawau.

Bercakap kepada pemberita di sini Rabu, beliau berkata anggota kumpulan itu diberkas dalam operasi Ops Rantau di kawasan perkampungan Jambatan Putih, Kuhara, Tawau pada 14 Feb lepas, yang dilancarkan selepas mereka melakukan rompakan di sebuah rumah bangalo di Taman Falma, dekat pusat bandar Tawau, dua hari sebelum itu.

Hamza berkata jumlah kerugian dari keseluruhan 28 kes rompakan yang dilakukan kumpulan itu belum diketahui.

Wednesday, March 2, 2011

Hantar Pulang Pelajar Ke Masir: PAS Cari Publisiti Murahan

Ahmad Said melayani pelajar dan ibu bapa mereka sebaik sampai dari Jeddah di kediaman rasminya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.


Ho...ho...celupar sungguh mulut ‘ustaz’ Saiful Bahri, pemimpin PAS Terengganu yang semakin hebat spinnya akhir-akhir ini. Makin dekat pilihan raya umum makin menjadi pula dia!

Waktu nak bawa pulang pelajar tempoh hari Saiful Bahri tidaklah sehebat ini ‘menggangu’ Datuk Seri Ahmad Said. Tetapi apabila nak hantar balik ke Mesir, ‘ustaz’ ini nampaknya mahu jadi juara.

Tak apalah, kerja balik itu kalaupun ‘ustaz PAS’ ini tidak mengiktirafnya tidak apa. Allah tahu apa yang mahu dilakukan Menteri Besar Terengganu itu.

Mungkin juga Saiful Bahri ‘marah’ dan terkilan dengan sikap pemimpin PAS lain yang memuji usaha kerajaan negeri kerana membawa pulang anak mereka.

Jangan ingat kerajaan negeri tidur kerana beberapa kenyataan yang dibuat sebelum posting bertajuk “Kedah, P.Pinang, Kelantan, Pahang… Terengganu bila?” pada jam 9:40 pagi 28 Februari, 2011, banyak sudah kenyataan dibuat oleh Menteri Besar dan pegawai Yayasan Terengganu sendiri.

Dalam blognya, ‘ustaz PAS’ ini menulis: Bagaimana pula dengan para pelajar di Terengganu. Negeri yang kaya raya dengan penuh nikmat pembangunan ini??? Negeri pimpinan Datuk Ahmad Said yang peka dengan maslah rakyat! Takkan negeri Kuwait Malaysia ini takde duit untuk menghantar para pelajar rakyat Terengganu kembali ke Mesir? Mana duit royalti hasil minyak Terengganu. Kalau Monsun Cup yang tiada manfaat buat rakyat Terengganu, kerajaan menghabiskan duit berpuluh juta takkanlah untuk bakal pemimpin negeri akan dating ini tiada peruntukan? Mana duit zajat yang dikutip berpuluh juta setahun. Mana Perbadanan MB, syarikat GLC kerajaan negeri yang dikatakan untung berjebok-jebok tu…

Kalau sekecil inipun Mat Said ketinggalan berbanding negeri-negeri PR. Ini memalukan! Nampak sangat UMNO-BN tak pandai memerintah. Takkan nak biarkan nanti Pemuda Pas pulak mengutip derma untuk membeli tiket para pelajar kembali ke Mesir. Ini akan memalukan kerajaan pimpinan Mat Said sendiri. Penulis pun menjangkan MB Terengganu ini taklah sebodoh itu membiarkan anak-anak Terengganu yang mempunyai ibu-bapa yang ramai, diseluruh daerah Terengganu… pastinya mempunyai pengaruh dan impak yang besar dari segi politik.”

Agaknya kerana banyak sangat berdoa dan meratip atas sejadah, ‘ustaz PAS’ ini terlupa baca atau tidak mendegar radio mengenai pengumuman masa ke masa mengenai usaha menghantar balik pelajar oleh kerajaan negeri.

Wartawan yang bertemu Menteri Besar ada sahaja yang mengemukakan soalan itu dan pastinya misi ini bukan hak kerajaan negeri sahaja tetapi juga kerajaan persekutuan.

Jelas sekali ‘ustaz PAS’ ini segaja mahu cari milage politik apabila mengatakan : “Sudah beberapa kali pertemuan pimpinan Umno-BN negeri di rumah MB dan wisma Negeri dengan para pelajar. Cakap-cakap yang penulis dengar amat negatif. Hanya bersyarah.. pong! Pong!.. biasanya Pas jugak yang menjadi mangsa serangan. Macam Pas pulak memerintah Terengganu ni. Para pelajar bersungut seolah-olah mereka dikencing oleh pimpinan UMNO-BN. Janji-janji semasa belum pulang atau semasa di Jeddah… habuk pun tarak!!!

Kalau hanya tahu menuduh bahawa Pas tak buat apa-apa? Habis sekarang ni kerajaan Terengganu buat apa? Takkan semua kerajaan pimpinan PR dah umum? Mat Said dok nak tadah tempurung royalti dengan Najib lagi? Habis Kerdau & Merlimau nak pakai duit nak cekau kat mana???

Diharapkan pihak kerajaan mengambil tindakan segera demi menyelesaikan permasalahan pelajar-pelajar Terengganu ini. Kalau ini pun tak boleh diselesaikan!! Serah sahaja kepada PAS pulak mentadbir. PRU pun dah tak lama. Biarkan mereka sibuk berpolitik cah keting, sibuk mengaut khazanah negeri dan melupakan rakyat dan pengundi mereka… Maka rakyat patut melupakan mereka apabila mereka datang merayu undi disaat pilihanraya nanti. Vios!


Minta serah kuasa kepada PAS? Tanyalah rakyat! Kalau ‘ustaz PAS’ ini nak main politik, tidak usahalah. Buang masa.

Yang pasti PAS hanya tahu kritik tetapi tidak mampu melakukan apa-apa. Biat baik kerajaan kalaupun tidak mahu diiktiraf atau dipuji, baik diam sahaja daripada membuka mulut dan mendapat dosa.

Tohmahan, fitnah dan kritik membabi buta akan membuka mata rakyat bahawa PAS sebenarnya hanya pandai berkata-kata sahaja.

Dalam apa juga keadaan pemimpin PAS sering mendakwa merekalah yang mendahului tetapi hakikatnya pada kerika operasi Piramid dan di Terengganu – Misi Membawa Pulang Pelajar dan Rakyat Terengganu – PAS ketika itu tidak tahu mahu berbuat apa-apa.

Ahmad Said sudah menjelaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan membuat sebarang keputusan berhubung cadangan untuk menghantar semula semua pelajar tajaannya ke Mesir.

“Mesyuarat Exco adalah kuasa tertinggi yang akan membuat dasar dan membuat keputusan berkaitan perkara ini,” katanya ketika ditanya media selepas majlis penyerahan e-Book bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang, di Seri Iman kelmarin.

Entah-entah hari ini ada mesyuarat Exco pagi ini, kerajaan Terengganu akan membuat keputusan.

Malah Yayasan Terengganu (YT) sudah membuat kenyataan bahawa pihaknya menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum menghantar pulang pelajar tajaannya ke Mesir.

Ketua Penolong Bahagian Tajaan Pelajar YT, Mohd Razali Mahmud berkata beliau difahamkan beberapa buah universiti di Mesir bakal memulakan pengajian antara 12 Mac dan 8 April ini. "Bagaimanapun YT masih menunggu pengumuman MKN sebelum membuat keputusan menghantar pelajar pulang ke Mesir," katanya awal minggu ini.

Mohd Razali berkata langkah itu bertujuan memastikan tahap keselamatan di Mesir terjamin kepada pelajar Malaysia.
YT menaja 247 pelajar di lapan buah universiti di Mesir dalam bidang pengajian Islam, perubatan dan pergigian yang pulang ke Terengganu baru-baru ini.

Pelajar tajaan YT yang paling ramai ialah di Universiti Al-Azhar iaitu seramai 95 orang yang mengikuti bidang pengajian Islam dan perubatan, diikuti di Universiti Mansoura (44 pelajar), Universiti Mansoura-Manchester (35 pelajar) dan Universiti Ain Sham (34 pelajar).

Universiti lain ialah Universiti Tanta (21 pelajar), Universiti Alexandra (14 pelajar) dan Universiti Zagazig (empat pelajar).

Terengganu turut mempunyai seramai 509 pelajar di Mesir di bawah tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Majlis Amanah Rakyat dan juga pelajar persendirian.

Jelas? Kalau tidak jelas lagi kepada ‘ustaz PAS’ berkenaan, berdoalah banyak-banyak supaya diampunkan dosa mengata dan menfitnah pemimpin BN, khususnya Menteri Besar yang berusaha gigih menyelesaikan pelajar Terengganu di Mesir ini.

Atau lebih baik lagi mintalah maaf, kalaupun secara tidak terbuka, senyap-senyap datang jumpa Ahmad Said.

Rasanya itu lebih baik daripada menuduh tidak tentu pasal.

PPK 25 Membudayakan Ilmu Islam di Kalangan Belia

Bagaikan menemui cara mendekatkan belia kepada Islam, Kerajaan negeri mengumumkan Pengisian Kerohanian Untuk Golongan 25 Tahun Ke Atas (PPK 25) kelmarin dengan meletakkan pembudayaan ilmu sebagai cara hidup masyarakat Islam golongan berkenaan.

PPK 25 ialah projek besar kerajaan negeri dalam usaha memantapkan lagi keupayaan dan keberkesanan pengajaran, penyebaran dan pegangan agama Islam di kalangan rakyat, khususnya belia.

Ia diumumkan dan dilaksanakan berikutan kebanyakan program berbentuk keagamaan yang dirancang oleh kerajaan selama ini kurang mendapat sambutan di kalangan generasi muda dan memerlukan pendekatan baru.

Pendekatan ini amat penting dan seiring dengan usaha mengimarahkan masjid dan menjadikan institusi itu sebagai pusat kecemerlangan, membudaya al-Quran dalam kehidupan dan mewujudkan masyarakat yang memiliki kesedaran dan keprihatinan tinggi terhadap masalah sosial dan jenayah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada siri ceramah kepimpinan yang dianjurkan kerajaan negeri bagi membentuk kekuatan dalaman dan jati diri imam dan bilal di negeri ini.

Mazlan menjelaskan, sebagai wadah pendekatan kerajaan negeri untuk membudayakan ilmu yang disasarkan khusus kepada golongan belia, usaha itu mendapat kerjasama penuh daripada warga akademik universiti tempatan itu.

"Kerana itu, kita harap program yang dilakukan melalui PPK 25 mampu menarik golongan tersebut untuk turut serta dalam program berbentuk keagamaan yang dirancang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Multaqa Imam, Bilal dan jawatankuasa Masjid negeri di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan PPK 25 sebagai usaha memantapkan lagi keupayaan dan keberkesanan pengajaran dan penyebaran agama Islam di Negeri Terengganu.

Kerana itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) diminta merancang dan merangka PPK 25 ini kerana ia merupakan satu projek besar kerana jika ianya mencapai sasarannya.

"InsyaAllah Negeri Terengganu menjadi peneraju dan pendahulu dalam usaha ini di seluruh Malaysia dengan objektif nya ialah membudayakan ilmu sebagai sebahagian daripada cara hidup masyarakat Islam Terengganu, menjadikan akidah, ibadah dan akhlak sebagai teras yang menunjangi kehidupan dan keperibadian masyarakat Terengganu.

Selain itu melaluinya ia memulih dan membangunkan imej institusi Masjid sebagai pusat kecemerlangan, menjadikan Al-Quran sebagai amalan dan budaya masyarakat Terengganu dan mewujudkan masyarakat Terengganu yang memiliki kesedaran dan kepedulian yang tinggi terhadap masalah sosial dan jenayah," kata beliau.

Berikutan itu, menurut Menteri Besar, bagi melicinkan lagi pentadbiran dan operasi bahagian Dakwah yang begitu sinonim dengan tugas-tugas urusetia di peringkat negeri, sudah sampai masanya diwujudkan Bahagian Keurusetiaan di JHEAT.

Pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said turut menyampaikan imbuhan RM800 dan RM600 kepada lebih 2,000 imam dan bilal daripada 448 masjid di seluruh negeri.

Mazlan menyifatkan program sehari itu dimulakan dengan majlis ilmu pada sebelah pagi bertajuk ‘Survival menuju kemerdekaan’ yang disampaikan Pengurus Besar Operasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Kapt (B) Dr. Shamsuddin Haji Moner @ Munir.

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Kursus Pengimarahan Masjid-Masjid Terengganu berkata, lebih 3,000 imam, bilal serta ahli jawatankuasa (AJK) masjid di seluruh negeri telah mengikuti kursus pengimarahan sejak Mei tahun lepas.

“Kursus yang diadakan pada kali ini merupakan kursus kesembilan dan yang terakhir dijangka dapat diselesaikan menjelang bulan April tahun ini,” kata beliau.

Polemik Pameran Mistik - Penganjur Jangan Cepat Melenting

Gambar Hiasan - Satu Pameran Mistik

Apakah kerana kerajaan negeri mahu merujuk kepada pihak tertentu, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai pameran objek mistik, penganjur menganggap keputusan itu sebagai 'salah tafsir'?

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan kelmarin tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan pameran selama tiga bulan mulai April itu tidak mendatangkan kesan kurang baik kepada umat Islam.

Malah, sudah jelas kenyataan Ahmad Said bahawa beliau akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terlebih dahulu seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Kalau Majlis Fatwa kata tak boleh, tak bolehlah. Buat masa ini saya tidak boleh memberi keputusan lagi mengenainya," katanya kelmarin.

Pameran dianjurkan oleh Dynasty Event Sdn Bhd yang dikatakan telah mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam Terengganu, Jabatan Kebudayaan negeri, Majlis Penggalakan Pelancongan negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Namun kelmarin Setiausaha Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar kiri) dipetik sebagai berkata jawatankuasa itu sudah membuat ketetapan sejak 2007 bahawa pameran seperti itu adalah haram diadakan.

Ini kerana jawatankuasa tidak mahu masyarakat Islam disogok dengan perkara tahyul dan kurafat.

Sebaliknya, Jurucakap penganjur, Ahmad Ikhwan Mohamad berkata, pameran yang bertempat di Dataran Syahbandar dekat Kuala Terengganu itu mampu memberi pendidikan kepada generasi baru tentang perkara berkenaan agar mereka tidak terjerumus dan terkeliru dengan hal itu.

“Walaupun dunia semakin moden, aktiviti seperti pukau, ‘tarik duit’, ‘tarik barang berharga’, sihir dan santau masih diamalkan disebabkan sikap taksub sesetengah kelompok terhadap kegiatan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Dynasty Event, Dr. Abdul Manan Embong berkata, pameran itu bukan bertujuan memaparkan artifak dan objek mistik semata-mata, malah ia merupakan satu program untuk membendung akidah umat Islam daripada terus terpesong daripada landasan yang sebenar.

Menurut beliau, pihaknya sebelum ini telah berbincang dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Mufti dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi memastikan program yang dirancang mencapai objektif ditetapkan.

“Intipati pameran ini bukan sekadar untuk menonjolkan bahan seperti anak kerak, jenglot, batu atau objek mistik tetapi ia satu program pendidikan.

“Kami cukup kesal kerana hasrat murni penganjuran pameran ini telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak dengan memberi gambaran negatif mengenainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Siapakah yang menyalah tafsir dan memberikan gambaran negatif?

Apakah pendapat Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai salah tafsir dan keterbukaan Menteri Besar untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak sebagai memberikan gambar negatif?

Dr Abdul Manan sudah mengataan pihaknya sedia berbincang dengan sesiapa sahaja agar tujuan asal program ini tidak disalah tafsir.

Jadi tunggu dahulu keputusan kerajaan negeri, lagipun sejauh ini Menteri Besar tidak mengatakan ia tidak boleh diadakan.

Dynasty Event yang pernah menganjurkan Pameran Artifak Sejarah Melayu di Selangor, Pameran Evolusi Tamadun Islam (Putrajaya), Pameran Iqrak (Pulau Pinang) dan Pameran Dunia Melayu Dunia Islam di Melaka sewajarnya tidak cepat melenting.

Perbincangan tertutup dengan pihak tertentu lebih baik daripada polimik di akhbar kerana apa juga keputusan kebenaran adalah hak kerajaan negeri.

Jika kerajaan negeri bersifat terbuka, penganjur juga perlu terbuka untuk sama-sama membincangkan kebaikan dan kemudaratan pameran seperti ini.

MB Lawat Mangsa Kebakaran Kampung Seberang Marang

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, melawat mangsa kebakaran di Kampung Seberang Marang, petang semalam dan menghulurkan bantuan peribadi kepada mangsa bencana tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 1.40 petang itu, dua rumah papan yang berdekatan antara satu sama lain, hangus sama sekali beserta dengan pelbagai kelengkapan rumah dan barang-barang peribadi.

Mangsa dan keluarga kini tinggal sementara di rumah keluarga dan diberi bantuan pakaian dan makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ahmad Said berkata, disebabkan keluarga yang terlibat dengan kebakaran itu adalah penyewa, kerajaan negeri hanya memberi bantuan segera berupa sedikit wang tunai, makanan dan pakaian.

“Manakala penyewa pula tidak berhak mendapat rumah baru seperti peruntukan sedia ada kerana mereka menyewakan rumah masing-masing kepada orang lain,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah yang terbakar itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara itu dan memberi bantuan yang sewajarya kepada pemilik rumah berkenaan.

Sementara itu, Menteri Besar turut melawat Mat Rani Yusof, 57, yang menghidap penyakit strok sejak dua minggu lalu dan menyampaikan bantuan peribadi.

Bekas guru tersebut kini terlantar di rumahnya yang berdekatan dengan kediaman yang terbakar itu.

Unit Komunikasi Negeri

Lelaki Bakar Rumah Juga Positif Dadah

Musnah...rumah yang dibakar lelaki berusia 39 tahun selepas bertengkar dengan isterinya.

Tidak sukar untuk menahan lelaki yang membakar rumahnya sendiri selepas bergaduh dengan isteri di Kampung Balik Bukit, Setiu.

Polis berjaya menahan lelaki berusia 39 tahun itu kira-kira 24 jam selepas kejadian apabila kira-kira pukul 11 malam kelmarin di Hospital Setiu apabila dia datang untuk mendapatkan rawatan atas kecederaan yang dialami akibat kejadian malam kelmarin.

Selain dikehendaki kerana membakar rumah sendiri, suspek yang didapati positif ujian dadah itu ditahan reman beberapa hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, dia ditahan hasil maklumat orang awam ketika datang ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Manoharan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Dalam kejadian pukul 12 tengah malam kelmarin, suspek dikatakan bertindak membakar rumahnya sendiri setelah naik berang selepas bertengkar dengan isterinya.

Isterinya yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pembantu di stesen minyak berhampiran ternampak kepulan asap tebal dari rumahnya ketika berada di rumah jiran. Wanita itu dilaporkan mengesyaki suaminya yang panas baran membakar rumah berkenaan dan mendakwa pernah mengugut berbuat demikian ketika mereka bertengkar suatu ketika dulu.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah stor dan bengkel membaiki motosikal yang terletak berhampiran.

18 Atlet Terengganu Wakili Sukan Asia, Komanwel Terima Insentif

Wan Ahamad menerima pelantikan sebagai Ketua
Kontijen Sukma ke 14 Terengganu.

Seramai 18 atlet Terengganu yang mewakili negara pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun lepas menerima insentif daripada kerajaan negeri bernilai hampir RM100,000.

Mereka terdiri daripada atlet berbasikal, skuasy, hoki lelaki, hoki wanita, sepak takraw, ragbi dan angkat berat dengan jumlah antara RM1,000 hingga RM15,000 seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat menyampaikan insentif itu pada majlis pelancaran Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 , di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) negeri, Datuk Wan Ahamad Wan Muda dilantik sebagai `Chef De Mission’ atau Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Terengganu sekaligus menggalas misi Terengganu selaku `Kuasa Baru Sukan Negara’ untuk kekal sebagai juara Sukma kali ketiga berturut-turut.

Beliau menerima pentauliahan bagi mengetuai kontinjen `Terengganu Hanelang’ itu daripada Rozi sempena majlis berkenaan.

Wan Ahamad berbesar hati dengan pelantikan itu dan akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin serta akan bekerjasama dengan semua pihak khususnya Majlis Sukan Negeri (MSN) serta pihak pengurusan sukan yang lain bagi menjayakan matlamat dan hasrat semua.

“Walaupun bagi mencapai kecemerlangan dan mengekalkan kejayaan sebagai `kuasa baru sukan negara’ dengan menjuarainya untuk kali ketiga-tiga berturut-turut bukan perkara yang mudah untuk dicapai, saya akan berusaha dan memberi komitmen yang sewajarnya demi kepentingan sukan negeri dan negara amnya. Sama-sama kita berdoa dan melakukan yang terbaik untuk tujuan murni ini,” katanya.

Wan Ahamad merupakan individu yang tidak asing dalam pembangunan sukan Terengganu kerana MSN adalah satu jabatan yang terletak di bawah kawalan beliau secara langsung.

Malah, beliau adalah antara pengasas kepada penubuhan Pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) dan dilantik selaku Timbalan pengerusi Pengurusan TSG.

Beliau sendiri yang mengambil inisiatif tinggi untuk memastikan hasrat Menteri Besar untuk menubuhkan satu pasukan berbasikal bertaraf dunia serta mengumpul pelumba negeri ini bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dapat direalisasikan dengan tertubuhnya pasukan TSG, sekaligus menjadikan Terengganu satu-satunya negeri yang memiliki pasukan basikal profesional.

Wan Ahamad sebelum berkhidmat sebagai TSUK (Pengurusan) pernah berkhidmat ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar.

Polis Terengganu Kutip RM1.4j Bayaran Saman

Polis Kontinjen Terengganu berjaya mengutip saman kenderaan sehingga jam 12 tengah malam semalam berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa berkata demikian pada majlis penyampaian cek TAPPN kepada balu dan keluarga PDRM di Kuala Terengganu, semalam.

Jamshah berkata, jumlah saman itu dikutip dari lapan kaunter di seluruh daerah negeri itu dan jumlah kutipan paling tinggi ialah bagi Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu iaitu RM230,000, diikuti Kemaman (RM262,000) dan Besut (RM213,000).

"Lain-lain kaunter polis ialah di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) RM163,000, IPD Setiu (RM144,000), Dungun (RM164,000), Marang (RM126,000) dan Hulu Terengganu (RM66,000)," katanya.

Semalam adalah hari terakhir pesalah trafik mendapat diskaun pembayaran saman kenderaan setelah pihak berkuasa menawarkannya sejak enam bulan lepas.

Walaupun Betis Masih Berbalut, Mohd Azizulhasni Mula Kembali Berkayuh

Walaupun betis kirinya masih berbalut dan terasa sakit selepas jahitan luka dibuka kelmarin, semangat membara meruntun jaguh berbasikal negara Mohd Azizulhasni Awang untuk kembali berkayuh semula semalam.

Pelumba trek berbasikal itu yang kini dalam proses pemulihan dan berehat di rumahnya di Melbourne, mengaku walaupun belum dibenarkan membuat latihan berat tetapi tetap menggagahkan dirinya untuk bergerak di sekeliling rumah bagi memastikan tubuhnya aktif.

"Jahitan luka di betis kiri baru dibuka semalam. Tetapi saya belum membuat latihan berat, hanya banyak bergerak untuk pastikan badan aktif," katanya melalui pesanan sistem pesanan ringkas kepada Bernama, semalam.

Melalui laman sosial Twitter pula, pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu mengaku betis kirinya masih terasa sakit apabila cuba berkayuh selama 10 minit hari ini.

Mohd Azizulhasni terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter tertusuk di betis kirinya sewaktu menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester minggu lepas.

Selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan sepihan kayu tersebut dilakukan di Hospital Diraja Manchester, pelumba yang digelar The Pocket Rocketman itu kembali ke Melbourne.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara Datuk Dr Ramlan Abd Azizi sebelum ini meminta Mohd Azizulhasni tidak berehat terlalu lama bagi mengelakkan kakinya kejang.

Dr Ramlan berkata pelumba itu perlu berehat selama tiga hingga empat minggu sebelum mula menjalani latihan ringan bagi menggerakkan otot-otot kakinya.

Empangan Hidroeletrik Kedua Terengganu Dijangka Siap Ikut Jadual

Projek pembinaan empangan hidroelektrik kedua di Tasik Kenyir bertempat di Sungai Tembat dan Sungai Puah, Hulu Terengganu dijangka dapat disempurnakan mengikut jadual.

Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu Md Yuslan Md Yusof berkata, kerja-kerja awal di tapak pembinaannya telah dimulakan sejak awal tahun lalu.

"Setakat ini projek pembinaan empangan hidroelektrik kedua di Terengganu ini berjalan lancar dengan mendapat kerjasama dari pihak kerajaan negeri.

"Ia dibuat dalam dua fasa dan dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual iaitu pada 2015. Apabila siap, ia mampu menghasilkan tenaga dengan kapasiti 250 megawatt," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata kos keseluruhan projek berkenaan mencecah RM1 bilion yang sepenuhnya ditanggung TNB.

Katanya tenaga yang dihasilkan empangan hidroeletrik kedua itu akan digunakan untuk menampung keperluan grid nasional.

Terengganu mempunyai satu lagi empangan, Empangan Hidroelektrik Sultan Mahmud Tasik Kenyir di Hulu Terengganu, dengan kemampuan 400 megawatt.

Negeri itu juga mempunyai satu Stesen Janaelektrik Sultan Ismail di Paka yang mengeluarkan tenaga dengan kapasiti 1,200 megawatt.

Buruan Juara Sukma Ke-14 Kali Ketiga Berturut-turut

Kontinjen Sukma Terengganu bersama Ketua Kontinjen, Wan Ahamad dan Rozi melaungkan semangat untuk memburu juara buat kali ketiga berturut-turut. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Terengganu nekad untuk meneruskan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14, Kuala Lumpur pada 2 hingga 12 Jun ini.

Kontinjen Terengganu mensasarkan 48 pingat keseluruhan dengan 24 emas, 15 perak dan sembilan gangsa.

Bagi mencapai hasrat itu, semua pengurus sukan digesa melakukan perubahan kepada kaedah dan mekanisme penyediaan atlet yang lebih baik, mampan dan lebih meyakinkan untuk mengulangi kejayaan itu.

“Jangan sesekali kita merasa selesa dengan kejayaan lalu tanpa melakukan apa-apa tindakan ke arah memastikan kejayaan tersebut berulang dengan lebih cemerlang.

“Hari ini saya bersama-sama tuan akan emnjadi agen kepada perubahan itu. Marilah kita bersama-sama bertekad utnuk memastikan terengganu sentiasa dinobatkan sebagai `Kuasa Baru Dalam Sukan Negara’,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat.

Beliau menyataannya ketika majlis pelancaran logo & kontinjen Sukma ke-14 Terengganu, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan negeri, Zainal Abidin Hussin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Ahamad Wan Muda.

Wan Ahamad turut menerima pelantikan sebagai Ketua Kontinjen Terengganu daripada Haji Rozi serta menerima plak sasaran pungutan pingat pada Sukma ke-14 nanti.

Terengganu akan menghantar 246 atlet lelaki dan wanita untuk menyertai Sukma Ke-14 2011 di Bukit Jalil, Jun ini.

Mereka akan mewakili 14 jenis sukan iaitu bola baling, futsal, bola jaring, bina badan, bola tampar, berbasikal, judo, kabaddi, kanu, lawan pedang, ping pong, ragbi, bola lisut dan tenis.

Rozi berkata kali ini Terengganu mensasarkan 24 pingat emas, 15 perak dan sembilan gangsa. "Angka itu sudah cukup untuk kita mempertahankan juara," katanya.

Rozi berkata kebanyakan atlet yang mewakili Terengganu di Sukma Melaka tahun lepas masih lagi berada dalam kontinjen itu tahun ini.

Beliau berkata atlet Terengganu membuat latihan sepanjang tahun bagi persediaan menghadapi Sukma kali ini.

Katanya kerajaan negeri memberi laluan kepada pasukan-pasukan menggunakan khidmat jangka pendek jurulatih import bagi menggilap atlet-atlet yang ada.

Mereka hendaklah memilih jurulatih yang benar-benar berkebolehan dan mampu membantu Terengganu mencapai sasaran, katanya.

Risda Ingin Lebih Serius Sertai Industri Perabot Kayu Getah


Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mengkaji penglibatan lebih serius dalam industri perabot berasaskan kayu getah yang berupaya menjana pulangan lumayan kepada pekebun getah negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) Risda Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad (gambar kanan) berkata kajian awal telah dimulakan untuk mencari kaedah perlaksanaannya yang paling berkesan.

"Industri perabot berasaskan kayu getah bernilai antara RM9 bilion hingga RM10 bilion setahun. Ia sangat berpotensi untuk diterokai."

"Kajian mengenai perlaksanaannya sedang dibuat. Buat permulaan, kita cari formula dapatkan harga yang tinggi untuk penjualan batang pokok getah yang ditebang untuk program tanam semula melalui Koperasi Pekebun Kecil," katanya kelmarin.

Beliau yang mewakili Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Tamby Chik ditemui selepas melancarkan dan Menyampaikan Geran Kelab Usahawan Risda (RISEC) Terengganu dan penyampaian bantuan RM60,000 kepada 45 Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri itu.

Yang turut hadir Pengarah Risda Terengganu Zakaria Mat Zin.

Wan Mohamad Zuki berkata harga yang diperolehi pekebun untuk jualan batang pokok getah yang ditebang untuk program penanaman semula pada masa ini tidak tetap, iaitu dianggarkan antara RM5,000 dan RM7,000 sehektar.

"Sedangkan, di sebuah negara jiran, harga kayu getah yang dieksport mereka tingginya berkali ganda dari itu," katanya.

Sehubungan itu, katanya pihaknya melihat kemungkinan jualan kayu getah ini diselaraskan dan dibuat di depoh pembelian atau Pusat Timbang Stor (PTS) yang ada di negeri-negeri sebagaimana pembelian susu getah.

Katanya langkah itu bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah terutama yang bergantung kepada hasil susu getah semata-mata.

"Kita juga melihat kemungkinan pergi lebih jauh dengan penghasilan perabot atau kraftangan daripada kayu getah sendiri oleh pekebun pada masa depan.

"Mungkin akan ada syarikat dan usahawan kita yang buat perabot dan kraftangan umpamanya lepas ini, bagaimana pun, ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat," tambahnya.

Pelajar Ke Sekolah Tidak Pulang-Pulang

Seorang pelajar perempuan (gambar di atas) yang dihantar ibunya ke sekolah dua hari lalu tidak pulang ke rumahnya di Kampung Baru, Seberang Takir sehingga semalam.

Junaidah Mahmod, 38, berkata beliau menghantar anak sulungnya itu Nur Aqilah Mohamad, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Ibrahim Fikri pada pagi Ahad lalu untuk menghadiri Hari Sukan di sekolahnya.

"Pukul 1 petang, saya pergi sekolah nak ambil dia, tapi saya tunggu sampai 3 petang, dia tak muncul.

"Saya masuk sekolah tanya guru, tapi guru beritahu anak saya tak hadir ke sekolah," katanya.

Junaidah berkata anaknya itu tidak mempunyai masalah keluarga dan tidak pernah meninggalkan rumah begitu lama.

Beliau merayu orang ramai yang menjumpai anaknya supaya menghubunginya.

Beliau telah membuat laporan polis tentang kehilangan Nur Aqilah.

SUK Terengganu Sertai Matta Pada Pameran di PWTC

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menyasarkan kehadiran 80,000 pengunjung dengan perolehan kira-kira RM100 juta pada pesta dan pameran 'Matta Fair' yang berlangsung selama tiga hari mulai 11 Mac ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Antara pempamer utama ialah Five Stars Travel Sdn Bhd yang menduduki 36 ruang pameran, Tourism Australia dan Kementerian Kebudayaan dan Pariwisata Indonesia (masing-masing 20 ruang), Lembaga Pembangunan Langkawi, Lembaga Pelancongan Sabah dan SUK Negeri Terengganu (masing-masing 12 ruang).

Pengerusi jawatankuasa penganjur John Tan berkata lebih 350 organisasi pelancongan termasuk pejabat pelancongan asing, agensi pelancongan, hotel, syarikat penerbangan dan syarikat lain yang berkaitan akan mempamerkan produk mereka di 978 ruang pameran meliputi kawasan seluas 23,200 meter persegi.

"Kami menjangkakan banyak pengunjung yang berkualiti. Saya fikir jumlah 80,000 pengunjung itu sangat selesa bagi tempoh tiga hari," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, semalam.

Pengurus Pemasaran SBU Perkhidmatan Antarabandar, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Noordin Kimi berkata KTMB sebagai rakan kongsi Matta Fair sejak 2003, akan menyediakan pelbagai program promosi dan jualan KTM Antarabandar sempena pameran berkenaan.

Katanya antara program itu ialah 'All in 1Malaysia: Lebih Ramai Lebih Mesra, Lebih Murah', 'Selamat Datang ke Matta Fair-Tambang Murah Pameran Meriah', 'Selamat Datang ke Booth Intercity-Jualan Tiket Murah Menanti' dan hadiah misteri setiap hari dari Intercity.

Katanya setiap program itu menawarkan potongan 25 peratus daripada tambang perjalanan kepada pengunjung Matta Fair manakala hadiah misteri akan diberi kepada pengunjung ke-1,000 setiap hari.

"KTM Intercity juga menyumbangkan 20 baucar tiket percuma kepada Matta untuk dijadikan hadiah pertandingan anjuran pengurusan Matta semasa pameran ini berlangsung.

"Melalui cara ini, kita akan dapat menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara malah jualan tiket juga meningkat menerusi pakej pelancongan yang ditawarkan," katanya.

Mohd Noordin berkata KTMB, yang memperoleh RM2 juta hasil jualan tiket menerusi pakej pelancongan tahun lepas berbanding RM1 juta pada 2009, menyasarkan jualan tiket RM3 juta pada pameran Matta kali ini

Tuesday, March 1, 2011

Konvoi Perdana V6 Mega TT AGM

AZMAN Ali (empat dari kiri depan) bergambar bersama ahli-ahli kenderaan VSixxer Perdana V6 Club Malaysia di Hotel Permai Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Sebanyak 75 buah kereta jenis Perdana V6 dari seluruh negara menyertai Konvoi Perdana V6 Mega TT AGM dari Lembah Klang menuju Hotel Permai di Kuala Terengganu 26 Februari lalu.

Konvoi yang disertai 150 peserta dari seluruh negara itu bertolak dari Shah Alam kira-kira pukul 9.30 pagi Sabtu dan tiba di hotel berkenaan pada pukul 8 malam hari yang sama.

Presiden Kelab VSixxer Malaysia, Fahrulizan Sharifuddin berkata, setiba di Hotel Permai, peserta kemudian menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (EGM) sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang.

"Konvoi ke Terengganu ini merupakan kali keempat kami adakan konvoi di luar Kuala Lumpur selepas Pahang, Pulau Pinang dan Johor. Kali ini juga kita adakan EGM sempena 10 tahun penubuhan Kelab VSixxer Malaysia," katanya kepada pemberita di Hotel Permai.

Turut hadir, Pengurus Besar Hotel Permai Kuala Terengganu, Azman Ali.

Menurut Fahrulizan, program tersebut yang turut disertai segenap lapisan masyarakat termasuk ahli profesional diadakan antara lain bertujuan menyatukan ahli selain mempromosi kenderaan Perdana V6.

Selain itu jelasnya, ia juga memperlihatkan komitmen serta tanggungjawab seluruh ahli kelab berkenaan dalam membantu mempromosikan tempat-tempat menarik untuk tarikan pelancong.

"Di samping kita beriadah bersama ahli kelab, kita juga memainkan peranan untuk membantu membangunkan industri pelancongan di negara ini," katanya sambil menambah, kelab berkenaan kini mempunyai seramai 1,000 ahli berdaftar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau turut menarik perhatian, kelab tersebut sebelum ini pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record atas kejayaan menganjurkan konvoi Perdana V6 terpanjang sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia.

Jelasnya, konvoi sejauh 1,777 kilometer yang bermula dari Kuala Lumpur menuju Pulau Pinang, Terengganu Johor dan kembali ke Kuala Lumpur disertai 55 buah kereta Perdana V6.

Karnival Pendidikan Mara Untuk Lepasan SPM, STPM di Kuala Terengganu 15-16 Mac

Mara menganjurkan Karnival Pendidikan 2011 selama dua hari mulai Selasa di Dewan Sultan Abdul Halim, Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Alor Setar khusus untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Selepas ini karnival akan turut diadakan di Johor Baharu (5- 6 Mac), Kuala Lumpur (11- 13 Mac), Kuala Terengganu (15- 16 Mac), Kota Baharu (19- 20 Mac), Zon Sarawak (25- 26 Mac), Zon Sabah (29- 30 Mac) dan Ipoh (9-10 April) dari 10 pagi hingga 6 petang.

Pengarah Kanan Mara, Mansor Putih berkata karnival itu yang turut disertai pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara dan antarabangsa diadakan bertujuan memberikan maklumat mengenai peluang melanjutkan pelajaran yang bersesuaian dengan kelayakkan akademik, minat dan kemahiran mereka.

"Pelajar-pelajar dapat bertemu secara langsung dengan wakil institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mengambil bahagian untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kursus yang diminati dan ditawarkan," katanya pada sidang akhbar di Kuin hari ini.

Penyertaan institusi pengajian tinggi luar negara seperti New Zeland, India, Perancis dan Australia pada tahun ini merupakan tarikan terbaru pada karnival kali ini, katanya.

Mansor berkata ceramah kerjaya turut diadakan pada karvival itu selain khidmat runding cara, temuduga terbuka dan maklumat pinjaman pelajaran.

Pembantu Am Pejabat Tanah Didakwa Terima Suapan RM1,300

Seorang pembantu am rendah di Pejabat Tanah di Kuala Terengganu, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM1,300, empat tahun lepas.

Hussin Che Mohamad, 52, didakwa menerima suapan itu daripada Mohd Shahril Saleh sebagai dorongan untuk menukar nama hak milik tanah milik Omar Ismail yang telah meninggal dunia kepada nama bapa saudara Mohd Shahril, Mohamad Awang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 12.40 tengah hari 14 Jan 2007.

Hussein didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Azman Mustapha menetapkan 30 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hisham Hashim.

Tabung Amanah Perwira Akan Dijenamakan Semula Untuk Tingkat Bantuan

Kerajaan bercadang membuat penjenamaan semula Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) kepada balu dan keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditimpa musibah semasa menjalankan tugas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong (gambar kanan) berkata, penjenamaan semula dengan bantuan media penting memandangkan bantuan tabung ini sekarang dilihat sudah tidak relevan lagi pada masa ini.

"Langkah itu perlu dilakukan dalam usaha untuk meningkatkan dan pemberian bantuan dari tabung berkenaan," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa pada majlis penyampaian cek TAPPN kepada balu dan keluarga PDRM di Kuala Terengganu, hari ini.

Pada majlis itu seramai 11 balu dan keluarga anggota dan pegawai PDRM Terengganu menerima bantuan daripada tabung berkenaan antara RM650 dan RM2,700 seorang.

Lee berkata, tabung itu digunakan untuk memberi sumbangan kewangan bagi meringankan beban balu dan keluarga PDRM yang mengalami musibah ketika menjalankan tugas.

Demokrasi Pendidikan Melalui E-Book di Terengganu

E-Book bukan sahaja menjadi alat pembelajaran penting kepada murid dan guru tetapi ia membuktikan wujudnya demokrasi pendidikan di Terengganu.

Tanpa mengira keturunan, kaum dan fahaman politik, Kerajaan Negeri Terengganu mengagihkan e-Book kepada semua pelajar.

Gambar yang dirakam oleh Zulkifli Putra (UKOM) menceritakan segala-galanya. Ia berlaku pada Majlis Penyerahan e-Book bagi sekolah kawasan DUN Ladang di Kuala Terengganu semalam.