Saturday, July 17, 2010

Empat ADUN Kawasan Setiu Diminta Utamakan Kepentingan Parti

Empat wakil rakyat kawasan Setiu yang tidak hadir pada persidangan perwakilan bahagian itu semalam diminta supaya mengutamakan kepentingan parti dan bukan hal yang remeh temeh.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata mereka sepatutnya duduk semeja bagi menyelesaikan masalah berbangkit dan bukan dengan cara mengambil tindakan yang akhirnya memberikan gambaran tidak baik kepada UMNO negeri.

Beliau yang terkejut dan kecewa dengan apa yang berlaku, berkata perbuatan mereka memberi gambaran seolah-olah mereka membelakangi parti memandangkan persidangan itu dirasmikan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin Masyarakat peringkat akar umbi bahagian Kemaman di Kemaman hari ini.


Ahmad Shabery yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika diminta mengulas kegagalan empat ADUN berkenaan, Ramlan Ali (ADUN Jabi), Abd Halim Jusoh (ADUN Permaisuri), Asha'ari Idris (ADUN Langkap) dan Khazan Che Mat (ADUN Batu Rakit) tidak hadir pada majlis tersebut.

"Walau apapun alasan yang diberi, apabila Timbalan Perdana Menteri datang untuk merasmikan mesyuarat itu, tindakan demikian dilihat sebagai sama seperti memboikot," katanya.

Katanya, beliau berharap kesemua wakil rakyat terlibat dapat memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada Muhyiddin tentang perkara itu.

Perkara itu turut disentuh Muhyiddin dalam ucapannya yang melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan keempat-empat wakil rakyat itu hadir bersama pada majlis tersebut.

Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Setiu, petang Jumaat turut dihadiri, Anggota parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yang juga Ketua UMNO Bahagian Setiu dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Habuan Menanti Pemasangan Jalur Gemilang Paling Kreatif

Pemasangan Jalur Gemilang paling kreatif sepanjang tempoh sambutan bulan kemerdekaan bermula 1 Ogos ini, bakal menerima habuan daripada kerajaan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Abdullah Morad berkata, pihaknya sedang meneliti bentuk habuan yang sesuai untuk pemenang.

"Pertandingan ini akan diadakan mengikut beberapa kategori, antaranya kampung, taman, gedung perniagaan, pejabat kerajaan dan swasta.

"Terpulang kepada peserta bagaimana nak pasang Jalur Gemilang mengikut kreativiti masing-masing, nak selimut satu bangunan atau macam mana," katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat yang mewakili Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Abdullah berkata penyertaan adalah terbuka kepada semua rakyat negara ini.

"Apa yang dibuat kerajaan itu sebagai penghargaan kepada semangat patriotik yang ditunjukkan rakyat yang bersungguh-sungguh menyambut kemerdekaan negara," katanya.

Pelancaran sambutan bulan kemerdekaan sempena Hari Kemerdekaan ke-53 tahun ini dijadual diadakan di Perlis dan akan disempurnakan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Peserta Program Jaya Diri Berjaya Tingkat Pendapatan Sehingga 50 Peratus

Lebih 80 peratus daripada 4,296 peserta Program Jaya Diri (PJD) kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya meningkatkan pendapatan sehingga 50 peratus melalui projek yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

Pengarah YPKT Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, pendapatan kebanyakan peserta PJD yang sebelum ini adalah sebanyak RM500, telah meningkat kepada RM1,000 dan ada juga mencecah RM1,500 sebulan.

Beliau berkata sehingga akhir bulan lalu, terdapat 482 pusat PJD di negeri tersebut yang menjalankan perniagaan dalam bidang pertanian, penternakan, perikanan, kraf tangan, pertukangan dan bengkel.

Katanya tahun ini seramai 64 peserta menerima bantuan pinjaman modal berjumlah RM259,000 untuk memajukan perniagaan mereka.

"Hasil bimbingan dan semangat peserta, empat peratus daripadanya juga telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka kepada lebih daripada RM1,500 sebulan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan penghargaan kepada 20 peserta berdikari PJD Parlimen Besut di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong Jerteh, hari ini.

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Disaran Jadi Program Realiti

PESERTA dari Sarawak (dari kiri) Shahrizan Sarbini, Al-Zubair Zainon dan Azwan Kajang bergambar bersama hadiah yang dimenangi menjuarai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia peringkat kebangsaan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 17 Julai. - Gambar Utusan

Kerajaan negeri Terengganu mencadangkan supaya pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia dijadikan program realiti di televisyen bagi menarik penyertaan lebih ramai rakyat negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) boleh berperanan sebagai stesen penyiar program tersebut.

"Seperti juga program realiti Imam Muda dan Akademi Al-Quran yang menarik minat pelbagai golongan, pertandingan ini juga dijangka mampu menarik ramai penonton.

"Paparkan kisah tokoh negara, peristiwa-peristiwa sejarah yang diolah menjadi skrip dengan baik, ia dilihat pendekatan yang baik untuk menerapkan semangat patriotik di kalangan rakyat termasuk golongan muda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia peringkat Kebangsaan 2010 di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau mewakili Menteri Besar Datuk Ahmad Said. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Abdullah Morad.

Pertandingan yang masuk tahun kelapan itu dimenangi peserta Sarawak iaitu Al-Zubair Zainon, Azwan Kajang dan Shahrizan Sarbini melalui kisah "Memori Sebuah Tirai Besi" untuk membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan piala pusingan serta sijil penyertaan.

Tempat kedua dirangkul peserta Kedah iaitu Maudah Ali, Anis Shaari, Yusra Abdul Hamad melalui "1Malaysia Dalam Konteks Pendidikan: Segalanya Bermula Daripada Sebuah Cita-cita", manakala Raja Sarah Mayiza Raja Mohamood, Lim Soon Vin dan Puvanamala Sivavikkraman dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dengan kisah "Pasir Salak" menduduki tempat ketiga.

Pemenang tempat kedua menerima wang tunai RM2,500 selain piala, piala pusingan dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga pula mendapat RM2,000, piala, piala pusingan serta sijil penyertaan.

Sementara itu, Abdullah berkata beliau menyambut baik cadangan tersebut dan akan menyediakan kertas kerja mengenainya untuk dibentangkan pada Mesyuarat Pengurusan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam masa terdekat.

"Cadangan ini akan dikemukakan dalam mesyuarat untuk pertimbangan dan jika ia dipersetujui, RTM akan melaksanakannya," katanya.

Muhyiddin Kecewa 4 ADUN 'Boikot' Mesyuarat UMNO Setiu

Perpaduan - Ketua Setiu, Besut, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu bersama Muhyiddin pada mesyuarat UMNO Setiu semalam - Gambar Zulkifli Putra.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam melahirkan rasa kecewa dengan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu yang dipulaukan oleh empat wakil rakyat di kawasan itu.

Mereka adalah ADUN Jabi, Ramlan Ali; ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh; ADUN Langkap, Asha'ari Idris dan ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat.

"Empat wakil rakyat tak hadir, saya pun dukacita jugalah, saya tak sebelahi mana-mana pihak dalam soal politik, tapi sebagai timbalan presiden saya rasa agak kecewa.

"Mungkin ada masalah tertentu, mungkin ada hubungkait dengan jawatan dan pimpinan. Apa yang saya nak tekankan, apa saja isu dan permasalahan yang timbul antara kita, mesti kita selesaikan dengan bijaksana," katanya kepada Bernama.

Turut hadir, ahli parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yang juga ketua Umno bahagian Setiu, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang, Ketua UMNO Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid dan ketua Umno bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Timbalan Presiden Umno itu juga mengingatkan ahli Umno supaya menyelesaikan segera permasalahan atau pergeseran yang berlaku sesama mereka dalam usaha mengembalikan semula kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Katanya, perpaduan dalam parti itu perlu segera diperkukuhkan kerana ia menyumbang bagi mengukuhkan kedudukan parti dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Muhyiddin disambut kehadirannya bagi merasmikan mesyuarat tersebut.

"Kalau ada isu dan rasa tak puas hati, tersinggung atau dipinggirkan, apa saja perasaan dan sentimen yang merenggangkan hubungan dan memberi impak kepada usaha memperkukuhkan parti, hal sebegini perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Saya sebut ini bukan saja untuk Setiu, malah juga di tempat-tempat lain," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu.

Dalam masa yang sama, kata beliau, anggota Umno sendiri perlu ikhlas dengan niat sebenar untuk menjadi anggota parti itu sama ada benar-benar ingin berjuang kepada parti atau sebaliknya.

"Sepatutnya jadi anggota Umno kita serah apa yang ada pada kita, jiwa dan raga demi untuk perjuang nasib Orang Melayu dan Islam di negara kita. Kita ada pilihan, tak ada orang marah kalau tak jadi anggota Umno," katanya.

Katanya menjadi kewajipan dan tanggungjawab semua pihak sama ada di peringkat pimpinan dan akar umbi untuk mengekalkan hubungan baik dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul.

"Bermuhasabahlah kita, dengan mengambil langkah yang bijaksana untuk selesaikan masalah kita. Lagi cepat selesai, lagi baik kerana tanggungjawab kita nak bela dan beri perhatian nasib bangsa kita dan dalam masa sama kita tidak abai tanggungjawab untuk pimpin masyarakat lain kerana kita jadi kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata Umno perlu bangkit semula dalam situasi mencabar terutama selepas keputusan mengejutkan pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Katanya, usaha perlu dilipat ganda untuk menebus balik negeri-negeri yang terlepas ke tangan pembangkang dan mengembalikan kedudukan dua pertiga Barisan Nasional di parlimen.

"Senario hari ini, kita bukan lagi menghadapi cabaran tetapi ancaman dan kedudukan kita boleh tergugat kalau kita tak jaga.

"Pokoknya, usaha yang boleh kita lakukan untuk kukuhkan parti, jika kuat, rakyat lebih yakin dengan kita, mana yang duduk di tepi-tepi, mereka akan kembali yakin kepada kita, pimpinan dengan semangat baru, mereka akan kembali sokong kita," katanya.

Lambakan Tembikai Kelantan, Resahkan Penanam Terengganu

Lambakan tembikai daripada beberapa negeri, termasuk Kelantan menyebabkan petani di Terengganu mengeluh berikutan penurunan mendadak harga sekali gus menjejaskan pendapatan mereka yang hanya bergantung hidup daripada hasil tanaman itu.

Dua minggu lalu, petani negeri ini menjual kepada pembekal tempatan pada harga purata 70 sen sekilogram, tetapi kini menurun kepada 45 sen sekilogram selepas pasaran dilambakkan tembikai pada harga lebih murah.

Lebih memburukkan nasib penanam tembikai ialah kedatangan lebih awal musim buah-buahan tempatan termasuk durian yang dijangka menjatuhkan lagi harga tembikai di pasaran.

Sehubungan itu, Ab Rahim Muda, 47, dari Kampung Bukit Nasi, berharap pihak berkuasa tempatan mengawal kemasukan tembikai dari negeri jiran supaya tidak mewujudkan lambakan di pasaran.

Perlu ada pemantauan supaya hasil tani dari negeri luar tidak dibawa masuk bagi memastikan petani di negeri ini dapat meraih hasil berpatutan dan sepadan dengan pelaburan dan keringat mereka mengusahakan tanaman termasuk tembikai.
Sebagai petani yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman ini, berapa sangat hasil yang akan kami dapat jika satu kilogram tembikai hanya 45 sen sedangkan peruncit menjualnya pada harga RM1.50 hingga RM2 sekilogram, katanya ketika ditemui Edisi Timur di sini, kelmarin.

Muda Ismail, 70, dari Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, pula berkata, dia runsing setiap kali memikirkan kemungkinan besar tembikai yang ditanamnya tidak dapat dijual seperti biasa dengan ketibaan musim buah durian, rambutan serta duku mulai bulan depan.


Jika keadaan itu berlaku, kemungkinan besar tembikai kami terpaksa dijual pada harga sangat murah malah pada tahun lalu, banyak yang tidak dapat dijual.

Orang ramai akan lebih tertumpu kepada buah-buahan lain dan mengetepikan tembikai secara tidak langsung permintaan terhadap buah ini turun dan harga pula jatuh sedangkan tembikai melambak malah tidak dapat dijual ke tempat lain, katanya yang sudah menanam tembikai sejak 25 tahun lalu.

Muda berkata, petani di negeri ini termasuk penanam tembikai tidak dapat bergantung harap kepada FAMA kerana harga yang dibeli agensi itu juga terlalu rendah dan tidak berbaloi dengan usaha mereka.


Berita Harian

JAKIM Akan Tempatkan Pegawai Perhubungannya Di Setiap Negeri

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menempatkan pegawai perhubungan atau "hadhari" di seluruh negara bagi menyelaraskan urusan pentadbiran berkaitan agama Islam antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

Setakat ini JAKIM mempunyai pegawai terbabit selain Kelantan ialah Terengganu, Perlis dan Melaka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata ketika ini pegawai berkenaan hanya ditempatkan di beberapa negeri dan Kelantan adalah antara negeri terawal menerima penempatan itu.

Menurutnya, pegawai berkenaan ditempatkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) di negeri masing-masing bertujuan menyelaraskan tugas-tugas berkaitan dengan agama Islam antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Kita bercadang untuk mewujudkan pegawai terbabit di semua negeri di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian dan makan malam sempena Persidangan Ketua-ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia ke-83, di Kota Bharu, malam semalam.


Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Wan Mohamad, status penempatan Pegawai Hadhari di Pejabat SUK di semua negeri itu turut dibincangkan dalam kertas kerja berkaitan penyelarasan antara negeri sempena mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-51 pada 25 Mei lepas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat itu juga membentangkan kertas kerja mengenai beberapa isu berkaitan agama, termasuk memperkasa program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), pelaksanaan mekanisme penyeragaman pensijilan Halal antara JAKIM dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

"Ia juga merangka rancangan Lima Tahun Menangani Ajaran Sesat Keempat (2010-2014) dan laporan Keberkesanan Pelaksanaan bagi tahun 2008," katanya.

Katanya, semua isu-isu ini amat memerlukan penelitian dan pandangan negeri-negeri dalam meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia agar ia seragam dan tidak mengelirukan rakyat.

Wan Mohamad berkata, persidangan Ketua-ketua Jabatan/Majlis Agama Islam ini dianjurkan jabatannya sejak 1975 membabitkan pembentangan 560 kertas kerja.

"Kali ini Kelantan menjadi tuan rumah bagi kali kelima selepas 1979, 1985, 2002 dan 2006," katanya.

Menurutnya, antara isu-isu penting yang disepakati dan diguna pakai oleh negeri-negeri hasil persidangan itu ialah penyelarasan isu halal, penyelarasan isu pendidikan Islam iaitu Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) dan penyelarasan isu ajaran sesat.

Perjuangan UMNO Belum Selesai - Muhyiddin


Ahmad Said disambut sebelum merasmikan mesyuarat bahagian Kuala Nerus, semalam - Gambar Zulkifli Putra.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjuangan Umno masih belum selesai selagi sasaran memastikan orang Melayu menguasai 30 peratus ekuiti bumiputera dalam sektor ekonomi belum tercapai.

Beliau berkata, setelah dasar Dasar Ekonomi Baru (DEB) tamat pada 1990 hanya 18 peratus daripada sasaran itu berjaya dicapai dan sehubungan itu semangat DEB akan diteruskan untuk memastikan 30 peratus kekayaan ekuiti negara dicapai oleh orang Melayu.

"Dalam keadaan pembangunan yang pesat, pencapaian masyarakat Melayu dalam penguasaan ekonomi tidak memuaskan, dahulu ada DEB yang menetapkan 30 peratus kekayaan negara mesti dikuasai Melayu, namun setelah dasar itu tamat, sasaran itu masih belum dicapai.

"Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri secara terang menyatakan selagi mana masyarakat Melayu tidak mencapai sasaran 30 peratus, pimpinan negara akan terus memperjuangkan untuk mencapai sasaran itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di Kuala Terengganu, semalam yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Turut hadir kesemua wakil rakyat Umno kawasan Kuala Nerus iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman, ADUN Teluk Pasu Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan ADUN Tepoh Ramli Noh.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata dasar yang dilakukan kerajaan untuk mencapai sasaran itu tidak lagi seperti dahulu yang memastikan setiap syarikat bumiputera mahupun pun bukan bumiputera mestilah 30 peratus ekuiti dimiliki orang Melayu bersama sekatan-sekatan tertentu.

Beliau berkata dengan keadaan eknomi dunia yang lebih kompetitif pada masa kini, kerajaan mengamalkan dasar yang lebih terbuka serta liberal dengan membantu orang Melayu berdasarkan meritokrasi, kelebihan dan kemampuan yang ada pada mereka.

Katanya soal kemiskinan di negara ini, masih diberi perhatian utama oleh kerajaan tanpa mengira bangsa walaupun sebahagian besar telah diatasi dan ia masih dibincangkan di peringkat kabinet mahupun pentadbiran.

Katanya, begitu juga dalam bidang pertanian, walaupun sebahagian besar orang Melayu terlibat dalam bidang itu dengan menjadi petani, penternak dan nelayan, namun daripada segi hasil ia masih terbatas.

Ini kerana, katanya, teknologi yang digunakan masih tidak canggih yang menyebabkan produktiviti rendah dengan pulangan pendapatan yang kecil sehingga masih ramai petani berpendapatan sederhana, malah ada yang dikategorikan dalam golongan miskin.

Katanya, Umno juga akan terus membantu orang Melayu memberikan perhatian kepada soal pelajaran kerana hanya dengan ilmu pengetahuan dapat membangunkan modal insan yang cemerlang dalam semua bidang.

Pada perjumpaan tersebut, Muhyidin turut meluluskan sebanyak RM1 juta kepada parlimen itu bagi membina empat buah balai raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju meneruskan cadangan pembinaan sebuah Sekolah Sukan di Kompleks Sukan Gong Badok yang diumumkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.


Pengurangan Subsidi Disambut Baik

Persatuan Penternak Ikan Dalam Sangkar Laguna Gong Batu, Terengganu menerima penyelarasan subsidi kerana ia memberikan kebaikan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Dalam Sangkar Laguna Gong Batu, Setiu Johari Awang, 50, berkata secara amnya penyelarasan subsidi itu masih boleh diterima.

Beliau mengulas tindakan kerajaan mengurangkan subsidi yang diumumkan kerajaan kelmarin.

Rata-rata langkah kerajaan disambut baik oleh rakyat memandangkan ianya bertujuan untuk memberikan mereka lebih kebaikan, terutama dari segi pendidikan dan kesihatan.

Bagi Persatuan Pengguna
Pulau Pinang (CAP) tindakan kerajaan itu merupakan pelan komprehensif bagi pengurusan kewangan negara yang lebih mapan.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata bagaimanapun kerajaan perlu memastikan peniaga dan pengeluar tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan menaikkan harga barangan lain.

"Kenaikan harga petrol RON 95 dan gula adalah tindakan betul dan ini akan mengalakkan orang ramai serta industri untuk lebih mengurangkan penggunaan kedua-dua barangan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari Jumaat.

Beliau berkata gula yang merupakan bahan toksik sepatutnya tidak perlu diberikan subsidi memandangkan ia merupakan bahan yang boleh membawa banyak kemudaratan kepada kesihatan dan sepatutnya wang itu digunakan untuk perbelanjaan lain yang lebih manfaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengurangan subsidi untuk petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat berkuatkuasa hari ini.

Subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak lima sen seliter dan LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram. Ini bermakna harga bagi petrol RON 95 ialah RM1.85 seliter manakala LPG akan dijual pada harga RM1.85 sekilogram.

Untuk gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram.

Kapal RV Discovery Bagi Penyelidikan Oseanografi

Kapal RV Discovery milik Universiti Malaysia Terengganu hampir siap sepenuhnya di Kay Marin, Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu, semalam. - Utusan Malaysia

Lokasi bagi penempatan kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhampiran pantai di Mengabang Telipot di Kuala Terengganu mempunyai kaitan dengan rentetan sejarah silamnya yang bermula sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera.

Melalui proses penstrukturan dan transformasi sebagai sebuah universiti awam, ia masih memberi penekanan sebagai pusat penyelidikan dan penerokaan ilmu berasaskan sumber alam yang terbentang luas.

Dalam usaha memperkukuhkan peranannya bagi melahirkan tenaga kerja profesional serta menyumbangkan ke arah pembangunan negara, beberapa perancangan sedang digerakkan termasuk memiliki sebuah kapal penyelidikannya yang sendiri.

Dinamakan Research Vessel Discovery (RV Discovery) yang mencecah kos RM13 juta, ia dijangka diluncur dari limbungan Kay Marin di Kuala Terengganu tidak lama lagi dan merupakan kapal pertama di negara ini khusus bagi penyelidikan oseanografi.

Bidang penyelidikan oseanografi masih dianggap baru di negara ini namun peranan yang dimainkan oleh universiti berasaskan marin dan akuakultur itu memberi sinar baru kepada bidang yang belum begitu luas diteroka oleh anak bangsa.

Langkah UMT membina RV Discovery mungkin boleh dianggap satu titik permulaan kepada penyelidikan secara mendalam di samping meletakkannya sebagai institusi terulung di negara ini dalam bidangnya.

Malah ia bagi memastikan tagline 'Terokaan Seluas Lautan' UMT bukan sekadar paparan dengan wujudnya kapal sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan bagi kemudahan tenaga penyelidik dan mahasiswa terutama jurusan Sains Samudera, Biologi Marin, Sains Nautika, Pengangkutan Maritim dan Teknologi Maritim.

Kapal ini yang dilengkapi dengan peralatan terkini setanding dengan kapal penyelidikan dengan kemampuan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika dan membolehkan masa lebih panjang berada di lautan.

Ini termasuklah peta elektronik, alat bantuan perjalanan, pengukur kedalaman air, pengesan haba dan suhu air di samping alat dengar yang mampu berfungsi walaupun sejauh 30,000 meter di dasar laut.

Ia turut dibekalkan dengan alat beban yang mampu mengangkat dan menurunkan beban seberat lima tan pada satu-satu masa.

Dalam aspek keselamatan, ia dilengkapi sistem pemadam kebakaran pyrogen, juga kemudahan rawatan air masin untuk bekalan minuman selain makmal kering dan basah serta bilik memproses segala data terkumpul.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili, RV Discovery direka bagi memuatkan 12 krew kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa dengan menyediakan kabin yang selesa.

"Selama ini untuk menyiapkan sesuatu penyelidikan, UMT terpaksa menyewa bot atau kapal dengan kos RM15,000 sehari.

Lazimnya sekadar untuk beberapa hari sahaja," ujarnya.

Katanya, walaupun kos membina kapal tersebut dilihat agak besar, namun mereka tiada pilihan kerana tiada kapal penyelidikan yang sesuai.

"Lazimnya masalah yang kita lalui sebelum ini ialah kapal sedia ada tidak mampu untuk belayar jauh di mana kebiasaannya hanya pada jarak 60 kilometer dari darat selain terpaksa bekerja siang dan malam bagi menjimatkan kos pengangkutan.

"Apa yang penting dengan adanya kapal ini, kita juga dapat menjalankan penyelidikan dengan lebih selesa, pergi lebih jauh dan lebih lama apabila mempunyai kemudahan lengkap," katanya ditemui di UMT di Kuala Terengganu, kelmarin.

Katanya, RV Discovery direka khas oleh warga kerja UMT untuk keperluan sebenar dan ia kelak boleh turut dimanfaatkan oleh pihak lain untuk bersama dalam melakukan pelbagai bentuk penyelidikan.

Beliau berharap, penemuan oleh pihak universiti kelak dapat dimanfaatkan untuk kepentingan negara berhubung langkah-langkah pemuliharaan, pendidikan, penjanaan ekonomi dan lain-lain.

Pembinaan RV Discovery yang bermula September 2008 turut memberi cabaran besar kepada syarikat tempatan yang diberi tanggungjawab itu bagi menyiapkannya dengan sempurna mengikut jadual.

Bukan sekadar faktor menggunakan tenaga kerja tempatan yang belum berpengalaman membina kapal sedemikian namun faktor cuaca dan keadaan limbungan turut memberi tekanan.

Mengikut jadual asal, ia sepatutnya siap bulan lalu dan sehingga kini tahap kemajuannya mencapai 95 peratus.

Utusan Malaysia

Hope sediakan peluang jadi sukarelawan bantu penyu

Bagi mereka yang mencintai alam sekitar dan ingin bersama dalam program pemuliharaan penyu, Program Bantulah Penyu Kita (Hope) menawarkan peluang itu.

Menurut Pengerusi Hope, Wan Ahmad Azimi Wan Azmin, mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan dan merasai pengalaman baru dalam kehidupan boleh menyertai program berkenaan.

Katanya, program Hope telah bermula pada Mac lalu dengan mengambil pendekatan projek konservasi merangkumi pemeliharaan dan pemuliharaan habitat penyu di Pantai Tanjung Tukas, Pulau Perhentian.

Beliau memberitahu Utusan Malaysia di semalam, projek yang diberi nama 'Perhentian Community Turtle Project' itu merupakan projek utama Hope pada tahun ini.

"Melalui projek ini kita amat mengalu-alukan penyertaan orang awam dalam usaha memberi pendedahan kepada mereka tentang kepentingan menjaga habitat penyu ini.

"Program ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti menjaga sarang penyu daripada haiwan pemangsa, membersihkan kawasan pantai daripada sisa buangan plastik yang memudaratkan haiwan itu, mengumpul data serta aktiviti bersama masyarakat," katanya.

Wan Ahmad Azimi berkata, sukarelawan yang menyertai program tersebut berpeluang melihat sendiri penyu menetas dengan anggaran bilangan seekor hingga empat ekor seminggu di pantai tersebut.

Katanya, sejak ia dimulakan, penemuan terbesar Hope apabila seekor penyu lipas yang dikatakan telah lima tahun tidak muncul ditemui di perairan Pulau Perhentian namun ia mengalami kecederaan di bahagian abdomennya.

Bagi mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari di laman www.helpourpenyu.com.

Friday, July 16, 2010

UMNO Terengganu Eratkan Hubungan Dengan UMNO Libaran

Menteri Besar menyampaikan cenderahati kepada sebahagian pemimpin UMNO Libaran pada jamuan makan malam di Sandakan semalam.

Bukan sekadar dekat di hati, UMNO Terengganu dan UMNO Libaran memang dekat di mata.


Inilah yang dapat digambarkan oleh suasana mesra pertemuan antara pemimpin UMNO Bahagian Libaran dan UMNO Terengganu yang diadakan di sebuah hotel di Sandakan malam semalam.

Rombongan UMNO Terengganu yang diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengadakan lawatan ke kawasan anak angkatnya – UMNO Bahagian Libaran – semalam dengan acara takilmat pada sebelah petang dan jamuan makan malam di Sabah Hotel.

UMNO Bahagian Libaran yang diketuai oleh Datuk Seri Musa Aman kini menjadi anak angkat kepada UMNO Terengganu, selain UMNO Bahagian Tangga Batu, UMNO Bahagian Bagan Datoh di sebuah bahagian di Pulau Pinang.

Bagaimanapun oleh kerana ada acara rasmi di Kota Kinabalu, Musa mewakilkan Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Zakaria Mohd Edris bagi pertemuan itu.

Zakaria yang juga ADUN Gum Gum menyatakan kegembiraan dan mengharapkan kedatangan UMNO Terengganu ini bukan kali pertama dan kali terakhir.

Ahmad Said pula mengharapkan kerjasama Bahagian UMNO seperti ini diteruskan bagi menguatkan kerjasama jentera parti bagi menjamin kemenangan berterusan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya akui UMNO Sabah begitu kukuh dan pertalian erat antara Perhubungan UMNO antara negeri akan memperkukuhkan lagi jentera parti bagi menghadapi pilihan raya ke 13 nanti.

“Saya yakin di Sabah, rakyat akan menolak Parti Keadilan Rakyat dan PAS dan ini memberikan kelebihan kepada UMNO Sabah, berbanding di Terengganu,” katanya berucap pada majlis makan malam semalam.

Ahmad Said yang kini Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu dan Ketua UMNO Bahagian Kemaman yakin kepimpinan Musa pada peringkat Bahagian dan Negeri mampu memperteguhkan lagi UMNO di Sabah, selain mempereratkan kerjasama antara parti dalam BN.

Ikut serta dalam rombongan Menteri Besar ialah Ketua Wanita, Ketua Pemuda serta Ketua Puteri UMNO Negeri selain beberapa pemimpin UMNO bahagian Terengganu yang lain.

Pemimpin UMNO Bahagian Sandakan berbual mesra dengan Ahmad Said.

Proses Pelarasan Subsidi Elak Beban Rakyat

Kerajaan akan melaksanakan proses pelarasan subsidi yang menggunakan kaedah atau pertimbangan yang tidak membebankan rakyat, malah pada masa yang sama akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penjimatan daripada pelarasan subsidi itu akan memberikan beberapa kebaikan, termasuk mengukuhkan lagi kedudukan kewangan negara dan mengurangkan defisit fiskal.

Katanya dengan itu, pasaran dunia dan dalaman, akan lebih yakin terhadap kekuatan ekonomi Malaysia.

"Kita gunakan penjimatan perbelanjaan itu untuk memenuhi lebih banyak agenda seperti yang termaktub dalam NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) dan NKEA (Bidang Keutamaan Ekonomi Negara), yang bakal laksanakan," kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Kedah di Alor Setar semalam.

Katanya tindakan pelarasan subsidi itu merupakan satu proses di mana kerajaan akan mengkaji semula pemberian subsidi berdasarkan kepada perubahan yang sangat minimum supaya tidak membebankan rakyat.

Mulai tengah malam semalam kerajaan menguatkuasakan kenaikan harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG).

Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan semalam.

Tidak jelas berapa kenaikan harga RON 97. Tetapi difahamkan harganya naik 5 sen dan akan diselaraskan seterusnya kemudian.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam semalam dan menurut beliau, penyelarasan semula harga barangan tersebut akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Ia merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat mulai hari ini. Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010.

Harga bahan api dan gula di Malaysia, tegas Najib, masih antara yang terendah di rantau ini.
Berikut adalah harga baru:

Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
• Diesel - RM1.75 seliter.
• Gula - RM1.70 sekilogram
• Gas LPG - RM1.85 sekilogram
Berikut adalah harga baru gas:

Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)
• Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)
• Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)

Pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman.

Katanya, hutang Malaysia akan meningkat kepada 100 peratus daripada GDP pada 2019 d- daripada 54 peratus sekarang jika subsidi tidak dipotong.

MB Puas Hati Lawatan Rasmi Tiga Hari Ke Kemaman

Solat sunat bersama-sama nelayan Pantai Kijal memohon pertolongan Allah. - Gambar Zulkifli Putra.

'Program selama tiga hari dua malam itu menemukan beliau dengan 3,000 guru, 2,000 kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan, 2,000 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, 2,000 pesilat selain Orang Asli, remaja dan pemimpin politik tempatan...'

Oleh Aqil Farhan Rafiqin

Secara keseluruhannya lawatan kerja tiga hari Menteri Besar ke Daerah Kemaman 9 hingga 11 Julai lalu amat berjaya.

Difahamkan, Datuk Ahmad Said menyatakan perkara itu pada satu mesyuarat pagi membabitkan pegawai tinggi kerajaan negeri di Wisma Darul Iman minggu ini.

Beliau juga puashati dengan program yang disusun sepanjang lawatan itu.
Apakan tidak, program selama tiga hari dua malam itu menemukan beliau dengan 3,000 guru, 2,000 kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan, 2,000 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, 2,000 pesilat selain Orang Asli, remaja dan pemimpin politik tempatan.

Biarpun perlu menghadiri program bermula awal pagi dan berakhir tengah malam, beliau tidakpun menunjukkan keletihan atau jemu bertemu rakyat dan pengundinya.

Malah baginya, lawatan dua hari itu dipergunakan sepenuhnya bagi menjamin penduduk Kemaman mendapat manfaat semaksimum mungkin daripada pertemuan, perbincangan serta gerak kerja bersama rakyat, penjawat awam dan pemimpin masyarakat setempat.

Antara rasmi Menteri Besar pada 9 Julai bermula dengan program gotong-royong bertempat di Masjid Mentauh, Titian Berayun, pukul lapan pagi.

Selepas solat Jumaat, Ahmad Said menghadiri majlis solat hajat kerana kemesorosotan hasil tangkapan nelayan bertempat di Surau Kampung Che Wan, Kijal.

Beliau dan isteri To' Puan Norliza Mahmud kemudian bersama-sama kakitangan Pejabat Dun, Wanita, Puteri DUN Kijal bermain boling bertempat di MesraMall, Kerteh.

Acara rasmi pada 10 Julai pula, Menteri Besar hadir pada sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kemaman bertempat Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman pada pukul 10 pagi.

Kemudian pada 3 petang, Menteri Besar Terengganu hadir pada Program Himpunan Pendekar APMT bertempat Taman Bandar Chukai, Kemaman.

Sementara pada 8.30 malam, Ahmad Said hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Orang Asli Kampung Sungai Pergam bertempat di Sungai Pergam.

Hari ketiga lawatannya ke Kemaman pada Ahad (11 Julai 2010) diteruskan dengan kehadiran beliau pada majlis perjumpaan dengan pegawai Kakitangan Negeri dan Persekutuan Daerah Kemaman bertempat di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman pada 8.30 pagi.

Pada pertemuan ini, Ahmad Said berjanji akan terus turun padang melakukan pemeriksaan mengejut ke jabatan-jabatan kerajaan berasaskan aduan mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa yang diterima daripada orang ramai.

Beliau mengingatkan sekiranya terbukti penjawat awam melakukan kesalahan seperti yang didakwa pengadu, mereka tidak akan dilindungi dan perlu berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Menurutnya, beliau ada menerima aduan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laporan bahawa terdapat perbuatan salah guna kuasa dalam beberapa jabatan kerajaan negeri.


Beliau juga menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Kemaman di Bilik Gerakan Daerah.
Menteri Besar kemudian menghadiri penyampaian dana Bakti Remaja DUN Kijal bertempat di Dewan Sivik Bukit Kuang, Kijal pada 2 petang sebelum ke Dewan Sivik Kijal pada 3 petang untuk tujuan yang sama .

Selain acara rasmi, beliau mengambil peluang acara turun padang ini untuk program parti seperti pada 9 Julai jam 9 malam beliau menghadiri Mesyuarat Penyelarasan UMNO Dun Kijal di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kijal selain pagi esoknya, mengadakan pertemuan di kediamannya di Teluk Kalong dengan individu dan pemimpin masyarakat setempat.

Malah, pada hari terakhir lawatannya pada sebelah malam, beliau turut menyampaikan Anugerah Cemerlang Pengerusi JKKK Kemaman.

Pada hakikatnya, lawatan yang padat dengan acara itu membuktikan Ahmad Said mengotakan janjinya untuk menjadi contoh kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain yang sesetengahnya agak liat untuk mengatur program dengan rakyat.

Tidak kiralah sama ada ia membabitkan nelayan, Orang Asli atau orang kampung, bagi Ahmad Said, mereka sama pentingnya dengan pegawai kerajaan.

Malah Ahmad Said tidak membezakan antara ADUN, pemimpin parti serta penjawat awam. Mereka yang liat ‘turun padang’ ditegurnya.

Malah, beliau turut memberikan amaran untuk mengambil tindakan sewajarnya jika mereka terus bersikap mengabaikan rakyat.

Dengan sikap dan teladan Ahmad Said itu, tidak wajar untuk pihak-pihak tertentu – khususnya ADUN - menjalankan tugas sambil lewa.

Jika Ahmad Said boleh melakukannya, kenapa ada sesetengah ADUN yang masih merasa selesa dan merasakan rakyat tetap akan terus menyokong mereka?

Siapa sebenarnya – Ahmad Said atau ADUN berkenaan – yang dikatakan boleh menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional di Terengganu jika berasaskan kepada ‘kemesraan dengan rakyat’ dan ‘berkhidmat untuk rakyat’.

Kepada ADUN yang masih merasa selesa atau pegawai kerajaan yang terus menerus menyeleweng, masa sudah tiba untuk mereka melihat, menilai dan mencontohi Menteri Besar mereka – betapa slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan itu diterjemahkan secara jelas oleh Ahmad Said di mata, di hari dan gerak kerja yang semuanya bertujuan cakna rakyat!


Ahmad Said bertemu penjawat awam Daerah Kemaman - Gambar Zulkifli Putra.

Lelaki Didakwa Bunuh Remaja Di Dusun

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kemaman semalam, kerana dituduh membunuh seorang remaja dan memiliki dadah methamphetamine dalam kejadian berasingan pada 14 Jun dan 4 Julai lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Nik Mustapfa Nik Hassan, 36, dari Kampung Gong Limau, dituduh membunuh Abdul Halim Idrus, 19, di sebuah pondok kebun buah-buahan di Lubuk Sadong, Batu 10, Jalan Air Putih di sini antara 1 pagi dan 8.40 malam pada 14 Jun lepas.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Hakim Ahmad Bazli kemudian menetapkan 5 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu untuk dipindahkan Ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Dalam prosiding berasingan di mahkamah yang sama, Nik Mustapfa didakwa memiliki dadah methamphetamine yang beratnya belum diketahui, pada 3 pagi 4 Julai lepas di sebuah rumah kongsi ladang kelapa sawit di Kampung Seberang Tayor, Air Putih, Kemaman.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp Kasemari Abdul Hassan.

Hakim Ahmad Bazli kemudian menetapkan 23 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan sementara menunggu laporan kimia.

Suami Nek Wok Bebas Dari Puspen

Gambar fail Mohd Noor dan Nek Wook.
Selepas setahun ditahan di pusat pemulihan, Mohd Noor Che Musa, suami wanita tertua di Terengganu, semalam dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

Mohd Noor, 39, yang ditahan pada 7 Julai tahun lepas dibebaskan selepas ditahan di pusat pemulihan itu selama 12 bulan lapan hari. Namun kelibat isteri kesayangannya Wook Kundor, 108, tidak kelihatan di pusat pemulihan itu pada saat suaminya dibebaskan.

Kisah cinta unik pasangan yang mempunyai perbezaan umur yang jauh itu pernah menggemparkan negara dan mendapat perhatian media.

Mohd Noor ketika ditemui berkata program di Puspen banyak mengajarnya menjadi seorang insan yang bertanggungjawab dan mengubah dirinya menjadi insan yang bebas dari dadah.

"Saya kini mampu menilai diri sendiri secara positif dan lebih yakin untuk menghadapi hidup di masa depan bersama isteri kesayangan saya Wook.

"Saya juga amat menyesal apabila sentiasa mengabaikan solat dan jarang membaca Al-Quran sebagaimana yang dinasihati oleh Wook sehingga saya terjebak dengan dadah sebelum ini," katanya.

Mohd Noor berkata dia kini ingin segera pulang ke Kampung Beris Bachok, Kelantan untuk bertemu isteri kesayangannya itu, yang ketika ini berada di rumah keluarganya di sana.

"Saya asyik terkenangkan Wook dan bimbang akan kesihatannya. Saya perlu pulang segera untuk melihat keadaan isteri saya," katanya.

Mohd Noor berkata dia juga merancang untuk mengadakan majlis kenduri doa selamat di kediaman mereka di Kuala Berang dalam waktu terdekat setelah berbincang dengan isterinya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Mohd Noor berkata dia bercadang untuk tinggal di pondok di Kelantan bersama Wook untuk mendalami ilmu agama.

"Saya harap masyarakat akan dapat menerima saya semula," katanya.

Sementara itu Komandan Puspen Besut Rohayu Ahmad berkata sepanjang ditahan di pusat itu, Mohd Noor berkelakuan baik dan tidak pernah melanggar disiplin.

Pasukan Pancaragam SMJK Chung Hwa Wei Sin ke Cabaran Dunia

Lima pasukan pancaragam terbaik yang dipilih pada Pertandingan Pancaragam Kebangsaan Malaysia (NATCOMP) 2010 semalam bakal membawa cabaran negara pada pertandingan peringkat dunia, akhir Julai ini.

Lima sekolah terpilih daripada 10 sekolah yang bertanding ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa, Alor Setar, Kedah, SMK St John, Kuala Lumpur, SMJK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, SMK St Joseph, Kuching dan SMJK Nan Hwa, Sitiawan, Perak.

Kesemua sekolah terbabit akan bertanding di kejohanan peringkat dunia pada 25 sehingga 31 Julai ini di Selangor dan Johor Bahru.

Pada kejohanan peringkat kebangsaan yang berlangsung hari Khamis, SMJK Keat Hwa muncul johan dengan mengumpul 88.95 markah di depan SMK St John yang mendapat 87.75 markah selaku naib johan.

Kedua-dua sekolah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dan RM3,000 beserta piala iringan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Wakil SMJK Keat Hwa, Lam Siew Yong ketika ditemui berkata kejayaan itu sangat menggembirakan dan bakal menjadi inspirasi untuk membawa cabaran di peringkat dunia nanti.

Wakil pasukan SMK St John Syufri Abdul Khalid pula berkata kejayaan mereka adalah merupakan satu pencapaian yang berbaloi setelah melakukan persiapan rapi untuk berdepan dengan kejohanan itu.

"Kami gembira dan memang memilih rangkaian lagu tradisional seperti Lenggang Mak Limah dan Bila Larut Malam sebagai tarikan persembahan pada hari ini.

"Kami juga akan mengekalkan lagu tradisional untuk cabaran peringkat dunia nanti dalam usaha memperkenalkan identiti Malaysia di mata dunia," katanya.

Saga Akan Dipertingkat, Kata Akauntan Negara

Sistem Perakaunan Berkomputer Standard (Saga), bagi membolehkan badan berkanun menyediakan penyata kewangan dengan lebih cepat, tepat dan berkesan, akan dipertingkat, kata Akauntan Negara Datuk Mohd Salleh Mahmud.

"Pada masa depan, sistem itu akan dipertingkat supaya agensi-agensi dapat mengemukakan penyata kewangan masing-masing dengan lebih cepat, mungkin pada Februari, untuk diaudit.

"Bagaimanapun, bagi sistem hala tuju Saga yang baharu itu nanti, mana-mana badan berkanun yang telah mempunyai sistem perakaunannya sendiri, perlu mematuhi kriteria Saga," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek dan anugerah agensi terbaik Saga Fasa I dan Fasa II, di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Salleh berkata sebelum Saga diperkenalkan pada Jun 2005, ada badan berkanun mengambil masa sehingga dua atau tiga tahun untuk menyediakan laporan untuk diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Beliau berkata ekoran kelewatan itu, Saga diperkenalkan dan hasilnya sebahagian badan berkanun mampu mengemukakan penyata kewangan kepada Ketua Audit Negara pada Mac atau empat bulan lebih awal.

Katanya penggunaan Saga membantu pengurusan mendapatkan maklumat dengan tepat serta cepat untuk membantu membuat keputusan yang efisyen dari segi proses pembayaran dan pembekalan kepada kontraktor.

Pada majlis itu, 10 agensi Saga Fasa II menerima anugerah Saga dengan Unisza muncul penerima anugerah agensi terbaik manakala bagi Fasa III, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggunguli agensi terbaik.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Unisza Datuk Zolkipli Abdul dan Naib Canselor Unisza Datuk Prof Dr Alias Daud serta Timbalan Akauntan Negara (Korporat) Wan Selamah Wan Sulaiman.

Harga Teh Tarik Hanya Naik 1.25 Sen?

Harga bagi teh tarik - minuman paling popular di Malaysia, sepatutnya hanya naik 1.25 sen segelas berikutan pengurangan subsidi harga gula sebanyak 25 sen.

Harga baru teh tarik itu mengambil kira kesan pengurangan subsidi minyak dan pelarasan harga semasa iaitu RM1.0155.

"Ini adalah anggaran sahaja - perubahan harga mungkin berbeza berdasarkan faktor lain," kata kenyataan mengenai rasionalisasi subsidi Jabatan Perdana Menteri.

Bernama yang memetik kenyataan itu berkata kesan pengurangan subsidi terhadap teh tarik ialah RM0.0030, manakala untuk barangan lain ia lebih rendah, seperti RM0.0024 untuk sekeping roti canai, RM0.0060 untuk beras, RM0.0630 untuk daging dan RM0.0105 untuk mi goreng.

Kerajaan hari Khamis mengumumkan subsidi untuk petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat berkuatkuasa esok.

Subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak lima sen seliter dan LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram. Ini bermakna harga bagi petrol RON 95 ialah RM1.85 seliter manakala LPG akan dijual pada harga RM1.85 sekilogram.

Untuk gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram.

Kenyataan itu turut memberi perbandingan harga minyak di rantau ini yang menunjukkan harga petrol di Malaysia adalah paling murah, iaitu RM1.85 untuk RON95 berbanding Thailand (RM4.12), Indonesia (RM2.48) dan Filipina (RM6.60).

Harga baru gula di Malaysia iaitu RM1.90 juga adalah jauh lebih murah dari Thailand RM2.60, Indonesia (RM3.68) dan Filipina (RM3.46).

Harga gula yang murah di Malaysia itu telah menyumbang kepada peningkatan masalah penyeludupan. Pihak berkuasa merampas lebih 200 metrik tan gula dalam 109 tangkapan berhubung kes penyeludupan pada 2009, dan pada 2008, dianggarkan RM628 juta minyak diesel subsidi untuk nelayan, dinikmati rakyat asing.

Thursday, July 15, 2010

Pengimportan Daging Untuk Musim Perayaan Akan Dipantau

Pengimportan bekalan daging bagi kegunaan di bulan puasa dan hari raya nanti akan dilakukan secara lebih berhati-hati agar ia tidak menjejas penternak tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan diarahkan supaya memantau keadaan tesebut.

"Kita tidak mahu mengimport sebagaimana yang dilakukan tahun lepas yang telah memberi kesan kepada pendapatan penternak tempatan," katanya di Macang malam tadi.

Bagi barangan seperti beras pulut, Noh berkata beliau akan turut mengarahkan Padiberas Nasional Berhad supaya memastikan bekalannya mencukupi.

"Ini terutama bagi penduduk di pantai Timur seperti di Kelantan dan Terengganu yang sangat memerlukan bahan ini untuk membuat kuih sebagai juadah berbuka puasa," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa bekalan daging lembu, kambing dan ayam serta barangan keperluan lain untuk musim perayaan adalah mencukupi.

Pencapaian akademik penting disamping sukan

Kepada atlet dan ahli sukan Terengganu!

Tidak bermakna bergiat dalam sukan tidak boleh mencapai kelayakan atau kelulusan tinggi dalam pelajaran.

Hendak seribu daya.

Jangan berdalih-dalih dengan pelajaran dan pencapaian akademik.

Lihat sahaja bekas jaguh badminton negara yang kini ‘ tukar gelanggang’.

Pemain badminton yang berjaya merangkul pingat emas pada Sukan Komanwel 2002, Ang Li Peng kini mengubah haluan kerjayanya sejak 2003 selepas tidak lagi aktif dalam bidang sukan.

Wanita muda tabah dari Banting, Selangor berusia 29 tahun itu berjaya mengecapi cita-citanya memperoleh ijazah undang-undang setelah tamat pengajian di University of Manchester.

Ramai pihak mempersoalkan keputusan Ang apabila dia menggantung raket pada kemuncak kerjayanya setelah memenangi pingat emas menerusi kategori beregu bersama Lim Pek Siah pada Sukan Komanwel 2002 di Manchester.

Pasangan itu mencipta sejarah a
pabila muncul sebagai pemain negara pertama yang memenangi acara tersebut.

"Saya telah mencapai impian ulung untuk merangkul pingat emas sebelum bersara. Berapa ramai orangkah berpeluang berbuat demikian?" ujar gadis yang dahulunya pemalu, kini mempunyai keyakinan baru sebagai graduan undang-undang.

Kejayaan Ang di dalam dan luar gelanggang sudah tentunya tidak dicapai dengan mudah.

"Dahulu saya tidak pandai berbahasa Inggeris dengan betul dan gagap. Bayangkan kesukaran saya menduduki A-Level pada 2005, tujuh tahun selepas SPM," katanya.

Ang menambah, keputusan bersara awal dibuat berikutan kesedaran bahawa pendidikan dapat menjamin masa depan cerah baginya.

Mengakui beberapa ketika dia rasa ingin mengalah, tetapi dia juga berkata, telah kehilangan arah pada satu ketika.
Nasib menyebelahinya kerana Ang tidak pernah menjadikan alasan-alasan itu menjejaskan dirinya.

Hasilnya, gadis itu berjaya menamatkan A-Level sebelum melanjutkan Ijazah Sarjana Muda Perundangan di universiti tersebut.

"Memang menakutkan bagi pemain baru seperti saya bermain dengan Lin Dan, yang menujukan pukulan tidak dijangka seluruh gelanggang.

"Tapi pemain itu boleh memperbaiki (prestasinya) bermain dengan dia (Lin Dan) beberapa kali," katanya.

Ang turut memberikan penghargaan istimewa buat keluarga dan rakan-rakan seperti pencinta badminton, Datuk Seri Andrew Kam, yang memiliki kelab badminton KLRC dan menaja ramai pemain di seluruh dunia.

Tambahnya, dia mengambil jurusan itu kerana percaya dengan "keadilan dan kesaksamaan".

Sumber: MStarOnline

Kerajaan Negeri Perlukan Laporan Tepat Penghulu

Sebahagian daripada penghulu yang menghadiri Wacana Pembangunan Daerah dan Mesyuarat Agung Persatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung di Kuala Terengganu, kelmarin.

Selaku pemimpin setempat yang berperanan menjayakan dasar kerajaan, laporan yang tepat oleh penghulu membantu kerajaan mengenal pasti permasalahan dan penyediaan kemudahan bagi rakyat.

Menteri Besar, datuk Ahmad Said, berkata melalui kerjasama erat penghulu akan membolehkan persoalan yang lebih penting termasuk mereka yang hidup melarat dan menghidap penyakit kronik dibantu manakala keperluan asas setempat diberi keutamaan dan bukannya melibatkan projek yang memenuhi kepentingan individu.

Katanya, mereka sepatutnya menjadi orang pertama dan tidak sepatutnya menjadi orang yang terakhir mengetahui segala masalah berbangkit.

Berucap menutup Wacana Pembangunan Daerah 2010 dan merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung cawangan Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin, Ahmad Said berkata, penghulu juga perlu membimbing Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam membuat cadangan-cadangan permohonan yang sepatutnya untuk memenuhi keperluan sebenar masyarakat.

Sehubungan itu, beliau meminta penghulu bekerjasama dengan para pemimpin masyarakat setempat termasuk wakil rakyat bagi membantu memastikan golongan miskin yang perlu dibantu tidak tercicir daripada senarai e-Kasih.

Menurut Ahmad Said, ia sebahagian daripada tanggungjawab agar tidak merencatkan usaha kerajaan membela nasib golongan itu dan memberi imej tidak baik kepada kerajaan apabila kalangan yang tidak selayaknya pula mendapat kemudahan.

"Ia (senarai) perlu dipantau, jangan dibiarkan dibuat (penilaian) atas wakaf," katanya sambil mengharapkan senarai itu dapat dikemas kini dengan laporan tepat dan membolehkan bantuan berjalan lancar. "Ia bukanlah suatu yang susah," katanya.

Sehubungan itu juga beliau akan turun padang untuk meneliti sendiri kalangan peserta yang disenarai terutama dalam kategori miskin tegar yang keseluruhannya melibatkan 450 keluarga di seluruh negeri ini.

Kumpulan Gamelan Di setiap Daerah

Bagi mempertahankan dan menyemarakkan muzik gamelan yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri ini, Lembaga Muzium Negeri mencadangkan agar diwujudkan kumpulan muzik gamelan di setiap daerah.

Pengarahnya, Mohd. Yusof Abdullah berkata, sudah sampai masanya usaha digerakkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama para aktivis bagi membimbing dan melatih generasi muda mencintai dan menguasai seni itu.

''Kerajaan negeri boleh menyalurkan bantuan dengan menyediakan peralatan gamelan di setiap daerah bagi membolehkan pelajar terutamanya diberi pendedahan tentang muzik itu.

''Walaupun peruntukan untuk set peralatan gamelan lebih RM50,000 namun, ia merupakan langkah berbaloi bagi mendedahkan generasi muda terhadap muzik warisan itu di samping meningkatkan tahap kreativiti dalam persembahan," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui semasa menyaksikan pratonton persembahan Gamelan Kerajaan Negeri, di sini semalam.

Mohd. Yusof mengulas kebimbangan para penggerak gamelan bahawa kesenian yang menjadi kebanggaan itu mungkin hanya boleh ditatap di muzium pada masa depan sekiranya tiada pelapis untuk mempersembahkannya.

Beliau mengakui kini persembahan muzik gamelan amat terbatas di negeri ini dan seharusnya ia diperluaskan.

Sehubungan itu, penganjuran Festival Gamelan Sedunia 2010 di sini mulai 23 hingga 25 Julai ini boleh menjadi salah satu landasan terbaik bagi mengetengahkan seni persembahan yang menarik minat masyarakat dunia.

Program Pengajian Jarak Jauh Percuma Kepada Polis

Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menawarkan program pengajian jarak jauh peringkat Diploma kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara percuma, kata Naib Canselornya Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Program pengajian percuma ini terbuka kepada para anggota polis berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan iklan serta butiran lanjut mengenainya akan dikeluarkan tidak lama lagi, katanya semasa Majlis Malam Mesra UiTM-PDRM di Shah Alam malam semalam.

Beliau berkata sungguhpun percuma para anggota PDRM yang mengikuti program ini nanti perlu mengekalkan prestasi yang baik dalam pengajian mereka untuk terus menikmati faedah itu.

Selain daripada itu, pihak UiTM juga telah menjalankan program pengambilan khas untuk kemasukan anak-anak anggota polis ke UiTM mulai sesi Julai ini, kata Sahol yang juga merupakan anak anggota polis.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar yang mewakili PDRM, mengucapkan terima kasih kepada UiTM kerana memberi peluang kepada anggotanya untuk memperbaiki diri di dalam bidang akademik dan kerjaya masing-masing.

Mengenai permohonan UiTM Induk di Shah Alam untuk menyerapkan kakitangan keselamatannya sebagai polis bantuan, Khalid berkata beliau akan cuba membantu supaya permohonan itu dapat disegerakan.

Buat masa ini permohonan UiTM itu masih lagi di dalam proses untuk mendapat kelulusan pihak atasan pasukan itu, katanya.

Wednesday, July 14, 2010

PTPTN Lulus Pembiayaan RM32.62 Bilion Kepada 1.5 Juta Pelajar

Seramai 14,239 pelajar Terengganu antara 1.5 juta pelajar di negara ini menerima kemudahan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 30 April lepas.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sehingga tarikh itu, jumlah pinjaman PTPTN membabitkan RM32.62 bilion dan daripada jumlah itu 1,054,436 pelajar, atau 70 peratus, terdiri daripada kalangan pelajar dari kaum Melayu

"Ia diikuti dengan pelajar Cina 266,079 orang (18 peratus), pelajar India 82,146 (lima peratus) dan selebihnya lain-lain kaum seramai 105,990 atau (tujuh peratus)," katanya dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) di Dewan Rakyat di hari ini.

Teresa bertanya bilangan peminjam PTPTN mengikut pecahan kaum serta negeri asal peminjam sejak pinjaman itu diperkenalkan, dan bilangan peminjam yang merupakan kelulusan Unified Examination Certificate (UEC) sejak diadakan.

Mohamed Khaled berkata berdasarkan pecahan mengikut negeri, pelajar dari Johor paling ramai menerima pinjaman PTPTN dengan jumlah 247,699 pelajar diikuti Perak (169,913), Kelantan (158,770) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (151,884).

Katanya 145,096 pelajar dari Selangor menerima pinjaman PTPTN itu, manakala Kedah (121,754 pelajar), Pahang (91,878), Sabah (89,965), Pulau Pinang (88,274), Sarawak (88,226), Negeri Sembilan (63,320), Melaka (57,133), Perlis (17,932), Terengganu (14,293), Wilayah Persekutuan Labuan (1,522) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (992).

Bagi pelajar kelulusan UEC pula, PTPTN akan mempertimbangkan pembiayaan bagi mereka di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengikut kaedah yang dipersetujui antara PTPTN dan IPTS masing-masing.

Katanya sebagai permulaan, pada masa ini PTPTN sedang dalam tindakan memberikan taklimat kepada semua pelajar yang terlibat mengikut institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing berkaitan dengan tatacara dan kaedah sebelum permohonan secara atas talian dibuat oleh pelajar.

Berdasarkan data yang diperolehi daripada semua IPTS yang terlibat, dijangka pelajar yang akan memohon adalah seramai 488 orang, katanya.

Nelayan Dihukum Gantung Kerana Bunuh Rakan

Seorang nelayan hari ini gagal menyakinkan Mahkamah Persekutuan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya kerana membunuh seorang rakan akibat perselisihan berkaitan dadah.

Korum tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Terengganu dan menolak rayuan Mohd Asmadi Yusof.

Mohd Asmadi, 38, didapati bersalah pada 28 Ogos 2002 oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Aswadi Mohamad, 28, di Simpang 3, Pekan Merchang, Marang, Terengganu pada 8 malam, 2 September, tahun yang sama.

Dalam kes itu, seorang peniaga pasar malam Aidi Arman Abd Rahman dan isterinya Normah Ismail, telah memberitahu mahkamah bahawa Aswadi berada di gerai mereka yang menjual cakera padat ketika mangsa terjatuh di atas meja yang menempatkan barangan jualan.

Mereka melihat seorang lelaki memukul kepala Aswadi beberapa kali dengan seketul bata yang kemudiannya pecah akibat perlakuan tersebut.

Aswadi telah dikejarkan ke sebuah klinik sebelum dihantar ke Hospital Terengganu dalam keadaan koma dan meninggal dunia pada 6 Sept.

Adik mangsa, Aswanizam memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau mengecam Asmadi sebagai orang yang menendang muka dan dada abangnya sebanyak dua kali sebelum melarikan diri.

Hakim yang mendengar perbicaraan kes itu menolak pembelaan alibi Asmadi yang mendakwa dia tidak berada di tempat kejadian, sebaliknya di kawasan laut berhampiran Mersing.

Mahkamah turut menyifatkan pembelaan Asmadi sebagai rekaan dan penafian semata-mata.

Penerangan Bergerak MTC Untuk Kemaskinikan Peserta Industri

Penerangan bergerak Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) yang bermula pada Rabu, termasuk di Terengganu, bertujuan mengumpulkan maklum balas ahli-ahli industri perkayuan dan memaklumkan mereka denan perkembangan terbaru dalam pasaran perkayuan global.

Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, MTC berkata penerangan bergerak itu disasarkan kepada syarikat-syarikat perkayuan Malaysia, wakil perdagangan dan para pengeluar produk berasaskan kayu.

"Penerangan bergerak itu direka sebagai wadah untuk mengumpul maklumat dengan membincangkan isu-isu yang menjejaskan industri.

"Ia juga merupakan platform untuk majlis itu mengedarkan kejayaan pasaran terbaru yang meliputi trend, peluang dan cabaran dalam pasaran perkayuan global," katanya.

Penerangan bergerak itu akan bermula di Muar Rabu dan bergerak ke Kuala Lumpur (16 Julai), Kuala Terengganu (18 Julai), Seberang Jaya (19 Julai) and Ipoh (20 Julai).

Majlis itu berkata yang fokus utama penerangan bergerak tahun ini ialah kepada "MTC Global WoodMart 2010 (MGW 2010).

"Yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, MGW 2010 akan menjadi platform jualan, belian dan perangkaian setempat untuk pembekal dan pembeli produk perkayuan seluruh dunia," katanya.

Ketua pegawai eksekutif MTC, Cheah Kam Huan berharap peserta industri boleh menyertai MGW 2010 untuk bertemu dengan pembeli dan penjual dari pelbagai negara, mengembangkan hubungan perniagaan baharu dan mencari produk dan rumusan inovatif.

MGW 2010 dijadual diadakan pada 19-20 Okt.

Setakat ini, lebih 85 peratus ruang pameran telah diambil dengan penyertaan dari AS, Perancis, China, Brazil, New Zealand, Korea Selatan dan UK.

Ia dijangka menarik lebih 1,000 pelawat tempatan dan asing.

Kerja Bersih Bumbung Stadium Bermula 26 Julai

"Dalam tender berkenaan kita sebut bahawa barang-barang atau sisa runtuhan bumbung berkenaan akan jadi hak milik syarikat berkenaan dan kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan bayaran kepada kontraktor yang membuat kerja-kerja pembersihan itu.Dia cuma tolong bersih sahaja dan sisa runtuhan itu menjadi milik mereka." - Datuk Mazlan Ngah

Kerja-kerja membersih bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang runtuh pada 2 Jun tahun lepas akan dimulakan pada 26 Julai ini dan dijangka siap pada 14 November depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah berkata Syarikat Azimat Berkat Sdn Bhd telah diberi kontrak bagi membuat kerja-kerja berkenaan tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada kerajaan negeri.

"Dalam tender berkenaan kita sebut bahawa barang-barang atau sisa runtuhan bumbung berkenaan akan jadi hak milik syarikat berkenaan dan kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan bayaran kepada kontraktor yang membuat kerja-kerja pembersihan itu.

"Dia cuma tolong bersih sahaja dan sisa runtuhan itu menjadi milik mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) sempena kunjungan rombongan Duta Besar Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Sebelum itu Thana bersama rombongannya termasuk Konsul Jeneral Thailand di Kota Baharu, Suirapon Petch-Vra telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Said di pejabatnya.

Mazlan berkata, Syarikat Azimat Berkat Sdn Bhd terpilih daripada 48 syarikat yang memasuki tender bagi kerja-kerja pembersihan runtuhan berkenaan dan ia dipilih setelah lembaga tender meneliti cara kerja yang dibuat selian disyorkan oleh ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, semasa kerja-kerja pembersihan itu dibuat, ia akan dipantau dengan teliti oleh JKR supaya ia tidak merosakkan straktur yang sedia ada.

"Setiap kerja yang dibuat, JKR akan pantau dengan ketat kerana kita takut struktur yang ada akan rosak ," katanya.

Mazlan berkata, setelah kerja-kerja pembersihan itu selesai, struktur bangunan akan diteliti oleh pakar sebelum reka bentuk baru diputuskan kemudian bagi menjamin keselamatannya.

"Bentuk asal tetapi reka bentuk baru bagi mendapat kepercayaan orang ramai yang stadium itu tidak akan runtuh lagi dan yang paling penting kita kena lihat dengan teliti bagaimana cara pembinaan semula setelah kajian dijalankan oleh pakar," katanya.

SSMZA yang dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) pada 2008 dengan harga kira-kira kira-kira RM292 juta, runtuh bumbung utamanya pada 2 Jun tahun lepas setelah setahun ia digunakan.

Sementara itu Mazlan berkata, kedatangan rombongan Thailand berkenaan adalah bagi meninjau peluang-peluang pelaburan terutama di bidang pelancongan.

Katanya kerajaan Terengganu mencadangkan agar penerbangan daripada Thailand melalui Bangkok, Kok Samuel (kawasan pelancongan) dan terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.

"Janeral Konsulat di Kota Baharu, Suirapon Petch-Vra akan mengaturkan supaya wakil daripada syarikat penerbangan Oriental Express datang ke Terengganu secepat mungkin bagi membincangkan perkara itu," katanya.