Saturday, February 15, 2014

Majlis Fatwa Mahu Kerajaan Ambil Tindakan Tegas Terhadap Comango



"Jawatankuasa fatwa menentang tuntutan itu kerana selain bercanggah dengan syariat Islam, ia juga bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan negara serta norma-norma antarabangsa."
- Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin 

KUALA LUMPUR (15 Februari 2014) - Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam semalam menegaskan tuntutan yang dibuat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (Ngo) Hak Asasi Manusia (Comango) bertentangan dengan syariat Islam dan bakal menghancurkan negara.

Justeru, jawatankuasa fatwa berkenaan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Comango yang dilihat satu gerakan yang cuba menghancurkan kedaulatan Islam di negara ini.

Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam satu kenyataan berkata jawatankuasa fatwa menentang tuntutan itu kerana selain bercanggah dengan syariat Islam, ia juga bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan negara serta norma-norma antarabangsa.


"(Tuntutan itu) akan mencetuskan huru-hara kepada masyarakat dan negara serta mampu meruntuhkan pegangan dan cara hidup umat Islam di Malaysia", katanya.

Comango sebelum ini menuntut beberapa perkara merangkumi hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender.

Selain menyentuh isu hak asasi manusia, pertubuhan itu turut menuntut hak kebebasan murtad bagi orang Islam, hak kesamarataan agama serta mempersoal kes penggunaan kalimah Allah dan ajaran Syiah.

Abdul Shukor turut mengingatkan umat Islam di negara ini untuk bersatu padu dalam menangani isu berkenaan tanpa memikirkan fahaman politik masing-masing demi mempertahankan kesucian agama Islam dan meminta umat Islam yang terlibat dalam pertubuhan itu untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.

YPK Peruntuk RM8j Untuk Program Pembangunan Keluarga

Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu memperuntukkan RM8 juta untuk melaksanakan empat program besar membabitkan pembangunan keluarga dan gejala sosial di negeri itu.

Pengarah YPK, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata program terbabit ialah meningkatkan kualiti hidup keluarga, menguruskan isu sosial dalam kalangan masyarakat, menjana pendapatan keluarga miskin dan membangunkan masyarakat secara menyeluruh.

"Peruntukan untuk program ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas sebanyak RM4 juta," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Hukum Melabur Dalam ASB, ASN 'Harus' - Majlis Fatwa

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan semalam menegaskan bahawa hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah 'Harus'.

Ini termasuk dividen atau bonus yang diterima menerusi kedua-dua skim pelaburan itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Abd Shukor, Jawatankuasa Fatwa amat kesal kerana terdapat pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan keraguan dengan memuat naik surat daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menyatakan skim tersebut sebagai tidak patuh Syariah.

102 Pendatang Tanpa Izin Diberkas Di Besut


Sebanyak 102 pendatang tanpa izin termasuk sembilan wanita ditahan di daerah ini dalam Ops Bersepadu awal pagi semalam.

Penolong Pengarah Imigresen Terengganu Mohd Shahrir Khalil berkata mereka ditahan di 43 lokasi hasil intipan yang dijalankan sebelum ini. Mereka merupakan antara 257 pendatang yang diperiksa dalam operasi bermula 12.30 malam hingga 6 pagi tadi, katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Katanya mereka ditahan selepas dikesan tidak mempunyai permit sah dan tinggal lebih masa. Paling ramai yang diberkas ialah rakyat Indonesia, Bangladesh dan Nepal, katanya.

Operasi membabitkan 129 pegawai dan anggota daripada Jabatan Imigresen, polis, Rela, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Friday, February 14, 2014

K'jaan Negeri Terengganu Sedia Kemudahan Wi-fi Percuma


Bagi memudahkan orang ramai dan pelancong mengakses internet, kerajaan negeri menyediakan kemudahan Wi-fi secara percuma di 600 lokasi strategik melibatkan peruntukan RM30 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kemudahan itu sedang dan akan dipasang di tempat-tempat tumpuan orang ramai terutama di semua Pejabat Daerah dan Tanah, stesen bas, pasar, kawasan bandar, perpustakaan dan Planetarium negeri termasuk pusat-pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN). 

"Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini (Kuala Terengganu) telah dipasang dengan kemudahan itu dan ia sudah boleh digunakan mulai semalam.

Lima Individu Dipenjara, Didenda Palsukan Dokumen Diesel Subsidi

Gambar Hiasan...diesel subsidi dan lori tangki yang ditahan di Lak Lok, Besut pada 22 Ogos 2012.

Seorang lelaki dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM15,000 manakala empat lagi individu didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan bekalan diesel bersubsidi.

Pertuduhan yang dibuat secara berasingan itu membabitkan penipuan dokumen iaitu memalsukan bil tunai butiran penjualan hasil tangkapan laut yang diserahkan kepada juruisytihar di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut untuk mendapatkan kuota minyak diesel bersubsidi.

Hakim Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM15,000 atau penjara 15 bulan terhadap Adnan Hussin, 45, kerana mengemukakan hasil tangkapan ikan palsu berjumlah RM11,400 kepada LKIM pada 8.18 pagi, 19 Okt 2013.

Festival TMM 2014 Le Tour De Langkawi Di Terengganu Mac Ini

Sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dan Le Tour de Langkawi (LTDL) 2014, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu akan menganjurkan satu festival bermula 4 Mac ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu Mohd Sabri Zakaria berkata karnival lima hari itu yang dianjurkan dengan kerjasama Warisan Bistari Aman Sdn Bhd, akan diadakan di Dataran Syahbandar di Kuala Terengganu.

"Kita adakan Festival TMM 2014 Le Tour de Langkawi bagi menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung ke negeri ini untuk memperkenalkan kebudayaan dan aktiviti pelancongan di Terengganu.

RTC Bantu Penduduk Luar Bandar Tingkat Sektor Pertanian

Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang ditubuhkan di negeri ini akan dijadikan pusat pengumpulan hasil tani kepada penduduk terutama di kawasan luar bandar.

Setiausaha Bahagian Pengupayaan Komuniti dan Infodesa, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Ahmad Sulaiman berkata RTC akan dijadikan pusat integrasi yang menyediakan perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian.

Katanya RTC juga akan memfokuskan kepada skim latihan jangka pendek kepada penduduk setempat dalam pelbagai bidang bagi melahirkan usahawan berkaliber.

Muhyiddin Yakin BN Sarawak Akan Kekal Kukuh


Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin BN Sarawak akan terus kukuh, biarpun Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengundurkan diri sebagai Ketua Menteri.

Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom berkata keyakinan itu dinyatakan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam mesyuarat tertutup lebih dua jam bersama presiden serta wakil parti komponen BN negeri.

"Dalam mesyuarat tersebut beliau menyatakan, BN Sarawak sememangnya sudah diketahui mempunyai semangat bersatu yang kuat, semangat tersebut perlu diteruskan walaupun Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN negeri akan mengundurkan diri.

Penyu Dari Indonesia Naik Bertelur Di Terengganu

Buat julung kalinya, Jabatan Perikanan Terengganu mengesan seekor penyu agar yang ditanda di Indonesia telah naik bertelur di pantai Terengganu tahun lepas.

Pengarah jabatan itu, Abdul Khalil Abdul Karim berkata penyu yang bertanda tag 271893 pada sayap kanan itu bertelur 82 biji di pantai Geliga Kemaman.

"Telur tersebut telah dieram dan berjaya menetaskan 72 ekor anak dan kesemua anak itu telah dilepaskan ke laut," katanya semalam.

Hina Sultan Selangor, Seorang Wanita Ditahan

Seorang wanita berusia 27 tahun ditahan baru-baru ini bagi membantu siasatan berhubung sebuah blog yang menyiarkan pautan Facebook yang didakwa mengandungi kenyataan melampau terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Penahanan wanita itu disahkan polis Selangor menerusi status akaun Facebook yang baru dimuat naik sejam yang lalu dengan mengatakan wanita itu ditahan di Sungai Jelok, Kajang.

Menurut laman FB polis itu, semasa tangkapan beberapa peralatan turut dirampas bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Dalam blog berkenaan sebelum ini, wanita terbabit secara terbuka menghina Sultan Selangor dengan mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Tindakan wanita itu kemudian menyebabkan Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan satu laporan polis dibuat.

Pelumba Negara Berpeluang Raih Kemenangan Pada LTdL 2014


Pelumba negara dijangka mampu mencuri tumpuan meraih kemenangan peringkat pada edisi ke-19 jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014.

Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata laluan perlumbaan kali ini memungkinkan pelumba negara mengutip mata dan mengintai kemenangan peringkat.

Katanya, penampilan pelumba berpengalaman seperti Mohd Adiq Husaini Othman, Mohd Saufi Mat Senan dan Anuar Manan dari Terengganu Cycling Team (TSG) dilihat antara yang akan memberi saingan sengit kepada pelumba ternama pasukan lain.

Wednesday, February 12, 2014

Wan Ahmad Nizam Anggap Muhd Irfan Pengecut Kerana 'Menghilangkan Diri'…


KUALA TERENGGANU (12 Februari 2014) - Walaupun Muhd Irfan Abdul Ghani turut bersumpah Al-Quran di Johor, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) tetap menyifatkan pemain berusia 25 tahun berkenaan sebagai "pengecut".

Ini  kerana pemain berkenaan menghilangkan diri begitu sahaja.

Pemain yang berasal dari Johor itu dilapor "hilang" selama beberapa hari selain gagal dihubungi selepas membuat kenyataan bercanggah dengan T-Team berhubung dakwaan pergaduhan membabitkan pemain import T-Team dan pegawai pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ketika pertemuan di Stadium Larkin, Johor Baharu minggu lepas.

Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata ternyata Muhd Irfan sudah bersedia untuk melarikan diri dan ini adalah satu perkara yang tidak bagus.

"Selepas dia membuat kenyataan di Johor tu, kita dah cek (periksa)... pakaian dia pun tak ada (rumah sewanya di sini telah dikosongkan).

Wan Ahmad Nizam juga mengakui beliau sudah dimaklumkan oleh T-Team mengenai hasrat Muhd Irfan mahu meninggalkan pasukan kelab yang berpangkalan di Terengganu itu.

Beliau turut mengakui bahawa PBSNT sudah menerima surat peletakan Mohd Irfan. Pihaknya akan meneliti surat itu dan mempertimbang tindakan susulan berasaskan kontrak pemain berkenaan dan juga peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak pasti bila surat itu dihantar," katanya dalam sidang media, di Kuala Terengganu, semalam.

Semalam, pemain T-Team itu bersumpah bahawa kenyataannya berhubung kekecohan membabitkan T-Team dan JDT di Stadium Larkin minggu lepas adalah benar.

"Saya bersumpah bahawa apa yang diperkatakan oleh saya adalah benar," kata anak jati Johor itu yang bermain dalam barisan pertahanan pasukan kelab dari Terengganu tersebut.

Muhd Irfan yang menghantar surat peletakan jawatan sebagai pemain T-Team pada 4 Feb lepas berbuat demikian dalam satu sidang media di sebuah restoran di Johor Bahru.

Tindakannya itu menyusuli upacara bersumpah menggunakan al-Quran yang dibuat oleh seorang pemain dan penolong jurulatih T-Team di Kuala Terengganu, malam kelmarin, berhubung insiden sama.

Mengulas kejadian, Muhd Irfan, 25, berkata beliau terdengar kekecohan di dalam terowong pemain semasa tamat separuh masa pertama perlawanan, namun tidak nampak apa yang berlaku.

Katanya semasa berada di dalam bilik persalinan kemudian, beliau mendengar pemain import T-Team, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impligazzo mendakwa dipukul ketika di dalam terowong itu.

"Daripada pemerhatian saya sendiri semasa di dalam bilik persalinan tersebut, saya lihat tiada sebarang tanda bahawa Evaldo dan Stefano telah dipukul," katanya.

Susulan kejadian itu juga Irfan membuat keputusan 'menggantung but' dan bersara daripada arena bola sepak buat sementara waktu. Katanya langkah itu juga bagi membolehkan beliau menjaga ibunya yang sedang sakit.

"Saya akan cuba mencari pekerjaan lain memandangkan saya telah bersara daripada bermain bola sepak," katanya.

Semalam, pemain T-Team Khairan Ezuan Razali dan penolong jurulatih Azlan Johar bersumpah di hadapan al-Quran bagi membuktikan kenyataan mereka bahawa Evaldo ditumbuk ketika di dalam terowong itu adalah benar. Upacara itu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang sebelum ini meminta pemain dan pegawai T-Team yang beragama Islam bersumpah menggunakan al-Quran bagi membuktikan kebenaran.

Dalam pada itu Wan Ahmad Nizam menyerahkan kepada Evaldo Rodrigues, pemain import T-Team yang terbabit dalam insiden berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut termasuk membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Pemain import ni ada undang-undang sendiri. Dia ada ejen dan sebagainya. Sebab itulah saya kata terserah kepada mereka. Dari segi PBSNT membawa perkara ini kepada FIFA mungkin sedikit terbatas kerana undang-undang FAM terlalu ketat.



"Bagaimanapun kita akan bawa kedua-dua perkara ini dalam mesyuarat T-Team selepas ini," katanya.

Ahmad Said Tagih Janji Pemain Bawa Pulang Satu Piala Ke Terengganu


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menagih janji daripada kedua-dua pasukan bola sepak negeri itu untuk membawa pulang satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Katanya sekalipun sudah tersingkir daripada saingan Piala FA, pasukan Terengganu dan T-Team masih berpeluang merebut kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia.

"Saya harap semua pemain bangkit dan mampu meneruskan misi Terengganu memburu satu piala untuk dihadiahkan kepada penyokong," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu berkaitan dakwaan pergaduhan membabitkan T-Team dan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam pertembungan di Stadium Larkin, minggu lepas.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Buka Kaunter Aduan Rakyat


Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus mengambil inisiatif untuk membuat Kaunter Aduan Rakyat bagi memudahkan rakyat untuk membuat aduan tentang permasalahan yang mereka hadapi.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kaunter ini akan dibuat secara berkala di lokasi-lokasi pilihan sekitar Parlimen Kuala Nerus mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Kaunter ini juga sebagai jambatan untuk pusat khidmat parlimen berinteraksi dengan rakyat di Kuala Nerus.

"Setakat ini kita sudah pergi ke tiga kawasan pasar malam di sekitar Kuala Nerus. Ada rakyat yang ada keterbatasan untuk hadir ke pejabat bagi mengadukan masalah mereka jadi kita ambil langkah ini bagi mmudahkan urusan rakyat bagi membantu mereka sekadar yang termampu," katanya.

E-book Ditambah Baik, Sasar Peningkatan Dalam UPSR

Kandungan dalam buku elektronik (e-book) yang diagih oleh kerajaan Terengganu kepada murid tahun lima di negeri itu ditambah baik dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata antara penambahbaikan yang dibuat ialah memuatkan lebih 1,000 soalan untuk setiap subjek Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Kalau murid menumpukan latihan berterusan terhadap lima subjek UPSR dalam e-book itu, pelajar kita mampu memperoleh (markah) 80 peratus dalam peperiksaan itu," katanya dalam sidang media, di Hulu Terengganu, semalam.

Terengganu Pertingkat Pemantauan Kebersihan Di Semua Hotel, Restoran

Muhd Pehimi (kiri) menjawab soalan semalam.
Kerajaan Terengganu mempertingkatkan pemantauan kebersihan di semua hotel termasuk hotel bajet dan premis makanan di negeri itu sepanjang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Muhammad Pehimi Yusof berkata langkah itu bagi memastikan pengunjung, terutama pelawat asing bukan sahaja menikmati makanan yang enak tetapi juga selamat.

Pemantauan dilaksana menerusi kerjasama pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan, katanya kepada pemberita selepas majlis Bicara Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Multimedia, di Kuala Terengganu, semalam.

Empat Kereta Mewah Musnah Dalam Kebakaran Pusat Servis Di Kuala Terengganu

Empat buah kereta mewah musnah apabila sebuah pusat servis di Jalan Bukit Kecil di Kuala Terengganu  terbakar Isnin malam.

Kejadian berlaku kira-kira 7.20 malam yang melibatkan tiga buah kereta Mercedes Benz serta sebuah BMW.

Seorang penduduk Maziadi Abdul Manaf, 41, berkata beliau terdengar letupan kuat dari pusat servis itu yang terletak berhampiran rumahnya.

Beliau lalu keluar dari rumahnya dan melihat api di dalam pusat itu dan segera meminta suaminya supaya menghubungi pihak bomba dan penyelamat.

Tuesday, February 11, 2014

Bersumpah Al-Quran Menegakkan Maruah, Harga Diri & Pasukan T-Team



"Saya sanggup bagi tiket kapal terbang ke sini kepada dia (Muhd Irfan) untuk tampil bersumpah. Jangan lakukan pembohongan kepada rakyat Terengganu. Angkat sumpah ini bukan permainan semata-mata. Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan." 
 - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA TERENGGANU (11 Februari 20114) - Seorang pemain dan penolong jurulatih pasukan T-Team malam tadi bersumpah dengan Al-Quran di hadapan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi membuktikan kebenaran insiden kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lepas.

Upacara itu dilakukan dalam majlis khas di Hotel Tabung Haji (TH) &Convention Center di Gong Badak pada kira-kira 10 malam semalam sempena majlis perjumpaan pegawai dan pemain bola sepak Liga Super, Terengganu dan T-Team.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata majlis mengangkat sumpah itu bagi membuktikan kebenaran insiden tersebut dan meminta para pemain dan pegawai yang menyaksikan kejadian tempoh hari itu agar tidak berbohong.

Bagaimanapun kelibat pemain pertahanan T-Team, Irfan Abd Ghani yang merupakan bekas pemain JDT yang sebelum ini mengadakan sidang akhbar "mengejut" dengan mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong tidak kelihatan sepanjang majlis perjumpaan itu.

Ditemui oleh Bernama selepas majlis itu, Menteri Besar mencabar Irfan tampil mengangkat sumpah di hadapannya sekiranya dia di pihak yang benar.

"Saya sanggup bagi tiket kapal terbang ke sini kepada dia untuk tampil bersumpah. Jangan lakukan pembohongan kepada rakyat Terengganu. Angkat sumpah ini bukan permainan semata-mata. Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan," katanya.

Irfan sebelum ini mengeluarkan kenyataan di Johor tanpa pengetahuan majikannya, mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan dan ini bercanggah dengan pendirian pasukan T-Team yang menyifatkan perkara sebaliknya terjadi.

Perbuatannya itu melanggar terma dan syarat yang tertera dalam kontrak pasukan.

Beliau telah menghilangkan diri dengan mengemas barangan dari rumah sewanya di Gong Badak, sepertimana yang diberitahu oleh Khairan Izuan yang merupakan rakan serumahnya dan tidak melaporkan diri bersama pasukan sehingga ke hari ini sejak memohon cuti selama dua hari daripada jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah pada 3 Februari.

Ahmad Said nyata berbangga dengan kedua-dua individu itu yang tampil bersumpah kerana menurutnya ini jelas membuktikan mereka jujur.

Majlis itu diadakan berikutan Menteri Besar Terengganu meminta pemain dan pegawai skuad The Titans itu bersumpah Al-Quran berhubung kebenaran insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA antara pasukan itu dengan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium itu minggu lepas.


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata di Nusajaya Johor Bahru semalam, tiada keperluan bagi pasukan JDT untuk mengangkat sumpah dengan al-Quran bagi mencari kebenaran berhubung insiden di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin awal bulan ini.

Katanya, sebaliknya pasukan itu akan terus mempunyai keyakinan terhadap pihak berkuasa untuk melakukan siasatan yang tidak berat sebelah.

"Masalah yang berada di dalam (terowong), mungkin kita perlu tunggu siasatan polis dan kita perlu yakin dengan pihak berkuasa yang mana keputusan yang akan dicapai kelak tidak akan memberi 'bias' kepada mana-mana pasukan," katanya.

Beliau diminta mengulas saranan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said agar pemain T-Team dan JDT bersumpah tentang kejadian tersebut.

Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan kemenangan kepada JDT dianggap adil kerana ia mengikut peraturan yang termaktub.

Sebaliknya, Ahmad Said yang amat kecewa dengan keputusan FAM itu baru-baru ini mahu mendapatkan penjelasan sebenar daripada pengurusan dan pemain T-Team yang menyaksikan insiden itu dengan meminta mereka bersumpah al-Quran di hadapannya.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM memberi kemenangan 3-0 kepada JDT, sekali gus melayakkan pasukan Harimau Selatan itu ke suku akhir selepas T-Team enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua pusingan kedua Piala FA.


T-Team yang ketinggalan 2-1 enggan meneruskan perlawanan kerana bimbangkan soal keselamatan selepas pemain import pasukan itu Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikatakan dikasari oleh pegawai pengurusan tertinggi JDT di dalam terowong ke bilik persalinan pasukan.

Upacara bersumpah di Kuala Terengganu semalam didahului penolong jurulatih Azlan Johar dan diikuti pemain tengah Khairan Izuan Razali. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Pada 7 Februari lalu, Ahmad Said, menyatakan kekecewaannya dengan keputusan FAM yang tidak berpihak kepada T-Team berhubung insiden perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang JDT minggu lalu.

Menteri Besar menyatakan kekecewaannya itu ketika  melawat Kampung Pelandan, Hulu Terengganu pada  Jumaat, 7 Februari 2014.

Menurutnya, beliau akan mendapatkan penjelasan sebenar dan akan minta pemain dan pengurusan yang saksikan insiden itu agar bersumpah al-Quran di depan beliau, termasuklah Muhd. Irfan Ghani."

"Apakah dia (Muhd. Irfan) lihat sendiri apa yang berlaku, saya difahamkan dia pemain simpanan dan sudah tentu kalau ikut proses biasa bila rehat, dia tak masuk dalam terowong kerana kena 'warm up' di padang.

"Sebagai orang Islam saya ingin lihat perkara ini benar, saya juga minta JDT (pemain dan pengurusan) bersumpah al-Quran kerana kita orang Islam.

"Saya difahamkan ia (keputusan FAM) berasaskan laporan dan komisioner perlawanan, mungkin mereka tak terlibat dalam terowong dan mereka tak tahu apa cerita sebenarnya. Sepatutnya perlu diteliti dengan mendalam oleh pihak jawatankuasa FAM.

"Takkanlah Terengganu bodoh sangat, suka-suka nak tarik diri tanpa alasan tertentu, saya dimaklumkan mereka diiring keluar oleh polis dengan bas hingga ke Mersing. Jadi, sudah tentulah melibatkan soal keselamatan, sepatutnya ini diambil kira FAM.

"Kalau ikut perasaan saya, lebih baik kita tarik diri saja (tidak sertai Liga Malaysia), tapi bila fikirkan peminat dan sukan bola sepak Malaysia, kita tidaklah buat begitu," jelasnya.

Beliau seterusnya menyerahkan kepada PBSNT dan pengurusan T-Team sama ada perlu mengemukakan surat bantahan atau sebaliknya berhubung keputusan FAM itu.

PPDNKK T'ganu Tubuh Pasukan Khas Basmi Cetak Rompak

Gambar hiasan...satu operasi membanteras cetak rompak.
Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Membanteras Cetak Rompak (PPKMCR).

Timbalan Pengarah PPDNKK Terengganu Alwi Abdul Hamid berkata pasukan itu akan digerakkan bersama 22 lagi agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam, Bahagian Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Dengan kerjasama semua pihak yang terlibat ini, kita yakin kegiatan seperti ini dapat dihapuskan selari dengan sasaran kita yang inginkan sifar dalam kegiatan tersebut pada tahun ini.

"Pasukan yang mula digerakkan hari ini juga akan diperluaskan ke semua daerah bagi membendung dan membanteras kegiatan ini dari berleluasa," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Kebakaran Hutan: Masih Ada Sehektar Belum Dipadamkan - Bomba

Kejadian kebakaran hutan paya bakau di Kampung Tok Kah di sini sudah hampir dikawal sepenuhnya dengan hanya kira-kira sehektar kawasan masih terbakar.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata pihaknya menjangka kebakaran itu dapat dikawal sepenuhnya dalam masa seminggu lagi jika keadaan cuaca mengizinkan.

Kebakaran yang berlaku sejak 26 Jan lepas itu membabitkan kawasan seluas 17 hektar dan kita berjaya memadamkan api di kawasan seluas 16 hektar, katanya.

Rozizah juga memberi jaminan kebakaran itu tidak akan merebak ke kawasan penempatan penduduk.

Monday, February 10, 2014

Polis Rakam 17 Keterangan Pegawai Dan Pemain Pasukan T-Team


Polis Terengganu telah merakam 17 keterangan bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, pada 1 Feb lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata kesemua mereka yang dipanggil adalah di kalangan pemain dan pegawai pasukan T-Team yang berada ketika insiden itu berlaku.

Katanya hasil keterangan itu diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

"Bagi pengadu dan saksi kejadian yang berada di Terengganu kita telah panggil bagi merakamkan percakapan mereka sebaik menerima laporan daripada pemain serta pengurusan pasukan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Unit Ronda Bermotosikal diMarang, semalam.

Jamshah berkata selain merakamkan keterangan, pihaknya turut menerima empat laporan polis berhubung kejadian itu.

Pada perlawanan pusingan kedua Piala FA ketika T-Team menentang Johor Darul Takzim (JDT), kekecohan berlaku di terowong stadium ketika pemain menuju ke bilik persalinan.

Pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagiazzo mendakwa dikasari ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.

Selepas laporan polis dibuat, insiden itu semakin meruncing apabila pemain pertahanan T-Team, Irfan Ghani membuat sidang media di Johor Bahru bagi menyangkal dakwaan itu.

Kejadian itu juga menyebabkan lembaga disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia memberi kemenangan percuma 3-0 kepada JDT apabila T-Team enggan meneruskan permainan.

Kementerian Siasat Penyelewengan Diesel Bersubsidi di Kuala Besut

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menyiasat laporan sindiket awal bulan ini bahawa berlaku penyelewengan diesel bersubsidi di Kuala Besut, Terengganu.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementeriannya akan menyiasat dakwaan nelayan di situ berhubung penglibatan nelayan laut dalam.

"Ada kebenaran kata-kata mereka sebab nelayan laut dalam ini berada jauh di tengah laut dan Maritim Malaysia (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) tidak mampu memantau kegiatan yang dilakukan. Jadi saya akan siasat kesahihan laporan itu," katanya.

UMT Giat Laksana Langkah Tarik Pelajar Antarabangsa

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini giat melaksanakan beberapa langkah termasuk menambah baik pusat pengajian bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa bermula pengambilan September ini.

Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata untuk tujuan itu juga UMT mengadakan kerjasama dengan universiti luar negara dalam beberapa bidang penyelidikan terutama sains marin dan kelautan.

"Pada masa ini UMT mempunyai sekitar 130 pelajar antarabangsa, iaitu perubahan yang amat kecil dalam tempoh lima tahun ini," katanya dalam sidang media, di Kuala Terengganu, semalam.

Kadet JPJ Peringkat Sekolah Menengah Diperkenalkan Dalam Masa Terdekat - KP JPJ

Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di peringkat sekolah menengah di seluruh negara akan diperkenalkan tahun ini bagi melahirkan generasi muda yang berdisiplin ketika berada di atas jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad pada Ahad berkata pelaksanaannya dalam masa terdekat itu diharap mampu melahirkan pemandu dan penunggang muda berhemah, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata projek perintis program itu yang dilaksanakan di sebuah sekolah terpilih di setiap negeri masih memerlukan sedikit masa untuk dilengkapkan sebelum pelancaran di peringkat kebangsaan dilakukan.

Sunday, February 9, 2014

BRIM 3.0 Peringkat Nasional Dilancar Pada 22 Februari - Najib

Perdana Menteri bersalaman dengan orang ramai pada majlis pecah tanah Wisma UMNO Bukit Gantang, Taiping, Perak semalam.
TAIPING (9 Februari 2014) - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) 3.0 peringkat nasional akan dilancarkan pada 22 Feb ini manakala pengagihan bagi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pula diadakan pada 23 Feb, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata pemberian bantuan adalah seperti yang dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) yang mana jumlah BR1M dinaikkan dari semasa ke semasa dalam tempoh lima tahun sehingga mencapai RM1,200.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hadiri pada majlis perasmian Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Taiping semalam.
"Pemberian BR1M ini juga akan diagihkan kepada golongan bujang. Kalau gula naik34 sen banyak mana kita pakai gula sebulan, habis banyak dua kilogram cuma 68 sen.

Yang kita nak beri ini melalui BR1M, bantuan persekolahan dan buku baucar jauh lebih besar daripada itu," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Wisma Umno Bukit Gantang semalam.

Melalui Bajet 2014 yang diumumkam Najib pada Oktober lepas, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang layak menerima BRIM RM650 dan caruman takaful i-BR1M RM50.

Perdana menteri berkata bagi mengurangkan beban rakyat, selain pemberian BR1M,kerajaan juga mengambil inisiatif dengan membina pasar tani, Kedai Rakyat 1Malaysia serta penguatkuasaan lebih tegas terhadap harga barang.

"Sekarang ini harga barang telah stabil. Ini merupakan asam garam ekonomi tetapi pokoknya kita mesti terus bersandarkan kepada rakyat mesti didahulukan.

"Kita tak mahu membebankan rakyat, kita cuma alihkan subsidi pukal kepada subsidi bersasar dan saya percaya subsidi bersasar ini adalah kaedah yang terbaik dan kita sedang fikirkan langkah-langkah baharu yang akan diumumkantidak lama lagi," kata Najib.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan mempersia-siakan mandat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Kita sedar dan saya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno sudah tentu sayalah amat sensitif dalam hal ini kerana parti keramat ini iaitu Umno mesti kita pertahankan sebagai parti yang berkuasa, berwibawa secara berterusan," katanya.

Najib berkata adalah tidak wajar pihak tertentu menyalahkan kerajaan berhubung kenaikan harga barang memandangkan kenaikan itu disebabkan pelbagai faktor yang tidak dapat dielakkan.

Selangor Lonjak Semula Ke Tangga Teratas Liga Super

Pemain Selangor K. Gurusamy (kiri) diasak oleh pemain Sime Darby, Failee Ghazli ketika cuba mengawal bola dalam perlawanan Liga Super di Stadium Selayang malam tadi. Selangor menang 2-1 .
Pasukan Selangor kembali melonjak ke persada Liga Super selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Sime Darby FC dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di Selayang, malam semalam.

Kemenangan itu membolehkan skuad Gergasi Merah kendalian Mehmet Durakovic meraih sembilan mata selepas mengharungi empat perlawanan liga.

Mohd Failee Mohamad Ghazali bagaimanapun mengejutkan pasukan pelawat menerusi jaringan seawal minit kedua sebelum penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel muncul wira skuad Gergasi Merah selepas meledak dua gol masing-masing pada minit ke-40 dan 85.


Pasukan Perak turut meraih tiga mata selepas mengalahkan Kelantan dengan keputusan yang sama di Stadium Perak, Ipoh. Ahmad Shukri Abdul Hamid meletakkan skuad Seladang di hadapan pada minit ke-12 sebelum penyerang import dari Mesir, Mohamed Shawky menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-55.

Khairul Asyraf Sahizah memastikan tiga mata penuh menjadi milik Perak dengan gol kemenangan pada minit ke-78.

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia dan wakil kelab dari Terengganu, T-Team sekadar berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Azlan Ismail terlebih dahulu meletakkan skuad 'The Titans' di hadapan seawal minit ke-12 sebelum Norfadzly Alias menyamakan kedudukan pada minit ke-39.

Pemain import dari Argentina, Bruno Sebastian Martelotto kembali meletakkan ATM di hadapan pada minit ke-60 sebelum Khairan Ezuan Razali menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-90.

Terdahulu, ATM dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohammad pada minit ke-66 selepas Mohd Hasbullah Awang menjatuhkan Bruno dalam kotak penalti T-Team.

Bagaimanapun, sepakan yang diambil oleh Juan Manuel Arostegui berjaya diselamatkan oleh penjaga gol T-Team, Mohd Shahril Sa'ari.

Juara Liga Super musim lepas, Lions XII dari Singapura dan Terengganu turut berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Pemain T-Team Sedia Angkat Sumpah Al-Quran

Pemain Islam pasukan T-Team bersedia mengangkat sumpah menggunakan Al-Quran seperti yang diminta oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berhubung insiden di Larkin, Johor Baharu baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Ab Rasid Jusoh berkata kesemua pemain itu bersedia mengangkat sumpah itu pada bila-bila masa.

"Kita masih menunggu tarikh sesuai untuk mengangkat sumpah Al-Quran berkenaan. Kesemua pemain bersedia melakukan perkara itu pada bila-bila masa," katanya semalam.