Saturday, May 4, 2013

Najib Yakin BN Raih 140 Hingga 155 Kerusi Parlimen Pada PRU-13

Najib disambut masyarakat India ketika tiba ke Karnival Keusahawanan Masyarakat India anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan Tekun Nasional di Padang Chetty, Klang, malam kelmarin. 
Dengan sokongan yang terus meningkat daripada semua lapisan rakyat Malaysia dan faktor-faktor positif yang lain, Barisan Nasional (BN) yakin kembali memerintah dengan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Ketika membuat penilaiannya kira-kira 48 jam sebelum pusat pengundian dibuka di seluruh negara Ahad ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak mustahil untuk mendapat majoriti dua pertiga jika diiringi dengan sedikit usaha keras.

"Sebenarnya, saya akan terkejut jika kita tidak mendapat majoriti dua pertiga," kata Najib penuh yakin semasa bertemu beberapa ketua pengarang media menjelang pengundian di Putrajaya semalam.

Najib bertemu beberapa ketua pengarang media menjelang pengundian di Putrajaya semalam.
Najib, yang menerajui BN buat kali pertama sejak menjadi perdana menteri pada 2009, berkata perkembangan di lapangan menunjukkan BN mendapat antara 140 dan 155 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum yang amat dinanti-nantikan itu.

BN perlu mendapatkan 112 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah sementara majoriti dua pertiga memerlukan ia mendapat 148 kawasan Parlimen.

 Semasa Parlimen dibubarkan pada 3 April, BN menguasai 137 kerusi Parlimen. Dalam perbincangan dengan para pengamal media, Najib, yang juga Pengerusi BN Selangor, agak optimis BN menguasai kembali Selangor daripada pakatan rakyat.

Peluang menguasai kembali Kelantan daripada pemerintahan PAS selama 23 tahun semakin bertambah baik, katanya dan menjangka satu perubahan haluan yang menyebelahi BN di Pulau Pinang yang dikuasai DAP.

Dengan menyediakan penilaian mengenai peluang BN mengekalkan pusat pentadbiran persekutuan Putrajaya yang ditandingi BN dan PAS, Najib melahirkan keyakinan bahawa para pengundi yang kebanyakannya terdiri daripada penjawat awam akan mengundi menyebelahi BN.

Katanya sokongan masyarakat Cina dan India kepada BN sedang meningkat berdasarkan sambutan positif yang boleh dirasai semasa berkempen selain respons menggalakkan bagi inisiatif mesra rakyat bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

Najib menjelaskan bahawa kerajaan BN telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat Cina dan kerana ini, beliau tidak nampak sebarang sebab bagi mereka untuk enggan memberi sokongan kepada BN.

"Dengan kedudukan ekonomi yang kukuh, pasaran saham yang pada setiap masa berada pada kedudukan yang tinggi, projek-projek besar seperti kereta api berkelajuan tinggi, semua ini telah memberi manfaat kepada masyarakat Cina.

"Malah BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia), mereka juga mendapat manfaat daripadanya kerana penerima bantuan itu membelanjakan wang mereka di kedai-kedai yang dikendali orang Cina," katanya.

Najib menganggap bahwa perhatian yang diberikan terhadap pendidikan Cina seperti pembinaan lebih banyak sekolah-sekolah Cina, telah meletakkan BN pada kedudukan yang baik pada pandangan masyarakat itu.

Menyentuh mengenai tahap sokongan daripada masyarakat India, Najib berkata: "mereka kini bersama BN sekarang, malah Hindraf (Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu) kini bersama kita sekarang."

Mengenai pengundi muda, Perdana Menteri berkata majoriti golongan itu bersama dengan BN yang telah bertungkus lumus menangani kebimbangan mereka dengan cara melaksanakan program-program yang mesra golongan muda.

Najib juga menggesa pengundi supaya tidak terpengaruh dengan cara jahat DAP dalam usaha mendapat kuasa.

Beliau menyelar pakatan rakyat kerana memainkan isu perkauman dan mengeluarkan kenyataan menghasut yang boleh membawa kepada polarisasi kaum yang serius di negara ini, apatah lagi kesan buruk terhadap kestabilan dan persekitaran perniagaan.

Sambil mengingatkan pengundi supaya berfikir dengan bijak sebelum memangkah kertas undi Ahad ini, Najib berkata begitu banyak yang dipertaruhkan dalam pilihan raya dan jika tersilap memilih parti yang salah untuk mentadbir negara, segala usaha penah lelah yang dibuat BN bagi membangunkan negara ini akan menjadi sia-sia.

Beliau berkata satu undi untuk BN bermakna satu undi untuk dasar yang adil bagi semua kaum dan ini tidak akan berlaku jika rakyat mengundi pakatan rakyat.

Menurut Najib, pasaran yang sudahpun berada pada trend menaik sejak kebelakangan ini sudah pasti akan terus memuncak jika BN mendapat mandat besar daripada para pengundi.

Sentimen terhadap Bursa Malaysia terus mendapat keyakinan sejak minggu lalu berikutan usaha belian yang kukuh daripada pelabur asing dan institusi dengan indeks mencatat bacaan baharu yang tinggi sepanjang masa iaitu 1,717.65 mata pada Selasa.

Para pelabur menjangkakan pasaran akan terus mendapat sokongan jika kerajaan BN yang menyokong perniagaan mendapat mandat baharu bagi tempoh lima tahun lagi.

Peniaga berkata para pelabur asing begitu yakin bahawa BN akan kembali berkuasa dan ini akan memastikan kesinambungan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sedang dalam proses meningkatkan aktiviti perniagaan di semua sektor, yang memperkuat ekonomi dengan asas yang kukuh.

Sesi Najib bersama ketua pengarang media dihadiri Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Datuk Ahmad A. Talib, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid dan pengarah eksekutif Star Publications dan ketua pengarang kumpulan Datuk Seri Wong Chun Wai.

Mereka turut disertai pengarang kumpulan Berita Harian Datuk Mior Kamarul Shahid, ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu Datuk Abdul Aziz Ishak, pengarang kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dan Ketua Pengarang BERNAMA Datuk Zulkefli Salleh.

Anwar Yakin Pembangkang Tawan Putrajaya


Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pembangkang berupaya mencapai kemenangan besar dan sekaligus berjaya mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) esok.

 Katanya Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan berdasarkan sokongan rakyat terhadap mereka.

"Hingga sekarang kami sudah lakukan sesuatu yang sangat baik, jika tiada sabotaj atau penipuan...insya-Allah (boleh ambil alih Putrajaya)," katanya ketika ditemui selepas berucap pada ceramah di Jalan Boria di Sungai Petani, malam semalam.

The Titans Rebah Lagi, ATM Kejar Lions XII Untuk Takhta Liga Super

Pemain T-Team, Ahmad Syamim Yahya (kiri) mengasak penjaga gol Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Farizal pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu,semalam.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya ketinggalan satu mata dengan pendahulu Liga Super, Lions XII, selepas mengalahkan T-Team 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Kemenangan ATM ke atas pasukan berstatus kelab itu membolehkan mereka mengumpul 27 mata selepas 15 perlawanan, sekali gus memintas Johor Darul Takzim yang mengumpul 25 mata dengan kelebihan satu perlawanan pada 11 Mei ini.

Pemain Sarawak Zamri Morshidi (kiri) cuba melepasi kawalan pemain pertahanan KL Spa Putrajaya FC, Muzammer Mohamad Zaki dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Negeri di Kuching semalam. Keputusan separuh masa pertama Sarawak 0 - KL Spa Putrajaya FC 1.

Tiada Hujan Di Kebanyakan Negeri Pagi Esok

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tiada hujan di sebelah pagi di kebanyakan negeri pada hari pengundian esok.

Negeri berkenaan ialah Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Selangor serta Negeri Sembilan.

Tolak PAS Kerana Gagal Tunai Janji Sejak 23 Tahun Lalu


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Kelantan menolak Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), esok kerana pemimpin parti itu banyak menipu rakyat dengan janji yang tidak ditepati sepanjang 23 tahun memerintah negeri itu.

Katanya, pemimpin parti itu hanya pandai melaungkan slogan dan bersyarah tetapi pengisiannya tidak ada untuk memajukan negeri ini sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat.

Azizulhasni Idam GP Jerman Julai Depan


Jaguh  sukan lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang menetapkan sasaran untuk menaiki podium pertamanya musim ini pada Kejohanan Trek Grand Prix (GP) Jerman di Cottbus Julai depan.

Pelumba berusia 25 tahun itu baharu sahaja memulakan fasa awal latihannya di Melbourne, Australia Februari lalu selepas berehat panjang tanpa menyertai sebarang kejohanan.

Video Seks: Mustafa Sekali Lagi Nafi Terlibat, Tidak Akan Sumpah Laknat


Memang sudah dijangka dari awal, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sekali lagi tampil menafikan beliau individu yang dimaksudkan dalam video seks yang didakwa mengaitkan dirinya.

“Saya tidak ada kena mengena dengan video berkenaan. Saya tidak terlibat dalam perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam,” kata Mustafa kepada penyokong yang ramai di Rusila pada malam Jumaat.

Mustafa, mendakwa Umno merupakan dalang dalam pembikinan video seks tersebut.

Calon BN Kuala Berang Nafi Hantar SMS Beri Duit Kepada Pengundi

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Berang Datuk Tengku Putera Tengku Awang menafikan pihaknya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya akan mengagihkan "duit" kepada pengundi di kawasan itu.

Beliau menegaskan SMS itu merupakan fitnah dan mendakwa ia dihantar oleh pihak yang berniat jahat terhadapnya menjelang hari mengundi Ahad ini.

Tengku Putera berkata beliau telah membuat laporan di Balai Polis Hulu Terengganu kira-kira 4 petang Jumaat bagi perkara itu disiasat.

Amaran KerasTerhadap Pihak Yang Cetuskan Kekecohan Ahad Ini





Polis Terengganu memberi amaran kepada mana-mana pihak mahupun individu agar tidak mencetuskan kekecohan semasa proses pengundian pada pilihan raya umum ke-13 Ahad ini.


Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata polis tidak akan berkrompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menghalang orang ramai daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

SPR Nafi Tuduhan Kemasukan Besar-Besaran Pengundi


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tidak menghairankan sekiranya ramai pengundi dari Sabah dan Sarawak pulang ke Semenanjung menjelang hari pengundian, Ahad ini.

Ini kerana katanya, mereka adalah daftar pemilih berdaftar yang pulang tunaikan tanggungjawab mengundi. “Adakah salah jika mereka pulang mengundi. Realitinya ramai rakyat negara ini bekerja dan mengundi di tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas meninjau undi pos luar negara di Wisma Putra, semalam.

Bank Rakyat Perkenal Anugerah Untuk Guru Cemerlang Di Terengganu

Bank Rakyat akan memperkenalkan anugerah untuk guru cemerlang di Terengganu sebagai penghargaan kepada warga pendidik yang menaikkan nama institusi pendidikan di negeri ini.

Ketua Wilayah Timur Bank Rakyat Wan Azman Mustaffa berkata untuk peringkat awal, anugerah itu akan dimulakan di Besut sebelum diperluaskan ke daerah lain.

Tiga Pondok Polis Dibuka Di Lokasi Panas Setiu

Tiga pondok polis dibuka di lokasi panas di daerah ini bagi memudahkan aktiviti pemantauan berhubung Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijalankan dengan lebih mudah dan berkesan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, tiga lokasi dimaksudkan adalah Kampung Bintang 1 (sempadan daerah Setiu dan Besut), Penarik dan Sungai Tong sebagai gantian kepada balai polis bagi kemudahan orang awam.

Friday, May 3, 2013

Dari Kampung Nelayan Ke Anjung Ilmu, Terengganu Semakin Di Hadapan


Keazaman tinggi rakyat dan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu untuk berubah dan membina masa hadapan yang lebih baik, menjadi asas utama kepada apa yang telah dicapai hari ini.

Suatu ketika dahulu apabila disebut sahaja Terengganu, masyarakat luar akan memberi gambaran sebuah perkampungan nelayan di tepi pantai dengan aktiviti-aktiviti perikanannya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai program cakna rakyat atau yang mengambil berat tentang rakyat untuk memastikan rakyat di Terengganu tidak ketinggalan daripada menikmati arus pembangunan negara.

"Hari ini rakyat boleh nilai apa yang telah kita (BN) buat untuk rakyat Terengganu, kita berjaya dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, sukan dan ekonomi," katanya dalam satu temu ramah khas bersama ketua biro akhbar-akhbar di Terengganu di Kuala Terengganu,  baru-baru ini.

Beliau berkata kejayaan tersebut tidak akan dicapai sekiranya kerajaan tidak merangka strategi serta mempunyai kaedah dan inisiatif yang terbaik agar segala perancangan dapat dilaksana dengan lebih sistematik.


Menurutnya rakyat boleh membuat perbandingan bagaimana keadaan negeri Terengganu ketika berada di bawah pemerintahan PAS selama sepenggal (1999-Ahmad  Said selaku Pengerusi BN Terengganu berkata sejak mengambil alih 2004) dan keadaannya hari ini.

Terengganu daripada PAS, kerajaan BN melaksanakan pelbagai agenda pembangunan bukan sahaja dari segi prasarana, ekonomi malah juga pembangunan modal insan melalui pendidikan yang cemerlang.

Katanya,  apa yang kerajaan rancang di Terengganu selama ini bukan janji kosong malah telahpun dilaksanakan dan sebagai contoh pembinaan 10,000 rumah yang ketika ini 8,000 telahpun siap manakala selebihnya dalam pembinaan.

Di bawah Aku Janji tambahan, BN Terengganu turut menyenaraikan rancangan pembinaan 10,000 lagi rumah mampu milik di negeri itu iaitu hampir 1,000 unit untuk setiap lapan kawasan Parlimen di Terengganu, kata Ahmad Said.


"Ini pencapaian yang BN telah buat di Terengganu, ia tidak dapat dinafikan dan ia adalah realistik," katanya sambil menjelaskan BN juga akan menambah tempoh pajakan tanah individu dari 30 tahun kepada 60 tahun.

Dalam pembentangan Bajet 2013, Terengganu memperuntukan RM53.51 juta untuk pemantapan modal insan berkualiti, merangkumi program bermula di tadika, peringkat persekolah rendah dan menengah selain peringkat pengajian tinggi.

Terengganu juga merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang memberi kemudahan e-book kepada pelajar sekolah rendah dan tahun lalu sebanyak 21,596 murid tahun empat telah menerima kemudahan tersebut.

Untuk penajaan pelajar cemerlang, kerajaan Terengganu melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan RM123.85 juta untuk penajaan pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di dalam dan luar negara.


Pada Mac tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records berikutan kejayaan Terengganu paling cemerlang dalam keputusan UPSR buat tahun ke-11 berturut-turut.

Selain itu, Terengganu turut catat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) (empat tahun berturut-turut) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tiga tahun berturut-turut.

Sementara itu, penganalisis politik dari Pusat Pembangunan Sosioekonomi Universiti Malaysia Terengganu Prof Dr Ibrahim Mamat ketika ditemui Bernama di Kuala Terengganu berkata sejak BN kembali memerintah pada 2004, beliau melihat masalah dalaman Umno di Terengganu semakin pulih secara berperingkat-peringkat.


Pengalaman lalu banyak memberi pengajaran kepada pemimpin BN di Terengganu bahawa perpaduan dalam parti merupakan asas paling penting serta mengetepikan soal peribadi untuk agenda pembangunan rakyat dan negeri yang lebih besar, katanya.

Beliau berkata walaupun BN Terengganu berhadapan krisis kepimpinan pada 2008, ia sedikitpun tidak menjejaskan usaha memajukan negeri ini, malah bermula dari tempoh itu lahir banyak idea baharu khasnya dalam memartabatkan Terengganu sebagai negeri "Anjung Ilmu" dan beberapa lagi program pembangunan "cakna" rakyat.

Terengganu mempunyai lapan kawasan Parlimen iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman selain 32 Dewan Undangan Negeri. Pada pilihan raya umum ke-12, BN menang 24 DUN dan hanya kalah dua Parlimen termasuk Parlimen Kuala Terengganu ketika pilihan raya kecil 2009.

Jangan Percaya Janji Manis PAS - Ahmad Said


Rakyat Terengganu diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji-janji manis pemimpin parti pembangkang yang mahu mengambil alih pemerintahan negara ini daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN).


Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad, berkata berkata apa yang pasti pemimpin parti pembangkang begitu terdesak untuk memerintah negara ini dan mereka terpaksa menabur janji-janji manis untuk memancing undi.

“Jika mereka janji untuk meneruskan apa yang sudah dilakukan Kerajaan BN, tidak ada apa-apa yang istimewa yang boleh menambat hati rakyat,” katanya.

Ambrin Tidak Keluar Kenyataan Hasil Negeri Pembangkang Lebih Baik


Jabatan Audit Negara menafikan Ketuanya Tan Sri Ambrin Buang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa prestasi kutipan hasil negeri yang ditadbir pakatan pembangkang lebih baik berbanding negeri lain.

Jabatan itu dukacita kerana nama dan gambar Ambrin digunakan dalam poster dan laman sosial Facebook sebagai kempen pilihan raya pihak pembangkang.

RM13.1 Juta Baik Pulih Lima Sekolah Di Dungun


Kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ke Dungun membawa berita gembira kepada penduduk daerah itu khususnya warga pendidik apabila beliau meluluskan peruntukan RM13.1 juta bagi menaik taraf lima sekolah di daerah itu, tidak lama lagi.

Lima sekolah buatan kayu lama dan semakin uzur bakal dibaikpulih itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Santong, SK Tok Kah, SK Lintang, SK Kampung Subur dan SK Pasir Raja.

<!--more-- “Pok Li (Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan) awal-awal sebelum berucap sudah minta saya selesaikan, saya kata nanti dulu belum pilihan raya lagi.

Dia kata ada beberapa sekolah buatan kayu yang perlukan peruntukan untuk pengubahsuaian.

“Ini bukan rasuah. Bukan salah saya tetapi Pok Li yang mintak. Tapi ini adalah keperluan kerana sekolah ini kayu mungkin sudah uzur dan ada yang tertinggal dan patut kita beri keutamaan.

Insya-Allah akan saya luluskan dan serahkan kepada Setiausaha Kementerian (Pelajaran) dan akan kita laksanakan, tetapi yang mustahak kita kembali kepada Barisan Nasional,” katanya ketika berucap di Program Pemimpin Bersama Masyarakat, di Arena Square, Dungun, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail dan semua calon BN Parlimen dan DUN di Dungun.

Tan Sri Muhyiddin juga menaruh keyakinan BN akan kekal memerintah di Terengganu pada pilihan raya umum ini berdasarkan sambutan padu penduduk terhadap program BN dan Umno menjelang PRU13.

“Gelombang Merah di sana (Kelantan), (Gelombang Biru di Terengganu) sudah mula menyerang masuk ke setiap rakyat Kelantan yang mahu berubah dalam pilihan raya supaya Barisan Nasional kembali semula memimpin Kelantan di peringkat negeri.

“Kalau sudah Kelantan boleh menang, Terengganu apatah lagi. Boleh kita beri peluang supaya Terengganu boleh menang 100 peratus di semua kerusi ,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta semua calon apabila menang nanti tidak lupa untuk terus menabur jasa dan khidmat kepada pengundi sebagaimana janji yang diuar-uarkan sepanjang kempen pilihan raya.

SPR Tiada Agenda Menangkan Sesiapa - Pengerusi SPR

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan surat berisi kertas undi pos bagi P.122 Parlimen Seputeh dari Dublin, Ireland pada majlis penerimaan balik kertas undi pos luar negara di Kementerian Luar di Putrajaya semalam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusofmenegaskan bahawa suruhanjaya itu tiada sebarang agenda untuk menipu bagi memenangkan pihak tertentu dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Abdul Aziz yang menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa SPR bersekongkol dengan Barisan Nasional (BN), berkata kemenangan dan kekalahan seseorang calon serta parti politik bukanlah kerana SPR tetapi kerana pengundi tidak memilih.

Tinjauan UUM, Majlis Profesor Negara Tunjukkan BN Menang, 58 % Sokong Najib

Najib disambut meriah ketika di Sarawak...
Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan cerah untuk kekal memerintah negara pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendapat sokongan majoriti pengundi, demikian menurut satu tinjauan pendapat.

Tinjauan oleh Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Majlis Profesor Negara (MPN) mendapati 58 peratus responden menyokong Najib sebagai Perdana Menteri manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memperoleh 42 peratus sokongan.

Rosmah Perjelas Dakwaan MIliki Cincin Mewah


Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata fitnah kononnya beliau memiliki cincin mewah adalah perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan menimbulkan kebencian rakyat terhadap pemimpin.

Rosmah sekali lagi menjelaskan bahawa cincin tersebut dibawa masuk selama tiga hari untuk dilihat oleh bakal besannya yang berada di Malaysia ketika itu.

Berita Kaitkan Anwar Dengan Pencerobohan Berdasarkan Laporan Perisikan - Defendan

Akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan Ketua Pengarang Kumpulannya dalam pernyataan pembelaan menyatakan berita yang mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pencerobohan bersenjata di Sabah, dilaporkan akhbar itu berdasarkan laporan perisikan pihak keselamatan Malaysia dan Filipina serta media antarabangsa.

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak juga menjelaskan bahawa akhbar itu merupakan akhbar arus perdana yang menyalurkan maklumat dan pengetahuan kepada pembaca, serta defendan mempunyai obligasi dari segi moral dan undang-undang seperti mana dilaporkan.

JPM Nafi Keluar NotisHalang Penjawat Awam Sertai Aktiviti Politik Pakatan Rakyat

Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) di bawah jabatan itu, mengeluarkan notis melarang warga perkhidmatan awam yang tinggal di Putrajaya melibatkan diri dalam sebarang aktiviti politik pakatan rakyat.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Datuk Othman Mahmood berkata notis itu, yang menggunakan nama serta logo BPH, mendakwa tindakan akan diambil ke atas penghuni Putrajaya yang berbuat demikian.

Saiful Buat Sumpah Laknat Kedua Di Hadapan Kaabah


Mohd. Saiful Bukhari Azlan mengulangi sumpah laknat buat kali kedua beberapa bulan selepas keputusan kes dia mendakwa diliwat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim diputuskan Mahkamah Tinggi tahun lalu.

Mohd. Saiful berkata, sumpah laknat itu dilakukan pada 9 April tahun lalu di hadapan Kaabah sewaktu mengerjakan umrah bersama ahli keluarganya di Mekah.

Polis Terengganu Buka 25 Kertas Siasatan Berkaitan PRU13

Polis Terengganu telah membuka 25 kertas siasatan terhadap kes berkaitan PRU13 yang dilaporkan di seluruh negeri sejak hari Penamaan Calon, 20 April lalu.

Jurucakap Pilihan Raya Polis Kontinjen Terengganu Supt Koh Ah Tiam berkata kesemua kes yang disiasat adalah berkaitan keganasan pihak penyokong parti serta mengadakan ceramah tanpa permit.

PRU " Anwar Dakwa Warga Asing Dibawa Masuk, Pejabat PM Nafi

Pejabat Perdana Menteri (PMO) petang ini menafikan sebarang penglibatan berhubung dakwaan pakatan rakyat bahawa rakyat Malaysia dan juga warga asing diterbangkan ke semenanjung untuk mengundi pada pilihan raya umum, Ahad ini.

Dalam satu kenyataan ringkas, seorang jurucakap kerajaan berkata: "Pejabat Perdana Menteri menafikan sebarang pembabitan berhubung penerbangan seperti ini.

Dua Penyokong Parti Cedera Diserang Pihak Lawan Di Dungun


Dua orang penyokong sebuah parti cedera diserang sekumpulan penyokong parti lawan di Kampung Pulau Serai di Dungun Isnin lalu.

Kejadian kira-kira 10 malam itu dipercayai tercetus akibat rasa tidak puas hati terhadap kedua-duanya yang memasang bendera di situ.

Thursday, May 2, 2013

Bandar Raya Warisan Menongkah Arus Kemajuan Di Bawah BN

Wajah Bandaraya Kuala Terengganu tidak lama lagi...

 Meskipun Parlimen Kuala Terengganu dikuasai pembangkang selepas pilihan raya kecil 2009, namun hakikatnya kawasan itu tidak pernah dianak-tirikan kerajaan Barisan Nasional (BN) daripada segi sebarang pembangunan dan kebajikan sosial.

Sebaliknya penduduk di kawasan itu tetap menikmati limpahan pembangunan rancak yang dilaksanakan kerajaan, sekaligus menunjukkan komitmen kerajaan untuk mensejahterakan seluruh rakyat tanpa mengira siapa yang mereka pilih pada pilihan raya.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said hasil pelan pembangunan yang dirancang rapi, Kuala Terengganu bakal mempunyai pusat beli-belah yang setanding dengan di Kuala Lumpur menerusi projek pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) yang mulai dibangunkan, sekaligus melonjak sebagai bandar raya ala 'mini Dubai'.

Dibangunkan sekitar pesisir pantai, ia melibatkan kawasan muara utara dan muara selatan dengan kos RM7 bilion, meliputi pusat gaya hidup bersepadu, pusat komersil serta hab pendidikan dan kesihatan dan dijangka siap berperingkat-peringkat dari tiga hingga 10 tahun.


Pembinaan kompleks membeli-belah ini bakal dilengkapi pelbagai kemudahan hiburan dan riadah, seperti gelanggang boling 48 lorong dan sebuah cineplex yang mengandungi 10 unit skrin.

Ini sudah pastinya berita gembira buat penduduk sekitar yang tidak lagi perlu ke Mesra Mall di Kemaman, katanya. Ahmad juga berkata selain itu, satu lagi 'produk' ikonik warisan negeri wajib singgah - Pasar Payang - akan mengalami transformasi setelah kerajaan mendapati pasar itu tidak lagi kondusif dan akan memberi wajah baru kepada pasar itu demi keselesaan 1,000 peniaga dan pelanggan pada pertengahan tahun ini.


Projek Pasar Payang baru... turut  dibina ialah hotel dan pusat kediaman.
Proses menaiktaraf pasar yang meniti usia 80 tahun itu melibatkan kos RM400 juta bagi membentuk pasar baru empat tingkat dilengkapi eskalator yang mampu memuatkan 1,000 lot perniagaan, sebuah hotel 23 tingkat dan pangsapuri 30 tingkat dengan 500 lot meletak kenderaan.

Kepesatan pembangunan hampir 10 tahun kebelakangan membuktikan kawasan ini menjadi tumpuan pelabur, peniaga dan orang ramai mencari rezeki. Kuala Terengganu mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Wakaf Mempelam, Ladang serta Batu Buruk yang dikuasai PAS manakala satu daripadanya,

Bandar diwakili BN iaitu bekas jurutera binaan, Toh Chin Yaw dari MCA pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu.

Pada PRU13, Mohd Zubir Embong, 49, Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) merupakan calon muka baharu BN bagi Kuala Terengganu. Zubir yang menjadi antara orang penting kepada pencapaian cemerlang pendidikan di negeri Pantai Timur itu bakal menentang wakil PAS, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta seorang nenek yang pernah menarik perhatian ketika PRU 2008, Maimun Yusof atau dikenali Tok Mun, 94 tahun.

Najib - UMNO Bukan Parti Assabiyah

Najib bertanya khabar kepada salah seorang penduduk yang hadir pada satu majlis semalam.
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan Umno bukan parti assabiyah seperti yang didakwa Pakatan Rakyat, walaupun ia berpegang kepada dasar perjuangan kebangsaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak pernah menolak Islam dalam pentadbiran negara, malah semangat kebangsaan Umno adalah berteraskan Islam.

"Kebangsaan kita bukan assabiyah. Makna assabiyah itu ialah bila kita berpakat melakukan kerja-kerja yang batil, maknanya berpakat antara satu puak untuk menindas atau menzalimi puak lain, itu assabiyah," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 6,000 hadirin pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Mengabang Telipot di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang juga calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal dan beberapa calon Barisan Nasional (BN) negeri itu bagi Pilihan Raya Umum ke-13.

Najib, yang juga Presiden Umno, sebelum itu mempersoal kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa sembahyang orang Umno tidak mendapat pahala kerana menolak Islam dan berjuang atas semangat kebangsaan.

"Saya nak tanya Nik Aziz, pahala dosa itu kuasa Mursyidul Am atau kuasa Allah? "Saya percaya ini bukan bidang kuasa manusia, bukan kuasa Mursyidul Am, malah Nabi, Rasul pun tak berani...ini kuasa Allah, itupun dia nak ambil...ini semua kerana politik," katanya.

Nik Aziz baru-baru ini menggunakan statusnya untuk mengeluarkan fatwa bahawa perjuangan Umno bersandarkan assabiyah atau perkauman. Menteri Besar Kelantan itu mendakwa kerana menganut fahaman ini, maka Umno telah menolak Allah.

Menjelas lanjut isu itu, Najib berkata perjuangan kebangsaan Umno telah membebaskan Malaysia daripada dijajah dan dizalimi oleh British.

Umno hari ini berjuang atas dasar "maqasid syariah", dan ia diakui ulama antarabangsa sebagai antara negara terbaik daripada aspek pematuhan konsep tersebut, katanya.

"Apabila dikatakan kita patuh pada maqasid syariah, maknanya kita mempertahankan agama, mempertahankan kalimah Allah. "Jadi siapa yang cakap berdolak dalih sekarang...ini semua pasal politik, nak cari undi," tempelak Najib.

Beliau menegaskan soal prinsip, agama dan kalimah Allah tidak boleh dipermainkan oleh sesiapa. Walaupun suaranya semakin serak kerana terlalu banyak bercakap, Perdana Menteri tetap bersemangat meneruskan kempen bagi BN menjelang hari pengundian Ahad ini. "Walaupun suara saya macam ni, tapi tak apalah, janji BN menang," katanya yang disambut tepukan gemuruh daripada hadirin.

Program itu mengakhiri lawatan Najib di Terengganu sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Perdana 50,000 warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pelancaran Yayasan Destini Anak Bangsa Bersama Perdana Menteri malam semalam.

Peguam PKR Sahkan Penahanan Blogger Milo Suam

Peguam PKR, R Sivarasa mengesahkan makluman mengenai penahanan blogger Milo Suam malam tadi dan ketika ini pihaknya sedang berusaha mendapatkan maklumat daripada pihak polis sebelum dapat mengambil tindakan selanjutnya.

“Barisan peguam sedang cuba mendapatkan respons dari pihak polis pagi ini sebelum bincang langkah seterusnya yang perlu diambil.

“Saya akan maklumkan perkembangan mengenai perkara ini sejam lagi,” jawab beliau ringkas ketika dihubungi Sinar Harian Online, sebentar tadi. Sementara itu, satu kenyataan ringkas oleh Biro Komunikasi PKR lewat malam tadi memaklumkan penahanan Milo Suam atau nama sebenarnya Yusuf Al Siddique Suratman, 29, oleh pihak polis dan dibawa ke Bukit Aman.

Menurut kenyataan media itu juga, pihak polis juga berada di hadapan Ibu Pejabat Keadilan di Merchant Square, Petaling Jaya.

Sebelum ini dua laporan polis dibuat terhadap pengendali blog Milo Suam yang sebelum ini menyiarkan artikel dan gambar mendakwa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengundi lebih awal dari tarikh sepatutnya.

Laporan itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

RELA sokong Kerajaan BN


Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said yang mengharapkan sokongan padu anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA)  pada PRU13 supaya Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan mandat untuk melaksanakan pembangunan dan mengekalkan keharmonian Negara, mendapat sambutan baik.

Ini kerana anggota RELA menyambut baik dan berjanji terus memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah melaksanakan pelbagai transformasi bagi memperkasakan peranan pasukan keselamatan itu sejak empat tahun lalu.

Menteri Besar  menyatakan harapannya  itu ketika berucap pada majlis bersama RELA Terengganu yang dihadiri kira-kira 5,000 anggota RELA seluruh Terengganu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Bapa Nukhari Takrik Balik kenyataan 8 Mac, Minta Maaf Kepada Saiful



Mohd Saiful Bukahri Azlan dalam tweetnya gembira bapanya meminta maaf kepadanya dan mendakwa pemimpin pembangkang meliwat anaknya.

Mohd Saiful berkata: "Jika bapa jujur dan ikhlas, syukur Alhamdullilah. Yang hak pasti berdiri, janji Allah pasti."

Bekas pembantu Anwar dalam tweet keduanya meminta bekas majikannya itu menghentikan apa yang beliau sifatkan sebagai "permainan jijik kamu." "Wang tidak dapat menghapuskan kebenaran," katanya.

Semalam, dalam perkembangan mengejutkan menjelang hari mengundi 5 Mei, Azlan Mohd Lazim meminta maaf kepada anaknya, Saiful Bukhari, yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana telah mendakwa dia telah dipergunakan oleh pihak tertentu, pada satu sidang media 8 Mac lalu.

Azlan berkata permohonan maaf itu dibuat atas kesedaran dan keterlanjuran beliau mengkhianati anaknya, bukannya kerana desakan mana-mana pihak berkepentingan politik.

"Kepada seluruh ahli keluarga saya terutamanya ibu saya, adik-beradik saya, keluarga arwah ibu Saiful dan lebih-lebih lagi anak saya yang telah saya khianati, Saiful Bukhari, saya ingin memohon ampun dan maaf yang tidak terhingga kerana tindakan saya telah membuat keputusan yang salah," katanya kepada pemberita pada sidang media tergempar di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Beliau juga menarik balik permohonan maafnya kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal Mac lalu, yang menafikan kelakuan jenayah pemimpin itu terhadap anaknya.

Sebaliknya beliau mempertahankan pendirian semasa membuat sumpah laknat bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu terlibat dalam kejadian liwat dan beliau mengakui ia bukan satu konspirasi politik untuk menjatuhkan pemimpin itu.

Dalam pada itu, Azlan juga menarik balik semua kenyataannya termasuk pada majlis ceramah di Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah pada 23 dan 24 Mac lalu yang menyatakan anaknya dipergunakan oleh pihak tertentu.

"Salah seorangnya Khairil Anas Jusoh untuk memfitnah DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam kes liwat 2008.

"Dengan kenyataan akhbar ini diharap dapat menyelesaikan kekeliruan yang timbul daripada kenyataan saya sebelum ini.

"Keutamaan serta tanggungjawab saya pada ketika ini adalah kembali kepada anak saya seperti sedia kala dan hidup dalam keadaan harmoni," jelasnya. Sementara itu, Azlan turut mengumumkan beliau keluar PKR berkuat kuasa serta-merta.

"Saya akan mengemukakan notis keluar parti (PKR) selepas ini, masuk keluar parti itu perkara biasa, ramai juga ahli parti pembangkang buat begitu.

"Sekarang saya rasa lega lepas keluar parti, dapat tidur lena kerana tindakan sebelum ini telah sulitkan keluarga," katanya sambil menafikan keputusan keluar PKR itu disebabkan kekangan dalam parti itu.

Jangan Perlekeh Soal Keselamatan Negara - Najib


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak seharusnya dipandang remeh dan diperlekeh walaupun negara bebas daripada ancaman musuh sejak mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata tanpa keselamatan dan keamanan Malaysia tidak akan dapat mencapai kemajuan dan melaksanakan segala dasar pembangunan untuk rakyat.

"Soal keselamatan, kedaulatan amat penting... ia ibu kepada segalanya, kerana tanpa keselamatan segalanya tidak mungkin dapat dilakukan," katanya ketika berucap pada majlis bersama RELA Terengganu yang dihadiri kira-kira 5,000 anggota RELA dari seluruh Terengganu di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, seemalam.

RELA Lalui Proses Transformasi Di Bawah Kerajaan BN


Ikatan Relawan Rakyat (RELA) sebagai organisasi kini melalui proses transformasi hebat menjadi institusi yang sudah meningkat mendadak keanggotaan sehingga 2.86 juta berbanding hanya 540,000 empat tahun lalu.

 Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata menyedari peranan RELA amat penting dalam menjaga keselamatan awam, banyak transformasi dilaksanakan dalam pasukan keselamatan itu sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2009 sehingga berjaya menarik penyertaan tambahan anggota sebanyak 500 peratus.

MTUC - Jangan Perkecil Kuasa Undi Pekerja

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memberi ingatan kaum pekerja boleh menjadi penentu kepada kemenangan kepada mana-mana parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). 

Sehubungan itu, Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan berkata, perkara itu tidak mustahil boleh dilakukan jika sembilan tuntutan mereka dipenuhi dan diperjuangan sama ada daripada parti pemerintah mahupun pembangkang.

Anwar - Saya Maafkan Dr Mahathir, Tidak Tun Daim

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, beliau sedia memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad, bukannya bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

"Tuan Daim kata lapan tahun Anwar jadi Timbalan Menteri Kewangan, hari-hari dia beri nasihat," kata Anwar ketika menyampaikan perutusan Hari Pekerja di Putrajaya semalaam.

Kedua-dua Anwar dan Daim merupakan anggota Kabinet era Dr Mahathir." Daim pernah menjadi Menteri Kewangan dua kali.

Najib Rasmi Pusat Rehabilitasi 1Malaysia Seberang Takir

Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempunyai aturcara padat sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu, sempat meluangkan masa untuk merasmikan Pusat Rehabilitasi 1Malaysia di Seberang Takir di Kuala Terengganu, semalam.

Pada majlis perasmian itu, Perdana Menteri diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Penduduk Mengabang Telipot Terengganu Bakal Miliki Masjid Baru - Najib

Najib disambut rakyat di Mengabaang Telipot semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mengeluarkan peruntukan sewajarnya bagi menggantikan masjid lama Mengabang Telipot dengan masjid baharu.

 Walaupun dalam suaranya yang sudah serak, pengumuman tersebut nyata memberi impak dengan disambut sorakan padu hampir 6,000 penduduk tempatan yang hadir pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Mengabang Telipot semalam.

Kerajaan Negeri Beri Bantuan Pentadbiran Untuk Persatuan Saudara Baru


Kerajaan negeri bersedia untuk menyalurkan bantuan pentadbiran kepada persatuan saudara baru yang bergerak sebagai sebuah persatuan yang sah dan berdaftar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukan sebanyak RM10,000 akan disalurkan kepada persatuan-persatuan berkenaan untuk membantu melancarkan aktiviti yang akan mereka jalankan. 

"Selagi kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini khususnya dan negara ini amnya, saudara baru tidak akan dipinggirkan kerana kerajaan BN akan sentiasa membantu mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Persatuan Saudara Kita Bersama YAB Menteri Besar di Dewan Permata, Hotel Permai, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Zubir Embong.

Mengulas mengenai program yang diadakan, Datuk Seri Ahmad berkata, program sedemikian sangat bagus kerana dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Seorang saudara baru yang ditemui di majlis tersebut, Roslina Abdullah, 50, berkata perasaannya sangat gembira kerana berpeluang berjumpa rakan-rakan dan berkongsi pengalaman.

Beliau yang telah 25 tahun memeluk Islam sebelum ini merupakan seorang penganut Kristian dengan mengunakan nama Rolin Banun.

"Saya sangat bersyukur kerana diberi hidayah oleh Allah s.w.t dan melalui persatuan saudara baru yang saya sertai banyak program dan kursus-kursus yang dijalankan untuk membantu kami lebih mengenal Islam,” ujar ibu tunggal kepada dua orang anak yang berasal dari Kuala Berang itu.

Teganukita

Kampung Bukit Wan Dan Kampung Jambi Muncul Johan Bersama Anugerah ADC Peringkat Kebangsaan 2012


Buat julung kalinya, Anugerah Desa Cemerlang (ADC) peringkat kebangsaan 2012 telah menyaksikan dua kampung dinobatkan sebagai juara bersama iaitu Kampung Bukit Wan di Kuala Terenggan  dan Kampung Jambi, Johor selepas menewaskan 12 buah kampung lain.

 Anugerah tahunan sejak 1987 itu adalah di bawah anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Kampung Bukit Wan, di Kuala Terengganu.

Saiful Bukhari tetap Konsisten Mendapatkan Keadilan Dalam Kes Liwat


Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan terus konsisten dalam usaha mendapatkan keadilan bagi dirinya dalam kes diliwat bekas majikannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

" (Saya) akan terus doa, sabar dan istiqamah," katanya dalam tweetnya yang terbaharu dalam akaun twitternya hari ini berikutan perkembangan terbaharu melibatkan kes berkenaan. Hari ini bapa Mohd Saiful, Azlan Mohd Lazim pada satu sidang media mengumumkan menarik balik kenyataannya awal Mac lalu yang mendakwa anaknya diperguna oleh pihak tertentu untuk mendakwa Anwar.

 "Saya sudah insaf dan terlanjur serta mahu kembali ke jalan kebenaran. Tidak terlambat untuk memohon maaf kepada mereka," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Saiful  berkata beliau kini kembali berpegang kepada keyakinan bahawa anaknya diliwat seperti apa yang didakwanya di mahkamah, dan bukan konspirasi politik untuk menjatuhkan ketua umum Parti Keadilan Rakyat itu.

Mohd Saiful juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan beliau.

 Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari mulai 22 Julai bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari.

 Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar atas dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansarara di sini, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. Anwar, 65, yang juga Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Najib Pemimpin Politik Ke 11 Paling Popular Di Dunia, Pertamaa Di Malaysia


Datuk Seri  Najib Tun Razak tersenarai sebagai pemimpin politik yang ke-11 paling popular di dunia dan yang pertama di Malaysia berdasarkan laman pemantau internet "Sosialbakers".

Najib ketika diminta mengulas tentang pemantauan itu berkata "11 itu nombor kegemaran saya...hari ini mungkin lebih tinggi" dan terus beredar ketika ditemui selepas majlis bersama RELA di Pusat Tamadun Islam di Kuala Terengganu.

Pngundian Awal Membabitkan Anggota Tentera, Polis Lancar - Wan Ahmad

 Wan Ahmad Wan Ahmad (tiga, kiri) memantau pusat pengundian awal di Kem Sri Pantai sambil diiringi calon Pas Dun Seberang Takir, Zakaria Dagang dan Datuk Ahmad Razif daripada BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan proses pengundian awal yang julung kali diadakan melibatkan anggota polis dan tentera, berjalan lancar.
Ia juga membuktikan ketelusan dengan membenarkan semua calon parti yang bertanding masuk ke tempat pembuangan undi.

Petugas SPR mencalit dakwat kekal di jari anggota polis yang juga pengundi tunggal Dun Bukit Tunggal, Nik Azlan Nik Kadir.

Najib Lawat Pegawai Polis Yang Terlibat Dalam Kemalangan Di Terengganu


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa melawat Superitendan Ghazali Daud yang cedera dalam kemalangan ngeri di Km 27 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang dekat Wakaf Tapai semlam.

Najib yang diiringi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa tiba di wad Bunga Raya Hospital Sultanah Nur Zahirah pukul 4.10 petang.

 Najib turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pegawai polis yang terbabit. Ghazali, 49, yang bertugas di Unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman terlibat dalam kemalangan pukul 3.50 pagi itu yang meragut nyawa isterinya Haniza Abd Rahman, 40, dan dua anaknya Ahmad Firdaus Izzudin, 10 dan Nur Aliah Adibah, 9.

 Lima lagi anak mangsa iaitu Ahmad Fahmi Izzudin, 12, Nur Aliah Afifah, 7, Nur Aliah Atikah, 6, Aina Yusro, 3, dan Akilah Husna, tujuh bulan, dilaporkan turut cedera.

Wednesday, May 1, 2013

Ahmad Said - Dr Syed Azman Teruskan Siri Fitnah & Pembohongan Mengenai LPT


"Dia nak cabar saya minta keluarkan nama kontraktor yang tidak meneruskan projek itu kenapa?... dia tahu ke tak, projek LPT II merupakan projek Persekutuan... bukan di bawah kuasa kerajaan negeri, dia nak cabar tetapi dia pun tak tahu apa-apa. Ini berkaitan dengan tender kerajaan pusat, apa kena-mengena dengan saya?"
 - Datuk Seri Ahmad Said

Pas ketandusan idea dan masih menggunakan cara lama dengan membangkitkan isu lapuk bagi meraih undi rakyat di Terengganu, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau menyifatkan dakwaan calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk Syed Azman Syed Ahmad Nawawi bahawa BN gagal menyempurnakan projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) II sebagai tidak berasas.

"Dia nak cabar saya minta keluarkan nama kontraktor yang tidak meneruskan projek itu kenapa?... dia tahu ke tak, projek LPT II merupakan projek Persekutuan... bukan di bawah kuasa kerajaan negeri, dia nak cabar tetapi dia pun tak tahu apa-apa.

Ini berkaitan dengan tender kerajaan pusat, apa kena-mengena dengan saya.


"Projek itu ada dua pakej iaitu menerusi rundingan terus dan tender, jadi apabila ada kenaikan harga, mereka (kontraktor) tidak mampu buat, dan ada sesetengahnya mereka serah balik, bila serah balik, kira ditender semula.


Sekarang ini projek yang dia dakwa itu sedang berjalan, cuma ada kelewatan," katanya kepada pemberita selepas melawat Kampung Cina di Kuala Terengganu, semalam.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad meminta kepada semua pengundi keluar awal pada 5 Mei kerana khuatir akan berlaku kekecohan yang didalangi pihak tidak bertanggungjawab.- Bernama