Saturday, December 3, 2011

Ahmad Said Disambut Meriah Ketika Melawat Gerai Pameran

Datuk Seri Ahmad Said menandatangani buku pelawat gerai pameran Kementerian Pendidikan Malaysia semalam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said semalam disambut meriah ketika melawat beberapa gerai pameran (booth) bersempena Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.

Selain diajak bergambar oleh pekerja dan petugas di gerai pameran berkenaan, orang ramai yang melawat pameran di ruang legar tingkat bawah turut mengambil peluang bermesra dan bergambar dengan Menteri Besar Terengganu itu.

Beliau turut melayan pertanyaan beberapa pengunjung mengenai dasar pendidikan, penjagaan kesihatan serta pelancongan Terengganu.

Ahmad Said turut menjelaskan dasar dan pencapaian Terengganu dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM, selain penajaan kerajaan Terengganu untuk pelajar di institut pengajian tinggi.

Antara gerai pameran yang sempat beliau lawati petang semalam ialah Kementerian Pelajaran Malaysia, Felda, KUB serta Terengganu dan Top IT.

Menteri Besar bukan sekadar dijemput untuk meninjau pameran tetapi beliau turut diminta menguji beberapa peralatan umpamanya di ruang Al-JabbarGroup.Com.

Selain itu, beliau turut menderma untuk tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAM) ketika melawat ruang pameran Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kelmarin Menteri Besar Terengganu melawat pusat media dan mengagihkan keropok lekor Losong kepada petugas media.

Perwakilan UMNO Jangan Lupa Bantu Mangsa Banjir

Najib Tun Razak menderma kepada Tabung Bencana Banjir IAM-Utusan pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Badruddin Amiruldin menyeru para perwakilan tidak lupa tanggungjawab membantu mereka yang menghadapi kesusahan terutama mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini.

Merujuk kepada Tabung Bencana Banjir Islamic Aid Malaysia (IAM)-Kumpulan Utusan, beliau mahu semua perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO kali ini supaya menghulurkan sedikit bantuan kewangan bagi membantu mangsa banjir terlibat.

Tabung bantuan berkenaan ditempatkan berhampiran Laman Media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sepanjang perhimpunan agung parti itu berlangsung.

"Saya harap perwakilan dapat membantu sedikit orang susah, dermalah kepada mangsa banjir di seluruh negara menerusi tabung IAM-Kumpulan Utusan yang ditempatkan di hadapan bilik operasi Utusan Malaysia di Laman Media.

"Setiap sen yang didermakan kepada mereka yang memerlukan akan dibalas di akhirat nanti," katanya ketika mempengerusikan Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Tabung Bencana Banjir IAM- Utusan dilancarkan pada 29 November lalu bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Ketika ini, terdapat kira-kira 700 sukarelawan berdaftar yang menggerakkan tabung bencana berkenaan di seluruh negara dan beberapa cawangan telah ditubuhkan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah untuk memudahkan misi bantuan banjir.

Orang ramai yang prihatin dengan nasib mangsa boleh menghubungi 03-89485939 untuk pertanyaan lanjut.

Utusan Malaysia

Graduan Melayu Terima Gaji Rendah: Azim

Orang Melayu dan Bumiputera negara ini yang masih ketinggalan berbanding bukan Melayu dari segi gaji dan pendapatan, kata Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Wakil UMNO Wilayah Persekutuan itu berkata, orang Melayu dan Bumiputera adalah majoriti graduan universiti tetapi menerima gaji permulaan paling rendah sebaik memasuki pasaran kerja.

Beliau berkata, mengikut statistik Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2009, kira-kira 53 peratus graduan Melayu dan Bumiputera mendapat gaji bawah RM1,500. Katanya, keadaan itu jauh berbeza berbanding 70 peratus graduan keturunan Cina mendapat lebih RM1,500 manakala 55 peratus graduan India mendapat gaji lebih RM1,500.

"Kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama agensi Bloomberg dan Bursa Malaysia yang meliputi penyiasatan isi rumah 2009, pula mendapati pendapatan purata bulanan isi rumah Melayu dan Bumiputera yang bekerja sebagai majikan juga ketinggalan.

"Mereka hanya memperoleh RM7,078 sebulan, manakala majikan India meraih RM7,271 dan majikan Cina sebanyak RM8,559," katanya ketika membahaskan usul ekonomi pada Persidangan Agung UMNO hari ini.

Abdul Azim berkata, kumpulan Bumiputera juga ketinggalan dalam sektor awam apabila memperoleh pendapatan bulanan purata RM4,925 berbanding RM5,109 bagi kaum India dan masyarakat Cina sebanyak RM6,288.

Bagi pekerja sendiri, katanya, masyarakat Bumiputera memperoleh RM2,487 diikuti India yang menerima RM3,717 dan Cina sebanyak RM4,561.

"Berdasarkan fakta ini, jelas bahawa orang Melayu dan Bumiputera masih ketinggalan dan memerlukan suntikan daripada kerajaan bagi memastikan mereka mampu bersaing dengan kaum lain," katanya.

Beliau berkata, kajian terperinci juga perlu dijalankan untuk mengetahui faktor yang menyebabkan keadaan itu berlaku.

Katanya, fenomena tidak sihat tidak harus dibiarkan berterusan kerana boleh menyebabkan perasaan tidak puas hati dan konflik yang merugikan negara.

Hariss Ganti Anuar Ketuai Terennganu Cycling Team

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA Indonesia, Hariss Salleh, bakal menggantikan Anuar Manan bagi mengetuai pasukan lumba basikal profesional Terengganu, Terengganu Cycling Team (TSG) 2012.

Pengurus pasukan Ahmad Kamarul Idrus berkata ini kerana Annuar, anak kelahiran Kuala Ibai di sini, akan mewakili pasukan yang berpangkalan di Hong Kong, Champion System, tahun depan.

"Hariss memang layak mengambil tempat Anuar memandang pengalaman beliau yang begitu luas dalam kejohanan lumba basikal di peringkat antarabangsa," katanya kepada di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Kamarul berkata walaupun TSG bakal kehilangan pelumba sensasi itu, pelumba-pelumba lain masih dikekalkan bagi menghadapi kejohanan lumba basikal benua Asia musim 2012 yang akan bermula Januari ini.

Mereka ialah Hariss, Shahrul Mat Amin, Mohd Saufi Mat Senan, Nor Amirul Fakharuddin Marzuki, Yusliza Usoff, Nor Umardi Rosdi, Mohd Shobery Abdullah dan Mohd Fais Saifuddin.

Beliau berkata muka baru yang akan diambil bagi memantapkan lagi pasukan TSG tahun depan ialah Mohd Zamri Salleh dan juga beberapa pelumba remaja sebagai pelapis.

Ahmad Kamarul berkata sasaran TSG tahun depan ialah untuk menyertai seberapa banyak kejohanan peringkat Asia dan sekaligus menjadi sebuah pasukan disegani di peringkat Asia.

"Program latihan pelumba-pelumba TSG akan diadakan termasuk di Eropah kerana TSG dijangka menyertai kejohanan undangan sana tahun depan," katanya.

Nelayan Terengganu Diminta Patuhi Syarat Tangkap Udang Musim Tengkujuh

Nelayan yang diberikan permit sementara oleh Jabatan Perikanan Terengganu untuk menangkap udang pada musim tengkujuh diingatkan supaya tidak menunda pukat melebihi dua batu nautika dari pantai.

Pengarah Perikanan negeri Zakaria Ismail berkata jika mereka tidak mematuhi syarat itu mereka boleh ditangkap oleh pihak berkuasa.

Mengikut permit itu, bot-bot berkenaan boleh beroperasi dari 1 November hingga 31 Mac dan masa operasi mulai pukul 6 pagi hingga 6 petang, katanya ketika diminta mengulas mengenai penangkapan udang pada musim tengkujuh di negeri ini.

Menurut Zakaria, di Terengganu terdapat lebih kurang 67 nelayan yang mempunyai permit berkenaan.

"Kami mengenali bot-bot yang mempunyai permit sementara ini melalui pelekat khas yang ditampal pada badan bot-bot berkenaan," katanya.

Beliau berkata terdapat juga permohonan-permohonan baru daripada nelayan-nelayan untuk mendapatkan permit khas itu.

"Kita hantar lebih kurang 18 permohonan ke ibu pejabat untuk dipertimbangkan dan keputusannya masih belum diperolehi," katanya.

Kawasan Rendah Di Pahang Dan Johor Berisiko Banjir

Hujan berterusan yang dijangka berlaku di Pahang dan Johor sehingga hari ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia kawasan yang terlibat di Pahang ialah daerah Kuantan, Pekan dan Rompin manakala Johor membabitkan daerah Mersing dan Kota Tinggi.

Selain itu, kawasan pantai Pahang, Johor timur, Kelantan dan Terengganu dijangka mengalami kenaikan paras air laut ekoran angin kencang dan ombak kuat sehingga Ahad.

Kenyataan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 60 kmsj dan ombak melebihi 5.5 meter di kawasan perairan Pahang, Johor timur, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North, Reef South dan Layang-layang di mana keadaan dijangka berterusan sehingga 13 Dis.

Amaran angin kencang dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 4.5 meter dijangka berterusan sehingga 13 Dis di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Labuan dan beberapa kawasan di Sabah seperti di kawasan pedalaman, Pantai Barat dan Kudat di samping Samui dan Palawan.

Menurut kenyataan itu lagi keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan, perkhidmatan feri, bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

JHEAT Buka Penyertaan Ujian Hafaz al-Quran

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan menganjurkan ujian hafaz al-Quran 2012 yang terbuka kepada anak tempatan dengan tahap minimum hafaz tujuh juzuk pertama mengikut susunan mashaf.

Pesuruhjaya JHEAT Haji Mohd Rozali Salleh (gambar kiri) berkata, peserta mestilah berusia 18 tahun dan tidak melebihi 29 tahun tahap di bawah 30 juzuk dan berusia 30 tahun ke atas bagi tahap 30 juzuk.

Katanya, pemohon yang terpilih mesti bersedia memberi sumbangan sukarela di mana-mana tempat yang diarahkan atau dipersetujui JHEAT bagi pengajaran kelas al-Quran, fardu ain, bahasa Arab, ilmu tafsir al-Quran tajwib, fekah dan sebaganinya.

“Sumbangan itu sekurang-kurangnya dua kali seminggu dengan penyertaan masyarakat atau pelajar melebihi 10 orang,” katanya.

Kepada yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat JHEAT atau Pejabat Agama Daerah masing-masing atau boleh layari laman web http://jheat-web.terengganu.gov.my dan tarikh tutup penyertaan adalah sebelum 31 Disember depan.

Teganukita

Wanita Hidap HIV Meningkat Hasil Hubungan Seksual Dengan Suami

Sehingga Disember tahun lalu, 20 peratus daripada 96,000 penghidap HIV positif di negara ini terdiri daripada kaum wanita dan kebanyakannya mendapat virus berkenaan daripada pasangan masing-masing.

Naib Presiden Majlis Aids Malaysia, Hisham Hussein, berkata rata-rata wanita berkenaan mendapat jangkitan HIV melalui hubungan seksual bersama suami.

Katanya, pemindahan virus HIV melalui hubungan seksual di negara ini semakin meningkat dan amat membimbangkan, iaitu sebanyak 48.6 peratus melebihi jumlah kes yang disebabkan perkongsian jarum oleh penagih dadah.

“Trend pemindahan virus melalui kaedah ini mungkin disebabkan peningkatan hubungan seks rambang di kalangan lelaki yang sudah beristeri. Si suami melakukan hubungan seks dengan penghidap HIV yang rata-ratanya pekerja seks tanpa menggunakan kondom.

“Jelas sekali kesalahan itu harus diletakkan kepada suami kerana melakukan hubungan terlarang, sedangkan sudah beristeri dan tidak mungkin si isteri mendapat jangkitan daripada lelaki lain.

“Kes isteri melakukan hubungan seks dengan lelaki lain kecil bilangannya, berbanding suami yang berpotensi melakukan perkara itu,” katanya ketika lawatan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Paul W Jones ke Pertubuhan Wanita dan Kesihatan Kuala Lumpur (Wake) di Kuala Lumpur, semalam.

Pemandu Makin Berani Maki Hamun JPJ

Pemandu kenderaan dikatakan semakin berani mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota penguat kuasa apabila disaman atas kesalahan jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata perbuatan melemparkan kata-kata kesat seperti "bodoh" semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Beliau lalu menasihati pengguna jalan raya bahawa anggota penguat kuasa hanya menjalankan tugas mereka, bukan sesuka hati mahu menyaman.

Katanya mereka yang tidak berpuas hati dengan tindakan anggota penguat kuasa boleh melaporkannya menggunakan saluran yang betul dan bukan dengan melemparkan kata-kata kesat.

Abdul Rahman memberitahu Bernama berkata antara kesalahan yang paling banyak dikesan di negeri ini ialah penggunaan cermin gelap pada kereta yang gagal mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Beliau berkata pemilik kenderaan yang diberikan notis kerana kesalahan cermin gelap oleh JPJ, boleh menghantar kenderaan mereka untuk pemeriksaan di mana-mana pejabat JPJ dalam tempoh 10 hari selepas notis dikeluarkan.

Muzium Terengganu Rancang Program Sempena Cuti Sekolah

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah merangka beberapa program untuk menarik minat orang ramai mengunjungi muzium itu sepanjang musim cuti sekolah.

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata salah satu daripada program itu ialah rampai budaya iaitu satu aktiviti khusus untuk menghidupkan suasana di muzium.

Katanya rampai budaya merupakan satu rangkuman aktiviti demontrasi, permainan, kuiz, persembahan kebudayaan yang diadakan serentak bertempat di perkarangan muzium.

“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bertujuan sebagai penyaluran maklumat dan pengetahuan berhubung dengan aspek sejarah dan budaya tempatan.

"Program ini bertujuan menjadikan muzium Terengganu satu destinasi 'wajib dikunjungi' pada musim cuti persekolahan," katanya.

Mohd Saberi berkata antara aktiviti teras kepada rampai budaya ini adalah persembahan kebudayaan, demostrasi awetan manuskrip, awetan mamalia dan permainan tradisional.

Katanya program rampai budaya edisi kedua ini dijangka akan berjaya menarik lebih ramai pengunjung bebanding edisi pertama yang telah dijalankan pada cuti awal penggal pada Mac lalu.

Mohd Saberi berkata pada edisi pertama rampai budaya telah berjaya menarik hampir 4,000 pengunjung dan untuk program kali ini, pengunjung dijangka meningkat 100 peratus.

Beliau berharap kepada para ibu-bapa dan pelajar-pelajar sekolah tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan rampai budaya ini.

Teganukita

Friday, December 2, 2011

Idris Jusoh Tawar Diri Tidak Bertanding Pada Pilihan Raya Umum Ke 13

Tiga Naib Presiden UMNO meminta wakil rakyat parti itu mencontohi Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh yang menawarkan diri untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), bagi memberi laluan kepada calon boleh menang.

"Kami terima SMS daripada Datuk Seri Idris Jusoh yang menyatakan bahawa beliau bersedia untuk tidak menawarkan diri dalam PRU ke-13 nanti dan ini satu contoh yang baik," kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menyatakannnya pada sidang media bersama rakan sejawatan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Kuala Lumpur, semalam.

Ahmad Zahid berkata, jika tindakan itu dicontohi wakil rakyat lain, maka mudahlah untuk Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan dan
mengelak lebih ramai yang berkecil hati.

"Presiden parti tidak mahu meletakkan parang yang tajam untuk memenggal leher orang yang tidak lagi boleh memberikan kemenangan kepada parti, namun kita
sendiri mesti lakukan muhasabah pada diri. Kalau kita tidak boleh memberikan kemenangan kepada parti lagi maka kita perlu mengundurkan diri," katanya.

Hishammuddin pula berkata, wakil rakyat sedia ada perlu melihat sejarah pemimpin tertinggi UMNO seperti Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sanggup berundur ketika di puncak bagi memastikan kelangsungan parti.

"Jadi ini bukanlah satu perkara yang unik kerana tunjuk ajarnya pun ada dan ia boleh dilihat kepada sejarah orang-orang Umno yang sayangkan dan
cintakan parti iaitu di peringkat kepimpinan yang tertinggi," katanya.

Shafie pula berkata, dalam keadaan landskap politik masa kini, keadaan jauh berubah dan memerlukan anggota Umno melakukan pengorbanan berbeza
demi kelangsungan perjuangan parti.

"Maknanya bila sampai masanya, cinta kita dan sayang kita pada parti berterusan, perkhidmatan kita juga berterusan sama ada di depan atau pun sebagai
penyokong...yang penting kuasa kita kekal bawah Barisan Nasional," katanya.

Idris, 56, adalah bekas Ahli Parlimen Besut yang dimenanginya pada PRU 1995, dan pada PRU 1999 beliau bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Kampung Raja namun tewas.

Pada PRU 2004 beliau bertanding di kerusi DUN Jerteh dan menang serta dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu ke-12. Beliau mengekalkan kerusi itu
pada PRU 2008.

Najib dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini secara halus meminta perwakilan mencontohi sifat Rasulullah, Khalid al-Walid yang taat
mengundurkan diri sebagai panglima perang apabila diarah khalifah, dan bekerja sebagai tentera biasa sekalipun tidak pernah tewas dalam sebarang peperangan.

Ucapan Najib Jurus Kepada Tuntutan Kebangkitan Semula Umno: Penganalisis

Datin Seri Rosmah Mansor bertanya sesuatu kepada Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sambil di perhatikan oleh Tun Siti Hasmah Mohd Ali, Datin Puan Sri Noraini Abd Rahman selepas ucapan perasmian Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur semalam (1 Dis 2011).

Ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dilihat berjaya membakar semangat juang anggota parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 selepas prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) merudum pada pilihan raya umum 2008, menurut beberapa penganalisis.

Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata Perdana Menteri bijak menggunakan kesempatan pada perhimpunan agung kali ini untuk membangkitkan perasaan perwakilan untuk lebih sayang, cinta dan kasihkan parti.

"Saya melihat lima kekuatan teras yang digariskan Najib pada perhimpunan kali ini tepat bagi mengingatkan semula perwakilan tentang nilai-nilai yang terhakis, yang selama ini menjadi sumber kekuatan Umno.

"Nilai yang terhakis inilah yang membawa kepada kekalahan Umno dan Barisan Nasional untuk mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihan raya umum 2008," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, Pensyarah Bersekutu Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu hadir pada majlis perasmian perhimpunan agung itu sebagai jemputan.

Lima kekuatan teras yang digariskan Najib dalam ucapan perasmiannya hari ini ialah keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru; pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang sama ada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

Tiga lagi kekuatan teras ialah, Umno sentiasa mengulungi idea atau "supremacy of ideas" dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat; meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya serta kebolehan Umno untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji.

Sivamurugan berkata peringatan Najib kepada perwakilan juga jelas dan ia menggambarkan bahawa Perdana Menteri dapat menghidu hakikat bahawa mempunyai keanggotaan yang banyak bukanlah jaminan untuk parti terus melakar kemenangan.

Katanya penegasan Perdana Menteri bahawa beliau tidak mahu anggota Umno sekadar menjadi anggota tetapi 'orang Umno' yang taat dan setia kepada parti serta tidak sekali-sekali mengkhianati parti, adalah tepat dan bersesuaian dengan landskap politik baru.

"Menjadi ahli tidak semestinya dia akan mempertahan dan mengundi parti, tetapi menjadi orang Umno, sudah semestinya seluruh perjuangan, keringat serta taat setianya kepada parti itu ada dan sekaligus akan memastikan parti itu menang.

"Perjuangan ke atas survival parti itu sebenarnya bergantung kepada 'orang'. Ada juga parti yang tiada keahlian yang besar, tetapi boleh menang," katanya.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berpendapat, ucapan dasar Presiden Umno yang juga Pengerusi BN itu bukan sekadar untuk mengingati anggota Umno, tetapi juga seluruh masyarakat di negara ini bahawa selama ini Umno memang memperjuangkan nasib semua kaum.

Katanya, penilaian rakyat terhadap prestasi parti tersebut bukan sahaja patut dilakukan berdasarkan dua tiga tahun kebelakangan ini, tetapi sejak di awal kemerdekaan negara.

"Apa jua polisi yang diperkenalkan selama ini, tak kira pendidikan, ekonomi dan sebagainya, memang sama-sama (semua pihak) untung. Polisi ini bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi juga untuk orang bukan Melayu.

"Parti komponen BN lain seperti MCA dan MIC memang memperjuangkan nasib kaum mereka, tetapi Umno mengambil pendekatan lebih menyeluruh kerana mereka merupakan parti dominan di dalam BN," kata Presiden Pertubuhan Suluh Cendekiawan Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin berkata, Najib melalui ucapannya mengingatkan para perwakilan agar sentiasa agresif dalam menongkah arus semasa yang semakin mencabar.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Shah Alam, Selangor itu berkata oleh itu, dalam memastikan Umno terus relevan dalam landskap politik baru ini, anggota parti memerlukan satu pendekatan baru.

Beliau berkata, ucapan Presiden juga dilihat cuba "meneutralkan" kembali ucapan-ucapan yang dibuat pemimpin-pemimpin Umno yang lain sebelum ini.

Exco Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail pula berkata sebagai 'orang Umno' anggota parti harus melihat saranan itu sebagai satu cabaran dalam mempertingkatkan kualiti dan pemahaman terhadap matlamat dan perjuangan parti yang bertunjangkan orang Melayu itu.

Beliau berkata mereka yang berhasrat menyertai Umno dan menjadi orang Umno perlu sedar penyertaan itu bukanlah seperti memasuki mana-mana pertubuhan lain sebaliknya perlu menghayati dan menjiwai matlamat perjuangan parti, iaitu untuk mempertahan dan membangunkan agama serta mendaulatkan bangsa dan negara.

Bekas imam Masjid Negara itu berkata dalam senario itu, Umno memerlukan anggota yang berkualiti tinggi, beretika, berakhlak serta berpendidikan kerana faktor tersebut menjadi ukuran kepada masyarakat dalam memberikan sokongan.

"Sebagai ahli yang membawa suara parti, setiap mereka perlu menjadi 'orang Umno' yang mempunyai kualiti sebagai anggota yang faham dan dapat terjemahkan matlamat dan perjuangan parti dalam setiap tindakan yang dibuat," katanya.

Henti Segera Aktiviti Cari Benih Ikan Kerapu Di Terengganu

Pencari benih ikan kerapu di negeri ini diingatkan supaya memberhentikan aktiviti mereka kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Perikanan 1996.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zakaria Ismail berkata, kegiatan tersebut didapati banyak berlaku di pantai Terengganu terutamanya di Besut, Setiu dan juga Marang.

"Semua kegiatan menangkap anak ikan kerapu adalah dilarang dari bulan November hingga Disember setiap tahun," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, larangan itu bertujuan untuk menjaga sumber dan juga mengelak benih ikan itu dijual ke luar negara, sekaligus boleh menjejaskan ekonomi negara.

Menurut Zakaria, pada musim tengkujuh induk-induk ikan kerapu akan melepaskan telur dan anak-anak ikan turun ke pantai untuk membesar.

Zakaria berkata, anak-anak ikan kerapu pada musim tengkujuh ini banyak berkumpul di tepi pantai dan pencari benih ikan berharga itu akan memasang perangkap untuk menangkapnya.

Perangkap itu diperbuat daripada ranting-ranting kayu dan daun pokok yang diletakkan di tepi pantai sebagai tempat anak-anak ikan itu berlindung, katanya.

"Sekiranya kita temui mereka sedang menjalankan aktiviti menangkap benih kerapu ini, mereka boleh didakwa dan jika didapati bersalah dikenakan denda," katanya tanpa menjelaskan jumlah denda.

UMT-Universitas Padjajaran Jalin Kerjasama

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universitas Padjajaran Indonesia (Unpad) akan menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Naib Cancelor UMT, Datuk Dr. Aziz Deraman berkata Unpad adalah universiti kedua dari Indonesia menjalin kerjasama dengan UMT selepas Univesitas Airlangga (Unair) Surabaya.

"Mudah-mudahan kerjasama ini menjadi suatu yang bermakna kepada kita semua,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (Mou) antara UMT dan Unpad, di Kuala Terengganu, kelmarin.

UMT diwakili Aziz manakala Unpad diwakili rektornya, Prof. Dr. Ir. Ganjar Kurnia.

Aziz berkata, melalui persefahaman itu kedua-dua universiti bersetuju mengadakan kerjasama khususnya dalam bidang berkaitan dengan pertanian dan perikanan.

Beliau berkata, di bawah kerjasama itu, pertukaran penuntut juga akan diadakan di antara kedua-dua universiti berkenaan.

Sementara itu, Ganjar berkata, beliau berharap kerjasama itu akan berkembang dalam bidang-bidang lain pada masa akan datang, termasuk mengadakan kajian bersama.
"Kerjasama yang semacam ini membolehkan kita bertukar pengalaman, ilmu, pengetahuan yang akan disusuli dengan pertukaran pelajar,” katanya.

Hakisan Hampiri Kawasan Tumpuan Awam di Kubang Badak

Pondok rehat semakin senget dan rosak akibat hakisan pantai di Kampung Kubang Badak, Kuala Terengganu, kelmarin.

Penduduk di pinggir pantai di Kampung Kubang Badak dan Tok Jembal dekat sini bimbang keadaan hakisan yang berlaku pada musim tengkujuh ini.

Hakisan yang berlaku semakin menghampiri kemudahan awam mereka manakala keindahan kawasan sekitar yang menjadi tumpuan umum semakin lenyap.

Hakisan semakin ketara sejak seminggu lalu apabila empat buah pondok rehat di tepi pantai hampir tumbang dipukul ombak kuat.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa batang pokok termasuk kelapa juga tumbang sehingga menjejaskan pemandangan di kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Muhammad Zafrie Osman, 34, berkata, kerja-kerja baik pulih dan penambakan kawasan pantai itu perlu disegerakan kerana ia merupakan kawasan tumpuan ramai terutamanya setiap kali hujung minggu.

"Sepatutnya, satu benteng perlu dibina untuk mengelak berlakunya masalah hakisan yang serius di kawasan itu.

"Jika tidak, saya khuatir lebih banyak pondok rehat dan kemudahan lain akan dirosakkan oleh ombak yang kuat setiap kali banjir atau hujan lebat," katanya.

Masalah hakisan di pantai itu sebelum ini mendapat perhatian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang bersetuju menambak kawasan sepanjang 450 meter itu dengan kos yang dianggarkan RM2.5 juta.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Rubiah Soh, 42, turut sependapat dengan Muhammad Zafrie dan berharap agar kerja-kerja penambakan pantai itu disegerakan.

Katanya, walaupun masih dikunjungi orang ramai sehingga ke hari ini, tidak mustahil kawasan pantai itu akan dilupakan selepas ini.

"Pantai ini sebenarnya destinasi tumpuan terutamanya di kalangan penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang terletak berdekatan.

Utusan Malaysia

50 Peserta Berentap Dalam Pertandingan Luncur Ombak Di Terengganu

Buat kali pertama Terengganu akan menganjurkan kejohanan Terengganu Quiksilver Best Event Surf 2011 di Batu Buruk di Kuala Terengganu, selama tiga hari mulai hari ini.

Pengarah Tourism Malaysia Terengganu Mohd Nasir Kushairi berkata dijangka lebih 50 peserta termasuk dari Indonesia, Jepun, Maldives dan Korea akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang ditaja kerajaan negeri, pengeluar produk sukan air terkemuka, Quiksilver serta Tourism Malaysia.

"Kejohanan luncur ombak ini melengkapkan aktiviti di musim tengkujuh di negeri ini," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Nasir berkata, kejohanan melibatkan empat kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Terbuka Masters dan Terbuka Bodyboard dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM31,000.

"Kita harap acara ini akan meningkatkan lagi industri pelancongan negeri Terengganu," katanya.

Terengganu Mahu Dalamkan Sungai Setiu Elak Banjir

Satu projek khusus dan menyeluruh untuk mengatasi masalah banjir di daerah Setiu sedang dirangka kerajaan Terengganu dengan melibatkan perbelanjaan yang besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Asha'ari Idris berkata kerajaan Terengganu telah memohon peruntukan daripada kerajaan pusat di bawah projek mengatasi masalah banjir di Lembah Setiu sejak tahun lepas, tetapi ia belum diluluskan lagi.

"Kita memang ada projek khusus untuk mengatasi masalah banjir di sini. Cadangan kita untuk mendalamkan muka kuala agar dapat mengalirkan air terus ke laut.

"Projek yang menelan belanja ratusan juta itu belum bermula kerana ia masih dalam pertimbangan kerajaan pusat," katanya di Setiu, kelmarin.

Asha'ari berkata apabila projek itu menjadi kenyataan kelak, ia boleh mengatasi atau mengurangkan masalah banjir yang berlaku setiap tahun di daerah itu.

Bagaimanapun, katanya projek tahunan mendalamkan sungai Setiu yang dilaksanakan kerajaan Terengganu memang ada, tetapi ia tidak memadai.

"Ia kena ada projek khusus yang boleh mengatasi masalah banjir secara keseluruhan atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah itu.

"Jika menjadi kenyataan, ia bukan setakat menyelamatkan penduduk, tetapi juga boleh mengatasi masalah petani yang tanaman mereka sering ditenggelami air," katanya.

Banjir yang melanda Terengganu minggu lepas menyaksikan daerah Setiu paling teruk ditimpa bencana alam itu.

Selain itu, kira-kira 60 petani di Kampung Tasik dan Kampung Buluh di daerah itu kerugian hampir setengah juta ringgit apabila tanaman padi rosak akibat ditenggelami

Thursday, December 1, 2011

Perlawanan Final Piala Malaysia Disaksikan 1.7 Juta Penonton

Perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu dan Kelantan disaksikan sejuta penonton sementara final Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu disaksikan 1.7 juta penonton, menerusi televisyen.

Sementara seramai 2.8 juta penonton di Malaysia pula menyaksikan perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA Indonesia yang menemukan Malaysia dan Indonesia, menerusi kaca televisyen.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa berkata daripada jumlah itu, 1.4 juta menonton menerusi saluran televisyen berbayar Astro Arena, 1.1 juta menerusi stesen swasta TV3 dan 300,000 melalui TV1 Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

"Jumlah ini menunjukkan bola sepak kembali menarik minat penonton di Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 di Petaling Jaya kelmarin.

Annuar berkata berikutan kejayaan skuad kebangsaan dan Harimau Muda bermula 2009, jumlah kehadiran penonton di stadium juga menunjukkan peningkatan.

Beliau berkata bagi musim 2011, jualan tiket bagi perlawanan Liga Malaysia naik 14.8 peratus berbanding 1.3 juta keping tiket yang dijual pada musim 2010.

"Berbanding 1.3 juta pada 2010, sebanyak 1.5 juta tiket dijual pada musim 2011," kata Annuar.

Annuar berkata minat penonton untuk kembali ke stadium dan menonton televisyen adalah berdasarkan rentetan kejayaan skuad kebangsaan dan skuad Harimau Muda, bermula dengan meraih emas pada Sukan SEA di Vientiane, Laos pada 2009, menjuarai kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pada 2010 dan mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Indonesia minggu lepas.

Mahasiswa UMT Terbit Akhbar Sendiri

Kesibukan bergelar mahasiswa yang sentiasa sibuk bergelumang dengan buku dan aktiviti kadang kala membantutkan mereka untuk melakukan aktiviti sendiri.

Bagaimanapun, ia berbeza dengan sepasukan mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu yang menggelari diri mereka sebagai ‘Skuad Wartawan Samudera UMT’.

Menariknya, pasukan ini ialah tenaga penggerak bagi akhbar Samudera, yang menjadi nadi dan suara bagi mahasiswa universiti itu sejak lebih setahun yang lalu.

Berbeza dengan universiti lain, akhbar bulanan itu dipercayai merupakan satu-satunya akhbar yang dikendalikan oleh mahasiswa sendiri dan sangat aktif, terutamanya dalam mengutarakan masalah, aktiviti mahupun suara mahasiswa UMT.

Exco Penerbitan, Penerangan dan Publisiti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT, Aliashim Albani berkata, inisiatif untuk menerbitkan akhbar itu sebenarnya bermula sejak 2009 lagi.

Bagaimanapun, ketika itu akhbar Samudera tidaklah seaktif mana dan apabila jawatankuasa MPP UMT baru dibentuk, ia mula diaktifkan kembali.

Bermula sejak itu, Exco Penerbitan, Penerangan dan Publisiti dilantik secara automatik untuk menjadi Ketua Jawatankuasa Media bagi Samudera dan Aliashim dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan akhbar yang menjadi suara mahasiswa UMT itu.

Bagaimanapun, cabarannya agak getir kerana memerlukan sekumpulan mahasiswa yang aktif dan bersedia untuk memberikan komitmen sepenuhnya bagi membolehkan akhbar itu diaktifkan kembali.

Menurut Aliashim, dia terpaksa merombak kembali jawatankuasa Samudera yang sedia ada manakala jawatankuasa lama yang bersedia untuk memikul amanah untuk terus bersama Samudera, akan menjadi mentor dan menjadi redaksi kanan yang mengetuai akhbar itu.

“Kita kemudiannya mengeluarkan iklan untuk merekrut wartawan daripada kalangan mahasiswa kita sendiri. Pada mulanya, saya rasa agak bimbang akan sambu-tannya tetapi apa yang mengejutkan, kira-kira 250 mahasiswa yang datang untuk temuduga.

“Pada ketika itu, saya sudah dapat rasakan aura Samudera itu sendiri, tetapi kita perlu selektif dan akhirnya kita memilih 27 wartawan yang akan menjadi jentera kita dalam menyalurkan suara mahasiswa UMT,” katanya yang kini dalam tahun kedua, Master Teknologi Alam Sekitar (Tenaga Angin) di UMT.

Sinar Harian

TSG Cadang Guna Khidmat Pelumba Dari Eropah Tahun Depan

Terengganu Cycling Team (TSG) bercadang menggunakan khidmat pelumba basikal dari Eropah tahun depan.

Pengurusnya Ahmad Kamarul Idrus berkata sekarang ini TSG sedang mengintai pelumba-pelumba dari Amerika Selatan khususnya Colombia untuk memperkuatkan pasukan TSG.

"Ia sebagai persiapan kerana tahun depan kita mungkin akan menyertai kejohanan lumba basikal jemputan di Eropah," katanya kelmarin.

Beliau berkata TSG mungkin akan mengambil dua atau tiga orang pelumba dari benua Eropah terutamanya pelumba-pelumba yang pakar dalam kategori mendaki bukit.

"Sebab kita tidak ada pendaki bukit untuk disesuaikan dengan kejohanan di sana," katanya.

Ahmad Kamarul berkata setakat ini TSG telah mengenalpasti beberapa pelumba dari Eropah dan akan mengkaji sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Dalam pada itu, TSG mungkin akan mengekalkan setahun lagi pelumba-pelumba import dari Asia yang menyertai pasukan itu tahun ini.

Pelumba berkenaan ialah Shinichi Fukushima, Motoi Nara dari Jepun dan Chan Jang Jae, Kim do Hyoung, Korea Selatan.

Beliau berkata perlumbaan di benua Asia pada tahun depan akan bermula dengan Le Tour de Langkawi (LTdL) mulai 24 Feb hingga 4 Mac.

Jabatan Kehakiman Syariah Sedia Khidmat Terbaik

Bermula Januari tahun depan, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) akan melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat yang berurusan dengan jabatan itu.

Ketua Hakim Syarie JKST, Datuk Ismail Yahya berkata, penambahabaikan itu termasuk mengukuhkan pengunaan sistem inquisitorial semasa prosiding perbicaraan.

“Perubahan kepada proses sulh dan kaedah sulh yang dilaksanakan melalui mediasi bagi kes sebelum prosiding perbicaraan juga diberi perhatian serius,” katanya.

Selain itu katanya, usaha mempertingkatkan pemakaian pengambilan nota keterangan secara langsung dan telus serta menyediakan kaedah memperolehi alasan penghakiman yang bermutu secara bertulis dan bersegera.

Tambahnya, JKST turut memperkenalkan kaedah pemakaian fail kes dalam talian yang disimpan dalam sistem e-syariah di samping menambah inovasi seperti memastikan keberhasilan dapat dikira dalam e-syariah.

Sehingga ini katanya, pelbagai penambahabaikan telah dilaksanakan termasuk memasang tv intraktif di 11 lokasi di jabatan berkenaan untuk memudahkan pelanggan membuat semakan kes.

“JKST telah membuat ketetapan setiap kes akan disebut dalam masa 21 hari dari tarikh didaftar bagi mengatasi rungutan orang ramai penyelesaian sesuatu kes dapat dipersepatkan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga berjaya menyiapkan nota bicara dalam tempoh satu jam sebaik habis prosiding berbanding enam minggu sebelum ini.

Seramai 300 Peserta Dari Enam Benua Sertai RFC 2011

Seramai 300 peserta dari 30 buah negara akan menyertai kembara sukan lasak kenderaan 4X4 Rainforest Challenge International Terengganu 2011 (RFC 2011) selama 10 hari mulai Sabtu ini.

Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil berkata kejohanan kali ke-14 itu, merupakan satu lagi rekod penyertaan paling ramai disertai peserta dari dalam dan luar negara.

Ia membabitkan peserta antaranya dari Australia, Rusia, Filipina, Venezuela, Amerika Syarikat, Austria, China, Itali, India, Sri Lanka, Perancis, Vietnam, Thailand, United Kingdom, Singapura, Indonesia dan Malaysia.

"Cubaan mengatasi cuaca, hutan hujan tropika dan bentuk muka bumi di kala Monsun Timur Laut melanda merupakan pengalaman yang amat mencabar kepada peserta RFC tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari Rabu.

Pada kejohanan RFC 2007 dan 2008 peserta menghadapi cabaran getir apabila terkandas di dalam hutan dalam cuaca yang tidak menentu di mana peserta terpaksa diselamatkan oleh komando tentera.

Che Wan Mohd Zulkifli berkata acara tahun ini yang meliputi laluan Sungai Loh dan laluan Terminator di Hulu Dungun, laluan berbukit, laluan Predator di Hulu Terengganu dan laluan terakhir di kem tiga bakal memberi cabaran paling sengit kepada peserta di Hulu Kemaman.

Katanya pada tahun ini hujan yang tidak menentu bakal memberi impak kepada peserta di mana daripada maklumat yang diterima, bakal terdapat peningkatan purata hujan di negeri itu.

"Pengurusan teknikal telah mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan laluan yang selamat daripada bencana banjir dan tanah runtuh, termasuk laluan kecemasan sekiranya berlaku bencana.

"Namun seperti biasa, di dalam mana-mana pengembaraan, tiada apa yang boleh memberi jaminan sehinggalah hari kejohanan memandangkan cuaca yang amat tidak menentu," katanya.

Che Wan Mohd Zulkifli berkata, kejohanan RFC itu yang merupakan salah satu sukan lasak di dunia akan dirasmikan Setiausaha Kerajaan negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah bertempat di Kompleks Sukan negeri Terengganu, Gong Badak di sini pada 9.45 pagi Sabtu ini.

Najib Pengerusikan Mesyuarat MT UMNO

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semalam mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Menara Dato Onn, malam tadi.

Mesyuarat yang bermula jam 8.30 malam, turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden UMNO. Hadir sama, tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said turut hadir.

Antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu adalah cadangan yang dikemukakan perwakilan dari tiga sayap parti yang selesai mengadakan perhimpunan agung bagi pergerakan masing-masing, petang semalam.

Perhimpunan tiga sayap yang diadakan serentak itu menghimpunkan seramai 944 perwakilan Wanita, 942 perwakilan Pemuda dan 934 perwakilan Puteri.

Anggota Polis Antara Yang DiTahan Disyaki Rompak Kedai Emas

Polis memberkas dua suspek yang merompak sebuah kedai emas dengan bersenjatakan pistol di Wakaf Tapai di Kuala Terengganu ketika dalam kejadian Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa kelmarin mengesahkan tangkapan tersebut dan turut berkata, seorang daripada mereka adalah anggota polis.

Kedua-duanya, kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai kes itu.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, dua lelaki yang bersenjatakan sepucuk
pistol dan tukul besi melarikan satu dulang barang kemas bernilai kira-kira RM10,000.

Kedua suspek yang memakai topi keledar yang menutup muka mereka meluru masuk ke dalam kedai itu dan seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah pekerja di bahagian kaunter manakala seorang lagi memecahkan cermin pameran.

Terdapat enam pekerja dalam premis tersebut yang baru hendak memulakan perniagaan.

Dilaporkan, ketika hendak melarikan diri, suspek terserempak dengan pemilik kedai emas tersebut di luar premis itu dan bertindak melepaskan tembakan, namun pemilik berkenaan sempat berlindung di tepi sebuah kereta.

Irfan Bakti Jurulatiuh Terbaik

Khairul Fahmi Che Mat (dua dari kiri) bersama semua pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 pada majlis khas di Shah Alam, semalam.

Jurulatih baru Selangor, Irfan Bakti merangkul Anugerah Jurulatih Terbaik selepas berjaya membimbing Terengganu menjuarai Piala FA serta naib juara Piala Malaysia dan Liga Super untuk mengecewakan Norizan Bakar (Perak) dan Datuk M. Karathu (Kelantan).

Irfan diumumkan sebagai pemenang pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan di Shah Alam, semalam.

Sementara itum bukan rezeki penjaga gol kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat untuk memenangi Anugerah Supermokh untuk Pemain Paling Bernilai walaupun mempamerkan persembahan hebat tahun ini.

Kecundang kepada Norshahrul Idlan Talaha, yang juga rakan sepasukannya, Khairul Fahmi atau Apek tetap tidak pulang dengan tangan kosong apabila Anugerah Penjaga Gol Terbaik menjadi penawar dukanya selepas menewaskan Farizal Marlias dan Sharbinee Allawee.

“Saya tetap gembira meraih anugerah ini (Penjaga Gol Terbaik) yang saya sifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada pencapaian saya sepanjang musim lalu.

“Walaupun tidak memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai, itu bukan satu masalah kerana Norshahrul adalah rakan sepasukan saya dan saya juga tumpang gembira dengan kemenangannya, ” katanya.

Safiq Rahim, yang sedang menjalani latihan di Cardiff City menepati ramalan apabila muncul pemenang Pemain Tengah Terbaik, sementara Norhafiz Zamani Misbah merangkul Pertahanan Terbaik walaupun tidak banyak beraksi pada musim lalu kerana kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Bagi lain-lain anugerah, Pemain Harapan Terbaik dirangkul pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor, Persatuan Bola Sepak Selangor dianugerahkan Persatuan Bola Sepak Terbaik manakala PKNS dinobat Kelab Bola Sepak Terbaik.

Wan Zack Haikal yang mengetepikan Mohd. Fadhli Shas dan Mohd. Irfan Fazail mengakui anugerah itu tidak langsung dapat mengubati duka yang gagal memberikan persembahan baik pada dua pertemuan kelayakan pusingan akhir Olimpik baru-baru ini.

“Memang saya baru pulih daripada kecederaan tetapi saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan atas persembahan saya.

“Saya masih sedih kerana gagal membantu negara mencapai sebarang kemenangan dalam dua terdahulu terutama semasa kita kalah 2-3 kepada Bahrain, ” katanya.

Wednesday, November 30, 2011

Majlis Bandaraya Kecewa Tandas Awam Tidak Bersih

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melahirkan rasa kecewa kerana kebersihan tandas awam di bandar ini seperti di kedai-kedai makan dan stesyen minyak amat memalukan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBKT Ghani Idris berkata orang ramai banyak mengadu dan merungut tentang tandas-tandas awam itu busuk dan kotor dan menuduh peniaga hanya mahu mencari untung sahaja.

"Peniaga perlu memberi perhatian terhadap kebersihan tandas dan kemudahan awam yang lain," katanya kepada pemberita selepas taklimat pengurusan dan pengauditan tandas awam di Kuala Terengganu semalam.

Ghani berkata MPKT mungkin meningkatkan nilai kompaun yang akan dikenakan memandangkan kadar kompaun sekarang tidak memberi kesan kepada peniaga-peniaga berkenaan.

Beliau berkata operasi akan ditingkatkan bagi memastikan tandas awam di bandar ini berada dalam keadaan bersih dan selesa serta tidak lagi menjadi isu pada masa akan datang.

Ghani berkata pihak majlis akan cuba membina beberapa buah tandas eksekutif di bandar ini pada masa akan datang sesuai dengan perancangan kerajaan menjadikan bandar ini sebagai bandar pesisir air.

"Kita sedang cuba tandas eksektif ini di pejabat MBKT," katanya.

Dalam pada itu, katanya, terdapat tandas awam yang dibina MPKT di sekitar bandar ini rosak dan peralatan di dalamnya dilarikan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, program hari ini bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman sebenar kepada peniaga supaya mereka tahu kehendak sebenar penyediaan kemudahan berkenaan.

Katanya, peserta program terdiri dariapda pengusaha restoran, kedai makan segera, stesyen minyak, penyelia tandas sewa MPKT, masjid dan surau.

Kilang Fitnah Telah Membakar Setiap Helaian Jasa & Bakti Umno - Muhyiddin

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pembangkang sebagai 'kilang fitnah' yang sentiasa mencari peluang untuk memburukkan Umno demi merampas kuasa politik.

Beliau berkata, pembangkang sengaja menyemarakkan api kemarahan bagi menghilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin parti itu.

"Segala fitnah terhadap Umno ibarat api yang memamah setiap helaian jasa dan bakti Umno. Malah, dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu kita tidak terkecuali daripada menerima percikan api fitnah.

"Hinggakan keheningan mengerjakan ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih masa.

"Matlamat penyebar fitnah jahat ini amat jelas iaitu menghilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin utama Umno dan meruntuhkan harapan orang Melayu terhadap parti keramat ini. Tujuan mereka tidak lain hanya mahu merampas kuasa politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri di Kuala Lumpur, semalam.

Ucapannya itu bertemakan; "Menunjangi survival bangsa: Suatu jihad".
Selain itu Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang mengambil kesempatan atas kehakisan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2008 untuk menunjukkan tembelang mereka yang sebenar.

Jelas beliau, pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS juga sebenarnya tidak sehaluan terutamanya dalam menentukan hala tuju orang Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan oleh kumpulan yang berniat jahat, DAP dan konco-konconya, bertubi-tubi mempersenda umat Islam. Semakin nyaring suara umat Islam membela kesucian agama, semakin ghairah mereka menjalankan dakyah jahat ke atas umat Islam atas nama kebebasan beragama.

"Parti DAP ini tidak pernah melihat apa-apa kebaikan yang ada pada orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, walaupun ia mendakwa ia parti demokratik pelbagai kaum, ironinya dari dahulu hingga sekarang DAP hanya dipimpin oleh kelompok tertentu daripada satu kaum sahaja.

"Atau lebih tepat lagi, dari keluarga tertentu dalam kelompok tertentu dari kaum tertentu sahaja. Namun kita yakin dan percaya DAP tidak mewakili keseluruhan suara kaum itu," katanya.

"Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS ganti Umno seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan Umno kerana Umno tiada galang-ganti

"Yang sebenarnya berlaku ialah DAP ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja. Pemimpin DAP menyebut dua tiga patah ayat al-Quran walaupun salah, PAS mempertahankan. Pemimpin DAP menggelar dirinya Khalifah Umar Abdul Aziz, PAS memberi pengiktirafan. Pemimpin DAP berceramah, penyokong PAS bertakbir. Tetapi apabila PAS menyebut tentang negara Islam, pemimpin DAP lah yang pertama sekali mengecam PAS.

"Dan apabila dikecam, PAS diam seribu bahasa. Apa maknanya ini? Maknanya, DAP lah yang memberi definisi kepada Islam yang dianuti oleh PAS. DAP lah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?," katanya lagi.

Premis Kedai Urut Refleksologi Diserbu Kali Keempat

Sebuah premis kedai urut refleksologi di Jalan Kampung Dalam di Kuala Terengganu diserbu kali keempat oleh pihak imigresn semalam menghasilkan penahanan 24 warga China yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut di situ tanpa pas kerja yang sah.

Mereka termasuk dua daripadanya lelaki ditahan dalam serbuan kira-kira 4.30 petang oleh 26 anggota Jabatan Imigresen Terengganu. Tujuh pelanggan sedang berada bersama warga China berkenaan sementara rakan mereka yang lain cuba menyembunyikann diri.

Ketangkasan angggota Jabatan Imigresen bagaimanapun berjaya menahan kesemua mereka di premis yang sudah tiga kali diserbu itu, kata Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Mohd. Khaira Daud.

Beliau berkata pada operasi hari ini di beberapa lokasi lain di daerah ini pihaknya berjaya menahan 44 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk salah guna pas lawatan sosial, tiada dokumen perjalanan dan tinggal lebih masa.

T-Team Ambil Bekas Pemain Import Perlis

Bekas pemain import Perlis yang berasal dari Zambia, Zacharia Simikounda akan menyertai pasukan T-Team bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan.

Jurulatih Yunus Alif berkata pemain penyerang berumur 28 tahun itu mewakili Perlis pada tahun 2007.

"Zacharia telah melepasi ujian dan dia memenuhi kriteria yang kita tetapkan. Seorang lagi pemain import akan diuji minggu depan," katanya kdi Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata Zacharia mewakili kelab Red Arrows, Zambia pada 2011 selepas bermain dengan kelab Al-Faizaly dalam liga Jordan pada 2009 hingga 2010.

Yunus berkata beliau yakin Zacharia mampu menjulang nama T-Team memandangkan pengalamannya bermain dalam Liga Malaysia sebelum ini.

Sementara itu, T-Team akan mengambil sembilan pemain baru bagi menggantikan pemainnya yang berhijrah ke pasukan lain musim 2012 seperti Indra Putera Mahayuddin, Mohd Nor Farhan Mohamad dan Azizi Matt Rose yang berhijrah ke Kelantan.

Sembilan pemain baru itu ialah masing-masing tiga dari Selangor, Perlis dan Terengganu.

Yunus berkata T-Team akan menggadakan perlawanan persahabatan di Selangor bulan depan bagi menguji keserasian pemain.

Nadzmi Gesa Kerajaan Bantu KTB

Pengerusi Konsortium Transnasional Berhad (KTB) Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh mahu kerajaan membantu syarikat pengangkutan awam swasta yang menghadapi kerugian di negara ini.

Ini bagi mengelak syarikat seumpama itu daripada "gulung tikar", katanya sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa syarikat bas yang bermasalah diminta menyelesaikan dulu segala kesulitan yang dihadapi sebelum memohon bantuan kerajaan untuk meneruskan operasi.

Media sebelum ini melaporkan KTB mungkin memberhentikan sepenuhnya perkhidmatan bas henti-henti Cityliner di enam negeri bulan depan jika tiada pihak membantu menyelesaikan masalah syarikat terbabit yang mengalami kerugian besar.

Pemberhentian perkhidmatan itu dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang, yang membabitkan 80 laluan dan 400 bas.

Mohd Nadzmi berkata masalah kerugian yang dialami syarikat itu bukanlah isu baharu dan "sepatutnya sudah lama mendapat pembelaan kerajaan".

"Antara masalah yang mengekang syarikat untuk menampung kerugian ialah kos operasi yang tinggi selain kadar tambang dikawal kerajaan," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif KTB Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata syarikatnya terpaksa menanggung kerugian RM10 juta setiap tahun berikutan kos operasi yang tinggi selain menghadapi saingan daripada syarikat pengangkutan bas ekspres lain yang tumbuh seperti cendawan pada musim hujan.

Nelayan Bantu Projek Perintis Pasang Alat Ted Selamat Populasi Penyu

Jabatan Perikanan memulakan projek perintis penggunaan alat Peranti Penyisih Penyu (TED) dengan kerjasama enam nelayan di daerah Kemaman.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata alat itu akan dipasang pada pukat tunda nelayan berkenaan yang digunakan untuk menangkap udang sepanjang musim tengkujuh ini, bermula November 2011 hingga Mac tahun depan.

Ahamad Sabki berkata penggunaan alat itu bertujuan menyelamat penyu, spesis yang hampir pupus, sekaligus menyelamatkan ekosistem laut.

"Dengan terjaganya ekosistem laut, ia akan membantu menjamin pendapatan nelayan.

"Mungkin juga larangan eksport udang laut dari negara kita oleh Amerika Syarikat sejak beberapa tahun lalu akan ditarik balik dengan penggunaan alat ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Kajian dan Penggalakkan Penggunaan TED kepada nelayan pukat tunda musim tengkujuh daerah Kemaman semalam.

Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu Zakaria Ismail, Ketua Pusat Penyu dan Ekosistem Marin, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir dan Pengurus Bahagian Sumber Manusia dari HUNTSMAN (Malaysia) Sdn Berhad, Azhar Aziz.

Beliau berkata sehingga kini beberapa negara yang telah mengadakan peraturan kepada nelayan pukat tunda untuk menggunakan peranti TED, antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Berdasarkan kajian awal yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan pada tahun 1996 dan juga penyelidik dari negara Australia dan Amerika Syarikat telah terbukti mendatangkan beberapa kelebihan, antaranya penyu yang terperangkap dalam pukat tunda juga mudah berenang keluar melalui TED yang dipasang pada pukat tunda itu, sekaligus mengurangkan kematian penyu akibat terperangkap dalam pukat itu.

Berdasarkan statistik, hampir 50 ekor penyu dikesan mati setiap tahun, dengan sebahagian besarnya disebabkan tersangkut dalam pukat hanyut dan pukat tunda setiap tahun.

Penggunaan TED juga mendapati penggunaan bahan api diesel yang kurang, hasil tangkapan ikan yang berkualiti dan bersih serta tangkapan ikan baja berkurangan.

Sekiranya kajian daripada projek perintis itu berjaya, pihak jabatan akan menimbang untuk mewajibkan penggunaan alat peranti penyisih penyu itu di kalangan nelayan seluruh negara.

Perairan Kemanan dipilih sebagai lokasi kajian TED kerana pantai Teluk Mak Nik di Kampung Geliga, di sini, adalah lokasi pendaratan penyu Agar paling tinggi di Semenanjung Malaysia dan yang ketiga tertinggi selepas Pulau Selingan di Sabah dan Pulau Talang Talang di Sarawak.

Purata pendaratan penyu di pantai Teluk Mak Nik bermula 2008 hingga Nov 2011 antara 800 hingga 1,300 sarang setahun manakala pendaratan penyu pada musim tengkujuh antara Nov hingga Mac boleh mencapai sehingga 70 sarang.

Kajian penggunaan TED dibiayai sepenuhnya oleh syarikat HUNTSMAN Malaysia Sdn Bhd, pengeluar bahan kimia yang beroperasi di Kompleks Perindustrian Teluk Kalong, di sini.

HUNTSMAN menaja RM205,000 untuk membiayai kos menjalankan kajian untuk tempoh tiga tahun berakhir 2013.

Empangan Kecil pecah - 100 Hektar Sawah Dibimbangi Terjejas

Penduduk kampung dan pegawai JPS melihat empangan kecil yang digunakan penduduk untuk mengairi sawah pecah akibat hujan lebat Khamis lalu ketika kawasan lain dinaiki air banjir di Kampung Durian Telur, Besut, Terengganu, kelmarin.

Kejadian sebuah empangan kecil yang digunakan penduduk untuk mengairi sawah padi di Kampung Durian Telur dekat sini yang pecah Khamis lalu membimbangkan kira-kira 60 petani di kawasan itu.

Ia ekoran empangan kecil atau ban takungan air tersebut telah rosak dan menyebabkan paras air takungan berkurangan dan tidak dapat disalurkan ke 100 hektar sawah penduduk.

Kejadian itu boleh menyebabkan kerugian terhadap tanaman mereka yang ketika ini kebanyakannya baru selesai dibajak.

Selain itu, kejadian tersebut juga telah menyebabkan kira-kira 10 hektar sawah musnah kerana pokok dan batu hanyut ke dalam petak sawah ketika insiden itu berlaku sebelum ini di samping turut merosakkan jalan raya kampung tersebut sepanjang kira-kira 300 meter.

Pengerusi Kelompok Padi Kampung Durian Telur, Hasbullah Yusof berkata, dia berharap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dialami oleh petani berkenaan berikutan mereka terpaksa menanggung kerugian lebih RM3,000 untuk sepetak sawah yang telah dibajak dan dibenih.

Katanya, jika masalah itu tidak diatasi dengan segera, dia bimbang petani di kawasan itu akan terus menanggung kerugian yang lebih besar.

"Banyak di antara petak sawah telah dibajak dan dibenih menyebabkan para petani terpaksa menanggung kerugian yang besar dan jika tidak dilakukan sesuatu kita bimbang akan mengakibatkan seluruh kawasan tanaman ini terjejas," katanya ketika ditemui kelmarin.

Jelasnya, beliau juga berharap pihak berwajib dapat membuat pembaikan alur sungai di kawasan itu agar air tidak melimpah masuk ke dalam tanaman.

Tambahnya, masalah tersebut telah berlarutan sejak sekian lama dan sehingga kini tiada tindakan yang diambil.

"Masalah alur sungai yang melalui petak sawah ini sudah lama berlaku dan ia menyebabkan kawasan tersebut tidak dapat digunakan untuk menanam padi.

"Jadi saya harap kerajaan dapat lakukan sesuatu untuk membantu atau lebih senang jika kerajaan ambil alih tanah yang terlibat dan bina alur yang lebih baik," ujarnya.

Sementara itu, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran Besut memberitahu, pihaknya telah memantau kawasan yang dinamakan Skim Pengairan Telabak itu dan akan membuat kerja baik pulih dalam masa terdekat ini.

"Kita menandakan kes ini sebagai kes kecemasan dan akan cuba memulihkan keadaan sawah ini seperti sedia ada dalam tempoh sebulan bermula pertengahan bulan depan," katanya.

Utusan Malaysia

Tuesday, November 29, 2011

Mahkamah Syariah - Nota Bicara Kes Diselesaikan Dalam Satu Jam

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata mahkamah syariah seluruh Terengganu berjaya menyelesaikan kira-kira 340 kes setiap bulan atau lebih 15,000 kes setahun.

Menurut beliau kebanyakan kes itu ialah mengenai perceraian dan tuntutan nafkah dan kini nota bicara kes di mahkamah dapat diselesaikan dalam masa satu jam selepas perbicaraan berbanding tiga atau enam bulan sebelum ini.

Selain itu, Kerajaan Terengganu berjaya mengadakan hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi menerusi penghantaran hakim mahkamah syariah negeri ini menghadiri kursus kehakiman di sana.

berkata bermula tahun lepas kerajaan negeri telah menghantar seramai 20 hakim mahkamah syariah mengikuti kursus selama sebulan di Riyadh.

"Segala biaya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi," katanya.

Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah berkata dalam masa yang sama kerajaan negeri meluluskan sejumlah peruntukan membolehkan ketua hakim dan hakim-hakim mahkamah berkenaan menghadiri kursus Mediasi Lanjutan di Australia tahun ini.

Beliau berharap pegawai-pegawai yang telah berjaya mengikuti kursus tersebut mempraktik dan melaksanakan apa yang diperolehi dalam penghakiman setiap hari.

"Semoga hakim dapat menyelesaikan segera kes-kes yang tertunggak sebelum ini," katanya selepas majlis sambutan Hari Inovasi peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Mazlan berkata yang lebih penting lagi pihak-pihak yang bertelagah tidak merasakan diri mereka dianiayai dan mengelak masyarakat daripada membuat tuduhan yang tidak baik.

TSG Mahu Sertai Kejohanan Jemputan Benua Eropah 2012

Pasukan lumba basikal profesional Terengganu-Terengganu Cycling Team (TSG) bercadang menyertai kejohanan jemputan lumba basikal benua Eropah musim 2012.

Pengurusnya Ahmad Kamarul Idrus berkata langkah TSG itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelumba-pelumba TSG di samping menyertai kejohanan di benua Asia.

"Kita akan cuba mendapatkan jemputan daripada penganjur-penganjur untuk menyertai kejohanan di benua Eropah yang dijangka bermula bulan Jun tahun depan," katanya kepadadi Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Kamarul berkata TSG merancang menyertai 18 kejohanan lumba basikal di bawah kalendar UCI (Union Cycling International) musim 2012 yang bermula Januari hingga November.

Beliau berkata Le Tour de Langkawi (LTdL) adalah kejohanan pertama dalam kalendar UCI mulai 20 Feb hingga 4 Mac 2012 yang akan disertai oleh TSG sebelum menyertai kejohanan lain di benua Asia.

Ahmad Kamarul berkata dalam penampilan pertamanya di benua Asia, TSG telah menyertai sekurang-kurangnya 10 kejohanan termasuk kejohanan di China, Jepun, Korea, Indonesia, Malaysia dan India.

"Dalam rangking UCI, pasukan TSG menduduk tempat keempat terbaik daripada 75 pasukan benua Asia," katanya.

Beliau berkata antara pelumba TSG musim 2011 ialah Anuar Manan, Hariss Salleh, Yusliza Usoff, Mohd Saufi Mat Senan, Shahrul Mat Amin, Nor Amirul Fakharuddin Marzuki, Nor Umardi Rosli dan Mohd Shobery Abdullah.

Selain pelumba tempatan itu, TSG juga mempunyai empat pelumba import iaitu Shinichi Fukushima, Motoi Nara (Jepun), Chan Jang Jae dan Kim Do Hyoung (Korea).

Kerajaan Negeri Minta Jabatan Berkaitan Sedia Laporan Banjir

Kerajaan negeri Terengganu akan meminta laporan daripada jabatan-jabatan berkaitan mengenai kerugian yang dialami oleh penternak dan petani akibat banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Asha'ari Idris berkata ia bertujuan untuk membantu penternak dan petani terlibat.

"Laporan itu perlu dihantar segera sebaik bencana banjir berakhir untuk memudahkan kerajaan membantu mereka yang terlibat," katanya ketika diminta mengulas mengenai kerosakan padi di dua buah kampung di Setiu.

Akhbar Jumaat melaporkan pengusaha tanaman padi di dua buah kampung di daerah ini mengalami kerugian hampir RM500,000 apabila padi yang sepatutnya boleh dituai rosak akibat ditenggelami air dalam bencana banjir yang bermula beberapa hari lalu.

Katanya nasib malang itu dialami oleh 60 orang pesawah di Kampung Tasek dan Kampung Buluh yang melibatkan kawasan sawah seluas kira-kira 200 hektar.

Asha'ari yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Langkap berkata segala kerugian dan juga kerosakan bolehlah dilaporkan kepada jabatan-jabatan berkenaan.

Katanya beliau yakin bukan sahaja tanaman padi yang mengalami kerosakan tetapi juga tanaman-tanaman lain dan Setiu adalah antara daerah yang paling teruk dilanda banjir kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, penternak-penternak lembu dan kambing dinasihatkan mencari kawasan selamat untuk menempatkan ternakan mereka.

Menurut Asha'ari pengalaman lepas, banyak ternakan menjadi mangsa banjir menyebabkan pemilik mengalami kerugian besar.

Kumpulan Ulama Dalam Umno Bebas Bersuara, Walau Tiada Jawatan

Kumpulan ulama di dalam Umno bebas bersuara dan pandangan mereka didengari masyarakat umum serta pemimpin parti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahaya berkata isu dipinggirkan tidak timbul, sekalipun tiada jawatan dalam parti.

"Adakah nak mengangkat Islam kita perlukan jawatan? Ini masalah orang agama yang nampak jawatan dan kuasa baru dikira tidak dipinggirkan. Kami dibenarkan bercakap, subhanallah," katanya di Kuala Lumpur.

Katanya stesen televisyen dan radio tempatan turut meminta pendapat dan pandangan Ulama Muda Umno.

"Saya boleh katakan dalam usia sangat muda ini, alhamdulillah kami memberi impak. Mudah-mudahan kita dapat menyampaikan dakwah ini secara berterusan," katanya.

Kata beliau seperti namanya, sekretariat itu membantu kerajaan dan Umno menggunakan ilmu.

"Kita tidak boleh hanya atas dasar nama parti, berjuang atas emosi dan dengan jeritan. Dengan ilmu (yang disampaikan) orang (masyarakat) akan faham.

"Kita bercakap dengan fakta. Kita ada jawapan yang tuntas. Maaf cakap, ada pihak tertentu yang menggunakan agama untuk kepentingan politik," katanya.

Beliau berkata ulama muda di dalam Umno tidak pernah disekat, malah diminta mengutarakan pendapat secara terbuka semampu mungkin dalam pelbagai hal termasuk hudud, penggunaan kalimah Allah, murtad, seks songsang dan sebagainya.

Fathul Bari berkata kehadiran 40 ulama muda di dalam Umno juga diterima secara amat positif oleh anggota parti.

"Alhamdullillah, kami dijemput ke merata-rata tempat untuk memberikan pandangan kami...di Perlis, Perak, Terengganu dan banyak lagi tempat termasuk Kuala Lumpur.

"Soalnya sekarang kami memerlukan akses dari negeri dan kerajaan untuk sama-sama memberi ruang kepada kami. Hatta baru-baru ini pun kami ada dijemput dalam wacana ilmu bersama PAS," katanya.

Beliau berkata setakat ini, terdapat antara 10 hingga 15 anggota sekretariat yang aktif di Kuala Lumpur, manakala yang lain berada di negeri-negeri.

Kumpulan 40 ulama muda termasuk Fathul Bari itu menyertai Umno dalam satu majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun tahun lepas.