Saturday, May 17, 2014

Ahmad Razif - Tiada Cadangan Rombak Exco Terengganu Dalam Masa Terdekat


Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman semalam berkata beliau tidak bercadang membuat rombakan Exco negeri itu dalam tempoh terdekat.

Justeru itu, beliau meminta semua Exco terus bekerja sebagai satu pasukan.

Beliau berkata selepas mendengar penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertemuan baru-baru ini, semua Exco negeri dan wakil rakyat boleh meneruskan tanggungjawab mereka seperti biasa.

"Keadaan selesai selepas jumpa Perdana Menteri...tidak akan ada pertukaran Exco dan portfolio pada masa ini.

"Kita dah keluarkan arahan dan Exco serta wakil rakyat kerja seperti biasa... kita akan teruskan bekerja sebagai satu pasukan," katanya kepada pemberita selepas tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, semalam.

Kira-kira 500 pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri menyambut ketibaan beliau.

Ahmad Razif berkata beliau mahu memberi tumpuan kepada perancangan yang dibuat bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan memberi jaminan semua projek yang memberi impak baik kepada rakyat akan diteruskan.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar baharu Terengganu pada Isnin lepas bagi menggantikan Ahmad yang meletakkan jawatan.

Bekas Pengurus JDT II Digantung 20 Tahun Daripada Aktiviti Bola Sepak


Bekas pengurus Johor Darul Ta'zim II (JDT II), On Jabbar dikenakan hukuman gantung selama 20 tahun daripada sebarang akitiviti bola sepak dan denda RM50,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas mengaku bersalah mengasari pengadil pada aksi Liga Perdana, 19 April lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak berkata keputusan dibuat selepas mempertimbangkan rayuan On.

Selain itu, kami juga melihat semula video perlawanan antara JDT II dan UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FA, semalam.

Razif Serah Kepada PM Tentukan Pengerusi Umno Terengganu

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menyerahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan siapa pengerusi baharu Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Hanya perdana menteri sebagai presiden parti yang layak ulas dan menentukan siapa bakal menerajui Umno Terengganu, katanya.

"(Datuk Seri) Najib akan berada di Terengganu Sabtu ini (untuk hadir) majlis persandingan anak Datuk Seri Ahmad Said, bekas menteri besar Terengganu," katanya ringkas.

Ahmad Razif dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu pada Isnin bagi menggantikan Ahmad Said.

Tahniah Kepada Ahmad Razif, Sedia Bekerjasama Demi Terengganu - Pas

PAS Terengganu sedia bekerjasama dengan pucuk kepimpinan baharu Barisan Nasional (BN) negeri demi kesejahteraan rakyat negeri itu khasnya dalam memberi kritikan yang membina.

Pesuruhjaya PAS negeri Satiful Bahri Mamat berkata PAS Terengganu turut berharap Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

"Tahniah kepada Ahmad Razif atas amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada beliau dan PAS Terengganu sedia memberi kerjasama kepada beliau dalam memastikan kelancaran pembangunan di negeri ini.

"PAS Terengganu juga mahu beliau membuat penilaian semula terhadap projek pembangunan sedia ada, sama ada menangguh atau menghentikannya agar projek yang dijalankan itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," katanya kelmarin.


Sementara itu semalam PAS berharap peralihan kuasa di Terengganu yang menyaksikan pelantikan Menteri Besar baharu akan menguntungkan rakyat di negeri itu walaupun ia menyebabkan krisis politik.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau berharap penyelesaian yang dibuat mengambil kira kepentingan rakyat dan bukannya individu.

Terenggganu Tumpu Lima Projek Pembangunan Infrastruktur Asas Untuk Pastikan KPI Tercapai

Kerajaan negeri Terengganu kini memberi tumpuan kepada lima projek yang menjadi aras petunjuk prestasi utama (KPI) Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) untuk dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri Rosli Othman berkata lima projek itu adalah projek Jalan Bukit Munduk-Kampung Alur Lik di Setiu yang perlu disiapkan pada bulan depan.

"Projek kedua ialah Jalan Keruak-Gunung Bongsu di Besut yang perlu disiapkan pada Oktober tahun ini dan projek ketiga ialah memastikan projek naik taraf jalan dua lorong menjadi empat lorong dari Kuala Terengganu ke Kemaman berjalan lancar di dua fasa yang sedang dalam pembinaan ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) kelmarin.

Najib Akan Hadir Kenduri Kahwin Anak Ahmad Said Hari Ini

Datuk Seri Najib Razak yang mengakui kemelut politik Terengganu berlaku kerana salah faham akan menghadiri majlis perkahwinan anak bekas Menteri Besar Terengganu di Kemaman hari ini.

Difahamkan beliau akan hadir tengah hari.

Menjelaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku disebabkan salah faham dalam komunikasi antara beliau dengan Datuk Seri Ahmad Said.

"Saya menghargai tindakan beliau (Ahmad Said) kerana meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya," katanya kelmarin.

Wan Abdul Aziz Galas Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu

Ketua Penolong Pengarah Urusetia, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu yang baharu menggantikan ACP K. Manoharan.

Manoharan akan mengambil alih tempat Wan Abdul Aziz. Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Supt Md Tahir Kassim akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi menyandang yang sama.

Tempat beliau diambil alih Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis, DSP Fajarudin Agos dengan memangku pangkat Penguasa.

Media Baharu Dipantau Berikutan Perkembangan Politik Di Terengganu

Pihak polis akan terus memantau penyebaran maklumat menerusi media baharu berikutan perkembangan politik semasa di negeri ini, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa.

Beliau berkata walaupun situasi politik di Terengganu kembali tenang tetapi pihaknya tetap berwaspada dan terus menggerakkan pasukan khas untuk memantau laman sosial Facebook, blog dan aplikasi WhatsApp.

"Sekali lagi saya mengingatkan kepada orang ramai agar tidak mencetuskan sebarang kekacauan dengan menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung krisis politik di negeri ini.

Kerja Baiki Masjid Kampung Binjai Kertas Dijangka Siap Menjelang Ramadan

Proses baik pulih kerosakan masjid Binjai Kertas di Hulu Terengganu kini berjalan lancar dan bakal boleh digunakan penduduk kampung itu menjelang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri, Rosli Othman berkata kos membaik pulih masjid yang runtuh bumbungnya pada Mei tahun lepas itu menelan belanja sebanyak RM133,000.

"Setakat ini, saya dimaklumkan kerja-kerja baik pulih berjalan lancar dan mengikut jadual kerana imam masjid tersebut meminta agar ia disiapkan secepat mungkin untuk kemudahan penduduk mengerjakan solat terawih sepanjang Ramadhan," katanya hari ini.

Thursday, May 15, 2014

Kemelut Terengganu Pengajaran Untuk Perkukuh Kepimpinan Negeri


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan rasa syukur dan lega apabila kemelut politik di Terengganu dapat diselesaikan dalam tempoh paling singkat.

"Mungkin ada sedikit salah faham tapi yang mustahaknya ia dapat diselesaikan kerana kita tidak mahu ia berlarutan," katanya kepada pemberita pada majlis prapelancaran Pavilion Malaysia untuk Ekspo Milano Italy 2015 (Malaysian Pavillion For The Expo Milano 2015) di Putrajaya, semalam.

Kemelut di Terengganu bermula ekoran pengumuman bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal keluar Umno selepas meletakkan jawatan sebagai menteri besar bagi membolehkan pelantikan menteri besar baharu.

Berikutan itu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.


Langkah Ahmad Said  disusuli oleh Adun Ajil Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud. Bagaimanapun, Ahmad Said , Ghazali dan Roslee kembali ke pangkuan Umno dan isu itu dianggap selesai semalam.

Muhyiddin berkata apa yang penting Barisan Nasional (BN) masih mantap serta masih mempunyai mandat untuk terus mentadbir negeri berkenaan.

"Alhamdulillah, semua wakil rakyat telah kembali bersatu. Sekarang yang penting adalah tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan untuk terus membangunkan Terengganu menjadi sebahagian komponen penting kepada negara.

"Kita juga harap pimpinan politik yang tidak menjadi wakil rakyat seperti ketua-ketua bahagian,pemimpin wanita, pemuda dan puteri untuk turut bersama-sama berganding bahu," katanya.

Beliau berkata dengan berakhirnya kemelut politik di Terengganu, Menteri Besar yang baharu dapat mengambil alih pentadbiran dengan licin selain turut memberi kelegaan kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula menyifatkan kemelut politik Terengganu sebagai satu pengajaran yang memberi kesempatan untuk memperkukuh barisan kepimpinan Barisan Nasional di negeri itu.

Najib yang juga Presiden Umno, berkata perkara itu berpunca daripada komunikasi tidak jelas antara beliau dan bekas Menteri Besar yang juga ADUN Kijal itu yang akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik.

"Perkara ini berlaku kerana ada sedikit tidak faham pada keadaan tertentu tetapi kita leraikan dalam masa yang singkat.

"Saya harap apa yang dilalui sebagai satu pengajaran dan satu kesempatan bagi kita memperkukuh barisan kepimpinan di Terengganu supaya lebih bersatu dan lebih mantap untuk terus berjuang dan memastikan sokongan rakyat kepada BN terus meningkat," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum itu, beliau merasmikan Auto Forum 2014 Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ahmad Said pada Isnin lepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu bagi membolehkan pelantikan menteri besar baharu.


Pada sebelah malamnya Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahmad Said pada hari yang sama kemudian mengumumkan keluar Umno dan menjadi Adun Bebas diikuti dengan Adun Ajil  dan Adun Bukit Besi.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka kembali ke pangkuan Umno dan isu itu dianggap selesai semalam.

Najib mengucapkan penghargaan kepada Ahmad Said, Ghazali dan Roslee atas semangat yang mereka tunjukkan iaitu meletakkan kepentingan parti daripada segala-galanya.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua Adun BN Terengganu yang telah melafazkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya dan Ahmad Razif," katanya.

Najib berkata beliau juga akan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Ahmad Said pada Sabtu ini di Teluk Kalong, Kemaman.


Ditanya mengenai apa yang membuatkan Ahmad Said kembali ke pangkuan Umno, Najib berkata kemelut itu selesai dengan baik apabila beliau mendengar penjelasan sebenar daripada Ahmad melalui perbualan telefon.

"Memang tarikh kenduri tidak dimaklumkan kepada saya dan (Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden (Umno) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kami berdua fikir bahawa kenduri pada 10 Mei lalu sudah selesai. Kami tidak diberitahu pada Sabtu ini ada satu lagi majlis. "Inilah menjadi punca berikutan komunikasi tidak jelas...semua ini dapat diatasi apabila mendengar penjelasan sebenarnya," katanya.

Najib berkata Ahmad Said juga memaklumkan bahawa beliau terlalu cinta pada Umno dan tidak boleh tinggalkan parti tunjang BN itu. "Saya hendak melahirkan penghargaan saya kepada beliau dan selepas ini kita terus berjuang bersama," kata perdana menteri.

Najib mengakui pada mula-mula beliau terperanjat mendengar khabar mengenai tindakan Ahmad untuk keluar parti.

"Saya rasa bahawa pada kesudahannya beliau akan sedar bahawa sebagai anggota parti, kita tertakluk pada disiplin parti dan kita mesti meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya," katanya.

Apabila ditanya kemelut politik Terengganu akan menjadi panduan bagi Umno menghadapi cabaran pada masa akan datang, Najib berkata setiap situasi berbeza.

"Yang penting adalah memastikan nilai disiplin dalam parti dan ini mesti kita pelihara dan perkukuhkan. "Mana-mana parti tidak ada disiplin, tidak akan berjaya," katanya.

Wednesday, May 14, 2014

Ahmad Said Kembali, BN Memerintah Dengan Selesa!

 
Tindakan ‘bijak' Datuk Seri Ahmad Said yang berjaya mengecohkan politik Terengganu menyerlahkan sikap sebenar sesetengah pemimpin UMNO Terengganu.

Jika sebelum ini Pemuda UMNO Terengganu begitu lantang ‘menyerang’ dan cuba menahan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman daripada dilantik menjadi Menteri Besar, hari ini, sayap Umno itu menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Baharu itu.

Turut melegakan ialah Ahmad Said sendiri kembali kepada UMNO dan pemimpin tertentu di Terengganu, nampaknya ‘diperbodohkan’ oleh Ahmad Said.


Bekas Menteri Besar Terengganu itu dilaporkan sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau kembali menyertai UMNO dan kesal atas apa yang berlaku.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang pada sidang media di Putrajaya sebentar tadi.


Tengku Putera berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri dalam pertemuan bersama dengan Menteri Besar Terengganu yang baru, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan 13 ADUN Terengganu di Perdana Putra.

Tengku Putera mengetuai 14 ADUN Terengganuu mengadakan sidang media itu selepas mengadakan pertemuan khas dengan Najib di Bangunan Perdana Putera, pagi ini.

Rombongan yang diketuai Menteri Besar baharu Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Speaker DUN negeri, Mohd Zubir Embong.

Turut sama dalam pertemuan itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.


Tiga sayap Umno Terengganu hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Menteri Besar yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Terengganu Mohd Johari Abu Bakar berkata sayap itu akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi Umno dan pelantikan ini menjadikan Umno lebih kuat dan stabil.

"Bagi Pemuda, kami menerima sepenuhnya keputusan ini dan berharap rakyat dapat menerimanya dengan hati terbuka.

"Pelantikan ini menjadikan politik di Terengganu bertambah matang, walaupun ada sedikit kekalutan pada awalnya dan ini merupakan suntikan baharu bagi Pemuda," katanya.

Johari berkata Pemuda Umno Terengganu dengan 58,959 anggota sentiasa bersiap sedia untuk menerima apa jua arahan untuk gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu Ketua Pergerakan Wanita Umno Terengganu Datuk Fatimah Hamat berkata Wanita sentiasa akur dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan asalkan ia memberi penambahbaikan kepada parti.

"Wanita Umno negeri akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad Razif dalam masa terdekat bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan beliau dan ia adalah rutin biasa setiap kali berlaku pertukaran Menteri Besar," katanya.

Ditanya mengenai usaha sayap parti itu yang mempunyai 89,030 anggota seluruh negeri dalam menangani kemelut politik di Terengganu ketika ini, Fatimah berkata pihaknya sudah turun padang dan memberi penerangan.

"Kita sudah memberi penerangan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp dan berjumpa dengan anggota parti di peringkat akar umbi dan Alhamdulillah, mereka boleh menerimanya," katanya yang telah berkhidmat sebagai ketua sayap itu dengan dua Menteri Besar iaitu Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Terengganu Rozita Ismail pula berkata sayap parti itu berharap Menteri Besar yang baharu dapat memperkenalkan pelbagai dasar dan program baharu untuk terus menarik keanggotaan sayap itu yang kini mencecah hampir 40,000 orang di seluruh negeri itu.

"Insya-Allah, kami memberi sokongan padu kepada beliau (Ahmad Razif) agar memastikan keutuhan parti dalam memastikan kebajikan rakyat tetap diutamakan," katanya.

Polis Terengganu Pantau Media Baharu, Kesan Penyebar Berita Palsu


Polis Terengganu meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita tidak sahih menerusi media baharu berhubung situasi politik di negeri itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kekecohan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan menurut undang-undang sedia ada.

"Saya lihat aktiviti penyebaran ini semakin berleluasa dan antara berita terbabit ialah pembubaran dewan undangan negeri, beberapa Adun (anggota dewan undangan negeri) bakal keluar parti, perhimpunan serta perarakan, namun semua itu tidak benar," katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu.

Sehubungan itu katanya polis kini bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memantau media baharu.

Dalam pada itu, Jamshah berkata sekalipun keadaan di Terengganu masih terkawal, polis akan meningkatkan rondaan di beberapa lokasi strategik bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

"...kita minta pemimpin politik menasihati penyokong agar tidak melakukan provokasi, perarakan dan sebagainya yang boleh mencetuskan kekecohan sebaliknya mengunakan saluran yang betul untuk tujuan itu," katanya.

Keadaan politik di Terengganu menjadi panas setelah bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Adun Ajil, Ghazali Taib mengisytiharkan keluar Umno awal semalam dan menjadi Adun Bebas.

Mereka disusuli Adun Bukit Besi Roslee Daud. Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu kelmarin dan ini diikuti pelantikan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar baharu malam kelmarin.

MB, ADUN UMNO Terengganu Jumpa Najib Petang Ini

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi Roslee Daud menarik balik surat keluar daripada Umno dan kembali menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Perkara itu disahkan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee.

Beliau berkata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan ADUN Umno dijangka bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya hari ini untuk membincangkan perkembangan politik di Terengganu.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, berkata Ahmad Razif yang ditemani beliau dan beberapa Adun lain dijangka membincangkan perkembangan politik dalaman negeri selepas perdana menteri mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

Mohd Jidin, yang juga Adun Permaisuri, berkata ADUN Bukit Besi, Encik Roslee Daud telah menarik kembali keputusan beliau untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas selepas dinasihati rakan-rakan seperjuangan beliau.

Muhyiddin, Hishamuddin Minta Rakyat Teerengganu Tenang hadapi Kemelut Politik

Sebilangan ahli UMNO Ajil membantah tindakan ADUN mereka keluar UMNO.
Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa meminta rakyat Terengganu bertenang dan bersabar dalam menghadapi kemelut politik di negeri itu.

"Insya-Allah kita akan dapat jalan yang terbaik untuk selesaikan kemelut ini," kata timbalan perdana menteri menerusi mesej Twitternya semalam.

Muhyiddin juga ialah Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN). Terengganu menjadi tumpuan susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar kelmarin, selain turut mengisytiharkan keluar Umno dan menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas bagi kerusi Kijal.

Ahmad Razif Dijangka Mulakan Tugas MB Esok

Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dijangka memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar Terengganu secara rasmi esok.

Menurut Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Ahmad Razif (gambar) difahamkan akan memasuki pejabat Menteri Besar di Tingkat Enam, Wisma Darul Iman pada pukul 7.45 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri itu, semalam dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said yang meletakkan jawatan.

Tuesday, May 13, 2014

Keluar UMNO Kerana Pendirian atau Agenda Peribadi?


Satu perkara yang sah ialah berita oleh TerengganuToday milik Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) bertajuk ‘Ibu Pejabat Umno Malaysia Nafi Spekulasi Pertukaran MB Terengganu’ yang disiarkn pada 9 Mei 2014 lalu boleh ditertawakan.

Selain itu ternyata sudah kenyataan Datuk Abdul Rahman Bakar dan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku jauh daripada keupayaan mempertahankan Ahmad Said.

Kenyataan itu juga boleh ditertawakan. Malah mereka ini menjelaskan lagi sikap mereka yang berkepentingan peribadi! Kedua-duanya membawa berita 'lapuk'.

Pertukaran tetap berlaku.

Sementara dua Ketua Bahagian – Abdul Latiff Awang (Marang) yang sudah menyatakan pendirian sementara Nawi Mohamad (Besut) - yang mempertahankan kedudukan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar belum jelas pendirian selepas Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar yang baru.

Bagaimanapun tiga yang sudah mengisytiharkan keluar UMNO ialah Ghazali Taib (ADUN Ajil), Roslee Daud (Bukit Besi) serta Ahmad Said sendiri (Kijal) mengisytiharkan mereka sebagai ADUN Bebas.

Yang turut dikaitkan kini ialah Ir. Rosli Othman (Kemasik) Nawi (Hulu Besut) serta kemungkinan Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri). Kita berdoa ia tidak berlaku!

Keadaan kerusi di Dewan Undangan Negeri Terengganu sekarang ialah UMNO 14, PAS 14 dan 1 PKR.

Persoalan sekarang ialah kenapa mereka ini keluar parti?

1. Ahmad Said – beliau menunjukkan kekecewaannya walaupun prinsip yang ditegaskannya ‘jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’. Ternyata beliau sudah dilambung ombak.

2. Ghazali Taib – menghadapi kesukaran di DUN sendiri kerana isu kepimpinannya, selain saudara terdekat dengan isteri Ahmad Said. Dalam konteks tugasnya sebagai Exco beliau dapat menjalankan tugas dengan baik; dan

3. Roslee Daud – banyak dipersoalkan mengenai kepupayaan dan kelulusannya. Dengan portfolio yang dipegangnya, beliau dikatakan menghadapi masalah menjalankan tugasnya dengan baik.

Ada laporan mengatakan Ahmad Said sangat kecewa apabila beliau diminta meletakkan jawatan pada ketika kenduri perkahwinan anaknya sedang berlangsung.

Pada Jumaat ini, 16 Mei 2014 akan diadakan pula di Kijal. Minggu lalu majlis diadakan di Taman Tamadun Islam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar Duli berangkat ke majlis tersebut.

Mungkin permintaanAhmad Said supaya dilewatkan tarikh tempoh tamat perkhidmatannya tidak dilayan yang menyebabkan beliau terasa sangat.


Persoalannya beliau tahu tarikh akhir dirinya sebagai Menteri Besar pada tarikh ditetapkan. Perkara ini sudah dimaklumkan setahun lalu.

Dan kebetulan tarikh perkahwinan anaknya dikatakan ‘terpaksa dipinda beberapa kali’ kerana memohonan perkenan Sultan Terengganu untuk hadir.

Apakah kejadian pertembungan tarikh ini silap di pihak Ibu Pejabat UMNO atau Jabatan Perdana Menteri?

Ia secara kebetulan dan Ahmad Said pun tidak wajar dipersalahkan kerana tarikh pertembungan tarikh berkenaan.

Cumanya, ketentuan Allah sedemikian dan Ahmad Said tahu tarikh beliau patut berundur.

Sewajarnya Ahmad Said boleh bertemu lebih awal dengan Perdana Menteri dan menyatakan hasratnya supaya tarikh pengundurannya ditetapkan. Namun, semua orang tahu sikap dan perangainya!

Kedua-duanya dengan menyatakan sokongan dan dinaikkan sepanduk dan banner menyokong Ahmad Said – ia bagaikan suatu tindakan mencabar kepimpinan Perdana Menteri.

Siapa yang mengarahkan dibuat sokongan dan siapa yang arahkan dinaikkan banner dan sepanduk berkenaan?

Orang di Kuala Terengganu atau daerah lain di Terengganu boleh mengagaknya. Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya!

Selain itu, ada yang mewar-warkan kononnya kehadiran Sultan Terengganu ke majlis persandingan anak Ahmad Said sebagai ‘sokongan istana kepada Ahmad Said’.

Kehadiran (keberangkatan Sultan Terengganu khususnya) seseorang ke majlis perkahwinan adalah tanda ikatan persahabatan dan rapatnya antara mereka.

Namun ia tidak boleh digambarkan sebagai ‘tanda sokongan’.


Lagipun yang penting ialah, Sultan Terengganu mempunyai hak dan pilihannya untuk mempersetujui siapa sahaja yang dirasakan sesuai untuk menjadi Menteri Besar.

Kenangkanlah jasa Sultan Terengganu yang meletakkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar selama lima tahun.

Ahmad Said sendiri tidak pernah terbayang beliau akan menjadi Menteri Besar. Jadi jika Tuanku Mizan memperkenankan orang lain pula, Ahmad Said sepatutnya akur!

Sebelum ini sebilangan rakyat Terengganu menuduh Datuk Seri Idris Jusoh kononnya ‘menderhaka’ kepada Sultan Terengganu kerana membantah beliau tidak dilantik semula sebagai MB Terenngganu.

Ironinya Idris engambil sikap berdiam diri dan tidak pun keluar UMNO atau berbuat sesuatu yang boleh merudumkan kerajaan UMNO Terengganu.

Tidakkah Ahmad Said sedikit pun tidak terkilan kerana cara keluar UMNO sebagai tindak balas kepada keputusan Sultan Terengganu merestui Ahmad Razif sebagai MB baru?

Bagi Ahmad Said dan penyokongnya, sewajarnya keputusan UMNO, Pejabat Perdana Menteri dan persetujuan Sultan Terengganu untuk melantik Ahmad Razif sebagai Menteri Besar dihormati.

Sebagai orang Islam yang sering menggunakan sumpah al-Quran dalam menafikan beliau rasuah atau melakukan perbuatan salah laku, beliau hendakllah kembali kepada al-Quran dalam kesnya ini.

Seperti berulang kali saya katakana, kun fayakun akan menentukan nasibnya.

Allah menghendaki dia menjadi Menteri Besar pada 2008 dan Allah menghendaki beliau turun pada 2014, maka dia perlu menerimanya dengan tabah.

Soal cara diperturunkan sama ada ia agak ‘keras’ dan ‘tergesa-gesa’ adalah bentuk tindakan yang memang sukar diterima tetapi perlu dihormati.

Mungkin Ahmad Said kena berfikir balik, pernahkah dia melakukan perbuatan kasar atau keras yang serupa apabila ‘memecat atau mengundurkan seseorang daripada jawatan yang beliau sendiri lantik ke tapak tersebut’.

Kalaupun beliau tidak melakukan sendiri tetapi oleh orang yang rapat dengannya tetapi dengan bersetuju, beliau sebenarnyaa turut terpalit.

Jika ada, ini bermakna mungkin ia hasil daripada doa mereka yang teranianya atau memang balasan Allah di atas dunia agar Ahmad Said beristifar.

Hakikatnya masa masih ada untuk memohon maaf. Namun untuk menjadi MB kembali ia sukar, apa lagi dengan mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas.

Cumanya dibimbangi ialah dengan melakukan tindakan sedemikian, apakah tidak ada tindakan belas daripada pihak-pihak yang melihat Ahmad Said sudah mencabar mereka?

Dan jika ada tindakan, mungkin bukan Ahmad Said yang mungkin terkena tetapi orang sekelilingnya yang selama ini dilihat ‘rapat’ juga akan terpalit sama. Wallahualam….

Sunday, May 11, 2014

Bakal MB - Siapa Desperado & Kenapa Ahmad Razif Jadi Sasaran Serangan?


"..Ahmad Razif memilih untuk tidak melayan pertanyaan berkaitan perkara itu daripada mana-mana pihak, termasuk media...sebagai saudara yang tua tampil untuk minta kepada saudara semua supaya berhenti daripada menyebarkan spekulasi mengenai pertukaran Menteri Besar Terengganu yang turut melibatkan nama adik saya."
- Che Azmi Abdul Rahman

Sikap berdiam ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengenai spekulasinya menjadi Menteri Besar Terengganu adalah langkah bijak. Begitu juga mungkin Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Yang tidak bijak dan terdesak adalah kumpulan yang menyerangnya seolah-olah Ahmad Razif membuat rancangan dan peraturan untuk merebutnya daripada Datuk Seri Ahmad Said.

Kita hairan kenapa serangan bertalu-talu dilakukan, termasuk oleh portal berita kawalan Kerajaan Negeri Terengganu, Teganukita ( baca di sini, di sini, di sini).

Belajarlah daripada  kes Datuk Seri Idris Jusoh. Walaupun ’10 Budak Hitam’ bertindak macam-macam dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri diserahkan kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein, kedudukan Ahmad Said tetap teguh.

Serangan kepada penulis, kolumnis dan pihak yang menyatakan kemungkinan-kemungkinan, termasuk serangan peribadi hanya kerana mahu mempertahankan Ahmad Said tidak bijak.

Tidak perlu bimbang kerana Ahmad Said mempunyai karektor yang kuat, selain sudah memperkenalkan pelbagai program transformasi untuk Terengganu.

Tindakan menyerang Ahmad Razif dan gerakan ‘melonjak-lonjakkan Ahmad Said’ tidak akan membawa kebaikan.

Yang memainkan spekulasi orang luar Terengganu tetapi UMNO Terengganu menjadi retak dan apakah orang luar ini boleh membaiki keadaan yang mula rosak?

Selain Ahmad Razif yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, turut sama disebut dalam spekulasi itu ialah ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim.

Cerita mengenai Menteri Besar Terengganu bakal diganti bukan datang dari Kuala Terengganu. Ia diperkatakan dengan meluas di Kuala Lumpur.

Seperti Ahmad Said yang tidak pernah merancang dan tiba-tiba diberikan kepercayaan kepadanya, beliau memang tidak patut diserang.

Segalanya adalah kehendak Allah s.w.t dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Begitu juga dalam kes Ahmad Razif yang dijadikan sasaran oleh penyokong Ahmad Said adalah mangsa kepaqda keadaan yang sepatutnya tidak berlaku.

Pertamanya, tiada kenytaan khusus daripada Perdana Menteri dan keduanya, Datuk Seri Mohd Najib sudah menepis berita itu;

Kedua, tidak wajar Ahmad Razif dituntut membuat kenyataan kerana ia tidak ada kena mengena dengan pelantikan atau pertukaran.Yang mengada-adakan berita adalah akhbar, tv, media sosial dan orang persorangan; dan

Ketiga, yang banyak bercakap adalah kumpulan ‘desperado’ yang bimbang Ahmad Said turun. Siapa ‘desperado’ ini?

Perkataan desperado digunakan oleh Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Abdul Rahman Bakar sebagai merujuk kepada kemungkinan wujud golongan kecil yang menyebarkan spekulasi laporan berita pertukaran Menteri Besar Terengganu kelmarin.

Desperado yang dimaksudkan Abdul Rahman ialah kerana kumpulan itu tidak berpuas hati dengan sesuatu yang mereka inginkan. Tidak diketahui siapa dan tujuan mereka. Sebaliknya, apa yang dapat dilihat ialah Ahmad Razif atau penyokongnya tidak langsung menunjukkan mereka ‘terdesak untuk menjadi Menteri Besar’ sebaliknya yang mempertahankan Ahmad Said sehingga mengeluarkan kenyataan, memasang sepanduk dan banner yang benar-benar ‘desperado’. 

 Di sebalik ‘menyerang desperado’ Abdul Rahman memang ‘berpuas hati’ dengan apa yang ada padanya kini.

Selain menjadi Ketua Penerangan UMNO Terengganu, dia juga mempengurusi sebuah syarikat anak syarikat kerajaan negeri (GLC). Ada beberapa kemudahan lain diterimanya yang menggambarkan beliau ‘dijaga kepentingannya’ oleh pemimpin UMNO dan kerajaan negeri.

Kata Abdul Rahman : "Nasihat saya kepada golongan 'desperado' itu, berhentilah menangguk di air yang keruh...jangan mengulanginya kerana ia memberi mudarat kepada Menteri Besar Terengganu, Umno, BN dan pembangkang juga akan memanipulasi isu ini," katanya.

Sementara itu seorang lagi yang turut membuat kenyataan ialah Bendahari UMNO Negeri Nik Dir Nik Wan Ku (baca di sini) yang kini berada dalam ‘zon selesa’.

Beliau Bendahari UMNO Terengganu yang juga pengerusi sebuah syarikat GLC dan menikmati ‘kekayaan lain’.

Laporan portal berita milik Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di Kuala Terengganu itu menyebut, pertemuan antara pegawai khas kepada Menteri besar Terengganu (apakah Nik Dir sendiri) dengan pemimpin di ibu pejabar UMNO PWTC Kuala Lumpur menafikan adanya pertukaran itu.

Nik Dir melaporkan apa yang berlaku di bahagian Kuala Nerus Terengganu sekarang ini di mana mereka war-warkan kepada masyarakat setempat bahawa Adun Seberang Takir, Ahmad Razif Bin Abd Rahman telah mendapat perkenan daripada Presiden Parti untuk menganti Menteri Besar pada 15.Mei ini melalui apa yang di dakwa pengesahan daripada Datuk Jailani Ngah, Pegawai Di PMO.

Memetik Setiausaha Agong Umno Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Nik Dir berkata Tengku Adnan menafikan sekeras-kerasnya perkara ini dan menyifatkan satu perbuatan yang tidak bertanggung jawab serta boleh memecah belah perpaduan parti.

Setiausaha Agung itu seterusnya meminta semua pihak bertenang serta meningkatkan perpaduan parti dalam usaha meningkatkan sokongan kepada UMNO.

Abdul Rahman minggu lalu dengan penuh yakin mengatakan Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu seperti mana dimaklumkan oleh Perdana Menteri pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, 25 April lepas.

Ini semua dah tahu. Tidak payah nyatakan, semua orang tahu.

Selagi tiada perlantikan baru tidak ada sebab Ahmad Said akan turun. Bukan Abdul Rahman atau Nik Dir sahaja akan tahu tapi juga Ahmad Razif, Wan Hakim Wan Mokhtar atau Rozi Mamat.


Bercakap mewakili Badan Perhubungan Umno Terengganu baru-baru ini Abdul Rahman berkata Datuk Seri Najib Tun Razak telah memaklumkan pada mesyuarat itu bahawa tiada pertukaran mana-mana Menteri Besar di negeri-negeri di bawah Barisan Nasional (BN).

Selain itu, beliau mendakwa tiada perjanjian antara Ahmad dan Perdana Menteri bagi memegang jawatan itu untuk tempoh setahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tahun lepas.

"Perdana Menteri kata, beliau tidak akan tukar mana-mana Menteri Besar di semua negeri...beliau buat kenyataan itu selepas mesyuarat MT Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dua minggu lepas," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Mahmud sekembalinya dari Kuala Lumpur.

Ini kenyataan yang dibuat secara terbuka oleh Najib sendiri dan memetik kenyataan pemimpin di Ibu Pejabat UMNO mengenai perkara itu seolah-olah Abdul Rahman dan Nik Dir tidak ikut perkembangan.

Selain sudah dilaporkan, menyatakan perkara itu sebagai perkara baru adalah tindakan terkebelakang. Lainlah kalau mereka membawa jaminan baru oleh pemimpin di Ibu Pejabat tanpa merujuk kepada pengumuman mesyuarat MT berkenaan. Apapun, bijak juga mereka di Ibu pejabat UMNO memainkan peranan untuk tidak nampak mencampuri kemelut MB Terengganu ini.


Abdul Rahman berkata sebagai pemimpin negara yang berpandangan jauh, adalah mustahil untuk Perdana Menteri melakukan perkara seperti yang dilaporkan oleh akhbar terbabit.

"Tiada gerakan daripada anggota exco yang dinamakan sebagai pengganti, atau mana-mana 17 wakil rakyat BN dan Parlimen empat orang...kesal atas laporan itu dan semak daripada sumber Putrajaya dan Umno pusat tidak akan ada pertukaran," katanya.

Apapun, tarikh yang sebut, iaitu sehingga 17 Mei ini belum sampai. Sekiranya selepas tarikh itu tidak berlaku pertukaran, barulah boleh ‘tidur lena’ .

Sudah pasti semua pihak menunggu apa langkah Najib selepas kembalinya dari menghadiri mesyuarat ASEAN di Myanmar beberapa hari ini.


Jadi benarlah kata-kata Che Azmi Abdul Rahman, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus bahawa tidak adil adiknya itu dijadikan sasaran kerana spekulasi bakal menteri besar bukan berpunca daripada Ahmad Razif sendiri atau orang lain yang dekat dengannya.

"Kita pun tak tahu dari mana datangnya cerita ini, jadi saya minta janganlah jadikan dia (Ahmad Razif) sasaran, janganlah dia dipersalahkan.

Dia sendiri tidak tahu menahu (hal pertukaran menteri besar).

"Berilah peluang untuk beliau terus berkhidmat dengan selesa. Cerita ini banyak menjejaskan dirinya, kredibilitinya sebagai wakil rakyat. Ada orang kata dia yang teringin nak jadi menteri besar," katanya selepas beberapa hari  Ahmad Razif dan orang terdekatnya mengambil pendekatan berdiam diri berhubung spekulasi beliau akan menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Che Azmi Ameminta semua pihak berhenti mengaitkan adiknya dengan khabar angin itu.

Che Azmi berkata, menyedari cakap-cakap seperti itu jika dilayan boleh membawa implikasi yang buruk kepada politik dan kepimpinan negeri, Ahmad Razif memilih untuk tidak melayan pertanyaan berkaitan perkara itu daripada mana-mana pihak, termasuk media. "… sebagai saudara yang tua tampil untuk minta kepada saudara semua supaya berhenti daripada menyebarkan spekulasi mengenai pertukaran Menteri Besar Terengganu yang turut melibatkan nama adik saya.

Benar kata Cik Azmi, jika serangan dan spekulasi berlarutan, ia boleh menimbulkan suasana tegang di Terengganu.

LKIM Terengganu Lulus RM11.095 Juta Untuk Projek Khas Perumahan Nelayan

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu meluluskan peruntukan RM11.095 juta untuk projek khas perumahan nelayan membabitkan 1,229 buah rumah.

Jurucakap LKIM berkata mengikut statistik, jumlah itu melibatkan 189 unit di daerah Besut, Setiu (306), Kuala Terengganu (67), Kuala Nerus (86), Marang (68), Dungun (234) dan Kemaman (279).

Katanya 1,005 unit sudah pun siap dibaik pulih, 169 unit dalam pembinaan manakala 19 unit dalam proses pembinaan, bertujuan memberi keselesaan kepada golongan nelayan yang selama ini hidup dalam keadaan rumah yang begitu uzur.

KPDNKK Jamin Produk Kedai Rakyat 1Malaysia Selamat Dan Berkualiti


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya produk dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak selamat dan tidak berkualiti.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek memberi jaminan semua produk di KR1M adalah selamat dan berkualiti walaupun harganya jauh lebih rendah.

"Tuduhan seperti ini mempunyai niat tidak elok dan bertujuan melumpuhkan usaha kerajaan dalam menyediakan alternatif kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah untuk membeli barangan harian dengan harga berpatutan.

"Kalau betul ada penipuan, maklumkan kepada kita agar kementerian boleh mengambil tindakan sepatutnya...bukan hanya sekadar cakap-cakap kosong sahaja tanpa laporan rasmi berserta butiran lengkap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KR1M di Kuala Terengganu

Lebih 70 Peratus Graduan UniSZA Dapat Kerja - Naib Canselor

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini yakin ia mampu bersaing dengan universiti lain di negara ini kerana lebih 70 peratus daripada 2,000 graduannya dapat kerja sejak tiga tahun lepas.

Naib Canselor Profesor Dr Yahaya Ibrahim berkata peningkatan kadar peratusan graduannya mendapat kerja menunjukkan kursus ditawarkan universiti itu memenuhi keperluan pasaran kerja.

"Kebanyakan graduan, yang berjaya mendapat kerja adalah daripada jurusan Bahasa Inggeris dan Komunikasi; Perakaunan; Undang-undang dan Pengurusan Perniagaan yang memenuhi keperluan industri," katanya .

Imigresen Terengganu Tahan 7 Wanita Thai Salah Guna Pas Lawatan Sosial

Jabatan Imigresen Terengganu telah menahan tujuh wanita warganegara Thailand dalam satu operasi malam kelmarin di Medan Selera Kampung Tiong setelah disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka. 

Penolong Pengarahnya Mohd Shahrir Khalil berkata seramai 20 pegawai telah dikerahkan untuk menjalankan operasi yang bermula pada jam 10.30 malam setelah menerima aduan pihak awam tentang kegiatan mereka yang menjadi pelayan di sebuah restoran.

"Kita sudah jalankan risikan selepas menerima aduan daripada orang awam yang tidak selesa dengan situasi mereka yang melayan pelanggan dengan mesra," katanya kepada para wartawan malam kelmarin.

368 Anggota Kelab Ambank Group Sertai Karnival Candat Sotong 2014

Sebanyak 368 anggota Kelab AmBank Group (KAG) menyertai Karnival Candat Sotong KAG 2014 hari ini yang bertujuan mengeratkan hubungan sesama anggota KAG di seluruh negara.

Presidennya Syed Anuar Syed Ali berkata karnival tahun ini mencatatkan peningkatan penyertaan berbanding 301 orang tahun lepas.

"Ini antara aktiviti yang popular dan sambutan hangat dapat dilihat daripada jumlah peserta yang mengambil bahagian dalam edisi tahun ini," katanya pada sidang media kelmarin.

Beliau berkata peserta merupakan anggota KAG dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pahang dan Terengganu.

"Selain menganjurkan karnival mencandat sotong ini, KAG juga akan mengadakan lebih banyak aktiviti pada masa hadapan seperti KAG Golf Terbuka, KAG Snuker dan Ambagus," katanya.