Saturday, August 28, 2010

Ahmad Said Hadiri Program UMNO di Kuala Lumpur

Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi dpada program rakaman takbir raya di Surau Ar-Rahman sebelum majlis berbuka puasa di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semalam menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Dato Onn dan mengikuti beberapa program UMNO Malaysia petang semalam.

Selain menghadiri mesyuarat MT, Ahmad Said juga menghadiri majlis berbuka puasa dan solat tarawikh bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Anggota MT bersolat maghrib, isyak dan tarawikh di Surau Ar-Rahman, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (kanan) menyampaikan replika kunci van kepada tiga sayap kompenan parti Umno (dari,kiri) Ketua Wanita , Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sebelum memulakan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Sementara itu, Najib pada sidang media selepas mesyuarat MT berkata UMNO bersetuju menerima parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) sebagai ahli bergabung dengan UMNO.

Dengan keputusan tersebut Kimma diberi beberapa bentuk keistimewaan itu antaranya dijemput hadir sebagai pemerhati dalam Perhimpunan Agung UMNO dan persidangan di peringkat bahagian, sekiranya parti itu mempunyai keahlian di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, Kimma tidak boleh terlibat dalam segala urusan yang berkaitan dengan UMNO.
Mesyuarat MT semalam juga bersetuju dengan jadual serta tarikh Perhimpunan Agung UMNO yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa pengurusan.

''Perhimpunan akan bermula pada 19 Oktober iaitu taklimat Presiden dan kemudian diikuti dengan perasmian perhimpunan bagi Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden.

''Pada keesokannya iaitu 20 Oktober diadakan perhimpunan ketiga-tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri,'' katanya.

Pada 21 Oktober katanya, Perhimpunan Agung bermula dan ia diadakan sehingga 23 Oktober.

Mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak pada Pilihan Raya Sarawak ke-10 yang akan datang, Najib berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan tokoh itu sebelum keputusan lanjut diambil.

Perdana Menteri mengulangi pendirian bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajui oleh Abdul Taib merupakan rakan setia Barisan Nasional (BN) yang menjadi tonggak penyumbang kepada kejayaan parti itu di Sarawak.

Abdul Taib yang menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 29 tahun sejak 1981, masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya pada pilihan raya negeri ke-10 akan datang.


Beliau dilaporkan menyatakan sedia berundur sekiranya keadaan memerlukannya berbuat demikian tetapi pada masa sama menyerahkan kepada parti dan Perdana Menteri untuk memutuskannya.

MB Berbuka Puasa dengan Mahasiswa Terengganu di Selangor, WP

Petang ini Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Nurliza Mahmud akan meraikan kira-kira 3,000 tetamu dari Wilayah Persekutuan dan Selangor pada majlis berbuka puasa di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.

Majlis akan disertai mahasiswa dan anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan yang menjadi acara tahunan diadakan di Dewan Tun Razak 1.

Majlis berbuka puasa ini dianjurkan kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu dan dijangka disertai beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Tahun lalu, majlis serupa diadakan di sebuah hotel disertai lebih 2,500 mahasiswa dan rakyat Terengganu di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

30 tahun rindu anak

Harian Metro

Seorang bapa terkilan kerana anak tunggalnya tidak pernah datang menjenguknya sejak 30 tahun lalu sedangkan mereka tidak pernah bersengketa.

Bapa berkenaan, Muda Ismail, 86, dari Kampung Sungai Kerak, Marang, mendakwa tiada salah faham berlaku antara mereka sebelum anaknya mengambil keputusan tidak lagi menemuinya.

“Tiada sengketa, perbalahan dan salah faham antara saya dan anak yang kini berusia 49 tahun, sebelum dia mengambil keputusan tidak pulang ke rumah dan menemui saya sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu bagaikan melupakan jasa dia membesarkannya, memberikan pendidikan hingga ke menara gading dan kini memegang jawatan penting dalam satu organisasi di ibu kota.

“Bukan saya tidak rindu kepadanya dan hati ini memang mengingatinya setiap hari, malah perkembangan keluarga anak saya itu pun saya tahu.

“Tapi, mungkin pintu hatinya belum terbuka untuk datang menemui saya di sini,” katanya

'Jangan Main Mercun Macam Saya'

Irwan Mustaffa Abu Bakar masih sukar melihat ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, kelmarin.'

'Saya dah serik. Disebabkan mercun saya tak dapat beraya tahun ini. Kasihan pada keluarga sebab kena jaga saya di sini. Baju raya sudah beli tapi saya pasti tidak dapat memakainya," -
Irwan Mustaffa

"Saya tak mahu main mercun dah lepas ini. Harap kawan-kawan yang lain pun jangan main mercun nanti jadi macam saya," kata Irwan Mustaffa Abu Bakar yang masih terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Irwan, 9, cedera di mata kanan akibat terkena letupan mercun dalam kejadian di Batu Enam, Manir, dekat sini pada Ahad lalu dan berharap tidak akan menyambut Aidilfitri di HSNZ.

Dia adalah murid Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Seberang Takir, dipercayai bermain mercun tersebut seorang diri di hadapan rumahnya pada pukul 6.30 petang.

Ketika ditemui kelmarin, Irwan yang kelihatan agak lesu, sesekali menahan rasa sakit di bahagian mata kanannya yang dipercayai masih belum sembuh selain penglihatannya disahkan kabur.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu berjanji tidak akan menyentuh lagi mercun pada musim perayaan akan datang.

''Saya dah serik. Disebabkan mercun saya tak dapat beraya tahun ini. Kasihan pada keluarga sebab kena jaga saya di sini.

"Baju raya sudah beli tapi saya pasti tidak dapat memakainya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.

Sementara itu, menurut abang mangsa, Zulkifli, 23, dia dan ahli keluarganya bergilir-gilir menjaga Irwan di hospital sejak adiknya itu dimasukkan ke dalam wad.

Jelasnya, dia mengakui persiapan raya tahun ini hambar ekoran kejadian yang menimpa adiknya itu.

"Nampaknya tahun ini kami sekeluarga tidak membuat sebarang persiapan memandangkan Irwan masih di hospital.

"Kita sambut raya ala kadar sahajalah tahun ini. Lagipun doktor masih tidak pasti berapa lama dia akan berada di sini," katanya.

Menurut Zulkifli, ekoran kejadian itu, ahli keluarga yang lain turut merasai kesedihan yang menimpa Irwan memandangkan dia merupakan seorang yang periang dan sering mengundang gelak tawa di kalangan keluarga.

"Irwan memang seorang anak yang mendengar kata dan dia tidak pernah melawan selain suka bergurau, sebab itu kami terkejut ketika dia terkena mercun kerana selama ini dia tidak pernah bermain mercun.

"Bagaimanapun kejadian tersebut benar-benar memberi pengajaran kepadanya kerana dia berulang kali memberitahu tidak akan bermain mercun lagi," jelasnya.

Utusan Malaysia

Pantau had laju bot bagi elak berlaku perlanggaran

Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Laut untuk meningkatkan penguatkuasaan ke atas semua jenis bot agar dipandu mengikut had laju dibenarkan bagi mengelak berlaku perlanggaran.

Penguatkuasaan itu membabitkan lokasi perairan berhampiran pulau tumpuan pelancong di negeri ini seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang serta Pulau Kapas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, usaha itu dibuat berikutan tragedi perlanggaran bot membabitkan pelancong di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Beliau memberitahu, langkah itu juga membolehkan Jabatan Laut membuat ketetapan mengenai had laju yang dibenarkan dan dijamin selamat bagi pemandu-pemandu bot, sama seperti kenderaan di jalan raya.

"Mungkin Jabatan Laut boleh tentukan dari segi had kelajuan bot terutama yang membawa penumpang serta pelancong, termasuk memberi perhatian mengenai kapasiti serta keselamatan bot tersebut.

"Kita harap untuk masa akan datang, kita kena lebih berhati-hati untuk tarik lebih ramai pelancong, kita kena juga beri perkhidmatan yang selamat dan harmoni untuk mereka (pelancong)," katanya di sini.

Beliau mengulas kejadian perlanggaran bot laju dengan bot yang membawa muatan barang sehingga mengakibatkan dua pelancong asing cedera dalam kejadian berdekatan jeti Kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian, Besut.

Dalam kejadian pukul 6.15 petang 15 Ogos lalu, pelancong New Zealand, Matthew Kelly Steiro, 29, dan isterinya, Tina Mariann Steiro, 30, yang berasal dari Norway tercampak ke dalam laut apabila bot yang dinaiki berlanggar dengan bot muatan barang.

Akibat perlanggaran itu, Tina cedera dengan tulang selangkanya patah selain paru-paru dimasuki air manakala Matthew lebam-lebam di badan.

Sambung Khidmat Jurulatih Takraw Thailand Disambut Baik

Langkah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menyambung kontrak jurulatih sepak takraw daripada Thailand, Vitaya Boonta untuk membimbing pasukan Terengganu sehingga Sukma 2012, dialu-alukan.

Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata tindakan MSNT itu adalah selaras dengan saranan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang membenarkan persatuan sukan di negeri ini menggunakan jurulatih luar negara untuk meningkatkan prestasi atlet.

"Kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada MSNT kerana mengekalkan khidmat jurulatih itu," katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Mohd Shapian berkata pasukan Terengganu yang dilatih oleh Vitaya Boonta, telah berjaya memenangi pingat emas pada Sukma Melaka, malah skuad itu turut mengalami perubahan yang besar sejak kehadirannya pada Januari lalu.

Katanya buat sementara itu, MSNT meminjamkan Vitaya Boonta kepada Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu untuk melatih pemain sekolah berkenaan.

Sementara itu, tiga orang pemain daripada Terengganu telah dipilih untuk mewakili negara ke Sukan Asia di Guanzhau, China pada November ini.

Mohd Shapian berkata pemain-pemain itu ialah Shazwan Husin, Nasir Manjor (kedua-duanya tekong) dan pemain "killer" Mohd Fadzli Roslan yang kini sedang menjalani latihan pusat di Kuala Lumpur.

Beliau berkata ketiga-tiga pemain berkenaan pernah mewakili negara pada kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok Julai lepas.

Status Pemain Import Diketahui Selepas FAM Bermesyuarat Oktober

Kemasukan semula atau tidak pemain import untuk beraksi dalam Liga Malaysia musim depan akan terjawab apabila Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan mesyuarat Oktober depan.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata satu daripada agenda pada mesyuarat itu nanti adalah membincangkan kemungkinan pemain import dibenarkan merancakkan semula Liga Malaysia.

Beliau berkata kewajaran pemain import untuk beraksi semula dalam liga tempatan itu kini dikaji oleh Jawatankuasa Liga Malaysia dan formula terbaik sedang dicari bagi membawa masuk pemain luar untuk bermain dalam liga tempatan.

"Berkaitan pemain import, ia akan dikaji secara informal oleh Jawatankuasa Liga Malaysia atau jawatankuasa pertandingan dan saya harap satu pendekatan dapat dibincang pada Oktober atau November ini," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 102 mangsa ribut di Kompleks Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kampung Tiram, Kuantan semalam.

Tengku Abdullah bertitah antara isu yang sedang dikaji oleh jawatankuasa terbabit adalah berkaitan tangga gaji pemain import sekiranya mereka dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia nanti.

Pada 9 Ogos lepas, bekas naib presiden FAM Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar meminta badan induk sukan bola sepak negara mempertimbangkan semula kemasukan pemain import demi merancakkan semula Liga Super yang kian suram.

Ini kerana katanya kehadiran pemain asing dapat menarik minat penonton untuk kembali semula ke stadium bagi menyaksikan perlawanan liga itu.

Pada Ogos 2008, FAM mengambil tindakan drastik dengan mengumumkan bahawa khidmat pemain import tidak lagi dibenarkan dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2009.

Tengku Abdullah berkata mesyuarat FAM pada Oktober akan turut membincangkan hala tuju baru badan induk bola sepak negara itu selepas pemilihan jawatankuasa barunya baru-baru ini.

23 Kes Denggi Dalam Seminggu di Terengganu

Kes denggi meningkat minggu lepas di 10 negeri dan Terengganu tidak terkecuali.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dari segi jumlah kes ia adalah Kelantan (46 kes), Perak (31 kes), Terengganu (23 kes), Kedah dan Melaka (18 kes), Johor (10 kes), Selangor (lapan kes), Sabah (empat kes) dan Perlis (tiga kes).

Katanya, bilangan kematian juga meningkat 48 peratus bagi tempoh antara Januari dan 21 Ogos lepas menjadikan jumlah keseluruhan 101 berbanding 68 kes kematian dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Dalam tempoh yang sama juga katanya, terdapat peningkatan lapan peratus atau 2,306 kes denggi, menjadikan jumlah keseluruhan 31,529 kes berbanding dengan 29,223 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu seorang pelajar sekolah dan seorang wanita hamil merupakan antara enam orang yang mati akibat demam denggi minggu lepas.

Tiong Lai dalam satu kenyataan semalam, pelajar berusia 16 tahun itu meninggal dunia di Batu Caves, manakala wanita hamil yang berumur 24 tahun itu tinggal di Gelang Patah, Johor Bahru.

Tiga kes kematian berlaku di Kelantan melibatkan seorang peniaga ikan berumur 30 tahun dari Kuala Krai, seorang penoreh getah berumur 24 tahun juga dari Kuala Krai dan seorang pekerja swasta berumur 46 tahun yang tinggal di Kota Bharu.

Katanya, satu lagi kematian dicatatkan di Pulau Pinang melibatkan seorang wanita yang bekerja sebagai penjaja makanan.

Sementara itu, pemilik premis yang dikesan membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes akan dikenakan kompaun maksimum RM500 berbanding RM100 sebelum ini.

Menteri itu berkata selain itu pihak yang "menyorok" maklumat mengenai tempat pembiakan nyamuk Aedes dan tidak melaporkan kes denggi kepada pegawai kesihatan daerah, juga akan dikenakan kompaun maksimum RM500.

Beliau berkata tindakan lebih tegas perlu diambil bagi memperkukuh aktiviti pencegahan denggi dengan mengenakan kompaun yang lebih tinggi.

Liow berkata Kementerian Kesihatan turut meningkatkan pelaksanaan program "Communication for Behavioural Impact" (Combi) dan promosi serta pengiklanan bagi membanteras denggi di lokasi hot spot terutama menjelang perayaan.

Katanya penguatkuasaan terhadap wabak deman denggi sentiasa dijalankan dengan 1.7 juta premis diperiksa dari Januari sehingga kini dan daripada jumlah itu 24,747 premis dikesan membiak nyamuk Aedes dan 672 kes dibawa ke mahkamah.

Bantuan Khas - Kerajaan Bayar 1 September Ini

Kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada lebih 1.24 juta petugas awam pada 1 September ini, sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap sumbangan pegawai dalam pembangunan negara.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan di Putrajaya semalam, berkata pembayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 bagi pesara yang dibayar melalui Sistem Pembayaran Melalui Bank pula akan dilakukan pada 6 September.

"Manakala bagi pesara yang dibayar melalui waran, ia akan diposkan sebelum tarikh tersebut," menurut kenyataan itu.

Jabatan itu berkata pegawai yang layak dibayar Bantuan Khas Kewangan adalah terdiri daripada pegawai tetap, sementara, sangkut, sambilan, contract of service, guru sandaran dan pegawai yang bercuti separuh gaji.

Selain itu, pemandu yang dilantik oleh pegawai Jawatan Utama "B" dan ke atas serta gred Khas "A" yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya juga layak mendapat bantuan ini.

"Begitu juga dengan pegawai 'contract of service' yang putus perkhidmatannya selama satu hari sebelum disambung semula perkhidmatan kontraknya," kata JPA.

Pegawai yang ditangguhkan pemberian bantuan khas itu adalah pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib.

Pegawai hanya layak dibayar bantuan itu sekiranya pihak berkuasa tatatertib mendapati pegawai berkenaan tidak bersalah atau pegawai hanya dikenakan hukuman amaran atau amaran keras.

Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan akan dibuat sebelum 1 Syawal.

Orang ramai yang inginkan penjelasan lanjut berhubung pemberian Bantuan Khas Kewangan pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, bolehlah merujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2010 bertajuk "Bantuan Khas Kewangan Tahun 2010" di http://www.jpa.gov.my.

Bagi pemberian bantuan khas kepada pesara dan penerima pencen pula, maklumat boleh diperolehi dengan melayari portal Bahagian Pasca Perkhidmatan di alamat http://www.jpapencen.gov.my.

Ibu Dan Anak Maut, Dua Termasuk Polis Cedera Dalam Kemalangan

Dua beranak maut manakala dua lagi cedera termasuk seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dalam kemalangan di kilometer 39 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, Ajil, malam Khamis.

Mohd Rizam Hassan, 22, dan ibunya Zaidah Tahir, 56, dari Felda Selasih, Tok Dor, Jertih, mati di tempat kejadian.

Dua yang cedera ialah Insp Hanafi Nasir, 24, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu dan rakannya Nasran Azizan Abdullah Yahab, 20-an. Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata kejadian pada pukul 10.30 malam itu membabitkan kereta Proton Wira yang dipandu Mohd Hanafi yang dalam perjalanan untuk pulang bercuti di Johor dan Kereta Perodua Kelisa yang dipandu Mohd Rizam.

"Berdasarkan siasatan awal di kawasan kemalangan berselekoh itu, kami percaya sebuah daripada kereta terlibat terbabas dan memasuki laluan bertentangan menyebabkan kedua-dua kereta bertembung," katanya hari ini.

Friday, August 27, 2010

Agihan Kurma Kerajaan Negeri Sedang Rancak

Kulit kotak kurma sumbangan Kerajaan Negeri untuk tahun ini.

Rabu petang (25 Ogos 2010), kira-kira jam 5.30 petang penulis dikejutkan oleh sekumpulan anak muda yang memberikan salam di luar pagar.

“Kami nak bahagikan kurma’” kata mereka.

“Kurma apa?” Tanya penulis.

“Kurma daripada Kerajaan Negeri,” sambil beliau menghulurkan sekotak kecil kurma kepada penulis dan rakannya meminta penulis memenuhi ruang nama dan nombor telefon pada sekeping kertas yang disediakan.

“Kertas ini kena isi. Bos kami nak pastikan kurma ini sampai kepada semua rumah,” katanya. Sambil menyambung dengan soalan: “Mana orang sebelah? Saya memberikan salam banyak kali. Saya bimbang bos marah kalau tak sampaikan,” katanya.

“Cubalah sekali lagi...tahun ni tak ada ke air zam-zam,” kata penulis.

“Bos suruh beritahu...air zam-zam belum tiba, Insyaallah mungkin selepas inilah,” katanya dengan nada yang lembut.

Kumpulan anak muda itu membantu JKKK membahagi-bahagikan kurma di Taman Permint Jaya Fasa 4, Cendering sebaik menerima bekalan daripada kerajaan negeri.

Kelmarin (25 Ogos 2010), Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan akan meneruskan pengagihan kurma dan zam-zam.

Walaupun mendapat kritikan dan persoalan sebelum ini khususnya daripada pembangkang, program itu diteruskan kerana dianggap penting untuk rakyat.

Kerajaan Terengganu akan mengagih-agihkan 250,000 bungkus kurma dan 250,000 botol air zam zam kepada rakyat yang beragama Islam di negeri itu berikutan sambutan baik yang diterima pada tahun lepas.

Beliau berkata, tahun ini tempahan kurma adalah dari Tunisa dan pemberian kurma dan air zam-zam akan lewat sedikit kerana pembekal menghadapi masalah bekalan.

"Harga kurma dari Tunisia tahun ini murah sedikit berbanding kurma Nabi yang ditempah dari Mesir tahun lepas," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman.

Beliau bagaimanapun belum mendapat mengesahkan harga sebenar kurma berkenaan. Ia turut diakui oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah yang turut hadir pada sidang media itu.

Kerajaan Negeri tahun ini menggunakan dua syarikat iaitu satu untuk bekalan kurma dan satu lagi untuk air zam-zam.

Katanya pengagihan dilakukan menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang akan pergi dari rumah ke rumah.

Pada musim Ramadhan tahun lalu Ahmad telah memberi amaran kepada JKKK yang tidak menyampaikan kurma serta zam-zam tersebut dengan menyangkut dip agar atau pintu-pintu rumah.

Ia hendaklah disampaikan sendiri kepada tuan rumah.

Laksana Hudud - Impian PAS Tidak Mungkin Tercapai: Zaid

Hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud tidak akan tercapai kerana parti itu secara sendirian tidak mampu menguasai majoriti kerusi Parlimen untuk meminda Perlembagaan, kata penyelaras pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim.

"Saya tidak nampak hudud boleh dilaksanakan oleh satu parti sahaja. Ia memerlukan sokongan besar di dalam Dewan (Rakyat)," katanya.

Zaid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, berkata impian melaksanakan hukum hudud tidak mungkin tercapai berdasarkan kedudukan kerusi PAS dalam Dewan Rakyat yang memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud biarpun rakan pakatan pembangkang, DAP, membantah hasrat itu dengan menyifatkan Malaysia adalah negara sekular.

Zaid yang sebelum itu menyampaikan sumbangan hari raya kepada orang kurang upaya di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) di Pengkalan Chepa dekat sini, hari ini, berkata perselisihan pendapat berhubung pelaksanaan hukum hudud di antara PAS dan DAP hanyalah berasaskan perbezaan impian politik masing-masing.

"Ketiga-tiga parti (PAS, DAP, PKR) telah bersetuju segala undang-undang yang kita buat atau kita gubal mestilah mengikut perlembagaan negara," katanya sambil menambah dasar bersama itu ditandatangani pada Disember 2009.

Bapa kanak-kanak mangsa letupan bebas jaminan polis

Bapa kepada Khairul Arif Ayub, 6, kanak-kanak yang terbunuh dalam kejadian letupan mercun di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga di Kuala Terengganu semalam dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata bapa berusia 28 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan reman terhadapnya selama tiga hari berakhir semalam.

Katanya, polis perlu melengkapkan kertas siasatan dengan mengambil kenyataan daripada dua pemuda yang turut cedera dalam kejadian itu sebelum dakwaan terhadapnya dibuat.

"Kedua-dua pemuda berumur 22 dan 29 tahun itu kini masih lagi menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan kenyataan mereka belum dapat diambil," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu.

Mohd Shukri berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Khairul Arif maut selepas dikatakan tercampak ke atas pokok setinggi 15 meter akibat letupan itu.

Dia cedera parah di kepala, manakala dua pemuda Mohd Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29, turut mengalami cedera parah.

Rogayah Sulong Tokoh Wanita Terengganu

Rogayah Sulong bergambar bersama sijil penghargaan selepas dinobatkan sebagai Tokoh Wanita Terengganu 2010 di Seri Iman, kelmarin.

Datuk Rogayah Sulong, 67, yang pernah muncul sebagai johan qariah tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa menerima penghormatan sebagai Tokoh Wanita Terengganu 2010.

Pemilihan Rogayah bukan sahaja kerana beliau mengharumkan nama negeri tetapi juga usahanya mendekatkan ayat-ayat suci kepada masyarakat dan berkongsi ilmu membaca dengan tajwid betul serta berlagu.

Pada majlis sambutan Hari Wanita peringkat negeri di Seri Iman di Kuala Terengganu petang kelmarin, beliau menerima wang tunai RM3,000 dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Ketika ditemui, Rogayah tidak menyangka beliau akan diberi pengiktirafan yang tinggi seperti itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan wanita di negeri ini kerana mencalonkan saya,'' katanya yang kini menetap di Banggol Tuan Muda, Marang.

Beliau yang masih aktif mengajar al-Quran amat berbangga dengan pencapaian golongan wanita di negeri ini kerana ramai yang berjaya dalam kerjaya sama ada dalam sektor kerajaan negeri atau swasta.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Yahya Khatib.

Kira-kira 1,500 pemimpin wanita daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai program sambutan itu dan diikuti dengan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar.

Utusan

PBSNT mahu agih 'duit raya'

Bonus Hari Raya menyusul awal untuk pemain skuad bola sepak Terengganu selepas kejayaan mendapat tempat ketiga dalam Liga Super, musim ini.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan akan mengagihkan RM110,000 daripada hadiah RM200,000 dimenangi sebaik menerima cek daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Tiga kategori hadiah bonus akan disampaikan kepada pemain berdasarkan kepada jumlah beraksi sepanjang kempen Liga Super, umpamanya pemain yang mempunyai jumlah cap terbanyak akan mendapat ganjaran lebih besar berbanding yang menjadi pemain simpanan,” kata Yang Dipertua PBNST, Datuk Che Mat Jusoh, kelmarin.

Terengganu diundi dalam Kumpulan B bersama Pahang, Kuala Lumpur dan Sabah diramal bakal muncul juara kumpulan berkenaan.

Katanya, matlamat Terengganu adalah kembali menjadi juara musim ini, selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2001.

Thursday, August 26, 2010

Penjara 10 Tahun Kepada Bapa Simbah Asid Terhadap Isteri, Anak

Seorang penganggur yang menyimbah asid terhadap isterinya sehingga menyebabkan wanita itu cedera parah 10 hari lepas, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu.

Hakim M Bakri Abdul Majid menjatuhkan hukuman itu setelah Mat Haizan Mat Yasin, 32, dari Kampung Kamat Kuala Berang, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap isterinya Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, di sebuah rumah di Kampung Sekayu, Kuala Berang, pada 1.45 pagi 15 Ogos lepas.

Bagaimanapun Mat Haizan, bekas penyelam, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan lain iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada duaanaknya Nurul Dahyatul Fazlinda, 8 tahun, dan Irfan Firdaus, 2 tahun, di tempatdan pada masa yang sama.

Tertuduh, yang hadir di mahkamah memakai baju lokap, sempat merayu kepada mahkamah agar dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan ini merupakan kesalahan pertamanya dan dia telah menyesal dengan perbuatan yang dilakukan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menitis air mata ketika melawat mangsa.

Bagaimanapun dalam penghakimannya, Hakim M Bakri berkata kesalahan menyimbah asid merupakan satu perbuatan tidak berperikemanusiaan kerana menyebabkankecederaan serius kepada mangsa.

"Oleh itu, tertuduh tidak perlu dikasihani dan wajar dikenakan hukuman yang setimpal," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu dan membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah supaya dua pertuduhan itu dibicarakan bersama.

Mat Haizan selepas itu dihadapkan ke Mahkamah Majistet di sini bagi menghadapi dua pertuduhan iaitu memiliki senjata berbahaya tanpa kebenaran iaitu sebilah pisau sepanjang lapan sentimeter dan memasukkan dadah jenis methamphetamine serta heroin di dalam badannya.

Pertuduhan pertama adalah mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, manakala pertuduhan kedua adalah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu masing-masing pada 12.44 tengah hari dan 2.30 petang 16 Ogos lepas di tepi jalan Kampung Padang Tara, Kuala Berang.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azman Mustapha dengan pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Ngian Oii Ming.

Mat Haizan yang mengaku bersalah atas pertuduhan pertama dijatuhkan hukumanpenjara dua bulan bermula dari tarikh tangkap.

Bagaimanapun tiada pengakuan dicatatkan untuk tuduhan kedua dan mahkamah menetapkan 18 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Kuala Berang.

Hari Wanita - PM, MB Terengganu sertai Sidang Televideo

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengadakan sidang televideo sempena Hari Wanita Peringkat Kebangsaan 2010 dengan tiga pimpinan iaitu Sarawak, Johor dan Terengganu yang memaklumkan pembangunan dan kemajuan wanita di negeri masing-masing.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang turut terbabit dengan sidang televideo itu memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai kegiatan perniagaan dan usahawan wanita di Terengganu.

Dua lagi sidang televideo antara Perdana Menteri ialah dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Hari Wanita peringkat kebangsaan 2010 bertemakan `1Azam-Wanita 1Malaysia di adakan di Dewan Cancelor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi, semalam.

Perdana Menteri turut merasmikan perayaan Hari Wanita berkenaan.

Najib Tun Razak melancarkan Hari Wanita Kebangsaan 2010 sambil diperhatikan oleh Rosmah Mansor dan Shahrizat Abdul Jalil di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, semalam. - utusan

Dalam ucapannya Najib meminta majikan di negara ini memberi peluang lebih luas kepada wanita untuk bekerja separuh masa supaya mereka boleh mencari nafkah dan pada masa yang sama, menunaikan tanggungjawab sebagai ibu.

Perdana Menteri berkata, terdapat pelbagai pilihan bagi majikan untuk menggalakkan kaum wanita menyumbang pengetahuan dan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang menerusi waktu bekerja yang longgar termasuk bekerja dari rumah atau pada waktu anjal.

"Contohnya seperti bekerja beberapa jam sehari. Pada waktu puncak iaitu masa makan tengah hari pekerja tetap boleh berehat dan tempat mereka diganti oleh pekerja wanita yang disebutkan tadi," katanya.

Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, golongan wanita masih berdepan cabaran termasuk tahap penyertaan dalam pasaran tenaga buruh dan politik yang masih rendah, meskipun sudah mengecapi kemajuan serta kejayaan dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, dalam pasaran tenaga buruh, wanita mencatatkan penyertaan sebanyak 46.4 peratus, manakala perwakilan wanita di Dewan Rakyat hanya 10.4 peratus, 24.3 peratus di Dewan Negara dan lapan peratus di Dewan Undangan Negeri.

Selain itu, katanya, terdapat beberapa undang-undang dan peraturan yang memerlukan penambahbaikan demi kesejahteraan wanita dan keluarga.

Beliau berkata, sokongan kerajaan yang berterusan membolehkan wanita mengecapi kejayaan apabila semakin ramai wanita menerajui organisasi penting seperti bank pusat, universiti awam dan suruhanjaya sekuriti.

"Tidak kurang juga wanita yang memegang jawatan berprofil tinggi dalam pasukan polis dan tentera serta menjadi hakim mahkamah rayuan dan terkini hakim syarie.

"Hasil penyelidikan Grant Thornton International menunjukkan Malaysia menduduki tempat kelima di seluruh dunia dengan 31 peratus daripada jawatan kanan dalam perniagaan sederhana dan besar dipegang oleh wanita. Peratusan ini jauh lebih tinggi berbanding 24 peratus untuk purata dunia," katanya.

Hadiah Buat Ku Faridah - Berjaya Bawa pulang 3 Anaknya Dari Lombok

KU Faridah Ku Man gembira di samping anak-anaknya, (dari kiri) Puteri Balqis, Wan Mohd. Hazwan Harith Wan Mohd. Hilmi, Wan Mohd. Haiman Harith Wan Mohd. Hilmi, Dewi Helen Fiona dan Mohd. Haikal Daniel di Kampung Kuala Pueh, Hulu Terengganu, kelmarin.

Dua bulan lalu, Ku Faridah Ku Man, 33, yang menikah dengan seorang jejaka Lombok, Indonesia terpaksa meninggalkan tiga anak hasil perkahwinan tersebut di negara berkenaan.

Undang-undang Indonesia menjadi penghalang utama kepadanya untuk membawa mereka pulang bagi menikmati kehidupan lebih sempurna di Malaysia.

Tetapi semalam, penantian Ku Faridah yang berasal dari Kampung Pueh, Kuala Berang berakhir apabila ketiga-tiga anak hasil perkahwinan dengan jejaka Lombok yang dikenali sebagai Rosman iaitu Mohd. Haikal Daniel, 9, Puteri Balqis, 4, dan Dewi Helen Fiona, 2, berjaya dibawa pulang.

''Bagi saya, semua ini adalah berkat Ramadan dan hadiah Aidilfitri. Kami tiba di sini pukul 7 malam semalam dengan menaiki feri selama dua jam selepas bermalam di Batam,'' katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Pueh kelmarin.

Pada Julai lalu, kisah Ku Faridah anak kedua daripada lapan beradik yang melalui kehidupan perit di negara tersebut setelah ditinggalkan suami dua tahun lalu mendapat liputan meluas media.

Keluarganya merayu agar dia dibantu dan sekretariat UMNO Kuala Berang yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Rozi Mamat dengan kerjasama Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Sosial Jakarta berjaya membawanya pulang.

Menurut Ku Faridah, pada 8 Ogos lalu, tiga hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan, dia bersendirian ke Lombok semula dan berada selama seminggu di daerah tersebut.

''Saya bertekad untuk ke sana kerana saya rindu anak-anak. Saya berjanji bahawa saya tidak akan pulang tanpa mereka,'' katanya.

Namun dia bersyukur apabila disambut baik oleh keluarga bekas mertuanya dan mereka juga tidak menghalang anak-anak itu dibawa pulang.

"Ketika saya di sana, saya sempat berpuasa dengan keluarga mertua selama tiga hari dan saya amat gembira kerana turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Sosial Jakarta dan polis.

"Keluarga mertua berpesan supaya menjaga anak-anak dengan baik selain turut meminta maaf terhadap apa yang berlaku sepanjang saya berkahwin dengan anak mereka," katanya.

Jelas Ku Faridah, ketika berada di sana, bekas suaminya yang kini bekerja di sebuah ladang di Johor ada menghubunginya untuk bertanyakan khabar dia dan anak-anak.

"Ayah mereka menyatakan bahawa dia ikhlas membenarkan anak-anak dijaga oleh saya dan turut memberitahu bahawa dia akan mengunjungi kami ketika Aidilfitri nanti jika berkesempatan," jelasnya.

Ku Faridah turut mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertamanya iaitu Wan Mohd. Haiman Harit Wan Mohd. Hilmi, 13, dan Wan Mohd. Hazwan, 11 tahun.

Utusan

Wednesday, August 25, 2010

Banteras Habis-Habisan Penjualan Mercun

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menganggap peniaga yang menjual mercun diibaratkan sebagai ‘menjual dadah kepada orang ramai’, kerana memberi kesan buruk kepada orang lain.

Berikutan itu beliau meminta pihak berkuasa membanteras habis-habisan penjualan mercun.

Menurutnya, impak buruk daripada mercun sudah jelas dan ia sepatutnya sudah dapat membuka mata pelbagai pihak agar ia tidak sepatutnya berulang lagi, apatah lagi bermain mercun bukan budaya masyarakat kita.

“Sebenarnya, saya cukup sedih dengan perkembangan sejak akhir-akhir ini. Sewaktu mesyuarat baru-baru ini, saya ada melahirkan perasaan lega kerana belum ada kejadian melibatkan mercun, tapi apa yang dikesalkan, tidak lama selepas itu, saya mendapat maklumat mengenai kejadian yang menimpa kanak-kanak sehingga maut akibat mercun.

“Saya pergi melihatnya sendiri, cukup sedih kerana kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi mangsa dalam keadaan cukup menyayat hati. Hentikan semua ini kerana saya tidak mahu melihat ada lagi yang menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Berbuka Puasa Menteri Besar bersama Rakyat Daerah Marang di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Bandar Marang malam kelmarin.
Beliau kesal dengan kejadian membabitkan kematian dan kecederaan akibat bermain mercun meminta peniaga menghentikan segera penjualan bahan larangan itu kepada orang ramai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata hari ini kejadian menjual dan bermain mercun di musim perayaan ini sehingga mengakibatkan ada nyawa yang terkorban, pihak polis akan memperketatkan kawalan bagi mengekang kemasukan dan penjualan mercun serta bunga api.

Musa sudah mengarahkan ketua-ketua polis negeri dan daerah terutama di kawasan sempadan supaya segera bertindak membanters kegiatan tersebut.

"Mereka perlu memastikan tiada tempat yang boleh dijadikan lokasi menjual dan menyimpan mercun seperti yang berlaku di Terengganu dua hari lalu yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak.

"Saya telah mengarahkan semua anggota saya supaya memeriksa di semua tempat termasuklah di pasar Ramadan. Jual mercun sahaja kita akan segera ambil tindakan.

"Ketua-ketua polis di sempadan perlu awasi jangan berlaku penyeludupan mercun dan kita akan bekerjasama dengan semua pihak seperti kastam (Kastam Diraja Malaysia) bagi menangani masalah ini," katanya semasa menghadiri Majlis Ihya Ramadan bersama Pemangku Raja Kelantan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kelantan di Kota Bharu, malam semalam.

Mengenai tragedi di Terengganu itu, Musa berkata ia perlu dielakkan, sementara ibu bapa pula perlu sentiasa mengawasi anak-anak mereka daripada bermain mercun dan bunga api.

"Apa yang berlaku di Terengganu itu amat menyayat hati termasuk juga beberapa kes kecederaan lain akibat bermain mercun. Kita tidak mahu ada anak-anak kita yang tersadai di hospital kerana bermain mercun," katanya.

Dalam kejadian di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga di Kuala Terengganu pada Ahad lalu, Khairul Arif Ayub, 6, maut dalam kejadian letupan di sebuah rumah tinggal yang dipercayai menjadi gedung simpanan bunga api dan mercun.

Dua orang lagi iaitu Mohd Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29, mengalami cedera parah dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Za

Program Berbuka Puasa dan Tarawikh Bersama Rakyat Berterusan...

Berdoa...demi kesejahteraan negeri dan rakyat Terengganu. Menteri Besar (dua dari kiri) dan di sebelahnya, ADUN Permaisuri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Nurliza Mahmud semalam berbuka puasa dan bertarawikh di Masjid Petrajaya, Setiu.

Turut serta ialah Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie, ADUN Langkap yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri serta ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh.

Malam sebelumnya beliau bertarawikh di Masjid Sultanah Nur Zahirah Marang dan pada Ahad di Masjid Kristal.

Malam ini beliau dijangka bertarawikh di Masjid Tengku Sulong, Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Sebelum itu Menteri Besar dan isteri akan menghadiri Jalis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri Terengganu 2010 dan majlis berbuka puasa.

Pada setiap majlis, beliau akan beramah mesra dengan orang ramai selain meninjau keadaan masjid di tempat beliau melakukan ibadah.

Iman Arab Saudi mengimamkan setiap solat tarawikh yang disertai Menteri Besar.

Bermesra dengan tetamu pada majlis semalam.

Nama Ketua Negara Beragama Islam Mesti Disebut Dalam Khutbah Jumaat


Tidak rasa bersalah...Zakaria Ahmad, khatib yang berdoa dalam khutbah Jumaat untuk Lim Guan Eng tetapi tidak kepada Yang di-Pertuan Agong

Nama pemimpin negara yang beragama Islam mesti disebut dalam doa khutbah Jumaat kerana Islam merupakan agama yang berkuasa di negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata umat Islam di negara ini sedang berhadapan dengan cabaran terbesar terutama dalam keadaan umat yang berpecah belah, yang mungkin mengakibatkan Islam kehilangan kuasanya di negara ini.

"Saya bukan racis yang nak bangkitkan perasaan marah di kalangan umat Islam tetapi ada hak kita yang harus dihormati pihak lain. Penghormatan hanya akan diperoleh apabila kita berkuasa.

"Hari ini walaupun Islam menuntut kita bersaudara tapi kita berpecah, sehingga tahap mungkin hilang kuasa," katanya ketika berucap merasmikan majlis berbuka puasa dan penyampaian Anugerah Sri Cemerlang Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Universiti pada hari Selasa.

Beliau merujuk kepada insiden penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid di negeri itu baru-baru ini.

Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim mengingatkan umat Islam agar memikirkan semula tanggungjawab kepada agama, sekalipun tanggungjawab kepada bangsa sudah tidak lagi menjadi keutamaan.

Katanya walaupun jumlah umat Islam di negara ini ramai, tidak mustahil Islam akan kehilangan tempatnya sebagai agama rasmi sekiranya sikap berpecah-belah masih diteruskan.

"Jumlah ramai ini tidak bermakna kalau sudah berpecah belah dan bermusuh antara mereka. Apabila bermusuh, pihak lain berpeluang gunakan permusuhan sesama Islam ini untuk mengutarakan kedudukan mereka, bahkan untuk berkuasa dalam negara.

"Jangan fikir tidak mungkin satu hari nanti khutbah sebut ketua negara bukan Islam kerana mereka telah berkuasa dan kita sudah jadi puak yang kecil, berpecah belah dan tidak berkuasa," katanya.

Beliau berkata sudah ramai umat Islam di negara ini yang tidak mengamalkan tingkah laku dan cara hidup seperti yang dituntut dalam Al-Quran dan hadis.

Justeru katanya kuasa umat Islam hanya dapat dikekalkan sekiranya umat Islam itu sendiri yang berusaha menyelamatkan agama mereka.

"Berkuasa hari ni tidak bermakna kekal berkuasa di masa depan. Jangan fikir pegangan kita akan terus kekal. Ia akan terhakis juga bila kita sudah miskin dan daif. Islam tak suruh kita berpecah-belah, tapi suruh kita bersaudara.


Tanya kepada diri adakah kita benar-benar berpegang kepada ajaran Islam tentng persaudaraan ini," katanya.

Adakan Kempen Besar-Besaran Mengenai Bahaya Mercun

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyeru pihak berkuasa agar mengadakan kempen besar-besaran bagi memberi kesedaran kepada golongan muda tentang bahaya bermain mercun.

Naib Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kempen itu juga harus melibatkan golongan ibu bapa di mana mereka juga boleh mendidik anak-anak mereka berkaitan bahaya bahan tersebut.

Dalam satu kenyataannya semalam, beliau berkata masyarakat perlu peka dan prihatin terhadap beberapa tragedi yang melibatkan kecederaan dan kematian akibat bermain mercun.

Menurutnya, beberapa kejadian termasuk yang berlaku di Kuala Terengganu di mana sebuah rumah lama yang dijadikan stor menyimpan mercun dan bunga api, meletup dan mengorbankan seorang budak lelaki berusia enam tahun perlu dijadikan iktibar.

Tegasnya, sudah sampai masanya gologan muda terutamanya melihat dan belajar tentang bagaimana mercun boleh mendatangkan bencana.

Lam Thye juga berkata, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam dan Unit Pencegahan Penyeludupan harus melipatgandakan usaha-usaha untuk mengenalpasti bagaimana mercun boleh diseludup masuk ke negara ini.

Katanya, pihak berkuasa juga perlu memantau penjualan bahan terlarang tersebut terutama pada bulan Ramadan ini dan musim perayaan yang lain.

Terima kasih Wanor Anak Sintaro

Google Surprise (Sunday, August 22, 2010)

Today, while googling I accidentally come across with an article about my interview with the press. I have no idea it will appear in this blog. Luckily it was reported positively. Yeahh..Tganu! (Teganuku?)

Ikuti komennya (Di Sini)

Kastam Terengganu Rampas Mercun Diseludup Guna Bas

Kastam Terengganu berjaya merampas sebanyak tujuh kotak mercun dan bunga api seberat 111 kilogram dalam satu operasi di Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Air Sejuk, Setiu, malam semalam.

Pengarah Kastam negeri Datuk Azis Yacub berkata mercun yang dianggar bernilai RM2,787dengan nilai cukai RM1,800 itu dirampas dari sebuah bas ekspress yang dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Johor.

"Kita percaya mercun berkenaan dikirim oleh seseorang melalui bas berkenaan dan semasa pemandu bas terbabit disoal, dia menyatakan barangan itu diisytiharkan sebagai kuih untuk sambutan Aidilfitri nanti," katanya semalam.

Katanya, kebanyakan mercun yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu adalah daripada jenis mercun 'bola', 'dragon egg', 'magic button' dan bunga api.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengangkut barang-barang larangan.

Azis berkata pihaknya juga mengenal pasti penggunaan pengangkutan awam sebagai 'modus operandi' penyeludup untuk mengangkut barangan mereka sejak kebelakangan ini.

Justeru kata beliau, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pengangkutan awam bagi mencegah kegiatan itu pada musim perayaan ini.

Hakim - Pulanglah Bertemu Ayah Sempena Aidilfitri...

Seorang hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menasihati seorang pengurus operasi sebuah syarikat cari minyak swasta yang menghadapi tuntutan nafkah penjagaan dua anaknya supaya mengambil kesempatan Hari Raya nanti untuk menemui ayahnya bagi menyelesaikan masalah itu.

Hakim Kamarul Azmi Ismail memberitahu Nasrum Mustafa, 37, bahawa bapanya cukup teringin untuk berjumpa dengannya setelah lebih tujuh tahun mereka tidak bertemu.

Hakim menasihatkan demikian setelah pihak defendan menyatakan persetujuan untuk menyelesaikan kes tuntutan di luar mahkamah.

Sebelum itu, mahkamah diberitahu oleh peguam defendan Abdullah Muhamad bahawa anak guamnya tidak dapat menghadiri prosiding sebutan semula kes itu pada hari ini kerana mempunyai tugasan di Johor Baharu.

"Anak guam saya juga bersetuju untuk menyelesaikan kes tuntutan ini di luar mahkamah dan beliau difahamkan sedang membuat permohonon pinjaman semula perumahannya bagi membayar tuntutan pihak plaintif," katanya.

Setelah ditanya hakim, bapa Nasrum, Mustafa Ismail, 54, berkata anaknya itu tidak pernah menghubunginya atau kedua-dua anaknya, seorang perempuan berusia 13 tahun dan seorang lelaki, 15 tahun, selepas kes itu mula disebut pada pertengahan Julai lepas.

"Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk memerintahkan dia untuk pulang berjumpa dengan ayahnya kerana ia terpulang kepada dirinya sendiri.

"Walau apa jua masalah dan alasan sekalipun kembalilah kepada hukum," katanya.

Hakim Kamarul Azmi turut memetik riwayat Al Hakim yanng menyebut semua dosa yang dilakukan ditangguhkan melainkan dosa kepada kedua orang tua yang mana Allah akan segerakan hukumannya di dunia lagi.

"Paling ditakuti apabila Allah menghukum dengan menutup pintu hatinya, dan iman tidak dapat masuk dan dengan itu semua yang dilakukannya difikirkan betul.

"Hukuman mahkamah boleh selesaikan pertikaian, tetapi tidak boleh selesaikan apa yang terpendam di dalam hati. Jadi sebaiknya lakukanlah penyelesaian, baliklah berjumpa dengan ayah dan anak-anak," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu dan meminta Nasrum untuk hadir.

Sementara itu, ketika ditemui di luar kamar mahkamah peguam plaintif Fazru Anuar Yusof berkata, anak guamnya tidak terlalu mengambil kira soal tuntutan tersebut sebaliknya mahukan anaknya itu pulang berjumpa dengannya serta dua anak yang ditinggalkan itu pada hari raya nanti.

Pada 13 Julai lepas Mustafa menuntut anak lelakinya itu membayar nafkah penjagaan dua cucunya sebanyak RM20,000 sebagai tunggakan perbelanjaan penjagaan selama lebih tujuh tahun.

Selain itu, Mustafa juga menuntut anaknya yang berpendapatan hampir RM17,000 sebulan supaya memberi nafkah RM800 sebulan menerusi potongan gaji dan dimasukkan terus ke akaun cucunya untuk perbelanjaan penjagaan mereka.

Pendaki Everest Muda...

Jadikan semangat untuk anak-anak Terengganu...

Kembar empat ini bakal mendaki gunung Everest.

Gambar Berita Harian ini merakamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertanyakan sesuatu kepada kembar empat yang bakal menjadi pendaki Gunung Everest termuda muslim di dunia.

Dari kiri - Ahmad Amjad Fitri , Ahmad Amjad Bahzi, Ahmad Amjad Azri dan Ahmad Amjad Ghazi yang berumur 8 tahun selepas majlis penyampaian penghargaan kepada penaja-penaja Ekspedisi 7 Puncak, 7 Benua, 7 Nilai dan penyerahan nombor plat Gagasan 1Malaysia di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya semalam.

Jurulatih Australia Untuk Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) sedang mengenal pasti jurulatih dari Australia untuk membimbing pasukan lumba basikal profesional Terengganu yang dijangka didaftar Oktober ini.

Yang Dipertua PLBT Datuk Ahmad Sidi Ismail berkata persatuan itu juga sedang mengenal pasti pelumba basikal Terengganu yang mencapai prestasi cemerlang dalam acara lebuh raya untuk disenaraikan dalam pasukan itu.

Selain itu, juga akan menemui pelumba-pelumba yang menyertai kelab luar negara seperti Anuar Manan dan Adiq Hussainie Othman untuk ditawarkan menyertai pasukan itu, katanya semalam.

Beliau berkata, PLBT bekerjasama dengan Persatuan Berbasikal Kebangsaan dalam merealisasikan penubuhan pasukan itu dan kini dalam proses mendaftar pasukan tersebut dengan Suruhanjaya Sukan Malaysia sebelum didaftarkan dengan Persatuan Lumba Basikal Antarabangsa (UCI).

Ahmad Sidi berkata urusan penubuhan pasukan lumba basikal profesional itu dijangka selesai selewat-lewatnya Oktober ini.

Pejabat pengurusan pasukan itu dijangka ditempatkan di bangunan Pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu di sini, katanya.

Ayah mangsa letupan mercun direman 3 hari

Bapa kepada Khairul Arief Ayub, 6, yang terbunuh dalam kejadian letupan di sebuah rumah tinggal dipercayai menjadi gudang simpanan bunga api dan mercun di Kampung Makam Lama, Chabang Tiga, Ahad lalu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Mohd Erman Che Mat, terhadap lelaki berusia 28 tahun itu sehingga esok bermula kelmarin.

Beliau direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi melengkapkan siasatan kejadian itu yang turut mencederakan dua lelaki lain.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Suspek yang dipercayai pengedar utama bunga api dan mercun di bandar raya ini, sebelum ini dikatakan pernah ditahan mengikut seksyen sama tahun lalu, atas kesalahan menjual mercun.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata di Kuala Lumpur, polis akan menyiasat kes kematian kanak-kanak akibat letupan mercun di Terengganu kelmarin di bawah seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Beliau berkata, kesalahan itu yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan, sudah dianggap berat untuk memberi pengajaran kepada individu terbabit sehingga menyebabkan kematian berlaku.

"Cadangan untuk mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian (akibat mercun) ini hanya sia-sia. Hukuman yang diperuntukkan dah ada, polis rasakan ia sudah memadai, buat apa rombak?," katanya dihubungi di Berita Harian kelmarin.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga, Kuala Terengganu itu, Khairul Arif Ayob, 6, maut selepas tercampak ke atas pokok setinggi 15 meter akibat letupan itu.

Letupan itu berlaku di sebuah rumah tinggal yang dipercayai dijadikan stor simpanan mercun dan bunga api.

Bapa kanak-kanak terbabit menyerah diri kepada polis dan direman tiga hari bagi membantu siasatan kes terbabit.

Difahamkan, bapa kanak-kanak itu sebelum ini pernah ditahan mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 pada tahun lalu atas kesalahan menjual mercun.

Mohd Bakri meminta orang ramai menyalurkan maklumat terhadap sebarang kegiatan penyimpanan dan penjualan mercun dan bunga api bagi membantu polis mengekang kegiatan yang boleh mendatangkan kecederaan dan kematian itu.

"Orang ramai perlu 'busy body', kalau nampak jiran sebelah rumah simpan stok mercun atau guna apa-apa kepakaran untuk menciptanya (mercun), laporkan kepada polis," katanya.

JPJ Mula Periksa Bas Ekspres Untuk Hari Raya

Abdul Rahman Emang Anyie (kanan) membuat pemeriksaan tayar sebuah bas ekspres ketika mengadakan Operasi Pemeriksaan Bas di Depoh Syarikat Bas SP Bumi, Kuala Terengganu, semalam.

Sebanyak 116 bas ekspres di Terengganu termasuk bas tambahan yang telah diberi lesen untuk beroperasi pada musim perayaan ini akan diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang baik.

Pengarah JPJ negeri Abdul Rahman Emang Anyie berkata sehingga hari ini sebanyak 44 bas ekspres diperiksa.

"Dalam tempoh itu JPJ telah pergi ke semua lapan depot bas ekspres di negeri ini dan kami telah memeriksa keadaan bas termasuk daripada segi brek serta tayar.

"Setiap bas yang diperiksa kita keluarkan slip menandakan bas itu selamat untuk digunakan," katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah depot bas ekspres di sini pada hari Isnin.

Abdul Rahman berkata antara depot bas ekspres yang diperiksa JPJ ialah Sani Ekspres, Adik Beradik, Tasik Kenyir, S P Bumi, Transnasional, Nini Ekspres, Mutiara dan Mega Jaya.

Sebahagian besar bas belum diperiksa kerana sedang beroperasi dan pemeriksaan akan tetap dilakukan apabila bas-bas berkenaan memasuki terminal, katanya.

Sementara itu, jurucakap Bas Ekspres Syarikat Pengangkutan Bumi berkata semua tiket bas untuk perjalanan ke Utara dan Selatan pada 2 dan 3 Sept telah habis dijual.

Celcom Kuasai 55 Peratus Pelanggan Talian Mudah Alih Wilayah Timur

Syarikat penyedia talian mudah alih, Celcom, terus mengungguli pesaingnya apabila mendominasi lebih 55 peratus pengguna talian mudah alih di Terengganu, Kelantan, dan Pahang.

Naib Presiden Celcom Wilayah Timur Datuk Sulaiman Ahmad berkata ia merupakan tahun kelima syarikat berkenaan menguasai Wilayah Pantai Timur, dengan jumlah pelanggan prabayar dan pascabayar melebihi dua juta orang setakat ini.

"Pakej serta produk baharu yang disediakan oleh syarikat seperti Celcom Blue, yang menawarkan kadar panggilan murah 10 sen seminit, menjadi penyumbang kepada syarikat untuk terus menajdi syarikat penyedia talian mudah alih nombor satu di Pantai Timur.

"Menerusi sokongan pelbagai produk inovatif dan dibantu oleh 1,300 rakan niaga di Wilayah Timur, kita menyasarkan peningkatan 10 peratus pelanggan setahun," katanya kepada kepada Bernama selepas majlis berbuka puasa bersama rakan niaga Celcom, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Malah, katanya Celcom turut menguasai dari segi penggunaan jalur lebar di wilayah ini dengan lebih 100,000 pelanggan ketika ini.

Katanya bagi mengatasi masalah gangguan talian menjelang musim perayaan yang bakal menjelang, Celcom telah membuat persiapan dengan menambah 300,000 kapasiti tambahan secara berperingkat-peringkat.

"Dengan penambahan kapasiti itu, ia dijangka mampu menampung penggunaan talian yang akan meningkat pada masa itu, sekaligus mengelak gangguan talian seperti yang berlaku tahun lepas," katanya.

Sulaiman berkata, Celcom akan menambah 92 kawasan liputan baharu di Wilayah Timur tahun ini, dengan 15 dari kawasan itu di Terengganu.

Tuesday, August 24, 2010

Haramkan Semua Jenis Mercun, Bunga Api Elak Musibah


Minda Pengarang Berita Harian 24 Ogos 2010

MUSIBAH yang mengorbankan kanak-kanak malang selepas kepalanya hancur akibat letupan stor bunga api dan mercun di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga, Kuala Terengganu, kelmarin memberi isyarat jelas kepada pihak berkuasa agar bertindak lebih tegas untuk membanteras pengedaran, penjualan dan pembakaran bahan itu.

Mangsa, Khairul Arif Ayub, 6, mati dengan mayatnya tersangkut di atas pokok setinggi 15 meter selepas terpelanting akibat letupan kuat yang boleh didengar pada jarak empat kilometer.

Selepas lebih 20 tahun import mercun dan bunga api diharamkan di negara ini berkuat kuasa 1991, berikutan kebakaran kilang mercun Bright Sparklers di Sungai Buluh, mengorbankan 22 nyawa dan mencederakan 103 yang lain, ternyata pengharaman itu tidak memberi kesan ketara.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat pernah dinyatakan, sejumlah 353 kes tangkapan dilakukan pada 2005 kerana melanggar Seksyen 42 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika disabitkan kesalahan kerana mengilang, memiliki atau mengimport kedua-dua bahan itu boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Walaupun hukuman itu berat dan dianggap setimpal, namun pembakaran mercun dan bunga api masih terus berlaku, malah makin berleluasa sama ada ketika sambutan Tahun Baru Cina, Chap Goh Meh, Hari Raya Puasa, Deepavali, Krismas mahupun sambutan tahun baru.

Lebih memeranjatkan, bunga api dan mercun kini dijual secara terbuka, bukan saja di kedai, malahan di kebanyakan bazar Ramadan.

Apakah ini petanda undang-undang kita perlu diperketat dan penguatkuasaan serta pemantauan harus dipertingkat? Korban dan kecederaan akibat letupan stor di Kuala Terengganu kelmarin juga wajar mendorong pihak berkuasa mengharamkan terus penjualan dan pembakaran semua jenis bunga api dan mercun di negara ini.

Pembakaran mercun dan bunga api di segenap ceruk seluruh negara setiap kali tiba musim perayaan membuktikan bahan yang dirampas pihak berkuasa cuma dalam kuantiti yang kecil. Sebaliknya, sebahagian besar lagi bahan letupan itu memasuki pasaran gelap dan masih sampai ke tangan pengguna.

Akibatnya, pada setiap Ramadan sebelum menjelang perayaan, pasti ramai kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa termasuk melecur muka, badan, buta, putus jari atau tangan kudung, gara-gara letupan bahan yang diubah suai atau berpunca daripada kecuaian.

Kejadian ini turut membuktikan pihak berkuasa kekurangan maklumat yang disalurkan orang ramai mengenai kegiatan penjualan mercun dan bunga api. Namun tanggungjawab membanteras pembakaran mercun dan bunga api harus dipikul bersama masyarakat setempat, ibu bapa dan keluarga.

Dengan memastikan anak tidak membeli dan bermain mercun, sebahagian risiko kecederaan sudah dapat diatasi. Lagi pun membakar mercun bukanlah budaya Melayu, malah Islam turut melarang umatnya melakukan perbuatan sia-sia, membazir, membahayakan diri serta harta benda.

Malangnya masih ramai termasuk mereka yang berjawatan tinggi apabila balik ke kampung pada musim perayaan, mereka turut membawa mercun dan bunga api sebagai ole-ole, kononnya untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri, walaupun mereka tahu risikonya.

Justeru, sudah sampai masanya pihak berkuasa bertindak tegas menguatkuasakan undang-undang dan meningkatkan kempen kesedaran agar orang ramai tidak terus menjual atau membeli bunga api dan mercun, yang tidak mendatangkan sebarang faedah