Saturday, November 24, 2012

SPRM Puji Usaha Kerajaan Terengganu Tangani Rasuah


Inisiatif kerajaan negeri memberi ruang Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyampaikan taklimat mengenai langkah pencegahan dan memerangi gejala rasuah kepada Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) mendapat pujian daripada agensi itu.

Penguasa Kanan SPRM, Puan Halimah Md Sharif berkata, kesungguhan pemimpin negeri untuk menangani gejala rasuah terserlah dengan memberi ruang taklimat dan soal jawab diadakan antara SPRM dan GLC.

“Saya pergi ke negeri-negeri , semalam saya berada di Kelantan dan sebelumnya di Pahang, hanya di sini majlis didahului dengan taklimat sebelum majlis ikrar, ini yang saya puji Terengganu,” katanya di majlis Ikrar Integriti Korporat di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah hadir selaku tuan rumah dan mempengerusikan majlis beserta Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dari 53 Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) yang membuat ikrar serta menandatangani surat akuan.

“Komitmen sesebuah organisasi untuk mendokong prinsip pencegahan rasuah di negara ini mampu menyekat perkara berkenaan daripada terus menular dan semua orang boleh lakukan perubahan untuk memerangi rasuah,” katanya.

Menurutnya, setakat 19 November tahun ini terdapat 41 organisasi seluruh negara telah membuat ikrar dan menandatangani surat akuan dengan SPRM bagi menyatakan kesediaan menghindari dan memerangi gejala rasuah.

Bapa Lepaskan Anak Perempuan 12 Tahun Berkahwin Untuk Elak Maksiat


Mohd Fahmi Alias dan Nor Fazira Saad, bahagia selepas majlis akad nikah pada 17 November lalu.
Seorang penduduk kampung bersetuju untuk mengahwinkan anak perempuannya berusia 12 tahun dengan pemuda 19 tahun, mengatakan bahawa mereka tidak perlu terjebak dengan perbuatan haram.

Saad Mustafa berkata dia telah berfikir masak-masak tentang perkahwinan anaknya yang masih muda itu dan sedar tanggungjawab dalam kehidupan selepas berkahwin.

"Lebih baik mereka berkahwin daripada melakukan sesuatu yang tak elok (tidak wajar)," katanya di rumahnya di Kampung Padang Cina di Kulim, kelmarin.

Ahmad Said - Tidak Guna Paksa Zairo, Faiz

Faiz mewakili T-Team menentang Perak pada saingan Liga Perdana lalu.

"Saya dimaklumkan kontrak mereka hanya akan tamat akhir bulan ini, tetapi jika mereka tetap ingin beraksi bersama pasukan Kelantan, kita bebaskan mereka...kita cari pemain lain untuk mengisi kekosongan mereka.

Tidak guna kita memaksa Zairo Anuar dan Mohd Faiz untuk terus beraksi bersama T-Team jika semangat mereka sudah tidak ada lagi," demikian luahan  kelmarin.

Itulah pendirian Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengulas tindakan dua pemain itu yang berpindah ke skuad The Red Warriors musim depan.

Laporan Teganuku Khamis lalu mengenai dua pemain T-Team yang dikatakan dipikat Kelantan.

Terengganu Pengeluar Utama Melon Negara


Terengganu kini muncul negeri terbesar mengeluarkan tanaman melon negara ini dengan kejayaan menghasilkan pendapatan kira-kira RM10 juta sejak beroprasi 2006.

Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Md Yusof Maidin berkata,tanaman itu yang dikendalikan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tok Dor, dekat Jerteh, berupaya memasarkan hasil pengeluaran yang melebihi sasaran untuk keperluan pengguna.

Katanya,selain dipasarkan di dalam negara melon juga mendapat prmintaan tinggi di Dubai, Hong Kong dan Singapura.

Pengantin Baru Terima Kejutan Menaiki Kapal Layar

Sepasang pengantin baru menerima kejutan istimewa pada hari pernikahan mereka apabila berpeluang menaiki kapal layar yang dikemudi sendiri Penasihat Pertandingan Monsoon Cup 2012 Datuk Peter Gillmore (kanan)  di Kuala Terengganu, kelmarin.

Kedua mempelai tersebut, Yahya Mohammad Ishak, 23 tahun dan pasangannya, Nurul Syazwani Rosmawi, 23, yang juga peminat setia Monsoon Cup tiba di jeti Shahbandar pada 4 petang sebelum berlayar ke jeti di Riyaz Heritage Marina Resort & Spa untuk sesi bergambar.

Pelayaran mereka turut disertai kira-kira 30 anggota keluarga dan sahabat handai dari kedua-dua belah pihak yang menaiki dua buah kapal layar lain sebagai pengiring.

Tarikh Usia Bersara 60 Tahun Dumum Bulan Depan

Kerajaan dijangka mengumumkan tarikh atau tempoh tertentu pelaksanaan umur persaraan 60 tahun, sekali gus menguatkuasakan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012, bulan depan.

Mesyuarat tertutup di Putrajaya semalam membabitkan Kementerian Sumber Manusia dan beberapa pihak berkepentingan termasuk badan berkanun, majikan, pihak industri, wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menunjukkan tanda positif ke arah itu.

Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan, ketika dihubungi, berkata kementerian dijangka mengumumkan tarikh pelaksanaan selepas satu lagi pertemuan dengan pihak berkepentingan tetapi beliau tidak pasti tarikh pengumuman.

UMNO Kelantan Dedah Penyelewengan PAS Pada Perhimpunan Agung Umno


Umno Kelantan akan mendedahkan penyelewengan akidah PAS serta kegagalan parti pembangkang itu membawa pembangunan di Kelantan pada Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung dari 27 November hingga 1 Disember depan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek berkata, Kelantan tidak seharusnya terpinggir dalam arus pembangunan perdana dan ia ketinggalan jauh berbanding negeri-negeri lain akibat kegagalan PAS menjana ekonomi.

Penduduk Teluk Ketapang Promosi Inap Desa Sempena TMT 2013 Di Luar Negara


Kampung Teluk Ketapang di sini yang sangat terkenal dengan program inap desanya menyasarkan kehadiran 700 pelancong asing sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT 2013) pada tahun depan berbanding 400 pelancong pada tahun ini.

Pengurus program inap desa kampung berkenaan Mohd Hasli Mohd Zain berkata pihaknya akan mengadakan beberapa lawatan ke luar negara termasuk ke Indonesia, Australia dan Vietnam sebelum akhir Disember ini untuk mempromosikan keunikan kampung itu kepada pelancong di negara berkenaan.

Abang Maut, Adik Cedera Dalam Nahas Di Lebuh Raya Utara-Selatan


Seorang abang terbunuh manakala adiknya cedera apabila kereta Proton Waja mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Volvo dan lori membawa roti di Km43.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah ke selatan) dekat Rembau  tengah hari Jumaat.

Jurucakap polis berkata Zalfazeri Zahari, 28, dari Kampung Bonggul, Bandar Permaisuri, Terengganu meninggal di tempat kejadian yang berlaku kira-kira 12.30 tengah hari.

Friday, November 23, 2012

Manifesto Tidak Ditepati - Lebih 2,000 Ibu Tunggal Di Selangor Tuntut RM10.9 Juta

Sebahagian daripada 2,020 ibu tunggal di Selangor yang memfailkan saman terhadap Kerajaan Selangor dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menuntut tunggakan elaun ibu tunggal yang dijanjikan di dalam Manifesto Pakatan Rakyat di Pilihan Raya Umum 2008 bernilai RM10.9 juta.
"Ibu Tunggal memohon suatu perintah mengkehendaki Kerajaan Negeri Selangor mewujudkan satu skim dikenali sebagai Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor yang mempunyai garis panduan antaranya ialah bayaran elaun minimum adalah RM100 sebulan, mengadakan borang permohonan bayaran elaun ibu tunggal dan kaedah mendapatkan serta memulangkan borang permohonan."

Bersyukurlah wahai ibu tunggal di Terengganu kerana keadaan yang berlaku di Selangor, negeri yang mewar-warkan konon ia ‘negeri berkebajikan’ tidak berlaku di negeri ini.

Semalam, sejumlah 2,020 ibu tunggal memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor menuntut tunggakan RM10.9 juta kerana kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji memberi elaun kepada semua ibu tunggal di Selangor seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Di Terengganu, walaupun tiada janji khusus dibuat pada Manifesto 2008, sejauh ini kerajaan negeri memperuntukkan belanja yang besar untuk ibu tunggal.


Pada Bajet 2013 yang dijangka dibentangkan 10 Disember nanti, kerjaan negeri berhasrat memperuntukkan RM20 juta.

Ia bertujuan merangka pelbagai program kemahiran perniagaan untuk ibu tunggal seluruh Terengganu supaya golongan itu mampu mengubah taraf kehidupan dan keluar dari garis kemiskinan.

Kerajaan negeri juga berjanji akan menambah bantuan bulanan kepada RM3,000 bagi setiap persatuan ibu tunggal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Ketika ini sebanyak RM2,000 sebulan disalurkan kepada setiap persatuan ibu tunggal dan dengan jaminan kerajaan negeri itu ia akan menjadi M3,000 untuk setiap persatuan berkenaan setiap bulan.

Malah peruntukan bagi ibu tunggal pada tahun 2012dianggarka hampir RM10 juta adalah yang terbesar di negeri Terengganu dan ianya sejajar dengan hasrat murni untuk menjadikannya teras kepada pembangunan agar golongan ibu tunggal mendapat manfaatnya.

Bermula dengan RM 6.7 juta dibelanjakan untuk dana raya ibu tunggal pada tahun 2010, di ikuti dengan peningkatan RM 7.46 juta pada tahun 2011 membuktikan kerajaan negeri Terengganu telah banyak membantu golongan ini supaya dapat hidup dengan selesa di samping pelbagai bantuan dari agensi berkaitan.

Berbanding di Selangor, saman oleh ibu tunggal difailkan oleh Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi di Shah Alam semalam bagi pihak ibu tunggal di Selangor yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor Murtini Kasman.

Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.

Dalam saman itu, mereka mendakwa defendan pertama telah berjanji kepada rakyat Selangor termasuk plaintif-plaintif untuk memberi elaun kepada ibu tunggal sekiranya defendan pertama memenangi pilihan raya umum 2008.

Berdasarkan manifesto defendan pertama itu, setiap ibu tunggal di Selangor layak menerima elaun daripada defendan pertama, kata mereka.

Plaintif-plaintif meletakkan setinggi harapan ke atas manifesto defendan pertama sebagai tempat pembelaan kebajikan hidup plaintif melalui elaun yang dijanjikan kepada ibu tunggal tetapi sehingga kini kerajaan negeri gagal mewujudkan satu skim untuk membayar elaun kepada ibu tunggal, kata mereka.

Plaintif-plaintif mendakwa defendan kedua sebagai Ketua Eksekutif kepada defendan pertama telah menyalahgunakan kuasanya apabila tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan defendan pertama membuat bayaran kepada plaintif dan golongan ibu tunggal di Selangor.

Oleh itu, plaintif-plaintif menuntut sebanyak RM100 sebulan bagi setiap 2,020 ibu tunggal itu bagi tempoh 54 bulan (1 April 2008 hingga 30 Oktober 2012) menjadikan jumlah kesemua tuntutan mencecah RM10.9 juta daripada defendan pertama selain daripada kos.

Plaintif-plaintif juga memohon suatu perintah mengkehendaki defendan pertama mewujudkan satu skim dikenali sebagai Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor yang mempunyai garis panduan antaranya ialah bayaran elaun minimum adalah RM100 sebulan, mengadakan borang permohonan bayaran elaun ibu tunggal dan kaedah mendapatkan serta memulangkan borang permohonan.

Mereka memohon suatu perintah yang mengkehendaki defendan pertama dan kedua melantik sebuah jabatan atau agensi defendan pertama menguruskan Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor.

Plaintif-plaintif memohon deklarasi takrifan ibu tunggal ialah wanita berusia 18 tahun yang telah bercerai, balu, wanita pencari nafkah kepada keluarga, hidup berjauhan dari suami dan di dalam keadaan 'gantung tidak bertali'.

Sementara itu, Murtini memberitahu wartawan mereka memfailkan saman itu bagi menuntut apa yang dijanjikan kepada golongan ini dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

"Harapan kami janji mesti ditepati, dan rakyat selaku pengundi sentiasa ingat kepada manifesto," katanya.

Peguam yang mewakili para plaintif, Kamarudin Ahmad berkata selepas ini firma beliau akan memfailkan tuntutan yang sama daripada 5,000 ibu tunggal pada awal dan pertengahan bulan hadapan.

Beliau berkata kumpulan ibu tunggal yang memfailkan saman pada hari ini adalah dari kawasan Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Hulu Langat.

Petronas Umum Kejayaan Pengeluaran Gas Daripada Lapangan Berantai


Petronas telah mengumumkan kejayaan pengeluaran gas dari Lapangan Berantai dan cari gali dan ujian telaga pertama di Kelompok Balai, masing-masing merupakan kawasan kontrak perkhidmatan risiko (RCS) pertama dan kedua Malaysia.

Petronas turut mengumumkan hasil pertemuan gas di Blok PM307.

Ia berkata pengeluaran gas asli daripada Lapangan Berantai berjaya dikeluarkan pada 20 Okt, 2012.

Abdul Hadi Lebih Layak Daripada Anwar - Dr Mahathir


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih layak menjadi perdana menteri berbanding Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jika mereka (pembangkang) menang, sudah tentulah beliau (Abdul Hadi) bolehmenjadi perdana menteri.

Beliau sangat layak, lebih layak daripada Anwar, sebab beliau tidak ada sebarang bebanan sejarah," katanya.

MPB Rancang Jadikan Lembah Perasing Jabor Hab Industri Biotek Di Terenggan

Mohd Yusof (kiri) menyampaikan zakat diskasikan Menteri Besar, kelmarin.
MIDF Property Berhad (MPB), satu unit di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB), kini sedang merancang untuk menjadikan Lembah Perasing, di Jabor, Kemaman, sebagai hab biotek untuk negeri

Terengganu berdasarkan kepada faktor kemudahan logistik dan faktor sumber asal flora dan fauna selain hasil galian petroleum dan gas asli.

Pengurus Besarnya, Mohd Yusoff Abdullah berkata projek pembangunan di Lembah Perasing di Jabor merupakan antara projek yang sedang dalam perancangan MPB selain beberapa lagi projek di seluruh negara.

66 Peratus Pasangan Baru Berkahwin Tidak Subur

Gaya hidup masa kini yang mementingkan kerjaya boleh menjejaskan kesuburan. - Gambar hiasan
Satu kajian mengenai kesuburan dalam kalangan pasangan yang baru berumah tangga di Malaysia mendapati kira-kira 69 peratus tidak menyedari mereka dikategorikan sebagai tidak subur jika gagal mendapat anak setelah setahun berkahwin.

Masalah tersebut berpunca daripada sikap pasangan yang terlalu fokus kepada pencapaian dalam kerjaya, kesihatan dan keinginan memiliki hubungan yang stabil sebelum memiliki anak.

Pejabat Agama Dipecah Masuk

Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu di Kompleks Sri Iman, Jalan Sultan Muhamad, di Kuala Terengganu, dipecah masuk pencuri menyebabkan kehilangan sebuah televisyen, satu alat projektor dan wang tunai RM200 milik kakitangan agensi berkenaan.

Kejadian itu hanya disedari seorang pembantu tadbir kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin sebelum dia memaklumkannya kepada seorang pegawainya.

Ganu D’Art Gallery Pertama Di Terengganu

Abdul Rahim Mohd. Said (kiri) mendengar penerangan mengenai karya Abdullah Sani (kanan) dalam majlis perasmian Ganu D'Art Gallery di Kuala Terengganu, semalam. 
Usaha murni pemilik Ganu D'Art Gallery, Dr Abdullah Sani menubuhkan galeri seni lukis persendirian yang pertama di Terengganu sewajarnya mendapat pujian kerana mampu membantu kerajaan negeri memperluaskan budaya seni kepada masyarakat luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd. Said berkata, pada masa yang sama, dengan tertubuhnya galeri itu, ia akan menjadi `pembuka jalan' terhadap penubuhan galeri-galeri lain yang berkaitan.

RTM Penyiar Rasmi Perlawanan Piala AFF 2012


Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi penyiar rasmi perlawanan Piala AFF Suzuki 2012 yang akan berlangsung di Malaysia dan Thailand, selaku tuan rumah bersama kejohanan itu, bermula Sabtu ini sehingga 24 Dis.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail berkata perlawanan pertama Kumpulan A antara Thailand dan Filipina pada Sabtu ini, akan disiarkan secara langsung pada 9 malam di TV1 manakala siaran tertunda Vietnam menentang Myanmar pada 1 pagi, 25 Nov.

Terengganu Belanja RM45 Juta Bina Dua Kompleks Usahawan

Sebanyak RM45 juta dibelanjakan kerajaan negeri Terengganu untuk membina dua kompleks usahawan sebagai pengiktirafan kepada pengusaha kraf di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata dua kompleks itu ialah kompleks Tuanku Nur Zahirah berharga RM10 juta dan Kompleks Usahawan Terengganu bernilai RM35 juta.

'Pelamin Anganku Musnah' Bagi Buruh Akibat Dipenjara

Seorang buruh terpaksa melupakan hasratnya untuk melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya yang dijangka akan berlangsung pada April tahun depan, apabila dia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Bukan itu sahaja, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi turut mengarahkan tertuduh, Mohd Paisal Ismail, 32, dari Kampung Nibong Panji Alam, dipenjarakan tiga bulan lagi jika gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Bomba Terengganu Bina Semula Rumah Terbakar

 Menerusi khidmat yang jarang-jarang dilakukannya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu telah membina rumah mangsa kebakaran.

Ini dilakukan ke atas rumah pengusaha bengkel membaiki kereta Saikri Ngah, 40, di Kampung Besut di Kemaman yang rumahnya terbakar 30 Julai lalu. Rumah yang dibina semula itu bernilai RM33,000 dan mempunyai tiga bilik.

Penyerahan kunci dilakukan hari ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera. "Pembinaan rumah di Lorong 14 Kampung Besut ini merupakan program pertama kita dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman," kata Pengarah Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Salleh Sarbini.

10 Ditahan Positif Dadah Dalam Ops Bersepadu JPJ Di Dungun

Sepuluh lelaki ditahan kerana positif dadah dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di hadapan Stesen Timbang JPJ, Bukit Besi malam Rabu.

Pengarah JPJ negeri Abdul Rahman Emang Anyie berkata kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun itu diserahkan kepada Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.

Program Ijazah Di Politeknik Tahun Depan

Beberapa program ijazah akan dilaksana di 32 buah politeknik di seluruh negara dengan kerjasama universiti tempatan mulai tahun depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Mejar (K) Md Nor Yusof.

Beliau berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada langkah stategik untuk memperkasa lulusan diploma politeknik.

Aksi Silat - Tertetak Jari Kawan

Aksi tangkas dua pesilat menggunakan parang ketika melakukan pertunjukan di sebuah ekspo berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka terkena tetakan sehingga menyebabkan jari tangan kanan hampir putus.

Berikutan insiden itu yang berlaku di Padang Astaka, Dungun, jam 6.30 petang Isnin lalu, Abdul Malek Hassan, 20, kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu.

Thursday, November 22, 2012

Bantah Tindakan KAFA - T-Team Kemuka Aduan Kepada FAM

"Zairo Annuar dan Mohd Faiz berhak menyarung jersi Kelantan musim depan berikutan kegagalan T-Team mematuhi perkara melanjutkan kontrak dua pemain itu..."
- Tan Sri Annuar Musa
 
T-Team akan mengemukakan aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menandatangani kontrak dengan dua pemainnya tanpa memaklumkan kelab itu.

Kedua-dua pemain terbabit, Zairo Annuar Zailani dan Mohd Faiz Subri yang masih berbaki kontrak dengan T-Team sehingga 30 November ini, turut diumumkan sebagai pemain baru Kelantan malam kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif T-team, Abdul Rasid Jusoh, berkata pihak pengurusan sedang berbincang dengan peguam sebelum mengemukakan aduan rasmi kepada FAM atau mengambil tindakan undang-undang ke atas KAFA dan pemain terbabit.

Abdul Rasid berkata, dua pemain terbabit masih terikat dengan T-Team sehingga akhir bulan ini dan tindakan KAFA jelas menyalahi peraturan FAM.

“Dua pemain terbabit mengaku menerima wang selepas menandatangani kontrak dengan Kelantan, baru-baru ini.

“Mereka bukan saja mengaku kepada saya malah dengan beberapa pegawai T-Team lain termasuk peguam kami,” katanya semalam.

Abdul Rasid berkata, pihaknya turut mengeluarkan surut tunjuk sebab kepada dua pemain terbabit kerana gagal menjalani latihan kelmarin.

Sementara itu, Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa menafikan dakwaan T-Team yang The Red Warriors memikat Zairo Annuar dan Mohd Faiz secara tidak beretika.

Annuar melalui laman Facebooknya menjelaskan Zairo Annuar dan Mohd Faiz berhak menyarung jersi Kelantan musim depan berikutan kegagalan T-Team mematuhi perkara melanjutkan kontrak dua pemain itu.

Sementara itu,  kelibat enam pemain tonggak skuad T-Team tidak kelihatan apabila pasukan Liga Super itu mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Piala Emas Raja-Raja Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Ab Rashid berkata beliau tidak pasti kenapa enam pemain itu gagal turun walaupun sebelum itu mereka menyertai sesi latihan.

Pemain pemain tersebut ialah penjaga gol Syamsuri Mustapa, Zairo Anuar Zalani, Wan Alif Jasmin, Shahrizal Faizal, Mohd Fais Sobri dan Nor Fazly Alias.

Bagaimanapun, beliau ketika dihubungi semalam berkata pemain berkenaan telah mengikat kontrak bersama pasukan untuk musim depan.

Ab Rashid berkata pemain senior yang masih kekal untuk musim depan ialah Mohd Iqbal Mohd Suhaimi (penjaga gol), Hasbullah Awang, Hasan Basri, Mohd Muinuddin Mokhtar, Azri Hazran Amiludin Baki.

Berita Harian & Bernama

53 GLC Kerajaan Terengganu Ikrar Jauhi Rasuah

Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) sama sekali tidak dibenarkan mendekati atau memberi rasuah sebaliknya melaksanakan tanggung jawab dengan penuh dedikasi memajukan syarikat bagi meraih keuntungan.

Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah berkata, semua anak syarikat kerajaan negeri dikehendaki membuat ikrar dan menandatangani surat akuan bagi menjauhi perkara-perkara berkaitan dengan amalan rasuah.

“ Bukan saja anak syarikat kerajaan negeri tetapi syarikat lain yang ada hubungan dengan kita juga perlu menjaga hubungan dan bersih dalam sebarang urusan,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Ikrar Integriti Korporat di Wisma Darul Iman semalam.


7,459 Keluarga Peneroka Felda Terengganu Terima Durian Runtuh


Kerajaan menunaikan janji apabila 7,459 keluarga peneroka di rancangan tanah FELDA negeri kini menerima durian runtuh sebagaimana yang diumumkan kerajaan.

Pengurus Besar Wilayah Felda Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab berkata, pemberian durian runtuh RM15,000 kepada peneroka membabitkan 20 rancangan tanah FELDA negeri ini hampir selesai dilakukan oleh agensi itu.

Perbanyakkan Kursus Bahasa Inggeris dan Sains Kepada Guru Berkaitan


Kerajaan negeri akan memperbanyakkan kursus matapelajaran bahasa Inggeris dan Sains kepada guru subjek itu, bermula tahun depan, bagi mengekal dan meningkatkan pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti tahun-tahun sebelum ini.

Pada masa sama, kelas tambahan kepada murid berkaitan turut diperbanyakkan semata-mata mahu membantu pelajar cemerlang dalam semua subjek. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata apa dilaksanakan itu semata-mata mahu membaiki kelemahan UPSR lalu di mana berlaku sedikit kemerosotan berbanding tahun terdahulu.

Khairul Fahmi Akan Tamatkan Zaman Bujang Pada 28 Disember


Kemenangan skuad kebangsaan dalam kempen Piala AFF Suzuki 2012 nanti akan menjadi hadiah yang amat bermakna kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang akan menamatkan zaman bujangnya pada 28 Dis nanti.


Pemain berusia 23 tahun itu mengumumkan akan bernikah dengan gadis pilihan hatinya Nur Eilunie Natasha Nazri atau lebih dikenali sebagai Leuniey Natasha di kediaman Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.

Peruntukan Khas Hadapi Banjir Untuk Nelayan Berpendapatan Rendah

Yahya Khatib Mohamad menyampaikan elaun sara hidup kepada penerima, Hamirrisam Awang dalam Majlis Bayaran Elaun Sara Hidup Secara Tunai Persatuan Nelayan Kawasan Marang di Marang, Terengganu, kelmarin.
Golongan nelayan dan berpendapatan rendah dijangka menerima pemberian khas musim tengkujuh berbentuk barangan dapur bagi memberikan sedikit kelegaan kepada mereka ketika tidak dapat mencari rezeki di laut.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad berkata, peruntukan itu akan disalurkan melalui wakil-wakil rakyat di setiap kawasan di negeri ini bagi diagihkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

"Kita faham apabila berlaku musim tengkujuh, nelayan tidak dapat turun ke laut dan sebagainya. Jadi, selain elaun sara hidup, kita ada peruntukan khas untuk mereka.

Pusat Rehabilitasi 1Malaysia Seberang Takir

Ahmad Razif bertemu penduduk Tok Jembal baru-baru ini.
Penubuhan Pusat Rehabilitasi 1 Malaysia di Seberang Takir yang membabitkan kos kira-kira RM350,000 dijadualkan beroperasi dalam masa terdekat ini sebaik peralatan di sini lengkap sepenuhnya nanti.

Pusat yang akan memberi fokus terhadap pesakit strok atau angin ahmar ini merupakan lokasi khusus pertama yang diwujudkan di negeri ini selepas mendapati ramai masyarakat di sini menderita penyakit itu.

Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pusat yang akan menempatkan pakar fisioterapi bertauliah itu akan membantu merawat dan mencegah penyakit tersebut.

T-Team Kecewa Cara Kelantan Pikat Zairo, Faiz?

 T-Team bukan saja bakal kehilangan kaptennya, Zairo Anuar Zailani (kiri), malah penyerang, Faiz Subri (kanan) yang berpindah ke Kelantan musim depan.

“Semuanya itu pasti hanya kerana wang," kata Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rasid Jusoh yang kurang senang dengan cara keputusan dua pemain harapan The Titans untuk berpindah ke The Red Warriors.

"Zairo dan Faiz masih lagi mempunyai kontrak dengan T-Team hingga akhir bulan ini dan mereka juga sudah bersetuju untuk memperbaharui kontrak dengan The Titans

Kuda, Rusa Dilelong Pada MAHA 2012


Kuda dan rusa adalah antara haiwan ternakan yang akan dilelong pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur & Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2012) yang berlangsung selama 10 hari bermula esok di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menurut kenyataan penganjur pameran itu, acara lelongan akan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan kerjasama Major Transglobal Sdn. Bhd., sebuah syarikat berpengalaman luas dalam industri ternakan ruminan di Malaysia.


Maidam Terima Zakat MIDF Property Berhad

Menteri Besar menyaksikan penyerahan zakat oleh MIDF Property Berhad semalam - gambar Zulkifli Putra
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada MIDF Property Berhad pada majlis yang berlangsung di Wisma Darul Iman, semalam.

Pengurus Besar MIDF Property Berhad, Mohd Yusoff Abdullah menyerahkan sejumlah RM150,000 kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam satu majlis ringkas selepas mesyuarat Exco.

Amalkan Sikap Ingin Lebih Berjaya - Ahmad Razif


Pelajar perlu mengamalkan sikap ingin berjaya tanpa mengira institusi mana tempat menimba ilmu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pelajar tidak merasa rendah diri kerana tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

``Sentiasa bersyukur dan sikap rendah diri hendaklah dihapuskan, yang penting berusaha untuk berjaya dalam bidang yang kita ceburi kerana kejayaan tidak akan dicapai jika tiada usaha,’’ katanya

Persiapan Rapi Menjelang Piala Monsun 3-8 Disember

Kerajaan Terengganu menjalankan persediaan rapi menjelang siri terakhir Jelajah Match Racing Dunia Alpari yang memasuki edisi kelapan, penganjuran Piala Monsun, di Pulau Duyung bermula 3 hingga 8 Disember ini.

Acara dunia itu menjadi kemuncak kepada kejohanan perahu layar berprestij semakin melakar perkembangan hasil usaha penganjur dengan kerjasama erat kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Ahmad Fathil Abdul Ghani berkata, penganjuran acara itu sejak lapan tahun lalu yang membawa pelayar bertaraf dunia ke Terengganu bukan sahaja memahat nama negeri di peta sukan dunia, tetapi juga melonjak industri pelancongan.


Merompak - Mahkamah Kekal Hukuman 8 Tahun Penjara


Perbuatan seorang lelaki yang bukan hanya melakukan rompakan bersenjata, malah turut mencederakan dua beranak dalam kejadian rompakan di sebuah kedai runcit di Kampung Kuala Bekah, di Kuala Terengganu, tahun lalu, amat dipandang serius Mahkamah Tinggi, di Kuala Terengganu.

Berikutan itu, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak rayuan hukuman Rozian Rozali, 33, semalam, dengan mengekalkan hukuman diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen, di Kuala Terengganu, tahun lalu iaitu lapan tahun penjara dan enam sebatan selepas dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan itu.

Kelas Bahasa Inggeris Sempena Cuti Sekolah di Terengganu

Pusat Bahasa Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu mengadakan program Bahasa Inggeris dalam musim cuti sekolah ini.

Program yang memasuki tahun ketiga ini menyediakan kelas pertama dari 18 hingga 29 Nov manakala kelas kedua bermula 2 hingga 13 Dis.

Wednesday, November 21, 2012

Kerajaan Pusat Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Isu Bayaran Hasil Petroleum


 "Kerajaan Persekutuan telah menerima calon-calon dari negeri Kelantan dan Pahang yang akan mengkaji secara telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia...Bagaimana pun, calon-calon dari negeri Terengganu masih dalam pertimbangan kerajaan negeri."
 - Pejabat Perdana Menteri

Kerajaan persekutuan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Ia akan dianggotai pakar undang-undang antarabangsa dan tempatan selain wakil kerajaan negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Penubuhan jawatankuasa khas itu bertujuan mengkaji secara menyeluruh isu bayaran tunai dengan mengambil kira semua aspek yang dibangkitkan oleh negeri di pantai timur tersebut.

"Jawatankuasa itu dijangka akan menamatkan tugasnya dalam tempoh enam bulan bermula dari tarikh penubuhannya," jelas kenyataan itu lagi.


Kerajaan Persekutuan telah menerima calon-calon dari negeri Kelantan dan Pahang untuk menganggotai Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu.

Bagaimana pun, calon-calon dari negeri Terengganu masih dalam pertimbangan kerajaan negeri.

"Mengikut laporan media, kerajaan negeri Kelantan telah membuat tuntutan sebanyak RM10.4 bilion daripada hasil petroleum dan gas yang dikeluarkan."

"Sehubungan ini, memandangkan Kelantan telah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas ini dan telah pun menamakan calon untuk mewakilinya, maka adalah wajar segala isu dan tuntutan dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas tersebut," kata kenyataan itu lagi.

Sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Ogos lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.