Saturday, November 7, 2009

Banjir Di Terengganu Beransur Pulih

Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih pagi ini selepas ramai mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.


Daerah Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu tiada mangsa banjir yang dipindahkan dan semua jalan masih boleh dilalui semua kenderaan termasuk jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan.

Bagaimanapun, Jalan Chukai ke Air Putih di Jambatan Teladas yang dinaiki air sedalam 1.5 meter dan ditutup kepada semua kenderaan.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu, seramai 2,681 mangsa banjir, masih berada di 49 pusat pemindahan di daerah-daerah yang dilanda banjir sehingga pukul 8 pagi ini.

Menurutnya jumlah paling ramai dicatat di Besut iaitu 1,342 mangsa daripada 324 keluarga di 16 pusat pemindahan, di Hulu Terengganu (570 daripada 141 keluarga di 15 pusat pemindahan), di Setiu (294 daripada 143 keluarga di 11 pusat pemindahan) dan 475 daripada 105 keluarga masih berada di tujuh pusat pemindahan di Dungun.

"Bagaimanapun jumlah itu dijangka berkurangan kerana kebanyakan mangsa banjir terutama di Besut telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini," katanya kepada Bernama.

Katanya hujan yang reda sejak semalam menyebabkan limpahan air sungai mulai surut di beberapa daerah di negeri itu sejak pagi semalam.

Menurut beliau, semua jalan utama di daerah-daerah berkenaan sudah boleh dilalui kecuali beberapa jalan kampung di Setiu yang masih ditutup kepada kenderaan ringan.

Setakat ini tidak ada laporan kes-kes tidak diingini seperti lemas dilaporkan, katanya.

Sementara itu, Bilik Gerakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu memberitahu hanya bacaan di tiga sungai masih mencatat paras bahaya dan keadaan paras air di kebanyakan sungai sudah kembali baik.

Katanya kedudukan paras air di Sungai Besut masih mencatat paras bahaya dengan bacaan di Jambatan Jerteh 9.81 meter melepasi paras bahaya 8.9 meter, bacaan di Kampung Langkap di Setiu (21.93 meter melepasi paras bahaya 21.5 meter) dan bacaan Sungai Setiu di Kampung Bukit (14.15 meter melepasi paras bahaya 12.0 meter).

Kesemua bacaan diambil pada pukul 9 pagi ini.

Secara keseluruhannya, keadaan hari kedua banjir di seluruh negeri semakin pulih berikutan paras air sungai yang semakin surut, dan dijangka berterusan sehingga petang sekiranya keadaan cuaca bertambah baik, katanya.

Sementara itu, di Besut, penduduk Kampung La, Hulu Besut yang dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Besut secara mendadak semalam, menyifatkan kejadian itu menyamai banjir besar yang berlaku di kampung itu 10 tahun lalu.

Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, lebih 204 daripada 65 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung La, selain dua buah rumah penduduk turut dihanyutkan arus deras.

Ahmad Said naik lori bantu mangsa banjir

Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang terpaksa menaiki lori untuk melawat mangsa banjir di Besut, berjanji akan memberi bantuan segera kepada dua keluarga terbabit.

Menteri Besar yang diringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Haji Nawi Mohamad dan

Adun Jabi, Haji Ramlan Ali, terpaksa menaiki lori Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dari Pasir Akar ke Bukit Payong kerana banyak kawasan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Hajat Menteri Besar dan rombongan untuk meninjau banjir di Kampung Oh bagaimanapun tidak kesampaian kerana kenderaan berat tidak boleh lalu di beberapa kawasan jalan menuju kampung itu kerana ditenggelami air sedalam lebih satu meter.

Beliau yang terpaksa berpatah balik meneruskan perjalanan menaiki lori hingga ke pekan Jertih bagi meninjau sendiri kawasan jalan yang ditenggelami air.

Pada sidang medianya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, Ahmad Said berkata rumah kedua-dua mereka akan diganti dengan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam kadar segera.

Besut merupakan daerah paling teruk dilanda banjir di Terengganu.


Tiga lagi daerah yang terjejas dalam banjir musim tengkujuh ini ialah Hulu Terengganu, Setiu dan Dungun dan sehingga kini lebih 1,400 orang dipindahkan.

Ahmad berkata pihak berkuasa juga akan menghantar bot bagi menyelamatkan 10 keluarga di Kampung Pasir Akar, yang terputus hubungan sejak pagi semalam.

"Kita harap orang ramai, terutama yang tinggal di kawasan rendah lebih berhati-hati memandangkan keadaan banjir dijangka bertambah buruk.

"Penduduk juga diingatkan tidak menunggu arahan untuk berpindah, jika lihat keadaan perlu untuk mereka berpindah, kita harap mereka berpindah segera...dari segi kelengkapan, kita telah menyediakan keperluan yang mencukupi," katanya.

Beliau juga mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu mengkaji kemungkinan menaikkan aras jalan Jerteh-Hulu Besut yang sering ditenggelami air setiap kali banjir menyebabkan penduduk di sekitarnya terputus hubungan.

Sementara itu, dua rumah yang didiami 11 orang di Kampung La, Hulu Besut dihanyutkan arus deras akibat limpahan Sungai Besut semalam.

Kejadian pada kira-kira pukul 4 petang itu berlaku hanya beberapa jam selepas dua keluarga yang menghuni rumah terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Pemilik rumah terbabit, Aziz Abas, 50-an dan Che Min Daud, 40-an, yang mencari nafkah dengan menoreh getah hanya mampu melihat dari jauh rumah papan mereka dihanyutkan arus deras.

Aziz ketika ditemui Bernama berkata walaupun sedih, beliau bersyukur keluarganya sempat berpindah di pusat pemindahan banjir sebelum rumah mereka dihanyutkan.

Aziz bersama isteri dan empat anaknya ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Payung.

Hadi akan terima nasib seperti Pak Lah?

Sumber: Malaysiakini

Kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan "Pak Lah versi PAS", kata ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini.


Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk BN sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden UMNO dan perdana menteri.

Dr Abdul Aziz berkata, kekalahan bertubi-tubi PAS di Terengganu – negeri Abdul Hadi sendiri – pada pilihan raya umum 2004, selepas menawannya pada 1999, dan tahun lepas serta kemerosotan dalam beberapa pilihan raya kecil menyebabkan beliau meyakini bahawa kritikan tersebut mempunyai asas.

"Kemudian di Bagan Pinang, maaflah, sudah banyak sangat (kalah). Kali ini mungkin betul, bila sudah ada orang sebut, kita ada versi Pak Lah dalam PAS sendiri," katanya.

"Dan memang, kalau tengok kenyataan dia (Abdul Hadi), sama ada yang terbaru ini atau beberapa bulan ini, sudah jelas. Maksudnya, kenyataan tentang UG (kerajaan perpaduan) itu, bukan macam orang politik."

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menambah, oleh itu Abdul Hadi dianggap "beban" parti itu untuk terus mengembangkan pengaruhnya dan memainkan peranan lebih besar dalam “politik baru” Pakatan Rakyat.

"Kita tidak peduli sama ada kumpulan dia (Abdul Hadi) masih bercinta dengan UMNO. Itu kita tidak peduli. Tetapi bagi saya, dalam politik, tidak ada peluang kedua.

"Kamu sudah buat, (kemudian) gagal, keluar (berundur). Hendak bertengkar tentang dia jumpa lagi (dengan UMNO atau) tidak, imej itu sudah terpalit kepada dia dan kumpulan dia, terutamanya (timbalan presiden) Nasharuddin (Mat Isa)," tambahnya.

Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an tokoh agama itu berpengaruh luas khususnya melalui pidato tetapi kini presiden PAS itu "sudah hilang stim".

"Dia sudang hilang stim. Sebahagian daripada tindak-tanduknya tidak datang daripada dia atau cuma disuap dalam mulutnya. Contoh yang paling jelas, (idea) kerajaan perpaduan," katanya.

"Tengok, atau kita banding dengan apa yang dibuat sekitar tahun 1980-an dengan amanatnya (petikan ucapan yang dilabel 'Amanat Hadi'). Ini secara efektifnya mengkafirkan UMNO.Sekarang kenapa hendak bekerjasama dengan UMNO?".

UMT Anjur Program Penggalakkan Sains Pupuk Minat Pelajar

Institut Bioteknologi Marin (IMB) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya mengadakan Program Penggalakkan Sains Bioteknologi bagi memupuk minat pelajar sekolah dalam bidang sains bioteknologi.

Pengarah IMB UMT Prof Dr Mohd Effendy Abdul Wahid berkata program itu bertujuan memperkenalkan pelajar kepada bidang sains bioteknologi marin.

"Sebagai negeri yang terdedah secara langsung dengan Laut Cina Selatan, Terengganu menyediakan 'makmal hidup' yang sangat luas dan banyak khazanah yang boleh dibangunkan," katanya ketika kepada pemberita selepas merasmikan program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Mengabang Telipot semalam.

Seramai 60 pelajar Tingkatan Tiga sekolah itu mengambil bahagian dalam program yang melibatkan kakitangan IMB dan UMT, pengetua, guru dan kakitangan sekolah yang lain.

Dr Mohd Effendy berkata program itu dibuat sebegitu rupa untuk membolehkan pelajar berkongsi pengetahuan dan menjadi generasi yang bukan sahaja menghargai sumber marin tetapi juga bersama melindungi khazanah lain daripada pupus.

"Kita mahu menarik perhatian pelajar di mana bidang bioteknologi marin merupakan satu lagi alternatif iaitu lautan juga boleh menyediakan pelbagai peluang kerjaya pada masa depan," katanya.

Sejak ditubuhkan pada Februari tahun lepas, Dr Mohd Effendy berkata IMB telah mewujudkan satu platform baru bagi meningkatkan mutu penyelidikan berasaskan bidang bioteknologi.

"Kemudahan ini telah digunapakai secara bersepadu oleh para penyelidik sama ada dari dalam mahupun luar UMT sendiri dan hasil kajian yang dijalankan membolehkan IMB meneroka lebih banyak sumber baru terutama berasaskan marin yang berpotensi untuk dibangun dan dikomersialkan sebagai produk inovasi," katanya.

Pantai Timur Dilanda Banjir, 2,377 Dipindahkan

Dua negeri di pantai timur - Terengganu dan Kelantan - mula dilanda banjir musim tengkujuh dengan sejumlah 2,877 orang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di dua negeri itu, semalam.
Jabatan Meteorologi pula petang semalam mengeluarkan amaran "peringkat merah" di kedua-dua negeri itu dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga esok.

Di TERENGGANU, keadaan semakin buruk apabila sehingga pukul 8 malam ini seramai 1,667 orang dari empat daerah iaitu Besut, Hulu Terengganu, Setiu dan Dungun telah dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan rumah mereka ditenggelami air.


Besut merupakan daerah paling teruk terjejas di negeri itu dan petang ini dua rumah di Kampung La, Hulu Besut dihanyutkan arus deras akibat limpahan Sungai Besut dan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di daerah itu kini 1,187 orang.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata di Setiu, seramai 402 orang dipindahkan manakala di Dungun 50 dan selebihnya dari daerah Hulu Terengganu.

Sebanyak 24 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri telah beroperasi, dan Jalan Kuala Berang-Sungai Tong di Kuala ping ditutup kepada semua kenderaan, katanya.

Empat sungai utama di negeri itu mencatat bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Terengganu dan Sungai Hulu Terengganu.

Bacaan paras air Sungai Besut di Jambatan Keruak pada pukul 7 petang ialah 35.91 meter (bahaya 35 meter), di Kampung La, 21.79 meter (bahaya 19.20 meter) dan di Jambatan Jerteh ialah 9.86 meter (bahaya 8.90 meter).

Sungai Setiu pula mencatat bacaan 8.58 meter (bahaya 8.10 meter), Sungai Berang di Hulu Terengganu mencatat bacaan 24.55 meter (bahaya 24.50) manakala paras air Sungai Marang pula kini melebihi paras waspada iaitu 12.71 meter (waspada 12.50 meter).

Galak pelajar sertai industri pelancongan

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran menyertai Institut Latihan Pelancongan (ILP) bagi membantu meningkatkan kualiti produk pelancongan negara.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi berkata, langkah itu membolehkan pelajar didedahkan dengan pelbagai bentuk kemahiran di sektor pelancongan secara profesional.

Katanya, ia sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk bekerja dalam bidang tersebut yang sentiasa mendapat permintaan di pasaran.

“Peluang menyertai ILP merupakan salah satu cabang melahirkan lebih ramai mereka yang berkemahiran terutama sebagai pemandu pelancong yang memerlukan kemahiran berkomunikasi tinggi dalam pelbagai bahasa.

“Justeru melalui tawaran kursus-kursus di 57 buah ILP di seluruh negara bakal mendedahkan mereka dengan pelbagai kemahiran berkaitan pelancongan,” katanya pada sidang akhbar mengenai Karnival Pelancongan Pelajar 2009 (Karnival 3P) di Hotel Primula kelmarin.

Karnival 3P anjuran Kementerian Pelancongan akan diadakan selama lima hari bermula 17 November ini di Kuala Terengganu dan disertai seramai 320 pelajar dari seluruh negara.

Penganjuran kali keempat itu bakal menyediakan pelbagai program antaranya pertandingan kuiz, explore race, pertandingan tarian cuti-cuti Satu Malaysia, ceramah motivasi dan lawatan produk pelancongan.

Mengulas lanjut, Ab. Ghaffar berkata, penganjuran tersebut diadakan bagi mendedahkan kepentingan industri pelancongan kepada generasi muda untuk turut serta.

Ujarnya, program itu juga akan menggalakkan pelajar-pelajar sekolah menyertai Kelab 3P yang membolehkan mereka mengikuti program-program yang diadakan di seluruh negara setiap tahun.

UMT, Ketengah bina stesen atasi kepupusan kelah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bakal membina stesen penyelidikan, pembenihan dan pemuliharaan kelah di Tasik Kenyir akhir tahun ini sebagai langkah mengatasi kepupusan spesies ikan itu di negara ini.

Naib Canselor UMT, Profesor Dr Aziz Deraman berkata, stesen tersebut akan menjadi pusat penyelidikan dan kajian penyakit ikan selain sebagai lokasi pelancongan baru di tasik berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pembinaan stesen itu masih di peringkat cadangan dan belum mendapat persetujuan Kerajaan Negeri.

“Pembinaan stesen ini masih dalam perancangan dan sekiranya ia diluluskan stesen itu bakal dibina berhampiran Sungai Tembat.

“Stesen ini juga bakal menjadi pusat latihan kepada pelajar UMT dan penternak akuakultur,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyeahan Benih Ikan Kelah kepada Ketengah di UMT semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud dan Timbalan Naib Canselor Akademik/Antarabangsa, Profesor Faizah Shaharom.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 1,000 ekor benih ikan kelah disumbangkan UMT untuk dilepaskan di Tasik Kenyir.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, penglibatan UMT dalam pembenihan ikan kelah secara penternakan yang dikawal dapat menghasilkan kualiti ikan yang baik.

Katanya, sekiranya kaedah pemantauan ternakan dilakukan ia memudahkan jumlah spesies ikan itu dikawal dan dipantau.

Dalam perkembangan sama, Wan Mat Amin berkata, penglibatan UMT dalam pembinaan stesen tersebut bakal mempercepatkan penghasilan benih ikan kelah.

Katanya, pembenihan secara teknologi dan saintifik akan membantu memperbanyakkan benih ikan tersebut di tasik berkenaan.

“Kita telah mempunyai pusat pembenihan ikan kelah secara semula jadi yang sedia ada di Sungai Cacing dan penglibatan UMT bakal membantu mempercepatkan proses pembenihan menggunakan teknologi moden,” katanya.

Kaji naik taraf jalan Jertih-Keruak

Kerajaan negeri akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya mengkaji jalan Jertih – Keruak bagi tujuan menaik taraf jalan berkenaan agar penduduk di kawasan hulu Besut tidak terputus hubungan apabila berlaku

banjir.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, kerajaan negeri sedia melululuskan peruntukan bagi melaksanakan projek berkenaan bagi menjaga kepentingan rakyat, khususnya penduduk di Hulu Besut yang sering terputus hubungan setiap kali berlaku banjir.

“Kita akan minta JKR supaya mengenal pasti kawasan yang sering ditenggelami banjir dan membuat penilaian kos,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Payong, petang semalam.

Hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kampung di Hulu Besut ditenggelami air dan kira-kira 800 penduduk berpindah ke pusat pemindahan.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta penduduk di kawasan yang ditenggelami air banjir supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan pihak bekuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau meminta ibu bapa agar mengawasi anak-anak dan tidak leka bermain air banjir kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku pada musim bah.

Sementara itu, beberapa batang jalan di daerah Hulu Terengganu ditutup hingga petang tadi untuk semua kenderaan termasuk Jalan Kuala Berang-Sungai Tong dan Jalan Kuala Berang-Telemong selepas dinaiki air antara satu hingga 1.5 meter, bukan disebabkan jambatan runtuh di Kampung Basung seperti dilaporka pagi semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, berkata tiada jambatan runtuh di daerah ini dan laporan mengenai kejadian itu mungkin disebabkan salah maklumat atau khabar angin.

Katanya, sehingga jam 5 petang tadi, daerah Hulu Terengganu paling teruk terjejas apabila sejumlah 679 orang daripada 172 keluarga telah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan.
Antara kampung yang terbabit dengan banjir termasuk Kampung Peladang yang mana 381 mangsa daripada 117 keluarga dipindahkan ke Pusat Khidmat JKK Pelandang; Kampung Penih di pindahkan ke Masjid Kampung Penih (245, 45 keluarga) dan Kampung Cheting ke Masjid Kampung Cheting (53, 10 keluarga).

Beberapa batang jalan yang ditutup untuk semua kenderaan termasuk Jalan Kuala Berang-Sungai Tong dan Jalan Kuala Berang-Telemong selepas beberapa kawasan dinaiki air antara satu hingga 1.5 meter.

Rakyat Terengganu sertai konsortium Industri Sarang Burung Negara

Satu konsortium terdiri daripada ahli perniagaan dalam industri sarang burung boleh dimakan tempatan memulakan usaha untuk membangunkan lagi industri dan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran dunia terutama China.

Timbalan presiden sementara Persatuan Pembekal Sarang Burung Sarawak (SBNSA) yang baru ditubuhkan, Jesse Tang Yu Hang, berkata konsortium itu yang dikenali sebagai Chun Yan Fang akan melancarkan kempen keanggotaan di seluruh negara bulan ini.

Tang berkata anggotanya sekarang adalah dari Sarawak serta dari Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang dan Pulau Pinang dan berharap mendapat anggota dari Perak and Kedah.

Beliau berkata pelaburan berjumlah RM2.5 bilion telah disuntik ke dalam konsortium itu untuk menjalankan kerja-kerja asas termasuk menubuhkan ibu pejabat dan promosi di China.

Bukan mudah bagi ahli perniagaan individu Malaysia untuk menjalankan promosi dan jualan sarang burung di China kerana persaingan sangat sengit di sana, kata Tang.

"Konsortium kami akan menumpu membangunkan kualiti bertaraf dunia yang datang dari Malaysia dan bukan bersaing dari segi harga atau kuantiti.

"Kita perlu mengumpulkan sumber bersama-sama. Kita tidak boleh bersaing sesama sendiri atau dengan orang lain kerana kita hanya mengeluarkan 10 peratus daripada pengeluaran pasaran dunia manakala Indonesia merupakan pengeluar utama dunia," katanya pada sidang akhbar kelmarin.
Satu kilogram sarang burung diproses ketika ini bernilai sehingga RM10,000 dalam pasaran.

Tang berkata dengan menyertai konsortium itu, anggota akan dapat mengetahui budaya membiak terbaharu, teknik pemprosesan selepas tuaian bagi nilai yang lebih baik dan mempunyai akses kepada lebih banyak pasaran selain hak dan kepentingan mereka dilindungi.

Beliau berkata dalam senario semasa di mana Sarawak dilarang membuka rumah sarang burung di bandar-bandar atas alasan kesihatan, mereka yang berminat boleh melabur di Semenanjung Malaysia di mana undang-undang berbeza.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sangat menyokong industri ini kerana beliau menyedari potensi yang sangat besar sebagai satu lagi penyumbang utama pendapatan kepada negara, kata Tang.

Mengenai perkembangan terkini industri, beliau berkata: "Parlimen kita baru-baru ini menyokong industri ini untuk berada di bawah skop Kementerian Pertanian. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Persekutuan akan bertindak sebagai agensi utama bagi membangunkan pelan tindakan peraturan dan garis panduan dan penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan lagi industri tersebut.

"Kami menunggu dasar '1 Malaysia 1 Industri Sarang Burung' dibentangkan tidak lama lagi," katanya.

Pelaburan dalam industri tempatan kini bernilai lebih RM10 bilion, terutamanya dalam pembangunan prasarana manakala nilai eksport setahun sekitar RM1 bilion, kata Tang.

"Kami menjangka angka itu meningkat terutamanya dari China di mana penggunaan sarang burung sudah menjadi satu budaya dan kini menyumbang 80 peratus daripada permintaan dunia.

"Dengan kumpulan penduduk mewah semakin meningkat, kami menjangkakan permintaan turut meningkat," katanya.

Mengenai rancangan konsortium itu, beliau berkata ia akan menubuhkan lebih banyak pusat jualan dan francais di wilayah dan bandar-bandar di China.

"Kami merancang 40 di mana 10 telahpun disahkan. Selain perniagaan sarang burung, kami juga berharap dapat memperkenalkan Malaysia kepada lebih ramai pelancong China," katanya.

Konsortium itu juga merancang meneroka pasaran Taiwan, Hong Kong dan negara-negara Asia lain.

Sementara itu, Tang berkata Persatuan Pembekal Sarang Burung Sarawak yang mempunyai kira-kira 1,000 anggota akan menjadi persatuan ketiga seumpama itu yang diluluskan di negeri ini.

Ia dijangka dilancarkan secara rasmi pada 15 November ini di mana konsortium juga akan diperkenalkan bagi mendapatkan lebih ramai anggota dari Sarikei, pengeluar sarang burung utama negeri, serta dari Kuching, Miri dan Bintulu.

Sarawak ketika ini mengeluarkan kira-kira tiga tan sarang burung setiap bulan tetapi mempunyai kapasiti menjana nilai kira-kira RM1 bilion dalam masa terdekat ini, kata Tang.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai persatuan dan konsortium itu boleh menghubungi Dr.Koh di talian 012-8861516 dan Andy Tiang di talian 012-8041610.

Amaran Peringkat Merah, 24 Pusat Pemindahan Banjir Bersedia

Amaran hujan sekejap-sekejap dan kadang kala lebat yang berlaku di Kelantan dan Terengganu sejak beberapa hari lepas telah ditingkatkan kepada amaran "peringkat merah" pada pukul 4 petang semalam.


Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi daerah yang terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Bachok, Kota Baharu, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai, manakala di Terengganu adalah Besut.

Keadaan ini dijangka berterusan sehingga esok. Amaran peringkat merah merujuk kepada ribut tropika atau taufan dengan kelajuan angin sekurang-kurangnya 60km sejam disertai hujan sederhana menjadi lebat.

Keadaan itu dijangka menyebabkan banjir di beberapa kawasan rendah di tebing-tebing sungai, kata kenyataan itu.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Terengganu mempunyai pusat pemindahan banjir yang mencukupi untuk menempatkan mangsa banjir di negeri itu.

Jurucakap majlis itu berkata terdapat 327 pusat pemindahan banjir yang boleh menampung 48,039 mangsa banjir di seluruh Terengganu.

"Kita tidak menjangkakan sebarang masalah daripada segi penempatan mangsa banjir dan daripada segi lojistik termasuk makanan serta keperluan mereka kerana persediaan dibuat dari awal lagi dan mendapat kerjasama 19 agensi kerajaan," katanya.

Setakat ini 24 buah pusat pemindahan di Besut, Hulu Terengganu, Setiu dan Dungun telahpun beroperasi dengan lebih 1,200 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat berkenaan, kata beliau.

Banjir musim tengkujuh mula melanda Terengganu awal pagi tadi berikutan hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu.

Sehingga petang Jumaat, lebih seribu penduduk dari beberapa daerah di negeri itu dipindahkan ke kawasan selamat.

Dijangkakan lebih ramai penduduk terpaksa dipindahkan berikutan keadaan banjir yang semakin buruk dan paras air sungai juga semakin meningkat, ada di antaranya telahpun melepasi paras bahaya.

Antara agensi kerajaan terlibat ialah polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pejabat daerah.

Katanya setiap daerah mempunyai pusat pemindahan banjir masing-masing terdiri daripada sekolah, balai raya, masjid, dewan orang ramai dengan daerah Besut mempunyai 87 pusat pemindahan diikuti Hulu Terengganu (73), Dungun (52), Kemaman (33), Setiu (31), Kuala Terengganu (27) dan Marang (24).

Sebanyak 386 buah bot penyelamat turut disediakan di seluruh negeri untuk operasi pemindahan mangsa banjir.

Wednesday, November 4, 2009

Pertukaran besar-besaran kakitangan JKR Terengganu?

(Ekslusif)

Hampir 80 peratus kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu ditukarkan ke luar negeri Terengganu sebagai proses penyusunan semula jabatan itu.

Pertukaran itu dikatakan proses pertukaran biasa walaupun ada yang mengaitkannya dengan beberapa kejadian keruntuhan dan kebocoran bangunan utama di negeri berkenaan sepanjang tahun ini.


Pertukaran dikatakan membabitkan kakitangan pengurusan, termasuk peringkat tinggi yang bekerja lebih 10 tahun di negeri berkenaan.

Menurut sumber, pertukaran yang berkuatkuasa sejak bulan lalu turut membabitkan Timbalan Pengarah Negeri yang kini ditempatkan di Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur.

Sumber itu menambah, JKR Terengganu sebelum ini digambarkan sebagai tempat ‘berhimpunannya kakitangan jabatan berkenaan dari Terengganu dan Kelantan’.

Jawatan Pengarah dan Timbalannya di JKR Terengganu kini belum diisi dan proses melakukannya dikatakan sedang dilaksanakan.

JKR Terengganu menjadi perhatian umum apabila dikaitkan dengan projek-projek mega Terengganu yang mengalamai keruntuhan dan kebocoran.

Ini termasuklah keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan, kebocoran pusat akuatik Majlis Bandaraya KT (MBKT), stadium tertutup yang ditutup beberapa waktu, serta beberapa yang lain.

JKR dikatakan mengawasi beberapa projek besar di Terengganu dan pengurusan tingginya ‘dipersalahkan’ dalam beberapa kes berkenaan.

Bagaimanapun, bagi Pusat Akuatik, difahamkan ia adalah rundingan terus dan Pejabat Kewangan Negeri bertanggungjawab terhadapnya. JKR Terengganu hanya membuat pembayaran untuk projek berkenaan.

MB hadir Mesyuarat Menteri Besar Dan Ketua Menteri

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said semalam menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.


Mesyuarat berlangsung kira-kira tiga jam yang bermula pada pukul 9 pagi itu dihadiri oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Selain Ahmad Said, Menteri-menteri Besar yang hadir ialah dari Johor, Pahang, Perak, Perlis dan Negeri Sembilan manakala Ketua Menteri pula dari Melaka dan Sabah sementara Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menghantar wakilnya.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan pelaksanaan program pembangunan di negeri-negeri terbabit.
Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri menyatakan beliau mahu kerajaan-kerajaan negeri menyegerakan proses pengambilan tanah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek Persekutuan.

Majlis itu diadakan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bermula hari ini.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri juga menekankan kepentingan sesuatu projek disiapkan mengikut jadual selaras dengan piawaian yang ditetapkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Selain itu, isu kepantasan perkhidmatan jalur lebar turut dibangkitkan oleh Perdana Menteri yang menurutnya masih perlahan dan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

'Dengan kelajuan jalur lebar yang boleh diakses di seluruh negara, ia secara langsung menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Perdana Menteri juga mahu negara meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak dua peratus tahun depan dan akan mencari kaedah untuk menambah dua peratus lagi.

Ketika membentangkan Bajet 2010 baru-baru ini, Najib mengumumkan peruntukan RM11.3 bilion daripada kerajaan bagi mempercepatkan pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di negara ini.

Sebahagian daripada peruntukan tersebut iaitu RM2.4 bilion adalah daripada pihak kerajaan manakala RM8.9 bilion lagi daripada Telekom Malaysia Bhd. (TM).

Perdana Menteri pada 4 Ogos lalu mahu sasaran penembusan HSBB sebanyak 50 peratus daripada isi rumah negara menjelang akhir tahun hadapan dicapai sepenuhnya. Ketika ini, penembusan HSBB negara hanya ditahap 26 peratus.

HSBB dijangka meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 0.6 peratus dan mewujudkan 100,000 pekerjaan menjelang 2017.

Terengganu tawar diri tuan rumah badminton Super Siri Masters akhir

Terengganu menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kejohanan badminton paling mahal di dunia, Super

Siri Masters Akhir bulan depan.

Kejohanan tersebut yang menghimpunkan pemain-pemain terbaik dunia dan menawarkan hadiah paling lumayan dalam sejarah badminton - AS$500,000 (RM1.71 juta) akan diadakan dari 2-6 Disember ini.

Gelanggang kejohanan, bagaimanapun hanya akan diputuskan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, namun pengalaman menganjurkan Kejohanan Badminton Remaja Dunia baru-baru ini meletakkan Kedah sebagai calon pilihan.

Begitupun, mereka akan bersaing dengan Johor, yang berpengalaman menganjurkan Kejohanan Badminton Asia dan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, selain Terengganu.

"Kami sebenarnya berharap untuk mengumumkan perkara ini lebih awal tetapi kerana keadaan kewangan yang agak malap tahun ini memaksa kami menunggu.

"Bagi pihak BWF, saya ingin merekodkan penghargaan kami kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan penganjur tempatan kerana mengambil tanggungjawab menganjurkan Super Siri Masters Akhir,'' kata Timbalan Presiden BWF, Paisan Rangsikitpho, semalam.

Menurut Rangsikitpho, kejohanan ini menerima sambutan hebat daripada peminat badminton Malaysia ketika ia diadakan buat kali pertama di Kota Kinabalu, tahun lalu.

Katanya lagi, format kejohanan tidak merubah, di mana lapan pemain/beregu terbaik dalam ranking Siri Super akan melayakkan diri ke peringkat Masters. Begitupun setiap negara hanya dibenarkan menghantar dua penyertaan bagi setiap kategori.

Senarai akhir pemain yang akan beraksi pada kejohanan ini hanya akan diketahui selepas tamat dua pusingan terakhir Siri Super tahun ini - Terbuka Hong Kong (10-15 November) dan Terbuka China, 17-22 November.

Malaysia menyapu tiga daripada lima kejuaraan yang ditawarkan pada edisi sulung kejohanan tahun lalu, diketuai Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu lelaki) dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dalam beregu wanita.

Namun begitu, China tidak menghantar pasukan pada kejohanan tersebut kerana berehat panjang selepas menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Beijing pada Ogos 2008.

Bayaran khas RM500 untuk semua penerima pencen

Bayaran khas RM500, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober lepas, akan diberikan kepada semua penerima pencen.


Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan bayaran khas ini termasuk pesara pilihan dan pesara atas sebab lain serta balu, duda dan anak.

Dalam kenyataan JPA untuk menjelaskan perkara itu menyatakan hari ini bahawa pemberian bayaran khas itu juga meliputi penerima pencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Penerima pencen yang layak menerima bayaran khas ini ialah mereka yang menerima pencen bulanan pada bulan Disember 2009," menurut JPA.

Sebelum ini, bayaran khas itu diumumkan akan diberikan kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib.

September lepas, kerajaan mengumumkan bayaran khas kewangan RM500 kepada 860,000 penjawat awam kumpulan sokongan yang dibayar dua kali iaitu pada September dan Disember yang melibatkan kewangan sebanyak RM430 juta.

JPA berkata bayaran melalui bank akan dilakukan pada 14 Disember depan, iaitu sehari sebelum tarikh pembayaran pencen bagi bulan itu yang ditetapkan pada 15 haribulan.

"Bagi mereka yang dibayar secara waran, waran berasingan akan dikirimkan pada awal Disember bagi membolehkan penunaian pada 14 Disember 2009," kata JPA.

Generasi muda perlu di pupuk dengan seni budaya

Komuniti Bestari diminta melaksanakan program meliputi seni kebudayaan masyarakat setempat agar ia dapat menarik penyertaan golongan muda dan belia terhadap program berkenaan di kawasan masing-masing.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Abdul Halim Jusoh berkata, menerusi program kebudayaan yang dianjurkan mengikut tradisi penduduk kampung terbabit ia memaparkan budaya tersebut kepada golongan muda.

Selain itu, katanya, ia secara tidak langsung seni budaya dari kampung mereka tidak akan pupus di kalangan generasi muda masa kini.

''Kita melihat Komuniti Bestari merupakan penggerak untuk menghidupkan program ini yang akan turut disertai semua lapisan masyarakat.

''Seni budaya terutama permainan tradisional biasanya mendapat sambutan hangat dari penduduk kampung berkenaan yang menjadi hasrat kerajaan untuk melihat masyarakat setempat hidup bersatu padu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Sepakat Bestari Daerah Setiu di Sekolah Kebangsaan Banggol, di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengarah Penerangan negeri, Halimaton Hamza.

Abdul Halim turut menyerahkan sebuah komputer kepada setiap enam Pengerusi Komuniti Bestari di daerah itu.

Beliau berkata, dalam merancakkan lagi program berkenaan, Komuniti Bestari juga boleh bekerjasama dengan pertubuhan lain dalam melaksanakan pelbagai program yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat kampung.

Mayat Kanak-kanak Lemas Dijumpai Tersangkut Pada Jaring

Kanak-kanak berumur empat tahun yang tergelincir ke dalam Sungai Kampung Titian Baru dekat sini petang kelmarin, dijumpai lemas pagi semalam.

Mayat Mohd Junaidi Mat Ghani ditemui tersangkut pada jaring tidak jauh dari tempat kanak-kanak itu terjatuh pada 2.30 petang semalam.

Bapanya Mat Ghani Mohamad, 46, berkata anak kelapan daripada sembilan beradik itu keluar mengikut abangnya Mohd Farid, 11, yang mandi bersama beberapa rakan-rakannya di sungai itu.

Junaidi yang duduk di atas jambatan dipercayai tergelincir disebabkan keadaan yang licin kerana hujan sebelumnya.

Mat Ghani, pengurus Syarikat Semerah Padi Perabot berkata, laporan mengenai kehilangan anaknya telah dibuat di Balai Polis Cendering pada 8.40 malam Isnin.

Gerakan mencari dan menyelamat disertai orang kampung dan pasukan penyelamat.

RM600,000 untuk program kebersihan

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM600,000 bagi menjayakan program kebersihan sepanjang tahun ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, program bertujuan melahirkan tabiat ataupun budaya menjaga kebersihan, bukan sahaja di sekolah, malah di kediaman dan tempat tumpuan awam.

“Hasrat kami menjadikan amalan kebersihan sebagai tabiat bukan sahaja bagi tujuan pertandingan,” katanya.

YAKEB Tampung Kos Perubatan Yahya Jusoh

Yayasan Kebajikan Atlet (YAKEB) bersetuju untuk menampung sepenuhnya kos rawatan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Yahya Jusoh yang kini menderita akibat sakit saraf sejak tiga bulan lepas.


Pengerusi Eksekutif Yakeb Datuk Dr Mumtaz Jaffar berkata bekas pemain pertahanan yang digeruni pada tahun 1970-an itu akan mula mendapat rawatan di sebuah hospital pakar di Petaling Jaya pagi ini.

"Esok kita akan bawa Yahya bertemu dengan doktor pakar bagi mengenal pasti jenis penyakit dan rawatan yang sesuai untuknya.

"YAKEB juga akan memantau perkembangan Yahya dari semasa ke semasa bagi memastikan bahawa beliau mendapat rawatan yang sebaiknya," kata Mumtaz kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Mumtaz berkata YAKEB akan menganjurkan satu pertemuan antara Yahya dan kawan-kawannya bagi memberi semangat kepada beliau sebelum menjalani pembedahan nanti.

"Kita harap Yahya akan segera sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Yahya berkata beliau amat berterima kasih dengan keprihatinan dan kesungguhan YAKEB dalam membantunya dan juga bekas-bekas atlet yang lain.

"Saya rasa terharu dengan keperihatinan YAKEB yang menghargai jasa dan sumbangan bekas-bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara satu masa dahulu dan ini adalah satu penghormatan buat semua atlet," katanya.

Yahya, 57, pemain seangkatan Datuk Soh Chin Aun dan Allahyarham Mokhtar Dahari, diserang penyakit lumpuh berikutan sakit tulang leher sejak 22 Sept lalu.

3 ditahan sedang proses air ketum

Tiga penoreh getah termasuk seorang wanita ditahan ketika sedang memproses air ketum di sebuah pondok

di tanah rezab tanaman getah Kampung Bukit Layat, Chalok, Setiu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu bertindak menyerbu pondok tersebut kira-kira pukul 9 pagi selepas menerima maklumat orang ramai.

Katanya, ketika diserbu, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 26 hingga 39 tahun sibuk merebus daun ketum, terkejut dan cuba melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan di pondok itu menemui lapan guni plastik berisi kira-kira 57 kilogram daun ketum bernilai RM1,170 dan polis turut merampas peralatan memasak daun ketum tersebut," katanya pada sidang akhbar di Setiu.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Shaik Othman Abdul Hamid.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga suspek berasal dari Kampung Layat dan suspek berusia 39 tahun merupakan abang ipar kepada wanita berusia 26 tahun itu.

"Suspek berusia 39 tahun itu juga mempunyai rekod dan pernah ditangkap di atas kesalahan yang sama dan kesnya itu sedang menunggu perintah untuk dibicarakan," ujarnya.

Roslan berkata, suspek dipercayai anggota kumpulan sindiket yang menjual air ketum di sekitar Setiu dan sempadan daerah Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga suspek tersebut kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Tuesday, November 3, 2009

Pemandu Pelancong Bandar Di Terengganu Pemalu

Ramai pemandu pelancong di Terengganu didapati mempunyai sifat pemalu dan kurang mahir berkomunikasi dengan pelancong menyebabkan maklumat sebenar tentang produk pelancongan di negeri itu tidak disampaikan secara berkesan.


Pengarah Tourism Malaysia Terengganu Suhaimi Abu Hassan Shari memberitahu Bernama bahawa sifat pemalu itu mungkin timbul disebabkan pemandu pelancong terbabit yang kebanyakannya berumur 20an, kurang mempunyai maklumat tentang produk berkenaan.

Katanya Tourism Malaysia Terengganu dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong negeri akan mengadakan `Terengganu Guide Idol' pada 9 November ini dalam usaha untuk melahirkan ikon pemandu pelancong yang boleh dijadikan contoh kepada pemandu pelancong lain di negeri itu.

"Langkah mengadakan pertandingan yang menyerupai program `Malaysian Idol' itu adalah untuk memupuk ketrampilan pemandu pelancong di negeri ini," kata Suhaimi.

Peserta akan diadili oleh tiga orang juri yang akan mengikuti lawatan mereka bersama pelancong dalam bas. Mereka akan diadili daripada segi cara penyampaian, maklumat, ketrampilan dan komunikasi.

Beliau berkata sejurus selepas perjalanan itu tamat, peserta yang terlibat akan diberikan pandangan dan kritikan oleh tiga juri berkenaan sama seperti konsep Malaysian Idol.

"Kita memberikan komen di hadapan pelancong yang turut sama dalam lawatan itu dan program ini bukan diadakan untuk memalukan pemandu pelancong itu tetapi untuk membina keyakinan diri mereka," katanya.

Pengerusi Biro Latihan Persatuan Pemandu Pelancong Terengganu, Mohd Nor Ismail, berkata sejak ditubuhkan tahun lepas, persatuan itu kini mempunyai 43 orang ahli yang kebanyakannya berumur 20an.

"Yang menghairankan kita ialah mereka berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang tetapi apabila berhadapan dengan pelancong mereka berubah menjadi pemalu," katanya.

Terengganu layak untuk Musim 2010

Pasukan bola sepak Kelantan dan Perak antara enam pasukan yang tidak layak bertanding dalam Liga Malaysia 2010 setelah didapati gagal memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).

Sementara UPB-MyTeam dan Proton FC pula telah mengesahkan untuk menarik diri daripada liga musim depan, kata Naib Presiden FAM Datuk Che Mat Jusoh.


Pasukan yang layak untuk Liga Super 2010 ialah Selangor, Perlis, Kedah, Johor FC, Terengganu, KL Plus, Harimau Muda A, Negeri Sembilan, KM Naza, Johor, T-Team.

Sementara pasukan yang layak untuk Liga Perdana 2010: PDRM, Kuala Lumpur, ATM, PKNS Selangor, Sabah, KL Felda United, KL Pos, Perlis KSK Tambun Tulang, Harimau Muda B, Sarawak.
"Selain Kelantan dan Perak, tiga lagi negeri yang tidak layak bertanding ialah Pulau Pinang (Liga Super), Pahang (Liga Perdana) dan Melaka (Liga Perdana), serta sebuah kelab iaitu Shahzan Muda (Liga Perdana)," katanya.

Beliau berkata keenam-enam pasukan itu telah gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh FAM seperti melunaskan gaji pemain-pemain yang tertunggak dan hutang tertunggak dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga tarikh akhir iaitu Sabtu lepas.

"Jadi kita telah memutuskan mereka tidak layak untuk bersaing musim depan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Che Mat bagaimanapun berkata keputusan muktamad mengenai nasib enam pasukan itu bergantung sepenuhnya kepada mesyuarat Majlis FAM yang akan dipengerusikan oleh presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang akan diadakan di dalam masa terdekat ini.

"Keputusan yang diambil oleh JKPT hari ini adalah berdasarkan kepada peraturan sedia ada serta mengesyorkan kepada mesyuarat Majlis FAM untuk diluluskan mengenai keputusan yang dicapai ini," katanya.

Jika keputusan JKPT ini kekal dan diluluskan, Liga Super akan mempunyai 11 pasukan sahaja pada musim depan berbanding 14 pasukan musim ini, manakala 10 pasukan bagi Liga Perdana berbanding 14 pasukan.

"Sekiranya Liga Super kekal dengan 11 pasukan, FAM akan mengundang satu pasukan daripada Liga Perdana untuk menjadikannya 12 pasukan," kata Che Mat.

"Kita juga telah memutuskan untuk menerima hasrat dua pasukan berstatus kelab iaitu UPB-MyTEAM yang beraksi di dalam Liga Super dan Proton FC di dalam Liga Perdana untuk menarik diri," katanya.

Tambahnya keputusan sama ada dua kelab itu perlu atau tidak dikenakan hukuman berbentuk denda atau penggantungan akan dibincang dan diputuskan di dalam masa terdekat ini.

Mengenai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus pada Rabu ini, Che Mat berkata mesyuarat JKPT hari ini juga telah memutuskan tiga kategori yang telah diberikan mandat untuk FAM membuat keputusan.

"Persatuan Bola sepak Selangor (FAS) telah dipilih untuk memenangi pengurusan persatuan terbaik, Johor FC sebagai kelab terbaik dan KL Plus sebagai kelab penyokong terbaik," katanya.

Terdahulu, Che Mat turut mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 yang akan berlangsung Sabtu ini di antara Kelantan dan Negeri Sembilan, dengan memutuskan harga tiket berharga RM20 bagi orang dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak (bawah 12 tahun).

"Kita telah mencetak sebanyak 85,000 keping tiket dengan Kelantan telah menempah 30,000 keping manakala 20,000 telah ditempah Negeri Sembilan.

"Baki tiket sebanyak 35,000 akan dijual di Stadium Nasional, Bukit Jalil mulai Jumaat ini bermula 11 pagi hingga 10 malam manakala bermula 10 pagi pada hari perlawanan," katanya.

Pelajar SK Lembah Bidong bersih pantai Merang

Seramai 50 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Bidong dan kakitangan pusat peranginan Sutra Beach Resort di sini menyertai program gotong-royong membersih kawasan pantai Merang, baru-baru ini.


Program anjuran Seamonkey Dive & Travel Sdn. Bhd. dengan kerjasama Sutra Beach Resort & Dive dan Scuba Dynamic Sdn. Bhd. itu adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai pemuliharaan persekitaran kawasan pantai dan laut.

Pengurus Besar Sutra Beach Resort, Malizan Zakaria berkata, sempena program berkenaan, pihaknya turut bekerjasama dengan para sukarelawan untuk membersihkan kawasan dasar laut.

Menurutnya, para pelajar dan kakitangan pusat peranginan itu juga turut memberi perhatian terhadap pemuliharaan batu karang, pemantauan dan pengurusan kawasan itu.

''Penyertaan golongan pelajar dalam program ini sebagai pendedahan serta latihan supaya mereka sentiasa bertanggungjawab bersama-sama menjaga kebersihan kawasan pantai,'' katanya.

Katanya, selain pelajar dan kakitangan pusat peranginan itu, para penyelam dari tiga syarikat tersebut pula membersihkan dasar laut dengan mengutip sampah sarap dan bahan-bahan terbuang di sekitar Pulau Bidong, Setiu," katanya.

Beliau berkata, para pelajar juga diberi taklimat mengenai cara-cara memulihara serta mengekalkan alam semula jadi bawah laut pada masa akan datang.

Gangguan air di sekitar Kuala Terengganu

Beberapa kawasan di sekitar Kuala Terengganu akan mengalami gangguan bekalan air selama kira-kira 12 jam bermula hari ini hingga 10 November ini berikutan kerja-kerja pemasangan paip sambungan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu).

Satu dalam kenyataannya memberitahu, gangguan itu dijangka berlaku antara pukul 9 pagi hingga 9 malam.
Antara kawasan yang akan mengalami gangguan pada 3 November ialah Perumahan RAKR Banggol Peradong, Banggol Peradong, Banggol Tok Esah, Kebor Air Telari, Jeram dan kawasan sekitarnya.

Selain itu, pada 4 November, antara kawasan yang terlibat ialah Bukit Petiti, Binjai Manis, Kesom, Kampung Pujuk, Kampung Belara dan kawasan sekitarnya.

Kawasan lain yang akan mengalami gangguan pada 5 November ialah Pulau Bahagia, Padang Machang, Padang Ujid, Kampung Peradong.

Pada 8 dan 10 November pula antara kawasan terlibat ialah Padang Machang, Beladau Kolam, Padang Ujid dan kawasan sekitar manakala pada 9 November pula di Padang Machang, Beladau Kolam, Padang Ujid termasuk Telok Menara dan Pasir Tebakang.

Monday, November 2, 2009

KT antara destinasi Karnival Gegar Generasiku

Karnival Gegar Generasiku anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan dianjurkan sekali dalam setiap dua bulan di lokasi terpilih di seluruh negara.


Antara destinasi cadangan bagi karnival seterusnya ialah Kuala Terengganu, Pagoh, Pekan, Port Dickson, Kota Kinabalu dan Kuching.
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahya berkata ia bertujuan merealisasikan hasrat Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahukan program itu dijalankan sambil menerapkan elemen 1Malaysia.

"Ia sebagai usaha kami untuk mendekati masyarakat khususnya golongan muda yang terlibat dalam gejala tidak bermoral.

"Kami bukan sahaja memberi hiburan kepada mereka malah ia merupakan pendekatan terbaik dalam menyebarkan maklumat melalui pameran-pameran yang turut diadakan," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke tapak karnival sempena Konsert Gegar Generasiku di Angkasapuri semalam.

Antara aktiviti yang diadakan sempena karnival itu ialah pameran dan pertandingan berkaitan motosikal dan konsert Gegar Generasiku.

Konsert itu berlangsung di Padang Semarak Angkasapuri bermula pukul 8.30 malam semalam.

Kerajaan Negeri tidak abai OKU

Tidak benar kerajaan negeri mengabaikan orang kelainan upaya (OKU) terutamanya dikalangan pelajar.
Kerajaan Negeri akan memberi peruntukan tanpa had kepada pelajar orang kelainan upaya (OKU) terutama golongan cacat pendengaran bagi memajukan bidang pendidikan di negeri ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, peruntukan itu akan tertumpu kepada keperluan serta kemudahan pendidikan.
Menurutnya, sehingga kini terdapat seramai 500 pelajar di sekolah biasa di negeri ini dikenal pasti mempunyai masalah pendengaran.

Untuk hari ini (semalam) sahaja, seramai 40 orang menjalani saringan telinga di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan bantuan akan diberi berdasarkan keputusan rawatan pihak hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah Program Pendidikan Sekolah-sekolah Negeri Terengganu 2009 dan Pelancaran Program Prihatin Menteri Besar Terengganu bersama-sama Murid Bermasalah Pendengaran Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Ahmad Razif berkata, Kerajaan Negeri turut bersedia mewujudkan Bilik Kedap Pendengaran dengan anggaran RM180,000 untuk tiga bilik yang dilengkapi dinding penyerap bunyi, karpet penyaman udara dan meter penyukat bunyi.

Menurutnya, tiga sekolah terpilih untuk dibangunkan kemudahan itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu, SMK Tembila, Besut dan SMK Sura, Dungun.

Program Terengganu 'Sustainable' Bagi Merawat Air Kumbahan Yang Tercemar

Kerajaan negeri Terengganu pada Sabtu mengadakan program 'Terengganu Sustainable Marine Awareness' (TSMAP) di Pulau Kekabu, di sini sebagai usaha untuk merawat masalah air kumbahan yang tercemar dan busuk yang mengalir terus ke Sungai Marang.

Setiausaha Bahagian Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD) Prof Dr Nor Aieni Mokhtar berkata air kumbahan yang mengalir itu mengundang bau yang busuk dan keadaan itu tidak sesuai untuk sektor perikanan.

"Jadi program kita hari ini ialah untuk merawat air kumbahan dengan cara menanam pokok-pokok bakau di sekitar kawasan itu selain melontar bola lumpur di kawasan berkenaan.

"Bola lumpur yang dilontar mengandungi mikroorganisma baik yang dapat meningkatkan stimulasi penumbuhan pokok bakau di kawasan itu di samping mengurangkan lumpur dan meningkatkan kejernihan serta kualiti air," katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian TSMAP yang disempurnakan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Program anjuran kerajaan negeri melalui jabatan Trivescosta dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui NOD, Badan Kerja Amal Wanita Terengganu, Selangor, Wilayah Pesekutuan (Berkat) serta badan bukan kerajaan yang lain bertujuan memupuk kesedaran dan pemuliharaan kawasan sekitar marin berkenaan.

Dr Nor Aieni berkata Pulau Kekabu dipilih sebagai lokasi utama pembersihan ekoran masalah pencemaran air yang serius di kawasan itu yang berpunca daripada sistem pembentungan kurang berkesan dan sistematik.

Katanya sebagai pintu masuk dan tempat persinggahan pelancong sebelum ke Pulau Kapas, Pulau Kekabu berhadapan dengan masalah pencemaran sampah sarap, bukan sahaja daripada pengunjung malahan daripada aktiviti perindustrian di kawasan sekitar.

"Kita mahu meningkatkan kesedaran orang ramai dan penyelidik agar terus komited mengumpul data saintifik untuk pemantauan dan pemuliharaan kawasan Marang," katanya.

Kem Pengakap Negeri di Telaga Batin


Kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan Kem Integriti di Telaga Batin dekat sini sebagai Kem Pengakap Negeri bagi memastikan segala aktiviti dan program yang dijalankan dengan lebih tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, apabila siap ia bakal dilengkapi pelbagai kemudahan untuk program berasaskan perkhemahan dan motivasi.

Bagaimanapun, katanya, kem seluas 13.6 hektar itu bakal dikongsi bersama Kem Integriti sedia ada.

"Kem ini akan memberi faedah kepada kira-kira 35,000 ahli pengakap di negeri ini selain boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti lain termasuk kegunaan orang ramai," katanya selepas menghadiri majlis Penutupan Kem Kempori Diraja di Telaga Batin di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Seramai 800 orang pengakap seluruh sekolah di Terengganu menyertai kem tersebut yang turut dihadiri oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Kempori Diraja berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menyediakan sebuah lagi tapak kem untuk kegunaan Pengakap Negeri.

Jelasnya, ia berikutan permohonan Pengakap Negeri untuk menjadi tuan rumah penganjuran Jambori Peringkat Malaysia pada 2012.

"Kawasan hutan simpan di Rantau Abang seluas 16 hektar bakal dijadikan kem pengakap jika Terengganu berjaya menjadi tuan rumah pada tahun itu," katanya.

Sunday, November 1, 2009

Penduduk beberapa kampung di Besut didakwa amal kepercayaan terpesong

Penduduk di bebeberapa buah kampung di daerah ini dikesan mengamalkan kepercayaan terpesong kononnya akan beroleh pahala jika mereka tidur bersama dengan gambar seorang pemimpin parti pembangkang di negara ini.


Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Idris Jusoh ketika mendedahkan perkara itu mahu pihak berkuasa relevan dan ilmu Islam di negara ini supaya mengambil tindakan segera bagi memperbetulkan penyelewengan akidah yang dipercayai didalangi pihak tertentu.

"Selain tidur bersama gambar dan percaya apabila melihat gambar pemimpin berkenaan akan memproleh pahala, penyokongnya juga ditanamkan dengan kepercayaan bahawa sekiranya bermimpi bertemu pemimpin itu maka pahala berganda akan diperolehi oleh orang tersebut.

"Ini satu perkara serius yang patut diperbetulkan kerana ia jelas telah memesongkan akidah yang bertujuan untuk mengekalkan populariti dalam politik," kata Idris kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Mega peringkat daerah semalam.

Katanya isu itu pernah timbul sebelum ini, namun akhir-akhir ini ia dikesan semakin menular di kalangan penduduk beberapa kampung di daerah ini.

Idris yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Jertih berkata pihaknya mendapat laporan bahawa gambar pemimpin berkenaan bukan setakat dipamerkan di rumah malah pada kenderaan penyokong parti berkenaan.

Sementara itu, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin berkata kepercayaan dan taksub kepada pemimpin sehingga tahap sedemikian jelas terpesong daripada akidah.

Katanya mereka perlu balik ke pangkal jalan dan beristiqamah kerana hukum hakam agama tidak boleh dipermainmainkan.

Beliau berharap pemimpin berkenaan memperbetulkan keadaan dan memberikan penjelasan kepada pengikutnya.

Terengganu kecundang, Kelantan mara ke final

Tiada pertembungan dua pasukan Pantai Timur pada final Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil kali ini. Ramalan tidak menjadi.


Pada ketika Kelantan menempa sejarah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun, Terengganu berputih mata.
Lawan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 November ini adalah Negeri Sembilan yang menewaskan Terengganu 3-1 dalam satu lagi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Badi kalah kepada Negeri Sembilan musim ini tidak dapat dibuang oleh Terengganu apabila Negeri Sembilan mara menerusi agregat 4-1 selepas menang 1-0 di tempat sendiri, Selasa lalu.

Bagi jurulatih Terengganu, Ken Worden, Negeri Sembilan memang berhak menang kerana bermain lebih baik.

“Di pihak kami, ketiadaan ketua pasukan, Marzuki Yusof yang digantung satu perlawanan mencacatkan kekuatan keseluruhan kami yang terpaksa mengharapkan kepada pemain muda,” tegasnya.

Gol-gol Negeri Sembilan di Kuala Terengganu semalam dijaringkan Zaquan Adha Razak (m-10, 18) dan

Hairuddin Omar (m-45).

Manakala gol tunggal Terengganu dijaringkan Khairul Izwan Khalid pada minit ke-35.

Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, gol awal yang diperoleh menjadi faktor utama kejayaan pasukannya.

“Kelebihan kami kerana menjaringkan gol awal dan itu memberi keyakinan kepada pemain untuk mengharungi perlawanan dengan baik,” kata Ken Worden yang sebelum ini berjaya membawa Selangor ke final sebanyak tiga kali.

Kelantan mara ke final selepas menewaskan Perlis 3-1 di separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar, malam tadi.

Selepas mencatat kemenangan 2-0 pada separuh akhir pertama di tempat sendiri, Selasa lalu, Kelantan tidak bermain secara bertahan sebaliknya tenang sepanjang perlawanan untuk mara menerusi agregat 5-1.

Mohd. Norfarhan Mohamad muncul wira Kelantan semalam apabila melakukan hatrik di Kangar menerusi jaringan pada minit ke-26, 53 dan 87.

Perlis yang bermain agak tertekan dan kelihatan serba tidak menjadi sepanjang perlawanan memperoleh gol saguhati menerusi Mohd. Firdaus Fauzi pada minit ke-70.

Jurulatih Kelantan, B. Sathiananthan berkata, kejayaan pasukannya adalah kerana berjaya melakukan serangan balas pantas.

“Seperti dijangka, kami sedar Perlis akan mengasak tetapi kelebihan kami ialah ketika melakukan serangan balas pantas dan itulah caranya ketiga-tiga gol kami dihasilkan,” katanya.

Jurulatih Perlis, Irfan Bakti pula mengakui Kelantan layak menang walaupun tanpa Indra Putra Mahyuddin yang digantung satu perlawanan.

“Kesilapan kami ialah melepaskan dua gol awal menyebabkan pemain mula tertekan. Jelas Perlis tidak bermain sebaik seperti di Kota Bharu,” tegasnya.

Kali terakhir Kelantan mara ke final ialah pada 1970 tetapi tewas kepada Perak.

Sokong usaha bantu pelajar kemungkinan kecundang dalam SPM

PENDAPAT

Oleh Muhamad Haji Ismail (Paka)


 Saya menyokong penuh usaha kerajaan negeri melancarkan melancarkan program pendedahan kemahiran untuk calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkemungkinan akan gagal dalam peperiksaan tersebut bermula akhir tahun ini.

Sebagai ibu bapa yang memikirkan masa depan anak-anak, murid yang lemah tidak wajar disisihkan begitu sahaja.

Saya bersyukur dan bangga dengan usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan program ini kerana setidak-tidaknya ia membuka ruang untuk mereka yang dianggap lemah pada ketika ini.

Ada pelajar yang lambat untuk cemerlang dan sesetengahnya lemah kerana keadaan keluarga dan persekitaran.


Saya berharap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman menjalankan usaha ini bersungguh-sungguh demi masa depan calon yang melalui peperiksaan berkenaan.

Razif baru-baru ini berkata, calon akan dikenal pasti melalui ujian percubaan dan dimasukkan dalam program kemahiran vokasional selama tiga hari dua malam.

Saya berharap ibu bapa lain yang menghadapi masalah anak mereka seperti ini menggalakkan anak-anak mereka ke program tersebut akan diadakan di institusi pengajian vokasional seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Universiti Tati.

Usaha ini penting kerana program akan memberikan mereka gambaran lebih awal hala tuju dalam memilih kerjaya dan mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan tidak berfaedah.

Usaha kerajaan negeri ini perlu diberikan sokongan kerana ada pelajar yang tidak berminat dalam bidang akademik, jadi melalui program ini, ia akan membawa gambaran bahawa mereka masih mempunyai kerjaya walaupun gagal dalam SPM.

'Pendedahan ini akan menimbulkan minat terhadap kemahiran tertentu dan menyebabkan mereka memberi fokus kepada subjek tertentu seperti Bahasa Malaysia supaya mereka lulus.

Razif berkata baru-baru ini, pihaknya kini sedang mengumpul data dari Jabatan Pelajaran negeri berhubung calon-calon SPM yang mungkin akan gagal dalam peperiksaan utama itu nanti.

''Kita akan adakan program percubaan terlebih dahulu, mungkin melibatkan para pelajar di Kuala Terengganu untuk melihat keberkesanannya," katanya.

Beliau memberitahu, program pendedahan itu akan lebih kepada konsep belajar di institusi kemahiran tersebut dan tidak seperti program motivasi biasa yang dijalankan untuk pelajar bermasalah.

''Program itu akan melibatkan suasana sebenar seperti belajar bidang automotif selama dua jam dan bengkel perkayuan selama dua jam dan kemudian enjin selama sejam," jelasnya.

Selain itu, katanya, program berkenaan akan melibatkan kemahiran dalam bidang pertanian dan penternakan bagi membolehkan mereka menjadi usahawan dalam bidang tersebut.

KT perlukan stesen teksi baru?

Sakit mata memandang! Begitu pendapat pengguna apabila ditanya mengenai keadaan stesen teksi di negeri

ini yang boleh diibaratkan seperti hidup segan mati tidak mahu.

Hampir semua stesen teksi di negeri ini didapati usang dan daif lebih-lebih lagi di Kuala Terengganu sendiri.
Stesen bas lama berusia puluhan tahun pula dijadikan stesen teksi 'baru' apabila sebahagian teksi lama dipindahkan ke kawasan tersebut beberapa tahun lalu.

Kononnya, ia boleh dijadikan stesen teksi baru dan memberi keselesaan kepada pemandu teksi dan pengguna.

Namun keadaan tersebut tidak sedikit pun membantu mereka yang terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan awam itu untuk memperoleh pendapatan yang lebih banyak memandangkan kawasan stesen teksi berkenaan tersorok daripada pandangan orang ramai.

Seorang pengguna yang ditemui, Mohamad Kamal Hasan, 50, memberitahu, kemudahan stesen teksi sedia ada agak usang dan lokasinya yang terlindung daripada pandangan orang ramai menyukarkan pengunjung luar untuk melihat kewujudan stesen teksi itu.

Tambahnya, keadaan stesen itu yang suram dan tidak dicat sejak beberapa tahun lalu menjadikan ia kelihatan seperti 'rumah hantu'.

"Saya kesal kerana stesen teksi berkenaan belum dibaik pulih agar ia kelihatan lebih sesuai dengan taraf bandar raya yang diiktiraf baru-baru ini kepada Kuala Terengganu.

"Selain itu, perkhidmatan teksi yang terkenal dengan harga mahal juga menyebabkan perkhidmatan tersebut dipandang sepi oleh pengguna walaupun perkhidmatan berkenaan diperlukan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Seorang guru, Abdul Mubin Ismail, 49, mengakui perkhidmatan teksi di bandar raya ini perlu dinaik taraf bagi memberi imej yang baik kepada negeri ini.

Jelasnya, jika diperhatikan, teksi di sini cantik dan ada sebahagiannya diubah suai seperti kereta sendiri namun hanya tersadai tanpa penumpang.

Tambahnya, punca utama keadaan berkenaan berlarutan sejak beberapa tahun lalu adalah kerana kawasan stesen teksi yang sedia ada tersorok selain perkhidmatan teksi di kawasan sekitar tidak menyeluruh.
"Saya tidak pasti perkhidmatan teksi ini mudah didapati atau tidak namun ada juga rakan-rakan yang merungut sukar untuk mendapatkan perkhidmatan teksi.

"Ini menyebabkan kebanjiran kereta sewa yang ada kalanya dilakukan sendiri oleh penduduk kampung dengan bayaran mahal.

"Justeru, saya amat berharap perkhidmatan teksi dapat diperbaiki selain mencari lokasi baru bagi menempatkan kesemua pengusaha teksi dalam satu stesen bagi memudahkan pengguna," jelasnya.

Tengku Muhammad Ismail berangkat ke kempori

Keberangkatan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin ke Kempori Diraja Pengakap Negeri Terengganu 2009 di Kem Telaga Batin dekat sini petang semalam disambut meriah oleh peserta dan masyarakat.

Baginda diiringi kekandanya, Tengku Nadhirah Zahrah dan Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja.

Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Kira-kira 1,200 peserta termasuk petugas dan penduduk tempatan memenuhi dataran kem berkenaan.

Pada program itu yang berlangsung tiga hari dan berakhir esok, Tengku Muhammad Ismail turut mendemonstrasi acara meniti jambatan monyet, anyaman ketupat, memasak masakan rimba dan memanah.

Azizul tersingkir pusingan awal

Azizulhasni Awang membawa khabar paling mengecewakan daripada Manchester apabila dia gagal melepasi

pusingan kelayakan acara 200m pecut pada pusingan pertama trek Piala Dunia Klasik, semalam.

Selepas turut gagal melepasi pusingan pertama acara keirin kelmarin, prestasi pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mula menimbulkan persoalan besar berikutan kegagalan kedua ini.

Azizulhasni hanya mampu mencatat masa ke-17 terpantas semalam dengan mencatat masa terburuk 10.394s berbanding catatan peribadi terbaiknya 10.160s.

Hanya 16 pelumba terpantas layak mara ke pusingan kedua di mana Azizulhasni hanya kurang 0.002s berbanding pelumba Uzbekistan, Andriy Vynokurov yang mengisi slot terakhir.

Jika Azizulhasni berjaya menduduki tempat ke-16, dia mungkin sudah mampu mencapai impian untuk bertemu juara Olimpik dari Britain, Chris Hoy di pusingan kedua.

Ini kerana Hoy mencatat masa terpantas semalam iaitu 9.869s. Berdasarkan format, pelumba terpantas akan diundi bertemu pelumba di tangga ke-16.

Dengan kegagalan ini, Azizulhasni masih mempunyai satu peluang untuk menebus kekecewaan apabila bakal menyertai acara jemputan keirin Jepun, esok yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan.

FELDA Bina Lebih 3,000 Unit Projek PWF Di 10 FELDA

Pembinaan sebanyak 3,579 unit projek Perumahan Warga Felda (PWF) untuk generasi kedua tanah rancangan itu di 10 Felda di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata 10 kawasan terbabit adalah Felda Nerang 1 di Terengganu, Felda Pasak dan Felda Sungai Sibul di Johor, Felda Jengka 19, Felda Triang 3, Felda Jengka 11 dan Felda Chini 3 di Pahang, Felda Chiku 5 di Kelantan, , Felda Chuping, Perlis dan Felda Raja Alias di Negeri Sembilan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 2,331 unit merupakan rumah kos sederhana rendah berharga sekitar RM35,000 manakala 1,003 unit rumah kos rendah berharga RM35,000 dan 35 unit kedai berharga RM100,000.

"Tiga daripada 10 PWF iaitu Felda Pasak, Jengka 19 dan Triang 3 sudah mula dilaksanakan manakala tujuh lagi dalam proses kelulusan tapak dan melantik perunding. Kita jangkakan keseluruhan projek ini yang bertujuan untuk membantu generasi kedua memiliki rumah yang sempurna dan selesa dapat diduduki pada tahun 2011," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci projek PWF Desa Keratong Indah kelmarin

Beliau berkata setakat ini Felda telah melaksanakan enam PWF di mana hanya satu PWF masih dalam proses pembinaan iaitu di Taman Pasak Impian di Johor.

Ahmad berkata empat lagi projek terbabit yang kesemuanya di Pahang adalah di Taman Mempaga Utama, Bentong; Taman Bukit Goh Perdana, Kuantan; Taman Lepar Hilir Saujana, Kuantan dan Taman Desa Keratong Indah, Rompin.

"Kos keenam-enam projek itu adalah RM86 juta dan bilangan unit adalah 2,255 unit," kata beliau.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata Felda turut menyediakan subsidi antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi membolehkan generasi kedua Felda memiliki rumah sendiri seterusnya menetap di tanah rancangan masing-masing.

Katanya bagi membantu generasi kedua memiliki rumah sendiri, Felda menawarkan skim sewa beli kepada mereka yang tidak berpendapatan tetap atau tidak mempunyai slip gaji untuk membuat pinjaman di bank.

Mengulas cadangan Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis supaya generasi kedua Felda yang tidak mampu membeli rumah menerusi projek PWF, ditawarkan lot tanah dengan harga yang berpatutan, Ahmad berkata Felda akan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai perkara itu.

Turut hadir pada majlis itu adalah Jamaluddin yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Dakwah Islamiah dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz.

Bebola lumpur rawat Sungai Marang tercemar

Isu pencemaran air di Sungai Marang dijangka berakhir dalam tempoh terdekat apabila kerajaan negeri

dengan kerjasama Direktori Oseanografi Kebangsaan (NOD) memperkenalkan penggunaan kaedah melontar bebola lumpur bagi mengatasinya.

Usaha ini dilakukan berikutan penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Setiausaha Bahagian NOD, Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, penggunaan bebola lumpur mengandungi mikroorganisma baik kerana ia mampu meningkatkan stimulasi penumbuhan pokok bakau di kawasan terbabit.

Beliau berkata, pendekatan tersebut diambil atas kesedaran dan kepentingan memelihara dan memulihara ekosistem marin di kawasan berkenaan yang semakin rosak.

“Penggunaan bebola lumpur lebih mudah kerana ia dapat mengatasi dan merawat sungai tersebut dengan cepat selain menguraikan lumpur dan menjernihkan kualiti air,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kesedaran Lestari Alam Sekitar Marin Terengganu 2009 (TSMAP’09) di Pulau Kekabu, Marang Waterfront semalam.

Program tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Program itu anjuran bersama kerajaan negeri melalui Jabatan Trivecosta Negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), SIRIM, BiotechCorp serta Badan Kerja Amal Wanita Profesional Terengganu, Selangor dan Wilayah Persekutuan (Berkat).

Mengulas lanjut, Nor Aieni berkata, program TSMAP’09 di Pulau Kekabu merupakan projek perintis dan akan diperluas ke kawasan lain di seluruh negeri ini.

Jelasnya, ia merupakan rangka awal pemuliharaan kualiti air Sungai Marang bagi menilai punca dan langkah yang patut diambil bagi mengatasi masalah pencemaran.

“Langkah ini harus diteruskan bagi mengatasi masalah pencemaran yang berlaku agar tidak menjadi lebih teruk memandangkan Pulau Kekabu dan Sungai Marang merupakan pintu masuk utama ke Pulau Kapas yang menjadi tumpuan pelancong,” jelasnya.