Saturday, March 27, 2010

Tidak perlu tumpang semangkuk

Oleh Hambali Abdul Latiff

Maka ramailah yang mengaku kononnya merekalah yang berjaya mengatur pertemuan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Juak-juak ini datang menyatakan konon merekalah arkitek, penggerak atau juga bomoh yang mampu mempertemukan kedua-dua mereka.

Ramai mengetahui bahawa amat sukar Ahmad Said bertemu Najib, apa lagi ada mengatakan wujudnya kumpulan di pejabat Najib yang menyekat Ahmad Said bertemu bosnya sendiri – Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Tidak diketahui Najib tahu atau tidak wujudnya kumpulan ini.

Namun, mengenali sedikit sebanyak Najib sejak 1983, saya tidak fikir Najib yang mahukan itu semua. Ini dilakukan oleh mereka sengaja mahu ‘merenggangkan’ Ahmad Said dengan Najib.

Maka, bagi mereka yang mengetahui pertemuan Ahmad Said dan Najib Khamis lalu, ada antaranya menepuk dada mengatakan kalau tidak kerana mereka, ‘haram Ahmad Said’ tidak akan dapat melangkah ke Pejabat Perdana Menteri itu.

Kalaupun dijemput untuk bermesyuarat tetapi sekadar di bilik persidangan sahaja – tidak pertemuan empat mata dengan Najib.

Begitu sekali keyakinan mereka bahawa Najib menolak Ahmad Said.

Namun pertanyaannya, apakah ‘sebodoh’ itu Najib akan memperlakukan Ahmad Said?

Apakah Najib tidak melihat sejarah dua tahun lalu bagaimana Ahmad Said dilantik menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh?

Apakah Najib bukan antara yang buat keputusan dalam Mesyuarat Tertinggi UMNO menerima Ahmad Said sebagai Menteri Besar?

Bukankah itu bermakna UMNO membuat keputusan menerima Ahmad Said dan mengetepikan Idris?

Apakah Najib sanggup menjilat ludahnya untuk menolak Ahmad Said sedangkan beliau antara yang menerima Ahmad Said sebagai Menteri Besar pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Mac 2008?

Walaupun Bulletin Utama tv3 pada malam itu menyiarkan berita Badan Pencegah rasuah (BPR) sedang menyiasat kes seorang politik kanan yang didakwa menyelewenang dalam beberapa projek di Kijal dan Chukai, Kemaman namun laporan itu ternyata dibuat-buat.

Dan lebih memalukan ada blog yang antiAhmad Said beria-ia mengatakan orang kuat Ahmad Said melobi untuk mendekatkan Najib dengan Ahmad Said.

Salahkah melakukan sedemikian.

Blog itu merujuk kepada budak Tingkat 16, Wisma Darul Iman tanpa menyatakan nama.

Siapa di tingkat 16 yang baik dengan Pejabat Perdana Menteri. Rasanya tidak ada! Atau bekas budak tingkat 16 tidak tahulah. Yang jelas hanya seorang sahaja yang boleh dirujuk iaitu Wan Ahamad Wan Muda.

Apakah Wan Ahamad turut melakukan kerja ini sebagai bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar.

Jika demikian, baguslah.

Pertanyaan ialah apakah sebelum ini ada usaha orang kuat UMNO atau pihak-pihak yang selalu ‘bermain’ di Pejabat Perdana Menteri mengusahakan pertemuan sedemikian?

Tidak wajar untuk mendapat nama semata-mata kerana yang bekerja sebenar ialah mereka di belakang tabir.

Soal penting sekarang hubungan dapat dijalin – siapa juga yang menjalankan misi merapatkan Perdana Menteri dan Menteri Besar tidak penting.

Yang penting Najib faham keadaan sebenar di Terengganu dan siapa dalang sebenar yang menyebabkan kemelut berlaku.

Rasanya sebagai Perdana Menteri, Najib tahulah untuk ‘menghukum’ dua tiga kerat yang jadi batu api ini.

Tahniah Kepada Presiden UMNO...

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama anggota Majlis Tertinggi Umno memotong kek sempena ulangtahun pertama Najib sebagai Presiden Umno sebelum memulakan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di PWTC semalam.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said turut hadir pada mesyuarat itu.

Sebelum itu Ahmad Said mengadakan perundingan dengan Presiden/CEO Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas di KLCC.

Mohd Azizulhasni Raih Perak Di Kejohanan Dunia

Tahniah untuk pelumba basikal anak kelahiran Terengganu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek semalam menyatakan berbangga dengan pencapaian pelumba basikal trek kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang yang memenangi pingat perak acara keirin di Kejohanan Dunia, yang berlangsung di Copenhagen, Denmark pagi semalam.

Ahmad Shabery berkata jika Mohd Azizulhasni terus berusaha lebih keras untuk meningkatkan keupayaan, hasrat memenangi pingat emas di Sukan Olimpik London 2012 akan tercapai.

"Namun pencapaian Mohd Azizulhasni itu (pingat perak) tetap merupakan sesuatu yang luar biasa berdasarkan kepada susuk tubuhnya yang kecil dan usianya. Ia seperti memenangi emas juga.

"Beliau telah menghantar sistem pesanan ringkas (sms) kepada saya dengan menyatakan mungkin bukan rezekinya lagi setelah hanya tewas sedikit sahaja, setengah tayar sahaja ke garisan penamat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan gim rakyat di Kompleks Belia Kampung Pandan.

Ahmad Shabery berkata pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu telah membuktikan bahawa beliau kini merupakan antara pelumba terunggul di dunia.

"Beliau pernah memberitahu saya di dalam tempoh dua tahun lagi kehebatan dan kekuatan tenaga pelumba Great Britain, Chris Hoy akan dapat diatasi kerana beliau memerlukan masa itu untuk membina otot-ototnya," katanya.

Pada pusingan akhir, pelumba berusia 22 tahun itu tewas kepada Hoy yang merupakan pemenang tiga pingat emas Olimpik Beijing 2008 walaupun bersaing sengit sehingga ke garisan penamat.

Kegagalan itu menyebabkan Mohd Azizulhasni sekadar berpuas hati dengan pingat perak manakala pelumba Jerman, Maximilian Levy mendapat pingat gangsa.

Seorang lagi pelumba negara Josiah Ng yang beraksi di dalam acara keirin gagal melepasi pusingan pertama apabila kayuhannya dibatalkan setelah menyebabkan lawan terjatuh.

Mohd Azizulhasni dan Josiah bagaimanapun berpeluang untuk mengharumkan nama Malaysia apabila turun beraksi pada acara pecut 200 meter yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Pada tahun lepas, Malaysia memenangi satu pingat perak dan gangsa melalui Mohd Azizulhasni (pecut 200 meter) dan Mohd Rizal Tisin di dalam acara ujian masa satu kilometer.

Keterangan Ejen Penyamaran Boleh Diterima Pakai

Penggunaan ejen penyamaran bagi menangkap pengedar dadah adalah sah di sisi undang-undang negara, demikian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Ini berikutan keputusan bersejarah semalam oleh panel tiga hakim yang memutuskan keterangan seorang ejen penyamaran adalah boleh dipercayai dan harus diterima pakai oleh mahkamah tanpa sebarang sekatan selaras dengan Seksyen 40A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam penghakiman 22 mukasurat itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Abdull Hamid Embong berkata dalam usaha memerangi gejala dadah, Parlimen mendapati adalah sesuai untuk keterangan ejen penyamaran diterima pakai tanpa sebarang sekatan.

"Hakim perbicaraan tidak lagi diberi kuasa budi bicara bagi mengetepikan keterangan seperti itu," katanya sambil menambah fungsi mahkamah hanya untuk menterjemahkan undang-undang dan bukan menambah elemen baru khusus apabila ayat dalam perundangan adalah jelas dan tidak kabur.

Katanya ia masih kekal di mana tidak ada tempat dalam undang-undang negara untuk membenarkan pembelaan pemerangkapan.

Oleh kerana aktiviti dadah dijalankan dengan penuh kerahsiaan, maka ejen penyamaran, biasanya seorang pegawai polis, akan digunakan untuk memujuk atau menghasut suspek pengedar untuk melakukan kesalahan itu untuk tujuan sabitan.

Abdull Hamid juga berkata pengabaian oleh hakim perbicaraan untuk berhati-hati mengenai keterangan ejen penyamaran tidak menjadikan hakim berkenaan salah arah.

Panel hakim yang terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Abdull Hamid mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap peniaga Wan Mohd Azman Hassan @ Wan Ali kerana mengedar 1.9kg kanabis di sebuah stesen minyak di Kemaman, Terengganu pada pukul 1.25 tengah hari, 20 April, 1999.

Beliau disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 2003 bersama Ibrahim Nawang, yang juga dikenali sebagai 'Pak Ya', yang meninggal dunia sebelum rayuan didengar di Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Sementara itu, rayuan Wan Mohd Azman itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Bernama Menang Anugerah Brandlaureate

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memenangi Anugerah Penjenamaan Korporat Terbaik bagi kategori Agensi Berita Nasional-Media menerusi Anugerah The Brandlaureate bagi edisi 2009-2010.

Anugerah yang bertemakan "Jenama Anda, Karya Agung" disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala kepada wakil Bernama, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Zulkefli Salleh.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation, Tan Sri Vincent Tan pula dinamakan sebagai Usahawan Brandlaureate Terbaik sementara Presiden Limkokwing University of Creative Technology, Tan Sri Dr Lim Kok Wing diisytihar sebagai CEO BrandLaureate Terbaik.

Anugerah The Brandlaureate merupakan anugerah jenama berprestij bagi syarikat di Malaysia dan Asia Pasifik yang mengiktiraf kecemerlangan jenama syarikat antarabangsa, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat penyenaraian awam.

JHEOA Kelantan/Terengganu Perlu Peruntukan Hampir RM130 Juta Dalam RMK-10

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Kelantan/Terengganu memerlukan peruntukan hampir RM130 juta untuk membangunkan lima program utamanya di seluruh negeri itu dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Pengarahnya, Ab Razak Arshad, berkata program terbabit ialah Penempatan tersusun melibatkan kos RM32.2 juta; Pembangunan Ekonomi (RM24.3 juta); Pembangunan Infrasosial/Minda Pendidikan (RM63.3 juta) dan Kesihatan dan Perubatan (RM9.4 juta).

Menurutnya, peruntukan itu adalah sebahagian RM800 juta peruntukan yang dipohon untuk projek-projek pembangunan di bawah jabatan itu di seluruh negara dalam RMK-10, bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JHEOA, Nisra Nisran Asra Ramlan berkata JHEOA memohon peruntukan RM800 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai projek yang dirancang bagi meningkatkan kemajuan masyarakat Orang Asli di seluruh negara dalam RMK-10.

"Bagi JHEOA Kelantan, kita memerlukan peruntukan kira-kira RM130 juta untuk melaksanakan projek utama di seluruh negeri dalam rancangan pembangunan lima tahun itu," katanya kelmarin.
Ab Razak berkata, dalam rancangan itu juga jabatannya juga sedang meningkatkan program pembangunan infrustruktur di penempatan Orang Asli di kawasan pedalaman negeri ini iaitu Kawasan Pasik dan Balar yang melibatkan kos RM20.5 juta.

Menurutnya, menerusi program itu jabatannya memberi tumpuan kepada pembinaan jalan memandangkan kawasan berkenaan tidak mempunyai kemudahan jalan sempurna dengan para penduduk menggunakan jalan-jalan yang diteroka oleh lori membawa muatan kayu balak.

"Selain itu, kita juga sedang memberi tumpuan terhadap penyenggaraan projek pembangunan di kawasan Rancangan Penyusunan Semula (RPS) Orang Asli di Kuala Betis, Gua Musang.

"Di bawah program itu, kerajaan melalui RISDA melaksanakan projek tanaman sawit seluas 2,000 ekor di mana para Orang Asli kini diberi bantuan bulanan RM400 setiap peserta," katanya.

Beliau berkata, di bawah penyusunan semula kampung (PSK) tradisional di Gua Musang, pihaknya menyediakan peruntukan RM7.9 juta untuk membina rumah di bawah penduduk di bawah Program Pembangunan Rumah Rakyat Termiskin (PPRT).

Kerajaan Beli Kapal Korek

Oleh: Esah Abdullah (UKOM)

















Ahmad Said (tiga dari kanan) ketika meninjau keadaan muara Sungai Merang di Setiu, Isnin lalu 21 Mac lalu.

Masalah sungai cetek yang sering berlaku di negeri ini akan dapat diatasi segera tanpa mengambil masa yang lama apabila kerajaan negeri memutuskan untuk memiliki kapal korek sendiri, tahun depan.

“Memandangkan masalah ini tidak pernah selesai dan kerajaan terpaksa belanja berjuta ringgit setiap tahun, kita bersetuju membeli kapal korek yang akan dimasukkan dalam bajet tahun depan,” kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said Rabu lalu.

Menurut Menteri Besar, terdapat 14 muara sungai di seluruh negeri dan kerajaan terpaksa membelanjakan RM5 juta setahun bagi mendalamkan muara sungai yang cetek akibat ditimbus pasir yang menyukarkan laluan keluar masuk bot nelayan dan bot pelancong.

Ahmad Said berkata, anggaran harga kapal korek adalah sekitar RM40 juta hingga RM50 juta dan memberi keuntungan pada jangka panjang di samping boleh bergerak ke setiap lokasi tanpa menunggu masa yang lama.

Katanya, kerja-kerja mendalamkan muara ini juga diperlukan setiap masa kerana kadang-kadang tidak sampai setahun muara sungai boleh tertimbus pasir semula.

Lagi pun, katanya, pasir yang diangkut keluar dari kerja-kerja mendalamkan muara ini boleh digunakan untuk ditambak di kawasan pembangunan di negeri ini.

Sementara itu kerajaan negeri memberi tempoh enam bulan tambahan kepada Jabatan Mineral dan Geosains untuk mengkaji lebih terperinci jumlah bijih besi sebenar yang terdapat di Bukit Besi, Dungun.

Sebelum ini, katanya kontraktor pernah memberitahu jumlah bijih besi mencecah 50 juta metrik tan, namun kajian terperinci diperlukan agar kerajaan tidak mengalami kerugian pada masa depan.

Katanya, di Kemaman juga terdapat bijih besi namun jumlahnya agak sedikit iaitu 28 juta metrik tan sahaja serta kualitinya tidak begitu bagus.

Thursday, March 25, 2010

MB – TOLEH KE HADAPAN DEMI KEMAJUAN TERENGGANU...


Gambar Zulkifli Putra

Datuk Ahmad Said ternyata gembira dan kegembiraan itu ditunjukkan pada majlis sambutan dua tahun pentadbirannya di Wisma Darul Iman semalam.

Apakah kegembiraan dimaksudkan?

Selain suasana politik yang semakin stabil, ternyata kini kakitangan kerajaan yang diketuai oleh Datuk Mazlan Ngah menunjukkan persefahaman yang mendalam dengan Menteri Besar.

Hubungan erat ini akan memudahkan pentadbiran dan perlaksanaan program yang dirancang.
Dengan Mazlan dan Ahmad Said seiring, isu-isu seperti kelewatan pelaksanaan, pertembungan pendapat serta haluan berbeza antara Pejabat Menteri Besar dan Pejabat SUK tidak akan berlaku lagi.

Apa yang diharapkan oleh Ahmad Said ialah sistem penyampaian kerajaan bertambah baik walaupun ada ruang-ruang yang perlu diperbaiki.

Bagi Menteri Besar Terengganu, agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan memerlukan pegawai yang bekerja secara professional.

“Saya mengharapkan pegawai dan semua yang diberikan tanggungjawab perlu melihat diri mereka sebagai seseorang yang boleh menyelesaikan masalah rakyat,” tegasnya.

Kenapa Ahmad Said memerlukan kakitangan yang menyelesaikan masalah, bukan yang mendatangkan masalah?

Bagi Menteri Besar itu, Terengganu perlu mengorak langkah laju untuk menjamin pencapaian Anjung Ilmu dapat direalisasikan.

Kejayaan Terengganu mendahului negeri lain dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM begitu membanggakan dan dengan ilmu rakyat Terengganu akan maju.

Selain itu dengan kebergantungan kepada minyak dan gas semakin kurang, penemuan bahan galian khususnya bijih timah akan membuka harapan baru.

Dalam konteks pelancongan, Terengganu akan membuka zon bebas cukai di Tasik Kenyir dan pastinya akan menggerakkan lagi aktiviti pelancongan di negeri ini.

Penemuan rangka manusia 16,000 tahun di Gua Bewah juga akan menjadi tarikan.

Ahmad Said berharap kakitangan kerajaan juga perlu membantu mempertingkatkan lagi agenda kerajaan negeri mewujudkan pelancongan kesihatan.

Sebuah institut jantung akan dibina di Terengganu bagi kemudahan rakyatnya.

Sementara satu kawasan perniagaan tekstil akan dibuka di Kemaman untuk dimanfaatkan oleh penduduk, khususnya kalangan wanita.

Hakikatnya, banyak lagi yang mahu dilakukan oleh Ahmad Said, termasuk menjamin projek-projek yang sedang dilaksanakan ketika ini siap mengikut jadual.

Lawatan Ahmad Said ke daerah-daerah dan bertemu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung adalah bertujuan menjamin pembangunan pada peringkat desa dan luar bandar dilaksanakan dengan jayanya.

Pembelaaan kerajaan terhadap rakyat yang mengalami penyakit kronik dan sebagainya adalah tanda kesungguhan Ahmad Said.

Namun semua ini memerlukan kerjasama dan komitmen tinggi semua pihak.

Kerana itu Menteri Besar Terengganu itu meminta semua pihak melupakan apa juga perbezaan sebaliknya menumpukan kepada kerja-kerja untuk rakyat sesuai dengan slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Felda lahirkan 2,026 usahawan di kalangan peneroka

Felda Wilayah Terengganu berjaya melahirkan seramai 2,026 usahawan di kalangan peneroka Felda di negeri ini.

Pengurus Wilayahnya, Abd. Malib Abd. Rani berkata, daripada jumlah itu seramai 624 orang terlibat dalam bidang ternakan, (544 orang) perniagaan, ternakan (129 orang), kraf (92 orang), akuakultur (59 orang) dan masing-masing 53 orang dalam bidang perusahaan serta perkhidmatan.

Katanya, adalah menjadi hasrat Felda untuk melatih dan membimbing lebih ramai peneroka Felda menceburi bidang keusahawanan kerana potensinya agak baik dengan pulangan yang tinggi.

Katanya, Felda berbangga kerana daripada bilangan itu, 64 orang dianggap paling berjaya kerana mampu memiliki perniagaan berskala besar sehingga diwarisi oleh anak-anak mereka.

Sehubungan itu, katanya, Felda juga sedang berusaha mewujudkan lebih ramai usahawan muda dengan memberi tumpuan dalam bidang kontraktor pertanian.

''Ini kerana pada masa ini masih banyak kerja pertanian terpaksa diberikan kepada kontraktor luar kerana kekurangan kontraktor di kalangan peneroka Felda sendiri,'' katanya selepas Simposium Dan Ekspo Usahawan (SIMEX) 2010 anjuran Felda Wilayah Terengganu semalam.

Simposium dan Ekspo Usahawan 2010 yang berlangsung selama dua hari itu dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Rosol Wahid.

Abd. Malib berkata, dalam membantu mengembangkan sektor perniagaan yang diusahakan oleh peneroka, Felda menyediakan dana melalui Skim Insentif Usahawan Felda (SIUF) iaitu pinjaman tanpa cagaran.

Katanya, menerusi SIUF, peneroka diberi pinjaman antara RM10,000 hingga RM150,000 bagi tujuan memperbesarkan perniagaan mereka.

''Sehingga kini sebanyak RM1 juta telah dibelanjakan dan 190 usahawan menerima pinjaman melalui skim tersebut,'' jelasnya.

Mengenai tanah rancangan milik Felda, beliau berkata, sehingga kini Felda Wilayah Terengganu mempunyai 20 kawasan rancangan yang melibatkan 7,463 keluarga.

Seramai 80 peneroka menyertai Simposium dan Ekspo Usahawan 2010 yang pertama kali diadakan, manakala 29 peserta lagi terlibat dengan pameran dan jualan pelbagai produk termasuk makanan, ternakan, pertanian dan kraf.

MB ajak kakitangan kerajaan majukan negeri

Gambar oleh Zulkifli Putra

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengajak kakitangan kerajaan bersama-sama beliau membangunkan negeri untuk menjadi negeri maju dan makmur.

Sebagai menyahut seruan dan menjayakan 1 Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Terengganu seiring dengan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak menjayakan apa juga matlamat pembangunan yang diilhamkan Perdana Menteri.

Ahmad Said berkata, tumpuan kerajaan negeri kepada pendidikan, pelancongan, kebajikan untuk rakyat seperti menyediakan rumah kediaman dan menggerakkan sektor pertanian hendaklah dijayakan sebaik-baiknya.

Berucap pada majlis sambutan tahun kedua pentadbirannya, Ahmad Said mahukan kakitangan kerajaan merealisasikan slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

“Rakyat akan menilai prestasi kita dan sebarang kejayaan dan kegagalan hendaklah menjaditanggungjawab bersama.

Kerana itu, saya minta kakitangan kerajaan melaksanakan tugas dengan baik untuk rakyat demi kebaikan rakyat Terengganu seluruhnya,” katanya.

Majlis di Wisma Darul Iman yang dihadiri lebih 5,000 kakitangan kerajaan dan tetamu khas itu turut melancarkan buku “2 Tahun Merakyatkan Pentadbiran & Pembangunan” setebal 131 muka yang diterbitkan oleh Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM).

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah, semua Exco Kerajaan Negeri serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail.

Tetamu turut menyaksikan tayangan video “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” selain video mengenai dua kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung berlubang yang ditaja kerajaan negeri.

Majlis kira-kira satu jam setengah itu diakhiri dengan jamuan petang kepada semua tetamu selain bacaan doa kesyukuran dan harapan agar Terengganu terus makmur dan sejahtera.

Tahniah Unit Komunikasi Negeri Terengganu...


Tahniah kepada pasukan yang menyiapkan buku “2 Tahun Merakyatkan Pentadbiran & Pembangunan’ sempena ulangtahun ke 2 Datuk Ahmad Said menjadi Menteri Besar Terengganu.

Pasukan itu yang diketuai Rosli Zakaria sebagai Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu.

Tenaga kerja yang bertungkus lumus menyiapkan kandungan dan gambar ialah Ruslan Abdul Rahman, Kamaruddin Mat Akib. Aida Abdul Rahman dan gambar-gambar disediakan oleh Zulkifli Putra.

Buku setebal 131 mula ini dicetak oleh Yayasan Islam Terengganu Sdn Bhd dan semalam sahaja sebanyak 5,000 naskhah sudah beredar.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah pada kata-kata aluan buku ini menegaskan, buku ini sebagai panduan dan inspirasi yang berterusan kepada penjawat awam untuk terus melaksanakan perkhidmatan dan pembangunan demi kemajuan rakyat dan negeri.

Ia akan menjadi bahan renungan dan kefahaman kepada rakyat tentang hala tuju pembangunan Terengganu kini dan akan datang.

Batal Kontrak - Akademi Maritim M'sia Kena Saman RM9

Sebuah syarikat pembekal makanan semalam memfailkan saman tuntutan kerugian bernilai kira-kira RM9.08 juta terhadap Akademi Maritim Malaysia kerana didakwa telah membatalkan kontrak pembekalan makanan bermasak tanpa sebarang alasan menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian.

Saman difailkan oleh Ab. Halim Enterprise di Mahkamah Tinggi di sini kira-kira pukul 9.35 pagi.

Pemilik syarikat itu, Datuk Ab. Halim Awang berkata, saman terbabit dibuat selepas kontrak pembekalan makanan bermasak selama tiga tahun bermula 1 Ogos 2008 kepada Kampus Akademi Maritim Malaysia di Batu Rakit dekat sini ditamatkan enam bulan kemudiannya.

Pelajar perlu kuasai kemahiran generik

Universiti merupakan pusat transformasi insan supaya menjadi individu yang produktif dan mampu menyumbang dalam mengukir kejayaan negara.

Sehubungan itu, pelajar seharusnya sedar bahawa usia muda haruslah dimanfaatkan sepenuhnya bagi melatih dan mencungkil potensi diri supaya lebih responsif terhadap tuntutan semasa.

Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Yahaya Ibrahim berkata, pelajar seharusnya sudah bersedia mengambil bahagian dalam pentas antarabangsa, bukan sebagai penonton tetapi sebagai pelaku utama.

Katanya, apabila mereka melihat kepada perkembangan pasaran kerjaya masa kini, terdapat beberapa perkara yang perlu ditekankan oleh pelajar sebelum mendapat segulung ijazah.

'' Antaranya apabila kita lihat dari sudut kehendak majikan terhadap keperluan penguasaan kemahiran generik graduan.

'' Jadi pelajar seharusnya menyediakan diri untuk menguasai kesemua kemahiran generik tersebut sejajar dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program Etiket Siswa 2010 di kampus UMT di Kuala Terengganu
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa ) UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UMT, Mohd. Firdaus Md. Sayed dan pelajar universiti berkenaan.

Yahaya berkata, antara elemen yang harus dilakukan adalah penerapan Kemahiran Insaniah (KI) dalam pembelajaran dan aktiviti pembangunan pelajar termasuklah kokurikulum.

Katanya, penekanan terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan program-program yang dianjurkan oleh universiti merupakan satu kaedah yang berkesan dalam mengasah kemahiran generik di kalangan pelajar.

''Aktiviti kokurikulum dan program yang dirancang khas oleh pihak universiti menjadi pelengkap kepada kitaran pendidikan yang melibatkan domain intelektual yang merupakan wadah bagi pembinaan jasmani, emosi dan rohani," katanya.

Di samping itu, katanya, penglibatan pelajar dalam aktiviti tersebut akan dapat menerapkan beberapa elemen penting seperti disiplin kendiri, kepemimpinan, etika, komunikasi, penampilan diri, keusahawanan, kreativiti, inovasi dan kecintaan terhadap alam semula jadi.

Katanya, ia juga secara tidak langsung dapat membentuk dan menyediakan pelajar menjadi graduan yang memenuhi tuntutan pasaran kerja masa kini.

Wednesday, March 24, 2010

Mesyuarat Exco tidak pernah luluskan projek Jerteh Souq?


“Ia adalah kesilapan pihak perunding utama dan kontraktor yang tidak menjalankan kerja mengikut prosedur ditetapkan…” - Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB), Wan Mustafa Wan Hasan




Souq. Bunyi namanya glamour. Perkataan "Souq" diambil daripada perkataan Parsi yang membawa maksud "deretan kedai-kedai kecil", sesuai dengan konsep pembinaan pusat perdagangan tersebut.

Jerteh Souq – pasar baru Jerteh menggantikan pasar lama. Namun kini ia terbengkalai.

Projek Jertih Souq yang bernilai RM70 juta diilhamkan bekas Menteri Besar adalah bertujuan menyusun semula bandar Jertih sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan perdagangan moden di utara Terengganu.

Pembangunan Jertih Souq meliputi pembinaan infrastruktur secara bersepadu yang membabitkan kawasan sepanjang 700 meter dari Kampung Balik Bukit melalui pesisir Sungai Jerteh sehingga ke Masjid Hadhari di bandar berkenaan.

Jertih Souq itu akan dibina dalam dua fasa. Fasa pertama membabitkan pembinaan terminal bas dan kereta sewa yang moden serta lot kedai yang dibina berkonsepkan bazar di samping taman dan medan selera bertaraf empat bintang.

Manakala fasa kedua pula membabitkan, antaranya, pembinaan hotel bertaraf empat bintang, dewan besar dan teater serta gelanggang sukan boling dan futsal, katanya.

Isu Jerteh Souq ini muncul kembali apabila ADUN Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh kesal kerana pembinaannya terbengkalai.
Ada beberapa persoalan yang wajar diteliti sebelum diperkatakan lebih jauh mengenai Jerteh Souq.

Pertama, adapakah ia projek runding terus menggunakan wang ehsan?

Kedua, kenapa tiada kertas kelulusan mesyuarat Exco mengenainya?

Ketiga, benarkah Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika projek ini dilancar atau mula dilaksanakan ‘tidak tahu’ mengenainya?

Keempat, siapa melantik kontraktor untuk projek yang boleh dianggap ‘mega’ untuk Daerah Besut ini?

Kelima, benarkah kerajaan negeri membekukan peruntukan untuk menyiapkan projek ini?

Perkara kelima ini sensitif kerana ia menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Said sengaja tidak mahu meneruskannya.

Tiba-tiba sahaja pada 13 Mac lalu, Idris meminta Majlis Daerah Besut (MDB) mengambil langkah segera bagi memastikan pembinaan projek Jerteh Souq berharga RM70 juta di sini yang terbengkalai diteruskan demi keperluan peniaga dan orang ramai.

Katanya, golongan peniaga kecil kecewa apabila hampir tiga tahun mereka berpindah untuk memberi laluan kepada pembinaan projek berkenaan, namun projek tersebut sehingga kini masih gagal disiapkan.

"Kalau mengikut perancangan fasa pertama, peniaga kecil ini sepatutnya sudah boleh menjalankan perniagaan di Jerteh Souq dalam keadaan lebih selesa di pasar yang serba moden," jelasnya.

Utusan Malaysia 14 Mac lalu melaporkan, Idris berkata projek terbengkalai itu sepatutnya disiapkan tahun ini dan menimbulkan kesulitan kepada banyak pihak.

Katanya, ini terutama di kalangan peniaga serta penduduk setempat yang menyebabkan mereka terpaksa berniaga dalam keadaan tidak selesa.

"Sehingga kini status sebenar projek itu tidak banyak diketahui dan MDB selaku pihak yang bertanggungjawab perlu memberi penjelasan mengenai apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyatakan demikian selepas merasmikan Program Juara Rakyat di Pantai Peranginan Air Tawar 13 Mac lalu.

Sebelum ini, para peniaga di pasar Jerteh menghadapi pelbagai masalah seperti bumbung bocor, bau busuk dan ruang niaga yang sempit hingga menyebabkan pengguna beralih ke tempat lain.

Pembangunan Jerteh Souq meliputi pembinaan infrastruktur secara bersepadu yang membabitkan kawasan sepanjang 700 meter melalui pesisir Sungai Jerteh sehingga ke Masjid Hadhari di bandar berkenaan.

Menarik mengenai isu ini ialah apabila pada Jumaat (19 Mac 2010) lalu, ‘MDB nafi projek Jertih Souq terbengkalai’.

Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB), Wan Mustafa Wan Hasan menolak dakwaan projek pembinaan Jertih Souq terbengkalai akibat Kerajaan Negeri membekukan peruntukan bagi pembinaan bangunan pasar moden itu seperti heboh diperkatakan sekarang.

Menurut Wan Mustafa, kegagalan menyiapkan projek berkenaan yang turut menimbulkan kemarahan pemimpin politik setempat dan peniaga di daerah ini sebenarnya bukan kerana isu pentadbiran dan masalah peruntukan kewangan.

Ia adalah kesilapan pihak perunding utama dan kontraktor yang tidak menjalankan kerja mengikut prosedur ditetapkan.

Katanya, projek Jertih Souq Pakej A bernilai RM22 juta yang dimulakan pembinaan pada 6 Mei 2007 dan sepatutnya siap 27 Disember tahun lalu terpaksa dihentikan atas nasihat Jabatan Kerja Raja (JKR) berikutan kerja pembinaan oleh kontraktor tidak mengikut spesifikasi.

“Kelewatan pembinaan projek itu yang dikenal pasti antaranya kerja perubahan reka bentuk bumbung oleh kontraktor dibuat tanpa mendapat kelulusan perunding sivil dan struktur.

“Kontraktor menjalankan kerja pada struktur binaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan menyebabkan ia berisiko dan membimbangkan seperti menggunakan konkrit Gred 25 pada tembok penahan sedangkan sepatunya Gred 30 selain masalah di pihak perunding,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabatnya mengenai status sebenar projek Jertih Souq yang terbengkalai sejak beberapa bulan lalu.

Laporan Sinar Harian menyebut, Wan Mustafa berkata, mesyuarat teknikal yang berlangsung pada 11 Mac lalu meminta perunding utama mengemukakan cadangan pelan baru cadangan pengukuhan struktur dalam tempoh terdekat ini yang akan disemak oleh JKR bagi tujuan meneruskan semula kerja pembinaan bangunan itu.

“Sekiranya cadangan baru itu dapat menyelesaikan isu ketidakpatuhan spesifikasi dan pelan alternatif, maka kerja pembinaan akan diteruskan semula bagi memastikan kerja pembinaan Projek Pakej A dapat disiapkan sepenuh pada tahun ini,” katanya.

Wan Mustaffa berkata, pihaknya menyedari masalah dihadapi kira-kira 300 peniaga yang ditempatkan di pasar sementara dan pengguna pengangkutan awam kerana fasa pertama pembinaan Terminal Pengangkutan dan Pasar kini terbengkalai dan menimbulkan kesulitan kepada orang ramai.

Katanya, Kerajaan Negeri tetap meneruskan pembinaan projek itu, malah peruntukan telah tersedia dan tidak timbul isu peruntukan dibekukan seperti dakwaan sesetengah pihak.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa MDB terlebih bayar berjumlah RM6 juta kepada kontraktor pembinaan projek terbabit.

Beliau berharap dengan kenyataan ini orang ramai terutama peniaga dan pemimpin politik tidak lagi membuat pelbagai andaian berhubung isu berkenaan sebaliknya menunggu keputusan yang akan diambil oleh pihak MDB.

Yang pasti, selain jawapan daripada MDB ini rasanya, Ahmad Said yang pernah menjadi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh ditanya, apakah benar mesyuarat Exco tidak pernah diberitahu mengenai projek Jerteh Souq ini!

Jelapang Padi Kedua Di Setiu RM46 juta


Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM46 juta bagi mewujudkan jelapang padi kedua di daerah Setiu di Kampung Jelapang selepas Kampung Mak Jintan, di mana kerja-kerja penanaman padi akan dimulakan pada April ini. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Peruntukan RM46 juta disediakan kerajaan negeri bagi mewujudkan jelapang padi kedua di daerah Setiu, untuk menambah pengeluaran hasil beras dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.

Kerja-kerja membajak sawah di kawasan seluas 140 hektar di Kampung Jelapang, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, akan dimulakan April ini.

Menteri Besar berkata, tahun lalu kawasan seluas 73 hektar diusahakan 78 petani di Kampung Mak Jintan, Setiu dengan purata perolehan 3.5 – 4 metrik tan bagi sehektar.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengumumkan langkah terbaru kerajaan negeri itu kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek jelapang padi serta cadangan pembinaan jalan dan longkang di daerah Setiu, kelmarin (22 Mac 2010).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, YB Ashaari Idris; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri merangkap ADUN Jabi, YB Ramlan Ali serta ketua-ketua jabatan.

Mencandat sotong sudah bermula

Program mencandat sotong 2010 Terengganu bermula antara Mac dan Julai tahun ini akan membantu menggamit kedatangan pelancong dari luar.
Ini akan memberikan pengalaman berharga yang tiada di negeri lain kepada pelancong yang datang ke Terengganu.

Kerajaan Negeri dengan bantuan Telekom Malaysia (TM) selaku penaja utama menyediakan hadiah RM277,000 bagi lima program utama iaitu festival candat di Ri-Yaz, sirkit di Dungun, Kuala Terenganu, Marang dan Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib berkata aktiviti ini telah mula menjadi acara tahunan dalam kalender pelancongan sejak 1992.

“Kami akan memastikan ia terus dikekalkan kerana selain untuk promosi pelancangan, ia sebagai aktiviti warisan masyarakat negeri ini," katanya.
Kerajaan Negeri menyasarkan empat juta pelancong ke Terengganu tahun ini sebagai salah satu usaha menjadikan negeri ini sebagai hab pelancongan, sama ada peringkat domestik mahupun luar negara.

Tahun lalu, Terengganu hanya mencatat kedatangan pelancong berjumlah 3.3 juta berbanding 2008, seramai 3.5 juta orang.

“Tahun lalu kedatangan pelancong menurun disebabkan virus Influenza A (H1N1) dan beberapa wabak berbahaya yang menyebabkan mereka bimbang mahu melancong.

“Tahun ini, kami harap masalah itu dapat diatasi sepenuhnya dan tiada sebarang masalah yang menyekat kemasukan pelancong luar selepas ini,” katanya.

Kedatangan pelancong domestik mengatasi kemasukan pelancong luar dan usaha ke arah itu akan dilakukan dengan lebih giat.

“Kerajaan Negeri memikirkan pelbagai usaha termasuk menaik taraf pesisir air Terengganu, bukan sahaja bagi melakukan aktiviti riadah tetapi juga sukan air,” katanya.

Menurutnya, masyarakat tempatan juga digalakkan mengambil kesempatan terhadap sektor pelancongan dengan menambah pendapatan sampingan.

Usahawan Bumiputera Disaran Ceburi Industri Kertas

Usahawan bumiputera disarankan supaya menerokai industri kertas kerana industri itu memberi pulangan dan mempunyai potensi yang begitu besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mendapati nilai jualan kertas negara pada tahun lepas mencecah RM3.5 bilion.

"Persatuan Pedagangan Kertas Malaysia pula telah menyatakan nilai pasaran penggunaan kertas di pantai timur yang meliputi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan pada tahun yang sama, adalah berjumlah hampir RM22 juta setahun.

"Jadi sama-sama kita kaji sejauh mana penglibatan kita dalam saiz pasaran yang begitu lumayan ini. Apakah usahawan bumiputera khasnya dapat merebut peluang potensi pasaran tesebut," katanya selepas penutup Seminar Peluang Keusahawanan Industri Kertas semalam.
Mohamed berkata, secara umum, tidak sampai lima peratus saiz pasaran tersebut dikuasai oleh usahawan bumiputera dan sektor koperasi.

Katanya, ia memberi gambaran usaha gigih perlu dilakukan untuk memastikan usahawan bumiputera dapat meningkatkan lagi penguasaan dalam industri itu.

Mohamed berkata permintaan kertas semakin hari semakin meningkat dan peningkatan kegiatan perniagaan dan industri pendidikan memberi isyarat terbaik kepada potensi industri kertas negara.

Malah, katanya penggunaan kertas dalam pasaran di Terengganu juga dijangka mencapai pertumbuhan sehingga 8.0 peratus setahun berasaskan unjuran Persatuan Pedagang Kertas Malaysia.

Beliau berkata dalam usaha meningkatkan pembangunan ekonomi negara, kerajaan amat memerlukan sumbangan kegiatan usahawan dan sektor koperasi.

Justeru itu diharap sektor IKS dan sektor koperasi dapat membantu kerajaan sebagai agen pertumbuhan ekonomi negeri dan dengan itu setiap peluang keusahawanan baharu didedah kepada para usahawan dan sektor koperasi untuk dimanfaatkan dan dimajukan.

Sementara itu, hampir 100 orang usahawan bumiputera dari seluruh Terengganu telah mengikuti seminar sehari anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Gua Bewah destinasi pelancongan ‘Jurasik’ di Tasik Kenyir

Tasik Kenyir di Hulu Terengganu yang terletak 40 kilometer (km) dari pekan Kuala Berang bukan suatu nama asing kerana tasik buatan manusia yang terbesar di Asia itu cukup dikenali sebagai syurga kepada pencinta alam semula jadi.

Selain mempunyai sebanyak 14 air terjun dan pulau-pulau kecil seperti Pulau Bayas, Pulau Sumas, Pulau Jelatang, Pulau Batu Pipit yang juga dikenali sebagai Pulau Mahathir, tidak ramai yang menyedari tasik dengan keluasan 38,000 hektar itu juga kaya dengan tinggalan sejarah purba.

Gua Bewah yang terletak 578 meter dari aras laut di tasik itu, cukup dikenali sebagai gua batu kapur yang mempunyai bentuk dan formasi stalaktit dan stalagmit yang unik seperti bentuk burung unta dan lembaga manusia yang sedang sujud. Namun, di sebalik keistimewaan itu, tersingkap sejarah bahawa Gua Bewah adalah penempatan manusia di zaman Mesolitik dan Neolitik.

Nama Gua Bewah dipercayai berdasarkan kedudukannya yang berdekatan dengan Bukit Bewah.

Sekumpulan penyelidik arkeologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang menjalankan kerja penggalian sejak November lepas, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu UKM, Prof Datuk Dr Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, sepanjang kerja-kerja penggalian yang dilakukan mulai November tahun lalu, banyak artifak lain ditemui di gua berkenaan.

Antaranya ialah kulit siput, tulang haiwan, tanduk kambing, alat batu jenis Sumatralith, pisau batu, batu pengetuk, batu pelandas dan sisa tanah liat yang dibakar.

Katanya, berdasarkan penemuan itu, beliau yakin sememangnya terdapat hidupan prasejarah di dalam gua berkenaan.

"Masih banyak lagi penyelidikan yang perlu dilakukan pada masa akan datang kerana kajian lebih mendalam perlu dilakukan supaya maklumat lebih tepat dapat dikumpul dan didokumentasi serta dapat disebar kepada pelancong," katanya.

Menurut Dr Nik Hasan Shuhaimi, sehingga kini pasukan penyelidik itu melakukan sebanyak 20 peratus kerja penggalian di Gua Bewah.

"Saya percaya masih banyak lagi artifak bersejarah di gua ini dan kami akan cari lagi. Buat masa ini, semua artifak yang kami jumpa, kami simpan di Muzium Negeri dulu. Kami ada dua tahun lagi untuk kerja cari gali di Gua Bewah," katanya.

Dr Nik Hasan Shuhaimi juga mengesahkan bahawa kebanyakan penemuan artifak sejarah di gua itu datang dari dua zaman iaitu zaman Mesolitik dan zaman Neolitik.

"Yang membezakan dua zaman itu ialah contohnya kapak batu. Kami menjumpai banyak kapak batu. Zaman Mesolitik kapak batunya kasar tetapi Neolitik ini, dia bertamadun sikit.

"Kapak batunya licin dan mereka juga mempunyai lembing batu. Kegiatan kedua-dua zaman itu ialah memburu dan mengumpul. Zaman Neolitik juga, mereka mempunyai tembikar," tambahnya.

Beliau juga berkata, bahawa setiap maklumat berhubung artifak yang ditemui akan didokumentasi pada 2012.

Sebelum ini, Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu dilaporkan pernah melakukan kerja penggalian pada Julai 1976 dan antara artifak yang ditemui ketika itu termasuk rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang siput sedut.

Pengunjung yang berminat untuk menikmati keindahan gua ini, perlu mendaki 240 anak tangga untuk ke pintu gua sebelum dapat merasai suasana udara sejuk di dalam gua selain melihat pokok keladi besar dan cili padi hidup subur di hadapan pintu gua berkenaan.

Gua Bewah juga dilengkapi dengan sistem solar untuk menyalurkan kuasa elektrik bagi pencahayaan lampu di dalam gua berkenaan bagi kemudahan pengunjung yang berkunjung ke situ.

Di samping itu, kerajaan negeri membina laluan untuk memudahkan pergerakan pengunjung dan pengunjung juga boleh membawa lampu suluh kerana tidak semua kawasan di dalam gua berkenaan dilengkapi dengan lampu.

Mereka yang berminat untuk mengunjunginya boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong dan menaiki rumah bot untuk ke gua berkenaan menerusi ejen yang disediakan iaitu Bahtera Petang Houseboat.

Bahtera Petang Houseboat mampu memuatkan maksimum 12 orang dalam satu-satu masa dan bayaran yang dikenakan bergantung kepada tempoh yang dikehendaki oleh pengunjung.

Bagi pakej dua hari satu malam, bayaran yang dikenakan oleh perkhidmatan itu ialah RM280 dan pakej tiga hari dua malam, RM470 dikenakan manakala RM188 akan dikenakan sekiranya pengunjung menambah sehari bermalam.

Bahtera Petang Houseboat mempunyai dua bilik di mana satu bilik mempunyai dua katil bujang manakala sebuah bilik lagi mempunyai dua buah katil bertingkat dan lebihan enam penumpang lagi, mereka akan diberi kelengkapan tidur untuk tidur lobi rumah bot.

Pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan rumah bot melalui Jeti Jenagor atau Pangkalan Gawi.

Pengunjung juga dikenakan bayaran RM1 sebagai bayaran masuk ke Taman Negara dan bagi mereka yang membawa kamera, bayaran RM10 dikenakan dan mereka juga diminta membuat surat kebenaran kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

"Surat kebenaran untuk memasuki Taman Negara perlu dibuat dan dihantar sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh untuk memasuki kawasan Taman Negara. Bagi yang membawa kamera tetapi tidak mengisytiharkan barangan itu, mereka boleh dikompaun," kata Pengarah Perhilitan, Jamalun Nasir Ibrahim.

Rencana Bernama

Tuesday, March 23, 2010

Terengganu dapat tambahan RM500j

Datuk Ahmad Said menyatakan kesyukurannya kerana Terengganu kini aman dan dibekalkan dengan rezeki Allah seperti minyak dan gas, keindahan alam semula jadi untuk industri pelancongan selain bumi yang subur.

Selain itu beberapa penemuan baru bahan galian yang akan diumumkan kelak akan menjadikan negeri ini tidak lagi bergantung kepada sumber tradisi seperti minyak dan gas.

Bagi beliau sumber baru seperti pelancongan akan mendatangkan hasil kepada negeri.
“Tasik Kenyir yang dibangunkan dan penemuan rangka manusia dipercayai dari zaman Mesolitik di Gua Bewah lebih 18,000 tahun lalu itu menjadikan negeri ini destinasi pelancongan negara,” katanya.

Rangka itu sebagai yang tertua yang ditemui dalam negara setakat ini, selain Perak Man (Orang Perak) yang berusia 13,000 tahun.

Menteri Besar Terengganu bersyukur kerana dalam tempoh dua tahun beliau memegang kuasa Terengganu semakin pesat membangun walaupun sumber kewangannya agak terbatas.

“Insyallah kita akan adakan rundingan pusingan baru dengan Petronas untuk menjamin hak rakyat negeri ini terjaga, “ katanya.

Beliau menyatakan perkara ini dihadapan kira-kira 350 tetamu yang beliau undang bagi majlis kesyukuran dua tahun beliau menjadi Menteri Besar di kediaman rasmi beliau, Seri Iman Kuala Terengganu malam semalam.

Majlis Kesyukuran, Solat Hajat dan Tahlil itu dipenuhi acara sembahyang maghrib, solat hajat, tahlil dan solat isyak. Ahmad Said turut menyampaikan ucapan ringkas sebelum jamuan malam.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail, Exco kerajaan, pegawai tinggi kerajaan dan tetamu jemputan.

Menteri Besar Terengganu itu yakin kerajaan Pusat akan memberikan perhatian sewajarnya selepas beliau menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.

“Perhatian dan keperihatinan kerajaan Pusat terhadap rakyat Terengganu membolehkan negeri ini mendapat tambahan wang ehsan yang akan diserahkan bulan ini.

“Kita dijanjikan oleh Perdana Menteri tambahan RM500 juta selain RM150 juta untuk Mac ini,” katanya.

LPT Fasa 2 boleh diguna pada 2012

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata keseluruhan projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 Negeri Terengganu dijangka akan disiapkan pada Disember tahun hadapan dan dibuka kepada pengguna pada awal tahun 2012.

Projek LPT Fasa 2 Negeri Terengganu dimulakan pembinaannya pada Mac 2006 melibatkan kos RM3.7 bilion.

Beliau berkata pada masa kini Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dalam proses mengeluarkan Notis Penamatan secara Persetujuan Bersama bagi kontrak-kontrak yang terlibat dan akan memanggil semula tender baru yang dijangka pada bulan April atau Mei ini.

"Projek pembinaan LPT Fasa 2 Negeri Terengganu mengalami kelewatan disebabkan ketidakmampuan kontraktor yang dilantik meneruskan perlaksanaan projek berikutan kenaikan mendadak harga bahan binaan di pasaran dunia antara akhir tahun 2006 hingga awal tahun 2008.

"Untuk mengatasi masalah ini, kementerian mengadakan rundingan dengan kontraktor yang terlibat dan bersetuju dengan beberapa perkara seperti cadangan penamatan kontrak secara Persetujuan Bersama bagi kontraktor yang menghadapi masalah kecairan tunai dan enggan meneruskan projek," katanya menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) di Dewan Rakyat semalam.

Shaziman berkata pada masa kini juga, JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang meneliti dan membuat penilaian terhadap jumlah kos tambahan yang diperlukan.

Peruntukan RM4 Juta Untuk Jalan Dan Longkang Di Setiu

Kerajaan negeri Terengganu meluluskan peruntukan serta merta RM4 juta untuk membina jalan baru dan longkang di Langkap dan Permaisuri bagi kemudahan rakyat di luar bandar.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata ia tidak termasuk peruntukan untuk pembangunan infrastruktur yang lain dari semasa ke semasa.

"Ini merupakan sebahagian daripada program kerajaan negeri untuk memberi kemudahan kepada rakyat di luar bandar," katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan jalan dan longkang di beberapa buah kampung di Setiu semalam.

Katanya pada masa yang sama kerajaan akan memberikan perhatian dan mencari jalan terbaik bagi mengatasi kemalangan yang sering melibatkan beberapa buah jalan di daerah itu.

Sementara itu Ahmad Said berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan RM4 juta untuk membina dua tangki baru yang berkapasiti empat juta liter sehari berbanding satu juta liter sekarang ini sebagai jalan menyelesaikan masalah bekalan air di Pulau Redang.

Empangan RM333j Atasi Masalah Pengairan Daerah Besut


Menteri Besar melakukan pecah tanah Projek Pembangunan Empangan Paya Peda, Besut.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang mengusahakan pembinaan sebuah Empangan Paya Peda bernilai RM333 juta khusus bagi membantu meningkatkan keupayaan dan kecekapan pembekalan air kepada 5,174 hektar kawasan jelapang padi di daerah Besut.

Menteri Pertanian dan Industri Tani Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata projek yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2013 itu akan berfungsi sebagai takungan air terbesar daerah untuk dimanfaatkan bagi penanaman padi.

Beliau berkata ia juga akan menjadi sumber bekalan air bersih untuk diminum, ternakan ikan air tawar, menyumbang kepada industri pelancongan, serta mampu mengatasi masalah banjir di daerah berkenaan.

Menurutnya kawasan empangan itu dapat dijadikan sebagai satu kawasan eco tourism kerana ia bakal mempunyai kawasan rekreasi berasaskan takungan air, tanaman herba hutan dan tanaman pohon bernilai tinggi seperti beberapa jenis spesis pokok cendana, pokok cengal, dan pokok jati.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pecah tanah projek pembangunan Empangan Paya Peda, di Agga Barrage di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Empangan yang terletak kira-kira 1.5 kilometer di Hulu Angga Barrage dan 17 kilometer dari Bandar Jerteh itu sudah dicadangkan pembinaannya semenjak Rancangan Malaysia Ke-tujuh (RMK-7), namun ia tidak dapat dilaksanakan disebabkan tiada peruntukan.

Bagaimanapun dalam RMK ke-9 kerja-kerja reka bentuk, kajian alam sekitar dan kajian tanah dilakukan oleh kementerian dengan peruntukan RM98 juta.

Katanya apabila ia siap kelak empangan seluas 77 kilometer persegi itu akan menjadi kawasan tadahan dan takungan yang mampu menampung sejumlah 168 juta meter padu air yang cukup untuk tanaman padi dua kali setahun di daerah Besut.

Noh berkata selain itu ia juga dapat meningkatkan kecekapan pengairan dari 50 peratus kepada 90 peratus pada setiap masa sekaligus dapat mengurangkan risiko masalah banjir dan kemarau apabila siap kelak.

Kajian Kemungkinan Bina Rel Ke Pantai Timur Siap Hujung Tahun Ini

Kajian mengenai kemungkinan untuk mengadakan perkhidmatan rel ke Pantai Timur yang dilaksanakan kerajaan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dijangka siap hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata secara umum, ECERDC mengenal pasti laluan landasan kereta api dari Lembah Klang ke Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kuala Terengganu, Besut iaitu hampir semua bandar besar di Terengganu dan seterusnya ke Pasir Putih, Kota Baharu hingga ke Tumpat.

"Pertimbangan seterusnya adalah tertakluk kepada rumusan dan syor kajian berkenaan kelak," katanya menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Kuala Terengganu) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Mohd Abdul Wahid ingin tahu adakah kerajaan berhasrat untuk mengadakan rangkaian perkhidmatan kereta api sehingga ke Terengganu pada masa akan datang sebagai tambahan kepada perhubungan dan pengangkutan yang sedia ada bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi serta menambah baik sistem pengangkutan di Terengganu.

Abdul Rahim berkata hasil kajian itu akan membolehkan kerajaan menentukan larasan landasan serta bentuk perkhidmatan kereta api yang akan dilaksanakan di Pantai Timur kelak.

TADC Pembekal Benih Kerapu Utama Negara


Datuk Ahmad bersama Datuk Seri Noh Omar melihat cara pembenihan ikan kerapu dijalankan di Projek Ternakan Ikan Kerapu Berteknologi Tinggi Tanjung Demong, Besut. - Gambar oleh Suhaimi Rafiee (UKOM Besut)

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Projek pembenihan dan ternakan ikan kerapu berteknologi tinggi yang diusahakan Terengganu Agrotech Development Corp.Sdn Bhd (TADC) bakal mengubah sosio ekonomi penduduk apabila mengeluarkan hasil kelak.

Buat permulaan, 5,000 benih kerapu oren dan harimau diternak secara berasingan di dalam 2,000 sangkar khas di kawasan Tanjung Demong, Besut.

Untuk mendapat kuantiti dan kualiti ikan yang diingini, TADC mendapat kerjasama Seraya Akuatik (M) Sdn Bhd, Universiti Malaysia Terengganu dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Pengerusi Eksekutif TADC, Razali Idris, berkata penglibatan secara langsung 250 penduduk Program Pembangunan Rakyat Termiskin yang sebelum ini hanya bergantung kepada hasil laut dan tanaman sekurang-kurangnya dapat mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.

“Mereka yang sudah mempunyai asas berkaitan ternakan ikan bakal memperoleh pendapatan sampingan antara RM500 hingga RM600 sebulan,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ke kawasan Projek Ternakan Ikan Kerapu Berteknologi Tinggi di Tanjung Demong, Besut.

Turut serta dalam lawatan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Encik Rozi Mamat, Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr Abdullah Muhammad Zin dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Selain memberi fokus untuk membasmi kemiskinan, TADC berhasrat menjadikan Terengganu sebagai pembekal benih dan ikan kerapu utama negara.

Datuk Ahmad berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersetuju menjadikan hasil projek di Tanjung Demong sebagai pembekal utama pembenihan dan pengeluaran ikan kerapu bagi keperluan pasaran tempatan dan luar negara.

“Keputusan itu mampu menjadikan TADC mendapat pengiktirafan selain mempunyai daya saing kerana menjadi pembekal utama pembenihan dan ikan kerapu utama negara.

“Projek yang diusahakan ini adalah inisiatif kerajaan untuk menjana ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat terutama nelayan serta petani,” katanya.

RM30j selesai masalah muara cetek

Masalah muara Sungai Setiu cetek yang agak kritikal dihadapi nelayan daerah ini dapat diatasi selepas kajian terperinci selesai dalam masa terdekat, sebelum usaha membaik pulih dan juga rancangan pembinaan struktur pemecah ombak dilakukan.

Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri dijangka membelanjakan RM30 juta termasuk membina sebuah kompleks perikanan, bertujuan memberi kemudahan kepada lebih 600 nelayan untuk keluar menangkap ikan.

Perkara itu dijelaskan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir Mat Hussin Ghani ketika menyampaikan taklimat kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berhubung pelaksanaan projek berkenaan di bilik mesyuarat Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kampung Baru Penarik, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Rozi Mamat; Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Asha’ari Idris.

Ir Mat Hussin berkata, dalam tempoh empat tahun bermula 2005 hingga 2009, JPS telah melaksanakan empat projek jangka pendek di muara Sungai Setiu, membabitkan kos keseluruhan RM1.29 juta.

“Projek jangka pendek dimulakan pada 2005, membabitkan peruntukan RM850,000, 2006 (RM200,000), 2007 (RM150,000) dan 2009 (RM90,000), melibatkan kerja mendalamkan muara sungai,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, muara baru digali itu hanya dapat digunakan dalam tempoh singkat dan kembali cetek selepas itu.

Sehubungan itu katanya, bagi mengatasi masalah berkenaan, kajian terperinci giat dilakukan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Difahamkan, jika projek berkenaan dapat dilaksanakan, ia akan mengatasi masalah muara cetek yang membelenggu lebih 600 nelayan dari Kampung Mangkuk, Penarik Baru, Penarik, Fikri, Saujana, Pengkalan Gelap dan Gong Batu sejak 10 tahun lalu.

Sunday, March 21, 2010

201052 – ANGKA KERAMAT APAKAH ITU?

Ini adalah angka keramat. Jangan pula ia jadi nombor ekor!

Bagi Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan seluruh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri atau Exco, nombor ini sudah ditanam di kepala mereka.

Malah nombor ini turut diserapkan kepada setiap Ketua Bahagian UMNO, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung dan seluruh penggerak masyarakat.

Difahamkan, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu turut bersetuju dan akan berusaha membantu kerajaan negeri mencapai matlamat ini.

Memanglah ini bukan usaha mutlak menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu, namun ia sebahagian usaha yang penting selain program lain seperti e-book, TBKids biasiswa, pinjaman, hadiah pelajar cemerlang, hadiah ijazah kelas pertama dan sebagainya.

Untuk apa diperkenalkan angka keramat?

Bagi peperiksaan utama tahun lalu, Terengganu menjadi juara bagi tiga daripada empat peperiksaan yang diadakan. Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan ia dicapai hasil usaha gigih kerajaan menjadikan Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu.

Selepas mencapai kedudukan yang terus cemerlang apabila muncul juara seluruh negara bagi tiga peperiksaan utama sepanjang tahun lalu, Ahmad Said kini meletakkan sasaran.

Terengganu menjuarai peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu.

Hanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan Khamis lalu Terengganu tidak mendapat tempat pertama namun keputusannya amat memberangsangkan malah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun Terengganu tidak menjadi juara keputusan SPM tahun lalu, Nilai Gred Purata (NGP) bagi negeri ini mengatasi pencapaian peringkat nasional iaitu 5.34. Bagi peperiksaan SPM tahun lalu, negeri ini mencatatkan NGP 5.08 berbanding 5.27 pada tahun 2009.

Baiklah apa signifikannya angka 20 pada 201052?

Terengganu sudah menjadi juara UPSR buat kali kesembilan berturut-turut tahun lalu manakala kedudukan tempat pertama bagi peperiksaan PMR dan STPM diraih bagi tahun kedua berturut-turut.

Semuanya ini ada kait mengait dengan usaha gigih kerajaan. Berikutan itu untuk UPSR, Terengganu mensasarkan 20 peratus daripada keseluruhan muridnya yang mengambil peperiksaan itu mendapat 5A.

Ini berikutan daripada 23,944 calon yang menduduki UPSR di 381 pusat peperiksaan pada 2009, 3,664 mendapat semua A atau 15.3 peratus iaitu peningkatan satu peratus berbanding 2008.

Keputusan UPSR kali ini juga meningkat dalam pencapaian minimum C kepada 68.8 peratus.

Nilai gred purata negeri (GPN) juga meningkat kepada 2.22, nilai ini mengatasi pencapaian tahun lalu (2.24), selain mengatasi GPN peringkat nasional yang mencatat 2.33.

Adalah tidak mustahil untuk mendapatkan angka sasaran kerana apabila jumlah pelajar mengambil peperiksaan itu pada jumlah lebih sedikit daripada tahun lalu dalam tempoh dua tahun lagi, Terengganu mensasarkan kira-kira 5,000 pelajar mendapat 5A.

Penambahan 4.7 peratus lagi tidak sukar. Kenapa? Ini kerana pengenalan e-book menunjukkan pencapaian peperiksaan tahap 5 tahun lalu meningkat sebanyak empat (4 peratus) dan dalam tempoh dua tahun lagi, sasaran tidak sukar untuk dicapai.

Berikutan itu Kerajaan Terengganu akan mengagihkan 800 unit e-Book kepada semua guru yang mengajar murid Tahun Enam di Terengganu sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.

Ahmad Said berkata sebelum itu, guru berkenaan akan terlebih dahulu menjalani tiga siri kursus yang dikendalikan syarikat komputer Intel dengan kerjasama kerajaan negeri.

Bagaimana pula dengan angka 10?
Ia berkaitan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Walaupun kini hanya 10 peratus pencapaian straight A dicapai daripada keseluruhan pelajar yang menduduki peperiksaan itu, Terengganu yakin ia akan dapat menambah 10 peratus lagi dalam tempoh dua tahun.

Terengganu cemerlang dalam keputusan PMR tahun lalu.
Bagi Sijil Pelajaran Malaysia pula, Terengganu berharap sebanyak lima (5 peratus) pelajarnya mendapat straight A. Dengan Nilai Gred Purata (NGP) bagi negeri ini mengatasi pencapaian peringkat nasional iaitu 5.34, Ahmad Said yakin Terengganu akan mampu mencapai sasaran itu.

Terengganu mencatatkan NGP 5.08 dalam peperiksaan SPM berbanding 5.27 pada tahun 2009.
“Saya yakin dalam tempoh beberapa tahun lagi kita juga mampu menjadi juara bagi peperiksaan SPM," tambahnya.

Bagaimana pula dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)?
Sasaran kerajaan Terengganu adalah 2 peratus pelajarnya mendapat 4A dan denganh pencapaian cemerlang tahun ke tahun dalam peperiksaan PMR dan SPM, usaha ini akan membuahkan hasil.

Bagi Ahmad Said, sasaran ini bukan ‘dongengan’ tetapi kenyataan kerana pelbagai usaha kini dijalankan kerajaan negeri, selain galakan dan bantuan kepada pelajar yang lama diperkenalkan.

JPJ Lancar "Ops Checkmate" Untuk Kurangkan Kemalangan Maut

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melancarkan operasi khas yang dinamakan `Ops Checkmate' dengan tumpuan penguatkuasaan kepada empat sasaran utama dalam usaha mengurangkan kemalangan maut di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Solah Mat Hassan berkata, operasi itu yang bermula sejak 1 Mac lepas sehingga satu tarikh yang tidak ditetapkan tempohnya, merupakan kesinambungan penguatkuasaan Ops Sikap XXI sempena Tahun Baru Cina lepas.

"Operasi khas 24 jam itu melibatkan 1,500 anggota penguatkuasa JPJ dari seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam.

Katanya, sasaran utama tertumpu kepada kesalahan memandu melebihi had laju oleh bas ekspres di lebuh raya, kesalahan lalu lintas, melanggar syarat Pengeluaran Permit Edaran Antarabangsa (ICP) oleh kenderaan asing dan membawa lebih muatan.

Katanya semasa operasi itu, JPJ akan menggunakan pendekatan penguatkuasaan secara penyamaran untuk mengekang pengguna jalan raya daripada melakukan tujuh kesalahan utama yang menjadi penyebab kemalangan.

Tujuh kesalahan tersebut ialah memandu lebih daripada had laju dibenarkan (pemandu bas ekspres), tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, memandu secara merbahaya (menggunakan telefon bimbit), memotong garisan berkembar serta mengekori rapat kenderaan hadapan.

Selain itu, katanya penguatkuasaan juga akan memberi fokus kepada kesalahan pemakaian tali keledar depan dan belakang dan topi keledar sebagai penyumbang utama kematian akibat kemalangan jalan raya.

Menurutnya, sejak operasi bermula sehingga semalam, sebanyak 1,715 kesalahan telah dikesan dengan kesalahan gagal mematuhi peraturan lampu isyarat paling banyak direkodkan iaitu 726 kes.

Ia diikuti dengan kesalahan tidak memakai topi keledar sebanyak 457 kes, memotong barisan (194), tidak memakai tali keledar hadapan/belakang (131), memandu di lorong kecemasan (78), memotong di garisan berkembar (66) dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu tanpa menggunakan alat bebas tangan (63).

Solah juga berkata saluran khas aduan melalui laman web aduantrafik@jpj.com menerima sambutan amat menggalakkan berhubung pesalah lalu lintas.

"Melalui aduantrafik@jpj.com ini, aduan-aduan itu akan diproses secara online sehingga proses temu siasat dilakukan di mana-mana pejabat JPJ dan orang awam boleh mengemukan aduan lengkap dengan menyertakan gambar sebagai bukti," katanya.

Katanya, selain gambar, orang ramai yang ingin membuat aduan perlu mengemukakan tarikh, dan tempat kesalahan serta jenis kesalan yang dilakukan.

Katanya dalam tempoh dua minggu selepas operasi itu bermula, JPJ telah menerima sebanyak 10,536 aduan bergambar yang disumbangkan oleh orang awam dan anggota JPJ yang menyamar.

"Tindakan susulan telah diambil dengan menghantar Notis Panggilan Temusiasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dihantar kepada pemilik kenderaan bagi mengemukakan pemandu yang melakukan kesalahan pada tarikh, masa dan tempat kejadian seperti dalam aduan," katanya.

Katanya, sehingga kini sebanyak 5,593 Notis Panggilan Temusiasat dan Notis Arah Periksa telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan dengan 833 kes telah selesai dan 9,703 lagi masih menunggu pemilik untuk hadir.

Solah berkata pemilik yang gagal hadir pada tarikh yang ditetapkan, nombor pendaftaran kenderaan mereka akan disenaraihitam dan mereka juga akan dikenakan satu lagi saman kerana ingkar dengan notis yang dikeluarkan itu.

Orang ramai yang ingin membuat semakan saman boleh menyemak e-semak di portal jabatan memalui laman web www.jpj.com.my.