Saturday, May 31, 2014

PM Minta Kedutaan Bantu Presiden PAS Di Istanbul


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau telah meminta Kedutaan Malaysia di Turki memberi bantuan sewajarnya kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini dirawat di sebuah hospital di Istanbul.

Perdana Menteri berkata beliau telah menghubungi pejabat kedutaan selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, pagi Sabtu.

"Dimaklum Datuk Seri Hadi Awang diwadkan di hospital Istanbul. Pagi tadi saya hubungi kedutaan untuk pastikan Datuk Seri diberi sokongan sepatutnya," kata Najib dalam catatan di laman Twitter beliau.

Najib kini berada di Beijing untuk lawatan rasmi enam hari sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Mengikut laporan sebuah portal berita, Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang dimasukkan ke hospital di Istanbul pada kira-kira 8.45 malam Jumaat waktu Malaysia selepas mengadu sesak nafas.

Friday, May 30, 2014

Penyiar Berita Palsu Di Internet Perlu Dihukum - Musa Hassan


Kerajaan perlu lebih tegas dalam menghukum pihak tidak bertanggungjawab yang menulis dan menyiarkan berita palsu di Internet, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Bercakap pada dialog penerangan bertajuk 'Media Sosial-Antara Pembohongan dan Realiti' di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata undang-undang mengenai penyebaran maklumat palsu serta kawalan Internet di negara ini adalah baik tetapi ketegasan dalam pelaksanaannya tidak memuaskan.

"Oleh itu pihak yang bertanggungjawab seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKM) serta Jabatan Peguam Negara perlu tegas dalam menghukum mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

"Selain itu, pihak-pihak ini juga perlu bekerjasama dalam aspek teknikal, siasatan dan pendakwaan agar pelaksanaan undang-undang dapat dijalankan dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau juga berkata, kebebasan bersuara perlu diletakkan hadnya kerana dikhuatiri ia akan disalah guna bagi membangkitkan isu sensitif terhadap rakyat seperti perkauman, agama dan perpaduan.

"Tiada makna kebebasan bersuara sekiranya negara tidak aman dan porak peranda," katanya.

Sementara itu Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKM, Zaini Hassan berkata sudah tiba masanya rakyat mengamalkan tapisan sendiri apabila membaca serta melayari bahan bacaan di Internet. 

"Sekarang adalah zaman di mana masyarakat sendiri perlu menapis dan mengenal pasti maklumat yang mereka baca di Internet datang dari sumber yang sahih dan boleh dipercayai," katanya.

Dialog anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan itu dipengerusikan Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk Zaini Hassan.

Mah Sertai Kabinet Jika Menang PRK Teluk Intan


Jawatan dalam Kabinet menanti Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong jika beliau memenangi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata beliau bersedia melakukan komitmen itu.

"Saya boleh membuat komitmen itu di sini. Jika Datuk Mah memenangi pilihan raya kecil Teluk Intan, maka sebagai Presiden Gerakan, beliau akan dilantik menganggotai Kabinet," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan enam hari beliau ke China, di Beijing semalam.

Beliau berkata sebagai antara parti pengasas BN, sudah menjadi amalan untuk melantik Presiden Gerakan menganggotai Kabinet. Ditanya kementerian mana yang akan ditawarkan kepada Mah, Najib berkata adalah terlalu awal untuk memutuskan perkara itu

Tourism Malaysia Sasar Pendapatan RM41 Bilion Hasil Perbelanjaan Pelancong Asean


Tourism Malaysia menyasarkan pendapatan kira-kira RM41 bilion hasil perbelanjaan pelancong Asean di negara ini sepanjang 2014.

Pengarah Tourism Malaysia Asean Syed Yahya Syed Othman berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai dengan pelbagai strategi dan promosi, antaranya memperkenal wilayah pantai timur sebagai destinasi baharu kepada pelancong rantau ini.

"Kami menjemput ejen pelancongan, pihak media, blogger dan juga produser filem dari seluruh Asean melawat tempat menarik di Terengganu, antaranya Santuari Kelah di Tasik Kenyir," katanya selepas majlis merai peserta program 'East Coast Trail' di Kuala Terengganu, kelmarin.

Mohd Azizulhasni Fokus Sukan Asia Selepas Catat Kejayaan Di ACC 2014

Selepas mencatat kejayaan cemerlang pada Kejohanan Berbasikal Asia 2014 (ACC 2014) di Astana, Kazakhstan, baru-baru ini, pelumba trek negara, Mohd Azizulhasni Awang kini memberikan perhatian bagi menghadapi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut berkata, beliau tidak akan mengabaikan Sukan Komanwel 2014 di Glasgow Scotland, Julai ini yang dilihat sama penting terutamanya dari segi pungutan pingat untuk kontinjen negara.

Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman' meraih satu emas dan perak masing-masing menerusi acara pecut lelaki elit selain perak dalam acara keirin pada ACC 2014.

"Saya lebih fokus pada Sukan Asia kerana ia mungkin (dilihat) lebih penting untuk negara dan Sukan Komanwel untuk diri saya sendiri dan saya tetap cuba beri persembahan terbaik bagi meraih pingat dalam kedua-dua temasya itu nanti.

APMM Sedia Perangi Penyelewengan Diesel Di Perairan Terengganu

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa sedia bagi menghadapi kemungkinan berlaku kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di perairan Terengganu.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 9 Terengganu Kapten Maritim Xavier Thevadas berkata pihaknya yakin melalui aset sedia ada iaitu enam buah kapal dan tujuh bot laju, operasi membanteras dapat ditingkatkan.

"Kita memang ada terima aduan hasil perisikan mengenainya dan memang ada berlaku (penyelewengan diesel) namun setakat ini masih belum ada tangkapan dibuat atas kekangan tertentu," katanya.

Ramadan: Perlu 100,000 Metrik Tan Stok Ikan

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meminta Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menyediakan stok ikan untuk bulan puasa.

Ahli Jemaah Lembaga LKIM Datuk Din Adam berkata berdasarkan populasi Malaysia ketika ini, negara memerlukan 1.4 juta metrik tan ikan setahun.

"Untuk bulan puasa ini sahaja, kita perlu stok ikan sekurang-kurangnya 100,000 metrik tan ikan," katanya kepada pemberita selepas perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU) semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah LKIM Datuk Mohad Khazin Hamzah dan Pengarah LKIM negeri Mohd Zahid Mohd Nor. Din, yang juga Pegerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Dungun, berkata arahan sama turut diberikan kepada persatuan nelayan negeri.

6 Anggota Geng Kerol Berjaya Biberkas, 120 Rngka Motosikal Ditemui


Polis melumpuhkan 'Geng Kerol' yang aktif mencuri motosikal di beberapa negeri termasuk Kelantan, selepas memberkas enam individu termasuk ketua kumpulan, dalam operasi khas yang dilancar 15 Mei lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Lai Yong Heng, berkata enam lelaki terbabit berusia antara 21 dan 32 tahun diberkas di sekitar Kota Bharu dan Bachok.

"Seorang daripada mereka adalah ketua kumpulan yang dikenali sebagai 'Kerol', berusia 20-an.

Kita juga menemui 120 rangka motosikal curi yang dibuang di sebatang sungai di Bachok serta di beberapa buah rumah," katanya dalam sidang media, di Kota Bharu, semalam.

Festival Kenyir Tarik 150,000 Pengunjung

Festival Kenyir 2014 yang berlangsung selama sebulan sehingga semalam menerima lebih 150,000 pengunjung dan akan diteruskan tahun depan susulan sambutan memberangsangkan.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Wan Mat Amin Wan Daud berkata festival julung kali itu merupakan program terbesar dalam kalendar pelancongan Terengganu.

Saya harap sasaran tahun ini iaitu kedatangan 500,000 pengunjung luar ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara ini dapat dicapai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Fetival Kenyir 2014, di malam kelmarin.

Thursday, May 29, 2014

Nurul Izzah Mohn Hak Penjagaan Dua Anaknya - Keputusan 17 Jun?


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memfailkan tuntutan hadhanah (hak penjagaan) terhadap dua anaknya yang berusia tujuh dan empat tahun di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur.

Peguam Azmi Mohd Rais yang mewakili suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, memaklumkan demikian ketika kes mereka disebut di dalam kamar Hakim Syarie Amran Mat Zain, hari ini.

Permohonan itu difailkan Nurul Izzah pada 30 April lalu melalui peguam Nor Mawaddah Ramli.

Peguam itu memfailkan permohonan dan dan menyerahkan dokumen berkaitan kepada defendan dan peguamnya pada 24 Mei lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes itu.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Azmi berkata, mahkamah turut menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Raja Ahmad Shahrir Iskandar selaku responden bagi menyempurnakan wakalah pelantikan peguam secara rasmi.

Azmi dan peguam Syarie Zulkifly Che Yong akan menyerahkan wakalah ekoran Raja Ahmad Shahrir tidak hadir kerana berada di luar negara.

Nurul Izzah, 34, anak sulung ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya itu awal Januari lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari.

Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.

Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Kalimah Allah Dalam 'The Herald' - Keputusan Rayuan Gereja Katolik 23 Jun Depan



Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusannya pada 23 Jun ini, sama ada membenarkan atau tidak, permohonan kebenaran merayu oleh Gereja Katolik terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan 'The Herald' daripada menggunakan kalimah 'ALLAH', dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.

Peguam S.Selvarajah, yang mewakili gereja itu, berkata beliau menerima sepucuk surat daripada timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Nor Aziati Jaafar petang kelmarin untuk memaklumkan tentang penetapan tarikh pada 23 Jun itu.

Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili kerajaan dalam kes itu, mengesahkan tarikh berkenaan dan berkata Jabatan Peguam Negara turut menerima surat daripada pendaftar mahkamah. 

Pada 5 Mac, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, mempengerusikan panel tujuh anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak.

Gereja itu memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Oktober tahun lepas yang melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.

Nur Aisyah Raih Emas Acara Ujian Masa Individu Berbasikal Lebuh Raya


Pelumba Terengganu Nur Aisyah Mohamad Zubir meraih pingat emas dalam acara ujian masa individu berbasikal lebuh raya sejauh 33.4km, kilometer di Lebuh raya Changlun-Kuala Perlis, selepas mencatat masa terpantas 53:04.314s.

Mengekori di belakang beliau ialah pelumba Pahang, Nurul Nadia Mohamad Fauzi, ketinggalan 1:52.607s dengan masa 54:56.921s dan pingat gangsa menjadi milik Siti Fatimah Ismail dari Kedah dengan catatan masa 55:04.720s.

"Saingan hari ini (semalam) agak kuat juga khususnya daripada pelumba Melaka dan Wilayah Persekutuan. Saya bertanding sepenuh tenaga untuk tunaikan harapan negeri Terengganu untuk memenangi pingat emas.

"Laluan ini saya sudahpun membiasakan diri tetapi saingan menjadi agak sukar dengan angin hadapan pada masa mula perlumbaan. Saya jadi agak penat," kata pelajar Tingkatan Lima SMK Bukit Mentok, Kemaman ini.

Pengajaran Maya - KP Pelajaran Minta Ikut Langkah Terengganu

Khair (tiga kanan) menyerahkan hadiah kepada seorang pemenang pada Majlis Perasmian Penutup Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh kali ke-41 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, kelmarin.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohd Yusof menggalakkan negeri lain mengikut langkah Terengganu memperkenalkan sistem pengajaran secara maya dalam usaha meningkatkan lagi tahap pendidikan negara, sekali gus mampu menguasai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menurutnya, inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri Terengganu sejak 2011 itu juga secara tidak langsung melancarkan usaha untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang disasarkan pada 2025.

“Kita sememangnya menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan kerajaan Terengganu ini (kelas maya) kerana di dalam pelan kita (PPPM) juga turut memastikan menjelang 2025 kita berupaya melengkapkan penguasaan ICT.

“Justeru kita menggalakkan negeri-negeri lain untuk turut memperkenalkan sistem yang dibuat di Terengganu ini dan di dalam pelan di peringkat kementerian juga kita turut bercadang memperluaskan lagi (kelas maya) di negeri-negeri ini,” katanya.

Felda Rancang Buka Tiga Lagi Premis Sawari Bantu Peneroka Pasar Produk

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merancang membuka tiga lagi premis Sawari (Satu Wilayah Satu Industri) sebelum akhir tahun ini.

Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad berkata tiga lokasi itu ialah di Hotel Grand Borneo, Kota Kinabalu di Sabah; Felda Tenggaroh 3 di Mersing, Johor dan sebuah hotel di London. "Sehingga kini Felda sudah mempunyai tiga premis Sawari yang sudah beroperasi iaitu dua di Kuala Lumpur dan terbaharu, di Tepoh dekat Kuala Terengganu.

"Pencapaian kesemua jualan premis Sawari Felda tahun lepas sebanyak RM1,161 juta manakala jualan sehingga April lalu sebanyak RM301,301," katanya kepada pemberita selepas merasmikan premis Sawari itu di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Wilayah Terengganu Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab.

Sejak beroperasi 1 Feb lepas, Sawari Kuala Terengganu mencatat jualan sebanyak RM33,407 setakat ini.

MB - Dana Remaja Akan Disampaikan Di IPT

Penyampaian Dana Remaja 2014 akan ditambahbaik di mana penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menerimanya tid
ak perlu pulang ke kampung untuk mengambil wang itu.

Sebaliknya mereka akan menerima di kampus.

Bercakap selepas mesyuarat Exco di Alor Setar semalam,  Menteri Besar, Datuk' Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, dengan cara itu, ia tidak akan menyusahkan lagi penuntut terbabit untuk pulang ke kampung menerima wang dana itu.

"Saya mengharapkan dengan penambahbaikan ini ia akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada penuntut IPT yang menerima wang dana itu kerana mereka tidak perlu lagi meninggalkan pengajian untuk menerima wang itu.

"Dengan cara itu, juga ia adalah satu penghormatan kerajaan negeri kepada penuntut IPT terbabit yang menuntut di seluruh Malaysia," katanya.

Selangor, Terengganu, Sarawak Dan Johor Raih Dua Emas Melalui Silat Seni


Kontinjen Selangor, Terengganu, Sarawak dan Johor masing-masing meraih dua pingat emas melalui acara silat seni yang berlangsung di Dewan Rakan Sukan, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di Kangar, mala kelmarin.

Acara pencak silat yang berakhir pukul 1 pagi tadi itu menyaksikan Terengganu mendominasi acara Solo Bebas wanita dan lelaki menerusi Nor Aqila Noryamal (gambar atas) dan Mohd Faiz Ngah (kiri). Pingat perak Solo Bebas wanita menjadi milik atlet Pahang Nur Atikah Alias, sementara gangsa diraih atlet tuan rumah Puteri Siti Nur Aisyah Zubaidillah.

Pingat perak kategori lelaki menjadi milik atlet Perlis Mohd Asyraf Hazwan Mohd Rosidi dan gangsa pula diraih Mohd Nasfirdaus Murshidi dari Selangor.

Johor pula mendominasi acara Tempur Ganda wanita dan lelaki.

Sembilan Jabatan, Agensi Diiktiraf Empat Bintang

Jabatan Audit Negara memberi penarafan empat bintang kepada sembilan jabatan dan agensi kerajaan di Terengganu untuk tahap prestasi pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti yang cemerlang. 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, tujuh lagi jabatan dan agensi kerajaan di Terengganu pula menerima penarafan tiga bintang, hasil penilaian Jabatan Audit Negara itu.

"Jabatan yang menerima penarafan empat bintang itu ialah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Pejabat Daerah Kemaman, Pejabat Perbendaharaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta pejabat Tanah dan Galian negeri.

Wednesday, May 28, 2014

Imam Besar Masjid Negara Saran Tindakan Tegas Terhadap Cadbury


"Umat Islam perlu  lebih berhati-hati dengan status makanan yang diambil kerana sikap sambil lewa terhadap perkara itu hanya memudaratkan umat Islam sendiri....Jika umat Islam memandang remeh perkara ini, ia sama sahaja seperti orang yang tidak beriman yang makan apa sahaja tanpa mengira halal haramnya sesuatu produk itu. "
 - Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad

Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad menyarankan agar tindakan tegas diambil terhadap Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd susulan penemuan DNA khinzir di dalam dua produknya. 

Imam Besar Masjid Negara.
Beliau berkata tindakan seperti denda yang berat atau penutupan kilang adalah wajar sebagai pengajaran kepada syarikat lain agar lebih berhati-hati dalam pematuhan piawaian halal.

"Apa sahaja keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap syarikat itu akan kita sokong, asalkan ia tidak berulang pada depan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mahabbah dan menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan pada Sabtu lalu yang mengesahkan dua sampel coklat keluaran Cadbury mempunyai DNA khinzir.

Mengulas lanjut, Syaikh Ismail juga tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang berniat jahat dengan menjadikan makanan sebagai alat untuk menggugat akidah umat Islam.

Justeru, beliau menyeru umat Islam agar lebih berhati-hati dengan status makanan yang diambil kerana sikap sambil lewa terhadap perkara itu hanya memudaratkan umat Islam sendiri.

"Jika umat Islam memandang remeh perkara ini, ia sama sahaja seperti orang yang tidak beriman yang makan apa sahaja tanpa mengira halal haramnya sesuatu produk itu

 "Pada masa sama, kita mengharapkan pihak berkuasa terus memantau syarikat pengeluar makanan yang lain bagi mengelak perkara ini terjadi," katanya.

Sementara itu, susulan daripada penemuan ‎DNA babi dalam coklat Cadbury, syarikat itu hari ini mengatakan pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Jakim bag‎i memastikan produk yang dikeluarkannya selari dengan peraturan sijil halal.

Ketua Hal Ehwal Korporat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd,‎ Raja Zalina Raja Safran berkata Jakim juga memaklumkan kepada syarikat itu bahawa mereka akan menjalankan sendiri penilaian produk coklat tersebut.

"Jakim menyatakan bahawa mereka akan menguruskan sendiri penilaian produk Cadbury dan akan mengumumkan keputusannya, " katanya dalam satu kenyataansemalam.

Selain mengulas kritikan orang ramai, beliau berkata ‎syarikat itu mengambil pendirian untuk tidak memberi sebarang kenyataan.

"Kami menerima begitu banyak komen dari‎pada pelbagai pihak berkenaan hal ini dan kami juga mendengar mengenai penyelesaian yang dituntut oleh masyarakat Islam. "Bagaimanapun kami tidak dapat memberi sebarang komen tetapi tetap berusaha untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin," katanya.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan produk coklat Cadbury yang mendapat pengiktirafan sijil halal mengandungi DNA babi.

Produk berkenaan adalah coklat susu dengan kacang hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no) 200813M01HI2 dan coklat susu dengan buah badam, Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no) 221013N01RI1.

Kenyataan itu mencetuskan kritikan hebat masyarakat Islam di negara ini sehingga beberapa badan Islam menggesa pengguna untuk tampil membuat tuntutan saman selain daripada memboikot produk itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata‎ analisis kementerian kesihatan terhadap kesemua produk bagi memastikan ia tidak mengandungi DNA babi akan mengambil masa kerana perlu melalui beberapa proses.

Syarikat itu juga kini ‎sedang disiasat di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 bagi memastikan sama ada Cadbury dengan sengaja atau secara tidak sengaja memasukkan DNA babi dalam produk coklat mereka.

Rombakan Jawatan Di Terengganu Bukan Kerana Perubahan Pucuk Pimpinan - Mazlan


Seramai 50 pegawai akan terlibat dalam rombakan jawatan di jabatan dan agensi kerajaan Terengganu berkuat kuasa 2 Jun ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah.

Datuk Osman Muda
Mazlan menafikan pertukaran itu dibuat susulan perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri yang baharu selepas Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengambil alih jawatan selaku Menteri Besar.

Beliau menegaskan perubahan itu adalah pertukaran biasa disebabkan persaraan wajib dua pegawai tinggi kerajaan negeri dan tidak ada kena mengena dengan perubahan pucuk pimpinan kerajaan.

"Mereka yang dipilih untuk menerajui satu-satu jawatan juga dinilai berdasarkan beberapa faktor termasuk senioriti dan pengalaman.

Acara Kanu Menjadi Lubuk Emas Kontinjen Terengganu

Nor Azita Ibrahim menang acara 200 meter K1 wanita.
Acara kanu menjadi lubuk emas Terengganu dengan membolot lima pingat emas yang terus menerajui kedudukan tertinggi carta pungutan pingat pada hari terakhir acara itu di temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 di Perlis semalam.

Negeri yang terkenal dengan panggilan 'Terengganu Hanelang' yang bermaksud 'Terengganu Hebat' itu muncul juara keseluruhan acara itu di Kompleks Sukan Air, Tasik Timah Tasoh di Padang Besar dengan pungutan 14 emas dan lapan perak

 Pada acara terakhir semalam, Terengganu meraih lima lagi pingat emas menerusi acara 200 meter K1 wanita menerusi Nor Azita Ibrahim, Fatimah Ngah (TK1 wanita), Ahmad Shafiq Moha dan Muhammad Uweis Arqroni Rahmat (K2 lelaki) serta gandingan Nor Azita Ibrahim dan Noor Azira Ibrahim (K2 wanita). 

Pasukan dari Pantai Timur itu melengkapkan pingat emas kelima pada aksi penutup itu menerusi gandingan Akmal Idayu Mat Razik, Fatin Ajeerah Wahab, Azita dan Azira dalam acara K4 wanita.

Terengganu kini mencatatkan 16 pingat emas, 10 gangsa dan tujuh pingat gangsa diikuti kontinjen.

Najib Tiba Di China Untuk Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik

Najib dan Presiden China Xi Jinping ketika lawatan beliau ke Malaysia tidak berapa lama dahulu. 
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Xi'an, China semalam untuk lawatan rasmi enam hari di China sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

China menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia sejak 2009, manakala Malaysia terus menjadi rakan perdagangan terbesar China dari Asean sejak 2008.

Tahun lepas, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM202.23 bilion, meningkat 12.5 peratus. Malaysia dan China bersetuju untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$160 bilion menjelang 2017.

Najib, yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Xi'an Xianyang pada kira-kira 5.25 petang.

Ketibaan mereka disambut oleh Duta Besar Malaysia di China, Datuk Iskandar Sarudin dan isterinya Datin Rahmah Mohd Lajis, Naib Gabenor Provinsi Shaanxi Wang Lixia, Timbalan Setiausaha Agung Provinsi Shaanxi Zhang Xiaoning, Ketua Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Shaanxi Zhang Baowen dan Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang. Lawatan beliau ke China adalah atas undangan rakan sejawatannya Li Keqiang.

Tanaman Ubi Vitato Pertubuhan Peladang Terengganu Musnah Akibat Kemarau

Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) mengalami kerugian kira-kira RM100,000 apabila hampir keseluruhan projek mini estet tanaman ubi vitato di Rhu Tapai, Merang di Setiu musnah akibat kemarau. 

Pengurus besar PPNT Sawalludin Ahmad berkata kemarau panjang luar biasa yang berterusan menjejaskan pertumbuhan dan pembesaran tanaman vitato.

"Hampir 90 peratus daripada tanaman ubi vitato ini tidak dapat keluar hasil dan mati kerana tanah kering dan panas melampau.

Minggu PKS Terengganu Beri Tumpuan Usahawan Wanita, Belia Dan Ekonomi Desa

Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) peringkat Negeri Terengganu yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) pada 24 hingga 27 Jun ini, akan memberi tumpuan kepada usahawan wanita, belia dan ekonomi desa.

Minggu PKS anjuran SME Corporation Malaysia (SME Corp) itu bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kementerian serta agensi kerajaan persekutuan dan negeri, selain sektor swasta bagi membantu PKS di negara ini.

Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata usahawan perlu merebut peluang ini untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai program sokongan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan, selain mengenali agensi-agensi yang menyediakan pelbagai bantuan ini secara lebih dekat.